Search This Blog

Friday, May 23, 2014

Polis tahan 4 lelaki geng curi motosikal


22 Mei 2014

TANGKAK - Polis menumpaskan kegiatan mencuri motosikal di sekitar Ledang dan Melaka dengan penahanan empat lelaki dalam Ops Lejang di Kampung Serom 5, dekat Sungai Mati, di sini, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohamed Salleh Abd Razak berkata, keempat-empat mereka yang berumur 22 hingga 25 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah pada 5 Mei lepas selepas polis bertindak atas maklumat awam.

"Hasil soal siasat yang dilakukan, kesemua mereka mengaku terlibat dengan beberapa kecurian motosikal dan polis kemudian menemui tiga rangka kenderaan terbabit yang dibuang dalam sebuah kolam dekat kebun kelapa sawit di kampung berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, di sini, hari ini.

Mohamed Salleh berkata semakan terhadap rangka motosikal itu mendapati salah satu darinya adalah yang dilaporkan hilang di Bandar Hilir, Melaka manakala dua lagi sedang disiasat kerana nombor sirinya telah diubah.

Beliau berkata keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan bebas daripada pengaruh dadah kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - Bernama

Rompakan bersenjata: 3 lelaki dipenjara


22 Mei 2014

SHAH ALAM - Tiga lelaki yang menjalani hukuman bagi kesalahan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dipenjara 18 tahun lagi selepas didapati bersalah merompak sebuah rumah di Cheras, Hulu Langat menggunakan senjata api, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Noor Azian Shaari turut memerintahkan Chung Cheng Seng, 47, dan Lai Kum Leng, 47, masing-masing disebat enam kali manakala seorang lagi tertuduh, Tan Mian Chee, 61, terselamat daripada hukuman itu atas faktor usia.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Pelanduk Satu, Taman Suntex, Batu 9, Cheras pada kira-kira 7.15 pagi 16 Ogos 2009 mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Sebelum ini, mereka dibicarakan atas pertuduhan asal iaitu merompak secara berkumpulan dengan bersenjata api serta menyebabkan kematian seorang lelaki di tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 396 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sepanjang hayat, jika sabit kesalahan.    

Dalam penghakimannya, Noor Azian berpuas hati bahawa pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan mengikut Seksyen 396 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pendakwaan berjaya membuktikan berlaku kesalahan rompak mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan namun gagal membuktikan elemen pembunuhan.

"Selepas membandingkan keterangan pembelaan ketiga-tiga tertuduh dengan keterangan saksi pendakwaan, adalah tidak selamat untuk mensabitkan ketiga-tiga tertuduh dengan kesalahan membunuh semasa melakukan rompakan," katanya.

Sehubungan itu, Noor Azian mensabitkan mereka dengan kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sejumlah 13 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal manakala Chung diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid, Lai oleh Muhammad Rafique Rashid Ali dan Tan diwakili K.A.Ramu.  

Cheng Seng, peniaga pasar malam; Lai, kontraktor, serta Tan, pemandu lori, ditangkap di Endau, Johor beberapa hari selepas rompakan dan empat pucuk pistol turut ditemui bersama mereka.

Ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 oleh Mahkamah Sesyen Kluang yang menyaksikan Cheng Seng dan Kum Leng dihukum penjara sepanjang hayat dengan enam sebatan bagi kesalahan memperdagang senjata api manakala Tan dipenjara lima tahun kerana memiliki senjata api. - Bernama

Padah mahu pulang awal sekolah

Padah mahu pulang awal sekolah
Keadaan tangan kiri mangsa.
Padah mahu pulang awal sekolah
Anggota Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang menunjukkan tangan mangsa yang tertusuk jeriji pagar.
RANTAU PANJANG - Gara-gara ingin pulang awal dengan memanjat pagar sekolah, tangan kiri seorang pelajar tingkatan lima tertusuk jeriji pagar berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi semalam, pelajar berumur 17 tahun itu bersama-sama 20 rakannya yang mahu pulang awal bertindak memanjat pagar tersebut.

Pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Muhd berkata, dia bersama rakan lain baharu sahaja selesai menduduki peperiksaan dan memanjat pagar sebagai jalan pintas untuk pulang.

“Selepas tergelincir, saya berada dalam keadaan tergantung kerana pagar agak tinggi. Saya ingatkan baju yang tersangkut pada jeriji, rupa-rupanya tangan kiri yang tertusuk pada besi pagar.

“Disebabkan terlampau sakit, saya panjat semula pintu pagar dan menunggu hampir sejam sebelum diselamatkan pasukan Bomba,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Muhd menerima 30 jahitan selepas dirawat di Hospital Pasir Mas.

"Syukur Alhamdulillah kerana ia tidak mencederakan tulang mahupun saluran darah utama.

"Kejadian ini memberikan pengalaman yang sukar dilupakan dan pengajaran bermakna juga kepada saya serta rakan," kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Rahmat Kamaruzaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.11 tengah hari dan segera ke lokasi kejadian dengan kekuatan tujuh anggota.

“Setibanya di lokasi, kami dapati kaki mangsa tidak mencecah tanah, sementara tangan kirinya tertusuk pada besi pintu pagar.

“Kami berusaha menyelamatkan mangsa dengan memotong sebahagian pagar besi menggunakan pemotong hidraulik," katanya.

Gudang haram kena serbu


  • Gudang haram kena serbuPremis gudang yang tersorok dalam ladang kelapa sawit ditumpaskan penguatkuasa PPDNKK Kuala Selangor.

IJOK - Berselindung di kawasan tersorok di ladang kelapa sawit, aktiviti licik sindiket penyelewengan gas domestik bersubsidi akhirnya ditumpaskan penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kuala Selangor, malam semalam.

Ketua Penguatkuasa PPDNKK Kuala Selangor, K Ramesh berkata, bertindak berdasarkan maklumat orang ramai dan risikan hampir sebulan, premis gudang tertutup di Jalan Harmoni 1, Kawasan Perindustrian Ijok di sini diserbu 22 pegawai PPDNKK Kuala Selangor dalam Operasi Titik kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, hasil serbuan berjaya merampas 1,160 tong gas asli cecair (LPG) bersaiz 14 kilogram dan 50 kilogram menjadikan keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah treler sembilan tan dan peralatan lain berjumlah RM215,612.89 sekali gus menumpaskan sindiket terbabit.

“Ketika serbuan dilakukan, pemilik premis dipercayai leka memindahkan gas LPG dari saiz 14 kilogram kepada 50 kilogram manakala lima pekerja yang menyedari kehadiran penguatkuasa terus melarikan diri melalui pintu kecil ke arah ladang kelapa sawit.

“Bagaimanapun kita berjaya menahan seorang lelaki yang juga dalang sindiket ini dan penguatkuasa menunggu lebih 12 jam di kawasan gudang haram yang dipercayai menjadi pusat penyimpanan dan pemindahan tong gas.

“Jika disabitkan kesalahan, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi syarikat, boleh didenda RM250,000 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramesh berkata, hasil siasatan mendapati premis gudang yang  baharu beroperasi tiga bulan itu menjalankan kegiatan mencurigakan sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk berhampiran berikutan kekerapan treler keluar masuk di kawasan ini.

“Hasil risikan penguatkuasa PPDNKK Kuala Selangor turut mendapati premis gudang itu menjadi port pemindahan gas dari tong gas bersubsidi kegunaan domestik yang isinya dipindahkan untuk kegunaan industri yang membawa untung atas angin sebanyak RM100.
“Jika kita lihat, tiga tong gas dengan harga RM78 diisi untuk memenuhi tong silinder industri 50 kilogram yang dijual dengan harga RM180, sindiket ini boleh meraih keuntungan berlipat ganda sedangkan pemborong biasa hanya untung RM10 saja.

“Siasatan  awal mendapati sindiket itu  dipercayai  mendapat bekalan gas  bersubsidi itu daripada pemborong  berlesen  untuk  dijual kemudiannya kepada beberapa  pihak  industri yang menjadi pelanggan tetap mereka.

“Jika  tidak  dipantau,  kegiatan haram ini boleh mengundang risiko kerana saluran gas yang digunakan untuk memindahkan cecair berkenaan tidak mengikut spesifikasi yang selamat sehingga menyebabkan letupan atau kebakaran.

“Hasil rampasan dibawa ke Stor  Pusat KPDNKK Nilai, Negeri Sembilan dan PPDNKK Kuala Selangor  ingin memberi  amaran  keras  kepada  mana-mana individu dan syarikat yang terlibat dalam penyalahgunaan gas domestik bersubsidi akan dikenakan tindakan berat.

“PPDNKK Kuala Selangor turut mengenalpasti beberapa lokasi di daerah ini yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan sama dan operasi ini akan diteruskan sehingga sindiket ini berjaya dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Nyawa berakhir di kolam


  • Nyawa berakhir di kolamMayat mangsa ditemui jam 9 malam.

NILAI - Seorang isteri tidak menyangka nyawa suaminya berakhir di kolam berhampiran rumah mereka di Taman Arowana, Lenggeng di sini selepas dipercayai lemas malam kelmarin ketika sedang menangkap ikan.

Mayat Wong Ah Kaw, 72, ditemui berpakaian lengkap kira-kira jam 9 malam selepas anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin menjalankan operasi mencari mangsa.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Abdullah Roning berkata, polis menerima aduan daripada isteri mangsa yang membuat laporan berhubung suaminya yang tidak pulang selepas keluar kira-kira jam 12 tengah hari untuk pergi menangkap ikan di sebuah kolam berhampiran rumah mereka.

“Berdasarkan maklumat tersebut kita  mendapatkan bantuan daripada bomba berhampiran untuk membantu operasi mencari mangsa,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui jam 9 malam dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Ahmad Ridwan Yahya berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat kehilangan mangsa kira-kira jam 8.32 malam.

“Sebanyak lapan pegawai dan anggota digegaskan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari mangsa di dalam kolam ikan yang mempunyai kedalaman 10 kaki itu.

“Mangsa berjaya ditemui dengan keadaan berpakaian lengkap jam 9 malam iaitu selepas 15 minit operasi pencarian dijalankan,” katanya.

Ahmad Ridwan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk tindakan lanjut.

Peragut berputih mata


  • Peragut berputih mataSuspek berjaya ditangkap orang ramai sebelum dibawa ke Balai Polis Jasin.

JASIN - Seorang pemandu bas sekolah, terpaksa menerima tujuh jahitan di ibu jari kaki kirinya selepas bergelut dengan peragut di Jalan Kesang Ayer Baruk, Bandar Jasin, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi, mangsa, A Chalres, 29, yang menaiki motosikal Honda EX5 dalam perjalanan ke sebuah bank di Bandar Jasin sebelum rantai lehernya diragut suspek yang turut menaiki motosikal Yamaha RXZ135.

Menurutnya, dia yang menunggang motosikal dari rumahnya di Taman Ayer Merbau, berhasrat untuk memasukkan cek di bank  berkenaan namun ketika jarak lebih kurang beberapa  meter dari bank dia memperlahankan motosikalnya.

“Saya menyedari suspek mengekori saya dari Taman Maju, Jasin namun tidak mengesyaki apa-apa sebelum suspek bertindak meragut rantai saya. Kejadian berlaku pantas, dan bila dia meragut rantai saya, dia kemudian menendang motosikal.

“Nasib baik ketika itu saya tidak jatuh, dan saya terus bertindak menendang motosikal suspek menyebabkan suspek jatuh lalu mencapai rantai saya di atas jalan raya sebelum saya menghampiri dan bergelut dengannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Charles, ketika bergelut dengan mangsa dia sempat menjerit meminta tolong sebelum beberapa orang yang berada di situ membantu menangkap mangsa termasuk seorang anggota polis trafik yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Menurutnya, akibat pergelutan itu dia tidak menyangka ibu jari kakinya tersepit di rantai motosikal suspek dan mendapati kakinya berdarah serta mengalami luka di kaki.

“Walaupun terpaksa menerima tujuh jahitan namun bersyukur mangsa dapat ditangkap dan saya dapat semula rantai hadiah dari mak ketika ulang tahun saya ke 21.

“Memang setiap bulan saya akan ke bank memasukkan cek namun tak sangka mengalami insiden ini,” katanya yang mendapatkan rawatan di Hospital Jasin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superitenden Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan dan berasal dari Ayer Molek telah ditahan pihak polis di tempat kejadian.

“Suspek yang berusia 26 tahun dan tidak bekerja  masih lagi direman pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Elak juntaian buluh


  • Elak juntaian buluhIbu mangsa kelihatan begitu sedih ketika melihat jenazah anaknya yang maut dalam kemalangan, petang semalam. Gambar kecil: Shahrul Nizam

REMBAU – Gara-gara mengelak juntaian pokok buluh di tepi jalan, seorang pelajar Kolej Vokasional Dato Lela Maharaja maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Sepri-Rembau, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Shahrul Nizam Md Zin, 16, yang merupakan anak sulung, maut serta merta di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di anggota badannya.

Menurut jurucakap polis, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Sepri menuju ke Rembau dipercayai ingin mengelak juntaian pokok buluh, namun masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua MyVi.

“Mangsa terjatuh di atas jalan, sementara motosikalnya terseret selepas bertembung dengan kereta terbabit.

"Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat,” katanya, dekat sini, semalam.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Faez Shah Datuk Zukarnain Shah, 22, berkata, ketika kejadian hujan terlalu lebat dan dia memandu di belakang kereta Perodua MyVi yang terbabit dalam kemalangan itu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya terkejut apabila kereta itu tiba-tiba terbabas ke kiri jalan, dan dalam masa yang sama terlihat ada sekujur tubuh terbaring di atas jalan.

“Saya segera memberhentikan kereta dan membantu memeriksa nadi mangsa, namun gagal sebelum mendapatkan bantuan," katanya.

Tiga pengusaha restoran dikompaun


  • Tiga pengusaha restoran dikompaunPenguatkuasaan MDSB menunjukkan longgokan sebahagian sampah sarap yang dibuang di Pasar Awam Sekinchan.

SABAK BERNAM - Gara-gara membuang sampah haram, tiga pengusaha restoran dikompaun maksimum sebanyak RM1,000 selepas didapati membuang sisa makanan dan sampah perniagaan di belakang Pasar Awam Sekinchan sepanjang bulan Mei ini.

Penolong Pegawai Penerangan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Noraini Ahmad berkata, hasil rondaan dan penguatkuasaan yang dijalankan mendapati terdapat banyak longgokan sampah dibuang di kawasan berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan penguat kuasa MDSB pada sampah itu mendapati terdapat nama dan logo syarikat pada plastik tisu restoran yang dibuang bersama-sama longgokan sampah berkenaan.

“Kami berjaya mengesan tindakan itu dilakukan satu restoran beralamat di Tanjong Karang dan dua restoran di Sekinchan berdasarkan pada logo dan alamat restoran pada tisu berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Noraini berkata, tindakan ini diambil mengikut peruntukan di bawah Undang Undang Kecil (UUK) Pemungutan Pembuangan dan Pelupusan Sampah sarap (MDSB) 2007 yang memperuntukkan kompaun maksimum RM1,000.

Dalam menangani sampah haram katanya, penguat kuasa MDSB akan sentiasa menjalankan rondaan berterusan bagi memastikan kawasan pentadbirannya sentiasa bersih dan bebas daripada sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar.

“Kita berharap agar semua pihak tidak kira individu atau syarikat supaya membuang sampah di tempat yang dibenarkan dan tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan menjadikan tempat awam sebagai kawasan pembuangan sampah,” katanya.

Beliau berkata, tujuan ops sampah haram itu dijalankan bagi mendisiplinkan masyarakat dan mana-mana restoran agar membuang sampah di tempat yang betul bagi memulihara persekitaran selain meningkatkan kesihatan dan tidak menyakitkan pandangan mata.

“Jika adanya longgokan sampah haram ini, bermakna tahap kebersihan juga tidak sempurna dan kesihatan penduduk juga dikhuatiri terjejas selain dapat mengawal pembiakan nyamuk dan haiwan lain punca penyakit,” katanya.

Warga emas rentung


  • Warga emas rentungKeadaan kereta yang menyebabkan seorang warga emas rentung, petang semalam.

PUCHONG – Seorang warga emas maut dalam keadaan menyayat hati apabila  kenderaan dipandunya terbakar di Taman Kinrara menghala ke Lebuhraya Kesas, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, kereta mangsa dikatakan terbakar secara tiba-tiba menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas di tepi jalan.

Api marak menyebabkan mangsa gagal keluar dari kenderaan yang dipandu, tubuh badannya melecur 100 peratus.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia terdengar bunyi letupan sebelum mendapati kepulan asap hitam keluar dari bahagian depan kenderaan mangsa.

Letupan turut menyebabkan cermin hadapan kenderaan mangsa pecah dan kereta yang dipandu perlahan terbabas ke tepi jalan.

“Api marak menyebabkan dia terperangkap dan gagal keluar dari kereta,” katanya.

Mangsa dikenali sebagai Tham Sak Pheng @ Thum Saik Peng, 75, dari Bandar Puchong Jaya disahkan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian akibat terbakar 100 peratus.

Ketua Bomba Balai Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hisam Mat Yasih berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 2.20 petang sebelum tiba di lokasi sembilan sembilan minit kemudian.

Sebaik tiba, api masih marak membakar kereta jenis Proton Wira tersebut, mangsa gagal diselamatkan.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Siapa ‘curi’ bangkai kapal karam?

SITI NADIAH
Siapa ‘curi’ bangkai kapal karam?
Shahran menunjukkan bukti sebuah kapal yang didakwa mengambil besi kapal Jepun yang telah pun karam pada era 1940-an.
22 Mei 2014


Siapa ‘curi’ bangkai kapal karam?
Ini di antara bangkai kapal Rusia yang diambil pihak yang tidak dikenali pasti menggunakan tongkang.
WUJUDNYA bangkai kapal perang di dasar perairan Pulau Pinang menjadi taman permainan bagi pelbagai spesies ikan di sini.

Sekali gus ia juga menjadi lokasi pembiakan ikan terutamanya ikan tenggiri yang tidak dinafikan antara ikan termahal dalam pasaran hari ini.

Bagaimanapun, ramai yang tidak sedar akan kewujudan kapal perang dari Jepun dan Rusia yang telah karam sekitar tahun 1940 hingga 1950-an itu.

Namun ia bukanlah sesuatu yang pelik bagi nelayan kerana lokasi kapal karam di Bayan Lepas itu menjadi punca rezeki mereka memandangkan kapal berkenaan sudah menjadi tukun ikan.

Malangnya, kapal perang yang menjadi tukun ikan itu kini dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Aktiviti mengambil besi kapal karam dari dasar perairan Pulau Pinang itu dipercayai sudah berlaku sejak akhir tahun lalu.

Ambil secara sah atau haram?

Ahli jawatankuasa Unit Nelayan Sungai Batu Teluk Kumbar, Shahran Abdul Khalid berkata, dia menyedari kegiatan sebuah kapal mengangkut besi di perairan pantai ini sejak Februari lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku 12 batu nautika dari Pantai Sungai Batu.

“Kami hairan bagaimana bangkai kapal perang lama dari Jepun itu boleh diambil begitu saja, adakah secara sah ataupun haram, sedangkan jika diikutkan keadaan kapal berkenaan sudah buruk dan tidak lagi berbentuk kapal.

“Jika difikirkan logik akal, mungkin ada pihak yang mahu mengambil kapal perang lama ini kerana harga besinya yang begitu mahal, takkan mereka mahu memelihara kapal tersebut pula,” katanya kepada Sinar Harian.

Kegiatan mengambil badan kapal karam berkenaan bagaimanapun berjaya dirakamkan oleh beberapa nelayan yang berada di kawasan kejadian ketika menangkap ikan.
Malah turut dipercayai kegiatan mencuri bangkai kapal perang lama itu bukan saja terhenti di situ, tidak ketinggalan bangkai kapal perang Rusia turut pernah diambil.
Lokasi panas kaki pancing

Shahran berkata, lokasi kapal karam itu adalah di antara lokasi panas bagi nelayan dan juga pemancing.

“Jika ada orang hendak memancing, dan antara soalan utama mereka ada ikan tak, tidak lain tidak bukan itu adalah ikan tenggiri, ia kerana ikan tenggiri paling popular di kalangan pemancing.

“Bukan sahaja pemancing, malah nelayan turut ‘patah kaki’ akibat tiadanya lagi kapal yang sejak dahulu lagi menjadi rumah dan taman permainan ikan terutamanya ikan tenggiri,” katanya.

Pendapatan terjejas

Shahran berkata, dahulu hasil tangkapan bagi ikan tenggirinya mampu mencecah di antara RM100 hingga RM500 sehari.

“Bukan itu saja, malah disebabkan adanya tukun ikan yang berasal dari bangkai kapal ini juga membolehkan nelayan mendapat pendapatan sampingan, ia apabila ada di antara kaki pancing yang meminta kami membawa mereka ke lokasi kapal-kapal karam yang menjadi rumah ikan ini.

“Sekarang ia sudah semakin kurang, pemancing dari kawasan Balik Pulau, Seagate, Sungai Batu dan Permatang Damar Laut sudah kehilangan kawasan panas,” katanya.

Tegasnya, nelayan sedikit pun tidak hairan dengan kapal berkenaan, namun sekiranya kapal tersebut diambil, sepatutnya pihak bertanggungjawab menggantikan ia dengan tukun tiruan yang lain.\

“Sumber pendapatan kami adalah hasil laut, janganlah memusnahkan sumber pendapatan kami sebagai nelayan.

“Pihak yang lebih bertanggungjawab kena lakukan sesuatu sebelum keadaan menjadi lebih kritikal,” katanya.

Kapal karam terus 'dicuri'

Sementara itu, bagi nelayan Balik Pulau pula, Wan Mokhtar berkata, semalam sekali lagi bangkai kapal karam Jepun tersebut diambil sekumpulan pihak yang masih tidak dikenal pasti menggunakan tongkang.

Malah tidak dinafikan kapal perang Rusia sejauh 10.5 batu nautika dari Kuala Sungai Burung turut pernah diambil secara senyap-senyap.

Menurutnya, tindakan yang sama pernah berlaku pada tahun 1960 sehingga ada penduduk dari Balik Pulau diberikan sebuah motosikal dan kereta gara-gara menunjukkan lokasi kapal karam berkenaan.

“Pada masa itu memang sudah ada pihak yang berminat dengan kapal berkenaan namun kami tidak tahu rupa-rupanya sehingga kini masih ramai yang mengintainya sehinggalah mereka datang berulang kali dalam tempoh sebulan ini.
“Kami musykil adakah tindakan ini sah ataupun haram, jika diluluskan sekalipun, oleh siapa?. Perkara ini tidak boleh didiamkan kerana sumber pendapatan ratusan nelayan di perairan Pulau Pinang mungkin boleh terjejas sekiranya mereka terus menerus melakukan tindakan sebegini,” katanya.

Bagi mendapatkan penjelasan sebenar, esok, Sinar Harian akan mengupas lagi isu bangkai kapal perang karam yang dicuri ini melalui Jabatan Laut Pulau Pinang, Jabatan Perikanan, Persatuan Nelayan dan juga Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad.

TNB didenda RM 100,000 kerana hina mahkamah


  • TNB

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman denda RM100,000 ke atas Tenaga Nasional Bhd (TNB) kerana menghina mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman M.Gunalan turut memberi amaran keras kepada juruukur yang diupah TNB, Ahmad Rustami Ramley, yang juga didapati bersalah bagi kesalahan sama.
Gunalan membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Thomas Philip, yang mewakili Pengarah Syarikat Lenang Development Zaharey Jusoh; peguam Steven Thiru, Gurmel Singh serta Gregory Das bagi pihak TNB manakala Ahmad Rustami diwakili peguam Gopal Sreenevasan dan Leong Phaik Leng.
Beliau turut mengarahkan TNB membayar denda itu dalam tempoh 14 hari.
Pada 10 April lepas, Gunalan memutuskan TNB serta Ahmad Rustami bersalah kerana menyembunyikan bahan bukti semasa perbicaraan kes saman berhubung isu tanah setinggan yang difail Bukit Lenang Development dan menetapkan hari ini untuk mendengar rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.
Saman itu difail Zaharey Jusoh pada 2003 ke atas 300 penduduk setinggan yang didakwa menceroboh serta mendirikan penempatan di tanah milik syarikat berkenaan di Kampung Plentong di sini.
Syarikat itu turut menyaman TNB, Telekom Malaysia Bhd dan Syarikat Air Johor (SAJ) Holdings Sdn Bhd kerana menceroboh tanah berkenaan serta memberi kemudahan asas kepada penduduk setinggan.
Telekom dan SAJ telahpun menyelesaikan kes itu di luar mahkamah namun TNB, menerusi Ahmad Rustami, menafikan ia mendirikan tiang elektrik di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, plaintif mengemukakan salinan laporan kerja ukur lengkap yang dilakukan Ahmad Rustami untuk TNB, yang diperlukan bagi mendirikan tiang terbabit, kepada mahkamah.
Terdahulu, Philip meminta mahkamah mengenakan denda RM4 juta ke atas TNB sebagai peringatan dan pengajaran kepada pihak lain selain hukuman setimpal ke atas Ahmad Rustami.
Thiru, Gurmel Singh dan Gregory Das pula merayu mahkamah mengenakan denda RM10,000 ke atas TNB manakala Gopal dan Leong meminta Gunalan sekadar memberi amaran kepada Ahmad Rustami. - Bernama

Remaja cedera disamun


  • Remaja cedera disamunKawasan kejadian yang menyebabkan seorang remaja perempuan mengalami kecederaan pada kedua-dua lutut akibat bergelut dengan suspek kejadian samun.

PASIR MAS - Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun cedera pada kedua-dua lutut akibat terjatuh ketika bergelut dengan seorang lelaki yang menyamunnya.

Dalam kejadian berkenaan, remaja perempuan itu turut mengalami kerugian sebanyak RM800 apabila suspek berjaya melarikan beg duitnya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 9.38 pagi kelmarin, di sebuah wakaf berhampiran Sekolah Menengah Agama Arab (SMAA) Maahad Muhammadi Pasir Mas, di sini.

Menurutnya, semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang menunggu rakannya di wakaf berkenaan sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal.

"Difahamkan lelaki berkenaan pada awalnya cuba mengambil telefon bimbit dipegang mangsa.

"Kemudian suspek bertindak berani dengan cuba merampas beg tangan yang berada atas riba mangsa mengakibatkan semua barangan di dalamnya jatuh dan berselerak," katanya.

Haliludin berkata, suspek kemudiannya mengambil beg duit mangsa dan terus melarikan diri dari kawasan berkenaan.

Katanya, selain wang tunai, mangsa turut kehilangan kad pengenalan, kad Mesin Teler Automatik (ATM), cukai jalan motosikal, buku bank dan lesen memandu.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian untuk mengesan suspek terlibat.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Bapa mahu anak dihukum penjara


  • Bapa mahu anak dihukum penjaraTertuduh akan dihantar menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan.

KOTA BHARU - Seorang pekerja pusat servis kereta dihukum penjara setahun enam bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam, selepas mengaku salah mahu mencederakan bapanya, minggu lalu.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad sebagai menghormati permintaan bapa tertuduh yang mahu anaknya itu dihukum penjara atas kesalahan tersebut.

Tertuduh, Wan Mohamad Fauzan Wan Zakaria, 24, didakwa menakutkan secara jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan cedera kepada Wan Zakaria Wan Ismail, 54, di alamat Kampung Bemban, Padang Kala, Melor, di sini, pada jam 6 petang, 4 Mei lalu.

Melalui keterangan impak mangsa yang dibacakan di mahkamah semalam, bapa tertuduh mahu anaknya itu dihukum penjara dalam tempoh setahun hingga dua tahun supaya tertuduh mendapat pengajaran daripada kesalahan itu.

Nik Habri dalam keputusannya turut menasihati tertuduh supaya tidak mendendami bapanya kerana permintaan itu.

“Jangan pula selepas ini kamu cari ayah kamu untuk membalas dendam. Saya tidak tahu apa-apa yang berlaku antara kamu, tetapi, saya percaya dia masih sayangkan kamu dan harap kamu berubah serta tidak mengulangi kesalahan ini,” katanya.

Dalam kejadian lalu, pengadu (mangsa) yang sedang memandu kereta di hadapan Pejabat YKK Padang Kala, diekori tertuduh dengan motosikal sebelum dilanggar dari arah belakang. Sebelum itu, tertuduh ada meminta wang daripada pengadu tetapi tidak dipenuhi.

Pada masa sama, isteri pengadu ada memberi RM20 kepada tertuduh untuk mengisi minyak, namun, tiba di hadapan pejabat itu, tertuduh bertindak melanggar kereta pengadu sehingga dia sendiri terjatuh dan mengalami luka. Pengadu membantunya dan menawarkan untuk membawa tertuduh ke klinik, namun ditolak.

Pengadu kemudian pulang ke rumah dengan diekori tertuduh. Tertuduh masih tidak berpuas hati dan meminta RM150 pula dengan alasan untuk pergi ke klinik.

Pengadu nyatakan dia tidak mempunyai wang dan tiba-tiba tertuduh berjalan ke dapur serta keluar dengan membawa sebilah pisau namun dua ahli keluarga yang lain sempat menahannya.

Empat tokan dadah kena cekup


  • Empat tokan dadah kena cekupWang tunai dan dadah antara yang dirampas pihak polis.

ROMPIN – Empat individu termasuk seorang wanita yang dipercayai pengedar dadah ditahan di sebuah rumah di Taman Rompin Indah, di sini, awal pagi semalam dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah  Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin kira-kira jam 12.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata, hasil pemeriksaan pihak polis di rumah tersebut membawa kepada rampasan dadah jenis heroin seberat 232.66 gram dan syabu 1.5 gram.

“Hasil pemeriksaan ke atas empat individu di rumah terbabit, menemui dua bungkusan kertas hitam di dalam setiap satu berisi satu peket plastik berisi serbuk atau ketulan berwarna putih disyaki dadah berbahaya dan satu beg berzip warna merah jambu berisi dua peket kecil plastik lut sinar berisi serbuk kristal dipercayai syabu.

“Selain itu, turut ditemui satu peket plastik kecil lut sinar berisi serbuk kristal syabu, satu alat penimbang elektronik, satu telefon bimbit jenama Samsung, tiga telefon bimbit jenama Nokia dan empat bungkusan plastik mengandungi sejumlah plastik lut sinar yang kosong,” katanya.

Menurut Johari, turut dirampas wang berjumlah RM10,000, dua buah kereta jenis Honda Accord dan Toyota Vios.

“Hasil siasatan lanjut ke atas empat individu terbabit mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau, manakala ujian air kencing yang dijalankan mendapati kesemuanya positif dadah.

"Keempat-empat tertuduh ditahan reman sehingga 29 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Ugut bapa dengan kuku kambing


  • Ugut bapa dengan kuku kambingWan Kamaruzi (dua, kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki tergamak mengugut mencederakan bapanya menggunakan besi kuku kambing setelah gagal mendapatkan wang RM200 sebagaimana diminta untuk membeli dadah.

Tertuduh, Wan Kamaruzi Wan Sarif, 41, mengaku salah di hadapan Majistret Noradila Ab Latif atas dakwaan melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya pada 22 Mac lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh yang beralamat di Kampung Pulau Sekati, Chabang Tiga, di sini, menjalani hukuman penjara 14 hari dari tarikh sabitan dan denda sebanyak RM3,000 bayaran dalam tempoh tiga bulan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dustan Muda sementara tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman, Puteri Hikmatul Raudhah Dzulkifli.

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu, Haslinda Jusoh, 34, berada di rumah di Pulau Sekati, jam 11 pagi pada 22 Mac lalu, tertuduh yang juga suaminya mengamuk kerana bapanya, Wan Sarif Wan Jusoh, 76, tidak memberikan wang yang diminta untuk membeli dadah.

Tertuduh kemudiannya bertindak memecahkan dinding papan rumah menggunakan besi kuku kambing dan mengugut bapanya kerana enggan memberikan wang tersebut.

Bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga, Haslinda membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga.

Bertindak daripada laporan itu, tertuduh ditahan di kediamannya pada hari yang sama oleh pegawai penyiasat, Inspektor Mohammad Asri Abu Hashim bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Antara barang yang dirampas, sebatang besi kuku kambing berukuran kira-kira 84 sentimeter panjang yang diserahkan mangsa di pejabat pegawai penyiasat.

Siasatan dijalankan Inspektor Mohammad Asri mendapati, tertuduh mengaku memegang sebatang besi ketika kejadian dan telah memecahkan dinding rumah menggunakan besi itu serta telah menakutkan bapanya.

Serangan bom di pasar ragut 31 nyawa


  • Serangan bom di pasar ragut 31 nyawaParamedik bergegas menyelamatkan mangsa yang cedera.

BEIJING - CHINA. Sekurang-kurangnya 31 orang maut dan lebih 90 yang lain cedera dalam insiden letupan bom kereta di sebuah pasar di wilayah Xinjiang di barat laut China, semalam.

Menurut laporan portal kerajaan Tianshan, serangan kira-kira jam 7.50 pagi (waktu tempatan) itu berlaku selepas dua kereta merempuh masuk ke kawasan sibuk di Umruqi sebelum salah sebuah daripada kenderaan itu diletupkan.

"Penyerang yang menaiki dua buah kenderaan berkenaan bertindak merempuh masuk dan melemparkan bahan letupan hingga menyebabkan 31 orang awam terbunuh manakala 94 lagi cedera," menurut laporan itu.

Saksi kejadian juga memberitahu, dia turut mendengar bunyi beberapa letupan susulan sejurus kenderaan terbabit meletup lapor AFP.

Serangan terbaharu ini turut dianggap sebagai insiden keganasan terburuk yang menggemparkan penduduk Uighur meskipun tiada pihak mengaku bertanggung jawab setakat ini.

Menagih dadah pada usia 72 tahun


  • Menagih dadah pada usia 72 tahunTertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas denda diputuskan ke atasnya, semalam.

KOTA BHARU - Seorang warga emas yang juga bekerja sebagai penebang balak didenda RM1,000 oleh mahkamah majistret, di sini, semalam selepas mengaku salah menagih dadah pada usia 72 tahun.

Nik Lah Awang dari Kampung Setek Ketereh, di sini, mengaku salah atas tuduhan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis metamphetamine dan amphetamine di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, pada jam 6.30 petang, 24 Ogos tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Nik Habri ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, jumlah denda yang rendah itu diputuskan bukan dorongan kepada tertuduh untuk mengulangi kesilapan itu, sebaliknya motivasi supaya tertuduh berhenti daripada tabiat tersebut.

“Berhentilah, malulah kalau orang tengok dah tua pun keluar masuk lokap. Apa-apa sahaja alasan kamu, mengambil dadah tetap menjadi satu kesalahan. Sama ada untuk jadi gagah atau suka-suka sekalipun tetap salah kecuali untuk tujuan perubatan.

“Cukuplah, tidak sesuai dengan umur kamu dan bagi kepada orang-orang muda sudahlah,” katanya.

Tertuduh melalui peguam bela, Faizal Abd Rahman sebelum itu merayu hukuman dikurangkan dengan alasan menggunakan dadah itu untuk melaksanakan kerjanya sebagai penebang balak.

“Tertuduh insaf dengan kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulangi lagi lebih-lebih lagi dengan usia yang mencecah 72 tahun,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara empat bulan berkuat kuasa serta-merta jika denda gagal dijelaskan.

Campak syabu di jalan


Oleh Iskandar Shah Mohamed

Gombak: Walaupun dalam keadaan tangan bergari namun seorang penuntut kolej warga Nigeria masih sempat membuang bungkusan dadah syabu dimiliki bagi mengelak dikenakan hukuman berat.

Kejadian berlaku jam 1.30 pagi kelmarin, apabila suspek lelaki berusia awal 20-an itu ditahan pihak polis dalam serbuan di di tepi jalan sekitar kawasan Desa Jaya, Kepong di sini.


Suspek ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, serbuan dilakukan polis selepas pihaknya mendapat maklumat kawasan itu menjadi tumpuan golongan penagih dadah warga asing.


“Ketika serbuan dilakukan, suspek dilihat panik dan mahu meloloskan diri hingga menyebabkan berlaku pergelutan dengan pihak polis.


“Suspek kemudian berjaya dicekup dan digari tangannya namun dia dilihat cuba mencampakkan dadah daripada poket seluar. Tindakan itu bagaimanapun dilihat anggota polis sebelum dadah itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati bungkusan plastik lut sinar dimiliki suspek itu berisi dadah syabu dianggarkan seberat 53 gram.

Menurut Ali, lelaki itu didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan pihaknya sedang menyiasat sama ada mempunyai kaitan dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Cemas lutut tersepit ‘mulut’ longkang


Kuala Lumpur: Seorang murid perempuan sebuah sekolah rendah di Sentul di sini, menempuh detik cemas apabila kaki kirinya tersepit pada besi penutup longkang di hadapan kelasnya.
Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Sentul terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan kaki kiri mangsa berusia 12 tahun itu.
Jurucakap bomba berkata, kejadian berlaku apabila mangsa terpijak besi itu hingga menyebabkan lututnya tersangkut dan gagal keluar daripada longkang kecil berkenaan. 

Menurutnya, pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.12 pagi kemudian bergegas ke lokasi kejadian.
Foto
KAKI mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba.

“Sepasukan lima pegawai dan anggota bersama sebuah jentera diketuai Pegawai Bomba Abdul Halim Hassan tiba di sekolah itu pada jam 11.20 pagi.

“Pemeriksaan kemudian mendapati lutut mangsa tersepit pada besi penutup longkang. Kami terpaksa meletakkan minyak sebelum cuba memusingkan tubuh mangsa. Keseluruhan kaki kiri mangsa akhirnya dapat dikeluarkan dalam masa kurang tiga minit,” katanya di sini, semalam,

Menurutnya, kanak-kanak terbabit tidak mengalami kecederaan atau bengkak teruk.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Rentung kereta rempuh pokok


Serdang: Seorang lelaki mati terbakar hidup-hidup apabila kereta dipandu merempuh sebatang pokok sebelum kenderaan itu dijilat api.
Dalam kejadian jam 2.20 petang semalam, mangsa ditemui rentung sepenuhnya di tempat duduk kenderaan di Taman Kinrara, Puchong sebelum sempat menyelamatkan diri.
Seorang saksi kejadian, Mohd Hilmi Daud, 30-an berkata, dia terdengar bunyi letupan sebaik kereta dipandu mangsa terbabas melanggar pokok.
Menurutnya, dia dan beberapa orang awam cuba membantu menyelamatkan mangsa namun api terlalu marak.
“Berikutan itu kami hanya mampu menghubungi pihak bomba dan penyelamat sebelum jentera bomba tiba beberapa minit kemudian.

Bagaimanapun mangsa sudah mati terbakar di dalam kenderaan sebaik api berjaya dipadamkan.
“Kereta model Proton Wira itu musnah sama sekali, Kejadian ini amat menyedihkan kerana ia berlaku sekelip mata,” katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hisam Yasih berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadam kebakaran itu.
”Setakat ini kami masih menyiasat punca kebakaran sama ada ia berlaku sebelum atau selepas mangsa melanggar pokok.
Foto
KERETA terbabit dipercayai terbabas dan merempuh sebatang pokok sebelum terbakar.

Siasatan akan dilakukan oleh Unit Forensik Bomba dan Penyelamat,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Yong Soo Koon berkata, pihaknya masih melakukan siasatan berhubung identiti mangsa berikutan mangsa sukar dikenal pasti.
Menurutnya, tiada unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Setakat ini identiti mangsa belum dikenal pasti dan ahli keluarga mangsa masih belum membuat sebarang laporan polis.
“Berdasar maklumat awal, mangsa adalah lelaki berbangsa Cina dan berusia sekitar 40-an.

Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Mujur bas sangkut


Kuala Lumpur: Seramai 21 rakyat Malaysia terdiri daripada 13 murid berusia 10 sehingga 12 tahun bersama lima guru dan tiga sukarelawan terselamat dalam kemalangan bas di Gidgegannup, Australia Barat, malam kelmarin.
Sukarelawan, Mohd Fikri Mohd Bakri, 51, yang bersama rombongan itu berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 8.30 malam waktu tempatan ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Bayswater menuju kem penginapan di Lake Leschenaultia. 
“Kami singgah membeli makanan di Mirrabooka sebelum terbabit dengan kemalangan kira-kira 30 minit selepas memulakan perjalanan semula,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku akibat permukaan jalan raya basah ketika hujan renyai dan kabus tebal yang menghadkan penglihatan pemandu bas berkenaan yang juga penduduk tempatan sebelum terbabas dan tersangkut di benteng di lokasi kejadian.
Foto
ANTARA pelajar yang terbabit dalam nahas.

“Sebelum kemalangan, bas kami mendaki bukit dan tidak laju hanya dalam 30 kilometer sejam. Kami bernasib baik apabila bas tersangkut di benteng dan tidak terbalik sehingga terjatuh ke dalam gaung,” katanya.

Katanya, kemalangan yang turut membabitkan dua pelajar Indonesia yang menumpang bas itu untuk pulang ke kem penginapan sama, berlaku di jalan lurus yang ketika itu tidak mempunyai banyak kenderaan. 

“Walaupun tidak mengalami kecederaan serius tetapi kami semua perlu menjalani pemeriksaan di hospital. Anak saya, Mohd Azwan, 10 tahun, luka di dahi manakala semua murid dibenarkan keluar tengah hari tadi (semalam),” katanya. 

Katanya, semua mereka menjalani pemeriksaan di Hospital Diraja, Hospital Princess Margaret dan Hospital Swan District. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Ibu maut baju tersangkut lori


Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang dalam perjalanan pulang dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) ke rumahnya di Kampung Tawas, di sini, bersama anak lelakinya menaiki sebuah motosikal maut ditempat kejadian selepas digilis dan diseret sebuah lori sejauh beberapa meter. 
Sundramoorthy berkata, dia membawa ibunya ke HRPB untuk menjalani rawatan mata pada kira-kira jam 8 pagi dan semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat di kawasan kejadian, dia memperlahankan motosikalnya dan mendakwa sebuah lori datang dari belakang menghimpitnya. 

“Saya cuba brek dan mengelak, tetapi gagal...Apa boleh buat, kalau tuhan nak ambil (ibu), saya elak macam mana pun, tuhan ambil juga,” katanya sayu.
Foto
AHLI keluarga Ponnamah yang menangis ditenangkan di tempat kejadian.

Keadaan di lokasi juga menjadi kecoh dan sedih apabila beberapa ahli keluarga yang tiba di tempat kejadian meratapi kematian mangsa serta memarahi Sundramoorthy.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika mengesahkan kemalangan itu berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang anak mangsa sebaik sampai di tempat kejadian dipercayai bergesel dengan lori yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Pagar ‘makan’ tangan


Rantau Panjang: Berikutan tidak sabar dan mahu pulang awal selepas selesai menduduki peperiksaan pertengahan tahun, seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah, di sini, tertusuk jeriji besi ketika cuba melompat pagar sekolah, kelmarin.
Akibat kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Muhamad, terpaksa menahan sakit selama hampir sejam dengan lengan kirinya tersangkut pada besi pagar sekolah sebelum diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.
Difahamkan, Muhamad dan lebih 20 rakannya memanjat pagar itu kerana dihalang keluar oleh pengawal keselamatan sekolah.

Katanya, selepas semua rakan yang lain berjaya meloloskan diri, dia yang bertubuh besar memanjat pagar, namun tergelincir menyebabkan lengannya tertusuk pada jeriji besi.
“Saya sangka lengan baju tersangkut ketika memaut besi berkenaan untuk keluar, tetapi selepas beberapa ketika, baru sedar lengan ditusuk besi.
“Saya tidak sedar kerana tidak berasa sakit.
Foto
MANGSA menahan sakit sejam akibat lengan mangsa tertusuk jeriji besi.

Saya terpaksa menahan cuaca panas dan bersyukur kerana guru dan rakan membantu menenangkan saya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Parit Air, di sini, semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Tong tak cukup gas


Kuala Selangor: Helah sindiket mencuri subsidi gas petroleum cecair (LPG) yang berselindung di sebalik kilang dan ladang sawit terbongkar apabila stor simpanan barangan berkenaan diserbu anggota bahagian penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Kuala Selangor di Kawasan Perindustrian Ijok, di sini, malam tadi.
Dalam serbuan Ops Titik kira-kira jam 9 malam itu, sebanyak 1,106 tong gas 14 dan 50 kilogram (kg) bernilai RM215,612 dirampas. 
Operasi diketuai Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kuala Selangor, K Ramesh, dengan kekuatan 22 pegawai itu turut membabitkan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang disyaki penyelia stor haram berkenaan. 

Ramesh berkata, sindiket itu dipercayai mula beroperasi lebih sebulan lalu dan berdasarkan risikan pihaknya, syarikat berkenaan menggunakan pekerja asing, tetapi mereka mereka melarikan diri sebaik serbuan dilakukan.
Foto
ANGGOTA penguat kuasa memeriksa tong yang digunakan sindiket.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan membeli gas subsidi 14kg sebelum memindahkannya ke tong gas 50kg untuk kegunaan industri, sekali gus membolehkan pemiliknya mengaut keuntungan dua kali ganda untuk setiap tong.

“Berdasarkan siasatan awal, kita dapati mereka mampu mendapat keuntungan sebanyak RM100 bagi setiap tong 50kg yang dijual pada harga RM180 setiap satu dan pasaran mereka adalah di sekitar Lembah Klang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam. 

Beliau berkata, selain tong gas, pihaknya turut merampas treler yang digunakan untuk mengangkut tong gas dan empat pam motor yang digunakan untuk melakukan pemindahan gas serta barang rampasan berkenaan akan dihantar ke Stor Penyimpanan KPDNKK di Nilai, Negeri Sembilan. 


Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Saman kekasih tak pulangkan DVD


Houston: Seorang pakar teknologi maklumat memfail saman ke atas bekas teman wanitanya kerana enggan memulangkan cakera video digital (DVD) ‘Harry Potter’ selepas mereka berpisah.

Robert Wallace, 32, mendakwa dia meminjamkan DVD berkenaan kepada Nomi Mims seorang penari bogel dan sebuah komputer riba ketika mereka mula berkenalan.


Selepas berpisah pada 3 Mei lalu, Wallace meminta Nomi memulangkan wang dan barangannya, namun penari bogel terbabit enggan bekerjasama.



Kecewa dengan kedegilan Nomi, Wallace memfailkan saman di mahkamah untuk mendapatkan semula ‘haknya’ itu.


Nomi bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan mereka tidak pernah berpacaran.


“Kami cuma kawan biasa dan barangan berkenaan adalah hadiah yang diberikan Wallace untuk saya,” katanya. Berang dengan saman dikemukakan Wallace, kini Nomi bertekad untuk melawannya di mahkamah. “Ia perkara paling mengarut peran saya dengar. “Tidakkah Wallace tahu setiap bayaran dihulur kepada penari bogel tidak boleh dipulangkan semula?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Nafsu tidak kenal siapa


Dalam kalangan suspek, penyiasat mendapati mereka adalah pegawai polis New York, Ketua Polis Daerah Westchester, rahib Yahudi di Brooklyn, anggota paramedik dan pengasuh.

Seorang lelaki dari High Bridge, New Jersey, Lori Bauer, 38, pula ditahan kerana menghasil dan mengedarkan imej lucah membabitkan anaknya sendiri.
Pengarah Jabatan Siasatan Keselamatan Dalam Negeri New York, James Hayes Jr berkata, jumlah bahan bukti aktiviti eksploitasi seks dalam kalangan kanak-kanak di New York menunjukkan ia sudah menjadi ‘wabak’ di bandar raya itu.

Dalam operasi mereka, katanya, pihak berkuasa menemui ribuan imej lucah kanak-kanak disimpan di dalam komputer, telefon pintar dan bahan elektronik lain.

“Ada antara kanak-kanak terbabit baru berusia tiga tahun,” katanya. Kata Hayes Jr, jenayah dilakukan suspek sangat menjijikkan dan tidak dapat diterima akal waras.
Foto
ANTARA wajah individu ditahan penyiasat di New York.
“Kami menemui puluhan ribu imej menakutkan dan kanak-kanak terbabit digambarkan dalam keadaan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Suspek terbabit, Hayes Jr, ditahan di lima lokasi berbeza di sekitar Brooklyn dan Queens.
Sementara itu, Hakim Daerah Brooklyn, Kenneth Thompson berkata, kanak-kanak terbabit adalah mangsa penderaan seksual.

“Aksi mereka dirakam untuk menjadi sebagai hiburan manusia tanpa sifat kemanusiaan,” katanya.

Suspek Yuriy Eydelnant, 50, dituduh memasang kamera di dalam tandas rumahnya di Pulau Staten untuk merakamkan video ahli keluarganya seorang wanita berbogel sejak mangsa berusia 14 tahun.

Pihak berkuasa melancarkan siasatan ekoran penahanan Ketua Polis Mount Pleasant, Brian Fanelli di Valhalla, daerah Westchester 23 Januari lalu.

Kurang dua bulan selepas Fanelli ditahan atas tuduhan kegiatan pornografi kanak-kanak, seorang rahib di Brooklyn, Samuel Waldman, 52, yang bertugas sebagai tenaga pengajar pengajian Yahudi ditahan atas tuduhan memiliki bahan lucah kanak-kanak.

Siasatan yang dijalankan ke atas kedua-dua ‘syaitan bertopengkan manusia’ itu membongkar dalang di sebalik transaksi video dan gambar kanak-kanak melakukan seks atau dicabul oleh orang dewasa. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

Lengan tertusuk jeriji


ANGGOTA bomba menenangkan Mohamad yang menahan sakit akibat tertusuk jeriji pagar sekolah di Rantau Panjang, Kelantan semalam.


RANTAU PANJANG – Tindakan seorang pelajar bersama 20 rakannya untuk pulang sekolah lebih awal membawa padah apabila lengan kirinya tertusuk jeriji pagar sepanjang 50 sentimeter (sm) yang dipanjatnya kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, pelajar yang mahu dikenali sebagai Mohamad itu terpaksa menerima 30 jahitan selain menahan kesakitan sebelum bantuan tiba.
Anggota Bomba dan Penyelamat tiba di sekolah tersebut pada pukul 12.20 tengah hari untuk menyelamatkan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Lati, Pasir Mas dekat sini untuk diberikan rawatan.
Pasukan bomba terpaksa memotong jeriji pagar tersebut untuk menurunkan mangsa.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz32UPfNLfJ 
Hakcipta terpelihara 

4 lelaki terlepas hukuman mati


KEMPAT-EMPAT tertuduh ceria apabila terlepas hukuman gantung setelah pertuduhan terhadap mereka diubah kepada mendatangkan kecederaan di Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan semalam.



SEREMBAN – Empat lelaki terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan mereka dipenjara selama 16 tahun kerana menyebabkan kematian seorang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosman Ali Abdul, 30; Kamarudin Idrus, 56; Zaki Zahari, 21, dan anggota tentera, Mohamad Asrol Izek Md. Aris, 25, selepas kesemuanya mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Siti Mariah mengarahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.
Mengikut pertuduhan, empat lelaki itu didakwa secara bersama dengan niat menyebabkan kecederaan dan mendatangkan kematian kepada Hamzah Ab. Majib, 58, di kawasan ladang kelapa sawit Ulu Kanchong, Pedas di Rembau.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz32UP38NGb 
Hakcipta terpelihara