Search This Blog

Sunday, May 4, 2014

18 kes baru MERS


Riyadh: Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi kelmarin melaporkan 18 kes baru jangkitan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Selain itu, jumlah kematian akibat virus berkenaan setakat kelmarin meningkat kepada 111 kes berbanding 107 pada Jumaat.

Ia laporan terbaru yang disiarkan di laman web kementerian itu.

Mereka hanya menyebut dua kematian baru yang membabitkan seorang wanita berusia 69 tahun yang menghidap batuk kering dan anemia di Makkah dan lelaki berusia 25 tahun di Jeddah yang dimasukkan ke hospital selepas dikesan dengan simptom pernafasan.

Jumlah 18 kes yang disahkan kelmarin adalah peningkatan terbesar dalam sehari dan meningkatkan jumlah kes yang dilaporkan di negara itu kepada 396 sejak kes itu mula dikesan pada September 2012.

Daripada jumlah kes terbaru itu, tujuh dilaporkan di Jeddah, lima di Riyadh, empat di Makkah dan dua di Madinah.

Menurut laporan itu, 13 daripadanya kini berada di hospital awam dan lima lagi dikuarantin di rumah “Kementerian Kesihatan menumpukan usaha mencegah dan merawat MERS serta menawarkan khidmat kesihatan terbaik kepada rakyat,” kata Pemangku Menterinya, Adel Fakeih.

Dia juga menggesa kakitangan perubatan bekerja dalam satu pasukan.

Jumaat lalu, AS mengumumkan ia mengesan kes pertama MERS yang disahkan pada seorang lelaki yang baru-baru ini pulang dari Arab Saudi.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Jambatan haram runtuh, 11 mati


Beijing: Sebuah jambatan yang dibina secara haram di kampung di selatan China runtuh, menyebabkan 11 orang terbunuh.

Beberapa orang turut cedera dalam kejadian itu.

Pasukan penyelamat berjaya menarik keluar 26 mangsa yang kebanyakannya pekerja binaan selepas jambatan di kampung Liangkengkou, wilayah Guangdong runtuh tengah hari kelmarin.

Lima daripada mereka disahkan mati di tempat kejadian.

Lapan yang lain cedera parah dan enam mati di hospital.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, seorang mangsa berjaya melepaskan diri daripada runtuhan itu.

Jawatankuasa kampung memutuskan membina jambatan itu untuk membolehkan penduduk menyeberang sungai di kampung itu tetapi gagal mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.

Kerajaan tempatan berulang kali mengarahkan pembinaan itu dihentikan tetapi penduduk kampung mengambil kesempatan cuti selama tiga hari sempena hari pekerja untuk memulakan kembali pembinaan itu.

Jurucakap kerajaan tempatan memberitahu, tiga lelaki yang bertanggungjawab untuk projek itu kini berada dalam tahanan polis.



-AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

Dipenjara, denda RM534j gelap dana awam


Abu Dhabi: Sebuah mahkamah di sini semalam menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan denda berjumlah Dh600 juta (RM534 juta) terhadap seorang lelaki selepas disabitkan dengan kesalahan menggelapkan dana awam dan memalsukan dokumen ketika menjadi penjawat awam.

Hukuman dijatuhkan berdasarkan beberapa pertuduhan termasuk menggelapkan, penyalahgunaan dana awam, pemalsuan dokumen kerajaan, membahayakan kepentingan jabatan awam dan mendapatkan komisen secara haram.

Mahkamah itu turut menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas tiga rakannya kerana bersubahat dan memerintahkan mereka diusir keluar dari UAE selepas menjalani hukuman.

“Dua lagi tertuduh yang bersekongkol turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan akan di usir dari negara itu,” lapor sumber, semalam.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04

30 terbunuh dalam kebakaran di bandar Odessa


SLAVYANSK, Ukraine 3 Mei - Lebih 30 orang terbunuh dalam kebakaran yang didakwa dicetuskan oleh kumpulan pemisah pro-Rusia di bandar Odessa, selatan Ukraine, semalam ketika keganasan semakin merebak di negara ini.
Media tempatan melaporkan, kumpulan pemisah dipercayai berada dalam bangunan tersebut ketika kebakaran bermula.
Kementerian Dalam Negeri Ukraine berkata, kebanyakan mangsa terbunuh akibat lemas ekoran asap tebal, manakala selebihnya maut apabila cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bangunan tersebut menerusi tingkap.
Rusia pula melahirkan kemarahan ekoran bandar pelabuhan tersebut menjadi lokasi terbaharu dalam peningkatan krisis politik sejak beberapa bulan lalu yang mencetuskan kebimbangan pencerobohan Ukraine oleh Rusia.
Moscow berkata, Kiev bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku kerana mencetuskan keadaan huru-hara di negara ini.
Terdahulu, dua askar Ukraine terbunuh dalam pertempuran terbaharu dengan kumpulan pemisah pro-Rusia di Slavyansk.
Angka kematian itu meningkatkan kepada sembilan orang ekoran beberapa pertempuran di bandar tersebut, semalam.
Krisis di Ukraine bermula dengan demonstrasi aman di Kiev pada November lalu membantah pentadbiran bekas Presiden, Viktor Yanukovych.
Yanukovych digulingkan pada Februari lalu dan diganti dengan pentadbiran sementara yang menyokong Barat, keadaan yang mencetuskan kemarahan Moscow.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila Crimea bertindak mengadakan pungutan suara untuk keluar dari Ukraine dan menyertai Rusia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140504/lu_02/30-terbunuh-dalam-kebakaran-di-bandar-Odessa#ixzz30gxVvLlr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tanah runtuh 350 terkorban


ANGGOTA sukarelawan mencari mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Badakhshan, Afghanistan, semalam. - AFP
KABUL 3 Mei - Sekurang-kurangnya 350 orang disahkan maut manakala 2,000 lagi dikhuatiri hilang dalam kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat di timur laut Afghanistan, semalam.
Gabenor Badakhshan, Shah Waliullah Adeeb hari ini mengesahkan perkara itu selepas tanah runtuh melanda kira-kira 300 buah rumah di Kampung Hobo Barik di wilayah tersebut.
Shah Waliullah berkata, pasukan menyelamat sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa, namun mereka tidak mempunyai peralatan yang mencukupi.
"Kami tidak mempunyai penyodok dan memerlukan beberapa peralatan mesin," katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, fokus diberikan untuk membantu 4,000 mangsa yang kehilangan tempat tinggal.
"Risiko kejadian ini berulang masih tinggi dan mereka perlu dipindahkan di tempat yang lebih selamat," kata pertubuhan antarabangsa tersebut.
Kawasan pergunungan di Badakhshan dilanda hujan lebat sejak beberapa hari lalu dan satu cenuram di bukit berdekatan Hobo Barik runtuh pada pukul 11 pagi (12 tengah hari) semalam.
Rakaman video menunjukkan sebahagian besar bukit runtuh menyebabkan lumpur dan tanah bergerak ke arah kawasan perkampungan berdekatan.
Ketua Polis Wilayah Badakhshan, Mejar Jeneral Faziluddin Hayar berkata, pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan tujuh orang dan mengeluarkan tiga mayat daripada runtuhan tersebut.
"Kami kini hanya dapat membantu mereka yang kehilangan tempat tinggal. Kami tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu mereka yang terperangkap kerana kekurangan peralatan," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140504/lu_01/Tanah-runtuh-350-terkorban#ixzz30gx3qwcx
© Utusan Melayu (M) Bhd