Search This Blog

Friday, June 20, 2014

Pemandu cedera treler terbalik


  • Treler yang membawa muatan gulungan besi keluli terbalik selepas hilang kawalan di Jalan Lahat, Simpang Pulai kelmarin.Treler yang membawa muatan gulungan besi keluli terbalik selepas hilang kawalan di Jalan Lahat, Simpang Pulai kelmarin.
IPOH – Seorang pemandu treler cedera ringan selepas kenderaan berat membawa muatan gulung besi keluli yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Lahat-Simpang Pulai di sini, kelmarin.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, pemandu B Jeganathan, 35, yang berasal dari Klang, Selangor itu bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori membawa muatan berat itu hilang kawalan selepas gulungan besi terbabit jatuh sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandunya terbalik.

“Treler berkenaan dalam perjalanan dari Banting, Selangor menuju ke Pengkalan, di sini. Setibanya melalui selekoh, kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabit sehingga gulungan besi terbabit terjatuh.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kemalangan itu menyebabkan laluan berhampiran mengalami kesesakan sehingga dua kilometer,” katanya.

Wan Sharuddin berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut masih diteruskan.

Setengah jam tersepit dalam van


  • Bachok (kanan) melihat bahagian hadapan vannya yang remuk teruk selepas merempuh bahagian belakang lori.Bachok (kanan) melihat bahagian hadapan vannya yang remuk teruk selepas merempuh bahagian belakang lori.
REMBAU –  Walaupun tersepit di tempat duduk pemandu selepas terbabit dalam kemalangan, seorang warga emas menunggu dengan tenang kehadiran pasukan bomba bagi membantunya keluar dari kenderaan berkenaan di kilometer 224.4, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa, Bachok Locheh, 65, yang memandu van JoyLong berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 2, Kasim Hasan dalam masa kurang lima minit.

Menurut Bachok, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Baharu kerana dia baru menghantar seorang kenalannya di Kuala Lumpur dan pulang berseorangan.

“Masa kejadian pakcik sedar-sedar sahaja sudah bunyi berdentum. Pakcik cuba keluar selepas van berhenti, namun hujung jari kiri pakcik tersepit. Orang awam yang melalui jalan ini juga cuba membantu, namun tidak berjaya.

“Jadi, pakcik menunggu bomba tiba dalam keadaan tenang selama hampir setengah jam... bila bomba sampai sahaja, mereka mengambil masa yang agak singkat untuk mengeluarkan pakcik,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kemalangan, dekat sini, malam kelmarin.

Susulan insiden berkenaan, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 10.47 malam.

Sementara itu, jurucakap polis berkata,  berdasarkan siasatan awal, van yang dipandu seorang mangsa telah merempuh bahagian belakang lori tiga tan.

“Mangsa tersepit dan dikeluarkan oleh anggota bomba. Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tampin (HT) bagi rawatan lanjut," katanya.

Rumah dibakar selepas bergaduh


  • Tujuh daripada 10 kediaman di Jalan Jati, Pandamaran musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam. Gambar kecil: Tian KeeTujuh daripada 10 kediaman di Jalan Jati, Pandamaran musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam. Gambar kecil: Tian Kee
KLANG –  Gara-gara bergaduh dengan isteri, seorang lelaki bertindak membakar kediamannya di Jalan Jati, Pandamaran awal pagi semalam, menyebabkan sembilan lagi turut jadi mangsa.

Lelaki berusia 30an itu pada mulanya dikatakan cuba mengugut isterinya untuk membakar rumah namun ugutannya itu menjadi realiti sehingga sembilan keluarga yang juga jirannya terpaksa menanggung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komosioner Kamarul Zaman Mamat berkata, selepas menjalankan siasatan, polis menahan lelaki itu di kawasan kediamannya beberapa jam kemudian.

“Dia yang mengalami kecederaan dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi rawatan lanjut.

“Lelaki itu direman bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan atas  tindakannya itu,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Perbuatan khianat lelaki itu menyebabkan tujuh daripada kediaman termasuk kediamannya sendiri musnah seratus peratus manakala tiga lagi terbakar sebahagiannya.
Kejadian sekitar jam 1.35 pagi itu dikatakan terlalu pantas menyebabkan penghuni kediaman gagal menyelamatkan harta benda berharga.

Mangsa, Lim Tian Kee, 53, berkata, kejadian disedarinya ketika dia sedang menonton televisyen bersama keluarga.

“Masa itu saya dengan empat anak rada di rumah. Isteri keluar bekerja di kilang.

“Tiba-tiba saya dengar orang ramai jerit kuat minta selamatkan diri...ada api. Saya tergamam tapi cepat-cepat kejutkan anak-anak sedang tidur,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebaik keluar rumah, dia terkejut mendapati rumah jiran di belakang rumahnya sedang terbakar.

“Semua berlaku terlalu cepat, tak sempat selamat apa-apa. Kami dan jiran hanya mampu tengok rumah hangus,” katanya yang kini menumpang di rumah saudara.

Mangsa lain yang hanya dikenali sebagai Lian, 60, berkata, kebakaran itu disyaki berpunca daripada sebuah rumah jiran di bahagian belakang.

Beliau mendakwa, sebelum kebakaran itu, jiran terdengar bunyi pergaduhan.

“Sebelum ini jiran-jiran selalu dengar suami isteri itu bergaduh. Suami dia ugut mahu bakar rumah. Sekarang dia betul-betul buat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Abdullah Mohd Salleh berkata, kebakaran disyaki mula merebak daripada kediaman di bahagian belakang sebelum marak ke kediaman berdekatan.

Menurutnya, semua kediaman itu diperbuat daripada papan separa simen dan kedudukannya sangat hampir antara satu sama lain.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira sejam setengah bagi mengawal api daripada merebak.

“Kami mengalami sedikit tekanan air hingga terpaksa mendapatkan air dari pili bomba yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi,” katanya.

Beliau berkata, proses pemadaman keseluruhannya mengambil masa hingga empat jam.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Sehingga kini kita masih menyiasat punca kejadian serta anggaran kerugian keseluruhannya,” katanya.

OKU disamun pekerja penghantar makanan


20 Jun 2014


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mendakwa beliau disamun seorang pekerja restoran makanan segera yang datang ke rumahnya di Bandar Tasik Selatan, pada Selasa lepas.

Mohd Fadzli Fadhillah, 37, yang menghidap penyakit saraf ALS (amyotrophy lateral sclerosis) dan berkerusi roda, berkata beliau disamun lelaki itu ketika tinggal seorang diri di pangsapurinya di sini, pada 11 pagi.

"Saya cam lelaki itu...dia berpakaian seragam sebuah restoran makanan segera, pernah datang ke rumah saya untuk menghantar makanan yang saya pesan sebelum ini.  

"Tiga hari selepas itu, iaitu pada hari kejadian, lelaki itu datang lagi ke rumah saya kononnya untuk menghantar makanan yang dipesan, padahal saya tidak memesannya," katanya kepada Bernama di  sini.

Fadzli, yang juga bekas wartawan Bernama berkata, lelaki itu terus meluru masuk ke rumahnya dan mengambil wang tunai RM100 yang beliau letak di atas meja.

Beliau percaya lelaki itu mungkin merancang untuk merompak rumahnya setelah memerhatikan keadaan rumah dan dirinya pada kunjungan kali pertama semasa menghantar pesanan makanan.  

Fadzli membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan menggesa pihak restoran makanan segera mengambil tindakan terhadap pekerja berkenaan.

Katanya kejadian pada Selasa lepas adalah yang kedua berlaku kepadanya dalam tempoh seminggu setelah beberapa barangan berharga miliknya dilarikan seorang lelaki lain yang berpura-pura mahu menawarkan perkhidmatan mengemas rumah pada 11 Jun.

"Dalam kejadian pertama lelaki itu melarikan seutas jam tangan saya berharga ribuan ringgit, wang tunai RM800 dan pengecas telefon bimbit berjenama ketika memasuki rumah dengan tujuan  kononnya untuk mengemas.

"Saya trauma dengan kejadian ini...Mereka mengambil kesempatan di atas keadaan saya...Pergerakan saya terbatas. Saya juga kesal dengan sikap masyarakat yang seolah-olah tidak prihatin dengan  golongan seperti saya," katanya. - Bernama

Warga emas maut motosikal rempuh papan tanda


20 Jun 2014


KUANTAN - Seorang warga emas terbunuh selepas motosikal ditunggangginya terbabas sebelum merempuh papan tanda di Jalan Lipis-Lubuk Kulit dekat Kuala Lipis, semalam.
       
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Superintendan, Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Othman Mat Ali, 61, mengalami kecederaan parah di kepala.
       
Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Padang Tengku untuk rawatan namun disahkan telah meninggal dunia sebaik sampai di klinik itu, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
       
"Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat," katanya. - Bernama

Lelaki maut kereta bertembung bas


20 Jun 2014


TAWAU - Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas di kilometer 58 Jalan Tawau-Kunak, dekat sini, hari ini.
       
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, Prasant G.C Bsujan, 30, disahkan meninggal dunia di Hospital Kunak akibat kecederaan parah di bahagian kaki dan kepala dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 pagi itu.
       
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari Tawau ke Lahad Datu.
       
"Apabila sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu hilang kawalan dan bertembung sebuah bas dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
       
Awang Besar berkata, pemandu bas Mohd Saat Tahir, 25, dan beberapa penumpang bas berkenaan tidak cedera. - Bernama

Tahanan lolos serah diri


  • Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid menunjukkan gambar tahanan yang lolos diri, sebelum ini. - Foto Sinar HarianKetua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid menunjukkan gambar tahanan yang lolos diri, sebelum ini. - Foto Sinar Harian

GEORGETOWN - Setelah tiga hari menyembunyikan diri, seorang tahanan yang meloloskan diri ketika dibawa ke mahkamah majistret Selasa lalu, akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pagi tadi.

Mohd Faisal Naina Moahamad, 40, menyerah diri kira-kira jam 8.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki itu akan direman selama 11 hari untuk siasatan lanjut.

"Kita mendapat perintah reman terhadapnya mengikut Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan.

"Lelaki itu turut disiasat bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada jagaan anggota polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Faisal yang sepatutnya dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memiliki dadah meloloskan diri sebaik turun dari trak polis di mahkamah majistret di sini Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, dia mengambil kesempatan melarikan diri selepas berjaya membuka gari.

Suspek ditahan 13 Jun lalu di Taman Tun Sardon, Gelugor selepas memiliki dua keratan straw yang berisi dadah jenis heroin.

24 anggota polis terlibat penyalahgunaan dadah di Perak


IPOH 20 Jun - Sebanyak 24 anggota polis berpangkat rendah terlibat dalam penyalahgunaan dadah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini di negeri ini, kata Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.
"Mereka akan dikenakan tindakan sama seperti orang awam yang mengikut (hukuman) Akta Dadah Berbahaya, mahkamah mengenakan hukuman dan seterusnya (jika disabitkan) dibuang kerja," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan dan penyematan pangkat ASP di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini hari ini.
Sebanyak 51 pegawai termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berpangkat Inspektor dinaikkan pangkat kepada ASP secara Khas Untuk Penyandang (KUP).
Beliau berkata penglibatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dadah amat mengecewakan kerana sebagai penguatkuasa undang-undang tidak sepatutnya merela terlibat walaupun wujud tekanan dalam tugasan harian. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140620/je_07/24-anggota-polis-terlibat-penyalahgunaan-dadah-di-Perak#ixzz35BtQF6MM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bot karam: Dua tekong darat warga Indonesia ditahan


SHAH ALAM 20 Jun - Dua lelaki warga Indonesia ditahan kerana disyaki menjadi ejen dan tekong darat dalam insiden bot karam di Sungai Air Hitam, Kuala Langat, awal pagi kelmarin.
Kedua-duanya yang berusia 44 dan 54 tahun ditahan di sebuah premis di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang pada pukul 3 pagi ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140620/je_08/Bot-karam-Dua-tekong-darat-warga-Indonesia-ditahan#ixzz35BtJUWzg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Masuk lorong motor


Shah Alam: Akibat hilang kawalan, sebuah bas antara bandar yang membawa 15 penumpang melanggar pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh tiga kereta dan satu motosikal, di sini semalam.
Kejadian berlaku di Kilometer 16.1 Lebuhraya Persekutuan berdekatan Plaza Tol Batu Tiga ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Klang ke Kuala Lumpur.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, kemalangan berkenaan mengakibatkan kesesakan jalan di kedua-dua hala lebuh raya itu selama lebih sejam.

“Bas terbabit menghala ke Kuala Lumpur dan satu kilometer sebelum tiba di plaza tol, ia terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan.
Foto
BAS antara bandar yang masuk ke laluan motosikal arah bertentangan gagal mengelak motosikal Yamaha Lagenda.

“Selepas itu, bas berkenaan melanggar Proton Wira, Toyota Camry dan Proton Persona sebelum masuk ke laluan motosikal di laluan bertentangan,” katanya kepada pemberita, semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Guru patah tangan, murid patah kaki

Oleh Ibrahim Isa

Muar: Seorang guru patah tangan manakala muridnya patah kaki kanan apabila bas rombongan dinaiki mereka dari Kuala Lumpur hala selatan merempuh sebuah treler di Kilometer 48.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini pada 1.15 pagi tadi.
Pemandu bas berkenaan pula patah kaki kiri. 

Kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu bas gagal memintas treler dan menyebabkannya merempuh belakang kenderaan berkenaan.
Foto
BAS dipercayai gagal memotong treler sebelum merempuh belakang kenderaan itu.

Bas itu dalam perjalanan pulang ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Batu Pahat dan membawa semua penumpang perempuan manakala sebuah lagi bas rombongan yang berada di belakang membawa guru dan murid lelaki.

Semua penumpang yang tidak cedera dipindahkan ke bas kedua manakala semua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Enam orang dihukum mati


Oleh Na'imah Mohamed

Shah Alam : Enam individu termasuk dua wanita dijatuhi hukuman mati manakala tiga lagi yang masih di bawah umur dihukum penjara selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki dalam kejadian di kawasan Kelab Golf Bukit Beruntung, Hulu Selangor, empat tahun lalu.




Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu terhadap S Nirmala, 31; M Jeyenthi, 23; Steven Raj, 23; M John, 39; S Yuvaraja, 27; S Chandrasegaran, 38, dan tiga lagi lelaki yang masih di bawah umur itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tiga tertuduh yang masih di bawah umur dijatuhkan hukuman penjara sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.


Mengikut fakta pertuduhan, semua tertuduh telah membunuh G Stowan, 19, di Jalan Orkid, Kawasan Kelab Golf Bukit Beruntung, Hulu Selangor kira-kira jam 2 pagi hingga 6 pagi pada 14 Januari 2010.


Semua tertuduh diwakili peguam K A Ramu, M Mathavan, Mohd Rafiq Rashid dan Imran Hazali Abd Hamid manakala pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum Abdul Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Hukum mati kerana bunuh pegawai perancang keluarga


2014/06/20 - 03:01:50
Beijing: China semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki kerana membunuh dua pegawai perancang keluarga, lapor media, dalam kes yang menonjolkan ketegangan disebabkan had kelahiran negara itu.

Mahkamah di wilayah Guangxi mendapati He Shenguo bersalah menikam kedua-dua mangsa sehingga mati di bandar raya Dongxing, Julai lalu, menurut penyiar CCTV.

“Beliau menjadi bapa kepada anak keempat secara tidak sah,” lapor penyiar itu. China mengehadkan pasangan cuma mempunyai seorang anak menurut peraturan yang diperkenalkan pada lewat tahun 1970-an.


Guna permit, denda

Pihak berkuasa menggunakan permit, denda dan dalam sesetengah kes memaksa pemandulan dan pengguguran saat akhir untuk menguatkuasa undang-undang, kadang-kadang secara kejam, terutama di kawasan miskin seperti Guangxi.

Beliau tidak membayar denda yang dikenakan terhadapnya kerana memiliki anak lebih, menurut laporan tahun lalu, sambil menambah bahawa beberapa orang cedera dalam serangan itu.
China berkata, peraturan itu, dikenali sebagai dasar satu anak, mengatasi masalah kekurangan makanan dan meletakkan asas bagi perkembangan ekonomi negara itu.

Pengkritik menegaskan peraturan berkenaan menyumbang kepada ketidakseimbangan jantina di China, dengan hampir 118 kanak-kanak lelaki dilahirkan untuk 100 perempuan pada 2012.

Parti Komunis November lalu berkata pasangan dibenarkan memiliki dua anak jika salah seorang ibu bapa adalah anak tunggal.

Pengkritik menyifatkan ia tidak cukup untuk menangani masalah demografik yang semakin meningkat di China, termasuk penduduk warga tua, kerana tidak ramai pasangan layak mendapat pengecualian itu.
Sebelum ini China melaksanakan polisi bertujuan mengurangkan populasi penduduk (yang kini berjumlah lebih 1.3 bilion orang).

Bagaimanapun, polisi satu anak ini dikecualikan di Hong Kong, Macau dan Tibet selain ke atas pasangan yang hidup di kawasan pedalaman dan pasangan dari kalangan etnik minoriti.

Pasangan yang tinggal di kawasan pedalaman diberi kelonggaran untuk memiliki anak kedua jika anak pertama adalah perempuan. - AFP

Lelaki tua parah ditetak penyamun


2014/06/20 - 01:21:31

Kulim: Seorang lelaki berusia 75 tahun, parah ditikam dan ditetak penyamun yang menceroboh rumahnya di Kampung Paya Union, Sungai Karangan, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, pesara tentera, Tajuddin Mat Arin, ditikam di dada dan ditetak di betis kiri oleh dua penyamun yang menutup muka dengan kain, ketika mangsa tidur.

Mangsa kerugian RM10,000 apabila penjenayah melarikan barang kemas, komputer riba dan wang tunai RM5,000 yang disimpan untuk menunaikan umrah hujung tahun ini.

“Ketika kejadian, saya bersendirian dalam bilik, manakala isteri, Jaharah Abdul Majid serta anak dan seorang cucu perempuan berusia dua tahun berada di bilik sebelah.

“Dua penyamun terbabit meluru masuk ke dalam bilik lalu membuka lampu dan seorang daripada mereka terus menghayunkan parang ke arah saya. Terkejut dengan tindakan itu saya cuba menghalang dengan tangan kanan,” katanya.

Tajuddin berkata, pada masa sama seorang lagi suspek cuba menetaknya, tetapi dia menahan dengan tangan kiri, namun ditumbuk pada muka dan ditikam dada serta ditetak di kaki kiri.

Lelaki terbabit kemudian memasuki bilik isterinya tidur sebelum melarikan diri bersama sejumlah barang kemas, wang tunai dan barang lain.

Peniaga Islam Sri Lanka tutup bisnes

Peniaga Islam Sri Lanka tutup bisnes
SEORANG lelaki Islam Sri Lanka berada di hadapan kedai yang ditutup sebagai bantahan terhadap rusuhan di Colombo, semalam. 
Colombo: Beratus-ratus peniaga Islam di Sri Lanka menutup perniagaan mereka semalam sebagai bantahan terhadap rusuhan yang membawa maut oleh kumpulan pelampau Buddha, menolak rayuan Presiden Mahinda Rajapakse supaya meneruskan perniagaan.

Kedai dan restoran di tengah Colombo ditutup berikutan rusuhan di dua bandar peranginan pantai popular dalam kalangan pelancong antarabangsa menyebabkan empat maut manakala kediaman dan perniagaan milik penduduk Islam dibakar.
Bantah terhadap pelampau “Bantahan adalah terhadap pelampau Askar Buddha (BBS) dan kegagalan polis untuk melindungi masyarakat kami,” kata seorang pekedai Islam yang enggan memberikan namanya.

“Kami juga meminta kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap mereka di belakang rusuhan ini.”

Taliban serang pangkalan NATO


2014/06/20 - 03:19:06

Kabul: Empat anggota Taliban melancarkan serangan ke atas pos kawalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di wilayah Nangarhar, memusnahkan berpuluhpuluh trak dan mencetuskan pertempuran dengan polis, lapor pihak berkuasa Afghanistan.

Serangan berlaku di kawasan tempat letak kereta pangkalan NATO berhampiran persimpangan Torkham di sempadan Pakistan, berhampiran Khyber Pass dan laluan bekalan utama tentera NATO di kawasan Afghanistan.

Jurucakap Gabenor Wilayah, Ahmad Zia Abdulzai berkata, kumpulan militan di kedua-dua belah sempadan telah bertahun-tahun melakukan serangan ke atas tentera diketuai NATO di Afghanistan. Malah mereka menghantar seorang penyerang meletupkan diri, manakala polis membunuh tiga yang lain.

Katanya, 37 trak yang mengandungi bahan api dan bekalan lain musnah dalam letupan oleh penyerang itu. Seorang saksi memberitahu Reuters seorang pemandu Afghanistan turut cedera dalam serangan berkenaan.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid mengesahkan serangan itu adalah perjuangan militan untuk mengusir tentera asing dan menjatuhkan kerajaan Kabul yang mendapat sokongan Amerika Syarikat.

Pengawal keselamatan didakwa cuba cabul kanak-kanak perempuan


2014/06/20 - 17:11:39
KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan hendak mencabul seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun, minggu lepas.

M Tharmalingam, 32, didakwa memegang tangan kanan kanak-kanak itu dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa, di tangga menuju tempat letak kereta di sebuah kondominium di sini kira-kira pukul 4.50 petang, 15 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri menawarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Tharmalingam memohon agar mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kerana dia menanggung isterinya dan seorang anak berusia lapan tahun.

Majistret Zuraini Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai untuk sebutan.
- BERNAMA

Bunuh isteri: Doktor dijatuhi hukuman mati


2014/06/20 - 17:19:06
KUALA LUMPUR: Seorang doktor dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas dia didapati bersalah membunuh isterinya tujuh tahun lepas.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati Dr Jitweer Singh Ojagar Singh, 60, gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Asmabi berkata keterangan pembelaan bahawa mangsa, Shento Kaur Jaswant Singh, 46, meninggal dunia akibat 'positional asphyxia' merupakan keterangan yang difikirkan kemudian.

Hakim itu berkata teori bahawa simati meninggal dunia disebabkan kekurangan oksigen berikutan kepalanya yang senget pada kedudukan tertentu tidak pernah dibangkitkan di peringkat kes pendakwaan yang berlanjutan selama dua tahun pada 2008.

"Saya jatuhi hukuman gantung di leher sehingga mati terhadap kamu. Kamu mempunyai hak untuk merayu. Jika saya terkhilaf, Mahkamah Rayuan boleh meminda keputusan saya. Saya membuat penghakiman ini dengan sebaik-baiknya berdasarkan keterangan yang dikemukakan di hadapan saya," katanya.

Asmabi membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan selepas mendengar keterangan enam saksi pembelaan termasuk tertuduh.

Dr Jitweer didakwa membunuh Shento, 46, di rumah mereka di Bandar Country Homes, Rawang antara 7 pagi dan 8.10 pagi pada 22 Oktober 2007 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada mulanya dia dibebaskan oleh mahkamah sama kerana membunuh isterinya pada 30 Ogos 2010.

Bagaimanapun, pada 5 Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan meminda keputusan pembebasan Dr Jitweer dan memerintahkannya membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Dr Jitweer di akhir kes pendakwaan, tanpa memanggilnya membela diri.

Pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap pembebasan Dr Jitweer selepas Mahkamah Rayuan pada September 2011 menolak rayuannya.

Dr Jitweer diwakili peguam Sangeet Kaur Deo manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan mewakili pendakwaan. - BERNAMA

Lima lagi mayat ditemui


PASUKAN penyelamat mengangkat salah satu mayat yang ditemui di perairan Sungai Air Hitam, Kuala 
Langat semalam.


KUALA LANGAT - Gerakan mencari mangsa tongkang karam di muara Sungai Kuala Langat berhampiran Pulau Carey dekat sini yang masuk hari kedua semalam berjaya menemui lima lagi mayat.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azman Abdul Razak berkata, mayat empat lelaki dan seorang perempuan itu ditemui di sekitar perairan Sungai Air Hitam, pesisir pantai Morib dan Pulau Carey dekat sini.
"Kesemua mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita ditemui selamat di pesisir pantai Sungai Air Hitam, Pulau Carey dan mereka juga dihantar ke HTAR untuk menerima rawatan.
Setakat ini, Azman memberitahu, seramai 14 mangsa iaitu 11 lelaki dan tiga wanita telah disahkan mati, 20 masih hilang dan 63 mangsa berjaya diselamatkan.
Menurut beliau, lokasi pencarian telah diperluaskan dari muara Sungai Kuala Langat hingga Morib dekat sini yang seluas kira-kira 25 batu nautika persegi.
"Oleh kerana dua mangsa yang selamat telah ditemui di Zon B (persisir Pantai Sungai Air Hitam), tumpuan dari segi kekuatan anggota dan jentera akan ditumpukan ke kawasan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz35BpKqwq8 
Hakcipta terpelihara 

Tabur baja jumpa bom


  • Bom mortar dari zaman perang dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit dekat Gemas. Gambar kecil: Mohd IsaBom mortar dari zaman perang dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit dekat Gemas. Gambar kecil: Mohd Isa
 1 / 1 
GEMAS – Sekumpulan pekerja ladang menemui sebiji bom zaman perang jenis Mortar ketika menabur baja di ladang kelapa sawit milik syarikat swasta yang terletak kira-kira enam kilometer dari laluan masuk ladang berhampiran Kem Syed Sirajudin Gemas, dekat sini, kelmarin.

Penyelia ladang berkenaan, Asrul Mohamad, 28, berkata, dia dimaklumkan oleh salah seorang pekerjanya warganegara Indonesia yang dipanggil Wak berusia 25 tahun kira-kira jam 10 pagi dan membuat laporan polis berhubung penemuan berkenaan pada jam 7.45 pagi keesokan harinya (semalam).

Menurutnya, dia bergegas ke lokasi yang dimaksudkan pekerja di bawah seliaannya dan mula mengambil gambar untuk ditunjukkan kepada pihak polis serta mengarahkan pekerja ladang yang lain untuk tidak menghampiri kawasan penemuan bom berkenaan.

“Jika diikutkan, kira-kira enam pekerja ladang sedang melakukan rutin untuk menabur baja. Namun, salah seorang daripada mereka ternampak terdapat besi di tengah jalan ladang dan cuba mencungkil bagi mengetahui besi apa yang tertanam di dalam tanah.

“Namun, sebaik sahaja melihat bentuk besi berkenaan menyerupai bom, mereka terus memaklumkan kepada saya bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Isa Ujang berkata, sebaik menerima laporan daripada penyelia ladang berkenaan, sepasukan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen tiba di lokasi kejadian bagi memusnahkan bom berkenaan.

“Bom jenis mortar sepanjang 41 sentimeter (cm) dengan lilitan kira-kira 30 cm dimusnahkan di kawasan ladang berkenaan," katanya.

Kemalangan melibatkan sebuah bas dan sebuah lori

Kemalangan melibatkan sebuah bas dan sebuah lori di KM 148.8 menghala ke selatan berhampiran dengan Tol Pagoh pada jam 1.25 pagi tadi. Kesemua mangsa berjaya di keluarkan oleh pihak Bomba Dan Penyelamat Bukit Gambir.
Terdapat dua orang mangsa wanita cedera parah, 2 kanak-kanak cedera parah dan pemandu bas cedera ringan..








Kemalangan jalan raya di Jalan Kuantan-Kemaman

Kemalangan jalan raya di Jalan Kuantan-Kemaman, Sg.Ular melibatkan sebuah lori melanggar divider pada pukul 9.40 pagi tadi. 1 mangsa cedera ringan. Pasukan Bomba dari BBP Gebeng melakukan operasi menyelamat.




Peniaga kain mati ditetak


Georgetown: Akibat perselisihan faham mengenai perniagaan, seorang peniaga kain ditemui mati ditetak di hadapan kedainya di Chowrasta, Jalan Penang, di sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku pada jam 8 pagi apabila mangsa, Muhammad Badusha Kalandar Mastan, 41, berada di kedainya untuk memulakan operasi perniagaan di deretan kedai menjual pakaian itu.


Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mangsa dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam oleh seorang lelaki tidak dikenali.



“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian leher dan tangan kiri sebelum mayatnya ditemui orang awam yang melalui jalan berkenaan.


“Punca kejadian masih dalam siasatan dan polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.


“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung mandatori,” katanya ketika ditemui media di tempat kejadian, semalam.

Abdul Rahim berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kejadian dipercayai berlaku disebabkan masalah perniagaan yang berlarutan sejak sekian lama.


Sementara itu, suasana pilu menyelubungi tempat kejadian apabila ahli keluarga dan isteri mangsa yang datang ke kedai berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu menangis teresak-esak.

Abang mangsa, Koyan Abdul Ghani, 46, berkata, dia tidak menyangka adiknya itu akan pergi dalam keadaan tragis sambil menyifatkan arwah seorang yang baik, tiada musuh serta selalu ke masjid.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

MPV terbalik tayar meletup

Alor Gajah: Seorang pengusaha kain warga Pakistan nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu terbabas dan terbalik di Kilometer 219.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu dipercayai berlaku selepas tayar belakang sebelah kanan Nissan Grand Livina dipandu Mohamad Sahir berusia awal 40-an, tiba-tiba meletup.

Sumber berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan kain di sebuah pasar raya terkemuka di Bandar Melaka memandu bersendirian dari arah Seremban menuju ke Ayer Keroh sebelum terbabit kemalangan.
“Berdasarkan keterangannya, lelaki itu mendakwa terdengar letupan di bahagian belakang setibanya di tempat kejadian sebelum kenderaan dipandunya hilang kawalan.

“Mangsa cuba mengawal stereng dan menekan brek, namun kenderaan dipandu terus meluncur ke kiri dan menjunam ke longkang di tepi lebuh raya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sumber berkata, peniaga kain itu yang terperangkap beberapa minit dalam kenderaan dibantu pengguna jalan raya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Kereta dibaling batu tiba-tiba


  • Keadaan cermin tingkap kereta Ming Herng yang dipecahkan.Keadaan cermin tingkap kereta Ming Herng yang dipecahkan.

TEPUH - Trauma dan bimbang. Itulah perkara yang menghantui seorang lelaki, Gan Ming Herng, 34, apabila kereta yang diletakkan di hadapan kediamannya di Taman Mutiara, Kampung Gong Pak Jin, di sini, dibaling batu secara tiba-tiba oleh individu yang tidak dikenali.

Menceritakan detik cemas itu, Ming Herng yang juga seorang penuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini berkata, kejadian itu berlaku pada awal pagi Jumaat lalu setelah rumahnya didatangi seorang lelaki.

“Ketika saya sedang nyenyak tidur, secara tiba-tiba iaitu kira-kira jam 4 pagi saya dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang memaklumkan dia sedang cari seorang wanita dengan menunjukkan gambar berkenaan melalui laman sosial Facebook.

“Tetapi saya memaklumkan bahawa saya tak kenal dan dia (wanita berkenaan) tak ada di rumah saya, namun lelaki itu seakan enggan meninggalkan rumah saya dengan beranggapan bahawa wanita tersebut ada di dalam rumah saya.

“Melihat keadaan lelaki yang masih tak berpuas hati itu, saya menyarankan kepada dia agar melaporkan kepada polis...beberapa ketika dia keluar dari pekarangan rumah saya dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil,” katanya.

Katanya, sebaik lelaki terbabit beredar, dia kembali menyambung tidur sebelum sekali lagi dikejutkan dengan bunyi bising di luar rumahnya.

“Sebaik terjaga sekali lagi, saya lihat jam ketika itu kira-kira 6 pagi dan segera mengintip dari tingkap bilik, di mana sekali lagi saya lihat lelaki yang sama berada di hadapan rumah saya.

“Tak lama selepas itu, saya dengar seakan kaca pecah dan mendapati cermin kereta saya yang dirosakkan sebelum lelaki berkenaan beredar,” katanya.

Kata Ming Herng, bimbang keselamatan diri, dia membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.

“Meskipun telah seminggu kejadian ini berlaku, namun saya masih trauma hingga saya ambil keputusan meletakkan kereta di kampus kerana bimbang ia dirosakkan lagi.

“Ini kerana, selepas beberapa hari kereta saya diserang, lelaki terbabit masih lagi berlegar-legar di kawasan perumahan dan saya harap pihak berkuasa dapat tangkap suspek bagi mendapatkan punca sebenar dia berbuat demikian,” katanya.

Menurut Ming Herng, dia sememangnya tidak mengenali lelaki terbabit dan wanita yang dicarinya.

“Sepanjang 14 tahun menyewa di sini, ini kejadian pertama menimpa saya,” katanya.

Kicap ABC tiruan dirampas lagi


  • Ribuan botol kicap tiruan yang sedia dipasarkan dirampas dalam serbuan di Taman Tayton View, Cheras,
dilakukan penguat kuasa PPDNKK WPKL, semalam.Ribuan botol kicap tiruan yang sedia dipasarkan dirampas dalam serbuan di Taman Tayton View, Cheras, dilakukan penguat kuasa PPDNKK WPKL, semalam.
KUALA LUMPUR -  Pernah diserbu tahun lalu, namun pengusaha kicap tiruan jenama ABC yang menggunakan botol arak masih tidak serik dan kegiatan sama sekali lagi berjaya dibongkar dalam serbuan ke atas tiga stor di Taman Tayton View, Cheras, di sini semalam.

Dalam operasi bermula jam 11 pagi itu, sepasukan pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merampas 6,840 botol kicap yang sedia dipasarkan, serta 3,360 botol kosong dipercayai botol arak terpakai dari Thailand, dengan nilai keseluruhan RM26,000.

Timbalan Pengarahnya, Rosli Ahmad berkata, kicap tiruan berkenaan didapati dengan tiga saiz iaitu 135, 320 dan paling besar bersazi 625 mililiter (ml) daripada jenis botol yang sama.

Bagaimanapun menurutnya, stor berkenaan hanyalah tempat penyimpanan barang termasuk beberapa produk lain dan pihaknya masih menyiasat lokasi proses pembuatan dan pembungkusan kicap tiruan itu.

“Risikan dibuat selama dua bulan hasil maklumat dan aduan daripada pemilik hak cap dagangan.

“Kita percaya kegiatan ini ada hubung kait dengan pihak sama yang pernah diserbu sebelum ini,” katanya.

Operasi yang diketuai oleh Timbalan Ketua Operasi Penguat kuasa Negeri, PPDNKK WPKL, Shahrudin Hamzah bersama lapan lagi anggota.

Rosli Ahmad, berkata ketika serbuan, terdapat dua pekerja dalam premis berkenaan, namun tiada sebarang provokasi dan halangan.

“Kes akan dibawa untuk tindakan mahkamah mengikut Seksyen 5 dan 8, Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh membawa kepada hukuman denda RM10,000 bagi setiap unit barang yang dirampas atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika membabitkan orang perseorangan.

“Manakala sekiranya didapati kesalahan membabitkan syarikat, denda sehingga RM15,000 bagi setiap unit barang rampasan akan dikenakan ,”katanya.

Polis cekup isteri khalwat



Oleh Hayati Ibrahim dan Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Seorang bekas pegawai polis ditangkap khalwat dengan seorang anggota polis wanita berstatus isteri orang di perumahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, dekat sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditangkap suami wanita berkenaan yang pulang ke rumah jam 1.20 pagi.


Menurut sumber, suami wanita terbabit yang juga anggota dari IPD Subang Jaya, Selangor mengesyaki sesuatu apabila mendapati pintu rumah dikunci dari dalam dan sebaik masuk ke rumah dia mendapati ada bantal dan selimut terbentang di hadapan televisyen ruang tamu rumah.



“Suaminya mengesyaki sesuatu kerana isterinya yang berusia 33 tahun itu berada dalam keadaan kelam-kabut sebelum memeriksa bilik air, stor belakang, sebelum ke bilik depan dan mendapati tiga anaknya sedang tidur.


“Dia kemudian memeriksa bilik tengah rumah dan mendapati seorang lelaki sedang bersembunyi di tepi katil, sebelum isterinya memaklumkan lelaki itu kawannya,” katanya.


Menurutnya, suami wanita berkenaan kemudian membawa isterinya dan lelaki berkenaan ke Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi untuk tindakan lanjut kerana disyaki bersekedudukan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu, dan kes diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tindakan selanjutnya.


“Lelaki berkenaan sudah dibebaskan dengan jaminan pihak polis selepas keterangannya diambil. Perkara ini akan dirujuk kepada JAIS untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro mendapatkan ulasan daripada JAIS gagal apabila kakitangan di bahagian penguat kuasa enggan memberi kerjasama.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Kempunan sofa dibeli dalam talian


Raub: Seorang lelaki yang membeli set sofa kulit bagi menyambut Aidilfitri secara dalam talian, kerugian RM1,000 apabila tidak menerima barangan berkenan.

Mangsa berusia 30 tahun itu melayari satu laman web tertarik dengan iklan memaparkan set sofa dengan harga RM1,600 lalu menghubungi nombor telefon penjual berkenaan.


Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, panggilan mangsa dijawab seorang wanita yang memberitahu dia tinggal di Selangor.



Menurutnya, selepas berbincang, mangsa bersetuju membeli set sofa berkenaan dengan harga ditawarkan dan membuat bayaran pendahuluan RM1,000 ke dalam akaun seorang lelaki di sebuah bank di bandar ini.


Katanya, lelaki itu kemudian menghantar gambar slip bayaran berkenaan kepada wanita terbabit melalui aplikasi WhatsApp dan dia diminta menjelaskan baki RM1,250 yang termasuk kos penghantaran sehari sebelum barang dihantar.


“Mangsa memberitahu baki bayaran akan dibuat adiknya sebaik sofa berkenaan tiba namun suspek tidak bersetuju dengan permintaan mangsa sebelum mematikan talian telefon bimbit.

“Tiba hari dijanjikan, lelaki itu cuba menghubungi nombor telefon wanita terbabit namun panggilannya tidak dijawab sebelum mangsa menyedari ditipu.


“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Raub, malam kelmarin (dua hari lalu),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Mayat berbalut tilam bawah jambatan


Kuala Lumpur:Orang ramai gempar dengan penemuan mayat reput yang dibalut dengan tilam nipis di bawah jambatan berdekatan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar di sini, semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mayat mangsa ditemui orang ramai selepas terhidu bau busuk.


Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Aida Abdul Hamid berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.



Menurutnya, berdasarkan keadaan mayat reput dan busuk yang lengkap berpakaian itu, lelaki itu dipercayai mati sejak seminggu lalu dan kemudian diletakkan di bawah jambatan terbabit.


“Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Kicap tiruan kitar botol arak


Kuala Lumpur: Biarpun pernah diserbu September tahun lalu, pengusaha kicap jenama tiruan yang menggunakan botol arak kitar semula di Taman Taynton, Cheras di sini nyata masih degil apabila masih terus beroperasi.
Berikutan itu, syarikat berkenaan yang dimiliki seorang lelaki berusia 40-an sekali lagi diserbu Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, serbuan jam 11 pagi itu dilakukan hasil risikan selama dua bulan berikutan aduan awam.
“Kali ini pengusaha menukar modus operandi mereka dengan menjadikan tiga lot kedai itu dijadikan sebagai tempat membungkus dan stor simpanan produk berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti lokasi sebenar tempat memproses produk tiruan jenama terkenal dari Indonesia ini,” katanya.

Katanya, serbuan itu berjaya merampas 6,840 botol produk yang sudah siap dilabel dan 18,000 botol arak dari negara Thailand yang dipercayai digunakan untuk pembungkusan dianggarkan bernilai RM35,000.
Foto
PRODUK kicap tiruan jenama terkenal Indonesia yang dirampas di Cheras menggunakan botol arak kitar semula.
“Terdapat tiga bentuk produk kicap yang dikeluarkan penguasa ini iaitu 135 mililiter (ml), 320 ml dan 625 ml malah jika dilihat sekali imbas ia seakan-akan sama dengan produk asal,” katanya.

Rosli berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati penguasa sengaja menggunakan logo halal meskipun tidak pernah mendapat status itu daripada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).
Menurutnya, pemilik syarikat itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

Sebelum ini, dalam serbuan pertama dilakukan September tahun lalu, premis berkenaan dijadikan kilang kicap apabila lima pekerja digaji untuk membancuh dan membotolkan kicap berkenaan.

Ketika serbuan itu juga, pemeriksaan mendapati botol arak dibasuh di belakang premis yang kotor, malah proses menuang kicap ke dalam botol dilakukan secara manual pekerja tanpa menitik-beratkan soal kebersihan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Cam mayat rakan senegara


 Mohd Hasbi Sidek, Muhammad Yusri Muzamir dan Syafiq Aznan
Klang: Mangsa yang terselamat dalam kejadian tongkang karam di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey diminta membuat pengecaman terhadap mayat rakan senegara mereka yang ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat dilakukan pihak berkuasa Malaysia.
Permintaan itu dikeluarkan sendiri Kedutaan Indonesia melalui penasihat kedutaan berkenaan Dino Nurwahyudin yang meminta semua penumpang terselamat membantu proses pengecaman.

Menurutnya, sehingga jam 11 pagi semalam, enam daripada 10 mayat yang dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, kelmarin untuk proses bedah siasat sudah dikenal pasti berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ada pada mereka.
Katanya, pihaknya sudah mendapat maklumat mengenai mangsa yang terkorban dan mengambil langkah susulan bagi memaklumkan kepada waris dan keluarga mereka.

Menurutnya, waris mangsa boleh datang ke HTAR untuk membuat urusan menuntut jenazah atau berhubung dengan wakil Kedutaan Indonesia berhubung perkara itu.

Beliau ditemui di perkarangan HTAR, di sini, semalam.
Foto
PASUKAN penyelamat mengangkat mayat mangsa bot karam di perairan Sungai Air Hitam, Banting.
“Kami percaya mangsa yang belum dapat dikenal pasti kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri akan dicam rakan mereka dan akan berusaha mengenal pasti identiti mayat dan mengetahui maklumat serta latar belakang mangsa.

“Cara ini pastinya memudahkan urusan pengumpulan maklumat dan melancarkan lagi operasi menyalurkan maklumat kepada waris mangsa,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan berusaha sedaya upaya mengenal pasti mayat yang ditemui walaupun keadaan mayat sudah reput dengan rupanya sudah tidak dapat dikenal pasti.

“Kami akan menggunakan teknologi terkini mengesan DNA menggunakan gigi atau cap jari supaya mayat itu boleh dikenal pasti dan diuruskan oleh waris, namun jika mayat tidak mempunyai waris atau tidak dituntut, kita akan memikirkan tindakan susulan termasuk mengebumikan mereka di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau memuji kecekapan anggota keselamatan dan pihak hospital yang membantu menyalurkan maklumat terkini kepada Kedutaan Indonesia selain menyokong setiap pelan tindakan diambil Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat dikendalikan.

Sementara itu, wakil Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur Herman Prayinto berkata, pihaknya belum menerima maklumat terperinci berhubung insiden yang berlaku di Sepang awal pagi semalam, kurang 24 jam daripada insiden pertama yang berlaku di muara Sungai Langat.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Pekerja maut, 3 cedera gas bocor


Chukai: Seorang pekerja maut manakala tiga rakannya mengalami sesak nafas selepas terkena gas bocor ketika sedang membaik pulih paip gas di loji gas Petronas di Kertih, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, mangsa, Muhammad Firdaus Hassan, 26, bersama tiga rakannya rebah di lantai sebaik terkena semburan gas yang bocor itu. 
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Che Suza Che Hitam berkata, hasil siasatan polis mendapati mangsa yang cedera di muka dan leher itu meninggal dunia di tempat kejadian. 

"Mangsa dibawa keluar dari kawasan loji berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi selepas melepasi beberapa kawalan keselamatan pihak Petronas sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Foto

"Jenazah mangsa yang berasal dari Kampung Pulau Serai, Dungun itu dituntut ibu bapanya kira-kira jam 9.00 pagi untuk urusan pengebumian," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19

Masuk lorong motor

Shah Alam: Akibat hilang kawalan, sebuah bas antara bandar yang membawa 15 penumpang melanggar pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh tiga kereta dan satu motosikal, di sini semalam.
Kejadian berlaku di Kilometer 16.1 Lebuhraya Persekutuan berdekatan Plaza Tol Batu Tiga ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Klang ke Kuala Lumpur. 
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, kemalangan berkenaan mengakibatkan kesesakan jalan di kedua-dua hala lebuh raya itu selama lebih sejam.

“Bas terbabit menghala ke Kuala Lumpur dan satu kilometer sebelum tiba di plaza tol, ia terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Selepas itu, bas berkenaan melanggar Proton Wira, Toyota Camry dan Proton Persona sebelum masuk ke laluan motosikal di laluan bertentangan,” katanya kepada pemberita, semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Elak dipukul hilang di laut


Menceritakan kejadian itu, sepupu wanita dikenali sebagai Kasmawati, 36, Maryana Madan, 52, berkata, dia adalah individu yang membawa Kasmawati datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah, dua tahun lalu sebelum wanita itu menukar kerja sebagai tukang masak di Kuala Selangor. 
Menurutnya, sepupunya itu pulang ke kampung menggunakan khidmat tongkang haram kerana tidak tahan apabila sering dipukul bakal suaminya yang juga warga Indonesia. 

“Saya pesan kepada dia (Kasmawati) supaya berurusan dengan pihak berkuasa mengenai keinginannya pulang ke kampung walaupun permit perjalanannya sudah tamat tempoh.

“Namun, pesanan saya tidak diendahkan dan dia berdegil untuk pulang menggunakan khidmat tongkang haram, malah merahsiakan hasratnya itu hingga dimaklumkan kenalan mengenai insiden itu.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Ajal digilis lori kontena


Klang: Seorang lelaki berusia 48 tahun yang menunggang motosikal untuk ke tempat kerja maut selepas digilis lori kontena dalam kejadian di susur keluar ke Pelabuhan Barat di Jalan Kem di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa yang bekerja di Westports Malaysia Sdn Bhd (Westport) menunggang motosikal Yamaha LC dipercayai dihimpit kenderaan berat itu sejurus tiba di tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, mayat mangsa yang berasal dari Kampung Delek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat.



“Berdasarkan maklumat diperoleh, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Pelabuhan Barat dikatakan dihimpit lori kontena itu menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh ke kanan jalan.


“Selepas terjatuh, mangsa digilis tayar belakang lori Volvo menyebabkannya parah di kepala dan badan lalu meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian yang jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM5,000 hingga RM20,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Dipenjara 18 tahun kes perkosa, curi


Kuala Lumpur: Seorang jurujual jam menerima pembalasan apabila Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan selepas didapati bersalah atas tuduhan merogol dan mencuri, empat tahun lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid memutuskan demikian terhadap Chai Ruong Huei, 32, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.


Mahkamah memutuskan tertuduh dihukum penjara 18 tahun dan sebatan enam kali bagi tuduhan merogol dan penjara lima tahun bagi tuduhan mencuri.



Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dan bermula selepas tertuduh menjalani hukuman penjara masing-masing 18 tahun dan 21 sebatan atas kesalahan merogol dua mangsa lain.


Lelaki itu didapati bersalah merogol remaja perempuan yang ketika itu berusia 19 tahun tujuh bulan di sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang, dekat sini, jam 1.15 petang, 25 Oktober 2010. Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Dia juga pada masa dan tempat sama didapati bersalah mencuri barangan milik mangsa, iaitu wang tunai RM500 dan sebuah telefon bimbit jenama Sony Ericsson dan dihukum mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Terdahulu, peguam Raymond Yap yang mewakili tertuduh merayu mahkamah meringankan hukuman ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh kini sedang menjalani hukuman bagi dua pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Pistol ‘tipu’ meletup


Petaling Jaya: Tiga tukang urut lelaki yang bergelut dan cuba menumpaskan seorang perompak sebaliknya bertempiaran melarikan diri selepas penjenayah melepaskan tembakan dari pistol yang disangkakan mangsa sebagai senjata tiruan.
Dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, suspek lelaki berusia sekitar 30-an itu sempat menarik picu pistol ketika dipukul kumpulan tukang urut terbabit yang cuba menghalang rompakan di sebuah pusat urutan tradisional di SS2, di sini.

Seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Law, 40-an berkata, suspek yang memakai seluar pendek dan bertopi sebelum itu memasuki premis dengan menyamar sebagai pelanggan.
Menurutnya, suspek bagaimanapun bertindak mengeluarkan sepucuk pistol sebelum mengacukannya ke arah pekerja di kaunter pembayaran.

“Dia memaksa pekerja itu menyerahkan wang jualan selain mengugut kami dan dua tukang urut wanita yang sedang duduk berhampiran kaunter tidak cuba melawan.

“Bagaimanapun pekerja terbabit bertindak menarik tangan suspek sebelum cuba merampas senjata api dipegang. Pada masa sama kami membantu dengan memukul suspek hingga terjatuh di pintu masuk premis,” katanya.
Foto
SUSPEK mengacukan pistol ke arah pekerja kaunter.
Menurutnya, mereka bertindak memukul suspek kerana menyangka pistol digunakan itu adalah senjata api tiruan untuk menakut-nakutkan kami.

“Namun, kami terkejut apabila senjata api itu meletup secara mendadak sebaik penjenayah menarik picunya. Kami kemudian bergegas melarikan diri ke bahagian belakang premis berikutan bimbang ditembak.
“Mujur penjenayah meninggalkan premis tanpa mengejar kami. Kejadian itu bagaimanapun berjaya dirakam kamera litar tersembunyi (CCTV) premis,” katanya.

Menurutnya, suspek disifatkan amat berani berikutan melakukan rompakan ketika premis dipenuhi pekerja serta terdapat pasar malam di hadapan kedai.

“Berdasarkan maklumat polis, suspek individu sama yang melakukan rompakan nekad pada jam 3 petang kelmarin di dua lagi pusat urutan tradisional di sekitar kawasan ini.

“Suspek sudah berkeliaran melakukan rompakan sejak dua minggu lalu dan gemar menjadikan pusat urutan tradisional dan refleksologi sebagai sasaran utama kegiatan,” katanya. Sementara itu pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya mengesahkan menerima laporan dari mangsa berhubung kes rompakan dilakukan oleh lelaki tempatan itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20