Butterworth: “Sebelum menerima berita buruk itu saya sedang melakukan kerja pembersihan beberapa kilometer dari rumah dan terlihat kepulan asap tebal di udara namun tidak menyangka ia membabitkan kediaman saya.
“Saya terus bergegas pulang ke rumah selepas menerima panggilan daripada jiran beberapa minit kemudian memaklumkan kediaman saya dijilat api,” kata Ariffin Ghani, 46, yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Jalan Mengkuang, di sini, musnah dalam kebakaran pada jam 9 pagi semalam.
Kejadian sama turut menyebabkan sebuah kedai barangan lusuh bersebelahan rumah mangsa musnah hampir 90 peratus akibat api yang merebak dengan pantas.
Pekerja am, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) itu berkata, akibat kejadian dia mengalami kerugian lebih RM40,000 selepas pelbagai peralatan perkhidmatan katering diusahakan sejak dua tahun lalu turut terbakar.
“Peralatan seperti pinggan, mangkuk, kain hiasan meja dan pelbagai lagi perkakas set makanan disimpan di rumah turut rentung hanya dalam masa beberapa minit akibat api marak dengan pantas.
“Tetapi saya masih bernasib baik kerana sempat menghantar peralatan katering ke rumah pelanggan yang membuat tempahan bagi majlis perkahwinan semalam.
Jika tidak, saya sendiri tidak tahu apa akan berlaku,” katanya.
Ariffin berkata, dia keluar dari rumah pada jam 6.30 pagi untuk melaporkan diri di tempat kerja dan ditugaskan melakukan kerja pembersihan di Jalan Raja Uda berhampiran rumahnya.
“Walaupun berputih mata saya tetap bersyukur kerana isteri, anak lelaki dan anak perempuan juga orang kelainan upaya (OKU) selamat,” katanya.
Sementara itu, jiran mangsa dikenali sebagai Ahmad Huzaiban, 36, berkata, kejadian itu membantutkan majlis akad nikah sepupu perempuannya yang sepatutnya dilangsungkan di rumahnya.
Walaupun kediaman mereka tidak mengalami sebarang kerosakan serius, keluarganya mengambil keputusan menunda majlis akad nikah berkenaan pada sebelah petang dan dilangsungkan di masjid berhampiran.
“Pengantin perempuan yang keluar membuat persiapan akhir sebelum majlis berlangsung masih belum dimaklumkan perkara ini, kami tidak mahu dia risau dengan apa berlaku kerana ia adalah hari paling istimewa bagi dirinya.
“Ketika kejadian saya lihat api menjulang tinggi dan merasa bahang panasnya.
Ketika itu kami semua bekerjasama menyelamatkan barang hantaran serta peralatan rumah lain,” katanya.
Ahmad berkata, bahang panas akibat kebakaran itu turut menyebabkan khemah jamuan untuk majlis berkenaan mengalami kerosakan.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada jam 9.04 pagi dan terus melakukan kerja mengawal kebakaran bagi mengelak ia merebak berikutan kedudukan premis yang rapat.

ANGGOTA bomba cuba memadamkan kebakaran daripada merebak ke kediaman lain.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/02