Search This Blog

Friday, June 6, 2014

Serah pada ‘Abang Long’


Oleh Mohd Rizal Abdullah
Kuala Lumpur: Tindakan sekumpulan samseng mengutip wang perlindungan kononnya untuk diserahkan kepada ‘Abang Long kawasan’ mengundang padah apabila salah seorang daripada mereka diberkas polis berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, suspek berusia 44 tahun bersama dua lagi rakannya meminta wang perlindungan sebanyak RM5,000 setiap bulan daripada seorang kontraktor sebuah syarikat bekalan air.


Sumber polis berkata, wang itu bagi menjaga kawasan mangsa selain mengelakkan mangsa diganggu oleh ahli kumpulan lain.



Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, suspek sebelum ini pernah memeras ugut mangsa dan kali terkahir pada pada 13 Mei lalu. “Bagaimanapun, mangsa ketika itu hanya menyerahkan RM300 sebagai wang pendahuluan berikutan bimbang dicederakan,” katanya kepada Harian Metro.


Kumpulan penjenayah terbabit kemudian muncul semula di tempat kerja mangsa, pada Rabu lalu untuk mendapatkan lagi wang perlindungan.


“Mereka menyamar sebagai pekerja kontrak untuk memasuki tempat mangsa bekerja. Bagaimanapun, tindakan itu disedari anggota polis bantuan yang yang bertugas di bangunan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, salah seorang daripada tiga penjenayah terbabit berjaya diberkas manakala dua lagi rakannya sempat melarikan diri.


“Pihak polis kini sedang melakukan siasatan termasuk operasi untuk mengesan dua lagi suspek terbabit.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan peras ugut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Baru 3 hari dah kemalangan


Seremban: Seorang lelaki yang baru tiga hari memulakan kerja sebagai pemandu lori cedera di kaki, selepas lori yang dipandunya dikatakan mengalami masalah brek lalu merempuh sebuah lori lain dan tembok Plaza Tol Rasah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, lori membawa muatan pasir dipandu mangsa berusia 30-an terbabit dikatakan cuba menekan brek beberapa kali sebelum tiba di plaza tol berkenaan, namun tidak berhasil.


Saksi, Basir Yahya, 61, yang juga pengawal keselamatan di tol berkenaan menyedari kehadiran lori itu sebaik mendengar bunyi brek yang kuat.



“Mangsa cuba memberhentikan lori dipandunya itu sejurus menghampiri plaza tol, namun dia dipercayai gagal berbuat demikian kerana mengalami masalah brek. “Berikutan itu, mangsa cuba mengelak merempuh sebuah lagi lori yang membawa muatan pasir, namun gagal menyebabkan lorinya hilang kawalan lalu merempuh pula tembok plaza tol itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Menurutnya, akibat rempuhan itu, pekerja tol segera membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum bertindak menghubungi bomba dan ambulans.


Basir berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Cemas cucu tersepit


Melaka: “Isteri sempat menarik keluar seorang daripada cucu sebelum sekelip mata tebing konkrit itu runtuh menghempap hampir keseluruhan kereta mengakibatkan seorang lagi cucu tersepit,” kata Tham Peng Yong, 59, datuk kepada Koh Sue Siang, 9.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Koh hanya mengalami luka kecil pada kaki akibat tersepit selepas tebing konkrit di belakang taman perumahan bersebelahan Toyota Corolla milik datuknya yang diparkir di Jalan C P1/21B, Taman Cheng Perdana, Cheng, di sini runtuh menghempap kereta berkenaan, kelmarin. 
Kejadian turut mengakibatkan Tham bersama isterinya, Wong Yok Moy, 57, melalui detik cemas apabila menyaksikan sendiri cucu mereka itu dihempap runtuhan dan terpaksa menunggu hampir setengah jam sebelum kanak-kanak berkenaan diselamatkan. 

Dalam kejadian itu, bahagian hadapan sebuah BMW yang diparkir berhampiran turut ditimbus runtuhan dan Toyota Wish dipandu Mohd Akhbar Shahril, 35, yang melalui jalan berkenaan ketika kejadian rosak terkena serpihan runtuhan, manakala sebatang tiang elektrik patah dua dihempap tebing konkrit terbabit.
Foto
KOH tersepit selepas kereta dinaiki ditimbus runtuhan.

Dipercayai tebing konkrit yang baru siap dibina kira-kira enam bulan lalu itu runtuh berikutan berlaku hakisan tanah di kawasan berkenaan kerana hujan lebat berterusan yang melanda negeri ini sejak petang kelmarin.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

8 minit keluar budak


Melaka: Pasukan bomba dan penyelamat hanya mengambil tempoh lapan minit bagi mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang terperangkap selepas kereta datuknya musnah ditimbus runtuhan tebing konkrit di Taman Cheng Perdana, Cheng, di sini, kelmarin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Ahmad Adli Abd Rahman berkata, mangsa, Koh Sue Siang hanya cedera ringan di bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan serta rawatan.


Katanya, pihaknya menerima panggilan jam 10.34 malam dan jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu serta Jalan Kubu tiba di lokasi jam 10.50 malam.



“Ketika tiba, terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun terperangkap di dalam Toyota Corolla yang ditimbus runtuhan berkenaan.


“Namun, dengan kekuatan 11 anggota diketuai Ketua Operasi Ketua BBP Tangga Batu Roslan Jalil dibantu orang awam serta menggunakan sebuah jengkaut, mangsa selamat dikeluarkan jam 10.58 malam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, kelmarin.


Menurutnya, pihaknya sedang memantau keadaan tanah di kawasan itu bagi memastikan ia stabil.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Goda wanita serah RM291,000


Lagos: Seorang lelaki Nigeria didakwa kerana menggoda dan menipu seorang wanita Australia kononnya mereka akan berkahwin.

Jurucakap Suruhanjaya Jenayah Ekonomi dan Kewangan (EFCC), Wilson Uwujaren berkata, lelaki itu meyakinkan mangsa bahawa dia memerlukan wang kira-kira RM291,000 untuk membuat persiapan perkahwinan.



“Lelaki itu dihadapkan ke mahkamah di Ibadan atas tuduhan penipuan dan menerima sejumlah wang daripada seorang wanita warga Australia atas tuntutan palsu,” katanya.

Menurut Uwujaren, Orowo Jesse Omokoh bertemu Jette Jacobs, 67, yang menetap di Johannesburg, Afrika Selatan melalui Internet pada 2012.

Selepas beberapa kali berhubung, Omokoh berjanji untuk berkahwin dengan Jette.

Namun, dia dan beberapa individu lain memperdaya wanita terbabit dengan menuntut wang sebagai ‘persiapan’ perkahwinan mereka di Nigeria.

“Orowo meninggalkan Nigeria untuk bertemu Jette pada 4 Februari 2013 dan lima hari kemudian wanita itu ditemui mati di apartmennya di Johannesburg,” katanya.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Cari senjata, jumpa mayat tanpa kepala


Bangkok: Penyelam polis yang mengesan senjata disembunyikan kumpulan penentang kerajaan dalam tali air di Bangkok menemui lebih daripada apa yang mereka jangka, semalam.

Pada awalnya mereka menemui objek berat dan mencurigakan di dasar tali air itu kira-kira jam 2 petang.

Apabila dibawa keluar, polis mendapati bungkusan berbalut kanvas biru itu mengandungi mayat reput tanpa kepala dengan sebahagian daripadanya sudah tinggal rangka.



Polis kemudian melakukan operasi mengesan dengan lebih meluas sebelum menemui tengkorak mayat berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Bangkok Itthipol Piriyapinyo berkata, individu terbabit dipercayai mati kira-kira sebulan lalu.

“Polis juga menemui kad tanda pengenalan kakitangan Bank Koperasi Pertanian di dalam tali air itu,” katanya.


Sebelum kudeta berlaku, kawasan berhampiran Rumah Kerajaan itu menjadi tempat penunjuk perasaan daripada Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat berkampung untuk mendesak kerajaan Yingluck Shinawatra dibubarkan.


Itthipol berkata, operasi semalam juga menemui sejumlah besar senjata berbahaya di dasar tali air berkenaan.

Antaranya, puluhan kelopak peluru kosong, dua grenad asap dan bom tangan palsu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Polis pangkat sarjan ditahan SPRM


Oleh Siti Nadirah Hafidzin
Johor Bahru: Seorang anggota polis berpangkat sarjan ditahan sekumpulan anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah, Rabu lalu.

Difahamkan, anggota polis berusia 27 tahun itu ditahan pada jam 11.10 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) sebelum dibawa ke pejabat SPRM Johor bagi meneruskan siasatan.


Anggota terbabit bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik IPD JBU dan mula berkhidmat sebagai anggota polis pada tahun 2011.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Simi Abdul Ghani berkata, pihaknya mengesahkan penahanan dibuat dan kes itu kini masih dalam siasatan lanjut.


Menurutnya, selepas siasatan selesai dijalankan kertas siasatan berkaitan kes akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

200 ‘disembelih’ Boko Haram


Maiduguri: Militan Boko Haram yang memakai seragam tentera membunuh sekurang-kurangnya 200 penduduk di tiga buah kampung di timur laut Nigeria.

Saksi semalam berkata, tentera gagal menangani perkara itu walaupun amaran mengenai serangan berkenaan sudah diberikan lebih awal.

Seorang pemimpin masyarakat yang menyaksikan pembunuhan itu berkata, penduduk di daerah Gwoza merayu agar tentera menghantar pasukan bagi melindungi kawasan itu selepas mendapat tahu rancangan militan terbabit.

Namun, katanya, tentera tidak muncul.

Pembunuhan berlaku di kawasan Danjara, Agapalwa dan Antagara.



“Kami menyangka mereka adalah pasukan tentera yang memberi bantuan,” katanya.

Dia bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri.

Kumpulan Boko Haram tiba dengan kenderaan pacuan empat roda dan memberitahu penduduk kampung kononnya mereka adalah pasukan tentera yang datang memberikan bantuan.

Taktik sama digunakan mereka ketika menculik lebih 300 pelajar perempuan dari sebuah sekolah di Chibok pada 15 April lalu.

Saksi berkata, selepas penduduk berkumpul, mereka mula melepaskan tembakan sehingga semua yang berada di situ mati.

Kejadian kejam itu disahkan Senator Mohammed Ali Ndume yang mewakili wilayah Borno dan seorang pegawai kanan keselamatan yang dirahsiakan identitinya.

Maklumat mengenai kejadian itu disampaikan mereka yang terselamat selepas beberapa hari ia berlaku kerana perjalanan dari kawasan berkenaan ke Maiduguri sangat berbahaya dan tiada talian telefon.


- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Sebat lapan kali di mahkamah


Ampang: Seorang penuntut kolej mendapat pembalasan dan pengajaran apabila disebat lapan kali menggunakan rotan halus di hadapan ahli keluarga dan orang awam di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, tahun lalu.
Ainur Asyriq Aizamuddin, 19, disebat oleh pegawai dari Penjara Kajang di hadapan Hakim Manira Mohd Nor sambil disaksikan ibu bapa remaja itu, wartawan dan orang awam yang berada di galeri awam mahkamah.
Bagaimanapun hukuman sebatan ringan yang dikenakan ke atas tertuduh adalah bagi pertuduhan kedua. 

Pada 14 Mei lalu, bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman perintah kehadiran wajib dalam tempoh tiga bulan, setiap hari selama empat jam ke atas tertuduh mengikut Seksyen 5(1) Akta Kehadiran Wajib 1954 dan bon jaminan bercagaran RM6,000 dengan seorang penjamin.
Foto

Sementara itu, pada prosiding hari ini, tertuduh yang bertubuh kurus kelihatan tenang ketika diperintahkan membongkok di bahagian meja hadapan galeri mahkamah untuk disebat menggunakan rotan sepanjang anggaran satu meter.

Sesekali, tertuduh mengaduh kesakitan ketika disebat. 

Terdahulu, mahkamah memerintahkan doktor yang hadir memeriksa tahap kesihatan pesalah muda berkenaan sebelum sebatan dijalankan.

Selepas dia disahkan sihat, proses sebatan dimulakan terhadap tertuduh. 

Pada 13 Disember 2013, tertuduh mengaku salah terhadap dua tuduhan merogol mangsa yang juga teman wanitanya yang ketika itu berusia 15 tahun 11 bulan masing-masing pada 29 November 2013 jam 9 pagi dan 7 Disember 2013 jam 4 petang di sebuah rumah, dekat sini. 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Kedutaan Singapura terima aduan pelik


Singapura: Kerajaan semalam mendedahkan Kedutaan Singapura menerima banyak ‘permintaan pelik’ dan tidak berkenaan dengan bidang tugas yang ditetapkan.

Menteri Luar K Shanmugam berkata, antara ‘masalah’ yang dirujuk kepada kedutaan ialah mengenai khidmat seks yang tidak memuaskan.

“Ada seorang lelaki cuba mendapatkan bantuan kedutaan kami untuk mendapatkan pulangan bayaran atas khidmat seks yang tidak digemarinya,” katanya.

Justeru, Shanmugam menyeru rakyat Singapura di luar negara agar tidak menyalahgunakan khidmat di kedutaan mereka.

Katanya, jumlah warga Singapura yang melancong keluar negara mencecah tujuh juta orang pada 2013 berbanding 3.6 juta 10 tahun lalu.

“Kami mengendalikan lebih 3,000 kes yang dilaporkan di kedutaan tahun lalu dan kebanyakannya adalah benar, tetapi kadang-kala kami mendapat permintaan yang pelik..

“Dia tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diterimanya dan di sini saya tegaskan, kami tidak dapat membantu dalam hal itu!,” katanya.

Shanmugam juga menyatakan mereka terpaksa menolak permintaan seorang lelaki untuk menyiasat dakwaan ‘diskriminasi kaum’ yang terjadi di luar negara.

Lelaki berkenaan mendakwa dia menerima kepingan ayam yang lebih kecil di sebuah restoran makanan segera berbanding kepingan yang diberikan kepada masyarakat tempatan.

“Dia mahu kedutaan menyiasat perkara ini dan mendapatkan keadilan di negara berkenaan atas layanan berat sebelah diberikan,” katanya.



- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Tiga beranak termasuk wanita hamil maut kemalangan


TANAH MERAH 6 Jun - Tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun maut apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Machang - Jeli, berhampiran Kampung Bechah Laut di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, seorang lelaki dan anaknya maut di tempat kejadian manakala isterinya yang memandu kereta jenis Proton Wira meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tanah Merah.
Difahamkan wanita tersebut sedang hamil tujuh bulan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140606/dn_38/Tiga-beranak-termasuk-wanita-hamil-maut-kemalangan#ixzz33rxVPdag
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Air masuk ban pecah


Kampar: Kira-kira 500 penduduk kampung di sekitar daerah Kampar dan Batang Padang terpaksa dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar, Jalan Kuala Dipang, di sini, awal pagi semalam, selepas hujan lebat lebih empat jam yang melanda beberapa daerah di negeri ini menyebabkan berlakunya banjir kilat.
Hujan yang bermula kira-kira jam 4 petang, kelmarin, itu turut menyebabkan ban pecah dan air melimpah ke dalam kampung yang berdekatan dengan kawasan Sungai Kampar dan Sungai Dipang.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang melawat mangsa banjir di SMK Kampar berkata, mangsa banjir ditempatkan di sekolah berkenaan membabitkan tujuh kampung iaitu Kampung Baru Kuala Dipang, Kampung Kuala Dipang, Kampung Pasir, Kampung Malaya dan Kampung Nyior di daerah Kampar manakala Kampung Baru, Chenderiang dan Batu 3, Temoh di daerah Batang Padang.

“Berdasarkan pertemuan antara saya dan mangsa banjir, kebanyakan mereka mendapati punca berlakunya banjir adalah disebabkan keadaan sungai yang mengalami pemendapan menjadikan kawasan itu cetek.
Foto
PENDUDUK bergotong-royong membersihkan laman Tabika Kemas, semalam.
Foto
PENDUDUK kampung membersihkan Tabika Kemas yang berlumpur .

“Justeru, perkara ini perlu diambil perhatian. Saya meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memeriksa semula dan melakukan pembaikan pembinaan tembok yang dibina sebelum ini,” katanya.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Lelaki warga emas ditemui lemas di Pantai Teluk Duyung


06/06/2014 8:33pm

GEORGE TOWN - Seorang lelaki warga emas ditemui mati lemas ketika mandi di Pantai Teluk Duyung, Teluk Bahang dekat sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Lai Fah Hin berkata, mayat Lee Lam Pai,
61, ditemui orang awam pada 12.45 tengah hari sebelum dibawa ke jeti Taman Negara Pulau Pinang.
"Mangsa dari Sungai Petani, Kedah bersama keluarganya datang dengan menaiki dua bot persendirian untuk berkelah di pantai tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_21.htm#ixzz33rtqzzJB 
Hakcipta terpelihara 

Nenek maut, dua cucu cedera nahas kereta dekat Bukit Besi


2014/06/06 - 20:15:43 PM
DUNGUN: Seorang nenek maut, manakala dua cucunya parah apabila kereta dinaiki mereka bertembung sebuah kereta lain di Kilometer (KM) 84.9, Jalan Jerangau-Jabur, Ladang Gajah Mati, dekat Bukit Besi, di sini, 5 petang tadi. 

Tanggung malu di hari persandingan

Hawa menunjukkan laporan polis dan senarai tempahannya kepada katering berkenaan.
Hawa menunjukkan laporan polis dan senarai tempahannya kepada katering berkenaan.
KLUANG - Seorang pengantin dari Kampung Kurnia, di sini, terpaksa menanggung malu apabila sajian hidangan untuk majlis perkahwinan didakwa dihantar lewat ketika majlis berlangsung, Sabtu lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Hawa, 22, tidak menduga katering yang ditempah sejak enam bulan lalu itu akan berbuat demikian kerana bayaran sudah diselesaikan Disember lalu.

Menurutnya, malah sebelum majlis berlangsung pihaknya sudah menghubungi katering berkenaan untuk mengetahui sama ada persiapan berjalan lancar atau sebaliknya.

“Dua hari sebelum majlis, kami ada telefon, tetapi tidak diangkat kemudian pihak katering datang ke rumah dan maklumkan segalanya berjalan lancar.

“Walaupun, sebelum ini kami sekeluarga ada juga terdengar pihak katering hantar lewat sewaktu majlis berlangsung, tetapi apabila ditanya pihak katering memberi jaminan mereka akan tepati masa.

“Sabtu itu (31 Mei), katering berkenaan mempunyai lebih kurang tiga tempahan majlis perkahwinan di Yong Peng, Segamat dan di tempat kami.

“Entah macam mana pada majlis berlangsung, lori katering hanya tiba pada jam 2.45 di  dewan Felda Ayer Hitam.

“Tetapi sebelum lori sampai ahli keluarga ada pergi ke tempat katering lebih kurang pukul 1 lebih untuk mengambil nasi.

“Jam 2.45 petang lori lauk-pauk baharu sampai. Bayangkan keadaan ketika itu bagaimana hendak bagi makan kepada tetamu yang hadir.

“Kami memang malu disebabkan kelewatan katering berkenaan,” katanya ketika ditemui semalam. Hawa Nazira berkata, ahli-ahli keluarga terpaksa membeli makanan di kedai makan di sekitar Kluang untuk menjamu tetamu yang datang.

Katanya, sementara menunggu makanan katering itu tiba, pihaknya membelanjakan lebih kurang RM2,000 untuk membungkus makanan dari luar semata-mata mengenangkan tetamu yang hadir.

“Pada ketika itu kami tidak tahu ingin berkata apa malah pihak katering yang sampai lambat pun hanya dihantar oleh pekerjanya sahaja bukan bos mereka.

“Kita ada telefon bos mereka, tetapi tidak dijawab dan kami juga ada telefon di pelanggannya yang menempah tempahan yang sama pada hari itu dan mereka pun menerima nasib yang sama. Makanan mereka juga datang lambat dan tidak cukup sepertimana yang ditempah sebelum ini.

“Jika pihak katering memaklumkan mereka akan lambat, kami boleh cari jalan lain bagi menyediakan makanan dan bukannya hanya berdiam diri dan kita pun ternanti-nanti mereka datang. Pada majlis itu kami memang malu sangat dan kami telah mengambil tindakan membuat laporan polis di atas apa yang berlaku.

“Ini adalah salah katering dan pihak kami telah membayar sebanyak RM8,400 kepada katering berkenaan, tetapi apa yang kami dapat makanan yang diberi tidak seperti apa yang kami tempah malah tidak mencukupi,” katanya.

Hawa Nazira berkata, pihaknya cuba menelefon katering berkenaan selepas majlis, namun gagal dihubungi malah pejabatnya di Taman Makmur juga sudah tidak beroperasi.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas katering berkenaan di atas kelewatannya menghantar makanan,” katanya.

Edar dadah: Tiga rakan ke tali gantung

dadah


SHAH ALAM - Tiga rakan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi semalam selepas didapati bersalah mengedar  202.2 gram heroin dan morfin dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Datuk Akhtar Tahir selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan pada akhir kes.

Dalam penghakimannya, Akhtar berkata, tertuduh kedua memainkan peranan penting pada hari kejadian.

"Dalam pembelaan, tertuduh kedua menyatakan bahawa beliau hanya menjalankan arahan abang iparnya," katanya.

Menurutnya, mahkamah mendapati terdapat percanggahan dalam keterangan tertuduh.

"Ia bukan sahaja sukar dipercayai, namun juga melucukan," katanya.

Beliau berkata, pihak pembelaan tidak pernah membangkitkan isu tersebut pada peringkat pendakwaan dan abang ipar tertuduh juga tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan di Mahkamah.

Penjual peralatan sembahyang Hindu, A Viganeswaran, 38, pemilik pusat pencuci kereta, K Nathan, 36, dan penjual nasi lemak P Selvam, 31 yang mana kesemuanya kini tidak bekerja didakwa mengedar 160 gram heroin dan 42.2 gram morfin di tapak letak kereta, Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak.

Perbuatan itu didakwa dilakukan jam 1.30 pagi pada 11 Ogos 2012.

Pendakwaan dilakukan oleh Hasila Awang yang mewakili rakannya, Mohd Zaki Mohd Salleh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh diwakili oleh peguam bela, Zamri Ibrahim, Datuk N Sivananthan dan Katherine Susan.

Mayat dipercayai Gareth David Huntley

Mayat dipercayai Gareth David Huntley dibawa menggunakan helikopter ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat semalam. - Foto Bernama
Mayat dipercayai Gareth David Huntley dibawa menggunakan helikopter ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat semalam. - Foto Bernama
SHAH ALAM - Mayat seorang lelaki yang ditemui pada petang Rabu lepas dipercayai Gareth David Huntley.

Kelmarin, pasukan penyelamat menjumpai mayat yang sudah reput di Sungai Mentawak, kira-kira 20 minit dari unit penyimpanan kayak di chalet Juara Lagoon ketika mereka dalam perjalanan pulang dari operasi mencari.

Sementara semalam pula, pihak berkuasa menemui iPhone dipercayai milik lelaki yang mayatnya ditemui berdekatan sebuah chalet terbabit.

Kawasan tersebut merupakan salah satu laluan untuk ke air terjun Lubuk Teja yang ingin dikunjungi Huntley, 34, sebelum hilang pada 27 Mei lalu.

Polis kini masih menunggu keputusan DNA yang sedang dijalankan.

Polis temui telefon bimbit mangsa

Polis temui telefon bimbit mangsa
Anggota polis mengiring Janet Southwell (kiri) dan teman wanita Huntley, Kit Natariga ketika tiba di bilik mayat HTAA, Kuantan bagi pengecaman mayat yang ditemui di Kampung Juara, Tioman, semalam. - Foto Luqman Hakim Zuber
 Kes warga Britain hilang di Pulau Tioman: iPhone dipercayai milik Huntley ditemui berhampiran lokasi mayat

Kuantan: Polis menemui telefon bimbit dipercayai milik Gareth David Huntley, warga Britain yang dilaporkan hilang di Air Terjun Lubuk Teja, Pulau Tioman sejak minggu lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata telefon jenama iPhone itu ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, berhampiran lokasi mayat lelaki hampir reput yang ditemui di Sungai Mentawak, tidak jauh dari Chalet Projek Penyu Juara, Pulau Tioman, petang kelmarin.
“Anggota kita masih mencari bukti lain termasuk dokumen pengenalan diri yang mempunyai kaitan dengan mayat berkenaan.

Wanita warga asing ditahan tawar khidmat seks


6 Jun 2014

GEORGETOWN - Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan enam wanita rakyat asing dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam serbuan di hotel bajet sekitar Jalan Penang dan Lebuh Chulia, awal hari ini.
   
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri Basri Othman berkata mereka yang ditahan dalam operasi pada 2 pagi itu ialah dua warga Laos, dua Indonesia, seorang Vietnam dan seorang Nigeria berumur antara 20-an dan 30-an.
   
"Lima daripada mereka menggunakan pas lawatan sosial manakala seorang lagi warga Nigeria masuk ke negara ini dengan pas pelajar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
   
Hasil risikan dan pemantauan selama dua minggu mendapati wanita berkenaan menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan mereka dengan kadar bayaran serendah RM120 hingga RM150.
   
Beliau berkata, warga asing itu dihantar ke Depo Tahanan Imigresen, Juru untuk siasatan mengikut Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas masuk ke negara ini. - Bernama

Tiga maut dalam kemalangan libatkan rombongan pernikahan


06/06/2014 9:24pm

TANAH MERAH - Rombongan pernikahan lima buah kereta bertukar sedih apabila tiga beranak termasuk seorang ibu yang sedang sarat mengandung maut dalam satu kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan, di Kampung Bechah Laut, sini petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5 petang itu, Proton Wira yang dipandu oleh Yus Zairi Mohd. Yusof, 29, membawa empat penumpang yang lain iaitu Hafiza abdul halim 30, Rogayah Makhtar, 55, Muhammad Hakimi, 9, Azmira Najwa, 6, dan

Mohd. Zafril Yus Zairie, 9 bulan, dikatakan bertembung dengan dengan sebuah pacuan empat roda, Toyota Fortuner.

Yus Zairi dan Mohd. Zafril meninggal di tempat kejadian manakala Hafiza yang mengandung tujuh bulan maut di Hospital Tanah Merah. - KOSMO!



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_25.htm#ixzz33rsgrBHT
Hakcipta terpelihara 

Kes denggi di Pahang naik 121 peratus


2014/06/06 - 04:49:27
Kuantan: Sebanyak 493 kes kes demam denggi dilaporkan di Pahang dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, meningkat 121 peratus berbanding 223 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan ketara membabitkan daerah Kuantan, Temerloh dan Maran, terutama antara 25 Mei hingga 1 Jun lalu. Kuantan merekodkan 261 kes, Jerantut (62), Temerloh (55), Raub (29), Maran (27), Bentong (23), Bera (13), Pekan (9), Lipis (8), Rompin (4) dan Cameron Highlands (2).

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata sebanyak tiga kawasan wabak aktif dikenal pasti di negeri ini, iaitu Taman Setali Jaya di sini, susulan tiga kes yang dilaporkan selain Kampung Baru Karak, Benting (6) dan FELDA Padang Piol, Jerantut (7).

“Antara punca wabak tidak terkawal di FELDA Padang Piol kerana pembiakan nyamuk Aedes dalam kolah air di rumah. Setakat ini, penduduk di situ diminta menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik yang boleh diperoleh dari kakitangan jabatan yang melakukan pemeriksaan atau Pejabat Kesihatan Jerantut secara percuma,” katanya semalam.

Dr Norhizan berkata, ubat itu juga boleh dibeli di kedai runcit dan pasar raya untuk memastikan masalah itu dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Kita nasihatkan orang ramai supaya jaga kebersihan dan sentiasa memastikan tiada barang seperti tin, bekas makanan atau kotak yang boleh menakung air di kawasan persekitaran,” katanya sambil menambah, peningkatan kes juga berpunca daripada iklim panas dan virus dapat disebarkan dengan lebih cepat.

Jual komputer kosong tarik pelanggan


2014/06/06 - 05:02:47
Shah Alam: Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor merampas 10 unit komputer riba serta 22 salinan perisian cetak rompak bernilai RM51,200 dalam serbuan di Puchong dan Shah Alam, Isnin lalu.

Ketua Penguatkuasanya, Othman Nawang, berkata dalam serbuan pertama pada jam 2 petang itu, lima unit komputer riba jenama Lenovo dan 12 salinan perisian cetak rompak dirampas dari sebuah kedai komputer di Puchong Jaya.

Serbuan kedua

“Dalam serbuan kedua, kami merampas lima komputer riba jenama yang sama serta 10 perisian cetak rompak dari sebuah pasar raya di sini,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, antara perisian disyaki cetak rompak yang dirampas ialah Adobe Photoshop, Autodesk Maya dan Microsoft Office Enterprise.

“Siasatan menunjukkan kedua-dua premis menjual komputer kosong (tanpa perisian) dengan harga murah untuk menarik perhatian pelanggan supaya membeli komputer yang dijual,” katanya.

Produk kecantikan tiruan RM500,000 dirampas


2014/06/06 - 04:56:02
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur merampas produk kecantikan tiruan bernilai hampir RM500,000 dalam operasi serbuan di sebuah pusat beli belah, kelmarin.

Serbuan membabitkan enam premis susulan risikan selama sebulan yang dilakukan bahagian penguatkuasa agensi terbabit.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur, Rosli Ahmad, berkata semua produk berkenaan dikesan menggunakan jenama terkenal dan dikhuatiri memberi kesan sampingan kepada penggunanya.

Jual harga murah

“Barangan itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara untuk pasaran tempatan pada harga murah bagi menarik pembeli.

“Rampasan membabitkan 42,717 unit produk kecantikan menggunakan jenama Shiseido, M.A.C, Bobbi Brown, DKNY dan Tommy Hilfiger, bernilai RM431,715 berdasarkan harga pasaran,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Rosli berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan operasi bagi mencegah penjualan produk tiruan.

Produk kecantikan tiruan RM500,000 dirampas


2014/06/06 - 04:56:02
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur merampas produk kecantikan tiruan bernilai hampir RM500,000 dalam operasi serbuan di sebuah pusat beli belah, kelmarin.

Serbuan membabitkan enam premis susulan risikan selama sebulan yang dilakukan bahagian penguatkuasa agensi terbabit.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur, Rosli Ahmad, berkata semua produk berkenaan dikesan menggunakan jenama terkenal dan dikhuatiri memberi kesan sampingan kepada penggunanya.

Jual harga murah

“Barangan itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara untuk pasaran tempatan pada harga murah bagi menarik pembeli.

“Rampasan membabitkan 42,717 unit produk kecantikan menggunakan jenama Shiseido, M.A.C, Bobbi Brown, DKNY dan Tommy Hilfiger, bernilai RM431,715 berdasarkan harga pasaran,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Rosli berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan operasi bagi mencegah penjualan produk tiruan.

Didenda benarkan pengunjung bawah umur masuk disko


2014/06/06 - 04:52:50
Kuala Lumpur: Berikutan tindakan membenarkan pengunjung bawah umur memasuki pusat hiburan, seorang juruwang dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas Fahmi Izzudin Fadlollah, 23, mengaku melakukan kesalahan itu di Pusat Hiburan Water Place di Jalan Doraisamy, Dang Wangi pada 1.15 pagi, 25 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, Fahmi Izzudin didakwa melanggar syarat dinyatakan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang tidak membenarkan pengunjung bawah umur 21 tahun memasuki pusat hiburan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(2) Kaedah-Kaedah Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1993 dan dihukum mengikut Seksyen 29 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika merayu hukuman ringan, peguam S Narasimhan berkata, tertuduh perlu menyara ibu bapanya yang tinggal bersama. - BERNAMA

10,560 bungkus rokok dirampas


2014/06/06 - 04:51:43
Kota Kinabalu: Sebanyak 10,560 bungkus rokok pelbagai jenama bernilai RM232,320 termasuk cukai, dirampas dalam serbuan di sebuah kedai di Sinsuran, dekat sini kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.

Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sabah, Datuk Janathan Kandok, berkata rokok berkenaan disimpan dalam beberapa bungkusan plastik hitam yang disorok di siling, dipercayai diseludup dari negara jiran untuk diedarkan di daerah ini.

Dalam operasi berasingan, beliau berkata, pihaknya turut menyita kira-kira 30 basikal berkuasa elektrik yang dijual di beberapa premis sekitar bandar raya ini kerana dibawa masuk tanpa permit import (AP) yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Tiga lelaki turut ditahan dengan nilai rampasan dianggarkan RM75,000. Siasatan awal mendapati basikal elektrik itu dijual antara RM1,500 hingga RM2,500,” katanya di sini, semalam.

Tiga termasuk askar ditahan bantu siasatan


2014/06/06 - 04:59:27
Kes tembak anggota komando

Kota Kinabalu: Tiga termasuk seorang lagi anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tembak yang mengorbankan seorang anggota tentera komando di hadapan sebuah premis serbaneka 24 jam di Pekan Lahad Datu, awal minggu ini.

Dua lagi yang ditahan adalah orang awam yang cedera dalam kejadian berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata tangkapan itu menjadikan semua yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan setakat ini kepada 18 orang dengan anggota tentera seramai 16 orang.

Rampas telefon bimbit

Katanya, seorang anggota tentera dan seorang orang awam itu ditahan kelmarin, manakala seorang lagi orang awam ditahan pada 3 Jun.

“Kedua-dua orang awam itu masing-masing ditahan di lokasi berasingan iaitu di Kampung Unta dan Kampung Singahmata.Polis turut merampas telefon bimbit daripada dua lelaki berkenaan.
“Tiga yang baru ditahan ini masih dalam tahanan 24 jam dan reman akan dipohon esok (hari ini),” katanya.

Tujuh kampung sekitar Kampar, Tapah dilanda banjir kilat


2014/06/06 - 05:30:27
Kampar: Kira-kira 500 penduduk di tujuh kampung di Kampar dan Tapah, terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak petang kelmarin.
Berikutan itu, 51 keluarga dari lima kampung sekitar sini dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar.


Lima kampung yang terjejas ialah Kampung Baru Kuala Dipang, Kampung Nyior, Kampung Kuala Dipang, Kampung Pasir dan Kampung Malaya.Dua kampung di Tapah yang terjejas ialah Kampung Baru Chenderiang dan Kampung Batu 3 Temoh.
Ini kali keenam rumah saya dilanda banjir kilat yang berpunca daripada longkang yang tak diselenggara” Ruhaini Ahmad, Penduduk


Tinjauan mendapati penduduk mulai membersihkan rumah apabila air surut sejak awal pagi semalam dan kebanyakan mereka menyifatkan kejadian itu paling buruk kerana air naik sehingga hampir satu meter.

Pesara, Mohd Naim Kufrun, 50, dari Taman Seri Chenderiang, berkata banjir kilat berikutan hujan lebat tanpa henti hampir lima jam sejak petang kelmarin.

“Apabila air semakin naik, saya menyimpan dokumen penting di tempat yang selamat serta mengalihkan barangan berharga serta peralatan elektrik ke tempat lebih tinggi.
“Selepas air surut sekitar jam 3 pagi, saya bersama penduduk meninjau rumah masing-masing bagi membersihkan lumpur. Walaupun kawasan ini pernah dinaiki air beberapa kali, tetapi kejadian ini paling teruk,” katanya.

Ruhaini Ahmad, 64, dari Kampung Pasir, Chenderiang, berkata air naik dengan cepat dan banyak barangannya gagal diselamatkan.

“Apa yang saya kesalkan, ini bukan kali pertama dilanda banjir kilat, sudah 38 tahun tinggal di sini. Ini kali keenam rumah saya dilanda banjir kilat yang berpunca daripada longkang yang tak diselenggarakan,” katanya.

Tiada tindakan selepas aduan dibuat

Ruhaini mendakwa sudah beberapa kali anaknya membuat aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Tapah supaya membina longkang yang lebih sempurna tetapi tiada tindakan lanjut.

Azmi Daud, 73, yang ditemui di pusat pemindahan sementara di Kuala Dipang, berkata dia tinggal sehelai sepinggang kerana segala barangan keperluan termasuk pakaian dihanyutkan air.

“Tidak sampai 10 minit, air mula memasuki ruang tamu. Saya dan isteri cuba berpindah ke tempat yang lebih tinggi, namun air naik mendadak hingga paras pinggang.

“Saya diselamatkan oleh pasukan keselamatan dan ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kuala Dipang,” katanya.

Pencuri hujung usia


Bandar Seri Jempol: Usianya 74 tahun, tapi lelaki warga emas ini seolah-olah tidak ingatkan dosa apabila dipercayai mencuri bagi menampung sisa kehidupannya sebelum perbuatan tidak bertanggungjawab itu terbongkar.
Lelaki terbabit dipercayai mencuri kepala paip tembaga dan besi batang paip sebelum barang curi berkenaan dijual kepada pembeli untuk mendapatkan wang mudah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Tukiman Seriman berkata, suspek dipercayai mencuri barang berkenaan dari sebuah tapak projek pembinaan di Taman Margosa Maju, Bahau, dekat sini.

“Kehilangan kepala dan batang paip berkenaan disedari pemaju Selasa lalu, ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan pembinaan itu. Sebaik menyedari beberapa kepala dan batang paip hilang disyaki dicuri, dia tampil membuat laporan di Balai Polis Bahau.
Foto
TUKIMAN (kiri) menunjukkan kepala paip dan batang besi paip yang dirampas.

“Bertindak atas laporan itu, kita membuat pemeriksaan terhadap sebuah premis menjual barang lusuh di Bahau dan menemui semua barang curi terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Seorang mati, suspek lepaskan tembakan di kampus universiti Seattle


2014/06/06 - 09:28:00
Foto
ANGGOTA polis menutup laluan ke tempat kejadian tembakan rambang yang mengakibatkan seorang mangsa terbunuh dan tiga yang lain cedera di Universiti Pasifik, Seattle, Washington, hari ini. Suspek bagaimanapun berjaya ditahan kakitangan kampus sebelum diserah kepada anggota polis. - Foto Reuters

Foto
ANGGOTA penyelamat membawa mangsa tembakan rambang yang cedera keluar dari Universiti Pasifik, Seattle, Washington, hari ini. - Foto AP
LOS ANGELES: Seorang mati dan tiga lagi mengalami kecederaan dalam insiden tembakan di kampus sebuah kolej di Seattle hari ini, kata jurucakap hospital.

Mereka yang cedera termasuk seorang dalam keadaan kritikal diberi rawatan di Pusat Perubatan Harborview selepas kejadian di Universiti Seattle Pacific.

Jurucakap Jabatan Polis Seattle, Chris Fowler berkata, suspek ialah lelaki muda ditahan selepas melepaskan tembakan di lobi bangunan kampus berkenaan.

Selepas menembak tiga mangsa dengan senapang patah, suspek mula mengisi semula peluru apabila seorang pelajar yang berada di tempat kejadian "berdepan dengan penembak dan berjaya menahannya".

"Sebaik bergelut di atas lantai, pelajar lain melompat ke atas mereka dan berjaya mengawalnya sehingga polis tiba," katanya.

Kejadian itu berlaku kurang dua minggu selepas seorang lelaki 22 tahun yang kurang siuman melepaskan tembakan di kampus di Santa Barbara, California menyebabkan enam orang maut sebelum menembak
dirinya.
Kejadian tembakan di sekolah semakin menjadi-jadi di Amerika Syarikat dalam beberapa tahun termasuk kejadian pada Disember 2012 di Newtown, Connecticut yang mengakibatkan 20 kanak-kanak maut dan di Kolej Virginia Tech pada April 2007 di mana 33 orang mati termasuk suspek. - AFP

Empat terkorban letupan dekat rumah gabenor di Nigeria


2014/06/06 - 07:43:51
KANO: Empat orang terkorban dekat rumah gabenor negeri di timur laut Nigeria selepas trak yang sarat dengan guni bijirin meletup semalam, kata sumber kerajaan.

Letupan itu berlaku pada kira-kira jam 6.30 petang waktu tempatan dekat rumah Gabenor wilayah Gombe, Ibrahim Dankwambo di kawasan elit milik kerajaan.

"Trak itu bergerak apabila ia meletup dan menyebabkan dua orang di dalamnya mati dan dua askar dalam kenderaan yang bertugas di situ turut terkorban.

"Tidak dapat dipastikan sama ada rumah gabenor menjadi sasaran atau jika bahan letupan itu meletup lebih awal sebelum ia sampai ke destinasi," katanya. - AFP 

Enam maut, tahanan lari dari penjara di Congo


2014/06/06 - 07:31:53
KINSHASA: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh apabila beratus-ratus banduan lari dari penjara di timur Republik Demokratik Congo semalam, lapor radio dan pegawai tempatan.

Banduan membunuh dua pengawal keselamatan di penjara di Bukavu, ibu negeri wilayah Selatan Kivu dengan mencuri senjata api.

Pegawai kerajaan berkata, 301 daripada 1,500 banduan melarikan diri tetapi kira-kira 40 berjaya ditahan semula.

Sementara itu, Radio Okapi melaporkan enam kematian membabitkan tiga banduan dan tiga anggota polis.

Penjara di republik berkenaan terlalu padat dan tidak diurus dengan baik menyebabkan banduan lari adalah perkara biasa.

Pada 2011, kira-kira 1,000 banduan melarikan diri dari penjara di wilayah Katanga ketika serangan bagi membebaskan seorang pemimpin militia. - Reuters 

Pelajar kolej rogol gadis bawah umur disebat lapan kali


2014/06/06 - 10:32:48
AMPANG: Seorang pelajar kolej disebat lapan kali menggunakan rotan halus di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini, selepas dia mengaku salah merogol gadis bawah umur, tahun lalu.

Hukuman yang dijalankan di hadapan Hakim, Manira Mohd Nor itu turut saksikan ibu bapanya dan orang awam yang berada di dalam mahkamah. 

Mayat ditemui dalam gear mendarat pesawat


2014/06/06 - 07:36:11
THE HAGUE: Satu mayat ditemui dalam gear mendarat sebuah pesawat selepas ia mendarat di Lapangan Terbang Schiphol, di sini, semalam.

Difahamkan ia adalah mayat remaja Norway yang dilaporkan hilang sehari sebelum kejadian.

Polis tempatan berkata, selepas mendapat di Schiphol, satu mayat ditemui dalam ruang yang digunakan untuk gegar mendarat sebelah kanan.

"Penyiasatan setakat ini mendapati ia bukan perbuatan jenayah dan mangsa mati kerana kekurangan oksigen," katanya.

Pesawat syarikat KLM itu berlepas dari Sandefjord, lapangan terbang dekat bandar Larvik, Norway. - AFP 

Kastam rampas 30 basikal elektrik


KOTA KINABALU 5 Jun - Sebanyak 30 buah basikal elektrik bernilai RM75,000 dari tiga buah premis di sini disita oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri kerana tidak memiliki permit import (AP) yang sah dan tidak menepati piawaian keselamatan Sirim.
Pengarahnya, Datuk Dr. Janathan Kandok berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 41 tahun, dipercayai pemilik kedai berkenaan bagi membantu siasatan.
"Nilai pasaran bagi sebuah basikal elektrik itu adalah antara RM1,500 dan RM2,500. Orang ramai dinasihatkan supaya jangan terpedaya dengan dakwaan mengatakan basikal jenis berkenaan telah mendapat kelulusan kerajaan kerana sehingga kini penjualannya belum mendapat sebarang pengesahan pihak berwajib," katanya kepada pemberita di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140605/je_08/Kastam-rampas-30-basikal-elektrik#ixzz33pOdBNqt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga emas maut, dua cucu parah


Dungun: Seorang wanita warga emas maut, manakala dua cucunya parah apabila kereta dinaiki mereka bertembung sebuah kereta lain di Kilometer (KM) 84.9, Jalan Jerangau-Jabur, Ladang Gajah Mati, dekat Bukit Besi, petang tadi.
Kemalangan kira-kira jam 5 petang itu mengorbankan Che Zawiah Musa, 60, yang berasal dari Bandar Al Multaffi Billah Shah (AMBS) apabila parah di kepala dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian. 
Dua cucunya, Anis Damia Qalisya Mas Rudy, 2, parah di bahagian kepala dan dilaporkan kritikal manakala Muhammad Danish Haikal, 6, patah kaki kanan. 

Dua anak perempuan arwah Che Zawiah, Norfarain Mohamad, 19, dan Zuriana Mohamad, 27, serta suaminya, Mas Rudy Karim, 28 yang memandu Proton Saga BLM dinaiki keluarga itu cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Dungun.
Foto
KEADAAN Proton BLM yang dinaiki mangsa.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaccub berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah Proton Exora dalam perjalanan dari arah AMBS ke Bukit Besi, dikatakan memotong beberapa buah kenderaan sebelum terpusing dan merempuh kereta dinaiki keluarga itu yang datang dari arah bertentangan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

Polis ambil DNA ibu lelaki warga Britain


JANET Southwell (kiri) ditemani Kit Natariga tiba di bilik mayat HTAA, Kuantan, semalam bagi tujuan pengecaman mayat yang dipercayai sebagai Gareth David Huntley di Kampung Juara, Pulau Tioman, kelmarin. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
KUANTAN 5 Jun - Polis hari ini mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) milik ibu seorang lelaki warganegara Britain yang dilaporkan hilang di Pulau Tioman minggu lalu bagi mengetahui sama ada mayat yang ditemui di pulau tersebut semalam, adalah lelaki berkenaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, selain itu, DNA mayat lelaki yang ditemui di sebatang sungai berhampiran sebuah stor penyimpanan kayak di Kampung Juara itu turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan padanan.
"Mungkin dalam masa dua hari lagi kita akan dapat keputusan DNA tersebut. Saya harapkan semua pihak dapat bersabar," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.
Pada 27 Mei lalu, Gareth David Huntley, 34, yang dipercayai bekerja dan tinggal di Projek Penyu Juara (JTP) di Kampung Juara, Pulau Tioman pergi ke kawasan Air Terjun Lubuk Teja secara bersendirian kirakira pukul 12 tengah hari.
Lelaki itu kemudian didapati tidak pulang sebelum rakan dan beberapa penduduk kampung keluar mencarinya di kawasan hutan berhampiran air terjun berkenaan.
Semalam, pasukan mencari dan menyelamat Huntley berjaya menemukan mayat seorang lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri kirakira pukul 1.30 petang.
Sharifuddin berkata, berdasarkan bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat tersebut hari ini juga masih belum mengetahui punca kematiannya.
Dalam pada itu, beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat Huntley telah diberhentikan dengan penemuan mayat itu.
"Bagaimanapun kita masih meletakkan anggota di kawasan tersebut bagi menjalankan siasatan lanjut. Hari ini juga kita telah menemukan telefon pintar iPhone dipercayai milik Huntley berdekatan dengan kawasan penemuan mayat kirakira pukul 12.30 tengah hari tadi," katanya.
Sementara itu, Janet Southwell, 50an, bersama, kekasih Huntley, Kit Natariga tiba di bilik mayat HTAA di sini kirakira pukul 11 pagi untuk tujuan membuat pengecaman.
Mereka kemudian meninggalkan bilik mayat kirakira pukul 2 petang dipercayai untuk mengambil darah bagi tujuan ujian DNA.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140606/je_04/Polis-ambil-DNA-ibu-lelaki-warga-Britain#ixzz33pNKaZJ5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

92 peratus mangsa rogol di bawah umur


KOTA BHARU 5 Jun - Sebanyak 92 peratus mangsa rogol di negeri ini merupakan golongan remaja di bawah umur.
Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu yang dicatatkan bagi lima bulan pertama tahun ini, mangsa berusia 14 tahun adalah yang tertinggi iaitu seramai 24 orang diikuti remaja berusia 15 tahun (23), 16 tahun (15) dan 13 tahun (15).
Kata beliau, berbanding tempoh sama tahun lalu, ia hanya menunjukkan penurunan sebanyak satu peratus.
"Polis juga merekodkan sebanyak 88 kes berjaya diselesaikan dengan penahanan 90 orang tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 87 kes berjaya diselesaikan dengan penahanan 51 orang," katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati kebanyakan suspek yang ditahan merupakan penagih pil kuda.
Pada 20 Mei lalu, masyarakat digemparkan dengan laporan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan rakannya berusia 17 tahun menjadi mangsa ‘kenduri seks’ oleh 38 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140606/je_07/92-peratus-mangsa-rogol-di-bawah-umur#ixzz33oQF2Hcz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Keputusan Papa Gomo tangguh bayar 20 Jun ini


KUALA LUMPUR 5 Jun - Permohonan pemilik blog Papa Gomo, Wan Muhammad Azri Wan Deris untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi dan kos berjumlah RM850,000 kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gagal dalam satu kes saman fitnah akan diketahui pada 20 Jun ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Rosilah Yop menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihakpihak terbabit berhubung permohonan itu di kamar hakim di sini hari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam, Shahid Adli yang mewakili Ahli Parlimen Permatang Pauh itu selepas tamat prosiding berkenaan.
Wan Muhammad Azri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarang KL Pos Media & Production Sdn. Bhd. mewakili dirinya sendiri dalam permohonan hari ini.
Pada 28 Februari lalu, Wan Muhammad Azri diperintahkan membayar ganti rugi RM800,000 dan kos RM50,000 oleh mahkamah tersebut selepas kalah dalam kes saman fitnah oleh Anwar terhadapnya berhubung penyiaran sebuah video seks sejenis dan artikel secara berturutturut dari 16 Mac hingga 20 Mac tahun lalu di laman blog www.papagomo.com.
Menurut penghakiman Rosilah, mahkamah mendapati pernyataan fitnah yang dibuat dalam laman blog tersebut merujuk secara peribadi kepada Anwar selaku plaintif dan umum mengetahui siapakah plaintif, isteri dan anak perempuannya.
Pernyataan fitnah yang merujuk kepada plaintif itu, bagi Rosilah adalah melampau, terlalu menjijikkan, lucah dan mahkamah berpendapat, laman web atau blog tersebut dibuat khusus untuk memfitnah plaintif.
Mengenai gambar lelaki yang dirakam oleh penulis blog Perisik Rakyat, Mohd. Fauzi Mohd. Azmi yang memberi keterangan sebagai saksi plaintif, Rosilah mendapati gambar tersebut kelihatan sama seperti Wan Muhammad Azri.
Anwar memfailkan saman pada 21 Mac 2013, dengan mendakwa Wan Muhammad Azri yang dinamakan sebagai defendan secara nyata atau tersirat menyatakan individu dalam imejimej dalam artikel yang disiarkan dalam laman web www.papagomo.com adalah beliau (Anwar).
Plaintif dalam pernyataan tuntutan menyatakan Wan Muhammad Azri secara salah dan berniat jahat menyiarkan perkataan serta siri imej berhubung video tersebut dalam laman blog tersebut secara berturutturut dari 16 Mac hingga 20 Mac tahun sama.
Defendan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 20 Mei tahun lalu bagaimanapun menafikan beliau merupakan pemilik blog Papa Gomo.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140606/ma_04/Keputusan-Papa-Gomo-tangguh-bayar-20-Jun-ini#ixzz33oPoCaXP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mengaku rogol gadis bawah umur


KOTA BHARU 5 Jun - Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang mekanik yang sanggup merogol cucu kenalannya yang berusia 16 tahun dan mengancamnya dengan sebilah parang mendapat pembalasan apabila dia dihukum penjara 12 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Mohd. Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Rozlan Hamzah, 46, setelah lelaki itu hari ini mengaku bersalah merogol mangsa di sebuah rumah tanpa nombor di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Embak, Kuala Krai.
Tertuduh didakwa merogol remaja itu dan menyebabkannya berada dalam ketakutan boleh dicederakan kerana diacu parang kecil antara pukul 12 tengah hari dan 3 petang, 15 November tahun lalu.
Dakwaan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam bela dibuat mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Menurut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari, tertuduh yang dikenali dengan nama panggilan Deraman bekerja sebagai mekanik dan berkawan baik dengan datuk mang­sa.
Sebelum kejadian, tertuduh pergi ke rumah mangsa dan bertanya sama ada gadis itu tahu menunggang motosikal kerana i­ngin mengambil motosikal daripada kawannya di Tanah Merah.
Apabila mangsa memberitahu dia tahu menunggang motosikal, tertuduh telah mengajak gadis itu pergi mengambil motosikal bersamasamanya.
Dalam perjalanan, tertuduh telah melencong ke sebuah rumah di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Embak iaitu rumah tertuduh.
Setelah berhenti di rumah tersebut, tertuduh telah mengacukan sebilah parang kecil ke arah mangsa dan mengarahkan gadis itu masuk ke dalam rumah lalu mengunci pintu rumah itu.
Gadis itu merayu tertuduh menghantarnya pulang namun tertuduh memarahi mangsa dan terus mengacukan parang lalu merogolnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140606/ma_01/Mengaku-rogol-gadis-bawah-umur#ixzz33oPiVRLl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kad keahlian persatuan dijumpai


KOTA KINABALU 5 Jun - Kad keahlian sebuah persatuan dikenali sebagai ‘Knight of the Right Keeper’ dijumpai oleh pasukan keselamatan yang menjalankan operasi pembersihan di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pada 21 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.
Ketika membuat pengecaman kad itu di mahkamah, pegawai memerintah Rejimen 22 Komando, Leftenen Kolonel Adi Ridzwan Abdullah berkata, huruf itu dicetak di bahagian atas kad dan singkatan ‘KRK’ dicetak di bahagian tengah sementara nama pemegang kad ialah ‘Hamsan Hamja’.
Beliau berkata, perkataan ‘Knight of the Right Keeper’ juga tertera pada sehelai kertas kecil yang dimasukkan dalam sampul surat.
"Ada lima tandatangan pada dokumen itu dan tandatangan itu serupa dengan tandatangan pada sampul surat," kata beliau.
Adi Ridzwan berkata, nama ‘Hamsan Hamja’ juga tertera pada satu lagi kad yang dijumpai di kampung itu.
"Perkataan pada kad kedua ialah ‘Kesultanan Sulu dan Borneo Utara (Sabah)’. Ia mengandungi tandatangan ‘Datu Raja Muda Agbimuddin Kiram, Menteri Pertahanan Diraja’," kata beliau.
Beliau berkata, nama itu tertera sekali lagi pada sehelai kertas yang mengandungi perkataan ‘Kesultanan Sulu’ di bahagian atas.
Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan, sesetengah daripada mereka menghadapi pelbagai pertuduhan menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang diPertuan Agong, merekrut anggota bagi kumpulan pengganas atau dengan sengaja melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.
Mereka dikatakan melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April tahun lalu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140606/ma_02/Kad-keahlian-persatuan-dijumpai#ixzz33oPUSE2W
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 kampung dilanda banjir kilat


RAMLAH Ismail bersama anaknya Nur Haifaa Omar memindahkan barang ke tempat tinggi ekoran rumah mereka digenangi air secara mendadak akibat hujan lebat di Kampung Titi Teras, Gurun, Kedah, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin
GURUN 5 Jun - Ketika hujan bermula sekitar pukul 5 petang semalam, lebih 100 penduduk di Kampung Titi Teras, Kampung Sungai Ibor, Kampung Lebai Ali dan Kampung Bongkok di sini tidak langsung menyangka yang mereka akan berdepan bencana.
Sehinggalah secara tibatiba, paras air meningkat mendadak setinggi pinggang orang dewasa apabila hujan belum berhenti pada pukul 9 malam.
Menurut salah seorang mangsa, Norpisah Suib, 29, kejadian itu berlaku terlalu pantas menyebabkan beliau tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumahnya.
"Mulanya saya nampak air naik dari kawasan paya di kawasan belakang rumah, namun tidak menjangkakan perkara buruk memandang kan situasi itu biasa terjadi setiap kali hujan lebat.
"Namun tidak sampai 10 minit, air deras melimpah ke dalam rumah menyebabkan kami sekeluarga tidak langsung berkesempatan menyelamatkan barang berharga kecuali dokumen penting," katanya yang tinggal di Kampung Sungai Ibor di sini.
Difahamkan hujan lebat itu berlarutan lebih tujuh jam sehingga pukul 1.30 pagi dan kali terakhir ke jadian sama berlaku di situ adalah kirakira tujuh tahun lalu.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Ramlah Ismail, 41, yang tinggal di Kampung Titi Teras memberitahu, banjir kali ini lebih teruk berbanding yang terjadi sebelum ini.
"Saya hanya mampu mena ngis melihat rumah dinaiki air. Buat masa ini saya tidak mahu mencuci rumah lagi kerana bimbang kejadian sama berulang dalam masa terdekat," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Dr. Leong Yong Kong ketika dihubungi memberitahu pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat. "Saya difahamkan kejadian berlaku akibat hujan yang terlampau lebat dan berterusan. Bagi meringankan beban mangsa, kami akan menyalurkan bantuan seperti makanan serta bantuan kepada mang sa secara berperingkat," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140606/je_02/4-kampung-dilanda-banjir-kilat#ixzz33oOxICHR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas pekerja kedai burger curi RM380 dijel seminggu


KUALA LUMPUR 5 Jun - Garagara mencuri wang RM380 milik majikan seorang bekas pekerja kedai burger dihukum penjara seminggu dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim menjatuhkan hukuman tersebut selepas Abu Huzaifah Mohd. Aris, 19, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu antara pukul 9.30 pagi dan 10 pagi, 22 Februari lalu ketika bekerja di Smashess Burger di Jalan Genting Klang, Sentul di sini.
Dia yang kini tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dihukum penjara satu bulan.
Di mahkamah sama, seorang juruwang di pusat hiburan didenda RM3,000 selepas mengaku salah atas tuduhan membenarkan pengunjung bawah umur 21 tahun memasuki kelab malam itu.
Mohd. Fahmi Izzudin Fadollah, 24, didakwa melakukan perbuatan itu di Water Place di Jalan Doraisamy di sini kirakira pukul 1.15 pagi, 25 Mei lalu dan didakwa atas pertuduhan melanggar syarat yang dikehendaki Datuk Bandar Kuala Lumpur mengikut Seksyen 29(2) KaedahKaedah Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1993.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi manakala keduadua tertuduh tidak diwakili peguam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140606/ma_05/Bekas-pekerja-kedai-burger-curi-RM380-dijel-seminggu#ixzz33oOmTlR3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Empat 'ulat tiket' lapangan terbang mengaku bersalah


SEPANG 5 Jun - Empat 'ulat tiket' masingmasing didenda RM5,000 atau penjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengambil penumpang secara haram di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Mac lalu.
Kesemuanya terdiri daripada dua pemandu teksi, seorang pemandu bas dan seorang penganggur mengaku memujuk penumpang agar menggunakan kenderaan perkhidmatan awam sedangkan mereka tiada kuasa berbuat demikian.
Keduadua pemandu teksi tersebut ialah N. Kumaresan, 40, dan S. Jeevagan, 53, manakala dua lagi iaitu penganggur, Gua Kim Pore, 53, dan pemandu bas, Zainuddin Ali, 48.
Selain itu, pemandu bas persiaran, V. Sivalingam, 45, didenda RM4,000 atau penjara empat bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan serupa.
Menurut tuduhan, kelimalima 'ulat tiket' berkenaan didakwa memujuk bagi maksud menawarkan perkhidmatan yang berkaitan dengan menerima untuk sewa atau membawa penumpang di suatu tempat awam tanpa kuasa yang sah.
Kim Pore, Zainuddin dan Sivalingam didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Ketibaan Antarabangsa, Bangunan Terminal Utama (MTB), KLIA dekat sini antara pukul 8.40 malam, 9 Mac lalu dan 4.18 petang, 19 Mac lalu.
Sementara itu, Jeevagan dan Kumaresan didakwa berbuat demikian antara pukul 2.20 petang, 20 Mac lalu dan 1.55 petang, 24 Mac lalu di Balai Ketibaan Antarabangsa LCCT.
Kesemuanya didakwa mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau keduaduanya.
Fakta kes antaranya menyebut, mereka ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi khas Touting or Soliciting (ulat) kerana memujuk penumpang kebanyakannya terdiri daripada warganegara asing menggunakan kenderaan yang disediakan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140606/ma_03/Empat-ulat-tiket-lapangan-terbang-mengaku-bersalah#ixzz33oOh3y1I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Taikun Hong Kong didakwa merasuah


HONG KONG 5 Jun - Adikberadik jutawan Hong Kong, Thomas dan Raymond Kwok, didakwa merasuah seorang pegawai kanan kerajaan bagi mendapatkan kepentingan dalam perniagaan hartanah mereka, kata seorang pendakwa raya hari ini.
Menurut pendakwa raya, David Perry, wang suapan dari pemilik firma gergasi Sun Hung Kai Properties itu, disalurkan kepada bekas Ketua Setiausaha, Rafael Hui menerusi orang tengah.
Perry berkata, beberapa siri bayaran dibuat menerusi dua orang tengah yang turut dibicarakan bersama.
Kesemua lima defendan itu, menafikan lapan pertuduhan dan salah laku membabitkan 34 juta Hong Kong dolar (RM14.2 juta) dalam bentuk rasuah dan pinjaman tidak bercagar. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140606/lu_07/Taikun-Hong-Kong-didakwa-merasuah#ixzz33oNQkIao
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bawang Malaysia diseludup


Seorang pegawai kastam menunjukkan sebahagian daripada berpuluhpuluh tan bawang merah dari Malaysia yang diseludup ke Sumatera Utara, barubaru ini. - AGENSI
JAKARTA 5 Jun - Aktiviti penyeludupan barangan keperluan asas dari Malaysia khususnya ke Sumatera Utara semakin meningkat sejak kebelakangan ini berikutan ketibaan bulan Ramadan yang dijangka disambut umat Islam pada penghujung bulan ini.
Jabatan Kastam di Sumatera Utara mendedahkan, antara barangan keperluan asas yang paling tinggi dibawa masuk secara haram ke wilayah itu ialah daging, gula dan bawang merah.
Menurut Ketua Jabatan Kastam Sumatera Utara, Harry Mulya, peningkatan kegiatan penyeludupan barangan itu berlaku kerana terdapat permintaan yang tinggi daripada pengguna, sementara bekalan pula sangat terbatas di pasaran tempatan.
Katanya, secara umumnya, barangan asas makanan itu dibawa masuk secara haram dari Malaysia.
"Masalah ini (penyeludupan) berlaku hampir setiap tahun," kata Harry kepada akhbar The Jakarta Post.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tegas beliau, sentiasa berusaha mematahkan kegiatan penyeludupan itu termasuk dua cubaan membawa masuk bawang merah dari Malaysia pada bulan lalu.
"Bekalan bawang merah di Medan sangat menurun pada masa ini. Ini yang menyebabkan pembekal membawa masuk secara haram dari luar negara," katanya lagi.
Keduadua kegiatan penyeludupan bawang merah itu berjaya dipatahkan oleh pihak kastam di perairan Tanjung Jumpul, Asahan pada 3 Mei lalu dan dari Tanjung Siapiapi, Asahan pada 30 Mei lalu.
Botbot yang membawa barangan tersebut memasuki perairan Indonesia sebaikbaik berlepas dari Klang, Malaysia.
Pegawaipegawai penguatkuasa kastam turut menyita 48 tan bawang merah dalam keduadua cubaan penyeludupan itu, sementara 11 anak kapal dan kapten ditahan.
Sementara itu, peniagapeniaga di pasar tradisional di Medan mengakui, mereka kehabisan bekalan bawang merah menjelang ketibaan bulan Ramadan.
Harga bawang merah juga dilaporkan naik daripada 20,000 rupiah (RM5.44) sekilogram kepada 26,000 rupiah (RM7) sekilogram. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140606/lu_02/Bawang-Malaysia-diseludup#ixzz33oMXzjmW
© Utusan Melayu (M) Bhd