Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

14 militan maut dalam serangan udara


Zamboanga: Empat belas militan dan seorang tentera terbunuh dalam serangan udara dan darat yang dilancarkan terhadap kumpulan yang bertanggungjawab terhadap beberapa kejadian menculik.

Jurucakap tentera Filipina, Kapten Ryan Lacuesta berkata semalam, pertempuran bermula kelmarin selepas pasukan marin menawan sebuah kem Abu Sayyaf di kawasan hutan tebal di Pulau Jolo.

“Kami mendapatkan bantuan serangan dari helikopter MG-520 dan pasukan meriam yang menyebabkan jumlah kematian besar di pihak mereka,” kata Lacuesta ketika ditemui.

Menurutnya, pertempuran masih berterusan semalam.

Kem Abu Sayyaf, kumpulan yang dikatakan mempunyai hubungan dengan al-Qaeda ditawan Isnin lalu, tidak jauh dari bandar Patikul, 950 kilometer ke selatan Manila.

Bandar terbabit terkenal sebagai antara kubu kuat kumpulan berkenaan.

Kem berkenaan dikatakan menjadi pusat latihan untuk rekrut baru kumpulan Abu Sayyaf serta menjadi pangkalan untuk melancarkan kegiatan penculikan.



- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/01

Bayi lahir di tandas selamat


Beijing: Seorang bayi baru lahir berjaya diselamatkan selepas ibu yang melahirkannya cuba mengepam bayi berkenaan ke dalam tandas.

Wanita itu tidak menyedari dia mengandung dan pergi ke sebuah hospital di China kerana sakit perut.


Dia melahirkan bayi berkenaan ketika berada di dalam tandas. Menurut Doktor Gao Yuwen yang sedang bertugas, dia terdengar seseorang menjerit di koridor hospital pada kira-kira jam 1 pagi (waktu tempatan).



“Saya meluru keluar dan melihat beberapa orang berkumpul di luar tandas.


“Seorang wanita sibuk mengetuk pintu, meminta wanita di dalam tandas supaya membukanya.


“Tidak lama kedengaran tangisan bayi menangis dari dalam tandas.” Selepas gagal memujuk wanita berkenaan membuka tandas itu, seorang pengawal keselamatan memecahkan pintunya. Gao memberitahu: “Saya nampak bayi itu menangis di dalam mangkuk tandas dengan tali pusat masih ‘terlekat’ pada ibunya sebelum saya menyelamatkannya.” Kedua-dua ibu dan anak berada dilaporkan baik - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/30

3 sudah mati dihukum bunuh


Minya (Mesir): Doktor Badawi terbunuh pada 14 Ogos lalu tetapi dia adalah di antara 37 orang yang hukuman mati mereka disahkan oleh sebuah mahkamah di sini, kelmarin.

Mahkamah berkenaan turut mengenakan hukuman sama ke atas 683 yang lain.


Kes Badawi bukan unik. Peguam berkata, dua lagi defendan yang dikenakan hukuman sama oleh mahkamah di Minya itu kerana kesalahan menunjuk perasaan menyokong Presiden Mohamed Mursi, juga sudah mati pada hari tunjuk perasaan tahun lalu.



Ia adalah antara contoh ekstrim yang disifatkan oleh masyarakat antarabangsa mengenai institusi kehakiman Mesir yang hanya mengambil masa dua sesi singkat untuk mengenakan hukuman itu ke atas beratus-ratus defenden, kebanyakannya tanpa kehadiran mereka.


Perbicaraan kelmarin hanya berlangsung selama sepuluh minit, kata peguam, Khaled Elkomy. Ketika sesi perbicaraan dijalankan, tiada seorang defendan hadir.


Beberapa ahli keluarga tertuduh pengsan di luar mahkamah sebaik mendengar keputusan hakim Said Youssef Sabry. Sabry menjatuhkan hukuman mati ke atas 683 aktivis Islam termasuk ketua Ikhwanul Muslimin, Mohamad Badie selepas mendapati mereka bersalah atas tuduhan membunuh dan cubaan membunuh beberapa anggota polis pada 14 Ogos lalu.

Mahkamah sama turut mengurangkan hukuman ke atas 492 daripada 529 orang yang dihukum mati pada Mac lalu kepada hukuman penjara seumur hidup tetapi mengekalkan hukuman itu terhadap 37 defendan.


“Antara yang dikenakan hukuman mati ialah Doktor Badawi yang mati ditembak pada hari demonstrasi,” kata Samia Abu Amr, adik seorang defendan.

Dia bagaimanapun lega kerana abangnya tidak tersenarai. Peguam keluarga Badawi, Mohamed Abdel Wahab berkata, ahli keluarga doktor itu menerima surat pertuduhan terhadap doktor berkenaan daripada mahkamah pada 23 Ogos tahun lalu, sembilan hari selepas kematiannya.


Pendakwa raya, Abdel Rahim Abdel Malek berkata, hanya 73 daripada 683 defendan yang dijatuhi hukuman itu berada dalam tahanan. Selebihnya berhak untuk mendapat perbicaraan semula jika mereka menyerah diri. Peguam bela, Arabi Mabrouk menyatakan tiga defendan berada di luar negara ketika dituduh melakukan protes dan mereka mempunyai visa Saudi sebagai bukti.


“Mahkamah tidak melakukan siasatan penuh ke atas defendan,” kata rakannya, Mohamed Salama, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/30

Pelajar perempuan diculik dipaksa kahwin


Lagos: Puluhan gadis dan wanita muda yang diculik dari sebuah sekolah di Nigeria dilapor dipaksa berkahwin dengan penculik mereka.

Ibu bapa mangsa berkata, anak mereka dijual dengan harga 2,000 naira (RM40) untuk dikahwinkan dengan anggota Boko Haram, menurut Halite Aliyu dari Forum Rakyat Borno-Yobe.

Dia memberitahu, maklumat mengenainya diterima oleh ibu bapa daripada penduduk kampung di Hutan Sambisa, kawasan sempadan Nigeria dengan Cameroon, tempat anggota Boko Haram dipercayai bersembunyi.

Laporan terbaru mendakwa mereka dibawa menyeberang sempadan, ada ke Camerron dan ada yang dibawa ke Chad.

Laporan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan.

Kerajaan Nigeria meminta bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan lebih 200 pelajar sekolah yang diculik di timur laut negara itu oleh aktivis Boko Haram dua minggu lalu.

Kira-kira 50 pelajar yang diculik itu berjaya menyelamatkan diri pada hari pertama penculikan mereka tetapi 220 masih dilapor hilang.

Mangsa berusia antara 16 dan 18 tahun dan diculik ketika menghadiri peperiksaan.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/01

Pemain dram Scorpion hina Muslim dijel di Dubai


Dubai: Pemain dram kumpulan Scorpions James Kottak dipenjara sebulan di Dubai kerana mabuk, menghina Muslim dan membuat isyarat lucah ke arah sekumpulan orang, selain membuka seluar di lapangan terbang.

Pemuzik AS itu juga didapati bersalah menghina anggota polis tempatan. Kottak ditahan di lapangan terbang di Dubai pada 3 April lalu ketika dalam perjalanan dari Russia ke Bahrain untuk mengadakan konsert sempena pertandingan Formula 1. Dia turut didenda Dh2,000 (RM1,780) kerana meminum arak.


Kottak akan diusir dari negara itu sebaik saja selesai menjalani hukuman. Ketika perbicaraan Kottak mengaku mengambil arak tetapi menafikan dia membuat isyarat lucah serta berkelakuan tidak senonoh. Peguam belanya pula mendakwa, Kottak tidak bertindak keterlaluan, sebaliknya cuma mahu menunjukkan tatu di belakang tubuhnya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/30

Biar anak mati kebuluran kerana nak jual organ


Doha: Pasangan suami isteri yang dituduh membiarkan anak angkat mereka kebuluran sehingga mati semalam merayu atas sabitan cuai dikenakan, kata sumber mahkamah.

Matthew dan Grace Huang hadir di mahkamah dan sumber berkata, pendakwa hanya dimaklumkan mengenai hukuman penjara tiga tahun itu pada 27 Mac lalu.


Menurutnya, prosiding diadakan semalam hanyalah untuk formaliti. Pasangan suami isteri keturunan Asia itu ditahan pada Januari 2013 selepas anak perempuan mereka, Gloria, 8, meninggal dunia.



Gloria yang diambil daripada keluarga asalnya di Ghana didakwa mati akibat masalah pemakanan yang dialami sejak bayi. Bagaimanapun penyiasat mendapati kanak-kanak malang berkenaan sengaja dibiarkan mati bagi membolehkan pasangan suami isteri terbabit menjual organnya. Mereka dibebaskan November tahun lalu sementara siasatan dijalankan tetapi dihalang meninggalkan Qatar. Terdahulu pendakwa memohon mahkamah mengenakan hukuman mati ke atas kedua-dua tertuduh. Mereka juga didenda RM12,300 setiap seorang dan akan diusir sebaik saja menamatkan hukuman. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/30

100 mangsa 2 bom kereta


Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dalam dua serangan bom kereta di Homs, bandar raya ketiga terbesar Syria, semalam.

Kumpulan penentang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di bandar yang dikuasai tentera kerajaan itu.

Serangan yang dilakukan kelmarin itu adalah yang terburuk di Homs sejak konflik Syria meletus tiga tahun lalu.

Ia juga berlaku sehari selepas Presiden Bashar al-Assad mendaftarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya 3 Jun depan.

Beliau dijangka memenangi pilihan raya kontroversi yang dijadual diadakan walaupun tiada tanda-tanda menunjukkan keganasan akan berakhir.

Sekutu al-Qaeda di Syria, Barisan Al-Nusra berkata, ia melancarkan serangan berkembar itu di daerah Abbasiyeh yang majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Alawite, seperti Bashar.

Pejuang Al-Nusra berjaya melancarkan serangan itu walaupun Abbasiyeh dikawal ketat.

“Penduduk prokerajaan di kawasan itu merasai kesengsaraan seperti yang dirasai saudara kami,” kata kumpulan itu.

Mereka merujuk kepada pengeboman tanpa henti yang dilancarkan tentera kerajaan terhadap daerah yang dikuasai penentang.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.

Ia bagaimanapun meningkatkan angka kematian itu kepada sekurang-kurangnya 100 orang.

Pengarah kumpulan Rami Abdel Rahman berkata, pengebom datang dari luar Homs.



“Ia amaran daripada penentang kepada Bashar bahawa tidak ada zon yang selamat untuk mengadakan pilihan raya,” kata Rami.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/01

Angka kematian akibat puting beliung meningkat


Louisville: Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dalam bencana puting beliung yang melanda beberapa kawasan di Amerika Syarikat (AS) sejak tiga hari lalu yang turut menyebabkan kerosakan teruk.

Ia juga memaksa penduduk yang cemas berlindung di bilik bawah tanah dan menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik.

Dalam usaha mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa bertukar kepada operasi pembersihan, agensi kaji cuaca meramalkan kemungkinan puting beliung terbentuk buat kali ketiga adalah rendah.

Ahli meterologi menyatakan kadar kekuatan taufan itu berkurangan sejak petang semalam walaupun jangkaan dan amaran puting beliung masih dikeluarkan di beberapa kawasan terpencil.

Panhandle, Florida menjadi kawasan terbaru dilanda bencana dengan hujan lebat yang mengakibatkan banjir dan menyebabkan ramai yang terperangkap di dalam kereta dan kediaman mereka semalam.

Jurucakap daerah Escambia, Bill Pearson berkata pasukan bomba tidak dapat menjalankan operasi menyelamat secara efektif berikutan beberapa jalan ditutup akibat banjir di Pensacola.

Bot dan jet ski turut digunakan untuk operasi menyelamat.

Keadaan itu adalah “serangan” terbaru cuaca buruk yang melanda sehari selepas puting beliung memusnahkan kawasan seluas 130 kilometer di Little Rock, pinggir Arkansas yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang.



- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/01

‘Ahli sihir’ mati direjam



Takeo (Kemboja): Seorang lelaki dipukul dan direjam sehingga mati oleh kira-kira 600 penduduk selepas mereka menuduhnya mengamalkan sihir.

Penduduk kampung menuduh Pov Sovann, 36 membunuh beberapa warga tua selama dua tahun melalui sihir, lapor polis.

Dia mati dalam serangan selama enam jam.

Mulanya, kira-kira 200 orang terlibat dalam serangan di kampung di dareah Bati di wilayah Takeo, selatan Kemboja, sebelum beratus-ratus lagi penduduk menyertai serangan itu.

Polis berkata mereka tidak mampu menghentikan serangan itu, lapor akhbar Cambodia Daily.

Polis percaya kematian seorang wanita tua berusia 54 tahun mencetuskan serangan itu.

Jurucakap polis daerah Bati, Khut Lo berkata, “Orang saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana terlalu ramai penduduk yang bersenjatakan batu dan mereka bertindak ganas.” Ketua polis daerah, Ngann Sary pula berkata, “Kumpulan itu memaksa ambulans beredar.” Menurutnya, penduduk percaya seramai tujuh orang, warga tua, mati tiba-tiba sepanjang dua tahun lalu.

Mereka kemudian menyalahkan Sovan, yang mengamalkan perubatan tradisional selama beberapa tahun.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/01

Pendawai elektrik kena denda RM4,000

WARTAWAN SINAR HARIAN
Pendawai elektrik kena denda RM4,000
Tertuduh (kanan) akan dihantar menjalani hukuman, jika denda gagal dijelaskan.
30 April 2014
 KOTA BHARU - Padah buat seorang pendawai elektrik apabila didenda RM4,000 oleh mahkamah majistret, di sini, semalam, akibat mendatangkan cedera ke atas kenalannya, pada 22 April lalu.

Tertuduh, Nik Azreen Nik Kamarudeen, 28, didakwa bersama sepupunya berusia 16 tahun, melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Jalan Taman Makmur Kok Lanas, di sini.

Berdasarkan dakwaan, mereka dengan sengaja memukul, Zuraidi Daud, 30, dengan batang besi paip sepanjang 0.8 meter hingga mendatangkan cedera kepada mangsa pada jam 6.45 petang, tarikh berkenaan.

Tuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Pada prosiding semalam, tertuduh memohon hukumannya diringankan kerana mendakwa mangsa yang lebih dahulu datang dan menyerang mereka di rumahnya,
bagaimanapun dibantah Nurliyana berikutan berdasarkan laporan dibuat, perselisihan berpunca akibat mangsa dikatakan melayan bekas teman wanitanya.

“Saya mohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan sama dan mengingatkan orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri, lebih-lebih lagi berpunca daripada perkara remeh,” kata Nurliyana.

Nik Habri kemudian mengenakan denda tersebut atau hukuman penjara enam bulan akan berkuat kuasa serta-merta jika denda gagal dilunaskan, manakala remaja terbabit dibenarkan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Kes bersambung 10 Jun depan untuk sebutan semula bagi mendapatkan laporan akhlak tertuduh kedua.

Kereta dibakar akibat khianat


WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mei 2014


KOTA BHARU - Sebuah kereta jenis Isuzu D-Max dibakar dipercayai akibat perbuatan khianat di Taman Koperatif, Taman Tanjung Chat, di sini, pagi semalam.

Dalam Kejadian jam 3.30 pagi itu mangsa seorang peniaga, menyedari kereta yang diparkir di tepi rumahnya disyaki dibakar oleh orang yang tidak berpuas hati dengannya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata dua lelaki menunggang motosikal disyaki melakukan perbuatan itu, namun polis masih mengesan nombor pendaftaran motosikal itu.

“Kereta milik mangsa diparkir lebih kurang 10 meter dari rumahnya dan setakat ini punca kebakaran masih di siasat dan dipercayai bermula dari bahagian enjin kereta yang kemudiannya merebak ke ruang pemandu bahagian hadapan,”katanya kepada media.

Azham berkata, mengikut siasatan yang dilakukan di kawasan itu didapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang.

“Setakat ini kita masih mengesan suspek yang terlibat dalam kes berkenaan dan giat memburu mereka. Kes diklafikasikan di bawah seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan khianat dengan api, untuk siasatan lanjut,” katanya.

Padah curi baju T bernilai RM119


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 April 2014


KOTA BHARU - Seorang buruh binaan dihukum penjara lima hari dan turut didenda RM500 oleh mahkamah majistret, di sini, semalam selepas mengaku salah mencuri baju T berjenama bernilai RM119.

Hukuman terhadap Saifullah Hassan@Haron, 29, diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad selepas tertuduh mengaku salah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri baju T berjenama Nike Polo di sebuah kedai di Jalan Mahmood, di sini, jam 6 petang pada 25 April lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukumannya diringankan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM40 sehari.

“Saya minta hukuman ringan kerana saya orang susah dan pendapatan tidak tetap, kadang ada kadang tiada,” katanya.

Nik Habri turut mengenakan hukuman penjara sebulan terhadap tertuduh jika gagal menjelaskan denda.

Dalam perkembangan sama, tertuduh juga didenda RM1,500 dan empat bulan penjara untuk dua tuduhan menagih dadah.

Hukuman penjara berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan pada 25 April lalu.

Tertuduh sebelum itu ditahan polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah ketika terserempak dengan pekerja kedai yang sedang mengejar tertuduh kerana mengambil baju tersebut dan keluar tanpa membuat bayaran. Ketika kejadian, tertuduh memakai jubah.

Maut selepas patah kaki digilis jengkaut

WARTAWAN SINAR HARIAN
Maut selepas patah kaki digilis jengkaut
Mayat Suharto diuruskan oleh pihak polis di tempat kejadian.
30 April 2014
 PASIR MAS - Seorang pekerja asing warga Indonesia cedera parah selepas kaki kirinya patah digilis sebuah jengkaut dan maut dalam perjalanan turun dari puncak Bukit Panau, Kampung Kelubi, Tok Uban, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 4.30 petang semasa kerja-kerja menggali serta memasang talian telefon milik sebuah syarikat telekomunikasi.

Menurut saksi yang enggan dikenali, mangsa, Suharto, 35 berasal dari Jawa meninggal dalam perjalanan turun dari puncak bukit berkenaan bagi mendapatkan rawatan.

Saksi berkenaan memaklumkan, ketika kejadian, mangsa dikatakan berada di belakang jengkaut untuk menjalankan kerja-kerja menggali dan memasang kabel talian telefon.

"Ketika kejadian, hujan turun mengakibatkan tanah di kawasan itu menjadi licin dan ketika hendak bergerak ke hadapan, jengkaut berkenaan tiba-tiba tergelincir lalu menggilis kaki kiri Suharto," katanya.

Difahamkan, semasa kejadian, mangsa menjalankan kerja-kerja menggali dan memasang kabel bersama lapan lagi rakan sekerjanya berasal dari Indonesia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan memaklumkan, jenazah mangsa telah dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Difahamkan, jenazah mangsa akan diserahkan kepada pihak kedutaan Indonesia sebelum dihantar pulang ke Jawa untuk dikebumikan.

Ditumbuk penyamun bertopeng

NOR AINNA HAMZAH
Ditumbuk penyamun bertopeng
Rosidah menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Kota susulan insiden samun di pos pengawal di sebuah kilang, semalam. 
1 Mei 2014
REMBAU – Seorang tukang masak berhadapan dengan detik mencemaskan apabila diterkam dua penyamun bertopeng dan ditumbuk di bahagian mata kanannya di pos pengawal sebuah kilang di Kota, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Rosidah Ali, 56, cuba mempertahankan beg berisi wang syarikat sebanyak RM3,000 dan wangnya sebanyak RM2,000 yang disandang di bahagian depan badannya.

Menurutnya, pengalaman diserang penyamun berkenaan baru pertama kali dihadapinya sepanjang 21 tahun dia bekerja di kilang berkenaan dan menjalani rutin setiap minggu menunggu pemandu lori untuk ke pasar borong di Melaka.

“Seperti biasa setiap minggu jika ingin ke pasar borong, makcik akan pergi punch card sekitar jam 3.30 pagi di kilang. Semasa sampai di kilang makcik tidak nampak motosikal atau apa-apa mencurigakan dan terus ke pejabat.

“Makcik ke kantin untuk tukar beg tangan ke beg sandang belakang memandangkan makcik membawa wang tunai yang agak banyak dan terus ke pos pengawal tunggu pemandu lori,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Rumah Rakyat Kota, dekat sini, semalam.

Rosidah berkata, belum sempat dia duduk selepas memasang kipas, dia diterkam dua lelaki berbadan besar, tinggi dan mengenakan topeng kain berwarna hitam.

Menurutnya, dua penyamun berkenaan ingin merentap beg berkenaan daripadanya dan dia memegang kuat beg itu kerana terdapat wang syarikat di dalamnya.

“Namun dua penyamun berkenaan bertindak kasar menumbuk mata makcik. Seorang lagi memegang tangan kiri mak cik bagi merampas beg sandang berkenaan.

“Makcik berguling di dalam pos berkenaan dan dalam masa yang sama menjerit meminta tolong, namun mereka berjaya mengambil beg berkenaan dan melarikan diri ke arah pokok mangga yang terletak di sebarang jalan yang rupa-rupanya di situ mereka menyorokkan
motosikal.

Rosidah berkata, dia terus memaklumkan insiden berkenaan kepada pengurus kilang sambil menahan darah yang mengalir dari mata kanannya yang cedera ditumbuk.

“Makcik trauma dengan insiden ini, namun makcik akan lawan perasaan ini lebih-lebih lagi makcik sudah lama bekerja di kilang berkenaan.

Menurutnya, susulan insiden pergelutan berkenaan, dia terpaksa menerima rawatan di Hospital Tampin dan Hospital Tengku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

“Malah, lutut kanan makcik juga agak sakit berkemungkinan ditendang penyamun semasa bergelut di dalam pos pengawal,"  katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kes berkenaan kini dalam siasatan pihak polis.

Lelaki dicari kes rompak kedai emas

WARTAWAN SINAR HARIAN
Lelaki dicari kes rompak kedai emas
Gambar lelaki yang dikatakan suspek kes rompak sebuah kedai emas di Jalan Pasar dicari bagi membantu siasatan polis.
1 Mei 2014
 TELUK INTAN-Seorang lelaki dipercayai dapat membantu siasatan kes rompakan sebuah kedai emas di Jalan Pasar, dicari polis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, individu berkenaan dikesan apabila pegawainya membuat siasatan lanjut pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis tersebut.

Katanya, lelaki itu dikesan CCTV ketika mengambil air minuman di dalam peti sejuk milik premis ketika kejadian itu berlaku.

“Pihak kami masih mencari identiti suspek tersebut bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Sebelum, seorang peniaga kerugian kira-kira RM680,000 apabila kedai emas miliknya yang terletak di Jalan Pasar, di sini, selepas  dimasuki pencuri, pada 15 April lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 pagi itu hanya disedari oleh adik ipar pemilik kedai itu ketika mahu menjalankan perniagaan mereka kira-kira jam 9.10 pagi.

Siasatan mendapati rompakan itu dilakukan oleh kira-kira tiga orang suspek yang memasuki kedai berkenaan dengan cara memanjat bumbung.

Suspek telah mengambil 4.5 kilogram jongkong emas, wang tunai lebih kurang RM80,000, seutas jam tangan Rolex, barangan kemas perak, satu kotak sarang burung dan pelbagai barangan kemas  serta mata wang luar negara yang masih belum dikenal pasti jumlahnya.

Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada cap jari dapat ditimbulkan namun siasatan polis masih diteruskan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan curi dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau denda.

“Orang ramai  yang mempunyai sebarang maklumat boleh hubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Subkey Alias ditalian 056299222,” katanya.

Rayuan ibu ringankan hukuman

WARTAWAN SINAR HARIAN
Rayuan ibu ringankan hukuman
Tertuduh bakal bebas kerana sudah berada dalam tahanan sejak tarikh kejadian.
1 Mei 2014
 KOTA BHARU - Seorang penganggur bernasib baik dikenakan hukuman penjara ringan, 40 hari walaupun mengaku salah mengacukan pisau kepada abang kandung sendiri, Mac lalu.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad selepas mempertimbangkan dan memberi penghormatan terhadap rayuan ibu tertuduh yang sudah tua serta hadir ke mahkamah bagi membela anaknya itu.

Tertuduh, Muhammad Ariff Yusof, 24, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacu pisau ke arah Nik Mohd Affrndi, 34, dengan niat hendak mendatang ketakutan kepada mangsa di sebuah rumah di alamat Jalan Masjid Kampung Baung Bayam, di sini, pada jam 1 pagi, 25 Mac.

Pada prosiding semalam, ibu tertuduh merayu mahkamah supaya anaknya itu dibebaskan dan mengakui tertuduh anak yang boleh diharapkan.

“Dia anak yang baik. Kesiankanlah makcik, makcik tidak lalu makan dan sakit apabila dia (tertuduh) tiada (di rumah). Kesalahan ini yang pertama dan makcik percaya dia boleh berubah,” katanya.

Rayuan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri berikutan ia bercanggah dengan penyataan yang diberi kepada polis sebelum ini.

“Berdasarkan fakta, kamu (ibu) yang mengadu supaya mangsa (abang tertuduh) datang mengambil kamu di rumah kerana tidak tahan kerenah tertuduh yang sering meminta wang.

“Hari ini (semalam) lain pula ceritanya. Saya mohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tidak mahu kasih sayang seorang ibu akan memusnahkan anaknya sendiri,” katanya.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan itu ketika sedang di bawah pengaruh dadah.

Denggi ragut 66 nyawa hingga April

Datuk Dr S Subramaniam
Datuk Dr S Subramaniam 
1 Mei 2014 PUTRAJAYA - Sejumlah 29,788 kes denggi dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 26 April lepas, peningkatan 277 peratus berbanding 7,912 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata untuk tempoh sama, sejumlah 66 kematian akibat denggi direkodkan, peningkatan 340 peratus berbanding 15 kematian tahun lalu.
  
"Pada minggu ke-17 iaitu dari 20 hingga 26 April, sebanyak 974 kes denggi dilaporkan berbanding 1,252 kes pada minggu sebelumnya dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 22 peratus.
  
"Pada masa ini secara keseluruhannya kes denggi di seluruh negara menunjukkan trend penurunan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
  
Katanya untuk tempoh yang sama, sejumlah 241 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di 11 negeri dan daripada jumlah tersebut, 30 lokaliti merupakan lokaliti hotspot dan 15 lokaliti merupakan wabak tak terkawal.
  
Dr Subramaniam berkata Selangor mencatat kes tertinggi dengan 577 kes, diikuti Kelantan dengan 85 kes dan Wilayah Persekutuan Putarajaya dan Kuala Lumpur dengan 80 kes.
  
"Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama dalam aktiviti pencegahan dan kawalan demam denggi.
  
"Walaupun bilangan kes menunjukkan trend penurunan pada masa ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak alpa dan sentiasa menjaga dan memastikan persekitaran tempat tinggal, belajar dan bekerja adalah bebas dari menjadi punca pembiakan Aedes," katanya.

Dr Subramaniam berkata, sambutan Hari Kesihatan Sedunia peringkat kebangsaan 2014 Ahad lalu dapat meningkatkan kesedaran komuniti tentang ancaman nyamuk Aedes serta mendorong mereka mengambil tindakan proaktif untuk mengelakkan risiko dijangkiti demam denggi.

Pihak komuniti juga digalakkan untuk menubuhkan pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) di lokaliti perumahan masing-masing kerana ia terbukti berkesan dalam mengurangkan kejadian kes denggi, katanya. - Bernama

Wanita mati ditikam kerana cinta ditolak

ASYRAF MUHAMMAD
Terjun flat selepas tikam kekasih
Anggota Unit Forensik membuat siasatan ke atas mayat suspek yang dikenali sebagai Jim, 40-an, yang mati akibat terjun dari rumahnya di tingkat 11. 
1 Mei 2014
PETALING JAYA - Seorang wanita maut dipercayai ditikam kekasihnya dengan gunting dalam kejadian di Jalan SS9A/12 sekitar jam 7 petang, kelmarin.

Mangsa, Salmah Lok, seorang tukang jahit berusia dalam lingkungan 40-an, menemui ajal setelah ditikam beberapa kali di bahagian abdomen sebelah kanan dan mengalami pendarahan teruk.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed berkata, kejadian tersebut disedari oleh salah seorang pelanggan mangsa yang datang ke kedai jahitnya sekitar jam 1 tengah hari semalam.

“Hasil siasatan awal kami mendapati, mangsa pernah berkahwin dan bercerai serta mempunyai seorang anak di Sabah.

“Sejurus mendapat laporan daripada orang awam, beberapa anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Arjunaidi, pihaknya juga percaya, berlaku pertengkaran di antara mangsa dengan teman lelakinya sebelum kejadian tersebut berlaku.

Tambahnya, pihaknya turut menemui sebilah gunting yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan untuk menikam mangsa.

“Suspek berkenaan kemudiannya melarikan diri ke rumahnya di Flat PKNS SS3,” katanya.

Katanya, sampai di rumahnya, suspek pula bertindak terjun dari tingkat 11.

"Suspek yang merupakan warga tempatan dipercayai mati serta-merta di tempat kejadian

“Pihak kami mendapat laporan mengenai suspek sekitar jam 4 petang semalam, namun polis mempercayai kejadian terjun itu berlaku pada waktu pagi,” katanya.

Jelas Arjunaidi, mayat suspek berkenaan juga didapati terjatuh di atas sebuah rumah pam tangki air yang terdapat di bawah blok kediamannya.
“Kita sedang menyiasat dengan lebih mendalam mengenai kejadian ini dan mayat kedua-dua mangsa akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani bedah siasat," katanya.

Arjunaidi berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas ini.

Dalam pada itu, bekas majikan mangsa, Maimun Yaakub, 48, berkata, dia berasa amat sedih dengan kejadian menimpa Salmah yang telah 10 tahun bekerja dengannya.

"Saya baru saja jumpa Salmah jam 6.30 petang kelmarin. Masa tu dia nampak sedih dan dia beritahu tak mahu lagi balik ke kampungnya di Sabah dan berhajat bawa anaknya ke sini.

“Dia memang selalu cerita masalahnya kepada saya, tapi tak sangka itu kali terakhir kami jumpa. Sebelum saya balik, Salmah sempat cium tangan dan meminta maaf,” katanya.

Menyentuh mengenai perhubungan mangsa dengan suspek yang dikenali sebagai Jim, Maimun memberitahu, Salmah juga sering meminta pandangan daripadanya.

"Salmah pernah beritahu saya, dia baru kenal Jim dalam dua bulan dan mereka dah pun merancang nak kahwin.

"Dia juga pernah mengadu rimas sebab Jim sering mendesaknya mempercepatkan perkahwinan walaupun mereka baru kenal," katanya.

Jual DVD haram kerana keluarga

WARTAWAN SINAR HARIAN
Jual DVD haram kerana keluarga
Rosli (baju kuning) mengaku bersalah menjual DVD haram kerana terpaksa menanggung keluarga. 
1 Mei 2014
GEORGETOWN - Seorang lelaki memberitahu Mahkamah Majistret Georgetown di sini, dia terpaksa menjual cakera padat digital (DVD) haram kerana mempunyai adik beradik yang ramai.

Tertuduh yang merayu di kandang tertuduh mengaku dia mencari rezeki melalui hasil jualan DVD berkenaan.

Tertuduh, Rosli Mansor, 24, kemudiannya didenda mahkamah sebanyak RM2,000.

Mengikut fakta pertuduhan, Rosli dituduh pada 22 Januari 2014 cuba menjual barangan berkenaan di sebuah gerai pada jam 8 malam.

Dalam pendakwaannya, tertuduh dipercayai mempamerkan 32 keping DVD filem lucah pelbagai tajuk dengan niat menjual kepada orang awam berhadapan dengan sebuah kedai serbaneka.

Tertuduh kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Majistret, Umma Devi Loganathan dalam penghakimannya memutuskan tertuduh bersalah dan membuat rayuan.

Tertuduh memaklumkan dia sakit dan terpaksa menanggung adik beradik yang begitu ramai untuk bersekolah.

Menurutnya, dia mengaku menjual DVD berkenaan namun hanyalah untuk mencari pendapatan.

“Saya mohon supaya hukuman saya diringankan kerana saya sudah mengaku bersalah, saya pula sakit kencing manis,” katanya di dalam kandang tertuduh.

Tertuduh kemudiannya diperintahkan membayar denda sebanyak RM2,000 dan sekiranya tidak bayar akan dikenakan enam bulan penjara.

Sementara itu, barangan bukti yang juga DVD lucah akan dilupuskan oleh mahkamah.

Pelajar maut rempuh tiang elektrik

WARTAWAN SINAR HARIAN
Pelajar maut rempuh tiang elektrik
Keadaan motosikal ditunggang kedua-dua mangsa yang merempuh tiang elektrik di Jalan Bukit Merah, Gunung Semanggol.
1 Mei 2014
 GUNUNG SEMANGGOL - Seorang pelajar maut manakala rakannya cedera parah apabila motosikal ditunggang mereka merempuh tiang elektrik dalam kejadian di Jalan Bukit Merah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa, Nuratikah Ahmad ,12, maut di hospital akibat mengalami kecederaan parah di kepala, manakala rakannya, Noraisah Sharif, 14, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss, mengalami patah tangan kiri serta kaki kanan akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai menunggang motosikal tanpa mengenakan topi keledar dari rumah mereka di Bukit Merah, di sini ke Changkat Lobak.

Menurutnya, motosikal ditunggang mereka kemudiannya hilang kawalan, terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut namun salah seorang daripadanya yang merupakan pembonceng meninggal dunia pada jam 1.30 pagi semalam,” katanya kepada media di sini, semalam.

Mat Fauzi berkata, siasatan mendapati lokasi kejadian agak gelap dan pihaknya tidak menolak kemungkinan punca kemalangan disebabkan penunggangnya hilang kawalan ketika melalui jalan itu.

“Mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarga dan siasatan lanjut terhadap kes ini masih dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kilang terbakar di Padang Jawa

WARTAWAN SINAR HARIAN
Kilang terbakar di Padang Jawa
Keadaan kilang yang terbakar di kawasan perindustrian Sungai Rasau - Foto Sinar Harian oleh HASLINAH GHANI
1 Mei 2014
 KLANG - Sebuah kilang terbakar di kawasan perindustrian Sungai Rasau, Padang Jawa, tengah hari tadi.

Tiga jentera bomba tiba di tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Pekerja kedai tayar tinggal sehelai sepinggang


1 Mei 2014


KUANTAN - Seorang warga Myanmar tinggal sehelai sepinggang dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah kedai tayar dan membaiki kenderaan di Jalan Beserah dekat sini, semalam.

Soemoethu, 23, pekerja di kedai itu berkata, ketika kejadian beliau hanya memikirkan untuk melarikan diri apabila melihat kedai itu dijilat api dan tidak sempat membawa sebarang harta benda miliknya termasuk dokumen pengenalan diri dan terus berlindung di stesen minyak berhampiran.
   
"Ketika itu saya sedang berehat di tingkat atas selepas kedai ditutup pukul 7 petang, tiba-tiba saya nampak api besar dari aras bawah kedai dan terus lari menyelamatkan diri ikut pintu belakang kedai.
   
"Saya sangat kesal kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang dari dalam kedai termasuk dokumen-dokumen penting termasuk barang peribadi milik saya," katanya kepada Bernama di sini, malam tadi.
   
Seorang lagi pekerja yang hanya dikenali sebagai Ah Long, 23, berkata, dia mendapat panggilan telefon dari rakan-rakannya yang mengatakan kedai tempat dia bekerja terbakar.
   
Sementara itu, pekerja stesen minyak, Ahmad Fakihuddin Yahya, 23, berkata dia dan rakan-rakannya yang ketika itu sedang sibuk melayan pelanggan tergamam ketika nampak api yang marak dan asap berkepul-kepul datang dari arah kedai tayar berkenaan pada pukul 10 malam.
   
Katanya walaupun stesen minyak itu beroperasi selama 24 jam namun atas faktor keselamatan dia mengambil keputusan untuk memberhentikan operasi pada 10.30 malam.
   
Empat jentera bersama 32 anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kuantan, Indera Mahkota dan Taman Tas dapat mengawal kebakaran pada 10.30 malam.  

Punca kebakaran masih disiasat. - Bernama

Warga emas maut jatuh tingkat 4 hospital


1 Mei 2014

KUANTAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, malam tadi.
   
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian 9.40 malam itu, Tan Chiu Chuan, 72, yang dimasukkan ke wad hospital berkenaan pada Selasa akibat serangan jantung, meninggal dunia di tempat kejadian.
   
"Warga emas dari Kampung Baru Triang dekat Bera itu dikatakan terjatuh dari tingkat empat bangunan hospital berkenaan.
   
"Bagaimanapun polis sedang menyiasat sama ada mangsa terjatuh atau bertindak terjun dari bangunan itu," katanya kepada Bernama hari ini.
   
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya. - Bernama

Mayat ditemui terapung di Sungai Kerian


1 Mei 2014


NIBONG TEBAL - Mayat seorang lelaki yang berpakaian lengkap serba hitam dengan matanya ditutup dengan kain ditemui terapung di Sungai Kerian, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berkata mayat lelaki tanpa sebarang dokumen perjalanan diri itu ditemui nelayan yang sedang menangkap ikan di sungai berkenaan pada pukul 9.30 pagi tadi.

"Pada mulanya nelayan itu menyangka benda yang terapung dan tersangkut di tebing sungai berkenaan adalah sampah berikutan ia berwarna hitam bagaimanapun setelah mendekatinya baru menyedari itu adalah mayat," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata nelayan berkenaan terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menghantar mayat itu ke Hospital Seberang Jaya, dekat sini untuk dibedah siasat.

Shafien berkata berdasarkan keadaan mayat itu, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah mati sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ditemui hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan di badan mangsa.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita menunggu laporan bedah siasat sebelum mengklasifikasikan kes berkenaan sama ada mangsa dibunuh atau terjatuh ke dalam sungai berkenaan," katanya.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Berebut kiub rubik punca pelajar maut

HIDAYAH HAIROM & NORAFIZA JAAFAR
Berebut kiub rubik punca pelajar maut
Jenazah Mohd Abdul Azim dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda. Gambar kecil: Arwah Mohd Abdul Azim.
1 Mei 2014
 RAWANG - Hanya kerana kehilangan kiub rubik, pelajar Sekolah Menengah Agama Rawang  di sini, maut dibelasah apabila rakannya itu tidak berpuas hati mangsa menuduhnya mencuri permainan itu.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, mangsa Mohd Abdul Azim Adnan, 15, dikatakan baharu selesai mengulang kaji pelajaran di asrama sekolah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner, Ali Ahmad berkata, mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri  di gelanggang bola tampar di sekolah berasrama di sini sebelum disahkan meninggal dunia jam 11.30 malam kelmarin.

Katanya, mangsa dikatakan tidak berpuas hati dengan suspek dan menuduhnya mengambil  permainan itu sebelum menolak suspek hingga terjatuh.

“Suspek kemudiannya  bertindak balas dengan menarik kaki mangsa hingga jatuh dan menumbuknya sebanyak tiga kali sebelum Azim tidak sedarkan diri,” katanya, semalam.

Menurutnya, Azim dibawa ke bilik asrama oleh rakannya sebelum memaklumkan kepada warden selepas tiada tindak balas daripada mangsa.

“Mangsa terus dibawa ke klinik sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan  Hospital Selayang dan doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati, suspek  mengaku menumbuk mangsa di bahagian muka sebanyak tiga kali namun tiada sebarang kesan kecederaan pada anggota mangsa,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat hospital.

Sementara itu, ibu saudara mangsa,  Murniati Jalaluddin, 44, berkata, arwah pernah bergurau dengan ayahnya mahu mati awal selepas mendengar kisah orang belum baligh meninggal dunia akan dimasukkan ke syurga.

Katanya, insiden perbualan itu berlaku dua minggu lalu selepas mangsa pulang bercuti akibat catuan air di sekolahnya.

“Bila berkumpul, macam-macam perkara dikongsikan dan ayahnya ada menceritakan kisah syurga iaitu jika orang yang belum baligh meninggal dunia, dia akan masuk syurga, jadi secara spontan dia kata mahu mati awal.

“Selain itu, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara, namun menurut adiknya, dia terus solat sebaik sahaja masuk waktu,” katanya ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, semalam.

Tambahnya, berdasarkan maklumat awal dari pihak forensik, kematian arwah adalah disebabkan otaknya yang membengkak kesan daripada insiden itu.

“Secara luaran keadaan mangsa tidak mengalami luka, namun terdapat kesan lebam di bahagian dada, belakang kepala dan telinga kiri,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu, petang semalam.

Tiga maut serangan di stesen kereta api di Xinjiang, China


2014/05/01 - 07:50:02

BEIJING: Tiga orang maut dan 79 lagi mengalami kecederaan dalam serangan di stesen kereta api di wilayah Xinjiang di sini, lewat semalam, lapor media republik berkenaan.

Agensi berita rasmi China, Xinhua berkata, suspek mengelar mangsa dengan pisau dan membuat letupan di stesen kereta api di ibu negeri Xinjiang, Urumqi.


Serangan itu disifatkan sebagai "serangan pengganas yang ganas".

Serangan berkenaan tercetus pada hari yang sama Presiden Xi Jinping mengakhiri lawatannya di wilayah terbabit yang dihuni kebanyakannya etnik minoriti, Uighur beragama Islam. - AFP 

Guna ilmu hitam pukau mangsa

MUHAMMAD AFHAM RAMLI
Guna ilmu hitam pukau mangsa
Suami mangsa menunjukkan bagaimana anak mereka diikat oleh penjenayah tersebut.
30 April 2014
 SHAH ALAM – Geng samun dan pecah rumah di Taman Alam Budiman, Seksyen U10 dekat sini dipercayai menggunakan ilmu hitam bagi mengelakkan kegiatan mereka disedari penghuni rumah.

Difahamkan mangsa tidak sedar rumah dipecah masuk sehinggalah penjenayah berkenaan menegur atau mengejutkan mangsa daripada tidur.

Salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Rosiah, 50, berkata, dia menemui batu yang disusun pelik selepas rumahnya dipecah masuk baru-baru ini.

Menurutnya susunan batu pelik menyerupai bulatan dan ada batu kecil diletakkan di tengah ditemui di depan pintu pagar rumahnya.

"Rumah saya dipecah masuk kira-kira jam 2.30 pagi. Masa kejadian saya dan suami tidur di bilik utama, anak-anak tidur di bilik lain. Pintu bilik memang berkunci. Pencuri guna tong gas untuk pecahkan pintu bilik, tapi kami yang tidur langsung tidak sedar apa-apa," katanya.

Menurutnya, kumpulan tersebut yang terdiri daripada lima lelaki bertopeng itu masuk melalui pintu ruang tamu rumah.

"Mereka acu besi pemotong dan minta kami serah barang kemas dan wang tunai. Saya, suami dan tiga anak kena ikat dengan wayar dan mereka ugut jangan buat bising.

"Saya rugi hampir RM23,700 apabila barang kemas, enam telefon bimbit, 10 utas jam tangan dan wang tunai dilarikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrul Hisham Shahbudin berkata, kejadian samun pecah rumah semakin menjadi-jadi di kawasan perumahan berkenaan.

Beliau berkata, kes sebegini sudah berlaku sejak kawasan perumahan ini dibuka lima tahun lalu.

Namun katanya, penjenayah kini seolah-olah mencabar penduduk kerana berani melakukan aktiviti jenayah pada waktu siang.

“Ada juga kes mereka berpura-pura jadi pekerja penyelenggaraan masuk ke dalam rumah dan kemudian samun penghuninya.

“Antara puncanya ialah pondok kawalan pintu masuk utama langsung tidak beroperasi. Maknanya sesiapa sahaja bebas keluar masuk ke kawasan ini," katanya.

Dalam pada itu pihaknya menghargai usaha pihak polis dari Cahaya SPK dan Seksyen 9 yang turut membantu dalam rondaan komuniti bersama persatuan penduduk walaupun kekurangan anggota.

Fius elektrik terbakar

WARTAWAN SINAR HARIAN
Fius elektrik terbakar
Kamisah menunjukkan fius elektrik yang terbakar di rumahnya di Jalan Merbau, Kampung Bukit Hijau. 
30 April 2014
KUALA SELANGOR - Seorang wanita berdepan dengan detik cemas apabila fius elektrik rumahnya terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang, semalam.

Dalam kejadian itu, Jamilah Mohamad, 43, bersendirian di rumah sedang berkemas di dalam bilik selepas mandi dan dikejutkan dengan lampu bilik yang terpadam secara tiba-tiba.

Menurutnya, dia tidak mengesyaki apa-apa apabila lampu biliknya terpadam sedangkan kipas masih berfungsi seperti biasa.

"Tapi bila keluar, saya bau hangit dan nampak fius elektrik utama yang menyambungkan rumah ayah dengan rumah saya terbakar.

"Saya terus jerit minta tolong dengan jiran sebelah. Bagai orang gila saya ke hulu ke hilir minta tolong sebab mak dengan ayah keluar beli barang," katanya.

Jamilah berkata, dia bernasib baik apabila ada dua jirannya datang membantu mematikan suis utama dan memadam kebakaran menggunakan pemadam api.

"Api yang menjulang tinggi berjaya dipadamkan sebelum bomba datang 20 minit lepas itu," katanya.

Sementara ibunya, Kamisah Salehan, 65, berkata, dia tidak menyangka panggilan daripada anaknya kira-kira jam 6 petang memberi perkhabaran buruk.

"Waktu itu mak cik nak balik rumah dari kedai di Puncak Alam lepas beli barang makanan untuk buat majlis kejutan hari jadi.

"Sepanjang jalan mak cik tak putus-putus berdoa agar tiada apa yang buruk terjadi. Tapi sampai rumah mak cik tengok bomba dan orang kampung dah penuh," katanya.
Katanya, dia terkejut dan menggigil melihat rumahnya yang terbakar.

"Tapi Alhamdulillah bila jiran cepat-cepat bantu padamkan api bagi elak merebak ke tempat lain. Hanya ruang tamu saja yang rosak.

"Suami kata kena buat pendawaian semula dan anggaran kerugian belum dapat dipastikan lagi. Bila jadi macam ini, terpaksa batalkan niat untuk buat sambutan hari jadi dan mungkin buat kenduri kesyukuran saja Jumaat," katanya.

Anjing serang orang awam: Pengusaha ladang cili hadapi 3 pertuduhan

Anjing serang orang awam:  Pengusaha ladang cili hadapi 3 pertuduhan
Soon Seng (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban. 
Seremban: Pemilik dua ekor anjing yang menyerang tiga orang termasuk seorang mangsa yang terkoyak kulit kepala di Kampung Masjid, Lenggeng,minggu lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Lam Soon Seng, 51, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris di depan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Tertuduh didakwa dengan cuai meninggalkan dua anjing miliknya hingga menyebabkan kecederaan terhadap Rukimah Juwandi, 51; Hoosni Anuar Hamid, 44; dan Mohd Nasir Sulaiman, 55; di Kampung Masjid, antara jam 7 hingga 7.50 pagi, 23 April lalu.


Rayu ikat jamin

Soon Seng yang juga pengusaha ladang cili di kampung itu, melakukan kesalahan mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan ikat jamin rendah dengan alasan menanggung kos rawatan mangsa di hospital, selain tidak mempunyai pendapatan kerana ladang cili diusahakan tidak mendatangkan hasil berikutan faktor cuaca.

Mohamad Izwan menetapkan ikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan kes disebut semula untuk penyerahan laporan perubatan pada 20 Mei ini sebelum hukuman dijatuhkan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zanudin.

Media sebelum ini melaporkan tiga termasuk seorang anggota polis cedera selepas diserang dua anjing baka American Bull yang dibela untuk mengawal ladang cili di Kampung Masjid, Lenggeng, dekat sini.

Berikutan kejadian itu, Rukimah yang juga pembantu rumah rakyat Indonesia, terkoyak kulit kepala, cedera di badan dan patah tangan kiri. Dua lagi mangsa iaitu penjual nasi lemak, Hoosni, cedera di tangan dan muka manakala Lans Koperal Mohd Nasir cedera pada kaki digigit anjing itu.

13 tahun anak hilang

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 tahun anak hilang
Omar (dua kiri) dan Timah Ramlah serta Suhaizam memegang gambar terakhir Nor Suhaila yang diambil sekitar 2001. 
29 April 2014
SEBERANG TEMERLOH - Pasangan warga emas dari Kampung Lebak Seberang, di sini merayu anak perempuan mereka yang gagal dihubungi sejak 13 tahun lalu pulang ke pangkuan keluarga sebelum pasangan itu ‘menutup mata’.

Omar Maaris 79, dan isteri Timah Ramlah Singah, 74, berharap anak kelima dari tujuh beradik Nor Suhaila yang hilang sejak berumur 24 tahun pulang ke rumah sementara ibu bapanya masih ada.

Timah Ramlah berkata, keadaan kesihatan ayahnya semakin tidak menentu, sekarang ayahnya kerap kali semput dan menderita sakit kaki.

“Alamat terakhirnya di Johor Bahru, saya pernah seorang diri sewa teksi pergi balik RM700 semata-mata untuk mencari anak kesayangan saya itu, dia manja dengan saya berbanding yang lain.

“Saya sewa teksi, makan minum malah duit rokok pemandu teksi itu pun saya tanggung supaya dia dapat menemani saya mencari Nor Suhaila, kami cari dari rumah ke rumah, tapi semuanya hampa,” katanya sewaktu ditemui di sini semalam.

Timah Ramlah berkata, dia juga pernah melompat keluar dari teksi apabila terpandang wajah seorang perempuan yang mirip Nor Suhaila sedang menunggu bas di Kuantan.

“Semua itu hampa, saya ke Kedah, Perlis, Pulau Pinang seorang diri untuk mencari Nor Suhaila, jumpa ramai orang untuk cari anak saya, duit sudah RM4,000 dihabiskan untuk ikhtiar mencarinya,” katanya.

Timah Ramlah berkata, Nor Suhaila pernah bekerja sebagai kerani dengan sebuah syarikat di Johor dan berjanji untuk pulang ke kampung tiga kali sebulan.

“Satu hari dia telefon saya, dia kata ada seorang lelaki Cina sukakannya, saya suruh dia balik ke kampung dan jika mahu kahwin suruh lelaki itu masuk Islam.

“Lepas itu semua hilang, tidak ada lagi khabar berita dari Nor Suhaila, kami sekeluarga sangat rindukannya,” katanya.

Bapanya, Omar berharap, anak perempuannya itu kini sudah berusia 37 tahun dan sudah cukup dewasa untuk memikirkan perkara yang baik dan buruk.

“Saya harap dia pulang, kami sangat rindukannya, saya bukan sihat sangat sekarang,” katanya.

Pasangan itu yang dikurniakan tujuh anak kini tinggal bersama anak kedua bongsunya Suhaizam yang juga orang kurang upaya (OKU).

Wanita dipukau lelaki berkopiah

WARTAWAN SINAR HARIAN
Wanita dipukau lelaki berkopiah
Wan Minah mendakwa dipukau sehingga kerugian barangan kemas bernilai RM2,000. (gambar dari facebook Suara Penduduk Jengka)
29 April 2014


JENGKA - Seorang warga emas berusia 58 tahun kerugian hampir RM2,000 selepas mendakwa dipukau seorang lelaki berkopiah di kaki lima berdekatan sebuah kedai emas di Bandar Tun Razak Jengka dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa yang sendirian mahu ke sebuah bank terkejut apabila barang kemas miliknya bertukar menjadi duit syiling 55 sen.

Mangsa, Wan Minah Muhamad berkata, dia ke bank berkenaan untuk membuat kad bank baharu ekoran yang lama ditelan mesin pengeluar wang pada malam kelmarin.

Menurutnya, ketika menunggu waktu bank beroperasi di kaki lima premis berkenaan, seorang lelaki berkopiah tidak dikenali menepuk bahunya.

“Lelaki dalam lingkungan 50an itu memberitahu datang dari Klang dan ke sini untuk berjumpa dengan seorang ustaz.

“Dia bertanyakan kepada saya sama ada kenal atau tidak ustaz itu dan pada masa sama, datang seorang lagi lelaki dari arah hadapan menuju ke kami.

“Soalan sama ditujukan kepada lelaki yang baru datang tadi dan kami berdua cakap tidak kenal dengan ustaz yang dimaksudkan,” katanya.

Wan Minah berkata, lelaki berkopiah itu memberi sebuah permata mempunyai tulisan jawi sebagai tanda terima kasih di atas persoalan ditanya tadi.

Menurutnya, permata itu didakwa memiliki keistimewaan termasuk memberi kekebalan dan perlindungan.

“Lelaki berkopiah itu menunjukkan bukti dengan menoreh tangan seorang lagi lelaki bersama tadi menggunakan pisau.

“Kemudian diuji pula ke tangan saya dan memang tidak luka atau berdarah selepas ditoreh pisau.

“Lelaki berkopiah itu memberitahu bahawa barang kemas tidak boleh dipakai dan meminta saya menyerahkan cincin serta gelang emas,” katanya.

Mangsa berkata, barang kemas dipakai itu diambil sendiri oleh lelaki berkopiah tersebut lalu meletakkan di dalam satu sampul surat bersama batu permata.

Menurutnya,  sampul surat tersebut diserahkan kembali dan mengingatkan mangsa agar membuka sebaik pulang ke rumah.

“Lepas beberapa minit lelaki berkopiah dan seorang lagi lelaki tadi yang saya syak bersubahat sama pergi, saya rasa tidak sedap hati lalu membuka sampul surat berkenaan.

“Cincin dan gelang emas saya sudah tiada sebaliknya hanya ada duit syiling 55 sen di dalam sampul itu,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka.

Melekat pada pintu kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
Melekat pada pintu kereta
Ahmad Saiful Asyraf
29 April 2014
 DUNGUN - “Saya nampak Perodua Myvi itu buat pusingan U, tiba-tiba ada motosikal dari arah belakang langgar, penunggang dan pemboncengnya lekat pada pintu kereta lalu diseret sebelum langgar tiang dan dua mangsa itu kemudiannya terjatuh.”

Demikian kata Wan Zirina Wan Sagar, 28, salah seorang saksi kejadian kemalangan yang meragut nyawa  seorang remaja di sini, petang kelmarin.

Kemalangan kira-kira jam 4.45 petang di Kilometer 93.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi dipandu Mohd Zulain Azmi, 24, dari arah Paka menuju ke Kuantan tiba-tiba membuat pusingan U.

Pada masa sama, sebuah motosikal dinaiki dua remaja, Ahmad Saiful Asyraf Aminuddin, 19, dan Syed Adaham S. Azhar, 19, dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar sebelah kanan Perodua Myvi terbabit sebelum kedua-duanya melekat pada bahagian pintu.

Kedua-dua mangsa kemudiannya dikatakan diseret sejauh kira-kira lima meter sebelum Perodua Myvi berwarna perak itu melanggar tiang sehingga mangsa terjatuh.

Ahmad Saiful Asyraf yang berasal dari Jeram Beserah Kuantan mati di tempat kejadian akibat patah leher serta kecederaan parah pada keseluruhan badan, manakala rakannya Syed Adaham patah paha kiri dan tangan kanan sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Beserah menuju ke tempat pengajiannya di Chendering selepas menghabiskan cuti hujung minggu.

Pemandu Perodua Myvi, Mohd Zulain Azmi, 24, berasal dari Limbong Paka bagaimanapun hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob ketika mengesahkan kejadian berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan punca kematian.

“Kes kemalangan itu masih dalam siasatan pihak kami,” katanya.

Belukar sengaja dibakar

WARTAWAN SINAR HARIAN
Belukar sengaja dibakar
Hasmadi ketika memadam kebakaran di kawasan belukar Padang Baloh dibantu anggotanya.
29 April 2014

BESUT - Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab sengaja membakar belukar di kawasan Paya Rawa dan kawasan lain di daerah ini sehingga menyebabkan kebakaran besar amat dikesali.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Hasmadi Jusoh berkata, pihaknya mengesyaki kejadian kebakaran belukar di Paya Rawa dan Padang Baloh dekat Kampung Raja, di sini, dilakukan pencari kayu bakau di kawasan berkenaan.

Menurutnya, mereka dikatakan sengaja membakar semak bagi dijadikan laluan menebang dan mengambil kayu bakau.

“Pihak bomba amat kesal dengan perbuatan tersebut kerana tindakan individu tidak bertanggungjawab ini menyebabkan kebakaran merebak dan kemudian udara tercemar, berjerebu serta membahayakan penempatan berhampiran,” katanya.

Hasmadi berkata, selain dua lokasi tersebut, dua lokasi lain yang turut berlaku kebakaran hutan ialah di Renek dan Tembila yang turut membabitkan kawasan kebun.

Katanya, seramai 16 anggota termasuk anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jertih serta anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Besut bertungkus lumus memadam kebakaran di Padang Baloh dan Paya Rawa, kelmarin.

“Dua jentera bomba dan dua unit pam air bergerak digunakan untuk memadam kebakaran tersebut,” katanya.

Kata Hasmadi,  buat masa ini bomba memberi keutamaan memadam kebakaran di kawasan belukar yang boleh merebak ke kawasan penempatan atau premis, sementara di kawasan belukar terbakar yang jauh daripada penempatan pihaknya hanya akan melakukan pemantauan.

Kera serang bayi dalam buaian

RAIHAM MOHD SANUSI
Kera serang bayi dalam buaian
Siti Najwa mendukung bayinya yang berbalut di bahagian dahi gara-gara digigit kumpulan kera liar yang menceroboh rumahnya. 
30 April 2014
KEMAMAN - “Dengan adanya perangkap ini saya harap kumpulan kera liar yang gigit dahi anak saya dapat ditangkap segera,” kata ibu bayi perempuan berusia 3 bulan, Nor Iman Adriana Zuhairi yang diserang kera liar dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Gelugor, Kerteh, Sabtu lalu.

Walaupun masih trauma dengan kejadian itu, Siti Najwa Muhammad, 21, sambil mendukung bayinya turut sama menyaksikan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memasang perangkap di belakang rumahnya kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Siti Najwa berkata, kejadian ngeri itu benar-benar membuatkan dirinya fobia dan sehingga kini masih terbayang kera liar berada di depan matanya setiap kali masuk ke bahagian dapur rumah.

“Selagi kera liar itu tak ditangkap, saya tak senang duduk tapi saya sedikit lega selepas perangkap dipasang kerana saya percaya lambat laun kera liar ini akan masuk jerat juga.

“Kalau tak dapat tangkap banyak ekor (kera liar), seekor pun sudah memadai… sekurang-kurangnya ia dapat kurangkan jumlah kera liar yang banyak berkeliaran sekitar kawasan ini,” katanya.


Terima 14 jahitan

Kata Siti Salwa, hatinya hiba setiap kali mendengar rengekan dan tangisan anaknya selepas peristiwa diserang haiwan liar itu.

Kumpulan kera liar tersebut menyerang bayinya ketika anak keduanya itu sedang nyenyak tidur dalam buaian di bahagian dapur rumah kira-kira jam 1 tengah hari, Sabtu lalu.

Ketika kejadian, Siti Najwa dan anak sulungnya, Nor Iman Batrisyah, 3, berada di dalam bilik tidur kerana sedang bersiap untuk menghadiri majlis perkahwinan sebelum dikejutkan dengan tangisan kuat dari arah dapur.

Ibu muda itu juga sempat melihat tiga ekor daripada kumpulan kera liar tersebut berada dalam buaian sebelum haiwan itu bertempiaran lari selepas mendengar jeritannya.

Berikutan kejadian itu, bayinya yang dirujuk di Hospital Kemaman menerima 14 jahitan selepas dahinya mengalami dua luka sepanjang lima sentimeter akibat digigit haiwan berkenaan.


Perhilitan ambil tindakan selamat

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Yusoff Shariff berkata, perangkap yang dipasang di belakang rumah mangsa akan dipantau kakitangan Perhilitan yang berkawal di kawasan itu untuk tempoh antara dua dan tiga hari.

“Memandangkan kawasan rumah di kampung ini sangat dekat antara satu sama lain, jadi kita sukar untuk menembak kera liar itu kerana khuatir ia boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk kampung yang lain. Jadi langkah terbaik adalah dengan pasang perangkap ini.

“Oleh itu kita harapkan kerjasama daripada penduduk kampung agar segera membuat laporan kepada pihak kita jika ternampak kumpulan kera liar berkenaan.

“Diharap penduduk kampung juga tidak membuang sampah terutama sisa makanan merata-rata kerana ia boleh mengundang kehadiran binatang ini. Elakkan juga daripada beri kera ini makanan dan jangan lakukan provokasi jika nampak kumpulan haiwan liar ini,” katanya.


Kes kedua serangan

Menurutnya, seramai tiga kakitangan Perhilitan akan mengawasi kawasan rumah mangsa dan pihaknya percaya kera liar yang menyerang bayi terbabit dapat ditangkap dalam tempoh seminggu.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pihaknya akan menembak kera liar berkenaan jika keadaan sesuai dan tidak mendatangkan risiko kepada nyawa atau keselamatan penduduk setempat.

“Kes serangan kera liar ini adalah kes kedua, sebelum ini berlaku Januari lalu di Setiu melibatkan mangsa dewasa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Kampung Gelugor, Wan Engah Wan Mokhtar berkata, beliau sangat berharap penduduk kampung dapat menyalurkan maklumat segera jika ternampak haiwan tersebut bagi memastikan ia dapat dijerat secepat mungkin.

Dadah: Tiga sahabat berdepan tali gantung

WARTAWAN SINAR HARIAN
Dadah: Tiga sahabat berdepan tali gantung
Dua daripada tiga tertuduh ini dibawa polis untuk ditahan sementara menunggu sebutan semula kes. 
29 April 2014
KOTA BHARU - Tiga sahabat berdepan hukuman mati mandatori selepas dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mengedar 869.5 gram dadah jenis heroin, 14 April lalu.

Tuduhan dibuat ke atas, Zakuwan Ariff Mohamad, 21; Mohd Noor Shafie, 31, dan Che Abdul Aziz Che Hamid, 28, ketiga-tiganya berasal dari Tumpat.

Berdasarkan tuduhan, mereka didakwa mengedar dadah berkenaan di sebuah perumahan di Kampung Geting Tumpat , pada jam 8.50 malam, tarikh tersebut.

Prosiding dakwaan dijalankan ole Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Pada prosiding itu, tiada ada pengakuan direkodkan. Mereka juga tidak ditawarkan jaminan sementara kes tersebut disebut semula pada 26 Jun depan.

Mereka sebelum itu ditahan dalam sebuah rumah tersebut bersama-sama dadah berkenaan.

Sebutan semula ditetapkan bagi menunggu laporan kimia untuk mendapatkan berat sebenar dadah berkenaan.

Lima nelayan hanyut diselamatkan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Lima nelayan hanyut diselamatkan
Lima nelayan Tumpat yang hanyut di lautan selepas bot mereka mengalami kerosakan enjin diselamatkan Maritim di Tok Bali, semalam. Gambar kecil: Arifin. 
29 April 2014
PASIR PUTEH - Lima nelayan dari Tumpat yang hanyut selama enam hari di Laut China Selatan akibat enjin bot mereka mengalami kerosakan berjaya diselamatkan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim), semalam.

Kelima-lima mereka dibawa ke Jeti Operasi Maritim di Tok Bali dekat sini, selepas ditemui kira-kira 116 batu nautika dari Pantai Tok Bali menerusi operasi mencari dan menyelamat.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tok Bali (DM10), Kepten Maritim Wan Burhanuddin Jusoh berkata, sebaik menerima maklumat daripada keluarga mereka yang dihubungi pihak petugas pelantar minyak, KM Amanah diarah melancarkan gerakan mencari dengan mengambil masa 18 jam sebelum menemui bot Zon A bernombor pendaftaran TFA 714, kira-kira tiga batu nautika dari pelantar minyak Bunga Raya.

“KM Amanah berjaya mengesan bot nelayan terbabit berhampiran pelantar minyak Bunga Raya, kira-kira lima batu nautika dari sempadan perairan Malaysia-Vietnam.

"Kita cuba memberi bantuan teknikal untuk membaiki enjin tetapi menemui kegagalan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, bot nelayan terbabit yang dikatakan mengalami kerosakan enjin pada 22 April lalu terpaksa ditunda ke jeti yang mengambil masa selama 18 jam ke muara Tok Bali.

Menurutnya, kerja membaiki peralatan dan enjin dilakukan semalam, berhampiran pangkalan operasi sebelum kesemua mereka dibenarkan pulang ke pantai Tumpat.

Kesemua mangsa yang terdiri daripada tekong bot, Arifin Harun, 61, dan awak-awak, Mohamad Sabri Arifin, 27; Abdul Azid Saleh, 54; Che Harun Che Mod, 42, serta  Mohamad Sulaiman, 70, masing-masing dari Kampung Tanjung Dat dan Tanjung Che Mas, Tumpat, selamat.

Arifin ketika ditemui berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Maritim yang memberi pertolongan selepas mereka gagal mendapatkan simpati beberapa bot nelayan Vietnam yang tidak mengendahkan isyarat kecemasan bagi mendapatkan bantuan.

“Kami bernasib apabila masalah kami disedari pihak pelantar minyak dengan memberi pelbagai bentuk bantuan termasuk menghubungi pihak keluarga di kampung halaman selepas telefon bimbit kami tidak berfungsi kerana hanyut di kawasan luar liputan rangkaian,” katanya.

Rakannya, Mohamad pula berkata, kejadian itu adalah pengalaman pertama dalam hidupnya sejak 30 tahun menjadi nelayan.

Menurutnya, kejadian tersebut  tidak disedari anggota keluarga di rumah kerana lazimnya mereka akan kembali ke pangkalan dengan hasil tangkapan selepas tujuh hari keluar ke laut.

“Kami hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT kerana tiada apa yang boleh kami lakukan dan akhirnya kami diselamatkan sebelum kehabisan bekalan makanan serta minuman,” katanya.

306 pelajar sekolah terlibat jenayah di Sabah


30 April 2014

KOTA KINABALU - Seramai 306 orang pelajar sekolah di Sabah yang terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah ditahan sejak Januari tahun lepas hingga Mac lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 223 kes dicatat sepanjang tahun lepas termasuk 74 pelbagai kes mencuri dan 49 kes mencuri motosikal.

"Antara kes lain termasuk kes pecah rumah (36 kes), rogol (28), cedera (24, bunuh (2), samun berkawan tanpa senjata api (9) dan ragut (1)," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan papan kenyataan Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah (KPJS) peringkat negeri di Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 83 pelajar ditahan sepanjang Januari hingga Mac lalu melibatkan curi motosikal 30 kes, pecah rumah (20), rogol (10), cedera (6), samun berkawan tanpa senjata api (5) dan lain-lain kecurian (12).

"Pihak polis akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah melalui mesyuarat permuafakatan sebagai salah satu inisiatif untuk memantau sekolah-sekolah bagi mengelak pelajar terjebak dengan pelbagai masalah jenayah," katanya.

Hamza berkata setiap sekolah digalakkan menubuhkan KPJS sebagai langkah awal untuk mengekang pelajar sekolah terjebak dengan jenayah terutama ketika di luar waktu sekolah.

"Setakat ini terdapat sebanyak 189 buah sekolah yang telah mempunyai Kelab Pencegahan Jenayah," katanya.

Beliau menyampaikan 24 papan kenyataan kepada Pengarah JPN Sabah Datuk Jame Alip dan pengetua sekolah terpilih di sekitar Kota Kinabalu yang mempunyai KPJS.

Menurutnya, pemasangan papan kenyataan itu bertujuan bagi menyampaikan berita terkini dan isu semasa mengenai aktiviti kelab pencegahan jenayah, kadet polis serta lain-lain perkara yang berkaitan dengan kesedaran pencegahan dan pembenterasan jenayah.

Beliau berkata pengagihan papan kenyataan itu akan diteruskan ke seluruh daerah di Sabah secara berperingkat. - Bernama

29 penumpang selamat bas ekspress terbabas


29 April 2014


GUA MUSANG - Seramai 29 penumpang sebuah bas ekspres terselamat selepas kenderaan itu terbabas ke dalam parit di Km 3.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Bandar Utama di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata bas ekspres Shamisha Holiday itu remuk sedikit di bahagian depan dan tiada penumpang mengalami kecederaan.

Menurutnya, bas itu dipercayai hilang kawalan sebaik melepasi kawasan selekoh menuruni bukit sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan lalu terhumban ke dalam parit dalam kejadian 3.30 pagi.

"Bagaimanapun, penumpang yang menaiki bas yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudian menaiki bas lain daripada syarikat sama untuk meneruskan perjalanan," katanya ketika dihubungi.
 
"Setakat ini, kita belum menerima sebarang laporan daripada pemandu bas berhubung kejadian itu," katanya. - Bernama

Misteri bau busuk terjawab

ROSALWANI CHE SOH
Misteri bau busuk terjawab
Mayat mangsa diangkat ke dalam trak polis sebelum dihantar ke hospital untuk bedah siasat. 
30 April 2014
KOTA BHARU - Misteri bau busuk dalam semak di Kampung Paya Senang, Telipot, di sini terjawab apabila penduduk menemui mayat seorang lelaki hampir reput, di sini, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Paya Senang, Wan Nordi Wan Mohamad, 58, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu daripada seorang penduduk, Shariman Samlang, 13, yang memberitahu mengenai penemuan mayat tersebut.

“Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng itu beritahu saya, dia ada tercium bau busuk ketika lalu di kawasan berkenaan untuk mengambil wau yang jatuh di situ.

“Selepas dimaklumkan tentang kejadian itu pada kira-kira jam 8.30 malam, saya bergegas ke tempat kejadian,” katanya kepada media ketika ditemui, semalam.

Wan Nordi berkata, sebelum ini tiada penduduk yang merungut dengan bau busuk di kawasan terbabit, namun hanya disedari pelajar tersebut yang lalu di kawasan itu.

“Semasa tiba di kawasan kejadian, saya nampak ada mayat lengkap berpakaian dan terus menghubungi polis.

“Apa pun, saya serahkan kes ini kepada polis untuk membuat siasatan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, mayat dijumpai dalam keadaan mengiring, berbau dan berulat.

“Dianggarkan mayat lebih daripada 10 hari dan wajahnya tidak dapat dicam kerana hampir reput, hanya menampakkan rahang.

“Mayat dipercayai seorang lelaki berdasarkan bentuk fizikal dan ditemui berpakaian lengkap seluar jeans panjang dan baju T warna gelap," katanya.

Azham berkata, hasil siasatan, polis menemui bungkusan berwarna biru dalam poket seluar sebelah kanan mayat bersama straw berangkai yang dipercayai digunakan untuk mengisi pil kuda, namun tiada pil kuda ditemui dalam rangkaian straw berkenaan.

“Tiada kesan kecederaan pada luar badan mayat ditemui kerana keadaan mayat yang mereput menyukarkan usaha melihat sebarang kesan kecederaan.

“Kes ini diklafikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya.

Tukar ganja kepada syabu

Saiful Azzri Hamzah
Saiful Azzri Hamzah 
30 April 2014 SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan mengesan trend baharu pemandu bas khususnya bas ekspres yang mengubah pengambilan dadah jenis ganja kepada syabu berikutan kesan pengambilannya yang lebih lama.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Saiful Azzri Hamzah berkata. pemandu bas terbabit mengambil dadah tersebut bagi membolehkan mereka memandu bas lebih lama untuk mengejar trip perjalanan, selain ia senang disembunyikan.

"Itu adalah antara alasan utama yang diberikan pemandu bas apabila ditahan pihak berkuasa selepas didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing.

Dadah sintetik atau pun syabu ini apabila diambil menyebabkan individu yang mengambilnya boleh tahan berjam-jam.

"Seperti mana yang kita ketahui, sebahagian atau pun segelintir daripada pemandu bas ekspres ini mengejar trip. Itu sebabnya ada pemandu bas ekspres ini membawa laju untuk mengejar trip," katanya selepas operasi bersepadu 'Ops Bas Ekspres' oleh JPJ dan AADK di Terminal 1, di sini, malam tadi.

Katanya gejala ini sangat membimbangkan dan perlu dibendung kerana apabila bas dipandu laju ia boleh mengakibatkan kemalangan dan mengancam nyawa penumpang.

Katanya sepanjang operasi yang bermula 21 April lalu hingga malam tadi, sebanyak 114 bas dan 299 pemandu bas diperiksa dan daripada jumlah pemandu yang diperiksa, tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu.

"Ketiga-tiga pemandu yang berumur 30 hingga 45 tahun itu telah ditahan dalam operasi di stesen bas Terminal 1 di sini. Tindakan tegas mengikut Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikenakan terhadap mereka yang menggunakan bahan terlarang itu dengan membatalkan lesen pemanduan mereka," katanya. - Bernama

Langgar lari: Wanita Filipina maut


30 April 2014


JOHOR BAHRU - Seorang wanita rakyat Filipina maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di KM4.6 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisiten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12 tengah malam ketika mangsa, Iand Bernales, 27, sedang melintas jalan terbabit.

"Wanita berkenaan yang beralamat di Stulang Laut di sini merupakan pelajar sebuah kolej swasta di bandar raya ini. Polis telah berjaya mengesan warisnya," katanya di sini hari ini.

Sulaiman berkata, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail, di sini dan polis kini sedang mengesan kenderaan yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu.

Katanya polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan. - Bernama

Selera terbantut sayur ada ulat

MASTURAH SURADI
Selera terbantut sayur ada ulat
Ulat sayur yang ditemui dalam hidangan tengahari Ngatini. 
30 April 2014
KOTA TINGGI – Selera makan seorang pelanggan wanita terbantut apabila dia menemui seekor ulat dalam sayur turi lemak ketika menjamu selera di salah sebuah restoran di Bandar Penawar, di sini.

Mangsa, Ngatini Karchin, 50, berkata, ketika kejadian, hampir separuh daripada nasi yang diambil telah habis dimakan sebelum dia menjumpai ulat sepanjang dua sentimeter.

Menurutnya, dia bersama ahli keluarganya turut tergamam dan terkejut selepas melihat ulat seakan ulat sayur di dalam makanannya.

“Biasanya, saya memasak di rumah untuk hidangan makan tengah hari, namun kebetulan pada hari itu salah seorang anak mengajak saya makan di luar. Ketika itu, saya mengambil nasi putih bersama lauk ikan, telur masin, sayur goreng dan turi lemak yang juga menu kegemaran.

“Ketika sedang menjamu selera, tiba-tiba saya terpandang ulat tersebut berhampiran sayur di dalam pinggan. Pada mulanya, saya agak was-was, namun selepas menunjukkan kepada anak dia turut tergamam dan memberitahu ia benar-benar ulat,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, selera yang pada awalnya membuak-buak terus terputus membuatkan tekaknya loya dan hampir muntah.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah beberapa kali mengunjungi restoran tersebut, namun tidak pernah berhadapan kejadian seperti itu.

Katanya, diharap insiden tersebut menjadi iktibar kepada peniaga dan pengusaha kedai makan serta restoran agar menitikberatkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

“Bukan niat hati untuk mengaibkan mana-mana pihak, namun sebagai pengguna, saya berharap agar insiden seumpama ini tidak berulang.

“Tambahan pula, kebersihan perlu diutamakan bagi  menarik kedatangan pelanggan ke sesebuah restoran,” katanya.

Jenayah licik Lone Ranger

AHMAD ISMADI ISMAIL
Jenayah licik Lone Ranger
Penjenayah mensasarkan kereta yang mahu dicuri melalui laman sesawang. - Gambar hiasan 
30 April 2014
MASYARAKAT kini suka membeli belah secara online kerana ia mudah dan menjimatkan masa dan tenaga. Namun ada pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas perkembangan teknologi itu dengan melakukan jenayah dan penipuan, tidak kira ia membabitkan peniaga mahupun pembeli. 

Seorang mangsa enggan dikenali menceritakan dirinya nyaris ditipu ketika menjalankan urusan perniagaan berhubung penjualan kenderaan melalui online.

“Pembeli berkenaan buat bayaran secara online iaitu melakukan transaksi deposit tunai. Dia kemudian menghantar emel bersama ‘bukti’ bayaran, namun apabila saya menyemak akaun mendapati tiada duit dimasukkan,” katanya.

Lelaki berusia 30an itu berkata, individu berkenaan memberitahu mahu berjumpa dengan alasan akan membayar melalui cek, bagaimanapun mangsa menolak tawaran individu itu kerana berasa curiga terhadap tindakannya.

Kes berkenaan merupakan satu daripada kes pengiklanan penjualan kenderaan melalui laman sesawang yang dipercayai boleh mengundang padah jika penjual kenderaan tidak mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti penjenayah yang memperdaya mangsa (penjual kenderaan) dengan tipu helah untuk menguji kenderaan di malam hari yang kemudiannya akan dilarikan. Sasarannya adalah kenderaan terpakai.

Kelicikan penjenayah memperdaya mangsa yang mengiklankan kenderaan dalam laman sesawang menyebabkannya digelar Lone Ranger kerana bergerak secara bersendirian.

Modus operandi
1.     Mangsa yang mengiklankan kereta miliknya dalam laman sesawang akan dihubungi suspek beberapa kali selepas memuat naik gambar kenderaannya dalam laman berkenaan.
2.     Suspek akan mengumpan mangsa untuk bertemunya pada waktu malam sebelum melarikan kenderaan milik individu terbabit.
3.     Suspek akan bertegas untuk bertemu waktu malam sahaja dan meminta izin mangsa kononnya untuk memandu uji kereta berkenaan.
 4.     Suspek akan memandu kereta tersebut di sekitar kawasan berkenaan sebelum berpura-pura berpuas hati dengan kenderaan yang hendak dibeli.
5.     Suspek terbabit akan mengeluarkan sekeping cek dan menyerahkannya kepada mangsa sambil mengarahkan mangsa untuk turun daripada kereta bagi menyemak cek berkenaan di kawasan terang.
6.    Suspek mengambil kesempatan melarikan kenderaan itu dengan meninggalkan sebuah kereta miliknya yang dipercayai kenderaan curi.

Nasihat
1.     Semasa berjumpa dengan suspek untuk tujuan jual beli kenderaan, disarankan untuk membawa rakan bersama.
2.     Tidak panik dan kenal pasti wajah suspek seperti (bangsa, pakaian dan jantina).
3.     Lakukan urusan jual beli kenderaan bersama ejen berdaftar dan bukan secara perseorangan.
4.     Pastikan masa urusan ditukar pada waktu siang dan di tempat yang tidak sunyi.
5.     Pastikan kawasan yang diberhentikan kenderaan adalah kawasan yang sama dengan kawasan yang dimulakan. (Disarankan supaya kawasan yang ramai orang atau banyak kenderaan kerana ia akan melambatkan pergerakan suspek untuk melarikan kenderaan)
6.    Memadai memuat naik beberapa bahagian tertentu sahaja seperti gambar bahagian depan, sisi dan belakang kereta dalam pengiklanan jualan kenderaan di laman sesawang.

Laporan kes

2 April 2014

SHAH ALAM – Kelicikan penjenayah yang digelar Lone Ranger kerana bergerak bersendirian tanpa menggunakan sebarang senjata, dipercayai memperdaya seramai lebih 10 mangsa di sekitar Lembah Klang dalam tempoh enam bulan lalu.

Terbaru, dalam kejadian di Seksyen 16, Subang Jaya, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin, seorang lelaki berusia 32 tahun menjadi mangsa kelicikan suspek yang berjaya melarikan kereta jenis Toyota Camry dianggarkan bernilai lebih RM70,000.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber polis berkata, mangsa yang mengiklankan kereta miliknya dalam sebuah laman web mendakwa dihubungi suspek beberapa kali selepas memuat naik gambar kenderaannya dalam laman berkenaan.

“Suspek kemudian mendakwa mahu membeli kenderaan itu sebelum mengajak mangsa bertemu di sekitar kawasan Seksyen 16, Subang Jaya.

“Lelaki terbabit mendakwa dia hanya boleh berjumpa pada waktu malam antara jam 10 hingga 12 tengah malam.

Biarpun mangsa mahu bertemu pada siang hari, namun suspek bertegas untuk bertemu waktu malam,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju bertemu suspek di kafeteria di kawasan berkenaan.

“Selepas memeriksa dokumen kenderaan itu, suspek kemudian meminta izin mangsa kononnya untuk memandu uji kereta berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa menemani suspek ketika lelaki terbabit memandu uji kenderaan berkenaan.

“Suspek pada mulanya dilaporkan memandu kereta itu sekitar kawasan berkenaan sebelum berpura-pura berpuas hati dengan kenderaan itu.

“Lelaki terbabit mengeluarkan cek RM10,000 sebelum menyerahkannya kepada mangsa,” katanya sambil memberitahu mangsa kemudian diarahkan suspek turun bagi menyemak cek berkenaan di kawasan terang.

Menurutnya, suspek mengambil kesempatan melarikan kenderaan berkenaan dengan meninggalkan Perodua Viva miliknya dipercayai kenderaan curi.

Akta dan hukuman

1.     Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun dan denda.

2.    Manakala bagi memiliki barang curi adalah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda.



*Sumber: Polis Diraja Malaysia (PDRM)