Search This Blog

Monday, April 14, 2014

Sahut cabaran bertaruh

 Alor Gajah: Seorang mat rempit ditahan anggota polis di Persimpangan Lampu Isyarat Paya Datuk, di sini, jam 12 tengah malam semalam.



Lelaki berusia 20 tahun terbabit sebelum itu cuba melarikan diri, namun akur berikutan dikepung polis dalam operasi samseng jalanan di sekitar Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah - Jasin (AMJ), dekat sini.



Difahamkan, remaja lelaki terbabit bersama tiga rakannya dipercayai berlumba dari Persimpangan Jelatang ke Persimpangan Paya Datuk sambil beberapa rakannya menyaksikan perlumbaan dari atas jejantas.







Operasi bermula dari jam 11 malam dan berakhir jam 7 pagi semalam dijalankan di sekitar Lebuh AMJ, Gadek, Rembia dan pekan Alor Gajah membabitkan sepasukan anggota polis trafik dibantu 21 anggota Sukarelawan Polis.



Dalam operasi diketuai Sarjan Mejar (SM) Muhamad Jeon itu, 50 motosikal pelbagai jenis dan hampir 100 individu berusia antara 16 dan 25 tahun diperiksa dan 30 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan.



Sumber berkata, selain Lebuh AMJ yang menjadi tumpuan mat rempit setiap malam minggu, terdapat beberapa lokasi lain yang turut dijadikan gelanggang merempit di kalangan remaja termasuk pelajar sekolah.



“Difahamkan ada kumpulan mat rempit dari sekitar Tampin, Negeri Sembilan sanggup datang ke daerah ini bagi menyahut cabaran dari kumpulan lain untuk tujuan ‘pemanasan enjin’ sebelum pertaruhan sebenar dijalankan,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Gagal lolos songsang arus

 Keasyikan kumpulan lumba haram membabitkan kereta dan motosikal menjadikan Jalan Yam Tuan dan Jalan Dato Bandar Tunggal, di sini, sebagai litar perlumbaan terbantut apabila diserbu polis, malam kelmarin.



Dalam Ops Lumba Haram itu, beberapa kenderaan cuba meloloskan diri dengan menyongsang arus termasuk dua ‘mat rempit’ melarikan diri ketika dikejar, namun ditahan polis.



Difahamkan, kumpulan terbabit bukan saja menjadikan dua jalan utama di bandar ini sebagai lokasi lumba setiap hujung minggu malah turut mempamerkan aksesori kereta masing-masing.



Bertindak atas aduan orang ramai yang tidak tahan bunyi bising ketika melalui jalan itu, sepasukan polis dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban membuat serbuan.



Ops bermula jam 1 pagi dan berakhir dua jam kemudian menahan 26 kereta dipercayai terbabit dalam kegiatan lumba haram.



Ketua Polis Trafik Seremban Asisten Superintendan Nik Ishak Nik Saad berkata, dengan kekuatan tujuh pegawai dan 67 anggota, tiga sekatan dilakukan di sepanjang dua jalan itu bagi mengelakkan suspek melarikan diri.



“Hasilnya, 26 kereta dibawa balik ke IPD Seremban untuk pemeriksaan lanjut dan 27 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.



“Kami turut menahan lapan lelaki berusia antara 20 dan 30-an mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.



Menurutnya, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000, tetapi lebih RM15,000.



“Turut diberkas seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk.







Lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 45A akta sama,” katanya selepas operasi berkenaan.



Menurutnya, ujian air kencing terhadap dua lelaki berusia 20-an positif dadah methamphetamine dan ganja.



Nik Ishak berkata, pemeriksaan turut mendapati beberapa individu pernah ditahan atas kesalahan sama sebelum ini, namun tidak serik apabila masih berlumba haram.



Beliau berkata, kebanyakan saman dikeluarkan membabitkan tiga kesalahan sering dilakukan iaitu tidak mempunyai lesen memandu, mengubah suai kenderaan dan nombor plat.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Bateri sudah habis

 Bateri sudah habis



Cetak

Perth: Semua isyarat bawah permukaan laut yang dikesan dalam pencarian pesawat MH370 minggu lalu telah hilang sepenuhnya menandakan kotak hitam cari telah kehabisan bateri.



Bagaimanapun, gerakan mencari sebarang bukti sama ada serpihan pesawat mahupun isyarat membabitkan operasi dalam laut, atas permukaan dan di udara diteruskan di selatan Lautan Hindi hari ini.



Gerakan mencari bakal memasuki fasa ketiga iaitu penggunaan jentera selam Bluefin 21 apabila pihak berkuasa yakin tiada lagi isyarat dikesan oleh alat pengesan ping (towed ping Locator/TPL) yang ditunda oleh kapal Ocean Shield Australia.



Penggunaan robot bawah permukaan laut itu lebih menumpukan kepada usaha mencari bangkai pesawat dan pergerakannya lebih perlahan berbanding penggunaan TPL.



Foto

ANGGOTA Tentera Udara Diraja New Zealand diberi taklimat sebelum usaha mencari, Jumaat lalu. FOTO AP





“Kita sudah memasuki hari ke-37 dalam tragedi ini. Bateri kotak hitam sepatutnya hanya mampu bertahan 30 hari. Kita harap ia boleh sampai 40 hari.





“Bagaimanapun, sudah empat hingga lima hari berlalu sejak ping terakhir dikesan. Apa yang diharapkan hanya satu atau dua ping lagi supaya mereka dapat mengesan puncanya dan mengecilkan kawasan pencarian,” kata pakar penerbangan Geoffrey Thomas.



Usaha mendapatkan data penerbangan dan rakaman perbualan dalam kokpit adalah kunci utama siasatan tragedi MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing ketika hilang awal pagi 8 Mac lalu.



Gerakan mencari disertai pelbagai negara ditumpukan ke bahagian selatan Lautan Hindi di bahagian barat daya Australia berdasarkan analisis data manakala siasatan pihak berkuasa Malaysia dibantu pelbagai pasukan penyiasat mengambil kira tiga motif utama iaitu rampasan pesawat, sabotaj atau masalah psikologi di kalangan penumpang atau kru penerbangan.



Dua isyarat dikesan Ocean Shield seminggu lalu didapati konsisten dengan isyarat kotak hitam manakala dua lagi ping yang diterima dari kawasan pencarian berkenaan Selasa lalu.



Perdana Menteri Australia Tony Abbott melahirkan keyakinan bahawa siri ping yang dikesan Ocean Shield adalah berasal dari kotak hitam MH370, namun beliau turut menyatakan usaha itu bakal memakan masa dan tidak menentu hasilnya.



Pasukan pencari memerlukan lokasi yang lebih khusus sebelum mengerahkan Bluefin 21 sedangkan zon pencarian sekarang membabitkan kawasan dasar laut seluas 1,300 kilometer persegi.



Jentera selam itu bergerak enam kali lebih perlahan berbanding TPL manakala zon pencarian bawah laut itu memerlukan masa antara enam minggu hingga dua bulan untuk dicarta.



Isyarat ping yang dikesan setakat ini datang dari kedalaman 4,500 meter iaitu tahap paling dalam yang boleh dicapai kapal selam manakala pencarian serpihan di permukaan laut setakat ini membabitkan kawasan seluas 57,506 kilometer persegi kira-kira 2,200 kilometers di barat daya Perth membabitkan 12 pesawat dan 14 kapal. - AP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

Mayat bayi dalam longkang

 Melaka: Mayat seorang bayi cukup sifat ditemui dalam longkang di kawasan perumahan Kampung Limbongan, di sini, kira-kira jam 5.45 petang semalam.



Bayi dipercayai baru dilahirkan itu bagaimanapun tidak dapat dicam wajah dan jantina kerana anggota sudah mereput.



Seorang suri rumah Julita Jost, 28, yang menemui mayat itu, pada awalnya menyangka bangkai ayam yang tersangkut pada saluran longkang kecil di depan rumahnya.



"Biasanya banyak sampah tersangkut pada longkang itu termasuk bangkai ayam atau binatang lain.



Foto

MAYAT bayi ditemui dalam keadaan tertiarap dalam longkang di kawasan perumahan Kampung Limbongan. FOTO ihsan pembaca





"Namun selepas suami saya cuba mencuci longkang itu, di dapati mayat seorang bayi dalam keadaan tertiarap dan kakinya terputus ketika suaminya menggunakan penyodok longkang untuk memastikan longkang itu tidak tersumbat," kata Julita.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Pelajar ketakutan diugut ibu rakan

 Pekan: Sudahlah perutnya ditendang dan muka ditumbuk rakan sekelasnya, seorang murid perempuan tahun lima sebuah sekolah rendah di sini, kini mendakwa hidup dalam ketakutan apabila ibu kepada rakannya itu pula mengugut mahu memukulnya.



Mangsa, Siti Humaira Samsul Bahari, 11, kini trauma untuk ke sekolah kerana dihantui kejadian Khamis lalu, malah turut melahirkan kebimbangan dipukul semula selepas menerima ugutan berkenaan.



Menceritakan kejadian, Siti Humaira mendakwa, dia bersama tiga lagi rakannya sedang membersihkan kelas selepas tamat waktu persekolahan jam 2.15 petang.



Katanya, ketika menyapu sampah, sekumpulan rakan lelakinya masuk ke dalam kelas berkenaan dan bertindak mengganggu, malah ada antara mereka menyepak penyodok sampah menyebabkan sampah bertaburan.



“Saya menegur seorang daripada mereka dan meminta beredar dan mungkin tidak puas hati dengan teguran itu, secara tiba-tiba seorang rakan terus menendang perut dan menumbuk muka saya menyebabkan saya terjatuh.



“Mereka kemudian mentertawakan saya sebelum beredar dan meninggalkan saya menahan kesakitan.







Ketika kejadian, guru tiada dalam kelas manakala murid lain pula sudah pulang selepas waktu persekolahan tamat jam 1.45 tengah hari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.



Akibat kejadian itu, Siti Humaira mengalami lebam di bahagian kiri mulut dan luka gusi menyebabkannya sukar untuk makan dan hanya mampu menelan makanan lembut.



Lebih menghairankannya apabila ibu murid lelaki itu kemudian bertindak mencarinya di sekolah tidak lama selepas kejadian dan memarahinya sebelum mengeluarkan kata-kata ugutan untuk memukulnya.



Sementara itu, bapa mangsa, Samsul Bahari Ghazali, 52, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu ketika mahu mengambil anaknya pulang dari sekolah dan melihat Siti Humaira menangis teresak-esak.



Katanya, selepas anaknya menceritakan kejadian itu, dia kemudian cuba mendapatkan penjelasan guru besar, namun dimaklumkan guru besar tiada dan hanya dapat berjumpa dengan guru kaunseling.



“Guru kaunseling hanya mengambil butiran kejadian itu dan tidak bertanya lanjut mengenai kecederaan anak saya selain bersikap endah tidak endah apabila saya memberitahunya untuk memaklumkan perkara itu kepada guru besar.



“Saya kemudian membawa anak saya menjalani pemeriksaan di Hospital Pekan pada hari sama kerana bimbangkan keadaannya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pekan berhubung kejadian itu,” katanya.



Menurutnya, yang membuatnya terkilan apabila sehingga kini, pihak sekolah langsung tidak menghubunginya untuk bertanyakan keadaan anaknya dan seolah-olah menganggap kejadian itu sebagai perkara biasa.



Katanya, hanya pada Jumaat lalu apabila guru kelas Siti Humaira ada menghubunginya, namun langsung tidak bertanyakan keadaan anaknya, sebaliknya hanya bertanyakan apa tindakan yang bakal diambilnya saja.



“Saya begitu kecewa dengan sikap berdiam diri pihak sekolah yang langsung tidak menunjukkan usaha untuk menyelesaikan masalah ini.



Saya bukan mahu menuntut ganti rugi ribuan ringgit tetapi namun hanya memohon pihak sekolah memberikan penjelasan berhubung kejadian itu.



“Saya mahu memastikan anak saya dapat belajar dalam suasana aman dan tenteram, bukannya dalam ketakutan selain pada masa sama bimbang kejadian sama mungkin menimpa murid lain,” katanya.



Menurutnya, sejak kejadian itu, anaknya berubah menjadi seorang yang pendiam dan pasif sedangkan sebelumnya dia seorang periang dan ramah.



Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Yahya Othman ketika dihubungi, semalam mengesahkan menerima laporan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Noda janji pertama

 Kuala Lumpur: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun diperdaya kononnya mahu dibawa berkenalan dengan bakal keluarga mentua sebelum dirogol teman lelakinya di sebuah pangsapuri di Pandan Indah di sini, kelmarin.



Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, suspek berusia lewat 20-an memberi alasan dan memujuk mangsa kononnya mahu dibawa pulang ke rumah untuk dipertemukan dengan ahli keluarganya.



Menurut sumber, mangsa dikatakan baru berkenalan dengan suspek sejak tiga minggu lalu melalui media sosial ‘WeeChat’ sebelum membuat temu janji.



“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudiannya bertemu dengan lelaki terbabit berhampiran kawasan perumahannya di Serdang, Selangor.







“Mereka kemudian berbual seketika sebelum suspek mengajak mangsa pulang ke rumahnya dengan alasan untuk diperkenalkan kepada ibu bapa,” katanya.



Katanya, mangsa yang teruja dengan dakwaan itu bersetuju mengikut teman lelaki baru dikenalinya itu.



Sumber itu berkata, mangsa yang tiba ke rumah suspek bagaimanapun terkejut apabila mendapati rumah itu tidak berpenghuni sebelum meminta supaya dihantar pulang.



“Bagaimanapun, suspek menarik tangan mangsa masuk ke dalam biliknya sebelum merogol remaja itu Mangsa cuba melawan dari diperkosa namun dipukul berulang kali oleh suspek.



“Suspek kemudian menghantar mangsa pulang ke rumah selepas merogol mangsa,” katanya.



Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah di sini, berhubung kejadian itu.



“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan pihak polis yakin lelaki terbabit akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Mangsa beruang pura-pura pengsan

 Kota Bharu: “Saya hanya ingat mati ketika itu,” kata penoreh Sulaiman Jusof, 58, yang cedera parah pada mata dan muka akibat diserang seekor beruang di hutan Bukit Hitam, FELDA Tenang, Besut, Terengganu, kelmarin.



Dalam kejadian 9.30 pagi, mangsa dikatakan sempat meredah hutan dalam keadaan berlumuran darah selama sejam sebelum menunggang motosikalnya yang diletakkan di satu kawasan untuk pulang ke rumah sejauh lima kilometer dari lokasi kejadian.



Bapa kepada tujuh anak itu kemudian dikejarkan ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, untuk rawatan lanjut.



Mangsa yang menerima lebih 20 jahitan di kepala dan kening mata kirinya selain patah tulang muka juga kemungkinan buta sebelah mata selepas mengalami kecederaan serius pada mata kiri.



Menceritakan detik cemas itu, Sulaiman berkata, ketika kejadian dia sedang mengutip buah kerdas di kawasan hutan berkenaan bersendirian.



“Tiba-tiba saya ternampak sepasang beruang bersama seekor anaknya sedang mengorek tanah sejauh kira-kira 20 kaki (enam meter) dari tempat saya berdiri.



“Belum sempat melarikan diri, saya diserang oleh seekor daripada beruang itu yang mencakar muka saya.



“Ketika jatuh akibat serangan itu, saya cuba berpura-pura pengsan selama beberapa minit bagi mengelak terus diserang dan berjaya apabila beruang itu terus berlalu pergi,” katanya ketika ditemui di HUSM, semalam.

Pencuri leka punggah sawit dicekup

 Raub: Misteri kehilangan kelapa sawit sejak beberapa minggu lalu di FELDA Tersang, Cheroh, dekat sini, terjawab berikutan penahanan empat lelaki yang leka mencuri hasil berkenaan, kelmarin.



Semua suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu diberkas selepas polis melakukan intipan kira-kira tiga jam sebelum menahan mereka ketika memunggah kelapa sawit milik peneroka tanah rancangan itu ke dalam guni, kira-kira jam 11.30 malam.



Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, peneroka tanah rancangan itu berang apabila hasil kelapa sawit mereka sering hilang dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab.



“Kita menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa hasil kelapa sawit mereka sering dicuri hampir setiap hari menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.



“Berikutan itu, kita melakukan intipan dan serbuan dan ketika kejadian penjenayah leka mengutip kelapa sawit untuk dimasukkan dalam guni,” katanya ketika dihubungi, semalam.



Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan melakukan aktiviti berkenaan sejak awal tahun lalu dengan menyasarkan hasil kelapa sawit milik peneroka di kawasan berkenaan.



“Ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan lanjut.







“Semua mereka direman hingga 15 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Lelaki dakwa gangguan azan

 Pasir Gudang: Laporan polis yang dibuat oleh seorang pekerja kilang berusia 56 tahun yang mendakwa tidurnya terganggu oleh laungan azan dan bacaan tahrim daripada sebuah masjid berhampiran, menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.



Laporan lelaki beragama Islam berkenaan tersebar dengan luas di laman sosial Facebook (FB) mulai kelmarin, mendakwa tidurnya terganggu pada jam 5.45 pagi pada 8 April lalu, gara-gara tindakan sebuah masjid berdekatan kediaman keluarganya di Jalan Perjiranan, Pasir Gudang.



Dia mendakwa bunyi pembesar suara bacaan tahrim dan laungan azan daripada masjid itu terlalu kuat.



Lelaki berkenaan mendakwa sudah melaporkan perkara berkenaan kepada Pejabat Agama Islam Johor dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) serta berjumpa dengan ahli jawatankuasa masjid berkenaan.



Jurucakap Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) berkata, perkara seumpama itu tidak seharusnya timbul terutama apabila umat Islam yang membuat laporan,” katanya.



Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) On Jabbar berkata, perkara itu lebih menjurus kepada isu kemasyarakatan.







Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Siasat dakwa drebar sibuk SMS

 Kuantan: “Kita (polis) akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu secara menyeluruh, tunggu hingga laporan selesai,” kata Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor.



Beliau yang dihubungi semalam berkata, polis akan melakukan siasatan terperinci mengenai kejadian itu termasuk dakwaan penumpang yang mengatakan bas dua tingkat itu dipandu laju manakala pemandunya pula sibuk berbalas SMS.



“Tunggu hingga laporan selesai,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai siasatan kemalangan yang meragut tiga nyawa dalam kejadian di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub dekat Bukit Lebu, Bentong, jam 12.30 tengah malam kelmarin.



Mohamad Mansor berkata, tujuh mangsa yang parah dirawat di tiga hospital berasingan termasuk pemandu bas dan keadaan mereka dilaporkan stabil.



Katanya, dua mangsa masih menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh manakala empat lagi di Hospital Bentong.







Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Rumah terbakar lepas 5 minit keluar

 Rantau Panjang: Empat beranak tinggal sehelai sepinggang selepas baru lima minit meninggalkan rumah sewa mereka di Simpang Tiga Kampung Padang Licin, di sini, untuk menziarahi seorang rakan yang baru melahirkan anak, kelmarin.



Dalam kejadian jam 9.10 malam, rumah disewa penoreh Abdul Jalal Awang, 44, dan isteri Rohimah Ghani, 40, bersama anak mereka, Muhammad Rayyan Irfan, 4, dan anak tiri Abdul Jalal Mohd Khairul Azam Mahadi, 14, hangus bersama dua motosikal membabitkan kerugian kira-kira RM35,000.



Abdul Jalal berkata, dia dan isteri keluar rumah untuk melawat rakannya yang baru melahirkan anak di Kampung Tasek Bakong.



“Kami keluar rumah jam 9 malam sebaik selesai menonton berita dan lima minit kemudian tiba di rumah rakan.







Bagaimanapun, belum sempat keluar daripada kereta, jiran menelefon memberitahu rumah terbakar.



“Akibat terkejut dengan panggilan itu, saya dan isteri bergegas pulang.



Mujur jarak antara rumah saya dan rakan hanya dua kilometer dan apabila tiba didapati hampir keseluruhan rumah sudah dijilat api.



“Saya tak sempat berbuat apa-apa, malah barangan penting juga tidak dapat diambil, namun syukur kami selamat dan ketika itu Mohd Khairul Azam sudah keluar terlebih dulu untuk menonton siaran bola sepak,” katanya ketika ditemui, kelmarin.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Rumah terbakar lepas 5 minit keluar

 Rantau Panjang: Empat beranak tinggal sehelai sepinggang selepas baru lima minit meninggalkan rumah sewa mereka di Simpang Tiga Kampung Padang Licin, di sini, untuk menziarahi seorang rakan yang baru melahirkan anak, kelmarin.



Dalam kejadian jam 9.10 malam, rumah disewa penoreh Abdul Jalal Awang, 44, dan isteri Rohimah Ghani, 40, bersama anak mereka, Muhammad Rayyan Irfan, 4, dan anak tiri Abdul Jalal Mohd Khairul Azam Mahadi, 14, hangus bersama dua motosikal membabitkan kerugian kira-kira RM35,000.



Abdul Jalal berkata, dia dan isteri keluar rumah untuk melawat rakannya yang baru melahirkan anak di Kampung Tasek Bakong.



“Kami keluar rumah jam 9 malam sebaik selesai menonton berita dan lima minit kemudian tiba di rumah rakan.







Bagaimanapun, belum sempat keluar daripada kereta, jiran menelefon memberitahu rumah terbakar.



“Akibat terkejut dengan panggilan itu, saya dan isteri bergegas pulang.



Mujur jarak antara rumah saya dan rakan hanya dua kilometer dan apabila tiba didapati hampir keseluruhan rumah sudah dijilat api.



“Saya tak sempat berbuat apa-apa, malah barangan penting juga tidak dapat diambil, namun syukur kami selamat dan ketika itu Mohd Khairul Azam sudah keluar terlebih dulu untuk menonton siaran bola sepak,” katanya ketika ditemui, kelmarin.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Perjalanan akhir dua sahabat

 Perjalanan pulang empat sahabat yang menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke kampus selepas tamat cuti pertengahan semester bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut apabila kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan, di sini, semalam.



Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, Proton Satria yang dinaiki mangsa, masing-masing berusia 20 tahun, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok jambatan di Kilometer 54, Jalan Kuching-Serian, di sini.



Kemalangan itu menyebabkan dua penumpang, Abu Hanifah Abdul Jalil dari Taman Bukit Orang dan Mohd Hazif Waslee dari Taman Chin Lee, masing-masing dari Bintulu, maut di lokasi kejadian.



Pemandu, Khairul Azfar Nuruddin dari Bintulu dan seorang lagi penumpang, Mohd Ikmal Hisyam Andara dari Kampung Keluru Jaya, Bekenu cedera parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS).



Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Mohd Jamali Umi berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat pelajar terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke UNIMAS bagi menyambung pengajian selepas tamat cuti pertengahan semester.



Katanya, pengenalan diri pemandu awalnya tidak diketahui kerana polis tidak menjumpai sebarang identiti pada mangsa manakala kad pelajar serta MyKad tiga pelajar lain ditemui.



“Mohamad Ikmal yang duduk di tempat duduk penumpang belakang terhumban keluar dari kenderaan dan tercampak ke dalam longkang di tepi jambatan.







“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serian terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan berkenaan,” katanya.



Mohd Jamali berkata, mayat penuntut yang cedera parah dihantar ke Hospital Serian sebelum dirujuk ke HUS untuk tindakan lanjut manakala mayat pelajar yang maut ditempatkan di Hospital Serian untuk dibedah siasat.



Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Bawa balik dosa

 Niat baik seorang wanita cuba menasihati rakannya supaya tidak membawa pulang teman lelaki ke rumah sewa didiami dibalas dengan derita apabila dia cedera teruk ditendang dan dipijak berulang kali.



Dalam kejadian jam 4 pagi kelmarin, mangsa yang berusia 28 tahun cedera di kepala dan badan selepas diserang rakan serumahnya itu di Pandan Indah, di sini.



Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang tidur di biliknya terjaga sebaik mendengar bunyi bising di ruang tamu.



Menurutnya, mangsa yang membuka pintu bilik terkejut apabila terserempak seorang lelaki dipercayai kekasih rakan serumahnya itu.



“Mangsa kemudian memanggil rakan serumahnya itu sebelum menegur perbuatan dosa berkenaan.







Teguran itu bagaimanapun menyebabkan suspek tidak berpuas hati.



“Suspek yang berusia 20-an memaki hamun namun mangsa hanya mendiamkan diri,” katanya.



Menurutnya, suspek kemudian bertindak menumbuk dan menendang mangsa sambil diperhatikan teman lelakinya itu.



“Tidak cukup dengan itu, suspek turut memijak kepala dan perut mangsa sebaik mangsa terjatuh.



Mangsa cuba merayu supaya tidak diapa-apakan namun rayuannya tidak diendahkan.



“Suspek dikatakan memukul mangsa hampir 10 minit sebelum berhenti sebaik ditenangkan teman lelakinya itu.





Pasangan itu kemudian bergegas meninggalkan rumah itu,” katanya.



Katanya, suspek mengugut mahu mencederakan mangsa sekiranya dia masih mencampuri urusannya.



“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan badan dibawa rakan lain ke Hospital Ampang (HA), di sini,” katanya.



“Mangsa yang dirawat sebagai pesakit luar kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Teguran maut

 Gara-gara tidak puas hati ditegur kerana berkelakuan kurang sopan hingga mengganggu ketenteraman awam, sekumpulan samseng jalanan bertindak luar dugaan apabila membelasah lelaki yang menegur mereka hingga mati dalam kejadian di Rumah Murah Sungai Kerpan dekat sini, kelmarin.



Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa K Panaselvam, 50, yang bekerja sebagai buruh disahkan meninggal dunia selepas tiga jam dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) Temerloh.



Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama anak perempuan berusia 20 tahun serta dua rakannya sedang berbual di depan rumah sebelum didatangi sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta dan motosikal yang membuat bising di depan rumah mangsa dengan membunyikan ekzos kenderaan masing-masing.



Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, anak perempuan mangsa yang tidak berpuas hati dengan sikap kurang ajar kumpulan itu kemudian menghubungi Balai Polis Kuala Lipis untuk meminta bantuan.



Menurutnya, kumpulan samseng itu kemudian bergegas meninggalkan tempat kejadian sebaik menyedari kehadiran dua anggota polis peronda yang tiba lima minit kemudian.



Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit datang semula ke rumah mangsa dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki berkenaan dan anaknya menghubungi polis memaklumkan perbuatan mereka membuat bising.



“Ketika berlaku pertengkaran mulut, suspek tiba-tiba membelasah mangsa tanpa belas kasihan menggunakan sebatang kayu sebelum mangsa rebah dalam keadaan berlumuran darah di kepala dan badan.



“Pada masa sama, anak perempuan mangsa bersama dua lagi rakannya tidak mampu membantu kerana bimbang turut dibelasah sebelum suspek bergegas melarikan diri menaiki sebuah kereta dan motosikal,” katanya.



Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis sebelum dipindahkan ke HOSHAH untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin.



Menurutnya, susulan kejadian itu, anak mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis.



Katanya, susulan laporan dibuat anak perempuan mangsa, sepasukan anggota polis yang menjalankan gerakan memburu suspek berjaya menahan 12 lelaki berhampiran rumah mangsa selepas dipercayai terbabit dalam kejadian itu, kelmarin.



“Polis masih meneruskan siasatan kes itu bagi mengenal pasti motif sebenar serangan yang mengakibatkan kematian mangsa.



“Suspek direman dua minggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.







Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

‘Perbuatan manusia tidak waras’

 Kuching: “Kejadian yang berlaku cukup menyayat hati, ia bukan perbuatan manusia yang waras,” kata Ketua Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berhubung kematian tragis seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Kampung Sageng, Simunjan, akibat didera, Khamis lalu.



Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Simunjan akibat kecederaan teruk di badan dan pendarahan di kemaluan selain terdapat kesan gigitan di tangan.



Muhammad Sabtu berkata, polis menahan seorang pekerja sekolah yang juga bapa saudara mangsa berusia 46 tahun bagi membantu siasatan.



“Lelaki terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari sejak Jumaat lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.







“Polis masih menunggu hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa sebelum meneruskan siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia di Padang Merdeka, di sini, semalam.



Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Daerah Simunjan Deputi Superintendan Choo Yii Kok berkata, mangsa yang belajar di peringkat pra-sekolah dihantar ke hospital oleh bapa saudaranya pada jam 8 malam dan disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.



Difahamkan, mangsa, Elysha Natasha Mohd Shukri tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya sejak empat bulan lalu manakala ibu kandungnya bekerja di Serian.



Bapa saudaranya yang sedang ditahan reman adalah kakitangan bukan guru di sebuah sekolah di Simunjan manakala ibu saudaranya seorang guru sementara.



Selepas disahkan meninggal dunia di Hospital Simunjan, mayat Ellysha dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching untuk dibedah siasat.





Keputusan bedah siasat akan diumumkan hari ini.





Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Dua teman lelaki ambil kesempatan

 Shah Alam: “Ibu mana yang tak sayang anak, walaupun dia dilahirkan tanpa diminta, pengalaman mengandung dan melahirkannya selepas ‘bersama’ selama sembilan bulan nyata membuatkan kasih saya kepadanya tidak berbelah bagi.



“Walaupun dia dilahirkan sebagai anak luar nikah dan keluarga terutama ayah tidak dapat menerima kehadirannya saya terpaksa relakan dia diserahkan kepada keluarga angkat apabila semua proses dokumentasinya selesai,” kata remaja terlanjur yang ingin dikenali sebagai Izzati, 22, ketika ditemui di sebuah rumah perlindungan di sini, baru-baru ini.



Remaja yang berasal dari Puchong ini berkata, sebaik saja ibu bapanya dimaklumkan doktor yang dia mengandung tujuh bulan, dia dihantar ke rumah perlindungan bagi mengelakkan berita mengenai kandungan itu diketahui adik beradik mahupun ahli keluarga lain terutama jiran.



Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, jika dia mampu mengubah masa silamnya, semua teguran dan nasihat ibunya pasti dituruti dan kerana kebodohan dirinya yang memberontak gara-gara dikongkong akhirnya memakan diri sendiri.



Katanya, segalanya bermula apabila dia melanjutkan pelajaran ke kolej untuknya melarikan diri jauh daripada keluarga terutama ibu yang sering menjadikan dirinya tempat melepaskan marah setiap kali adik-adiknya membuat kesalahan.



“Dengan memberikan alasan kerja kursus banyak, saya bebas untuk tidak pulang ke rumah pada hujung minggu walaupun jarak antara rumah dan kolej tidak jauh.







Masa yang ada saya keluar bersama teman lelaki.



“Walaupun baru berkenalan dua bulan, saya tidak sangka yang dia (teman lelaki) memaksa saya melakukan perbuatan asmara dan akhirnya dia pergi tanpa alasan munasabah,” katanya yang baru melahirkan anak lelaki awal Mac lalu.



Izzati berkata, kecewa dengan tindakan bekas teman lelakinya itu, dia berkawan dengan seorang lagi lelaki lain, namun nasibnya tetap sama apabila lelaki berkenaan juga mengambil kesempatan serta memberi jaminan yang dia tidak akan mengandung sebelum meninggalkannya.



Dia mendakwa, gara-gara takut membeli alat ujian kehamilan dia tidak sedar yang kandungannya sudah mencecah tujuh bulan sehinggalah kedua orang tuanya membawanya ke klinik kerana hairan melihat perubahan pada dirinya.



Menurutnya, selepas dimaklumkan doktor yang dia mengandung, dunia dirasakan kelam dan apa yang lebih sedih apabila melihat wajah emak yang kecewa malah ayah ketika itu seakan orang hilang pertimbangan meraung tidak dapat terima hakikat yang anaknya mencipta aib buat keluarga.



“Sehingga kini hanya emak dan ayah yang tahu kisah sebenar dan di mana saya berada, jika adik-beradik bertanyakan kenapa ‘kakak’ tidak balik, emak memberi alasan ‘kakak’ sibuk dengan kelas dan kerja kursus,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Dua penipu jual kereta terpakai di Internet dicekup

 Alor Gajah: Temberang dua lelaki melakukan penipuan dengan menjual kenderaan tidak wujud melalui internet terbongkar selepas mereka diberkas polis di Serdang, Selangor, petang kelmarin.



Difahamkan, kedua-dua suspek berusia 28 tahun ditahan ketika berada di rumah mereka jam 3.45 petang bersangkut 10 laporan polis termasuk masing-masing satu di daerah ini dan Melaka Tengah.



Suspek dipercayai mewujudkan satu iklan menawarkan jualan kereta terpakai pelbagai jenis pada harga rendah dan mengenakan wang pendahuluan RM1,000 bagi setiap tempahan.



Difahamkan mereka bijak mengatur urusan jual beli kenderaan dengan mempamerkan jumlah kereta hendak dijual kepada setiap mangsa dengan harga murah sambil menjanjikan penghantaran dalam kadar segera.



Bertindak atas laporan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah mengintip pergerakan suspek terbabit sebelum memberkas mereka.



Ketua Polis Daerah Superintendan Mohamad Laham berkata, kedua-dua suspek bijak mengatur strategi menarik perhatian mangsa yang ingin membeli kenderaan terpakai dan murah secara dalam talian.



“Kebanyakan mangsa memilih membeli kenderaan diimpikan secara atas talian kerana ia mudah dan ringkas selain harganya j lebih murah dari harga pasaran, namun terlupa ada pihak lain mengambil kesempatan.



“Disebabkan itu, suspek dipercayai bergiat di seluruh negara bertindak mengambil peluang ini dan menutup akaun diwujudkan itu selepas mangsa memasukkan wang deposit ke dalam akaun mereka,” katanya di sini, semalam.



Menurutnya, kedua-dua suspek difahamkan akan menerangkan serba sedikit mengenai kenderaan yang hendak dijual dan berjanji orang terawal memasukkan wang deposit ke dalam akaun mereka diterima permohonannya.

Elak polis dapat ajal

 Tindakan tiga penagih dadah terjun ke dalam tasik dalam usaha melarikan diri dari diberkas pihak berkuasa sebaliknya meragut nyawa apabila semua mereka mati lemas berhampiran sebuah kuil di Batu Caves di sini.



Mayat semua mangsa yang berusia lewat 30-an itu ditemui terapung di permukaan tasik oleh orang awam petang semalam sebelum kejadian itu segera dilaporkan kepada pihak bomba dan penyelamat.



Penolong Pengarah Penguasa Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, mayat mangsa ditemui terapung di tebing tasik oleh orang awam yang memancing ikan di kawasan itu sekitar jam 5.30 petang.



Menurutnya, sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang bergegas ke lokasi kejadian sebelum menarik mayat kedua-dua mangsa pada jam 6.09 petang.



“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan dan dipercayai mati dalam tempoh kurang 24 jam.



“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat,” katanya.



Beliau berkata, anggota bomba yang melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian bagaimanapun menemui mayat seorang lagi lelaki sekitar jam 7.30 petang.







Mayat lelaki ketiga itu turut dibawa ke tebing tasik sebelum dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dua mayat terbabit.



Menurutnya, polis menyiasat kemungkinan dua lelaki terbabit penagih dadah yang terjun ke dalam tasik itu untuk melarikan diri ketika operasi dilakukan pihak berkuasa bagi membanteras penagih dadah di kawasan itu malam kelmarin.



“Setakat ini tiada unsur jenayah terhadap kematian kedua-dua mangsa,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Lelaki asing maut akibat MERS

 Jeddah: Seorang warga asing dilaporkan maut akibat Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) manakala lapan lain termasuk lima pekerja kesihatan dijangkiti virus itu.



Kematian lelaki berusia 45 tahun yang identitinya tidak didedahkan itu membawa jumlah kematian akibat penyakit berkenaan kepada 68 orang.



Kementerian Kesihatan kelmarin mengumumkan kematian berkenaan selain menyebut lima pekerja kesihatan terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki serta tiga orang lain dijangkiti virus berkenaan di bandar itu.



Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas wad kecemasan di hospital besar bandar itu terpaksa ditutup akibat kebimbangan petugas perubatan turut dijangkiti.



Sementara itu, Menteri Kesihatan Abdullah al-Rabiah melawat hospital dalam usaha menenangkan penduduk.



Pada masa sama, Yemen turut melaporkan kes pertama MERS semalam.







- Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Tapak warisan dunia dimamah api

 Santiago: Chile semalam mengerah pasukan tenteranya untuk membantu memindahkan ribuan penduduk di bandar pelabuhan Valparaiso akibat ancaman kebakaran hutan besar yang memusnahkan sekurang-kurangnya 500 kediaman.



President Michelle Bachelet mengisytiharkan bandar itu - yang juga tapak warisan dunia UNESCO - sebagai zon bencana seterusnya memberi laluan kepada pihak tentera menghulurkan bantuan.



“Ini memang bencana paling dahsyat yang melanda Valparaiso,” kata Pegawai Daerah Ricardo Bravo.



Jumlah kematian rasmi tidak diketahui, namun media tempatan melaporkan dua maut dipercayai sepasang suami isteri warga emas.







Seorang lagi penduduk dilaporkan cedera.



Lebih 3,000 orang dipindahkan berikutan api marak cepat dari kawasan bukit ke bandar itu akibat angin kuat.



Ratusan anggota bomba termasuk dari ibu negara tidak mampu meredakan kebakaran itu.



Kedudukan bandar itu yang dikelilingi lebih 40 kawasan berbukit juga menyukarkan penghantaran bantuan kecemasan.



- Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Jepun bunuh 112,000 ayam

 Tokyo: Jepun mengarahkan 112,000 ayam dibunuh selepas pegawai mengesahkan secara rasmi semalam mengenai jangkitan selesema burung di ladang ternak ayam di selatan bandar raya ini.



Ujian DNA mengesahkan wujudnya virus H5 di ladang wilayah Kumamoto yang terdapat 56,000 ayam selepas pemilik ladang ternak ayam itu melaporkan Sabtu lalu mengenai kematian secara mengejut ternakannya, kata kementerian pertanian dalam kenyataannya.



Pegawai kesihatan turut mengarahkan supaya 56,000 ayam lagi di ladang berlainan milik pemilik yang sama selepas mengesahkan kawasan itu sebagai tempat jangkitan.



Ini adalah wabak selesema burung yang pertama dilaporkan di Jepun dalam masa tiga tahun.



Kementerian pertanian mengingatkan penternak ayam mengenai risiko jangkitan, dengan memberi contoh penularan virus H5 yang berterusan di Asia, termasuk di negara jiran, Korea Selatan.



Pihak berkuasa tempatan pada Sabtu lalu mengharamkan pemindahan ayam dari dua ladang yang dijangkiti itu dan juga ladang berhampirannya.



Sehubungan itu, pihak berkuasa membersihkan kawasan berdekatan dua ladang terbabit serta menguji tahap kesihatan ternakan di kawasan lain.



Pegawai juga menubuhkan kawasan untuk membersihkan kenderaan yang datang dari kawasan utama sekitar ladang terbabit.







- Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Dua lagi penyeludup dadah ditembak mati

 Bangkok: Dua penyeludup dadah ditembak mati dan lebih 100,000 pil methamphetamine dirampas dalam dua pertempuran antara tentera dengan penyeludup di daerah Mae Ai di Chiang Mai, berhampiran sempadan Thai-Myanmar, semalam.



Pemerintah tentera wilayah Mejar Jeneral Banjerd Changpoonthong berkata, pertempuran itu menyusuli gerakan yang dilancarkan oleh tentera dan renjer sempadan selepas menerima maklumat mengenai penyeludupan dadah itu sempena festival Songkran.



Sekumpulan 10 penyeludup, setiap seorang membawa beg galas dan senjata cuba melarikan diri apabila di arah berhenti.



Mereka kemudian melepaskan tembakan menyebabkan pertempuran dengan pasukan keselamatan meletus.



Ia disusuli dengan pertempuran kedua ketika tentera bertindak membersihkan kawasan berkenaan.



Mayat dua penyeludup ditemui bersama-sama dadah berkenaan.







Menurut Banjerd, pihaknya juga menjumpai sebutir bom tangan di sisi mayat.



- Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Kereta ‘terbang’ 25 meter

 London: Seorang pemandu bernasib baik apabila hanya cedera ringan selepas kereta dipandunya ‘terbang’ dari curam setinggi 25 meter dan terhempas di kawasan berbatu di baawah.



Malah, dia juga sempat berseloroh bahawa minuman tenaga diambilnya sejurus sebelum kejadian membuatkannya terbang.



Dalam kejadian tengah malam di Roedean, Sussex, itu, lelaki yang tidak dinamakan itu dipercayai memandu laju menyebabkan dia gagal mengawal apabila sampai di selekoh tajam.



Lebih menakjubkan, lelaki itu hanya mengalami cedera ringan dan dapat keluar sendiri dari keretanya sebelum berjalan beberapa meter untuk mendapatkan bantuan.



Pasukan keselamatan bagaimanapun membawa lelaki itu naik menggunakan tandu dan tangga sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

7 maut periuk api meletup

7 maut periuk api meletup
Sebuah kenderaan terbalik dalam letupan periuk api di Bijapur, negeriChhattisgarh bahagian timur India semalam.
 New Delhi: Lima pegawai pilihan raya dan dua pemandu bas terbunuh apabila sebutir periuk api meletup di bawah kenderaan mereka di daerah Bijapur lokasi undian bakal diadakan minggu depan, kata ketua pengarah polis, A N Upadhyay.



Pemisah turut melepaskan tembakan ke arah bas selepas letupan itu. Lima orang turut cedera dalam serangan berkenaan dan dirawat di sebuah hospital, kata Upadhyay. Pemisah melarikan diri ke hutan berhampiran apabila pasukan separa tentera mula membalas tembakan.





Dalam serangan lain, pemisah membunuh lima askar separa tentera dan dua orang awam dalam satu serangan terhadap kenderaan tentera di kawasan pedalaman Darbha Forest di selatan negeri itu, kata ketua polis, R K Vij Tiga tentera turut ceder dalam serangan itu.



Pemisah yang dikatakan mendapat inspirasi dari pemimpin revolusi China, Mao Zedong berjuang sejak lebih tiga dekad untuk mendapatkan sumber semula jadi dan lebih banyak kerja bagi penduduk miskin.



Mereka menyasarkan pegawai kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang dalam serangan sebelum hilang ke kawasan pedalaman dan miskin di hutan di tengah India.



Walaupun mereka dikatakan ada di dua puluh daripada 28 negeri di India mereka amat aktif di kawasan kubu kuat di Chhattisgarh, Jharkhand, Bihar dan Bengal Barat.



Beribu mati di kedua-dua pihak dalam konflik itu. Perdana Menteri Manmohan Singh menyifatkan mereka sebagai ancaman dalaman terbesar India tetapi tiada parti politik utama bercakap mengenai ancaman pemisah ketika kempen pilihan raya kali ini.

Kawal pusat undian,/b>



Pilihan raya pelbagai fasa berjalan sejak lima minggu lalu dan berakhir pada 12 Mei di mana keputusan bagi dewan rendah parlimen membabitkan 543 kerusi akan diumumkan pada 16 Mei.



Undian berlangsung kelmarin di negeri pantai barat Goa selain beberapa bahagian di Assam, Tripura dan Sikkim.



Parti pembangkang Hindu utama, Bharatiya Janata mempunyai momentum kuat mengenai janji terhadap pertumbuhan ekonomi dan mengancam menumbangkan Parti Kongres selepas 10 tahun berkuasa.



Kerajaan mengerah berpuluh ribu tentera dan polis mengawal pusat undian di kawasan yang dilanda keganasan. Tetapi pemisah meningkatkan serangan mereka selain meminta penduduk memboikot undian.

AGENSI

Ukraine, Moscow kian tegang

Ukraine, Moscow kian tegang
Penunjuk perasaan pro-Russia melaungkan slogan menyokong penyatuan Ukraine di Kharkiv semalam.
 Donetsk: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dalam pertempuran antara pasukan anti-pengganas Ukraine dengan kumpulan bersenjata pro-Russia yang menawan sebuah balai polis di Slavyansk, insiden yang diramal meningkatkan ketegangan hubungan dengan Moscow.



Menteri Dalam Negeri Ukraine, Arsen Avakov, berkata seorang pegawai negara itu terbunuh manakala kemalangan jiwa turut dilaporkan di pihak pemisah.





Seramai 40,000 askar Russia kini ditempatkan sempadan timur Ukraine manakala Moscow memberi amaran kepada Kiev agar tidak melaksanakan sebarang tindakan kekerasan. “Kemalangan jiwa berlaku di kedua-dua belah pihak,” kata Avakov melalui laman Facebooknya, ketika media Russia dalam laporan yang tidak disahkan berkata, seorang penunjuk perasaan terbunuh.





Sabtu lalu, Avakov mengecam apa yang disifatkan sebagai ‘paparan tindakan agresif Rusia’ apabila militan pemisah bersenjata melancarkan siri serangan ke atas ibu pejabat polis di seluruh bahagian di sebelah timur.



Serangan terancang sekumpulan lelaki yang memakai seragam tentera tidak bertanda merujuk kepada apa yang berlaku di Crimea Mac lalu, sekali gus mencetus kebimbangan bahawa Russia cuba menyemarakkan kekacauan sebagai alasan untuk campur tangan di Ukraine.



Majlis Keselamatan Ukraine bermesyuarat lebih tiga jam kelmarin untuk membincangkan krisis di timur, namun setakat ini tiada keputusan diumumkan.

Tuduh Moscow ceroboh



Ukraine turut menuduh Moscow melakukan ‘pencerobohan’ kelmarin selepas sekumpulan lelaki bersenjata merampas dua bangunan keselamatan ketika tunjuk perasaan menuntut wilayah majoriti berbahasa Russia ini untuk menyertai Russia semakin merebak.



Serangan yang diselaraskan itu dan satu siri tembakan antara militan dan polis di dua bandar di timur menambahkan lagi ketidaktentuan krisis menjelang rundingan langsung pertama antara Kesatuan Eropah (EU) dan diplomat Amerika berserta rakan sekutu mereka Moscow dan Kiev di Geneva pada Khamis.



Kerajaan sementara Ukraine berdepan tekanan berterusan dari Russia sejak penyingkiran presiden kurang popular yang disokong Kremlin Viktor Yanukovych Februari lalu dan keputusan untuk menjalin hubungan lebih rapat dengan Barat.

AFP

Karzai boleh terus bebas berpolitik

 Afghanistan: Calon utama yang akan menggantikan Presiden Afghanistan Hamid Karzai, berkata pemimpin itu wajar meneruskan peranan politiknya dan beliau tidak akan membalas dendam terhadapnya.



Abdullah Abdullah sebelum ini menuduh Karzai sebagai pencuri hak beliau pada pilihan raya lalu.





Bekas pakar mata dan pejuang yang menentang penjajah Soviet pada 1980-an, Abdullah menyandang jawatan sebagai Menteri Luar Karzai daripada lewat 2001 hingga 2005.



Pada pilihan raya 2009 yang secara meluas disifatkan sebagai penipuan oleh komuniti antarabangsa, Abdullah menuduh Karzai ‘mencuri’ undinya.



Abdullah dan bekas ahli ekonomi Bank Dunia, Ashraf Ghani dilihat sebagai dua calon utama dalam persaingan untuk menggantikan Karzai dengan lebih tujuh juta orang mengetepikan cuaca buruk dan ancaman Taliban untuk mengundi minggu lalu.



Karzai terus peranan



Pemerhati sudah lama mengesyakki Karzai akan meneruskan peranan penting secara tersembunyi di dalam politik negara itu apabila meninggalkan jawatan presiden.

Sangkaan sebegitu sebahagiannya disokong oleh pembinaan rumah mewah baru untuknya berdekatan istana presiden dan pencalonan abangnya Qayyum sebagai calon.



Walaupun Qayyum dikeluarkan daripada persaingan, penggantinya, Zalmai Rasoul yang dipercayai berada pada kedudukan ketiga di belakang kedua-dua pemimpin itu.



Karzai masih lagi penting dalam usaha Abdullah untuk meraih sokongan bahagian selatan yang majoriti penduduknya etnik Pashtun.



Abdullah, yang dilahirkan dalam etnik Pashtun dan ibu etnik Tajik lebih dikaitkan dengan kaum Tajik di utara.

Bercakap kepada AFP di rumahnya di Kabul, Abdullah memberikan petanda bahawa Karzai masih terbabit dalam hal ehwal negara itu.



“Presiden Afghanistan akan mempunyai peranan pada masa depan. Saya tidak bercakap mengenai peranan pentadbiran, saya bercakap mengenai peranan politik dalam negara, peranan peringkat kebangsaan dan beliau sudah berkhidmat sejak 13 tahun lalu.



“Justeru, peranannya adalah sesuatu yang semula jadi. Mengenai bentuk peranannya, akan bergantung kepada keputusannya,” katanya.

AFP

Pelumba kereta ditahan

Pelumba kereta ditahan
Antara pemandu dan penumpang kenderaan yang ditahan dalam Ops Lumba Haram di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
 "Seremban: Sekumpulan pelumba kereta ditahan polis dalam Ops Lumba Haram ketika berlumba di Jalan Yam Tuan dan Jalan Dato Bandar Tunggal di sini, awal pagi semalam.

Operasi dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban selama dua jam bermula jam 1 pagi.


Ketua Polis Trafik Seremban, Asisten Superintendan Nik Ishak Nik Saad, berkata 26 kenderaan yang terbabit dengan kegiatan berkenaan ditahan dalam tiga sekatan sepanjang dua laluan utama itu.

Katanya, semua kenderaan dibawa ke IPD Seremban untuk pemeriksaan lanjut, manakala 27 saman dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, mengubah suai kenderaan dan nombor plat.
Memandu secara melulu

“Lapan lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

“Seorang lelaki ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dan disiasat mengikut Seksyen 45A akta sama, manakala hasil ujian air kencing terhadap dua lelaki berusia 20-an mendapati mereka positif methamphetamine dan ganja,” katanya di sini, semalam."




Mayat pemandu jentolak jatuh lombong ditemui

Mayat pemandu jentolak jatuh lombong ditemui
Sri Isa Ngah, 34
"Kampar: Mayat pemandu jentolak yang terjatuh ke dalam lombong bersama jenteranya pada Jumaat lalu ditemui pagi semalam.

Sri Isa Ngah, 34, (gambar) dari Kampung Sungai Raia, Simpang Pulai, dekat sini, ditemui dalam lombong tapak projek Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Air Hitam Labu, kira-kira jam 9.30 pagi.


Mayat mangsa ditemui pasukan keselamatan yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebaik Sri Isa hilang pada jam 11.30 pagi Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata mayat lelaki berkenaan timbul berhampiran tebing lombong.


“Mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat, sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar lombong berkenaan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) polis dan Rela."




Mayat pemandu jentolak jatuh lombong ditemui

Mayat pemandu jentolak jatuh lombong ditemui
Sri Isa Ngah, 34
"Kampar: Mayat pemandu jentolak yang terjatuh ke dalam lombong bersama jenteranya pada Jumaat lalu ditemui pagi semalam.

Sri Isa Ngah, 34, (gambar) dari Kampung Sungai Raia, Simpang Pulai, dekat sini, ditemui dalam lombong tapak projek Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Air Hitam Labu, kira-kira jam 9.30 pagi.


Mayat mangsa ditemui pasukan keselamatan yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebaik Sri Isa hilang pada jam 11.30 pagi Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata mayat lelaki berkenaan timbul berhampiran tebing lombong.


“Mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat, sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar lombong berkenaan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) polis dan Rela."




20 disyaki pelacur hotel bajet ditahan

 Melaka Tengah: Polis menahan 20 wanita di dua hotel bajet di Jalan Munshi Abdullah di sini, kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran, malam kelmarin.



Mereka merangkumi 11 warga Indonesia dan sembilan rakyat tempatan berusia antara 21 hingga 38 tahun.

Turut ditahan dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu ialah tiga penjaga premis dan tiga pelanggan berusia antara 20-an hingga 30-an.



Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.



Ketua Operasi, Deputi Superintendan Kamal Khan Mohd Shariff, berkata serbuan premis pertama yang mempunyai 20 bilik membabitkan penahanan 15 wanita merangkumi sembilan warga Indonesia dan enam rakyat tempatan, selain empat lelaki iaitu masing-masing dua penjaga premis serta dua pelanggan.



“Di premis kedua yang menempatkan 10 bilik, lima wanita iaitu tiga warga tempatan dan dua warga Indonesia ditahan bersama seorang penjaga premis dan pelanggan,” katanya selepas operasi berkenaan.

Syabu bernilai hampir RM3 juta dirampas


KUALA LUMPUR 13 April - Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah jenis syabu dengan tertangkapnya lima rakyat Nigeria dalam serbuan di Cyberjaya, Petaling Jaya, Damansara dan Gombak, Selangor, di sini hari ini.
Turut dirampas dalam serbuan ialah syabu seberat 11 kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM3 juta.
Difahamkan, kesemua suspek yang ditahan berusia 20 tahun hingga 30 tahun dan masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelajar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya di laman sosial Twitter turut mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut.
“Syabas STING @PDRMsia tumpas sindiket dadah syabu. Tangkap lima rakyat Nigeria di Cyberjaya, Petaling Jaya, Damansara dan Gombak.
“Rampas 11 kilogram syabu," katanya hari ini.
STING sebelum ini telah berjaya merampas 2,422 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM118.27 juta dalam tempoh lima bulan penubuhannya.

Dadah bernilai RM18,000 dirampas


Md. Tahir Kasim (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Kampung Kuala Bekah pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 13 April - Polis menahan dua lelaki dan merampas 2,030 pil kuda bersama satu botol heroin seberat 2.5 gram bernilai kira-kira RM18,000 dalam serbuan di Kampung Kuala Bekah di sini, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Md. Tahir Kasim berkata, dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, dua lelaki berkenaan berada di tempat kejadian.
Menurut Md. Tahir, sebahagian besar pil kuda itu dijumpai dalam sebuah beg plastik yang mengandungi bungkusan kertas berwarna coklat di atas lantai di ruang tamu rumah berkenaan.
Beliau berkata, pil yang selebihnya pula dijumpai dalam poket seluar salah seorang suspek bersama botol yang mengandungi heroin itu.
“Polis percaya kesemua dadah berkenaan untuk edaran sekitar
Durian Burung dan bandar raya Kuala Terengganu," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut menyita wang tunai berjumlah RM80,000, sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ serta sebuah kereta jenis perodua Myvi yang dipercayai diperoleh hasil jualan dadah.
“Suspek utama kes ini berusia 29 tahun manakala rakannya yang berusia 23 tahun dipercayai bertindak sebagai pembantu. Kita percaya dadah ini sempat untuk diedarkan," katanya.
Menurut beliau, suspek utama turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah kira-kira empat tahun lalu.
“Kedua-dua suspek direman sehingga 17 April ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya dan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140414/je_08/Dadah-bernilai-RM18000-dirampas#ixzz2yo6shcFe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua maut, dua lagi parah langgar tiang elektrik


SERIAN 13 April - Dua lelaki maut dan dua lagi cedera parah apabila kereta jenis Proton Satria yang dinaiki mereka merempuh sebatang tiang elektrik di Batu 36, Jalan Kuching-Serian di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala dua lagi dikejarkan ke Hospital Serian untuk mendapat rawatan kecemasan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140413/je_03/Dua-maut-dua-lagi-parah-langgar-tiang-elektrik#ixzz2yo70YTej
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bapa cedera dipukul anak


Kintan Abd. Samad memeriksa kesan luka Mat Sap Bachik akibat dipukul anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tembakau, Umbai, Jasin, Melaka, semalam.
JASIN 13 April - Seorang bapa ce­dera di kepala dan bahu selepas dipukul dengan kayu oleh anak lelakinya yang sedang ‘khayal' kerana dipercayai menghidu gam di rumah mereka di Kampung Bukit Tembakau, Umbai dekat sini Jumaat lalu.
Akibat kejadian itu, mangsa, Mat Sap Bachik, 72, terpaksa dikejarkan ke Hospital Jasin bagi mendapatkan rawatan sementara anak lelakinya yang berusia 34 tahun dan merupakan anak keenam daripada tujuh beradik ditahan polis bagi membantu siasatan.
Menceritakan kejadian, isteri mangsa, Kintan Abd. Samad, 67, berkata, semuanya bermula apabila suaminya menegur anak keenamnya itu kerana memakai kasut di dalam rumah pada pukul 6.30 petang kelmarin.
“Ketika itu, suami saya berada di belakang rumah bersembang dengan anak bongsu kami, Rozaimah, 30, yang datang bersama suami dan anak mereka.
“Suami saya ternampak anak keenamnya terus masuk ke rumah tanpa menanggalkan kasut lalu menegur dan menamparnya. Keadaan itu menyebabkan anak saya itu naik berang dan mereka bergelut," dakwanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dakwa Kintan, suami Rozaimah cuba meleraikan pergelutan itu, tetapi anak keenamnya berjaya mencapai sebatang kayu lalu memukul bapanya sebanyak empat kali hingga menyebabkannya rebah dengan kecederaan di kepala dan bahu.
“Saya yang panik menjerit meminta tolong menyebabkan anak saya itu melarikan diri,'' dakwanya.
Ujar Kintan, anak bongsunya membawa suaminya ke klinik sebelum dihantar ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan dan satu laporan berhubung kejadian tersebut telah dibuat di Balai Polis Umbai.
Sementara itu, Mat Sap berkata, dia berasa kesal dengan anak keenamnya itu yang berubah sikap selepas terbabit dengan kegiatan menghidu gam hampir 15 tahun.
“Sejak dua hingga tiga bulan lalu, dia telah berani melakukan perkara itu di depan kami walaupun banyak kali nasihat diberikan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Muhd. Nor Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan memberitahu, suspek telah ditahan di rumahnya pada hari sama laporan dibuat.
“Suspek direman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Mayat tiga lelaki penagih dadah ditemui terapung di tasik


Dua daripada tiga mayat yang ditemui terapung oleh pasukan Bomba dan Penyelamat di sebuah tasik berhampiran Bulatan Batu Caves, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 13 April - Mayat tiga lelaki dipercayai penagih dadah ditemui terapung di sebuah tasik berhampiran Bulatan Batu Caves, di sini.
Difahamkan, kesemua mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu sebahagian daripada sekumpulan suspek yang terjun ke dalam tasik berkenaan ketika cuba melarikan diri dalam satu operasi membanteras penagihan dadah di sekitar kawasan berkenaan semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 5.30 petang mengatakan ternampak dua mayat terapung di tasik itu.
Beliau berkata, sepasukan anggota polis dikerah ke lokasi kejadian dan kemudian meminta bantuan daripada pasukan bomba dan penyelamat untuk mengangkat mayat terbabit.
“Beberapa jam selepas itu, kami menerima maklumat mengatakan ada satu lagi mayat terapung di kawasan sama dan operasi mengangkat mayat segera dilakukan.
“Setakat ini, kita sedang menyiasat adakah mayat-mayat ini merupakan penagih dadah yang melarikan diri dari operasi semalam.
“Kita akan bertanya kepada penagih-penagih dadah yang berjaya ditangkap semalam. Kita juga ingin mengetahui masih adakah mangsa lain yang lemas. Setakat ini kita tidak tahu berapa banyak mangsa lain yang terlibat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zakaria memberitahu, pemeriksaan awal polis mendapati kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
“Mangsa ditemui berpakaian lengkap dan mempunyai dokumen pengenalan diri namun kami akan menunggu pemeriksaan menyeluruh dari pihak forensik serta lapoban bedah siasat. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Selayang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.30 petang dan mengerahkan sepasukan sembilan anggota bomba ke lokasi kejadian.
“Kami menggunakan kayak untuk menaikkan mangsa yang dipercayai warga tempatan. Kira-kira pukul 7.54 malam kami menerima sekali lagi panggilan untuk memberi bantuan mengambil mayat di lokasi sama," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140414/je_05/Mayat-tiga-lelaki-penagih-dadah-ditemui-terapung-di-tasik#ixzz2yo5yjvtK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'Akaun Facebook berniat jahat'


ALOR GAJAH 13 April - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan akaun Facebook ‘1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek’ sebagai berniat jahat dan menafikan ia mempunyai kaitan dengan dirinya.
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara itu.
Anggota Parlimen Kemaman itu berkata, beliau juga akan membuat laporan polis tentang perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu dan akan meminta sendiri kepada pihak Facebook untuk memadam akaun tersebut.
“Saya terkejut bila nama saya digunakan untuk buka akaun ini. Sebenarnya saya tidak tahu langsung tentang perkara ini sebelum ini, daripada sana (akaun Facebook terlibat) membuat posting yang tidak sewajarnya dan dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau sebelum itu menghadiri Malam Aspirasi Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sempena Bengkel Pemukiman Transformasi KKMM.
Akaun Facebook dengan nama ’1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek’ membuat pelbagai posting yang menghina bangsa dan agama malah turut menghina institusi raja di negara ini dan Polis Diraja Malaysia.
Akaun itu didapati dimulakan pada 29 Mei tahun lepas dan sehingga berita ini ditulis akaun yang didakwa dikendalikan pentadbir bernama ‘Amran Pekida’ itu telah memperoleh 2,328 likes.
Ahmad Shabery berkata, perbuatan menggunakan nama orang lain dalam akaun Facebook sememangnya telah banyak berlaku, justeru beliau meminta kepada orang ramai tidak terburu-buru membuat keputusan berkenaan posting dalam akaun seperti itu dan tidak tuduh-menuduh sehingga perkara tersebut dapat disiasat.
“Sebab itu (kita tekankan) konsep klik dengan bijak (bagi) mendidik orang ramai supaya bijaksana membuat sebarang penilaian tentang apa mereka peroleh dalam mana-mana perkara dalam talian," katanya.
Diminta mengulas mengenai dakwaan SKMM tidak tegas dalam membendung perkara seperti ini, beliau berkata Malaysia pada masa ini mempunyai lebih 14 juta akaun Facebook yang merupakan antara jumlah tertinggi pemilikan akaun itu dalam sesebuah negara dan akaun itu ditadbir oleh pihak Facebook sendiri, bukan SKMM.
“Oleh kerana kita amalkan sistem terbuka kita tidak boleh sekat Facebook, nak marah (akaun tertentu dalam) Facebook kita tutup semua itu tidak wajar atau membuat pendaftaran tertentu juga tidak wajar...ini tidak boleh dibuat dan boleh beri kesan negatif pada kita," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140414/je_06/Akaun-Facebook-berniat-jahat#ixzz2yo5tR9pV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengerusi Belia Felda cedera disamun


MARAN 13 April - Pengerusi Belia Felda Jengka 5, Mohd. Zaidi Ahmad cedera di kepala akibat dipukul dengan sebatang kayu selepas disamun oleh tiga lelaki di hadapan rumahnya di Felda Jengka 5 di sini awal pagi semalam.
Kejadian berlaku pukul 1.30 pagi itu juga menyebabkan mangsa kehilangan lima buah telefon bimbit dan wang tunai RM50.
Menurut Mohd. Zaidi, 35, kejadian berlaku sewaktu beliau baru pulang memancing di kawasan terletak dalam rancangan Felda yang sama.
Katanya, sebaik tiba di rumah, seorang lelaki yang tidak dikenali telah menyerangnya dengan menggunakan sebatang kayu dan memaksa dia menyerahkan wang serta barang berharga.
“Mereka pukul di kepala menggunakan kayu menyebabkan saya menerima lapan jahitan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Poliklinik Maran.
“Penjenayah yang dipercayai seramai tiga orang itu turut masuk ke dalam rumah dan mengancam bapa, Ahmad Sirus, 75, serta ibu saya, Zaleha Ahmad, 72," katanya.

3 didakwa cabul peribadi Hollande


NANTERRE 13 April - Seorang jurugambar dan dua kakitangan eksekutif sebuah majalah yang mendedahkan hubungan Presiden Perancis, Francois Hollande dengan aktres Julie Gayet akan didakwa di bawah akta undang-undang peribadi, menurut laporan pendakwa raya, semalam.
Jurugambar, Laurent Viers dan dua kakitangan eksekutif itu akan dibicarakan di mahkamah pada 1 Julai ini atas dakwaan melanggar hak peribadi yang boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun serta denda sebanyak 45,000 euro (RM202,253).
Ini berikutan penyiaran gambar Gayet, 41, oleh majalah Closer pada Januari lalu yang merakamkan aktres itu sedang duduk dalam keretanya yang menyalahi undang-undang Perancis kerana kawasan dalam kereta dianggap sebagai ruang peribadi.
Pendakwa raya, Robert Gelli berkata, bukti serta testimoni Gayet menunjukkan Viers yang mengambil gambar berkenaan, manakala dua eksekutif majalah tersebut turut didakwa atas kesalahan menyiarkan gambar itu yang diambil dalam ruang peribadi Gayet tanpa kebenaran.
Dua kakitangan eksekutif majalah itu merupakan Ketua Pengarah, Mondadori Magazines France, Carmine Perna dan Ketua Pengarang Closer, Laurence Pieau.
Majalah Perancis itu turut me­nyiarkan gambar-gambar yang menunjukkan Hollande tiba di sebuah pangsapuri terletak berhampiran Istana Presiden dengan menaiki sebuah skuter.
Closer dalam laporannya mendakwa hubungan Hollande dengan Gayet telah bermula sejak dua tahun lalu yang menyebabkan pemimpin itu berpisah dengan teman wanitanya, Valerie Trierweiler.
Viers turut didakwa atas ke­salahan memalsukan kad identiti selepas polis menemui kad media palsu di dalam rumahnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140414/lu_10/3-didakwa-cabul-peribadi-Hollande#ixzz2yo4yE86j
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami isteri berhadapan hukuman gantung


PASIR MAS 13 April - Sepasang suami isteri berhadapan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah iaitu pil kuda seberat 80 gram, bulan lalu.
Muhamad Hafizuddin Rosli, 21, dari Rantau Panjang dan isterinya yang merupakan warga Thailand, Miss Nor Aswa Cheloh, 26, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Muhamad Hafizuddin turut mengangguk faham terhadap dua lagi tuduhan mengedar dadah jenis pil kuda seberat 60.8 gram dan 3.8 kilogram yang dihadapi­nya secara bersendirian.
Bagaimanapun tia­da sebarang pengakuan direkodkan terhadap kese­mua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar pil kuda seberat 80 gram di dalam sebuah rumah di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang pada pukul 2.45 petang, 30 Mac lalu.
Muhamad Hafizuddin turut didakwa mengedar dadah jenis pil kuda seberat 60.8 gram di dalam kawasan semak di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir Puteh Gual Sitok, Rantau Panjang pada jam 3.15 petang, 30 Mac lalu.
Pada tarikh dan waktu sama, dia didakwa mengedar dadah jenis methampetamine seberat 3.8 kilogram di dalam kawasan hutan di Kampung Pasir Puteh Gual Sitok, Rantau Panjang.
Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguambela Muhammad Hasif Hassan.
Mahkamah menetapkan 16 Jun depan untuk sebutan semula kes.

75,000 pokok ganja dirampas di Bahamas


NASSAU, Bahamas 13 April - Pasukan polis di Bahamas berjaya menemui dan merampas 75,000 pokok ganja yang di anggarkan bernilai AS$7.5 juta (RM24.27 juta).
Sumber polis Bahamas berkata, pokok yang berketinggian 152.4 sentimeter itu, ditemui ditanam di sebuah kawasan terpencil di timur kepulauan Grand Bahama.
Kata polis, tiada suspek yang ditangkap setakat ini ketika operasi dilakukan.
Tambahnya, rampasan yang dilakukan semalam adalah hasil maklumat orang awam dan dibantu oleh Jabatan Penguatkuasa Dadah di Amerika Syarikat (AS). - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140413/lu_07/75000-pokok-ganja-dirampas-di-Bahamas#ixzz2yo4iDdCN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ibu saudara mangsa dera ditahan


Ellysha Natasha
BATANG SADONG 13 April - Polis hari ini menahan ibu saudara kepada Elysha Natasha Shukri, kanak-kanak berusia enam tahun yang mati dipercayai akibat didera, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Supritendan Choo Yin Kok berkata, suspek berusia 44 tahun, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng, Simunjan, ditahan di rumahnya pukul 10.30 pagi ini bagi membantu siasatan.
“Selepas menahan bapa saudara mangsa Jumaat lalu, kami rasa perlu memberkas ibu saudaranya untuk membantu siasatan.
“Mayat mangsa sudah dibedah siasat di Hospital Umum Sarawak (HUS) hari ini namun keputusan bedah siasat tersebut masih belum diperoleh kerana masih menunggu beberapa orang pakar pergigian dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) tiba petang ini untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Yin Kok, pakar pergigian diperlukan bagi meneliti kesan gigitan di lengan mangsa dan mayat mangsa akan diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan sebaik sahaja semua urusan selesai.
Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa yang merupakan murid prasekolah di SK Sageng ditemui mati dengan kesan pendarahan di kemaluan dan gigitan di tangan.
Pihak polis menerima laporan daripada Hospital Simunjan berhubung kejadian itu pada 9.45 malam dan menahan bapa saudara mangsa berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pembantu am rendah di SK Sageng.
Mangsa tinggal bersama ibu saudara dan bapa saudaranya di sini kerana ibunya, Norliza Mustafa, 45, yang juga seorang ibu tunggal tinggal di Serian dan bekerja di sana.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140414/je_01/Ibu-saudara-mangsa-dera-ditahan#ixzz2yo3yveJx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Foto selfie rakam cubaan bunuh diri cetus kontroversi


LOS ANGELES 13 April - Sekumpulan pemandu mencetuskan kontroversi apabila sanggup mengambil gambar beramai-ramai berlatar-belakang kejadian seorang lelaki yang cuba membunuh diri dengan melompat dari sebuah jejantas di sini, baru-baru ini.
Portal berita Mirror melaporkan, kejadian itu berlaku apabila beberapa orang pemandu yang menggunakan Lebuh Raya 105 di Paramount, menghubungi pihak polis selepas terlihat seorang lelaki cuba membunuh diri di jejantas terbabit.
Polis yang tiba di lokasi kejadian terpaksa menutup laluan kedua-dua arah lebuh raya berkenaan bagi memujuk lelaki itu supaya membatalkan hasratnya itu.
Ekoran kejadian itu, beratus-ratus pemandu terkandas selama tiga jam sebelum polis berjaya memujuk lelaki berkenaan daripada membunuh diri.
Namun, pada masa yang sama 14 pemandu yang tidak berhati perut, sempat mengambil gambar tentang kejadian itu semata-mata untuk menghabiskan masa akibat terkandas lebih tiga jam ekoran insiden tersebut.
Mereka mengambil gambar selfie, dengan berlatar belakangkan lelaki yang cuba membunuh diri itu sedang duduk di atas pagar jejantas tersebut.
Malah seorang daripada pemandu berkenaan menggunakan nama samaran Samdawgl menyiarkan gambar kontroversi berkenaan melalui laman perkongsian gambar, Instagram sebelum menjadikan akaun miliknya sebagai sulit.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140414/lu_08/Foto-selfie-rakam-cubaan-bunuh-diri-cetus-kontroversi#ixzz2yo4Tk8YR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

KPDNKK rampas 62,000 liter diesel bersubsidi


KUANTAN 13 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi apabila merampas sebanyak 62,000 liter bahan api itu dalam operasi di jeti-jeti haram di sepanjang Sungai Kuantan, di sini semalam.
Operasi dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Jabatan Peguam Negara itu, membabitkan nilai rampasan kira-kira RM200,000 iaitu merangkumi diesel bersubsidi, tiga buah lori dan dua buah tangki yang telah diubah suai.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, dalam Ops Diesel East Coast 2 (ODEC2) itu, sebanyak tiga kawasan yang dilaporkan berlaku penyelewengan diesel subsidi diserbu.
“Selain itu, pihak kami turut membekukan sebanyak 19 akaun bank berjumlah RM1.1 juta milik syarikat dan anggota sindiket kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut beliau, modus operandi sindiket itu adalah dengan membeli diesel subsidi daripada stesen minyak dan bot-bot nelayan tempatan sebelum dikumpulkan di jeti-jeti haram tersebut sementara menanti pembeli.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula denda sebanyak RM250,000.
Dalam pada itu beliau berkata, penyelewengan diesel bersubsidi tersebut didalangi sindiket terancang untuk mengutip keuntungan dengan nilai jutaan ringgit.
Tambahnya, hasil pemantauan terdapat juga pembabitan pemborong berlesen serta pemilik stesen minyak.
“Oleh itu, tindakan tegas akan diambil dengan membatalkan lesen dan permit sekiranya didapati ada pemborong dan pemilik stesen minyak yang terlibat dalam aktiviti ini," katanya.
Pada 5 April lalu, kementerian itu merampas kira-kira 1.34 juta liter diesel bersubsidi yang cuba diseludup ke luar negara dalam Ops Diesel East Coast 1 (ODEC1) di Pelabuhan Kuantan, Tanjung Gelang di sini.

Mayat pemandu jentolak ditemui


IPOH 13 April - Mayat seorang pemandu jentolak ditemui terapung di dalam lombong berhampiran Taman Cahaya Mambang Diawan dekat Kampar pagi ini.
Mangsa, Sri Isa Ngah, 37, dari Kampung Sungai Raya, Simpang Pulai dekat sini, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lombong bersama jentolak yang dipandunya ketika melakukan kerja-kerja meratakan tanah di tempat kejadian kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Ng Kong Soon berkata, mayat lelaki Orang Asli itu ditemukan berhampiran tebing lombong berkenaan pada kira-kira pukul 9.30 pagi oleh pasukan bomba dan penyelamat.
"Mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140413/je_04/Mayat-pemandu-jentolak-ditemui#ixzz2yo3TJZAd
© Utusan Melayu (M) Bhd