Search This Blog

Wednesday, May 7, 2014

Mayat bayi dalam tangki pam tandas klinik ditemui


7 Mei 2014


BUTTERWORTH - Mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam tangki air pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth di sini hari ini.
 
Mayat bayi dalam keadaan bogel itu ditemui pada pukul 9.10 pagi oleh seorang pesakit wanita yang ke klinik itu untuk mendapatkan rawatan.
 
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, berdasarkan keadaan mayat, polis percaya bayi itu dilahirkan dalam tempoh 24 jam lepas.
 
"Wanita itu yang menggunakan tandas berkenaan mendapati tiada air dalam pam tandas itu dan dia yang membuka penutup tangki itu mendapati ada bayi lelaki dalam keadaan duduk di dalamnya," katanya ketika dihubungi di sini.
 
Beliau berkata hasil pemeriksaan awal pihak hospital mendapati bayi seberat 1.7kg itu berusia tujuh bulan dan tali pusatnya telah dipotong.

Abdul Rahman berkata mayat bayi itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
 
"Kami telah mengambil keterangan saksi di tempat kejadian dan memeriksa kamera litar tertutup di klinik serta senarai daftar pesakit bagi mengesan ibu bayi berkenaan," katanya.
 
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.  - Bernama

Tiga termasuk dua kanak-kanak rentung


7 Mei 2014


KUCHING - Tiga rentung termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan tiga tahun dalam kebakaran yang memusnahkan 11 buah rumah di Tabuan Foochow di sini, hari ini.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya Tawang Lingen berkata, kebakaran yang turut mengorbankan seorang wanita itu bermula kira-kira 10.30 pagi dan api marak dengan cepat.

"Kami menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 10.30 pagi dan 41 bomba dari Balai Bomba Tabuan Jaya, Batu Lintang dan Kuching bergegas ke lokasi kejadian," katanya kepada Bernama.
 
Tawang berkata tujuh buah rumah musnah sama sekali manakala yang lain musnah 70 peratus.
 
"Kami berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran dalam tempoh 20 minit," katanya yang mengetuai operasi itu.

Turut berada di lokasi, Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Norisham Mohammad.
 
Tawang berkata, kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti dan siasatan mengenai punca kejadian sedang disiasat.
 
Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat. - Bernama

Jurujual mengaku bersalah buang bayi dalam tandas


7 Mei 2014


KUALA LUMPUR - Seorang jurujual di sebuah farmasi hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini membuang bayi yang baharu dilahirkan di dalam tandas tempat kerjanya, minggu lepas.
 
Remaja perempuan berusia 18 tahun dari Pasir Mas, Kelantan itu didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi itu secara sulit di tandas Guardian Retail Vision GCH Retail (M) Sdn Bhd, Taman Melawati, Ampang Jaya pada 4 petang, 2 Mei.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
 
Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh disedari rakan sekerjanya apabila rakannya itu melihat terdapat bayi yang tidak bergerak, yang baharu dilahirkan berada atas mangkuk tandas di farmasi tersebut.
 
Setelah beberapa kali bertanya kepada tertuduh mengenai perkara itu, tertuduh akhirnya mengaku melahirkan bayi berkenaan.

Tertuduh kemudiannya dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut dan tangkapan dibuat oleh pihak polis pada 3 Mei.
 
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga ibu dan adiknya.
 
"Saya berjanji tidak akan membuat perkara ini lagi dan saya akan berubah," katanya sebak.
 
Majistret Noor Farah Hazwani Osman menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak tertuduh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
 
Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran seminggu sekali sehingga tarikh jatuh hukum.   - Bernama

Polis rampas dadah RM163,000, 2 lelaki ditahan


7 Mei 2014


KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki yang sedang menjalankan aktiviti pengedaran dadah dan merampas dadah bernilai RM163,000 dalam serbuan di Jalan Radin Anum, Bandar Baru Seri Petaling di sini Sabtu lepas.
   
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, dadah yang dirampas merupakan pelbagai jenis, dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang.
   
"Kedua-dua suspek dipercayai sedang membuat urusan pengedaran dadah berhampiran sebuah restoran di jalan terbabit.
   
"Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu oleh seorang daripada mereka di hadapan restoran tersebut, polis menemui pelbagai jenis dadah di bahagian bawah tempat duduk penumpang kereta terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dadah yang ditemui ialah jenis eramin 5 sebanyak 7,000 biji yang dianggarkan mempunyai berat 2.270 kg dan dadah jenis ecstasy berjumlah 2,880 biji seberat 1.13 kg, katanya.
   
Muhammad Azlee berkata, ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.
   
"Mereka berusia 39 tahun dan 36 tahun dan kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 Mei. Kes disiasat di bawah Akta 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Bernama

Gempa kuat gegar Tokyo

Gempa kuat gegar Tokyo
Ribut petir melanda beberapa kawasan selepas gempa di Tokyo, semalam.
6 Mei 2014  TOKYO - JEPUN. Sekurang-kurangnya 17 orang cedera selepas gempa kuat 6.0 magnitud melanda Tokyo, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gegaran berkenaan dirasai penduduk menyebabkan mereka lari menyelamatkan diri.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa berlaku pada 5.18 pagi waktu tempatan di 98 kilometer di selatan Tokyo.

Agensi berita Kyodo News melaporkan, operasi kereta api bawah tanah di ibu negara Jepun itu terjejas sepenuhnya.

“Gegaran paling kuat dapat dirasai di tengah bandar raya Tokyo menyebabkan sistem lalu lintas terhenti. Penghuni flat juga bertindak meninggalkan rumah mereka selepas merasai gegaran itu,” menurut laporan itu.
Jabatan Meteorologi Jepun menganggarkan gegaran berukuran 6.2 magnitud berlaku di 160 kilometer di dasar laut berdekatan Pulau Izu Oshima di selatan Tokyo.

“Gegaran ini adalah kedua terbesar selepas kejadian sama berlaku pada Mac 2011,” menurut satu kenyataannya.

Wang RM43,000 dalam akaun lesap

NORAFIDAH ASSAN
Wang RM43,000 dalam akaun lesap
Mohd Baki menunjukkan laporan polis yang dibuatnya pada 15 April lalu di Balai polis Bahau. 
7 Mei 2014
JEMPOL - Seorang bapa yang juga orang kurang upaya (OKU) terkejut apabila mendapati wang sebanyak RM43,000 dalam akaunnya lesap dikeluarkan tanpa pengetahuannya.

Mangsa, Mohd Baki Meon, 59, berkata, dia hanya menyedari wang berkenaan 'hilang' apabila dia ingin mengeluarkan simpanan tersebut untuk membaiki kereta, tiga minggu lalu, namun mendapati baki akaunnya hanya RM21 sahaja.

“Sebelum kejadian, saya sempat mengeluarkan RM20,000 untuk dipindahkan ke dalam akaun isteri pada November lalu dan hanya mengeluarkan RM500 setiap bulan, bermula November untuk pembayaran bil kerana mempunyai pendapatan daripada Felda sebanyak RM1,200 sebulan.

“Sepanjang tempoh itu, saya tidak menyemak baki simpanan berikutan percaya wang dalam akuan bank itu selamat,” katanya yang menetap di Felda Serting Hilir, dekat sini.

Menurut Mohd Baki, menerusi penyata akaun, dia mendapati wangnya dikeluarkan hampir setiap hari dengan jumlah berbeza tanpa pengetahuannya bermula Oktober tahun lalu.

Menceritakan perkara itu, bapa kepada lima anak ini berkata, sebulan selepas terlibat dalam kemalangan Julai lalu, ada dua individu mendakwa sebagai pegawai bank datang ke rumah untuk menguruskan kad bank baharu.

"Disebabkan kemalangan itu saya kini lumpuh seumur hidup dan saya meminta pegawai bank datang ke rumah untuk membuat kad bank baharu.

"Mereka datang untuk menetapkan nombor pin baharu dengan menggunakan nombor kad pengenalan. Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah berlaku perkara ini.

"Kehilangan wang itu memang menimbulkan tanda tanya kerana kad bank dipegang sepanjang masa oleh isteri dan akan meminta anak mengeluarkan wang sekiranya perlu,” katanya.

Katanya, dia berasa sangat terkilan kerana duit itu merupakan hasil simpanan gajinya sebagai pemandu lori, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tambah Mohd Baki, satu laporan polis telah dibuat pada 15 April lalu dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak bank.

"Saya mahu pihak tersebut telus dalam penyiasatan termasuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Namun apa yang saya kesalkan pihak terbabit bagaikan membisu tanpa memberi sebarang maklumat mengenai kehilangan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

Mayat murid tahun empat ditemui

NORHAFIZAN ZULKIFLI
Mayat murid tahun empat ditemui
Mayat Ngai Ji Hong ditemui pada pukul 10.28 pagi semalam 10 meter dari tebing. Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat 
7 Mei 2014
BENTONG - Mayat seorang pelajar tahun empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Perting yang lemas di Sungai Ulu Perting kelmarin dijumpai pada jam 10.28 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik memberitahu, mayat Ngai Ji Hong, 10, ditemui 10 meter dari tebing sungai berkenaan.

"Operasi pencarian dimulakan sejurus tiba di tempat kejadian pada jam 4.55 petang sehingga jam 8.30 malam dan operasi dihentikan kerana cuaca gelap.

“Operasi bersambung semula pagi tadi (semalam) di mana ia turut disertai tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air Bomba, 15 anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Bentong dan tujuh anggota Jpam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa dipercayai lemas kira-kira jam 3 petang kelmarin ketika mandi bersama dua lagi rakannya di sungai terbabit.

“Ketika kejadian mangsa sepatutnya menghadiri kelas tambahan tetapi dilaporkan telah pergi ke sungai berkenaan bersama dua rakannya.

“Mangsa tiba-tiba lemas ketika sedang mandi dan sebaik sahaja melihat keadaan mangsa, rakannya bertindak meminta pertolongan awam sebelum menghubungi polis,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Mansor memberitahu, usaha mencari seorang lagi mangsa yang dikhuatiri lemas pada Jumaat minggu lalu masih lagi diteruskan.

Beliau memberitahu, mangsa, Sean Ng, 15, yang disyaki lemas ketika mandi bersama 11 lagi rakannya yang lain masih belum dijumpai.

Sean Ng dipercayai lemas ketika mandi di Air Terjun Sungai Gapoi yang terletak kira-kira 22 kilometer dari perkampungan Orang Asli Telemong dekat Bentong, Jumaat lepas dan usaha mencari masih lagi diteruskan.

Wanita didakwa salah guna kad bank rakan


7 Mei 2014

KUALA LUMPUR - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kad bank milik suami rakan serumahnya untuk membeli barangan kosmetik dan beg tangan bernilai RM4,150.
 
Nazathul Shima Mohd Azman, 38, didakwa dengan curang menyalahgunakan kad bank CIMB milik Aslin Amat untuk membuat pembayaran pembelian kosmetik dan beg tangan wanita di Plaza Damas, Jalan Sri Hartamas 17, di sini pada 11.16 pagi, 25 Februari lepas.
 
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
 
Timbalan Pendakwa Raya Joy Jothi Nadrarasan menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun peguam Mohd Rohan Razi yang mewakili Nazathul Shima memohon jaminan dikurangkan kepada RM1,000.
 
Majistret Nurul' Ain Abdul Rahim membenarkan wanita itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei untuk sebutan.  - Bernama

Timba ikan jumpa motosikal

MOHD TAHA YAACUB
Timba ikan jumpa motosikal.
Seorang penduduk sedang menangkap ikan dengan serkap berhampiran rangka motosikal yang ditemui dalam tali air di Kampung Gong Penaga, kelmarin.
7 Mei 2014
 BESUT - Sekumpulan penimba ikan terkejut apabila menemui sejumlah 34 rangka motosikal dipercayai motosikal curi terbenam di dasar parit tali air di tepi jalan Kampung Gong Penaga dekat Kampung Tok Has, Jertih, kelmarin.

Yusof Salleh, 60, berkata, dia bersama penduduk kampung mula menimba air di kawasan tali air itu petang Ahad lalu dan rangka motosikal yang terbenam di dalam lumpur hanya dapat dilihat selepas air surut sepenuhnya pagi kelmarin.

Menurutnya, sebanyak 11 rangka ditemui di kawasan tersebut dan kemudian dimaklumkan kepada polis.

“Selepas dimaklumkan pada sebelah pagi, anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan Balai Polis Jertih datang mengambil rangka tersebut.

“Pada sebelah petang pula kami menemui lebih 23 lagi pelbagai jenis rangka motosikal di bawah jambatan parit tali air itu tidak jauh dari lokasi pertama rangka motosikal dijumpai,” katanya.

Yusof berkata, kesemua rangka motosikal itu dipercayai motosikal curi selepas pencuri mengambil komponen enjin dan bahan lain sebelum dibuang ke dalam parit tersebut.

Menurutnya, kebanyakan rangka motosikal daripada jenis Honda EX5 dan ada antara rangka motosikal kelihatan masih baru kerana dipercayai baru dibuang di kawasan berkenaan.

Katanya, tali air itu amat popular dalam kalangan pencuri motosikal kerana ketika menimba ikan di lokasi sama lebih empat tahun lalu, sebanyak 100 rangka motosikal dijumpai di situ.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Polis, Noorzainy Mohd Noor turut berada di lokasi tersebut petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan penemuan rangka motosikal itu.

Menurutnya, kesemua rangka motosikal terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati sebuah daripada motosikal itu, jenis Yamaha RXZ dilaporkan dicuri di dalam rumah di Kampung Tok Dor manakala setakat ini motosikal lain belum dapat dikesan kerana nombor rangka telah tiada.

“Siasatan lanjut akan dijalankan termasuk pemeriksaan kimia dan forensik,” katanya.

Kamaruddin berkata, tiada tangkapan dilakukan namun siasatan akan dilakukan bagi mengesan suspek terlibat.

Mangsa tanah runtuh Afghanistan terima bantuan

Mangsa tanah runtuh Afghanistan terima bantuan
Bantuan makanan diagihkan kepada penduduk di kampung Argu di Badakshan. Foto: EPA 
7 Mei 2014 KABUL - AFGHANISTAN. Program Makanan Sedunia (WFP), kelmarin mengagihkan bantuan kepada mangsa tanah runtuh di  Badakhsan.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut menyalurkan bekalan air bersih, makanan dan khemah kepada penduduk.

Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (Sar) masih diteruskan walaupun hujan lebat yang berterusan menyukarkan usaha itu.

Jumaat lalu, lebih 2,000 orang dipercayai tertimbus manakala 700 keluarga kehilangan tempat tinggal selepas perkampungan di timur laut Abi Barik dilanda tanah runtuh akibat cuaca tidak menentu sejak beberapa minggu lalu.

Menurut Press TV, susulan daripada insiden itu, Presiden Afghanistan Hamid Karzai turut meminta semua pihak memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.

Kurung janda dalam bilik bawah tanah


Lin Dajun, 40 dilaporkan membina ‘sarang rahsia’ di bawah rumahnya di Deyang selepas isteri pertama dan kedua meninggalkannya.
Suspek didakwa mengumpan isteri pertama, Lin Yan ke rumah untuk ‘berbual’ sebelum merantainya di dalam bilik bawah tanah.

Ketika dalam tahanan, wanita berusia 35 tahun itu diancam bunuh jika cuba meninggalkan rumah, kata polis.
Foto
LIN keluar dari bilki tempat dia dikurung.

Dia didakwa dibenarkan berjalan di sekeliling rumah jika suspek tidak ke mana-mana

Jurucakap polis berkata semalam: “Dia obses terhadap mangsa dan tidak dapat menerima kenyataan yang dia telah ditinggalkan. Suspek membuat keputusan untuk mengurungnya.

“Sebaik dikurung di dalam bilik itu, dia diugut bunuh jika tidak mendengar arahan dan cuba melarikan diri.”

“Mangsa yang takut dengan ugutan itu tidak berani cuba melarikan diri.

“Apabila suspek berada di rumah, dia dibenarkan berjalan di sekeliling rumah, tetapi semasa ketiadaan suspek, mangsa dirantai semula,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Kereta berlubang langgar ayam

 Jiangxi: Seorang lelaki terkejut apabila melihat kesan kemalangan membabitkan keretanya dengan ayam.

Ayam itu terselamat dalam kemalangan itu, tetapi bampar keretanya berlubang.
Kemalangan berlaku di Xinfeng, daerah di wilayah Jiangxi, selatan China.

Huang Lingyong, 31 sedang memandu Toyota Corolla dengan kelajuan 112.65 kilometer sejam apabila ayam itu melanggar keretanya.
Foto
HUANG menunjukkan ayam yang bertembung dengan keretanya.
“Saya menekan brek kerana saya pencinta haiwan dan tidak mahu mencederakan haiwan itu. 
“Saya mendengar bunyi dentuman yang kuat dan saya menyangka ayam itu mati,” katanya.

Huang memberhentikan kereta dan keluar untuk melihat apa terjadi.

Dia terkejut apabila melihat lubang di bahagian badan kereta dan ayam terperosok di dalamnya.

“Saya menjangka ayam itu mati tetapi saya mendengar ayam itu berbunyi dan membongkok untuk melihat lebih dekat. 

“Ayam itu tidak apa-apa,” katanya.

Menurut Huang, ia boleh jadi iklan yang baik.

“Ayam itu kelihatan sangat kuat dan kualiti kereta saya tidak bagus.

“Saya merakam video dengan menggunakan telefon bimbit dan menyiarkannya dalam Internet.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Dapat ‘barang pelik’

 Oleh Mohd Jamilul AnbiaMd Denin

Cheras: Amat menyakitkan dan tidak masuk akal. Itulah antara pelbagai alatan mainan seks haram buatan China yang diseludup masuk ke negara ini secara besar-besaran sebelum dipasarkan khusus untuk lelaki tempatan.
Ini terbukti apabila pelbagai produk alatan seks haram dirampas dalam operasi khas oleh Bahagian Penguat Kuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kuala Lumpur tengah hari semalam didapati berbahaya dan boleh mencederakan pengguna.

Dalam operasi jam 12 tengah hari itu, sepasukan lapan pegawai KKM dan petugas syarikat penyiasat persendirian menyerbu sebuah unit pangsapuri di Cheras Hartamas di sini, sebelum merampas pelbagai ubat perangsang haram dan alat mainan seks dianggarkan bernilai RM1 juta.
Siasatan mendapati kebanyakan alatan seks haram diseludup itu khusus digunakan bagi tujuan menambah saiz kemaluan selain mendapatkan keseronokan seksual dengan cara menyakitkan dan berisiko tinggi.

Salah seorang pegawai BPF ditemui turut melahirkan rasa terkejut dengan penemuan pelbagai alatan pelik antaranya batang besi pengukur selain getah digunakan untuk mengikat kemaluan lelaki.

Menurutnya, besi seumpama itu kali pertama ditemui dalam rampasan dan ia dipercayai dijual kepada lelaki yang berasa kurang yakin terhadap keupayaan ‘alat’ sulit dimiliki. “Berdasarkan kaedah pemakaian diterangkan pada kotak produk, si pemakai perlu mengikat alat sulit mereka pada getah khas sebelum ditarik dan disimpulkan pada hujung besi sepanjang 20 sentimeter itu.
“Alatan dicipta ini dan dijual pada harga RM20 bagi satu set disifatkan amat berbahaya dan boleh mendatangkan kecederaan serius,” katanya.

Selain itu pihak KKM dibantu agensi siasatan khas turut menemui beratus unit alatan pam vakum kemaluan dijual dengan harga semurah RM50 seunit.
“Alatan ini turut berbahaya berikutan boleh menyebabkan kesan bengkak dan kecederaan pada saraf di kemaluan. Selain itu alatan lain seperti besi penyepit, alat pemberat dan cincin kemaluan khas turut ditemui dalam serbuan itu,” katanya. Lebih mengejutkan apabila anggota BPF turut menemui pelbagai ‘objek’ lain seperti gincu, lampu suluh, telur dan patung kecil yang digunakan untuk merangsang seksual golongan wanita. Menurutnya, operasi diketuai oleh Penolong Pengarah Kanan BPF Kuala Lumpur, Mohd Azaruddin Azis itu mendapati kebanyakan alatan seks haram itu termasuk ubat-ubatan seks tidak berdaftar itu di seludup masuk dengan kaedah mengisytiharkannya sebagai alatan semi konduktor buatan Seoul, Korea Selatan.

“Hampir semua kotak barangan seks itu mempunyai pelekat khas dengan tulisan ‘Seoul Semiconductor’ walhal ia mengandungi produk diharamkan dibawa masuk ke negara ini.

“Sindiket ini didalangi seorang lelaki warga China berusia 50-an dikesan menjadikan rumah pangsapuri kos rendah di Cheras Hartamas sebagai stor menyembunyikan semua barangan seludup itu. Pihak kami melakukan penyamaran sejak dua minggu lalu termasuk melakukan pembelian bagi meyakinkan suspek,” katanya. Dia berkata, suspek yang berasal dari Guangdong, China tidak mengesyaki penyamaran dilakukan berikutan pihak BPF berpura-pura membuat pembelian barangan seks itu membabitkan jumlah hampir RM800.

“Kami mengekori gerak- geri suspek sebelum bertindak menyerbu kediamannya. Suspek dikesan sudah 13 kali memasuki negara ini sejak setahun lalu bagi menguruskan perniagaan haramnya itu.

“Siasatan mendapati suspek terbabit turut menjual pil perangsang seks tiruan jenama Cialis. Pil tulen ini berharga RM75 setiap dua biji sebaliknya dijual murah dengan harga hanya RM15 sahaja,” katanya, Pihak CPF mendapati suspek menjadi pengedar utama alatan seks dan pil rangsangan seks haram kepada peniaga di Jalan Pudu dan Chow Kit,” katanya.

“Kebanyakan pil rangsangan seks haram yang dijual itu amat berbahaya dan boleh menyebabkan serangan sakit jantung dan kematian mendadak,” katanya. Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 (Pindaan 2006).
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Pelajar agama dituduh bunuh

 Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah agama di Rawang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini, semalam atas tuduhan membunuh tanpa niat rakannya, minggu lalu.
Pelajar lelaki itu yang menuntut di sekolah yang sama dengan mangsa bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan di hadapan Majistret Norliana Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Muhammad Abdul Azim Adnan, 15, dengan pengetahuan bahawa perbuatannya mungkin akan mengakibatkan kematian tanpa sebarang niat untuk mengakibatkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di gelanggang bola tampar Sekolah Menengah Agama Rawang, Gombak, jam 11.25 malam, 29 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) (Tahap Kedua) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zulia Balqish Syed Agil menawarkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Jun ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Adunan 2.7kg toksik maut

 Kuala Lumpur: Fakta menakutkan apabila sebanyak 2.7 kilogram toksid beracun terkandung dan bercampur di dalam setiap 454 gram pelbagai dadah sintetik terutama syabu ‘dimasak’ oleh sindiket dadah.



Kandungan toksik maut pada paras tidak masuk akal ini kemudian akan meresap ke dalam organ tubuh penagih hingga menjadi punca utama kebanyakan penagih dadah maut dalam tempoh singkat.





Malah, kebanyakan dadah generasi baru ini dicampur aduk dengan pelbagai kimia berat termasuk phosphorus dan asid hidriodic dengan kepercayaan ia boleh menambah kesan khayal pada dadah dihasilkan. Pengurus Sistem Pengurusan Integrasi Kawalan Efektif Substan (SPIKES) Dzafarullah Daud berkata, kegiatan pemprosesan dadah dengan menyalahgunakan kimia tertentu cuba ditangani melalui sistem kawalan dan pengurusan substan secara menyeluruh. Menurutnya, SPIKE mengenal pasti pelbagai bahan narkotik, psikotropik dan kimia prekursor yang digunakan secara sah di dalam bidang rawatan perubatan dan kegunaan industri yang disalah guna oleh sindiket untuk diproses menjadi dadah. “Ada antara kimia ini disalah guna oleh penagih dadah atau dipesongkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam menghasilkan dadah berbahaya yang haram seperti heroin dan methamphetamine (syabu). “Malah, sebelum ini pihak berkuasa mengesan tindakan pihak sindiket pemprosesan dadah yang cuba menyeludup pil selesema sebelum dimasak menjadi syabu,” katanya.



Menurutnya, sindiket terbabit dikesan giat melakukan aktiviti penyeludupan pil itu dengan taktik mengisytiharkan pil selesema atau pseudoephedrine itu sebagai vitamin atau makanan kesihatan ketika melepasi pintu masuk negara.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Murid ponteng ditemui lemas

 Bentong: Seorang murid tahun empat yang dipercayai ponteng kelas tambahan mati lemas ketika mandi di Sungai Pahang, Ulu Perting, dekat sini, bersama dua rakannya, kira-kira jam 2 petang, kelmarin.

Mangsa berusia 10 tahun ditemui sepasukan anggota Unit Skuba Bomba dan Penyelamat Bentong pada jam 10.29 pagi semalam selepas dua jam menjalankan operasi mencari.

Difahamkan, murid itu dipercayai ponteng kelas tambahan bersama dua rakan sebaya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hassan berkata, mayat mangsa ditemui tenggelam di dasar sungai berkenaan berhampiran dengan Empangan Ulu Perting.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong (HB) untuk bedah siasat dijalankan sebelum ahli keluarganya hadir membuat pengecaman.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Bangun sujud rugi RM10,000

 Gua Musang: Seorang wanita berusia 50 tahun kerugian hampir RM10,000 apabila beg tangannya dilarikan seorang lelaki ketika sedang menunaikan solat Zuhur di Masjid Razaleigh di sini, kira-kira jam 1.45 tengah hari, kelmarin.

Difahamkan mangsa yang juga kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) sedang menunaikan solat bersama lapan lagi jemaah wanita dan meletakkan beg tangannya berisi barang berharga dan wang tunai RM5,000 di depannya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, suspek dipercayai mengambil kesempatan ketika mangsa sujud pada rakaat keempat.
“Mangsa memaklumkan ternampak kelibat lelaki memasuki ruang solat wanita dan mengambil begnya sebelum bergegas keluar,” katanya.

Antara barang berharga dalam beg itu ialah rantai emas, kunci kereta PROTON Persona, dua telefon bimbit, cincin berlian, pasport antarabangsa, lesen memandu dan buku akaun Tabung Haji.

“Mangsa tidak dapat berbuat apa-apa kerana masih dalam solat dan hanya memaklumkan kepada jemaah lain sebaik selesai berdoa tetapi suspek sudah meninggalkan kawasan masjid.
“Dia juga mengaku tindakannya meletakkan beg tangan di depannya supaya mudah diperhatikan,” katanya di sini semalam.

Saiful Bahri berkata, antara barang berharga dalam beg itu ialah rantai emas, kunci kereta PROTON Persona, dua telefon bimbit, cincin berlian, pasport antarabangsa, lesen memandu dan buku akaun Tabung Haji.
Katanya, mangsa membuat aduan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang pada 2.20 petang dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

‘Suruh bos keluar’

 Oleh Mohd Razlan Salleh, Junaidi Ladjana dan Norasikin Daineh

Kota Kinabalu: Lima lelaki memakai seragam celoreng dan bersenjata M-16 berteriak memanggil seorang lelaki warga China sebelum menculiknya di pusat penternakan ikan sangkar di Pulau Baik, Silam, Lahad Datu, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, berlaku tembak-menembak hampir satu jam sebaik kumpulan penculik terbabit terserempak Pasukan Polis Marin (PPM) ketika cuba melarikan diri. 
Mangsa, Yang Zailin, 34, diculik menggunakan bot laju dengan enjin 200 kuasa kuda dipandu laju menuju ke sempadan perairan Malaysia-Filipina. 

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, ketika melintasi Pulau Mataking yang terletak di Semporna, kumpulan terbabit terserempak PPM sebelum berlaku tembak-menembak.
Foto
SUASANA pusat ternakan ikan sangkar di Pulau Baik, Lahad Datu. Gambar kecil mangsa culik, Yang.

“Semua mereka melepasi sempadan negara lalu menuju ke arah negara jiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Lelaki keluar memukat ditemui mati

 Rompin: Kebimbangan seorang isteri kerana suami tidak pulang selepas keluar memukat ikan terjawab apabila lelaki itu ditemui mati dipercayai akibat serangan jantung di Pantai Leban Chondong, dekat sini, petang kelmarin.

Sebelum kejadian, Dermawi Zulkarnain, 71, dari Kampung Bangkong, di Muadzam Shah, dekat sini, keluar dari rumah seorang diri dengan menunggang motosikal membawa pukat serta jaring kira-kira jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, mayat mangsa ditemui seorang lelaki berusia 26 tahun yang kebetulan bersiar-siar di pesisir pantai berkenaan jam 6 petang sebelum menghubungi polis.
Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian menemui mayat seorang lelaki lengkap berpakaian tertiarap di pantai.

Katanya, anggota polis yang berpandukan alamat pada kad pengenalan mangsa, mengesan isteri warga emas berusia 60 tahun itu sebelum membawa wanita terbabit ke Hospital Kuala Rompin (HKR) di sini, untuk membuat pengecaman.

“Wanita terbabit mengesahkan mayat itu suaminya yang tidak pulang ke rumah selepas keluar memukat ikan.
“Hasil pemeriksaan, polis mendapati tiada kesan pergelutan kecuali pipi kirinya tercalar akibat terkena pasir pantai,” katanya, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Azab dua pemandu

 Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Rembau: Dua pemandu lori terpaksa menahan sakit selama 30 minit akibat tersepit selepas terbabit kemalangan di KM 31 Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Chengkau, dekat sini, semalam.
Jurucakap polis berkata, tiga pemandu terbabit yang masing-masing memandu lori satu tan iaitu Mohd Nashrun Hazri Mohd Kamaruzzaman, 20, Tang Wee Liang, 29, bersama kelindan warga Bangladesh Md Sorab Ali Sardev, 20-an dan seorang lagi pemandu lori yang belum dikenal pasti identiti.

Siasatan lanjut berhubung kejadian jam 3.20 petang itu masih dijalankan dan dua pemandu lori dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban termasuk kelindan dan seorang lagi pemandu dirawat di Hospital Tampin.
“Saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat,” katanya.

Saksi, Amirul Nadzmi Ariffin, 17, berkata, ketika kejadian dia berada di kedai runcit sebelum terdengar dentuman kuat berhampiran jalan raya dan terus meluru keluar untuk mengetahui apa yang berlaku.

Katanya, dia terkejut melihat kemalangan membabitkan tiga lori dengan dua daripadanya berada di simpang masuk Chengkau-Astana Raja, dekat sini, manakala sebuah lagi terbabas ke tepi jalan.
“Saya kemudian melihat seorang pemandu lori (Mohd Nashrun Hazri) keluar dari lori dan berada di tengah jalan sebelum dibawa orang ramai ke tepi jalan sementara menunggu bantuan tiba.

“Dua lagi pemandu lori tersepit termasuk turut mengalami kecederaan di bahagian kaki. “Saya mendengar mangsa mengerang kesakitan, namun ditenangkan orang ramai,” katanya.
Dalam kejadian itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu operasi mengeluarkan mangsa tersepit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Potong tangan sekali

 Oleh Rohaida Omar

Kuala Krai: “Dia nekad potong gelang tangan dengan pisau meskipun puas saya menghalang. Apabila dia beredar, saya tengok tangan kiri luka teruk hingga menampakkan isi,” kata Wan Bidah Wan Yahya, 78, yang menjadi mangsa samun di rumahnya di Kampung Aur Duri, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, warga emas terbabit yang tinggal berseorangan menempuh detik menakutkan apabila disamun seorang lelaki bersenjatakan pisau ketika sedang bersiap menunaikan solat Zuhur mengakibatkan tangan kirinya cedera dan terpaksa menerima 10 jahitan. 
Dia juga kerugian lebih RM20,000 apabila rantai leher dan gelang tangan dilarikan lelaki terbabit. 

Wan Bidah berkata, ketika kejadian, dia berada dalam bilik air di dapur untuk mengambil wuduk apabila terdengar seseorang memanggil nama anak lelakinya, Awie, yang tidak lagi tinggal di situ.
Foto
WAN Bidah menunjukkan tangan kiri yang cedera.

Warga emas itu yang sudah uzur dan kabur penglihatan tidak menyahut panggilan berkenaan kerana mahu mengambil wuduk.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Pacuan empat roda milik Awie lesap

Kuala Lumpur: Sebuah kenderaan pacuan empat roda model Mitsubishi Pajero milik pelakon dan penyanyi terkenal, Awie atau nama penuhnya Azhar Othman, 46, dilaporkan lesap dilarikan penjenayah ketika diletakkan di hadapan Pangsapuri Villa Danau, Danau Kota Setapak di sini.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi semalam, kenderaan itu dipandu pembantu peribadi Awie, Mohd Khyrull Anuar Ahmad, 30, bagi urusan kerja sejak dua tahun lalu.

Mohd Khyrull berkata, kejadian berlaku sehari selepas dia dan Awie pulang dari mengikuti program minggu berbasikal di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kebiasaannya saya akan meletakkan pacuan empat roda itu di dalam kawasan pangsapuri didiami. Bagaimanapun semalam (kelmarin) saya meninggalkan pacuan empat roda itu di luar kawasan pangsapuri sekitar jam 10.30 malam kelmarin.

“Saya tidak langsung berasa bimbang kerana kenderaan itu diletakkan berhampiran pos kawalan pangsapuri itu. Malah banyak kenderaan penghuni turut diletakkan di kawasan sama,” katanya.

Dia yang mahu keluar untuk bekerja pagi semalam bagaimanapun terkejut apabila mendapati kenderaan pacuan empat roda itu hilang dicuri.
“Saya cuba mencari kenderaan itu di kawasan sekitar pangsapuri, namun gagal. Malah, saya turut menghubungi rakan untuk meminta bantuan mengesan kenderaan itu,” katanya.

Menurutnya dia amat sedih dan terkilan dengan kehilangan kenderaan milik majikannya itu.
“Abang Awie memang baik. Dia tidak pernah berkira dan selalu meminjamkan kenderaannya bagi memudahkan saya menguruskan hal persembahan dan perkara berkaitan kerja seninya,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu sudah dilaporkan ke Balai Polis Setapak.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Mayat berulat dalam guni tepi benteng

 Teluk Intan: Mayat seorang lelaki yang sudah berbau dan berulat ditemui dalam satu bungkusan guni di tepi benteng penahan ombak Rungkup Maja, di sini, kelmarin.



Lelaki berusia 45 tahun itu, ditemui dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), yang bertugas di Pos PGA Teluk Semani pada a jam 8.30 malam, sebelum memaklumkan penemuan terbabit kepada polis.





Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, ketika seorang anggota bertugas di pejabat pertanyaan Balai Polis Rungkup, di sini, dua anggota PGA berpangkat koperal memaklumkan mereka menjumpai satu bungkusan guni yang berikat dan berbau busuk dipercayai mengandungi mayat manusia.



“Susulan maklumat yang diterima, sepasukan polis ke lokasi penemuan bungkusan itu dan hasil pemeriksaan mendapati kandungan dalam guni berkenaan mayat seorang lelaki yang tiada sebarang dokumen pengenalan diri.





“Mayat lelaki itu dijumpai dalam keadaan sudah berbau dan berulat dalam guni plastik berwarna putih yang diikat rapi, namun mayat mangsa tidak diikat,” katanya, semalam.





Menurutnya, pemeriksaan terhadap mayat berkenaan tidak menemui sebarang kesan tikaman dan siasatan di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang kesan darah serta senjata.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Bergegas tinggal juadah sebelum mati dalam parit

 Bagan Serai: Misteri penemuan kain dan tudung terapung di sebuah parit diikuti sebuah motosikal dalam keadaan terbalik di Kampung Parit Jawa, di sini, terjawab dengan penemuan mayat wanita dipercayai terbabit dalam kemalangan.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang, mayat mangsa, Siti Ashah Razali, 45, dijumpai seorang penduduk kampung yang tinggal berhampiran lokasi kejadian selepas curiga melihat keadaan motosikal serta terdapat kain dan tudung terapung di parit berkenaan.

Ibu mangsa, Maimunah Dahari, 70, ketika ditemui berkata, mangsa keluar dari rumah sekitar jam 3.20 petang untuk menjemput seorang anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Matang Gerdu, di sini.
Menurutnya, sebelum kejadian mangsa dikatakan makan bersama ahli keluarga bergegas keluar dari rumah tanpa menghabiskan nasinya selepas teringat anak yang bersekolah.

“Dia (mangsa) keluar tergesa-gesa untuk menjemput seorang anak yang bersekolah.

“Kami sekeluarga terkejut melihat dia tergesa-gesa meninggalkan meja makan tanpa sempat menghabiskan nasi,” katanya.
Maimunah berkata, selepas lebih setengah jam anaknya keluar, dia dikejutkan dengan kehadiran beberapa penduduk kampung memaklumkan anaknya terbabit kemalangan.

“Berat kaki saya untuk melangkah keluar dari rumah bagi melihat keadaan anak kerana dimaklumkan dia ditemui di dalam parit dan meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut berhubung kejadian dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Wanita ditumbuk sejam pertahan maruah

 Brickfields: Seorang wanita terpaksa bergelut dan ditumbuk berulang kali di dalam kereta hampir satu jam untuk mempertahankan kesucian dirinya daripada dinoda seorang lelaki tidak dikenalinya, petang kelmarin.



Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 32 tahun dikatakan sedang menunggu bas di perhentian berhampiran sebuah pasar raya sebelum dihampiri sebuah kereta Perodua Myvi.





Difahamkan, seorang lelaki memberhentikan kenderaan berkenaan tidak jauh dari tempat mangsa berdiri sebelum berpura-pura bertanyakan arah jalan.



Sumber polis itu berkata, suspek menarik dan menolak mangsa masuk ke dalam keretanya sebelum mengunci pintu kenderaan itu.





Katanya, suspek memandu kenderaannya menuju ke pusat bandar sambil memukul mangsa dengan menampar serta menumbuknya berulang kali di kepala.





“Suspek memberitahu kononnya dia sudah memerhatikan gerak-geri mangsa sejak sekian lama selain mengetahui rumah dan tempat kerja mangsa.



“Suspek memberhentikan kenderaannya di tempat letak kereta di sebuah pusat membeli-belah di Kepong sebelum cuba memperkosa mangsa,” katanya.





Menurutnya, suspek juga mengugut akan memanggil 15 orang rakannya untuk merogol mangsa..



selain mendakwa kawasan Kepong adalah ‘jajahannya’.





“Suspek yang gagal membuka baju mangsa terus memandu kenderaannya meninggalkan lokasi terbabit sebelum meminta mangsa menyerahkan subang emas, rantai emas dan wang tunai RM1,500,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Anak tak tahu ibu meninggal

 Kuala Terengganu: “Saya belum bersedia memberitahu ibu mereka sudah meninggal dunia kerana dua anak saya masih terlantar,” kata Eushaini Abdul Rahman, 43, bapa Nur Eusnaime Dayana, 11, dan Mohd Eusnaifi, 15, yang cedera parah di muka serta badan akibat kemalangan jalan raya yang mengorbankan bekas isterinya, Rosnazira Mahmood, 33, di Sungai Tong, Setiu, Ahad lalu.



Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Rosnazira bersama dua anaknya menaiki menaiki kereta Proton Iswara dipandu teman lelakinya, Mohd Hafzan Jusoh @ Ab Ghaffar, 35, dari Sungai Udang, Melaka, untuk menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia di Kuala Krai, Kelantan.





Kereta mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Fortuner dinaiki dua lelaki yang terbabas berhampiran Balai Polis Sungai Tong.



Mohd Hafzan dan Rosnazira yang berada di depan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anaknya yang berada di belakang cedera parah di muka serta badan, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).





Eushaini ketika ditemui di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak HSNZ di sini, semalam, berkata itu anak sulungnya, Mohd Eusnaifi, kritikal kerana cedera parah di mata serta anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ manakala Nur Eusnaime Dayana yang patah kedua-dua paha dan betis serta cedera di muka, stabil.





Menurutnya, sebaik mengetahui tragedi menimpa bekas isterinya malam Ahad lalu, dia segera bertolak dari tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Krubung, Melaka, ke Kuala Terengganu untuk menjaga dua anaknya di hospital.



“Pilu melihat anak yang terlantar dan terpaksa mengharungi dugaan ini namun saya akan berusaha menghilangkan penderitaan mereka dengan memberi sepenuh perhatian menjaga mereka berdua,” katanya.





Pekerja swasta itu berkata, dua anaknya masih tidak mengetahui kejadian sebenar malah tidak tahu ibu mereka sudah meninggal dunia dan dia tidak mahu terburu-buru memberitahu perkara sebenar “Biarlah mereka sembuh dan tenang, barulah saya beritahu,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Mati hidu asap ekzos van

Kuala Lumpur: Seorang jurukimpal lelaki ditemui mati dalam keadaan misteri di dalam van selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida secara berlebihan di Kampung Cheras Baru di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa berusia lingkungan 40-an yang berpakaian lengkap ditemui rakannya terbaring di dalam van Nissan Vannete itu, kira-kira jam 8 pagi.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.08 pagi.
“Sepasukan 12 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rosuhili Mohd Taharim dikerah dalam operasi menyelamat berkenaan.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berada di dalam van terbabit dan pihak ambulans kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, mayat lelaki tempatan yang masih bujang itu dibawa keluar daripada van berkenaan pada jam 8.30 pagi. “Pihak bomba tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dalam tempoh empat jam sebelum dia ditemui. “Satu hos turut ditemui di dalam kenderaan berkenaan yang disalurkan daripada lubang ekzos dipercayai untuk dihidu lelaki terbabit,” katanya. Mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan kejadian itu.
Foto
MANGSA ditemui lengkap berpakaian.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Bakar isteri kerana mas kahwin



Kathmandu: Pihak polis Nepal sedang mencari seorang lelaki dan bapanya kerana dituduh membakar isterinya kerana berang tidak menerima mas kahwin.



Polis menuduh Farid Sheikh dan ibu bapanya menuang minyak tanah ke atas wanita berusia 25 tahun yang mengandung tujuh bulan itu dalam cubaan memeras harta, termasuk motosikal dan kerbau dari keluarganya.

“Ketika kejadian bulan lalu, mereka membawa mangsa ke India untuk dirawat dengan berkata wanita itu kemalangan,” kata jurucakap polis Prem Basnyat kepada AFP.



Selepas keadaannya bertambah teruk dan mengalami keguguran, bapa mangsa mengetahui perkara sebenar dan meminta polis memfailkan tuduhan jenayah ke atas keluarga besannya di daerah Banke, barat Nepal.





“Kami merakamkan kenyataannya semalam (Isnin), tetapi suami dan bapa mentuanya melarikan diri.





“Kami menjalankan operasi memburu mereka,” kata Bansyat.



Kumpulan hak asasi manusia tempatan berkata, mereka membawa mangsa ke sebuah hospital di Kathmandu.



Wanita itu kini berada dalam keadaan kritikal dengan seluruh bahagian bawah badannya berbalut.



Mangsa menceritakan bagaimana suaminya “menderanya setiap hari kerana tidak memberikan mas kahwin. Suaminya turut mencucuh rokok pada kemaluannya,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.



Aktivis Nepal telah lama menggesa supaya hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah keganasan berkait dengan mas kahwin.



Mereka berkata, tradisi pengantin perempuan memberikan hadiah dan bayaran kepada suami dan keluarganya supaya perkahwinan boleh dilangsungkan masih lagi diamalkan di negara seperti Nepal, India dan beberapa yang lain walaupun ia sudah diharamkan secara rasmi. - AFP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Mayat berbau dalam bilik hotel

 Kota Bharu: Seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang mayatnya ditemui dalam bilik sebuah hotel di sini, tengah hari semalam, dipercayai sudah mati beberapa hari sebelum ditemui.



Mayat itu ditemui jam 12.30 tengah hari oleh pekerja hotel terbabit yang membuka pintu bilik berkenaan bersama rakan dan abang lelaki berkenaan.





Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mayat berkenaan dipercayai berada dalam bilik hotel itu beberapa hari sebelum ditemui.







Katanya, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu berasal dari Kota Bharu dan menginap sendirian sejak 28 April lalu.





“Ketika ditemui, mayat sudah berbau dipercayai mati beberapa hari lalu. Lelaki itu orang tempatan berasal dari Kota Bharu,” katanya.





Mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.



Menurut sumber, mengesyaki sesuatu berlaku apabila mangsa tidak membuat bayaran dan gagal dihubungi selepas dua hari menginap di hotel berkenaan.





Katanya, dia menghubungi rakan mangsa yang membuat tempahan bilik terbabit yang kemudian menghubungi abang mangsa dan mencarinya di hotel.



“Tidak dapat membuka pintu, pekerja hotel datang membantu sebelum mayat terbabit ditemui,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Putin lulus undang-undang larang mengumpat, caci

Putin lulus undang-undang larang mengumpat, caci
Vladimir Putin


Langkah elak guna bahasa kasar kekal, nilai tradisional

Moscow: Presiden Russia, Vladimir Putin kelmarin meluluskan satu undang-undang yang melarang seseorang mengumpat, mencaci atau mengeluarkan kata-kata keji di dalam filem, televisyen, teater dan media. 
Undang-undang yang berkuat kuasa 1 Julai itu akan dikenakan terhadap mana-mana pesalah yang melakukan perbuatan itu dengan denda sebanyak AS1,400 (RM4,584) jika membabitkan pertubuhan dan AS70 (RM228) jika membabitkan individu, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC). 

Undang-undang berkenaan adalah terbaharu dalam rang undang-undang yang mengetatkan kawalan terhadap kebebasan bersuara dan internet” Wall Street Journal

Ia bukan hanya membabitkan organisasi atau pertubuhan penyiar kerana buku juga termasuk dalam undang-undang baharu berkenaan dan sebarang penerbitan yang mengandungi kata-kata kejian dikehendaki meletakkan label amaran di kulit depannya.

Elak gaya Barat

Menurut BBC, undang-undang berkenaan membawa kepada zaman konservatif ketika era Soviet di mana Parti Komunis mengkehendaki artis dan penulis cuba mengelak gaya Barat yang ‘kasar’ dan tetap kepada nilai tradisional.

“Undang-undang berkenaan adalah terbaharu dalam rang undang-undang yang mengetatkan kawalan terhadap kebebasan bersuara dan internet selain mengetatkan hukuman terhadap keganasan dan pelampau,” lapor Wall Street Journal. 
“Di bawah undang-undang lain yang turut diluluskan kelmarin, penulis blog yang mempunyai lebih 3,000 halaman harian juga dikenakan denda kerana menggunakan bahasa tidak sopan mulai Ogos apabila ia akan berkuat kuasa terhadap seluruh media.”

Russia mengenakan larangan hampir sama terhadap medianya awal tahun ini.

Ia bagaimanapun tidak jelas kata-kata yang bagaimana yang ditetapkan dalam undang-undang terbaharu ini.

Sesetengah berpendapat memastikan bahasa yang bersih di negara itu adalah lebih mudah dikatakan berbanding pelaksanaannya.

“Undang-undang itu membabitkan banyak kritikan dan kejutan kerana kata-kata kejian berkenaan dilihat sebagai perkara penting dalam seni Russia di mana sesetengah puisi terbaik dan karya seni menggunakan bahasa berkenaan, dari seni klasik Alexander Pushkin hingga ke karya kontemporari moden Vladimir Sorokin,” lapor Moscow Times. - AGENSI

Boko Haram ugut jual pelajar diculik

 Kano: Kumpulan Boko Haram mendakwa bertanggungjawab terhadap penculikan beratus-ratus pelajar sekolah perempuan di timur laut Nigeria, yang mencetuskan kemarahan antarabangsa mengancam untuk menjual mereka sebagai 'hamba'.



“Saya menculik budak perempuan kamu,” kata pemimpin kumpulan itu, Abubakar Shekau dalam satu video selama 57 minit yang diperoleh AFP, merujuk kepada 276 pelajar yang diculik tiga minggu lalu dari asrama sekolah mereka di Chibok, Borno.





Amerika Syarikat kelmarin berkata, pihaknya bimbang semakin ramai pelajar perempuan dibawa keluar dari negara itu.

Kebanyakan mereka mungkin dibawa ke negara jiran” Marie Harf, Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat



Jurucakap Jabatan Negara, Marie Harf berkongsi kebimbangan itu selepas pegawai tempatan di Nigeria memberitahu AFP bahawa pelajar perempuan terbabit mungkin dibawa ke negara berhampiran Cameroon atau Chad.



“Kebanyakan mereka mungkin dibawa ke negara jiran,” kata Harf memberi maklum balas terhadap soalan pemberita.



Bantuan Washington



Harf berkata, Washington menyediakan ‘bantuan membanteras keganasan’ terhadap Nigeria dalam bentuk perkongsian risikan dan bertindak membantu dalam apa cara yang difikirkan bersesuaian.

Seramai 53 pelajar perempuan berjaya melarikan diri daripada militan tetapi 223 masih ditahan, kata polis.



Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan mendapat tekanan untuk bertindak selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu sekolah perempuan pada 14 April lalu, membawa mereka keluar dari asrama dan menaiki trak sebelum dilarikan ke hutan.



Bawa pulang mangsa



Dalam kenyataan umum pertamanya mengenai penculikan itu Ahad lalu, Jonathan berikrar bahawa kerajaan akan menjejaki gadis berkenaan dan membawa mereka kembali ke pangkuan keluarga.



“Ini adalah satu percubaan kepada negara. Ia amat menyakitkan,” katanya sambil menambah bahawa beliau mendapat bantuan antarabangsa untuk mengendalikan cabaran keselamatan negara. - AGENSI

Hatyai bergegar

 Songkhla (Selatan Thailand): Pusat bandar Hatyai di sini digegarkan dengan dua letupan bom sekitar jam 2 petang waktu tempatan, semalam.



Dalam kejadian itu, seramai lapan cedera termasuk dua anggota polis Thailand, dan enam orang awam.





Sumber berkata, kedua-dua bom berkenaan yang diletupkan di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam dan kawasan letak kereta di hadapan Balai Polis Hatyai itu tidak diletupkan serentak sebaliknya diletupkan selang beberapa minit selepas letupan pertama.







“Letupan pertama kira-kira jam 2 petang merosakkan bahagian depan kedai serbaneka di Jalan Phonphichai berhadapan Kolej Teknologi Chunkgolpaktai.





“Selang beberapa minit, letupan kedua dilaporkan berlaku di dalam kawasan tempat letak kereta Balai Polis Hatyai,” katanya.





Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla ketika dihubungi mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan membabitkan rakyat Malaysia dilaporkan sehingga petang semalam.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/07

Polis buru enam lelaki Skuad Rusa


ALOR SETAR 6 Mei - Enam lelaki yang sering memperkenalkan diri mereka sebagai anggota ‘Unit Cegah Jenayah Skuad Rusa’kini menjadi buruan polis kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis dan imigresen bagi melakukan jenayah curi dan peras ugut.
Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, kesemua mereka yang berasal dari negeri ini dikenal pasti setelah enam anggota 'unit' tersebut ditahan polis kerana memeras ugut seorang pengusaha kebun getah.
“Suspek terdiri daripada Mohd. Fisol Salim, 36, dan Harunarashid Abdullah, 58, dari Sik; Mohd. Radzi Hanafi, 46, dari Pendang; Mohd. Saad Ahmad, 48, dari Alor Setar, Adnan Yahya, 54, dari Kuala Nerang dan Yahaya Md. Daud, 55.
“Selain mengaku sebagai polis dan imigresen, kumpulan itu turut mendakwa dinaungi kerabat diraja Kedah. Namun pihak istana menafikan dakwaan itu dan mengesahkan ia adalah palsu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menceritakan bagaimana kumpulan itu beroperasi, Ahmad Ibrahim memberitahu, pada 27 April lalu, pengusaha kebun getah berkenaan menghubungi polis menyatakan pekerjanya telah ditahan dan diugut beberapa lelaki.
“Pengadu yang pergi ke kebun getahnya mendapati, terdapat 20 hingga 25 suspek termasuk seorang wanita memakai topeng mengugutnya agar diberikan wang sebanyak RM3,000 jika mahu dua pekerjanya dilepaskan.
“Sebaik wang itu diserahkan, kumpulan itu beredar dengan turut merampas barangan berharga lain seperti jam tangan dan telefon bimbit," katanya.
Hasil kecekapan polis katanya, pihaknya berjaya menahan enam suspek dan merampas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Ssangyong Rexton dalam tangkapan berasingan di sekitar padang Terap bermula pukul 2.30 pagi hingga 6 pagi, Sabtu lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140507/je_06/Polis-buru-enam-lelaki-Skuad-Rusa#ixzz30ybfkpTe
© Utusan Melayu (M) Bhd