Search This Blog

Sunday, May 25, 2014

Warga emas rugi RM82,000 dakwa dipukau tiga wanita


  • Bungkusan plastik berwarna hitam berisi surat khabar, air mineral dan garam yang diberikan tiga suspek wanita.Bungkusan plastik berwarna hitam berisi surat khabar, air mineral dan garam yang diberikan tiga suspek wanita.

TAIPING - Niat seorang wanita berbelanja di Pasar Taiping bertukar tragedi apabila dia didakwa dipukau dan rugi sehingga RM82,000.

Mangsa, dikenali sebagai Marry, 60, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, dia didatangi seorang wanita bertanyakan alamat.

"Pada masa sama, seorang lagi wanita datang mengakui tahu alamat berkenaan.

"Malah, wanita kedua itu terus pegang tangan dan beritahu saya dipukau dan perlu mendapatkan rawatan segera," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, dua wanita terbabit memintanya mengeluarkan sejumlah wang untuk rawatan.

"Saya balik rumah di Kampung Jambu mengambil buku akaun bank sebelum keluarkan wang.

"Mereka kemudian bawa saya ke Jalan Stesyen dan menyerahkan wang itu sebelum diberikan satu bungkusan plastik hitam," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia hanya menyedari kejadian itu setelah mendapati terdapat surat khabar, dua botol air mineral dan garam dalam bungkusan plastik hitam berkenaan.

"Sampai di rumah, saya mandi dan selepas itu barulah saya tersedar apa isi bungkusan plastik hitam sebelum membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, suspek menggunakan modus operandi mengubah nasib buruk untuk memperdayakan mangsa.

"Dua suspek wanita terbabit memaklumkan mangsa ada nasib tidak baik dan ada banyak penyakit sebelum membawanya ke kawasan berhampiran SMK St George.

"Sampai di situ, mangsa berjumpa seorang lagi suspek wanita dan diminta menyediakan beras dan wang untuk proses rawatan," katanya.

Beliau berkata, ketika menyerahkan beras dan wang, suspek membaca mantera sebelum seorang rakan subahatnya meminta mangsa membuka bungkusan plastik hitam itu dalam masa sembilan hari.

"Namun, selepas sampai di rumah, mangsa mula rasa tertipu dan membuat laporan polis,” katanya.

Baju raya pelanggan hangus


  • Keadaan rumah yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Kubang Jela, Manir, semalam.Keadaan rumah yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Kubang Jela, Manir, semalam.

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang jahit hanya mampu menahan perasaan sedih setelah kesemua baju raya yang ditempah pelanggan hangus dijilat api dalam satu kebakaran di Kampung Kubang Jela, Manir, kelmarin.

Mangsa, Mohd Sobri Awang, 47, berkata, ketika kejadian, isterinya, Siti Noor Zaidi yang juga seorang tukang jahit mengikuti rombongan anak bongsunya ke Kota Bharu, Kelantan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang, masa tu tiada siapa pun di rumah, saya pula keluar ke bengkel untuk membaiki dapur gas yang rosak dan dua anak masih belum pulang dari sekolah.

“Kesemua harta benda musnah, lebih malang lagi tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk pakaian tempahan hari raya oleh pelanggan yang juga turut menjadi abu,” katanya.

Katanya, dia mendapat panggilan daripada jirannya yang memberitahu rumahnya terbakar sebelum bergegas pulang.

“Sampai di bengkel ada orang beritahu ada rumah terbakar dekat dengan rumah saya, saya tak sangka rumah saya yang terlibat. Bila balik, saya tengok rupa-rupanya rumah saya sendiri yang terbakar. Kejadian berlaku sekejap sangat tak sampai lima minit.

“Masa tu saya tak boleh buat apa-apa selain hanya mampu melihat api semakin marak membakar setiap inci rumah. Semua kelengkapan sekolah anak habis terbakar dan kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Sebaik menerima panggilan kecemasan, dua buah jentera dan 11 anggota bomba dari Balai Bomba Kuala Terengganu bergegas ke tempat kejadian.

Pihak bomba mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran kerana tiada kemudahan pili bomba berdekatan lokasi dan terpaksa mengambil air dari pili bomba  sejauh 2 kilometer untuk memadamkan kebakaran itu.

Api dapat dipadamkan  sepenuhnya 30 minit kemudian dan pihak bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran.

Kebakaran dipercayai akibat litar pintas dan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM60,000.

Wang terakhir untuk bapa


  • Perodua Kelisa dinaiki pasangan kembar remuk selepas terbabas dan berpusing lalu melanggar batang paip di tepi jalan.Perodua Kelisa dinaiki pasangan kembar remuk selepas terbabas dan berpusing lalu melanggar batang paip di tepi jalan.

MARANG – Perasaan hairan seorang bapa terhadap tindakan salah seorang anak kembarnya yang memberikan wang belanja untuk mendapatkan keperluan hari raya buat ahli keluarga rupa-rupanya petanda anak lelakinya itu akan pergi buat selama-lamanya.

Zainudin Abdul Ghani, 53, bapa kepada Zaharul Hazimi, 27, yang maut dalam kemalangan pagi semalam, tidak menyangka ia adalah wang terakhir diberikan anaknya itu sebelum mangsa dan pasangan kembarnya bertolak ke tempat kerja di Paka, Dungun.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan dia (arwah) tinggalkan wang kepada isteri untuk beli pakaian hari raya sedangkan puasa lambat lagi.

"Saya tak pasti berapa jumlahnya namun dimaklumkan wang itu untuk adik-adiknya termasuk saya dan isteri.

“Berita kematian ini yang kedua berlaku dalam keluarga dalam tempoh dua hari apabila bapa saya (Abdul Ghani Puteh) meninggal dunia pada malam Jumaat lalu akibat penyakit lelah dan hari ini anak kembar saya terlibat kemalangan,” katanya.

Menurut Zainudin, anak kembarnya itu bekerja di Paka, Dungun dan dalam perjalanan ke tempat kerja selepas bertolak dari rumah mereka di Bukit Bayas, Kuala Terengganu.

“Kedua-dua mereka bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan petroleum.

"Mereka sudah lama bekerja di situ namun arwah baru diterima bekerja di tempat baharu tetapi lokasi dalam kawasan sama dengan kembarnya,” katanya.

Langgar batang paip

 Mangsa, Zaharul Hazimi maut selepas Perodua Kelisa dipandu abang kembarnya, Zaharul Hakimi terbabas dan melanggar batang paip selepas dipercayai memotong dua kenderaan di Kilometer 24.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala abang kembarnya yang memandu kenderaan, Zaharul Hakimi, mengalami kecederaan di kepala.

Bagi Zainudin, tragedi menimpa anaknya itu meninggalkan kesan amat mendalam terhadap dirinya tambahan bapanya juga baru meninggal dunia akibat penyakit lelah pada malam Jumaat dan dikebumikan keesokan harinya kira-kira jam 11 pagi.

Bapa lima anak itu juga memaklumkan bahawa kedua-dua anak kembarnya itu turut berada di majlis tahlil datuk kepada pasangan kembar terbabit di Buluh Gading malam sebelum kejadian kemalangan itu berlaku.

Terbabas ketika memotong

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu yang gagal mengawal pemanduannya.

“Kereta dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan itu dipandu Zaharul Hakimi membawa bersama seorang penumpang, Zaharul Hazimi disyaki terbabas di kiri jalan semasa hendak memasuki laluan asal selepas memotong bas dan kereta di hadapannya.

“Kereta jenis Perodua Kelisa tersebut kemudiannya dipercayai berpusing dan melanggar batang paip.

"Penumpang meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan di kepala,” katanya.

Keluarga mangsa yang tinggal di Bukit Bayas, Kuala Terengganu itu telah dimaklumkan mengenai kejadian menimpa pasangan kembar terbabit sebelum mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Lori pasir rempuh tadika


  • Keadaan lori pasir merempuh Tadika Perpaduan Limbok di Temiang, semalam.Keadaan lori pasir merempuh Tadika Perpaduan Limbok di Temiang, semalam.

SEREMBAN – Akibat brek tangan tidak berfungsi dengan baik, sebuah lori pasir menggelongsor sebelum merempuh sekolah tadika di Jalan Limbok Temiang, di sini kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Menurut saksi kejadian, Ng Chin Tsai, yang juga merupakan Adun Temiang, sewaktu kejadian beliau berada di lokasi terbabit untuk bertemu dengan penduduk, bagi berbincang berkenaan aduan yang dibuat kepadanya.

“Semasa saya dan penduduk sedang berbincang, tiba-tiba kami terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat, sehingga kami semua terkejut.

“Sebaik sahaja mendengar bunyi itu, kami menuju ke bahagian hadapan dan mendapati sebuah lori lebih kurang 10 tan merempuh pagar dan sebahagian sekolah Tadika Perpaduan Limbok.

“Mujur hari ini (semalam) adalah cuti sekolah dan tiada siapa di bangunan tersebut, malah pemandu lori yang berusia 40-an itu juga  selamat,” katanya.

Tambahnya, tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kecederaan berlaku.

Difahamkan, lori berkenaan sedang mengangkat pasir di kawasan tersebut, tetapi secara tidak sengaja lori itu menggelongsor ke belakang, akibat memberi laluan terhadap sebuah lori lain yang mahu keluar.

Katanya, akibat daripada kejadian tersebut, tiga buah kereta yang parkir di tepi kawasan berkenaan, rosak.

Padah tunggang lawan arus


  • Orang awam melihat Perodua Viva yang remuk teruk selepas bertembung dengan motosikal dinaiki dua lelaki dalam nahas di Jambatan Bukit Kuang, Kemaman, petang kelmarin.Orang awam melihat Perodua Viva yang remuk teruk selepas bertembung dengan motosikal dinaiki dua lelaki dalam nahas di Jambatan Bukit Kuang, Kemaman, petang kelmarin.

KEMAMAN – Perbuatan dua lelaki menaiki motosikal melawan arus gara-gara mahu melarikan diri daripada sekatan jalan raya, membawa padah selepas bertembung dengan Perodua Viva di Kilometer 148.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan atas Jambatan Bukit Kuang, di sini, lewat petang kelmarin.

Akibat pertembungan itu, seorang lelaki berusia 29 tahun tercampak ke celah saluran paip besar, sementara rakannya berusia 28 tahun pula tercampak ke atas jalan dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang berkenaan.

Kereta Perodua Viva yang dirempuh, rosak teruk namun pasangan suami isteri yang menaiki kenderaan itu tidak mengalami kecederaan parah.

Pemandu, Mohd Pahsli Shafirul Rosli, 27, berkata, dia bersyukur kerana isterinya, Nur Hidayatul Akma Abd latif, 29, yang mengandung enam bulan, terselamat namun mengalami kesakitan pada bahagian bahu.

“Saya terkejut ketika kereta menuruni jambatan, secara tiba-tiba datang sebuah motosikal menghala ke arah kami. Ketika itu saya memandu di lorong kanan dan tak sempat elak sebab jarak terlalu dekat.

“Lepas bertembung, saya hanya fikirkan keselamatan isteri sebab dia sarat mengandung anak sulung, tapi mujurlah isteri pakai tali pinggang keledar. Kalau tak, mungkin dia terhentak ke depan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Semasa kejadian, Mohd Pahsli bersama isterinya dalam perjalanan dari Kerteh menuju ke Cherating, Pahang untuk menemui orang tua mereka yang menginap di kawasan peranginan itu.

Kejadian itu mengakibatkan Mohd Pahsli yang bekerja sebagai operator di pelantar minyak, mengalami luka kecil akibat terkena serpihan cermin yang bertaburan.

Sementara itu, kedua-dua lelaki terbabit yang menaiki Honda EX5 pula dalam perjalanan dari Bukit Kuang menuju ke Bandar Chukai.

Mereka turut membawa selonggok besi buruk di dalam raga motosikal menyebabkan besi berkenaan bertaburan di atas jalan raya selepas pelanggaran berkenaan.

Nahas itu menyebabkan lelaki berusia 28 tahun mengalami patah paha, manakala rakannya pula cedera di kepala.

Mereka kemudiannya dihantar ke Unit Kecemasan, Hospital Kemaman di Chukai untuk rawatan  lanjut.

Warga Nepal maut dihempap forklift dipandunya


25 Mei 2014


KUALA LUMPUR - Seorang pemandu forklift warga Nepal maut dihempap kenderaan itu ketika mengundurkannya di sebuah kedai percetakan di Jalan Brunei, Pudu di sini hari ini.
   
Pegawai Penyiasat Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee, Inspektor Mohd Termizi Mues berkata dalam kejadian 8.30 pagi itu, Gajendra Lingden, 22, maut di tempat kejadian di hadapan kedai tersebut.
   
"Siasatan awal mendapati Gajendra hilang kawalan ketika mengundurkan forklift itu sebelum kenderaan itu terbalik dan menghempap kepalanya," katanya ketika dihubungi Bernama.
   
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. - Bernama

Pergaduhan: Lelaki maut, rakan cedera ditembak


25 Mei 2014


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas ditembak dalam satu pergaduhan di sebuah kuil di Jalan Lobak, Kuang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supritenden Junaidi Bujang berkata dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, satu pergaduhan tercetus antara M. Vijendran, 25 dan rakannya B. Suresh Kumar, 24, dengan seorang lelaki berusia 40-an yang sedang bersembahyang di kuil berkenaan.
   
Berlaku ketegangan semasa pergaduhan itu sehingga menyebabkan suspek melepaskan tembakan ke arah kedua-dua mangsa, kata Junaidi ketika dihubungi di sini.
   
Junaidi berkata Vijendran yang terkena tembakan di kepala dan pinggang mati ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh manakala Suresh, cedera di rusuk kiri.
   
"Ketika kejadian, satu upacara keagamaan sedang berlangsung di kuil itu dengan kehadiran kira-kira 30 penganut Hindu, kebanyakannya wanita," katanya menambah polis turut menemukan dua kelongsong peluru di tempat kejadian.
   
Polis kini sedang menjejaki suspek yang melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, model Mitsubishi Pajero merah. - Bernama

Gambar mangsa dalam WeChat


  • Mangsa maut di tempat kejadian.Mangsa maut di tempat kejadian.

SERDANG - Suasana hiba menyelubungi tempat kejadian apabila ahli keluarga meratapi kematian seorang wanita yang maut dirempuh lori ketika melintas jalan untuk ke tempat kerja di sebuah pusat beli belah, di Jalan Balakong, Seri Kembangan, di sini, semalam.

Wanita itu dikenali sebagai Suraidah Banjar, 26, seorang promoter kedai pakaian.

Suraidah, yang tinggal di Taman Harmoni Indah, Bukit Belimbing, Balakong, cedera parah dan maut di tempat kejadian.

Mayatnya dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, dua pejalan kaki lain cedera ketika melintas jalan.

Mereka dikenali sebagai Nur Shafira Hafiza Muhd Saufi, 18, dan Nik Nor Shahirah Zainun, 30, dan dihantar ke Hospital Serdang.

Salah seorang ahli keluarga Suraidah yang enggan dikenali berkata, dia mendapat tahu kejadian itu apabila dimaklumkan oleh rakannya menerusi aplikasi WeChat.

“Dia menghantar gambar tiga gadis yang terbaring di jalan raya dipercayai akibat dilanggar lari. Saya terkejut apabila dapati seorang daripada mereka adalah Suraidah.

Kami sekeluarga bergegas ke tempat kejadian,” katanya.

“Menurut keterangan saksi, sebuah lori dari arah Balakong merempuh kesemua mangsa, sebelum meninggalkan lokasi kejadian menuju ke arah Serdang,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Yong Soo Koon meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.

Pelumba Cub Prix negara maut kemalangan


  • Husni Aizat Abdul MalikHusni Aizat Abdul Malik

KOTA TINGGI - Pelumba motosikal (Cub Prix) Husni Aizat Abdul Malik, 20, maut selepas terlibat dalam kejadian kemalangan di Jalan Tanjung Buai-Teluk Sengat kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa menunggang motorsikal jenis Modenass Kriss dalam perjalanan ke rumah ibu bapanya yang terletak di Felda Air Tawar 1.

Menurut abang mangsa, Hilmi Affan, 21, sebelum kejadian mangsa yang juga merupakan anak kedua daripada enam beradik itu bertegas untuk membawa motorsikal terbabit ke rumah sepupu mereka di Pasir Gudang meskipun telah dilarang beberapa kali.

“Kami tidak benarkan dia pergi menaiki motorsikal dan menyuruhnya membawa kereta namun dia tidak mahu dan tetap berkeras hendak membawa motorsikal tersebut,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi tengah hari tadi.

Hilmi berkata, malam sebelum kejadian dia sempat berjumpa dengan adiknya itu di Pasir Gudang namun tidak sempat untuk berborak kerana anaknya tidak sihat.

Bagaimanapun katanya, pagi tadi dia dikejutkan dengan panggilan daripada saudara terdekat yang memberitahu adiknya terlibat dalam kemalangan.

“Dia sebenarnya sedang bercuti daripada menjalani latihan di Sepanyol dan menghabiskan cuti bersama kami di kampung. Saya tidak sangka itu adalah kali terakhir kami berjumpa sebelum dia terlibat dalam kejadian kemalangan tersebut,” katanya lagi.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 1.

Maut angkara meniru di sekolah


  • Ye gagal mengawal perasaan selepas doktor mengesahkan anaknya maut. Foto: China PressYe gagal mengawal perasaan selepas doktor mengesahkan anaknya maut. Foto: China Press

ZHEJIANG - CHINA. Gara-gara meniru di sekolah, seorang budak dipukul hingga mati oleh bapanya di Hangzhou, timur China.

Polis berkata, Ye Hung, 35, dituduh memukul Chou, 11, dengan mengikat anaknya sebelum dipukul dengan kejam.

“Selepas membelasah mangsa, suspek membiarkan mangsa dalam kesakitan seharian,” katanya kepada Xinhuanet.

Menurutnya, doktor mengesahkan budak itu maut akibat serangan jantung 12 jam kemudian.

Seorang ahli keluarganya, Park Jen, 37, berkata, suspek seorang ayah bertanggung jawab dan amat mementingkan pendidikan.

“Beliau terlalu marah dan kecewa dengan perbuatan anaknya itu,” katanya.

Bas 45 penumpang jatuh gaung, tiada terkorban


  • Keadaan sebuah bas persiaran yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 37 Jalan Wang Kelian dekat Padang Besar, hari ini. - Foto BernamaKeadaan sebuah bas persiaran yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 37 Jalan Wang Kelian dekat Padang Besar, hari ini. - Foto Bernama

KANGAR - Sebuah bas membawa 45 penumpang termasuk pemandu terbabas ke dalam gaung di laluan berbukit di Wang Kelian, hari ini.
  
Pengarah Bomba dan Penyelamat Perlis Mohd Fadzil Haroon berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada 9.40 pagi itu.

Penumpang bas pelancong dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu terdiri daripada 33 wanita, enam lelaki dan lima kanak-kanak, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
  
Rombongan terdiri daripada peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kawasan Kepala Batas, Pulau Pinang yang bertolak pada 7 pagi tadi untuk membeli-belah di pekan sehari Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.
  
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.
  
Sementara itu, seorang mangsa Md Sharif Hashim, 64, dari Kampung Pokok Tampang, Tasik Gelugor yang duduk di bahagian depan mengucapkan syukur kerana hanya mendapat kecederaan ringan.
  
"Semasa bas mendaki bukit, saya melihat pemandunya tidak dapat memusing stering lalu bas tersebut terus menjunam ke dalam gaung. Kami terpaksa
memecahkan cermin tingkap untuk keluar.
  
"Sebaik dapat keluar saya lihat beberapa anggota rombongan pengsan dan ramai yang pening. Saya juga tidak tahu bila bantuan tiba. Sedar-sedar bantuan perubatan (ambulans) tiba," katanya ketika ditemui di HTF di sini.
  
Seorang lagi mangsa, Tariah Awang Kecil, 42, berkata: "kami mengucap banyak-banyak semasa bas menjunam,".
  
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat, khususnya petugas HTF dan kerajaan Perlis.
  
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Jafperi Othman dan pegawai Baitulmal Perlis turut berada di HTF untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa.
  
Sebuah bas turut disediakan untuk menghantar semua mangsa pulang ke Kepala Batas selain menyediakan makanan untuk mangsa, kata Jafperi. - Bernama

3 maut, 55 cedera keganasan terbaharu di Selatan Thai


2014/05/25 - 08:41:05

BANGKOK: Sekurang-kurangnya tiga terbunuh manakala 55 lagi cedera dalam serangan bom berasaingan di selatan Thailand semalam.

Seramham dilaporkan berlaku di wilayah Pattani, Yala, dan Narathiwat, demikian menururut polis dan tentera.


Laporan itu juga menyebut tembakan senjata api juga kedengaran di sekurang-kurangnya dari satu kawasan.

Jurucakap tentera di wilayah selatan, Kolonel Piamote Prom-In memberitahu stesen televisyen Thai, serangan berlaku di beberapa tempat sejak petang semalam.

“Letupan meledak di kawasan orang ramai di pusat beli-belah bermulanya tempoh pertintah berkurung pada sebelah malam," katanya.

Sementara itu Bangkok Post melaporkan, sekurang-kurangnya 13 kejadian serangan berlaku di Wilayah Pattani petang semalam pada masa yang hampir sama.

"Ia berlaku di tiga premis 7-Eleven, pejabat Lembaga Elektrik Wilayah (PEA), stesen janakuasa elektrik dan stesen minyak di Daerah Muang," kata laporan itu. - AFP

Bukit Aman berkas 3 lelaki suspek anggota Tamil Eelam

Bukit Aman berkas 3 lelaki suspek anggota Tamil Eelam
Tiga lelaki yang dipercayai anggota Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) diberkas Polis Bukit Aman 
PETALING JAYA: Tiga lelaki yang dipercayai anggota Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) diberkas Polis Bukit Aman, dalam beberapa serbuan di sini dan Klang, 15 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ketiga-tiga suspek itu dipercayai sudah berada di Malaysia sejak tahun 2004.
"Mereka menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk mengumpul dana, menyebar propaganda mereka dan cuba menghidupkan semula pergerakan kumpulan pengganas itu," katanya dalam satu kenyataan.


Khalid berkata, antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu ialah bahan propaganda, peralatan media dan 24 mata wang asing bernilai RM20,176.53.

"Kami berjaya mengesan suspek yang menggunakan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR).

"Ketiga-tiga mereka menggunakan kas itu untuk tinggal di Malaysia dan mengelak diri daripada dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa," katanya.

Rempuh lampu isyarat


  • Keadaan kereta mangsa yang terbalik akibat merempuh lampu isyarat.Keadaan kereta mangsa yang terbalik akibat merempuh lampu isyarat.

KULIM - Seorang lelaki berusia 30-an nyaris maut apabila kereta jenis Perodua Kembara dipandunya terbabas di Jalan Air Merah, di sini, kira-kira jam 12.45 tengah hari kelmarin.

Saksi yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa datang dari arah Bukit Mertajam menuju ke Kulim.

"Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh lampu isyarat di simpang tiga Air Merah ke Taman Cengal. Akibat rempuhan kuat kereta mangsa melambung sebelum terbalik.

"Mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke hospital oleh orang awam," katanya.

Sementara itu, Adun Kulim, Chua Thiong Gee meminta pemandu supaya lebih berkhemah ketika memandu.

Menurutnya, bulan ini Kulim berjaya mengekalkan indeks kemalangan terbaik apabila tidak ada sebarang laporan mengenai kemalangan maut.

“Ini menunjukkan Trafik berjaya mengawal keadaan lalu lintas selain membuat rondaan di lokasi kerap berlakunya kemalangan. Dengan cara ini pemandu akan lebih beringat ketika memandu.

"Kewujudan Trafik di kawasan kemalangan mampu mengurangkan kadar kemalangan kerana pemandu akan lebih peka dan bimbang tindakan undang-undang diambil ke atas mereka sekiranya cuai ketika memandu atau memandu secara merbahaya,” katanya.

Nyaris ditipu sindiket


  • Norliyana bersama suaminya dan anak mereka, Ahmad Wafiy menunjukkan borang daripada sebuah bank antarabangsa.Norliyana bersama suaminya dan anak mereka, Ahmad Wafiy menunjukkan borang daripada sebuah bank antarabangsa.

SEREMBAN - Sepasang suami isteri tidak menyangka mereka dijadikan sasaran dipercayai sindiket penipuan melibatkan bank antarabangsa yang mahu menyalurkan sumbangan untuk membantu kos perubatan anak mereka, Ahmad Wafiy, 2, yang menghidap penyakit saraf tunjang dan tulang lembut sejak berumur empat bulan.

Adli Isham Abas, 36, dan isteri, Norliyana Abdullah, 27, bagaimanapun bernasib baik kerana menyedari sesuatu yang mencurigakan sebaik sahaja seorang wanita yang mendakwa dirinya pegawai dari Bank Negara mendesak supaya memasukkan wang berjumlah RM6,700 ke dalam akaun miliknya. 

Adli Isham berkata, semuanya bermula apabila dia dan isteri menerima satu e-mel di bawah nama sebuah bank antarabangsa yang mahu membantu dalam memberikan sumbangan A $10,000U pada Februari lalu.

Menurutnya, di dalam e-mel tersebut, disertakan sekali borang yang perlu dilengkapkan membabitkan nombor akaun bank dan alamat serta identiti lain bagi memudahkan proses sumbangan.

“Saya dan isteri terus pergi ke kedai komputer untuk mengisi dan ‘scan’ balik borang tersebut bagaimanapun setelah dihantar semula pada e-mel itu, pihak berkenaan menyatakan supaya kami mengisi semula borang kerana mereka tidak menerimanya.

“Keesokan harinya, ada seorang lelaki menghubungi isteri saya dan bertanyakan akan hal tersebut. Nombor yang tertera di telefon bimbit begitu asing, selain cara percakapannya kami pada awalnya beranggapan ia benar," katanya.

Adli Isham berkata, dua hari selepas itu, dia menerima pula satu pesanan khidmat ringkas merujuk kepada satu nombor akaun sebuah bank berserta nama daripada satu nombor yang tidak dikenali sebelum seorang wanita menghubungi dan mendakwa dirinya pegawai Bank Negara.

“Wanita berkenaan memberitahu wang sumbangan sejumlah AS$10,000U sampai ke Bank Negara, Malaysia daripada bank antarabangsa tersebut dan sebelum kami memperoleh wang itu, kami diarahkan supaya memasukkan wang sejumlah RM6,700 ke dalam akaun bank miliknya kerana timbul masalah di sana.

“Kami yang terkejut dengan arahannya seakan curiga kerana mustahil Bank Negara tidak boleh uruskan proses pengeluaran wang malah menyuruh kami memasukkan wang ke dalam akaunnya,” katanya.

Adli Isham yang bekerja sendiri berkata, selepas menyedari sesuatu yang mencurigakan, dia dan isteri cuba untuk melambatkan proses memasukkan wang ke dalam akaun wanita berkenaan.

“Di atas tindakan kami itu, wanita berkenaan berang dan terus mendesak kami dalam setengah jam sekali dengan kata-kata yang kasar supaya memasukkan wang ke dalam akaunnya dengan segera.

“Dia juga mengarahkan kami supaya terus berurusan dengan ketuanya menerusi pesanan khidmat ringkas sahaja dan melarang kami menghubunginya lagi tetapi apabila saya meminta nombor telefon ketuanya, dia gagal memberi nombor tersebut dan terus senyap sehingga ke hari ini,” katanya.

Menurutnya, selepas itu, dia mendapatkan pengesahan Bank Negara dan pihak bank memberitahu tiada individu bernama Nora Azilina Kamaruddin, bekerja di situ.

“Pihak bank turut memberitahu sebarang jenis urusan pihaknya tidak akan menggunakan nombor telefon peribadi tetapi sebaliknya menggunakan nombor pejabat," katanya.

Katanya, sumbangan orang ramai masih diperlukan dalam membantu kos perubatan anaknya dan mereka boleh menghubungi terus di talian 019-6255349.

Pemuda ditemui mati ditikam


  • Penyelia Dun Gua Ipoh, Razali Yusoff membacakan doa di sisi mayat mangsa yang mati akibat ditikam di Kampung Kuala Paku, Tanah Merah, kelmarin.Penyelia Dun Gua Ipoh, Razali Yusoff membacakan doa di sisi mayat mangsa yang mati akibat ditikam di Kampung Kuala Paku, Tanah Merah, kelmarin.

TANAH MERAH - Seorang pemuda berusia 23 tahun, yang juga anak yatim piatu mati selepas ditikam pada bahagian pinggang di rumahnya di Kampung Kuala Paku, Gual Ipoh, dekat sini, petang kelmarin.

Pada kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa seorang penoreh getah, Thana Aizuddin Mohd Sukri ditemui tertiarap dan berlumuran darah di atas tanah di tepi rumahnya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa ditemui tidak berbaju dan hanya berseluar jeans oleh adiknya, Kamalrul Haffiz, 17, yang baharu pulang ke rumah.

“Ketika sampai di rumah, adik mangsa mendapati ada kesan tompokan darah di atas lantai garaj rumah dan mengekori kesan darah itu sebelum dia menemui abangnya tertiarap di atas tanah di tepi rumah.

“Ketika itu, mangsa dikatakan sedang nazak dan tidak boleh bercakap sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, semalam.

Abdul Aziz memaklumkan, jarak mangsa ditemui dengan garaj kira-kira tujuh meter, manakala rumah mangsa terletak kira-kira 10 meter dari jalan utama Kusial ke Gual Ipoh.

Katanya, mangsa yang juga anak kedua daripada empat beradik itu dipercayai ditikam dari belakang dengan senjata tajam dan dikatakan seorang diri di rumah ketika kejadian.

“Hasil bedah siasat pakar forensik di Hospital Tanah Merah, punca kematian disebabkan pendarahan teruk akibat tikaman senjata tajam pada belakang badan,” katanya.

Tambahnya, pasukan unit anjing pengesan (K9) tidak menemui sebarang objek tajam atau jejak suspek kerana kejadian berlaku ketika hujan lebat, selain tiada saksi melihat kejadian.

Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan itu berkaitan dadah selepas siasatan awal mendapati mangsa adalah penagih dadah sejak dua tahun lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis menahan tiga lelaki berusia 25, 27 dan 39 tahun di sekitar kawasan kejadian bagi membantu siasatan. Semua suspek didapati positif methamphetamine dan direman mulai hari ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, Kamalrul Haffiz berkata, kejadian itu disedari apabila dia pulang dari rumah neneknya di kampung sama yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

“Saya terkejut melihat kesan luka di belakang sebelah kiri pinggangnya, namun abang masih bernyawa dan saya bergegas mendapatkan bantuan jiran.

“Jiran sempat mengajar abang mengucap sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tanah Merah.

Katanya, dia, Thana Aizuddin dan abang sulung, Mohd Raizul Nazri, 25, tinggal bersama di rumah itu selepas kematian ibu bapa mereka tahun lalu, manakala adik perempuannya, Siti Khalijah, 16, tinggal bersama datuk mereka.

Lima beradik jadi yatim piatu


  • Motosikal mangsa dirempuh lori dari belakang dan kedua suami isteri maut digilis.Motosikal mangsa dirempuh lori dari belakang dan kedua suami isteri maut digilis.

Kuala Lumpur - Lima beradik hilang tempat bergantung apabila ibu bapa mereka maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Loke Yew, di sini kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Bapa mereka yang maut dikenali sebagai Jefri Mohd Zain, 50, dan isterinya, Norsalawati Ibrahim, 40, dalam perjalanan ke tempat kerja apabila terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa mereka.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mohd Fadhli Daud berkata, siasatan mendapati pasangan itu dipercayai dirempuh oleh sebuah lori dari arah belakang selepas motosikal mereka terbabas ketika melalui jalan tersebut.

"Lori berkenaan menggilis tubuh  mangsa. Mangsa cedera parah di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu lori pula terus meninggalkan tempat itu dan gagal dikesan,” katanya.

Mohd Fadhli berkata, sehubungan itu polis berusaha mengesan pemandu lori berkenaan.

Pada masa sama, katanya, saksi kejadian sudah dipanggil memberi keterangan.

“Kita masih menyiasat punca kejadian. Kes disiasat di bawah seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, mayat suami isteri itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, dan waris mangsa juga sudah dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu,  adik Jefri,  Zaina Mohd Zain, 40, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh jirannya kira-kira jam 10 pagi.

“Saya hubungi  polis bagi mendapatkan kepastian. Selepas itu, saya meminta pertolongan jiran untuk mengambil anak arwah yang berada di sekolah dan saya terus bergegas ke HKL.

“Anak-anak mereka hanya dimaklumkan mengenai kejadian ketika mereka dibawa pulang ke Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai, Perak," katanya.

Zaina berkata, sebelum itu, Jefri yang bekerja sebagai juruteknik dalam perjalanan dari rumahnya di Pangsapuri Taman Desa Cheras, manakala tempat kerja isterinya adalah di kilang berhampiran di Jalan Chan Sow Lin.

Difahamkan jenazah suami isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungkai, Perak.

Lima anak yang mereka tinggalkan itu berusia dari dua  hingga 16 tahun.

Syukur anak sempat masuk rumah

Keadaan setelah kejadian tanah runtuh di perumahan Taman Permint SEDC, Jalan Sekayu yang menyebabkan Proton Waja milik Noraini sekeluarga remuk.
Keadaan setelah kejadian tanah runtuh di perumahan Taman Permint SEDC, Jalan Sekayu yang menyebabkan Proton Waja milik Noraini sekeluarga remuk.
Noraini menunjukkan Proton Waja miliknya yang remuk dalamkejadian tanah runtuh, petang kelmarin.
Noraini menunjukkan Proton Waja miliknya yang remuk dalamkejadian tanah runtuh, petang kelmarin.
HULU TERENGGANU - “Tidak sampai lima minit anak saya masuk ke dalam rumah selepas selesai mengangkat barang dari kereta, sekelip mata Proton Waja yang kami naiki dari Kuala Terengganu itu dihempap tanah runtuh."

Demikian luahan Noraini Abdullah, 52, salah seorang penduduk di perumahan Taman Permint SEDC, Jalan Sekayu yang melalui detik mencemaskan apabila kawasan berbukit di hadapan rumahnya runtuh ketika hujan lebat dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang kelmarin.

Menceritakan saat mendebarkan itu, kata Noraini, dia ketika itu sedang mengangkat takbir untuk menunaikan solat Asar sebelum dikejutkan bunyi kuat hingga menyebabkan rumahnya turut bergegar.

“Hanya ALLAH SWT tahu perasaan saya ketika itu. Namun setelah keadaan agak tenang, saya keluar menjenguk keadaan garaj yang roboh dan Proton Waja dihempap tanah.

Malah, kawasan hadapan rumah turut dipenuhi pokok.

“Walaupun sedih, namun saya pujuk hati agar reda dengan ketentuan-Nya. Saya juga bersyukur kerana anak berusia 18 tahun masih panjang umur dan sempat masuk ke dalam rumah selepas selesai mengangkat barang," katanya.

Noraini berkata, ketika kejadian, dia bersama dua anak berusia 5 dan 18 tahun baru pulang dari Kuala Terengganu, namun sebaik sampai, dia bergegas masuk untuk bersolat dan menyerahkan urusan mengangkat barang kepada anaknya yang berusia 18 tahun.

“Suami (Wan Mohd Saifuddin Wan Nawi, 55) dan anak berusia 26 tahun juga baru pulang ke rumah setelah selesaikan urusan masing-masing. Syukurlah, kami semua selamat walaupun garaj ranap, selain Proton Waja remuk dan Perodua Kembara rosak,” katanya, semalam.


Baru tiga bulan baiki kereta

Menurut kakitangan Hospital Hulu Terengganu itu lagi, tiga bulan sebelum kejadian, dia menghabiskan kira-kira RM3,500 untuk membaiki beberapa kerosakan Proton Waja tersebut termasuk menukar enjin baharu, namun tidak menyangka kenderaan itu akan remuk akibat tanah runtuh.

Justeru katanya, pihak berkaitan perlu mengambil perhatian berhubung perkara berkenaan kerana enam keluarga di situ kini berdepan risiko jika kejadian sama berulang.

“Siapa tidak sedih, namun kita tidak mampu melawan ketentuan-Nya. Kejadian ini pertama kali berlaku sepanjang kami tinggal di sini sejak 1990. Malah malam tadi (kelmarin), saya sukar melelapkan mata.

"Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan walaupun kejadian pertama ini hanya libatkan garaj, tidak mustahil jika berulang, ia akan kena pada rumah penduduk pula. Justeru sebelum terjadi lagi, pihak berkaitan diharap dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya.


Terkejut dengar bunyi kuat di luar rumah

Bagi Zaileha Othman, 50, yang tinggal bersebelahan, ketika kejadian, dia sedang berehat di rumah bersama dua anak berusia 10 dan 13 tahun sebelum dikejutkan dentuman kuat yang cukup membuatkan jantungnya berdegup kencang.

“Mulanya saya hanya menjenguk untuk melihat keadaan dan hairan melihat pintu stor tercabut. Hanya setelah membuka pintu utama dan keluar dari rumah, barulah saya tahu keadaan sebenar (berlakunya tanah runtuh).

“Ketika itu hujan agak lebat. Bimbang jika ada lagi pergerakan tanah, saya segera alihkan Naza Citra (diletakkan di garaj) ke tempat lain. Tujuh tahun tinggal di sini, kejadian ini benar-benar mendebarkan, namun saya bersyukur kerana semuanya selamat.

“Walaupun kenderaan saya tidak terlibat, banyak barang dalam stor rosak dengan anggaran kerugian sekitar RM5,000. Bumbung bahagian anjung rumah juga rosak akibat kejadian ini," katanya.

Dalam pada itu, Zaileha yang juga seorang guru, turut berterima kasih kepada semua pihak khususnya anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dan Jabatan Kerja Raya daerah kerana bertindak pantas, termasuk membersihkan kawasan runtuhan.

Keseronokan berakhir tragedi

WARTAWAN SINAR HARIAN
  • Orang awam melihat keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan.Orang awam melihat keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan.

BATANG KALI - Keseronokan berakhir tragedi. Itulah yang berlaku kepada dua remaja membuat aksi wheely berkesudahan tragis apabila motosikal ditunggang mereka bertembung menyebabkan seorang maut manakala seorang lagi parah.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Shukri Yaacob, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam Rabu lalu di Jalan Ara 3 di kawasan perniagaan yang baru beroperasi di Bandar Utama Batang Kali.

“Kedua-dua mangsa menunggang motosikal bersendirian dan dipercayai melakukan aksi wheely di jalan belakang bangunan Jalan Ara 3.

“Motosikal mangsa bertembung secara berdepan dan  mangsa  yang maut  tersepit  di bawah  motosikalnya,” katanya.

Katanya, mangsa yang tersepit maut serta-merta di tempat kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dan tangan kirinya patah.

Katanya, siasatan di tempat kejadian menunjukkan keadaan jalan lurus di kedua hala hanya persekitarannya samar-samar kerana jauh dari lampu jalan.

Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Ashri Azmi, 17, sementara yang parah Muhammad Haiqal Bahtiar, 15, dibawa ke Hospital Selayang.

“Bedah siasat mayat mangsa mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah di kepala. Siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Azmi Ahmad yang bekerja sebagai penunda kereta berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas di Jalan Genting Highland-Batang Kali dan gegas pulang selepas mendapat berita kejadian itu.

“Masa saya sampai, mayat dan motor masih ada di situ tapi orang yang cedera dah dibawa ke hospital,” katanya.

Menurutnya, berkemungkinan motosikal ditunggang anaknya bergesel lalu terjatuh kerana ada yang memberitahu ketika itu anaknya hanya lalu di kawasan tersebut.

“Kawan-kawan dia mesti tahu cuma mereka takut salah cakap.

“Mungkin berlaga handle dan tertonggeng jatuh,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham adalah anak sulung daripada tujuh beradik dan rajin membantunya berniaga.

Dalam pada itu, adik mangsa Muhd Syazrul Azmi, 14, berkata, dia melihat keganjilan abangnya sehari sebelum pemergiannya.

“Sebelum ni dia tak pernah tunggu ayah balik kerja tapi semalam (sehari sebelum kejadian) dia tunggu ayah balik sampai saya dah tidur,” katanya.

Polis lupuskan bahan lucah lebih RM400,000


PETALING JAYA: Polis melupuskan 133,866 barang kes dalam bentuk cakera padat (CD), cakera padat video (VCD) serta cakera video digital (DVD) lucah bernilai RM401,598 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata seramai 40 individu ditangkap dan dituduh di mahkamah atas kesalahan membabitkan rampasan ini dalam tempoh lapan tahun sejak tahun 2004 di sekitar Subang Jaya.

"Sebanyak 71 kertas siasatan telah dibuka dalam masa tersebut melibatkan empat seksyen iaitu Seksyen 292 Kanun Keseksaan, Seksyen 18(4) Akta Penapisan Filem 2002, Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 serta Seksyen 41 (1)(d) Akta Hakcipta 1987," katanya di sidang media sejurus selesai menyempurnakan acara pelupusan itu.

Menurutnya kejayaan itu adalah hasil gerakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Subang Jaya menerusi "Ops Vulture" sebagai langkah membanteras penjualan CD,VCD,DVD,cetak rompak dan lucah sekitar Subang Jaya sejak lapan tahun lepas.

Sementara itu, pada pukul 1 pagi 15 Mei lepas, polis berjaya menangkap enam lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Myanmar berumur antara 19 tahun hingga 27 tahun di sebuah bilik hotel di Puchong, Selangor berhubung satu kes samun dan ragut di Jalan Tasik Prima, Taman Tasik Prima Puchong sehari sebelum itu.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

'Tak sanggup tatap wajah umi'



MUHD. AIDIL (kiri) dan adiknya, Nur Syamimi menjirus air mawar di pusara ibu bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat, Sungkai, Perak semalam.


SUNGKAI – “Tragedi meragut ibu bapa mereka baru berlaku, mereka berlima tak akan dipisahkan walau dalam apa juga keadaan sekalipun.”
Demikian luahan pilu Zainah Mohd. Zin, 44, ibu saudara kepada lima beradik yang kehilangan ibu dan bapa mereka yang terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Chan Sow Lin, Cheras, Kuala Lumpur kelmarin.
Zainah merupakan adik kepada Allahyarham Jefri Mohd. Zain dan adik ipar Allahyarhamah Norsalawati Ibrahim.
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman di sini, Zainah berkata, tiada perbincangan susulan yang dibuat tentang hak penjagaan lantaran ahli keluarga masih terkejut dengan tragedi itu.
“Namun ingin saya katakan, walau apa pun yang berlaku, kami tidak akan sesekali pisahkan mereka kerana kekuatan adik-beradik ini adalah ketika mereka bersama,” katanya.
Sementara itu, Muhd. Haikal, 16, Fatin Adlina, 14, Muhd. Aidil, 10, Nur Syamimi, 4 dan Nur Auni Safia, 3, yang ditemui kelihatan tenang namun nampak sugul.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz32g2mKE6W 
Hakcipta terpelihara 

Coklat Cadbury ada DNA babi



INILAH dua produk coklat jenama Cadbury yang mana sampel coklat jenis sama dikesan mengandungi DNA babi oleh Kementerian Kesihatan.


KUALA LUMPUR - Dua sampel produk coklat jenama Cadbury iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond dikesan Kementerian Kesihatan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah melakukan analisis DNA babi pada tiga sampel coklat Cadbury untuk tujuan pemantauan baru-baru ini.
"Keputusan analisis mendapati sampel Cadbury Dairy Milk Hazelnut bernombor kelompok 200813M01H I2 bertarikh luput 13 November 2014 dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Januari 2015 dikesan mengandungi DNA babi,
"Satu lagi sampel coklat iaitu Cadbury Dairy Milk Chocolate bagaimanapun tidak dikesan mengandungi DNA tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, pengeluar coklat terbabit, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn. Bhd. telah memberi jaminan akan menarik balik produk-produk tersebut daripada pasaran dengan kadar segera.
"Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli atau memakannya," katanya.
Pengguna boleh mengemukakan sebarang soalan kepada Kementerian Kesihatan melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz32g2LsvT3 
Hakcipta terpelihara 

Parlimen Somalia diserang anggota Shebab



BEBERAPA anggota pasukan keselamatan berjalan dekat bangkai sebuah kenderaan di depan bangunan Parlimen, Mogadishu semalam. - AFP


MOGADISHU - Para penentang dari kumpulan Shebab melancarkan serangan ke atas bangunan Parlimen menyebabkan sebutir bom kereta meletup di sini semalam.
Menurut beberapa saksi dan polis, beberapa anggota kumpulan itu yang memakai jaket bom memasuki bangunan tersebut.
Bagaimanapun, anggota-anggota pasukan keselamatan Somalia berjaya menamatkan serangan itu yang berlaku selama empat jam.
Dalam kejadian itu, empat anggota kumpulan Shebab dan empat anggota pasukan keselamatan terbunuh.
Kumpulan Shebab yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda melancarkan serangan itu sebagai percubaan untuk menyingkirkan kerajaan Somalia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz32g1l1pJX 
Hakcipta terpelihara 

Anak penolong pengarah filem Hollywood tembak mati enam orang


LOS ANGELES - Seorang pemuda yang merupakan anak lelaki penolong pengarah filem The Hunger Games mengamuk dan menembak mati enam orang di Santa Barbara, California malam kelmarin, lapor akhbar MailOnline semalam.
Para penyiasat percaya, pemuda tersebut, Eliot Rodger yang berusia 22 tahun memandu sebuah kereta BMW berwarna hitam dan melepaskan tembakan ke arah orang ramai pada kira-kira pukul 9.30 malam waktu tempatan dekat Universiti California.
Eliot kemudian ditemui mati di dalam kereta tersebut semasa dia saling berbalas tembakan dengan polis.
Polis mendapati terdapat kecederaan di kepalanya.
Dia dipercayai anak kepada penolong pengarah filem The Hunger Games, Peter Rodger.
Eliot yang merupakan pelajar Kolej Bandar Santa Barbara dan penduduk Isla Vista pernah membuat kenyataan di laman sosial berhubung dirinya yang kesepian selain menyalahkan wanita yang memandang hina kepadanya.
"Saya berusia 22 tahun dan masih teruna. Saya tidak pernah mencium seorang gadis," kata Eliot menerusi satu rakaman video.
Punca kejadian itu masih disiasat. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz32g1Pfayx 
Hakcipta terpelihara 

Buaya baham nelayan di Filipina


MANILA - Seekor buaya membaham seorang nelayan hingga mati di Sungai Rio Tuba di Pulau Palawan, kata seorang pegawai semalam.
Menurut pegawai itu, Lefetnan Jeneral Greanata Jude, dalam kejadian yang berlaku kelmarin, mayat lelaki tersebut masih berada pada rahang buaya sepanjang empat meter.
Jude berkata, anggota-anggota pasukan pengawal pantai pada mulanya menemui sebuah bot yang kosong di sungai tersebut.
Menurutnya, apabila anggota-anggota itu mendekati bot tersebut, mereka mendapati terdapat mayat nelayan berkenaan berada pada rahang buaya.
Jude berkata, mayat itu juga diikat dengan tali pada bot tersebut.
Beliau berkata, anggota-anggota pengawal pantai kemudian melepaskan tembakan bagi menakutkan buaya tersebut.
Haiwan itu kemudian meninggalkan mayat dan bot tersebut selepas bunyi tembakan itu dilepaskan.
Nelayan itu berasal dari sebuah kampung berdekatan dan dia mahu menangkap gamat.
Dia mengikat badannya pada bot itu bagi membolehkannya menyelam ke dalam laut.
Jude berkata, bot nelayan itu kemudian hanyut dari laut dan memasuki sungai tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz32g0iH9LT 
Hakcipta terpelihara 

Polis tahan pemandu lori gilis suami isteri


KUALA LUMPUR 24 Mei - Pemandu lori yang mengakibatkan lima beradik menjadi yatim piatu setelah ibu bapa mreka digilis dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran susur ke Cheras di Jalan Loke Yew semalam, telah ditahan pada hari sama.
Difahamkan, pemandu lori itu ditahan ketika sedang bersembunyi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukung, Kajang, selepas kejadian itu. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140524/dn_30/Polis-tahan-pemandu-lori-gilis-suami-isteri#ixzz32fzLt58v
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Remaja cedera selepas rempuh sekatan polis


ALOR SETAR 24 Mei - Seorang remaja lelaki yang cuba melarikan diri dengan merempuh sekatan polis, cedera di badan dan kakinya selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu merempuh sebuah kenderaan pasukan itu dalam Op Cantas Trafik di Kampung Padang Garam, Kuala Kedah di sini semalam.
Berikutan kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, seorang anggota polis turut cedera ringan di kepalanya setelah dirempuh motosikal suspek.
Penguat Kuasa Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Inspektor Othman Abdullah memberitahu, Op Cantas Trafik itu dilakukan ekoran aduan penduduk mengenai banyak kegiatan lumba haram melibatkan kumpulan remaja berusia 15 hingga 25 tahun di jalan sepanjang kira-kira 900 meter di situ.
"Mereka juga melakukan aksi-aksi berbahaya sehingga menakutkan pengguna lain. Dalam operasi itu, sebanyak 154 motosikal diperiksa.
"Kesalahan dilakukan antaranya tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, ubah suai motosikal dan tidak memakai topi keledar," katanya di sini semalam.
Menurut Othman, sebanyak 50 motosikal disita dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.
"Kita juga mengeluarkan 78 saman kepada penunggang motosikal terbabit atas pelbagai kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Kaedah Lalu lintas Jalan 1959," ujarnya.
Kata beliau, remaja yang merempuh sekatan polis itu ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menunggang secara melulu dalam keadaan berbahaya.
"Jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau maksimum RM15,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Tambah beliau, anggota polis yang cedera itu hanya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140525/je_02/Remaja-cedera-selepas-rempuh-sekatan-polis#ixzz32fwzX861
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Masalah keluarga motif utama


AZMAN Ayob menunjukkan pisau berukuran 20 sentimeter yang digunakan suspek untuk menikam mangsa dalam sidang akhbar di Muar, Johor, semalam.
MUAR 24 Mei - Masalah keluarga dan hak penjagaan anak dipercayai motif utama seorang lelaki mati ditikam dalam satu pergaduhan melibatkan sebuah keluarga di sebuah rumah teres di Jalan Kim Kee, di sini tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, mangsa, Lim Wei Kuan, 34, yang ditemui mati berlumuran darah akibat ditikam dengan sebilah pisau sebelum itu bergaduh dengan isterinya sebelum ibu bapa mentua dan adik ipar serta jirannya masuk campur.
"Mangsa dikatakan menyerang adik ipar dan bapa mentuanya dengan sebilah pedang samurai sepanjang hampir satu meter. Adik ipar mangsa kemudian bertindak balas lalu menikamnya dengan sebilah pisau berukuran 20 sentimeter sebanyak dua kali di bahagian dada sebelah kiri, dada kanan (2), leher (1) dan belakang badan (1).
"Punca kematian disebabkan satu tikaman di bahagian belakang yang mengenai bahagian bawah paru-paru kiri dan menyebabkan banyak pendarahan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.40 tengah malam semalam, mangsa ditemui mati dalam satu pergaduhan.
Turut terkena tikaman ialah bapa mentuanya yang kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Azman seterusnya berkata, berikutan itu, polis menahan isteri mangsa berusia 23 tahun, adik iparnya berusia 20 tahun, bapa dan ibu mentuanya berusia 60 dan 45 tahun serta jirannya untuk membantu siasatan.
"Adik ipar mangsa yang merupakan peniaga merupakan suspek utama serta mempunyai 10 rekod jenayah berkaitan memiliki, menagih dan mengedar dadah selain dikehendaki polis kerana bersangkut kes jenayah dadah dan memiliki barangan curi di daerah ini.
"Hasil ujian air kencing ke atas isteri mangsa pula mendapati wanita itu positif dadah jenis syabu. Pergaduhan tercetus apabila mangsa datang ke rumah itu menyatakan tidak puas hati kerana keluarga terbabit membuat laporan polis tentang hak penjagaan dua anaknya.
"Mangsa sudah dua tahun tinggal di Melaka dan sesekali datang melawat anaknya yang berusia satu serta tiga tahun dan mereka masih lagi pasangan suami isteri tetapi sering bergaduh," katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat sama ada mangsa berada dalam pengaruh dadah.
"Kesemua mangsa direman sehingga 28 Mei ini manakala adik ipar mangsa sehingga 29 Mei ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140525/je_01/Masalah-keluarga-motif-utama#ixzz32fwenUDT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempa bumi kuat di Laut Aegean


KUALA LUMPUR 24 Mei - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.5 skala Ritcher melanda Laut Aegean, Greece pada pukul 5.25 petang hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, pusat gempa terletak di 40.5 darjah utara dan 25.4 darjah timur, kira-kira 203 kilometer tenggara dari Kalamaria, Greece dan 8244 kilometer barat laut dari Langkawi, Kedah.
Gempa tersebut tidak mendatangkan ancaman tsunami. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140524/lu_15/Gempa-bumi-kuat-di-Laut-Aegean#ixzz32fvUmrGy
© Utusan Melayu (M) Bhd