Batu Pahat: “Saya terkilan arwah tidak sempat menjamah sotong goreng celup tepung yang dimintanya. Saya sedang menggorengnya sebelum anak sulung pulang dan beritahu mengenai kejadian itu,” kata Norsukhaila Mohd Noh, 36.
Norsukhaila adalah ibu kepada Ahmad Ilham Fikri Ahmad Zaki, 8, murid tahun dua yang meninggal dunia selepas dihempap tiang gol di padang permainan Taman Sri Wangsa, Jalan Parit Besar, di sini.
Menurutnya, Jumaat lalu, dia dan arwah ke pasar di bandar itu sebelum arwah meminta supaya dia membeli ikan keli.
“Puas kami berjalan tiada pula orang menjual ikan keli sebelum saya memujuknya supaya membeli sotong dan akan goreng celup tepung.
“Saya bercadang menggoreng sotong itu pada hari Ahad, tetapi tertangguh kerana terpaksa pulang ke kampung di Parit Maimun.
“Jadi pada petang hari kejadian, saya menggoreng sotong itu sementara menunggu arwah yang bersama abangnya, suami dan anak bongsu kami pulang dari taman,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Wangsa, di sini, semalam.

AHMAD Iqbal melihat tiang gol di tempat kejadian.
Menurutnya, setengah jam kemudian anak sulung pulang memaklumkan arwah meninggal dunia.
“Saya terus bergegas ke padang dan melihat suami mendukung arwah untuk dibawa hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Saya hanya tiba di Hospital Sultanah Nora Ismail jam 6.50 petang dan ketika itu, doktor mengesahkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, mereka sepatutnya ke Sabah untuk percutian keluarga malam semalam, tetapi terpaksa membatalkan rancangan itu.
Sementara itu, Ahmad Iqbal Fitri, 10, berkata, dia lihat arwah adiknya berlari bersama rakan lain di kawasan itu sebelum tiang gol tumbang.
Menurutnya, dia berlari bagi mendapatkan adik sebelum mendapatinya berlumuran darah.
“Saya pergi memanggil bapa yang ketika itu menunggang motosikal bersama adik (Ahmad Ilman, 2) dan menceritakan kejadian itu sebelum pulang untuk memberitahu ibu,” katanya.
Ahmad Zaki berkata, dia terkejut anak sulungnya memberitahu kejadian berkenaan dan terus bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi didapati tiang gol sudah dialihkan kanak-kanak bermain di padang itu.
“Saya menghubungi ambulans, namun ada rakan meminjamkan kereta supaya saya menghantar arwah ke hospital.
“Apabila tiba di hospital, doktor yang memberikan rawatan kecemasan mengesahkan arwah meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.
Jenazah Ahmad Ilham Fikri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Maimun jam 11.30 pagi kelmarin.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10