Search This Blog

Monday, May 26, 2014

Rentung dalam kereta

Miri: Dua beranak yang menaiki Proton Iswara rentung apabila kereta itu meletup dan terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Bakam di sini, kira-kira 6 pagi tadi.
Proton Iswara dinaiki wanita bersama anaknya itu dikatakan bertembung dengan pikap jenis Nissan Navara dinaiki sepasang suami isteri yang datang dari arah bertentangan. 
Bagaimanapun, pasangan suami isteri terbabit selamat apabila berjaya dikeluarkan orang ramai yang menyaksikan kejadian sejurus sebelum kenderaan itu turut disambar api beberapa minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, ketika kejadian kereta dinaiki dua beranak itu dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Luak menuju ke Bakam di sini.
Foto
ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan mengakibatkan dua beranak terkorban, pagi tadi.

Foto
DUA beranak tidak dapat diselamatkan apabila kenderaan yang terbabit dalam kemalangan terbakar.

Katanya, mayat wanita dan anaknya yang belum dikenal pasti identiti itu dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat manakala pasangan suami isteri terbabit turut diberikan rawatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

Penyelia asrama didakwa noda


Tercampak 50 meter

Parit Buntar: Seorang anggota polis maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh penjenayah yang menaiki sebuah kereta dalam kejadian di sini, jam 1 petang tadi.
Sumber polis berkata, kejadian berlaku selepas dua anggota polis unit rondaan bermotor (URB) yang menerima maklumat bertindak mengejar suspek yang baru melakukan samun di kawasan berhampiran.
"Anggota yang mengejar sebuah Toyota Wish yang dinaiki suspek bagaimanapun tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta lain yang dipercayai dinaiki rakan suspek sehingga menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 50 meter ke tepi jalan.

"Anggota yang dipercayai bertugas Di Balai Polis Kuala Kurau di sini, dikenali sebagai mohd Azuan, 24 tahun maut ditempat kejadian akibat cedera parah di anggota badan.
Foto
Foto


"Sementara rakan setugasnya parah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk menjalani rawatan," katanya.

Menurutnya, gerakan mengesan suspek bersama kenderaan terbabit sedang giat dijalankan.

Kali terakhir kenderaan suspek dilihat menghala ke jalan Alor Pongsu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

Buru suspek langgar polis


Tasek Gelugor: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish warna kelabu dipercayai digunakan sekumpulan penjenayah ketika merompak sebuah van rokok ditemui dibakar oleh orang awam dalam sebuah kebun pisang di Ara Kuda di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, kenderaan itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira 5.30 petang. 
"Kami mendapat maklumat daripada Polis Kontinjen Kedah memaklumkan sebuah daripada dua kereta disyaki digunakan kumpulan perompak terbabit sedang menghala ke kawasan SPU dan terus melancarkan Op Tutup. 

"Namum kami menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah kereta jenis Toyota Wish yang ditinggalkan dalam keadaan terbakar," katanya.
Foto
KEADAAN MPV yang ditemui orang awam.

Abdul Rahman berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan pihaknya mendapati nombor pendaftaran kenderaan berkenaan turut ditanggalkan penumpangnya sebelum melarikan diri.

Berikutan itu pihaknya kini sedang melakukan gerakan susulan dalam usaha untuk mengesan kumpulan yang menggunakan kenderaan berkenaan. 

"Diharapkan orang awam melihat kenderaan atau kumpulan individu mencurigakan agar menghubungi kami dengan segera bagi tindakan selanjutnya," katanya. 

Sementara itu, menurut sumber pemeriksaan dilakukan mendapati kenderaan terbabit disahkan digunakan suspek ketika melakukan samun dalam kejadian di Parit Buntar, Perak semalam. 

"Suspek dipercayai melarikan diri ke dalam kawasan hutan berkenaan dan kami akan melakukan gerakan mengesan mereka," katanya. 

Dalam kejadian di Parit Buntar, Perak kira-kira jam 1 petang semalam, mangsa, Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya cedera parah selepas dilanggar kenderaan digunakan kumpulan perompak terbabit. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

Ratusan cedera gempa di sempadan Turki


26 Mei 2014


ANKARA - TURKI. Sekurang-kurangnya 266 cedera selepas gempa bumi berukuran 6.9 skala Richter melanda wilayah sempadan Turki dan Greece, semalam.

Jurucakap Pusat Pemantauan Gempa Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa itu berlaku di Pulau Samothraki kira-kira 210 kilometer timur Thessaloniki dan 296 kilometer timur laut dari ibu negara, Athens.

“Pemantauan mendapati gegaran awal kekuatan 6.4 skala Richter dapat dirasai di sekitar bandar Thessaloniki, pantai barat Turki diikuti 70 gempa susulan berlaku,” katanya dipetik AP.

Pegawai keselamatan berkata, gegaran itu menyebabkan berapa bangunan retak termasuk dua masjid.

Dentuman kuat gempar penduduk


  • Asap tebal yang kelihatan dari Pencawang Pintu Masuk Utama TNB Batu Pahat Timur, dipercayai disambar petir, petang kelmarin.Asap tebal yang kelihatan dari Pencawang Pintu Masuk Utama TNB Batu Pahat Timur, dipercayai disambar petir, petang kelmarin.

BATU PAHAT - Penduduk di Pura Kencana, Sri Gading di sini, digemparkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada kebakaran yang berlaku dalam Pencawang Pintu Masuk Utama TNB Batu Pahat Timur, petang kelmarin.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali Salmah, 45, berkata, ketika kejadian itu, hujan lebat diikuti guruh dan petir mendorongnya mengambil keputusan untuk berada di rumah walaupun pada mulanya ingin ke kedai berhampiran.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat beberapa kali menyebabkan saya terus keluar rumah untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

“Saya nampak jiran berkumpul dan mereka memberitahu pencawang TNB berhampiran kawasan perumahan kami terbakar. Dari jauh kelihatan api mula marak dan asap hitam memenuhi ruang udara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Timah Sari, Mohd Fauzi Md Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu jam 6.05 petang, kelmarin.
Menurutnya, dengan kekuatan 11 anggota, dua jentera dan sebuah kenderaan utiliti mereka bergegas ke lokasi dengan dibantu tujuh anggota Pasukan Bomba Sukarela Sri Gading bersama satu jentera.
Jelasnya, api berjaya dikawal sepenuhnya lebih kurang 11 jam selepas kebakaran iaitu kira-kira jam 5.30 pagi, semalam.

“Kebakaran yang berlaku melibatkan tangki simpanan diesel pihak TNB dan tidak melibatkan bahan penting dalam pencawang terbabit, selain pengguna sekitar tidak mengalami gangguan bekalan elektrik.

“Pihak bomba masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian yang dialami pihak TNB juga masih disiasat,” katanya.

Penyamun tidak sempat tikam


  • Syed Ahmad Kabeer yang masih lemah bersama anak, S Hassan Kuthoos menunjukkan kesan koyak pada baju yang ditarik dua penyamun itu.Syed Ahmad Kabeer yang masih lemah bersama anak, S Hassan Kuthoos menunjukkan kesan koyak pada baju yang ditarik dua penyamun itu.

KLANG - Tindakan seorang warga emas menjerit dengan kuat meminta tolong telah menyelamatkan mangsa daripada ditikam menggunakan pisau oleh dua penyamun bermotosikal di kawasan Klang Sentral, Meru, Rabu lalu.

Mangsa yang juga pengusaha sebuah restoran, Syed Ahmad Kabeer Syed Mohamad, 70, bagaimanapun mengalami kecederaan di bahagian belakang selepas terjatuh ditolak salah seorang penyamun.

Berikutan kejadian itu, mangsa kini tidak mampu berdiri dan bergerak aktif seperti sebelum ini kerana tulang belakangnya lari daripada kedudukan asal.

Menceritakan kejadian itu, Syed Ahmad Kabeer yang juga bapa kepada Timbalan II Gerakan Masyarakat Prihatin Meru, S Hassan Kuthoos berkata, sebelum kejadian itu, dia ke Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membayar bil elektrik restorannya yang berjumlah hampir RM2,000.

“Saya ke sana menaiki bas kerana tak mahu susahkan anak-anak. Masa perjalanan balik, saya singgah di kawasan Klang Sentral untuk jumpa kawan sekitar jam 12.30 tengah hari.

“Ketika berjalan kaki menuju ke sebuah premis rumah kedai, dua lelaki menaiki motosikal menghampiri saya dan bertanyakan jalan dalam Bahasa Tamil,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Meru Jaya, semalam.

Tanpa mengesyaki apa-apa, dia memberi kerjasama dan tidak menyangka pembonceng motosikal yang tidak memakai helmet mendekatinya secara meluru dan menarik kocek bajunya.

“Saya terkejut terus mempertahankan kocek baju yang berisi wang dan telefon bimbit serta beberapa bil yang telah dijelaskan bayaran.

“Lelaki itu terus menarik saya dan tidak cukup dengan itu, rakannya yang memakai helmet pula menyerbu sambil tangan kanannya menarik kocek saya.

“Berlaku pergelutan beberapa minit sebelum lelaki itu mengacukan pisau ke lengan kanan saya dan berjaya menarik kocek.

“Kocek saya koyak menyebabkan wang, telefon bimbit dan beberapa bil bertaburan di atas jalan,” katanya.

Katanya, khuatir ditikam penyamun itu, dia menjerit sekuat hati meminta pertolongan orang ramai yang berada di sebuah restoran makanan segera di situ.

“Kehadiran orang ramai  menyebabkan dua lelaki itu melarikan diri bagaimana mereka sempat mengambil wang berjumlah hampir RM200 yang jatuh ke jalan raya.

“Malah salah seorang daripadanya sempat tolak badan saya dan saya jatuh tersembam ke belakang hingga saya tidak dapat bangun sebelum dibantu orang ramai,” katanya.

Berikutan kecederaan itu, Syed Ahmad Kabeer dikejarkan ke sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan dan mangsa kini tidak lagi mampu berjalan dan hanya terbaring di kediamannya.

Namun dia bersyukur kerana nyawanya terselamat termasuk wang RM1,000 yang disimpan dalam kocek seluar di bahagian belakang tidak disentuh penyamun.

Sementara itu, S Hassan Kuthoos berkata, sehingga kini laporan polis belum dibuat kerana keadaan bapanya tidak mengizinkan.

Katanya, laporan polis akan dibuat selepas kesihatan bapa beransur pulih dalam masa terdekat.

Serius banteras aktiviti judi internet


  • Sebahagian komputer yang dirampas pasukan polis ketika menjalankan serbuan di salah sebuah premis terbabit.Sebahagian komputer yang dirampas pasukan polis ketika menjalankan serbuan di salah sebuah premis terbabit.

SABAK BERNAM – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam berjaya rampas 49 komputer termasuk peranti mesin judi internet berkenaan dan wang tunai berjumlah RM400 dalam operasi berasingan di Sungai Besar dan Sekinchan bermula 21 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, operasi itu bermula di Taman Nirwana Sungai Besar besar kira-kira jam 9 malam apabila seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung judi internet.

Menurutnya, serbuan diketuai Cif Inspektor Subramania, polis berjaya rampas 14 komputer ketika pelanggan leka bermain aktiviti haram itu.

“Hasil risikan polis dan maklumat awam, kami berjaya kesan beberapa premis perniagaan menjalankan kegiatan itu dan kemudiannya mengadakan serbuan di lokasi terbabit,” katanya.

Beliau berkata, keesokannya polis menjalankan dua serbuan di Jalan Menteri Besar 2, Sekinchan kira-kira jam 9 malam dan menahan dua lagi lelaki berusia 40 dan 60 tahun di premis berasingan.

Sementara dalam serbuan kedua, katanya, polis berjaya rampas tiga komputer di premis berkenaan.  

“Kami berjaya melumpuhkan aktiviti perjudian internet di kedua-dua kawasan ini dan harap pemilik premis tidak meneruskan operasi selepas komputer dan perantinya dirampas dalam serbuan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin yang dirampas dan penjara maksimum lima tahun.

Noor Mushar berkata, polis serius membendung aktiviti itu dan akan sentiasa menjalankan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan itu agar perjudian internet dilumpuhkan di kawasan terlibat.

“Diingatkan agar pengusaha premis patuhi peraturan. Kami akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.

Helah pemandu treler terbongkar


  • Treler dengan muatan baja 44 tan bernilai keseluruhan RM200,000ditemui semula dekat Sungai Limau, Yan.Treler dengan muatan baja 44 tan bernilai keseluruhan RM200,000ditemui semula dekat Sungai Limau, Yan.

SUNGAI PETANI - Helah licik seorang pemandu treler yang membuat laporan polis mengenai kehilangan kenderaan itu akhirnya terbongkar apabila dia turut ditahan kerana dipercayai bersubahat dalam kejadian terbabit.

Treler yang penuh muatan baja keseluruhannya bernilai RM200,000 diletakkan pada jam 6 petang berhampiran kawasan luar kilang pengeluar baja Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Gurun dalam kejadian 23 Mei lalu.

Muatan sebanyak 22 tan baja urea dan 20 tan baja NPK dalam lori treler terbabit sepatutnya dihantar ke projek Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Jerlun.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, satu laporan polis dibuat oleh pemandu pada 9.20 pagi kelmarin yang menyedari kehilangan kenderaan itu sebaik sahaja ke lokasi keesokan hari.

Menurutnya, hasil siasatan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, lori berkenaan dikesan berada di kawasan Sungai Limau, Yan jam 8 malam hari yang sama.

“Siasatan lanjut pada jam 1.15 pagi (semalam), menemui kesemua muatan baja yang dipercayai telah dijual kepada pihak ketiga disimpan dalam sebuah gudang beras kira-kira lima kilometer dari penemuan treler,” katanya.

Pemandu treler yang membuat laporan polis dan seorang pengawal keselamatan ditahan bagi membantu siasatan.

Polis juga menahan seorang lelaki yang dipercayai pemilik gudang yang membeli kesemua baja itu.

Semua tiga suspek berusia 31 hingga 38 tahun ditahan reman selama tiga hari sehingga 27 Mei untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi dari tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Ahmad berkata, ini merupakan kejadian pertama di Kedah melibatkan kehilangan treler berserta muatan dan berjaya selesaikan dalam tempoh 48 jam.

Tujuh nelayan asing ditahan


  • Shafik Fauzan (dua kanan) menunjukkan sotong yang dikeringkan di dalam bot yang ditahan.Shafik Fauzan (dua kanan) menunjukkan sotong yang dikeringkan di dalam bot yang ditahan.

KUANTAN - Tujuh nelayan warga Vietnam berusia 17 hingga 39 tahun berjaya ditahan pihak penguat kuasa Jabatan Perikanan Pahang dalam satu operasi  kira-kira jam 1.15 tengah hari kelmarin.

Kesemua mereka ditahan ketika sedang melakukan aktiviti penangkapan sumber laut di perairan negeri ini iaitu kira-kira 46 batu nautika dari Kuala Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, kesemua mereka ketika ditahan gagal menunjukkan bukti sah untuk menangkap ikan di kawasan terbabit.

Menurutnya, malah penguat kuasa turut mendapati mereka menangkap sotong menggunakan pukat yang mana kaedah itu diharamkan di negara ini bagi menjaga sumber laut.

“Mereka dipercayai baru memasuki perairan negeri ini berdasarkan jumlah tangkapan yang sedikit.

“Bagaimana pun, kita mendapati mereka cuba menggunakan cara yang tidak betul untuk menangkap sotong dan ia diproses menjadi sotong kering berdasarkan terdapat sotong yang dijemur pada para di atas bot,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Pahang, Adnan Hussain dan Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang, Inwi Eh Kliyau.

Dalam operasi lain, pihak berkuasa turut menahan bot Zon B  nelayan tempatan kira-kira lima batu nautika dua hari lalu.

“Tekong bot berkenaan akan disenaraihitamkan sebagai ingatan kepada nelayan lain supaya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan ,” katanya.

Dalam pada itu, Shafik Fauzan turut melahirkan rasa sedih dan terkilan apabila dimaklumkan ada pihak yang membocorkan maklumat mengenai operasi yang dijalankan pihak berkuasa.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti Jabatan Perikanan, Padang Lalang dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

'Saya minta Pak Su mengucap'

Noraishahtun memeluk erat mayat suaminya sebaik tiba di lokasi kemalangan.
Noraishahtun memeluk erat mayat suaminya sebaik tiba di lokasi kemalangan.
Motosikal berkuasa tinggi Honda CBR yang ditunggang mangsa remuk teruk.
Motosikal berkuasa tinggi Honda CBR yang ditunggang mangsa remuk teruk.
CHUKAI - “Lepas dengar dentuman kuat, saya terus berlari ke arah lokasi kemalangan dan lihat dua penunggang motosikal terbaring di tepi jalan. Saya periksa tangan mangsa yang tertiarap, nadinya sudah tiada denyutan.

“Namun setelah saya buka topi keledar mangsa, saya terpaku seketika sebab mangsa rupa-rupanya Pak Su saya,” cerita Muhammad Amar Rosdi, 16, yang kebetulan berada berdekatan lokasi nahas melibatkan bapa saudaranya, Muhammad Rozilah Md Yusuf, 35, lewat petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 6.50 petang itu, bapa saudaranya yang juga Jurutera Projek di Syarikat PFCE-CG Sdn Bhd Cawangan Miri, Sarawak, maut serta merta di tempat kejadian akibat patah tulang leher.

Kejadian berlaku di Kilometer 1 Jalan Chukai-Air Putih ketika Muhammad Rozilah dan rakannya yang dikenali sebagai Zaki, 35, yang juga sepupu isterinya sedang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR menuju ke arah Air Putih.

Bagaimanapun, perlanggaran dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Honda City dari arah bertentangan yang dipandu seorang wanita berbangsa Cina dan berusia lingkungan 40-an membuat pusingan U di lokasi kejadian.

Akibatnya, Muhammad Rozilah dan rakannya yang berada di belakangnya tercampak ke atas rumput di tepi jalan sebelum mereka dikerumuni orang awam yang datang memberi bantuan.

Muhammad Amar berkata, semasa nahas itu berlaku, dia bersama keluarganya sedang menjamu selera di sebuah kedai makan kira-kira 500 meter dari lokasi kemalangan.

“Dalam keadaan terkejut, saya ajar Pak Su mengucap, saya bisikkan beberapa kali kalimah syahadah di telinganya. Kawan Pak Su di sebelahnya pula berada dalam keadaan duduk, dia patah kaki dan tak boleh berdiri,” katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Falah di Chukai.


Isteri peluk jasad suami

Suasana di lokasi kejadian bertambah pilu sejurus isteri mangsa, Noraishahtun Abdul Manaf, 35, yang juga Pegawai Akaun PFCE-CG di Paka, Dungun tiba dan memeluk erat jasad suaminya yang sudah terbujur kaku.

Muhammad Rozilah dan isterinya yang menetap di Taman Permai Jaya mempunyai seorang anak, Muhammad Aqil Rayyan yang berusia 5 tahun.

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik dan berasal dari Kampung Batu 4 Binjai difahamkan pulang ke Kemaman hampir sebulan lalu kerana bercuti panjang.

Sementara itu, seorang lagi anak saudara arwah, Muhaimin Ayub, 15, berkata, bapa saudaranya itu kerap menunggang motosikal sejak seminggu lalu kerana sebelum ini arwah lebih gemar memandu kereta.

“Arwah beli motosikal sudah setahun dan ditinggalkan di rumahnya di sini. Arwah juga aktif mengikuti konvoi motosikal.

“Kali terakhir saya berjumpanya Rabu lalu semasa arwah belanja saya dan sepupu yang lain tengok wayang dan makan di Mesra Mall Kemasik. Arwah sangat pemurah dengan anak-anak saudara. Kehilangannya buatkan kami sangat terasa,” katanya.


Kehilangan besar buat syarikat

Pengarah Urusan PFCE-CG, Wan Azhar Wan Nawang menyifatkan pemergian Muhammad Rozilah sebagai kehilangan besar buat syarikat kerana arwah seorang pegawai yang sangat berdedikasi dan bertanggungjawab.

Katanya, arwah mula bekerja di Miri pada Januari lalu dan telah berkhidmat dengan PFCE sejak 12 tahun lalu sebaik tamat pengajian dalam jurusan kejuruteraan elektrik di UiTM Shah Alam.

“Saya tahu berita sedih ini waktu solat Maghrib. Berita ini sungguh mengejutkan sebelum saya segera datang ke hospital.

“Kali terakhir saya berjumpanya sebulan lepas. Walaupun jawatan arwah adalah jurutera projek, tetapi arwah juga pengurus syarikat di Miri. Kehilangan arwah sukar dicari ganti,” katanya.

Jenazah arwah yang dituntut keluarga kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabor Kubur pada jam 12.30 tengah malam.

Peniaga maut kereta bertembung dengan lori


  • Kereta dipandu Theong Su remuk selepas berlanggar dengan lori di Kampung Wakaf Raja, malam kelmarin.Kereta dipandu Theong Su remuk selepas berlanggar dengan lori di Kampung Wakaf Raja, malam kelmarin.

PASIR PUTEH - Seorang ahli perniagaan maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 49.5, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Wakaf Raja di sini, malam kelmarin.

Ang Theong Su, 51, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas kereta yang dipandunya dari Jerteh, Terengganu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, nahas kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika Theong Su dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Jalan Hamzah, Kota Bharu selepas bertemu rakan di Jerteh.

Katanya, kemalangan itu membabitkan kereta Proton Waja dipandu mangsa, sebuah lori dan satu kenderaan pikap.

“Siasatan awal mendapati nahas itu dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong sebuah bas dan kenderaan pikap dengan memasuki laluan bertentangan.

“Selepas itu kereta mangsa bertembung dengan lori terbabit, menyebabkan ia terbabas ke kiri jalan dan bergesel dengan kenderaan pikap,” katanya.

Mohd Kamal berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori serta kenderaan pikap tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk bedah siasat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Dua sahabat didakwa rogol


  • Nik Faiz Faisal (dua, kiri) dan rakannya akan ditahan di penjara sementara menunggu dijamin ahli keluarga.Nik Faiz Faisal (dua, kiri) dan rakannya akan ditahan di penjara sementara menunggu dijamin ahli keluarga.

KOTA BHARU - Dua sahabat mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen, di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun, dua tahun lalu.

Remaja berusia 18 tahun dan rakannya Nik Faiz Faisal Nik Azizi, 19, didakwa pada tuduhan berasingan masing-masing di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Mereka didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun tujuh bulan dengan tiada kerelaannya di sebuah rumah di Kampung Huda, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, jam 9.30 malam, 15 September 2012.

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit bersalah.

Susulan penafian itu, mahkamah menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara remaja berusia 18 tahun tersebut dibenarkan diikat jamin RM8,000, manakala Nik Faiz Faizal, RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Yusoff turut menetapkan syarat jaminan akan terbatal sekiranya terdapat aduan tertuduh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali dan peguam bela, Mohd Shahruddin Mohamed.

Rumah terbakar dipanah petir


  • Keadaan rumah Maarif musnah terbakar, malam kelmarinKeadaan rumah Maarif musnah terbakar, malam kelmarin

KUALA PILAH – “Habis semua barang peninggalan arwah isteri," luah Maarif Ahmad, 72, yang sedih selepas mendapati barang seperti pinggan mangkuk antik berbunga kangkung hangus dalam kebakaran di Kampung Masjid, dekat sini malam kelmarin.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada panahan petir berikutan ia berlaku ketika hujan lebat.

Menurut Maarif, waktu kejadian, dia tiada di rumah kerana pergi ke Seremban bersama menantunya menziarah cucu baru dilahirkan.

Bagaimanapun, katanya, dia mendapat panggilan kira-kira 7.30 malam, ketika itu sudah berada di rumah ibunya Kampung Tanjung Beringin dekat sini.

“Kami semua sudah pulang dari Seremban, tapi singgah sekejap di rumah emak pakcik di Kampung Tanjung Beringin.

“Dalam sedap berbual, saya terkejut dengan panggilan kecemasan dari jiran menyatakan rumah saya terbakar.

"Saya terus balik bersama menantu (Syarifful Rizal Zainin, 37) dan setibanya di rumah, keadaan api sedang marak disebabkan bahagian diperbuat daripada kayu, manakala bahagian ruang tamu dinding batu,”  katanya yang reda dengan kejadian tersebut.

Maarif berkata, rumahnya yang berusia 20 tahun hangus seratus peratus tanpa berjaya menyelamatkan perkakas rumah termasuk dokumen penting.

“Saya sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana semua barang-barang termasuk pakaian hangus dijilat api.
“Kerugian dianggarkan bernilai RM60,000. Walaupun rumah sudah tiada, tetapi saya sekeluarga bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya akan menumpang sementara di rumah ibunya di Kampung Tanjung Beringin.

Sementara itu, Syarifful berkata, kira-kira 6.30 petang kelmarin, dia pulang ke rumah untuk memberi makanan kepada ternakan dan keluar semula.

“Waktu itu, keadaan rumah masih elok dan tidak menyangka perkara buruk akan menimpa kami. Jiran ada maklumkan, waktu kejadian hujan lebat sekali dengan petir.

“Bila dentuman petir, tidak lama kemudian, jiran mendapati rumah saya telah terbakar dan dipercayai berpunca dari kawasan dapur,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Jaafar Yusof berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota bomba dan penyelamat berjaya mengawal kebakaran api dari merebak ke rumah mesra rakyat itu, yang jarak hanya 10 meter sahaja.

“Ketika bomba tiba di tempat kejadian, api sudah marak dengan 80 peratus. Kita mengalami kesulitan melakukan kerja-kerja pemadaman api berikutan kampung itu tiada sumber air dan pili bomba.

“Bagaimanapun api berjaya dipadam dalam tempoh 30 minit,” katanya sambil memberitahu punca kejadian masih dalam siasatan.

Empat wanita dakwa jadi mangsa pukau teman FB


WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mei 2014


SEREMBAN – Empat wanita dirogol, seorang dicabul dan seorang lagi terkena gangguan seksual, selepas dipukau seorang lelaki yang dikenali mereka melalui laman sosial Facebook (FB).

Menurut sumber, kesemua mangsa yang berusia 40-an itu, baru sahaja belajar menggunakan laman sosial berkenaan, sebelum aktif di sebuah kumpulan (group) FB yang disertainya.
Katanya, kejadian bermula apabila seorang lelaki yang sama berkawan dengan kesemua wanita berkenaan.

“Bermula dengan berkawan, mereka kerap berhubung melalui ruang bual di FB, kemudian bertukar-tukar nombor telefon antara satu sama lain.

“Hasil hubungan mesra itu, lelaki berkenaan kemudiannya mengajak wanita ini untuk berjumpa, ada yang jumpa di sekitar Seremban, dan ada pula yang bertemu di luar daerah ini.

“Apa yang menghairankan, daripada enam wanita berkenaan, lima daripadanya adalah isteri orang, yang sudah mempunyai anak, malah ada yang bercucu, seorang lagi janda.

“Saya difahamkan, ada antara mereka bergaduh besar dengan suami, dan ada yang hampir bercerai disebabkan tindakan isteri bertemu dengan lelaki dikenali melalui FB itu,” katanya.

Katanya, mangsa sehingga kini masih lagi tidak membuat laporan polis kerana bimbang rumah tangga mereka musnah, selain takut dan malu dengan suami masing-masing.

Tambahnya, dia kini sedang mengumpul beberapa bukti untuk membantu wanita berkenaan dan berharap mereka ini dapat diberi keadilan, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya kepada lelaki berkenaan.

Dua kali dalam tempoh lima jam

Keratan Sinar Harian semalam.


Keadaan lori pasir yang dikatakan mempunyai masalah brek, merempuh van sehingga menyebabkan lapan penumpang nyaris maut.
Keadaan lori pasir yang dikatakan mempunyai masalah brek, merempuh van sehingga menyebabkan lapan penumpang nyaris maut.
SEREMBAN - Lima jam selepas merempuh sebuah Tadika Perpaduan di Jalan Limbok Atas, Temiang, sebuah lori pasir merempuh pula belakang sebuah van yang dinaiki lapan penumpang, lewat petang kelmarin.
Kejadian kira-kira 7 petang itu turut mengakibatkan van dinaiki penumpang berusia antara 13 hingga 50-an itu hilang kawalan, lalu melanggar tiang lampu. Manakala lori terbabit terbabas ke tepi longkang.
Pemandu van yang hanya dikenali sebagai Fan, 51, berkata, dia bersama keluarga serta rakannya dalam perjalanan dari rumahnya ke Rasah Jaya untuk makan malam.

“Kami naik kenderaan sama dan baru beberapa minit dalam perjalanan, sebuah lori dari arah belakang merempuh van dinaiki kami. Kejadian berlaku terlalu pantas," katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana semuanya selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Kemalangan itu turut menyebabkan premis perniagaan di kawasan berkenaan terputus bekalan elektrik.

Semalam, Sinar Harian melaporkan lori seberat 10 tan itu menggelongsor sebelum merempuh tadika terbabit kira-kira 2.30 petang semalam, akibat brek tangan kenderaan itu tidak berfungsi dengan baik.

Akibat daripada kejadian tersebut, tiga buah kereta yang parkir di tepi kawasan berkenaan, rosak.

Difahamkan, kedua-dua kejadian itu mengundang rasa marah orang ramai di kawasan berkenaan berikutan sikap pemandu lori berusia 52 tahun itu yang tidak mengambil kira keselamatan awam.

Salah seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, pemandu lori itu sepatutnya dikenakan tindakan.

“Dia sudah tahu lori itu mempunyai masalah brek, tapi masih boleh memandunya dan sekarang hampir meragut nyawa orang” katanya.

Punca kebakaran masih misteri

Punca sebenar kawasan tengah Bukit Besar yang terbakar sejak Khamis lalu masih belum dikenal pasti.
Punca sebenar kawasan tengah Bukit Besar yang terbakar sejak Khamis lalu masih belum dikenal pasti.
Suasana kebakaran di Bukit Besar yang dapat dilihat dengan jelas dari bawah pada waktu malam.
Suasana kebakaran di Bukit Besar yang dapat dilihat dengan jelas dari bawah pada waktu malam.
KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri masih mengenal pasti punca kebakaran membabitkan keluasan hampir tiga hektar bahagian tengah Bukit Besar yang menjadi salah satu lokasi tumpuan pengunjung ke Kuala Terengganu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamarul Bieza Mohd Kassim berkata, sehingga kini, punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, pihak bomba telah berjaya mengawal kebakaran yang bermula sejak Khamis lalu malah operasi pemadaman dan pengawalan api bagi menghalang ia merebak diteruskan sehingga hari ini (semalam).

“Kebakaran berjaya dikawal sejak hari pertama lagi. Sekarang, kita menempatkan 20 anggota termasuk anggota sukarela dan empat buah jentera di situ secara bergilir untuk memastikan api tidak merebak ke kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata, pihak bomba mengalami kesukaran memadamkan kebakaran itu disebabkan lokasi kebakaran berada di lereng bukit yang curam dan kekurangan bekalan air di kawasan tersebut.

“Pihak bomba masih lagi berkawal di lokasi kebakaran dan kita akan teruskan operasi sehingga ia benar-benar padam.

“Operasi masih diteruskan lagi kerana kita bimbang, walaupun api dilihat sudah padam, ia berkemungkinan boleh marak lebih-lebih lagi sekiranya cuaca kering dan masih terdapat sisa bara api pada pokok yang terbakar,” katanya.

Nyaris maut ditetak dengan pedang


WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mei 2014


BESUT – Seorang lelaki nyaris maut apabila dia ditetak dengan pedang dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Pekan Jabi, Kampung Raja, di sini, Rabu lalu.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu mengakibatkan mangsa yang berusia 23 tahun, mengalami kecederaan parah di kepala dan luka di bahagian tangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai buruh, berada di hadapan rumah rakannya sebelum didatangi sekumpulan enam lelaki yang menaiki Perodua Viva dan sebuah motosikal.

“Sebaik turun dari kenderaan, suspek meluru ke arah mangsa lalu menyerang menggunakan pedang dan kayu. Mangsa cuba menyelamatkan diri dengan berlari masuk ke dalam rumah rakannya, tetapi gagal apabila suspek turut mengejar lalu memukul dan menetaknya di ruang tamu,” katanya.

Noorzainy berkata, semua suspek kemudiannya melarikan diri dan mangsa dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang pil kuda dan mangsa memaklumkan, hanya mengecam seorang daripada enam suspek berkenaan.

“Akibat kecederaan itu, mangsa menerima 13 jahitan di kepala, selain turut mengalami luka dan lebam di tangan akibat diserang lelaki bersenjatakan pedang serta kayu berkenaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya," katanya.

Rumah kedai terbakar


  • Rumah kedai yang diperbuat daripada papan musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri PerakRumah kedai yang diperbuat daripada papan musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak

SITIAWAN – Empat unit rumah kedai usang dua tingkat berusia kira-kira 40 tahun di Jalan Besar, Ayer Tawar, di sini musnah terbakar awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.12 pagi itu, api nyaris merebak ke bangunan bersebelahan yang menempatkan perkakasan mesin dan alat ganti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Rizuan Ramli berkata, dua jentera dengan kekuatan 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira jam 1.12 pagi.

“Kita turut menerima bantuan daripada enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung termasuk sebuah jentera.

“Empat anggota Bomba Sukarelawan Ayer Tawar turut menghulurkan bantuan. Api berjaya dikawal dan operasi tamat kira-kira jam 3.37 pagi tadi (semalam),” katanya.

Rizuan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.

Imigresen Johor tahan 12 wanita warga asing


  • 12 pelayan ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan di bilik karaoke sebuah kafe di Mersing, kelmarin.12 pelayan ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan di bilik karaoke sebuah kafe di Mersing, kelmarin.

SENAI – Seramai 12 wanita warga Vietnam berusia 24 hingga 33 tahun ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan di bilik karaoke dalam operasi pihak Imigresen Johor di sebuah kafe di Mersing, kelmarin.

Penolong Pengarah Imigresen, Masri Adul berkata, mereka didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini selain menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan berulang-alik ke Singapura untuk tinggal di sini.

“Operasi dijalankan pada kira-kira jam 11.45 malam oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor dengan kerjasama Imigresen Mersing.

“Mereka didapati tinggal di negara ini sejak lebih lima bulan lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial dan berulang-alik ke Singapura untuk masuk semula ke sini,” katanya.

Masri berkata, kesemua mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan dihantar ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dan majikan dinasihatkan tidak mengambil pekerja asing tanpa permit sah bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan.

Gadis cedera ditikam lelaki tidak dikenali


  • Mangsa dibantu orang ramai selepas diserang lelaki tidak dikenali, malam kelmarin.Mangsa dibantu orang ramai selepas diserang lelaki tidak dikenali, malam kelmarin.

KOTA BHARU -Seorang gadis berusia 17 tahun, cedera di bahagian bawah dada kanan selepas ditikam lelaki yang tidak dikenali ketika membonceng motosikal bersama sepupunya di Jambatan Pak Nik Lah, Panchor di sini, malam Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa dalam perjalanan untuk menghantar sepupunya dihampiri lelaki terbabit, sebelum ditikam menggunakan pisau.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, melihat keadaan mangsa berlumuran darah, sepupunya menghentikan motosikal berdekatan kedai makan sebelum mangsa dibantu orang ramai.

“Mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan susulan kerana cedera di lengan kanan dan di bahagian bawah dada. Mangsa dilaporkan stabil.

"Berdasarkan keterangan mangsa, dia tidak mempunyai musuh dan tidak mengesyaki sesiapa kerana dia juga  tidak mengenali suspek,” katanya.

Azham berkata, hasil siasatan awal, dipercayai mangsa diserang kerana cemburu, namun mangsa masih belum mengesahkan dan siasatan diteruskan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata berbahaya," katanya.

Hubungi isteri ucap selamat tinggal


ROSALWANI CHE SOH
Tuck Lee
Tuck Lee
26 Mei 2014

Kereta mangsa yang ditinggalkan di jambatan Sultan Yahya Petra, malam kelmarin, sebelum dia bertindak terjun ke kawasan sungai.
Kereta mangsa yang ditinggalkan di jambatan Sultan Yahya Petra, malam kelmarin, sebelum dia bertindak terjun ke kawasan sungai. 



KOTA BHARU - Seorang lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra berhampiran sebuah pasar raya terkemuka, dikhuatiri lemas, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Yoon Tuck Lee, 28, dilihat saksi memberhentikan kereta jenis Honda di tepi jambatan terbabit sebelum bertindak terjun ke kawasan sungai.

Saksi, Mohd Affandi Muhammad, 39, berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 9.15 malam, dia yang menunggang motosikal untuk menghadiri satu majlis di Tumpat, melihat lelaki terbabit memberhentikan kereta di kawasan itu dengan memberi isyarat lampu kecemasan.

“Melihatkan keadaan itu, saya perlahankan motosikal dan melihat seorang lelaki keluar dari kereta dan terus terjun dari jambatan terbabit, kemudian hilang dari pandangan.

"Saya segera hubungi bomba dan polis untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, hasil temu bual dengan isteri mangsa mendapati, mangsa tidak mempunyai masalah hutang atau bermusuh dengan sesiapa.

“Kali terakhir suaminya keluar makan bersama rakan dan isterinya malam tadi (kelmarin) sebelum kejadian tersebut.

“Selepas menghantar isterinya pulang, mangsa keluar dari rumah tanpa beritahu apa-apa,” katanya.

Azham berkata, mangsa hanya sempat hubungi isteri dan beritahu 'selamat tinggal', dan mematikan telefon bimbit.

"Dia gagal dihubungi sehingga mendapat makluman mangsa terjun dari jambatan terbabit," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said pula berkata, gerakan mencari dan menyelamat digerakkan serta-merta dan operasi malam kelmarin dihentikan jam 2 pagi sebelum disambung semula pagi semalam pada jam 7.30 pagi.

“Usaha mencari masih diteruskan dengan kekuatan anggota dari balai Kota Bharu, Darul Naim, bomba sukarela dan Unit Skuba, selain  bantuan polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan positif mengenai mangsa,” katanya.

Polis temui semula 42 tan baja bersubsidi dicuri


25 Mei 2014


SUNGAI PETANI - Polis Kedah merampas 42 tan baja bersubsidi bernilai RM80,000 di sebuah stor kilang padi di Sungai Limau, Yan awal pagi tadi, setelah dicuri bersama sebuah treler dua hari lepas.
   
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam kejadian itu pihaknya menahan tiga suspek lelaki berusia 31 hingga 38 tahun dalam tiga serbuan berasingan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri baja berkenaan dari sebuah treler Jumaat lepas.
   
Beliau berkata treler dengan muatan baja bersubsidi itu diletakkan berhampiran kilang baja Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Gurun pada hari kejadian dipercayai untuk dihantar ke Jerlun dan pemandu treler itu mendakwa hanya menyedari kehilangan treler itu keesokan hari.
   
"Pemandu berusia 31 tahun itu membuat laporan polis tetapi laporan yang dibuat mencurigakan. Kita tahan pemandu treler tersebut dan juga pengawal keselamatan kilang Nafas untuk siasatan.
   
"Hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek kita menemui treler yang hilang di tepi jalan di Sungai Limau, Yan itu kosong kira-kira pukul 8 malam semalam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
   
Ahmad berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki iaitu pihak ketiga yang membeli baja tersebut kira-kira pukul 1 pagi tadi dan menemui kesemua baja yang dicuri itu di sebuah stor kilang padi di Sungai Limau, kira-kira lima kilometer dari tempat treler ditemui.
   
"Ini adalah kes pertama di negeri ini melibatkan kecurian kargo dan kita berjaya selesaikan kes ini dalam tempoh 48 jam serta berjaya dapatkan kembali kesemua baja dan kenderaan yang dicuri dengan jumlah lebih RM200,000," katanya.    

Beliau berkata ketiga-tiga suspek direman bermula hari ini hingga Sabtu bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - Bernama

Polis Johor tumpas sindiket samun berkawan


25 Mei 2014


JOHOR BAHRU - Polis Johor menumpaskan satu sindiket samun berkawan di daerah Kluang berikutan penahanan tujuh lelaki berusia antara 17 hingga 29 tahun, baru-baru ini.
   
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata bertindak atas maklumat, pihak polis menangkap kesemua suspek Rabu lepas dalam Ops Cantas dan serbuan di Seremban.

"Dengan penangkapan ini, polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes samun di Kluang dan satu kes curi kenderaan di Masai, Seri Alam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Menurut Mohd Mokhtar pada 19 Mei lepas, pihak polis menerima laporan berhubung satu kejadian samun di KM58, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara.
   
Dalam kejadian itu, mangsa yang dalam perjalanan dari Kulai ke Simpang Renggam berhenti di lebuh raya untuk menelefon majikannya, sebelum didatangi empat lelaki bersenjatakan parang, menyamun dan melarikan van milik mangsa.
   
Beliau berkata, dalam serbuan semasa ops cantas itu, polis turut merampas sebuah van jenis Toyota Hiace, sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah Toyota Hilux, dua bilah parang, sarung tangan, tujuh telefon bimbit pelbagai jenis, empat keping nombor pendaftaran kenderaan, tiga pasang 'ski mask' dan satu tukul besi.
   
Mohd Mokhtar berkata kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 28 Mei bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
   
Sementara itu, beliau berkata polis turut menumpaskan satu sindiket curi motosikal di daerah Kluang berikutan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 30 tahun di Taman Rumas, Kluang, Khamis lepas.

Beliau berkata, rentetan penangkapan itu, dua lelaki berusia antara 20 dan  21 tahun ditahan di dua lokasi berbeza di Felda Layang-Layang dan Taman Seri Bayu, Simpang Renggam.
   
"Polis turut merampas antaranya dua buah motosikal yang dilaporkan hilang, pelbagai komponen motosikal yang dileraikan, sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenis serta peralatan yang digunakan untuk meleraikan motosikal," katanya.
   
Mohd Mokthar berkata hasil siasatan ke atas suspek, enam pembeli turut ditahan dan tujuh motosikal curi ditemukan di beberapa lokasi sekitar Simpang Renggam dan Benut, pada 9 pagi hari ini.
   
"Kita percaya dapat menyelesaikan 11 kes curi motosikal di kawasan pentadbiran ibu pejabat daerah Kluang," katanya.  

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 26 Mei bagi membantu siasatan, katanya. - Bernama

Tiga hektar hutan di lereng Bukit Besar terbakar


25 Mei 2014


KUALA TERENGGANU - Kira-kira tiga hektar kawasan hutan di lereng Bukit Besar di sini musnah dalam kebakaran yang dipercayai bermula Khamis lepas.
   
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Kamerul Bieza Mohd Kassim berkata setakat ini pihaknya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak namun memerlukan sekurang-kurangnya lima hari lagi untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran itu.
   
"Usaha memadam api agak mencabar kerana lokasi kebakaran yang berlaku pada ketinggian melebihi 40 meter selain tiada punca air yang memaksa kami mengambil air kira-kira 300 meter di kaki bukit," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
 
Menurutnya operasi pemadaman dilakukan tanpa henti bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain memandangkan keadaan cuaca yang panas dan kering.
   
"Tidak kira waktu siang atau malam kita sentiasa melakukan operasi pemadaman kerana bimbang akan memberi kesan kepada penduduk yang berhampiran dan kita meletakkan beberapa anggota di kawasan berhampiran rumah penduduk dan sekolah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya. - Bernama

Lelaki maut kereta bertembung lori


25 Mei 2014

TAWAU - Seorang lelaki maut apabila keretanya bertembung sebuah lori di Bukit Gemok, Jalan Merotai-Tawau di sini hari ini.
   
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, Mohd Mansur Indrasaya, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala, dada dan perut dalam kejadian pada kira-kira 1 petang.
   
"Siasatan awan mendapati semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kampung Merotai Besar ke Tawau dan apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu hilang kawalan dan bertembung sebuah lori membawa muatan sisa pemprosesan haiwan ternakan dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan.
   
Beliau berkata jenazah mangsa dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
   
Awang Besar berkata pihaknya kini mengesan pemandu lori terbabit yang dipercayai melarikan diri sejurus selepas kemalangan. - Bernama

Mayat kru kapal terbakar ditemui


25 Mei 2014


KUALA LANGAT - Mayat seorang kru kapal tangki 'Hai Lee 5' yang bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri selepas kapal itu terbakar di Jeti Pulau Carey di sini Jumaat lepas, ditemui di Jeti Al Tubik, Jalan Segenting, Telok Panglima Garang di sini pagi ini.
   
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Mohd Jaslizad Jalil berkata mayat Abdul Syukur Mohd Nazim, 33, ditemui dalam tempoh 24 jam selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan bermula pukul 10.38 pagi semalam.
   
Beliau berkata mayat mangsa yang merupakan rakyat tempatan ditemui oleh
nelayan pada pukul 10.45 pagi.
   
"Semasa kebakaran mangsa bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri.
   
"Berdasarkan maklumat awal, semasa kebakaran pihak pengurusan syarikat kapal tersebut menyatakan kepada pihak kami semua anak kapalnya selamat," katanya di sini.
 
Akhbar sebelum ini melaporkan dalam kejadian pukul 7.06 malam itu, dua kru kapal tangki yang membawa muatan minyak hitam tersebut cedera ringan manakala empat lagi kru tidak mengalami sebarang kecederaan.
   
Kebakaran dipercayai berpunca daripada kotak fius dan pendawaian di dalam kapal itu.
   
Akhbar turut melaporkan ketika kejadian, enam kru warga Indonesia berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun berada di atas kapal. - Bernama

Ratusan cedera gempa di sempadan Turki


26 Mei 2014

ANKARA - TURKI. Sekurang-kurangnya 266 cedera selepas gempa bumi berukuran 6.9 skala Richter melanda wilayah sempadan Turki dan Greece, semalam.

Jurucakap Pusat Pemantauan Gempa Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa itu berlaku di Pulau Samothraki kira-kira 210 kilometer timur Thessaloniki dan 296 kilometer timur laut dari ibu negara, Athens.

“Pemantauan mendapati gegaran awal kekuatan 6.4 skala Richter dapat dirasai di sekitar bandar Thessaloniki, pantai barat Turki diikuti 70 gempa susulan berlaku,” katanya dipetik AP.

Pegawai keselamatan berkata, gegaran itu menyebabkan berapa bangunan retak termasuk dua masjid.

Tiga maut di selatan Thai


26 Mei 2014


PATTANI - THAILAND. Tiga maut manakala lebih 60 cedera dalam serangan bom berkembar di selatan Thailand, semalam.

Polis melaporkan, empat bom meledak di premis perniagaan, dua di stesen minyak dan tiga di kawasan kejiranan Islam di Phote Suaisuwan.

“Seramai 63 penduduk kini menerima rawatan,” katanya dipetik Bangkok Post.

Ketegangan makin meningkat beberapa hari selepas tentera mengambil alih pentadbiran.

Orang ramai ingkar arahan tentera


  • Pertempuran tercetus sebelum perarakan di Bangkok, semalam. Foto: EPAPertempuran tercetus sebelum perarakan di Bangkok, semalam. Foto: EPA

BANGKOK - THAILAND. Lebih 1,000 penunjuk perasaan antirampasan kuasa, semalam bertindak mengingkari arahan tentera dengan meneruskan protes walaupun diberi amaran oleh tentera.

Mereka melaungkan slogan mengutuk tentera sambil berarak dari Chidlom menuju ke Bangkok.

Difahamkan, ia adalah tindak balas terbesar sejak rampasan kuasa pada Khamis lalu.

Media melaporkan pasukan keselamatan tidak mengambil tindakan ke atas mereka walaupun tentera sudah memberi amaran keras supaya bersurai.

"Kami tidak gentar dengan tentera. Kami mahu pilihan raya diadakan untuk memilih pemerintah sendiri," kata seorang daripada peserta protes, Kongjit Paennoy, 50.

Sementara itu, jurucakap junta tentera, Kolonel Winthai Suvaree menggesa orang ramai supaya memahami situasi yang sedang dihadapi negara tersebut.

"Pemerintahan demokrasi tidak boleh diteruskan pada masa ini dan ia perlu diambil alih oleh tentera.

"Saya berharap, penduduk bertenang dan jangan menggunakan media sosial untuk menghasut keganasan," tegasnya dipetik sumber AFP.

Terdahulu, pergelutan tercetus selepas puluhan penunjuk perasaan bertindak merempuh tentera bersenjata di luar sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Susulan insiden itu, dua penunjuk perasaan telah diberkas manakala seorang lagi cedera.

Dalam perkembangan lain, junta tentera mengesahkan lebih 100 ahli politik ditahan sejak Jumaat lalu tidak akan didakwa sebaliknya mereka dibebaskan minggu depan.

Kolonel Werachon Sukondhapatipak berkata, kesemua tahanan tersebut akan hidup bebas seperti biasa, namun pergerakan mereka bakal diawasi jika masih terlibat secara langsung dalam konflik di negara terbabit.

Banjir di China ragut 12 nyawa


  • Seluruh bandar di Qigong, selatan wilayah Guangdong ditenggelami banjir sejak Khamis lalu.Seluruh bandar di Qigong, selatan wilayah Guangdong ditenggelami banjir sejak Khamis lalu.

BEIJING - CHINA. Sekurang-kurangnya 12 maut dalam kejadian banjir besar yang melanda selatan China sejak beberapa hari lalu menurut AP.

Agensi berita Xinhua melaporkan seramai 649,000 penduduk dan sebanyak 3,300 rumah di bandar Qingyuan, wilayah Guangdong turut terjejas dalam insiden tersebut.

Sementara itu, lebih 20,000 penduduk di bandar Shitan dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan air bersih selepas kawasan kolam takungan ditenggelami banjir.

Susulan daripada kejadian tersebut, kerugian harta benda dianggarkan mencecah AS$293 juta (RM941 juta).

Nahas di selekoh


Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Husni Aizat Abdul Malik, 20, maut apabila motosikal Modenas Kris ditunggangnya terbabas ketika mengambil sebuah selekoh menyebabkan dia memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori.
Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari rumah sepupunya di Pasir Gudang ke rumahnya di Felda Air Tawar 1 di sini.
Hilmi berkata, adiknya sudah dilarang menunggang motosikal bersendirian ke rumah sepupunya malam kelmarin, tetapi tetap berkeras mahu ke sana bersendirian.
“Malah ahli keluarga sengaja tidak mencarikan topi keledar apabila dia memintanya kerana tidak mahu dia menunggang bersendirian pada waktu malam kerana mengambil kira soal keselamatannya.
“Malam tadi (kelmarin), saya turut ke kediaman sepupu dan berjumpa dengan arwah di situ, namun kami tidak berbual lama memandangkan saya terpaksa pulang awal kerana anak kurang sihat,” katanya.
Hilmi yang juga abang sulung mangsa daripada enam beradik berkata, keluarganya terkejut apabila menerima berita malang yang menimpa Husni melalui seorang saudara terdekat pagi semalam.
“Kami akan merinduinya dan berharap rohnya dicucuri rahmat,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, semalam.
Husni adalah bekas pelumba pasukan Touchline SIC-Ajo dan pernah beraksi dalam kejohanan CEV Repsol Moto3 di Sepanyol.
Allahyarham juga pernah beraksi dalam SIC Ninja 250 R Cup yang menyaksikan Husni mendapat tempat kedua selain Grand Prix Malaysia di bawah tiket ‘wild card.’ Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa meninggal dunia ketika dikejarkan ke Klinik Kesihatan Felda Air Tawar 2 manakala pemandu lori yang berusia 32 tahun dan berasal dari Bukit Rambai, Melaka tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketika itu, cuaca baik, namun selekoh berkenaan didapati agak tajam menyebabkan mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh waris dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Air Tawar 1,”
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26