Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
pengarang@utusan.com.my

Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Jafri Jabar menunjukkan bahagian jaket yang dijahit untuk menyembunyikan barang kemas dalam satu kejadian di Taman Satelite, Bahau, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - UTUSAN/SAJIDA ASARULAH KHAN
JEMPOL 8 April - Helah seorang amah untuk mencuri barang kemas milik majikannya bernilai RM7,000 dalam kolar sehelai jaket dan pinggang pada sehelai seluar pendek yang dijahit kemas sebelum pulang ke negara asalnya, terbongkar apabila perbuatannya disedari pasangan suami isteri itu.
Kejadian berlaku semasa amah warga Indonesia itu mahu pulang ke negara asalnya selepas permit kerjanya di rumah pasangan berkenaan di Taman Satelite, Bahau, dekat sini, tamat pada kelmarin.
Bagaimanapun sebelum berangkat, majikannya telah memeriksa beg amah berusia 39 tahun tersebut namun mengesyaki sesuatu mencurigakan pada sehelai jaket dan seluar berkenaan yang terdapat benjolan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, majikan itu kemudian membuka jahitan berkenaan dan terkejut menemukan sejumlah barang kemas milik isteri dan anaknya.
"Berikutan itu, majikan tersebut telah membawa amah berkenaan ke Balai Polis Bahau dan membuat laporan mengenainya.
"Amah itu kini direman sehingga 10 April ini dan disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta milik majikan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, seorang remaja berusia 19 tahun ditahan kerana dipercayai meragut beg tangan seorang guru wanita dekat simpang Kampung Bayai, di sini, pada 29 Mac lalu.
Katanya, bertindak atas maklumat nombor pendaftaran motosikal ditunggang suspek, remaja itu berjaya ditahan dekat rumahnya di Pasoh di sini, pada pukul 6.15 petang, hari yang sama.
"Semasa serbuan, keluarganya cuba melindungi suspek dengan memaklumkan dia tiada di rumah. Namun hasil pemeriksaan menemukan suspek sedang bersembunyi di dalam sebuah bilik," ujar beliau.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140409/je_01/Amah-ditahan-curi-barang-kemas-majikan#ixzz2yMIpEtb1
© Utusan Melayu (M) Bhd