Slavyansk: Sekurang-kurangnya empat tentera Ukraine terbunuh dan 30 cedera ketika mereka meningkatkan serangan ke atas pemberontak pro-Russia semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/06
Pertempuran terbaru itu meletus ketika Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melancarkan usaha diplomatik terbaru dalam usaha mengelak perang saudara meletus di negara berkenaan.
Ukraine sebelum ini meningkatkan usaha menggempur kumpulan pro-Russia di sekitar bandar Slavyansk di timur negara itu.
Kementerian Dalam Negeri di Kiev berkata, aktivis pro-Russia yang bersenjata mengawal bandar berkenaan dengan mengguna orang awam sebagai perisai manusia dan menembak dari rumah menyebabkan sebahagiannya terbakar.
“Mereka melancarkan perang terhadap kami di negara kami sendiri.
Misi saya ialah untuk menghapuskan pengganas itu,” kata Menteri Dalam Negeri Arsen Avakov kepada wartawan berhampiran tempat pertempuran.
Ketua pasukan pengawal kebangsaan Ukraine, Stepan Poltorak berkata: “Kami mengepung mereka di tengah Slavyansk tetapi mereka cukup terlatih dan lengkap bersenjata.” Operasi di Slavyansk adalah sebahagian daripada serangan lebih luas tentera Ukraine di timur negara itu dalam usaha untuk mengusir kumpulan pemisah yang menguasai lebih 10 bandar negara berkenaan.
Pihak berkuasa berjaya menawan semula menara televisyen berhampiran Slavyansk tetapi kehilangan sebuah helikopter yang ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah.
Russia yang menolak dakwaan campur tangan di negara jirannya itu memberi amaran kekacauan di Ukirane akan menjejaskan keamanan, kestabilan dan perkembangan demokrasi di Eropah.
Kenyataan yang dikeluarkan kementerian luar Russia berkata, kumpulan pelampau nasionalis yang didakwanya menguasai kerajaan di Kiev melakukan pencabulan hak asasi besar-besaran.
Bagaimanapun, presiden sementara Ukraine berkata, Russia yang menyebabkan peperangan di negaranya.
Beliau memberi amaran aktivis pro-Russia mungkin melancarkan keganasan di Kiev Jumaat ini sempena sambutan ulang tahun kemenangan Soviet ke atas Nazi Jerman pada Perang Dunia Kedua.
“Mereka melancarkan perang terhadap kami dan kami perlu bersedia mematahkan serangan mereka,” kata Oleksandr Turchynov, yang meletakkan tentera negaranya dalam keadaan berjaga-jaga.- AFP
PENYOKONG pro-Russia bertempur dengan polis Ukraine di depan balai polis Odessa, bandar di selatan Ukraine. Kumpulan pro-Russia itu menyerang balai polis berkenaan dalam usaha membebaskan rakan mereka yang ditahan.