Anggota Taliban yang menyamar pasukan keselamatan menyerang lapangan terbang paling sibuk di Pakistan lewat kelmarin, menyebabkan 28 orang terbunuh dalam pertempuran sepanjang malam.
Serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di Karachi, hab perdagangan utama negara itu yang mempunyai 18 juta penduduk, sekali gus memusnahkan prospek rundingan damai antara kumpulan itu dengan kerajaan Perdana Menteri Nawaz Sharif.
Nawaz menjadi perdana menteri tahun lalu dengan janji untuk mengakhiri keganasan menerusi rundingan.
Ia juga memberi tamparan hebat kepada usaha Nawaz untuk menarik lebih ramai pelabur bagi memulihkan pertumbuhan ekonomi negara itu.
Ia mencetuskan persoalan mengenai keselamatan di lokasi penting.
Serangan bermula sejurus sebelum tengah malam waktu tempatan apabila 10 lelaki beruniform dan lengkap bersenjata menyerbu terminal lama lapangan terbang itu yang biasanya digunakan untuk penerbangan sewa khas dan eksekutif.
Pertempuran meletus sepanjang malam sehingga pasukan keselamatan menguasai semula lapangan terbang itu pada waktu subuh.
Penumpang berjaya dipindahkan sementara semua penerbangan diarah mendarat di lapangan terbang lain.
Taliban Pakistan, pakatan yang menggabungkan beberapa kumpulan militan, mengaku bertanggungjawab dengan berkata, ia reaksi kepada serangan tentera ke atas kubu mereka di sempadan Afghanistan.
“Ini mesej kepada kerajaan Pakistan bahawa kami masih hidup untuk bertindak balas terhadap pembunuhan orang tidak berdosa dalam serangan bom ke atas kampung kami,” kata jurucakap kumpulan itu, Shahidullah Shahid.
Tentera Pakistan berkata, penyerang terdiri daripada etnik Uzbekistan.
Sudah menjadi kebiasaan bagi pegawai Pakistan menyalahkan militan asing yang bersembunyi di sempadan Afghanistan untuk melancarkan serangan bersama-sama Taliban Pakistan di negara itu.
“Tiga militan meletupkan diri mereka dan tujuh ditembak mati oleh pasukan keselamatan.
Penyerang kelihatan seperti etnik Uzbekistan,” kata jurucakap tentera Pakistan, Rizwan Akhtar.
Karachi ialah bandar raya terbesar dan hab utama kegiatan perniagaan.
Bagaimanapun, ia juga lokasi keganasan dan kekacauan, tempat militan dan kumpulan penjenayah beroperasi secara bebas.
Dalam kejadian semalam, pertempuran berlarutan selama lima jam.
Sekurang-kurangnya tiga letupan kuat kedengaran apabila militan yang memakai jaket lengkap dengan bom meletupkan diri mereka.
Menjelang subuh, tentera berkata, mereka sudah menguasai sepenuhnya lapangan terbang itu.
Bagaimanapun, kepulan asap dapat dilihat di atas bangunan.
Tentera Pakistan berkata, sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh, termasuk semua 10 penyerang.
Antara baki 14 mangsa, empat ialah pekerja lapangan terbang.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/10