WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mei 2014
KUALA PILAH – Seorang pelajar lelaki ditangkap selepas didakwa memeras ugut rakannya supaya menyerahkan wang dengan menumbuk dan menyepak mangsa yang ketika itu sedang tidur di sebuah kolej di daerah ini pada 5 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 1 pagi, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mendakwa dipukul, ditumbuk dan disepak oleh seorang senior ketika sedang tidur.
Menurutnya, selepas memukul mangsa, senior berusia 16 tahun itu memintanya menyerahkan wang bernilai RM45.
“Menurut mangsa, pada mula dia dikejutkan seniornya yang ketika itu menutup mukanya dengan kain berwarna hitam dan mengugutnya supaya menyerahkan wang miliknya.
"Namun belum sempat berbuat apa-apa, seniornya bertindak agresif dengan menumbuk dan menyepaknya sambil memaksanya serahkan wang," katanya.
Azmi berkata, mangsa yang ketika itu dalam ketakutan dan terkejut dengan tindakan suspek, menyerahkan wang berjumlah RM45.
"Selepas mengambil wang tersebut, seniornya itu turut mengugut mangsa supaya tidak melaporkan insiden itu kepada guru-guru dan rakan-rakan,” katanya yang turut mengesahkan mangsa cedera di bahagian badan.
Dalam kejadian itu, Azmi berkata, rakan mangsa yang tinggal satu bilik dengan mangsa tidak mampu berbuat apa-apa kerana menyangka lelaki berkenaan orang luar dan bukan rakan sekolahnya berikutan senior itu tinggal di bilik berlainan.
Menurutnya, sejurus kejadian itu, mangsa memaklumkan perkara tersebut kepada pihak kolej dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Pilah pada hari sama.
“Sejurus menerima laporan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah ke lokasi kejadian.
“Suspek berjaya dicekup di kolej itu pada jam 3 petang pada hari sama. Kesemua barang kes berjaya dirampas bagi tujuan siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihak polis membuat satu permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) berikutan suspek di bawah 17 tahun.
“Mahkamah membenarkan suspek ditahan reman selama empat hari bermula 6 hingga 9 Mei ini.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.