Search This Blog

Saturday, May 3, 2014

200 cedera nahas kereta api di Seoul

200 cedera nahas kereta api di Seoul
Cermin kereta api bawah tanah yang pecah selepas pelanggaran di stesen Sangwangsimni, semalam 
Seoul: Korea Selatan berdepan kemalangan membabitkan pengangkutan kedua serius dalam masa dua minggu semalam apabila dua kereta api bawah tanah bertembung, menyebabkan 200 cedera tetapi tiada laporan sebarang kematian.

Kemalangan tersebar ketika negara itu masih belum pulih daripada bencana feri pada 16 April lalu yang menyebabkan kira-kira 300 mati atau hilang, kebanyakannya pelajar sekolah, selepas bot yang dinaiki mereka karam.

Tragedi feri mencetuskan kemarahan umum dan menimbulkan persoalan sama ada negara itu yang kini menjadi negara ekonomi keempat terbesar di Asia mengorbankan piawaian keselamatan dalam keghairahan melakukan pembangunan.

Kebanyakan mangsa cuma melecet, menurut pegawai kecemasan di stesen Sangwangsimni di timur ibu negara, walaupun seorang dirawat kerana pendarahan otak dan seorang lagi kerana patah tulang.

Butiran mengenai kemalangan kereta api bawah tanah itu tidak jelas, tetapi satu tren berhenti di stesen berkenaan apabila tren kedua merempuh belakangnya pada jam 3.30 petang waktu tempatan.

Dua gerabak akhir tren yang berhenti itu tergelincir dari landasan akibat impak pelanggaran, lapor agensi berita Yonhap.

Tingkap retak 
Rakaman televisyen menunjukkan tingkap retak pada kedua-dua tren, dan satu pintu menyambung dua gerabak rosak teruk. Satu imej menunjukkan lantai dicemari kesan darah membawa kepada pintu gelungsur dalam satu gerabak.

“Kereta api yang sedang bergerak merempuh tren yang berhenti di stesen,” kata pegawai jabatan bomba, Kim Kyung-su, pada sidang media.

Tentera Ukraine cuba rampas semula Slaviansk


Bahagian hadapan sebuah kereta api rosak setelah melanggar bahagian belakang sebuah kereta api yang berhenti di stesen bawah tanah di Seoul, semalam. - REUTERS
SLAVIANSK, Ukraine 2 Mei - Tentera Ukraine melancarkan serangan termasuk menggunakan helikopter, awal pagi ini dalam usaha untuk merampas semula bandar Slaviansk yang kini menjadi kubu kuat kumpulan pemisah pro-Rusia.
Dua juruterbang helikopter terbunuh apabila dua helikopter tentera Ukraine ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah berkenaan.
Pegawai dan saksi berkata, pertempuran berlaku pada kira-kira pukul 4 pagi (9 pagi waktu Malaysia) apabila tentera Ukraine dilihat berada di kawasan luar bandar di selatan Slaviansk.
Menteri Dalam Negeri, Arsen Avakov berkata, kumpulan pemisah menggunakan senjata berat termasuk bom tangan bagi mematahkan serangan tentera Ukraine termasuk menggunakan pelancar peluru berpandu antipesawat bagi menyerang helikopter tentera Ukraine.
Avakov yang menuduh kumpulan pemisah menggunakan askar upahan berkata, Moscow menaja dan memberi senjata kepada kumpulan pemisah yang kini merampas kawalan ke atas bangunan-bangunan kerajaan di sekitar Donbass, timur Ukraine dan menggesa dua pungutan suara diadakan pada 11 Mei ini untuk menentukan kemerdekaan di dua negeri di wilayah tersebut.
Moscow menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan kumpulan pemisah yang merupakan penduduk berbahasa Rusia mempertahankan hak mereka daripada serangan pemimpin Kiev yang pro-Barat.
Avakov yang menyifatkan serangan tersebut sebagai operasi antikeganasan berkata, ia bertujuan untuk membebaskan tebusan, bangunan kerajaan dan mengembalikan fungsi pentadbiran di bandar tersebut.
“Kumpulan pemisah menggunakan senjata berat termasuk bom tangan pelancar roket dan pelancar peluru berpandu bergerak bagi mematahkan serangan pasukan khas Ukraine," katanya dalam akaun laman web Facebooknya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140503/lu_06/Tentera-Ukraine-cuba-rampas-semula-Slaviansk#ixzz30qzE9lv9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Adun Sungai Limau terlibat kemalangan

NURUL FATIHAH SULAINI
Mohd Azam Abdul Samat
Mohd Azam Abdul Samat
3 Mei 2014
 ALOR SETAR - Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat terlibat dalam kemalangan di KM320 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bukit Berapit iaitu laluan antara Taiping dengan Kuala Kangsar, Perak awal pagi tadi

Difahamkan kemalangan itu berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika Mohd Azam bersama seorang rakan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat parti.

Ketika kejadian, beliau sendiri yang memandu kereta itu walaupun sebelum itu bergilir-gilir dengan rakannya.

"Mungkin disebabkan sedikit keletihan ketika memandu, saya tidak sempat mengelak sebuah lori yang sedang bergerak perlahan mendaki bukit.

"Dalam kejadian itu, kereta saya bergesel bahagian belakang lori berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini

Beliau hanya mengalami calar pada bahagian lengan sementara rakanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kami tidak mempunyai maklumat mengenai lori berkenaan kerana besar kemungkinan pemandunya tidak menyedari kemalangan itu dan meneruskan perjalanan.

"Selesai membuat laporan polis, saya mengambil keputusan untuk balik semula ke Kedah," katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu adalah yang pertama baginya dan memberi pengajaran supaya lebih berhati-hati.

"Syukurlah saya dan rakan tidak apa-apa hanya kereta saja mengalami sedikit kerosakan," katanya.

Mohd Azam dipilih sebagai Adun setelah memperolehi12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang mendapat 10,985 undi pada pilihan raya kecil.

Kerusi Dun Sungai Limau bawah Parlimen Jerai diisytiharkan kosong susulan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

DalamPRU13,  Azizan mengekalkan Dun Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru.

Suspek samun bertopeng ditangkap

Suspek samun bertopeng ditangkap
REMBAU - Polis berjaya menyelesaikan kes samun seorang tukang masak di pos pengawal sebuah kilang, dekat sini 30 April lalu dalam tempoh dua jam selepas kejadian, ekoran penahanan enam suspek.

Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden, Mizan Md Dom berkata, kesemua suspek ditahan berusia 18 hingga 26 tahun yang mana tiga daripada mereka merupakan adik beradik, manakala seorang lagi pekerja kilang terbabit.

Beliau memberitahu, suspek pertama ditahan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian selepas pihak polis menerima laporan mengenai kejadian samun itu.

"Polis menjalankan operasi mengesan suspek dan telah menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan susulan tayar motornya pancit, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

"Penangkapan suspek pertama itu membawa kepada tangkapan lima individu lain dan juga penemuan barang curi iaitu beg, duit dan dompet mangsa.

“Kesemuanya direman selama seminggu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Kita percaya dapat menyelesaikan kes itu dengan penangkapan kesemua suspek," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan seorang tukang masak diterkam dan ditumbuk di mata kanannya oleh dua penyamun bertopeng di pos pengawal sebuah kilang di Kota, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa, Rosidah Ali, 56, cuba mempertahankan beg berisi wang syarikat sebanyak RM3,000 dan wangnya sebanyak RM2,000 yang disandang di bahagian depan badannya.

Terlelap ketika memandu

WARTAWAN SINAR HARIAN
Terlelap ketika memandu
Keadaan teksi dipandu mangsa yang melanggar tiang.
3 Mei 2014
 SEREMBAN - Gara-gara terlelap ketika memandu, seorang pemandu teksi merempuh tiang lampu di Taman Pekan Labu, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang berusia lingkungan 50-an itu dari arah Seremban menghala ke Nilai sebelum terbabas ke kiri jalan.

Saksi, Ahmad Ridzuan Alias, 26, berkata, ketika kejadian dia berada di bahagian belakang teksi terbabit, namun terkejut apabila mendapati teksi terbabit tiba-tiba terbabas ke kiri jalan dan merempuh tiang lampu di tepi jalan terbabit.

“Saya memberhentikan kereta untuk melihat keadaan mangsa dan cuba memberikan bantuan.

“Tapi mangsa hanya mengalami cedera ringan di badannya dan telah dikeluarkan orang ramai lalu membawanya ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Badrul Tamam Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu jam 3.03 petang.

“Dengan kekuatan satu jentera membabitkan tujuh anggota segera ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, mangsa sudah dikeluarkan orang ramai dan hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Remaja dirogol teman lelaki

kes rogol
SABAK BERNAM – Keinginan pelajar tingkatan empat berseronok dengan teman lelaki sehingga sanggup ponteng sekolah, akhirnya bertukar detik hitam apabila dia dirogol lelaki itu di sebuah rumah di Sungai Besar, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa, 16, dipercayai dirogol temannya lelaki itu antara jam 8 hingga 11 pagi di rumah bapa suspek yang ketika itu tiada di rumah kerana bekerja.

Menurutnya, kesempatan itu digunakan sepenuhnya suspek untuk membawanya ke rumah dan kemudiannya bertindak merogol mangsa yang baru dikenalinya kira-kira sebulan lalu.

“Lelaki yang mengenali mangsa melalui rakannya dipercayai pernah melakukan seks oral beberapa kali sebelum ini, namun mengakui baharu pertama kali melakukan hubungan seks dengan mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Noor Mushar berkata, perbuatan lelaki berusia 19 tahun itu terbongkar selepas kakak mangsa mengesyaki sesuatu berlaku kepada adiknya selepas seorang rakan mangsa menghubunginya memaklumkan mangsa tidak ke sekolah.

Katanya, suspek yang menghantar mangsa di rumah selepas waktu persekolahan, tidak menyangka perbuatannya itu berjaya dihidu kakak mangsa.

“Mangsa yang masuk ke rumah kemudiannya didesak kakaknya beberapa kali sebelum mengaku tidak ke sekolah dan dirogol lelaki berkenaan,” katanya.

Noor Mushar berkata, kakak mangsa yang terkejut dengan pengakuan adiknya itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bagi memaklumkan kejadian terbabit.

“Polis mereman suspek yang bekerja sebagai mekanik bermula 29 April lalu sehingga 6 Mei ini untuk membantu siasatan lanjut," katanya.

Maut kereta rempuh pokok

AHMAD ISMADI ISMAIL
Maut kereta rempuh pokok
Keadaan kereta Hyundai Coupe yang dipandu mangsa dalam kemalangan semalam. Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat WPKL 
2 Mei 2014
 KUALA LUMPUR – Seorang pemuda maut apabila kereta yang dipandunya terbabas selepas bergesel dengan sebuah motosikal, sebelum merempuh pokok di Jalan Istana menghala ke Sungai Besi, di sini, semalam.

Samuel Joshua Decruz, 21, yang memandu kereta jenis Hyundai Coupe, dipercayai hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal ditunggang seorang pengawal keselamatan berusia 59 tahun kira-kira jam 7 pagi.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mohd Fadhli Daud berkata, mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba Hang Tuah.

Penunggang motosikal mengalami cedera ringan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan, manakala mayat mangsa juga dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

2 remaja aktif curi motosikal dicekup

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 remaja aktif curi motosikal dicekup
Abdul Aziz (kanan) bersama pegawai penyiasat menunjukkan enam rangka Honda Ex5 yang berjaya ditemui semula selepas dibuang dalam sungai dekat Felda Jenderak Selatan. 
3 Mei 2014
TEMERLOH – Polis menahan dua remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun dipercayai terbabit 15 kes curi motosikal dalam satu serbuan Ops Lejang di dua rumah dekat Felda Jenderak Selatan kira-kira jam 3 pagi, Isnin lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, enam rangka motosikal jenis Honda Ex5 yang dibuang dalam sungai di Felda Jenderak Selatan berjaya ditemui semula hasil siasatan ke atas dua remaja terbabit.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan Balai Polis Kerdau itu berjaya menahan kedua-dua suspek di rumah ibu bapa masing-masing.

“Siasatan awal ke atas remaja terbabit, mereka mengaku melakukan jenayah curi motosikal di kawasan Temerloh dan Jerantut.

“Polis berjaya menemui enam rangka motosikal yang dibuang dalam sungai terbabit dengan tiga daripada rangka itu dikesan hilang di Bandar Inderapura, Jerantut, Bandar Baru Jerantut dan Paya Pulai, Temerloh.

“Tiga lagi rangka motosikal gagal dikesan apabila nombor casisnya telah dipadam,” katanya pada sidang media di IPD Temerloh semalam.

Abdul Aziz berkata, siasatan mendapati kedua-dua remaja terbabit mencuri motosikal dan meleraikannya serta mengambil barangan yang boleh dijadikan alat ganti.

“Kedua-dua yang ditangkap juga positif ujian air kencing dan mereka juga mengaku mencuri 15 motosikal sejak 2011, polis akan meneruskan siasatan dan percaya akan menemui lagi barang kes membabitkan remaja terbabit,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A/ dan 414 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan melupuskan barang curi.

Anak positif pil kuda pukul bapa


2 Mei 2014


BESUT - Seorang anak dilaporkan memukul bapanya dengan botol setelah tidak melayan pertanyaan anaknya di mana letaknya gelas minuman di rumah bapanya di Kampung Bukit Jerok di sini semalam.

Akibatnya si bapa yang bekerja sebagai penoreh getah yang berumur 66 tahun itu cedera di kepala, mata, telinga dan betis dan terpaksa dirawat di wad kecemasan Hospital Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian itu dan berkata si anak yang berumur 21 tahun dan bekerja dengan sebuah syarikat kabel elektrik tidak berpuas hati dengan jawapan bapanya lalu dia mengamuk.

Beliau berkata pemuda tersebut telah ditahan dan ujian air kencing mendapati dia positif pil kuda. - Bernama

Mudah percaya 'orang alim' punca tertipu

Kota Makkah
KUALA LUMPUR - Mudah percaya kepada perwatakan orang alim dan teruja untuk berkunjung ke tanah suci Makkah menyebabkan ramai umat Islam di negara ini mudah menjadi mangsa penipuan sindiket umrah.

Menurut statistik Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, sebanyak 1,826 kes dengan kos kerugian melebihi RM10 juta berhubung penipuan pakej umrah dilaporkan sejak tahun 2010 sehingga tahun lepas.

Malah kebimbangan itu turut dibangkitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam khutbah Jumaat semalam bertajuk "Taqwa asas keluhuran pekerja"  berhubung urusan yang melibatkan ibadah pun tidak sunyi daripada gejala tidak bermoral, seperti kes penipuan dalam pakej pelaksanaan ibadah umrah.

Untuk itu, pelbagai pihak menasihati umat Islam supaya berhati-hati memilih agensi untuk mengendalikan urusan mengerjakan umrah.

Menurut Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah yang banyak mengendalikan pakej umrah dan haji, umat Islam perlu berhati-hati serta tidak mudah percaya dengan agensi yang tidak dikenali untuk menguruskan urusan ibadah ini.

Antara perkara mudah yang boleh dilakukan untuk mengelak daripada ditipu adalah dengan memastikan agensi yang menawarkan perkhidmatan umrah diiklan di surat khabar, katanya kepada Bernama.

Ini kerana kos untuk membeli iklan di surat khabar bukannya murah kerana ada masanya ia boleh mencecah ratusan ribu ringgit untuk setahun, selain nombor lesen perniagaan perlu disertakan, katanya.

"Jika mereka (syarikat yang mengiklankan perkhidmatan itu) ini menipu, individu yang ditipu sudah pasti membuat laporan polis dan syarikat juga mudah dikesan kerana ada nombor perniagaan," katanya.

Md Daud, yang telah menguruskan jemaah ke Makkah sejak 1975 turut mengingatkan umat Islam supaya tidak mudah percaya kepada 'tawaran luar biasa' pakej umrah dengan tawaran harga yang terlalu rendah dengan alasan sebahagian kos ditanggung oleh 'orang kaya' yang mahu 'bersedekah'.

"Pengusaha agensi umrah juga perlu berhati-hati. Kami juga pernah didatangi individu membuat bayaran muka RM300 seorang untuk 200 individu, dan apabila diminta membayar jumlah penuh RM4,900 seorang, kami diberitahu ada dermawan yang berjanji akan menanggung sebahagian kos," katanya.

"Sedangkan tiada perjanjian perkara itu diberikan, dan sebagai jalan penyelesaian, kami pulangkan wang pendahuluan yang dibayar, kerana tidak mahu dianggap bersubahat dalam penipuan itu," katanya.

Beliau kesal penipuan itu tetap berlaku setiap tahun walaupun kisah seumpamanya sering dihebahkan media, dan menyifatkan individu yang mengaut keuntungan dengan menipu dalam soal ibadah dilaknat ALLAH.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman menasihatkan orang ramai untuk melakukan penyelidikan berhubung agensi umrah yang mahu digunakan, termasuk menyemak harga pakej yang ditawarkan.

"Jika diberikan diskaun RM200 boleh dianggap normal, namun jika harga terlampau murah, kita mesti ada sikap was-was kerana urusan pengangkutan, penginapan dan makan minum semuanya menggunakan wang," katanya.

Beliau juga berharap supaya tribunal menjadikan aduan melibatkan kes penipuan sebagai keutamaan, selain memberikan hukuman yang berat untuk dijadikan pengajaran kepada mereka yang melakukan kegiatan sama.

"Jika denda sudah tidak dapat memberi pengajaran, kita patut kenakan hukuman penjara kerana orang yang menipu dalam umrah ini mempermainkan imej agama kita," katanya.

Maamor berkata, individu yang memiliki rekod melakukan kesalahan itu juga perlu dipantau dan disenaraihitamkan supaya tidak dapat menubuhkan sebuah syarikat baharu atau menggunakan nama individu lain yang berhubung kait dengannya. - Bernama

Pemandu lori terodok kayu

Pemandu lori terodok kayu
 Anggota penyelamat cuba mengeluarkan kayu dari paha mangsa.
3 Mei 2014
 ANHUI - CHINA. Seorang lelaki terpaksa mengharungi detik cemas apabila batang pokok tertusuk di celah pehanya selepas terlibat kemalangan di Wuhu, China, Rabu lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Wang Yang, 43, dalam perjalanan pulang dari menghantar hasil tanamannya di bandar Wuhu.

Selepas menyedari brek lori yang dibawa tidak berfungsi dia bertindak nekad melanggar pokok tumbang di tengah jalan.

Jurucakap bomba berkata, situasi ketika itu amat mendebarkan kerana mangsa mengalami luka serius dan tidak boleh bergerak.

"Saya tidak pernah melihat kecederaan menyakitkan seperti itu. Dia sukar bernafas dan kehilangan banyak darah," katanya.

Difahamkan, pembedahan selamat dilakukan dan mangsa kini berada dalam keadaan stabil namun berisiko mengalami jangkitan  kuman kerana terdapat banyak selumbar di dalam lukanya itu, laporan dipetik dari Mirror News.

3 maut, 30 tertimbus lombong runtuh

3 maut, 30 tertimbus lombong runtuh
Kelihatan orang awam berada di tempat kejadian runtuhan lombong yang berlaku kelmarin, di San Antonio, Jabatan Cauca, Colombia, semalam. - Foto EPA
3 Mei 2014  BOGOTA - COLOMBIA. Tiga terbunuh dan lebih 30 lagi dikhuatiri maut akibat tertimbus selepas berlaku runtuhan lombong di barat Colombia, semalam.

Ketua Bomba dan Penyelamat Cauca Victor Claros berkata, sejurus tiba di tempat kejadian pasukannya mengeluarkan tiga mayat.

“Usaha menemui mereka yang terselamat tipis kerana masih ramai terperangkap di bawah lombong emas sedalam 20 meter itu,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku di lombong terletak di pinggir Bandar Santander de Quilichao, di mana mangsa dikatakan menggali lombong tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Colombia mempunyai lebih 14,000 lombong dengan lebih separuh diusahakan tanpa permit, laporan dipetik dari AFP.

Tanah runtuh: 350 maut di Afghanistan

Tanah runtuh: 350 maut di Afghanistan
Penduduk kampung Afghanistan berkumpul di tapak tanah runtuh di daerah Argo di Badakhshan. - Foto dipetik dari Reuters
3 Mei 2014  MAZAR-I-SHARIF - AFGHANISTAN. Kejadian tanah runtuh di utara Afghanistan semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 350 orang maut dan beratus-ratus dikhuatiri hilang.

Ketika ini operasi menyelamat dijalankan bagi mencari penduduk kampung yang mungkin tertimbus.

Pasukan kecemasan yang pertama tiba di tempat kejadian ialah dari wilayah Badakhshan sudah mula menggali di celah batu dan lumpur.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pasukan tentera diketuai Nato juga bergegas untuk memperbaiki kerosakan dan menghulurkan bantuan.

Dilaporkan kejadian tanah runtuh berpunca daripada hujan yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.

"Jumlah yang mati meningkat kepada 350 orang," kata PBB dalam satu kenyataan di sini, laporan dipetik dari AFP.

Duda bawa duka


Johor Bahru: Pada mulanya dia menyangka kehadiran seorang lelaki dalam hidup mampu menjadi pelindung, namun sebaliknya perkahwinan dengan duda berkenaan akhirnya menjadi detik hitam apabila dia disahkan dijangkiti virus HIV.
Sejak itu, hidup Aisyah (bukan nama sebenar), 46, bagai tenggelam punca kerana lelaki yang menjadi harapan untuk tempatnya berlindung sebenarnya pembawa virus HIV dan penyakit berkenaan dirahsiakan sehinggalah dia dijangkiti. 
“Dia yang menggelarkan dirinya sebagai penyelamat keluarga saya, tetapi merahsiakan status dirinya sebagai pembawa virus HIV. 

“Saya hanya menyedari dijangkiti virus berkenaan kira-kira dua bulan sebelum dia meninggal dunia.
Foto
AISYAH melihat laporan kesihatan yang menunjukkan dia kini dijangkiti virus HIV.

“Kini saya nekad meneruskan kehidupan demi masa depan anak perempuan saya berusia 14 tahun hasil perkahwinan pertama saya sebelum ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Pot sabung kena serbu


Oleh Mohd Khidir Zakaria

Seremban: Tujuh puluh tujuh orang, termasuk tiga sekeluarga rakyat Thailand ditangkap ketika leka berjudi di Kampung Pasir, Rantau dekat sini, awal pagi tadi.

Semua yang ditahan termasuk empat perempuan berusia dari 19 hingga 55 tahun.


Polis turut merampas 67 ayam sabung dan pelbagai peralatan seperti sangkar atau kurungan ayam.

Difahamkan, dalam perjudian itu setiap peserta dikenakan bayaran RM50 dan bakal memperoleh RM500 jika menang pertaruhan.


Operasi bermula 11.15 malam hingga 2 pagi disertai lapan pegawai dan 32 anggota polis membabitkan unit-unit dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban.


Ketika serbuan, beberapa pemain ayam sabung ini cuba melarikan diri namun kedua-dua pintu dan sekeliling kawasan perjudian itu sudah dikepung anggota polis menyebabkan mereka terpaksa mengalah dan menyerah diri.

Kawasan 30 meter persegi itu turut terdapat beberapa khemah dan dua gelanggang kekal serta reban ayam yang baru dibina dan lebih menarik di luar premis itu terdapat replika ayam jantan yang besar.

Menurut sumber, mereka sudah lebih dua tahun menjalankan aktiviti itu yang disertai oleh pelbagai bangsa, Melayu, Cina dan India dan beberapa warga negara luar termasuk dari Thailand.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan semua yang ditangkap dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk soal siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Belasah ayah tegur maksiat


Ampang: “Anak derhaka! Tergamak dia menghempuk kepala saya dengan kerusi hingga cedera teruk,” luah seorang lelaki warga emas yang hanya ingin dikenali sebagai Murad, 87, selepas dipukul oleh anak perempuannya sendiri.
Murad yang tinggal bersama anak perempuannya berusia 50-an mendakwa turut dihamburkan kata-kata kesat susulan tindakannya menegur perbuatan sumbang anaknya itu bersama bekas menantu di kediamannya di sini. 
Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 8 malam Selasa lalu, apabila dia mendapati anak perempuannya itu masih ‘bermesra’ dengan bekas suami walaupun mereka sudah bercerai. 

“Saya yang tidak tahan melihat gelagat mereka bertindak menegur dan menasihati anak saya itu. Bagaimanapun niat baik saya itu dibalas dengan hamburan kata-kata kesat.
Foto
MURAD menunjukkan kesan cedera akibat dibelasah anak perempuannya.

“Tidak cukup dengan itu, dia turut membaling botol minuman ke arah saya sebelum mencapai kerusi kayu berhampiran. Kerusi itu kemudian dipukul sekuat hati ke arah belakang tubuh dan kepala saya,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Maut dihempap lantai konkrit


Johor Bahru: Seorang buruh Indonesia maut selepas dihempap lantai konkrit dalam kejadian di tapak pembinaan pangsapuri Marina View Jalan Persiaran Senibong di sini, 1.25 pagi ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Sufian Mohamed Lis ketika dihubungi, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 3.30 pagi.
"Laporan awal diterima mendakwa 12 pekerja di ruang lantai parkir di bangunan berkenaan dan kejadian berpunca daripada lantai di tingkat atas tempat mangsa berada runtuh secara tiba-tiba.

"Kami sampai di tempat kejadian pada 3.43 pagi dan mendapati mangsa sudah dikeluarkan oleh pekerja lain dan polis.
Foto
POLIS memeriksa kawasan kemalangan yang menyebabkan buruh warga Indonesia terbunuh. IHSAN Bomba dan Penyelamat

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa lain namun gagal menemui 11 lagi seperti didakwa dan mangsa yang mati serta merta akibat kejadian dibawa pihak polis ke hospital berdekatan untuk bedah siasat," katanya.

Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Kangkar Tebrau, Johor Bahru, Pasir Gudang dan Taman Universiti Skudai dikejarkan ke tempat kejadian bersama 25 anggota.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh dalam satu kenyataan berkata, mangsa, Ainur Rasyid, 38, bersama seorang rakan senegara sebelum kejadian sedang memeriksa bancuhan simen sebelum lantai konkrit berkenaan runtuh secara tiba-tiba.

"Rakan mangsa turut dihempap namun berjaya melepaskan diri tetapi mangsa yang tertimbus mati di tempat kejadian," katanya.

Sulaiman berkata, mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk bedah siasat dan pihak Konsulat Indonesia sudah dimaklumkan mengenai kejadian.

"Managsa bekerja sebagai buruh kontrak dan memiliki pasport sah. Tiada unsur jenayah dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Pekerja jumpa bayi perempuan dalam mangkuk tandas


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Ampang: Pekerja kedai menjual barangan kesihatan terperanjat apabila menemui mayat bayi dalam tandas premis itu di Taman Melawati, semalam.

Difahamkan, mayat bayi perempuan itu ditemui ketika pekerja berkenaan hendak ke tandas, kira-kira 4 petang.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, pekerja berkenaan kemudian menghubungi Balai Polis Hulu Kelang kira-kira 8.35 malam.

Menurutnya, soal siasat mendapati pekerja berkenaan menemui mayat bayi cukup sifat itu dalam mangkuk tandas.


Katanya, pemeriksaan mendapati bayi berkenaan sudah meninggal dunia ketika ditemui dan dihantar ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat.


Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Teman lelaki ugut bunuh


Miri: Hidup seorang wanita berusia 52 tahun tidak tenteram selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga Indonesia yang sering meminta wang dan mengugut membunuhnya jika permintaan tidak ditunaikan di Luak di sini.

Mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci berkenalan dengan lelaki berusia lewat 40-an yang bekerja di tapak pembinaan sama sejak beberapa bulan lalu.


Sumber berkata, lelaki itu cuba mengambil kesempatan ke atas mangsa yang sebelum itu sering meminjamkannya wang.

Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Lelaki parah melanggar SUV dipandu warga Kanada


Oleh Iskandar Shah Mohamed

Kuala Lumpur: Seorang lelaki parah apabila motosikal ditunggangnya dipercayai melanggar SUV dipandu seorang lelaki warga Kanada di Jalan Bangsar, di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Mohd Hafizudin Mat Isa, 27, memunggang motosikal menghala ke ibu kota bersendirian.


Setibanya di tempat kejadian, mangsa yang berada di lorong kiri dikatakan tiba-tiba mengubah laluan dan melanggar Volvo dipandu Robert John Zull Barkma Angell, 21.

Mangsa yang terjatuh mengalami kecederaan teruk di badan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut.


Siasatan menyeluruh mengenai kejadian masih sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Dapat mesin ATM tapi tak dapat bawa lari


Oleh Norizuan Shamsuddin

Machang: Cubaan dua lelaki bertopeng melarikan sebuah mesin ATM di pekan Machang menemui jalan buntu apabila gagal mengeluarkan lima peti berisi RM178,550, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Loo Lian Lai berkata, dalam kejadian 5.30 pagi itu suspek yang memandu kereta jenis Proton Waja dapat menarik keluar mesin berkenaan sejauh 50 meter.


Katanya, kejadian itu disedari seorang yang berada di lokasi kejadian.

"Saksi berkenaan ternampak mesin ATM itu terpelanting ke atas jalan raya berkenaan selepas ditarik oleh kereta itu.


"Suspek kemudian dilihat cuba mengeluarkan wang daripada mesin itu namun gagal sebelum beredar meninggalkan lokasi kejadian," katanya.


Loo berkata, pemeriksaan terhadap mesin itu mendapati tiada kehilangan peti duit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Kakak maut, adik parah kereta dinaiki langgar lembu


Dungun: Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas pacuan empat roda dinaiki mereka merempuh lembu, melanggar pembahagi jalan dan terbalik dalam kejadian di Kilometer 337, Lebuhraya Pantai Timur 2, dekat Ladang Limau Madu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan 3.30 pagi itu, Kamariah Ismail, 54, dari Kampung Sat Tengah Tanah Merah, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.


Adiknya, Che Ana Ismail, 52, parah di bahagian badan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, keluarga itu dalam perjalanan dari kampung mereka di Kelantan untuk melawat seorang daripada adik arwah yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.


"Kenderaan pacuan empat roda yang dipandu menantu Kamariah, Muhamad Akami Mahasan, 27, tidak dapat mengelak dan melanggar lembu itu.


"Kemalangan ini akan disiasat mengikut seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Polis teliti rakaman video dan foto kumpulan baju hitam


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Polis sedang meneliti rakaman gambar ketika kumpulan berbaju hitam mengasari kumpulan media pada Himpunan Bantah GST untuk mengambil tindakan ke atas mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sedang menyiasat dan meneliti rakaman gambar sepanjang himpunan berkenaan untuk mengenalpasti kesalahan yang bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.


Katanya, ada di antara mereka yang membawa kanak- kanak, membuat provokasi, menyalakan suar dan ada juga yang mengasari kumpulan media pada himpunan itu.

“Berdasarkan APA, polis memberi kebenaran dan membantu melancarkan perhimpunan itu namun kami akan meneliti rakaman sepanjang perjalanan himpunan itu yang nyata ada tindakan yang bercanggah dengan APA untuk mengambil tindakan ke atas mereka.


“Kumpulan berbaju hitam itu kelihatan menyalakan suar dan membuat beberapa tindakan yang menyalahi undang,” katanya pada sidang media.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Detik cemas dalam lif


Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Johor Bahru: Seorang lelaki yang baru membuat pengeluaran wang tunai di bank hasil penjualan harta pusaka keluarganya tergamam selepas disamun dua lelaki bersenjatakan parang dalam lif di sebuah hotel berhampiran pusat bandar raya, pada 24 April lalu.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, mangsa yang berusia lingkungan 50-an baru mengeluarkan wang tunai sebanyak RM40,000 di sebuah bank di pusat bandar raya.

Difahamkan, selepas membuat pengeluaran wang terbabit, mangsa memandu keretanya menghala ke sebuah hotel yang didiaminya tanpa menyedari dia diekori dua lelaki.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, mangsa yang menaiki lif dari parkir hotel terbabit kemudian didatangi dua lelaki berparang yang turut masuk ke dalam lif itu.

“Mangsa menyerahkan semua wang tunai terbabit kerana diancam akan dicederakan dengan parang sekiranya enggan menuruti arahan itu.

“Dia yang bimbang dengan keselamatan dirinya turut menyerahkan telefon bimbitnya sebelum kedua-dua suspek terbabit keluar dari lif dan melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berusia lingkungan 20-an itu mengekori mangsa dari bank dan menyedari mangsa mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang banyak.

“Kami sedang berusaha mengesan dua lelaki terbabit dan mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.



Kami juga akan menyiasat sebarang kemungkinan yang wujud dalam kes seperti ini termasuk sekiranya terdapat pembabitan kakitangan dalam bank,” katanya.

Menurut Sulaiman, orang ramai dinasihati supaya lebih berhati-hati ketika melakukan urusan pengeluaran wang dalam jumlah yang banyak termasuk tidak berseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Badan kebas dipatuk tedung


Sungai Buloh: “Seluruh badan kebas dan hampir rebah sebaik ibu jari tangan saya dipatuk ular tedung,” kata pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Yusafri Mohd Yusof, 29.
Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, mangsa dipatuk reptilia berbisa itu ketika sedang bertugas menangkap haiwan itu di Bukit Darah di sini.
Menurutnya, pihak bomba sebelum itu menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk yang mendakwa seekor ular tedung cuba menceroboh masuk rumahnya.

“Saya bersama rakan setugas kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap ular itu. Sebaik tiba di rumah pengadu, saya dapati seekor ular tedung sepanjang satu meter sudah ditangkap dan diikat dengan tali oleh pemilik kediaman itu.
Foto
YUSAFRI dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Saya cuba membuka ikatan tali, namun ular itu secara tiba-tiba terus mematuk bahagian ibu jari tangan kiri saya. Bagaimanapun saya sempat memindahkan ular itu ke dalam karung guni,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sungai Buluh semalam.

Menurutnya, kesan bisa ular itu menyebabkan dia berasa hampir hitam dan nyaris rebah.

“Namun, saya kuatkan semangat sementara mendapatkan bantuan perubatan walaupun tubuh ketika itu kebas sepenuhnya. 

“Saya segera dihantar ke Hospital Sungai Buloh dengan menaiki jentera bomba. Sebaik tiba di hospital, doktor segera memberikan suntikan vaksin sebelum saya dimasukkan ke wad hospital,” katanya yang kini mula stabil. 

Yusafri mendakwa kali pertama dipatuk ular sepanjang lapan tahun berkhidmat sebagai anggota bomba dan penyelamat.

“Bagaimanapun kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat untuk masyarakat,” katanya yang dijangka keluar dari hospital beberapa hari lagi.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/02

Onar remaja 13 tahun


Oleh Na’imah Mohamed

Pelabuhan Klang: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mendakwa kemaluannya ‘dipegang’ seorang remaja lelaki yang juga jirannya ketika bermain masak-masak di kawasan kebun berhampiran kediamannya, di sini, Isnin lalu.

Kejadian itu hanya diketahui ibu kanak-kanak itu kira-kira jam 6.30 petang selepas pulang dari tempat kerjanya apabila diberitahu jirannya yang lain yang terlihat perbuatan terkutuk remaja lelaki berusia 13 tahun itu terhadap mangsa.

Menurut ibu mangsa yang enggan dikenali, sebelum ini anaknya memang sering bermain di kawasan sekitar perumahan berkenaan bersama remaja terbabit, bagaimanapun, dia tidak mengesyaki remaja itu sanggup melakukan perbuatan keji itu terhadap anaknya.

“Ketika saya pulang ke rumah, saya dipanggil jiran yang memaklumkan mengenai perbuatan remaja terbabit dalam kebun di belakang rumahnya, namun, sebaik saja saya mendapatkan anak saya, remaja terbabit tiada di tempat kejadian.

“Saya kemudian bertanyakan anak perempuan mengenai apa yang terjadi dan anak saya menceritakan apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Selepas mengetahui perbuatan itu, ibu mangsa terus pergi berjumpa dengan ibu bapa remaja itu di rumahnya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Pelabuhan Klang, dekat sini.

Katanya, ibu bapa remaja terbabit turut hadir bersamanya membuat laporan polis berkenaan.

Ketika dihubungi, ibu mangsa sedang membawa anaknya membuat pemeriksaan doktor bagi mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Goh Lee Fook ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat ibu mangsa dan berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan perubatan kanak-kanak terbabit sebelum siasatan lanjut dapat dijalankan.

Anak, isteri dikurung 9 jam


Port Dickson: Seorang suami tergamak mengurung dan mengunci isteri serta anak perempuannya hampir sembilan jam di rumah mereka sebelum diselamatkan anggota polis di Taman Nuri Fasa 2, Chuah, dekat sini, petang kelmarin.
Difahamkan, dua beranak itu dikurung sejak dari pagi sebelum wanita berusia 32 tahun itu menghubungi polis bagi meminta bantuan, kira-kira jam 4 petang.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun berkata, hasil maklumat itu.
anggota polis bergegas ke rumah mangsa yang terletak kira-kira satu kilometer dari Balai Polis Chuah dan berjaya memecahkan kunci mangga 15 minit kemudian.
“Anggota polis terpaksa memotong kunci mangga pintu depan rumah dan mengeluarkan wanita itu dan seorang anaknya berusia sembilan tahun, sebelum cuba menghubungi suami wanita itu, tetapi tidak berjaya.
“Dua beranak itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Chuah untuk membuat laporan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Abd Wahab berkata, wanita itu memberitahu dia dan suami dalam proses perceraian dan tinggal berasingan.
Katanya, siasatan mendapati, suami wanita itu pulang ke rumah pada jam 7.30 pagi dan memaksa anak mengikut masuk ke kereta, tetapi berjaya dihalang oleh isterinya.
“Wanita itu kemudiannya membawa anak masuk ke dalam rumah dan terus mengunci pintu dan tingkap menyebabkan suaminya tidak dapat masuk ke dalam rumah.
“Akibat marah, suspek berusia 39 tahun itu membeli kunci mangga dan memasang kunci mangga di pintu hadapan dan belakang menyebabkan mangsa tidak boleh keluar rumah.
“Suami mangsa kemudiannya berjaya dihubungi dan memberi pelbagai alasan enggan pulang ke rumah.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 342, Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah,” katanya.
Abd Wahab berkata, beliau berharap orang ramai atau jiran prihatin dan tidak menutup mata jika keadaan berlaku keadaan yang mencurigakan dan melaporkan segera kepada polis bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Beliau juga menasihatkan pasangan suami isteri yang berdepan krisis rumah tangga menggunakan peraturan ditetapkan dan tidak melakukan tindakan bercanggah undang-undang.
Foto
KAWASAN perumahan tempat wanita dan anak perempuannya dikurung oleh suaminya di Taman Nuri Fasa 2, Chuah, Port Dickson.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Geng Hamdan Cina tumpas


Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Ipoh: Sekumpulan penjenayah yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sejak hujung tahun lalu di sekitar bandaraya raya ini yang dikenali dengan gelaran Hamdan Cina berjaya diberkas polis.

Suspek dipercayai menjadikan kawasan perumahan, premis kedai termasuk beberapa sekolah sebagai sasaran melakukan kegiatan jenayah mereka.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata kelima-lima suspek berusia antara 17 hingga 27 tahun diberkas di sekitar Jelapang, di sini antara jam 1 dan 5 pagi pada 29 April lalu.

Menurutnya, semua mereka diberkas sejurus seorang lelaki berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan di sebuah sekolah di Silibin pada hari berkenaan.

“Seorang pengawal keselamatan ditahan untuk membantu siasatan berhubung kejadian pecah masuk sebuah sekolah di sini.

“Siasatan lanjut terhadap pengawal berkenaan membawa kepada tangkapan empat lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah itu,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis menemui beberapa barangan komputer dipercayai dicuri yang disimpan di dalam rumah suspek.

“Turut ditemui peralatan untuk melakukan kegiatan samun selain satu mesin cetak, satu unit pemerosesan pusat (CPU), dan satu monitor skrin” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua suspek turut terbabit di dalam beberapa kes jenayah lain termasuk tiga kes pecah kereta dan satu kes ragut.

“Salah seorang suspek yang ditangkap didapati mempunyai lapan rekod lampau membabitkan kes curi kereta, kes dadah, pecah rumah, serta beberapa kes lain.

“Modus operandi kumpulan ini adalah bergerak berkumpulan menaiki motosikal dan mencari mana-mana premis yang berpotensi untuk melakukan kegiatan jenayah mereka,’’ katanya.

Katanya, semua suspek ditahan reman hingga hari ini dan akan disambung beberapa hari lagi untuk siasatan lanjut.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Jenayah 2 dalam 1


Alor Gajah: Seorang bomoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan mencabul dan merogol dua beradik termasuk gadis bawah umur pada Februari dan Mac lalu.
Tertuduh, Zaide Noordin, 45, dari Kampung Parit, Simpang Renggam, Johor, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di depan Majistret Nor Azizah Yusof.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencabul seorang gadis berusia 17 tahun di sebuah rumah di Durian Tunggal, di sini, pada jam 12 tengah malam, pada Februari lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 353, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripadanya jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol seorang gadis berusia 19 tahun di tempat sama pada jam 12 tengah malam, Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiza Haron yang mengendalikan kes tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh bagi pertuduhan merogol, namun menawarkan jaminan RM5,000 jika mahkamah membenarkan jaminan bagi pertuduhan mencabul.
Nor Azizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi pertuduhan mencabul.
Bagaimanapun, Nor Azizah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan merogol kerana kes sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Sesyen.
Mahkamah menetapkan 3 Jun depan sebagai sebutan semula kes.
Foto
TERTUDUH yang menghadapi tuduhan cabul dan rogol.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Tendang lepas geram


Dalam kejadian pada jam 2 pagi itu.
lelaki berusia 20-an terbabit pada mulanya masuk ke bilik ATM berkenaan untuk mengeluarkan wang dan tidak menyedari pintu bilik kaca terbabit mengalami masalah teknikal.
Menurut sumber, ketika mahu keluar semula berikutan mesin ATM didapati tidak berfungsi, lelaki itu terperangkap di dalam bilik berkenaan kerana pintu tertutup secara automatik membuatkan dia berang dan menolak pintu beberapa kali dengan kuat.
“Lelaki itu terperangkap 10 minit dan dia sedaya-upaya menolak dan menendang pintu itu beberapa kali hingga ia terbuka.
“Sejurus terbuka, dia yang masih berang melepaskan geram dengan menendang pintu kaca berkenaan hingga pecah dan kelakuannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bank terbabit,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pintu berkenaan sepatutnya ditutup secara automatik tepat jam 12 tengah malam, namun ia mengalami masalah teknikal.
“Sepatutnya, tiada pelanggan yang dapat masuk ke bilik ATM berkenaan ketika itu, namun kerana masalah teknikal pintu itu tertutup secara automatik selepas lelaki terbabit masuk,” katanya.
Foto
RAKAMAN CCTV menunjukkan aksi lelaki menendang pintu kaca bilik mesin ATM.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Pengurus ladang dibunuh


Seremban: Kaki dan tangan diikat dengan pita pelekat, manakala kepala diserkup plastik sampah. Itu kejadian dialami seorang pengurus ladang yang mati dibunuh di Ladang Perhentian Tinggi, di Sungai Gadut, dekat sini, kira-kira jam 6.30 pagi semalam.
Kira-kira 10 minit sebelum kejadian, mangsa, Lau Ah Kaw, 72, dikatakan keluar seorang diri dari banglo terletak di atas bukit di ladang sawit seluas 728 hektar itu.
Difahamkan, ia adalah rutin harian mangsa keluar pada waktu pagi untuk ke pejabat ladang 500 meter dari banglo berkenaan.
Menurut pekerja di banglo itu yang enggan dikenali, selepas mangsa keluar, dia terdengar bunyi bising seperti pergaduhan, namun gagal memastikan apa-apa berikutan persekitaran ladang gelap.
Katanya, dia kemudian menghubungi pengawal keselamatan bertugas di pintu masuk berhampiran pejabat ladang.
“Pengawal keselamatan dan beberapa pekerja yang tiba kemudian menjumpai kereta Perodua Kembara mangsa di tepi jalan tanah merah 50 meter dari pintu pagar hadapan banglo.
“Mereka mencari di sekitar kereta, namun tidak menemui mangsa sebelum memeriksa di kawasan pagar hadapan dan menemui beberapa butang baju, jam tangan dan diari milik mangsa bertaburan di atas tanah,” katanya.
Difahamkan, 10 minit kemudian mereka menemui mayat Lau dengan kaki dan tangan terikat pita pelekat, manakala kepala diserkup plastik sampah di kawasan lereng bukit di ladang itu, 10 meter dari pintu pagar banglo.
Mangsa pernah bekerja sebagai pengurus ladang FELDA sebelum dilantik menjadi pengurus ladang berkenaan sejak 2009 dan keluarganya menetap di Seremban 2.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
Beliau berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian mangsa.
“Berdasarkan keadaan mayat ketika ditemui, kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan,” katanya.
Foto
MAYAT mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Warga emas merajuk hilang 14 jam


Alor Gajah: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang 14 jam selepas keluar dari rumah kakaknya, ditemui terbaring dalam keadaan lemah 300 meter dari rumah itu di Kampung Perling, Simpang Ampat, di sini, kelmarin.
Mangsa, Mat Hassan, 77, ditemui terbaring di dalam sebuah kebun berhampiran Lebuh Alor Gajah - Melaka - Jasin (AMJ), di sini oleh anggota mencari dan menyelamat jam 9.15 malam.
Difahamkan, pada pagi sebelum kejadian, mangsa keluar dari rumah kakaknya yang mahu dikenali sebagai Siti, 78, dipercayai akibat merajuk selepas dimaklumkan anak lelaki warga emas itu akan membawanya tinggal bersama.
Menurut sumber, difahamkan, Mat sudah hilang tiga kali sebelum ini, namun ditemui semula di kawasan sekitar dalam keadaan selamat.
“Lelaki warga emas itu menghidap sakit jantung dan mudah lupa dan tinggal bersendirian sejak beberapa tahun lalu berhampiran rumah kakaknya selain mempunyai enam anak berusia antara 30 hingga 50-an,” katanya.
Siti berkata, malam sebelum kejadian anak lelaki Mat datang memaklumkan akan membawanya tinggal bersama, namun adiknya itu enggan mengikut anaknya.
“Selepas dimaklumkan, dia kelihatan gelisah sepanjang malam, jam 6 pagi dia keluar dan kelibatnya tidak kelihatan selepas itu menyebabkan saya memaklumkan kepada ahli keluarga.
“Walaupun sebelum ini dia kerap lupa, namun dia tidak pernah mengganggu orang lain.
Setiap kali hilang, kami bimbang kejadian buruk menimpanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.
Anak keempat mangsa, Rahim, 37, yang bekerja di Kuala Lumpur pula berkata, dia bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai kehilangan bapanya dan turut mencari warga emas itu di sekitar kampung berkenaan.
“Selepas usaha mencari gagal, saya bersama adik membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat dan bersyukur dengan bantuan polis, anggota bomba dan penduduk kampung, ayah berjaya ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Alor Gajah Penolong Penguasa Bomba R Bajiyen berkata, pihaknya menerima panggilan dari Balai Polis Simpang Ampat jam 8.34 malam.
Foto
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa keluar mangsa yang ditemui selepas 14 jam hilang.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03

Pemeras ugut rempuh polis


Sungai Buloh: Dua anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta dinaiki seorang penjenayah selepas suspek bertindak agresif melanggar seorang anggota polis, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, suspek yang menaiki kereta Perodua Kancil dikesan berkelakuan mencurigakan berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Sungai Buloh di Lebuhraya Utara-Selatan di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohd Said berkata, kejadian berlaku apabila dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang menaiki sebuah kereta peronda polis terserempak suspek dalam keadaan mencurigakan di tepi lebuh raya berkenaan.
Menurutnya, anggota polis terbabit kemudian menghampiri kereta Kancil berkenaan untuk melakukan pemeriksaan terhadap suspek lelaki itu.
“Bagaimanapun, suspek yang menyedari kehadiran anggota polis bertindak menghidupkan enjin kenderaan sebelum merempuh salah seorang anggota polis.
“Rempuhan mendadak itu menyebabkan anggota polis berkenaan mengalami kecederaan pada kaki sebelum terjatuh di lokasi kejadian,” katanya.
Difahamkan, seorang lagi anggota polis sempat melihat suspek memiliki senjata api dipercayai pistol ketika cuba melarikan diri.
“Susulan itu, anggota polis terbabit bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah kereta dinaiki suspek.
“Penjenayah bagaimanapun berjaya diberkas polis di lokasi kejadian.
Anggota polis yang cedera itu kemudian dihantar menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, namun keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.
Menurutnya, suspek berusia 30-an dikesan pernah terbabit dalam jenayah pemerasan sebelum ini.

Suspek kini ditahan reman di IPD Petaling Jaya.
Sementara itu, Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan di lokasi kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari semalam bagi mengumpul bukti kejadian.
Difahamkan, polis turut menemui dua kelongsong peluru yang digunakan anggota polis ketika menembak kereta dinaiki suspek sebelum itu.
Foto
ANGGOTA unit anjing pengesan melakukan siasatan di lokasi kejadian seorang penjenayah merempuh polis, awal pagi semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/03