Search This Blog

Sunday, May 18, 2014

Mayat lelaki dengan kesan lebam, luka ditemui di Pantai Bersih



18/05/2014 4:58pm

BUTTERWORTH - Seorang lelaki ditemui mati di kawasan Pantai Bersih, di sini pagi tadi dengan kesan kecederaan di bahagian kepala dipercayai dibunuh.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai B. Muniandy, 37, ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira pukul 11 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mangsa yang merupakan seorang penganggur itu dipercayai mati antara lima hingga enam jam sebelum mayatnya ditemui berdasarkan keadaan mayat yang masih elok. - KOSMO!



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_08.htm#ixzz324LogBnT
Hakcipta terpelihara 

Pekerja MBI maut dipaksa minum racun


2014/05/18 - 06:15:57
Ipoh: Seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) maut ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam, dipercayai selepas dipaksa meminum racun oleh tiga individu tidak dikenali, berhampiran kuil di Taman Falim Indah, di sini.

Difahamkan, kejadian pada Khamis lalu, kira-kira jam 6.10 pagi itu, M Anathan, 43, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sini sebelum dihampiri tiga lelaki menaiki dua motosikal.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata suspek berpura-pura menyamar sebagai anggota polis.

Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit dikatakan mendesak mangsa mengeluarkan kad pengenalan namun mangsa enggan kerana syak sesuatu yang tidak kena.

Beliau berkata, tindakan mangsa menimbulkan ketegangan hingga memaksa salah seorang suspek mengeluarkan pisau dan bertindak kasar. Mangsa juga didakwa diarah mengeluarkan wang yang ada manakala kedua-dua tangannya dipegang.

“Kemudian seorang daripada suspek mengeluarkan botol dipercayai mengandungi racun dan menuangkan ke dalam mulut mangsa. Ketiga-tiga suspek melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM100,” katanya.

Chang Keong berkata, mangsa bergegas ke HRPB bagi mendapatkan rawatan lanjut dan ketika itu keadaannya sudah kritikal.
“Mangsa dilaporkan mati di HRPB pada jam 5.16 pagi semalam dan siasatan awal mendapati racun digunakan mangsa adalah dari jenis ‘paraquat’,” katanya.

Taktik pusat karaoke tak menjadi


2014/05/18 - 06:23:43
Kota Bharu: Kegiatan karaoke haram di Kelantan menggunakan taktik baharu dengan menjadikan sebuah premis kosong sebagai pusat berkenaan dan hanya akan dibuka apabila mendapat permintaan daripada pelanggan.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dihidu pihak berkuasa, apabila polis dari Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), menyerbu pusat itu.


Dalam serbuan jam 12 tengah malam kelmarin, dua perempuan dan seorang lelaki leka berhibur di pusat karaoke haram di Kubang Kerian, di sini, tergamam apabila pihak berkuasa menyerbu pusat itu.

Operasi tanpa lesen

Ketua Turus Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) IPK Kelantan, Asisten Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya, berkata dalam serbuan itu, polis turut menahan pemilik premis terbabit berusia 54 tahun.

“Hasil risikan pihak berkuasa, pemilik premis terbabit mula menjalankan kegiatan tanpa lesen ini kira-kira sebulan lalu dan hanya membenarkan pelanggan dikenali dengan dikenakan bayaran sewa tertentu dibenarkan masuk bagi mengelakkan kegiatannya dikesan,” katanya.

Beliau berkata, pemilik premis itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Kelantan kerana menjalankan kegiatan hiburan tanpa permit sah, manakala tiga pelanggan premis terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan.
Tuntut kerjasama semua

“Selain itu, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk karaoke haram itu, antaranya televisyen, lima pembesar suara serta pemain digital video, yang semuanya dianggarkan RM5,000.

“Orang awam, terutama masyarakat setempat diminta sentiasa menyalurkan maklumat kegiatan haram ini dalam usaha pihak berkuasa membanteras kewujudan pusat karaoke haram daripada berleluasa di Kelantan,” katanya.

Murid Tahun Dua mati lemas ketika berkelah di Sungai Lembing


2014/05/18 - 18:52:37
Tweet
KUANTAN: Seorang murid lelaki ditemui mati lemas ketika berkelah bersama anggota keluarganya sempena cuti hujung minggu di tapak perkelahan Pasir Kubur, dekat Kampung Kuala Kenau, Sungai Lembing, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mayat Mohd Adam Haris Abd Aziz, 8, ditemui anggota keluarganya pada jam 3.20 petang tadi.


"Sebelum itu, mangsa dikatakan hilang ketika mandi di kawasan berkenaan, anggota keluarganya bertindak mencari mangsa, sebelum menemuinya mati lemas," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat. - BERNAMA 

Suri rumah buat laporan polis dakwa suami cedera dalam tahanan





18/05/2014 5:01pm

IPOH - Seorang suri rumah hari ini membuat laporan polis mendakwa suaminya cedera semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

M. Pushpa, 37, yang ditemani peguamnya M. Kulasegaran membuat laporan itu di IPD berkenaan pada 12.40 tengah hari.

Beliau berkata, polis telah memaklumkan suaminya S.Selvakumar, 38, dimasukkan ke di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun dan kini masih tidak sedarkan diri, sejak Rabu.

"Saya masih ragu-ragu dengan perkhabaran tersebut dan keesokan harinya telah ke Mahkamah Ipoh untuk memastikan sama ada suami saya berada di hospital atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Selvakumar, ditahan pada 6 Mei lepas kerana disyaki terlibat dalam kes dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut akan dijalankan. - Bernama



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_09.htm#ixzz324KRE4jl
Hakcipta terpelihara 

Kanak-kanak meninggal dunia akibat lemas dalam tong simpanan air





18/05/2014 2:58pm

KUALA LANGAT - Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia pada pukul 3 pagi hari ini akibat lemas dalam sebuah tong simpanan air di rumahnya di Teluk Panglima Garang di sini, semalam.

Kanak-kanak yang berusia setahun sembilan bulan itu, Mohamad Syawal Firdaus Nasir dijumpai oleh ibunya, Aminah Samion pada pukul empat petang semalam. - KOSMO!



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_07.htm#ixzz324KAcJKN
Hakcipta terpelihara 

Tiga lelaki ditahan bantu kes penemuan mayat di Pantai Bersih


2014/05/18 - 18:16:19 PM
BUTTERWORTH: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di belakang restoran makanan laut di persisiran Pantai Bersih di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, kesemua suspek berusia 20-an itu ditahan di Butterworth beberapa jam selepas mayat mangsa ditemui jam 11 pagi ini.


"Motif kejadian dipercayai berkaitan dengan seorang daripada suspek yang ditahan tidak berpuas hati dan marah dengan mangsa kerana bercinta dengan adik perempuannya berusia 20-an.

"Berikutan itu, suspek bersama-sama enam hingga tujuh rakannya disyaki bertindak memukul mangsa di tempat kejadian lewat malam tadi, dan kami turut menemui kayu yang digunakan mereka," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata polis kini memburu beberapa lagi rakan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

"Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pukul itu memang tinggal di sekitar Butterworth dan usaha mengesan mereka giat dijalankan," katanya.

Dalam kejadian itu, B. Muniandy, 37, ditemui mati dengan beberapa kesan luka di dahi dan jari selain lebam di dada serta rusuk kanan. - BERNAMA 

Remaja lelaki dikhuatiri lemas di Lata Jarum, Raub


2014/05/18 - 19:03:22 PM
KUANTAN: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di Air Terjun Lata Jarum dekat Ulu Dong, Raub hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Shamsudin Wan Osman berkata, Muhammad Fikri Fadzli, 18, berasal dari Taman Teratai, Kampung Marhum, Pekan dikhuatiri lemas ketika mandi di tapak rekreasi itu pada 1.15 tengah hari tadi.


"Polis menerima maklumat berkenaan pada 2.30 petang tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian selain turut memaklumkan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Raub.

"Menurut rakan mangsa, dia dipercayai mandi di kawasan tengah air terjun di situ seorang diri sebelum rakannya mendapati mangsa hilang secara tiba-tiba," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada 30 anggota termasuk polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam sedang dijalankan. - BERNAMA 

Keseronokan berakhir dengan tragedi


NURULATIQ AHMAD BANDI
18 Mei 2014


Tragedi di Festival Belia Operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

PORT DICKSON - Keseronokan sekumpulan belia menghadiri Festival Belia peringkat Negeri Sembilan di Port Dickson, semalam berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya hilang dipercayai lemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang di Pantai Batu 1 Port Dickson itu, mangsa Muhammad Shazwan Abdullah, 20, hilang, sementara tiga daripada 10 rakannya yang turut bermandi manda berjaya diselamatkan pemandu jet ski.

Muhammad Syazwan, ahli Persatuan Belia 4B, Kampung Kepis Hilir datang ke Festival Belia bersama 39 lagi ahli persatuan terbabit dengan menaiki bas dan tiba di Port Dickson jam 10.30 pagi.

Menurut salah seorang mangsa yang terselamat, Mohd Norashraf Norrahman, 18, sekitar jam 2 petang, dia dan rakan-rakan turun ke pantai untuk mandi, dan ketika itu air surut.

"Sedang asyik bermandi manda, air naik paras dada secara tiba-tiba dan kaki kami tidak jejak tanah sebelum ada pemandu jet ski yang kebetulan berada di lokasi menghulurkan jaket dan pelampung keselamatan.

"Namun mangsa gagal diselamatkan walaupun ketika itu pemandu jet ski terbabit sempat mencapai tangannya," katanya yang masih trauma dan sedih dengan kejadian itu.

Sementara abang mangsa, Nor Sham Abdullah memberitahu, adiknya yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu sebelum ini tidak berminat untuk menyertai rombongan berkenaan.

“Pagi tadi (semalam) baru Shazwan menyatakan hasrat untuk turut serta ke festival ini.

"Ketika kejadian, seorang lagi adik saya, Amy Ikmal, 27, yang menyertai rombongan itu turut sama mandi tetapi hanya di kawasan persisiran pantai sahaja,” katanya.

Difahamkan sehingga jam 7 petang semalam, operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Port Dickson belum menemui mayat mangsa.

Dalam pada itu, Pengarah Bomba Negeri, Norazam Khamis berkata, operasi mencari dan menyelamat segera dilakukan sebaik sahaja menerima laporan berkenaan kejadian.

“Setakat ini seorang mangsa dilaporkan masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat dilakukan di semua kawasan yang ada kemungkinan mangsa boleh ditemui,” katanya.

Setakat jam 8.30 malam mangsa masih belum ditemui.

Empat lelaki bertopeng larikan mesin ATM


18 Mei 2014
BESUT - Sekumpulan empat lelaki bertopeng mengambil masa lima minit untuk melarikan dan memecahkan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) kepunyaan Bank Rakyat Cawangan Jerteh di sini awal hari ini.
   
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Asistant Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata kejadian yang berlaku antara jam 5.45 hingga 6 pagi itu menyebabkan bank terbabit kehilangan kira-kira RM160,000 dari mesin berkenaan.
   
Katanya, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan keempat-empat suspek memakai topeng muka itu menggunakan kabel untuk mengikat satu daripada empat ATM bank berkenaan sebelum menariknya keluar daripada ruang ATM dengan menggunakan kereta dan memecahkan mesin itu di luar kawasan bank.
   
"Semasa kejadian pengawal keselamatan bank berkenaan sedang solat subuh di sebuah surau yang terletak di luar kawasan bank berkenaan," katanya.
 
Katanya, pengawal berkenaan yang pulang daripada menunaikan solat ternampak kerosakan pintu cermin bank dan mesin ATM ditinggalkan di luar kawasan bank sebelum menghubungi pihak pengurusan bank yang kemudiannya menghubungi polis.
   
Wan Abdul Aziz berkata pihaknya percaya rompakan itu dilakukan golongan pakar yang pernah melakukan perbuatan seumpama itu sebelum ini.
   
Katanya ini merupakan kejadian pertama melarikan mesin ATM di Besut dan sehubungan itu satu unit khas ditubuhkan oleh IPK Terengganu untuk membanteras kegiatan merompak dan melarikan mesin ATM.
   
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu pejabat Polis Besut 09-6956222 atau Balai Polis Jerteh 09-6971222. - Bernama

Ops Noda: 23 GRO dicekup dalam serbuan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Ops Noda: 23 GRO dicekup dalam serbuan
Wanita warga asing salah guna pas lawatan untuk menjadi GRO 
18 Mei 2014
KUALA LUMPUR – Seramai 23 pelayan pelanggan (GRO) dicekup dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman di sebuah bar di Jalan Medan Putra, dekat sini, kelmarin.

Ketua Operasi, Inspektor Mohammad Mohd Jais berkata, operasi jam 11 malam melibatkan dua pegawai dan enam anggota.

Menurutnya, dari jumlah tangkapan tersebut, empat daripadanya adalah warga tempatan.

“Selebihnya adalah 17 warga Vietnam dan dua warga Myanmar. Mereka berusia 16 hingga 33 tahun.

“Siasatan awal mendapati tiga daripada mereka tidak mempunyai pasport, manakala yang lain ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Beliau berkata, ketika serbuan, didapati kesemua GRO berkenaan sedang leka melayan pelanggan masing-masing.

Katanya lagi, risikan selama satu minggu ini mendapati, harga sekitar RM450 hingga RM600 untuk tempoh enam jam bagi pelanggan yang ingin menempah khidmat GRO ini.

“Kita turut menahan 25 pelanggan dan seorang pengurus warga tempatan berusia 42 tahun,” katanya.

Mohammad berkata, premis ini juga mempersembahkan ‘sexy dance’  seminggu sekali untuk menarik perhatian pengunjung.

Roket Rusia terhempas

Roket Rusia terhempas
 Stesen televisyen tempatan turut menyiarkan insidencemas itu secara langsung. 
17 Mei 2014MOSCOW - RUSIA. Roket Proton milik Rusia yang membawa sebuah satelit komunikasi canggih dilaporkan terhempas sejurus selepas ia dilancarkan, menurut media tempatan, semalam.

Rakaman televisyen tempatan turut memaparkan detik cemas di mana Proton dan satelit Express-AM4P yang bernilai AS$29 juta (RM94 juta) terbakar ketika ia berada di lapisan teratas atmosfera di Lautan Pasifik.

Sementara itu, jurucakap Agensi Angkasa Persekutuan Roscosmos memaklumkan enjin kawalan roket tersebut mengalami masalah selepas 545 saat ia dilancarkan dari pusat angkasa Baikonur di Kazakhstan.

"Kami telah membentuk satu suruhanjaya khas untuk menganalisis data telemetrik dan mengetahui punca kemalangan tersebut," katanya kepada AFP.

Difahamkan, satelit itu bertujuan untuk menyediakan akses internet lebih meluas di wilayah Rusia.

Maut terjatuh tingkat empat

WARTAWAN SINAR HARIAN
Maut terjatuh tingkat empat
Mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala maut di tempat kejadian, semalam. 
17 Mei 2014
ALOR SETAR - Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah hotel di Bandar Baru Mergong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, difahamkan mangsa, Wong Wei Liong, 29, berasal dari Tampin, Negeri Sembilan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Menurut saksi yang enggan dikenali berkata, kejadian itu disedari orang awam yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, berhampiran mayat mangsa juga didapati terdapat sebuah beg yang mengandungi beberapa helai baju.

“Difahamkan mangsa mungkin terjatuh dari tingkat empat hotel berdasarkan kedudukan mayat dan keadaan tingkap di tingkat tersebut yang terbuka,” katanya.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Kota Setar,  Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, menurut rekod daripada pihak hotel mangsa bukan penghuni di hotel berkenaan.

“Siasatan awal dalam kes ini mendapati tiada unsur kejadian jenayah dan pihak polis sedang menyiasat dari pelbagai sudut,” katanya.

Bil tunggakan cecah RM52,614

NOR AZIHAN MD GHAZALI
Bil tunggakan cecah RM52,614
Kamal Batca menunjukkan bil Syabas yang dihantar kepada penduduk berjumlah RM52,614.25 dan laporan polis yang dibuat hampir 30 keluarga penghuni apartmen berkenaan, semalam.
18 Mei 2014
 KLANG - Penghuni Apartmen Taman Mesra, Kampung Jawa meminta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak memotong bekalan air di situ walaupun tunggakan bil kini berjumlah RM52,614.25.

Wakil penduduk yang juga Ahli Majlis Zon N49 (B) Andalas, Kamal Batca N M R Noor Mohideen berkata, penduduk kini hidup dalam keresahan sejak menerima surat daripada Syabas berkenaan pemotongan bekalan air.

“Memang sudah menjadi tanggungjawab Syabas mengambil tindakan yang sepatutnya di atas kegagalan itu, bagaimanapun penduduk yang menjadi mangsa selepas pengurusan didakwa lepas tangan.

“Sebelum ini, wujud sebuah syarikat bertanggungjawab mengutip bayaran bil air daripada penduduk. Namun sejak tahun ini, syarikat itu disyaki tidak lagi menjalankan tugas berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, penduduk hanya menyedari tunggakan itu selepas menerima surat peringatan berkenaan pemotongan air daripada Syabas.

“Penduduk risau kalau-kalau Syabas benar-benar buat pemotongan dalam masa terdekat. Ia akan menjejaskan 95 keluarga di sini.

“Kita akui ada di kalangan penghuni yang gagal menjelaskan bil air kepada pihak syarikat yang membuat kutipan, tapi syarikat berkenaan yang harus melunaskan bayaran bil kepada Syabas memandangkan bil atas nama syarikat,” katanya.

Beliau mendakwa, syarikat yang bertanggungjawab itu sudah lepas tangan dan kini penduduk terpaksa menanggung beban.

“Kami ingin tahu ke mana perginya wang hasil kutipan daripada penduduk oleh syarikat itu,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, penduduk mohon dilaksanakan pemasangan meter individu di apartmen terbabit.

“Syabas juga diminta mengutip bayaran bagi bil itu daripada syarikat berkenaan dan bukannya penduduk,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan penduduk memaksa mereka membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan malam semalam terhadap Syabas yang didakwa bakal membuat pemotongan bekalan air ke situ.

Dalam pada itu, Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, notis daripada pihak Syabas sudah diberi dan Selasa ini, akaun tersebut akan dipotong.

“Kita sudah bagi dua program ansuran dan ansuran kali kedua bermula dari Mac 2014. Ia membabitkan bayaran bulanan 1,000 bersama bil semasa.

“Pihak berkenaan juga gagal membayar bil semasa bagi April berjumlah RM7,000, bagaimanapun ansuran sudah dibayar sebanyak RM1000,” katanya.

Menurutnya, bagi mengelak bekalan air daripada dipotong, pihak bertanggungjawab harus membayar bil bagi April berjumlah RM7,000.

'Ini kubur aku, itu kubur engkau...'

NORAFIDAH ASSAN
‘Ini kubur aku, itu kubur engkau...’
Ketiga-tiga mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam Felda Palong 13, semalam. 
18 Mei 2014
JEMPOL - Ini kubur aku, itu kubur engkau...

"Itu antara ayat gurauan mereka ketika sibuk membersihkan kubur. Namun, kami tidak sangka gurauan itu menjadi kenyataan,” kata Jumari Jamalludin, 29, abang salah seorang daripada tiga mangsa kemalangan yang maut dekat sini, kelmarin.

Menurut Jumari, mangsa bergurau memilih kubur masing-masing ketika gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan Islam Felda Palong 13, anjuran belia kawasan berkenaan pada waktu petang sebelum kejadian.

Muhammad Faizal Jamalludin, 14, Mohamad Aflin Norirfan Md Jani, 15 dan Muhammad Syahreedzwan Mohmad Abdullah, 17, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Felda Palong Sembilan.

Seorang lagi rakan mereka, Mohd Mois Ikmal Mohd Nasir, 16, cedera parah dan dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Jumari, abang ketiga Muhammad Faizal berkata, adiknya bersama dua lagi rakannya itu sememangnya berkawan rapat sejak kecil walaupun umur mereka berbeza.

“Mereka memilih satu kawasan lapang dekat dengan pokok di tanah perkuburan terbabit sambil menunjukkan lokasi kubur tempat mereka bakal dikebumikan kelak,” katanya.

Menurut abang kedua Muhammad Faizal, Rosdi, 31, dan ibu mereka, Asiah Roslan, 46, adik bongsu daripada lima beradik itu, tidak banyak bercakap seminggu sebelum kejadian.

“Adik memang seorang yang ceria dan periang, cuma sejak seminggu lalu dia lebih banyak mendiamkan diri.

"Petang sebelum insiden juga, adik bersama dua rakannya itu kelihatan gembira sambil membawa motosikal dengan gerabak pembawa sawit, mengelilingi kawasan kampung,” katanya.

Difahamkan, semua mangsa yang maut merupakan anak bongsu dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Palong 11.

Jenazah ketiga-tiga mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 13.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, ketika kejadian  jam 9.30 malam, semua mangsa menaiki motosikal secara berasingan.

“Tiga motosikal yang dinaiki   kesemua mangsa datang dari arah jalan Felda Palong 16, manakala sebuah lagi motosikal yang dinaiki oleh Muhammad Faizal datang dari laluan bertentangan. Tiba di tempat kejadian kenderaan dinaiki semua mangsa bertembung antara satu sama lain.

“Akibatnya, tiga mangsa maut ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda Palong Sembilan, dan seorang lagi cedera parah. Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing," katanya.

Mayat pada dahan pokok

NUR FARHANA ABDUL MANAN
Mayat pada dahan pokok
Mayat mangsa dibawa ke tebing oleh anggota bomba dan penyelamat. 
18 Mei 2014
PUCHONG – Gempar apabila mayat seorang lelaki yang sudah berulat dan dihurung lalat ditemui tersangkut pada dahan sebuah pokok, merentasi sungai berhampiran Kelab Golf Bandar Kinrara, di sini, petang semalam.

Lengkap berpakaian, mangsa dikenali dengan nama Sholehan dari Batam, Indonesia dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lalu.

Telinganya reput dan terdapat beberapa kesan luka di kepala dan juga pergelangan siku.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Pegawai Bomba Kanan II, Saim Tamam berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 2.30 petang sebelum sepasukan anggota bersama satu jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Setiba di kawasan kejadian, mayat didapati masih berada di dahan pokok dalam keadaan tertiarap.

Aliran air sungai yang deras menyebabkan pihaknya terpaksa menggunakan tali mengikat perut mangsa untuk membawanya ke tebing.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, pemangku  Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Yong Soo Koon berkata, mangsa memakai kemeja T berwarna kuning, seluar berwarna hitam dan memakai beg lilit di pinggangnya.

Keadaan seluar mangsa terkoyak hingga ke bahagian paha dipercayai terkena dahan dan sampah yang berada dalam sungai.

Hasil siasatan berdasarkan keadaan tubuh badan, mangsa dipercayai sudah beberapa hari berada dalam sungai tersebut.

“Kita percaya mangsa terjatuh dan dihanyutkan air sungai. Punca kematian sebenar perlu tunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Mayat mangsa semalam dihantar ke Hospital Serdang dan bedah siasat dijangka dilakukan esok.

Gempa kuat landa Pantai Barat Utara Sumatra


18 Mei 2014

KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter berlaku di Pantai Barat Utara Sumatra, Indonesia pada 9.02 pagi ini.
   
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa berpusat di 307km barat daya Banda Acheh, Indonesia dan 817km barat daya Langkawi, Kedah.

Gempa berkenaan tidak mendatangkan sebarang ancaman tsunami. - Bernama

Mayat remaja lemas semalam ditemui pagi ini


18 Mei 2014

PORT DICKSON - Mayat seorang remaja yang lemas ketika mandi bersama rakannya di Pantai Batu 1 di sini, semalam, ditemui hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, mayat Muhammad Shazwan Abdullah, 20, ditemui pada 11.15 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di dasar laut, tidak jauh dari lokasi mangsa itu hilang.

"Mangsa dilaporkan hilang 2.45 petang semalam dan ekoran itu operasi SAR membabitkan pihak bomba dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah dijalankan, namun ditangguhkan pukul 7 malam, sebelum disambung semula pukul 9 pagi tadi," katanya ketika dihubungi.

Katanya mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

Mangsa adalah anggota Belia 4B Kampung Kepis Hilir, Kuala Pilah dan datang ke pantai itu bersama rakannya untuk menghadiri majlis perasmian Festival Belia Negeri Sembilan 2014 di situ pada pukul 4 petang semalam. - Bernama

Hanya mampu jerit minta tolong

ERMA YUSNIDA JUSOH
Hanya mampu jerit minta tolong
Wan Hindun menceritakan kejadian itu kepada Abdul Manan dan Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar. 
18 Mei 2014
KUANTAN - Seorang warga emas di sini hanya mampu menjerit meminta tolong sebaik sahaja melihat api marak dengan cepat dari bahagian dapur rumahnya di Kampung Permatang Badak.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Wan Hindun Wan Hassan, 74, berkata, dia berada di rumah jiran kira-kira 10 meter dari rumahnya.

Menurutnya, ketika sedang rancak berbual, dia melihat api menjulang tinggi dari bahagian dapur sebelum menjerit meminta tolong.

“Makcik tak sempat selamatkan apa-apa tapi jiran-jiran sempat menyelamatkan motosikal yang berada di garaj.

“Selebihnya tiada apa-apa yang tinggal, semuanya musnah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Wan Hindun yang tinggal bersama anak bongsu dan tiga cucu di rumah itu bagaimana pun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

Anak bongsunya, Wan Muhadariyah Wan Mustafa, 36, berkata, dia sekeluarga tiada di rumah ketika kejadian kerana menghadiri Program Hari Keluarga di Taman Gelora.

Katanya, dia mendapat panggilan telefon daripada kakak ipar, Wan Zubaidah Wan Zainal Abidin dan bergegas pulang untuk melihat keadaan rumah.

“Luluh hati saya melihat rumah pusaka musnah dalam kebakaran. Tetapi nasib baik mak saya selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba Indera Mahkota, Mohd Najib Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.17 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama tiga jentera bomba.

“Kebakaran dapat dikawal dalam masa setengah jam daripada merebak ke rumah terdekat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang turut hadir melawat mangsa berkata, pihaknya bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga itu dan berusaha membantu.

Beliau berkata, selain bantuan segera oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari segi makanan dan pakaian, pihaknya akan membuat permohonan mendapatkan rumah melalui agensi berkaitan.

“Kita akan mengusahakan bantuan rumah kepada mangsa dan berharap bersabar dengan dengan kejadian ini,” katanya.

Mayat lelaki terbaring ditemui di Pantai Bersih


18 Mei 2014


BUTTERWORTH - Mayat seorang lelaki, dipercayai dibunuh ditemui di belakang restoran makanan laut di persisiran Pantai Bersih, di sini hari ini.

Mayat B.Muniandy, 37, ditemui dalam keadaan terbaring di tepi pantai oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada 11 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata pemeriksaan awal polis menemui beberapa kesan luka di dahi dan jari, lebam di dada serta rusuk kanan mangsa.

"Berdasarkan keadaan mayat, polis percaya mangsa mati sejak enam jam lepas," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki yang belum berkahwin itu tinggal bersama keluarganya di Flat Pantai Bersih iaitu 500 meter dari tempat kejadian.

Mazlan berkata lelaki yang tidak bekerja itu mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah.

"Polis juga menemui sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Memang kongsi kubur


Oleh Abnor Hamizam Abd Manap
Jempol: “Petang semalam (kelmarin) ketika program membersihkan tanah perkuburan di FELDA Palong 12 dan 13, saya diberitahu, arwah bergurau untuk berkongsi kubur dengan rakannya, namun tak sangka ia jadi kenyataan.”

Demikian kata Jumari Jamalludin, 29, abang kepada Muhammad Faizal, 14, yang maut bersama dua rakannya dalam nahas membabitkan empat motosikal di Jalan Besar FELDA Palong 9, 10 dan 11, dekat sini, kelmarin.

Dua rakan Muhammad Faizal yang turut terbunuh dalam kejadian jam 9.30 malam itu ialah Mohamad Aflin Norirfan Md Jani, 15, dan Muhammad Syahreedzwan Mohmad Abdullah, 17.

Jumari berkata, selain bergurau menempah lokasi tanah kubur masing-masing, adiknya dan dua lagi rakannya adalah anak bongsu dalam keluarga masing-masing.

“Mereka bertiga sangat aktif dalam persatuan belia dan kebiasaannya pergi bersama ke mana saja, malah gurauan untuk dikebumikan dalam satu liang lahad turut menjadi kenyataan,” katanya ditemui di bilik mayat Hospital Jempol, di sini, semalam.

Menurutnya, petang kelmarin, mangsa bersama rakannya turut bersama-sama mengelilingi kampung menggunakan motosikal bapanya yang dipasang ruang tambahan bagi mengangkut buah kelapa sawit.

Katanya, kali terakhir dia bertemu adiknya ketika arwah datang ke Seremban bagi meraikan hari lahir anaknya pada 4 Mei lalu.

“Seminggu sebelum kemalangan, ibu (Asiah Roslan, 46) memberitahu, adik jadi pendiam sedangkan dia seorang yang ceria.

Sebelum kejadian, arwah turut meminta izin ibu dan ayah untuk keluar bertemu kawan,” katanya.

Sementara itu, Suziyana, 33, kakak sulung kepada Muhammad Syahreeddzwan berkata, seminggu sebelum kemalangan, mangsa yang juga anak bongsu daripada enam beradik sibuk menyuruh ibu mereka mencari buah kuinin.

Katanya, dalam tempoh sama, adiknya kerap memeluk ibu sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian.

“Kami dengan keluarga lain bersetuju mengebumikan mereka dalam satu liang lahad selepas rakannya bercerita mengenai keinginan dikebumikan bersama ketika bergurau menempah tapak tanah kubur,” katanya.

Bagi Mohd Faiz Shahir, 14, yang juga rakan sekelas Muhammad Faizal di Sekolah Menengah Kebangsaan FELDA Palong 11, dia tidak menyangka gurauan ketiga-tiga rakannya menjadi kenyataan.

“Saya terkejut dengan kejadian yang menimpa mereka, pada hal petang semalam kami bersama-sama membersihkan tanah perkuburan dan bergurau seperti selalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila semua mangsa yang menunggang motosikal terjatuh akibat pertembungan dengan seorang daripada mereka yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, siasatan mendapati ketika kejadian, Muhammad Syahreedzwan, Mohamad Aflin Norirfan dan seorang lagi rakan mereka, Mohd Mois Ikmal Mohd Nasir menunggang berkumpulan dari arah Palong 16 menghala ke Palong 9.

“Tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan motosikal dinaiki Muhammad Faizal dari arah bertentangan, menyebabkan semua mereka terjatuh dan cedera parah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, Muhammad Syahreedzwan, Mohamad Aflin Norirfan dan Muhammad Faizal meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Palong 9 dan mayat mereka dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

“Rakan mereka, Mohd Mois Ikmal yang parah kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan dilaporkan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.




Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/18

Warga Myanmar guna kad pelarian palsu


Kuala Lumpur: Seramai 129 warga asing dari Myanmar, Bangladesh dan Indonesia ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Selangor di Seksyen 11, Kota Damansara, di sini, awal pagi semalam.

Operasi hampir empat jam bermula dari 2 pagi itu diketuai Timbalan Penolong Pengarah Operasi Imigresen Selangor Othman Montil.

Seramai 400 warga asing yang tinggal di kawasan flat diperiksa.

Daripada jumlah itu, 129 ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Imigresen negeri Amran Ahmad berkata, segelintir warga asing yang ditahan, terutama dari Myanmar, mengaku memiliki kad pelarian UNCHR, namun apabila diteliti, mereka hanya menunjukkan kertas salinan pendua.

“Kami juga percaya wujud sindiket mempergunakan etnik warga Myanmar untuk mengaut keuntungan dengan membekal kad pengenalan diri di bawah etnik ZAM atau ZIMO yang berurusan sebagai perantara kepada pengesahan status pelarian UNCHR,” katanya.

Beliau menasihatkan majikan menyemak kesahihan status pekerja warga asing yang digaji jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) sebelum dihantar ke depoh tahanan Semenyih.




Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/18

Bahang dari lantai rumah


Oleh Abd Rahman Adam
Miri: “Tiba-tiba saya terasa bahang sebaik melangkah bahagian dapur sebelum mendapati api dan kepulan asap keluar dari tingkat bawah rumah,” kata Faizah Supri, 27, seorang daripada mangsa kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Pujut 9B, di sini.

Kebakaran 3.50 petang itu dipercayai bermula dari bahagian dapur di tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan sebelum merebak ke sebuah rumah kosong bersebelahan.

Difahamkan, tingkat bawah rumah berkenaan disewa dan didiami sepasang suami isteri bersama empat anak namun semasa kejadian kesemua mereka tiada di rumah kerana mahu menghadiri sukaneka di Senadin.

Faizah berkata, sebelum kejadian, dia bersama tiga anak berusia lapan hingga 11 tahun berada di beranda tingkat atas sedang bersembang bersama seorang jiran sekali gus langsung tidak menyedari kebakaran berkenaan.


“Ketika itu, jiran saya baru sahaja balik ke rumahnya dan saya menuju ke dapur untuk mengambil air minuman namun pelik apabila terasa bahang kepanasan dari di lantai rumah.





“Saya benar-benar terkejut dan hanya mampu menjerit mengarahkan anak saya keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya langsung tidak sempat menyelamatkan barang berharga kerana terlalu panik.

Menurutnya, dia bersama jiran bertindak memecah pintu rumah di tingkat bawah dan cuba menyimbah api dengan air, namun gagal berikutan api sudah marak membakar separuh dari rumah di tingkat bawah.

“Sebenarnya, kami enam beranak tinggal bersama keluarga mentua di tingkat atas, manakala tingkat bawah kami sewa kepada pasangan suami isteri berkenaan,” katanya menjelaskan semasa kejadian penghuni rumah lain tiada di rumah atas urusan kerja masing-masing.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang dan sedang buntu memikirkan tempat tinggal apatah lagi empat anaknya masih bersekolah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng Eddy Zulkifli Abdullah berkata tiga jentera bersama 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3.59 petang.

Katanya, sebaik tiba api sudah marak dan membakar keseluruhan dua rumah berkenaan, namun semua penghuni rumah terbabit selamat.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta jumlah kerugian, namun kami tidak menolak kebakaran kemungkinan berpunca dari api dapur gas yang lupa ditutup oleh penghuni di tingkat bawah rumah dua tingkat terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/18

Si tua jahanam


Kedua-dua lelaki berusia 30-an dan 78 tahun itu ditahan pada jam 4.30 petang oleh bapa mangsa bersama beberapa rakan sekerjanya selepas kanak-kanak itu memaklumkan kejadian kepada ibunya pada pagi hari sama.
Bagaimanapun, seorang lagi lelaki sempat melarikan diri sebaik menyedari dua rakannya ditahan dan usaha menjejakinya dilakukan bagi membantu siasatan kes.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika kanak-kanak berkenaan bermain di luar rumah pekerja berkenaan sebelum seorang daripada lelaki itu memanggil dan meminta mangsa masuk ke dalam rumah.
Katanya, ketika berada di dalam rumah itu, mangsa dipercayai dicabul.
Semua lelaki terbabit rakan sekerja bapa mangsa di tapak pembinaan berkenaan.
“Mangsa hanya menceritakan perbuatan semua lelaki itu kepada ibunya kelmarin.
“Terkejut dengan pendedahan itu, ibu mangsa berusia 40-an kemudian membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Bapa mangsa yang mengetahui kejadian menimpa anaknya menahan kedua-dua lelaki itu yang juga rakan sekerjanya sebelum menyerahkan mereka kepada polis.
“Bagaimanapun, pemeriksaan doktor mendapati tiada kesan koyakan pada kemaluan mangsa, sebaliknya tidak menolak kemungkinan mangsa dicabul tiga lelaki berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, kedua-dua lelaki itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Jawapan wanita atas jejantas


Kuala Lumpur: Wanita yang ditemui di atas jejantas berhampiran Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana menunaikan solat dan membaca al-Quran memberi alasan berbuat demikian selepas mendapat alamat melalui mimpi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata kejadian selepas pihaknya menerima maklumat dari orang awam, pada 1.30 petang Sabtu.

"Anggota polis yang melakukan penugasan am bergegas ke lokasi kejadian kerana bimbang wanita itu akan dilanggar kenderaan sebelum membawanya ke Balai Polis Tun HS Lee.

"Dia kemudiannya dihantar ke Unit Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kesihatan," katanya ketika dihubungi.


Katanya, wanita itu dikenali sebagai Anita Shiar, 27, warga Indonesia dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui padanya malah maklumat juga diberikan secara lisan.





Difahamkan, gambar wanita itu menjadi viral di laman sosial lewat petang tadi sehingga menimbulkan tanda tanya orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/18

Ajal masa buang air besar


MAYAT Abul Kashem ditemui mati tertimbus tanah runtuh berkenaan.


SHAH ALAM – Impian seorang lelaki warga Bangladesh untuk berkahwin Julai ini tidak kesampaian apabila dia maut tertimbus tanah ketika sedang membuang air besar di dalam tandas sebuah gudang perabot di Jalan Pekan Subang dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa Abul Kashem, 43, pekerja gudang perabot berkenaan dikatakan baru masuk ke dalam tandas apabila berlaku runtuhan tanah ekoran hujan lebat dan meranapkan tandas serta sebahagian gudang.
Menurut rakan mangsa, Muhammad Isman, 26, ketika kejadian, dia berada tidak jauh dari situ dan sempat menjerit kepada mangsa apabila melihat tanah setinggi 50 meter menggelongsor dari lereng bukit berhampiran.
“Saya panggil dia sekuat hati namun jeritan tidak didengari Abul. Apabila lihat tanah mula menghampiri kawasan gudang, saya terpaksa menyelamatkan diri sendiri dengan keluar melalui pintu utama,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! Ahad di tempat kejadian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz320sHOvCI 
Hakcipta terpelihara 

Persahabatan sejati dibawa sampai mati


Kiri Faizal, Aflin, Syahreedwan


JEMPOL – Gurauan tiga sahabat mahu dikebumikan dalam satu liang semasa bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan di sini menjadi kenyataan apabila mereka maut dalam kemalangan membabitkan empat buah motosikal malam kelmarin.
Salah seorang daripada mereka enggan menerima upah membersihkan tanah perkuburan tersebut atas alasan dia juga akan dikebumikan di situ apabila meninggal dunia kelak.
Nahas pada pukul 9.30 malam di Jalan Besar Felda Palong 9, 10 dan 11 itu mengorbankan Muhammad Syahreedzwan Mohmad H. Abdullah, 17; Mohamad Aflin Norirfan Md. Jani, 15, dan Muhammad Faizal Jamalludin, 13.
Ketiga-tiga mangsa yang bersahabat sejak kecil di Felda Palong 13 di sini meninggal dunia di Klinik Kesihatan Palong 9 akibat cedera parah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz320rz8sVq 
Hakcipta terpelihara 

Menteri Pertahanan Laos terbunuh dalam nahas pesawat


DUA anggota tentera memeriksa serpihan bangkai pesawat tentera Laos yang terhempas di wilayah Xiang Khouang, utara negara itu semalam. - REUTERS


BANGKOK - Sebuah pesawat tentera Laos terhempas semalam dengan menyebabkan lima pegawai kanan termasuk Menteri Pertahanan negara komunis itu terbunuh, kata pihak berkuasa Thailand.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Laos, Sek Wannamethee berkata, semasa kejadian, kira-kira 20 orang berada di dalam pesawat tersebut termasuk Menteri Pertahanan, Douangchay Phichit, Gabenor Vientiane, Dr. Sombath Yialiher dan beberapa pegawai kanan lain.
Pesawat itu terhempas dekat Kampung Nadee, dalam wilayah Xiang Khouang di utara Laos.
"Kami menerima maklumat mengenai insiden ini daripada Kedutaan Thai di Laos," katanya.
PHICHIT


Agensi berita rasmi Laos, KPL mengesahkan kemalangan tersebut. Menurutnya, ia melibatkan sebuah pesawat buatan Ukraine, Antonov AN- 74TK-300 milik tentera udara Laos tetapi tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai para penumpang atau pun angka kematian.
"Tumpuan pihak berkuasa kini adalah untuk membantu menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih hidup," menurut agensi berita berkenaan.
"Punca insiden itu masih disiasat," tambahnya.
Semua pegawai berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis rasmi di wilayah Xiangkhouang, timur laut Laos. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz320quMN6Z 
Hakcipta terpelihara 

Pesawat tentera Laos terhempas


PASUKAN penyelamat menjalankan usaha menyelamat ke atas pesawat tentera terhempas di Kampung Nadess, Xiang Khouang di utara Laos yang menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Laos terbunuh. - REUTERS
BANGKOK 17 Mei - Timbalan Perdana Menteri Laos, Douangchay Phichit bersama empat pegawai tertinggi kerajaan lain dilaporkan terbunuh apabila pesawat tentera yang dinaiki mereka terhempas di bahagian utara negara ini, pagi ini.
Phichit yang juga Menteri Pertahanan bersama pegawai kerajaan lain itu dipercayai dalam perjalanan ke satu majlis rasmi di wilayah Xiangkhouang, timur laut Laos ketika kejadian itu berlaku.
Menurut Bangkok Post, pesawat tentera jenis Antonov AN74-300 itu yang membawa kira-kira 20 penumpang termasuk Phichit terhempas kira-kira pukul 6.30 pagi waktu tempatan (5.30 pagi waktu Malaysia) di Xiangkhouang.
Laporan terkini portal berita Thai Rath, sebanyak tiga penumpang iaitu seorang pembantu juruterbang, jururawat dan seorang individu tidak dikenali terselamat dalam kejadian itu.
Menurut portal Krungthep Turakit, selain Phichit, Gabenor Vientiane, Soukanh Mahalath dan Sekretariat Jawatankuasa Pusat Parti Pembaharuan Rakyat Laos, Cheuang Sombounkhanh, turut terbunuh.
Jurucakap Kementerian Luar Laos, Sek Wannamethee mengesahkan kematian Phichit dan menyatakan maklumat itu diperoleh daripada kedutaan Thailand di Laos.
Agensi berita Laos, KPL berkata, tumpuan pihak berkuasa kini adalah bagi membantu menyelamatkan mangsa terselamat. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140518/lu_04/Pesawat-tentera-Laos-terhempas#ixzz320nvMzOs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

400 pelancong Britain pulang ekoran letupan di Kenya


MOMBASA, Kenya 18 Mei - Seramai 400 pelancong Britain yang bercuti di Kenya bertindak pulang ke kampung halaman mereka di Britain selepas 10 orang terkorban apabila dua letupan bom meletus di pusat bandar Nairobi.
Kebanyakan pelancong itu terbang pulang ke negara asal dari bandar Mombasa di Afrika Timur, kata pengendali pelancong Thomson & First Choice.
Selain itu, seramai 70 mangsa lagi dipercayai cedera. Kedua-dua letupan itu berlaku di kawasan pasar Gikombna Market berdekatan daerah Eastleigh yang dihuni oleh kaum Somalia Nairobi. Salah satu letupan itu berlaku di sebuah bas pelancong 14 tempat duduk. - Agensi

17 pelajar SM Sains Pokok Sena keracunan makanan


17/05/2014 6:50pm

ALOR SETAR - Sejumlah 17 pelajar Sekolah Menengah Sains Pokok Sena dekat sini dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang selepas mengadu sakit perut dan muntah-muntah setelah makan mi goreng di asrama sekolah itu semalam.
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Ismail Abu Taat berkata, dalam kejadian itu, 26 pelajar keracunan makanan iaitu 16 lelaki dan 10 perempuan pada kira-kira 10 malam namun hanya 17 pelajar dibawa ke hospital berkenaan.
"Hanya 17 daripada mereka yang mendapat rawatan di hospital sebagai pesakit luar selepas dipercayai makan mi goreng di kantin asrama sekolah itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telahpun melakukan pemantauan di kantin sekolah itu dan mengarahkan pengusaha terbabit menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga penambahbaikan berkaitan kebersihan dilakukan. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_15.htm#ixzz320mReLeW 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki maut kenderaan dinaiki terhumban ke dalam Sungai Pontian


17/05/2014 5:28pm

ROMPIN - Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam Sungai Pontian dalam nahas di Kilometer 138 Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Sepakat awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, dalam insiden pada kira-kira enam pagi itu, Amiruddin Senik, 37, dari Kuala Krai, Kelantan maut setelah terperangkap dalam Toyota Hilux yang tenggelam di dasar Sungai Pontian.
Beliau berkata, rakan mangsa, Firdaus Hafiz Wong Abdullah, 47, dari Temerloh, sempat keluar dari kenderaan itu sebelum ia tenggelam di dasar sungai.
"Kedua-dua mereka yang bekerja di kawasan pembalakan di Hutan Simpan Lesung di sini, dilaporkan dalam perjalanan dari arah Tanjung Gemok menuju Bandar Kuala Rompin.
"Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipercayai dipandu laju itu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan terus masuk ke dalam Sungai Pontian dan tenggelam," katanya kepada pemberita hari ini. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz320mc0dbn 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki maut dalam nahas di Jalan Tamparuli-Ranau


17/05/2014 7:23pm

TUARAN - Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 20.6 Jalan Tamparuli-Ranau berdekatan Kampung Kelawat di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, Koh Tze Guan, 52, yang memandu dari arah Tamparuli ke Ranau, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tuaran manakala isterinya yang duduk di kerusi penumpang depan cedera di tangan kanan dan kepala.
Pemandu sebuah lagi kereta, seorang lelaki berumur 36 tahun, yang turut terlibat dalam nahas itu, cedera parah di kepala manakala penumpang kenderaan berkenaan, seorang wanita, 36, cedera ringan di bahagian perut, dada dan leher.
Pemandu treler dan kelindannya cuma mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abd. Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal mendapati treler itu, yang dipandu dari arah Ranau ke Tamparuli, hilang kawalan apabila tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas dan merempuh dua kenderaan dari arah bertentangan. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_17.htm#ixzz320ljBN2J 
Hakcipta terpelihara