Search This Blog

Sunday, April 27, 2014

Polis Kedah rampas senjata api, tahan 3 suspek

Polis Kedah rampas senjata api, tahan 3 suspek
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim (dua, kanan) bersama anggotanya menunjukan pelbagai jenis senjata api pada satu serbuan petang semalam ketika mengadakan sidang media di IPK Alor Setar di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama 
27 April 2014 ALOR SETAR - Polis Kedah merampas pelbagai jenis senjata api dan peluru serta menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Anggerik di sini semalam.
 
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam serbuan kira-kira 5 petang itu, tiga pistol jenis Glock, VZOR caliber 7.65mm dan pistol angin jenis Revolver serta 247 peluru pelbagai caliber ditemui dalam sebuah kereta milik seorang suspek lelaki berusia 40 tahun.
 
Beliau berkata, turut dirampas sebahagian komponen senjata api M16, dua alat penyerap bunyi dan satu teleskop dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah.
 
"Suspek berusia 40 tahun yang menyimpan senjata api dalam keretanya dipercayai geng kongsi gelap berdasarkan tatu pada badannya dan mempunyai empat rekod jenayah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
 
Katanya polis turut merampas dua paket heroin seberat 46.53 gram milik seorang suspek lelaki berusia 25 tahun dan suspek wanita berusia 31 tahun dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah dua tingkat itu.

Ahmad berkata, ketika serbuan dilakukan suspek lelaki itu cuba membuang dadah yang berada dalam poketnya dan cuba melarikan diri dengan menyorok dalam tandas.
 
Beliau berkata, suspek berumur 40 tahun itu berasal dari Perlis manakala seorang lagi suspek lelaki berasal dari Jitra dan suspek wanita pula berasal dari Kuala Lumpur.
 
"Kita reman ketiga-tiga suspek sehingga 3 Mei depan untuk siasatan. Kita turut siasat sama ada kes jenayah yang berlaku di negeri ini mempunyai kaitan dengan suspek terlibat," katanya.  - Bernama

Penternak rugi lebih RM300,000 reban ayam terbakar

Penternak rugi lebih RM300,000 reban ayam terbakar
 Keadaan reban terbakar yang menyebabkan 11,000 ayam mati.
26 April 2014 KUALA LUMPUR - Seorang pemilik ladang ternakan ayam di Kuang, Selangor hari ini kerugian lebih RM300,000 apabila hampir 11,000 ayam diternaknya mati dalam kebakaran sebuah reban pagi tadi.
 
Pemiliknya Zulkarnain Abdullah, 36 ketika dihubungi Bernama di sini hari ini berkata kebakaran pada pukul 7 pagi itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.
 
"Saya nampak meter elektrik di dinding reban terbakar sedikit, kemudian api marak selepas ditiup angin kuat, saya cemas dan terus hubungi bomba selepas itu," katanya.
 
Ketika bomba tiba di tempat kejadian, beliau berkata  70 peratus bahagian reban telah terbakar dan  hampir semuanya musnah termasuk makanan ayam yang hangus dalam kebakaran itu.
 
Zulkarnain berkata, beliau memulakan perniagaan penternakan ayam itu sejak tahun 2000 dengan membekalkan ayam hidup untuk cawangan restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Ayamas Food Corporation Sdn Bhd di sekitar Pelabuhan Klang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul ketika dihubungi berkata operasi memadam kebakaran mengambil masa empat jam melibatkan kawasan seluas 720 meter persegi.
 
"Kami yang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi turut berjaya mengawal api daripada merebak ke dua buah lagi reban ayam milik Zulkarnain," katanya.
 
Beliau berkata, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dan Sungai Buloh telah dikerahkan sebaik menerima maklumat sementara punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.  - Bernama

Bas UIA terbalik, lapan cedera parah

FATHIN ATHIRAH HASLI
Bas UIA terbalik, lapan cedera parah
Keadaan bas yang terbalik dan terjunam ke tapak projek pembinaan selepas merempuh penghalang plastik yang diletakkan pemaju Lebuhraya Plus. - Foto ihsan SUHAIRI SHAHRIN
27 April 2014
. KUALA LUMPUR - [Video] Lapan pelajar Universiti Islam Antarabangsa cedera parah, manakala 17 yang lain cedera apabila bas yang dinaiki terbabas di Km 25.1 dari arah utara Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) jam 9.30 pagi.

Dalam insiden, bas terbabit telah merempuh penghalang plastik yang diletakkan bagi kerja-kerja projek pembinaan dan pelebaran jalan oleh pihak Plus.

Menurut sumber polis, bas tersebut dalam perjalanan menuju ke Shah Alam bagi tujuan sesi lawatan selama sehari ke Taman Pertanian Bukit Cerakah.

Difahamkan, pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.

Menurut seorang petugas lebuh raya, Suhairi Shahrin, semasa insiden terjadi tapak projek tersebut dikatakan lengang tanpa kehadiran pekerja kerana semuanya sedang bercuti.

"Sejurus selepas kemalangan berlaku, pihak bomba dan para petugas Lebuhraya Plus tiba di tempat kejadian dan mula membantu mangsa yang tersepit keluar dari perut bas.

"Kesemua petugas dan anggota penyelamat termasuk sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) mengambil masa hampir 15 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa, lokasi kejadian yang agak berlumpur akibat hujan dan tanah basah menyukarkan dan melambatkan misi menyelamat," katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian Online, hari ini.

Polis masih mengenal pasti punca kejadian dan kes masih dibawah siasat pihak berkuasa.

Kemalangan yang berlaku mengakibatkan lorong kiri lebuh raya terbabit ditutup manakala trafik dilaporkan perlahan di kedua-dua arah.

Rumah baru jadi sasaran penyamun

Rumah baru jadi sasaran penyamun
Kereta BMW milik mangsa yang ditemui semula.
AMZAR AMIR RAMDAN
27 April 2014
 KLANG – Penduduk Jalan Kebun Nenas, Bandar Putera 2 dekat sini hidup dalam kebimbangan selepas kawasan perumahan itu menjadi sasaran penjenayah  melakukan kegiatan pecah rumah sejak ia mula dihuni enam bulan lalu.

Pengerusi Komuniti Cadia, Dura dan Ember, Sh Ismail Alif Abd Rahman berkata, sepanjang Mac hingga April ini, sebanyak 10 kes pecah rumah berlaku  membabitkan kerugian hampir RM30,000.

“Kawasan ini agak terpencil. Lampu jalan yang masih banyak tidak berfungsi menyebabkan penjenayah ambil kesempatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan terdapat kira-kira 338  unit rumah  yang sudah diduduki di kawasan berkenaan.

Kejadian kemuncak berlaku pada 14 Mac lalu apabila lima rumah dipecah masuk dalam tempoh tujuh jam.
Salah seorang daripada mangsa, Zaki, 37, berkata, dia kehilangan wang tunai serta set barangan kemas bernilai hampir RM20,000 apabila rumahnya dipecah masuk ketika keluar bekerja.
“Kejadian berlaku sejam sebelum saya pulang ke rumah. Saya dapat tahu apabila ada jiran hubungi saya,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Zamri Sadarom, 37, berkata, kereta BMW miliknya dilarikan seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang pada 13 April lalu.

Menurutnya, kejadian pada waktu siang itu berlaku ketika dia sedang bersiap-siap untuk keluar bersama keluarganya.

“Lelaki bertopeng itu masuk ke dalam rumah dan dan menggeledah bilik utama. Suspek juga larikan barang kemas dan alat elektronik yang keseluruhannya bernilai RM6,000.

“Mereka juga memaksa saya dan isteri berbaring di atas katil sebelum menggeledah setiap bilik,” katanya.

Menurut Zamri,  keretanya itu bagaimanapun ditemui semula beberapa hari kemudian.

"Saya amat berharap agar polis dapat menggandakan rondaan di kawasan perumahan ini sama ada pada waktu siang ataupun malam," katanya.

48 lagi mayat mangsa ditemui

48 lagi mayat mangsa ditemui
Pasukan penyelamat giat menjalankan usaha mencari mangsa yang masih hilang.
27 April 2014  SEOUL - KOREA SELATAN. Sejumlah 48 lagi mayat selepas pasukan penyelam meneruskan usaha mencari di dalam feri karam di selatan Korea Selatan.

Menurut laporan media, mayat 48 remaja perempuan memakai jaket keselamatan ditemui dalam kabin tunggal yang hanya boleh memuatkan kapasiti 30 orang.

Mayat akan dikenal pasti melalui ujian DNA dan ujian imbasan cap jari bagi memastikan identiti mangsa untuk dihantar pulang dan dikebumikan.

Setakat ini, laporan dipetik daro AFP, lebih 180 mayat telah ditemui dan 119 masih hilang sejak feri yang dalam perjalanan dari pelabuhan Incheon ke pulau Jeju itu karam 16 April lalu.

Hampir terpijak ular sawa

NOR FARHANA YAACOB
Hampir terpijak ular sawa
Ular sawa yang berjaya ditangkap anggota bomba dan penyelamat, kelmarin.
27 April 2014
 JASIN - Hasrat seorang pemuda mahu memadam kebakaran di kebun kelapa sawit miliknya di Kampung Paya Tanjung, dekat sini terbantut apabila dia hampir terpijak seekor ular sawa sepanjang kira-kira 8 meter, petang kelmarin.

Reduan Ahmad, 44, berkata, lelaki yang dikenali sebagai Ijoi memaklumkan kepadanya bahawa dia tidak menyangka benda yang bergerak-gerak di sebelah kakinya itu rupa-rupanya seekor ular sawa seberat 120 kilogram.

Menurutnya, dia bersama seorang lagi rakannya ke lokasi berkenaan dan berusaha menarik ular sawa ke tempat lebih selamat kerana bimbang reptilia itu melarikan diri, sebelum menghubungi bomba dan penyelamat.

"Reptilia itu berada di kawasan kebun getah kerana ingin menyelamatkan diri dari kebakaran di kebun kepala sawit berhampiran.

"Belum pernah kami melihat ular sebesar itu sehingga kami terpaksa menggunakan enam orang untuk menarik dan mengikat reptilia itu sementara menunggu pihak bomba datang," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Pegawai Operasi yang juga Pegawai Kanan Bomba II Balai Bomba Merlimau, Yahya Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 7.22 petang sebelum dua orang anggota bomba menaiki pacuan empat roda bergegas ke tempat kejadian.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan saiz reptilia itu sangat besar, sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota terpaksa dikerah ke tempat kejadian dan berjaya menjinak serta menangkap ular sawa tersebut dalam tempoh 10 minit.

“Ketika operasi dilakukan reptilia itu tidak terlalu agresif dan tiada masalah untuk pihak kami menangkapnya dan akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan atau Zoo Melaka dalam masa terdekat ini,” katanya.

Empat beranak terjun ke luar rumah

MOHD AZLIM ZAINURY
Empat beranak terjun ke luar rumah
Ahmad Faizol (kanan) mengendong anaknya, Nur Ain Syafikah sambil menceritakan detik cemas dialami dia sekeluarga kepada bapanya, Muda Mahammadiah (kiri).
27 April 2014
 MARANG - Tindakan pantas pasangan suami isteri melompat keluar dari rumah yang sedang terbakar sambil mengendong dua anak mereka, berjaya menyelamatkan empat beranak itu dalam kebakaran di Kampung Baru Rhu Muda, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika Ahmad Faizol Muda, 28 dan isteri, Siti Kamilah Mohd Ali Darma, 28, sedang tidur bersama dua anak mereka, Nur Ain Syafikah, 4 serta Ahmad Fazrin, 10.

Ahmad Faizol berkata, pada mulanya dia terasa bahang kuat dari arah dapur ketika mereka sekeluarga tidur di ruang tamu dan sebaik sahaja membuka mata, dia terkejut apabila melihat api sudah merebak di bahagian atap ruang berkenaan.

“Ketika nampak api merebak di bahagian atap ruang tamu, tanpa berfikir panjang saya terus bangun dan mengendong seorang anak sambil mengejutkan isteri yang kemudiannya mengendong seorang lagi anak sebelum berlari ke arah pintu.

“Kami empat beranak terjun ke bawah bagi menyelamatkan diri sebelum ahli keluarga lain termasuk bapa yang tinggal berjiran, membantu memadam api selepas menyedari kebakaran itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut Ahmad Faizol, selepas memastikan ahli keluarganya selamat, dia bersama ahli keluarga lain cuba mengawal kebakaran dan menghubungi bomba kerana bimbang api merebak ke rumah berhampiran.

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang peralatan mahupun barang keperluan termasuk peralatan persekolahan anaknya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang, kecuali kad pengenalan milik dia dan isterinya.

“Walaupun hilang semuanya termasuk tempat tinggal, saya bersyukur kerana isteri dan dua anak kami terselamat. Malah, saya juga lega kerana api tidak merebak ke rumah bapa yang terletak berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, Pegawai Bomba Sabri Mohamad yang dikejarkan ke lokasi kejadian bersama enam anggota sejurus menerima panggilan, berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak.

Taksiran awal kerugian dianggarkan sekitar RM35,000 dan kes kebakaran itu sudah dimaklumkan kepada pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Marang untuk rekod serta tindakan.

Maut dirempuh kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
Maut dirempuh kereta
Mangsa cuba membuat pusingan U sebelum dirempuh. 
27 April 2014
KULIM HI-TECH - Seorang lelaki berusia 46 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Baling maut apabila motosikal jenis Modenas Kriss ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi kira-kira jam 8 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata,  dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di tempat kejadian menunjukkan mangsa menunggang motosikalnya dari bahagian kiri jalan berhampiran lampu isyarat Kulim Tecno City (KTC) 12 sebelum masuk ke lorong tengah.

"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa cuba membuat pusingan U sebelum dirempuh oleh kenderaan yang datang arah bertentangan.

"Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak ke tepi jalan dan maut di tempat kejadian," katanya.

Katanya, pemeriksaan dijalankan terhadap mangsa mendapati dia mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

"Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Kulim dengan kenderaan polis untuk dibedah siasat sebelum dibawa balik oleh waris bagi tujuan pengebumian.

"Kes ini akan di siasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengakibatkan kemalangan maut," katanya.

3 pelajar UIA kritikal selepas bas terjunam



APR 27, 2014
KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilaporkan kritikal selepas bas universiti yang dinaiki hilang kawalan lalu terjunam ke tempat takungan air sebuah tapak pembesaran jalan di KM25.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini hari ini.
   
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, lima pelajar lagi turut dilaporkan parah manakala 23 yang lain termasuk pemandu bas cedera ringan.
   
Pemangku Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur ASP Mohd Fadhli Daud berkata kesemua pelajar berusia antara 19 dan 24 tahun itu adalah warga tempatan dan dipercayai dalam perjalanan ke Bukit Cerakah, Shah Alam untuk program ukhwah Kelab Student Facilitating Front (STUFF) UIAM.
   
"Kesemua pelajar yang kritikal berusia antara 21 dan 22 tahun dihantar bersama 26 yang lain ke Hospital Sungai Buloh, seorang dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan seorang lagi iaitu pemandu bas dirawat di Klinik UIAM Gombak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
   
Mohd Fadhli berkata sebelum kejadian pemandu bas berusia 39 tahun ada mengadu kurang sihat namun polis sedang menjalankan siasatan punca kejadian.
   
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Che Ku Mohd Azizan memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.45 pagi sebelum mengerahkan empat jentera bersama 16 anggota ke tempat kejadian.
   
“Setiba di tempat kejadian, ada antara mereka terperangkap di celah kerusi namun kesemuanya berjaya dibawa keluar kurang sejam kemudian," katanya.
   
Seorang pelajar Mohd Farhan Affendi Yunos, 21, berkata dia sedang berbual-bual bersama rakannya ketika kejadian sebelum bas berkenaan tiba-tiba tergelincir ke tepi jalan lalu terbabas.
   
"Saya ingatkan tidak apa-apa akan berlaku namun sangkaan saya meleset apabila bas itu kemudian terjunam pula ke takungan air di tapak pembesaran jalan itu," katanya.
   
Mohd Farhan berkata rakan di sebelahnya cedera di muka apabila terkena tingkap bas sewaktu bas terbalik manakala dia hanya cedera di kaki akibat terhimpit di antara rakannya dan kerusi bas. - Bernama

Pekerja kafeteria maut digilis lori

Oleh Arifin Salleh
Alor Gajah: Seorang penunggang motosikal yang juga pekerja kafeteria sebuah kolej terbunuh selepas digilis lori muatan tanah di Jalan Masjid Tanah-Lubok Cina, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang, mangsa Mohamad Faizal Mohamed, 21, berasal dari Muar, Johor yang menunggang Honda Wave mati di tempat kejadian. 
Kemalangan dipercayai berlaku selepas lori membawa muatan tanah itu hilang kawalan lalu merempuh mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham mengesahkan kejadian dan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
Foto

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

20 rumah setinggan musnah terbakar


TAWAU: Kira-kira 20 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Kabuta, Jalan Apas di sini, hari ini.

Pegawai Bomba Kanan Dua Tawau Kasdi Latimin berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.21 pagi dan dua jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian bersama lapan anggota.
"Kami sampai ke tempat kejadian beberapa minit selepas menerima panggilan dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.14 pagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata bomba menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran disebabkan keadaan rumah yang rapat serta tekanan air rendah.


Kasdi berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang disiasat. - Bernama



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Dua beradik maut diseret lori


Johor Bahru: Dua beradik maut selepas motosikal yang ditunggang terperosok dan diseret sebuah lori treler dalam kejadian di kilometer 14.8 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, 9.20 pagi tadi.

Mangsa, Mohd Nor Hafis Bokhari, 28, yang menunggang motosikal dipercayai cuba memotong lori berkenaan sebelum gagal berbuat demikian.
Mangsa dan adiknya Nur Saifuddin, 19, mati di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulaijaya untuk bedah siasat.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Polis rampas tiga senjata api, 247 peluru hidup di Alor Setar


2014/04/27 - 18:10:11

ALOR SETAR: Polis Kedah merampas tiga senjata api termasuk sejenis senapang angin dengan 247 butir peluru hidup dalam satu serbuan di sini, dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah.

Semua senjata api termasuk dua pistol masing-masing jenis Glock dan Vzor itu dirampas susulan penahanan tiga individu termasuk seorang daripadanya wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Anggerik, di sini, semalam.


Turut ditemui dua paket dadah jenis heroin seberat 46.23 gram dan polis masih menyiasat sama ada ketiga-tiga suspek yang majoritinya mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk senjata api terbabit turut mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah. 

Polis tahan pelajar IPTS disyaki buang bayi dalam mangkuk tandas


2014/04/27 - 18:12:15

KUALA TERENGGANU: Seorang penuntut perempuan sebuah pusat pengajian tinggi swasta ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan bayi lelaki yang baru dilahirkan di Padang Hiliran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata suspek yang berusia 21 tahun itu ditahan jam 3 petang Khamis lalu selepas selesai menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.


"Bagaimanapun, remaja itu dibebaskan tiga jam selepas itu dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan ekoran keadaannya yang masih lemah," katanya hari ini.

Selasa lalu, penuntut itu disyaki bertindak membuang bayi lelaki yang cukup sifat di dalam mangkuk tandas di rumah sewanya di sini.

Kejadian itu disedari rakan serumah penuntut itu pada 2.30 pagi selepas melihat suspek terbaring di depan pintu tandas dalam keadaan lemah selain terkejut melihat tompokan darah dan seorang bayi di dalam mangkuk tandas.

Manoharan berkata hasil bedah siasat mendapati bayi berusia 38 minggu itu meninggal dunia ketika dilahirkan.

Beliau berkata pihaknya juga mengambil keterangan anggota keluarga suspek serta teman lelakinya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.
- BERNAMA

123 maut banjir di Afghanistan

Foto
Seorang lelaki menggunakan penyodok untuk mencari barang kepunyaannya yang ditenggelami banjir di Jowzjan semalam. Gambar kecil, Wanita mangsa banjir menerima bantuan perubatan. 
Bencana alam terburuk dalam tempoh 30 tahun

KABUL: Sekurang-kurangnya 123 orang terbunuh, manakala 150 lagi hilang manakala 3,000 kediaman musnah akibat banjir kilat yang melanda utara dan barat Afghanistan semalam, banjir terburuk dalam tempoh 30 tahun kata pegawai.

Beribu-ribu kediaman dinaiki air di empat wilayah selepas hujan lebat turun tanpa henti selama tiga hari ketika negara itu berdepan perubahan cuaca yang lazim diketahui sebagai tempoh paling basah pada permulaan musim bunga.


Ketua Polis Faqer Mohammad Jawzjani berkata di wilayah utara Jowzjan, 55 mayat berjaya dikeluarkan manakala jumlah korban diramal meningkat sepanjang tempoh beberapa hari akan datang.

Kokpit disangka tandas


Denpasar: Lelaki Australia yang mencetuskan kekecohan “rampasan” pesawat udara dalam penerbangan Brisbane - Bali kelmarin menafikan dia mabuk, sebaliknya mendakwa cuba merempuh pintu kokpit itu kerana menyangka ia tandas.

Polis Indonesia semalam melaporkan, Matt Christopher Lockley berkata, dia tertekan ketika berada dalam pesawat Virgin Australia yang dalam penerbangan ke pulau peranginan Indonesia itu kerana terputus hubungan dengan isterinya, seorang warga tempatan.
Dalam kejadian itu, Lockley dikatakan cuba memasuki kokpit pesawat itu secara paksa.

Insiden itu mendorong juruterbang menghantar isyarat kecemasan kepada menara kawalan.


Indonesia menghantar pasukan antipengganas ke Lapangan Terbang Ngurah Rai di Denpasar sebagai persediaan.




Bagaimanapun Lockley sudah ditahan di dalam pesawat terbabit hasil kerjasama kru dan penumpang. Berikutan kejadian itu, operasi di lapangan terbang berkenaan terpaksa digantung seketika dan beberapa pesawat lain yang sepatutnya mendarat di situ dilencongkan ke lapangan terbang berhampiran.

Jurucakap polis Bali, Herry Wiyanto berkata, Lockley menafikan berada di bawah pengaruh alkohol, sebaliknya mendakwa mengambil beberapa pil penahan sakit dan dua botol minuman berkarbonat.

“Dia mengadu menghadapi kemurungan berikutan masalah keluarga,” katanya.
Polis masih lagi menunggu keputusan ujian alkohol tetapi tiada bau arak melalui nafasnya ketika ditahan kelmarin.

Lockley berasal dari Queensland, Australia berkata dia datang ke Bali untuk mencari isterinya yang hilang sejak dua minggu lalu.

Dalam keadaan yang tertekan, dia mendakwa “mengalami halusinasi” kononnya ada seseorang mengekori dan cuba mencuri beg yang dibawanya.

Pramugari juga menyatakan Lockley ada meminta ubat sebelum cuba merempuh pintu kokpit.

Selepas kejadian itu, kru pesawat menahan dan menggarinya di tempat duduk belakang pesawat sehingga tiba di Bali.

Lockley boleh didakwa atas tuduhan mengancam keselamatan penumpang yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda Rp500 juta rupiah (RM141,500).- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Tangan, kaki hancur dirempuh kereta api


Gemas: Seorang lelaki maut dirempuh sebuah kereta api membawa muatan simen di Kilometer 558.74, arah selatan berhampiran Stesen Keretapi Gemas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 malam, mangsa yang berusia 50-an dipercayai tergelincir ke landasan ketika melintasinya.

Difahamkan, sebelum kejadian, pemandu lokomotif membunyikan hon berulang kali sebaik menyedari mangsa berada terlalu hampir dengan laluan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, mangsa diseret sejauh 50 meter dan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala tangan dan kakinya hancur digilis.

“Pemandu kereta api kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.

Kami mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

“Kami tidak menemui dokumen peribadi mangsa pada dirinya.

Ketika kejadian, mangsa memakai kemeja lengan pendek biru, berseluar panjang hitam selain mempunyai tatu bentuk hati di bahu kiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, pihaknya mengenal pasti waris mangsa manakala individu yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Huzaimi Abd Rashid di talian 09-9481221.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Bahana dendam

Oleh KALIDEVI MOGAN KUMARAPPA
Sungai Buloh: Akibat dendam, seorang lelaki warga Bangladesh mati selepas ditikam dan ditetak lebih 10 kali di sebuah kilang perabot di Kampung Baru, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa berusia 40-an ketika itu makan bersama beberapa rakan sekerjanya di kawasan lapang di dalam kilang selepas mengunci kilang. 
Sumber polis berkata, tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali memecah masuk ke kilang itu dan berlari ke arah mereka.

“Terkejut dengan kehadiran lelaki itu, mereka bertempiaran lari manakala mangsa menyembunyikan diri di dalam biliknya.
Foto
ANGGOTA forensik memeriksa tempat kejadian di Kampung Baru Sungai Buloh.

“Bagaimanapun, suspek mengekori mangsa hingga ke bilik sebelum menetaknya dengan parang di kepala, perut, belakang badan selain beberapa tikaman di badan sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, mangsa yang cedera parah merangkak keluar ke kawasan lapang di tengah-tengah kilang bagi mencari rakannya sebelum pengsan.


Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Berbalah isu remeh


Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN, MUHAAMAD HAFIS HAWAWI dan NABIHA NAZAM

Kuala Lumpur: Perbalahan isu remeh-temeh, termasuk keengganan isteri melayan kemahuan seks, dikenal pasti antara punca golongan suami di negara ini tergamak mendera serta memukul isteri tanpa belas kasihan.

Malah, isu membabitkan keganasan rumah tangga semakin kritikal apabila masalah kewangan serta peningkatan kos sara hidup turut menyebabkan golongan suami hilang kawalan hingga tergamak membunuh isteri.
Ketua Unit Seksual, Bahagian Jenayah Seksual dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Deputi Superintendan Zaiton Che Lah berkata, sebanyak 27 hingga 32 peratus jenis jenayah kekerasan dan penderaan dilakukan mendatangkan kecederaan, manakala 30 hingga 36 peratus lagi adalah ugutan jenayah.

Menurutnya, siasatan mendapati 53 hingga 68 peratus punca penderaan disebabkan perselisihan faham dan 13.5 hingga 17 peratus akibat masalah kewangan membabitkan mangsa yang kebanyakannya suri rumah.


“Suspek biasanya dalam kalangan suami yang bekerja sendiri, swasta dan penganggur.




“Antara punca dilaporkan sering menyebabkan suami isteri berselisih faham ialah tertekan dengan kerenah anak. Isteri biasanya menjadi mangsa dipukul apabila meminta wang bagi memenuhi keperluan anak,” katanya.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan penderitaan seorang isteri muda, termasuk melambung disepak suami, gara-gara menolak paksaan lelaki itu supaya melacur bagi mencari wang mudah membayar hutang judi.


Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Tiga kapal pindah minyak haram


Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Johor Bahru Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga kapal terbabit didapati berhimpit antara satu sama lain di kedudukan 1.9 batu nautika, barat daya Tanjung Piai.
“Kapal ditahan ialah Sentek 21 yang didaftar di Singapura, manakala Dijaya 8 dan MV Tanto Bersatu didaftar di Indonesia.
Pemeriksaan mendapati Dijaya 8 memindahkan 11,000 liter minyak jenis ‘Lub Oil’ ke MV Tanto Bersatu.
“Pada masa sama, MT Sentek 21 juga didapati memindahkan 380,000 liter minyak jenis ‘Marin Fuel Oil’ (MFO) ke MV Tanto Bersatu,” katanya, semalam.
Menurutnya, ketiga-tiga kapten kapal gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk melakukan pemindahan minyak ketika diminta berbuat demikian, selain gagal melaporkan ketibaan di perairan berkenaan.
Aminuddin berkata, ketiga-tiga kapal itu membawa 36 kru membabitkan 33 warga Indonesia, dua warga Filipina dan seorang warga Myanmar berusia 20 hingga 60 tahun.
“Kami turut menahan enam anak kapal bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu gagal memaklumkan ketibaan kapal bagi melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal,” katanya.
Foto
DUA kapal didaftarkan di Singapura dan Indonesia ditahan APMM disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Diperkosa pelanggan dalam tandas


Permaisuri: Seorang pembantu kedai makan mendakwa dirogol seorang lelaki yang pernah menjadi pelanggannya di sebuah tandas awam Kampung Nyatoh, Penarik, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 5.40 petang ketika mangsa berusia 23 tahun yang bekerja di sebuah kedai makan di situ dikatakan pergi ke tandas tidak jauh dari premis berkenaan.

Beliau berkata, mangsa berseorangan ke tandas tanpa menyedari diekori lelaki berusia 20-an.

“Setiba di tandas, mangsa ditarik suspek dan diugut tidak membuat bising jika tidak mahu diapa-apakan.

“Mangsa meminta suspek melepaskannya namun rayuan itu tidak diendahkan sebelum mendakwa dirogol suspek.

“Selepas melampiaskan nafsunya, suspek meninggalkan mangsa sambil memberi amaran supaya tidak menceritakan perbuatan terkutuknya kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Penarik untuk tindakan lanjut.

Ab Rahman berkata, mangsa mendakwa mengenali suspek yang dikatakan pernah datang ke kedainya.

Katanya, identiti suspek dikenal pasti dan usaha memburunya dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Saudagar rumah hantu!


Oleh JUNAIDI LADJANA

Kota Kinabalu: Tembelang dua individu melakukan penipuan dengan menawarkan penjualan rumah dan lot banglo dengan harga murah yang sebenarnya tidak wujud melalui iklan di beberapa akhbar tempatan, pecah selepas mereka ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis di Karamunsing Capital, di sini, Khamis lalu.

Kedua-dua suspek berusia 47 dan 48 tahun ditahan di premis itu, jam 12.55 tengah hari, berikutan 17 laporan polis berhubung kegiatan penipuan itu di empat daerah di negeri ini membabitkan kerugian lebih RM1.5 juta.
Difahamkan, suspek dipercayai membeli iklan di akhbar tempatan di Sabah mengenai projek perumahan serta penjualan lot banglo yang kononnya akan dilaksanakan di Sabah dengan harga murah melalui sebuah syarikat.

Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menyerbu syarikat di premis itu sebelum menahan kedua-dua suspek.


Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, hasil pemeriksaan, syarikat milik suspek tidak mempunyai lesen kontrak pembinaan serta lesen membuat kutipan wang deposit yang sah di sisi undang-undang.




“Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga set komputer, buku akaun bank, telefon bimbit serta dokumen yang disyaki digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati pengarah urusan syarikat berkenaan seorang wanita berusia 48 tahun dan dibantu seorang lelaki berusia 47 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Eksesais Pengambilan Khas Jawatan Konstabel Lelaki dan Wanita Bagi Remaja Kaum Cina Menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2014.

Hamza berkata, modus operandi suspek adalah menyiarkan iklan di akhbar tempatan di Sabah mengenai projek pembinaan serta penjualan lot banglo yang kononnya akan dilaksanakan di Sabah dengan harga murah.

“Difahamkan, setiap pelanggan berminat akan dikenakan bayaran deposit sebanyak 20 peratus daripada jumlah harga rumah ditawarkan.

“Di samping itu, setiap ejen syarikat yang berjaya menarik pelanggan juga dijanjikan komisen 10 peratus daripada deposit yang dibayar pelanggan mereka.

“Sehingga kini, seramai 76 pelanggan membuat pembayaran deposit dengan nilai kerugian RM1.56 juta tanpa sebarang perjanjian jual beli dan penyerahan kunci dibuat sepertimana yang dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata, setakat semalam, 17 laporan polis yang dibuat pelanggan membabitkan empat daerah di negeri ini iaitu Penampang, Kudat, Kota Belud, dan Ranau.

Katanya, kedua-dua suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Sawa 7.62m melingkar dalam kebun


Difahamkan, reptilia sepanjang 7.62 meter (25 kaki) itu ditemui melingkar di dalam kebun berkenaan oleh seorang penduduk kampung ketika melalui kawasan terbabit.
Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau Yahya Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan penemuan reptilia itu jam 7.22 malam.

“Tiga anggota bersama sebuah pacuan empat roda bergegas ke lokasi. Disebabkan ular itu besar dan berat, kami mengambil masa 10 minit untuk menangkapnya menggunakan tali jerut.
Foto
ANGGOTA bomba menunjukkan ular sawa yang ditangkap.

“Ular itu dipercayai masuk ke kawasan kebun berkenaan selepas habitatnya di belukar berhampiran terbakar. Ketika ditemui, ia dalam keadaan lemah namun kami tetap mengambil langkah keselamatan dengan menutup kepalanya bagi mengelak ia bertindak agresif,” katanya.

Menurut Yahya, pihaknya menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka bagi memaklumkan penemuan reptilia itu untuk tindakan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Remaja tercuri motor ibu sendiri


Pekalongan: Niat seorang remaja melarikan motosikal di kawasan perumahannya memakan diri apabila tanpa disedari dia mencuri motosikal ibunya sendiri.

Dalam kejadian berlaku di Pekalongan, Jawa Tengah awal pagi kelmarin Ryan Gunawan, 20, pulang dari sebuah kafe Internet kira-kira jam 2 pagi selepas menghabiskan masa 10 jam di situ.

Sejurus kemudian Ryan cuba melarikan sebuah motosikal dari kawasan rumah sewa pelajar yang berada berhampiran rumahnya.

Ketua Polis Pekalongan, Zurianto berkata, ada empat motosikal di situ.

“Tanpa berfikir panjang Ryan melarikan satu daripada motosikal berkenaan yang kebetulan tidak berkunci,” katanya.

Namun, kata Zurianto, Ryan tidak menyedari motosikal itu milik ibunya.

Selepas melarikan motosikal berkenaan, kata Zurianto, Ryan kembali ke kafe Internet itu semula.

Keesokannya, kata Zurianto, selepas bangun tidur Ryan hairan melihat ibunya pulang menaiki basikal dan dia bertanya mengenai motosikal ibunya.

“Sebaik diberitahu motosikal itu hilang Ryan mendesak ibunya membuat laporan polis tanpa menyedari yang dialah pencuri sebenar,” katanya.

Siasatan dijalankan ke atas beberapa saksi membuktikan yang Ryan adalah pencuri motosikal itu.

Kata Zurianto, seorang daripada saksi mengaku ternampak Ryan menolak motosikal di kawasan berkenaan pada awal pagi kejadian.

“Pada mulanya Ryan menafikan tuduhan itu, tetapi selepas beberapa bukti dibentangkan, dia akhirnya mengaku.

Menurut keterangan ibunya, Ryan adalah anak angkat dan sering menjual barangan rumah untuk mendapatkan wang.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Remaja belasah nenek


Hemet (California): Seorang remaja lelaki didakwa menyerang dan membelasah seorang wanita warga emas di sebuah rumah orang tua, kata pihak berkuasa, semalam.

Menurut polis, remaja berusia 14 tahun itu ditangkap selepas pihak berkuasa menjalankan pencarian.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku ketika remaja terbabit dan seorang rakannya - berusia 15 tahun - cuba merompak kompleks rumah orang tua itu yang terletak di Riverside di bandar Hemet.

“Ketika itu mangsa yang berusia 87 tahun sedang tidur.

“Selepas mendengar bunyi mencurigakan, wanita warga emas itu terjaga dan cuba melihat apa yang berlaku,” katanya.

Namun, kata jurucakap itu, kedua-dua remaja terbabit menyerang dan membelasah mangsa tanpa belas kasihan.

Jurucakap itu berkata, tidak cukup dengan memukul mangsa, remaja terbabit turut menuang cecair peluntur ke badan mangsa menyebabkan berlaku kelecuran.

Di sebalik kecederaan parah dialami, mangsa berjaya menekan butang kecemasan.

Kata jurucakap polis, suspek bergegas melarikan diri sebaik saja loceng berbunyi.

Sehingga semalam, mangsa masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.


Penyiasat berkata, mangsa tidak disasar secara khusus.




“Suspek ditahan di sebuah hotel di Temecula beberapa jam selepas kejadian,” katanya.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Tetak isteri, anak hingga mati


Machakos (Kenya): Seorang lelaki menetak kepala isteri dan anak lelakinya sehingga mati sebelum cuba membakar rumah mereka bagi menghapuskan bukti.

Lelaki berusia 60 tahun itu memancung isterinya yang berusia 25 tahun dan anak mereka yang baru berusia setahun serta meninggalkan kesan luka yang dalam di badan wanita itu.

Polis menemui kapak dan pisau dapur yang dipercayai dijadikan senjata pembunuhan namun suspek dapat melarikan diri.

Seorang pengawal keselamatan, Steve Mwendo menemui mayat dua beranak itu selepas dia memeriksa rumah berkenaan apabila terlihat kepulan asap di situ pada jam 5 pagi.

Mwendo berkata, pada mulanya dia menyangka berlaku litar pintas lalu bergegas untuk memadamkan suis utama di rumah berkenaan.

“Sebaik membuka pintu rumah saya terkejut melihat mayat wanita dan budak lelaki yang berlumuran darah disamping timbunan baju yang dibakar.

“Saya cuba memanggil tuan rumah beberapa kali namun tiada jawapan,” katanya.

Mwendo berkata, keluarga itu tinggal di kawasan berkenaan sekurang-kurangnya sejak enam bulan lalu memang sering bertengkar.

- Agensi

Tukar wiski dengan anak


Bhopal: Seorang lelaki berusia 40 tahun tergamak menjual anak perempuannya yang baru berusia setahun semata-mata kerana mahu membeli sebotol wiski di daerah Datia, Madhya Pradesh.

Isterinya yang melaporkan tindakan itu kepada polis berkata, kejadian itu adalah kali kedua suaminya menjual anak mereka.

Mohan Kewat ditahan petang kelmarin berikutan laporan yang dibuat isterinya.

Menurut laporan Puspha, pada waktu itu dia keluar bekerja dan meninggalkan empat anak lelaki dan seorang anak perempuan mereka di rumah.

Ketika pulang, katanya, dia mendapati anak perempuan mereka, Radhika, tiada di rumah.

Apabila ditanya kepada Mohan, lelaki terbabit memberi pelbagai jawapan sehingga menimbulkan keraguan kepada Pushpa.

Jurucakap polis berkata, selepas usaha mencari Radhika gagal, Puspha memaklumkannya kepada masyarakat setempat.

“Mereka kemudian mendesak Mohan memberitahu perkara sebenar dan akhirnya lelaki itu mengaku yang dia menjual Radhika kepada seorang wanita dengan harga Rs150 (RM8).

Berang dengan pengakuan Mohan yang seolah-olah tidak berasa bersalah itu, penduduk kampung memukul dan mengheretnya ke balai polis Kotwali.

Ketika soal siasat, Mohan menukar kenyataan awalnya dengan mengatakan dua orang lelaki datang dan menculik anak perempuannya.

“Bagaimanapun, anak lelakinya mendedahkan yang dia melihat ayahnya keluar bersama Radhika dan pulang ke rumah bersendirian,” katanya.

Puspha memberitahu polis itu adalah anak perempuan kedua yang dijual suaminya untuk membeli arak.

Jurucakap polis berkata, Mohan seorang penganggur yang mengalami ketagihan arak.

- Agensi

Jual cucu nak ubati anak


Hubei: Seorang nenek di Wuhan dilaporkan cuba menjual cucunya demi mengumpul wang untuk mengubati anaknya - yang juga bapa kepada budak lelaki itu - baru-baru ini.

Media China semalam melaporkan, wanita tua itu bersama seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan empat tahun berlutut berhampiran kedai makan di daerah Xinhou merayu kepada mereka orang ramai yang lalu di situ supaya membeli cucu lelakinya.
Saksi - cuma mahu dikenali sebagai Tong - berkata, wanita terbabit turut meletakkan poster memperkenalkan dia sebagai Liu Xiaoying, 57.

Berdasarkan kenyataan Liu, dia mendakwa anak lelakinya yang berusia 30 tahun kini menghidap leukemia sejak awal tahun ini.


Kata Tong, wanita terbabit berkata, keluarga itu tidak mampu menanggung kos pembedahan bagi pemindahan sum-sum tulang berjumlah 300,000 yuan (RM156,773).




Di poster itu juga tertulis: “Saya mahu menjual cucu lelaki saya berusia lapan tahun bagi mendapatkan wang bagi menyelamatkan anak saya.”

Polis menghentikan tindakan wanita itu selepas menerima laporan mengenainya.

Anak lelaki Liu, He Dusai dan isterinya tidak mengetahui yang ibunya cuba menjual anak mereka.

Suami Liu memberitahu pemberita mereka tahu tindakan mereka itu salah.

“Namun kami hanya mahu menyelamatkan anak kami dan berharap ada individu yang baik hati sudi membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Mayat silap alamat


Keadaan itu menambahkan lagi kekecewaan dan kemarahan keluarga mangsa feri malang itu.
Sumber berkata, kebanyakan waris terkejut apabila mengetahui 48 pelajar terbabit ditempatkan dalam kabin yang sepatutnya hanya memuatkan 30 penumpang. 

Katanya, pegawai kerajaan kemudian akur apabila beberapa waris mempertikaikan ketelitian petugas mengendalikan kes berkenaan.
Foto
PENGUNJUNG pusat peringatan sementara gagal menahan sebak ketika memberi penghormatan kepada mangsa feri Sewol di Ansan,semalam.

“Dalam beberapa kes, keluarga mangsa menerima mayat tidak dikenali dan ia berlaku secara tidak sengaja apabila petugas tersilap menghantar mayat berkenaan,” katanya.

Pihak berkuasa pula berkata, proses pengecaman rasmi sedang giat dijalankan melalui ujian DNA dan cap jari. 

Sementara itu budak lelaki yang mula-mula membuat panggilan kecemasan sejurus feri Sewol itu senget - dikenali sebagai Choi - dilaporkan tidak sempat menghubungi ibu bapanya sebelum meninggal dunia.

Kata sumber, mayat Choi ditemui kelmarin tanpa jaket keselamatan. 

Bapa Choi berkata, dia terlalu marah dengan apa yang berlaku menyebabkan dia tidak mampu berbuat apa-apa kecuali memandang ke arah laut dan berdoa. 

“Kalau Choi mengenakan jaket keselamatan, saya tidak terlalu kecewa begini, namun saya bangga kerana dia menghubungi talian keselamatan berbanding kami ibu bapanya,” katanya. - Agensi/Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/27

Suami isteri dalang 14 kes jenayah dicekup

Suami isteri dalang  14 kes jenayah dicekup
Pistol jenis Col 30 buatan China dipercayai dibeli suspek dari negara jiran turut dirampas. 
Kota Bharu: Sepasang suami isteri yang mendalangi lebih 14 kes jenayah, termasuk pengedaran dadah ditahan polis, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Mengkali, di sini, petang kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis (IPK) Kelantan pada jam 6 petang itu, menahan suspek utama berusia 49 tahun dan isterinya berusia 39 tahun, yang juga warga Thailand.

Rampas senjata



Turut dirampas dalam serbuan itu, sepucuk pistol berserta empat biji peluru jenis Col 30 buatan China, dipercayai dibeli dari negara jiran beberapa hari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman, ketika mengesahkan perkara itu berkata, pasangan suami isteri itu ditahan dalam sebuah kereta milik mereka di Kampung Mengkali dekat Kota Bharu.

“Suspek mengaku senjata api itu milik mereka yang baharu dibeli Khamis lalu dengan harga RM500 di Thailand. Suspek turut mendakwa kali pertama membeli senjata api itu menerusi rakan kenalannya dari negara jiran.

“Bagaimanapun, pemeriksaan terperinci mendapati pasangan suami isteri itu mempunyai lebih 14 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kegiatan jenayah selain pernah dipenjara sebelum ini,” katanya.

Beri amaran selepas rogol


2014/04/27 - 04:28:06 AM
Pembantu kedai makan dakwa ditarik pelanggan dikenali ketika ke tandas

Permaisuri: Seorang pembantu kedai makan mendakwa dirogol dalam tandas berhampiran tempat kerjanya oleh pelanggan dikenali.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang Khamis lalu di tandas awam Kampung Nyatoh, Penarik di sini, mangsa dikatakan ke tandas berseorangan tanpa menyedari dirinya diekori suspek.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed, berkata mangsa berusia 23 tahun itu memasuki tandas wanita sebelum ditarik secara tiba-tiba oleh suspek berusia dalam lingkungan 20-an berkenaan.

Rayu suspek lepaskan

“Wanita yang ketakutan itu merayu meminta suspek melepaskannya tetapi tidak diendahkan lelaki itu.

“Selepas merogol mangsa, suspek sempat memberi amaran supaya perkara itu dirahsiakan sebelum berlalu dan meninggalkan mangsa di tempat kejadian,” katanya.
Buru suspek

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Penarik untuk tindakan lanjut.

Ab Rahman berkata, identiti suspek sudah dikenal pasti dan usaha memburu giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

AS sedia bantu rungkai misteri pesawat MH370


2014/04/27 - 05:01:59

Kuala Lumpur: Presiden Barack Obama menyatakan kesediaan Amerika Syarikat (AS) membantu Malaysia dalam merungkai misteri kehilangan pesawat MH370.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata jaminan itu diberi Presiden AS dalam pertemuan ringkas sejurus ketibaannya bagi lawatan rasmi ke negara ini, semalam.


“Beliau akui cabaran dan laluan berliku yang menanti (dalam mengesan pesawat MH370). Kita akan bekerjasama dan Amerika sedia membantu.
Beliau akui cabaran dan laluan berliku yang menanti (dalam mengesan pesawat MH370). Kita akan bekerjasama dan Amerika sedia membantu” Hishammuddin Hussein, Pemangku Menteri Pengangkutan

“Saya gembira mendengar perkara ini kerana perjalanannya memang panjang,” katanya seperti dilaporkan AFP.

Pertemuan ringkas itu berlangsung ketika majlis sambutan negara di Dataran Parlimen.

Jadi keutamaan AS

Sebelum ini, dalam satu kenyataan Obama berkata, pihaknya meletakkan pencarian MH370 yang hilang sebagai keutamaan AS dengan Malaysia sudah berkongsi bukti dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Malah, Obama berkata doanya adalah bersama waris penumpang yang sedang bersedih dan marah.

“Saya mahu mereka diberi jaminan bahawa kami menganggap situasi ini sebagai satu keutamaan,” katanya dalam satu temu bual televisyen di Rumah Putih, baru-baru ini.

Sementara itu, Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, berkata kedatangan Obama ke Malaysia adalah satu pengiktirafan kepada usaha dan kejayaan kerajaan membangunkan negara ini.

Katanya, lawatan itu juga dilihat sebagai satu penghormatan dari sebuah negara besar kepada Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Ini ialah penghormatan kepada rakyat Malaysia kerana dunia besar mengiktiraf kita, sebuah negara Islam. Akhirnya ada pengiktirafan dunia kepada usaha (membangunkan negara) yang dibuat oleh kerajaan sejak merdeka,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Ruang Bicara terbitan BernamaTV, di sini, semalam.

“Kalaulah negara kita mundur, tak berjaya, berperang, ekonomi teruk, atau bermasalah, adakah Presiden AS mahu pergi?.

“Dia (Obama) datang ke Malaysia sudah tentu kerana kejayaan negara kita dari segi ekonomi, keamanan dan mempunyai sistem demokrasi yang baik,” katanya sambil menegaskan kunjungan presiden itu tidak harus dipolitikkan, sebaliknya perlu dilihat dari aspek positif.

Hampir 3,000 terjerat cinta palsu


RAKYAT Malaysia perlu berhati-hati ketika berkenalan di internet untuk mengelak ditipu. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Impian segelintir rakyat Malaysia untuk mencari nikmat bercinta dengan lelaki kaya dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berakhir dengan mereka dijerat sindiket warga Afrika yang menjual cinta mereka menerusi alam siber.
Lebih menakutkan, dalam tempoh tiga tahun, sebanyak 2,785 rakyat Malaysia ditipu oleh sindiket tersebut membabitkan kerugian kira-kira RM103 juta.
Bukan wanita sahaja yang menjadi mangsa iaitu membabitkan 1,794 orang malah seramai 991 lelaki tempatan turut diperbodohkan sindiket tersebut.
Rata-rata rakyat tempatan yang menjadi mangsa begitu mudah tergoda dan cair hati mereka dengan ayat-ayat manis sindiket berkenaan.
Antara ayat manis sindiket tersebut yang ditulis dalam bahasa Inggeris ialah ‘Sayang, awak nampak sangat cantik dalam gambar’, atau ‘Kalau awak menjadi kekasih saya, saya akan berikan segalanya asalkan awak setia’.
Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd. Syafik Jinuin Abdullah berkata, sebanyak 1,095 kes dicatatkan pada tahun lalu dan hampir 100 peratus kes membabitkan warga Afrika.
Beliau berkata, tahun lalu sahaja, rakyat Malaysia kerugian lebih RM35.7 juta berbanding RM33.6 juta pada 2012 gara-gara terjerat dengan cinta siber berkenaan.
Menurutnya, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penipuan cinta siber meningkat 34 peratus pada tahun 2013 iaitu sebanyak 1,095 kes berbanding 814 kes pada 2012.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0427&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz302H3TVLS 
Hakcipta terpelihara 

Raja sehari tak sempat bersanding



SAAT bahagia Junaida (kanan) dan suaminya, Muhammad Danial selepas majlis akad nikah di rumahnya di SS3, Petaling Jaya, Selangor kelmarin.


PETALING JAYA - Kegembiraan pasangan pengantin untuk meraikan hari bahagia bertukar pilu apabila pengantin perempuan ditemui mati kira-kira tiga jam sebelum majlis persandingan mereka semalam.
Mangsa, Junaida Jamaludin, 29, yang selamat dinikahkan dengan Muhammad Danial Zainal Abidin, 30, ditemui meninggal dunia dengan keadaan hidung dan mulut berdarah di dalam bilik pengantin di rumahnya di SS3 di sini kira-kira pukul 8.30 pagi.
Abang mangsa, Kamarul Affendi Jamaludin, 38 memberitahu, majlis akad nikah berlangsung sehari sebelumnya di rumah mereka kira-kira pukul 5.45 petang kelmarin dan majlis persandingan dijadualkan berlangsung di Dewan Gemilang Yayasan Felda, Kelana Jaya kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.
"Pagi tadi (semalam) saya ingat Junaida telah pergi ke dewan lebih awal tetapi sangkaan kami meleset sebab dia tiada di situ.
"Kami cuba menghubunginya tetapi gagal. Saya cuba memeriksa dia di bilik dan ketika itu saya nampak dia masih berada di atas katil," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

PELAMIN di Dewan Gemilang Yayasan Felda, Kelana Jaya yang kosong berikutan pengantin perempuan, Junaida, meninggal dunia kira-kira tiga jam sebelum majlis persandingannya semalam.


Jelasnya, dia menyangka Junaida masih tidur kerana kepenatan tetapi terkejut apabila mendapati hidung dan mulut anak bongsu daripada empat beradik itu berdarah.
"Kami terus membawa Junaida ke hospital berhampiran tetapi dia disahkan meninggal dunia akibat masalah pendarahan dalaman," katanya sedih.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0427&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz302GwiJ6M 
Hakcipta terpelihara 

Pintu kokpit disangka pintu tandas



LOCKLEY (kiri) ditangkap beberapa anggota polis selepas dia dibawa turun dari pesawat Virgin Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Denpasar Bali kelmarin.


JAKARTA - Seorang penumpang warga Australia, Matt Lockley memberitahu polis, dia mahu membuka pintu kokpit pesawat yang dinaikinya kerana menyangka ia adalah pintu tandas.
Lockley membuat penjelasan itu selepas dia ditangkap dan tangannya digari oleh beberapa kru syarikat penerbangan Virgin Australia setelah dia mahu membuka pintu pesawat tersebut.
Ekoran perbuatannya itu, juruterbang pesawat Boeing 737-800 tersebut, Neil Thomas Cooper mengeluarkan isyarat rampasan kepada pengawal trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali kelmarin.
Lockley memberitahu polis, dia mahu memasuki tandas sebelum pesawat tersebut mendarat di lapangan terbang itu.
Namun, seorang jurucakap syarikat penerbangan itu menyatakan, Lockley tidak digari tetapi diarahkan kembali duduk di kerusi belakang pesawat.
Jurucakap polis Bali, Heri Wiyanto berkata: "Ketika pesawat itu akan mendarat, Lockley sedang tidur.
"Seorang kakitangan penerbangan menggerakkan Lockley daripada tidur dan dia (Lockley) kemudian pergi ke tandas.
"Ketika itulah, dia menumbuk-numbuk pintu kokpit itu kerana ia menyangka ia adalah pintu tandas."
Syarikat penerbangan Virgin Australia menyatakan, 137 penumpang dan tujuh kru tidak berada dalam keadaan bahaya semasa insiden tersebut berlaku.
Ketika kejadian, pesawat itu dalam penerbangan ke Bali dari Brisbane, Australia.
Selepas mendarat, beberapa kenderaan dan anggota tentera udara Indonesia mengerumuni pesawat itu.
Polis menyatakan, selepas sampel darah diambil, Lockley didapati mengambil empat pil Panadol dan dua pil penahan sakit Voltaren.
Wiyanto berkata, Lockley menyatakan, dia turut minum dua botol air Coca-Cola.
Sebelum ini, polis membuat kenyataan, warga Australia itu berada dalam keadaan mabuk semasa dia melakukan perbuatan tersebut.
Menurut Lockley, dia datang ke Indonesia untuk mencari isterinya.
"Suspek datang ke Bali mencari isterinya yang berasal dari Bandung (Indonesia). Sudah dua minggu dia terputus hubungan dengan isterinya dan keadaan itu menyebabkan beliau tertekan," kata Wiyanto.
Dia berkata, suspek telah dipindahkan ke Hospital Trijata di Denpasar ekoran keadaan kesihatannya yang tidak stabil.
"Suspek seperti mengalami halusinasi. Dia menyatakan, ada orang mengekorinya.
"Bahkan, dia merasa ada orang mahu mengambil begnya," katanya.
Wiyanto berkata, Lockley akan didakwa kerana mencetuskan situasi risiko bahaya ke atas penumpang.
Jika sabit kesalahan, dia akan dihukum penjara dua tahun dan didenda sebanyak AS$43,000 (RM140,481). - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0427&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz302GUQ6mn 
Hakcipta terpelihara 

Tiga anggota polis maut di Pattani


HAT YAI, Selatan Thailand - Sebanyak tiga anggota polis dan 17 orang lagi cedera selepas satu letupan berlaku pada satu pertandingan memancing di sebuah pantai di daerah Saiburi, wilayah Pattani kelmarin.
Seorang pegawai polis, Kolonel Panya Karawanun berkata, kejadian itu dipercayai didalangi gerila pemisah Islam.
Menurutnya, tujuh anggota polis yang mengawal keselamatan di lokasi pertandingan merupakan antara yang cedera.
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan gerila pemisah Islam melancarkan serangan pada tahun 2004.
- AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0427&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz302GLpVVc 
Hakcipta terpelihara 

Lokasi pencarian akan berpindah




PERTH, Australia - Misi pencarian sebuah pesawat Penerbangan Malaysia yang hilang sejak 8 Mac lalu akan diperluaskan ke kawasan lain di selatan Lautan Hindi.
Menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, kawasan baharu itu terletak bersebelahan di kawasan pencarian ketika ini.
Kawasan baharu itu merupakan lokasi paling dipercayai sebagai lokasi pesawat itu terhempas.
Misi pencarian pesawat MH370 itu telah memasuki hari ke-50 semalam.
Sebelum ini, misi pencarian yang menggunakan kenderaan dalam laut autonomi yang dikenali sebagai Bluefin-21 telah melakukan pencarian di kawasan seluas 10 kilometer persegi namun gagal menemui pesawat berkenaan.
Penggunaan Bluefin-21 bagi mencari pesawat itu ditangguhkan kelmarin ekoran masalah kerosakan perisian.
Pesawat Boeing 777-200ER itu hilang semasa membawa 227 penumpang dan 12 kru ke Beijing, China selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Berdasarkan analisis radar tentera, pesawat itu berpatah balik dan dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0427&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz302GB78dW 
Hakcipta terpelihara 

Penyelia dicekup cuba beri rasuah


SIBU 26 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penyelia di sebuah lokasi pembalakan haram, selepas cuba memberi rasuah RM10,000 kepada pegawai penguat kuasa itu, agar tidak mengambil tindakan di kawasan Lok Pond, Pala Kanowit, di sini semalam.
Suspek berusia 63 tahun itu memberi wang suapan terbabit kerana menyangka sekumpulan pegawai SPRM yang membuat pemeriksaan di situ merupakan kakitangan dari Jabatan Perhutanan.
Sumber berkata, pihak SPRM menjalankan siasatan dan pemeriksaan di kawasan tersebut selepas menerima laporan daripada orang awam berlaku kegiatan mengambil kayu balak secara haram di situ.
"Hasil pemeriksaan mendapati ada aktiviti pembalakan haram di kawasan hutan berkenaan.
"Semasa pegawai SPRM tiba, kumpulan pembalak berkenaan sedang mengangkut kira-kira 300 batang kayu tanpa cukai dipercayai untuk dijual ke kilang," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140427/je_03/Penyelia-dicekup-cuba-beri-rasuah#ixzz302Fe86QX
© Utusan Melayu (M) Bhd