Search This Blog

Wednesday, April 23, 2014

‘Tak tahu niat mereka mencuri’


Kuantan: “Saya hanya menolak troli manakala dua rakan mengambil barang dan meletakkannya dalam troli. Saya tidak tahu mereka berniat untuk melakukan perbuatan itu (curi),” kata seorang tukang cuci dalam rayuannya selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri pelbagai barangan di sebuah pasar raya di sini, 10 April lalu.

Berikutan pengakuan bersalah itu, Mahkamah Majistret mengarahkan Siti Zuliha Junus, 39, dari Jalan Kemaman, Beserah, di sini, melakukan kerja wajib empat jam sehari selama dua bulan.


Ketika ditanya Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali kenapa dia melakukan perbuatan berkenaan, tertuduh memaklumkan dia tidak tahu niat dua rakannya itu kerana hanya diarah menolak troli.



Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri pelbagai barangan antaranya 13 seluar, dua bungkus lampin pakai buang jenama Pet Pet dan Huggies Dry, dua unit seterika jenama Cornell dan sebotol Clorox yang semuanya bernilai RM500.


Siti Zuliha melakukan kesalahan itu di pasar raya Aeon Big, East Coast Mall, pada 10 April lalu, jam 10.25 malam.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor V Muneswaran manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.


Tertuduh juga merayu hukuman diringankan dengan alasan menanggung suami yang menghidap sakit mental serta anak masih bersekolah dengan pendapatan hanya RM650 sebulan.

Dalam penghakimannya, Noor Zaihan berkata walau apa pun alasan tertuduh, mahkamah tidak boleh melepaskannya begitu saja kerana kesalahan dilakukan agak berat dan berharap tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu lagi.


Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki didenda RM600 selepas mengaku bersalah bermain judi komputer tiga tahun lalu.


Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Aris Hamid, 27, dari Kampung Chendor, di sini, didakwa bermain judi siber menggunakan komputer di sebuah kafe siber di Jalan Pelabuhan Kampung Selamat, di sini, pada 20 September 2011 jam 1.45 pagi.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

Pesakit kanser mengaku samun


Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang pesakit kanser darah tahap satu dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai cermin mata, di sini, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Kok Keong, 36, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pihak pendakwaan.


Mengikut pertuduhan, Lee didakwa melakukan samun bersama seorang rakannya di kedai Shine Look Optical di Taman Rasah Jaya, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi pada 11 Ogos empat tahun lalu.



Berikutan itu, bapa anak dua terbabit didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, ketika pengadu dan adiknya berada di kedai cermin mata berkenaan, mereka didatangi dua lelaki yang kononnya mahu mengambil cermin mata dan kanta lekap yang ditempah untuk rakan perempuan mereka dua hari sebelum itu.


Bagaimanapun, selepas memastikan tiada pelanggan, kedua-dua suspek mengeluarkan dua bilah parang dari belakang badan dan seorang masuk ke dalam bilik pemeriksaan mata lalu mengarahkan pengadu dan adiknya masuk ke dalam bilik berkenaan.

Suspek bertindak menetak bahu adik pengadu itu sebelum mengambil wang berjumlah RM5,000, 10 cermin mata dan sistem kedudukan global (GPS) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM15,000 lalu melarikan diri menaiki motosikal.


Lee dalam rayuan bertulisnya dan dibaca jurubahasa mahkamah memohon hukuman ringan dan dijalankan serentak dengan hukuman sedang dijalaninya kerana sudah insaf dan menyesal serta berharap diberi peluang menjadi anak, bapa dan masyarakat yang berguna.

Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz memohon hukuman setimpal dengan apa dilakukan tertuduh sehingga mengakibatkan kerugian besar serta trauma kepada mangsa.


Mahkamah kemudian menetapkan hukuman berkuatkuasa selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan atas kesalahan sama disabitkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di Raub, Pahang pada 28 Mei tahun lalu.


Ini menyebabkan, tertuduh terpaksa menjalani hukuman keseluruhan selama 22 tahun penjara serta 10 sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

Sekeluarga mulut berbuih


Oleh Na’imah Mohamed
Klang: Empat beranak termasuk dua kanak-kanak berusia lapan dan 10 tahun nazak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, selepas meminum racun di rumah mereka di Sungai Kapar Indah, di sini.
Dalam kejadian jam 7 malam kelmarin, seorang daripada mangsa yang juga ketua keluarga berkenaan dipercayai memberi isteri dan dua anaknya meminum racun dalam cubaan untuk membunuh diri secara beramai-ramai. 
Bagaimanapun semua mangsa yang dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ ditemui dua ahli keluarga yang kebetulan pergi ke rumah mangsa untuk melawat keluarga terbabit. 

Susulan itu mangsa dalam keadaan berbuih mulut dan tidak sedarkan diri kemudian segera dikejarkan ke HTAR untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Foto
AHLI keluarga mangsa menunggu di hospital.

Adik mangsa yang berusia 29 tahun berkata, pasangan suami isteri berusia 33 tahun ditemui terbaring tidak sedarkan diri di lantai ruang rumah bersama anak lelaki dan anak perempuan mereka.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

Sekolah bertukar lautan lumpur


Serdang: “Sekolah ini bertukar menjadi ‘lautan’ lumpur setiap kali hujan lebat berlaku. Akibatnya murid sekolah ini dipindahkan ke dewan berhampiran atas faktor keselamatan,” kata seorang bapa pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Sedang di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 40.
Dalam kejadian terbaru jam 5.50 petang kelmarin, hujan lebat yang berlaku menyebabkan banjir kilat menenggelamkan sekolah itu setinggi lebih 0.4 meter.

Kejadian banjir itu menyebabkan murid sekolah itu dipindahkan ke Dewan Rukun Tetangga Sri Serdang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. “Kejadian banjir kilat sudah acap kali berlaku dan masalah ini seolah-olah tiada penyelesaian walaupun sudah puluhan kali banjir melanda.
“Sebaik banjir surut, kawasan sekitar sekolah dan bilik darjah dipenuhi kotoran selut. Keadaan ini pastinya menjejaskan proses pembelajaran berikutan pihak pengurusan sekolah perlu membersihkan kawasan terlebih dahulu,” katanya. Dia berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemimpin politik di kawasan itu ‘turun padang’ menyelesaikan masalah yang berlarutan sekian lama.

“Kasihan kepada guru dan murid sekolah ini. Mereka pastinya tidak senang duduk dan panik setiap kali hujan lebat berlaku,” katanya.

Sementara itu tinjauan wartawan pagi semalam mendapati anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serdang bertungkus-lumus membantu pihak sekolah membersihkan sisa lumpur yang memenuhi kawasan sekolah terbabit.
Foto
GURU dibantu anggota bomba Serdang membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Sri Serdang yang ditenggelami banjir lumpur akibat banjir kilat, petang kelmarin.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Noor Zaidi Din berkata, lima anggotanya terbabit dalam operasi pembersihan di sekolah itu dengan menggunakan pili bomba. “Bantuan dihulurkan segera bagi memastikan pembelajaran murid di sekolah itu tidak terganggu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

Nyanyian gospel seksa penculik


Atlanta: Seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang diculik di depan rumahnya baru-baru ini dibebaskan hanya selepas tiga jam.
Puncanya - si penculik terseksa dan tidak dapat menahan sabar mendengar budak terbabit menyanyikan lagu keagamaan Kristian yang sering didendangkan di gereja. 

Myrick termakan umpan itu kerana dijanjikan wang.
Foto
MYRICK

Selepas menyedari dia diculik, Myrick amat ketakutan dan mula menyanyi lagu gospel popular Every Praise. Dia mengulang-ulang lagu itu selama beberapa jam.

Disebabkan penculik terbabit hilang sabar, Myrick kemudian dibebaskan. 

Ditemui media, Myrick menceritakan detik dia diculik itu.

“Saya terkejut apabila lelaki terbabit membuka pintu kereta dan mencampak saya keluar.

“Dia juga sempat berpesan supaya saya tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa,” katanya.

Kisah itu membangkitkan minat penyanyi lagu itu, Hezekiah Walker yang datang melawat Myrick, baru-baru ini.

“Saya cuma ingin menemuinya dan memeluknya,” kata Walker.

Lakaran penculik berkenaan sudah diedarkan kepada orang ramai dan polis kini menyiasat kes itu.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

Warga Singapura maut, isteri parah, Yamaha FJR terbabas


SEREMBAN 22 April - Seorang lelaki warga Singapura maut manakala isterinya parah selepas motosikal berkuasa tinggi Yamaha FJR 1300 yang ditunggang mereka terbabas di Kilometer 46.6 Lebuh Raya Lingkaran Tengah (Elite) arah selatan berhampiran Nilai dekat sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Abdullah Roning berkata, mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu ialah Esa Badri, 53, dan mangsa yang parah, Nurhayati Ashar, 53. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140422/je_04/Warga-Singapura-maut-isteri-parah-Yamaha-FJR-terbabas#ixzz2zj0ZK3c7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rogol: Duda baru keluar jel diarah bela diri


PETALING JAYA 22 April - Seorang duda yang pernah meringkuk dalam penjara selama 10 tahun dan dikenakan sebatan enam kali atas dua pertuduhan merogol anak teman wanitanya yang berusia 15 tahun, tidak pernah serik apabila dia didakwa mengulangi kesalahan yang sama sejurus keluar dari penjara, tahun lalu.
Kali ini, dia didakwa merogol seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang merupakan anak kepada teman wanita baharunya.
Hari ini, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan lelaki itu, Hamdan Ahadluddin, 53, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan demikian setelah mendapati keterangan saksi boleh dipercayai selain disokong keterangan perubatan dan ayah mangsa.
Hamdan didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Lembah Subang, di sini pada Mei tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang mendakwa dirinya bekas setiausaha cawangan sebuah parti politik diwakili peguam P.G. Cyril dan Farhan Read.
Sebanyak sembilan saksi dipanggil sepanjang perbicaraan di peringkat pendakwaan.
Akhbar sebelum ini melaporkan, tertuduh dihukum penjara atas dua pertuduhan merogol remaja berusia 15 tahun, 10 hari sebelum bernikah dengan ibu remaja berkenaan, pada 2004.
Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan bagi tuduhan pertama manakala tuduhan kedua pula penjara enam tahun.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu pada 7 Februari 2005.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140423/je_06/Rogol-Duda-baru-keluar-jel-diarah-bela-diri#ixzz2zj0QWMob
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki pasang bendera 'Kesultanan Sulu' ditahan


LAHAD DATU 22 April - Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) hari ini menahan seorang lelaki yang mendakwa dirinya diberikan kuasa oleh 'Sultan Sulu' bagi mengurus orang-orang Suluk yang berada di daerah ini.
Lelaki berusia 57 tahun itu ditahan pada pukul 5.30 pagi ini di sebuah rumah di Kampung Long Danau, Jalan Silabukan kerana memasang dua bendera Kesultanan Sulu berwarna merah yang memaparkan dua bilah senjata dan tulisan Arab serta lima bintang di hadapan pintu rumah berkenaan.
Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek berkata, tindakan lelaki yang hanya memiliki salinan Mykad itu dikesan pasukan Esscom yang membuat rondaan di kawasan itu kira-kira pukul 9 malam, kelmarin.
Beliau berkata, pasukan berkenaan kemudian melaporkan perkara itu kepada Bahagian Pertahanan Esscom yang kemudiannya memaklumkan kepada Briged Esscom yang berpangkalan di Cenderawasih, di sini.
"Anggota pertahanan dan keselamatan Esscom yang membabitkan satu platun masing-masing dari Rejimen Askar Melayu Diraja dan VAT 69 mengepung perkampungan itu sebelum menggeledah rumah suspek. Identiti lelaki itu dirahsiakan atas faktor keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Kampung Long Danau terletak tidak jauh dari Kampung Tanduo, lokasi berlakunya pencerobohan kumpulan pengganas Kiram pada awal tahun lalu yang mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan negara.
Tambah Mohammad, pasukan berkenaan turut menggeledah empat buah rumah di hujung kampung berkenaan yang berada berhampiran dengan pantai sebelum memasuki rumah suspek yang memasang dua bendera Kesultanan Sulu itu.
"Terdapat 14 orang mendiami rumah tersebut dan selepas mereka disoal siasat, pasukan keselamatan menahan suspek dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140423/je_03/Lelaki-pasang-bendera-Kesultanan-Sulu-ditahan#ixzz2zj0Aj6uE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengikut ajaran sesat Rasul Melayu mengaku menghina


KUALA LUMPUR 22 April - Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas tuduhan menghina pihak berkuasa agama dan memiliki dua buku yang bertentangan hukum syarak berkaitan ajaran sesat yang dibawa oleh Abdul Kahar Ahmad yang mendakwa dirinya Rasul Melayu.
Kamaruzaman Karim, 61, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Abdul Karim Wahab yang kemudian menetapkan 27 Mei ini untuk pembentangan fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140422/ma_04/Pengikut-ajaran-sesat-Rasul-Melayu-mengaku-menghina#ixzz2zizKjUWU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

7 pemegang kad UNHCR didakwa edar, miliki dadah


KUALA LUMPUR 22 April - Seorang wanita pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) berdepan dengan hukuman gantung sampai mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dengan anggaran berat 56.08 gram, dua minggu lalu.
Hamidah Sadam, 32, warga Myanmar didakwa memiliki dua paket lutsinar berisi dadah tersebut di No. 18, Jalan Teratai 1/9C, Taman Bukit Teratai, Ampang dekat sini, kira-kira pukul 8.30 malam, 8 April lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tertuduh hanya mengangguk kepala selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Zulyana Zollkapli. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada wanita tersebut.
Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan iaitu bersama-sama memiliki lima paket plastik lutsinar mengandungi 10.91 gram dadah jenis sama, Hamidah mengaku bersalah.
Bagaimanapun enam lagi rakan senegaranya, Mohd. Yasin Rahmat Ali, 29, Zubaidah Mohd. Shafie, 28, Mohd. Yusuf Abdu Sukur, 43, Mohd. Sharif Abdur Rahman, 24, Hanif Abdul Rahman, 22, dan Mohd. Salim Mohamed Ishak, 21, masing-masing mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu.
Bagi pertuduhan tersebut, kesemua mereka yang juga pemegang kad UNHCR didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama, serta dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang dari lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali.
Kesemua tujuh tertuduh terbabit juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memiliki satu paket plastik mengandungi 0.8 gram dadah jenis methamphe­tamine.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kedua-dua pertuduhan tersebut didakwa dilakukan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Mahkamah menetapkan sebutan kes bagi kesemua pertuduhan itu pada 23 Jun ini sementara menunggu laporan kimia. Tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurdinie Baharum manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140423/ma_03/7-pemegang-kad-UNHCR-didakwa-edar-miliki-dadah#ixzz2ziz7mSLT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Terima 2 SMS sebelum anak dibunuh


MESEJ ugutan yang berbunyi 'lagi satu kali x sms. Awk boleh sembahyang utk anak' adalah sms terakhir daripada penculik kepada ibu mangsa sebelum membunuh Gunaseelan a/l D. Murugan.
MELAKA 22 April - Seorang bapa menerima dua khidmat pesanan ringkas (SMS) sebelum anaknya berusia 13 tahun yang diculik Ahad lalu, ditemui mati dibunuh di tingkat satu sebuah rumah kedai kosong di Taman Merdeka Jaya, di sini malam tadi.
Dua SMS itu yang diterima D. Murugan, 52, kira-kira pukul 5.35 petang semalam, adalah ‘Selamat jalan’ dan ‘Lagi satu kali x SMS awak boleh sembahyang utk anak’.
Murugan seorang pekerja kontrak berkata, M. Gunaseelan, anak bongsu daripada tiga beradik, dikesan hilang dari rumah mereka di Batu Berendam di sini, sebaik sahaja dia pulang dari pasar borong berdekatan, pada pukul 9 pagi.
"Semasa saya keluar pada pukul 8 pagi, Gunaseelan masih berada di dalam rumah. Apabila pulang, saya lihat Gunaseelan tiada dan menyangka dia ke kafe siber berdekatan.
"Kira-kira pukul 7 malam, isteri saya, A. Letchumy, 44, mendapat panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali mengatakan telah menculik anak kami dan meminta wang tebusan sebanyak RM20,000," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka, di sini hari ini.
Menurut Murugan, sejurus selepas itu, dia membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam dan pada masa sama mengikut arahan penculik tersebut ingin berjumpa dengannya di empat lokasi sekitar Banda Hilir di sini, kira-kira pukul 9 malam.
"Saya ikut segala arahan diminta lelaki itu untuk diberikan wang sebanyak RM20,000 seperti yang diminta.
"Namun kira-kira pukul 11 malam, saya mendapat panggilan telefon daripada lelaki itu yang menyatakan polis mengikut saya dan cuba memerangkapnya (suspek). Ketika itu perbualan kami dimatikan," katanya.
Ujar Murugan, dia kemudian menerima dua SMS semalam, dan dua jam selepas itu dikejutkan dengan panggilan telefon daripada pihak polis yang memaklumkan mayat anaknya ditemui seorang awam, kira-kira pukul 7 malam.
Katanya, mayat Gunaseelan ditemui dalam keadaan kaki dan tangannya terikat oleh seorang individu yang kebetulan pergi ke kedai tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140423/je_01/Terima-2-SMS-sebelum-anak-dibunuh#ixzz2ziyQKLR1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 parah, 12 cedera pokok hempap kedai makan


IPOH 23 April - Dua parah dan 12 lagi cedera ringan apabila sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kedai makan di Kampung Tapah Sungai Bayor, Selama pada pukul 7.30 pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Selama, Mohd. Fadzeli Che Husin berkata, mangsa yang parah mengalami kecederaan pada muka dan kepala kini dirawat di Hospital Selama. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140423/je_07/2-parah-12-cedera-pokok-hempap-kedai-makan#ixzz2ziy63fef
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis tahan wanita, rampas syabu, heroin di Simpang Kuala


ALOR SETAR 23 April - Seorang wanita berusia 51 tahun ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah di kediamannya di sebuah pangsapuri di Simpang Kuala dekat sini, Ahad lalu dan merampas dadah jenis heroin seberat 2.1 kilogram dan syabu, 34.5 gram.
Ketua JSJ Narkotik Kedah, Supritendan Abd. Razak Md. Zin berkata, nilai rampasan dadah itu berjumlah RM44,000.
Katanya, wanita itu direman seminggu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah 1952. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140423/je_08/Polis-tahan-wanita-rampas-syabu-heroin-di-Simpang-Kuala#ixzz2zixxFeso
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ujian air kencing pemandu bas bermula


KUALA LUMPUR 23 April - Operasi pemeriksaan ujian air kencing yang diwajibkan terhadap semua pemandu bas ekspres di seluruh negara seperti diumumkan kerajaan semalam telah dilakukan di empat terminal bas utama sekitar ibu negara hari ini.
Lokasi terbabit ialah Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan, terminal bas Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur (UTC KL), Jalan Pudu, Hentian Putra dan Terminal Bas Genting Highlands, Pahang.
Tinjauan Utusan Malaysia di Hentian Putra di sini mendapati beberapa anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melakukan ujian tersebut bermula pukul 8 pagi hingga 10.30 pagi ini.
Turut hadir memantau operasi di lokasi berkenaan ialah Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JPJ Kuala Lumpur, Shahrul Azhar Mat Dali. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140423/je_10/Ujian-air-kencing-pemandu-bas-bermula#ixzz2zixhRlSH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Samun: Bekas polis bantuan menyamar polis


KUALA LUMPUR 23 April - Polis menahan dua lelaki termasuk seorang bekas polis bantuan kerana menyamun seorang lelaki selepas menyamar sebagai anggota polis di sebuah hotel di Jalan Thambipillay, di sini pada 4 April lalu.
Penahanan suspek yang juga bekas anggota tentera berusia 29 tahun itu dilakukan hasil maklumat berhubung kes-kes samun yang dilakukan suspek bersama tiga individu di kediaman di sekitar ibu negara sejak dua bulan lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pihaknya menahan suspek termasuk seorang lagi lelaki berusia 54 tahun di Bandar Baru Mahkota bagi membantu siasatan.
``Kita juga sedang giat memburu dua lagi rakan suspek yang merupakan anggota tentera berpanglat Koperal,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKKL), di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140423/je_12/Samun-Bekas-polis-bantuan-menyamar-polis#ixzz2zixVRsb6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis tahan pengawal keselamatan disyaki bunuh rakan


KUALA LUMPUR 23 April - Polis menahan seorang pengawal keselamatan berusia 34 tahun yang disyaki membunuh rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah rumah di Abdullah Hukum, Brickfields, di sini semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP, Khairi Ahrasa berkata suspek ditahan polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima laporan daripada seorang rakan mangsa pada 10.30 pagi.
``Hasil siasatan mendapati suspek datang ke rumah mangsa yang berusia 30 tahun dan berlaku pertelingkahan. Suspek dilapor mendakwa mangsa seorang pengkhianat sebelum menikamnya,'' kata Khairi dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
- BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140423/je_13/Polis-tahan-pengawal-keselamatan-disyaki-bunuh-rakan#ixzz2zixM0k5S
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Korban feri karam kini 121 orang


SEOUL 22 April - Angka korban feri karam pada minggu lalu, meningkat kepada 121 orang hari ini, sementara 181 lagi masih hilang ketika usaha mencari dan menyelamat terus digiatkan.
Kejadian itu merupakan tragedi feri karam terburuk dalam tempoh 20 tahun di Korea Selatan.
Jumlah itu disahkan kerajaan, awal hari ini apabila penyelam menemukan 34 lagi mayat di bahagian dek feri berkenaan, lokasi dipercayai paling ramai penumpang terperangkap.
Kelmarin, sebanyak 28 mayat ditemukan di bahagian tersebut.
Usaha mencari dan menyelamat, hari ini turut memasuki fasa baharu apabila sebuah robot ciptaan tempatan yang mampu bergerak dalam air, bakal digunakan bagi memudahkan misi pencarian.
Akhbar Dong-A Ilbo melaporkan, robot Crabster seberat 600 kilogram itu yang menggunakan enam kaki untuk bergerak di dasar laut, boleh menentukan laluan mudah untuk diikuti penyelam memasuki badan feri berkenaan.
Penyelidik Institut Sains Lautan dan Teknologi Korea Selatan, Jeon Bong-hwan semalam berkata, robot itu sedang dibawa ke tempat kejadian.
Amerika Syarikat turut menghantar sebuah kapal tentera, USNS Safeguard bagi membantu Korea Selatan menaikkan feri Sewol yang karam itu, menurut kenyataan Pentagon, semalam.
Jurucakap Pentagon, Kolonel Steve Warren berkata, Korea Selatan tidak meminta AS menghantar kapal itu secara rasmi, namun USNS Safeguard telah pun belayar dari Thailand ke negara ini dan boleh digunakan sekiranya diperlukan.
Kapal berukuran 78 meter itu direka untuk mengeluarkan kapal atau membaiki kapal rosak akibat pertempuran, selain mampu mengangkat, menunda kapal dan mengendalikan operasi menyelam.
Selain USNS Safeguard, kapal perang USS Bonhomme Richard kini turut digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat di kawasan perairan selatan negara ini. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140423/lu_05/Korban-feri-karam-kini-121-orang#ixzz2ziwFOPTt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Brunei tangguh pelaksanaan undang-undang hudud



AFP
SULTAN HASSANAL BOLKIAH


BANDAR SERI BEGAWAN - Kerajaan Brunei menangguhkan pelaksanaan hukum hudud yang dijadual dikuatkuasakan semalam.
Sehingga kini, tiada tarikh baharu diberikan berhubung pelaksanaan undang-undang syariah tersebut tetapi seorang pegawai memberitahu media Brunei bahawa ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Pegawai berkenaan merupakan timbalan pengarah Unit Perundangan Islam.
Menurut akhbar Brunei Times, pegawai berkenaan menyatakan, pelaksanaan tersebut tergendala akibat keadaan yang tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh baharu pelaksanaannya.
Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang memperkenalkan undang-undang tersebut kini dalam lawatan ke Singapura.
Kerajaan Brunei dipercayai menunggu keberangkatan pulang Sultan Hassanal sebelum undang-undang syariah di negara ini diperkenalkan.
Bagaimanapun, penangguhan tersebut boleh membawa persepsi bahawa pemerintah berusia 67 tahun itu teragak-agak untuk melaksanakan hukum hudud di negaranya.
Undang-undang jenayah berkenaan melibatkan hukuman rejam untuk kesalahan seperti liwat dan zina manakala pencuri pula boleh dipotong tangan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2zitvi2T3 
Hakcipta terpelihara 

Angka kematian akibat MERS-CoV meningkat 81 orang di Arab Saudi



AFP
GAMBAR fail menunjukkan Hospital Raja Fahd di Jeddah pada 9 April lalu.


RIYADH - Angka kematian akibat Sindrom Pernafasan Koronavirus Timur Tengah (MERS-CoV) di Arab Saudi kini meningkat kepada 81 orang.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi dalam satu kenyataan kelmarin memberitahu, seorang penduduk tempatan berusia 73 tahun yang menghidap penyakit kronik meninggal dunia di sini manakala rakan senegaranya yang berumur 54 tahun pula mati di bandar pelabuhan Jeddah akibat MERS-CoV.
Kementerian berkenaan menyatakan, pihaknya telah merekodkan sebanyak 261 jangkitan MERS-CoV di seluruh Arab Saudi sejak penyakit itu mula dikesan pada September 2012.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan pada 17 April lalu bahawa pihaknya diberitahu terdapat 243 kes MERS-CoV yang telah disahkan di seluruh dunia termasuk 93 kematian.
Dalam pada itu, pemerintah Arab Saudi bertindak memecat Menteri Kesihatan, Abdullah Al-Rabiah kelmarin tanpa memberikan sebarang penjelasan.
Pemecatan itu dibuat selepas Abdullah melawat beberapa buah hospital di Jeddah untuk mententeramkan orang ramai yang bimbang berhubung penularan virus MERS-CoV dalam kalangan kakitangan perubatan sehingga menyebabkan bilik kecemasan sebuah hospital terpaksa ditutup.
MERS-CoV yang pada mulanya tertumpu di timur Arab Saudi kini merebak ke kawasan-kawasan lain di negara itu.
Virus itu dianggap lebih berisiko membawa maut berbanding virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang melanda Asia pada tahun 2003 dan menjangkiti seramai 8,273 orang.
Sebanyak sembilan peratus pesakit SARS meninggal dunia akibat wabak tersebut.
Sehingga kini, pakar-pakar masih keliru untuk memahami dengan mendalam tentang virus MERS-CoV manakala tiada vaksin untuk mengubati penyakit itu.
Satu kajian baru-baru ini mendapati, virus MERS-CoV ditemui pada unta sejak 20 tahun lalu dan mungkin telah menjangkiti manusia daripada haiwan tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2zitbN8IN 
Hakcipta terpelihara 

Budak buat panggilan kecemasan



REUTERS
BEBERAPA buah kren digunakan dalam kerja-kerja mencari mayat penumpang feri Sewol di luar pantai Jindo, Korea Selatan semalam.


SEOUL - Panggilan kecemasan pertama dari sebuah feri Korea Selatan yang karam pada 16 April lalu dibuat oleh seorang budak lelaki dengan suara terketar-ketar tiga minit selepas pengangkutan berkenaan mengubah laluan buat kali terakhir.
Dia menghubungi nombor kecemasan 119 sebelum disambung kepada jabatan bomba yang seterusnya menghubungkannya dengan unit pengawal pantai dua minit kemudian.
Seorang pegawai jabatan bomba berkata, panggilan pertama itu diikuti dengan kira-kira 20 panggilan daripada kanak-kanak lain yang menaiki feri berkenaan.
Budak lelaki yang membuat panggilan pertama itu dan dikenali melalui nama keluarganya Choi adalah antara mangsa yang hilang.
Seorang pegawai bomba memberitahu stesen televisyen Korea Selatan, MBC TV, suara budak berkenaan terketar- ketar manakala pihak berkuasa memerlukan sedikit masa untuk mengenal pasti bahawa feri tersebut adalah Sewol.
"Selamatkan kami! Kami berada di atas feri, saya fikir ia karam," dia dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Yonhap.
Feri Sewol karam ketika dalam perjalanan dari bandar pelabuhan Incheon menuju ke pulau peranginan Jeju.
Ia membawa 476 penumpang dan kru dengan 339 daripada mereka merupakan pelajar serta guru yang dalam perjalanan untuk bercuti.
Dalam pada itu, kapten feri berkenaan, Lee Joon-seok dan beberapa kru lain telah ditangkap kerana didakwa melakukan kecuaian sehingga menyebabkan tragedi tersebut berlaku.
Joon-seok, 69, turut didakwa kerana menukar laluan secara mengejut tanpa memperlahankan feri itu. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2zitOdXdj 
Hakcipta terpelihara 

24 pelajar ponteng kena tangkap



PARA pelajar yang ditahan kerana ponteng sekolah semalam berkumpul di Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Puteh, Kelantan bagi menjalani sesi kaunseling dan ujian air kencing.


PASIR PUTEH - Perbuatan 24 pelajar di beberapa buah sekolah di sini yang kerap ponteng sekolah dan sering melepak di kawasan yang jauh dari kawasan awam menerima padah apabila mereka ditangkap dalam Operasi Bersepadu Ponteng Sekolah yang diadakan semalam.
Pegawai Pendidikan Daerah, Ismail Ghazali berkata, operasi yang dilakukan dengan kerjasama 87 anggota dari beberapa agensi lain dilakukan setelah menerima aduan daripada orang ramai.
Ismail memberitahu, pelajar-pelajar ini didapati 'melarikan diri' daripada pergi ke sekolah dan menuju ke lokasi tumpuan seperti di kawasan rekreasi di Pantai Bisikan Bayu, Hutan Lipur Jeram Linang, Air Terjun Jeram Pasu dan Pusat Rekreasi Jeram Mengaji di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2zirQ5Gdo 
Hakcipta terpelihara 

Empat parah bas kilang rempuh treler



BAS kilang yang remuk selepas merempuh bahagian belakang sebuah treler di susur keluar Sungai Petani Selatan berhampiran Plaza Tol Taman Sejati Indah, Sungai Petani, Kedah semalam.


SUNGAI PETANI - Empat pekerja kilang elektronik cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas dan lori di susur keluar Sungai Petani Selatan berdekatan Plaza Tol Taman Sejati Indah di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.40 petang itu, bas kilang yang membawa 15 penumpang wanita dan seorang pemandu serta pembantunya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja mereka di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Ketua Zon Bomba Sungai Petani, Penguasa Kanan Bomba II Nor Ariffin Kamari berkata, bas tersebut dipercayai hilang kawalan ketika keluar dari susur berkenaan sebelum merempuh belakang sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan akibat rosak.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2ziqss0Bg 
Hakcipta terpelihara 

Pengawal keselamatan disyaki khayal dadah bertindak kejam Lelaki mati ditikam rakan


DI dalam rumah inilah mayat mangsa dijumpai mati dalam keadaan tertiarap berlumuran darah.


KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan disyaki di bawah pengaruh dadah bertindak ganas apabila dipercayai menikam mati rakan serumahnya dalam kejadian di tingkat empat Pangsapuri Abdullah Hukum, Jalan Bangsar di sini pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Aida Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pada pukul 10 pagi mangsa seorang lelaki berusia 30 tahun dijumpai dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan.
Ujarnya, mangsa mati dipercayai ditikam beberapa kali pada bahagian dada oleh suspek berusia 34 tahun dengan menggunakan objek tajam.
"Rumah ini didiami tiga orang lelaki termasuk suspek dan mangsa dan kejadian difahamkan berlaku ketika mereka (mangsa dan suspek) berada di ruang tamu rumah terbabit.
"Kejadian disedari rakannya apabila dikejutkan suspek yang masuk ke dalam biliknya sambil memegang pisau serta baju terdapat kesan percikan darah," katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2ziqech1z 
Hakcipta terpelihara 

Meninggal dalam keadaan sujud



PENDUDUK menarik bot ke tebing selepas menemui Yusof yang meninggal dunia dalam keadaan bersujud di dalam bot itu di Jeti Kampung Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu semalam.


KEMAMAN - Seorang nelayan, Yusof Ali (gambar kecil), 65, ditemui mati dalam keadaan bersujud di dalam sebuah bot gentian kaca di jeti nelayan Bukit Kuang di sini pagi semalam.
Mangsa yang merupakan penghidap asma ditemui rakannya, Mohd. Azwan Ramli, 32, pada pukul 8.15 pagi.
"Ketika saya minum di sebuah warung pada pukul 8 pagi, seorang kawan memberitahu tentang keadaan mangsa yang agak mencurigakan di dalam bot apabila dia kelihatan bersujud begitu lama.
"Saya kemudian pergi ke jeti dan memanggil mangsa namun dia tidak menyahut. Apabila mendekatinya, alangkah terkejutnya saya mendapati Yusof sudah meninggal dunia," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2ziqQgAeB 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki mati ditikam rakan

Pengawal keselamatan disyaki khayal dadah bertindak kejam


DI dalam rumah inilah mayat mangsa dijumpai mati dalam keadaan tertiarap berlumuran darah.


KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan disyaki di bawah pengaruh dadah bertindak ganas apabila dipercayai menikam mati rakan serumahnya dalam kejadian di tingkat empat Pangsapuri Abdullah Hukum, Jalan Bangsar di sini pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Aida Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pada pukul 10 pagi mangsa seorang lelaki berusia 30 tahun dijumpai dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan.
Ujarnya, mangsa mati dipercayai ditikam beberapa kali pada bahagian dada oleh suspek berusia 34 tahun dengan menggunakan objek tajam.
"Rumah ini didiami tiga orang lelaki termasuk suspek dan mangsa dan kejadian difahamkan berlaku ketika mereka (mangsa dan suspek) berada di ruang tamu rumah terbabit.
"Kejadian disedari rakannya apabila dikejutkan suspek yang masuk ke dalam biliknya sambil memegang pisau serta baju terdapat kesan percikan darah," katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2zippaDFf 
Hakcipta terpelihara 

Tipu: Kasanova bersiri dijel tiga tahun


PRABAHARAN dikawal pegawai penjara semasa dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di George Town semalam.


GEORGE TOWN - Seorang juruteknik komputer yang digelar 'kasanova bersiri' dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana kesalahan menipu seorang wanita dua tahun lepas.
Majistret L. Umma Devi menjatuhkan hukuman itu selepas K. Prabaharan, 45, menukar pengakuannya kepada bersalah semalam.
Umma Devi memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut mulai tarikh dia ditangkap semula iaitu pada 2 Januari lalu.
Prabaharan didakwa memperdaya A. Vanija, 31, dengan menawarkan tender kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Green Lane di sini sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM2,000 untuk tujuan itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di depan Hospital Lam Wah Ee, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim pada pukul 3 petang 8 Oktober 2012 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes yang dibentang Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee, tertuduh yang mendakwa mengenali guru besar sekolah itu, berjanji memulangkan wang pada hari sama sekiranya tender gagal diperoleh.
Bagaimanapun, selepas memperoleh wang berkenaan, Prabaharan menghilangkan diri dan nombor telefon bimbit yang diberi juga gagal dihubungi sebelum mangsa cuba menghantar khidmat pesanan ringkas.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2zipcVqZi 
Hakcipta terpelihara 

Tiga beranak maut kemalangan



MAYAT tiga beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 7.1, Jalan Pontian Besar, Parit Sikom malam kelmarin.


PONTIAN -Seorang ibu tunggal bersama dua anaknya terbunuh dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 7.1, Jalan Pontian Besar, Parit Sikom di sini kelmarin.
Tiga mangsa yang maut ialah Roslina Mangil, 29, dan anak-anaknya Muhammad Sufi Jamalludin, 11, serta anak perempuannya, Melati Ayu, 9.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, kemalangan itu berlaku pada pukul 10.45 malam ketika pekerja sebuah stesen minyak Petronas di Pekan Nenas itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Maju Jaya dari Hospital Pontian.
Difahamkan, ibu tunggal itu pergi ke hospital kerana Melati mengadu sakit perut. Wanita itu mempunyai seorang lagi anak perempuan Melor Ayuni, 6, tetapi kanak-kanak itu tidak ikut ibunya.
"Tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kelisa dinaiki tiga beranak itu yang dalam perjalanan dari Pontian ke Parit Sikom memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena.
"Selepas itu, sebuah kereta Perodua Viva dari arah Pontian pula tidak sempat memberhentikan kenderaannya lalu melanggar belakang kereta Kelisa tersebut," kata beliau ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2zipHIjps 
Hakcipta terpelihara 

Mayat bayi dalam mangkuk tandas



DI FLAT Awam Padang Hiliran, Kuala Terengganu inilah mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam mangkuk tandas sebuah rumah sewa di situ semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini terkejut besar apabila menemui mayat bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan dalam mangkuk tandas di rumah sewanya di Flat Awam Padang Hiliran di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi, pelajar itu pada mulanya tersentak melihat seorang rakan serumahnya yang tidak bermaya terbaring di hadapan tandas di rumah tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, pelajar berkenaan yang menemui tompokan darah di dalam tandas telah menjenguk ke dalam mangkuk tandas lalu menemui mayat bayi tersebut.
"Bimbang keadaan rakan serumahnya yang berusia 21 tahun itu, pelajar tersebut segera menghubungi ambulans dan suspek dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini. Suspek dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2ziotufQs 
Hakcipta terpelihara