Search This Blog

Monday, May 19, 2014

ADUN jatuh longkang


Seremban: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang Datuk Yunus Rahmat, patah lima tulang rusuk kanan akibat terjatuh ke dalam longkang di Jalan Kuala Pilah-Seremban, berhampiran Taman Golf Height, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, beliau yang singgah di kawasan itu untuk ke kedai gunting rambut dikatakan terjatuh kerana tidak menyedari longkang berkenaan tidak mempunyai penutup.
Pembantunya, Suhaily Mohd Hashim, berkata pemandu Yunus dan orang ramai di kawasan itu segera membantu dan menghantarnya ke Hospital Pakar KPJ Seremban, di sini, untuk rawatan lanjut.
“Doktor mengesahkan lima tulang rusuk pada bahagian bawah sebelah kanan patah.
Buat masa ini, doktor belum membuat keputusan sama ada beliau perlu dibedah atau tidak.
“Bagaimanapun, keadaannya stabil dan doktor menasihatkan supaya banyak berehat bagi mengelakkan keadaan lebih buruk,” katanya ketika ditemui, semalam.
Foto
YUNUS kini menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ Seremban.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Berenang 7 jam lepas jatuh bot


Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Khairul Hamizy Ramlee
Kuala Terengganu: Seorang lelaki warga Thailand nekad berenang hampir tujuh jam selepas terjatuh dari bot di perairan Kuala Terengganu, di sini, Jumaat lalu dengan hanya berpandukan cahaya dari pelantar minyak sebelum diselamatkan.

Mangsa berusia 32 tahun itu dikatakan berenang untuk ke pelantar minyak terletak 72 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu, di sini.


Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu Kapten G Xavier Thevadas berkata, mangsa terjatuh dari bot ketika ingin membuang air kecil jam 4 pagi Jumaat lalu dan cuba berenang mengejar bot dinaikinya, tetapi gagal.

“Mangsa bernasib baik apabila terjumpa tong dan berpaut padanya. Ketika terapung, di tengah laut, mangsa melihat cahaya dari pelantar minyak sebelum berenang ke arah pelantar itu bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Wanita mati terjun tingkat 5 pangsapuri


Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Puchong: Seorang wanita berusia 40 tahun mati dipercayai akibat bunuh diri dengan terjun dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Taman Puchong Jaya, di sini, semalam.

Seorang saksi berkata, dia percaya mangsa bukan penduduk pangsapuri itu kerana dia tidak pernah melihat wanita itu sebelum ini.


“Sepanjang saya menetap di sini itu hampir tiga tahun saya tidak pernah melihatnya dan yakin dia bukan penduduk di sini,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Harian Metro difahamkan mangsa dipercayai bunuh diri dari anjung sebuah rumah di tingkat lima berdasarkan peninggalan selipar mangsa di lokasi terakhir sebelum dia ditemui mati.


Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Supritendan Yong Soo Koon ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, mayat wanita berusia 40 tahun itu ditemui kira-kira jam 2 petang dan dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.


Beliau berkata mangsa mati di tempat kejadian berdasarkan kesan cedera patah tangan kanan, kaki kanan serta tulang belakang yang mengakibatkan mangsa mati serta- merta.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Pijak mayat rakan

Soma, Turki: Murat Yokus mungkin sangat bernasib baik kerana terselamat daripada kemalangan maut di lombong arang batu beberapa hari lalu, namun apa yang dilaluinya mungkin akan kekal di ingatan.

Dalam kejadian itu Murat menyaksikan sendiri seorang demi seorang rakannya rebah dan berhenti bernafas dalam terowong dipenuhi asap berbahaya.

“Saya terpaksa memijak mayat kawan-kawan untuk menyelamatkan diri,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Lima hari selepas tragedi itu berlaku, Murat, 29, masih ingat bagaimana hari malang itu berlaku. Dia adalah seorang daripada 485 pelombong yang bernasib baik kerana belum dijemput ajal berbanding 301 pekerja lain yang meninggal dunia. Kata Murat, apa yang berlaku itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. “Saya bersiap-siap untuk keluar dan pulang apabila kami nampak asap datang.

“Mula-mula ketua pekerja mengarahkan kami menunggu tetapi kami lama-kelamaan kami hilang sabar,” katanya.

Ketika itu Murat bersama kira-kira 100 yang lain berhimpit-himpit dalam kawasan seluas 200 meter persegi di bawah tanah. Apabila mendapat tahu sebahagian daripada rakan sekerja mereka di bahagian lain lombong itu terbunuh, Murat memutuskan untuk melanggar perintah ketuanya. “Saya berkata kepada diri sendiri - saya tidak akan mati hari ini,” katanya. Dia mengambil topeng oksigen yang tidak pernah digunakannya sebelum ini dan mula berjalan. Sesekali, katanya, ketika dia menoleh ke belakang, Murat dapat melihat ramai rakannya rebah.
Foto
PEKERJA lombong berbual berhampiran sebuah tugu di bandar Soma, barat Turki.
“Mereka lemas dan menggelupur bagai haiwan yang disembelih tetapi saya menguatkan semangat dengan mengenang anak dan isteri di rumah,” katanya. Sejurus kemudian, kata Murat, dia juga pengsan namun bernasib baik kerana ditemui penyelamat dan dibawa ke luar. “Kami memang sedar bahaya yang menanti apabila menerima tawaran bekerja di lombong ini, namun apa yang berlaku di luar jangkaan,” katanya. Sementara itu seorang lagi pelombong, Erdal Bicak percaya dia ada jawapan mengapa rakan sekerjanya terbunuh dalam tragedi itu. Bagi Erdal kesalahan perlu diletakkan kepada syarikat pelombong kerana cuai. Erdal, 24, berkata syarikat pengendali lombong itu memang memiliki mesin menyukat paras gas metana dan pada hari kejadian, kandungannya terlalu tinggi.

“Syarikat itu tidak memaklumkannya kepada kami,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Budak lemas dalam baldi


Banting: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas terjatuh dalam baldi di rumahnya di Taman Pahlawan Telok Panglima Garang, di sini, semalam.
Mangsa, Mohammad Syawal Firdaus Nasir, ditemui ibunya kira-kira jam 4 petang.
Pada mulanya, mangsa dilaporkan bermain sekitar rumah sebelum dilaporkan hilang.

Ahli keluarga mangsa kemudian mencarinya di sekitar kawasan rumah sebelum menemuinya dalam baldi yang terletak di laman rumahnya.
Foto
BAPA menunjukkan bekas simpanan air tempat anaknya terjatuh. FOTO Rosdan Wahid
Foto
MUHAMMAD Syawal Firdaus.

Mangsa kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran dan diminta untuk pergi ke Hospital Banting sebelum dirujuk ke Hospital Ampang.

Rawatan lanjut di Hospital Ampang bagaimanapun gagal menyelamatkan mangsa yang kemudiannya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.30 pagi tadi.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/18

Terpesona janji kekasih


Melaka: Tolonglah pulang nak...emak rindu dan setiap masa bimbangkan keselamatan Ain,” kata seorang ibu tunggal Latifah Abd Rahman, 55, selepas anak bongsunya Nur Ain Kamaruddin, 19, menghilangkan diri dipercayai mengikut teman lelaki dipercayai berasal dari Sabah.
Latifah berkata, anaknya keluar dari rumah di Rumah Pangsa Sri Siantan, di sini, dipercayai selepas terpesona dengan janji manis teman lelakinya sejak 1 Mei lalu.
“Nur Ain bekerja di sebuah pusat beli-belah dan kali terakhir dilihat jam 6.30 petang ketika pulang ke rumah untuk mengambil kunci motosikal sebelum menghilangkan diri dan gagal dikesan sehingga kini walaupun pelbagai usaha dilakukan.
“Rakannya memberitahu melihat Nur Ain bersama rakan sekerjanya yang juga seorang lelaki Sabah berusia 23 tahun pada tengah hari sebelum kehilangannya disedari,” katanya, di sini, kelmarin.
Menurutnya, selepas kejadian itu, Nur Ain dan lelaki berkenaan tidak datang bekerja di pusat beli-belah terbabit sehingga kini.
Latifah berkata, dia percaya Nur Ain melarikan diri dari rumah kerana hasrat untuk berkahwin dengan lelaki itu yang dikenali sejak beberapa bulan lalu itu tidak dipersetujui keluarga.
“Saya tidak bersetuju kerana lelaki itu mempunyai tatu di lengan, malah ada rakan yang memaklumkan teman lelaki Nur Ain turut mengambil minuman keras.
Jadi saya kurang bersetuju dengan hasrat Nur Ain dan memintanya mencari lelaki yang lebih baik.
“Nur Ain tidak berpuas hati dengan saya dan beberapa kali menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) supaya tidak mencarinya lagi,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia 21 tahun.
Menurutnya, sejak mengenali lelaki itu, anaknya berubah sikap dan semakin tidak mendengar nasihat.
Berikutan itu, Latifah membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru, 2 Mei lalu selepas pelbagai usaha mengesan Nur Ain menemui jalan buntu.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai Nur Ain boleh menghubunginya Latifah di talian 019-6466581 atau balai polis berhampiran.
Foto
NUR Ain yang hilang sejak 1 Mei.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Doktor terpaksa panggil bomba


Kuala Lumpur: Seorang pekerja kontrak warga Indonesia terpaksa menahan azab lebih satu jam apabila jari manis tangan kanannya dihiris cincinnya sendiri akibat tersangkut pada sebatang besi.
Kejadian berlaku di sebuah tapak pembinaan di Sri Damansara, di sini, kira-kira 3.30 petang Jumaat lalu ketika Agus Suprianto, 24, melakukan kerja pembinaan di situ.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan cincinnya tertarik lalu menghiris jarinya sehingga menampakkan bahagian tulang malah sebahagian isi jarinya itu turut terkeluar.
“Saya menjerit kesakitan dan cuba mendapatkan bantuan rakan sekerja yang hanya beberapa meter dari tempat kejadian.
Saya di bawa ke klinik berdekatan sebelum dipindahkan ke Hospital Ampang,” katanya ketika ditemui di Hospital Ampang, semalam.
Katanya, dia terpaksa menahan azab selama lebih satu jam sehinggalah mendapat rawatan di Hospital Ampang apabila pihak hospital memberikan suntikan menahan sakit.
“Saya jadi tak bermaya kerana terpaksa menahan kepedihan akibat kejadian itu,” katanya.
Agus yang bertugas selama tiga tahun di negara ini berkata, dia terus dibawa ke bilik pembedahan, tetapi doktor berhadapan masalah untuk menanggalkan cincin jenis besi tahan karat itu sehingga terpaksa mendapatkan bantuan pihak bomba.
“Esoknya pihak bomba datang dan cuba menanggalkan cincin ini mengggunakan sejenis alat pemotong.

Selepas setengah jam, baru cincin itu dapat ditanggalkan,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Pandan, Pegawai Bomba Kanan II, Mustadar Sulung berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam memotong cincin berkenaan menggunakan sejenis pemotong besi khas.
Foto
METROAGUS menunjukkan jarinya yang tercedera.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Hilang nyawa cinta terlarang


Butterworth: Cinta hingga ke hujung nyawa. Itulah nasib malang menimpa seorang lelaki selepas dia dibelasah hingga mati dipercayai kerana menjalin hubungan cinta terlarang dengan seorang gadis.
Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, mangsa, B Muniandy, 37, dipercayai dibunuh abang teman wanitanya selepas mangsa mengadakan temu janji di Pantai Bersih, Bagan Ajam di sini. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mayat mangsa ditemui orang awam dalam keadaan terbaring berpakaian lengkap di tepi pantai berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam di sini. 

Beliau berkata, pemeriksaan awal dilakukan terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam di dada, rusuk kanan, luka di dahi, jari kaki dan tangan dipercayai akibat dipukul menggunakan kayu.
Foto
ANGGOTA Unit Forensik memeriksa lokasi Muniandy dibunuh di Pantai Bersih, Bagan Ajam.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan di sekitar lokasi kejadian kami turut menemui kayu disyaki digunakan untuk mermbunuh mangsa.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Menangis tunjuk baldi


Banting: “Sehari sebelum kejadian, arwah berkelakuan pelik apabila menangis sambil tangannya menunjuk ke arah baldi hitam dan baldi itulah yang kemudian meragut nyawanya.”
Demikian kata Aminah Sameon, 39, ibu kepada Mohammad Syawal Firdaus Nasir, 2, yang mati akibat lemas selepas terjatuh ke dalam baldi simpanan air di laman rumahnya di Taman Pahlawan, di sini, petang kelmarin. 
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Syawal yang juga anak bongsu dari sembilan beradik itu pada mulanya hilang tanpa disedari ahli keluarga. 

Aminah berkata, sebelum itu Syawal leka bermain seorang diri di kawasan rumah, namun disedari hilang abang mangsa yang berusia enam tahun.
Foto
NASIR dan isterinya, Aminah menunjukkan gambar dan baju yang menjadi selimut digemari anak mereka, Syawal.

Menurutnya, sebaik menyedari kehilangan Syawal, ahli keluarga terus mencarinya di sekitar kawasan rumah sebelum kanak-kanak itu dijumpai dalam keadaan kebiruan serta tidak sedarkan diri di dalam baldi di kawasan ruang luar rumahnya.

“Saya dan suami kemudian bergegas ke dua klinik berdekatan untuk mendapatkan bantuan kecemasan sebelum doktor bertugas menasihatkan merujuk ke Hospital Banting kerana klinik berkenaan tidak mempunyai kepakaran merawat kes itu. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya. 


Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Parah rempuh kereta nahas


Alor Gajah: Sepasang suami isteri parah apabila motosikal berkuasa tinggi dinaiki terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Hutan Simpan, Masjid Tanah, di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu berlaku apabila Proton Wira dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dari arah Sungai Udang ke Masjid Tanah dikatakan hilang kawalan sebaik tiba di lokasi.
Menurut sumber, kereta itu kemudian merempuh bahagian hadapan sebelah kanan Toyota Altis dinaiki H Chandrakhan, 65, bersama isterinya, R Rama, 60, dari arah bertentangan.
“Rempuhan itu mengakibatkan Toyota Altis berkenaan berpusing semula ke arah Masjid Tanah sebelum ia dirempuh motosikal jenis Kawasaki dinaiki pasangan suami isteri lingkungan 30-an terbabit dari arah sama.
“Kemalangan itu menyebabkan pasangan terbabit yang bertugas di sebuah kem tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan patah kedua-dua kaki dan cedera di badan selepas dipercayai tercampak di atas jalan raya,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, manakala pemandu dan penumpang Toyota Altis yang mengalami sakit di bahagian dada menerima rawatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah.
Foto
ORANG ramai melihat motosikal mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Sajian ghairah atas meja


Kuala Lumpur: Tarian seksi dengan hanya memakai pakaian dalam menjadi tarikan di dua pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini, yang diserbu polis Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Kuala Lumpur, kelmarin.
Dalam serbuan Op Noda kira-kira jam 9.30 malam itu 69 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan, 67 berasal dari Thailand dan masing-masing seorang dari Sepanyol dan Pakistan.
Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Bahrin Mohd Rose berkata, semua wanita itu berusia antara 24 dan 30 tahun dan ketika serbuan dua pusat hiburan itu dipenuhi lebih 50 pelanggan lelaki.

“Semua wanita yang ditahan menyalahgunakan pas lawatan sosial manakala premis hiburan itu tidak mempunyai lesen yang sah,” katanya.
Foto
ANTARA GRO warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan.

Seorang penjaga pusat hiburan itu memberitahu semua wanita warga asing terbabit menari dengan hanya berseluar dalam dan memakai coli di atas meja bagi menghiburkan pelanggan.

“Kelab buka jam 10 malam pada setiap hari, bagaimanapun tarian berahi hanya akan bermula tepat jam 12 tengah malam,” katanya yang enggan dikenali.

Menurutnya, penari akan menari selama 20 minit untuk satu sesi sebelum berehat dan disambung semula 30 minit kemudian sehinggalah jam 2 pagi sebelum premis ditutup.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Mayat tersangkut


Kuala Lumpur: Seorang lelaki mati dalam keadaan tersangkut di atas pokok selepas tercampak akibat dirempuh sebuah komuter dalam kejadian di Jalan Kuching berdekatan Kepong di sini, malam kelmarin.
Sebelum kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berusia lingkungan 30-an yang tidak dikenal pasti identiti dikatakan berjalan di laluan kereta api berkenaan secara bersendirian. 
Mangsa kemudian dilanggar sebuah komuter yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Segambut. 

Keadaan itu menyebabkan bomba terpaksa dipanggil untuk menurunkan mayat lelaki berkenaan dari pokok.
Foto
ANGGOTA bomba memotong dahan untuk mengeluarkan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan awal mendapati perlanggaran dengan komuter jenis SCS itu mengakibatkan mangsa tercampak dan tersangkut di pokok yang berada di sekitar kawasan terbabit.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

Polis buru 10 suspek gaduh kongsi gelap


2014/05/19 - 04:49:33
Klang: Polis giat mengesan 10 suspek yang terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan kongsi gelap di Taman Sentosa di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat, berkata beberapa suspek dipercayai merbahaya kerana turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes mengikut Seksyen 302, 412 dan 148 Kanun Keseksaan.


Katanya, suspek membabitkan S David, 33; S Palanivelu, 28; S Kanaveswaran, 27; P Agilan, 27; V Veerakumar, 32; A James, 35; K Porusothaman, 35; V Mahana Sunder, 35; P Gerald Nathan, 32 dan S Kartiessa, 29.
Polis percaya semua suspek masih lagi berada di negara ini dan motif pergaduhan antara dua kongsi gelap ini adalah disebabkan dendam” Kamarul Zaman Mamat, Ketua Polis Daerah Klang Selatan

Motif dendam

“Polis percaya semua suspek masih lagi berada di negara ini dan motif pergaduhan antara dua kongsi gelap ini adalah disebabkan dendam,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang maut manakala dua lagi cedera dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan kumpulan 10 hingga 15 lelaki dalam lingkungan umur 25 tahun hingga 45 tahun.
Mangsa yang maut itu baru saja menghadiri majlis kematian bapa saudaranya di kawasan berdekatan tempat kejadian.

Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu, selain merampas sepucuk pistol jenis revolver bersama lima butir peluru, dengan dua daripadanya sudah digunakan.

Kamarul berkata, dua mangsa yang cedera dalam pergaduhan itu adalah adik beradik.

“Mereka yang dalam lingkungan 30 tahun hingga 54 tahun kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan keadaan mereka stabil,” katanya.

Tiga lelaki bertopeng larikan 51 lembu


2014/05/19 - 04:57:08
Melaka Tengah: Sekumpulan lelaki melarikan 51 ekor lembu bernilai hampir RM100,000 di sebuah ladang ternakan di Kampung Baru Ayer Salak, Bukit Rambai di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, pekerja di ladang berkenaan, Chong Ah Guan, 53, sedang berehat di tingkat atas sebuah rumah berhampiran kandang lembu berkenaan, sebelum dimasuki tiga lelaki bertopeng.


Ah Guan berkata, seorang daripada tiga penjenayah itu kemudian merampas telefon bimbitnya sebelum mengarahkannya supaya diam dan tidak melawan.
Mereka mengikat kedua-dua tangan saya ke belakang dengan wayar, manakala kedua-dua kaki saya pula diikat dengan tali. Seorang daripada mereka kemudian masuk ke bilik sebelah dan merampas peralatan CCTV” Chong Ah Guan, Pekerja ladang

“Mereka mengikat kedua-dua tangan saya ke belakang dengan wayar, manakala kedua-dua kaki saya pula diikat dengan tali.

“Seorang daripada mereka kemudian masuk ke bilik sebelah dan merampas peralatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia yang baru enam bulan bekerja di situ berkata, selang beberapa minit kemudian sebuah lori besar memasuki kawasan kandang, sebelum semua penjenayah melarikan 51 daripada 60 lembu.

Pemilik lembu, Lim Aik Hock, 55, mendakwa dia kerugian hampir RM100,000 apabila 51 haiwan ternakannya itu dilarikan penjenayah.
“Bukan saja lembu yang dicuri, malah peralatan CCTV dalam bilik pekerja turut dilarikan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga sejurus selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Sallehudin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

3 rumah disamun lelaki berparang


2014/05/19 - 05:28:38
Tidak sampai tiga jam, tiga rumah di Taman Merak Mas, Bukit Katil; Taman Tay Boon Seng, Klebang Besar dan Taman Krubong Perdana, Krubong di Melaka Tengah, disamun sekumpulan lelaki berparang yang menyebabkan kerugian lebih RM74,000.

Malah dalam kejadian antara jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi Khamis lalu itu, penghuni di setiap rumah turut dibogelkan penjenayah sebelum gambar mereka dirakam. 

Vietnam, China terus tegang

Vietnam, China terus tegangAnggota keselamatan Vietnam bergelut dengan penunjuk perasaan yang melaungkan slogan anti-China ketika bantahan di Bandaraya Ho Chi Minh semalam. Gambar bawah, seorang penunjuk perasaan ditahan polis Vietnam berpakaian preman berhampiran kedutaan China di Hanoi semalam. Foto REUTERS/AFP Beijing bawa pulang 3,000 rakyat

Hanoi: Polis Vietnam menyuraikan tunjuk perasaan anti-China dengan kawalan keselamatan skala besar selepas rusuhan maut yang berpunca daripada pertelagahan wilayah dengan Beijing menakutkan pelabur asing dan pemimpin negara itu.

China bertindak memindahkan lebih daripada 3,000 warganya dari Vietnam dan sudah menghantar satu daripada lima buah kapalnya untuk membawa mereka meninggalkan negara itu.

Agensi berita Xinhua berkata, 16 daripada warga yang dipindahkan cedera teruk minggu lalu ketika keganasan tercetus susulan tindakan China menempatkan pelantar minyak di Laut China Selatan. Tunjuk perasaan itu disifatkan sebagai yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh beberapa dekad.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

ATM dipecah, RM165,000 lesap



ANGGOTA polis melakukan siasatan ke atas mesin juruwang automatik (ATM) yang dipecahkan oleh sekumpulan perompak di Jertih, Besut, semalam.
BESUT 18 Mei - Empat perompak mengambil masa kira-kira lima minit untuk memecahkan mesin juruwang automatik (ATM) sebelum melarikan wang tunai RM165,000 dari sebuah bank di Jerteh, dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian antara pukul 5.45 pagi hingga 6 pagi itu, perompak bertopeng berkenaan menggunakan kereta jenis Proton Waja untuk menarik mesin ATM keluar kira-kira 10 meter dari tempat asalnya.
Sebaik mesin ATM itu dapat diheret keluar, mereka memecahkan tempat simpanan wang kertas sebelum melarikan diri bersama habuan. Kejadian itu disedari oleh orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 6.15 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Ketika kejadian, pengawal kese­lamatan di situ dikatakan sedang solat Subuh di sebuah surau yang terletak di luar kawasan bank berkenaan.
Semasa pulang, pengawal ber­kenaan ternampak kerosakan pintu cermin bank dan mesin ATM ditinggalkan di luar kawasan bank, lalu memaklumkan kepada pihak pe­ngurusan bank yang kemudiannya menghubungi polis.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, pemeriksaan daripada kamera litar tertutup (CCTV) bank itu mendapati rompakan itu dilakukan mereka yang pakar.
Katanya, rakaman CCTV me­nunjukkan keempat-empat suspek menggunakan kabel untuk mengikat satu daripada empat ATM bank berkenaan, lalu menariknya keluar daripada ruang ATM dan memecahkan mesin itu di luar kawasan bank.
Ini merupakan kes pertama di daerah ini dan sehubungan itu satu unit khas ditubuhkan oleh IPK Terengganu untuk membanteras kegiatan merompak dan melarikan mesin ATM.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian supaya tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Besut di talian : 09-6956 222 atau Balai Polis Jerteh dinombor : 09-6971 222.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140519/je_01/ATM-dipecah-RM165000-lesap#ixzz327YUCYom
© Utusan Melayu (M) Bhd 

UPP berjaya rampas 4,050 karton rokok


SERAMAI 70 gadis pelayan pelanggan (GRO) termasuk seorang warga Sepanyol ditahan polis dalam satu serbuan di dua buah pusat hiburan yang beroperasi secara haram di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.
KOTA BHARU 18 Mei - Taktik baharu menggunakan lori ais bagi menyembunyikan kegiatan menyeludup rokok terbongkar selepas Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan berjaya merampas 4,050 karton rokok kretek dan putih bernilai RM445,500 dalam serbuan di Kampung Telok Mesira, Kubang Badak di sini, pagi semalam.
Dalam serbuan pada pukul 8.30 pagi itu, anggota unit risik UPP menemui rokok pelbagai jenama yang disembunyikan di sebalik kiub-kiub ais di dalam lori itu.
Ketua Pengarah UPP, Datuk Ab. Rahim Ismail berkata, rokok yang dirampas adalah dari jenama Luffman, Pine Apple, Pine Menthol, John White dan Diplomat Mild.
"Rokok yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM40,500 dengan cukai hampir RM405,000 serta sebuah lori bernilai RM20,000.
"Ini adalah taktik baharu (guna lori ais) penyeludup yang kita kesan bagi mengaburi mata anggota UPP. Sebelum ini, kebanyakan rampasan rokok seludup hanya melibatkan lori biasa atau lori simen.
"Kita percaya rokok-rokok keretek dan putih ini dari China untuk pasaran tempatan terutama di Kelantan dan Terengganu," katanya kepada pemberi­ta di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Bahagian Kepolisan dan Keselamatan Sempadan, Hazreen Abdul Haleem dan Komander UPP Kelantan, Rusli Karim.
Ab. Rahim memberitahu, bagaimanapun tiada tangkapan yang dibuat kerana lori ais tersebut telah ditinggalkan di hadapan sebuah pondok usang di kampung itu selepas disedari pemandu.
Dalam perkembangan lain, Ab. Rahim berkata, pasukan UPP Kelantan juga berjaya merampas kain sarung batik yang diseludup dari Thailand ke negara ini dalam serbuan di Pengkalan Haram Ayam, Lubok Gong, Rantau Panjang, Jumaat lalu.
Hasil serbuan pada pukul 11.30 malam itu, UPP merampas lima guni berisi 1,000 helai kain sarung batik bernilai RM6,000.
Tambah beliau, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140519/je_03/UPP-berjaya-rampas-4050-karton-rokok#ixzz327XwxMgB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga rumah disamun, mangsa dibogel dan dirakam gambar


MELAKA 18 Mei - Sudahlah disamun, mangsa yang berada di dalam rumah akan dibogelkan dan dirakam gambar mereka oleh kumpulan penjenayah sebagai ugutan agar kejadian itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Itu nasib yang dialami tiga keluarga apabila rumah mereka yang terletak di sekitar Melaka Tengah disamun empat penjenayah bersenjatakan parang dalam kejadian bermula pukul 6.30 pagi hingga 8.30 pagi Khamis lalu. Anggaran kerugian keseluruhan kesemua mangsa ialah RM74,000.
Menurut sumber, dalam kejadian pertama pada pukul 6.30 pagi, kumpulan penjenayah itu menyerbu sebuah rumah di Taman Merak Emas, Bukit Katil milik seorang warga emas dan melarikan barangan berharga bernilai RM12,000.
"Ketika kejadian mangsa, 68, dan isterinya, 70, telah keluar menjual sayur di pasar berhampiran perumahan mereka. Penjenayah terlibat telah bertindak mengikat adik ipar mangsa, 63, dan cucu lelaki mereka, 23, sambil membogel serta merakamkan gambar mangsa.
"Kesemua penjenayah mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menggeledah rumah tersebut sebelum melarikan wang tunai dan barang kemas," katanya.
Kata sumber itu, kejadian kedua pula berlaku pada pukul 7.15 pagi, melibatkan sebuah rumah di Taman Tay Boon Seng, Klebang milik seorang ahli perniagaan yang kerugian kira-kira RM22,000.
"Mangsa, 43, dikatakan baru pulang dari luar negara dan sedang nyenyak tidur di dalam bilik sementara isterinya telah keluar menghantar anak mereka ke sekolah.
"Mangsa juga dibogelkan dan dirakam gambar sebelum dikurung bersama pembantu rumah yang berusia 56 tahun di dalam bilik air," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140519/je_02/Tiga-rumah-disamun-mangsa-dibogel-dan-dirakam-gambar#ixzz327XA3Kwy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

70 GRO menari separuh bogel ditahan


KUALA LUMPUR 18 Mei - Seramai 70 gadis pelayan pelanggan (GRO) termasuk seorang warga Sepanyol ditahan polis dalam satu serbuan di dua buah pusat hiburan yang beroperasi secara haram di Jalan Klang Lama, di sini malam tadi.
Turut ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen( IPK), Kuala Lumpur ialah dua lelaki warga tempatan yang merupakan penjaga premis terbabit.
Difahamkan, GRO-GRO berkenaan mengadakan tarian separuh bogel di atas pentas bagi menarik lebih ramai pelanggan datang ke pusat hiburan itu.
Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Baharin Mohd. Rose berkata, mereka yang ditahan ialah 68 wanita warga Thailand dan masing-masing seorang wanita warga Sepanyol dan Pakistan berusia 20 hingga 30 tahun.
"Mereka ditahan kerana me­nyalahgunakan pas lawatan sosial, menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah serta premis berkenaan tidak mempunyai le­sen hiburan.
"Pihak kami juga telah meme­riksa seramai 54 orang pengunjung pusat hiburan ini namun dibebaskan setelah membuat semakan rekod terhadap mereka," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.
Bahrin berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralat­an audio serta beberapa keping cakera padat.
Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140519/je_04/70-GRO-menari-separuh-bogel-ditahan#ixzz327WZIW6e
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak lemas dalam tong simpanan air


BANTING 18 Mei- Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia pada pukul 3 pagi semalam akibat lemas dalam sebuah tong simpanan air di rumahnya di Teluk Panglima Garang di sini.
Kanak-kanak berusia setahun sembilan bulan itu dijumpai oleh ibunya, Aminah Samion pada pukul empat petang semalam. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140518/je_01/Kanak-kanak-lemas-dalam-tong-simpanan-air#ixzz327WOA5ix
© Utusan Melayu (M) Bhd 

China pindah 3,000 rakyatnya


Gambar bertarikh 16 Mei lalu, menunjukkan sebahagian warganegara China, tiba di Kemboja melalui lintasan sempadan Bavet di wilayah Svay Rieng. - REUTERS
BEIJING 18 Mei - Kerajaan China memindahkan lebih 3,000 rakyatnya dari Vietnam hari ini, ekoran bantahan ganas anti-China yang tercetus di negara tersebut akibat tindakan Beijing membina pelantar minyak di kawasan perairan yang menjadi rebutan kedua-dua negara.
Pemindahan tersebut dilaksanakan selepas penduduk Vietnam semalam menggesa lebih banyak tunjuk perasaan anti-China diadakan selepas rusuhan pada awal minggu ini menyaksikan dua pekerja China terbunuh dan lebih 100 lagi cedera.
Kementerian Luar China dalam kenyataannya berkata, kesemua pekerja negara ini pulang ke tanah air dengan bantuan Kedutaan China di Vietnam.
Menurut kedutaan itu, kerajaan juga akan menghantar sebuah pesawat yang disewa khas dan lima buah kapal untuk membawa pulang pekerja syarikat China 19th Metallurgical Corporation, yang terjejas teruk akibat keganasan baru-baru ini.
Terdahulu, Beijing menasihati rakyatnya agar tidak berkunjung ke Vietnam buat sementara waktu ekoran rusuhan anti-China yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh berpuluh-puluh tahun.
"Baru-baru ini, keganasan tercetus di selatan Vietnam yang menyaksikan kilang-kilang asing rosak teruk akibat menjadi sasaran perusuh selain kematian dua rakyat China.
"Sehubungan itu, rakyat dan pemilik kilang China di Vietnam turut dinasihatkan sentiasa berwaspada, meningkatkan langkah keselamatan dan mengelak daripada meninggalkan premis masing-masing," jelas Kementerian Luar melalui laman web rasminya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Vietnam memberi amaran akan menjalankan tindakan tegas bagi mengekang berlakunya lebih banyak keganasan berkaitan konflik itu.
Sepanjang minggu lalu, sebanyak 22 daripada 63 wilayah di Vietnam mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran bagi membantah tindakan China mencabuli kedaulatan negara itu di Laut China Selatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140519/lu_01/China-pindah-3000-rakyatnya#ixzz327UNxvXM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima korban baharu MERS-CoV


RIYADH 18 Mei - Arab Saudi mencatatkan lima lagi kematian akibat wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini ekoran wabak itu kepada 168 orang.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memberitahu, dua orang lelaki masing-masing berusia 67 dan 55 tahun serta seorang wanita berusia 80 tahun meninggal dunia di Jeddah, manakala satu kematian berlaku di Riyadh dan Madinah.
Selain Arab Saudi, negara lain yang turut merekodkan kes MERS-CoV adalah Mesir, Jordan, Lebanon, Belanda dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan melakukan lawatan pemeriksaan selama lima hari di negara ini bulan ini, bagi mencari langkah-langkah pencegahan mengelakkan penularan wabak tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140519/lu_05/Lima-korban-baharu-MERS-CoV#ixzz327Txn2AV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tembak mati: Sepuluh lelaki dicari bantu siasatan





KLANG - Polis menjejaki sepuluh lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan yang menyebabkan seorang lelaki maut dan dua cedera dalam kejadian di Taman Sentosa di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, kesemua individu yang dicari berusia 25 hingga 40 tahun dan dipercayai mereka masih berada dalam negara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz327TMK58O 
Hakcipta terpelihara 

Banduan merusuh tawan 122 orang termasuk ahli keluarga


Sebahagian anggota polis berkumpul di hadapan penjara Advogado Jacinto Filho, selepas banduan penjara berkenaan bertindak menawan 122 orang tebusan, kelmarin. - AGENSI
BRASILIA 18 Mei - Penghuni penjara Advogado Jacinto Filho di sini, bertindak menawan 122 orang tebusan semalam selepas beberapa tuntutan mereka tidak dilayan pihak berkuasa penjara.
Jurucakap penjara, Sandra Melo berkata, empat daripada tebusan berkenaan adalah pengawal penjara, manakala bakinya merupakan ahli keluarga banduan yang kebetulan datang melawat ke penjara yang terletak di timur laut Sergipe itu.
"Rusuhan hanya berlaku di satu bahagian penjara sahaja. Saya rasa mungkin ada kaitan dengan permintaan banduan untuk dipindahkan," jelas Melo, sambil menambah seorang pengawal penjara cedera ringan dan dua ekor anjing dibunuh ekoran rusuhan berkenaan.
Kata Melo lagi, pihaknya sudah menghubungi polis bagi menangani masalah tersebut dan rundingan bagi pembebasan tebusan disambung awal pagi ini.
Menurut laporan, antara perkara yang diminta oleh banduan berkenaan selain mahu dipindahkan, adalah mereka mahu layanan yang lebih baik diberikan oleh pihak penjara, selain waktu lawatan dipanjangkan.
Ketua Polis Sergipe, Mauricio Iunes berkata, rundingan kini sedang giat dijalankan, tetapi tidak dapat dipastikan bila masalah itu akan selesai.
"Kami percaya banduan tidak akan mencederakan ahli keluarga mereka. Namun, saya bimbang dengan keselamatan pengawal penjara yang dijadikan tebusan," ujar Iunes.
Ketika ini terdapat kira-kira 548,000 orang banduan menjalani hukuman di penjara Brazil, dengan penjara-penjara yang berada di negara tersebut hanya mampu menempatkan 340,000 banduan sahaja. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140519/lu_02/Banduan-merusuh-tawan-122-orang-termasuk-ahli-keluarga#ixzz327SGnf3q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jemaah meninggal dunia dalam penerbangan


KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas meninggal dunia dalam penerbangan pulang daripada mengerjakan umrah bersama keluarga, Jumaat lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan awal bedah siasat bagaimanapun mendapati wanita berusia 89 tahun itu negatif jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV), namun menghidap pneumonia.
Menurutnya, mangsa dikatakan mengalami sesak nafas dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur sebelum disahkan meninggal dunia.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz327RtIhUp 
Hakcipta terpelihara 

Rakyat tolak gaji minimum RM14,494 sebulan



ORANG RAMAI beratur untuk mengundi dalam satu pungutan suara semalam di Bulle, barat Switzerland.


ZURICH - Penduduk Switzerland mengundi untuk menolak gaji minimum tertinggi di dunia dalam satu pungutan suara yang diadakan semalam.
Keputusan pungutan suara itu mendapati 64 peratus pengundi menolak cadangan untuk memperkenalkan gaji minimum sebanyak 22 franc Switszerland (RM79) sejam yang diusulkan oleh dua parti politik negara itu.
Referendum semalam merupakan antara inisiatif yang akan diputuskan oleh rakyat dalam usaha menangani jurang ekonomi yang semakin luas di Switzerland.
Pada masa ini, Switzerland tidak mempunyai peraturan gaji minimum.
Upah yang diterima ditentukan menerusi kontrak pekerja dengan pihak majikan.
Para penyokong cadangan gaji minimum itu memberi alasan bayaran tersebut yang mencecah 4,000 franc (RM14,494) sebulan akan dapat mengurangkan jurang pendapatan dan memastikan para pekerja dapat menjalani kehidupan yang memuaskan.
Namun, para pengkritik memberi amaran langkah tersebut akan menjejaskan persaingan dan majikan yang boleh membawa kepada pemotongan peluang pekerjaan. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz327RgHilz 
Hakcipta terpelihara 

79 maut pertempuran di Libya


BENGHAZI 18 Mei - Sekurang-kurangnya 79 orang terbunuh, manakala 141 yang lain cedera semalam dalam satu pertempuran ganas di timur Libya melibatkan kumpulan tentera yang setia kepada bekas Jeneral tentera, Khalifa Haftar dan kumpulan militia lain dalam kejadian yang disifatkan kerajaan sebagai satu usaha rampasan kuasa.
Kerajaan sementara negara ini turut menuduh Khalifa dan penyokongnya cuba menyingkirkan kumpulan militia di timur bandar Benghazi.
Khalifa turut menggunakan pesawat pejuang dan helikopter dalam pertempuran itu.
Pegawai Kementerian Kesihatan Libya, Abdallah al-Fitouri berkata, mangsa yang cedera dibawa ke lima buah hospital berhampiran.
Kumpulan separa tentera Jeneral itu berjanji untuk terus berjuang sehingga kumpulan militia disingkirkan dari Benghazi dan mengumumkan, mereka akan menyerang sebarang pesawat yang merentasi ruang udara bandar itu.
Kerajaan sementara Libya, Parlimen dan tentera berkata, operasi yang diketuai Khalifa itu disifatkan sebagai usaha merampas kuasa kerajaan pusat.
"Tindakannya itu adalah satu cubaan rampasan kuasa, dan semua yang terlibat dalam hal ini akan didakwa," kata Presiden Kongres Agung Kebangsaan, Nuri Abu Sahmein menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Khalifa menafikan dakwaan rampasan kuasa itu.
"Operasi ini bukan satu usaha rampasan kuasa, sebaliknya dilaksanakan untuk menentang keganasan di Libya," katanya yang turut mendakwa, kerajaan gagal mengembalikan keamanan di negara ini.
Februari lalu, Khalifa mencetuskan kontroversi rampasan kuasa apabila beliau mengumumkan mahu menggantung kerajaan sementara dan Parlimen, namun pihak kerajaan menegaskan, hal tersebut tidak akan berlaku.
Khalifa pernah menjadi komander kepada tentera diktator, Muammar Gaddafi dalam pemberontakan pada 2011 dan kumpulan tentera di bawah kawalannya dikatakan dibiayai oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dari Amerika Syarikat (AS). - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140519/lu_04/79-maut-pertempuran-di-Libya#ixzz327QwaAEg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki masuk kain aktres



AKSI Sediuk yang memasukkan kepalanya ke dalam kain yang dipakai Ferrera pada Festival Filem Cannes di Perancis pada Jumaat lalu.


CANNES, Perancis - Aktres terkenal, America Ferrera terkejut selepas seorang lelaki masuk ke dalam kain yang dipakainya ketika menghadiri Festival Filem Cannes di sini pada Jumaat lalu.
Lelaki dari Ukraine tersebut, Vitalii Sediuk merangkak dan memasukkan kepalanya ke dalam kain Ferrera ketika wanita itu bersama beberapa artis lain bergambar pada acara karpet merah.
Beberapa pengawal keselamatan yang menyaksikan perkara itu bertindak menarik Sediuk tetapi lelaki berkenaan terus memegang kaki Ferrera menyebabkan aktres tersebut terkejut.
Ferrera, 30, yang mempromosikan filem terbarunya, How to Train Your Dragon 2 kelihatan tenang dan mampu tersenyum selepas kejadian itu.
Sediuk sebelum ini pernah dihukum penjara kerana suka membuat lawak dengan beberapa artis terkenal termasuklah Bradley Cooper, Leonardo DiCaprio dan Adele.
Dia juga pernah ditampar aktor terkenal, Will Smith apabila cuba mencium pelakon itu ketika tayangan perdana filem Men in Black III di Moscow, Rusia pada tahun 2012. - Agensi

11 pesalah trafik ditahan, 44 motosikal disita


2014/05/19 - 04:52:34
Kuala Lumpur: Sebelas pesalah trafik yang memiliki waran tangkap ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar ibu negara, malam semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata dalam operasi empat jam bermula 9 malam di empat lokasi itu, pihak berkuasa memeriksa 994 kenderaan dan mengeluarkan 257 saman atas pelbagai kesalahan termasuk 26 kerana menggunakan cermin gelap.


Dua ditahan pengaruh alkohol

Selain itu, katanya, pihaknya menahan dua orang selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Sepanjang operasi, kami turut menyita 44 motosikal atas pelbagai kesalahan, antaranya pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi dan bunyi terlalu bising.

“Seramai 25 pemandu dan penunggang motosikal pula ditahan kerana positif dadah, ” katanya kepada pemberita selepas operasi itu bersama dengan Cawangan Trafik Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Operasi di Dataran Merdeka, Jalan Tun Perak, Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail itu dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
Wan Abdul Bari berkata, JAS mengeluarkan saman ke atas lapan pemandu kerana kenderaan mengeluarkan bunyi bising dan dua saman kerana ekzos melepaskan asap berlebihan.

Katanya, selain menyaman ke atas pemilik kenderaan bercermin gelap, JPJ mengeluarkan 124 notis arahan kepada pemandu supaya membawa kenderaan masing-masing ke JPJ untuk pemeriksaan,” katanya.

Pelajar tak boleh lelap mata


MOIS


JEMPOL – Seorang pelajar tingkatan empat yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan tiga rakannya di Jalan Besar Felda Palong 9, 10, dan 11 dekat sini Jumaat lalu tidak boleh melelapkan mata kerana terbayang-bayangkan wajah ketiga-tiga mangsa itu.
Mohd. Mois Ikmal Mohd. Nasir, 16, berkata, dia kerap terbayang wajah-wajah Syahreedzwan Mohmad H. Abdullah, 17, Mohamad Aflin Norirfan Md. Jani, 15, dan Muhammad Faizal Jamalludin, 13, yang sebelum kemalangan cukup ceria.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz327OGaXoA 
Hakcipta terpelihara 

Bekas jeneral Libya dituduh rancang rampas kuasa


SEORANG lelaki melihat sebuah gudang yang musnah akibat pertempuran di Benghazi, Libya pada Jumaat lalu.


BENGHAZI, Libya - Seramai 79 maut dan 141 lagi cedera dalam satu pertempuran antara kumpulan bersenjata yang setia dengan bekas jeneral tentera Libya, Khalifa Haftar (gambar kecil) dan kumpulan militan Islam di bandar ini, kata seorang pegawai kelmarin.
Kerajaan Libya juga turut menuduh bekas jeneral tersebut dan kumpulan bersenjata pimpinannya merancang untuk merampas kuasa apabila mereka cuba menumpaskan kumpulan militan di bandar berkenaan.
Haftar yang mengetuai pasukan pemberontak yang menumbangkan diktator Muammar Gaddafi pada 2011 menggunakan pesawat pejuang dan helikopter dalam membantu serangan di Benghazi itu.
Seorang pegawai di Kementerian Kesihatan, Abdallah al-Fitouri berkata, pertempuran yang bermula Jumaat lalu itu menyebabkan seramai 79 orang maut.
Katanya, semua yang cedera dibawa ke lima buah hospital di bandar tersebut.
Tentera Libya dalam satu kenyataan memberitahu bahawa, pihaknya telah menguatkuasakan satu larangan terbang di Benghazi dan kawasan pinggir bandar serta akan menembak jatuh mana-mana pesawat yang melanggar arahan tersebut.
Kerajaan, Parlimen dan tentera Libya turut mendakwa tindakan Haftar itu umpama satu ancaman untuk membuat satu rampasan kuasa terhadap kerajaan pusat. - AFP