Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Datuk ditahan, polis rampas ketamin seberat 509g

WARTAWAN SINAR HARIAN
Datuk ditahan, polis rampas ketamin seberat 509g
Azman menunjukkan dadah ketamin yang dirampas di sebuah rumah dekat Bakri, Selasa lalu. MUAR - Seorang datuk berusia 59 tahun ditahan dan dadah bernilai RM127,000 dirampas dalam serbuan polis di sebuah rumah dekat Bakri di sini, Selasa lalu.
12 April 2014


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, ketamin seberat 509 gram dirampas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, pekerja kilang terbabit ditahan kira-kira jam 11.30 malam ketika isteri, anak dan cucunya tiada di rumah kerana keluar makan malam di sebuah restoran berhampiran.

“Hasil soal siasat suspek mengaku terbabit dengan kegiatan itu sejak enam bulan lalu yang menjadi pekerjaan sampingannya  untuk menambah pendapatan keluarga.

“Bahan larangan tersebut boleh menampung keperluan kepada 2,500 penagih di sekitar daerah ini dan daerah berhampiran,” katanya kelmarin.

Beliau berkata, dadah itu dijumpai dalam botol serta  paket plastik dan masih belum sempat dibungkus dalam paket kecil untuk edaran kepada pelanggannya.

Azman berkata, ujian air kencing ke atas suspek didapati bebas dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Bagaimanapun suspek ditahan reman sehingga 13 April ini untuk siasatan lanjut bagi mengetahui sumber dadah diperoleh dan kemungkinan  terdapat  rakan-rakan suspek yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Maritim tahan dua nelayan pukat rawa surong


12 April 2014


ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua nelayan dan menyita bot pukat rawa surong mereka kerana menangkap ikan tanpa lesen dan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan, berhampiran Pantai Murni, Yan awal pagi tadi.

Ketua Penguatkuasa Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Lt Kdr Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata bot tersebut ditahan kira-kira pukul 2 pagi, 0.8 batu nautika dari kawasan pantai tersebut.

"Bot itu tidak mempunyai nombor pendaftaran dan tidak mempunyai lesen untuk menggunakan pukat rawa surong. Dalam bot tersebut juga mempunyai peralatan yang tidak dibenarkan. Kami turut menyita tiga kilogram hasil tangkapan nelayan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sejak awal bulan ini hingga kini, APMM menahan tiga bot pukat rawa surong yang menceroboh kawasan pantai Yan.

Sebarang aduan boleh dibuat menerusi talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah di talian 04-7621810. - Bernama

Tibi: P Pinang catat 130 kematian


12 April 2014


GEORGETOWN - Pulau Pinang merekodkan 130 kematian akibat penyakit Tibi atau batuk kering daripada 1,230 kes yang dilaporkan tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Lailanor Ibrahim.
 
Beliau berkata sebahagian besar pesakit berkenaan lewat mendapatkan rawatan dan kurang pengetahuan asas mengenai simptom awal serangan penyakit Tibi.
 
"Ada yang sampai berbulan-bulan batuk dan mengalami demam berpanjangan baru hendak dapatkan rawatan sedangkan penyakit ini ada harapan sembuh jika dikesan pada peringkat awal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Tibi 2014 peringkat negeri, di sini hari ini.
 
Katanya Daerah Timur Laut mencatat angka tertinggi dengan 519 kes diikuti Seberang Perai Tengah (241), Seberang Perai Utara (196), Barat Daya (172) dan Seberang Perai Selatan sebanyak 102 kes.
 
Beliau berkata, sebanyak 114 kes membabitkan warga asing yang bekerja di negeri ini dan 15 kes pesakit berumur 14 tahun ke bawah.

Dr Lailanor menggesa orang ramai tinggal atau bekerja bersama-sama penghidap Tibi supaya menjalani pemeriksaan saringan penyakit itu bagi membolehkan wabak berkenaan dikesan pada peringkat awal.
 
"Selain itu, kami turut giat adakan pelbagai program dan kempen di peringkat sekolah melibatkan 75 kelab doktor muda di negeri ini, selain adakan ceramah kesedaran dan pameran di kawasan perumahan dan kilang-kilang," katanya.
 
Beliau berkata pihaknya memandang serius ancaman Tibi dan menetapkan pesakit mengikuti program kaedah Rawatan Pemerhatian Terus (DOT) yang memerlukan mereka mengambil ubat di hadapan doktor atau pegawai perubatan bertugas bagi memastikan ubat dimakan mengikut waktu.
 
Katanya kaedah itu mula dipratikkan di negeri ini sejak 2012 bagi memudahkan pesakit memaklumkan sebarang kesan sampingan yang dialami sepanjang tempoh rawatan dan pegawai kesihatan bertugas akan pergi ke rumah mereka yang gagal menghadiri program itu.  - Bernama

13 penduduk cabar guling kerajaan dipenjara

13 penduduk cabar guling kerajaan  dipenjara
Sebahagian daripada 13 rakyat Kemboja yang didapati bersalah, diiringi oleh polis ketika berada di mahkamah di Phnom Penh, semalam. 
Mahkamah Kemboja jatuhi hukuman penjara antara lima dan 9 tahun

PHNOM PENH: Mahkamah Kemboja semalam mensabitkan 13 penduduknya bersalah merancang menggulingkan kerajaan, kes yang dilihat kumpulan hak asasi manusia sebagai bermotifkan politik dalam usaha melemahkan pembangkang yang menentang Perdana Menteri Hun Sen.

Semua yang disabitkan, tujuh daripadanya hadir di mahkamah di Phnom Penh, dikaitkan dengan kumpulan kurang dikenali, Barisan Pembebasan Kebangsaan Khmer (KNLF), beribu pejabat di Denmark, kata hakim Mahkamah Perbandaran Phnom Penh, Seng Neang.

Saya mahu masyarakat antarabangsa melihat Kemboja. Tiada keadilan untuk saya, di mana bukti dan saksi?” Pesalah

Beliau menjatuhkan hukuman penjara antara lima dan sembilan tahun ke atas semua 13 orang, termasuk enam yang tidak hadir, kerana merancang menggulingkan kerajaan Hun Sen.

Tujuh daripada mereka, memakai baju seragam penjara berwarna merah jambu, menjerit membantah selepas hukuman dijatuhkan, dengan berkata mahkamah tidak mempunyai bukti atau saksi untuk membuktikan kesalahan mereka.

“Saya mahu masyarakat antarabangsa melihat Kemboja. Tiada keadilan untuk saya, di mana bukti dan saksi?”

Seng Neang berkata, KNLF membentuk pasukan tentera berpangkalan di Thailand dan mengedarkan risalah antikerajaan antara 2009 dan 2011.
Kumpulan berkenaan merancang menanam bom, kata Seng Neang kepada mahkamah tanpa memberikan butiran lanjut mengenai sebarang bukti.

Hun Sen dan Parti Rakyat Kemboja pimpinannya sudah memerintah sejak 1980-an, dan memegang jawatan itu sebagai sebahagian kerajaan dengan sokongan Vietnam dalam menyingkirkan rejim Khmer Rouge.

Beliau mendapat reputasi sebagai pemimpin tegas yang tidak tunduk kepada pembangkang. Pengkritik berkata beliau mengugut pembangkang dan menipu dalam pilihan raya selama bertahun-tahun manakala kumpulan hak asasi manusia mengkritik rekod kerajaannya mengenai hak asasi manusia.

“Ini semua mengenai hal menggunakan kumpulan kecil yang dibuang di luar negara untuk cuba menjatuhkan imej pergerakan pembangkang lebih besar yang menentang Hun Sen dan partinya, dan hukuman penjara yang panjang membuktikannya,” kata timbalan pengarah Asia Human Right Watch, Phil Robertson.

Hun Sen dan kerajaannya menafikan pencabulan hak asasi dan berkata mereka membawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran kepada antara negara paling miskin di Asia selepas berdekad berperang.

Pengarah kumpulan hak Pertubuhan Hak Minoriti, Ang Chanrith, mempersoalkan dakwaan KNLF mempromosikan keganasan.

“Jika kerajaan Denmark membenarkan KNLF beroperasi dalam wilayahnya, mahkamah Kemboja tidak boleh beranggapan ia mempunyai motif yang melanggar undang-undang,” katanya. – AP

Pelajar Somalia maut hasrat mohon PR Malaysia

Pelajar Somalia yang maut hasrat mohon PR Malaysia
Keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan di KM11 Jalan Bentong-Raub dekat Bilut di sini, awal pagi tadi. Kemalangan tersebut menyebabkan tiga maut iaitu Suhaisam Che Abdulla, 33, termasuk sepasang suami isteri Zarifah Alias, 26, dan suami Saeed Mohamad Mohamud Abdalla (gambar kecil), 31, warganegara Somalia manakala sepuluh lagi parah selepas bas dua tingkat yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh tiang elektrik sebelum terbalik. Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Nor Mansor berkata, nahas jam 12.30 itu berlaku semasa bas dua tingkat yang membawa 68 penumpang itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kota Bharu. - Foto Bernama
12 April 2014

BENTONG - Warga Somalia, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla yang maut dalam kemalangan bas ekspres di Km 11, Jalan Bentong-Raub dekat Bilut di sini tengah malam tadi dikatakan berhasrat memohon kerakyatan tetap (PR) negara ini.

Rakannya Muhammad Zaki Omar berkata Allahyarham dalam proses memohon PR Malaysia setelah berkahwin dengan wanita tempatan Zarifah Alias, 26, yang berasal dari Kampung Padang Jeman Salor, Kota Baharu tahun lepas.

Zarifah juga meninggal dalam kemalangan itu. "Arwah amat berminat untuk tinggal di negara ini dan dalam proses memohon PR Malaysia. Sudah kerap kali dia beritahu perkara ini kepada saya lebih-lebih lagi selepas dia berkahwin," kata Muhammad Zaki kepada Bernama di Hospital Bentong hari ini.

Menurutnya Saeed Mohamad sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dan dijangka menamatkan pengajiannya dua tahun lagi.

Muhammad Zaki berkata Zarifah sedang hamil empat bulan dan mereka berdua dalam perjalanan pulang ke kampung Zarifah di Kota Baharu.

Saeed Mohamad juga mahu melawat adiknya Mariam yang belajar di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Jenazah kedua-duanya difahamkan dibawa pulang ke kampung halaman Zarifah untuk dikebumikan selepas disembahyangkan di luar bilik mayat Hospital Bentong selepas solat Zohor.

Sanak saudara dan rakan-rakan pasangan suami isteri itu berkumpul di Jabatan Forensik hospital berkenaan.

Dalam kemalangan itu, tiga maut sementara 10 yang lain termasuk pemandu bas cedera parah. Bas dua tingkat itu datang dari Kuala Lumpur menuju Kota Baharu sebelum ia terbabas serta terbalik.

Sementara itu beberapa orang penumpang menceritakan detik-detik cemas mereka. Norzamera Abd Manaf, 24, yang sedang mengandung empat bulan berkata beliau dan anaknya Nur Qaseh Qaisara Mohd Rizwan, 2 tahun, sepatutnya duduk di bahagian belakang di tingkat atas bas iaitu tempat duduk salah seorang mangsa yang maut.

Bagaimanapun beliau telah bertukar tempat duduk dengan mangsa kerana mersakan tempat duduk tersebut tidak selesa baginya.

"Mungkin belum ajal saya, jika tidak mungkin saya dan anak saya merupakan salah seorang mangsa yang maut," kata pegawai sebuah syarikat swasta ini.

Beliau yang menaiki bas di Puchong, Selangor untuk ke Kota Baharu berkata beliau langsung tidak menyedari kemalangan tersebut kerana tertidur sebaik sahaja bas itu keluar daripada Hentian Bas Putra.

Norzamera menerima enam jahitan akibat cedera pada tangan dan belakang kepala dan dirawat di Hospital Bentong.

Tuan Rosnani Tuan Mohd Din, 22, dari Pasir Puteh yang duduk di bahagian kiri tingkat atas bas berkata beliau yang tertidur sepanjang perjalanan hanya tersedar apabila merasa dirinya dihempap.

"Saya hanya tersedar apabila terasa dihempap oleh benda berat sebelum dibantu di bawa keluar oleh salah seorang daripada tiga rakan saya yang turut menaiki bas yang sama," katanya.

Beliau yang cedera di bahagian belakang berkata keadaan dalam bas selepas kemalangan kelam kabut dengan mereka yang tidak tercedera membantu mengeluarkan mangsa yang cedera dari bas.

Pekerja Tenaga Nasional Berhad, Ruwaidi Jusoh, 35, dari Telipot, Kota Baharu berkata beliau dalam perjalanan pulang setelah menghadiri kursus selama empat hari di Bangi, Selangor.

"Saya naik bas dari Putrajaya kira-kira pukul 10 malam dan ketika sampai di satu selekoh berhampiran Mempaga, tiba-tiba bas itu seakan-akan hilang kawalan dan melambung menyebabkan kebanyakan penumpang menjerit sebelum bas itu melanggar tiang elektrik dan terbalik," katanya.

Beliau yang disahkan lebam di bahagian paru-paru berkata para penumpang terpaksa keluar melalui bumbung bas dengan dibantu pihak bomba sebelum dibawa ke hospital. - Bernama

Cabul: Polis masih kumpul keterangan saksi

kes cabul
ARAU - Polis masih mengumpul keterangan saksi berkaitan kes pensyarah didakwa mencabul seorang pelajar perempuan dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron berkata, siasatan masih diteruskan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.

"Kami masih menghimpunkan segala keterangan saksi untuk mendapat gambaran secara terperinci mengenai kejadian itu.

"Selepas proses itu selesai, baru kita buat keputusan seterusnya sama ada perlu panggil atau sebaliknya pensyarah yang dikaitkan dengan kes berkenaan untuk memberi keterangan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tahun akhir dicabul pensyarah sendiri]

[ARTIKEL BERKAITAN: Pensyarah belum dipanggil bantu siasatan]

Zull berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda atau boleh dikenakan sebatan atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang khabar angin terutama dalam laman sosial mengenai kejadian berkenaan kerana siasatan kes masih dijalankan.

"Siasatan masih berjalan, kita masih belum tahu siapa yang salah, siapa betul.

"Orang ramai tidak sepatutnya sebar atau mempercayai khabar angin dengan sewenang-wenangnya kerana boleh menjatuhkan imej individu terlibat," katanya.

‘Cakoroi’ tonik baru kaki lentok


Oleh Shamsul Munir Safini dan Muhammad Saufi Hassan
Kangar: Saraf otak pecah, muka menjadi gelap, mata cengkung, tubuh semakin kurus, hilang keupayaan diri dan mengalami ketagihan melampau.
Demikian penangan penagih ‘cakoroi’ iaitu sejenis tonik baru yang dihasilkan daripada campuran air ketum, minuman berkarbonat dan ubat batuk yang kini menjadi fenomena dalam kalangan anak muda di sini.
Bukti perubatan menunjukkan peminumnya sengaja menempah maut berikutan pengambilan cakoroi berterusan juga boleh menyebabkan komplikasi buah pinggang serta hati selain mengganggu saraf otak.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Ghazali Othman yang mengesahkan perkara itu memberitahu, pengambilan air ketum yang dicampur dengan pelbagai bahan lain itu boleh memberi kesan hampir sama seperti pengambilan morfin atau kokain.
Foto
BUNGKUSAN air ketum yang dirampas pihak polis di Kangar.

“Pengambilan air daun ketum yang kerap boleh mendatangkan masalah buah pinggang, hati selain mengganggu saraf otak, sekali gus dengan sengaja menempah maut.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

Rentung dalam kereta


Kuala Lumpur: Seorang maut dalam kebakaran membabitkan dua buah kereta di parkir tingkat tiga di sebuah kondominium, Taman Desa, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.56 pagi tadi, kebakaran dilapor membabitkan dua buah kereta jenis BMW dan Proton Iswara.
Penolong Pengarah Penguasa Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, identiti dan jantina sebenar mangsa masih belum diketahui.

"Mayat mangsa ditemui rentung dalam kereta BMW," katanya.
Foto
FOTO ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/11

Pam air punya pasal


Yusmawati Mhd Yusof
Melaka: Kira-kira 80 peniaga di Baazar Kraftangan di pusat beli-belah rugi dan tidak dapat menjalankan perniagaan selepas kedai mereka di Jalan Merdeka, di sini, ditenggelami air hampir 0.3 meter, pagi ini.

Peniaga mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi itu dan mengakibatkan kebanyakan barangan jualan antaranya kraftangan, pakaian dan kuih tradisional rosak kerana berendam dengan air.


Dakwa mereka, bukan hanya mengalami kerugian kerana barang perniagaan rosak, malah mendakwa air bertakung dan mengeluarkan bau busuk itu dipercayai air sisa kumbahan.

Peniaga, Aziz Embi, 59, berkata dia hanya mengetahui mengenai keadaan itu selepas dimaklumkan oleh peniaga lain kira-kira jam 7 pagi.


"Saya terkejut melihat kawasan baazar ini banjir kerana ditenggelami air serta ia mengeluarkan bau busuk. Dipercayai air berkenaan adalah limpahan air hujan yang bercampur dengan sisa kumbahan kerana kira-kira jam 3 pagi tadi hujan lebat di kawasan ini.


"Saya segera menyelamatkan barangan perniagaan, namun masih ada yang rosak dan tidak boleh diselamatkan kerana sudah lama berendam air," katanya ketika ditemui di bazaar itu di sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Premis Perniagaan dan Khidmat Pelanggan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Mohd Derus Che' Mat berkata, kejadian itu berpunca daripada kerosakan pam air di pusat beli-belah berkenaan.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila pam air sedia ada di kawasan ini tidak berfungsi manakala pam sokongan pula mengalami kerosakan menyebabkan air melimpah dan bertakung.

"Ini bukan kejadian kali pertama, sehubungan itu kita menyarankan pihak pengurusan untuk meningkatkan kapasiti pam mereka bagi mengelakkan kejadian daripada berulang dan kerja baik pulih dijangka selesai jam 4 petang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

Nelayan Vietnam menyorok di perut bot elak dikesan Maritim Malaysia





12/04/2014 5:21pm

KEMAMAN - Gara-gara mahu mengelak daripada dicekup pihak berkuasa, lima daripada 24 nelayan Vietnam sanggup menyorok dan berhimpit-himpit di dalam petak simpanan barang di perut bot selama kira-kira 17 jam.

Malah ada yang cuba menyogok pegawai pemerintah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 8 (DM 8) Kuantan sebanyak RM1,300 semalam.

Pengarah Operasi Maritim Malaysia DM 8, Komander Maritim Rahim Ramli berkata, kelima-lima mereka ditemui setelah pemeriksaan dilakukan ke atas bot itu kira-kira 1.35 pagi sebaik ia tiba di jeti Pangkalan Maritim Malaysia Kemaman di Bukit Kuang kira-kira pukul 6.30 petang.

Beliau berkata, ketika ditahan pada pukul 1.35 pagi kira-kira 27 batu nautika utara dari Pulau Tioman, kelima-lima lelaki berkenaan sempat menyusup masuk ke dalam tempat persembunyian itu tanpa dilihat kerana lampu di atas bot itu telah dipadam sebaik kapal maritim Maritim Malaysia mengesan mereka.

"Semasa melakukan rondaan, kita berjaya mengesan bot berkenaan melakukan aktiviti tunda ganding bersama sebuah lagi bot lain, namun sebaik menyedari kapal maritim menghampiri bot mereka dan mereka menyuluh pula ke arah kapal pihak berkuasa. - Bernama



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_09.htm#ixzz2yfQLC41D
Hakcipta terpelihara 

4 laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook hina Agong


2014/04/12 - 17:54:27
KLANG: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pergerakan Pemuda UMNO hari ini membuat empat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan itu dibuat oleh Gerakan Belia 4B Kota Raja; UMNO Cawangan Taman Desa Utama, Klang Jaya; Pemuda UMNO Kota Raja; dan Persatuan Persatuan Penduduk Pangsapuri Klang Jaya.


Pengerusi Gerakan Belia 4B Kota Raja, Muhd Ali Zakariah, berkata pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook itu kerana menghina ketua negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, kami mengutuk tindakan pemilik akaun itu yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Dia ibarat menghina sistem Raja Melayu di negara ini.

"Kami gesa pihak berkuasa dapat siasat pemilik akaun Facebook itu dan dihukum dengan hukuman lebih berat sebagai amaran dan pengajaran pada orang lain," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Beliau berkata, akaun laman sosial itu didapati masih aktif dengan memuat naik pelbagai status mencerca keharmonian kaum di negara ini selain turut menghina Polis Diraja Malaysia, parti politik dan sebagainya.

- BERNAMA

Lelaki pertahan tindakan ambil anak


2014/04/12 - 04:57:13

Seremban: “Saya tidak melakukan sebarang kesalahan kerana Mahkamah Tinggi Syariah di sini, memberi hak jagaan kepada saya,” kata Izwan Viran Abdullah, 31.

Beliau mempertahankan tindakan mengambil anak lelakinya berusia enam tahun dari rumah bekas isteri yang bukan Islam, di Rumah Rakyat Sungai Rotan


di Jelebu, Rabu lalu. Saudara baru yang memeluk Islam tahun lalu dan selesa dipanggil Izwan, juga mendakwa tidak bersembunyi, sebaliknya membawa anaknya ke sebuah tempat di Selangor yang bekas isterinya tahu, malah pihak berkuasa mengetahui perkara itu.


“Saya tidak salah. Saya pergi ke rumah bekas isteri (S Deepa, 30) untuk ambil kedua-dua anak (termasuk seorang perempuan berusia sembilan tahun). Untuk mengelakkan kekecohan, saya hanya sempat bawa anak lelaki.

“Perbincangan sedang dilakukan dengan peguam dan beberapa pihak lain untuk tindakan lanjut, termasuk kemungkinan tampil memberi kenyataan rasmi,” katanya ketika dihubungi BH, semalam. Izwan juga akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini, Isnin lalu.

Padah terima suapan RM246,024.20


2014/04/12 - 05:07:07

Tweet
Butterworth: Seorang bekas pegawai Jabatan Perikanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM246,024.20 daripada seorang ahli perniagaan pada Februari 2010.

Tertuduh, Abdul Hamid Ismail, 52, yang juga bekas Ketua Perikanan Daerah Hulu Perak Selatan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan berkenaan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim, Roslan Hamid.


Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Hamid didakwa pada 8 Februari 2010 di Maybank Seberang Jaya, Bandar Baru Seberang Jaya, menerima satu barang berharga tanpa balasan, iaitu cek CIMB cawangan Jalan Kampar, Ipoh, Perak bernilai RM200,000.

Tertuduh yang ketika itu seorang penjawat awam didakwa menerima cek itu daripada Perniagaan Justru Cemerlang Enterprise milik Mohd Rosman Ramli, 48, yang didepositkan ke dalam akaun Perniagaan HA Agrotech milik tertuduh.

Tertuduh juga didakwa pada ketika itu mengetahui Mohd Rosman mempunyai hubungan rasmi dengan kerjanya sebagai sebagai pemeriksa bagi dokumen Permohonan Insentif Akuakultur manakala Perniagaan Justru Cemerlang Entreprise adalah pembekal benih ikan dan pembeli ikan.

Lelaki rentung dalam kereta disyaki dibakar


2014/04/12 - 05:05:12
Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kereta dipercayai akibat perbuatan khianat selepas dua buah kenderaan terbakar di tempat letak kereta, di Blok A, Kondominium Danau Murni, Taman Desa, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam kira-kira 5.50 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun sengaja dibakar di dalam kenderaan yang diletakkan di tingkat tiga kondominium berkenaan.


Difahamkan, mangsa yang bekerja di Unit Lesen Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) itu, terperangkap dalam kereta yang diparkir sebelum dibakar dan menyebabkan dia rentung di dalam kenderaan terbabit.
Butiran pemilik kenderaan BMW sudah dikenal pasti tetapi masih belum mengetahui sama ada mangsa adalah pemilik kereta itu” Muhammad Azlee Abdullah, Ketua Polis Daerah Brickfields

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat di Kondominium Danau Murni itu kerana hanya membabitkan dua kereta jenis BMW dan PROTON Iswara.

Mangsa peramah

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 5.56 pagi sebelum menghantar sebuah jentera dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh ke lokasi kejadian.

“Anggota yang tiba di lokasi kejadian kira-kira tujuh minit kemudian mendapati, api sedang marak dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya setengah jam kemudian,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah, berkata mangsa yang menyewa di kondominium itu bersama kawannya dikatakan seorang yang peramah.

“Butiran pemilik kenderaan BMW sudah dikenal pasti tetapi masih belum mengetahui sama ada mangsa adalah pemilik kereta itu,” katanya.

Maut bertembung bas persiaran di Jasin

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
Jasin: Lelaki maut apabila kereta dipandu bertembung dengan bas persiaran di Kilometer 26 Jalan Jasin Merlimau, Merlimau di sini, 10.40 malam tadi.
Difahamkan, Proton Wira dipandu mangsa, Mohd Syafiq Abd Latif, 24, dalam perjalanan dari Merlimau ke Jasin manakala bas dipandu lelaki berusia 47 tahun datang dari arah bertentangan. 
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Mohd Nur Hishamudin Hashim berkata, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan bas dinaiki 20 penumpang terbabit.

"Rempuhan mengakibatkan mangsa tersepit dan dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan maut di tempat kejadian kerana parah di kepala.
Foto

"Semua penumpang dan pemandu bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

Gerak hati selamatkan nyawa

Gerak hati selamatkan nyawa
Anggota bomba sukarela Alor Pongsu bersama penduduk Kampung Parit Lebai Kadir bertungkus-lumus memotong pokok getah yang menghempap rumah Idris.
WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2014
BAGAN SERAI - Gerak hati menyelamatkan enam beranak daripada maut setelah rumah didiami mereka ditimpa sebatang pokok getah yang tumbang dalam kejadian ribut di Kampung Parit Lebai Kadir, di sini malam kelmarin.

Pesawah, Idris Jelani, 39, berkata, ketika kejadian, dia, isteri dan dua anak serta dua adik yang sedang menonton televisyen dikejutkan dengan bunyi angin kencang dan dentuman petir.

Menurutnya, dia segera meninjau ke luar rumah setelah mendengar bunyi dahan pokok di luar patah.

“Menyedari angin bertiup terlalu kencang diselangi bunyi lebih banyak dahan pokok patah, gerak hati saya berasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku dan mengarahkan ahli keluarga lain kekal di ruang tamu.

“Selang beberapa saat selepas itu, tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat di bahagian dapur dan mendapati sebatang pokok getah berketinggian lebih 20 kaki menghempap bahagian dapur,” katanya yang menerima kunjungan Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat; Naib Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Mohd Noor Dawoo dan kepimpinan sayap Umno bahagian.

Sementara itu di Pekan Selinsing, sebuah keluarga hanya mampu menyaksikan ribut kencang menerbangkan hampir keseluruhan bahagian bumbung rumah mereka dalam tempoh kira-kira dua minit.

Mangsa, Abdul Wahid Osman, 43, berkata, sebelum kejadian, dia sempat melaungkan azan di  hadapan rumah berikutan angin terlalu kencang diselangi hujan lebat.

Bagaimanapun katanya,  bumbung bahagian dapur dan bilik tidur rumahnya diterbangkan ribut.

“Akibat kejadian ini, saya kerugian hampir RM15,000 berikutan sebahagian besar barangan elektrik dan perabot rosak,” katanya.

Mengulas mengenai insiden tersebut, Sham berkata, pihaknya akan menguruskan permohonan kesemua mangsa ribut untuk mendapatkan bantuan kecemasan daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pada sesi lawatan bersama Pemuda dan Wanita Umno bahagian, kami turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa terlibat.

Nyaris maut, motosikal langgar belakang lori


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 April 2014
Nyaris maut, motosikal langgar belakang lori
Nyaris maut, motosikal langgar belakang lori Motosikal yang dipandu mangsa.




RAUB - Seorang lelaki nyaris maut apabila motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah lori di KM329 Jalan Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu, kelmarin.

Mangsa, Mohd Hafizi Mat Hassan, telah mengalami kecederaan patah paha kanan dan dikejarkan ke Hospital Raub selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, mangsa dikatakan datang dari arah Kuala Lipis menuju ke Raub.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal terbabit telah memotong deretan kenderaan namun telah melanggar sebuah lori yang membelok ke kanan.

“Motosikal yang dipandu mangsa telah melanggar tayar belakang sebelah kanan lori terbabit dan menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera di paha kanan,” katanya.

Menurutnya, mangsa difahamkan merupakan anak seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah.

Katanya, pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mangsa masih dirawat di Hospital Raub.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Tiga minggu anak tak pulang rumah


WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2014

Tiga minggu anak tak pulang rumah
Tiga minggu anak tak pulang rumah Abd Razak yang enggan mukanya disiarkan memegang sekeping gambar Nor Haleeda.



TEMERLOH – Sepasang suami isteri dari Taman Temerloh Makmur, dekat sini merayu anak gadisnya pulang selepas tiga minggu keluar rumah dipercayai mengikut seorang tomboi.

Abd Razak Wahab 50, berkata, anak gadisnya seolah-olah dipukau dan mengikut sahaja kemahuan tomboi itu termasuklah menyerahkan rantai emas dan barangan peribadinya sepanjang setahun mengenali tomboi itu.

Menurutnya, sebelum ini anak gadisnya, Nor Haleeda 22, adalah seorang anak yang mendengar kata tetapi semua itu berubah sejak dia mengenali tomboi terbabit.

“Saya bimbang anak gadis saya diperdagangkan pihak tertentu dan merayu sesiapa sahaja yang menjumpainya supaya dapat menghantarnya pulang kerana kami sekeluarga sangat merinduinya.

“Saya juga merayu dengan pihak berkuasa menyiasat dan mencari ke mana hilangnya anak gadis saya ini,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Sementara itu ibu gadis terbabit Zainon Muda, 43, berkata, dia dan suami melakukan pelbagai ikhtiar untuk membawa pulang anak gadisnya termasuk bertemu dengan seorang ustaz pengamal perubatan Islam.

Menurutnya, kali pertama anak gadisnya mengikut tomboi itu dan tidak pulang ke rumah selama lapan bulan sebelum berjaya dibawa pulang dan dihantar berubat.

“Dia hanya sempat tinggal semula dengan kami hanya dalam tempoh sebulan, selepas berubat nampak ada perubahan dan dia kembali ke pangkuan keluarga, tetapi pada satu malam tomboi itu datang ke rumah ikut pintu belakang dan bawa anak saya pergi.

“Sudah tiga minggu anak saya tidak pulang ke rumah, suami saya pernah pergi mencari anak gadis saya di rumah keluarga tomboi itu tetapi anak saya tidak ada.

“Menurut tomboi itu, anak saya ke Terengganu mengikut seorang kenalannya tetapi saya yakin anak saya masih bersamanya dan berada di daerah ini,” katanya.

Zainon merayu anak gadisnya itu pulang ke pangkuan keluarga selain meminta bantuan polis untuk membawa anaknya pulang.

'Mujurlah bomba cepat sampai'

WARTAWAN SINAR HARIAN
'Mujurlah bomba cepat sampai'
Keadaan kedai Mahasan yang terbakar dalam kejadian di Arked Mara Chukai, lewat petang kelmarin.   
12 April 2014
CHUKAI - “Mujurlah bomba cepat sampai, kalau tak mungkin kedai saya 100 peratus hangus,” kata pemilik kedai serbaneka, Mahasan Hussin, 45, yang nyaris kerugian puluhan ribu ringgit selepas premisnya di Arked Mara Chukai terbakar, lewat petang kelmarin.

Tindakan pantas pasukan bomba dan penyelamat juga berjaya mengelakkan api daripada merebak ke lot kedai bersebelahan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu iaitu selepas sejam setengah mangsa menutup kedainya.

Mahasan berkata, sebelum menutup kedainya dia tidak merasa apa-apa yang pelik dan tidak menyangka premisnya akan terbakar.

“Ketika terima panggilan telefon mengenai kes ini saya sudah berada di rumah saya di Chendor dan bergegas datang ke kedai.

“Semasa sampai, api sudah dipadamkan bomba dan saya bersyukur kerana kedai tak musnah 100 peratus, hanya sebahagian dinding terbakar selain ada juga perkakas dalam kedai dan barang-barang jualan yang musnah,” katanya.

Kebakaran tersebut dipadamkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman dengan bantuan anggota dari BBP Chukai yang segera berkejar ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam.

Ekoran kejadian itu mangsa yang juga bapa kepada empat anak menanggung kerugian kira-kira RM4,000.

Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada mesin wang tunai di kedai berkenaan yang telah beroperasi sejak dua tahun lalu.

Seorang saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, ketika kejadian dia melihat kepulan asap keluar dari kedai serbaneka itu menyebabkan orang ramai yang berada di situ panik kerana khuatir kebakaran akan merebak ke lot kedai lain.

“Dalam keadaan cemas itu ada yang hubungi bomba dan tak sampai beberapa minit pasukan bomba tiba serta segera bertungkus lumus membuka pintu kedai itu untuk padamkan api yang datang dari dalam kedai,” katanya.

Sementara itu Adun Chukai, Hanafiah Mat turut meluangkan masa meninjau keadaan kedai dan memberi kata perangsang kepada Mahasan agar bersabar dengan ujian berkenaan.

Tenggelam bersama jentolak

ROSDALILAH ZAHARI
Tenggelam bersama jentolak
Anggota bomba turut menjalankan operasi mencari dan menyelamat menggunakan bot di sekitar kawasan lombong tersebut.
12 April 2014
 KAMPAR - Seorang pemandu jentolak dikhuatiri lemas selepas jentera yang digunakan untuk meratakan tanah di Lombong Tapak Projek Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Air Hitam Labu, di sini semalam, terhumban ke dalam lombong tersebut.

Mangsa, Sri Isa Ngah, 34, dari Kampung Sungai Raia, Simpang Pulai dipercayai sedang meratakan tanah sebelum secara tiba-tiba tebing tanah runtuh sehingga menyebabkan mangsa jatuh bersama-sama jentolak yang dipandunya ke dalam lombong.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar selaku Komander Operasi, Mohamad Yamin Naib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, kira-kira jam 11.32 pagi dan jentera tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

Menurutnya, seramai 15 anggota dari BBP Kampar termasuk Unit Skuba dari BBP Ipoh terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Kami melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa di permukaan air menggunakan dua bot aluminium yang mana satu daripadanya dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Keadaan cuaca ketika sepanjang operasi mencari dan menyelamat adalah baik dan sedikit berangin.

“Sehingga jam 6.15 petang tadi (semalam), unit skuba telah menyelam dan mencari mangsa di sekitar kawasan seluas 1.2 hektar di lombong yang mempunyai kedalaman sembilan meter itu.

“Unit skuba telah menghentikan operasi menyelam dan kini hanya operasi mencari hanya dijalankan di permukaan air yang bagi mengesan jika terdapat tompokan minyak dari jentera tersebut yang mungkin dapat membantu menjejaki mangsa.

“Bagaimanapun, operasi menyelam akan disambung pagi esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mereka akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat serta menempatkan anggota di lokasi kejadian untuk mendapatkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Katanya, sehingga jam 7 petang tadi mangsa masih belum ditemui.

Pada perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, selain bomba, pihaknya turut menghantar sembilan anggota untuk memberikan bantuan.

“Selain itu, seramai 17 anggota JPAM dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) turut terbabit dalam operasi tersebut,” katanya.

Bersekongkol pecah kilang

WARTAWAN SINAR HARIAN
Bersekongkol pecah kilang
Azman (dua, kanan) memeriksa barang yang dirampas daripada 14 warga Vietnam yang memecah masuk kilang di sekitar daerah ini. 
11 April 2014
MUAR – Seorang lelaki tempatan dan 14 warga Vietnam termasuk dua wanita berjaya ditahan dalam serbuan berasingan disyaki terbabit dalam beberapa kejadian  pecah kilang di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, lelaki tempatan itu bertindak sebagai dalang utama dengan menjadi pemandu kereta sapu untuk menghantar kesemua warga asing itu ke kilang yang menjadi sasaran rompakan.

Menurutnya, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi, 7 April lalu di sebuah rumah di Bukit Pasir.

“Ekoran itu, kita berjaya menahan 14 warga Vietnam terbabit di asrama pekerja dan kilang tempat mereka bekerja, kira-kira jam 9 pagi pada keesokan harinya di Kawasan Perindustrian Bakri.

“Tangkapan ke atas mereka susulan daripada laporan yang dibuat salah seorang pekerja sebuah kilang perabot di Bakri yang telah dipecah masuk membabitkan kerugian berjumlah RM56,000” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di asrama warga asing itu telah menemui empat komputer riba, 27 pasport warganegara Vietnam dan wang tunai RM10,000.

“Kita percaya kesemua barang-barang itu hasil rompakan suspek di tiga kilang yang mereka lakukan sebelum ini.

“Lelaki Vietnam  berusia di antara 19 hingga 35 tahun, manakala dua wanita pula berusia 35 dan 41 tahun tahan oleh anggota  pasukan khas IPD Muar menerusi Ops Cantas,” katanya.

Azman berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan itu  baru ditubuhkan dan  aktif melakukan jenayah  kira-kira tiga bulan lalu.

“Suspek warga Vietnam itu mempunyai dokumen yang sah dan dipercayai sudah berada di daerah ini setahun lalu.

“Kesemua suspek  bebas dadah tetapi lelaki tempatan itu mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 324 kanun keseksaan sejak tahun 2011,” katanya.

Jelasnya, mereka ditahan reman hingga 21 April ini untuk siasatan lanjut bagi mengetahui kemungkinan ada saki baki kumpulan masih bebas.

Azman memberitahu suspek disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 kanun keseksaan.

23 Pati kena tahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Pati kena tahan
Antara Pati yang ditahan dalam serbuan Ops 6P di sekitar Manjung dan Ayer Tawar Selasa lalu. 
12 April 2014
LUMUT - Imigresen Lumut berjaya menahan 23 pendatang tanpa izin (Pati) dalam satu serbuan Ops 6P  di sekitar Manjung dan Ayer Tawar, Selasa lalu.

Ketua Imigresen Lumut, Muhamad Faizal Saidin berkata, dalam operasi bersama 14 anggota Imigresen Lumut itu, mereka telah memeriksa 31 pendatang di rumah kediaman dan juga restoran di ladang kelapa sawit.

Menurutnya, ketika operasi yang bermula pada jam 6.30 petang itu, 23 pendatang yang melakukan kesalahan tertentu berjaya ditahan.

“Mereka yang ditahan adalah lima warga Vietnam, dua Pakistan, satu India, enam Kemboja, satu Myanmar dan lapan rakyat Indonesia. Mereka terdiri daripada 15 lelaki dan lapan wanita berusia 18 tahun hingga 50 tahun.

“Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c) iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa sebarang pas sah serta Seksyen 15 (1)(c) tinggal lebih masa di negara ini dan juga Peraturan 39 (b) menyalahgunakan pas lawatan,” katanya.

Muhamad Faizal berkata, Pati berkenaan bekerja dalam pelbagai sektor termasuk buruh dan pelayan restoran.

“Kita menahan seramai 31 pendatang tetapi 23 pendatang yang melakukan kesalahan manakala selebihnya mengikut syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang masalah Pati yang seterusnya membawa kepada gejala sosial.

Katanya, pihaknya sentiasa mendapat maklumat daripada orang awam dan beliau berharap keadaan itu berterusan kerana kerjasama yang baik tersebut secara tidak langsung dapat membantu mengekang kemasukan Pati ke negara ini.

Bom tersangkut pada jaring

Bom tersangkut pada jaring
Bom yang ditemui Tarmizi diletakkan di kawasan berhampiran yang kemudiannya ditanda dengan garisan kuning polis. 
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 April 2014
SEKINCHAN - Dua pemancing yang leka menjala di sungai bersebelahan Tali Air 5, Ban Kanal terkejut menemui sebutir bom tersangkut pada jaring mereka, tengah hari semalam.

Tarmizi Imran, 50, dari Tali Air 4 Sekinchan berkata, penemuan bom kira-kira jam 11.30 pagi itu menggemparkannya kerana tidak pernah melihat bom sebelum ini.

Menurutnya, dia dan rakannya, Sarman Saleh, 32, tiba di sungai itu kira-kira jam 10 pagi dan kemudian terus memasang jala untuk menangkap ikan di tebing sungai terbabit.

“Bila kami tarik jala itu, memang berat, tak macam biasa. Mula-mula kami ingatkan ikan, rupa-rupanya bom yang tersangkut,” katanya kepada Sinar Harian.

Tarmizi berkata, bom itu kemudiannya dikeluarkan dari jaring dan diletakkan di atas tanah berhampiran sebelum menghubungi Balai Polis Sekinchan untuk membuat laporan berhubung penemuan itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, bom itu mungkin digunakan semasa Perang Dunia Kedua memandangkan kawasan Sekinchan sebelum ini pernah menjadi kubu tentera Jepun.

“Tak kurang 200 meter dari tempat saya jumpa bom ini ada tinggalan bangunan lama tentera Jepun dan tak mustahil bom ini digunakan mereka masa perang dulu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penemuan bom terbabit.

Beliau berkata, Unit Bom Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor tiba ke tempat kejadian jam 3 petang semalam dan mengesahkan bom terbabit tidak lagi aktif.

“Bom itu kemudiannya dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Balasan anak derhaka


WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2014


KUANTAN - Dua lelaki masing-masing dihukum penjara empat dan enam bulan sebagai balasan atas sikap biadab mereka terhadap ibu bapa sendiri.

Tertuduh, Muhammad Hasbillah Hanifah Shuhaimi, 24, dari Taman Sri Inderapura, Jalan Kuantan-Pekan dihukum penjara empat bulan kerana mengugut ibu dan bapanya menggunakan sebilah pisau.

Manakala  Mohd Zakie Shamsudin, 29 dari Kampung Teluk Mahang, Batu 5, Jalan Gambang dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah menakutkan ibunya bagi tujuan pemerasan.

Tuduhan ke atas kedua-dua tertuduh itu dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali manakala pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Abdul Halim Hamat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Hasbillah Hanifah dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap ibu dan bapanya menggunakan sebilah pisau dalam satu kejadian di rumah keluarga itu di Taman Sri Inderapura, Jalan Kuantan-Pekan kira-kira 8 malam, 4 April lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala Mohd Zakie dituduh cuba menakutkan ibunya bagi tujuan pemerasan juga di kediaman mereka di Kampung Teluk Mahang dekat sini kira-kira jam 5 petang, 2 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang juga membawa hukuman penjara  sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pekerja ladang maut tercampak dari traktor

WARTAWAN SINAR HARIAN
Pekerja ladang maut tercampak dari traktor
Traktor hilang kawalan dan terbalik menyebabkan Siti Maimunah tercampak ke kaki bukit. 
12 April 2014
REMBAU - Seorang warganegara Indonesia maut selepas traktor yang dinaikinya hilang kawalan lalu tercampak ke kaki bukit di Ladang Air Belerang, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang berasal dari Lombok Tengah, Siti Maimunah, 62, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah dan mayatnya di hantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.

Menurut saudara mangsa, Ainudin Nor An, 50, beberapa hari sebelum kejadian, mangsa ada menghubunginya memintanya datang ke ladang berkenaan memandangkan dia mahu pulang ke Indonesia.

“Jadi saya dari Johor Bahru datang melawatnya di sini dan beberapa jam sebelum kejadian, kami sempat berbual seperti biasa. Katanya dia mahu pulang kerana terlalu merindui tiga anaknya yang berada di sana.” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.

Menurut Ainudin, ketika kejadian, dia berada di lokasi lain sebelum menerima panggilan dari rakan mangsa memaklumkan kejadian berkenaan, lalu bergegas ke ladang berkenaan.

“Sebaik tiba di sana, saya lihat mangsa sudah nazak dan mulutnya mengeluarkan buih,” katanya yang sudah tinggal di sini selama dua hari bagi menguruskan kepulangan jenazah saudaranya itu.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa merupakan penumpang traktor berkenaan untuk menjalankan kerja-kerja menabur baja, sementara traktor berkenaan dipandu oleh individu lain.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, traktor yang sedang menuruni kawasan tinggi itu  hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan mangsa tercampak ke kaki bukit.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa di hantar ke hospital Tampin untuk proses bedah siasat," katanya.

Temui mayat dalam kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
Temui mayat dalam kereta
Mayat seorang lelaki ditemui di dalam kereta jenis Perodua Kenari di ladang kelapa sawit, semalam. 
12 April 2014
SENAI - Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah kereta jenis Perodua Kenari di sebuah ladang berhampiran kawasan perkuburan Cina di Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Ruslan Khalid berkata, pihak polis menerima panggilan orang awam mengenai penemuan lelaki berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi dan bergegas ke lokasi untuk menyiasat kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, pihak polis menemui seorang lelaki di tempat duduk hadapan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Katanya, lelaki berusia lingkungan 40-an itu merupakan warga tempatan dan kes disiasat sebagai kematian mengejut.

Mayat dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk bedah siasat.

Bergelut dengan polis elak ditahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Bergelut dengan polis elak ditahan
Mohd Kamal memeriksa kabel dipotong suspek dan diletakkan di tempat duduk belakang. 
11 April 2014
PASIR PUTEH - Dua lelaki yang dikesan mencuri kabel di Pencawang Maxis di Bukit Jawa, Selising, di sini, semalam, bertindak nekad bergelut dengan anggota polis bagi mengelak ditahan.

Bagaimanapun, mereka akhirnya berjaya ditangkap dua anggota polis termasuk Koperal/Detektif Zulkifli Hanif Mohamed daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh yang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Selepas menerima maklumat orang awam mengenai kegiatan mencurigakan dua lelaki, kira-kira jam 2.30 petang, anggota polis bergegas ke pencawang tersebut.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, ketika anggota polis tiba di lokasi, terdapat dua lelaki sedang memunggah kabel siap dipotong ke dalam kereta jenis Volvo.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 29 dan 40 tahun terkejut  kehadiran anggota polis menghampiri kereta mereka dengan salah seorang mengeluarkan parang seolah-olah mahu menyerang polis.

“Mereka masuk ke dalam kereta, pemandu menghidupkan enjin dan bertindak seperti mahu melanggar anggota polis, bagaimanapun kenderaan suspek dihalang kenderaan anggota polis terbabit.

“Ketika anggota polis menuju ke kereta suspek, mereka enggan bekerjasama yang memaksa anggota polis memecahkan cermin hadapan dan kanan kereta.

“Suspek mengundurkan kereta dan ke depan semula sehingga nyaris melanggar anggota polis yang menyebabkan anggota polis bertindak melepaskan tembakan ke tayar,  menyebabkan kereta suspek terhenti,” katanya pada sidang media di Dewan Impiana, IPD Pasir Puteh, di sini, semalam.

Mohd Kamal berkata, selepas itu berlaku pergelutan apabila suspek cuba mengelak ditahan sehingga menyebabkan anggota polis (Zulkifli) mengalami kecederaan jari tangan kanan sebelum kedua-duanya yang berasal dari Labok, Machang dan Marang, Terengganu berjaya ditahan.

Menurutnya, polis menemui kabel kecil dan besar siap dipotong dalam kereta suspek, selain menjumpai senjata tajam, peralatan yang digunakan untuk kegiatan curi kabel dan satu pil kuda.

“Mereka yang membawa bersama topi keselamatan untuk menyamar sebagai pekerja pencawang didapati positif dadah jenis methaphetamine dan salah seorang daripada mereka iaitu pemandu didapati mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kita percaya dengan penangkapan ini, kita berjaya menyelesaikan beberapa lagi kes curi kabel di kawasan ini dan kawasan sekitar," katanya.

Katanya, suspek ditahan reman mulai semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis amat dihargai kerana kecurian itu menyebabkan syarikat telekomunikasi terbabit kerugian mencecah RM40,000.

China, India berdepan krisis penyakit kanser

kanser
PARIS - PERANCIS. Pakar mendapati China and India sedang berhadapan krisis penyakit kanser disebabkan rakyatnya lambat membuat pemeriksaan dan siri rawatan tidak konsisten menyebabkan ia menjadi masalah skala besar, lapor AFP.

Menurut laporan The Lancet Oncology, lebih 40 pakar memberi amaran kepada dua negara gergasi Asia itu bakal berhadapan peningkatan kos ekonomi dan kemanusiaan berhubung krisis itu.

Di China, setiap satu daripada lima kematian mencatatkan kematian yang disebabkan kanser selepas penyakit kardiovaskular.

Tambah laporan itu, 60 peratus daripada kes-kes kanser di China berpunca daripada "faktor persekitaran diubah" termasuk merokok, pencemaran air dan pencemaran udara.

China belum terima tuntutan penculik

China belum terima tuntutan penculik
Keratan laporan Sinar Harian, semalam.
12 April 2014  KUALA LUMPUR - Kerajaan China  belum menerima sebarang  tuntutan wang tebusan daripada penculik yang menahan warganya sejak 2 April lalu.
    
Konsulat China di Kuching berkata, walaupun tuntutan telah dibuat terhadap Kerajaan Malaysia, namun pihaknya tidak menerima tuntutan sama.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menerima nota daripada penculik yang menuntut RM36.4 juta sebagai wang tebusan.

Terdahulu pihak berkuasa Filipina yakin penculikan itu dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf dan kedua-dua mangsa itu dipercayai dibawa ke Pulau Simunul di Tawi-Tawi, Filipina Selatan. - Chinadaily

Kaki masuk mesin padi


SYAIRAH ABDUL LAJIS
12 April 2014

Kaki masuk mesin padi
Kaki masuk mesin padi Ratnadevitina menunjukkan bahagian jentera yang telah mencederakan kaki suaminya.


Kaki masuk mesin padi
Keadaan kaki kanan Mahmud.
KUALA PILAH – “Saya hanya ingat anak-anak, isteri ketika kejadian dan bertahan sekuat hati selama sejam bagi menahan ‘coupling’ dari terus makan kaki saya. Hanya ALLAH sahaja tahu betapa sakitnya,” kata Mahmud Ahmad, 49, di temui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dekat sini, semalam.

Katanya, ketika kejadian 6 petang pada Isnin (7 April), dia sedang bertukar tempat dengan seorang rakan dikenali dengan nama panggilan Pendek yang mahu mencuba membawa jentera mesin menuai padi itu di sawah kampung Padang Lalang.

“Waktu itu, enjin jentera masih berfungsi. Saya tidak menutup enjin jentera kerana sudah terbiasa. Bagaimanapun, semasa tukar tempat, tiba-tiba saya tergelincir dan kaki kanan termasuk ke dalam mesin hingga menyebabkan seluar jean dan kasut getah saya hancur.

“Daging kaki kanan saya turut hancur dari jari hinggalah ke paras lutut. Dalam keadaan panik itu, rakan saya tergamam dan cuba menarik kaki saya tetapi tidak boleh,” katanya jentera itu miliknya.

Menurutnya, Pendek kemudian bertindak menghubungi rakan yang lain untuk cuba membantu menarik keluar kakinya.

“Rakan lain ada cuba tarik dan menahan ‘coupling’ dari terus menelan kaki saya dengan menggunakan tukul besi seberat dua kilogram. Darah memancut-mancut keluar dari celah mesin. Saya hanya mampu bertahan ketika mereka berempat berusaha menarik keluar kaki saya. Selama sejam juga saya bertarung dalam kesakitan.

“Sejurus kaki saya berjaya di keluarkan. Rakan-rakan membawa saya ke Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN) menaiki sebuah van.

Pada Selasa malam, pembedahan dilakukan untuk membuang sel-sel mati dan memasang dua besi bagi menggantikan dua jari kaki yang patah.

“Pembedahan itu dijalankan selama lima jam dari 11 malam hingga 3 pagi,” katanya bersyukur dirinya masih hidup dan kakinya tidak dipotong.

Sementara itu, Mahmud yang berasal dari Alor Setar, Kedah mengusahakan sawah padi di kampung itu sejak 10 tahun lalu.

“Saya berada di kampung ini untuk mengusahakan sawah padi seluas 45 hektar dan hasilnya dipasarkan ke Muar, Johor.

“Peristiwa ini merupakan insiden pertama kali berlaku sepanjang saya menceburi pertanian sawah padi lebih daripada 20 tahun,” katanya.

Isteri mangsa, Ratnadevitina Shuib, 32, berkata, ketika kejadian dia sedang menjemput anaknya, Khirjamil Mahmud, 14, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Juasseh.

“Saya telah dimaklumkan oleh anak buah (Norlaila Zahari, 17), yang datang ke sekolah bertemu saya memberitahu tentang insiden itu.

“Sejurus dimaklumkan, seluruh tubuh saya menggigil dan saya bergegas pulang ke rumah. Tiba di tempat kejadian, saya hanya perhatikan dari jauh kawan-kawan suami sedang berusaha mengeluarkan kakinya yang tersepit di mesin menuai padi," katanya.

Tambahnya, dia berdoa agar suaminya segera sembuh kerana perlu menyara enam anak berumur dari empat tahun hingga 14 tahun dan masih bersekolah.

“Dan ketika ini saya juga sedang mengandung empat bulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Lalang, semalam.

Dua jam resah anak dilarikan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Dua jam resah anak dilarikan
Mohamad (kanan) dan Norizan gembira apabila anak mereka ditemui selamat ditinggalkan dalam kereta di Kampung Bukit Guntung, Tepoh. 
12 April 2014
MARANG - Pasangan suami isteri menempuh detik mencemaskan apabila anak mereka yang ditinggalkan tidur dalam kereta dilarikan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Kepong di Pengadang Baru dekat sini, petang kelmarin.

Bagaimanapun, Mohamad Sapri Awang, 45, akhirnya menarik nafas lega selepas anaknya, Mohamad Hasmie, 7, berjaya ditemui dua jam kemudian.

Mohamad berkata, sebelum kejadian, dia dan isteri, Norizan Mohamad@Jusoh, 43, serta anak mereka dalam perjalanan mengutip wang hasil jualan ayam sebelum singgah memberhentikan kenderaan di hadapan kedai nasi ayam di Jalan Kepong di Pengadang Baru.

Menurutnya, dia dan isteri berhenti untuk ke kedai makan itu bagi mengambil wang hasil jualan ayam daripada peniaga kedai makan tersebut dengan meninggalkan anak mereka bersendirian yang tidur dalam kereta.

“Kami tiba di hadapan kedai itu lebih kurang jam 3.20 atau 3.30 petang. Saya dan isteri mahu ambil wang hasil jualan ayam berjumlah lebih kurang RM5,000 dan sempat pesan tiga bungkus nasi ayam ketika menunggu di dalam kedai makan.

“Belum sempat ambil wang dan bungkusan nasi ayam itu, secara tiba-tiba kereta saya dilarikan sebelum meluncur laju dan mula hilang dari pandangan,” katanya yang menjalankan perniagaan menjual ayam segar di Bukit Tunggal.

Mohamad berkata, dia kemudiannya mengajak seorang rakannya mengekori Toyota Hilux miliknya yang dilarikan itu, namun usaha mereka gagal.

“Isteri saya ketika itu menaiki sebuah lagi kereta jenis Proton Perdana menuju ke Balai Polis Chabang Tiga, Kuala Terengganu untuk membuat laporan, namun saya tak pasti sama ada dia buat laporan mengenainya atau sebaliknya,” katanya yang beralamat dari Kampung Tapu.

Katanya, dalam keadaan resah selepas gagal mengekori lelaki terbabit, dia segera menghubungi rakan-rakan di kawasan berdekatan agar menunggu di jalan utama untuk mengesan kenderaannya itu.

“Saya bimbang jika anak kami ditinggalkan di tempat terpencil, malah mungkin keadaan akan jadi lebih buruk lagi jika penjenayah terbabit bertindak ganas. Ketika itu saya hanya mampu berdoa dan terus berdoa agar anak bongsu saya selamat.

“Lebih kurang jam 5.30 petang saya dimaklumkan rakan bahawa kenderaan itu ditinggalkan di Kampung Bukit Guntung, Tepoh dan apa yang paling menggembirakan ialah anak bongsu saya selamat dan tidak diapa-apakan penjenayah terbabit,” katanya.

Kongsi gelap makin besar kepala

MUHAMMAD AFHAM RAMLI
Kongsi gelap makin besar kepala
Abdul Rahim (kanan) menunjukan fotofit wajah suspek yang melepaskan tembakan. - FOTO : ZULFADHLI ZAKI 
12 April 2014
AMPANG - Dua anggota polis berpangkat konstabel dan lans koperal cedera di bahagian perut selepas ditembak salah seorang daripada dua suspek yang cuba ditahan dalam kejadian di Lembah Maju, Ampang, semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, anggotanya yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan terserempak dua lelaki yang mencurigakan berada di tepi jalan.

Katanya, ketika anggota polis keluar dari kereta bagi melakukan pemeriksaan, kedua-duanya cuba melarikan diri.

“Seorang anggota polis sempat menarik baju salah seorang suspek. Namun suspek bertindak agresif dengan cuba memukulnya.

“Melihat dirinya terancam dan hampir dapat ditangkap, suspek bertindak melepaskan tiga das tembakan. Seorang anggota berpangkat lans koperal kena dua tembakan pada bahagian perut dan seorang lagi konstabel kena satu tembakan pada bahagian ari-ari,” katanya di Balai Polis Pandan Indah, semalam.

Katanya, kemungkinan besar kedua-dua suspek ini ahli geng kongsi gelap berikutan salah seorangnya mempunyai tatu harimau.

Menurutnya, suspek dipercayai merancang samun di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, suspek mungkin menggunakan revolver, namun tiada sebarang casing ditemui forensik di lokasi kejadian.

“Susulan kejadian ini, sekatan jalan raya dan satu pasukan khas ditubuhkan bagi memburu suspek,” katanya.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil setakat ini,” katanya.

Polis cedera MPV terbalik

WARTAWAN SINAR HARIAN
Polis cedera MPV terbalik
Kenderaan MPV terbabas dan terbalik akibat terlanggar pembahagi jalan di Taman Ciptaco semasa mengejar kereta Proton Wira berwarna hijau yang kelihatan mencurigakan pada kejadian kira-kira jam 1 pagi, semalam. 
12 April 2014
BANDARAYA MELAKA - Dua anggota polis cedera selepas kereta MPV dinaiki mereka terbalik semasa mengejar sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, kereta dinaiki tiga lelaki itu kelihatan mencurigakan apabila tiada nombor plat kenderaan dipercayai datang dari arah Tol Ayer Keroh.

Katanya, semasa kejadian MPV dinaiki anggota berpangkat koperal dan lans koperal itu sedang dalam rondaan cegah jenayah.

“Kereta itu datang dari arah tol menghala ke pusat bandar dan anggota kami melihat mereka dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka diarah berhenti tetapi sebaliknya kereta memecut laju dan apabila dikejar, MPV dihimpit menyebabkan terbabas lalu terbalik,” katanya semasa ditemui di pejabatnya, semalam.

Adegan mengejar kenderaan terbabit bermula dari persimpangan lampu isyarat di Taman Muzafar High sehingga ke persimpangan Taman Ciptaco berdekatan Melaka Mall sebelum MPV terbabas melanggar pembahagi jalan dan terbalik.

Bagaimanapun, suspek berjaya meloloskan diri selepas membelok ke persimpangan taman itu.

Katanya, dua anggota terbabit cedera di kepala dan tangan, namun sudah mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Melaka.

Salehhudin berkata, beliau memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian dan mengetahui maklumat insiden itu segera melaporkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Bot karam: 22 orang hilang di Papua


11 April 2014


JAKARTA - Dua puluh dua orang dilaporkan hilang selepas sebuah motobot yang membawa 30 penumpang karam di perairan sekitar pulau Yapen, kata pihak berkuasa Papua, hari ini.

Ketua Polis kepulauan Yapen, Gatot Prasetyo berkata bot itu sedang dalam perjalanan ke Membramo Raya dari Yapen pada Selasa.

"Semasa dalam perjalanan bot itu dipukul ombak yang besar lalu karam," kata Gatot yang dipetik sebagai berkata oleh akhbar harian Jakarta Globe.

Beliau berkata bot terbabit karam di antara Selat Pasorae dan Kurudu Kaipuri berdekatan Yapen.

Selepas dimaklumkan berhubung insiden itu oleh ahli majlis wilayah Membramo, polis Yapen, dengan dibantu pasukan mencari dan menyelamat dari Biak Numfor, melancarkan usaha menyelamat kesemua mangsa. Lapan orang diselamatkan dan dipindahkan ke Kurudu Kaipuri manakala yang lain masih hilang.

Gatot berkata usaha menyelamat masih dijalankan dan ditumpukan di kawasan perairan sekitar Kurudu dan Memberamo di Papua, sambil menambah usaha mencari terhalang oleh cuaca buruk dan ombak besar.

"Bagaimanapun, kami akan meneruskan usaha mencari dan menyelamat sehingga kesemua mangsa ditemui," katanya. - Bernama

Bas terbalik: Tiga penumpang maut, 10 parah


12 April 2014


BENTONG - Tiga maut termasuk sepasang suami isteri manakala 10 lagi parah selepas bas dua tingkat yang mereka naiki terbabas dan merempuh tiang elektrik sebelum terbalik di Km 11, Jalan Bentong-Raub dekat Bilut tengah malam tadi.
 
Mereka yang maut ialah Suhaisam Che Abdulla, 33, isterinya Zarifah Alias, 26, dan seorang warga Somalia Mohamad Mohamud Abdalla, 31.
 
Sementara yang cedera pemandu bas berkenaan Wan Khairul Affendi Mustafa, 35, yang patah kaki kanan, Siti Nabila Mohd Nasir, 23, Tuan Rosnani Tuan Mohd Din, 22, Wan Muhamad Husin Abdullah, 54, Faizah Abdullah, 89.
 
Ruwaidi Jusuh, 35, Nur Sazren Fazhera Mohd Shanif, 20, Norzamera Abd Manaf, 24, Low Wan Yi, 23, dan warga Thailand yang dikenali sebagai Mamalutfee.
 
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Nor Mansor berkata, mayat mangsa yang meninggal dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat manakala yang cedera dihantar ke Hospital Bentong dan Hospital Temerloh.

Mohamad Nor berkata sebanyak 55 penumpang lagi dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Bentong.
 
Nahas pukul 12.30 tengah malam itu berlaku semasa bas berkenaan yang membawa 68 penumpang sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala Kota Bharu.
 
"Bas itu dipercayai telah memotong beberapa buah kenderaan lain menyebabkannya hilang kawalan sebaik tiba di satu selekoh," katanya kepada Bernama. - Bernama

Wanita bunuh teman lelaki dengan kasut tinggi

 Wanita bunuh teman lelaki dengan kasut tinggi
Trujillo pada hari pendengaran hukumannya. - Foto Ihsan BBC 
12 April 2014 TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang wanita selepas didapati bersalah kerana memukul hingga mati teman lelakinya menggunakan kasut tinggi stiletto.

Ana Trujillo, 45, memberitahu hakim dia "tidak pernah berniat membunuh" Alf Stefan Andersson, lapor BBC.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati leher dan wajah Andersson mempunyai sekurang-kurangnya 25 kesan tusukan.

Trujillo didapati bersalah pada Selasa lalu selepas pihak juri mengambil masa empat jam untuk membuat keputusan.

Jemaah Jumaat hotel bajet


Kuala Lumpur: “Sekarang saya nak tanya kalau kami dikatakan oleh JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) yang kami bukan Islam, maka kami tidak ada di bawah kuasa JAIS. Di mana kami nak sembahyang itu terserah kepada kami.” Itu jawapan seorang lelaki yang mendakwa ketua satu ajaran dikenali Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia ketika diserbu sepasukan penguat kuasa JAIS selepas dia mengetuai ‘solat Jumaat’ bersama lebih 30 makmum di premis dua tingkat di sebuah hotel bajet di Batu Caves di sini, semalam.

Serbuan kira-kira jam 2.10 petang itu membabitkan 30 penguat kuasa JAIS diketuai Penolong Pengarah Unit Dasar, Penyelewengan dan Doktrinisasinya Shahrom Maarop selepas penguat kuasa agama itu melakukan intipan tiga kali Jumaat sejak tiga minggu lalu di premis berkenaan.


Ketika serbuan, ketua ajaran berkenaan juga berkali-kali mendakwa pihaknya mempunyai memorandum untuk diserahkan kepada kerajaan bagi mengiktiraf ajaran berkenaan yang bertapak di negara ini sejak puluhan tahun lalu.

Memorandum setebal 48 muka surat itu turut mengandungi surat yang dihantar oleh jurucakap Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia Ainul Yakin Mohd Zain kepada kerajaan Selangor pada 2012 serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2010.


Selain itu, turut disertakan dalam memorandum bertajuk ‘Penindasan Terhadap Orang Islam Ahmadi di Malaysia’ itu termasuk surat kepada wakil media serta agensi berkuasa agama di beberapa negeri memohon keadilan kepada ajaran berkenaan dalam setiap liputan di negara ini.


Keadaan ‘panas’ seketika ketika serbuan semalam apabila pegawai penguat kuasa JAIS diketuai Shahrom tiba di tingkat bawah premis berkenaan yang ‘dikawal’ beberapa individu.

Pemerhatian wartawan mendapati kumpulan itu mengenal pasti terlebih dulu jemaah yang datang bersolat Jumaat dan meminta mereka naik ke ruang atas yang menempatkan tempat solat.


Sebaik waran dibacakan, seorang lelaki dipercayai ketua jemaah ‘naik angin’ dan mula mencabar Shahrom dengan mengatakan mereka tidak boleh disabitkan dengan undang-undang sedia ada kerana fatwa menetapkan mereka sudah terkeluar daripada Islam sebelum ini.

Tindakan itu menimbulkan suasana tegang dengan Shahrom meminta semua jemaah memberikan kad pengenalan masing-masing kepada pegawai bertugas menyebabkan mereka mula membuat bising dan mempersendakan tindakan pegawai JAIS.


Keadaan berlarutan hampir dua jam sebelum semua mereka ditahan dan dibawa ke ibu pejabat JAIS di Shah Alam untuk siasatan lanjut.


Lelaki yang mengaku ketua itu akhirnya berlembut tetapi meminta seorang daripada jemaahnya yang dikatakan datang dari jauh iaitu London supaya dilepaskan.


Di antara lebih 30 individu yang ditahan untuk soal siasat termasuk dua lelaki berusia 40-an masing-masing berketurunan Pakistan dengan seorang daripadanya mendakwa tinggal di London turut dibawa ke pejabat JAIS.


Sementara itu, jurucakap JAIS berkata, serbuan dijalankan mengikut mengikut Seksyen 97 (1) (2) Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 2003 kerana mengadakan upacara yang boleh dilakukan di masjid tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

Panik asap berkepul


Oleh Nur Ain Musdad
Melaka: Lapan penyewa di dua rumah papan satu tingkat di Lorong Laksamana Cheng Ho 2, Bukit Cina, di sini, hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran awal pagi, semalam.

Kejadian jam 4.50 pagi turut memusnahkan motosikal dan beca, selain dua basikal milik penyewa.


Mangsa dikenali sebagai Tee, 50-an berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas ternampak kepulan asap di biliknya selepas terjaga dari tidur.



“Pada mulanya saya tersedar selepas terdengar bunyi bising daripada bilik sebelah dan mengabaikannya, namun selepas beberapa kali terdengar bunyi itu, saya membuka mata menjengah keluar sebelum ternampak kepulan asap dan api.


“Panik dengan kejadian itu, saya keluar dan menjerit memanggil penyewa lain menyelamatkan diri memandangkan api mula marak memusnahkan sebahagian dinding rumah diperbuat daripada kayu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.


Sementara itu, seorang lagi mangsa, Rasila Husin, 36, berkata, dia terjaga dan terkejut mendengar jeritan rakan yang meminta mereka keluar menyelamatkan diri.

“Saya terpinga-pinga dengan apa yang berlaku dan segera mencapai apa yang mampu ketika keluar memandangkan kejadian itu berlaku pada awal pagi dan keadaan rumah gelap menyukarkan untuk mencapai barangan lain.


“Saya kini hilang tempat tinggal selain hidup sehelai sepinggang kerana semuanya musnah dijilat api,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Roslan Saleh, 48, yang menyewa sejak tiga tahun lalu berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana pulang ke rumah keluarganya di Cheng.


“Saya tahu mengenai kebakaran ini selepas dimaklumkan rakan awal pagi tadi (semalam). Saya memang menyewa di sini, namun digunakan untuk menyimpan barang niaga memandangkan rumah terletak jauh dari kawasan bandar.


“Saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan pada masa sama turut membawa beca, namun kejadian kebakaran menyebabkan barang niaga terbakar bersama beca kepunyaan saya,” katanya.


Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.49 pagi membabitkan dua rumah separuh kekal. “Sebanyak dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dan satu ‘water tanker’ bergerak ke lokasi untuk melakukan memadamkan api. Api berjaya dikawal dalam masa beberapa minit dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

Tunang meraung


Oleh Sarah Zulkifli
Ampang: Hajat seorang penganggur melangsungkan perkahwinan pada Ogos depan tidak kesampaian apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama 31 tahun enam bulan serta 30 sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan melakukan kesalahan pecah rumah hingga menyebabkan kerugian RM174,200 sejak tiga tahun lalu.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membuat keputusan itu terhadap Norman Shah Jamal, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap semua tuduhan dihadapinya selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan mulai semalam.



Sebaik prosiding selesai, tunang tertuduh yang hadir meraung hingga terpaksa ditenangkan adik tertuduh yang turut berada dalam mahkamah. Terdahulu, tertuduh sebaik mendengar keputusan itu dilihat menunjukkan aksi tidak puas hati sambil memberitahu mahukan hukuman berjalan serentak.


Bagaimanapun, Ayuni Izzaty menasihatkan tertuduh tidak mengulangi kesalahan dilakukan dan jika tidak berpuas hati boleh mengemukakan rayuan.


Mengikut kertas tuduhan, Norman didakwa melakukan 15 kesalahan di sekitar daerah sini antara 11 Mac 2011 hingga 20 Mac tahun ini dengan mencuri pelbagai barangan termasuk wang tunai, barang kemas, jam tangan serta gajet elektronik seperti telefon pintar dan komputer riba.

Bagi kesalahan itu, Norman didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda manakala kesalahan mencuri boleh dipenjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan.


Selain itu, tertuduh juga didakwa terhadap satu tuduhan cuba melakukan pecah rumah di Kampung Tasek Permai di sini, jam 5.45 pagi 26 November 2013 dan berdepan hukuman penjara tiga tahun jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 453 yang dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikurangkan hukuman kerana perlu menjaga dua adik memandangkan ibu bapanya bercerai.


“Saya melakukan kesalahan ini kerana desakan hidup memandangkan ibu bapa bercerai dan perlu menjaga dua adik lain.


“Saya juga baru bertunang dan akan berkahwin pada bulan lapan, saya minta supaya mahkamah memberikan hukuman serentak, kalau saya tahu akan jadi macam ini, saya pun tak akan buat kesalahan,” katanya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene berhujah tertuduh mempunyai rekod lampau sejak 2008 hingga 2010 kerana kesalahan sama.


“Ini menunjukkan tertuduh tidak pernah serik melakukan jenayah dan hukuman dikenakan ini untuk menghalang tertuduh daripada mengulangi kesalahan.


“Semua mangsa juga mengalami kerugian kerana barang-barang curi tidak lagi dapat dipulangkan,” katanya.


Timbalan Pendakwa Raya S Purnima yang turut sama mengendalikan kes berkata, tertuduh adalah pesalah tegar yang tidak pernah serik berikutan kesalahan dilakukan dalam masa yang dekat antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12