15/05/2014 7:35pm
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek dari Asia Selatan yang dipercayai merancang melakukan serangan ke atas Pejabat Konsulat asing di India.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin dalam satu kenyataan berkata, suspek ditahan di sebuah kawasan perumahan di Kepong kira-kira pukul 11.55 pagi semalam.
"Suspek ditahan dalam operasi khas oleh Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas PDRM. Operasi tangkapan dilancarkan selepas PDRM membuat pemantauan ke atas aktiviti suspek sejak Disember 2013.
"Maklumat yang diperoleh daripada pemantauan Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas mendedahkan penglibatan suspek dalam rancangan untuk melancarkan serangan ke atas Pejabat Konsulat asing di Chennai dan Bangalore, India," katanya.
Tambahnya, maklumat yang diperoleh PDRM disalurkan kepada pihak berkuasa India pada 9 April lalu dan mereka telah melancarkan operasi susulan serta berjaya menangkap tiga suspek utama di Chennai, selatan India pada 29 April lalu.
"PDRM akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa asing dalam membanteras dan menangani ancaman keganasan sama ada di peringkat serantau atau global," ujarnya.
Portal berita The Hindu melaporkan pada 29 April lepas, pihak berkuasa India telah menahan seorang pengganas militan Islam, Mohammed Zakir Hussain, warga Sri Lanka yang sedang membuat pemerhatian terhadap Konsulat asing dan merancang untuk melakukan serangan. - Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_26.htm#ixzz31mlZSelX
Hakcipta terpelihara