Search This Blog

Wednesday, June 18, 2014

Dia buat dah

Nyawa dihujung rel


Kuantan : Seorang pelajar tingkatan satu patah kaki selepas Bas Rapid Kuantan yang dinaikinya terbabas dan merempuh rel penghadang jalan di Kilometer 4 Jalan Pekan-Kuantan, petang tadi.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau, Rasydan Hakimi Saari, 13, antara tiga penumpang yang menempuh pengalaman ngeri apabila bas yang mereka naiki tertusuk rel penghadang jalan berkenaan, kira-kira 3.40 petang tadi. 

Rasydan dihantar Hospital Tengku Ampuan Afzan dan dirawat di ke Unit Kecemasan (ICU).
Foto
KEADAAN Bas Rapid Kuantan yang terbabas dan melanggar rel penghadang jalan di KM 4 Jalan Pekan - Kuantan, petang tadi.

Kemalangan terbabit dipercayai berpunca daripada tayar depan sebelah kiri bas berkenaan pecah sebelum kenderaan itu terbabas ke kiri jalan.

Pegawai Bomba Kanan ll, Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Rosli Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.45 petang tadi sebelum mengerahkan empat anggota dan sebuah jentera ke tempat kejadian. 

Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa keluar oleh orang ramai yang kebetulan melalui tempat kejadian sebelum dihantar ke HTAA untuk rawatan susulan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Bas terbabas melanggar pembahagi jalan

Kemalangan Jalan Raya
Melibatkan sebuah bas yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Kuantan-Pekan, Bt 13. Taman Seri Indera Pura, Pahang berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Mat Kilau.
Kejadian berlaku pada pukul 4.00 petang tadi. Mangsa dimaklumkan seorang cedera dan 3 lagi terselamat.

Buruh dipenjara setahun cuba curi motosikal

Tertuduh terpaksa akur dengan hukuman penjara selama setahun selepas mengaku bersalah cuba curi motosikal dalam kawasan mahkamah.
Tertuduh terpaksa akur dengan hukuman penjara selama setahun selepas mengaku bersalah cuba curi motosikal dalam kawasan mahkamah.
KUANTAN - Pengalaman meringkuk dalam penjara selama enam bulan atas satu kesalahan jenayah sebelum ini gagal menyedarkan seorang lelaki, sebaliknya dia terus mengulangi kesalahan apabila tertangkap ketika cuba mencuri sebuah motosikal di dalam kawasan Kompleks Mahkamah Kuantan, Indera Mahkota di sini, 11 Jun lalu.
Berikutan kesalahan itu, tertuduh, Mohd Jamalul Husney Hamzah, 29, dari Jalan Mat Kilau di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.
Tertuduh yang mengaku bersalah atas tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari dijatuhkan hukuman penjara selama setahun bermula dari tarikh dia ditangkap.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba mencuri motosikal milik kakitangan mahkamah yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Kuantan Indera Mahkota kira-kira jam 11.30 pagi, 11 Jun lalu.

Cubaan tertuduh melarikan motosikal jenis Honda Wave bernilai RM5,000 itu gagal apabila rakan pemiliknya ternampak perbuatannya lalu memaklumkan kepada polis.

Tertuduh yang berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai diserahkan kepada polis untuk siasatan sebelum dihadapkan ke mahkamah itu semalam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun atau separuh daripada hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Dalam rayuannya sebelum itu, tertuduh merayu agar hukuman diringankan memandangkan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

Menurutnya, dia yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM800 sebulan terpaksa menyara keluarga termasuk seorang adik yang menuntut di sebuah kolej.

Majistret Jesseca Daimis menegur perbuatan tertuduh yang disifatkan tidak  serik walaupun pernah dipenjarakan sebelum ini.

“Perbuatan itu mungkin nampak kecil namun kamu berani melakukan walaupun tahu ia berada dalam kawasan mahkamah,” tegurnya sebelum menjatuhkan hukuman terhadap lelaki itu.

2 kilang guna logo halal palsu


ASWANY OMAR
18 Jun 2014

Kakitangan Jaip, MPK dan KPDNKK melakukan serbuan di sebuah kilang yang menggunakan logo halal palsu.
Kakitangan Jaip, MPK dan KPDNKK melakukan serbuan di sebuah kilang yang menggunakan logo halal palsu. Kakitangan Jaip, MPK dan KPDNKK melakukan serbuan di sebuah kilang yang menggunakan logo halal palsu.



KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) semalam memberi amaran kepada pemilik dua kilang produk berasaskan hasil laut apabila berani menggunakan logo halal tanpa sijil.

Lebih memalukan, sebuah kilang di kawasan perindustrian Padang Lalang dekat sini menggunakan lambang masjid pada bungkusan produknya sekali gus mengelirukan pengguna terutama umat Islam mengenai pengeluaran produk itu.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, mereka didapati bersalah menggunakan logo halal palsu dan menyalahgunakan logo Halal Malaysia tanpa sijil dan menggunakan representasi Halal.

“Jaip memberi amaran selama tujuh hari untuk menutup lambang yang dianggap mengelirukan pengguna Islam,” katanya.

Beliau berkata, serbuan bersama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu turut dilakukan di beberapa lokasi pengeluar produk makanan di sekitar Kuantan.

Katanya, jika pemilik terbabit ingkar, mereka akan berdepan dengan tindakan di bawah Akta Perihal dagangan 2011, Perakuan dan Penandaan Halal.

“Jika individu itu bukan satu pertubuhan perbadanan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Jika kesalahan kedua, boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 atau dipenjara selama tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Noridzuan berkata, Jaip tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja atau tidak sengaja mengelirukan pengguna Islam dengan produk yang meragukan.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya berhati-hati memilih produk di pasaran bagi mengelakkan produk yang tidak halal atau hanya berselindung di sebalik logo halal yang tiada sijil.

Maut selepas 8 jam beli motosikal

Mohd Firdaus
Mohd Firdaus
PAYA RUMPUT - Seorang lelaki hanya sempat menggunakan motosikal yang baru dibeli kurang lapan jam apabila dia maut dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) di sini, semalam.

Mohd Firdaus A Rahman, 27, maut selepas motosikal jenis Honda EX5 dtungganginya terbabas kira-kira 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, mangsa menunggang dari arah persimpangan lampu isyarat AMJ - Bertam Ulu menghala persimpangan lampu isyarat Paya Rumput.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke rumahnya di Rumbia, Alor Gajah terbabas ketika melalui jalan yang sedikit berselekoh lalu terbabas ke kiri dan melanggar pengadang besi di bahu jalan.

“Mangsa cedera teruk di kepala, tangan kanan dan kaki kiri sebelum di bawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Halimah Minhat, 63, berkata, anak bongsu dari lima beradik itu jarang keluar malam namun berbuat demikian dalam dua hingga tiga hari kebelakangan ini.

“Saya juga tidak dapat tidur lena sejak beberapa hari lalu dan merasa sesuatu tidak kena, namun hanya membiarkan perasaan itu sehinggalah hari ini (semalam) saya mendapat khabar kematiannya.

“Arwah seorang anak baik, selain menguruskan rumah, dia juga memasak dan kelmarin adalah kali terakhir saya makan nasi goreng dia masakkan. Arwah akan memberikan kepada saya semua wangnya dan hanya akan meminta sedikit jika diperlukan,” katanya.

Kereta bertembung, seorang maut


WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Jun 2014

Keadaan kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di jalan utama Felda Palong 9,10 dan 11, semalam.
Keadaan kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di jalan utama Felda Palong 9,10 dan 11, semalam. Keadaan kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di jalan utama Felda Palong 9,10 dan 11, semalam.



PALONG - Seorang maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di jalan utama Felda Palong 9,10 dan 11, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.55 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rashid Idris, 49, yang  beralamat di Felda Palong 15.

Manakala, dua yang cedera berusia 29 dan 51 tahun, kedua-duanya merupakan anggota polis bantuan Felda Wilayah Raja Alias.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Hamzah Alias berkata, kejadian berlaku apabila pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu polis bantuan terbabit hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung Honda Civic dinaiki Mohd Rashid secara berseorangan.

"Pacuan empat roda itu dalam perjalanan menghala ke Palong 9, manakala Honda Civic dari arah bertentangan. Tiba di lokasi kejadian, pacuan empat roda itu tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Masing-masing gagal mengelak sebelum bertembung. Pemandu Honda Civic tersepit di tempat pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua anggota polis bantuan itu cedera di kaki dan kini dirawat di Hospital Jempol.

“Sementara, jenazah yang tersepit itu berjaya dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat Balai Seri Jempol, sebelum dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya petang tadi (semalam)," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata,  punca sebenar kejadian masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Dua sahabat maut

Keadaan kereta Myvi yang terlibat dalam kemalangan itu.
Keadaan kereta Myvi yang terlibat dalam kemalangan itu.
TELOK KEMANG - Dua sahabat maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 17.7 Jalan Pantai tengah malam, semalam.

Ketua Polis Daerah, SuperintendAn Abd Wahab Harun berkata, penunggang motosikal, Mohd Kairol Anuar Abu Kasim, 32, dan pembonceng, Muhamad Haneff A Rahman, 19, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 12.05 tengah malam itu, motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Siasatan awal polis mendapati, mangsa yang datang dari arah Telok Kemang bertembung dengan kereta dari arah bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abd Wahab berkata, pemandu kereta yang merupakan seorang wanita berusia 24 tahun memandu berseorangan mengalami kecederaan kecil di bahagian tangan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliua berkata, kedua-dua mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarga pagi semalam.

Dalam pada itu, ayah kepada Muhamad Haneff, A Rahman Abdul, 55, berkata, anaknya merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

“Dalam kalangan anak-anak, Muhamad Haneff adalah yang paling rapat dengan saya dan kami sudah seperti rakan karib.

“Tidak sangka, dia dahulu yang pergi,” katanya.

Katanya, dia menerima berita mengenai kemalangan itu selepas dihubungi pihak polis sekitar jam 2 pagi.

Maut tercampak dari kereta

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengangkat mayat salah seorang mangsa untuk dihantar ke Hospital Jasin, semalam.
Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengangkat mayat salah seorang mangsa untuk dihantar ke Hospital Jasin, semalam.
JASIN - Dua pemuda maut selepas tercampak keluar dari kereta jenis Proton Persona yang dinaiki di KM190.2 Lebuhraya PLUS, arah selatan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa, B Karrthigevan, 23, bersama rakan, NS Raaguvaren, 22, dipercayai dalam perjalanan dari Georgetown, Pulau Pinang menuju ke Singapura.

Menurut sumber, kedua-dua mangsa yang berasal dari negeri Perak itu dipercayai ke Singapura atas urusan kerja.

"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Karrthigevan hilang kawalan dan terbabas.

“Raaguvaren tercampak kira-kira 15 meter di sebelah pengadang kanan jalan manakala Karrthigevan tercampak ke dalam longkang berhampiran keretanya yang remuk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamudin Hashim mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil atau hubungi Cawangan Trafik IPD Jasin di talian 06-5292222 untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya.

Kerani cemas leher diacu parang

Cermin bahagian pemandu dipecahkan perompak sebelum melarikan beg galas mengandungi wang RM10,000.
Cermin bahagian pemandu dipecahkan perompak sebelum melarikan beg galas mengandungi wang RM10,000.
TAIPING - Seorang kerani sebuah kedai membuat cermin berdepan detik mencemaskan apabila dia dirompak dua lelaki bersenjatakan parang di belakang premis majikannya  di Jalan Kamunting, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Mangsa, lingkungan 20-an berkata, sebelum kejadian dia menyedari kehadiran dua lelaki bermotosikal yang mencurigakan sebaik tiba di tempatnya bekerja dan nekad meninggalkan beg galas mengandungi RM10,000 dalam kereta sebagai langkah keselamatan.

Menurutnya, dia nekad meletakkan kereta di lorong belakang yang lebih hampir dengan pintu premis majikan sebelum keluar meninjau keadaan.

"Setelah memastikan keadaan selamat, saya pergi semula ke kereta untuk mengambil wang, tapi tak sempat apabila dua lelaki itu datang meletakkan parang di leher dan menyepak saya hingga jatuh dalam longkang.

"Mereka kemudian pecahkan cermin sebelah pemandu dan melarikan beg galas mengandungi RM10,000, termasuk telefon pintar ke jalan utama," katanya.

Mangsa berkata, dia tidak menyangka tindakannya meletakkan wang dalam kereta memakan diri.

"Bukan sahaja wang RM8,000 milik majikan lesap, malah telefon pintar dan RM2,000 saya juga turut dilarikan.

"Sehingga sekarang saya masih trauma dengan kejadian ini," katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang cedera pada lutut kanan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mangsa meletakkan keretanya berhampiran kedai di Jalan Kamunting sebelum tiba-tiba didatangi dua motosikal dinaiki empat lelaki.

“Suspek dikatakan terus bertindak memecahkan cermin kereta lalu melarikan beg mangsa.

“Suspek dipercayai berusia antara 20-30 tahun dipercayai melarikan diri menghala ke Kamunting," katanya.

Bagaimapun, difahamkan, mangsa tidak sempat mengecam wajah dan nombor pendaftaran motosikal terbabit.

Tersepit dalam lori terbalik

Lori membawa muatan simen terbalik berhampiran lampu isyarat Guchil, kelmarin.
Lori membawa muatan simen terbalik berhampiran lampu isyarat Guchil, kelmarin.
KUALA KRAI - Seorang pemandu lori simen nyaris maut apabila tersepit dalam lori dipandunya yang terbalik berhampiran simpang lampu isyarat Guchil, di sini pagi kelmarin.

Ketika kejadian, lori terbabit dikatakan dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju bandar Kuala Krai dan terbalik setelah membelok ke arah bandar Kuala Krai.

Kejadian menyebabkan pemandu lori berkenaan yang berusia 49 tahun tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Nik Azam Nik Yakub memaklumkan menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.10 pagi.

Menurutnya, ketika pasukan bomba sampai di lokasi kejadian, lori berkenaan didapati dalam keadaan terbalik dengan bahagian pemandu berada di bawah.

"Pasukan bomba mengambil masa 25 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan tersebut.

"Pemandu mengalami kecederaan ringan pada tangan dan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian turut menyebabkan laluan dari arah Kota Bharu ke bandar Kuala Krai tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan selama lebih sejam sehingga lori terbabit dialihkan.

Pada masa kejadian, pemandu yang menggunakan laluan terbabit terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk menuju ke bandar Kuala Krai.

Remaja didakwa rogol

Tertuduh dikawal polis keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.
Tertuduh dikawal polis keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.
KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 15 tahun mengaku tidak salah di mahkamah majistret, di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang remaja berusia 14 tahun, Mei lalu.

Tertuduh juvana yang beralamat di Kampung Padang Salim, Peringat, Melor itu didakwa merogol mangsa di sebuah wakaf di tepi sawah kampung berkenaan, antara jam 9 malam, 29 Mei dan 1.15 pagi, keesokannya.

Dia dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol. Hukuman terhadap remaja tersebut tertakluk di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

Tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad di dalam kamar. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Terdahulu, Noor Dayana menawarkan jaminan RM5,000 sebelum Nik Habri membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula 22 Julai depan. Tertuduh ditahan polis 1 Jun lalu.

'Chow Jack' diugut bunuh isu hina dalam FB


WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Jun 2014

Chen terpaksa membuat laporan polis bagi memastikan keselamatan diri dan keluarganya. Chen terpaksa membuat laporan polis bagi memastikan keselamatan diri dan keluarganya.
< 1 / 1 >
IPOH - Gara-gara maklumat peribadinya dimuat naik oleh individu tidak dikenali di akaun Facebook milik ‘Chow Jack’, seorang lelaki trauma menerima puluhan ugutan serta ancaman bunuh oleh beberapa individu tidak dikenali.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chen berkata, maklumat yang disebarkan ke Facebook ‘Chow Jack’ itu sama sekali tiada kena mengena dengannya malah menegaskan hanya menjadi mangsa keadaan.

“Ianya berlaku di luar pengetahuan saya selain saya juga takut dan bingung dengan situasi yang dihadapi buat ketika ini,” katanya, ketika ditemui pihak media, semalam.

Menurutnya, ugutan pertama yang diterima adalah pada Sabtu lalu menerusi individu yang tidak dikenali menghantar mesej berbaur ancaman bunuh terhadap dirinya.

“Saya menerima berpuluh-puluh ugutan, malah pada Ahad juga rumah saya turut disimbah cat merah di sekitar kawasan pintu pagar serta halaman rumah,” katanya.

Selain itu, Chen berkata, dirinya hanya mengetahui perkara sebenar  setelah dimaklumkan oleh seorang kenalan rapat pada 16 Jun lalu.

“Saya dimaklumkan oleh seorang rakan mengenai penyebaran satu gambar yang turut melampirkan maklumat peribadinya.

"Ketika itu saya amat terkejut kerana maklumat saya dikaitkan dengan satu status berbaur penghinaan terhadap agama Islam oleh satu akaun milik Chow Jack.

Katanya, satu laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kelmarin bagi memastikan keselamatan dia dan ahli keluarganya terjamin.

“Hingga kini beberapa rondaan sudah mula dibuat oleh pihak polis namun ada beberapa kali masih terdapat individu berlegar di depan rumah,” katanya.

Jeritan guru selamatkan diri jadi mangsa rogol


17 Jun 2014

MIRI - Seorang guru wanita yang disamun di rumahnya, menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa rogol penyamun itu, dengan menjerit meminta tolong jirannya.

Guru berusia 23 tahun itu telah dipaksa lelaki berkenaan dengan menggunakanparang, tetapi wanita itu bertindak menjerit sekuat hati menyebabkan penyamun itu lari, tetapi sempat membawa bersama barang-barang yang disamunnya.

Ketua Polis Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata kejadian berlaku pada jam 4 petang semalam, ketika guru itu berada di rumah bersama ibunya di Permyjaya, apabila seorang lelaki bersenjatakan parang menceroboh masuk.

Lelaki itu mengarahkan dua beranak itu menyerahkan wang, barang kemas dan telefon bimbit dalam anggaran RM5,500, katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Miri hari ini.

Gan berkata polis percaya lelaki yang sama sebelum itu cuba merogol seorang pelajar perempuan tingkatan dua pada sebelah paginya, tetapi gagal.

Pelajar berkenaan juga tinggal di kawasan Permyjaya dan suspek menggunakan parang untuk mengancam mangsa, bertindak agresif dengan menumbuk, menampar dan mencederakan pelajar itu, kata Gan.

Pelajar itu kini menerima rawatan lanjut di hospital dan doktor mengesahkan dia tidak dirogol.

Berikutan dua kejadian itu, polis memburu seorang lelaki Iban berusia dalam lingkungan 20-an dan alamat terakhirnya juga di Permyajaya. - Bernama

Penyanyi dikir barat didenda RM1,000

Rosalinda berjalan masuk ke mahkamah, semalam
Rosalinda berjalan masuk ke mahkamah, semalam
GUA MUSANG - Rosalinda, penyanyi dikir barat wanita tersohor di Kelantan dikenakan hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang, di sini, semalam, selepas mengaku salah memakai pakaian mencolok mata ketika mengadakan persembahan di Felda Aring Enam, Mei lalu.

Hakim, Zubaidi Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosalinda atau nama sebenarnya, Shahima Edayu Akma Mohd Alwi, 23, yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Beliau tidak membenarkan tertuduh membuat persembahan dengan berpakaian tidak sopan, bertentangan dengan hukum syarak.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Syarie negeri, Ramlee Abd Rahman. Rosalinda membayar denda tersebut dan berjanji tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Rosalinda ditahan sepasukan Penguat kuasa Agama Islam Gua Musang ketika membuat persembahan nyanyian dikir barat di Ekspo Padang Perumahan Felda Aring Enam, jam 11.50 malam pada 7 Mei lalu.

Sebelum itu, Zubaidi turut menegur Rosalinda supaya hentikan persembahan melampaui batasan agama  kerana ia menjejaskan imej Islam dan galak orang ramai melakukan maksiat.

Padah cabul gadis bawah umur

Tertuduh cuba mengelak daripada wajah dirakam jurugambar ketika diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman.
Tertuduh cuba mengelak daripada wajah dirakam jurugambar ketika diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman.
KUANTAN - Seorang jurujual didenda RM6,500 dan dipenjara sehari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencabul gadis bawah umur pekerja sebuah kedai internet yang didakwa kenalannya.

Tertuduh, Pang Kwok Wah, 26, dari Kampung Baru di sini yang turut berdepan hukuman penjara 10 bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut memberi alasan dia mengenali gadis berusia 15 tahun itu.

Dia mendakwa, tindakannya memegang dan mencucuk tubuh pengadu bukan berniat untuk mencabul sebaliknya sebagai tanda menegur ‘kenalan’ ketika berkunjung ke kedai internet di Jalan Wong Ah Jang di sini kira-kira jam 3.30 petang, 13 Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari bagaimana pun menolak alasan tertuduh itu memandangkan mangsa yang membantu abangnya menjaga kaunter premis internet itu, dalam kenyataannya kepada polis sebelum ini mengakui dia tidak mengenali tertuduh.

Katanya, pengadu juga tidak suka dengan tindakan tertuduh malah selepas kejadian itu, gadis tersebut trauma.

“Andaian peguam tertuduh dan mangsa sebagai kawan tidak dapat diterima mengambil kira percanggahan keterangan ini.

“Justeru, pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman lebih berat berbentuk pemenjaraan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau dengan sebatan sebelum itu melalui seorang peguam merayu hukuman diringankan.

Dalam sebutan kes itu semalam, pihak pendakwaan kemukakan gambar rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam perbuatan tertuduh sebagai bahan bukti dan dia mengakuinya.

Dua beranak berdepan detik cemas

Keadaan bilik yang dijadikan dapur di rumah mangsa
Keadaan bilik yang dijadikan dapur di rumah mangsa
BANDAR SAUJANA PUTRA - Dua beranak berhadapan detik cemas apabila nyaris terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Bandar Saujana Putra, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku ketika mangsa, Mohd Azlee Abd Aziz bersama anak perempuannya berusia dua tahun sedang lena tidur.

Dia yang terjaga setelah terbau asap terbakar dari arah sebuah bilik yang dijadikan dapur terus bergegas berlari ke ruang berkenaan dan mendapati asap dah mulai memenuhi sebahagian rumahnya.

“Saya terkejut, terus ambil anak yang sedang lena tidur di bilik utama.

"Dalam keadaan panik nak selamatkan diri tu, tiba-tiba pintu rumah tak boleh nak dibuka serta merta. Memikirkan keselamatan kami berdua, saya terus pecahkan pintu dengan menendangnya berkali-kali," katanya menceritakan detik cemas berkenaan.

Mohd Azlee berkata, setelah berjaya keluar dari dalam rumah, dia melihat ramai jiran berkumpul di hadapan rumahnya.

"Jiran-jiran jerit panggil nama saya minta saya lekas turun selamatkan diri," katanya yang tinggal di rumah flat empat tingkat.

Azlee bagaimanapun bersyukur kerana nyawanya bersama anak selamat dan menganggap kejadian itu sebagai pengajaran kepadanya

"Alhamdulillah saya dan anak selamat. Terima kasihlah kepada jiran-jiran yang saya anggap hero sebab berani dan sanggup redah asap tebal semata-mata nak suruh saya keluar cepat," katanya.

Mohd Azlee berkata, semasa kejadian isterinya keluar bekerja manakala anak sulungnya bersekolah sementara dia bercuti untuk menjaga anak keduanya yang tidak sihat pada hari kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.52 petang dan tiba di tempat kejadian 33 minit kemudian.

Menurutnya, ketika kejadian ruang bilik yang dijadikan dapur itu sudah terbakar.

“Dengan kekuatan 12 anggota bomba dari Balai Bomba Banting dan Balai Bomba Cyberjaya pihak kami terpaksa menggunakan satu aliran hos 200 kali satu pancutan dari pam jentera bomba air tangki. Api dapat dikawal dan padam sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian.

Namun, keseluruhan bilik yang dijadikan dapur itu sudah musnah," katanya.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut sementara jumlah kerugian dimaklumkan anggaran RM20,000.

Jaslizad berkata, mujur tiada kemalangan nyawa berlaku dan meminta kerjasama orang awam supaya dapat meningkatkan keselamatan terutama apabila berada di rumah.

Katanya, beliau mahu masyarakat peka dengan persekitaran terutama yang melibatkan pendawaian elektrik atau dapur gas.

Jurugambar dipukul keluarga tertuduh

Jurugambar dipukul keluarga tertuduh
KOTA BHARU – Berang dengan tindakan pihak media mengambil gambar ahli keluarga seorang tertuduh, seorang jurugambar cedera selepas dipukul dua lelaki di pekarangan Mahkamah Tinggi, di sini, sebentar tadi.

Mangsa cedera luka di kepala, pipi dan siku serta kamera turut rosak.

Terdahulu, tertuduh, seorang tukang jahit yang berasal dari Rantau Panjang dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah terhadap tuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 54.72 gram, tahun lalu.

Hakim, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh, Zaruna Yusof, 43, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Zaruna didakwa mengedar heroin seberat 54.72 gram di tempat letak kereta berhampiran tandas awam di Stadium Sultan Muhammad IV, Jalan Bayam, di sini pada jam 1.35 petang , 21 Januari 2013.

Enam maut, tiga hilang, tanah runtuh di Bogor


17 Jun 2014


JAKARTA - INDONESIA. Enam orang terbunuh dan tiga lagi hilang selepas hujan lebat di Bogor, Jawa Barat, pada Isnin menyebabkan tanah runtuh yang memusnahkan sekurang-kurangnya lima buah rumah.
 
"Kejadian berlaku pada 1.30 pagi. Hujan lebat turun sekitar kampung Mekarwangi di daerah kecil Cariu dan menyebabkan cerun tinggi 30 meter runtuh mengakibatkan lima buah rumah tertimbus," Ketua Agensi Mitigasi Bencana Bogor (BPBD), Yos Sudrajat dipetik sebagai berkata oleh Jakarta Globe pada Selasa.
 
Enam orang yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh itu dikenali sebagai Dedeh, 38, Risma, 13, Wahyu, 17, Mardi, 37, Sopiah, 60, dan seorang budak lelaki berumur 4 tahun, Riski.
 
"Kami masih menjalankan gerakan mencari tiga orang lagi sementara tujuh telah diselamatkan. Mereka hanya cedera ringan. Mereka telah menerima rawatan," kata Yos.
 
Beliau berkata 30 anggota dari agensi itu telah dikerah untuk mencari mangsa.

Ketua Polis Bogor, Sony Movianto berkata 100 pegawai polis dan anggota tentera juga dikerah untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat.
 
Menurut Sony, mangsa yang hilang adalah pelanggan Sopiah, yang bekerja sebagai tukang urut untuk mereka yang patah tulang.
 
Perkhidmatan urut adalah lumrah di Indonesia sebagai rawatan bagi patah tulang.
 
"Kami masih tidak tahu identiti mangsa yang hilang yang tidak sempat menyelamatkan diri ketika mereka menerima rawatan," kata beliau. - Bernama

Atlet sekolah maut ditembak

Pelajar dan ibu bapa memenuhi kawasan sekolah untuk mengikuti perkembangan kejadian.
Pelajar dan ibu bapa memenuhi kawasan sekolah untuk mengikuti perkembangan kejadian.
SEORANG pelajar tahun akhir maut ditembak manakala gurunya cedera selepas pelajar bersenjatakan senapang separa automatik melepaskan tembakan di bilik persalinan gimnasium di Sekolah Tinggi Reynolds di Portland, Oregon.

Mangsa, Emilio Hoffman maut di tempat kejadian dan kini pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan sama ada penyerang sengaja menyasarkan mangsa sebagai sasaran utama atau tidak.

Sejurus menerima panggilan sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan), anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa terbaring berlumuran darah dan telah meninggal dunia.

Jurucakap polis Carey Kaer memberitahu, penyerang ditemui di dalam tandas yang terletak tidak jauh dari lokasi mangsa dan pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek membunuh diri selepas membunuh mangsa.

“Kami menggunakan rakaman kamera litar tertutup untuk menyiasat dan mengesahkan kematian. Mangsa ditemui mati di bilik berasingan dan penyerang adalah seorang pelajar lelaki,” katanya dipetik Daily Mail.

Sementara itu, rakan sekelas mangsa menyifatkan Hoffman sebagai seorang rakan yang baik, pendiam dan merupakan pemain bola sepak terbaik bagi pasukan sekolahnya.

Sorok dadah bawah perut


18 Jun 2014


MIAMI -  FLORIDA. Taktik seorang lelaki seberat 240 kilogram yang menyembunyikan ganja di bawah perutnya akhirnya terbongkar.

Perbuatan Christopher Mitchell  berjaya dihidu pihak berkuasa selepas dia berkelakuan mencurigakan selain tidak memakai tali pinggang keledar ketika kenderaannya ditahan polis.

Menurut laporan AP, pada mulanya, Mitchell cuba mengelirukan anjing pengesan dengan menyembur penyegar permaidani, namun muslihat itu gagal.

Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui ganja seberat 23 gram di bawah lipatan perutnya.

Kepantasan Anggota Bomba telah menyelamatkan nyawa seorang wanita yang terperangkap

Kepantasan Anggota Bomba telah menyelamatkan nyawa seorang wanita yang terperangkap di luar tingkap di tingkat 8 Palm Kondo Taman Maluri pukul 3.21 petang semalam setelah kondo berkenaan terbakar. Operasi berkenaan dilakukan oleh BBP Pudu dan BBP Hang Tuah


Kebakaran Flat di Bandar Teknologi Kajang

Kebakaran Flat di Bandar Teknologi Kajang pada pukul 1.05 semalam. Bantuan operasi dari BBP Bangi, 1 BBP Semenyih, 2 BBP Kajang dan 1 EMRS BBP Bangi
Kebakaran melibatkan kira-kira 4 unit rumah di tingkat atas bangunan anggaran keluasan 20x60 kaki setiap unit rumah kosong. Seorang anggota bomba dari BBP Semenyih cedera semasa menjalankan operasi tersebut.




Lori simen terbabas

Kemalangan Jalan Raya melibatkan lori simen terbabas di Simpang 3Kg Gucil 3 Kuala Krai. Dimaklumkan bahawa mangsa seorang lelaki berusia 45 tahun cedera dan telah dihantar ke Hospital Kuala Krai, Kelantan



Dizalimi anak sendiri


Bagaimanapun, Xiaoming Tsui yang dikurung di dalam bilik tidurnya berjaya hidup dengan minuman dan bubur yang dicampakkan oleh jirannya ketika anaknya tiada di rumah.
“Tolong, beri saya makanan,” adalah perkataan pertama yang diucapkannya ketika polis berjaya memecah masuk ke rumah mangsa minggu lalu selepas kisah wanita itu disiarkan di Internet.

Anak perempuan dan lelaki Xiaoming kini menghadapi tuduhan cubaan membunuh selepas polis menuduh mereka bersikap kejam dan merancang membunuh seseorang kerana merasa susah dan tidak mahu menanggung beban,
Foto
XIAOMING dimandikan selepas hampir sebulan dikurung tanpa diberi makan oleh anaknya sendiri.

Menurut jurucakap polis, sejak wanita itu sakit dan bagi mengelak untuk menjaganya, anak-anaknya cuba membunuhnya dengan membiarkan dia kebulur di dalam bilik yang berkunci.

“Mereka tidak memberinya makan supaya dia tidak perlu ke tandas. Mereka juga tidak membenarkan sesiapa melawat mangsa,” kata polis.

Penduduk di Kampung Yangjuan yang menyedari Xiaoming tidak diberi makan berjaya menghulurkan bubur dan air melalui tingkap biliknya. 

Seorang daripada mereka memuat naikkan gambar mangsa dalam keadaan yang menyedihkan di Internet hingga membolehkan nasibnya diketahui pihak berkuasa.

“Wanita itu dikatakan berbalah dengan anaknya beberapa kali sebelum ini. Dia dianggap membebankan mereka. Kerana itu mereka mengambil keputusan untuk membiarkannya kebulur hingga mati.

“Mereka kemudian merancang untuk memberitahu polis mangsa mati kerana enggan makan.

“Ini bukan saja pertelingkahan antara keluarga tetapi pembunuhan yang dirancang. Mereka mahu wanita itu mati supaya tidak perlu bersusah payah menjaganya,” kata jurucakap polis.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Keganasan bukan bermotifkan agama


Nairobi: Presiden Kenya semalam menyalahkan pemimpin politik tempatan kerana melancarkan serangan selama dua malam berturut-turut yang mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang.

Beliau menolak pembabitan kumpulan al-Shabab.

Presiden Uhuru Kenyatta dalam ucapan menerusi menerus televisyen berkata, bukti menunjukkan serangan yang disifatkan bermotifkan permusuhan etnik itu didalangi pemimpin politik dan bukannya kumpulan pelampau agama.

Kumpulan al-Shabab sebelum ini mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang mensasarkan orang bukan Islam berhampiran Pulau Lamu.

Serangan terbaru itu berlaku malam kelmarin di perkampungan Majembeni yang meragut 10 nyawa.

Kampung berkenaan terletak bersebelahan dengan Mpeketoni yang menyaksikan puluhan lelaki Kristian disembelih pada Ahad dan pagi Isnin.

Pesuruhjaya daerah, Benson Maisori berkata, kedua-dua serangan itu membabitkan penyerang sama.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Taufan musnahkan hampir separuh Pilger


Pilger (Amerika Syarikat): Sekurang-kurang seorang terbunuh dan 16 lagi cedera parah selepas bandar ini dilanda taufan semalam.

Menurut jurucakap hospital dan unit kecemasan, taufan yang melanda melalui timur laut Nebraska mengmusnahkan lebih separuh bandar Pilger.


Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, sekurang-kurang dua puting beliung membadai dengan jarak satu kilometer antara satu sama lain.

Unit kecemasan dan penduduk bekerjasama membersihkan kawasan kediaman dan premis perniagaan yang rosak teruk.


Pilger yang terletak kira-kira 160 kilometer ke timur laut Omaha didiami oleh kira-kira 350 penduduk.


Menurut jurucakap hospital, mangsa dibawa ke tiga hospital berlainan dan sekurang-kurang seorang terbunuh akibat kecederaan.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menyatakan punca kecederaan itu.

Syerif Wilayah Stanton Mike Unger menganggarkan 50 hingga 74 peratus bandar itu musnah.

Sehubungan itu, gabenor Nebraska Dave Heineman mengisytiharkan darurat dan mengerah pasukan pengawal kebangsaan membantu dalam gerakan menyelamat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Lokasi penyangak diserbu


Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Klang: Papan tanda tertera ‘pusat cuci lori’ namun sebuah premis ditutupi zink biru dikesan dijadikan markas menyembunyikan beribu liter minyak masak subsidi.

Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dibongkar selepas sepasukan empat anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor melakukan serbuan mengejut di sebuah premis terletak di Pandamaran di sini.



Dalam serbuan jam 12 tengah hari semalam anggota KPDNKK mulanya mengesyaki premis berdinding zink itu dijadikan lokasi mengumpul diesel subsidi secara haram.

Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Selangor Osman Nawang berkata, hasil pemeriksaan awal dilakukan pihaknya menemui tiga tong besar yang digunakan untuk untuk menyimpan ‘diesel’.

Foto
PEGAWAI KPDNKK memeriksa tong berisi minyak masak subsidi yang diseleweng sindiket.


“Bagaimanapun pemeriksaan dilakukan mendapati semua tong berkenaan sebaliknya berisi minyak masak seberat 2,500 kilogram bernilai RM6,250.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Budak tepis tangan penculik


Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Jika tidak kerana keberaniannya, seorang murid tahun enam sebuah sekolah rendah di sini mungkin menjadi mangsa culik ketika menunggu bas di perhentian bas Taman Sri Bayan Lepas, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 1.30 petang itu, mangsa yang berusia 12 tahun melawan dan menepis tangan seorang daripada empat suspek yang ketika itu menarik bajunya untuk membawanya masuk ke dalam kereta.


Kanak-kanak itu terus melarikan diri ke rumahnya terletak berhampiran lokasi kejadian dan ketika itu dua daripada lelaki berkenaan mengejarnya.

Bagaimanapun, sejurus tiba berhampiran kawasan rumahnya, kedua-dua lelaki terbabit berpatah balik apabila terserempak seorang wanita membuatkan hasrat mereka terbantut.


Menurut sumber, mangsa mendakwa dia sebelum itu disapa lelaki bercermin mata gelap yang menaiki kereta Proton Wira berwarna hitam.






Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Rumah tak dapat, duit licin


Oleh Muhd Izawan Baharin, Kalidevi Mogan Kumarappa dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: “Bertahun saya simpan duit untuk membeli rumah namun bukan saja rumah tak dapat, tapi duit simpanan RM30,000 hangus.

“Saya benar-benar terkilan dengan kejadian itu kerana rumah yang hendak dibeli itu sebenarnya milik orang lain dan ejen menipu kononnya dia diberikan kuasa menjual kepada pembeli,” kata mangsa penipuan ejen hartanah haram yang hanya mahu dikenali sebagai Nasuha, 34.


Menurutnya, dia tidak sangka panggilan telefon kepada ejen pada Mei 2013 selepas melihat iklan yang ditampal di hadapan rumah di Subang Jaya itu menyebabkan dia ‘berputih mata’ dan impian memiliki rumah musnah.

Katanya, selepas berbincang menerusi telefon, dia bertemu ejen berkenaan yang membawanya melihat rumah teres dua tingkat itu yang kononnya dijual pada harga RM300,000.


“Melihat keadaan rumah yang masih baik, saya bersetuju membeli dan membuat bayaran RM30,000 iaitu 10 peratus daripada nilai rumah.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Maut melaram motosikal baru


Oleh Mohd Helmie Husin dan Arifin Salleh

Melaka: Impian seorang lelaki melaram menggunakan motosikal yang baru beberapa jam dibelinya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Lebuhraya Ayer Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Paya Rumput, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa Firdaus Abd Rahman, 27, dari Kampung Rembia parah di kepala selepas motosikal Honda EX5 ditunggang hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam dan maut di tempat kejadian.


Kakak sulung mangsa, Mastura, 37, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah adiknya kira-kira jam 2 petang kelmarin.



“Arwah ke rumah petang semalam (kelmarin) dan memberitahu hendak membeli motosikal. Malah, dia memberitahu hendak mengambil motosikal itu pada sebelah petang.


“Arwah tinggal bersama ibu dan melakukan kerja kampung seperti menggali kubur dan membuat rumah,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.


Ibu mangsa, Halimah Minhat, 63, berkata, anak lelaki bongsunya itu seorang yang taat dan sering membantu keluarga.

“Malah, setiap kali mendapat upah melakukan pekerjaan, arwah akan menyerahkan wang kepada saya untuk disimpan,” katanya dalam nada sebak.


Sumber berkata, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menghampiri satu selekoh tajam lalu terbabas di sebelah kiri dan merempuh besi penghadang menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

“Mangsa yang masih bujang tercampak di bahu jalan mengakibatkan kepalanya terhentak di atas jalan raya dan mati di tempat kejadian. Mangsa yang bekerja sendiri baru membeli motosikalnya itu petang semalam (kelmarin),” katanya.


Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rumbia selepas solat Zuhur.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Pasangan kekasih didenda


Kuala Lumpur: Gara-gara bergaduh dan memukul sesama sendiri berhampiran hotel di Jalan Sungai Besi di sini, sepasang bekas kekasih masing-masing didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Nur Aminatul Mardhiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Chairil Anuar Mahmud, 30 dan Rosnita Abdul Rahman, 36, apabila mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bergaduh di tempat awam menggunakan tangan sesama sendiri bertujuan mengganggu ketenteraman awam.



Mereka didakwa melakukan kesalahan itu jam 3.40 pagi pada 7 Jun lalu.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Pengurus didakwa bunuh bayi


Shah Alam: Seorang pengurus syarikat perkhidmatan pembersihan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia enam bulan pada 31 Mei lalu.

Bagaimanapun, ketika pertuduhan dibacakan terhadap Wong Weng Yew, 41, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripadanya yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Tertuduh dihadapkan ke mahkamah selepas dia disyaki membunuh Esmen Zeus Yves di rumahnya (tertuduh) di Nombor 12, Cannal Garden, Jalan Anggerik Vanilla 31/98S, Seksyen 31, Kota Kemuning, di sini.



Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 28 Mei dan 31 Mei lalu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.


Ketika berdiri di kandang tertuduh, Wong kelihatan menganggukkan kepalanya selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.


Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin kemudian menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Rohaida Che Hamid manakala Wong tidak diwakili peguam.


Difahamkan, isteri tertuduh yang juga ditahan ketika siasatan kes itu dijalankan sebelum ini, dilepaskan dengan bon mahkamah bernilai RM50,000, mengikut Seksyen 370 Kanun Acara Jenayah dan akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan kes itu kelak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

‘Mangsa tercampak selepas dilanggar’


Temerloh: “Saya terdengar dentuman kuat disusuli bunyi brek dan melihat mangsa bersama motosikalnya tercampak serta menggelongsor selepas dilanggar kereta,” kata Mohd Abi Mohamed, 26, saksi kemalangan jalan raya yang menyebabkan seorang lelaki maut dilanggar sebuah kereta berhampiran Taman Paya Pulai, di sini, semalam.

Dia yang kebetulan melalui tempat kejadian jam 11.30 malam di Kilometer 120 Jalan Lama Kuala Lumpur-Kuantan selepas makan malam di bandar ini, melihat motosikal berkenaan dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki.


“Kawasan kemalangan gelap dan saya lihat motosikal ditunggang Mohammad Hasrul Hamdan, 24, mahu melintas jalan sebelum sebuah kereta Mitsubishi Lancer muncul secara tiba-tiba.



“Kereta itu melanggar mangsa menyebabkannya tercampak sebelum orang ramai datang memberi bantuan,” katanya, di sini, semalam.


Mohd Abi berkata, orang ramai menghantar Mohammad Hasrul ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini, manakala pemandu kereta berkenaan seorang lelaki berusia 20 tahun tidak cedera.


“Kawasan berkenaan kerap berlaku kemalangan. Sebelum ini seorang kanak-kanak dilanggar kereta ketika mahu menyeberangi jalan dan keadaan yang gelap menyumbang berlakunya kemalangan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, motosikal ditunggang Mohammad Hasrul keluar dari simpang secara tiba-tiba menyebabkan pemandu kereta terbabit gagal mengelak lalu melanggarnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Mangsa culik tiada dokumen sah


Kunak: Seorang pekerja warga Filipina di pusat ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Sapang Air, di sini, yang dikatakan diculik dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dan sudah bekerja di negara ini sejak setahun lalu.

Difahamkan, mangsa yang hanya dikenali sebagai Mazlan, 25, dikatakan diculik bersama majikannya, Chan Sai Chiun, 32, oleh sekumpulan empat lelaki bersenjata dengan menaiki bot.


Kebanjiran ramai pekerja asing tanpa dokumen itu mendapat perhatian Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek yang menegaskan pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap majikan yang didapati menggaji pekerja asing tanpa permit.



“ESSCOM sudah beberapa kali menasihatkan pengusaha resort atau pusat penternakan ikan supaya mengambil pekerja yang mempunyai dokumen sah.


“Namun, saya mendapati masih ada majikan tidak mengendahkan larangan itu sehingga kejadian penculikan masih berlaku di negeri ini,” katanya ketika melakukan tinjauan di lokasi kejadian, di sini, semalam.


Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kunak Datuk Nilwan Kabang.

Menurut Mohammad, ketiadaan dokumen menyebabkan pihak berkuasa tidak mengetahui latar belakang pekerja asing selain mereka sukar dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Cuba cungkil mata janda


Oleh Nabihah Nazam

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga emas tidak hanya membelasah kepala jandanya, malah turut bertindak kejam cuba mencungkil mata kanan mangsa dengan menggunakan kuku jari tangan.

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, suspek bertindak ganas di rumah didiami mangsa di Setapak di sini, selepas menuduh bekas isterinya itu berlaku curang.


Sumber polis berkata, kejadian berlaku sebaik mangsa selesai menunaikan solat Zuhur sebelum dipanggil suspek yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.



Menurutnya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membuka pintu sebelum diserang mendadak oleh lelaki terbabit yang berusia 60-an.


“Mangsa dipukul di bahagian kepala berulang kali. Tidak cukup dengan itu, suspek cuba bertindak mencungkil mata kanan.


“Akibatnya berlaku pergelutan berikutan mangsa cuba mengelak matanya dari ditusuk dengan jari suspek. Mangsa akhirnya berjaya melepaskan diri sebelum lari dari lokasi kejadian dalam keadaan kesakitan,” katanya.

Mangsa kemudian bergegas mendapatkan rawatan di sebuah hospital berdekatan susulan kecederaan dialami di bahagian kepala dan kelopak mata.


Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini, berikutan bimbang kejadian serangan sama berulang.

Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Ditetak cuba bantu jiran disamun


Kepala Batas: Niat murni seorang warga emas membantu jirannya dalam kejadian samun di Pasir Gebu, Penaga, dekat sini bertukar mimpi ngeri apabila dia ditetak suspek ketika cuba menghalang lelaki terbabit melarikan diri, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, suspek berusia 40-an dan berpakaian kemas sebelum itu menyamar sebagai kakitangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Berhad dan datang ke rumah mangsa kononnya untuk membuat pemeriksaan bil air.


Mangsa, Rashid Hamid, 74, berkata, lelaki terbabit datang ke rumahnya terlebih dulu sebelum bertanya mengenai meter air yang didakwa baru ditukar sambil mengeluarkan bil lama.



“Lelaki itu yang menunggang motosikal Yamaha LC seorang diri memberitahu mahu memeriksa bil air dan saya tidak mengesyaki apa-apa walaupun dia berbual tanpa membuka topi keledar. “Dia mengeluarkan bil air lama sambil mendakwa saya baru menukar meter air. Bagaimanapun, ketika berbual, lelaki terbabit tiba-tiba beredar sebelum pergi ke rumah jiran yang kebetulan ketika itu tinggal seorang diri,” katanya.


Berikutan curiga dengan gelagat lelaki berkenaan, Rashid mengekori lelaki berkenaan ke rumah jirannya yang terletak kira 10 meter.


Sebaik sampai di rumah jirannya, Rashid terdengar bunyi orang menjerit lalu cuba mengambil kunci motosikal suspek bagi menghalangnya melarikan diri selepas mengesyaki kejadian samun berlaku.

“Belum sempat saya mengambil kunci motosikal berkenaan, suspek menjerit memberi amaran sebelum menetak leher saya dengan pisau menyebabkan saya terjatuh dan suspek memecut motosikalnya,” katanya.


Suspek dikatakan sempat meragut dua utas rantai emas jiran Rashid, Kasminah Omar, 65, mengakibatkan kerugian RM20,000.

Kasminah cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Kepala Batas manakala Rashid menerima beberapa jahitan pada lehernya, namun bersyukur kerana terselamat dalam kejadian tidak sampai 10 minit itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim mengesahkan kejadian itu dan berkata, mangsa hanya cedera ringan serta menerima rawatan sebagai pesakit luar.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

Tak ‘makan’ alasan popular


Kuala Lumpur: Alasan kertas saman hilang dan tidak tahu kereta pernah dipandu rakan adalah alasan popular pesalah lalu lintas ketika ditahan polis dalam Operasi Ops Warta yang dijalankan polis trafik Kuala Lumpur, di Jalan Loke Yew di sini, semalam.
Kebanyakan mereka yang gagal menjelaskan saman tertunggak selain mempunyai waran tangkap sanggup merayu supaya tidak ditahan.

Seorang pesalah trafik yang ditahan mendakwa dia gagal membayar saman selepas mendapati notis dikeluarkan anggota trafik sudah hilang daripada simpanannya.
Menurutnya, dia bagaimanapun menyesal ditahan polis selepas memilik satu waran tangkap kerana gagal menjelaskan saman dan hadir ke mahkamah.

“Saya tidak sangka ia boleh jadi begini (ditahan polis). Kalau saya tahu, saya akan segera jelaskan saman itu,” katanya.

Seorang lagi pesalah trafik yang hanya mahu dikenali sebagai Noor, 30-an, mendakwa saman dikenakan ke atasnya adalah berpunca dari tindakan rakan memandu kereta miliknya sebelum ini.
Foto
PENGGUNA jalan raya diperiksa anggota polis trafik yang bertugas di Jalan Loke Yew, kelmarin.
“Saya syak saman itu dikenakan ke atas rakan. Namun saya tidak mengetahui perkara itu kerana dia (rakan) tidak memaklumkannya,” katanya.

Ternyata operasi Ops Warta yang dilancarkan bermula 16 hingga 27 Jun lalu di seluruh negara menyebabkan ramai pesalah trafik datang ke Ibu Pejabat Polis Trafik Jalan Bandar bagi menjelaskan saman tertunggak.
Difahamkan, dalam tempoh 24 jam pertama sejak operasi itu dilancarkan Isnin lalu, pembayaran saman trafik tertunggak meningkat lebih 50 peratus di Kuala Lumpur.

Ketua Trafik Pasukan Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya memperolehi kutipan lebih RM50,000 hasil pembayaran saman dan waran tertunggak warga ibu kota kelmarin.

Menurutnya, pihak polis trafik biasanya hanya mengutip RM25,000 bayaran saman sehari sebelum ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/18

175 tan beras seludup dirampas

175. tan beras seludup dirampas
Anggota UPP Kuala Kedah bersama 350 guni beras yang dirampas bernilai hampir RM20,000. - Foto Rahmat Othman 
Alor Setar: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Kedah merampas 350 guni beras dianggar bernilai RM20,000 yang dipercayai diseludup masuk menerusi sempadan di Bukit Kayu Hitam.

Lori membawa muatan 17.5 tan beras itu dipintas di Kilometer 10.5 Lebuhraya Utara-Selatan dari Bukit Kayu Hitam menghala Changlun, jam 5 pagi semalam.

Lori terbabit ditahan selepas pihak berkuasa curiga apabila ia dipandu terlalu perlahan pada waktu awal subuh yang sering menjadi pilihan penyeludup untuk beroperasi, selain penemuan butiran beras bertaburan dari lori terbabit.

Komander UPP Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman, berkata berdasarkan siasatan pemandu lori berusia 35 tahun itu mengaku diupah membawa muatan beras ke Jitra, selepas dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

Abdul Latif berkata, pihaknya percaya penyeludupan beras berlaku sejak akhir-akhir ini disebabkan permintaan tinggi untuk bahan itu bagi musim perayaan terutama Ramadan dan Aidilfitri.

Beliau berkata, sebuah lori 10 tan yang dianggar bernilai RM10,000 disita untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau tidak lebih 20 kali nilai barang atau dipenjara lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

11,500 liter diesel seludup dirampas


2014/06/18 - 03:03:25

Kulim: Kedudukan sebuah rumah di pekan Padang Serai di sini, yang menjadi tumpuan lori dan pacuan empat roda sehingga menimbulkan kecurigaan, terjawab apabila premis itu didapati dijadikan pusat pengumpulan haram diesel bersubsidi.

Premis yang dipagari zink diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Daerah Kulim, jam 6.30 petang kelmarin.

Berikutan serbuan itu, 11,500 liter diesel bersubsidi bernilai RM22,000 yang disorok di premis berkenaan, dirampas.

Ketua Cawangan KPDNKK Daerah Kulim/Bandar Baharu, Roffa Mat, berkata tiga tangki besi bertutup plastik hitam yang digunakan menyimpan diesel ditemui dalam premis itu yang setiap satunya boleh memuatkan 20,000 liter diesel.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan mendapati hanya satu tangki mengandungi 11,500 liter diesel.

“Berdasarkan maklumat, kawasan itu beroperasi dua bulan lalu sebagai sebagai tempat menyimpan diesel bersubsidi.

“Kita percaya diesel itu diperoleh dari stesen minyak sekitar Padang Serai dan Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan kemudian akan diseludup ke negara jiran atau dijual kepada industri,” katanya.

Penarik kereta diperintah bela diri


2014/06/18 - 03:04:24
Kes bunuh pengasas AmBank

Kuala Lumpur: Penarik kereta, Kong Swee Kwan, yang didakwa membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysia (AmBank) Hussain Ahmad Najadi, tahun lalu, diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Datuk Azman Husin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mati mandatori.

Terdahulu dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata melalui keterangan saksi, Dr Nurul Kharmila Abdullah, perbuatan tertuduh melepaskan tembakan itu menunjukkan niat tertuduh untuk membunuh.

Katanya, keterangan saksi menunjukkan tertuduh melepaskan tujuh das tembakan dari jarak dekat dalam dua insiden dan sempat membetulkan pistol sebelum melepaskan beberapa tembakan terakhir.

“Ketika tertuduh membetulkan pistolnya, elemen niat telah sedia wujud untuk menyudahkan kerjanya iaitu memastikan mangsa mati.

Ia diperkuatkan lagi apabila dia masuk dalam teksi dan berkata ‘gao dim’ (kerja sudah selesai).
Wan Shaharuddin berkata, saksi ke-17, Chew Sian Chee mengesahkan tertuduh berada di gerai makan dekat lokasi kejadian.

Puntung rokok yang ditemui disahkan mempunyai profil DNA berpadanan dengan profil DNA tertuduh.

Katanya, pegawai penyiasat Asisten Superintendan R Ananthan dan pegawai tangkapan, Asisten Superintendan Tay Chew Thwa, yang melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengesahkan kehadiran tertuduh di lokasi.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan bagi prosiding bela diri.

Pengurus didakwa bunuh bayi 6 bulan


2014/06/18 - 03:05:50
Shah Alam: Seorang pengurus syarikat perkhidmatan pembersihan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap tuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia enam bulan, akhir bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Wong Weng Yew, 41, yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dia dituduh membunuh Esmen Zeus Yves di rumahnya di Cannal Garden, Jalan Anggerik Vanilla 31/98S, Seksyen 31, Kota Kemuning di sini, antara 28 Mei hingga 31 Mei lalu.

14 Julai sebutan kes

Tertuduh kelihatan menganggukkan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin kemudian menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Rohaida Che Hamid manakala Weng Yew tidak diwakili peguam.
Difahamkan, isteri tertuduh yang juga ditahan ketika siasatan kes itu dijalankan sebelum ini, dilepaskan dengan bon mahkamah RM50,000 mengikut Seksyen 370 Kanun Acara Jenayah dan akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang bayi lelaki berusia enam bulan yang dibuang ke dalam gaung di Kilometer 3.2 Jalan Genting Highlands di Genting Highlands ditemui pada 4 Jun lalu.

Suspek dadah lolos di mahkamah


2014/06/18 - 03:14:44
Georgetown: Seorang lelaki yang dibawa ke Mahkamah Majistret di sini semalam, untuk menghadapi tuduhan memiliki dadah, meloloskan diri selepas membuka gari dan melompat tembok mahkamah.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika suspek, Mohd Faizal Naina Mohamad, 40, dibawa dari lokap Bayan Lepas menaiki trak polis ke mahkamah.

Dia dikatakan membuka gari sejurus turun dari kenderaan itu dan melompat tembok separas lutut sebelum cuba merampas motosikal ditunggangi seorang lelaki.

Bagaimanapun, apabila melihat penunggang motosikal itu terjatuh, suspek terus melarikan diri ke arah Jalan Love Lane sebelum menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata Mohd Faizal ditahan empat hari lalu di Gelugor kerana kesalahan memiliki dadah jenis heroin.

“Dia dibawa ke mahkamah untuk dituduh atas kesalahan itu. Kita percaya suspek masih berada di kawasan Georgetown dan gerakan memburunya sedang giat dijalankan,” katanya.

Warga tua antara 6 ditahan


2014/06/18 - 03:26:09

 Warga tua antara 6 ditahan
Koperal Razak Syukor (kiri) bersama Lans Koperal Mohd Ja'afar Ahmad dari Cawangan Trafik Unit Penguatkuasaan HMPV IPD Melaka Tengah meletakkan notis waran tangkap ke dalam peti pos di rumah pesalah trafik di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

Ops Warta: Semua pesalah trafik ada 12 waran tangkap

Melaka Tengah: Polis menahan enam pesalah trafik termasuk seorang wanita warga tua berusia 62 tahun dalam Ops Warta di negeri ini, semalam.

Mereka yang mempunyai waran tangkap ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Merdeka di sini, dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Jurucakap polis berkata, semua mereka berusia 17 hingga 62 tahun, termasuk seorang lelaki Indonesia berstatus penduduk tetap (PR) itu mempunyai 12 waran tangkap.

Sri Lanka kena perintah berkurung


2014/06/18 - 01:28:23

Alutgama: Sri Lanka mengenakan perintah berkurung di sebuah wilayah popular pelancong kelmarin berikutan rusuhan oleh penduduk Buddha yang membunuh tiga penduduk Islam dalam keganasan agama yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Pemimpin masyarakat tempatan mendakwa pihak berkuasa tidak banyak mengambil tindakan untuk menghalang kejadian pembunuhan itu yang menyebabkan beratus-ratus penduduk Islam kehilangan tempat tinggal selepas serangan terhadap kediaman mereka, rumah, kilang, masjid malah sebuah nurseri.

Seorang pemimpin Islam paling kanan kerajaan Presiden Mahinda Rajapaksa mengancam untuk meletak jawatan berikutan keputusan membenarkan militan Buddha berhimpun di wilayah yang dilanda rusuhan itu.

Rusuhan agama

Ketua hak asasi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Navi Pillay melahirkan kebimbangan bahawa rusuhan agama boleh merebak ke kawasan lain di Sri Lanka dan menuntut supaya Colombo segera membawa suspek yang melakukan serangan ke muka pengadilan.

“Kerajaan perlu segera melakukan apa saja yang boleh dilakukan untuk menghalang keganasan ini, membendung hasutan dan kebencian dan melindungi semua minoriti agama,” kata Pillay dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Geneva.

“Saya amat bimbangkan keganasan ini boleh merebak di kalangan penduduk Islam di kawasan lain di negara ini,” katanya.
Lebih banyak keganasan dilaporkan tercetus di kawasan peranginan pantai berkenaan di mana kedai dan rumah dibakar.

“Lebih banyak rumah dan kedai dibakar sepanjang malam,” kata satu sumber polis kepada AFP dari bandar Alutgama selepas satu lagi keganasan yang dilancarkan waktu malam oleh kumpulan pelampau. - AP

Kematian denggi di Selangor naik


2014/06/18 - 03:21:53

Shah Alam: Kes kematian demam denggi di Selangor untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini terus meningkat kepada 31 kes, berbanding 24 kematian sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, berkata jumlah itu semakin membimbangkan kerana kematian yang dicatatkan sehingga Jun tahun ini tinggi, sekali gus memerlukan tindakan drastik daripada semua pihak.

“Sehingga Jun, Petaling mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 11 kematian, Hulu Langat (8), Gombak dan Klang (5), manakala Kuala Selangor dan Hulu Selangor masing-masing dengan satu kematian.

“Jumlah kematian yang dicatatkan adalah untuk setengah tahun ini sahaja dan kita perlu pandang serius perkara ini. Kerjasama semua pihak termasuk penduduk atau orang ramai amat penting. Janganlah harap pihak berkuasa semata-mata untuk atasi isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas menghadiri sidang DUN di sini, semalam.

Chang Khim berkata, sehingga semalam, kes daftar denggi bagi seluruh Selangor ialah sebanyak 23,159 kes.

“Kes daftar denggi ialah kes yang perlu melalui ujian makmal untuk sahkan pesakit ini kena denggi atau tidak. Kes daftar denggi yang paling banyak ialah Petaling sebanyak 10,195, Hulu Langat (5,083), Klang (3,647), Gombak (3,202), Hulu Langat (347), Hulu Selangor (265), Kuala Selangor (179), Sepang (147) dan Sabak Bernam (96),” katanya.
Sementara itu, 293 kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhadap pemilik premis yang didapati tidak menjaga persekitaran premis hingga menyebabkan berlaku pembiakan nyamuk Aedes.

Semburan kabus

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata 290 premis dikesan positif menjadi tempat pembiakan jentik-jentik aedes sepanjang pemeriksaan dijalankan MBSA bermula awal tahun ini hingga 14 Jun lalu.

Katanya, MBSA turut menjalankan pemeriksaan terhadap sebanyak 64,999 premis membabitkan rumah kediaman, kedai, dan restoran sekitar Shah Alam.

“Pemeriksaan kawalan denggi dilakukan oleh unit kawalan vektor Jabatan Perkhidmatan Bandar MBSA bagi mengurangkan kes demam denggi di sekitar bandaraya ini.

“Kami turut menjalankan aktiviti semburan kabus (fogging) di 475,212 premis setakat ini dan akan diteruskan bagi membanteras pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

EXCO Kesihatan dan Pembangunan Sukan Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, berkata 1,099 kes denggi dilaporkan di negeri ini dari Januari hingga 7 Jun lalu, berbanding 199 kes bagi tempoh sama tahun lalu, peningkatan sebanyak 452.3 peratus.

Pegawai polis hilang di air terjun Sungai Tungku


2014/06/18 - 02:46:48

IPOH: Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) hilang ketika berada di air terjun Sungai Tungku, RPS Banun di Gerik, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai ASP Mior Fahim dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak adalah peserta pasukan kenderaan pacuan empat roda (4x4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik yang turut disertai Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani tiba di perkampungan terbabit kira-kira jam 4.30 petang.

Difahamkan, mangsa bersama dua pegawai polis yang lain pergi ke kawasan air terjun terbabit selepas selesai makan tengahari.

Salah seorang pegawai terbabit melihat mangsa turun mandi ke air terjun sebelum hilang dari pandangan.

Sehingga kini, usaha mengesan mangsa masih dijalankan.

Kilang mihun disita terbakar



API yang merebak memusnahkan kilang mihun dan empat buah premis lain dalam kebakaran di Batu 7, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sebuah kilang mihun yang diarah tutup serta-merta oleh pihak berkuasa pada 10 Jun lalu kerana didapati memproses bahan itu dalam keadaan kotor merupakan antara empat premis yang musnah dijilat api dalam kejadian di Batu 7, Jalan Ipoh di sini semalam.
Dalam kebakaran pada pukul 2 pagi itu, turut hangus ialah dua buah bengkel besi dan sebuah premis pendawaian elektrik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, operasi memadam kebakaran itu melibatkan tujuh buah jentera dengan kekuatan 40 anggota iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Rawang, Sungai Buloh, Hang Tuah dan Gombak Selatan.
Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran tersebut mempunyai unsur sabotaj ekoran isu kebersihan di kilang membuat mihun itu sehingga ia dikenakan tindakan tutup serta-merta.
"Semasa bomba tiba di tempat kejadian, api daripada kilang mihun itu telah marak sehingga merebak ke empat buah premis perniagaan lain di bangunan kedai tersebut," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Azrul memberitahu, api berjaya dikawal kira-kira sejam selepas ketibaan bomba sebelum dipadam sepenuhnya pada pukul 5 pagi.
Bagaimanapun, kata beliau, tiada mangsa yang cedera dalam kebakaran itu dan jumlah kerugian masih disiasat.
Kosmo! pada 11 Jun lalu melaporkan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan sebuah kilang membuat mihun di Jalan Ipoh ditutup serta-merta selepas didapati memproses bahan itu dalam keadaan kotor dan menjijikkan.
Pemeriksaan di kilang tersebut mendapati premis itu kotor selain terdapat pembiakan jentik-jentik di sekitar kawasan berdekatan premis.
Selain itu, pengusaha kilang mihun itu juga didapati menggunakan lambang masjid dan logo halal tidak diiktiraf pada pembungkusan mihun tersebut bagi mengaburi mata pengguna beragama Islam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz34wQ7Sxp3 
Hakcipta terpelihara