PULAU PINANG 1 Jun - Dua peniaga meminta semua pihak berhenti daripada terus menyebarkan gambar mereka di laman sosial seperti Facebook dan blog yang mendakwa mereka sebagai penjenayah yang terlibat merempuh motosikal seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis, Lans Koperal Mohd. Azuan Abdullah, 25, sehingga mengakibatkan kematiannya pada 26 Mei lalu.
Peniaga terbabit, Azhar Ramli, 40, menegaskan, dia tidak terbabit dengan kejadian samun di Parit Buntar, Perak itu dan tidak tahu bagaimana gambarnya bersama seorang rakan tersebar.
Katanya, ketika kejadian, dia berada di rumahnya di Taman Cenderawasih, Butterworth di sini dan terkejut apabila diberitahu gambarnya tersebar luas di laman sosial sebagai suspek yang dikehendaki polis sehari selepas kejadian berkenaan.
"Saya sendiri tidak sedar tentang hal ini sehingga diberitahu adik ipar yang memaklumkan gambar saya tersebar termasuk melalui aplikasi Whatsapp dan Wheechat. Malah amat menyedihkan apabila saya yang tidak terlibat dihentam, dimaki dah diugut oleh pengguna laman sosial.
"Hidup saya kini tidak tenteram dan bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga ekoran alamat lengkap rumah juga disebarkan bersama gambar terbabit. Tiga anak saya juga malu untuk berhadapan dengan rakan dan guru di sekolahnya apabila sering diajukan soalan berkaitan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Mohd. Azuan maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dinaiki sekumpulan penyamun di Batu 10, menghala ke Alor Pongsu, di Parit Buntar, Perak.
Dua hari selepas itu Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Fauzi Nayan menafikan pihaknya ada mengeluarkan gambar kedua-dua lelaki terbabit serta mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Azhar seterusnya berkata, disebabkan penyebaran gambarnya itu, perniagaan pakaian yang diusahakan di Parit Buntar sejak 10 tahun lalu turut terjejas seolah-olah diboikot termasuk daripada pembekal yang mula takut untuk berurusan dengannya.
Sementara itu, rakan Azhar, Mohd. Nizam Ali Hassan, 39, yang mengusahakan perniagaan barangan lusuh berkata, satu laporan polis telah dibuat pada 27 Mei lalu ekoran perkara terbabit, namun sehingga kini gambar mereka berdua terus disebarkan.
"Jiran-jiran di kawasan perumahan saya mula bertanyakan hal itu dan mereka memandang serong sedangkan sudah penat saya menjelaskan perkara sebenar," katanya.
Kata Mohd. Nizam, dia dan anak-anaknya sentiasa mengikuti penyebaran gambarnya itu di laman sosial dan mendapati beberapa blog popular masih memuat naik gambarnya itu walaupun penjelasan telah diberikan.
"Saya dan Azhar tidak pernah dipanggil polis berhubung kes ini atau disabitkan dengan apa-apa kes jenayah sebelum ini. Sekiranya benar terlibat, sudah pasti kami telah lari bersembunyi dan tidak berani untuk tampil.
"Saya harap pihak berkuasa menyiasat bagaimana gambar dan maklumat peribadi kami boleh tersebar kerana ia memberikan ancaman keselamatan terhadap keluarga kami sedangkan saya dan Azhar tidak memiliki Toyota Wish seperti yang digunakan penjenayah sebenar," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140602/je_05/Dua-peniaga-minta-hentikan-sebar-gambar-mereka-sebagai-suspek#ixzz33UYP1vPr
© Utusan Melayu (M) Bhd