Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Pembeli kedai dakwa tertipu



Wilson Lau Hoi Keong (tengah) bersama-sama sebahagian pembeli yang mendakwa ditipu pemaju selepas lot kedai yang dibeli bertukar status menjadi pangsapuri mengangkat kain rentang sebagai membantah tindakan pemaju berkenaan di Kuala Lumpur, semalam
KUALA LUMPUR 7 Mei - Tiga ahli perniagaan mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM65,000 setiap seorang apabila wang yang dilaburkan untuk pembinaan sebuah lot kedai di Taman Melati di sini telah bertukar status sebagai projek pangsapuri 16 tingkat.
Pengerusi Biro Aduan Parti Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong berkata, jumlah yang dibayar pembeli berkenaan hanyalah merupakan 10 peratus daripada jumlah keseluruhan sebagai deposit untuk sebuah lot kedai di tapak itu pada tahun 2005.
Bagaimanapun, katanya, selepas lapan tahun menunggu, mereka terkejut apabila mendapati kedai tersebut tidak dibina sekali gus mereka kehilangan hak terhadap projek berkenaan.
"Status tapak projek itu agak meragukan kerana semasa lot kedai dibeli mangsa, tanah itu dibangunkan sebagai kawasan komersial. Malangnya, kini ia menjadi projek pangsapuri perkhidmatan dan mereka tidak menerima sebarang notis atau makluman mengenai perkara itu.
"Walaupun setakat ini yang mengadu kepada kami hanya tiga orang, mungkin ada lagi yang menjadi mangsa tetapi tidak sedar akan perkara tersebut dan tidak tahu untuk mengadu kepada siapa," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalannya, Ben Liew Pok Boon akan menulis surat rasmi kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mendapatkan jawapan berhubung pertukaran status pembangunan tanah tersebut.
"Bagaimana pemaju terbabit boleh menukar status projek sesuka hati dan siapa yang memberi mereka permit bagi menjalankan pembangunan lain tanpa memaklumkan kepada pembeli sedia ada?
"Saya harap pihak berwajib dapat menyelesaikan isu ini dan memberi penjelasan kukuh kerana ia melibatkan jumlah kerugian yang bukan sedikit," katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga bahan logam, Low Aik Seong, 42, berkata, pertukaran status projek pembangunan itu hanya disedari­nya pada tahun lalu ketika meninjau kawasan tersebut.
"Memang tiada sebarang makluman atau notis daripada pihak terlibat mengenai perkara ini.
"Ini benar-benar meragukan dan berharap pihak pemaju bertanggungjawab,’’ katanya.
Seorang lagi mangsa yang merupakan peniaga tayar kereta, Siow Kin Min, 49, turut melahirkan rasa kesal atas apa yang berlaku.
Katanya, masalah itu sekali gus membantutkan hasratnya untuk membuka kedai baharu di situ.
"Saya mahukan pulangan modal yang telah dikeluarkan sebelum ini.Sudah lapan tahun saya bersabar, namun tiada sebarang hasil sehingga kini," katanya.
Sementara itu, Hoi Keong menasihati sesiapa yang terlibat dengan pembelian lot kedai tersebut pada tahun 2005 supaya menghubungi Biro Aduan dan Perkhidmatan partinya di talian 03-9287 6868.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140508/wk_02/Pembeli-kedai-dakwa-tertipu#ixzz31JCzJcO2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Beg tangan dicuri ketika sedang solat

WARTAWAN SINAR HARIAN
Beg tangan dicuri ketika sedang solat
Seorang kakitangan Masjid Razaleigh tunjuk tempat mangsa menunaikan solat Zuhur berjemaah sebelum beg dicuri. 
8 Mei 2014
GUA MUSANG - Seorang wanita berusia 50 tahun kerugian hampir RM10,000 apabila wang tunai bersama barang berharga yang disimpan dalam beg tangannya dicuri ketika sedang solat Zuhur berjemaah di Masjid Razaleigh di bandar ini, petang kelmarin.

Mangsa yang merupakan kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) ternampak kelibat lelaki yang menceroboh masuk dalam ruang solat wanita lalu merampas beg tangannya sebelum berlari keluar menerusi pintu kanan yang sudah dibuka.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.45 petang ketika mangsa berada di barisan hadapan bersolat Zuhur berjemaah bersama lapan wanita yang lain sebelum beg tangannya diletakkan di depan tempat sujud.

Menurutnya, ketika sujud akhir pada rakaat ke empat mangsa mendapati beg tangannya yang diletak didepan hilang, tetapi semasa itu dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana masih bersolat.

“Mangsa memberitahu kepada jemaah yang lain sebaik selesai berdoa dan selepas itu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang jam 2.20 petang," katanya.

Saiful Bahri berkata, beg mangsa menyimpan pelbagai barang kemas, dua telefon bimbit, kunci kereta, pasport antarabangsa, buku akaun Tabung Haji bersama wang tunai RM5,000.

Katanya, lelaki yang mencuri begnya itu dipercayai lari keluar menerusi pintu masjid sebelah kanan di ruang solat wanita kerana sebelum itu pintu berkenaan tertutup.

“Kes itu kini disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan setakat ini kita belum membuat sebarang tangkapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Alatan dapur lesap dikebas pencuri

NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
Alatan dapur lesap dikebas pencuri
Maladewi menunjukkan bahagian dapur yang digunakan untuk memasak roti canai tanpa kuali pembakarnya selepas peralatan itu dikebas pencuri. 
8 Mei 2014
KUANTAN - Seorang peniaga gerai makan buntu untuk meneruskan perniagaan selepas beberapa peralatan kedainya di gerai Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing dekat sini lesap disyaki dicuri, awal pagi  semalam.

G Maladevi, 39 berkata, akibat perbuatan pihak tidak bertanggung jawab itu, dia tidak dapat membuka gerai  seperti biasa sehingga segala peralatan yang hilang itu diganti.

Menurutnya, selain kehilangan  peralatan kedai seperti meja, kuali pembakar roti canai, dapur dan kuali, kanvas yang dipasang untuk menutup ruang depan gerainya  dipotong  manakala fius pada papan meter elektrik juga dirosakkan.

“Saya tidak mempunyai wang untuk menggantikan peralatan yang hilang memandangkan semua itu diperoleh melalui bantuan kerajaan di bawah program 1Azam.

“Sekurang-kurangnya  RM1,000 diperlukan untuk menggantikan semua peralatan itu namun buat masa sekarang saya tidak mempunyai wang sebanyak itu,” katanya ketika ditemui di gerainya, semalam.

Mengulas kejadian itu, Maladevi berkata, dia menutup kedai seperti biasa kira-kira jam 6 petang kelmarin dan kembali semula untuk membuka perniagaan jam 8.30 pagi semalam.

“Salah seorang anak yang sampai lebih awal memberitahu kanvas depan kedai hilang dan ada kesan seperti dipotong.
“Saya sampai kira-kira jam 8.30 pagi dan mendapati bahagian depan kedai juga berselerak sedangkan petang kelmarin semuanya diikat dan disusun rapi,” katanya.
Menurutnya, rantai pengikat meja memasak dan tempat menyimpan barang dipotong menyebabkan barangan itu berselerak.

“Lepas itu baru saya sedar beberapa peralatan lain turut hilang manakala bekalan elektrik juga terputus selepas fiusnya dicabut,” katanya.

Dia berkata, susulan kejadian, dia membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan kira-kira jam 10 pagi semalam untuk tindakan.

“Saya tidak pasti kehilangan barangan itu bermotifkan curi atau khianat namun biar  apa pun niat penjenayah itu, kami yang terpaksa menanggung kesusahan,” katanya.

Maladevi berkata, sebelum ini ada beberapa individu menjadikan depan kedainya sebagai tempat melepak hingga awal pagi..

“Saya dapat tahu kumpulan terbabit turut menjadikan tempat itu untuk berjudi lalu saya mengambil keputusan untuk mencabut suis lampu di bahagian luar kedai,” katanya.

Menurutnya, dia berniaga di situ sejak setahun lalu bagaimanapun sebelum ini perniagaannya terpaksa ditutup selama empat bulan atas masalah lesen.

“Ini kali pertama kejadian seumpama ini berlaku terhadap saya bagaimanapun kes-kes kecurian lain seperti kehilangan meter air sering dihadapi peniaga di sini.

“Kami susah payah berniaga untuk mencari rezeki namun ada pihak yang tergamak melakukan khianat demi kepentingan diri sendiri,” katanya.

Dia berkata, kadang-kadang mereka juga bimbang dengan kes-kes jenayah yang kerap kali berlaku di kawasan itu termasuk gejala judi internet dan penagihan dadah.

“Kami minta pihak berkuasa memandang serius kes-kes jenayah di kawasan ini kerana ia menimbulkan kebimbangan penduduk,” katanya.

Dua kaki khianat kena cekup

MOHD FIRDAUS YON
Dua kaki khianat kena cekup
Noor Hashim melihat keadaan motosikal mangsa. 
8 Mei 2014
NUSAJAYA - Dua lelaki ditahan polis kurang daripada satu jam selepas melakukan perbuatan khianat dengan membakar tiga motosikal dalam kejadian di Bandar Selesa Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 36 tahun ditangkap berhampiran lokasi kejadian sejurus anggotanya menerima maklumat daripada orang awam.

“Polis menerima laporan seorang lelaki sekitar jam 6.15 pagi bahawa dia mendapati motosikalnya Suzuki RG Sport 115 telah terbakar bersama dua buah motosikal lain.

“Kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu disedari selepas terdengar jeritan meminta tolong daripada jirannya. Lelaki terbabit bersama beberapa orang penduduk berjaya memadam kebakaran berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, semalam.

Noor Hashim berkata, motosikal mangsa rosak teruk dengan kesan terbakar hampir separuh bahagian badan kenderaan itu.

Katanya, tiga laporan polis sudah dibuat berhubung kes terbabit melibatkan pemilik ketiga-tiga motosikal berkenaan.

“Dua lagi rakan suspek sedang dikesan dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis serta reman akan dipohon pada hari ini (semalam).

“Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api. Modus operasi suspek  adalah membakar motosikal mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Misteri kain, tudung terapung

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
Misteri kain, tudung terapung
Ibu mangsa (dua, kanan) meratapi kematian anaknya 
8 Mei 2014
BAGAN SERAI - Misteri penemuan kain dan tudung terapung dalam sebuah parit di Kampung Parit Jawa,di sini, kelmarin, membawa penemuan mayat seorang wanita bersama sebuah motosikal dinaikinya kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.00 petang, mayat Siti Ashah Razali, 45, ditemui seorang penduduk setelah curiga melihat sebuah motosikal terbalik di atas jalan utama, manakala kain dan tudung dilihat berada dalam keadaan terapung di dalam parit berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, berdasarkan keterangan saksi, penemuan kain dan tudung terapung menimbulkan rasa sangsi seorang saksi kejadian sehingga menyebabkan individu itu nekad terjun ke dalam parit untuk membuat pemeriksaan.

“Mangsa segera dinaikkan ke atas jalan ban atas bantuan orang ramai yang turut hadir ke lokasi kejadian dan ambulans segera dihubungi bagi menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada media.

Sementara itu, ibu mangsa, Maimunah Dahari ketika ditemui berkata, mangsa keluar dari rumah sekitar jam 3.20 petang untuk menjemput seorang anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Matang Gerdu, di sini.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku, mangsa dikatakan sedang makan bersama ahli keluarga lain, bergegas keluar dari rumah tanpa menghabiskan nasinya untuk mengambil anak di sekolah.

“Arwah keluar secara tergesa-gesa untuk menjemput seorang anak yang bersekolah.

“Kami sekeluarga terkejut melihat dia tergesa-gesa meninggalkan meja makan tanpa sempat menghabiskan nasinya,” katanya.

Maimunah berkata, dia sedih kerana arwah anaknya pergi meninggalkan mereka sekeluarga sekelip mata.

Menurutnya, kehadiran beberapa penduduk kampung memaklumkan tragedi menimpa mangsa menyebabkan dia sekeluarga berasa pilu.

“Berat kaki saya untuk melangkah keluar dari rumah setelah dimaklumkan dia ditemui dalam parit telah meninggal dunia akibat lemas.

“Saya tidak menyangka tingkah lakunya memberi tanda yang dia akan pergi selamanya,” katanya.

Pukul ibu hingga cedera parah

NORHASPIDA YATIM
Pukul ibu hingga parah
Wan Mohamad Shukor menutup muka dengan kemeja T sebaik dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam. 
8 Mei 2014
KUALA TERENGGANU - Seorang bekas anggota polis dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan dan denda RM1,500 setelah mengaku bersalah memukul ibunya sehingga cedera parah dan mencuri wang tunai serta barangan milik mangsa.

Tertuduh, Wan Mohamad Shukor Wan Yahya, 31, mengaku melakukan kesalahan itu di hadapan Majistret Rozianti Mohd Hanaphi sebaik pertuduhan dibacakan ke atasnya, semalam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.

Bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan dari tarikh tangkap dan denda RM1,000 sementara pertuduhan kedua, dipenjara 15 bulan dan denda RM500.

Bagaimanapun, mahkamah majistret mengarahkan tertuduh menjalani hukuman serentak iaitu penjara 20 bulan daripada tarikh ditangkap dan denda sebanyak RM1,500.

Wan Mohammad Shukor kini tidak bekerja setelah diberhentikan tugas sebagai anggota polis di Putrajaya, setelah gagal menunjukkan prestasi kerja yang baik.

Mengikut fakta kes, dia didakwa menendang bahagian betis kanan dan menarik leher baju ibunya yang berusia 60 tahun pada 7 April lalu, jam 1 pagi di kediaman mereka di Gong Badak.

Tertuduh yang didakwa berang terus mengamuk dengan memukul ibunya yang juga pengadu tanpa belas kasihan setelah gagal mendapatkan wang tunai RM200 sebagaimana diminta.

Selain memukul sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada ibunya, Wan Mohammad Shukor turut mengugut untuk mencederakan ibunya sebelum mengambil barangan di dalam beg tangan pengadu iaitu wang tunai RM450, sebentuk cincin emas dan kad pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional (BSN).

Tertuduh ditahan pada 12 April lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di kediaman mereka.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor L Rathna.

Pekerja dakwa penculik berbahasa Melayu


DUA anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkawal di sebuah pusat ternakan ikan dalam sangkar tempat seorang pelancong China diculik di Pulau Baik, Lahad Datu, Sabah, semalam.
LAHAD DATU 7 Mei - Kumpulan yang menculik seorang pengurus pusat ternakan ikan dalam sangkar di Pulau Baik, di sini awal pagi semalam dikatakan boleh bercakap dalam bahasa Melayu dengan lancar.
Menurut salah seorang pekerja pusat ternakan itu yang ingin dikenali sebagai Nus, 22, beberapa suspek terbabit bercakap dalam bahasa Melayu ketika ingin mengetahui lokasi pengurus mereka.
Malah, dia berkata, rakannya yang dibawa penculik sebelum dilepaskan turut mendakwa kumpulan penjenayah berkenaan mampu berbahasa Melayu dengan baik.
"Ketika menanyakan di mana bilik pengurus iaitu Yang Zai Lin, 34, suspek bercakap dalam bahasa Melayu dan mudah untuk difahami," katanya kepada pemberita ketika ditemubual di pusat ternakan ikan terbabit di sini hari ini.
Temubual itu dilakukan dari jarak empat meter apabila para wartawan berada di atas bot manakala Nus berada di atas jeti di hujung sangkar ikan. Dengan jarak itu, temubual tersebut dibuat dalam keadaan terjerit-jerit seperti orang sedang bergaduh.
Usaha Utusan Malaysia untuk menemubual secara dekat pengawal keselamatan itu gagal kerana dia enggan atas faktor-faktor tertentu.
Pusat ternakan itu kini berada dalam zon larangan untuk dilawati apabila lokasi tersebut diletak pita keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam tinjauan itu, terdapat beberapa ekor anjing besar dipercayai jenis Rottweiler diletakkan dalam kawasan pusat ternakan itu.
Tambah Nus, ketika kejadian dia sedang tidur selepas selesai bekerja pada lewat petang dan hanya mengetahui kejadian itu pada pukul 5 pagi.
"Mangsa (Zai Lin) seorang individu yang baik dan sentiasa menghormati para pekerja. Kita amat terkejut dengan kejadian ini dan berharap beliau dapat dibebaskan dengan selamat," katanya yang telah bekerja selamat empat tahun di pusat ternakan berkenaan.
Pusat Ternakan ikan dalam sangkar Wonderful Terrace Sdn. Bhd., menternak lima jenis ikan seperti ikan kerapu, ikan putih, ikan merah yang dieksport kira-kira 40 tan setiap dua kali setahun ke Hong Kong serta China.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_10/Pekerja-dakwa-penculik-berbahasa-Melayu#ixzz3160xnDZa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita dipercayai kurang siuman gemparkan penduduk


SEORANG wanita yang dipercayai kurang siuman duduk di atas awning tingkap sebuah rumah di tingkat 12 di pangsapuri Taman Medan, Kuala Lumpur, semalam.
PETALING JAYA 7 Mei - Seorang wanita berusia 30-an mengemparkan penduduk Pangsapuri Mentari 3, Taman Medan di sini apabila cuba terjun dari tingkat 12 pangsapuri tersebut pagi ini.
Tindakan wanita tersebut disedari kira-kira pada pukul 7.20 pagi apabila dia keluar dari tingkap bahagian dapur rumahnya dan berdiri di bumbung kajang (awning) rumah jirannya di tingkat 11.
Menurut Ketua Bomba Jalan Penchala, Penolong Penguasa Zaidi Ahtan, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan mengenai situasi itu pada pukul 7.28 pagi dan tiba di tempat kejadian pada pukul 7.40 pagi bersama lapan anggota.
Penduduk yang melihat pasukan bomba memujuk wanita berkenaan beberapa kali menjerit ketakutan apabila wanita tersebut nekad untuk terjun tetapi berjaya dihalang oleh anggota bomba.
"Kita mengambil masa setengah jam untuk memujuk surirumah yang mempunyai anak seramai tiga orang ini," kata Zaidi ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat kejadian.
Wanita tersebut berjaya diselamatkan selepas dua anggota bomba bertindak nekad keluar daripada bangunan tersebut untuk berdiri di atas bumbung kajang sebelum menarik wanita berkenaan masuk ke dalam rumah.
Menurut jiran, wanita berkenaan dipercayai mengalami masalah mental.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_02/Wanita-dipercayai-kurang-siuman-gemparkan-penduduk#ixzz3160sJDW2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak maut dihempap pokok


SEORANG anggota bomba dan penyelamat memeriksa keadaan rumah dihempap pokok yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak lelaki dalam kejadian ribut di Perumahan Awam Taman Tasek Kamunting, Taiping, Perak, semalam. - Gambar Ihsan bomba
TAIPING 7 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas rumahnya runtuh akibat dihempap pokok Payung Indonesia yang tumbang dalam kejadian ribut di Perumahan Awam, Taman Tasek Kamunting di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.34 petang itu, mangsa, S. Lingiswaran, ditemui dalam keadaan terduduk tidak sedarkan diri di sebuah bilik yang terletak di bahagian hadapan rumah berkenaan.
Rawatan kecemasan yang diberikan terhadap anak sulung daripada dua beradik itu bagaimanapun gagal dan mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.20 petang dipercayai akibat sesak nafas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd. Taufiq Sattar berkata, ketika kejadian mangsa bersama lima anggota keluarga yang lain iaitu ibu, adik, ibu saudara dan dua nenek berada di dalam rumah berkenaan.
Katanya, dalam kejadian hujan dan disusuli ribut sejak pukul 3 petang itu, ahli keluarga mangsa sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah itu sebaik mendengar bunyi kuat yang datang dari arah belakang rumah mereka.
"Ketika ditemui, mangsa yang berada di atas katil tidak sedarkan diri dengan struktur rumah termasuk bingkai tingkap dan batang pokok berada di atas badannya.
"Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit bagi memotong batang pokok berkenaan sebelum membawa keluar mangsa yang terperangkap dalam runtuhan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Taufiq berkata, pokok tersebut berada kira-kira lima meter di belakang rumah mangsa dan tumbang menghala ke bahagian depan rumah itu.
Katanya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping bersama 13 anggota termasuk pegawai dikerahkan ke tempat kejadian.
"Ketika kejadian, berlaku hujan lebat diikuti ribut di kawasan Kamunting dan kita turut menerima lima laporan berkaitan pokok tumbang," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_07/Kanak-kanak-maut-dihempap-pokok#ixzz315zoPNc8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis rampas dadah RM163,000, 2 lelaki ditahan


7 Mei 2014


KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki yang sedang menjalankan aktiviti pengedaran dadah dan merampas dadah bernilai RM163,000 dalam serbuan di Jalan Radin Anum, Bandar Baru Seri Petaling di sini Sabtu lepas.
 
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, dadah yang dirampas merupakan pelbagai jenis, dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang.
 
"Kedua-dua suspek dipercayai sedang membuat urusan pengedaran dadah berhampiran sebuah restoran di jalan terbabit.
 
"Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu oleh seorang daripada mereka di hadapan restoran tersebut, polis menemui pelbagai jenis dadah di bahagian bawah tempat duduk penumpang kereta terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dadah yang ditemui ialah jenis eramin 5 sebanyak 7,000 biji yang dianggarkan mempunyai berat 2.270 kg dan dadah jenis ecstasy berjumlah 2,880 biji seberat 1.13 kg, katanya.
 
Muhammad Azlee berkata, ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.
 
"Mereka berusia 39 tahun dan 36 tahun dan kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 Mei. Kes disiasat di bawah Akta 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Bernama

Cubaan edar dadah RM163,400 gagal

HASNIZA HUSSAIN
Cubaan edar dadah RM163,400 gagal
Muhammad Azlee (dua, kanan) menunjukkan pil erimin 5 dan ekstasi yang dirampas pihaknya pada Sabtu lalu. - Foto: Ihsan Oriental Daily
8 Mei 2014
 BRICKFIELDS - Polis berjaya menyekat aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dengan tertangkapnya dua lelaki tempatan dalam serbuan di depan sebuah restoran di Jalan Radin Anur, Seri Petaling, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, ketika diserbu jam 7 malam, terdapat kereta jenis Honda Accord dinaiki seorang lelaki berhenti di depan premis itu.

Katanya, pemandunya keluar dan berjumpa seorang lagi suspek dipercayai bagi melakukan urus niaga dadah.

"Kita menahan kedua-dua suspek berusia 36 dan 39 tahun itu. Tiada dadah ditemui pada mereka, tetapi 7,000 biji pil erimin 5 serta 2,880 pil ekstasi bernilai kira-kira RM163,400 ditemui di bawah kerusi sebelah pemandu," katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing menunjukkan kedua-dua suspek positif dadah dan dipercayai dari kumpulan sindiket yang sama.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman seminggu sehingga Sabtu ini dan polis juga sedang menyiasat saki-baki ahli kumpulan itu.

Presiden Isma disiasat bawah Akta Hasutan


KUALA LUMPUR 7 Mei - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman akan dipanggil memberi keterangan dan disiasat di bawah Akta Hasutan selepas mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.
Khalid berkata, siasatan itu dijalankan berikutan kenyataan Abdullah di dalam laman web rasmi Isma, mengaitkan kaum Cina yang dibawa ke Tanah Melayu merupakan penceroboh.
"Ya, memang pihak polis sedang siasat berikutan kenyataan beliau baru-baru ini yang dikhuatiri boleh mencetuskan situasi tidak harmoni dalam negara.
"Saya menasihati supaya berhati-hati dalam membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Portal propembangkang Malaysiakini melaporkan, Abdullah telah membuat kenyataan berunsur perkauman apabila menggelar kaum Cina di Malaysia sebagai penceroboh dan ‘membuli orang Melayu’ selepas kedatangan mereka ke Tanah Melayu.
Lapor Malaysiakini lagi, Abdullah turut menyifatkan golongan bukan Islam yang menentang hudud di negara ini sebagai tidak sedar diri dan tidak wajar campur tangan dalam urusan umat Islam di negara ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_09/Presiden-Isma-disiasat-bawah-Akta-Hasutan#ixzz315yy9mrf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemuda disangka rusa mati ditembak


KENINGAU 7 Mei - Kerana disangkakan payau atau rusa, seorang pemuda maut dipercayai ditembak oleh saudaranya menggunakan `bakakuk' iaitu sejenis senjata buatan sendiri semasa berburu di kawasan hutan Kampung Nambayan Tambunan di sini kelmarin.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di Hospital Tambunan dekat sini pada pukul 7.15 malam.
Difahamkan, turut berburu bersama mangsa dan suspek ialah dua lagi rakan mereka yang memasuki kawasan hutan itu kira-kira pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Robert Salisip @ David berkata, mangsa, Libius Kibin, 35, dipercayai meninggal dunia akibat pendarahan kerana perjalanan jauh untuk sampai ke hospital iaitu dua jam berjalan kaki dan sejam lagi menaiki kenderaan.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang disangkakan rusa ditembak kira-kira pukul 3 petang dari jarak kira-kira 10 meter dan terkena di kedua-dua belah pahanya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.
Tambah Robert, siasatan lanjut mendapati `bakakuk' itu dijumpai oleh suspek pada Mei tahun lalu dalam karung yang ditinggalkan di tepi Jalan Dabata, Tambunan oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda bagi mengelak dikesan polis dalam satu sekatan jalan raya.
"Suspek mengambil dan menyimpannya sebelum menggunakan bagi tujuan memburu di kawasan hutan. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut, turut dirampas ialah dua laras `bakakuk', tiga butir peluru," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_08/Pemuda-disangka-rusa-mati-ditembak#ixzz315yV4mib
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki didakwa tipu majikan RM50,393


KUALA LUMPUR 7 Mei - Seorang bekas jurujual telefon bimbit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 14 pertuduhan menipu majikannya membabitkan kerugian berjumlah RM50,393 dua tahun lalu.
Peh Swee Kim, 28, yang kini bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Borong Selayang, didakwa menipu syarikat Asia Mobile Supplies Sdn. Bhd., untuk mempercayai terdapat 14 invois tempahan yang bernilai antara RM885 dan RM12,840.
Invois itu didakwa diterima daripada beberapa buah syarikat yang tidak akan menyerahkan barang tempahan seperti invois itu kepada tertuduh sekiranya tidak diperdayakan.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di syarikat Asia Mobile Supplies, Tingkat 1, Plaza Low Yat, Off Jalan Bukit Bintang di sini antara 15 Mei 2012 dan 10 Januari 2013.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad yang mengendalikan pendakwaan menawarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan.
Walau bagaimanapun, peguam Mohd. Riza Zakaria memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan bapa tunggal yang menanggung seorang anak berusia sembilan tahun di samping menanggung ibu dan bapanya yang telah uzur serta dua adik yang masih bersekolah.
Hakim Mat Ghani Abdullah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Jun ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140508/ma_06/Lelaki-didakwa-tipu-majikan-RM50393#ixzz315xXoYca
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar ditahan kes penemuan mayat bayi dalam pam tandas


PERMATANG PAUH 8 Mei - Seorang pelajar tingkatan empat ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki dalam pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth, pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, pelajar berkenaan ditahan di rumahnya di Butterworth petang semalam iaitu beberapa jam selepas mayat bayi berkenaan ditemui.
Katanya, polis sedang mengesan teman lelaki pelajar berkenaan yang berusia 18 tahun yang dipercayai tinggal di daerah ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_13/Pelajar-ditahan-kes-penemuan-mayat-bayi-dalam-pam-tandas#ixzz315wLW1Zh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima rumah rosak dipukul ribut di Pulau Pinang


ROBAINAI Rahman menunjukkan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin kencang kepada Roslan Saidin (tengah) semasa meninjau keluarga tersebut di Permatang Saga, Kepala Batas, Pulau Pinang. - UTUSAN/Sazali Che Din
KEPALA BATAS 7 Mei - Lima buah rumah rosak dalam kejadian ribut yang melanda lima buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, angin dan hujan lebat telah menerbangkan bumbung rumah terbabit.
Antara kampung terbabit ialah Permatang Setar, Permatang Langsat, Permatang Saga, Kubang Menerung dan Kubang Menerung B.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin, kejadian ribut dan hujan lebat berlaku dengan pantas menyebabkan rumah penduduk rosak di bahagian bumbung apabila atap diterbangkan angin kencang.
Katanya, beliau berada di dalam pejabat di sini apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.
"Saya pergi melawat rumah terbabit dan mendapati sebahagian bumbung rumah rosak akibat diter­bangkan angin," katanya ketika ditemui di Permatang Langsat di sini hari ini.
Roslan berkata, kerugian akibat kejadian itu sekitar RM40,000.
"Kita mendapatkan peruntukan kecemasan dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu membaiki rumah mangsa yang rosak dalam kejadian itu," katanya.
Seorang mangsa, Robainai Rahman, 70, berkata, dia sedang baring di bahagian dapur rumah apabila seorang jiran datang memberitahu bumbung rumah diterbangkan angin.
"Saya dengar bunyi angin dan hujan ketika itu dan tidak sangka bumbung rumah saya pula diter­bangkan angin," katanya.
Robainai berkata, ini merupakan kejadian kedua selepas kejadian pertama berlaku dua tahun lalu.
"Saya bersyukur terselamat dalam kejadian itu dan berterima kasih kepada UMNO yang membantu membaiki rumah saya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140508/wu_04/Lima-rumah-rosak-dipukul-ribut-di-Pulau-Pinang#ixzz31JBjRHqK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempa bumi di Thailand, seorang warga tua maut


Seorang wanita hanya mampu melihat rumahnya yang musnah akibat gempa bumi berukuran 6.0 skala Ritcher di wilayah Chiang Rai, utara Thailand, kelmarin. - AGENSI
BANGKOK 6 Mei - Seorang wanita warga tua maut, manakala 23 orang lagi cedera dalam kejadian gempa bumi yang melanda utara Thailand, semalam.
Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana berkata, wanita berusia 83 tahun itu dilaporkan terkorban akibat dihempap dinding rumahnya selepas gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Ritcher melanda utara negara ini.
Gempa bumi kuat itu berlaku pada kedalaman 7.4 kilometer dan berpusat di daerah Phan dalam wilayah Chiang Rai yang turut dirasai sejauh beratus-ratus kilometer di selatan Bangkok dan Yangon, Myanmar.
"Sejak petang Isnin, enam gegaran berlaku pada kadar magnitud antara 5.0 dan 5.9 pada skala Ritcher, manakala gegaran terakhir dirasai pagi ini," kata wakil Jabatan Meteorologi Thailand, Burin Wechbunthung.
Dalam pada itu, penduduk berkata, mereka menyaksikan dinding bangunan merekah dan jalan raya rosak akibat gempa bumi, di samping bekalan elektrik terputus selama beberapa jam di Phan.
Daearah berkenaan merupakan kawasan pergunungan terpencil berdekatan sempadan Myanmar dan Laos yang terkenal dengan kehadiran pelancong asing.
Gempa bumi turut dirasai di hub pelancongan, Chiang Mai sejauh 160 kilometer dari Chiang Rai serta Bangkok yang terletak 800 kilometer di selatan yang menyebabkan bangunan-bangunan bergegar selama beberapa saat.
Gempa bumi kuat jarang berlaku di Thailand, namun gegaran sering terjadi di utara negara berkenaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140507/lu_02/Gempa-bumi-di-Thailand-seorang-warga-tua-maut#ixzz315s5Baw2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Proses salur bantuan bertukar ganas


AAB BAREEK 7 Mei - Polis Afghanistan hari ini terpaksa melepaskan tembakan ke udara bagi meleraikan mangsa kejadian tanah runtuh yang marah ekoran kelewatan proses penghantaran bantuan.
Berpuluh-puluh orang penduduk menyerbu trak yang membawa bantuan, selain menyerang dua anggota polis yang cuba memulihkan keadaan berhampiran kampung Aab Bareek, daerah Badakhshan.
"Lebih 80 orang penduduk yang berada di atas bukit membaling batu ke arah anggota polis yang bertugas, sebelum polis terpaksa melepaskan tembakan ke udara hampir satu minit," kata seorang saksi kepada Reuters.
Agensi bantuan berdepan masalah mendapatkan bekalan untuk disalurkan kepada lebih 4,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal, ekoran kejadian tanah runtuh yang melanda kawasan tersebut Jumaat lalu.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, pengagihan bantuan terpaksa dihentikan ekoran ancaman keselamatan.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila penduduk kampung berhampiran turut datang untuk mendapatkan bekalan makanan dan bantuan lain. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140508/lu_05/Proses-salur-bantuan-bertukar-ganas#ixzz315rIyDNa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 letupan di Hatyai, 8 cedera


Asap tebal menyelubungi pekarangan perumahan polis berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Hat Yai, selatan Thailand dalam letupan bom di bandar itu, semalam. - Gambar ehsan rakan media Thai.
HATYAI 6 Mei - Sebanyak empat letupan bom menggegarkan bandar ini, hari ini menyebabkan lapan orang cedera, termasuk dua anggota polis.
Letupan berlaku pada kira-kira pukul 1.55 petang (2.55 petang waktu Malaysia) di empat lokasi iaitu di hadapan kedai serbaneka di Polpichai Road berhampiran Institut Teknologi Mekanikal Hatyai, kawasan perumahan polis bertentangan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Hatyai; Stesen Kereta Api Hatyai dan Kompleks Membeli-belah Robinson.
Gabenor Wilayah Songkhla, Krissada Boonrat berkata, letupan pertama berlaku di hadapan kedai serbaneka mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang cedera, diikuti letupan kedua di kawasan letak kereta berhampiran balai polis Hatyai, menyebabkan dua orang anggota polis dan seorang orang awam cedera.
Krissada berkata, letupan ketiga dan keempat berlaku di Stesen Kereta Api Hatyai dan gedung membeli-belah, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
“Letupan pertama dan kedua berlaku selang 25 minit, dan kesemua mangsa dikenal pasti berusia antara 19 dan 53 tahun. Mereka dihantar ke Hospital Hatyai untuk rawatan.
“Tiada laporan membabitkan warga asing," ujarnya.
Bom juga ditemui diletakkan di pintu masuk Prince of Songkhla University tetapi berjaya dimatikan oleh pihak berkuasa.
“Kami juga mengadakan sekatan di beberapa laluan utama di pusat bandar selain pemeriksaan ke atas mereka yang keluar dan masuk ke bandar ini," katanya.
Sementara itu, Konsulat Malaysia ke Songkhla mengesahkan, tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden itu.
Polis mendakwa kumpulan pemisah bertanggungjawab atas kejadian itu.
Disember lalu, sebanyak 24 orang dilaporkan cedera dalam satu letupan bom yang menggegarkan bandar sempadan Danok dan Padang Besar, dekat Bukit Kayu Hitam.
Pada 2012, serangan bom kereta yang dilancarkan oleh kumpulan pemisah Islam di pusat bandar Hatyai mengorbankan 14 orang dan lebih 300 yang lain cedera. - Utusan


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140507/lu_01/4-letupan-di-Hatyai-8-cedera#ixzz315r56dQT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lapan lagi pelajar perempuan diculik


KANO 7 Mei - Kumpulan militan Boko Haram menculik lapan orang lagi pelajar perempuan dari timur laut negara semalam selepas ketua kumpulan tersebut mengaku bertanggungjawab dengan penculikan lebih 200 pelajar perempuan, bulan lalu.
"Mereka mencari dari bilik ke setiap untuk menculik pelajar perempuan," kata seorang penduduk Abdullahi Sani yang merujuk kepada insiden serangan Ahad lalu di Kampung Warabe.
Sani kini berlindung di bandar kira-kira 10 kilometer selepas melarikan diri daripada serangan yang didakwa oleh kumpulan militan Boko Haram. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140507/lu_12/Lapan-lagi-pelajar-perempuan-diculik#ixzz315qyPGWQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saudi tumpaskan pengganas


RIYADH 7 Mei - Pihak berkuasa Arab Saudi percaya, pihaknya berjaya menumpaskan sebuah kumpulan pengganas melalui penahanan 62 suspek ahli kumpulan tersebut.
Menurut Kementerian Dalam Negeri seperti yang dilaporkan stesen televisyen satelit, Al-Ekhbariya, organisasi pengganas itu dipercayai merancang untuk menyerang beberapa bangunan kerajaan dan kepentingan asing.
Jelas laporan itu, tiga orang di antara suspek ialah warga asing.
Tambah kenyataan tersebut, mereka yang ditangkap termasuk 35 warga Arab Saudi yang sebelum ini ditahan atas tuduhan berkaitan keselamatan dan kemudian dibebaskan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140508/lu_07/Saudi-tumpaskan-pengganas#ixzz315qlWP7H
© Utusan Melayu (M) Bhd 

24 cedera gudang senjata meletup


Sebahagian mangsa yang cedera akibat letupan di gudang senjata tentera, dirawat di sebuah hospital tentera di Taguig City, timur Manila, Filipina, semalam. - AFP
MANILA 7 Mei - Sebanyak 24 orang cedera apabila beberapa siri letupan dan kebakaran berlaku di sebuah gudang simpanan senjata tentera Filipina di Taguig City, timur ibu negara ini, hari ini.
Rakaman video televisyen tempatan memaparkan beberapa anggota tentera berpakaian baju awam mengusung rakan-rakan mereka yang cedera keluar dari sebuah bangunan yang terbakar serta diselubungi asap.
Beberapa orang lagi mangsa, dilihat duduk di kaki lima menunggu bantuan perubatan.
"Saya berada beberapa meter dari lokasi kejadian ketika kebakaran berlaku. Api turut mecetuskan satu letupan kuat," kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel, Noel Detoyato.
Seorang doktor perubatan, Kolonel Rovelene Bambao berkata, semua mangsa yang cedera dirawat di sebuah hospital tentera berdekatan.
Katanya, enam yang cedera parah termasuk seorang orang awam, kemudian dibawa ke hospital lain.
Detoyato berkata, lapan anggota tentera, tujuh anggota bomba dan seorang orang awam merupakan antara mereka yang cedera. Identiti tujuh yang lain masih tidak diketahui.
Tambahnya, punca kebakaran itu masih dalam siasatan. Kebakaran turut menyebabkan beberapa letupan meletus.
Jelas Detoyato, pihaknya juga telah mengarahkan bangunan-bangunan pejabat serta premis perniagaan berhampiran dikosongkan kerana letupan dibimbangi boleh berlaku lagi. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140508/lu_04/24-cedera-gudang-senjata-meletup#ixzz315pflAj1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saman AirAsia: Suami isteri dapat ganti rugi RM45,000


PUTRAJAYA 7 Mei - Sepasang suami isteri berjaya mendapat ganti rugi mencecah RM45,000 selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan terhadap AirAsia Berhad yang disaman kerana cuai dan mengakibatkan mereka mengalami kesusahan serta kerugian sewaktu menggunakan khidmat penerbangan tambang murah itu, tiga tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara membenarkan relif yang dimohon oleh perayu pertama, Patricia Karen Chew Mei Yik dan suaminya, Michael Januarius (perayu kedua) iaitu ganti rugi khas sebanyak RM18,999 dan ganti rugi am RM25,000.
Beliau yang turut bersidang bersama Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memerintahkan agar faedah sebanyak lima peratus dibayar dari tarikh pemfailan tuntutan saman pada 2011.
Kuorum berkenaan membenarkan rayuan mereka dengan kos RM10,000 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan saman kedua-duanya pada 29 Ogos tahun lalu.
Pasangan suami isteri itu diwakili oleh peguam M. Manoharan manakala AirAsia oleh Mohamed Zaini Mazlan.
Patricia yang ketika itu sedang mengandung 28 minggu dan suaminya menyaman AirAsia kerana kecuaian sehingga menyebabkan mereka mengalami kesusahan dan intimidasi sewaktu pulang daripada bercuti di Denpasar, Bali, Indonesia.
Pasangan tersebut bersama anak perempuan mereka yang ketika itu berusia empat tahun menaiki pesawat berkenaan pada 20 Februari 2011 dan sepatutnya bertolak balik ke ibu negara pada 26 Februari 2011 selepas menghabiskan percutian mereka.
Dalam tuntutan saman itu, mereka mendakwa, AirAsia telah menghalang mereka bertiga menaiki penerbangan balik atas alasan Patricia gagal mengemukakan surat pengesahan doktor.
Patricia mendakwa, sebelum bercuti, dia telah memperoleh surat pengesahan aripada seorang doktor pakar sakit puan dan menyerahkannya kepada pramugari bertugas ketika berlepas ke Denpasar pada 20 Februari 2011.
Perayu-perayu menyatakan, pramugari bertugas dalam penerbangan balik itu enggan bertolak ansur dan mengarahkan agar Patricia mengemukakan surat pengesahan doktor yang baharu jika dia dan keluarga ingin meneruskan penerbangan.
Bagaimanapun, Patricia gagal berbuat demikian menyebabkan suaminya bercadang pulang sendirian menaiki pesawat tersebut kerana terlibat sebagai pemuzik dalam satu jamuan korporat di sebuah hotel terkemuka pada petang hari yang sama.
Namun begitu, mereka bertiga gagal menaiki pesawat berkenaan dan terpaksa menaiki penerbangan lain sehingga menyebabkan suaminya kehilangan beg angkutan tangan yang mengandungi kamera dan komputer riba yang di dalamnya berisi maklumat peribadi berkaitan perniagaan.
Sementara itu, AirAsia menyatakan, pramugari bertugas menjalankan tugasnya berdasarkan prosedur operasi yang menghendaki wanita hamil melebihi 28 minggu mengemukakan surat bagi mengesahkan tempoh kehamilan dan dia sihat untuk membuat penerbangan.
AirAsia menyatakan, surat akuan doktor itu perlu dikemukakan untuk semakan bagi setiap penerbangan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140508/ma_01/Saman-AirAsia-Suami-isteri-dapat-ganti-rugi-RM45000#ixzz315k6bbJE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

16 pemandu ditahan positif dadah



LIZAN Che Mat (kanan) meninjau pemeriksaan yang dilakukan oleh pihah polis dalam sekatan jalan raya dalam Operasi Bersepadu melibatkan beberapa agensi kerajaan di Kampung Air Sejuk, Setiu, Terengganu, malam semalam.
SETIU 7 Mei - Sebanyak 16 pemandu kenderaan persendirian serta kenderaan penumpang ditahan kerana positif dadah manakala 48 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam operasi bersepadu di tiga lokasi di daerah ini semalam.
Operasi kelolaan Pejabat Daerah bersama lapan jabatan dan agensi kerajaan bermula pukul 9.30 malam sehingga pukul 4 pagi melibatkan sekatan jalan raya di Kampung Air Sejuk, Kampung Penarik dan Kampung Sungai Tong.
Antara agensi kerajaan terlibat adalah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Daerah Setiu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat agama daerah, Rela daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ketua Penolong Pegawai Daerah, Lizan Che Mat berkata, dalam ope­rasi berkenaan, sebanyak 171 lelaki dan seorang wanita telah menjalani ujian saringan air kencing oleh AADK.
Menurutnya daripada jumlah itu, pihaknya mendapati sebanyak enam dikesan positif dadah jenis methamphetamine di sekatan jalan raya Kampung Air Sejuk, Penarik (5 orang) dan Sungai Tong (5 orang) yang kesemuanya adalah lelaki.
"Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, AADK daerah ini turut menahan dua lelaki di dua tempat berasingan iaitu di Kampung Binjai Manis di sini dan Kampung Merbau Menyusut di sini kerana positif dadah dalam serbuan pada kira-kira pukul tiga pagi semalam.
Dalam pada itu Lizan berkata, JPJ telah mengeluarkan 31 saman dan PDRM pula sebanyak 17 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140508/wt_01/16-pemandu-ditahan-positif-dadah#ixzz31JMxr7d6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Broker rumah didakwa tembak anggota polis


ABDUL Aziz Soh Abdullah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ampang, semalam.
KUALA LUMPUR 7 Mei - Seorang broker rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas dua pertuduhan melepaskan tembakan terhadap dua anggota polis ketika melakukan rondaan di Taman Lembah Maju, Pandan Indah, bulan lalu.
Abdul Aziz Soh Abdullah, 44, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lans Koperal Lionel Richard Jr. dan Konstabel Zullfadz­ly Atlah dari Balai Polis Pandan Indah, dekat sini, dengan niat untuk menyebabkan kematian terhadap mangsa.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Maju 1/16, Taman Lembah Maju, Pandan Indah, Ampang dekat sini pada pukul 10.52 pagi, 11 April lalu.
Tertuduh hanya mengangguk kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zulyana Zollkapli.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman mati mandatori.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan kes.
Akhbar sebelum ini melaporkan kejadian itu berlaku ketika anggota polis terbabit sedang menjalankan tugas rondaan dan cuba menahan seorang lelaki Cina yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Apabila menghampirinya, anggota polis terbabit ternampak seorang lagi lelaki bersama-sama lelaki Cina itu.
Menyedari kehadiran anggota polis, kedua-dua lelaki itu cuba melarikan diri dan menyebabkan anggota polis berkenaan bertindak mengejar mereka.
Ekoran itu berlaku pergelutan dan suspek bertindak memukul anggota polis dengan topi keledar dan suspek juga telah melepaskan tiga das tembakan yang mengenai kedua-dua anggota tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140508/ma_03/Broker-rumah-didakwa-tembak-anggota-polis#ixzz314T5tmmv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ibu, 2 anak rentung rumah terbakar



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran di Tabuan Hulu yang meragut tiga nyawa di Kuching, semalam.
KUCHING 7 Mei - Seorang suri rumah bersama dua anak pe­rempuannya yang berusia tiga dan lima tahun maut dalam kebakaran membabitkan sembilan buah rumah di Kampung Tabuan Hulu di sini hari ini.
Mayat Anisa Ramblee, 26, serta dua anaknya Siti Nordiana Mohd. Hazmi, 3, dan Siti Norhaza Mohd. Hazmi, 5, ditemui rentung dalam kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.20 pagi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mayat tiga beranak itu ditemui oleh anggota bomba yang berjaya memadam kebakaran tersebut.
"Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui dalam sebuah bilik tidur dan siasatan awal pihak bomba percaya rumah keluarga itu merupakan punca kebakaran bermula," kata­nya ketika dihubungi di sini hari ini.
Roslan berkata, mayat tiga ber­anak itu sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii ketika ditemui di lokasi kejadian memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.29 pagi.
Katanya, seramai 40 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Padungan dan Batu Lintang termasuk Unit Bermotor Bomba segera dihantar ke tempat kerja untuk operasi menyelamat dan me­madamkan kebakaran.
"Pihak bomba yang tiba dalam tempoh lima minit selepas mendapat panggilan berjaya mengawal api daripada terus merebak pada pukul 11.09 pagi.
"Operasi memadam api menghadapi masalah akibat tekanan air rendah dan hanya ada satu pili bomba terdapat di situ," katanya.
Ling Hi memberitahu, selain tiga mangsa yang ditemui rentung, terdapat dua lagi kanak-kanak perempuan dan seorang anggota bomba cedera dalam kejadian itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_01/Ibu-2-anak-rentung-rumah-terbakar#ixzz314SxoWpK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 maut, 3 cedera dalam kemalangan tiga kereta


ANGGOTA bomba mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di dalam keretanya yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Semuba, Chetok, Pasir Mas, kelmarin.
PASIR MAS 7 Mei - Seorang wanita maut manakala tiga yang lain termasuk seorang kanak-kanak ber­usia enam tahun cedera dalam kemalangan di Kampung Semuba, Chetok di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, Noresah Ismail, 50, yang memandu kereta jenis Perodua Kenari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas.
Dua lagi mangsa iaitu Nik Mohd. Fariqh Ab. Halim, 43, yang merupakan pemandu kereta jenis Suzuki dan penumpang kereta Toyota, Tan Tze Qing masing-masing cedera parah. Bapa Tze Qing yang memandu Toyota iaitu Tai Fung Nee, 36, hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, siasatan awal mendapati kereta Suzuki yang datang dari arah Tanah Merah dan menghala ke Pasir Mas telah terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh kereta Perodua Kenari.
Kata beliau, akibat pelanggaran tersebut, kereta Nissan yang ber­ada di belakang Perodua Kenari itu turut terlibat dalam kemalangan tersebut dan menggelongsor lalu melanggar lori treler yang berhenti di tepi jalan.
"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, suami Noresah, Hashim Brahim, 57, memberitahu, sudah menjadi rutin isterinya itu menghantar cucu ke tempat anak­nya bekerja di Kangkong selepas menunaikan solat Zohor.
"Entah kenapa hari ini (semalam) arwah hendak menghantar cucunya lebih awal dan saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh rakan yang berada di tempat kemalangan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_03/1-maut-3-cedera-dalam-kemalangan-tiga-kereta#ixzz314SVgskc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita dipercayai kurang siuman gemparkan penduduk


SEORANG wanita yang dipercayai kurang siuman duduk di atas awning tingkap sebuah rumah di tingkat 12 di pangsapuri Taman Medan, Kuala Lumpur, semalam.
PETALING JAYA 7 Mei - Seorang wanita berusia 30-an mengemparkan penduduk Pangsapuri Mentari 3, Taman Medan di sini apabila cuba terjun dari tingkat 12 pangsapuri tersebut pagi ini.
Tindakan wanita tersebut disedari kira-kira pada pukul 7.20 pagi apabila dia keluar dari tingkap bahagian dapur rumahnya dan berdiri di bumbung kajang (awning) rumah jirannya di tingkat 11.
Menurut Ketua Bomba Jalan Penchala, Penolong Penguasa Zaidi Ahtan, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan mengenai situasi itu pada pukul 7.28 pagi dan tiba di tempat kejadian pada pukul 7.40 pagi bersama lapan anggota.
Penduduk yang melihat pasukan bomba memujuk wanita berkenaan beberapa kali menjerit ketakutan apabila wanita tersebut nekad untuk terjun tetapi berjaya dihalang oleh anggota bomba.
"Kita mengambil masa setengah jam untuk memujuk surirumah yang mempunyai anak seramai tiga orang ini," kata Zaidi ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat kejadian.
Wanita tersebut berjaya diselamatkan selepas dua anggota bomba bertindak nekad keluar daripada bangunan tersebut untuk berdiri di atas bumbung kajang sebelum menarik wanita berkenaan masuk ke dalam rumah.
Menurut jiran, wanita berkenaan dipercayai mengalami masalah mental.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140508/je_02/Wanita-dipercayai-kurang-siuman-gemparkan-penduduk#ixzz314SM6YG6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gadis mengaku buang bayi dalam tandas


KUALA LUMPUR 7 Mei - Seorang pembantu kedai sebuah farmasi mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan bayi yang baru dilahirkannya ke dalam mangkuk tandas, minggu lalu.
Gadis yang berusia 18 tahun itu didakwa membuang mayat bayi itu secara sulit di tandas Guardian Retail Vision GCH (M) Sdn. Bhd., Taman Melawati, Ampang dekat sini, kira-kira pukul 4 petang, 2 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya,
S. Purnima mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Majistret Noor Farah Hazwani Osman menetapkan sebutan se­mula kes pada 16 Julai ini sementara menunggu laporan akhlak tertuduh.
"Mahkamah perlu mendengar laporan daripada pegawai akhlak, Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengetahui latar belakang kamu dan keluarga," kata beliau.
Tertuduh juga dilihat menitiskan air mata ketika mahkamah mengemukakan beberapa keping gambar mayat bayi itu kepada tertuduh sebagai bahan bukti.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta memerintahnya melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali.
Mengikut fakta kes, rakan se­kerja tertuduh yang mengesyaki sesuatu selepas tertuduh tidak keluar dari tandas untuk satu tempoh masa yang lama, bertindak masuk ke dalam bilik tandas itu.
Rakannya itu terkejut melihat tertuduh sedang memasukkan bayi ke dalam mangkuk tandas dan ketika itu bayi itu sudah tidak bergerak lagi.
Bertindak atas laporan, polis menahan tertuduh di wad bersalin Hospital Ampang, dekat sini pada keesokannya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140508/ma_02/Gadis-mengaku-buang-bayi-dalam-tandas#ixzz314SHE600
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tauke diculik angkara dendam




LAHAD DATU - Kes penculikan pengurus ternakan ikan dalam sangkar milik syarikat Wonderful Terroce Sdn. Bhd., Yang Zai Lin (gambar) di Pulau Baik berdekatan perairan Silam di sini kelmarin berkemungkinan bermotifkan dendam.
Sumber keselamatan memberitahu, skop siasatan kes itu diperluas selepas difahamkan tauke ternakan ikan itu dikatakan pernah diganggu oleh sekumpulan individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan penculik beberapa bulan lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz314R1Szxw 
Hakcipta terpelihara 

Wanita didakwa salah guna kad bank rakan beli beg, kosmetik


KUALA LUMPUR - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menyalahgunakan kad bank milik suami rakan serumahnya untuk membeli barangan kosmetik dan beg tangan bernilai RM4,150.
Tertuduh, Nazathul Shima Mohd. Azman, 38, didakwa dengan curang menyalahgunakan kad bank CIMB milik Aslin Amat untuk membuat pembayaran pembelian kosmetik dan beg tangan wanita di Plaza Damas, Jalan Sri Hartamas 17 di sini pada pukul 11.16 pagi, 25 Februari lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz314QsHR6p 
Hakcipta terpelihara 

Seludup rokok, arak RM1.6 juta


LABUAN - Cubaan sebuah kapal kargo untuk menyeludup masuk dua kontena barang berisi rokok dan minuman keras gagal selepas diserbu sepasukan anggota daripada Maritim Malaysia dalam Ops Sejahtera di Perairan Pulau Rusukan Besar di sini, Isnin lalu.
Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah, Kapten Maritim Che Adnan Md. Isa berkata, dalam kejadian pukul 9.40 malam itu, pihaknya merampas pelbagai minuman keras dan rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz314QdliXT 
Hakcipta terpelihara 

Bunuh pegawai AmBank, 35 saksi bakal beri keterangan




SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam dimaklumkan seramai 35 individu bakal dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan berhubung kes seorang pengawal keselamatan warga Indonesia yang dituduh membunuh pegawai AmBank wanita yang bermotifkan rompakan di Subang Jaya dekat sini pada Oktober tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir diberitahu, antara saksi pendakwaan yang akan memberi keterangan ialah seorang pengawal keselamatan yang sepatutnya bertugas pada hari kejadian tetapi bercuti sebelum digantikan tertuduh, La Ode Ardi Rasila (gambar), 37.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz314QZJt3Z 
Hakcipta terpelihara 

Budak maut pokok hempap rumah


TAIPING - Seorang budak lelaki berusia empat tahun maut apabila rumahnya runtuh dihempap sebatang pokok besar yang tumbang akibat ribut di Taman Perumahan Awam Kamunting dekat Taiping semalam.
S. Lingiswaran disahkan mati pada pukul 4.20 petang dipercayai akibat sesak nafas dihempap rumahnya yang ranap 80 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd. Taufiq Sattar berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 3.30 petang dan mangsa ditemui di atas katil dalam keadaan dihempap tingkap rumah yang runtuh selepas dihempap pokok Payung Indonesia.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz314Q7n6ag 
Hakcipta terpelihara