Search This Blog

Monday, May 5, 2014

Pusat urut, refleksologi jadi sarang pelacuran


Sebahagian pelacur warga asing yang ditahan dalam operasi di sebuah pusat urut di Seri Petaling, Kuala Lumpur, malam semalam.
KUALA LUMPUR 4 Mei - Kegiatan satu sarang pelacuran yang berselindung di sebalik premis pusat urut dan refleksologi di Jalan Radin Bagus, Seri Petaling di sini, terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa, malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur itu, seramai 11 pelacur warga asing iaitu empat dari Vietnam dan baki­nya China, ditahan.
Kesemua mereka berusia 22 hingga 40 tahun. Turut ditahan dua penjaga premis lelaki berusia 32 dan 38 tahun.
Ketua Operasinya, Inspektor Effendi Yusof memberitahu, siasatan mendapati premis itu bukan sahaja menjalankan kegiatan maksiat malah beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.
“Pemiliknya mendakwa menjalankan kegiatan urut tetapi polis menemukan bukti daripada hasil penyamaran bahawa mereka menawarkan khidmat seks kepada pelanggan pada harga RM190 setiap sesi.
“Antaranya penemuan sejumlah kondom di dalam stor dan penawaran khidmat urutan badan ke badan pada harga RM110," katanya selepas serbuan.
Effendi memberitahu, kegiatan seks ditawarkan terus kepada pelanggan tetap dan dijalankan dalam 11 buah bilik kecil yang disediakan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140505/je_06/Pusat-urut-refleksologi-jadi-sarang-pelacuran#ixzz30r95aWwq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 penyamun bersenjata ditembak mati



BEBERAPA anggota polis memeriksa kereta jenis Toyota Vios yang digunakan oleh tiga penjenayah yang ditembak mati di persimpangan Jalan Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, malam, semalam.
JOHOR BAHRU 4 Mei - Polis menembak mati tiga penjenayah yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata selepas berbalas tembakan di persimpangan Jalan Taman Desa Tebrau di sini malam tadi.
Dua daripada suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau melibatkan kes samun di Johor dan Pahang, sejak dua tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, dalam kejadian pada pukul 10.15 malam itu, dua lelaki mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mati ketika dalam perjalanan ke hospital.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia 39 hingga 41 tahun itu menaiki sebuah kereta Toyota Vios dan cuba ditahan oleh sepasukan anggota polis untuk pemeriksaan.
“Bertindak atas maklumat samun cash in transit (CIT), pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan ternampak sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Polis cuba menahan kenderaan tersebut namun dalam masa yang sama terdengar beberapa das tembakan dari arah kereta suspek dan kelihatan salah seorang daripada mereka memegang sepucuk senjata api," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Tambah Mohd. Bakri, bagi mempertahankan diri, pihak polis telah membalas tembakan dan pemeriksaan didapati, dua lelaki mati di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.
“Suspek yang cedera itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan namun mati dalam perjalanan," katanya.
Katanya, susulan kejadian itu, polis melancarkan operasi mengesan saki baki kumpulan berkenaan dan berjaya menahan lapan suspek berusia 26 hingga 38 tahun dengan tiga di Taman Setia Tropika manakala lima lagi di Taman Puteri Wangsa.
Mohd. Bakri berkata, antara yang dirampas dalam kejadian dan serbuan berkenaan adalah empat kenderaan dengan salah satunya bernombor pendaftaran palsu, tiga pucuk pistol semi auto, sepucuk pistol tiruan, peluru hidup dan sebilah parang.
“Maklumat yang diperoleh juga mendapati kumpulan itu aktif sejak dua tahun lalu dengan menjadikan premis perniagaan dan pengurup wang sebagai sasaran.
“Mereka juga mempunyai kepakaran dalam melakukan jenayah samun. Difahamkan ketika kejadian, mereka merancang melakukan jenayah samun di sekitar kawasan sebuah pusat beli-belah di sini," katanya yang turut mempercayai mereka terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140505/je_01/3-penyamun-bersenjata-ditembak-mati#ixzz30r8ARB00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki maut ditikam perompak


JEMPOL 3 Mei - Sekumpulan perompak bertindak ganas apabila menikam seorang warga emas meskipun dia telah merayu supaya tidak mengapa-apakan ahli keluarganya dalam kejadian pecah rumah di Taman Sri Mahsan, dekat sini pagi tadi.
Mangsa, G.Ravindran 57, yang ditikam di bahagian belakang badannya dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu dibawa ke Hospital Jempol untuk dirawat, namun menemui ajal ketika mendapat rawatan susulan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, dekat sini.
Menurut adik ipar mangsa, V. Guna, 48, ketika kejadian terdapat lapan orang anggota keluarga di dalam rumah tersebut yang terdiri daripada empat dewasa dan empat kanak-kanak termasuk bayi berusia tujuh bulan.
"Ketika kejadian abang ipar saya sedang menggunakan komputer di dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah.
"Dia terdengar bunyi bising dari pintu dapur dan segera keluar dari bilik tersebut. Ketika itu dia mendapati enam lelaki bertopeng sudah masuk ke dalam rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nasib malang keluarga itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, L. Manickam yang turut melawat keluarga terbabit, di rumahnya di sini hari ini.
Jelas Guna, abang iparnya yang terkejut merayu kepada penjenayah agar tidak mencederakan ahli keluarganya dan memaklumkan bahawa mereka boleh mengambil apa sahaja barang di dalam rumah tersebut.
"Salah seorang perompak itu kemudiannya membawa mangsa ke ruang tamu rumah tersebut dan ahli keluarga lain diikat dan dikumpulkan di dalam sebuah bilik tidur.
"Suspek bertindak kejam apabila menikam bahagian belakang badan mangsa, kaki dan mengetuk kepalanya menggunakan parang," ujarnya.
Guna berkata, selepas memukul mangsa salah seorang suspek telah memberikan air kepada mangsa sebelum mula menggeledah kediaman tersebut.
"Mereka telah mengambil barang kemas serta wang tunai yang jumlahnya masih belum dapat dipastikan. Selepas itu suspek melarikan diri menggunakan pintu belakang dan meninggalkan parang tersebut beberapa meter dari rumah,'' katanya
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Hamzah Alias berkata, pihaknya telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140504/je_04/Lelaki-maut-ditikam-perompak#ixzz30r8nAaOB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 maut lori rempuh kereta


KUALA TERENGGANU 5 Mei - Dua maut dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori, dua buah kereta dan sebuah van di Kilometer 29, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Ikan pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, pemandu lori, Mohd. Ghani Embong, 44, dari Kampung Tok Ba, Wakaf Mesira, Tepoh dan pemandu Perodua MyVi, Rohaiza Yusof, 35, dari Kampung Bharu Rhu Muda, Marang meninggal dunia di tempat kejadian.
Lori itu yang tidak membawa sebarang muatan dan menuju ke pusat bandar raya dipercayai dipandu laju lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan di laluan bertentangan sebelum terjatuh ke dalam gaung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Kamarul Bieza Mohd. Kassim berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan bantuan jengkaut. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140505/je_07/2-maut-lori-rempuh-kereta#ixzz30r7mHVj8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jumpa mayat bayi dalam beg kain


KOTA BHARU 5 Mei - Hasrat seorang penternak untuk memotong rumput bagi dijadikan makanan lembu yang dibela terbantut selepas dia menemui mayat seorang bayi lelaki cukup sifat di Jalan Dusun Muda di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, bayi yang masih bertali pusat itu ditemui dalam beg kain berwarna oren di gigi tali air yang penuh dengan semak-samun.
Mayat bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), Kota Bharu untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140505/je_08/Jumpa-mayat-bayi-dalam-beg-kain#ixzz30r3sgjLk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

30 terbunuh dalam kebakaran di bandar Odessa


SLAVYANSK, Ukraine 3 Mei - Lebih 30 orang terbunuh dalam kebakaran yang didakwa dicetuskan oleh kumpulan pemisah pro-Rusia di bandar Odessa, selatan Ukraine, semalam ketika keganasan semakin merebak di negara ini.
Media tempatan melaporkan, kumpulan pemisah dipercayai berada dalam bangunan tersebut ketika kebakaran bermula.
Kementerian Dalam Negeri Ukraine berkata, kebanyakan mangsa terbunuh akibat lemas ekoran asap tebal, manakala selebihnya maut apabila cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bangunan tersebut menerusi tingkap.
Rusia pula melahirkan kemarahan ekoran bandar pelabuhan tersebut menjadi lokasi terbaharu dalam peningkatan krisis politik sejak beberapa bulan lalu yang mencetuskan kebimbangan pencerobohan Ukraine oleh Rusia.
Moscow berkata, Kiev bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku kerana mencetuskan keadaan huru-hara di negara ini.
Terdahulu, dua askar Ukraine terbunuh dalam pertempuran terbaharu dengan kumpulan pemisah pro-Rusia di Slavyansk.
Angka kematian itu meningkatkan kepada sembilan orang ekoran beberapa pertempuran di bandar tersebut, semalam.
Krisis di Ukraine bermula dengan demonstrasi aman di Kiev pada November lalu membantah pentadbiran bekas Presiden, Viktor Yanukovych.
Yanukovych digulingkan pada Februari lalu dan diganti dengan pentadbiran sementara yang menyokong Barat, keadaan yang mencetuskan kemarahan Moscow.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila Crimea bertindak mengadakan pungutan suara untuk keluar dari Ukraine dan menyertai Rusia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140504/lu_02/30-terbunuh-dalam-kebakaran-di-bandar-Odessa#ixzz30r2OvXbO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Niat kahwin punah



Dalam kejadian jam 9.30 pagi, Mohd Azhar Hassan, 27, yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum terbabit kemalangan itu.
Bapa mangsa Hassan Baba, 72, berkata, dia yang dimaklumkan mengenai kejadian menimpa anaknya bergegas ke tempat kejadian dan setibanya di lokasi, mayat Mohd Azhar sudah dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
“Arwah jarang pulang ke rumah saya di Cheng, di sini dan tinggal bersama ibu angkatnya di Kampung Bukit Pulau, Melaka.
Kali terakhir dia balik rumah sebulan lalu.
“Malah, Mohd Azhar ada menyatakan hasrat untuk berkahwin penghujung tahun ini, namun semua itu tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.
Menurutnya, dia sekeluarga reda dengan kejadian itu namun terkilan kerana sudah agak lama tidak menemui anaknya itu.
Sementara itu, sumber berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas arwah dikatakan cuba mengelak kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang lalu masuk ke laluan bertentangan dan terbabit kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan tong gas.
“Berikutan kemalangan itu, motosikal Yamaha LC135 ditunggang mangsa terseret dan merempuh pula motosikal ditunggang wanita yang juga rakan sekerjanya.
“Berikutan kemalangan itu, Mohd Azhar maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala wanita berkenaan hanya cedera ringan,” katanya di sini, semalam.
Difahamkan, wanita berusia 24 tahun yang turut terbabit kemalangan itu mengandung enam bulan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, mayat dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Pulau.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman mengesahkan mengenai kemalangan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

‘CIUM BOLEH, LEBIH JANGAN!’


Siang bertudung dan berbaju kurung, namun penampilan sopan dan mengikut syariah itu berubah 100 peratus pada waktu malam apabila mereka hanya menyarung skirt pendek serta bersinglet nipis.

Demikian gelagat segelintir gadis berstatus penuntut pusat pengajian yang bukan berasal dari daerah ini untuk mencari wang tambahan dengan bekerja sambilan sebagai teman penghibur.

Walaupun tidak berada di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur atau Johor Bahru, tetapi mereka bijak mencari peluang demi memperoleh wang saku bagi menampung kos perbelanjaan harian sebagai pelajar.

Difahamkan, mereka bergerak aktif bermula jam 10 malam dan bertemu dengan lelaki yang sudah terlebih dahulu membuat temu janji di lokasi ditetapkan iaitu hanya di sekitar daerah ini.

Pelajar itu didapati menetapkan bayaran tertentu iaitu sekitar RM50 hingga RM150 dan boleh dibawa ke pusat hiburan dan pusat karaoke sebagai teman penghibur.

Namun, mereka menolak untuk dibawa ke ranjang walaupun ditawarkan bayaran lumayan.

Wartawan Harian Metro berjaya menjejaki mereka melalui kenalan di beberapa pusat karaoke dan hiburan di daerah itu.

Pada mulanya mereka enggan bekerjasama apalagi mendedahkan identiti kerana bimbang aktiviti terbongkar kepada pengetahuan keluarga.

Selepas dipujuk akhirnya beberapa wanita itu akur dan mendedahkan diri mereka adalah penuntut pusat pengajian.



Penuntut terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ika, 20, berkata, keluarga memberinya duit saku RM200 sebulan saja dan jumlah itu ditambah dengan wang pinjaman.

“Jumlah itu memang tidak mencukupi bagi menampung kos belajar dan belanja harian menyebabkan saya terpaksa memikir jalan lain bagi mendapatkan wang.

“Saya mula aktif keluar pada waktu malam sejak setahun lalu dan memperoleh kira-kira RM1,000 sebulan,” katanya.

Ika berkata, dia hanya mengambil upah menemani lelaki di pusat hiburan atau karaoke dan enggan sama sekali dibawa ke ranjang.

“Jika mereka suruh saya menyanyi atau menari saya akan lakukan, tetapi hanya setakat itu.

“Selepas dibayar dan selesai menemani mereka saya dan beberapa lagi rakan akan pulang ke rumah sewa kerana perlu berehat untuk pergi kuliah keesokan hari,” katanya.

Seorang lagi penuntut yang juga kenalan Ika dikenali sebagai Yana, 19, berkata dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti itu selepas diperkenalkan rakan-rakannya.

“Saya berani untuk turut serta dan melakukannya kerana ia tidak sampai hingga menggadai maruah saya.

“Kebiasaannya kami akan berkenalan dengan lelaki itu melalui laman sosial atau diperkenalkan daripada kenalan lain.

“Ada juga pelanggan kami daripada golongan berjawatan yang datang ke daerah ini atas urusan kerja,” katanya.

Menurut Yana, dia akan memberi amaran terlebih dulu kepada lelaki terbabit supaya tidak melakukan perkara di luar batasan.

“Tetapi, ada juga lelaki yang memeluk dan mencium saya ketika sedang berhibur, namun setakat itu saja.

“Saya lakukan ini semua hanya kerana wang dan setakat ini ia tidak mengganggu pelajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

Amanat arwah adik


“Jaga barang-barang aku, kalau aku tak de (tiada),” itu pesanan terakhir Mohd Rashid Roslan, 16, kepada kakaknya sebelum dia ditemui lemas di jeti Arang Batu, dekat sini, selepas terjatuh dari tongkah ketika memancing bersama adik dan rakannya berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Abdul Aziz Shah, Kampung Tok Muda, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Rashid bersama adik bongsu Abdul Samad, 11, dan juga rakan yang dikenali sebagai Ujang, 14, pergi ke kawasan pelepasan air stesen janakuasa berkenaan untuk memancing sebelum ditolak arus deras sehingga terjatuh dari tongkah dan hilang dibawa arus.



Bapa mangsa, Roslan Talib, 51, ketika ditemui Harian Metro semalam berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat kerja tidak berapa jauh dari stesen janakuasa dan dimaklumkan mengenai kejadian oleh pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan itu.

“Sebaik tiba di lokasi, saya melihat anak bongsu sedang diselamatkan nelayan menggunakan sampan mereka, manakala Ujang sudah berada di tebing dalam keadaan tercungap-cungap.

“Ujang kemudian memberitahu Rashid yang tidak pandai berenang hilang akibat dibawa arus deras air pasang dari stesen janakuasa,” katanya.

Roslan berkata, arwah adalah anak yang sangat baik dan rapat dengan ibu serta adik-beradik lain.

“Arwah tidak gemar keluar rumah, dia hanya akan keluar untuk menemani Samad yang suka bermain di luar rumah serta bersiar-siar sekitar kampung kerana adiknya itu adalah insan kelainan upaya.

“Kami sekeluarga menganggap ini sebagai takdir dan menerimanya dengan reda,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Muda, dekat sini, selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Suasana di rumah mayat HTAR bertambah hiba apabila ibu mangsa Sahuri Hashim, 43, yang tidak menahan kesedihan sebaik saja melihat jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Norzaid Ismail ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa kira-kira jam 10 pagi berhampiran dengan jeti hidro stesen janakuasa Kapar.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui terapung kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang selepas terjatuh dari tongkah yang dinaiki bersama dua rakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

Suspek militan tiada kaitan pesawat hilang


2014/05/05 - 06:09:13
Kuala Lumpur: Polis semalam menafikan dakwaan media asing kononnya 11 suspek militan yang ditahan baru-baru ini mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata penahanan semua suspek itu di ibu negara dan Kedah minggu lalu tidak mempunyai kaitan dengan insiden kehilangan pesawat MH370.
“Penahanan semua suspek itu tidak ada kena-mengena langsung dengan kapal terbang. Jangan percaya sangat laporan media asing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar Daily Mirror yang memetik penyiasat yang terbabit dalam siasatan kehilangan MH370 mengakui menerima laporan penuh berhubung penahanan 11 suspek yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat berkenaan.

Daily Mirror memetik seorang pegawai bahagian kaunter yang tidak dinamakan mendakwa Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan 11 suspek itu sudah disoal siasat berhubung kehilangan MH370 sejak hampir dua bulan lalu.

Khalid meminta semua pihak berpegang kepada kenyataan dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berhubung penahanan semua suspek terbabit.

“Ikutlah (semak semula) sidang media Menteri sebelum ini sebab apa mereka (suspek) itu ditahan,” katanya.

Siasat di bawah SOSMA

Ahmad Zahid dilapor berkata, semua mereka ditahan mengikut kesalahan berkaitan dengan keganasan dan Kanun Keseksaan serta disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Katanya, kerajaan tidak akan membenarkan Malaysia dijadikan sebagai pusat untuk mengembangkan kegiatan pengganas di rantau Asia Tenggara mahupun di seluruh dunia.

Layu diulit gadis ‘cheong’


Demi mempertahankan mahligai cinta yang dibina lebih 20 tahun lalu seorang isteri sanggup menanggung dosa dan memendam rasa sekian lama walaupun mengetahui suami ‘makan luar’ dengan melanggan pelacur untuk memuaskan nafsu.

Bebanan perasaan itu mula ditanggung wanita dikenali sebagai Zalina, 40-an sejak mereka berkahwin kerana suaminya seorang kaki perempuan, tetapi tidak terlalu serius kecuali setahun kebelakangan ini apabila dia mula berani melanggan pelacur dan menjadi ahli VIP sebuah kelab pelacuran atas talian.

Walaupun perkahwinan mereka dibina atas pilihan keluarga, namun suri rumah itu menyayangi suaminya sepenuh hati dan tidak sanggup berpisah, sedangkan mengetahui dia melakukan perbuatan tidak bermoral dengan wanita lain.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia mengetahui suami mula terjebak dengan kegiatan tidak bermoral sejak setahun lalu selepas mendapati dia sering memberi alasan menghadiri mesyuarat dan makan malam syarikat untuk keluar dari rumah walaupun di hujung minggu.

“Saya pernah bertanya kepadanya mengapa sanggup berbuat demikian, tetapi saya hanya mendapat amukan dan maki hamun daripadanya.



Sejak itu saya tidak berani bertanya dan banyak memendam perasaan sehingga memudaratkan kesihatan.

“Semua saya lakukan untuk menjaga maruah suami, diri sendiri selain mengelakkan anak mendapat kesan negatif daripada perbuatan bapa mereka, tetapi saya mula berfikir sampai bila saya perlu menanggung dosa diatas perbuatannya,” katanya.

Zalina berkata, perubahan drastik oleh suaminya menimbulkan pelbagai persoalan, sedangkan sebelum ini dia sering ‘melekat’ di rumah sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan kerja atau mesyuarat.

Disebabkan perasaan ingin tahu yang membuak-buak dia memeriksa telefon bimbit suaminya secara diam, untuk mendapatkan kepastian.

Katanya, alangkah terkejut apabila menemui pelbagai SMS dan WhatApps temu janji dengan wanita di hotel bajet sekitar Lembah Klang yang dihantar individu tertentu termasuk wanita.

“Selepas menyiasat saya dapati suami melanggan ‘cheong’ atau gadis pengiring dari sebuah laman sosial Facebook (FB) dikenali SMO (Seks Melayu Official), malah dia menjadi ahli VIP kelab berkenaan untuk menikmati pelbagai keistimewaan.

“Saya tidak sangka suami terbabit dalam aktiviti tidak bermoral itu sedangkan selama ini hidup kami amat bahagia.

Malah, saya geli geleman apabila membaca beberapa SMS berbaur lucah yang dihantar wanita yang pernah dilanggannya,” katanya.

Zalina berkata, walaupun dia boleh dikategorikan sebagai individu yang buta teknologi, tetapi cuba menyiasat dengan membuat kajian di Internet dan FB mengenai maksud gadis pengiring atau ‘cheong’ dan menganggap ia satu kegiatan pelacuran kelas atasan.

Apa tidaknya, dia berkata, bayaran yang dikenakan untuk menjadi ahli mencecah ribuan ringgit, malah bayaran keahlian lebih tinggi jika ingin menikmati kemudahan lebih istimewa.

Tetapi yang menyedihkan, katanya kebanyakan wanita yang diperdagangkan dalam pusat pelacuran maya itu adalah wanita Melayu, dan lebih mengejutkan ada antara mereka gadis bertudung dan isteri orang.

Selepas mengetahui perbuatan suami, Zalina berkata, dia hanya mampu mengadu kepada Allah dengan memperbanyakkan solat hajat dan berdoa supaya suaminya yang berusia lebih 50 tahun itu diberikan hidayah untuk berubah satu hari kelak.

Malah, dia juga mengambil keputusan memaklumkan kepada ahli keluarga dan meminta mereka melakukan perkara sama supaya suami menyedari perbuatannya.

“Saya terlalu menyayanginya dan tidak sanggup berpisah, pada masa sama saya memikirkan nasib anak yang bersekolah.

“Jadi, sekarang saya perbanyakkan doa dan sering mengadakan sembahyang hajat supaya suami dilembutkan hati dan sedar kesilapannya, serta bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, saya rasa ini usaha terbaik yang saya boleh lakukan supaya suami insaf,” katanya.

Sambil mengakui suaminya seorang yang berpendidikan tinggi, Zalina cuma berharap suatu hari kelak doanya dimakbulkan Allah dan kerukunan rumah tangga mereka berkekalan hingga akhir hayat.

“Dia seorang yang terpelajar dan mempunyai pekerjaan bagus.


Malah, sebagai isteri saya juga percaya dia boleh berubah...


Kini saya berdoa dan berserah kepada Allah semoga satu hari kelak ada perubahan dan penyesalan dalam dirinya,” katanya.

“Saya sedar saya tidak mempunyai pendidikan tinggi dan hanya bergantung sepenuhnya kepada suami, tetapi sebagai isteri sayaberharap ada sinar baru dalam kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

Zalina berkata, dia dijodohkan dengan suami ketika berusia 18 tahun manakala suami 28 tahun, dan sepanjang perkahwinan mereka dikurniakan tiga anak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

Masuk longkang lebuh raya


Alor Gajah: Tiga beranak nyaris maut apabila kenderaan dinaiki terbabas ke dalam longkang di Kilometer 213.2, Lebuh Raya Utara - Selatan (PLUS), arah Utara, di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 5 petang, Proton Saga dipandu Mohd Fadhil Abd Latif, 22, bersama ibunya Saerah Derani, 53, dan adiknya Mohd Naim Abd Latif, 18, hilang kawalan dan terbabas ke kiri lebuh raya.

Kenderaan dinaiki tiga beranak itu dipercayai berada di lorong kiri sebelum hilang kawalan dan nyaris merempuh penghadang besi sebelum terhumban ke longkang.

Saerah berkata, dia sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Balik Pulau, Pulau Pinang selepas menghabiskan cuti di Johor Bharu dan singgah di Melaka sebelum kereta dipandu anaknya terbabit dalam kemalangan.

“Saya berkonvoi bersama anak dan menantu serta seorang cucu yang menaiki sebuah lagi kereta.



Ketika kejadian, saya dan anak yang duduk di belakang terlelap.

Tiba-tiba saya berasakan kereta bergegar dan berpusing beberapa kali.

“Bimbang perkara buruk berlaku, saya menjerit meminta Mohd Fadhil mengawal kereta dengan baik sebelum mendapati kereta menyusur longkang di kiri lebuh raya sejauh 20 meter dan terhenti berhampiran tiang papan tanda,” katanya, di sini, kelmarin.

Menurutnya, kejadian berlaku sekelip mata, namun bersyukur kerana dia sekeluarga tidak cedera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham mengesahkan mengenai kejadian berkenaan dan berkata, pemandu dan penumpang kenderaan tidak mengalami kecederaan.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

Polis sedia teliti semula fail siasatan


2014/05/05 - 06:13:08
Polis  sedia teliti semula fail siasatan
Keratan akhbar BH AHAD.


Kuala Lumpur: Polis sedia menyemak semula fail siasatan berhubung kes pengasas Bank Kebangsaan Melayu, Maarof Zakaria yang diculik dan dibunuh pada Disember 1947.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata beliau akan menyemak semula fail siasatan untuk mengetahui sama ada ia boleh dibuka semula atau sebaliknya.


“Kes ini sudah lebih 60 tahun. Kita akan meneliti dan semak kes ini,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau berkata, polis menghadapi sedikit kesukaran untuk menyemak kes itu memandangkan ia sudah terlalu lama dan berlaku ketika zaman sebelum merdeka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri, berkata kes seperti ini boleh dibuka semula jika ada keterangan baharu dan bukti kukuh.


Budi bicara Peguam Negara
Bagaimanapun, keputusan membuka semula siasatan bergantung kepada kebenaran dan budi bicara Peguam Negara.

“Kebiasaannya, jika ada bukti baharu yang kukuh atau penemuan baharu, ia boleh dibuka semula,” katanya.

BH Ahad semalam melaporkan, Maarof yang ketika itu berusia 43 tahun, diculik pada 4 Disember 1947 ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru di sini, menuju ke rumah ibunya di Seremban.

Selepas tiga hari diculik, mayatnya ditemui di Jalan Kuala Lumpur-Bentong dalam keadaan digantung pada sebatang pokok di dalam hutan.

Kes penculikan dan pembunuhan itu sehingga kini menjadi misteri dan dipercayai ada kaitan dengan komplot menggagalkan bank Melayu pertama yang diusahakannya.

Noda bahana ikut teman lelaki


Kuala Lumpur: Mudah menerima ajakan teman lelaki yang baru dikenali menyebabkan seorang gadis sekolah berusia 15 tahun akhirnya ‘tergadai’ maruah diri selepas diperkosa petang kelmarin.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan beberapa rakan lain dikatakan bersiar-siar di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang di sini, sebelum terserempak dengan seorang rakan lelakinya.

Menurutnya, suspek berusia 20-an memujuk mangsa mengikutnya menaiki kereta dengan pelbagai helah.

“Mangsa yang mudah termakan pujukan dibawa suspek ke sebuah rumah yang tidak diketahui alamat lokasinya.



“Sebaik sampai ke rumah berkenaan, suspek berpura-pura mengajak mangsa masuk ke dalam kediaman berkenaan untuk berbual kosong.

Bagaimanapun, suspek terus menarik tangan mangsa masuk ke dalam salah sebuah bilik sebelum merogolnya,” katanya.

Menurutnya, mangsa cuba untuk melawan tetapi suspek bertindak ganas dan menengking mangsa supaya tidak membuat bising serta mengikut arahannya.

“Mangsa yang ketakutan diperkosa sebanyak dua kali dan suspek menghantar mangsa balik ke rumahnya selepas itu.

“Mangsa mengalami kesakitan akibat kejadian rogol itu kemudian menceritakan peristiwa yang berlaku kepada ibunya,” katanya.

Susulan itu, ibu mangsa segera membawa remaja itu membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, sebelum mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

Ahli arkeologi marin dakwa temui MH370

Ahli arkeologi marin dakwa temui MH370Kuala Lumpur: Seorang ahli arkeologi marin British, Tim Akers mendakwa menemui bangkai pesawat MH370 kira-kira 3,000 batu nautika dari kawasan pencarian sekarang di Lautan Hindi, lapor MailOnline semalam. Beliau mendakwa mengenal pasti sebahagian daripada ekor pesawat itu di luar pantai Vietnam, kira-kira 1,000 batu nautika dari lokasi pesawat berkenaan berlepas.

Katanya, gambaran satelit menunjukkan ekor pesawat, sayap dan beberapa serpihan lain di pantai Timur Vietnam.


Sehubungan itu, Akers, 56, dari North Yorkshire yakin beliau mungkin sudah menemui pesawat membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu.

Sokong laporan bekas juruterbang AS

Penemuan itu sekali gus menyokong laporan bekas juru terbang Amerika Syarikat, Michael Hoebel dari New York, yang turut mendakwa bangkai pesawat itu berada di luar pantai Thailand.

Akers yang dirujuk sebagai penyelidik bebas bersama Muzium Maritim Nasional, berkata beliau kini sedang mengenal pasti bahagian pesawat itu, yang mana sebelum ini pihak berkuasa Vietnam menerima laporan daripada pekerja pelantar minyak yang melihat pesawat terbakar.
Beliau berkata, adalah lebih munasabah pesawat itu terhempas di Laut China Selatan daripada terjatuh di selatan Lautan Hindi.

Akers, pernah membuat kajian di perairan Australia di Perth selama bertahun-tahun bagi mencari tinggalan kapal Perang Dunia Kedua, HMAS Sydney.

Pencarian lokasi kapal HMAS Sydney karam itu dilakukan di perairan sama pesawat Boeing 777-200ER milik Penerbangan Malaysia (MAS) dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi, di luar pantai Australia Barat.

Ajal rempuh belakang lori


Kampar: Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum merempuh belakang lori tangki di Kilometer 294.9, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara berhampiran Gua Tempurung, di sini petang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa Amir Abdul Rahim, 19, yang beralamat di Nombor 13, Kampung Parit Panjang, Baling, Kedah, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik 120 dengan sebuah lori tangki.

“Berpandukan siasatan awal mendapati motosikal dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang kanan lori yang ketika itu berada di lorong kiri.

“Akibat rempuhan itu penunggang motosikal maut dan dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.



Motosikal mangsa remuk depan manakala lori mengalami kerosakan kecil,” katanya, semalam.

Menurutnya, keadaan laluan di lokasi kejadian ketika itu hujan lebat serta jalan basah dan kemalangan terbabit menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lebih lima kilometer ke arah utara selama sejam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05

Hingus, tahi mata unta pindahkan virus


2014/05/05 - 07:38:50
Hingus, tahi mata unta pindahkan virus
Partikel MERS-CoV yang dilihat secara elektron mikro-graf dari Institut Kebangsaan bagi Alahan dan Penyakit Berjangkit (NIAID), pada 2012.

LONDON: Hingusan unta boleh memindahkan virus korona Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS-CoV) yang boleh membawa maut kepada manusia, kata satu kajian terbaharu.

Penyelidik mendapati bahawa virus dari manusia yang dijangkiti dan unta Arab dari kawasan geografi yang sama mempunyai urutan RNA yang serupa.


“Ini menunjukkan pemindahan antara haiwan dan manusia. Proses berkenaan dirujuk sebagai zoonosis,” kata Norbert Nowotny dari Institut Virologi, Universiti Perubatan Veterinar di Austria.

Dalam kajian itu, saintis menjalankan penyelidikan terhadap hingus dan tahi mata yang diambil dari 76 unta di Oman.

Tahap virus adalah amat tinggi dalam hingusan dan tahi mata unta terbabit. Pemindahan dari haiwan kepada manusia berlaku melalui kawasan hubungan ini terutama hingusan, kata saintis.

“Vaksin terhadap unta pada masa ini sedang dibincangkan. Kita akan dapat menghalang penyebaran virus berkenaan,” kata Nowotny.

Pihak berkuasa kesihatan kelmarin melaporkan 18 jangkitan terbaru dari MERS dan angka kematian meningkat kepada 111 di negara itu, berbanding 107 pada Jumaat lalu.
Dalam maklumat terkini MERS di halaman web, kementerian kesihatan bagaimanapun hanya menyebut dua kematian terbaru membabitkan seorang wanita berusia 69 tahun di Makkah yang mengalami batuk kering dan anemia serta seorang lelaki berusia 25 tahun dari Jeddah yang dipindahkan ke sebuah hospital kerajaan pada 27 April lalu. – Agensi

Tungkus lumus cari mangsa


2014/05/05 - 06:30:41
 Tungkus lumus cari mangsa
Pekerja menjalankan kerja mencari dan menyelamat di Argo, wilayah Badakhshan, kelmarin. - Foto AFP

Aab Bareek (Afghanistan): Kumpulan penyelamat semalam bertungkus lumus menyelamatkan mangsa tanah runtuh di utara Afghanistan yang menimbus sebuah kampung, dan mengorbankan beratus-ratus orang serta menyebabkan 700 keluarga kehilangan tempat tinggal.

Sebahagian besar kampung Aab Bareek di wilayah Badakhshan tertimbus pada Jumaat lalu akibat pergerakan lumpur dan batu besar yang runtuh dari tepi bukit dan menyebabkan 300 buah rumah lenyap.


Pegawai rasmi kerajaan berkata, jumlah kematian semasa adalah sekurang-kurangnya 300 orang dan jumlah itu mungkin meningkat kepada beratus-ratus orang selepas laporan awal menganggarkan seramai 2,500 mungkin terkorban.


Timbunan terlalu dalam

Ramai yang berkumpul di kawasan runtuhan terpencil itu, tatkala operasi usaha menyelamat terpaksa ditangguhkan kerana rumah yang terlalu dalam dilitupi lumpur. Hanya beberapa jasad saja berjaya ditarik keluar daripada runtuhan.

“Sekitar 1,000 keluarga terjejas dengan lebih 300 rumah musnah.
“Usaha bantuan terutamanya membabitkan perlindungan kanak-kanak, air dan keperluan keluarga yang kehilangan tempat tinggal masih dilakukan,” kata Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan.

Ia menambah bahawa 700 keluarga kehilangan rumah. Ramai meninggalkan rumah mereka kerana bimbang kaki bukit tidak stabil yang akan mengakibatkan lebih banyak tanah runtuh.

Khemah, bekalan makanan kecemasan, perkhidmatan kesihatan dan sokongan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa sedang disusun selepas ramai mangsa yang terselamat bermalam di kawasan terbuka.

Sambil bersedih berhampiran rumah bapanya yang musnah, Begum Nisa, 40, ibu kepada tiga orang anak memperincikan kejadian lumpur menimbus kampung terbabit.

“Saya sedang makan di tepi tingkap, tiba-tiba terdengar bunyi amat kuat.

“Saya menjerit menyuruh ahli keluarga menyelamatkan diri, tetapi ia sudah terlambat,” katanya.

“Saya kehilangan ibu dan bapa tersayang. Saya juga kehilangan bapa saudara dan lima ahli keluarganya,” katanya. - AFP

Visa umrah dihenti


Visa umrah dihenti
Ahli sains percaya unta boleh memindahkan virus MERS-CoV kepada manusia.
Agensi tidak terima permohonan jemaah lebih 60 tahun, kanak-kanak
2014/05/05 - 07:39:34


RIYADH: Beberapa agensi umrah dan haji tidak lagi menerima permohonan visa bagi umrah untuk jemaah berusia lebih 60 tahun dan juga kanak-kanak, berikutan nasihat Kementerian Kesihatan sebagai langkah untuk menghalang penyebaran virus korona Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS-CoV) kepada golongan berisiko ini.

“Kami juga akan menghentikan pemberian visa haji kepada jemaah yang tidak mempunyai vaksin terhadap selsema jenis lain,” kata presiden Jawatankuasa Umrah dan Haji Dewan Perdagangan dan Industri Makkah (MCCI), Saad Al-Quraishi kepada Arab News.
Penyebaran virus MERS-CoV di Wilayah Barat, terutama di Makkah, Madinah dan Jeddah memaksa kebanyakan penyedia perkhidmatan untuk menolak jemaah lebih tua walaupun kerajaan belum mengeluarkan sebarang keputusan rasmi membabitkan perkara itu.

Keputusan itu dibuat kira-kira dua bulan menjelang bulan Ramadan yang bakal menyaksikan lebih ramai jemaah mengerjakan ibadat umrah.

Pemangku Kementerian Kesihatan, Adel Fakeih minggu lalu menasihatkan golongan kanak-kanak dan jemaah berusia lebih 65 tahun, kumpulan umur yang berisiko untuk dijangkiti virus terbabit supaya menangguhkan ibadat umrah atau haji sehingga ancaman penyakit berkenaan semakin reda.

Agensi perkhidmatan umrah dan haji yang bimbang penyakit terbabit akan meningkat di kalangan calon jemaah juga memperkenalkan langkah pencegahan dan nasihat kepada pelanggan mereka.

Pihak berkuasa kesihatan kelmarin melaporkan 18 jangkitan terbaru MERS-CoV dengan angka kematian meningkat kepada 111 berbanding 107 pada Jumaat.
Sebanyak 18 kes terbaharu disahkan pada Sabtu, disifatkan sebagai jumlah penambahan kes harian tertinggi setakat ini menjadikan keseluruhan kes dicatatkan di seluruh negara adalah 296 sejak virus terbabit dikesan pada 2002.

Daripada kes terbaharu itu tujuh adalah di Jeddah, lima di Riyadh, empat di Makkah dan dua di Madinah. Seramai 13 pesakit kini dirawat di hospital awam dan lima lagi diasingkan di rumah masing-masing, kata laporan berkenaan.

Sementara itu pihak berkuasa di Amerika Syarikat mengesahkan kes pertama MERS-CoV di negara itu membabitkan seorang pekerja kesihatan.

Lelaki terbabit dikatakan mendapat penyakit itu selepas kembali ke Amerika Syarikat dari Arab Saudi minggu lalu.

Beliau kini dalam keadaan baik dan dimasukkan ke hospital di barat laut Indiana, kata pegawai kesihatan Indiana serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit. – Agensi

OKU antara 20 disyaki penagih dadah ditahan


2014/05/05 - 06:24:54
OKU  antara 20  disyaki penagih dadah ditahan
Antara penagih yang ditahan dalam serbuan di rumah hijau berhampiran pusat rekreasi Gunung Keriang di Alor Setar, semalam.

Alor Setar: Seorang lelaki kudung kaki kanan hingga paras paha, antara 20 orang yang ditahan kerana disyaki penagih dadah dalam serbuan di rumah hijau berhampiran pusat rekreasi Gunung Keriang di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 8.30 pagi itu, polis merampas 10 paket kecil dipercayai heroin, satu paket ganja dan setengah botol air ketum.


OKU berusia 40 tahun itu dikatakan sanggup menunggang motosikal roda tiga khas orang cacat dan bertongkat untuk pergi ke lokasi, semata-mata untuk membeli dadah.

Difahamkan, suspek kudung akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya sejak berusia tujuh tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata suspek yang berusia 24 hingga 56 tahun dibawa ke Balai Polis Kota Setar untuk ujian air kencing.

“Kawasan itu sudah beberapa kali diserbu dan kali terakhir diserbu pada 1 Mei lalu kerana menjadi lokasi tumpuan penagih dadah mendapatkan bekalan,” katanya di sini, semalam.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39 a (2) Akta Penagih Dadah 1952 kerana memiliki dadah, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana memiliki ketum dan Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983 serta Seksyen 6 ADB 1952 kerana memiliki dadah jenis ganja.
Adzaman berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai menjadi pembekal dadah.

Difahamkan, suspek melawan anggota polis untuk meloloskan diri tetapi gagal.

Polis turut menahan dua lelaki rakyat Myanmar yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) berusia 35 dan 50 tahun kerana disyaki datang ke situ untuk mendapatkan dadah.

4 suspek kes culik ditahan


2014/05/05 - 06:25:47
4 suspek kes culik ditahan
Sungai Buloh: Polis berjaya menyelesaikan kes penculikan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di ibu negara baru-baru ini, dengan penahanan empat suspek di sini, Khamis lalu.

Difahamkan, semua suspek berusia antara 19 dan 28 tahun, ditahan di kawasan letak kereta di Hentian Rehat & Rawat (R&R) Sungai Buloh, arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) kira-kira jam 11.30 malam.
Suspek rempuh polis


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang, berkata suspek yang berada di dalam sebuah kereta PERODUA Kancil ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Pada mulanya, polis mengarahkan pemandu kereta berhenti untuk pemeriksaan, tetapi suspek enggan sehingga memaksa anggota peronda menghalang laluan kenderaan itu.

“Ketika seorang anggota polis keluar dari kereta, seorang daripada suspek mengacukan pistol sebelum merempuh anggota polis berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Junaidi berkata, anggota polis yang cedera ringan di kaki kanan itu, melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta suspek sebelum semua mereka berjaya ditahan.

“Hasil siasatan terhadap suspek, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Damai, Air Tawar, Perak, pada jam 6.30 pagi, Jumaat lalu dan menemui mangsa dalam keadaan selamat,” katanya.


Minta wang tebusan RM10,000

Junaidi berkata, pelajar kolej swasta itu dilaporkan hilang pada 24 April lalu apabila ibu bapanya menyedari anak mereka tidak pulang ke rumah selepas pergi ke kolej sehari sebelum kejadian.

“Ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama dan empat hari kemudian, bapa mangsa pula menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suspek yang meminta wang tebusan RM10,000 bagi membebaskan mangsa,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan peras ugut.

Lelaki kurung isteri, anak 9 jam ditangkap


2014/05/05 - 06:25:16

Lelaki kurung isteri,  anak 9 jam ditangkap
Port Dickson: Polis menahan lelaki yang mengurung isteri dan anak perempuannya selama sembilan jam di sebuah rumah di Taman Nuri Fasa 2 di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun, berkata lelaki 39 tahun itu ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini, Jumaat lalu.
Masalah rumah tangga


“Kejadian ini berpunca daripada masalah rumah tangga, namun kita tetap membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan secara salah,” katanya di sini, semalam.

Khamis lalu, seorang wanita berusia 32 tahun dan anak perempuannya dikurung sembilan jam selepas bertengkar dengan suaminya, sebelum diselamatkan polis yang datang memotong mangga pintu jam 4.30 petang.

Dalam kejadian itu, suami mangsa pergi ke rumah itu untuk mengambil anak perempuan mereka, tetapi dihalang isterinya yang kemudian mengunci pintu dan tingkap.
Berikutan itu, lelaki terbabit membeli mangga baharu dan mengunci dua beranak itu dari luar.

3 penjenayah dikehendaki mati ditembak


2014/05/05 - 06:42:50
Foto
Bakri (tengah) bersama Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (dua dari kanan) menunjukkan senjata yang dirampas dalam kejadian tembak-menembak di persimpangan Jalan Desa Tebrau, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam.


Johor Bahru: Polis menembak mati tiga penjenayah warga tempatan yang dikehendaki sejak dua tahun lalu dalam kejadian tembak-menembak di persimpangan Jalan Desa Tebrau, malam kelmarin.

Siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga lelaki terbabit yang berusia 39, 40 dan 41 tahun, terbabit dalam kegiatan samun di pusat beli-belah dan pengurup wang sejak dua tahun lalu.
Rentetan kejadian pada jam 10.15 malam itu, polis melancarkan operasi di Taman Setia Tropika dan Jalan Baladau 35, Taman Puteri Wangsa dan menahan lapan lagi lelaki berusia antara 26 hingga 38 tahun, semua rakyat tempatan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata tiga lelaki yang menaiki van Toyota Estima bernombor palsu ditahan di Taman Setia Tropika.

“Dalam serbuan di Jalan Baladau 35, polis menahan lima lelaki dan merampas sebuah Kia Spectra serta menjumpai sepucuk pistol jenis Baretta 9MM bersama beberapa butir peluru hidup, sepucuk pistol tiruan, sebilah parang, beberapa helai jaket, topeng ski dan sarung tangan yang disembunyikan dalam kereta,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Terserempak lelaki mencurigakan

Beliau berkata, kejayaan itu diperoleh apabila sepasukan polis yang membuat rondaan cegah jenayah di Jalan Desa Tebrau terserempak dengan sebuah Toyota Vios dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Polis cuba menahan kereta terbabit sebelum terdengar beberapa letupan dari kereta itu dan percikan cahaya dari arah penumpang depan.

“Bagi mempertahankan diri, polis kemudian membalas tembakan menyebabkan dua lelaki mati di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPA) 1971 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Selain itu, polis juga menyiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 FIPA 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan maksimum enam sebatan.

Mayat lelaki Myanmar dengan kesan tikaman ditemui di Bukit Mertajam


2014/05/05 - 19:56:18
BUKIT MERTAJAM: Mayat seorang lelaki Myanmar dengan beberapa kesan tikaman di badan dan kelar di leher ditemui di belakang sebuah kilang ais di Taman Nagasari di sini, hari ini.

Mayat Saw Ah Lu, 25, ditemui dalam keadaan terlentang oleh seorang lelaki yang melalui kawasan itu pada jam 8.30 pagi tadi dan ketika ditemui mangsa memakai topi keledar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Superitendan Mazlan Kesah berkata hasil pemeriksaan unit forensik menemui kesan kelar pada leher dan perut lelaki itu serta kesan tikaman di perut dan belakang badan.

"Berdasarkan kesan darah pada badannya, polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu baru mati dan polis juga percaya dia dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata lelaki itu juga mempunyai tatoo tulisan di lengan kirinya dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Saudara tak balik mati dibunuh


Shah Alam: Kebimbangan seorang lelaki mengenai kehilangan adik saudaranya terjawab apabila menerima khabar buruk mengenai penemuan mayat lelaki itu di bahu jalan di Kilometer 13.1, Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mayat mangsa, Hanan Abrari, 33, warga Indonesia yang dipercayai dibunuh, ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah yang kemudian menghubungi polis.

Abang saudara mangsa, Jamid Arsadin, 59, berkata, dia bimbang apabila mangsa masih tidak pulang dari kerja pada jam 8.30 malam menyebabkan dia menghubungi lelaki itu untuk bertanya khabar, tetapi panggilan itu dijawab anggota polis yang memaklumkan mangsa ditemui mati dengan kesan hentakan di kepala.

“Biasanya, dia akan sampai di rumah dekat Balakong jam 7 malam, tetapi hari ini (kelmarin) sehingga jam 9 (malam) dia masih tidak sampai rumah,” katanya.

dan cuba menghubunginya,” katanya.

“Bagaimanapun, hanya Allah saja yang tahu perasaan saya sebaik panggilan itu dijawab anggota polis yang memaklumkan dia sudah mati dan mayatnya dijumpai orang awam,” katanya.

Jurucakap polis berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, pasukan forensik dikejarkan ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa yang lengkap berpakaian.

Menurutnya, polis menemui tiga kesan luka iaitu di dahi, kepala dan bahagian belakang leher dipercayai dipukul dengan senjata tumpul.

“Bagaimanapun, dompet milik mangsa ditemui di tempat kejadian tidak mengandungi wang, manakala dokumen peribadi dan telefon bimbit ada bersamanya,” katanya.

“Unit anjing pengesahan dipanggil ke lokasi kejadian untuk mencari senjata yang digunakan, tetapi tidak berjaya dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/05