Search This Blog

Wednesday, June 4, 2014

Abai anak, isteri kerana dadah


  • Gambar sekadar hiasan.Gambar sekadar hiasan.

KUALA TERENGGANU - “Sebab dadah, keluarga saya terumbang ambing, tetapi sekarang saya mula sedar masalah ini perlu ditamatkan dan lari dari dunia hitam ini."

Demikian pengakuan seorang bekas penagih yang hanya mahu dikenal sebagai Zamri, 41, dari Marang.

Zamri mula mengambil dadah ketika berusia 24 tahun apabila diajak rakan sekerjanya di Kuala Lumpur untuk mencuba bahan terlarang itu.

“Mulanya saya ambil ganja kemudian berubah kepada ubat batuk dan heroin. Masa mula-mula dulu hanya belanja RM10 sehari untuk beli dadah, tetapi lama-kelamaan apabila seronok dengan dunia khayal dan mula ketagih, saya sanggup belanja RM200 setiap hari.

“Walaupun ketika itu saya baru sahaja mendapat anak pertama, saya abaikan mereka kerana pengaruh dadah sudah menguasai diri saya dan saya lebih pentingkan diri sendiri daripada anak dan isteri,” katanya.

Zamri berkata demikian ketika ditemui pada Program Sempurnakan Aku ‘Success Story’ anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan Terengganu (AADK) di Bangunan Umno Bahagian Kuala Terengganu, di sini.

Hadir sama, Pengarah AADK negeri, Rohayu Ahmad dan Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Menurut Zamri yang bekerja di bahagian pendawaian di sebuah syarikat swasta, dia mula meminta gajinya dibayar mengikut hari supaya mudah untuk dia membeli dadah.

“Lama-kelamaan masalah ketagih saya semakin teruk sehinggakan duit gaji tidak cukup dan memilih jalan mudah dengan mencuri besi buruk serta kabel di tempat saya bekerja,” katanya.

Zamri bagaimanapun bernasib baik kerana majikannya tidak dapat menghidu kegiatannya yang mencuri barang syarikat.

Namun dia tewas di tangan pihak berkuasa empat tahun lalu dan mula insaf apabila dimasukkan ke pusat pemulihan di Marang.

“Ketika berada di pusat pemulihan, naluri sebagai seorang bapa mula timbul dan sentiasa memikirkan layanan buruk saya kepada anak dan isteri.

“Saya mula kesian kepada anak yang tidak mendapat kasih sayang secukupnya daripada seorang bapa dan pengorbanan isteri sentiasa sabar dengan sikap saya ketika ketagih dadah,” katanya.

Sementara itu, dia turut menasihati bekas penagih supaya tidak segan atau berasa rendah diri apabila berhadapan dengan masyarakat, tetapi perlu bangkit dan buktikan pada mereka bahawa kita sudah berubah selain memberi sumbangan kepada orang ramai.

Datuk ‘ketuk’ duit peniaga


Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mohd Hasbi Sidek
Shah Alam: Dengan mendakwa menerima gelaran Datuk daripada Sultan Selangor dan bapa artis wanita popular tempatan, seorang lelaki ligat menipu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan peniaga yang mengupah warga asing sebagai pekerja untuk menyara kehidupan mewahnya sejak dua tahun lalu.

Lelaki berusia 60-an itu juga didapati mempunyai 23 rekod jenayah dengan kebanyakannya membabitkan kes tipu di beberapa negeri di pantai timur dan mendakwa mempunyai ‘kuasa’ yang mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membanteras PATI.


Berikutan itu, dia mengaut belasan ribu ringgit sebulan daripada mangsanya sebagai ‘wang perlindungan’ kononnya dapat mengelak daripada ditahan Jabatan Imigresen.

Wang mudah yang diperoleh itu membolehkan beliau memandu pelbagai kereta mewah, sekali gus mengundang kepercayaan orang ramai dia sememangnya seseorang yang mempunyai pangkat dan kedudukan di negeri ini.


Bukan itu saja, lelaki terbabit mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan pegawai Jabatan Imigresen berkaitan penguatkuasaan bagi memudahkannya membuat urusan permit pekerja asing.


Mendedahkan kegiatan ‘Datuk’ itu, seorang wanita yang mengenalinya berkata, perwatakan lelaki itu pasti membuatkan sesiapa saja terpedaya kerana sering ‘menjual’ nama istana dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi setiap kali berbicara.

Ini menyebabkan ramai peniaga di kawasan Shah Alam mempercayai dia mampu mengarahkan Jabatan Imigresen melakukan operasi menahan PATI.

“Jika peniaga tidak mahu pekerja asing mereka ditahan, mereka perlu memberi wang kepada lelaki terbabit bagi mengelakkan daripada dijadikan sasaran operasi. Akibat mempercayai kata-katanya ramai peniaga menjadi mangsanya.

“Ada antara warga asing di kawasan ini mendakwa lelaki terbabit sewenang-wenangnya meminta wang perlindungan jika tidak mahu ditahan dan kegiatannya itu hanya dilakukan secara sendirian tanpa bantuan individu lain,” katanya yang sering diganggu lelaki itu sejak dua tahun lalu.

Wanita itu yang mengusahakan kedai makan berkata, lelaki terbabit tidak pernah menerima darjah kebesaran daripada mana-mana pihak yang membolehkannya menggunakan gelaran ‘Datuk’ mahupun mendapat tauliah KDN.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Kata polis ‘gila’ didenda RM100


Kota Bharu: Seorang pemuda berusia 21 tahun dihukum denda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku salah mengeluarkan perkataan ‘gila’ kepada seorang anggota polis.
Hukuman terhadap Muhammad Faizuddin Omar itu dijatuhkan Majistret Nik Habri Muhamad.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Faizuddin didakwa mengeluarkan kata-kata kesat iaitu ‘gila’ kepada anggota polis Roslin Derahaman di tepi jalan belakang stadium berhadapan Restoran KFC, jam 11.40 pagi pada 28 Mei 2014.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM100 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamed mengendalikan pendakwaan.
Mengikut fakta kes, pengadu Roslin sedang menjalankan tugas penguatkuasaan trafik di kawasan itu dan menahan seorang lelaki iaitu tertuduh kerana nombor pendaftaran motosikalnya tidak dapat dibaca berikutan satu huruf sudah tercabut.
Pengadu meminta kad pengenalan serta lesen memandu dan suspek menyerahkannya, namun selepas pengadu memberitahu kesalahan Muhammad Faizuddin kemudiannya mengeluarkan perkataan ‘gila’ kepada pengadu.
Terdahulu, Noor Dayana memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran.
“Saya pohon hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan polis seharusnya dihargai,” katanya.
Foto
MUHAMMAD Faizuddin
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Bahana lawan api


Tumpat: Cubaan seorang lelaki warga emas memadam sendiri kebakaran mengundang padah apabila kedua-dua lengannya melecur dalam kejadian di Kampung Kutan, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, Mat Ripin Ismail, 66, dikatakan cuba memadam kebakaran di bahagian dapur rumah anaknya dengan memotong hos paip telaga tiub yang terletak di tepi kediaman berkenaan, namun gagal apabila api merebak dengan cepat. 
Dia yang tidak sempat menyelamatkan diri mengalami kecederaan dan dikejarkan ke sebuah hospital swasta, di sini. 

Anak Mat Ripin, Mohd Fairul, 25, berkata, mereka sekeluarga tidak menyedari berlaku kebakaran di rumah abangnya sehingga diberitahu seorang penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan.
Foto
PEGAWAI penyiasat kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Azani Aziz memeriksa tempat kejadian.

“Ketika kejadian saya berada di kedai membaiki alat pendingin hawa yang terletak di belakang rumah, manakala ayah berada di rumahnya yang bersebelahan dengan rumah abang.

“Sebaik dimaklumkan mengenai kebakaran itu, saya berlari ke tempat kejadian dan sempat mengarahkan kakak ipar Roslina Dollah serta lima anak saudara termasuk seorang yang sedang bermain basikal di laman rumah menyelamatkan diri. 

“Ketika itu juga saya lihat ayah cuba memotong hos paip telaga tiub di tepi rumah untuk mendapatkan air bagi memadamkan api, namun api merebak dengan cepat hingga menyambar lengannya,” katanya ketika ditemui, semalam. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Sangkut atas bumbung


Butterworth: Seorang kakitangan perkhidmatan penghantaran sebuah restoran makanan segera parah selepas dia dan motosikalnya tersangkut di atas bumbung kereta dalam kemalangan di Jalan Telaga Air, Raja Uda di sini, petang semalam.
Kemalangan pada jam 1.04 tengah hari itu membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Perodua Kancil dan Myvi serta motosikal ditunggang mangsa yang berusia 20-an itu.
Menurut saksi, ketika kejadian mangsa dikatakan berada di belakang dua kenderaan berkenaan, namun pemandu Perodua Myvi itu dikatakan melanggar belakang Perodua Kancil terbabit menyebabkan mangsa gagal mengelak.
“Motosikal mangsa kemudian melanggar sisi kanan Perodua Myvi itu dan akibat rempuhan kuat, motosikal terbabit melambung melepasi bumbung kenderaan berkenaan.
“Namun, mangsa kurang bernasib baik apabila tong empat segi digunakan untuk mengisi makanan dihantar kepada pelanggan dan dipasang pada belakang motosikal berkenaan tersangkut pada bumbung kereta.
“Keadaan itu menyebabkan mangsa tersekat pada motosikal terbabit selama beberapa minit dan berada dalam keadaan separuh sedar dipercayai akibat kesakitan dialaminya,” katanya.
Berikutan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu membantu menurunkan mangsa yang tersangkut pada motosikalnya dan pemeriksaan mendapati lelaki itu cedera pada kaki dan kepala.
Beberapa rakan sekerja mangsa yang menyedari kejadian itu bergegas ke lokasi kemalangan dan mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke restoran berkenaan selepas melakukan penghantaran makanan kepada pelanggan.
Difahamkan mangsa mula bekerja sebagai penghantar makanan sejak 2011 manakala seorang pemandu kereta terbabit cedera ringan.
Foto
ORANG ramai membantu mangsa yang terbabit nahas di Jalan Telaga Air, Raja Uda, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

‘Ini ujian daripada Allah’


Banting: “Tidak dapat saya gambarkan kesedihan sejurus melihat dua anak saudara saya itu tidak bernyawa selepas tenggelam ke dalam parit bersama kenderaan dinaiki,” kata Mohd Nor Radiman, 50.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi kelmarin, mangsa adik-beradik, Atma Raifana Marhalim, 21, dan adiknya, Sarah Khalis Marhalim, 18, maut selepas kenderaan model Nissan Grand Livina dinaiki terbabas ke dalam parit di Jalan Aman, Kampung Seri Cheeding, di sini. 
Dia yang juga bapa saudara kedua-dua mangsa mendakwa menitiskan air mata sebaik melihat mayat Atma dan Sarah dikeluarkan anggota bomba dari dalam kenderaan yang terbalik itu. 

“Sebaik pintu kenderaan dibuka, saya turut mengangkat tubuh mereka yang ketika itu sudah kaku tidak bernyawa. Hancur luluh hati saya kerana dua beradik itu bagaikan anak kandung saya sendiri,” katanya.
Foto
MARHALIM menunjukkan gambar terakhir dua anaknya.

Menurutnya, dia mengetahui kemalangan yang berlaku selepas dimaklumkan seorang rakan yang kebetulan melalui lokasi kemalangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya terus masuk ke dalam parit bagi mendapatkan anak saudara saya itu. Saya menaruh harapan kedua-dua mereka masih terselamat. 

“Bagaimanapun, Atma dan Sarah gagal menyelamatkan diri dan lemas di dalam kenderaan dinaiki,” katanya sebak. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Rogol: Polis buru polis


Oleh Isma Ismail
Johor Bahru: Seorang anggota polis yang tidak hadir bertugas sejak April lalu kini diburu polis selepas seorang remaja perempuan membuat laporan mendakwa dirogol lelaki berkenaan di rumah sewanya, Ahad lalu.

Difahamkan, pada hari kejadian, anggota berjawatan konstabel berusia 28 tahun itu dikatakan menjemput mangsa dari sebuah sebuah rumah di Skudai, kira-kira jam 3 pagi sebelum membawanya pulang ke bilik sewanya di Jalan Wong Ah Fook di sini.

Mereka dikatakan berkenalan menerusi aplikasi sembang digital WeChat, kira-kira dua minggu lalu sebelum bertemu kali pertama pada hari kejadian.

Sumber berkata, ketika berada di bilik sewa berkenaan, mereka dikatakan hanya bersembang sebelum lelaki terbabit memujuk mangsa mengadakan hubungan seks.

Menurutnya, remaja berusia 14 tahun itu tidak menolak ajakan suspek sebelum mereka dikatakan tertidur selepas mengadakan hubungan seks.

Katanya, mangsa sekali lagi mengadakan hubungan seks dengan lelaki yang sudah beristeri itu kira-kira jam 2 petang di tempat dan hari yang sama.

“Mereka kemudian terus melepak di bilik sewa berkenaan hingga jam 10 malam apabila rakan mangsa menghubungi memaklumkan yang bapanya sedang mencari.

“Remaja berkenaan yang panik terus keluar dari bilik sewa berkenaan sebelum bertemu bapanya tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Selepas menceritakan kejadian yang berlaku, remaja berkenaan dibawa bapanya membuat laporan di Balai Polis Sentral pada jam 11.21 malam hari sama.

Difahamkan, anggota terbabit tinggal seorang diri di bilik sewa berkenaan kerana isterinya berada di Sarawak.

Lelaki berkenaan dikatakan sudah tidak hadir bertugas sejak 19 April lalu menyebabkan penyelianya sudah membuat lima laporan polis berikutan kegagalannya bertugas.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati mangsa menghubungi suspek sebelum dibawa membonceng sebuah motosikal ke bilik sewa berkenaan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa mengaku pernah mengadakan hubungan seks dengan beberapa rakan lelaki lain sebelum itu.

Abang kejam


Oleh Hadzlihady Hassan dan Mohd Hilmi Mahmud
Balik Pulau: Hanya kerana RM50, seorang abang sanggup bertindak kejam apabila mencurahkan air panas ke badan adik kandungnya selepas wanita terbabit enggan memberikan wang berkenaan dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa yang juga seorang guru bukan saja melecur di tangan akibat dicurah air panas, malah turut cedera di beberapa anggota badan selepas dibelasah abangnya itu menggunakan cota dan tangan.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa berusia 33 tahun berada di rumahnya sebelum didatangi abangnya yang meminta wang sebanyak RM50.

“Bagaimanapun, mangsa enggan menyerahkan wang terbabit membuatkan abangnya berang dan membelasahnya menggunakan cota serta tangan.

“Abangnya kemudian merampas telefon bimbit mangsa dan turut mencurah air panas ke arah mangsa membuatkan lengan kanan wanita terbabit melecur teruk,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian melarikan diri dan mangsa yang dalam keadaan kesakitan terpaksa meminta bantuan pengawal keselamatan untuk membawanya ke balai polis.

“Mangsa membuat laporan polis dan susulan daripada itu, suspek ditahan di rumahnya di kawasan Sungai Tiram, Bayan Lepas, di sini, beberapa jam selepas kejadian terbabit.

“Hasil ujian awal air kencing mendapati suspek yang berusia 35 tahun itu positif syabu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Hasil semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro menemu bual mangsa gagal apabila guru berkenaan memberi alasan masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Dalam kiriman mesej yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp, mangsa mendakwa kejadian itu adalah kali pertama berlaku terhadapnya dan hingga kini dia masih lagi trauma.

Mangsa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Georgetown akibat kecederaan dialaminya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Dua maut treler masuk gaung


Dalam kejadian jam 10.15 malam, mangsa, Mohd Mustafa Shafie, 36, beralamat No 112 Persiaran Raya, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, dekat sini, yang parah di bahagian muka dan anggota badan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan.
Sementara rakan mangsa, Long Pos Bah Churek, 37, beralamat Kampung Ulu Kampar, Gopeng, Perak maut di tempat kejadian selepas parah akibat dihempap bahagian kepala lori sehingga menyebabkan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tapah mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkannya.
Ia termasuk menggunakan dua kren jentera bagi mengangkat bahagian treler yang terjunam ke dalam gaung sebelum mayat mangsa dapat dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan lanjut.
Saksi kejadian, K Savan, 34, berkata, dia yang memandu lori tangki berasa pelik melihat treler dipandu mangsa di hadapan kenderaan itu bergerak laju walaupun keadaan jalan adalah mendaki ketika itu.
“Lori itu bergerak ke kiri dan kanan dengan lajunya sedangkan keadaan jalan lurus dan mendaki.
“Secara tiba-tiba lori itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok di kiri jalan sebelum terjunam ke dalam gaung,” katanya.
Menurutnya, besar kemungkinan pemandu treler mengantuk kerana tiada kesan tayar pecah atau kesan brek sehingga menyebabkannya terbabas lalu terjunam ke dalam gaung.
Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan treler Volvo FM12 membawa muatan alat ganti kenderaan.

“Siasatan mendapati treler itu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan bergolek 80 meter di atas tembok jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam lebih 10 meter.
“Akibat dari kemalangan itu, pemandu lori, Mohd Mustafa Shafie, 36, berjaya dikeluarkan, namun cedera parah di bahagian muka dan beberapa anggota badan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk menerima rawatan lanjut sebelum disahkan mati ketika menerima rawatan di wad kecemasan,” katanya.
Beliau berkata, rakan mangsa yang parah turut maut akibat dihempap bahagian kepala treler.
“Mayat Long Pos Bah Churek dikeluarkan anggota bomba dan pasukan penyelamat selepas bahagian kepala treler yang menghempapnya dikeluarkan menggunakan kren,” katanya.
Foto
ANGGOTA polis memeriksa treler yang terjunam ke dalam gaung, semalam.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan treler berkenaan rosak teruk di semua bahagian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Kepala berjahit 11

Keningau: Bermula dengan pertengkaran mulut akibat salah faham, seorang lelaki menerima 11 jahitan di kepala manakala dua rakannya turut cedera dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki bersenjata tajam di Pasar Umum Keningau, di sini, pada 1 Jun lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, Manayoh Raw Palamok, 39, cedera di kiri kepala akibat ditetak dengan parang manakala dua rakannya, Cyril Linus, 20, menerima lima jahitan akibat cedera di siku dan tangan kiri. 
Seorang lagi mangsa, Analem Tony Malip, 31, cedera di muka akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada serangan itu. 

Manayoh yang menerima 11 jahitan masih dirawat di wad Hospital Keningau dan keadaannya dilaporkan stabil manakala dua lagi rakannya sudah dibenarkan pulang.
Foto
MANGSA yang ditetak dalam pergaduhan di Pasar Umum Keningau.

Sumber berkata, difahamkan kejadian berlaku apabila seorang daripada saudara mangsa berselisih faham dengan kumpulan samseng berkenaan.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Budak 4 tahun maut tercekik bebola ikan

Ahli keluarga mangsa yang sedang menunggu bedah siasat dijalankan.

SUNGAI PETANI - Percutian keluarga bersama anak sulung berusia empat tahun berakhir tragedi apabila mangsa mati akibat terkecik bebola ikan dalam kejadian di sini petang semalam.

Mangsa kanak-kanak lelaki, Lim Wei Kiat, 4, disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas dipercayai kekurangan oksigen di bahagian otak.

Kejadian dikatakan berlaku dekat di Pesiaran Cinta Sayang ketika mangsa melihat ahli keluarga menikmati hidangan itu kira-kira jam 3 petang, semalam.

Sumber keluarga terdekat memberitahu, mangsa yang melihat bebola ikan terus merampas dan cuba menelan, sebelum tercekik.

“Kejadian berlaku semasa dia bersama ibu bapanya sedang minum petang. Namun, mangsa dipercayai mengambil bebola ikan sebesar syiling 50 sen dan terus menelan tanpa mengunyah.

“Keluarga ini menetap di Sabah dan bercuti ke Semenanjung Malaysia untuk bertemu ahli keluarga yang berada di sini,”  katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, HSAH, di sini semalam.

Akibat kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Jabatan Kecemasan, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.50 petang ketika dalam perjalanan ke hospital.

Katanya, doktor memaklumkan mangsa tidak dapat diselamatkan kerana otaknya tidak berfungsi akibat kekurangan oksigen.

Tinjauan Sinar Harian ke Jabatan Forensik jam 9 malam semalam mendapati bedah siasat sedang dijalankan ke atas mayat mangsa.

Kematian Mers di Jordan meningkat


3 Jun 2014


AMMAN - JORDAN. Penularan virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) yang sebelum ini mengakibatkan ratusan maut di Arab Saudi kini makin menular ke Jordan.

Jurucakap kementerian Sultan Kasrawi berkata, mangsa terbaharu maut adalah seorang warga emas berusia 69 tahun yang mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Mangsa dimasukkan ke hospital sejak lima hari lalu. Keadaan makin kritikal selepas doktor mengenal pasti mangsa dijangkiti virus tersebut," katanya pada laporan Al Arabiya.

Setakat ini, jumlah kematian akibat virus tersebut meningkat kepada enam orang.

Pokok tumbang hempap kenderaan

Keadaan kenderaan pacuan empat roda milik pengunjung Pantai Teluk Cempedak yang
dihempap pokok tumbang, petang kelmarin
Keadaan kenderaan pacuan empat roda milik pengunjung Pantai Teluk Cempedak yang dihempap pokok tumbang, petang kelmarin
KUANTAN - Orang ramai yang sedang menunggu bas di sebuah hentian terkejut apabila sebatang pokok tiba-tiba tumbang sebelum menghempap sebuah kenderaan di Jalan Teluk Cempedak di sini, tengah hari kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di kawasan tersebut mengalami kerosakan akibat dihempap pokok berkenaan, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.

Saksi, Yew, 23, berkata, dia dan seorang rakan berkunjung ke Teluk Cempedak untuk bersiar-siar dan meletakkan kereta di tempat parkir kira-kira lima meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, ketika keluar dari kereta dia terdengar seakan bunyi kayu patah sebelum ternampak pokok itu tumbang.

“Pada mulanya saya bercadang meletakkan kereta di kawasan itu memandangkan di situ agak teduh.

“Bagaimanapun saya membatalkan hasrat memandangkan kedudukannya agak jauh dan kebetulan ada tapak letak kereta yang kosong lebih dekat untuk berjalan kaki ke pantai,” katanya.

Yew berkata, ketika kejadian cuaca baik dan agak berangin.

“Saya tidak pasti puncanya, namun kemungkinan pokok itu tumbang disebabkan bahagian tengah batangnya sudah reput,” katanya.

Susulan aduan diterima, pekerja Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) segera membersihkan pokok tumbang terbabit bagi mengelak gangguan dan kesesakan lalu lintas.

Bomba peluas pencarian Huntley

Anggota Bomba dan Penyelamat membawa anjing pengesan ketika menyambung operasi mencari warga England Gareth David Huntley, 34, yang hilang di Kampung Juara, Pulau Tioman ketika tinjauan fotoBernama di Rompin, hari ini. - Foto Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat membawa anjing pengesan ketika menyambung operasi mencari warga England Gareth David Huntley, 34, yang hilang di Kampung Juara, Pulau Tioman ketika tinjauan fotoBernama di Rompin, hari ini. - Foto Bernama
4 Jun 2014

PULAU TIOMAN - Operasi mencari dan menyelamat warga Britain Gareth David Huntley, 34, yang hilang lebih seminggu, hari ini diperluaskan ke dua kawasan iaitu Kampung Paya dan Kampung Mukut, selain sekitar kawasan Air Terjun Lubuk Teja, lokasi mangsa dilaporkan hilang sebelum ini.
  
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang Morni Mamat berkata pasukan itu yang dianggotai 55 orang anggota, termasuk pegawai; dan empat ekor anjing pengesan dipecahkan kepada tiga kumpulan.
  
Katanya dua kumpulan akan melakukan pencarian di Kampung Paya manakala satu kumpulan lagi di Kampung Mukut. Pencarian di sekitar kawasan air terjun dan Gunung Kajang tetap diteruskan.

"Dua kumpulan itu akan bertemu semula di Gunung Kajang keesokan hari dan anggota kita telah bermalam di dalam hutan di Gunung Kajang sejak malam tadi.
  
"Pencarian mangsa akan diperluaskan ke kawasan gunung itu kalau-kalau mangsa telah keluar dari lokasi dia dilaporkan hilang dan menuju ke kawasan gunung berkenaan, " katanya kepada Bernama di sini hari ini.
  
Pencarian di Gunung Kajang yang berketinggian 1,038 meter dari paras laut perlu dilakukan secara berhati-hati kerana ia mempunyai 50 meter darjah ketinggian cerun serta dilitupi hutan tebal dan batu.
  
Mozni berkata anggota bomba akan terus bermalam di hutan sekiranya warga Britain itu masih gagal ditemui hari ini.
  
Selain itu, katanya, sebuah helikopter bomba dalam keadaan siap sedia berada di Mersing untuk misi membawa keluar mangsa dari dalam hutan atau membawanya ke hospital berdekatan.
  
Sementara itu Ketua Kampung Pulau Tioman Ab Razib Ali Awang berkata kehilangan Huntley merupakan kehilangan paling lama dicatatkan membabitkan pelancong yang hilang atau sesat di kawasan Air Terjun Lubuk Teja.   

Katanya sebelum ini kehilangan pelancong di dalam hutan itu tidak melebihi dua jam.

Menurutnya hutan di kampung berkenaan yang berkeluasan hampir 30 kilometer kaki persegi merangkumi Gunung Kajang dan air terjun Lubuk Teja adalah bercuram serta berbatu sekali gus berbahaya kepada pengunjung luar jika memasukinya tanpa jurupandu arah.
  
"Setakat ini sudah lima orang pelancong sesat di hutan berkenaan dan kali terakhir adalah awal tahun lalu membabitkan warga Singapura namun berjaya ditemui sejam kemudian selepas penduduk kampung menjalankan operasi mencari," kata Ab Razib.
  
Menurutnya sebaik sahaja mangsa gagal kembali ke chalet Projek Penyu Juara pada pukul 4 petang 27 Mei lepas, pekerja dan sukarelawan di projek penyu tersebut keluar mencari mangsa sehingga pukul 7 malam.
  
Operasi mencari mangsa diteruskan keesokan harinya oleh Rela dan penduduk kampung namun gagal menemui mangsa, seterusnya laporan polis dibuat pada 29 Mei.
  
Ab Razib berkata Huntley atau mana-mana pelancong sepatutnya mengupah jurupandu arah untuk memandu mereka ke kawasan air terjun berkenaan kerana kebarangkalian untuk sesat adalah tinggi berikutan keadaan hutan tebal dan berbatu.
  
Wartawan Bernama Nurazira Abdul Rashid bersama jurufoto Mohd Faizol Abdul Aziz berkesempatan menyertai Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani ke Air Terjun Lubuk Teja semalam.
  
Perjalanan mereka dari chalet Projek Penyu Juara yang didiami mangsa ke lokasi kejadian mengambil masa lebih kurang dua jam ternyata amat mencabar dan memenatkan kerana laluan berbukit dan berbatu besar.
  
Walaupun trek laluan amat jelas kelihatan serta anak panah diletakkan di sepanjang laluan, namun sifat ingin tahu atau hobi meneroka alam yang dimiliki seseorang itu boleh menyebabkannya tersasar dari laluan sebenar yang sekali gus mengakibatkan sesat di dalam hutan tebal. - Bernama

Jurukimpal didakwa cuba bunuh jiran

mahkamah
KUALA LUMPUR - Seorang jurukimpal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang jirannya bulan lepas.
 
M. Michkel Suntharam, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di depan Hakim Azwarnida Affandi.
 
Dia didakwa melanggar D. Nagarajan, 23, dengan kereta sehingga menyebabkan kecederaan yang boleh membawa kepada kematian di tepi jalan padang permainan di Jinjang Utara, Sentul di sini pada 7.30 pagi 14 Mei lepas.
 
Michkel Suntharam didakwa melakukan perbuatan itu bersama dua individu yang telahpun dihadapkan ke mahkamah dan seorang lagi yang masih bebas mengikut Sesyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
 
Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana bimbang dia akan mengganggu mangsa dan memohon kes itu dibicarakan bersama dua lagi tertuduh yang didakwa pada 23 Mei lepas.
 
Peguam Tharamjit Singh memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan Michkel Suntharam sudah berkahwin, mempunyai dua anak dan memberi kerjasama kepada polis.
 
Azwarnida membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan sehingga kes selesai.
 
"Tertuduh dan keluarganya juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan dengan apa cara sekalipun, termasuk khidmat pesanan ringkas atau panggilan telefon.
 
"Sekiranya syarat ini gagal dipatuhi, jaminan boleh dibatalkan," katanya. 
Mahkamah juga mengarahkan kes itu dibicarakan bersama dua lagi tertuduh dan menetapkan 30 Jun untuk sebutan. - Bernama

Mat gian tak serik ditahan

Lelaki berusia 20-an (empat, kiri) dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Lelaki berusia 20-an (empat, kiri) dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
FELDA JERANGAU - DUNGUN. Walaupun pernah dipenjara beberapa bulan atas kesalahan jenayah memiliki senjata merbahaya dan penyalahgunaan dadah, namun seorang lelaki tidak pernah serik apabila dia ditahan sekali lagi dalam serbuan di sebuah rumah dekat sini, pagi kelmarin.

Ketika serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah sempena Ops Tapis itu, suspek sedang tidur di sebuah bilik bersama tiga rakannya yang 'lalok' selepas mengambil dadah.

Hasil soal siasat mendapati suspek sudah beberapa kali ditahan polis kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Dia juga pernah disyaki terbabit dengan kesalahan jenayah sehingga dipenjara beberapa bulan.

Suspek yang tidak bekerja itu mengakui, dia terlibat dengan perbuatan tidak bermoral itu setelah dipengaruhi rakan sebayanya yang juga penagih dadah.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 20-an dan tiga rakan yang ditahan bersamanya itu positif methamphetamine.

Sementara itu, serbuan diketuai Inspektor Mohd Ridhuan Ismail itu turut menahan lima lagi suspek lain termasuk seorang daripadanya pengedar yang ditahan di sebuah rumah peneroka Felda dekat sini, kerana memiliki lebih 200 pil kuda.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan operasi itu dilancarkan polis narkotik bagi membanteras gejala penyalahgunaan dadah yang dilaporkan menjadi isu sosial utama melibatkan masyarakat di kawasan tanah rancangan Felda Jerangau.

Katanya, operasi berkenaan akan diperhebatkan lagi pada masa akan datang melalui beberapa siri operasi yang sudah dirancang pihaknya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2), 39 A (1) serta 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Insiden kemalangan pesawat MAS berulang lagi

Bahagian bawah badan kapal terbang yang robek dilanggar kenderaan bagasi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), semalam. - Foto dipetik The Sun
Bahagian bawah badan kapal terbang yang robek dilanggar kenderaan bagasi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), semalam. - Foto dipetik The Sun
SHAH ALAM – Satu lagi insiden membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dilanggar sebuah kenderaan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
 
Menurut laporan The Sun, pelanggaran itu menyebabkan pesawat B737-800 mengalami kerosakan serius di bahagian bawah badan kapal terbang.
 
Dalam pada itu, pihak MAS yang turut mengesahkan kejadian tersebut.
 
MAS turut berkata, insiden turut mengakibatkan kerosakan pada fiuslaj pesawat.
 
Menurut MAS lagi, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden berkenaan.
 
“Buat masa ini, pemandu kenderaan bagasi tersebut digantung kerja sementara siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
 
 “Kesemua penumpang yang dijadualkan menaiki pesawat tersebut telah dipindahkan ke pesawat lain untuk meneruskan penerbangan mereka,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Ditetak kerana kunci kereta


MOHD TAHA YAACOB
4 Jun 2014

KAMPUNG RAJA (BESUT) - Seorang pemuda cedera selepas ditetak dengan golok dan dipukul dengan besi oleh sekumpulan empat lelaki kerana dituduh mencuri kunci penggera sebuah kereta dalam kejadian di Kampung Lay Out Tok Saboh dekat Kuala Besut, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi kelmarin itu, mangsa berusia 20 tahun cedera di betis dan kepala selepas diserang kumpulan terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 pagi hari yang sama, mangsa dikatakan telah didatangi seorang lelaki dikenali di rumahnya di kampung tersebut bertanyakan kunci kereta jenis BMW yang didakwa hilang.

Menurutnya, mangsa mendakwa sejam kemudian datang empat lelaki tidak dikenali di kawasan semak berhampiran rumahnya dan salah seorang suspek bertindak menetaknya menggunakan golok serta terkena bahagian betis kiri mangsa.

“Manakala seorang suspek lain telah memukul kepala mangsa dengan sebatang besi menyebabkan mangsa pengsan,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa hanya sedar selepas berada di Unit Kecemasan Hospital Besut sebagai pesakit luar.

"Sebelum itu mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kuala Besut sebelum dirujuk ke Hospital Besut," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca apabila suspek menuduh mangsa mencuri kunci penggera kereta milik salah seorang daripada suspek.

 “Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis kini mengesan kesemua suspek,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

OKU sesat: Nampak jalan cantik ke puncak gunung

Kamarulzaman dibawa ke Hospital Besut dengan ambulans JPAM untuk rawatan lanjut.
Kamarulzaman dibawa ke Hospital Besut dengan ambulans JPAM untuk rawatan lanjut.
BESUT - Pelbagai kejadian misteri dan aneh didakwa berlaku sebelum seorang OKU yang sesat di kaki Gunung Tebu dekat Jabi, di sini, ditemui dan dibawa keluar dari hutan berkenaan, malam kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, mangsa, Kamarulzaman Ibrahim, 46, berkata, dia ke Hutan Lipur Lata Belatan (kaki Gunung Tebu) untuk berkelah bersama ibunya, Siti Nor Kasar, 62, anak saudara dan rakan anak saudaranya yang kesemuanya seramai 10 orang.

Menurutnya, kira-kira jam 11.30 pagi, dia tiba-tiba ternampak jalan cantik seperti laluan motosikal menghala ke arah puncak gunung.

“Saya seolah-olah diarah untuk mengikuti jalan itu ke arah puncak gunung tanpa rasa sakit walaupun saya mengalami masalah kecacatan pada kaki,” katanya yang menetap di Kampung Beris Lampu dekat Kuala Besut.

Muntah dan pengsan

Kamarulzaman yang juga guru al-Quran berkata, dia terus berjalan mengikut laluan berkenaan sehinggalah tiba di satu lokasi, dia mula keletihan dan muntah sebelum pengsan.

Katanya, sebaik tersedar daripada pengsan, dia mendapati jalan yang dilalui sudah tiada, malah tidak ada sebarang denai di kawasan itu.

“Saya sendiri hairan macam mana saya boleh turun ke bawah cerun dan berada berhampiran batu besar sedangkan kalau dalam keadaan biasa pun, sudah tentu saya tidak boleh lakukan sebab kawasan itu memang susah dilalui, lagipun kaki saya cacat.

"Mujur saya bawa telefon bimbit, bila dapat saja isyarat telefon, saya cuba hubungi talian kecemasan, masa itu jam 2.02 petang dan usaha saya berjaya, saya terus beritahu sesat,” katanya.

Kamarulzaman yang keletihan ketika itu kemudian menerima panggilan daripada seseorang yang bertanyakan keadaan di sekeliling tempatnya berada sambil mengarahkan dia supaya kekal di lokasi tersebut.

Orang yang menghubunginya ialah pemandu arah aktiviti lasak, Mohd Amir Hussin, 28, yang mahir selok-belok dan keadaan hutan di situ termasuk Gunung Tebu.

Difahamkan Mohd Amir mengambil masa 40 minit ke lokasi Kamarulzaman berada yang kebiasaannya memakan masa kira-kira 2 jam untuk pendaki biasa.

Laung azan

Kata Mohd Amir, dia berjaya menemui mangsa yang berada di bawah cerun berhampiran batu-batu besar pada jam 4.05 petang.

“Walaupun saya berada kira-kira 30 meter dengan kedudukan mangsa yang berada di seberang cerun, tapi kami tak dapat bercakap kerana masing-masing tidak boleh mendengar walaupun kami memekik sekuat hati.

“Saya terpaksa berhubung melalui telefon dan kemudian selepas kami sama-sama melaungkan azan, barulah saya dengar laungan azan mangsa begitu juga dia dan kami boleh bercakap,” katanya.

Sukar cari jalan keluar

Meskipun kejadian yang berlaku agak misteri, namun ia bukanlah perkara pelik bagi Mohd Amir yang berpengalaman mencari orang sesat kerana dia juga pernah tersesat selama dua hari di kawasan sama beberapa tahun dulu.

Bagaimanapun Mohd Amir mengakui, walaupun berpengalaman, dia turut berdepan kesukaran untuk menghampiri mangsa kerana keadaan muka bumi yang amat curam.

"Saya terpaksa berpaut dan bergayut pada akar di tebing batu untuk turun ke tempat mangsa, saya tak tahu macam mana dia (Kamarulzaman) boleh sampai ke situ dengan mudah," katanya.

Mohd Amir berkata, selepas menghampiri mangsa, dia sendiri hilang arah apabila tidak dapat mengesan sebarang denai termasuk yang dilaluinya sebelum itu untuk membawa mangsa keluar dari hutan yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari pusat perkelahan Lata Belatan.

“Keadaan Kamarulzaman ketika itu agak keletihan, saya beri kata-kata semangat kepadanya agar dia bertenang kerana kami pasti dapat keluar,” katanya yang juga anggota Pasukan Sukarelawan Polis.

Sehingga jam 8.30 malam, kedua-dua mereka belum berjaya mencari jalan keluar, namun sebelum itu Mohd Amir sempat mengirim beberapa keping gambar kepada rakannya yang berada di bilik gerakan di Lata Belatan melalui telefon.

Dia juga menghubungi rakan dan pasukan penyelamat lain bagi memaklumkan mereka hilang arah dan sedang berusaha mencari denai untuk keluar dari hutan terbabit.

Hanya alami calar kecil

Ketua Operasi Mencari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Seman Awang berkata, Mohd Amir berjaya membawa keluar mangsa ke pusat gerakan di Lata Belatan, kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, kedua-dua mereka hanya mengalami calar kecil akibat terkena duri.

"Kamarulzaman memang nampak keletihan kerana tidak makan sejak pagi selain terpaksa melalui jalan berbukit," katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainya Mohd Noor berkata, operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Besut, Pejabat Hutan Daerah dan orang awam dihentikan pada jam 9.30 malam, kelmarin.

Katanya, Kamarulzaman dihantar ke Hospital Besut untuk pemeriksaan dan rawatan sebelum dibenarkan pulang.

Sementara itu, bapa Mohd Amir, Hussin,60-an yang ditemui di tempat kejadian berkata, dia sememangnya mengesyaki ada sesuatu akan berlaku di kawasan tersebut kerana malam dua hari sebelum kejadian, dia terdengar suara seperti orang perempuan sedang membaca al-Quran dari arah hutan berkenaan.

28 penumpang bas nyaris maut

Keadaan bas ekspres yang terbabas ke dalam parit, awal pagi semalam.
Keadaan bas ekspres yang terbabas ke dalam parit, awal pagi semalam.
KUANTAN - Seramai 28 penumpang dan pemandu sebuah bas ekspres nyaris maut selepas kenderaan itu terbabas masuk ke dalam parit di Kilometer 136, Jalan Kuantan- Johor Baharu  dekat Rompin, awal pagi, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 pagi itu, beberapa penumpang dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan kaca tingkap bas yang pecah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya berkata, bas ekspres tersebut dalam perjalanan dari arah Johor Baharu ke Terengganu.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, salah satu tayar bahagian hadapannya mengalami kerosakan menyebabkan bas itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu termasuk ke dalam parit.

“Pemandunya berjaya mengawal kenderaan daripada terbalik bagaimanapun beberapa bahagian badan bas mengalami kerosakan.

“Semua penumpang berjaya keluar menyelamatkan diri dan mereka yang cedera dihantar menerima rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Johari berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu memandu dalam kelajuan yang selamat sebelum tayar bas terbabit mengalami masalah menyebabkan ianya hilang kawalan.

Suspek bunuh Siti Soffea miliki 4 rekod jenayah

Mayat suspek bunuh kanak-kanak ditemui
KUALA LUMPUR - Polis hari ini mengesahkan suspek kes pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan, Siti Soffea Emelda, memiliki empat rekod jenayah lampau dan baru dua bulan dibebaskan dari penjara atas kesalahan memiliki senjata berbahaya.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata suspek berusia 27 tahun itu disahkan warga tempatan berasal dari Kulim, Kedah dan memiliki dua rekod kesalahan dadah selain mencuri kenderaan serta memiliki senjata berbahaya.
 
Suspek dikesan menetap di Lorong Tiong Nam, Jalan Raja Laut, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
 
Kong Meng berkata dengan pengesahan laporan cap jari yang diperoleh polis, waris si mati yang berada di Sungai Petani dan Kulim akan dihubungi untuk membuat pengecaman ke atas mayat dan seterusnya urusan penyerahan untuk pengebumian.
 
Polis turut mengesahkan mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Klang berhampiran Plaza Tol Sunway pada Sabtu lepas, adalah suspek kes pembunuhan Siti Soffea Emelda.
 
Identiti suspek dikenal pasti daripada analisis cap jari di bahagian Rekod Jenayah Polis.
 
Khamis lepas, kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan itu dibunuh kejam dengan kepalanya terputus daripada badan dipercayai dikelar suspek di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Komuter Kuala Lumpur, Jalan Hishammudin di sini.
    
Dalam pada itu, Kong Meng berkata selain memfokuskan siasatan terhadap motif pembunuhan, polis juga meneliti kemungkinan wujudnya 'kesalahan membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan' terhadap penjaga Siti Soffea Emelda.
 
Beliau berkata ia diperuntuk di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2011 (Akta 611) dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
 
Katanya, polis masih dalam proses mengenal pasti motif pembunuhan kanak-kanak itu dan mengambil keterangan beberapa saksi. - Bernama

Polis cari lelaki bantu siasatan kes tipu


4 Jun 2014


GEORGETOWN - Polis sedang mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan dan menjadi saksi melibatkan satu kes penipuan komersial di daerah ini pada tahun 2011.
   
Jurucakap Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berkata, polis mencari lelaki bernama Chow Yu Tek (kad pengenalan: 591027-02-5345) yang beralamat terakhir di No. 5-1-6 Lengkok Nipah Taman Lip Sin, Bayan Lepas.
   
"Lelaki itu pernah dipanggil ke Mahkamah Tinggi di sini pada 20 April 2011 bagaimanapun dia didapati memberi keterangan palsu dan kes itu akan dibawa semula ke mahkamah untuk proses rayuan dalam masa terdekat," menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
   
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Yu Teck boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Raja Ahmad Raja Sulong di talian 04-2181822 sambungan 1847 atau 1848. - Bernama

Penghantar piza cedera motosikal atas kereta


3 Jun 2014


BUTTERWORTH - Seorang lelaki penghantar piza cedera di kepala dan kaki apabila motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Raja Uda di sini hari ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang Supt Ibrahim Abu Bakar berkata dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, sebuah kereta jenis Perodua Myvi menuju ke Jalan Telaga Air, di sini merempuh sebuah Perodua Kancil yang berhenti secara mengejut di bahu jalan.

Mangsa Azmi Abd Ghani, 25, yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melambung sebelum motosikal bersama tong piza yang dibawanya tersangkut di atas bumbung Perodua Myvi, katanya ketika dihubungi.

Azmi dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya dilapor stabil. - Bernama

Dipenjara akibat pecah masuk, curi

WARTAWAN SINAR HARIAN
Tertuduh yang dikenakan hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret atas dakwaan pecah masuk pejabat dan curi, dibawa keluar dari mahkamah, dekat sini, semalam.
Tertuduh yang dikenakan hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret atas dakwaan pecah masuk pejabat dan curi, dibawa keluar dari mahkamah, dekat sini, semalam.
3 Jun 2014


KUANTAN – Mahkamah Majistret Kuantan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadap seorang buruh bagi dua pertuduhan setelah mengaku bersalah terhadapan tuduhan melakukan pecah masuk pejabat dan curi.

Majistret Tuan Ruzaini Tuan Lah memerintahkan hukuman penjara 36 bulan bagi pertuduhan pertama yang dikenakan ke atas tertuduh dikuatkuasakan dari tarikh di tangkap, pada 26 Disember tahun lepas, manakala bagi pertuduhan kedua iaitu penjara selama 24 bulan disambung selepas hukuman pertuduhan pertama selesai.

Bagi pertuduhan pertama, Hooi Eik Koon, 36, didakwa telah melakukan kesalahan pecah pejabat dengan memasuki pejabat S. Arumugam di alamat pejabat Bob S Arumugam & Co, A-15 Tingkat 1, Lorong Tun Ismail 10, Sri Dagangan 2, dekat sini, pada 26 Disember tahun lalu kira-kira jam 8.00 hingga 8.30 malam.

Tertuduh, didapati telah mencuri kabel USB dan ‘earphone’, telefon bimbit jenama Blackberry, jam tangan jenama Dunhill bersadur emas, jam tangan pelbagai jenama, minyak wangi jenama Pacco Rabanne, cincin berlian, rantai emas, wang tunai RM10,000 dan kesemua barang tersebut bernilai kira-kira RM60,000.

Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda dan jika kesalahan tersebut mencuri makan tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan dilakukan kali kedua boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah melakukan pecah rumah dengan niat untuk melakukan kesalahan tersebut sekali gus mencuri satu set komputer, sebuah komputer riba jenama Dell, telefon bibit dan beberapa ‘pendrive’ dan wang tunai kira-kira RM500, nilai kerugian keseluruhan bernilai kira-kira RM3,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat Messrs Loke, Chew & Zainal, No 24 Tingkat 1, Jalan Teluk Sisek, dekat sini, pada 13 Januari lepas, di antara jam 3.00 hingga 6.00 pagi.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama dan hukumannya boleh dipenjara selama tempoh tidak sampai lima tahun dan dikenakan denda.

Dalam pada itu, tertuduh kini sendang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rekod lampau melibatkan kes curi dan dadah.

Warga emas maut dirempuh motosikal

WARTAWAN SINAR HARIAN
Orang ramai dan polis melihat keadaan mangsa yang maut akibat dirempuh motosikal di Kilometer 3 Jalan Sitiawan-Kampung Acheh.
Orang ramai dan polis melihat keadaan mangsa yang maut akibat dirempuh motosikal di Kilometer 3 Jalan Sitiawan-Kampung Acheh
3 Jun 2014
. MANJUNG - Seorang penunggang basikal maut dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian Kilometer 3  Jalan Sitiawan-Kampung Acheh dalam kejadian pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, kejadian pada jam 9.45 pagi itu berlaku apabila penunggang basikal dikenali sebagai K Kamachi, 62, cuba melintas jalan sebelum dirempuh motosikal yang ditunggang seorang pemuda berusia 22 tahun.

Menurutnya, penunggang motosikal yang datang dari arah Sitiawan menuju ke Kampung Acheh tidak dapat mengelak mangsa sedang  melintas jalan dan melanggar warga emas itu sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami cedera parah dan maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal pula hanya cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang wanita berusia 32 tahun ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah pondok di dalam kebun sawit peringkat 13 Felcra Changkat Lada di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, mayat wanita itu ditemui abangnya kira-kira jam 6 petang pada hari kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian, abang mangsa mencari motosikal ditunggang wanita itu sebelum  menjumpai mayatnya tergantung di pondok berkenaan.

“Polis sudah menerima laporan mengenai kejadian itu dan mayat mangsa  dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui,” katanya.

Kilang kayu getah musnah terbakar

Kilang kayu getah musnah terbakar
JITRA - Sebuah kilang kayu getah musnah dalam kebakaran di Simpang Tiga, Jalan Guar Napai, dekat sini, malam semalam.
 
Kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu melibatkan enam dari lapan bilik wap dan kayu.
 
Difahamkan, kebakaran yang dipercayai bermula dari tempat simpanan kayu di kilang yang beroperasi sejak 20 tahun lalu .
 
Pegawai Operasi Zon Satu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohammad Haiqal Izwan Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.49 malam dan tiba di tempat kejadian pada 11.11 malam.
 
Bagaiamanapun, bomba mengalami kesukaran untuk melakukan operasi memadam api berikutan kekurangan air dalam pili bomba di kilang tersebut.
 
"Anggota bomba terpaksa berulang alik sejauh 1.6 kilometer bagi mendapatkan sumber air untuk memadamkan kebakaran.
 
"Operasi itu menggunakan tiga jentera dari Balai Bomba Bukit Kayu Hitam, Jitra dan Alor Setar dengan 13 anggota" katanya ketika dihubungi hari ini.
 
Menurutnya, kerja memadamkan kebakaran turut dibantu 50 anggota bomba sukarela melibatkan sembilan jentera.
 
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3 pagi dan jumlah kerugian serta punca kejadian masih disiasat.

Miliki pisau 30sm, warga Myanmar didenda


4 Jun 2014


KUALA LUMPUR - Gara-gara membawa pisau sepanjang 30cm di tempat awam, seorang penjual buah warga Myanmar hari ini didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini.
   
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhi hukuman itu terhadap Nai Aung Myo Tun, 27, selepas dia mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya itu di hadapan Pasaraya KK Mart, di Jalan Tun Cheng Lock di sini pada pukul 3.30 pagi, 29 Mei.
   
Erry Shahriman juga memerintahkan lelaki itu dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.
   
Dia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Bahan Kakisan, Letupan, dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan dikenakan hukuman sebat.
   
Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Vincent Chew Zi Xian memohon hukuman ringan kerana pisau sepanjang 30cm itu adalah untuk kegunaannya yang bekerja sebagai penjual buah di kawasan tersebut.
   
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam. - Bernama

Rompak berkumpulan: Penganggur dipenjara 5 tahun


3 Jun 2014

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dipenjara lima tahun dan dikenakan tiga sebatan kerana merompak secara berkumpulan bersenjatakan parang terhadap seorang pereka dalaman tahun lepas.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu terhadap Yang See Chung, 25, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah hari ini dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 13 Oktober 2013.

Prosiding di Mahkamah Sesyen di sini hari ini sepatutnya ditetapkan untuk sebutan.

Yang didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, merompak wang tunai RM500, dua telefon bimbit, sebuah Ipad, wang tunai tiga juta rupiah dan sebuah kereta jenis BMW X5, yang kesemuanya bernilai RM310,000 milik Tengku Illya Tengku Syukri, 47, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, di sini pada 1 tengah hari, 12 Okt 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mengikut fakta kes, mangsa yang ketika itu sedang tidur dikejutkan oleh Yang dan seorang lagi penjenayah, dengan seorang daripada mereka bersenjatakan parang, sebelum mangsa diarah menutup mata.

Selepas menggeledah bilik mangsa selama 10 minit, tertuduh melarikan diri bersama kereta milik mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz manakala tertuduh diwakili peguam K.L. Yong. - Bernama

Menteri India maut dalam kemalangan

Menteri India maut dalam kemalangan
NEW DEHLI - INDIA. Menteri Pembangunan Luar Bandar India yang baharu dilantik, Gopinath Munde, maut dalam kemalangan, hari ini.

Beliau yang sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk berlepas ke kampung halaman telah dilanggar oleh sebuah kenderaan, lapor BBC.

Menurut doktor di Hospital AIIMS, beliau sudah meninggal dunia ketika di tiba hospital.

"Beliau terlibat dalam sebuah kemalangan pada waktu pagi dan kemudiannya dibawa ke hospital di Delhi.

"Doktor mengisytiharkan beliau meninggal dunia lebih kurang jam 8 pagi waktu tempatan," kata Menteri Pengangkutan, Nitin Gadkari ketika memberitahu wartawan.

Munde, 64, baru sahaja dilantik untuk kerajaan baharu Perdana Menteri, Narendra Modi.

Narendra Modi menyifatkan Munde sebagai 'pemimpin orang ramai' dan 'berjaya ke tahap tertinggi dan membantu orang ramai tanpa jemu'.

"Saya amat terkejut dengan kehilangan kawan saya Munde. Kehilangan beliau ada kehilangan besar kerajaan dan negara," dipetik dari laman sosial Twitter Modi.

Tikam rakan 19 kali kerana pengaruh internet


  • Tikam rakan 19 kali kerana pengaruh internet

WISCONSIN - AMERIKA SYARIKAT. Akibat terpengaruh dengan kisah hantu di internet, dua kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dituduh mengumpan seorang rakan mereka dan menikamnya sebanyak 19 kali di sebuah hutan.
 
Ketua Polis Bandar Milwaukee, Russell Jack berkata, mangsa yang berumur 12 tahun berada dalam keadaan stabil.
 
Mangsa terselamat apabila orang awam menjumpai basikalnya di sebuah jalan di Waukesha.
 
Dua suspek berkenaan ditahan sejurus selepas mangsa dijumpai dan didakwa cuba membunuh dengan niat, lapor CNN.
 
Morgan Geyser dan Anissa Weier akan  didakwa sebagai orang dewasa dan muncul di Mahkamah pada Isnin.
 
Suspek dan mangsa belajar di sekolah yang sama.
 
Mahkamah menetapkan ikat jaminAS$500,000 (RM 1.6 juta) setiap seorang.
 
Menurut Jack, kedua-dua suspek terpengaruh dengan sebuah karekter di sebuah laman web cerita hantu.
 
Menurut siasatan awal, suspek telah merancang sejak Februari lalu.

Kanak-kanak ditikam ketika mendapatkan ais krim


  • Kanak-kanak ditikam ketika mendapatkan ais krim

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Polis sedang giat mencari seorang lelaki yang dilaporkan menikam dua kanak-kanak di dalam sebuah lif sebuah apartmen di East New York, berhampiran Brooklyn, petang kelmarin.

Pesuruhjaya Polis New York, Bill Bratton berkata, kedua-dua kanak-kanak sedang dalam perjalanan untuk membeli ais krim apabila mereka ditikam.

Menurut Bratton, suspek melarikan diri setelah menikam seorang kanak-kanak lelaki berumur 6 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur 7 tahun.

"Prince Joshua "PJ" Avitto, 6, ditikam di bahagian badan dan meninggal dunia di hospital berhampiran.

"Kanak-kanak perempuan juga ditikam di bahagian sama dan masih dalam keadaan kritikal," katanya.

Sementara itu, Regenia Trevathan, moyang kepada kanak-kanak perempuan berkenaan memberitahu, kebanyakan orang dewasa sedang memerhati kanak-kanak lain  di sebuah taman permainan semasa kejadian tersebut berlaku.

Padah abaikan keperluan haiwan

Padah abaikan keperluan haiwan
SEORANG pesara didapati bersalah kerana didakwa gagal memenuhi keperluan kesemua 26 ekor haiwan peliharaannya termasuk kucing, arnab dan anjing serta membiarkan ia hidup dalam keadaan kotor serta tidak terurus.

Menurut Mail Online, ketika pemeriksaan Pusat Kebajikan Haiwan United Kingdom (RSPCA), pemilik rumah Raymond Coll, 66, pada awalnya menafikan dia tinggal di situ. Namun, siasatan mendapati dia tinggal di rumah itu bersama isterinya.

Pegawai juga menemui beberapa ekor kucing di dalam sangkar yang berada di dalam sebuah bilik utiliti gelap tanpa laluan cahaya matahari, pengudaraan dan bekas minuman mahupun makanan.

Pegawai RSPCA Louise Showering berkata kepada mahkamah, rumah itu berada dalam keadaan bersepah, semak dan kesemua haiwan sangat menyedihkan.

“Keadaan di rumah itu sangat kotor dan persekitaran di sekelilingnya tidak sesuai untuk dijadikan tempat tinggal haiwan,” katanya.

Kesemua haiwan itu kini ditempatkan di pusat jagaan haiwan.

Ibu maut, empat anak cedera ditikam


  • Ibu maut, empat anak cedera ditikam

SEORANG wanita maut selepas ditikam pasangannya di Huddersfield, West Yorkshire dalam satu serangan bersenjata yang turut mencederakan empat orang anaknya.

Menurut Daily Mail, ketika polis tiba di tempat kejadian, mangsa Emma Mansell, 37, mengalami luka tikaman yang serius dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Pasangannya Johnny Sutton, 39, ditahan di tempat kejadian dan dibawa ke hospital kerana turut mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan.

Menurut jiran mangsa, pada malam kejadian mereka melihat seorang kanak-kanak lelaki berlumuran darah meminta tolong sambil menjerit, "seseorang perlu membantu ibu dan adik beradik saya”.

“Saya terdengar bunyi bising dan terlihat kanak-kanak itu penuh dengan darah. Dia berlari ke jalan sambil menjerit meminta tolong. Kemudian saya ternampak seorang jiran keluar sambil memegang seorang bayi dan selimut yang dipenuhi darah,” katanya.

Katanya lagi, keadaan di sekitar kawasan perumahan itu menjadi kecoh secara tiba-tiba dengan beberapa kenderaan polis serta ambulans di tepi jalan.

Polis mengesahkan kanak-kanak berumur sembilan tahun yang ditemui di luar rumah mempunyai luka tikaman di tangan, manakala adik beradiknya yang lain berumur 6 dan 11 tahun serta seorang bayi perempuan 6 bulan mengalami luka kecil.

Difahamkan, mangsa telah berpisah dengan suaminya kira-kira 18 bulan lalu sebelum mula menjalinkan hubungan dengan suspek yang dikenali di sebuah pub.

MERS: Timbalan Menteri Kesihatan dipecat


  • MersMers
RIYADH - ARAB SAUDI. Menteri Kesihatan Arab Saudi memecat seorang daripada timbalannya ketika angka korban sindrom pernafasan akut Timur Tengah (MERS) mencecah 190 orang, menurut satu kenyataan kementerian itu di laman mikro Twitter, hari ini, lapor AFP.
 
Namun tiada alasan diberikan berhubung pemecatan timbalan menteri, Ziad Memish itu.
 
Menteri Kesihatan yang sebelum ini, Abdullah al-Rabiah dipecat April lalu tanpa penjelasan rasmi dan digantikan dengan Menteri Buruh, Adel Fakieh, yang menjanjikan ketelusan dalam menyampaikan maklumat kepada media dan orang awam berhubung MERS.
 
MERS merupakan sejenis virus akut pernafasan misteri berasal dari Timur Tengah yang dilaporkan amat mudah merebak antara manusia sekali gus lebih bahaya berbanding virus SARS.
Virus MERS mula dilaporkan merebak di tanah Arab pada 24 Semptember 2012 dan ia masih belum dapat diubati.
 
Setakat ini, rekod menunjukkan MERS mula menjangkiti penduduk di Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perancis, Jerman, Itali dan Tunisia yang mana pesakit pernah menjejakkan kaki ke rantau Timur Tengah.
 
Penghidap disahkan mengalami simptom seperti demam dan batuk berlarutan selama beberapa hari dan jika tidak diberi rawatan khas, mereka akan meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.
 
Pakar tidak menolak MERS berkait rapat dengan virus kelawar walaupun sebahagian daripada mereka mengesyaki ia merebak menerusi haiwan sakit seperti unta atau kambing.