Search This Blog

Wednesday, April 30, 2014

Penderma organ sempat tinggal pesanan


NURULATIQ AHMAD BANDI
30 April 2014

Nota sebelum ajal
Nota sebelum ajal Anggota polis mengangkat mayat Sarojini Devi (gambar kecil) yang ditemui di tepi pantai oleh pekerja SMW, pagi semalam.


Nota sebelum ajal
Sekeping nota yang ditinggalkan si mati.
PORT DICKSON – Seorang wanita ditemui mati oleh pekerja SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) di tepi pantai, Pantai Cahaya Batu 4 ½  Jalan Pantai Port Dickson 8.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Abd Wahab Harun berkata, Sarojini Devi, 54, tahun yang juga penderma organ ditemui di tepi pantai dan lengkap berpakaian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui kad pengenalan serta kad pengisytiharan derma organ pada mayat mangsa.

“Mangsa didapati meninggal dunia akibat lemas dan tiada sebarang kecederaan yang meragukan sehingga boleh dikaitkan dengan jenayah,” katanya, semalam.

Abd Wahab berkata, siasatan lanjut polis di bilik hotel yang disewa mangsa menemui sekeping nota yang ditulis dengan tulisan tangan.

“Antara kandungan nota berkenaan memberitahu si mati mempunyai adik di Klang dan turut disertakan dengan nombor telefon untuk dihubungi selain menyatakan bahawa dirinya adalah penderma semua organ.

"Si mati juga memberitahu dia hendak pergi berenang di laut dan jika dia balik lewat atau tidak balik meminta pihak hotel segera menghubungi adiknya,” katanya.

Abd Wahab berkata, kesemua organnya tidak boleh didermakan kerana dicemari air laut dan rosak.

Dalam pada itu, pekerja SWM, G Yuvaneswaran, 25, yang menemui mayat berkenaan berkata, dia tidak menyangka objek  ditemui ketika mengutip botol-botol minuman dan sampah di Pantai Cahaya adalah mayat manusia.

3 maut dirempuh pacuan empat roda


MUHAYUDIN SALLEH
30 April 2014

3 maut dirempuh pacuan empat roda
Keadaan motosikal mangsa yang dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda.



MUADZAM SHAH – Tiga daripada empat lelaki yang merupakan pekerja ladang warga Indonesia maut selepas dua buah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 132, Simpang Bandar Tun Razak sekitar jam 8.30, malam Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata, kejadian berlaku ketika dua buah motosikal yang dinaiki empat mereka mengambil haluan arah ke kanan untuk memasuki simpang ke Bandar Tun Razak.

“Mereka dipercayai sedang menuju ke Keratong 5 dan dalam masa yang sama, sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dikatakan tidak nampak dua buah motosikal tersebut kerana lampu belakang kedua motosikal dipercayai tidak berfungsi.

"Pemandu pacuan empat roda tidak sempat mengelak dan terus merempuh di bahagian belakang kedua motosikal tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Zainul, dua mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada keesokan harinya.

Katanya, kesemua mangsa berumur sekitar 26 hingga 30 tahun dan hasil siasatan mendapati dua mangsa yang maut di tempat kejadian tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Keempat-empat mangsa didapati tidak memakai topi keledar dan kedua penunggang motosikal tersebut tidak mempunyai lesen. Seorang lagi mangsa yang cedera parah kini sedang dirawat di HTAA,” katanya.

Tersepit dalam kereta remuk


NOOR HAYATI MAMAT
30 April 2014
Tersepit dalam kereta remuk
Tersepit dalam kereta remuk Mayat mangsa ditutup dengan kain batik sementara menunggu dikeluarkan.


Tersepit dalam kereta remuk
Keadaan Produa Alza yang bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 40 Jalan Kuala Berang-Aring, pagi semalam.
Azhan Azman
Azhan Azman
HULU TERENGGANU - Seorang kakitangan Felda Wilayah Terengganu maut setelah kenderaan dipandunya bertembung sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 40 Jalan Kuala Berang-Aring, pagi semalam.

Dalam kejadian 8.10 minit pagi itu, mangsa Azhan Azman, 28, berasal dari Felda Ciku 3, Gua Musang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, kemalangan melibatkan Perodua Alza dinaiki mangsa dan sebuah lori lima tan dipandu Tuan Khairol Tuan Amri, 36, dari Kampung Jerong, Marang.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Alza datang dari arah Aring menghala ke Kuala Berang memasuki laluan bertentangan di jalan yang berselekoh dan sedikit berbukit, lalu bertembung dengan lori berkenaan.

“Akibatnya, kereta dinaiki mangsa remuk di bahagian hadapan. Mangsa yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai kerana kecederaan parah di kepala.

Manakala lori itu terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam gaung.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pihak bomba sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu  Terengganu untuk bedah siasat. Pemandu lori hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Rosli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati terutama ketika memandu di laluan berselekoh dan berbukit.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pegawai Bomba Khairul Anuar Bidin berkata, pihaknya mengambil masa-masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Rumah papan enam pintu musnah


ROSALWANI CHE SOH
30 April 2014
Rumah papan enam pintu musnah

Rumah papan enam pintu musnah Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran melibatkan sebuah kediaman sementara kekal di Jalan Sultanah Zainab, semalam.

KOTA BHARU - Sebuah rumah papan enam pintu, didiami tiga penyewa musnah dalam kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Tang Kwong Seng, 20, berkata,  dia berada di tempat kerjanya dan hanya dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh ibu saudaranya melalui panggilan telefon.

“Kejadian dipercayai bermula dari rumah papan penyewa bahagian hadapan. Selepas menerima berita tersebut, saya segera pulang tetapi hanya mampu melihat hampir 100 peratus rumah yang saya diami bersama ayah, ibu dan kakak musnah.

“Kami gagal selamatkan semua barangan dalam rumah tetapi bersyukur kerana tiada yang cedera dalam kejadian ini, memandangkan ibu, ayah dan kakak segera keluar dari rumah selepas menyedari api bermula dari rumah jiran,” katanya kepada media.

Kwong Seng berkata, rumah sewa itu didiami mereka sekeluarga sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, pemilik kediaman terbabit, Nuraini Ghazali Azmi, 53, berkata, hanya tiga penyewa yang mendiami rumah enam pintu tersebut, manakala yang lain telah berpindah.

“Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas dimaklumkan seorang penyewa dan bergegas turun dari rumah, namun tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan api marak begitu cepat dan memusnahkan keseluruhan rumah dalam sekelip mata.

“Rumah tersebut peninggalan ibu yang disewakan sejak 50 tahun lalu kepada penyewa yang silih berganti. Kebakaran ini memusnahkan keseluruhan rumah,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Rahmat Kamaruzzaman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.45 pagi dan lima jentera dihantar ke tempat kejadian termasuk tiga dari Darul Naim, sebuah Tunjung dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Triton Pasukan Bomba Sukarela.

"Kita masih menyiasat punca kejadian ini," katanya.

Sari Yanti bantah permohonan nusyuz difail suami


PETALING JAYA 30 April - Pelakon Sari Yanti hari ini memfailkan bantahan awal berhubung permohonan nusyuz yang difailkan suaminya Mohd. Edy Casmady, 34.
Hakim syarie Abd. Halim Abu Samah membenarkan permohonan oleh peguam syarie Marlina Amir Hamzah yang mewakili Sari Yanti selaku defendan berikutan terdapat satu lagi kes yang difailkan di Seremban.
Sebelum itu, peguam yang mewakili Mohd. Edy memberitahu mahkamah, pihaknya telah menyerahkan saman berhubung tuntutan secara kendiri.
Sari Yanti atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 30, yang ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari bagaimanapun enggan menjawab sebarang pertanyaan.
Sementara itu, Mohd. Edy pula berharap beliau terus diberi ruang dan meminta semua pihak menghormati keputusan mahkamah.
``Anak- anak dengan saya. Kita tunggu sahaja keputusan mahkamah,'' katanya.
Kes ditangguh untuk sebutan semula pada 28 Mei depan.
Hasil perkongsian hidup dengan Mohd. Edy selama lima tahun, Sari dikurniakan dua anak lelaki iaitu Barr Al Aliy, 4, dan Basit Al-Haq, 2. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140430/ma_07/Sari-Yanti-bantah-permohonan-nusyuz-difail-suami#ixzz30NE2gJhO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Presiden Korea minta maaf


Presiden Park Geun-hye (kanan) mengadakan pertemuan dengan ahli keluarga mangsa feri karam di Ansan, semalam. - REUTERS
SEOUL 29 April - Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye memohon maaf kepada rakyat berhubung tragedi feri Sewol yang karam di kawasan perairan selatan negara ini, dalam satu kenyataan kepada Kabinet negara ini, yang disiarkan menerusi televisyen Korea, hari ini.
Geun-hye berkata, kerajaan gagal untuk mencegah bencana itu dan tidak cekap dalam melaksanakan tindak balas kecemasan.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk meminta maaf atas kegagalan untuk mencegah kemalangan itu daripada berlaku dan tindak balas kecemasan yang tidak mencukupi.
“Saya meminta maaf kepada rakyat dan sedih atas kehilangan banyak nyawa yang amat berharga,'' katanya, sebagaimana dilaporkan portal BBC.
Permohonan maaf Geun-hye dibuat di tengah-tengah kemarahan dan kritikan orang ramai berhubung kemalangan itu dengan kebanyakan mangsa merupakan pelajar dari sebuah sekolah tinggi di sini.
Dalam kejadian pada 16 April lalu, feri Sewol yang membawa 476 penumpang karam di perairan berhampiran Kepulauan Jindo dengan 174 orang berjaya diselamatkan, manakala hampir 200 mayat berjaya dikeluarkan dari feri itu setakat ini.
Geun-hye pada masa sama berkata, beliau bercadang untuk mewujudkan sebuah kementerian baharu bagi mengendalikan kemalangan pada skala besar pada masa depan, lapor agensi berita Korea, Yonhap.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140430/lu_04/Presiden-Korea-minta-maaf#ixzz30NDvnxa8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

SPRM tahan pemilik bot karam di Belaga


KUCHING 30 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pemilik syarikat bot ekspres penumpang yang karam menyebabkan tiga mati di Sungai Rajang, Belaga, Sibu pada 28 Mei tahun lalu kerana disyaki menjalankan aktiviti penyelewangan diesel bersubsidi.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Bahri Mohamad Zin berkata, lelaki berusia 44 tahun itu mempunyai enam bot untuk membawa penumpang tetapi hanya dua digunakan bagi membolehkan diesel subsidi diperoleh dijual kepada syarikat industri termasuk kem pembalakan di sekitar Sibu, Kapit dan Belaga.
"Disebabkan mahu mengaut keuntungan, syarikat bot ekspres milik lelaki terbabit hanya beroperasi menggunakan dua bot dan sanggup membawa penumpang melebihi muatan mengakibatkan berlaku tragedi pada tahun lalu," katanya dalam sidang akhbar di pejabat SPRM di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140430/je_03/SPRM-tahan-pemilik-bot-karam-di-Belaga#ixzz30NDoMwYE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kumpulan militan guna media sosial rekrut anggota baharu


KAJANG 29 April - Kumpulan militan yang ditahan dalam dua serbuan di Selangor dan Kedah kelmarin dikesan menggunakan laman media sosial untuk merekrut anggota baharu.
Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menjejaki saki-baki anggota kumpulan berkenaan.
"Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan agama Islam dengan berfahaman sederhana. Kita tidak mahu kegiatan seperti ini berkembang kerana ia mampu merosakkan nama Islam dan Malaysia.
"Kementerian Dalam Negeri akan terus memantau keadaan dan memburu saki-baki anggota kumpulan ini, kerana kita mahu Malaysia bebas daripada anasir militan," kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Kenaikan Pangkat Pegawai Penjara Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) di Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.
Ahmad Zahid turut mengesahkan penahanan terbaharu membabitkan seorang wanita berumur 55 tahun yang di tahan di Kuala Lumpur petang semalam, menjadikan setakat ini, 10 orang telah ditahan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140429/je_04/Kumpulan-militan-guna-media-sosial-rekrut-anggota-baharu#ixzz30NDiazs8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis berkas balu disyaki ahli militan


Ahmad Zahid Hamidi ceria ketika menerima jersi pasukan bola sepak Penjara FC sambil diperhatikan oleh Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff (tiga dari kiri) selepas melancarkan jersi Penjara FC di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
HULU LANGAT 29 April - Seorang lagi suspek ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan mirip pengganas Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI) yang diberkas polis dalam beberapa siri serbuan di Selangor dan Kedah, kelmarin.
Balu berusia 55 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan di kawasan Keramat, Kuala Lumpur pada pukul 4.40 petang semalam.
Berikutan penahanan wanita berkenaan, jumlah ahli kumpulan yang dipercayai membawa fahaman ‘Salafi Jihadi’ itu kini meningkat kepada 10 orang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengesahkan penahanan itu berkata, pihaknya yakin ada saki-baki ahli kumpulan tersebut yang masih bebas.
Beliau turut mengesahkan kumpulan yang mirip rangkaian pengganas Al-Qaeda dan JI itu mempunyai perancangan untuk menyertai misi jihad di beberapa negara bergolak.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau dan mencari saki-baki mereka.
“Kita percaya ahli kumpulan itu mesti lebih daripada 10 orang yang ditahan ini. Kita akan pastikan tiada seorang pun terlepas dan mereka akan dibawa ke pangkal jalan.
“Malaysia adalah sebuah negara Islam yang mengamalkan kesederhanaan dan kita tidak menerima sebarang unsur militan atau mereka yang taksub dengan cara sebegini sehingga akhirnya memburukkan Islam dan negara ini sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Timed Based kepada 1,242 Koperal dan Sarjan Penjara Zon Tengah di Maktab Penjara Malaysia, di Kajang hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140430/je_01/Polis-berkas-balu-disyaki-ahli-militan#ixzz30NDcbf5Q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'Saya penderma organ' nota terakhir wanita sebelum ditemui mati


Beberapa anggota polis dibantu anggota tentera membawa mayat J. Sarojini Devi untuk dihantar ke hospital selepas ditemui mati di tepi pantai Port Dickson, semalam. - UTUSAN/KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
TELOK KEMANG 29 April - “Saya penderma organ". Itu adalah nota terakhir yang di­temui polis dalam bilik penginapan seorang wanita selepas mayatnya dijumpai seorang pekerja Syarikat konsesi SWM Environment Sdn. Bhd (SWM) terdampar di tepi pantai Cahaya Negeri, Batu 4, Port Dickson, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Abd. Wahab Harun mem­beritahu, wanita itu, J. Saroji­ni Devi, 54, telah ditemui seorang pekerja SWM ketika melakukan kerja pembersihan kawasan pantai pada pukul 7.30 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematiannya.
“Sarojini telah menginap di sebuah resort berhampiran pantai dan hasil pemeriksaan dalam bilik mangsa, kita menemukan seke­ping nota yang tertulis, dia adalah penderma organ.
“Kami sedang mengenal pasti waris si mati dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu, pekerja SWM, G. Yuvaneswaran, 28, berkata, dia menjalankan tugas membersihkan kawasan pantai berkenaan seperti biasa pukul 7.30 pagi.
“Tiba-tiba saya ternampak seseorang terbaring dalam keadaan terlentang di atas pasir kira-kira 30 meter dari tempat saya sedang menyapu sampah.
“Saya segera memaklumkan kepada salah seorang pegawai resort berhampiran dan meminta me­reka menghubungi pi­hak polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Yuvanes­wa­ran, dia tidak berani men­dekati mayat tersebut ke­rana bimbang ada kaitan dengan jenayah.
“Saya lihat mayat wanita itu lengkap berpakaian baju jalur putih coklat dan berseluar paras lutut serta berstoking dan berkasut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140430/je_02/Saya-penderma-organ-nota-terakhir-wanita-sebelum-ditemui-mati#ixzz30NDWO5CH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Felda menang kes saman


KUALA LUMPUR 30 April - Mahkamah Tinggi KL hari ini memerintahkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah dan empat yang lain membayar ganti rugi RM100,000 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini selepas konglomerat perladangan itu menang tuntutan samannya terhadap mereka.
Felda memfailkan saman itu pada 7 Januari 2013 ekoran ucapan Mazlan dalam satu perhimpunan haram di hadapan pejabat Felda pada 23 November 2012 yang turut disiarkan dalam akaun laman sosial Facebook beliau bertajuk 'Bukti Felda jual minyak sawit mentah (MSM) ke Israel'.
Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong bagaimanapun memutuskan kes Felda terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman ditolak setelah defendan pertama itu berjaya membuktikan kenyataan pembelaannya bahawa kenyataan tersebut dibuat di bawah perlindungan dan suatu komen yang berpatutan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140430/ma_06/Felda-menang-kes-saman#ixzz30NDPahrA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Seorang lagi suspek militan ditahan


HULU LANGAT 29 April - Seorang lagi suspek yang terlibat dalam aktiviti militan ditahan sepasukan polis di ibu negara, pagi ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, suspek yang ditahan itu merupakan seorang wanita dan jumlah tangkapan setakat ini adalah seramai 10 orang.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai lapan orang adalah lelaki dan dua wanita termasuk seorang balu. Kesemua suspek berusia 25 hingga 56 tahun. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140429/je_03/Seorang-lagi-suspek-militan-ditahan#ixzz30NDHLwO4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jual peranti ceroboh jalur lebar


Tung Lun Tak cuba melindungi wajahnya ketika dirakamkan oleh jurukamera sewaktu keluar dari kamar Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 28 April - Seorang peniaga didenda RM15,000 atau penjara satu tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membekalkan 47 unit peranti yang tidak diperakui oleh SIRIM Bhd. (SIRIM) bagi tujuan menceroboh sistem jalur lebar milik pengguna lain.
Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu terhadap Tung Lun Tak, 44, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Lun Tak didakwa membekalkan peranti tidak standard iaitu lima unit High Power Signal King, tujuh unit Sinmax dan 35 unit WiFiSky di No. 55, Jalan Damai Perdana 9/2J, Bandar Damai Perdana, Cheras di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 22 Oktober tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 239 (1)(c) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 239(1)(c) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tindakan Lun Tak itu dikesan oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas mendapati lelaki itu membuat pesanan perekah wifi (wifi cracker) melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan membuat pembayaran sebanyak RM179 atas nama syarikatnya, Tung Network Trading, kepada sebuah laman sesawang yang menjual produk tersebut.
Seterusnya, bertindak atas waran geledah, pegawai SKMM menyerbu syarikat tersebut dan menyita kesemua alat peranti yang tidak diluluskan oleh SIRIM serta dilarang penggunaannya di negara ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SKMM, Zairulnahar Zakaria manakala Lun Tak tidak diwakili peguam bela.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140429/ma_01/Jual-peranti-ceroboh-jalur-lebar#ixzz30ND7JV3N
© Utusan Melayu (M) Bhd 

120 PATI ditahan dalam Ops Cantas Khas di Tawau


TAWAU 29 April - Polis Tawau menahan sejumlah 120 orang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Cantas Khas di beberapa kawasan di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata dalam operasi kira-kira pukul 4 pagi itu, sebanyak 73 lelaki dan 47 wanita berumur antara tiga dan 60 tahun ditahan.
"Operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen itu dilakukan dibeberapa tempat termasuklah di kawasan bandar, Batu 10 Jalan Apas, dan Batu Lima Tinagat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Katanya, selain itu pihaknya turut menahan tiga lelaki berusia di antara 21 dan 30 tahun kerana positif dadah dan kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Awang Besar meminta kerjasama dari orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang penempatan pendatang asing di kawasan masing-masing. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140429/je_02/120-PATI-ditahan-dalam-Ops-Cantas-Khas-di-Tawau#ixzz30ND0xI4C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemilik anjing didakwa cuai sebabkan kecederaan


SEREMBAN 30 April - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan cuai dengan meninggalkan dua ekor anjing miliknya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap tiga individu termasuk seorang anggota polis di Lenggeng, Nilai minggu lalu.
Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh membenarkan tertuduh, Lam Soon Seng,51, diikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan yang dikenakan sementara menunggu laporan perubatan pada 20 Mei depan.
Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140430/ma_05/Pemilik-anjing-didakwa-cuai-sebabkan-kecederaan#ixzz30NCtzgvQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kastam gagalkan penyeludupan dadah RM20.3 juta


SEPANG 30 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menggagalkan tiga cubaan penyeludupan dadah terbesar jenis methamphetamine seberat 107.2 kilogram yang dianggarkan bernilai RM20.3 juta.
Pengarahnya, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, kejayaan ketiga-tiga kes itu adalah berdasarkan maklumat risikan dan pemantauan terhadap barangan kargo yang tiba di gudang MAS Kargo KLIA dari Lagos, Nigeria.
``Kesemua dadah itu disorokkan dalam bungkusan makanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa,'' katanya dalam sidang akhbar di pejabat JKDM KLIA di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140430/je_04/Kastam-gagalkan-penyeludupan-dadah-RM203-juta#ixzz30NCZErvU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gudang FedEx diserang lelaki tidak dikenali


ATLANTA 30 April - Seramai enam orang dilaporkan cedera, selepas seorang lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan di gudang FedEx, Georgia pagi semalam.
Menurut stesen televisyen CBS4 Atlanta, pihak polis tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan ( 6 petang waktu Malaysia), sebelum mereka menemui mayat suspek yang dipercayai menembak dirinya sendiri.
"Mangsa yang tercedera sudah dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan dan menurut doktor tiga daripada mereka cedera parah,"kata seorang pegawai polis, Mike Bowman. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140430/lu_03/Gudang-FedEx-diserang-lelaki-tidak-dikenali#ixzz30NC1RODz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Parlimen Libya diserang


TRIPOLI 30 April - Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu masuk bangunan Parlimen Libya semalam serta melepaskan tembakan bagi memaksa ahli-ahli Parlimen membuang undi untuk memilih Perdana Menteri baharu.
Jurucakap Parlimen, Omar Hmeidan berkata, beberapa orang mengalami kecederaan dalam kejadian itu, selepas kumpulan lelaki bersenjata yang dikaitkan dengan calon yang tewas dalam pemilihan jawatan Perdana Menteri negara berkenaan melepaskan tembakan.
Menurut saksi, ahli-ahli Parlimen berlari meninggalkan bangunan tersebut, sejurus sahaja kejadian itu berlaku. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140430/lu_02/Parlimen-Libya-diserang#ixzz30NBtbSFO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar dakwa dicabul jiran nenek


2014/04/30
Permaisuri: Seorang pelajar Tingkatan Tiga mendakwa dicabul seorang lelaki dikenali ketika berehat di rumah neneknya di Kampung Seri Kenangan Pelong di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang duduk berseorangan di hadapan pintu, didatangi lelaki berusia 40-an yang juga jiran neneknya.


Sumber berkata, lelaki itu terus meluru ke arah mangsa, lalu meraba dan meramas payu dara kiri mangsa.

“Mangsa yang tidak berdaya melawan suspek, terus menjerit. Jeritan itu menyebabkan suspek berhenti melakukan perbuatan itu.

“Tanpa segan silu, suspek kemudian masuk ke dalam rumah nenek mangsa dan duduk di ruang tamu seolah-olah tiada apa yang berlaku,” kata sumber itu.

Buat laporan polis

Sumber berkata, mangsa yang berang dengan perlakuan suspek, memarahi lelaki itu tetapi tidak diendahkan.
Berikutan itu, remaja berkenaan keluar dari rumah neneknya dan pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran, sebelum menceritakan kejadian berkenaan kepada bapanya.

“Bapa mangsa yang marah dengan tindakan suspek, membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Permaisuri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.