Search This Blog

Tuesday, April 22, 2014

Hati waja Huguan


Oleh Ardyhansah Amat dan Erdiehazzuan Ab Wahid
Kota Kinabalu: Meskipun pipi kanannya ditembusi besi penutup longkang yang terjungkit sebaik dipijak, namun murid tahun empat Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sacred Heart, Huguan Isaac, 10, tetap tidak menitiskan air mata meskipun menahan kesakitan ketika sepasukan anggota penyelamat mengeluarkan besi terbabit.
Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari di luar sekolah berkenaan, mangsa dikatakan bermain bersama rakannya sebaik selesai sesi persekolahan sebelum seorang daripada mereka terpijak penutup longkang berjalur besi menyebabkan satu batang besi terjungkit.
Pada masa sama, mangsa dikatakan sedang melintasi longkang berkenaan sebelum besi sepanjang lebih satu meter itu tertusuk menembusi pipinya.

Keadaan itu menyebabkan murid yang melihat kejadian berkenaan menjerit ketakutan sebelum beberapa ibu bapa yang kebetulan berada di situ memaklumkan kepada pihak sekolah.
Foto
ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan besi yang tertusuk sebelum membawa Huguan ke hospital.

Difahamkan, mangsa yang masih terkejut kemudian duduk dengan perlahan-lahan sementara menanti bantuan.

Saksi dikenali sebagai Kasim, 43, berkata, mangsa tidak berganjak dari longkang berkenaan sebaik batang besi tertusuk pada pipinya.

“Dia juga kelihatan tenang dan tidak menitiskan air mata walaupun keadaannya sangat mengerikan.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan menunggu bas dan bermain bersama rakannya,” katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba yang tiba beberapa minit kemudian cuba mengeluarkan besi berkenaan, namun gagal.

“Bomba kemudian bertindak memotong besi berkenaan dan mangsa dihantar ke hospital dengan keadaan besi yang tertusuk pada pipinya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi berkata, mangsa dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), di sini, untuk mengeluarkan besi berkenaan.

“Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu yang tiba di tempat kejadian berusaha mengeluarkan besi berkenaan, namun mereka kemudian mengambil keputusan membawa mangsa ke hospital,” katanya.

Jauteh berkata, mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I sebelum dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), di sini, bagi menjalani pembedahan mengeluarkan besi berkenaan.

Sementara itu, Pengarah HWKKS Dr Tan Bee Hwai berkata, pihaknya mengambil masa 35 minit untuk mengeluarkan besi yang menusuk pipi mangsa.

“Besi terbabit dikeluarkan pada jam 4.30 petang yang dilakukan oleh pakar bedah kanak-kanak.

“Keadaan mangsa stabil dan masih dirawat di wad hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip berkata, pihaknya mengarahkan semua pengurusan sekolah melakukan pemeriksaan di lokasi berisiko sama ada di luar atau dalam sekolah.

“Pemeriksaan ini membabitkan seluruh sekolah rendah dan menengah bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa selamat.

“Saya terkejut dengan insiden yang berlaku dan mahu semua pengurusan sekolah melakukan pemeriksaan jika terdapat lokasi yang membahayakan pelajar,” katanya, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Juara maraton maut selepas terima hadiah


Buenos Aires: Seorang lelaki Argentina meninggal dunia sejurus selepas menerima hadiah kemenangan larian maraton disertainya semalam.

Penganjur berkata, Ezequiel Ponce, 27, rebah selepas menerima hadiah itu.


Ponce memenangi acara larian separuh maraton mengatasi 500 pencabar lain dalam perlumbaan sejauh 21 kilometer di bandar raya Cordoba.

Jurucakap penganjur berkata, ada tiga ambulans disediakan sebagai persediaan jika peserta menghadapi masalah kesihatan.


“Namun, doktor gagal menyelamatkannya,” katanya.


Menurut jurucakap itu, kematian Ponce diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Puluhan kenderaan terperangkap


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Serdang: Hujan lebat bermula jam 3.30 petang mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Serdang dan Sri Kembangan di sini, dinaiki air.
Antara kawasan yang teruk dilanda banjir ialah Taman Sri Serdang, Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang dan Taman Equine, Seri Kembangan. 
Banjir petang semalam turut menyebabkan laluan berdekatan KTM Serdang mengalami kesesakan di kedua-dua arah berikutan laluan jalan raya bertukar menjadi ‘sungai lumpur’. 

Selain itu, kira-kira 30 kenderaan turut terperangkap apabila paras air meningkat secara mendadak.
Foto
KENDERAAN cuba mengelak melalui laluan ditenggelami banjir berhampiran stesen komuter Serdang, semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung banjir kilat itu.

Bagaimanapun air mulai surut pada jam 8 malam tadi.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Umrah tak jadi


Oleh Nabihah Nazam

Kuala Lumpur: Seorang wanita warga emas kempunan untuk menunaikan umrah apabila wang tunai miliknya berjumlah RM30,000 sebaliknya dilarikan ahli sindiket pelaburan Internet.

Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 60 tahun dikatakan teruja untuk menyertai pelaburan itu selepas mendapat tahu seorang individu memperolehi keuntungan RM3,000 dengan hanya bermodalkan RM30.

Menurutnya, mangsa dikatakan mula tertarik dengan pelaburan itu selepas mendapat risalah iklan dan nombor telefon suspek yang kononnya mampu membantu menjana keuntungan melalui pelaburan mudah.

“Mangsa kemudian menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada nombor syarikat pelaburan tertera di iklan itu sekitar Februari lalu.

“Suspek lelaki yang dihubungi memberi keyakinan pelaburan ini benar dan bukan penipuan menyebabkan mangsa termakan pujukan,” katanya.

Sejak itu mangsa dikatakan memasukkan sejumlah wang ke dalam akuan bank diberikan suspek hingga mencecah RM30,000.

Sumber berkata, mangsa bagaimanapun gagal memperolehi pulangan pelaburan dijanjikan walaupun berulang kali menghubungi suspek.

“Mangsa tambah panik apabila suspek gagal dihubungi,” katanya.



Wanita terbabit yang yakin ditipu tampil di Balai Polis Brickfields di sini, kelmarin untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhamad Azlee Abdullah mengesahkan menerima laporan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Langgar, kebas kereta Porsche RM300,000


Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Dua perompak menggunakan taktik ‘langgar dan samun’ untuk merompak seorang ahli perniagaan sebelum melarikan kereta mewah milik mangsa model Porsche 977 GT 2 bernilai lebih RM300,000.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi kelmarin, mangsa berusia 35 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari pusat bandar melalui Jalan Klang Lama, di sini.



Sumber polis berkata, mangsa yang sedang memandu bersendirian bagaimanapun terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang keretanya.

Menurutnya, mangsa yang menyangka keretanya dilanggar secara tidak sengaja memberhentikan kenderaan untuk memeriksa.

“Difahamkan dua lelaki yang menaiki kereta Proton Perdana berpura-pura meminta maaf.

“Bagaimanapun belum sempat berbuat apa-apa, seorang daripada suspek mengacukan parang dan mengugutnya,” katanya.

Sumber berkata, suspek kemudian terus melarikan kenderaan mangsa tanpa mencederakannya.

“Mangsa kemudian menghubungi ahli keluarganya bagi memaklumkan kejadian itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Brickfields di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Suami isteri ditetak depan rumah


Taiping: Seorang wanita nyaris putus tiga jari kanan manakala suaminya menerima 11 jahitan di kepala akibat ditetak dua suspek bersenjata parang dalam kejadian samun di Kampung Aulong Baru, Aulong, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, Fong Hui Kuan, 29, dijemput suaminya, Tan Wui Tai 32, dengan menaiki kereta selepas dia selesai berkerja di sebuah pasar raya, di sini.
Menurut Hui Kuan, setiba di rumah, mereka terkejut mendapati motosikal dinaiki dua suspek menghalang pintu pagar ketika mahu memasuki rumah.
“Berang dengan keadaan itu, saya segera keluar dari kereta untuk memarahi kedua-dua lelaki berkenaan, namun terpaksa melarikan diri masuk ke dalam kereta semula berikutan diugut menggunakan parang oleh seorang suspek yang cuba meragut beg tangan saya,” katanya.
Fong berkata, sejurus masuk ke dalam kereta dia terus mengunci pintu, tetapi suspek mendesaknya menyerahkan beg tangan berkenaan.
Katanya, suami yang berang membuka pintu kereta yang mengenai seorang daripada mereka lalu berlaku pergelutan.
“Ketika pergelutan, seorang suspek menetak kepala suami dengan parang dan tidak cukup dengan itu rakan suspek memukul suami yang cedera parah tanpa belas kasihan.
“Melihat keadaan suami yang lembik dikerjakan suspek, saya segera mendapatkannya namun ketika memangku suami, suspek sekali lagi cuba menetaknya dan saya cuba menghalang mengakibatkan jari tangan kanan luka teruk dan hampir putus,” katanya.
Menurutnya, melihat keadaannya itu, suspek yang memakai topi keledar dan menutup muka melarikan diri menaiki motosikal Honda EX5 berwarna merah tanpa nombor pendaftaran ke arah jalan utama.
Suasana riuh rendah itu mengejutkan beberapa jiran berhampiran datang dan cuba membantu.
Dia yang trauma dengan kejadian itu berkata, suaminya kini terlantar di Hospital Taiping dan menerima 11 jahitan di kepala manakala dia menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang bagi mencantumkan kembali tiga jarinya yang terkulai dan hampir putus itu.
Berikutan itu Hui Kuan yang bimbang akan keselamatannya turut membuat laporan di Balai Polis Taiping berhubung kejadian Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan.
Foto
TAN menerima 11 jahitan di kepala akibat ditetak.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Ekspedisi duka


Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
Santubong: Kegembiraan 12 bekas penuntut sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur bercuti ke Taman Negara Bako, di sini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mengalami sesak nafas dan meninggal dunia, kelmarin.
Mangsa, Low Xie Yann, 20, berasal dari Taman Bukit Permata, Selangor, dikatakan pengsan selepas mengalami sesak nafas ketika menuruni Bukit Timah di Taman Negara Bako kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin. 
Salah seorang bekas pelajar terbabit menghubungi bapa mangsa memaklumkan mengenai kejadian itu dan memintanya membuat laporan polis supaya bantuan dapat disalurkan segera. 

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, sebaik menerima laporan itu, sembilan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan lima renjer Taman Negara Bako bergegas ke lokasi kejadian.
Foto
ANGGOTA bomba dan JPAM membantu mengangkat mayat mangsa..

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati sudah meninggal dunia menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa meminta bantuan bomba untuk membawa semua mangsa keluar dari kawasan itu.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Mengadu sakit dada sejurus main golf


Seawal jam 9 pagi, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan balai polis berhampiran mula memenuhi pekarangan jabatan forensik berkenaan bagi menunggu keputusan bedah siasat.
Mohd Najid, 58, yang berasal dari Kampung Bawah Lembah Bunut Payung, Kota Bharu, Kelantan dibawa ke HUS kira-kira jam 8 malam, kelmarin, selepas mengadu sakit dada sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.30 malam.
Beliau yang berkhidmat selama 37 tahun dalam pasukan polis meninggalkan seorang isteri dan empat anak yang menetap di Kelantan.
Beliau bertugas di IPK Sarawak sejak 2011.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, hasil bedah siasat mendapati arwah meninggal akibat serangan jantung.
Katanya, difahamkan pada petang sebelum kejadian, arwah bermain golf dan sebaik pulang ke rumahnya di Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak, di sini, dia mengadu kepada rakan mengenai dadanya sakit.
“Badan Kebajikan IPK Sarawak menguruskan penghantaran pulang jenazah ke kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan menerusi penerbangan ke Kuala Lumpur pada jam 2.35 petang sebelum ke Kota Bharu jam 6.35 petang.
“Jenazah akan diiringi Pegawai Turus Trafik IPK Sarawak Deputi Superintendan Alexson Naga bersama wakil kebajikan IPK.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedayung Melor, Kota Bharu,” katanya.
Muhammad Sabtu berkata, beliau mewakili polis Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan itu.
Foto
JENAZAH Najid akan diterbangkan ke kampung halamannya di Kelantan untuk dikebumikan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Gurauan mati jadi nyata


Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque, Na’imah Mohamed dan Nur Saliawati Salberi
Klang: “Dia (Ezwan) ada bergurau mengatakan hidungnya jatuh macam orang mati, tak sangka dia betul-betul meninggalkan kami,” luah Siti Nur Fezrieca Mohd Yazid, 31, berhubung kematian adiknya,
Mohd Ezwan Shah, 27, maut dalam kemalangan membabitkan empat kereta di Jalan Haji Abdul Manan, Taman Industri Meru, di sini, malam kelmarin. 
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa maut bersama isterinya, Farah Natahsya Fadzly, 18, serta anak angkat mereka berusia lapan bulan, Nur Ezzara Lemani Abdullah. 

Seorang lagi penumpang kereta berkenaan yang juga anak saudara Ezwan, Nur Adliana Saiful Azli, 13, patah tulang bahu.
Foto
KEADAAN Proton Satria yang dinaiki mangsa yang maut rosak teruk.

Kejadian dikatakan berlaku apabila Proton Satria dinaiki keempat-empat mangsa bergesel dengan Honda Accord di Jalan Haji Abdul Manan, di sini, menyebabkan kenderaan mangsa terbabas dan dirempuh dua kereta lain iaitu Toyota Camry dan Proton Saga BLM.

Siti berkata, Ezwan menunjukkan perubahan sikap ketara sejak sebulan lalu apabila dia menamakan waris bagi setiap simpanan insuran dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Isteri tersepit dalam kereta


Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Adnan Mohamad
Kota Bharu: Semalam menjadi rutin terakhir buat seorang suami menghantar isterinya ke tempat kerja di Jabatan Pengangkutan (JPJ) Panji, di sini apabila wanita itu maut dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, dekat Kampung Padang Kala, di sini.
Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa, Wan Abdul Khairul Iwan Wan Kamarudin, 33, parah dan patah kaki, manakala isterinya, Suzela Ismail, 31, meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan teruk selepas tersepit dalam kereta Perodua Kancil yang mereka naiki. 
Turut berada dalam kereta itu anak mereka Wan Shuhada lima tahun yang patah tangan kanan. 

Ibu Wan Abdul Khairul Iwan, Asiah Mamat, 53, berkata, ketika kejadian, anaknya yang dipanggil Iwan dalam perjalanan menghantar Suzela ke tempat kerja dari rumah mereka di Kampung Banggol Lepah, Keterah.
Foto
ANGGOTA polis mengangkat jenazah Suzela.

“Memang menjadi rutin harian Iwan menghantar isterinya ke tempat kerja. Selepas itu hantar cucu ke tadika sebelum ke bengkel tempatnya kerja di Kok Lanas.

“Jalan yang mereka guna itu memang dilalui hari-hari, tetapi tidak sangka jadi begini. 

“Kami sekeluarga sedih tetapi Iwan lebih merasakan keperitan itu apatah lagi, ketika kejadian dia sendiri melihat Suzela sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), di sini, semalam. 

Bagaimanapun Asiah berkata, mereka reda dengan apa yang berlaku dan kini perlu memberi sepenuh tumpuan kepada proses pemulihan Wan Shuhada yang trauma dengan kejadian itu dan masih dirawat di HRPZ bersama Iwan. 

Katanya, anak sulung daripada sembilan beradik itu turut memaklumkan yang Wan Shuhada hanya mampu menjerit dan menangis sebaik kejadian berlaku. 

“Iwan maklumkan dia pengsan seketika apabila hentakan kuat dan hanya tersedar kejadian malang menimpa mereka apabila mendengar Wan Shuhada menjerit serta menangis dengan kuat. 

“Ketika itu, dia juga tidak dapat bergerak kerana tersepit dan meminta pertolongan orang ramai untuk membawa keluar cucu saya. 

“Setakat ini, Iwan dilihat reda dan kuat semangat menerima dugaan ini. Cuma kami kena tengok-tengokkan Wan Shuhada, kerana dia terkejut dengan kejadian ini,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. 

Katanya, kejadian dipercayai berpunca apabila sebuah kereta Proton Gen 2 dipandu seorang wanita berusia 31 tahun tiba-tiba mengundur laju sehingga terbabas ke Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh dan bertembung dengan kereta dipandu Iwan. 

Beliau berkata, pemandu Gen 2 itu tidak cedera. 

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat dan mereka yang cedera di hantar ke HRPZ,” katanya. 


Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Ditahan ketika rasmikan majlis Syiah


Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Gombak: Seorang lelaki dipercayai Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Sambutan Wiladah Saidatina Fatimah Az- Zahra ditahan pihak berkuasa ketika merasmikan satu majlis anjuran Masyarakat Awam Syiah Imamiyyah (Ja’fari) Malaysia di Taman Sri Gombak di sini, semalam.

Difahamkan, penahanan jam 2.35 petang itu dilakukan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan kerjasama polis.


Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, pihaknya tidak membuka kertas siasatan sebaliknya dilakukan ROS yang menyiasat mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Suriku cabut lari


Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Hafizee Mohd Arop
Ipoh: “Dia beri saya harapan untuk menjadi pasangan hidupnya. Dia kata dia benar-benar sayang menyebabkan semua kehendaknya saya turuti.
“Beberapa bulan berkenalan dengannya, saya tidak mensyaki apa-apa hingga habis wang simpanan ribuan ringgit diberikan kepadanya dengan alasan mahu membuat persediaan perkahwinan nanti,” kata Hanif (bukan nama sebenar) yang impiannya musnah untuk mengahwini seorang wanita yang dikenali menerusi Facebook sejak Jun tahun lalu. 
Bukan hanya terperdaya dengan janji-janji manis wanita berusia 23 tahun itu, Hanif, 23, turut mendakwa mengalami kerugian lebih RM10,000 membabitkan wang tunai serta barang kemas. 

Detik awal perkenalan mereka, semua perkara dilalui begitu indah dan membuatkan dirinya yakin wanita itu benar-benar mahu menjadi suri hidupnya.
Foto
WARTAWAN mendengar keluhan Hanif ditipu bakal isteri yang dikenali melalui Facebook.

Menurut Hanif, dia jatuh cinta dengan wanita berkenaan kerana sering mengambil berat mengenai hidupnya selain memiliki sikap penyayang. Ini membuatkannya mahu memperisterikan wanita yang berasal dari selatan tanah air itu.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Pembunuh dihantui bayangan isteri


Khon Kaen: Seorang warga emas Thailand ditahan kerana disyaki membunuh isterinya dan mencampak mayat wanita terbabit ke dalam tasik.

Namun, selepas ditangkap, Sombot Samuk mendakwa dia memang mahu menyerah diri kepada polis kerana tidak tahan menanggung gangguan mendiang isterinya melalui mimpi.


Kata Sombot, 68, sejak membunuh Orn Donkanha, 67, hidupnya tidak tenteram dan sentiasa dihantui dengan pelbagai ketakutan.

Sombot berkata, Orn sering memarahinya, tetapi dia tetap bersabar sehinggalah ketika dalam perjalanan pulang dari menemani wanita terbabit menghadiri satu majlis di kampung mereka.


“Dalam perjalanan pulang Orn menghina keluarga dan saya dan anak kami.

Dia juga menghalau saya keluar dari rumah,” katanya.

Disebabkan hilang sabar Sombot memukul Orn dua kali menggunakan kayu.
Wanita itu rebah dan mati di tempat kejadian sebelum Sombot mencampakkan mayat wanita itu ke dalam tasik.

Mayat Orn ditemui di dalam tasik berhampiran Wat Santikaram pada 15 April dengan kesan hentakan di bahagian kiri kepalanya menggunakan objek tumpul.
Polis percaya wanita itu dibunuh tiga hari sebelum ditemui.

Pada mulanya polis tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai pembunuhan itu, tetapi kemudiannya menjadikan Sombot sebagai suspek.

Pasangan terbabit pernah berkahwin dengan orang lain sebelum ini.

Sombot berkata, selepas kejadian itu dia sering bermimpi didatangi Orn yang memaksanya menyerah diri.

“Dia mengugut untuk terus mengganggu saya jika saya terus bersembunyi,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/22

Kerani JPJ maut bertembung

Kota Bharu: Seorang kerani Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, maut, manakala suaminya parah apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi kenderaan dalam kemalangan di Melor, di sini, kira-kira 8 pagi tadi.
Suzila Ismail, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit, manakala suaminya Wan Mohd Khairul Irwan Wan Kamaruddin, 33, patah kaki. 
Turut berada di dalam kereta dipandu Wan Mohd Khairul Irwan adalah anak perempuannya berusia lima tahun yang turut patah tangan kanan. 

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian terbabit.
Foto

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, dekat Kampung Padang Kala ketika tiga beranak itu dalam perjalanan ke tempat kerja Suzila di Panji, di sini.

"Ketika tiba di laluan itu, kereta Perodua Kancil dinaiki mangsa bertembung dengan Proton Gen 2 yang mengundur kenderaannya dengan laju sehingga terbabas ke laluan berkenaan. 

"Akibat pertembungan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), manakala suami dan anaknya di rawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

Baling mercun ke arah polis



MOHD. SAHIR (dua dari kiri) yang dituduh membaling mercun ke arah anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, Perak semalam.


IPOH - Seorang penyokong bola sepak Perak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membaling mercun ke arah tiga anggota polis selepas berakhirnya perlawanan bola sepak Liga Super antara Perak dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Ipoh, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Sahir Yahya, 26, dari Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar dekat sini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di depan Majistret Haslinda A. Raof.
Tertuduh yang merupakan peniaga burger didakwa telah menyebabkan letupan dengan membaling mercun ke arah tiga anggota polis yang sedang bertugas iaitu Mohd. Mahiri Hussin, Zulhilmi Hafiz Hamdan dan Muhamad Razif Semait.
Mohd. Sahir didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan Stadium Indera Mulia dan tapak pasar tani Stadium Ipoh di sini kira-kira pukul 1 pagi pada 16 April lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2zZ880H82 
Hakcipta terpelihara 

Pipi ditembusi besi


ANGGOTA bomba membantu Isaac yang cedera selepas pipinya ditembusi besi di SRK Sacred Heart Church, Kota Kinabalu, Sabah semalam.


KOTA KINABALU - Seorang murid lelaki tahun empat berhadapan dengan situasi mengerikan apabila pipi sebelah kanannya ditembusi besi sedalam 12.7 sentimeter.
Insiden itu terjadi setelah dia terpijak besi penghadang longkang yang kemudiannya melantun ke mukanya.
Dalam kejadian mangsa, Huguan Isaac, 10, bermain bersama rakan-rakannya sebaik tamat sesi persekolahan pada pukul 12.30 tengah hari di luar pekarangan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sacred Heart Church di sini semalam sebelum dia tersusuk besi sepanjang satu meter itu.
Mangsa hanya mampu meraung kesakitan selama kira-kira tiga jam sebelum dia dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas bagi mengeluarkan besi tersebut.
Ibu bapa yang berada di luar sekolah terbabit untuk mengambil anak masing-masing cemas melihat insiden itu bertindak memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, pasukan bomba dan penyelamat telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan besi terbabit.
Bagaimanapun katanya, pasukan bomba mengambil keputusan tidak mengeluarkan besi tersebut kerana dikhuatiri membahayakan kanak-kanak tersebut sebaliknya mangsa segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2zZ8156ut 
Hakcipta terpelihara 

Pelajar UTAR maut daki bukit



ANGGOTA-ANGGOTA bomba dan JPAM mengusung mayat Xie Yann di Jeti Kampung Bako, Kuching, Sarawak kelmarin.


KUCHING – Keseronokan sekumpulan 12 pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) menikmati keindahan alam semula jadi di Taman Negara Bako di sini selepas selesai peperiksaan semester akhirnya bertukar tragedi.
Dalam kejadian kelmarin, kesemua pelajar itu dalam sedang mendaki laluan berbukit terletak kira-kira 4.8 kilometer dari ibu pejabat taman negara tersebut apabila salah seorang daripada mereka mengalami sesak nafas setelah rebah dan tidak sedarkan diri.
Mangsa, Low Xie Yann, 20, dari Taman Bukit Permata, Batu Caves, Selangor dan menuntut di UTAR kampus Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia di laluan treking, Ulu Serait, Bukit Gondol kira-kira pukul 8 malam.
Menurut sumber, mangsa bersama 11 rakannya yang lain iaitu tiga wanita dan lapan lelaki sedang bercuti di taman negara itu sementara menunggu keputusan peperiksaan semester mereka.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2zZ7tCcwQ 
Hakcipta terpelihara 

Derita 6.7 juta penduduk berlanjutan


SEORANG penduduk terpaksa menadah air dalam banyak bekas untuk menampung keperluan harian di Taman Salak Jaya, Salak Selatan kelmarin.


KUALA LUMPUR - Episod catuan bekalan air di Lembah Klang yang kini berlarutan sehingga hari ke-55 ditempelak oleh pelbagai pihak kerana ia telah menyukarkan kehidupan orang ramai sekali gus mendedahkan kelemahan sistem pengurusan air di Selangor dan Kuala Lumpur.
Pengerusi Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia, S. Piarapakaran berkata, sebagai wilayah yang menjadi penggerak ekonomi dan mempunyai penduduk paling padat di negara ini, pengurusan air di Lembah Klang sepatutnya bebas daripada masalah tersebut.
"Sangat memalukan apabila sebuah negeri maju di Malaysia tidak mampu mengurus sistem bekalan air dengan baik.
"Sikap bodoh sombong pihak yang sepatutnya menyelesaikan masalah bekalan air ini pasti akan merencatkan usaha Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2zZ7m6Kbj 
Hakcipta terpelihara 

Dua maut selepas rai hari jadi


CHANG LIANG yang maut setelah dilanggar sebuah 
kereta di Jalan Jambusan-Bau di Bau semalam.


BAU – Kegembiraan empat sahabat menghadiri majlis hari jadi bertukar duka apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 2.5 Jalan Jambusan-Bau di sini semalam.
Mereka yang maut ialah Chai Chang Liang, 14, dan Liew Chi Hao, 16, manakala mangsa yang cedera parah ialah Kon Tek Min, 13, dan Kon Siaw Chai, 16, mengalami kecederaan ringan.
Dalam kejadian pukul 11 malam itu, keempat-empat remaja terbabit menunggang basikal dan dalam perjalanan pulang ke Kampung Jambusan selepas meraikan majlis hari lahir rakan mereka di Kampung Buso kira-kira 10 kilometer dari bandar Bau.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd. Sabri Zainol berkata, siasatan awal mendapati kesemua remaja lelaki itu menunggang basikal tanpa memakai apa-apa tanda keselamatan seperti baju pantul cahaya.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki hilang kawalan lalu merempuh kumpulan remaja terbabit dari arah belakang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2zZ7g3021 
Hakcipta terpelihara 

Lapor jika dipaksa kerja ketika sakit



SYED HAMID (dua dari kiri) bersama Azmi (kiri) mendengar penerangan daripada Pegawai Pemasaran E-Transact, Muhammad Jazli Nordin berkaitan pembelian tiket bas dan teksi di KLIA2, Sepang semalam.


SEPANG - Pemandu bas ekspres dan persiaran digesa membuat aduan kepada Kementerian Sumber Manusia jika mereka dipaksa bekerja lebih masa dan di luar waktu tidak sepatutnya termasuk ketika sakit.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, mereka berhak menolak arahan majikan untuk memandu di luar jadual ditetapkan tanpa rehat secukupnya kerana boleh membahayakan nyawa penumpang.
"Syarikat bas tidak sepatutnya membiarkan pemandu mereka bertugas dalam keadaan mengantuk dan keletihan.
"Jika pemandu dipaksa untuk bekerja walaupun letih dan mengantuk, jangan jadi bisu, bawakan perkara itu ke pengetahuan Kementerian Sumber Manusia.
"Ini bagi mengelakkan berlaku penganiayaan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke stesen KLIA Ekspres di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2zZ7Y7tw0 
Hakcipta terpelihara 

Debaran kakak petanda buruk



KEADAAN dua daripada empat buah kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Haji Abdul Manan berhampiran Aman Perdana, Kapar malam kelmarin.


KLANG – Debaran hati seorang kakak menanti ketibaan adiknya yang tidak muncul-muncul di destinasi yang dijanjikan terjawab apabila peniaga itu ditemui terkorban bersama isteri dan bayinya selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Haji Abdul Manan berhampiran Aman Perdana, Kapar di sini malam kelmarin.
Dalam tragedi pada pukul 9.21 malam itu, Siti Nur Fezrieca Saila Mohd. Yazid, 31, hanya mampu menahan sebak menyaksikan mayat adik keduanya, Ezwan Shah, 27, isteri Farah Natahsya Fadzly, 18, dan bayi mereka yang berusia lapan bulan, Nur Ezzara Lemani terkujur di sisi kereta Proton Satria dinaiki tiga beranak itu.
Anak Siti Nur Fezrieca, Nur Adliana Saiful Adli, 13, yang turut berada di dalam kereta dipandu Ezwan Shah hanya cedera.
Turut cedera, pasangan tunang, Mohd. Nazarul Mohd. Saifolalam, 24, dan Zahriah Ab. Jalil, 23, yang menaiki kereta Honda Accord serta seorang warga emas, Kamil Kalid Ariff, 60, yang menaiki kereta Toyota Camry.
Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini namun usaha Kosmo! menemu bual seorang mangsa, Zahriah gagal kerana dia enggan ditemui. Difahamkan Zahriah patah tangan kiri.
Sebelum kejadian, Siti Nur Fezrieca, anak sulung daripada tiga beradik berkata, dia dan Ezwan Shah berjanji untuk menziarah adik bongsu mereka, Fatin Syamimi, 22, di Jalan Kopi, Kapar dekat sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2zZ7QpwRR 
Hakcipta terpelihara 

Pesawat MH192 mendarat cemas



PESAWAT MH192 yang menuju ke Bangalore terpaksa berpatah balik ke KLIA dan melakukan pendaratan cemas selepas satu tayarnya pecah semasa berlepas. Gambar kecil, tayar pesawat yang pecah.


KUALA LUMPUR - Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH192 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Bangalore, India terpaksa berpatah balik ke KLIA semalam kerana salah satu tayar pada gear pendaratan utama sebelah kanan pecah semasa kapal terbang itu berlepas.
Pengurus Perhubungan Media MAS, Khairunnisak Dzun Nurin berkata, kejadian tersebut dikesan pada pukul 10.25 malam iaitu 16 minit selepas pesawat itu berlepas.
Berikutan itu, kata beliau, pesawat yang membawa 159 penumpang dan tujuh anak kapal itu diarahkan berpatah balik ke KLIA.
Selepas berlegar-legar selama empat jam di udara, pesawat tersebut berjaya melakukan pendaratan cemas dengan selamat pada pukul 1.56 pagi.
Khairunnisak memberitahu, semua penumpang dan anak kapal tidak cedera.
Semasa kejadian, pesawat itu diterbangkan oleh Kapten Nor Adam Azmi Abdul Razak bersama dengan pembantu juruterbang, Prakash Kumar.
Semua penumpang kecuali tujuh orang kemudian berlepas dengan penerbangan lain ke Bangalore dari KLIA pada pukul 3.30 petang dan tiba di sana pada pukul 5 petang pada hari sama.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2zZ7IEbdo 
Hakcipta terpelihara 

Kapal selam UUV paling sesuai ganti Bluefin-21


CONTOH sebuah kapal selam UUV yang boleh beroperasi sehingga 6,000 meter di dasar lautan.


KUALA LUMPUR - Penggunaan kapal selam unmanned underwater vehicles (UUV) merupakan aset yang paling sesuai digunakan ketika ini untuk misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi kerana ia mampu menyelam sehingga 6,000 meter ke dasar lautan.
Pakar sistem pesawat dari Universiti Kuala Lumpur Malaysia Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Dr. Mohd. Harridon Mohd. Suffian (gambar kecil) berkata, UUV yang biasanya digunakan untuk tujuan pemetaan dasar laut itu merupakan aset terbaik untuk menggantikan Bluefin-21 yang hanya boleh menyelam sehingga 4,000 meter.
"Jika kenderaan dalam air autonomi (AUV) Bluefin-21 yang digunakan sekarang masih belum berjaya mengesan serpihan pesawat MH370, teknologi sonar kapal selam tanpa manusia itu (UUV) mampu mengesan serpihan pesawat di kawasan lebih dalam.
"Ada tempat yang dalam di Lautan Hindi mempunyai kawasan berlekuk dan bergunung yang menyukarkan pencarian yang dilakukan oleh Bluefin-21," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Bluefin-21 telah memulakan misi kelapannya kelmarin di kawasan pencarian, namun masih gagal mengesan serpihan pesawat selepas tiada lagi isyarat dikesan alat pengesan pinger sejak 8 April.
Mohd. Harridon yang berpengalaman selama 16 tahun dalam bidang kejuruteraan mekanikal menambah, operasi pencarian menjadi lebih sukar walaupun menggunakan peralatan sonar di dasar Lautan Hindi disebabkan tiada serpihan pesawat ditemui.
"Pesawat MH370 mungkin mendarat secara 'soft landing' dan tenggelam sebagai satu objek besar di dasar Lautan Hindi sehingga menyukarkan sonar mengesannya kerana ketidakupayaan peralatan itu hingga ke dasar berkenaan.
"Dalam keadaan kesukaran pencarian di Lautan Hindi itu, tiada lagi alat lebih canggih kecuali sonar kapal selam yang boleh bergerak ke jauh dasar Lautan Hindi," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2zZ78Klko 
Hakcipta terpelihara