![]() |
Hasan Malek |
Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata antara kesalahan yang paling banyak dikenalpasti dalam operasi itu adalah tidak meletakkan tanda harga, menjual barangan tiruan dan menggunakan alat penimbang yang tidak mengikut peraturan.
"Ia melibatkan pemeriksaan terhadap 433,940 premis di seluruh negara iaitu kira-kira 80 peratus terdiri daripada pasar basah," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di premis perniagaan berjenama di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di sini, hari ini.
Hasan berkata sebanyak 2,885 kes telah diambil tindakan yang melibatkan jumlah kompaun keseluruhan sebanyak RM146,350.
Mengulas mengenai tinjauan itu, beliau mendapati kebanyakan premis yang menjual barangan mewah itu tidak mempamerkan tanda harga secara terbuka yang merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993.
"Antara alasan pihak premis berkenaan adalah ia merupakan arahan dan syarat yang dikenakan oleh syarikat barangan berjenama tersebut bagi mengelakkan tanda harga merosakkan barangan berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, Hasan merancang untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak Malaysian Retailer-Chains Association (MRCA) dalam tempoh terdekat bagi membincangkan hal pematuhan kepada perintah kawalan harga itu supaya kepentingan pengguna terjamin.
"Sepatutnya tanda harga dapat dilihat oleh pengguna sebab mereka boleh membuat pilihan barangan yang mana harga lebih murah mengikut kemampuan.
KPDNKK tidak mahu terlalu tegar dengan hal ini. Kita tidak mahu terus mengambil tindakan yang mana saya akan buat perjumpaan dengan MRCA terlebih dahulu untuk menerangkan kerelevanan mempamerkan tanda harga ini, katanya.
Beliau juga akan meminta pandangan daripada pihak MRCA nanti dan sekiranya mendapati hujah yang diberikan munasabah, KPDNKK mungkin boleh memberi sedikit kelonggaran atau pengecualian kepada premis barangan berjenama ini.
Hasan berkata penandaan harga pada setiap produk jualan adalah penting untuk memelihara kepentingan pengguna dan peniaga supaya kedua-dua pihak mendapat kebaikan bersama. - Bernama