KOTA KINABALU 23 April - Seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera parah di dada selepas dipercayai terkena tembakan senjata yang sedang dibersihkan oleh rakan setugasnya di Balai Polis Luyang di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.12 malam itu, mangsa, Richie Belo Asing, 25, yang kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) berada dalam keadaan stabil.
Difahamkan, mangsa bersama rakannya itu sedang bersiap untuk melaporkan diri bertugas di Pondok Polis Kawasan (PPK) HQ II dan semasa rakannya itu sedang mengosongkan pistol, secara tiba-tiba terlepas tembakan dan mengenainya.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika ditemui mengesahkan mengenai kejadian itu dan berkata, dua anggota berkenaan mengambil pistol jenis Revolver .38 dari dalam stor balai berkenaan untuk memulakan tugas di PPK itu.
"Mangsa yang berasal dari Sarawak kini dilaporkan stabil dan hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati peluru itu tidak mengenai organ sensitif. Pembedahan akan segera dilakukan bagi mengeluarkan peluru yang masih berada dalam badan mangsa," katanya di sini hari ini.
Tambah Jauteh, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Rakan setugas mangsa kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140424/je_07/Anggota-polis-tertembak-rakan-setugas#ixzz2zkfeXvwx
© Utusan Melayu (M) Bhd