Search This Blog

Tuesday, April 8, 2014

Lori bawa peti undi meletup


8 April 2014
Lori bawa peti undi meletup
Lori bawa peti undi meletup Orang ramai membantu menyelamatkan kotak peti undi. Foto EPA



KABUL - AFGHANISTAN. Sebuah trak membawa peti undi di utara Afghanistan meletup menyebabkan tiga maut serta memusnahkan peti undi yang dibawa.

Jurucakap polis wilayah Kunduz, Sayed Sarwar Hossaini berkata, insiden turut mencederakan beberapa yang lain ketika trak dipenuhi peti undi sedang menuju ke pusat pengiraan undi.

"Lapan peti undi musnah dan mangsa maut terdiri daripada seorang ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IEC), anggota polis serta pemandu trak," katanya.

Kejadian berlaku sehari selepas negara itu mengadakan Pilihan Raya Presiden yang dijalankan dengan kawalan keselamatan ketat di 6,000 pusat mengundi di seluruh negara, selepas mendapat ancaman Taliban, laporan dipetik dari Press TV.

Kes bakal pengantin hilang selesai


MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
8 April 2014
 Kes bakal pengantin hilang selesai
Kes bakal pengantin hilang selesai Laporan Sinar Harian bertarikh 23 Mac lalu.

 
 

ALOR SETAR - Kes seorang wanita yang dilaporkan hilang di sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil tiga hari sebelum majlis akad nikah dianggap selesai.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, wanita itu sendiri sudah membuat laporan polis di Ipoh, Perak akhir bulan lalu.
 
Beliau berkata, laporan polis itu menyebut bahawa wanita berkenaan mengakui tidak diculik sebaliknya mengikut teman lelakinya ke tempat lain.
 
“Dia buat laporan polis mengatakan bersetuju untuk ikut teman itu ke satu tempat dan sudahpun berkahwin dengan teman lelakinya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 
Menurutnya, laporan polis itu dibuat supaya pasangan berkenaan tidak lagi diganggu oleh mana-mana pihak.
 
“Berdasarkan laporan dan keterangan wanita itu, kes dianggap selesai dan kertas siasatan berhubung orang hilang ditutup,” katanya.
 
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita dalam lingkungan usia-20 didakwa diculik di depan sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil tiga hari sebelum majlis akad nikah.
 
Menurut laporan itu, wanita berkenaan dikatakan diculik oleh beberapa lelaki dengan menggunakan dua kereta.
 
Siasatan polis mendapati wanita itu mempunyai teman lelaki lain sebelum bertunang dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 21 Mac lalu sebelum dilaporkan hilang.
 
Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang yang berpunca daripada masalah dalaman keluarganya.

Pemandu lori maut


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2014
Pemandu lori maut
Pemandu lori maut Keadaan lori yang dipandu mangsa kemalangan di Kilometer 7, Jalan Kluang.

 

BATU PAHAT - Seorang pemandu lori sampah maut apabila kenderaan dipandunya terbabas dipercayai akibat tayar belakang yang pecah di Kilometer 7, Jalan Kluang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, turut mengakibatkan kelindan lori cedera pada telinga dan muka, yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa, Mohd Noor Abd Kadir, 46, maut di tempat kejadian akibat tersepit manakala  kelindan, Mohd Firdaus Hamdan, 26, cedera.

Menurutnya, lori yang membawa muatan sampah itu dari Batu Pahat menuju tempat pelupusan sisa pepejal di Kulaijaya.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, tayar belakang lori dipercayai tiba-tiba pecah menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan melanggar tembok batu pengadang jalan, namun tidak melibatkan kenderaan lain,” katanya.  

Din berkata, keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik dan kawasan jalan juga berlampu.

Tambahnya, kemalangan berkenaan menyebabkan lorong kiri jalan menghala Kluang terpaksa ditutup bagi proses pengalihan lori terbabit yang terbalik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat mangsa bersama kelindan yang cedera dihantar ke HSNI untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sanggup berhimpit dalam lori


MOHD FIRDAUS YON
8 April 2014
Sanggup berhimpit dalam lori
Sanggup berhimpit dalam lori Antara Pati yang ditahan dipercayai mahu meninggalkan Malaysia.




JOHOR BAHRU - Seramai 43 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dipercayai ketika dalam perjalanan ke Sungai Rengit, Pengerang, kelmarin.

Kesemua warga asing berusia 26 hingga 45 tahun itu ditahan sekitar jam 9.20 malam ketika sedang menuju ke lokasi terbabit yang juga merupakan laluan tikus sebelum mereka meninggalkan Malaysia menerusi jalan tidak sah.

Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Johor, Masri Adul berkata, warga asing itu ditemui di dalam sebuah lori di Jalan Desaru-Tanjung Balau dan mereka dipercayai dari arah Pasir Gudang ke Kota Tinggi.

“Ketika membuat pemantauan dan rondaan sepanjang Jalan Desaru-Tanjung Balau menghala ke Kota Tinggi, Sungai Rengit, Pengerang yang dikenal pasti sebagai laluan tikus di perairan Pengerang, anggota Penguatkuasa Imigresen Johor terserempak dengan lori berkenaan.

“Lori ini bertutup rapat seperti lori air batu (ais) dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil daripada pemeriksaan ke atas lori terbabit menemui 43 warga Indonesia dalam keadaan berhimpit-himpit yang boleh mendatangkan sesak nafas dan kemudaratan ke atas mereka,” katanya, di sini semalam.

Masri berkata, kesemua Pati terdiri daripada 10 wanita dan 33 lelaki itu didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini serta tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63. Seorang pemandu lori warga tempatan berumur 42 tahun ditahan dan disiasat di bawah Akta Atipsom 2007.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Depoh Tahan Imigresen Pekan Nenas untuk tindakan lanjut Jabatan,” katanya.

Katanya, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang pemeriksaan dan penahanan Pati dilakukan.

Bekas pembantu tadbir kewangan hadapi 6 pertuduhan


8 April 2014


KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 8 Mei untuk sebutan kes seorang bekas pembantu tadbir kewangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dituduh memalsukan dokumen.

Shahnon Mustapha, 31, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin terhadap enam pertuduhan itu empat tahun lepas.

Tiga dari pertuduhan itu ialah memalsukan Baucar Bayaran Mara dengan meminda amaun asal berjumlah RM38,315 kepada RM126,325 bagi tujuan menyokong tuntutan Bayaran Balik Tunggakan Elaun untuk empat pelajar sedangkan mereka bukan pelajar tajaan Mara.

Tiga pertuduhan lagi ialah memalsukan dokumen Bayaran Balik Tunggakan Elaun Untuk Pelajar dengan menambah empat nama pelajar yang sama sedangkan mereka bukan pelajar tajaan Mara.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Bahagian Kewangan, Ibu Pejabat Mara, Jalan Raja Laut di sini antara 19 April 2010 dan 6 Oktober 2010.

Shahnon didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan tetapi Shahnon yang tidak diwakili peguam memohon wang jaminan dikurangkan.

Rosbiahanin bagaimanapun menetapkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin. - Bernama

Warga asing maut dikelar


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2014
Warga asing maut dikelar
Warga asing maut dikelar Mayat warga asing yang ditemui berhampiran kawasan perkuburan Islam, kelmarin.



BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui mati dengan kesan tikaman dengan perut yang hampir terburai berhampiran kawasan perkuburan Islam Jalan Permatang Nibong, kelmarin.

Mangsa yang bertatu di bahagian bahu sehingga dada lengkap berkemeja hitam ditemui dalam keadaan terlentang bersama kesan dikelar di leher.

Jurucakap polis berkata, mayat itu ditemui penduduk setempat kira-kira jam 8 malam dan tiada dokumen pengenalan diri yang ditemui untuk mengenal pasti mangsa.

“Mangsa dipercayai warga asing berikutan ketiadaan parut suntikan BCG di bahagian lengannya.

“Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Warga asing ditemui mati


BUKIT MERTAJAM 7 April - Seorang lelaki dipercayai warga asing ditemukan mati dengan kesan kelaran di bahagian leher dan tikaman di perut berhampiran kawasan tanah perkuburan Islam, di Jalan Permatang Nibong, di sini malam tadi.
Mayat lelaki yang lengkap berpakaian dan tanpa dokumen pengenalan diri itu, ditemuikan orang awam yang melalui kawasan berkenaan, kira-kira pukul 8 malam.
Jurucakap polis berkata, polis yang bergegas ke tempat kejadian untuk menyiasat percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampakkan di situ.
"Setakat ini, polis percaya mangsa yang turut mempunyai tatu di bahagian dada, adalah warga asing kerana tiada suntikan BCG di lengan," katanya di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140408/je_01/Warga-asing-ditemui-mati#ixzz2yF2cXHWu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada tindakan terhadap Shalwati


KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan tidak akan mengambil tindakan terhadap Shalwati Norshal yang dihukum penjara 14 bulan di Sweden bagi kesalahan mengasari dan mencabuli integriti anak-anaknya.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ini kerana hukuman yang dikenakan terhadap Shalwati, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, atas kesalahan yang berbeza sifatnya antara Sweden dan Malaysia.


Kesalahan yang dilakukan Shalwati dan pasangannya Azizul Raheem, pegawai Tourism Malaysia bukan perkara luar biasa di negara ini, katanya.

"Itu hanya hukuman di sana (Sweden), kita akan permudahkan dan kita tidak akan kenakan apa-apa tindakan terhadap beliau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Siswa Parlimen Ketereh, di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Chengal di sini, malam tadi.


Mahkamah Daerah Solna, Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap Shalwati, 36, dan hukuman penjara 10 bulan terhadap suaminya Azizul, 38, pada 28 Mac lalu.


Pasangan itu ditahan reman sejak 18 Dis tahun lepas dan didakwa di mahkamah kemudian kerana memukul anak-anak mereka dalam beberapa insiden sepanjang tiga tahun sejak September 2010 sehingga Disember tahun lalu.

Idris berkata, semua urusan yang melibatkan keluarga itu akan dipermudahkan dengan memberi bantuan yang dirasakan perlu.
Antaranya bantuan serta perhatian kepada empat anak pasangan itu - Aisyah, (14), Ammar (12), Adam (11) dan Arif (7) bagi menyesuaikan diri belajar dan menetap di Malaysia.

"Mereka masih dalam kejutan budaya memandangkan baru pulang dari Sweden tetapi saya beri jaminan apa juga bantuan yang kami boleh hulurkan yang menyenangkan proses pembelajaran mereka, kami akan laksanakan," katanya.

Sementara itu, sebanyak 700 pelajar dari 11 Institut Pengajian Tinggi (IPT) terlibat dalam program yang berlangsung selama lima hari bermula semalam.

Idris berkata program itu diharap dapat memberi pendedahan kepada kedua-dua belah pihak iaitu pelajar dan ibu bapa. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Tersepit dihempap van


Oleh Amir Abd Hamid
Kuala Lumpur: Hanya enam minit. Itu bukti kecekapan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, di sini, apabila dalam tempoh singkat dapat menyelamatkan seorang pemuda berusia awal 20-an yang dihempap van syarikat tempat kerjanya ketika lelaki itu sedang meniarap di bawah kenderaan itu untuk membaiki kerosakan ketika kejadian di Jalan Nyaman 3, Taman Bukit Indah, di sini, Ahad lalu.

Kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa yang mengalami kecederaan ringan di bahagian belakang badan akibat dihempap van terbabit dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, dilaporkan stabil.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 1 petang.

“Satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh bersama lima anggota termasuk seorang pegawai diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zulkifly Ramli dibantu tiga unit bermotosikal segera ke lokasi sebelum tiba 10 minit kemudian.

Foto
FOTO ihsan Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh

Foto
FOTO ihsan Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh
Foto
FOTO ihsan Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh
“Setibanya di lokasi, bomba mengambil masa hanya dalam tempoh enam minit untuk mengeluarkan mangsa dengan bantuan alat khas iaitu beg udara untuk meninggikan van itu dan menarik mangsa perlahan-lahan ke atas pengusung sebelum ambulan membawanya ke PPUM bagi mendapatkan rawatan lanjut.


“Difahamkan kejadian berlaku apabila alat penginjak hidrolik dan batu yang digunakan oleh pemuda itu untuk meninggikan van terbabit bagi membolehkannya meniarap untuk melihat kerosakan, terlepas dan menyebabkan van itu menghempap mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

2 warga Algeria terlepas tali gantung


Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh Ali Seghir dan Amar Benbouteldja. 
Ali dan Amar, kedua-duanya berusia lingkungan 30-an, didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 53,709.5 gram di No 286 Blok H Mukim 12, Jalan Batu Maung, dekat sini pada pukul 12.15 tengah malam, 9 Dis 2011. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Foto
DUA warga Algeria gembira dibebaskan selepas didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi Georgetown, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Hamzah Othman dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chris Kooi. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Suami isteri maut rempuh pokok tumbang


Kuala Lumpur: Sepasang suami isteri maut apabila motosikal ditunggangi merempuh pokok tumbang berhampiran jejantas Sungai Buloh, malam tadi.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari utara ke ibu kota kira-kira jam 11 malam.

Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Mangsa lelaki berusia 24 tahun manakala isterinya berusia 23 tahun.


Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Dengkil selepas menjenguk anak di rumah mentua di Taiping.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Lelaki maut rempuh treler


Oleh Siti Nadirah Hafidzin
Johor Bahru: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang treler di Jalan Keluli 7, Pasir Gudang, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 pagi itu, mangsa, R Prakash, 30, yang menunggang Honda EX-5 maut dilokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.


Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa terbabas sendiri sebelum merempuh belakang treler itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

14 anggota polis positif dadah


Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
Ipoh: Seramai 14 anggota polis disyaki positif dadah dalam satu ujian saringan dilakukan ketika Kursus Pemantapan Integriti di Kem Biro Tatanegara Ulu Kenas, Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ujian saringan itu dilakukan ke atas 87 anggota pangkat rendah yang hadir kursus berkenaan oleh Unit Operasi Urus setia Integriti Tatatertib Bukit Aman dan Urus setia Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (JSJN) kira-kira jam 4.58 petang, semalam.


Menurutnya, hasil ujian itu mendapati 14 anggota positif dadah menyebabkan kesemua mereka terpaksa diambil keterangan dan dihantar pulang serta tidak dibenarkan meneruskan kursus berkenaan.

Katanya, pihaknya memandang serius isu membabitkan dadah dan akan menyiasat perkara itu serta mengambil tindakan selepas mendapat keputusan ujian berkenaan daripada pihak hospital.


"Sekarang ini keterangan sudah diambil dan kesemua mereka dihantar pulang ke tempat bertugas masing-masing sehingga keputusan ujian itu diperoleh.


"Kes ini agak berat dan sekiranya siasatan mendapati mereka memang terbabit dengan pengambilan dadah, kesemua mereka boleh diambil tindakan tatatertib sehingga boleh dilucutkan jawatan," katanya yang ditemui selepas merasmikan Program Kembara Komuniti Bermotosikal Trafik Perak sempena Hari Polis ke-207, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Bilik pensyarah dijilat api


Sintok: Empat bilik pensyarah di bangunan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, mengalami kerosakan akibat dijilat api dalam kebakaran, sebentar tadi.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari, tetapi tiada kecederaan dilaporkan berikutan tiada orang di bilik berkenaan. 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam M Pathmanathan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.19 tengah hari sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi. 

Katanya, jentera bomba tiba 14 minit kemudian, dan mengambil tempoh lima minit untuk mengawal kebakaran.
Foto

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Sindiket curi kereta tumpas


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah gudang yang dijadikan pusat pengumpulan dan peleraian kenderaan curi di Kampung Baru Sungai Buloh, 4 Mac lalu.

Dalam serbuan jam 3 petang yang dilakukan Bahagian Risikan/Operasi/Rekod (D4) Bukit Aman itu, suspek lelaki tempatan berusia 30-an patah pinggang selepas terjatuh dari bumbung ketika cuba melarikan diri.
Menurut Ketua Penolong Pengarah D4 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abd Manaf Abd Razak, dengan kejayaan menumpaskan sindiket itu polis dapat menyelesaikan 17 kes kecurian kenderaan yang membabitkan kerugian RM2 juta.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam gudang itu berjaya menemui tiga buah pacuan empat roda, lapan casis kenderaan yang sudah dipotong, 14 cukai jalan iaitu enam daripadanya dilaporkan curi dan pelbagai komponen kereta yang sudah dileraikan.


Katanya, gudang berkenaan beroperasi sejak November tahun lalu dan polis percaya semua komponen kereta berkenaan diseludup ke luar negara melalui jalan darat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Bapa disyaki dera budak


Oleh Yusmawati Mhd Yusof
Melaka: Seorang bapa ditahan reman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan yang mati dipercayai akibat didera di Bukit Katil Permai, Bukit Katil di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, mangsa, Nur Auni Darmya dibawa ke Hospital Melaka dengan menaiki ambulans selepas bapanya berusia 30-an menghubungi talian kecemasan.

"Sebaik tiba di hospital doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira jam 5.45 petang, namun dipercayai kanak-kanak itu sudah meninggal ketika masih berada di rumah.

"Hasil bedah siasat terdapat kesan bengkak di kepala mangsa dipercayai dihentak dengan objek tumpul dan terdapat juga kesan kecederaan dipercayai akibat didera," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, sebentar tadi.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Peniaga online didakwa curi pasu jiran


Kuala Lumpur: Seorang peniaga secara dalam talian (online) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan mencuri dua pasu pokok bonsai milik jirannya berharga RM1,500, bulan lalu.

Tertuduh Choong Sze Ian, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin. Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri pokok bonsai milik Lee Chin Chai, 48, di Bangsar Indah Kondominium, Lorong Maarof, Bangsar di sini, jam 1.15 pagi pada 2 Mac lalu.


Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Dua lagi korban MERS


Riyadh: Pihak berkuasa kesihatan Saudi melaporkan dua lagi kematian akibat virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).

Kematian terbaru itu meningkatkan jumlah mereka yang mati akibat virus berkenaan di negara itu kepada 66 orang.

Seorang daripada mangsa terbaru itu ialah lelaki berusia 70 tahun yang turut menghidap penyakit kronik lain, menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian kesihatan.

Mangsa kedua ialah jururawat lelaki yang juga meninggal dunia di Jeddah.

Sehingga ini Arab Saudi mencatatkan 167 kes virus berkenaan sejak ia mula dikesan di negara itu pada September 2012.

Pakar perubatan berusaha mengkaji dan mencari penawar wabak berkenaan tetapi sehingga belum menunjukkan hasil.

Kajian menunjukkan virus berkenaan adalah luar biasa bagi unta yang berusia sekurang-kurangnya 20 tahun.



Manusia mungkin menjangkitinya secara langsung dari haiwan berkenaan.

MERS dianggap lebih berbahaya berbanding dengan selesema burung yang melanda Asia pada 2003 dan menjangkiti 8,273 orang, sembilan peratus daripadanya mati.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Amah maut dijerut


Ipoh: Seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah ditemui mati dipercayai dibunuh dengan dijerut leher menggunakan tuala dalam sebuah rumah di Taman Tasek Mewah, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Sudarti, 32, berasal dari Jawa Tengah, Indonesia, bekerja sebagai pembantu rumah dan menjaga dua wanita warga emas sejak lebih 18 bulan lalu di rumah terbabit ditemui majikannya jam 7.45 pagi ketika lelaki berkenaan datang untuk melawat ibu dan ibu mentua yang dijaga mangsa.


Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal polis mendapati, pintu belakang rumah berkenaan terbuka dan mangsa ditemui majikannya dalam keadaan meniarap diatas tilam di ruang tamu rumah dengan ditutup menggunakan kain selimut.



“Majikan mangsa yang berusia 40 tahun datang ke rumah berkenaan untuk melawat ibu dan ibu mentua, namun sebaik tiba di rumah lelaki terbabit berasa hairan kerana pembantu rumah yang diupah untuk menjaga dua orang tuannya tidak menyidai kain di luar rumah seperti biasa.


“Lelaki berkenaan mengetuk pintu yang berkunci dan memanggil mangsa, namun tiada jawapan sebelum membuka pintu dan melihat mangsa seperti sedang tidur di ruang tamu serta berselimut. Majikan mangsa terperanjat sebaik menarik kain selimut apabila mendapati mangsa dalam keadaan terjelir lidah dengan kain tuala terjerut di leher serta terdapat kesan darah,” katanya dalam sidang media di sini, semalam. Menurutnya, pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati tiada kesan pergelutan berlaku dan juga tiada barang berharga di dalam rumah terbabit dilaporkan hilang, namun pintu belakang rumah terbuka tanpa kesan dipecah masuk.


Katanya, kedua-dua warga emas yang berusia 72 tahun dan 80-an serta tidak boleh berjalan yang berada dalam dua bilik berasingan di rumah terbabit, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, selain tidak menyedari apa yang berlaku terhadap pembantu rumah terbabit.

“Siasatan awal polis, mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 12 jam sebelum ditemui dan kali terakhir mangsa dilihat pada jam 10.45 malam sebelum kejadian oleh majikannya yang menjenguk orang tuanya.


“Polis masih lagi menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian bagi mengenal pasti motif kejadian atau suspek yang mungkin terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar berusia 18 tahun yang juga jiran mangsa, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pada jam 3 pagi dia terdengar jeritan wanita sebanyak dua kali, namun menyangkakan ibunya yang menjerit.


“Ketika itu, saya sedang mengulang kaji pelajaran dan terdengar jeritan wanita yang agak kuat sebanyak dua kali dan saya menyangkakan ibu yang menjerit.


“Sebaik saya pergi ke bilik ibu untuk melihat apa yang berlaku, saya hairan kerana ibu tidur dan tanpa mengesyaki perkara buruk berlaku saya terus tidur, sebelum menyedari ada kes pembunuhan di rumah jiran jam 9 pagi selepas melihat kehadiran ramai polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Terbunuh rempuh pokok kelapa


Bentong: Seorang lelaki terbunuh apabila treler dipandunya terbabas merempuh sebatang pokok kelapa dalam kejadian di Kilometer 10, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, berhampiran sebuah pusat rekreasi kolam air panas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Lee Yip Choo, 58, yang tinggal di Taman Sempalit Aman, Raub, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke Raub selepas menghantar balak di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Ribuan rumah rentung


Manila: Ribuan kediaman musnah dan penduduk bertempiaran menyelamatkan diri akibat kebakaran besar di bandar terbesar di selatan Filipina.

Anggota bomba bertungkus lumus lebih lima jam untuk mengawal kebakaran di kejiranan Isla Verde di Davao itu.


Pemilik kedai runcit Norayna Serad, 28, berkata dia kerugian lebih 100,000 peso (RM7,300) dalam kejadian itu.

“Saya hilang segala-galanya. Perniagaan ini dihasilkan selepas mengumpul duit bekerja di luar negara. Kini semuanya musnah.


“Mungkin saya terpaksa kembali ke Kuwait dan bekerja sebagai pembantu rumah lagi,” katanya.


Kebakaran akhirnya berjaya dikawal pada jam 1 pagi namun mengkibatkan lebih 5,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Jurucakap pejabat pertahanan awam Davao Jimmy Martinez berkata, ribuan keluarga terpaksa dipindahkan ke sebuah sekolah yang terselamat dalam kejadian itu.

“Semua rumah ini dibuat menggunakan bahan mudah bakar jadi semuanya hangus.

“Tambahan pula anggota bomba sukar memadamkan api disebabkan laluan sempit di kawasan itu,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Ibu anak dimamah anjing


Jahra: Mayat seorang wanita dan bayi yang baru dilahirkannya ditemui mati dan dimakan anjing liar di Kuwait, semalam.

Polis berkata, mereka sudah melancarkan siasatan mengenai kemungkinan ada unsur jenayah dalam kejadian itu.
Wanita yang tidak didedahkan identiti dan bayinya yang masih bertali pusat di temui mati di Al Salibiya, barat laut wilayah Jahra.

Akhbar tempatan memetik kenyataan yang dikeluarkan polis sebagai berkata, wanita itu sudah meninggal dunia hampir 14 jam ketika ditemui. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Pelajar kolej mengaku tidak bersalah rasuah polis


2014/04/08 - 16:03:46
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua tuduhan cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis supaya tidak diambil tindakan kerana kesalahan dadah.

R Suren, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.


Bagi pertuduhan pertama, Suren didakwa bersetuju memberikan rasuah wang tunai RM4,600 kepada Ketua Bahagian Siasatan Narkotik Ibu Daerah Polis Cheras, Asisten Superintendan Nik Ezanee Mohd Faisal sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang ditahan atas kesalahan dadah.

Dia juga didakwa menawarkan suapan berjumlah RM10,000 kepada Nik Ezanee bagi tujuan yang sama di tempat dan waktu yang sama iaitu di Tingkat 1, Blok C Pejabat Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras, kira-kira 8.30 malam, 26 September 2013.

Suren didakwa mengikut Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menipu seorang peniaga untuk mendapatkan kelulusan lesen enam tapak pasar malam, di Lorong Tunku Abdul Rahman, di sini, enam tahun lalu.
P Sugumaran, 43, didakwa memperdaya M Sathivelu untuk menyerahkan wang tunai RM600 dan RM1,200 masing-masing pada 7 dan 29 Mei 2008 melalui dua transaksi ke akaun AmBank miliknya bagi mendapatkan kelulusan lesen enam tapak pasar malam itu.

Dia yang tidak diwakili peguam dituduh mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Mei untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nur Lokman. - BERNAMA

Amah tak siuman terlepas hukuman mati

Amah tak siuman terlepas hukuman mati
Prabowo memeluk Wilfrida selepas Mahkamah Tinggi membebaskan beliau kerana kurang siuman atas dakwaan membunuh pada hujung tahun 2010.
2014/04/08 - 05:35:59  Kota Bharu: Seorang amah warga Indonesia semalam terlepas daripada hukuman mati atas dakwaan membunuh majikannya empat tahun lalu selepas Mahkamah Tinggi di sini memutuskan tertuduh tidak siuman.

Wilfrida Soik, 23, yang berkemeja petak merah jambu dan berseluar jeans menangis sebaik keputusan mahkamah diketahui sebelum dipeluk oleh beberapa wakil Kedutaan Indonesia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir mendengar kes berkenaan.

Pengerusi Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto Djojohadikusumo, antara pemimpin politik yang dicanangkan sebagai calon Presiden pada Pilihan Raya Umum Presiden di Indonesia tahun ini, turut hadir.


Tertuduh tidak siuman

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim ketika membacakan penghakimannya selama hampir sejam di akhir pembelaan berkata berdasarkan keterangan pakar perubatan, tertuduh didapati tidak siuman ketika kejadian pada 7 Disember 2010.

“Pendakwaan sudah membuktikan tertuduh melakukan kesalahan itu (membunuh), namun disebabkan gejala Gangguan Psikotik Akut dan Transien (ATPD), dia menjadi tidak siuman.

“Oleh itu mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah kerana ketika kejadian, tertuduh telah dibuktikan tidak siuman. Saya memerintahkan tertuduh agar dihantar ke institusi mental iaitu di Hospital Permai, Johor, sehingga saya selesai mengeluarkan laporan penuh,” katanya.
Wilfrida diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Syed Ismat Syed Muhamad dan Tania Schivetti manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.

Wilfrida yang berasal dari Kampung Kolo Ulun, Daerah Belu, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, didakwa membunuh warga tua, Seok Pen di sebuah rumah di Kampung Lubok Tapah, Pasir Mas antara jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari, 7 Disember 2010.

Dalam kejadian itu, tertuduh yang baharu bekerja dua minggu di rumah mangsa, didakwa menggunakan senjata tajam menyebabkan kecederaan parah pada muka mangsa sehingga membawa kematian. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

SMS, Facebook kesan anak, kereta dilarikan

SMS, Facebook kesan anak, kereta dilarikan
Kereta Toyota Vios yang dilarikan pencuri ditemui orang awam di Kompleks Asia City, Kota Kinabalu, semalam.
2014/04/08 - 05:40:33  Kota Kinabalu: Seorang ibu cemas selepas kereta Toyota Vios miliknya dilarikan pencuri bersama anaknya berusia lapan tahun yang sedang tidur dalam kenderaan terbabit, semalam.

Ibu berusia 43 tahun itu meninggalkan anak lelakinya dalam kenderaan tanpa mematikan enjin, dipercayai untuk membeli makanan di sebuah restoran berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hwa, dekat Likas, pada jam 6 pagi.

Wanita terbabit kemudian menyedari keretanya hilang bersama anaknya apabila dia kembali ke tempat letak kereta.


Anak selamat

Panik dengan kejadian itu, wanita terbabit memaklumkan perkara berkenaan kepada suaminya sebelum membuat laporan polis serta meminta pertolongan orang awam menerusi Facebook serta khidmat pesanan ringkas (SMS).

Bicara Kassim hina Islam 6, 7 Mei

Bicara Kassim hina Islam 6, 7 Mei
Kassim ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah, Putrajaya atas pertuduhan menghina agama Islam. - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR 
2014/04/08 - 05:43:58 AMPutrajaya: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, menetapkan 6 dan 7 Mei ini untuk perbicaraan kes bekas aktivis politik dan sosial, Dr Kassim Ahmad yang menghadapi dua pertuduhan menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama.

Hakim Syarie, Azzeman Omar menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Ibrahim Deris yang memohon kes berkenaan dibicara.

Mahkamah turut membenarkan ikat jamin ke atas tertuduh sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu dikekalkan sementara menanti tarikh perbicaraan, selain melantik peguam.

Kassim atau nama sebenarnya Kassim Osman @ Ahmad, 81, yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat, ditemani isteri, Sharifah Fawziah Syed Yussoff.

Terdahulu, pada prosiding semalam, Kassim mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya sekali lagi.

Pada 27 Mac lalu, Kassim mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Ummamuddin Yunus terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Pembentangan skrip
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada seminar ‘Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia untuk 30 Tahun Akan Datang’ di Yayasan Kepimpinan Perdana, Nombor 1 Jalan PBH, Presint 8 di sini, antara jam 9 pagi hingga 5 petang, 16 Februari lalu.

Bagi tuduhan pertama, dia dituduh menghina agama Islam dengan cara mencemuh amalan berhubung dengan agama Islam melalui pembentangan satu skrip ucapan bertajuk, ‘Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Hala Tuju Negara Malaysia Tiga Puluh Tahun Akan Datang’.

Kassim turut dituduh pada seminar sama menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama, dengan mengingkari atau melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam, majlis atau mufti melalui fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan berkenaan golongan antihadis.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 7(b) dan Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, yang boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Tiga beranak curi motosikal ditahan

Tiga beranak curi motosikal ditahan
Azman (duduk depan) menunjukkan rangka motosikal yang dijumpai di parit jalan Pulau Nyatoh dan Jalan Sungai Ingat. 
2014/04/08 - 05:37:55 AM
Seorang ayah sanggup menggunakan dua anak kandungnya termasuk seorang yang masih bersekolah, dalam kegiatan mencuri motosikal dan melerai komponennya di sekitar Kuala Langat, sejak dua tahun lalu.

Kegiatan jenayah itu bagaimanapun terbongkar selepas polis menahan dua suspek dipercayai anggota kumpulan terbabit di sebuah rumah tinggal di Permatang Pasir yang dijadikan tempat perjumpaan mereka, jam 1.30 petang Sabtu lalu.

Susulan itu, polis menahan tiga beranak bersama dua lagi suspek ketika meleraikan komponen motosikal curi di sebuah bengkel di Kampung Chodoi, di sini, pada hari sama.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azman Abdul Razak, berkata mereka yang ditahan berusia antara 14 hingga 51 tahun.

Parit dijadikan tempat pelupusan

Katanya, polis juga mengesan dua parit dijadikan tempat pelupusan rangka motosikal iaitu di Pulau Nyatoh dan Jalan Sungai Ingat, di sini.

“Di situ kami menemui tiga rangka motosikal jenis Honda EX5. Selain itu, kami juga merampas pelbagai jenis komponen motosikal yang sudah dileraikan termasuk tujuh pe-rumah enjin motosikal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini, semalam.
Azman berkata, dengan tertangkapnya suspek terbabit, polis percaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes kecurian motosikal di sekitar Kuala Langat, terutama di pekan Banting.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit sudah menjalankan kegiatan itu sejak 2012 dan percaya mereka mempunyai banyak rangkaian di luar daerah itu.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek yang berusia 17 tahun mempunyai rekod lampau membabitkan kecurian motosikal di daerah ini,” katanya sambil menambah suspek ditahan reman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A(1) Kanun Keseksaan.

3 produk pelangsing badan beracun

3 produk pelangsing badan beracun
Tiga jenis produk pelangsing yang dijual menerusi internet disahkan oleh Kementerian Kesihatan mengandungi bahan beracun. 
Putrajaya: Orang ramai dinasihat menghentikan segera pengambilan produk pelangsing badan ‘Collagen Slim’, ‘Beautiful Body Slim’ dan ‘Figure Up’ kerana didapati mengandungi bahan racun berjadual sibutramine.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Datuk Eisah Abdul Rahman, berkata badan peraturan ‘Australia, Therapeutic Goods Administration’ (TGA) mendapati ‘Collagen Slim’, ‘Beautiful Body Slim’ dipromosi dan dipasarkan melalui internet untuk kecantikan serta penurunan berat badan.

Katanya, berhubung ‘Figure Up’ pula, Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan menerima laporan dua pengguna berusia 14 dan 38 tahun yang mengalami sawan selain pendarahan ulser duodenal.

“Sibutramine adalah ubat terkawal yang digunakan untuk rawatan obesiti tetapi pendaftaran ubat mengandungi bahan terbabit ditarik balik di Malaysia pada 23 Disember 2012 kerana peningkatan risiko kesan advers kardiovaskular.

“Antara kesan sampingan lain yang biasa dikaitkan dengan sibutramine ialah... 

3 pejabat kerajaan di Kuala Terengganu dipecah masuk


2014/04/08 - 15:33:57
KUALA TERENGGANU: Tiga pejabat kerajaan di Wisma Negeri di sini, dipecah masuk awal pagi semalam menyebabkan kehilangan barangan dan kerugian keseluruhan RM5,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata pejabat kerajaan terbabit ialah Jabatan Pengairan dan Saliran; Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian.


Beliau berkata, kejadian disedari kakitangan tiga pejabat berkenaan antara jam 7.15 hingga 7.45 pagi ketika masuk kerja. 

15 PATI ditahan dan disiasat kejadian culik di Semporna - Ahmad Zahid


2014/04/08 - 15:39:57 PM
PUTRAJAYA: Sebanyak 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di sebuah pusat peranginan di Sabah ditahan dan sedang disiasat berhubung kejadian penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna Rabu lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina dalam usaha membebaskan dua wanita mangsa culik itu yang kini dipercayai berada di negara itu.


Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran berhubung lokasi dan nama pusat peranginan tempat 15 PATI itu bekerja.

"Sehubungan itu, saya menasihati pengusaha resort dan majikan tidak mengambil warga asing atau individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah kerana ia akan memberi pelbagai masalah kelak.

"KDN mensyaki 15 PATI yang ditahan ini menjadi tali barut (pemberi maklumat) kepada kumpulan penculik, bagaimanapun, kesemuanya masih disoal siasat sama ada mereka terbabit dalam penculikan itu," katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam Rabu lalu, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh Singamata Adventures Reef and Resort dan menculik dua wanita iaitu Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, China dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.
Ahmad Zahid berkata, pihak pentadbiran ESSCOM bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia dan polis berperanan penting dalam memastikan kawasan pantai timur Sabah bebas daripada sebarang kegiatan jenayah namun sekiranya pengusaha resort dan majikan melindungi pekerja yang tidak mempunyai dokumen yang sah, agak sukar untuk pihak berkuasa mengambil tindakan.

Beliau berkata, KDN akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang dikesan membawa masuk, menggaji dan membenarkan PATI tinggal di premis mereka mengikut Seksyen 55A, Seksyen 55E dan Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Seksyen 55A memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara maksimum dua tahun dan sebatan, Seksyen 55E memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya manakala Seksyen 56 (1) (d) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara maksimum lima tahun dan sebatan.

"Majikan turut boleh didakwa mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010)," katanya.

Ahmad Zahid berkata, KDN memberi masa secukupnya kepada majikan menerusi Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) yang dilaksanakan di Pusat Kelulusan Setempat (OSC) KDN yang tamat pada 20 Januari lalu. - BERNAMA

Amah ditemui mati leher dijerut

NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
Amah ditemui mati leher dijerut
Polis menjalankan siasatan terhadap kematian pembantu rumah warga Indonesia yang ditemui dengan kesan jerutan di leher di sebuah rumah di Taman Tasek Mewah, semalam. Gambar kecil: Mayat mangsa yang ditemui ditutupi selimut yang disangka tidur oleh majikannya di ruang tamu rumah terbabit. 
8 April 2014
IPOH – Seorang wanita pembantu rumah warga Indonesia ditemui mati tertiarap di ruang tamu dalam keadaan leher dijerut dengan tuala di sebuah rumah di Taman Tasek Mewah di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Sudarti, 32, yang berasal dari Jawa Tengah bekerja sebagai pembantu rumah dan menjaga dua warga emas sejak 18 bulan lalu di rumah terbabit.

Seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, dia terdengar seorang wanita menjerit dua kali kira-kira jam 3 pagi ketika sedang mengulang kaji pelajaran sebelum terkejut dengan kehadiran polis di sebelah rumahnya.

“Saya terdengar perempuan menjerit awal pagi dan mengingatkan ibu saya mengigau ketika tidur. Saya tidak mengesyaki apa-apa ketika itu dan tidak pula mendengar sebarang bunyi bising datang dari rumah sebelah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa ditemui oleh majikannya yang berusia 40 tahun yang datang melawat ibu dan ibu mertuanya yang dijaga mangsa selepas menghantar anaknya ke sekolah berhampiran.

Menurutnya, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat dari pengadu yang terkejut menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dan ditutupi selimut selain keadaan dalam rumah yang mencurigakan.

“Pengadu datang ke rumah mendapati keadaan pintu hadapan dan pagar rumahnya berkunci dan membuka puntu menggunakan kunci pendua. Setelah diperiksa, dia menemui mangsa terbaring di ruang tamu rumah ditutupi dengan selimut dan dia menganggap mangsa masih tidur.

“Ketika menggerakkan mangsa, dia terkejut apabila mendapati ada tuala jerut di leher dengan lidah terkeluar dan sedikit kesan darah sebelum dia bertindak menghubungi polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Chang Keong berkata, dalam kejadian itu kedua-dua wanita warga emas berusia 72 dan 82 tahun yang dijaganya tidak mengalami apa-apa kecederaan malah, tidak mengetahui kejadian sebenar yang menimpa pembantu rumah itu.

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang tanda-tanda rumah berkenaan digeledah melainkan pintu belakang rumahnya sedikit terbuka. Sehingga kini, tiada sebarang barangan berharga dilaporkan hilang.

“Kali terakhir pengadu menemui mangsa adalah malam tadi (kelmarin) sebelum meninggalkan rumah terbabit kira-kira jam 10.45 malam,” katanya.

Tambahnya, kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dua lagi isyarat konsisten dengan kotak hitam

WARTAWAN SINAR HARIAN
Angus Houston
Houston menunjukkan peta lokasi operasi kapal Ocean Shield dan Haixun 01 di Lautan Hindi ketika sidang media di Dumas House, semalam. 
8 April 2014
PERTH - Kapal Tentera Laut Australia, Ocean Shield, mengesan dua isyarat yang  sangat konsisten dengan isyarat dikeluarkan oleh kotak hitam pesawat.

Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston berkata, isyarat ping pertama bertahan selama dua jam 20 minit, sementara isyarat kedua hanya bertahan 30 minit.

Menurutnya, dua isyarat dikesan sekitar kawasan utara di lokasi pencarian di mana penerbangan pesawat itu dikatakan berakhir.

“Isyarat dikesan juga sangat konsisten dengan transmisi kedua-dua data perakam penerbangan dan perakam suara kokpit.

“Malah maklumat yang memberangsangkan selama 24 jam lalu ini sangat penting,” katanya dalam satu sidang media di Perth, semalam.

Beliau berkata, petanda-petanda diperoleh sehingga kini sangat positif dan diharap mampu menghasilkan penemuan merungkai kehilangan pesawat MH370 ini.

“Isyarat dikesan itu dianggarkan berada di kedalaman 4,500 meter dan terpaksa mengambil beberapa hari sebelum pakar bertugas dapat mengesahkan isyarat tersebut datang dari MH370,” katanya.

Houston turut menggesa pihak media supaya mengendalikan informasi terkini itu dengan bertanggungjawab dan berhati-hati.

“Kami masih belum menemui sebarang serpihan. Oleh itu, kami memerlukan lebih banyak informasi,” katanya.

Empat sekeluarga nyaris rentung

WARTAWAN SINAR HARIAN
Empat sekeluarga nyaris rentung
Anggota bomba memeriksa bahagian dalam premis yang hangus terbakar selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa 15 minit. 
8 April 2014
KUANTAN - Tindakan pantas sepasukan anggota bomba berjaya menyelamatkan empat sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia dua daripada rentung selepas mereka terperangkap di tingkat atas sebuah rumah kedai yang terbakar di Jalan Wong Ah Jang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, seorang ahli keluarga terbabit terpaksa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas hampir pengsan akibat terhidu asap tebal.

Keluarga terbabit bernasib baik apabila mereka yang ketika itu sedang nyenyak tidur terjaga akibat dikejutkan bunyi bising dan bau asap sebelum mendapati kedai menjual peralatan telekomunikasi di tingkat bawah terbakar.

Penolong Penguatkuasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Mohd Najib Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.24 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira seminit kemudian.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian,  anggota bomba menyedari ada mangsa terperangkap di tingkat atas lalu bertindak menyelamatkan semua mangsa yang difahamkan tinggal menyewa di premis tersebut.

“Empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Kuantan dan Taman Tas bersama 22 anggota dikerah ke lokasi bagi membantu mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 15 minit kemudian dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian namun tidak tolak kemungkinan ia berlaku akibat litar pintas,” katanya, ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohd Najib berkata, kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan melebihi RM500,000 apabila telefon bimbit dan aksesori serta perabot dalam premis di tingkat bawah itu musnah terbakar.

Permintaan isteri berakhir tragedi

WARTAWAN SINAR HARIAN
Permintaan isteri berakhir tragedi
Muhammad Syafie bersama anaknya reda dengan kehilangan orang tersayang. Gambar kecil: Nurzuraiyanie Habil
8 April 2014
 MANJUNG - Seorang suami tidak menyangka permintaan isterinya untuk pulang ke kampung berakhir tragedi apabila isteri dan anak perempuannya maut terlibat dalam satu kemalangan pada Sabtu lalu.

Muhammad Syafie Tumiran, 30, berkata, isterinya, Nurzuraiyanie Habil, 30, telah meminta izin untuk pulang ke kampung di Seri Manjung untuk menziarahi ibu mertuanya.

“Ketika itu saya sedang bekerja dan dia menelefon memberitahu mahu pulang ke Seri Manjung bersama dua anak. Pada mulanya saya agak keberatan untuk membenarkannya pulang dan dalam nada bergurau saya mengatakan tidak boleh namun saya tetap mengizinkannya.

“Memang sudah menjadi kebiasaannya isteri dan anak-anak untuk pulang sendiri jika saya tidak dapat menemani mereka,” katanya ketika ditemui di rumah ibu mertuanya di Seri Manjung di sini semalam.

Muhammad Syafie berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan kedua-dua arwah seminggu yang lalu kerana dia tinggal sendiri memandangkan dia kini menjalani latihan amali di Bangsar.

“Saya masih lagi belajar di Politeknik Arau dan jarang-jarang dapat berjumpa dengan anak-anak dan isteri yang tinggal di Bangi. Namun begitu, seminggu sebelum kejadian, arwah isteri kelihatan lebih suka bergurau, begitu juga dengan anak perempuan yang suka bersama saya.

“Anak perempuan saya juga tidak banyak ragam seperti sebelum ini dan amat rapat dengan saya. Memang saya tidak menyangka itu adalah petanda terakhir yang menunjukkan mereka bakal meninggalkan saya dan seorang lagi anak lelaki kami,” katanya.

Nurzuraiyanie dan anaknya Iman Nur Qurratunnisa, setahun tiga bulan, yang dalam perjalanan dari rumahnya di Bangi menuju ke Seri Manjung, maut apabila kereta yang dipandu Nurzuraiyanie yang dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah Sitiawan ke Teluk Intan.

Dalam kejadian itu, seorang lagi anaknya Muhammad Iman Qashrin, 5, terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Muhammad Syafie berkata, Muhammad Iman kini demam pada waktu malam disebabkan kejadian itu.

“Dia masih memerlukan rawatan susulan dua bulan sekali,” katanya.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Zuhairol, 32, berkata, arwah adiknya yang mengusahakan sebuah taska di Bangi sering berulang-alik ke Seri Manjung.

“Itu adalah rutin mingguan arwah pulang menjenguk ibu kami di Seri Manjung.

“Namun kami tidak menyangka ia akan berakhir begini namun kami reda menerima ketentuan Ilahi,” katanya.

Wanita hamil mati dalam tidur

NURUL HIDAYAH HAMID
Wanita hamil mati dalam tidur
Salah seorang keluarga mangsa di Bilik Forensik HSB, semalam. Gambar kecil: Syn Chyn 
8 April 2014
ALOR SETAR - Seorang wanita hamil tujuh bulan ditemui mati ketika tidur dalam bilik di kediamannya di Taman Sri Abadi, Jalan Kuala Kedah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi, difahamkan suaminya yang hanya dikenali sebagai Lim menemui isterinya, Eap Shy Chyn, 31, tidak sedarkan diri dalam bilik berkenaan.

Bapa saudara yang enggan namanya disiarkan berkata, suami wanita itu  yang juga seorang mekanik tidur di sofa ruang tamu kediaman berkenaan semenjak isterinya disahkan hamil.

“Kebiasaannya, Shy Chyn akan mengejutkan suaminya. Namun, Lim terjaga sendiri pagi ini (semalam). Sebaik bangun tidur, Lim cuba mengerakkan isterinya.

“Namun, tiada tindak balas daripada wanita itu. Terdahulu, dia ada meminta suaminya membancuh air Milo, sambil memaklumkan badannya tidak selesa kira-kira 1 pagi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pertanyaan suami mangsa jika ingin ke hospital ditolak wanita yang mengandungkan anak sulung mereka itu, sebaliknya terus masuk ke bilik selepas minum.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai kerani itu pernah menghidap jantung berlubang ketika kecil, namun telah menjalani pembedahan.

Mayat wanita berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

“Hasil siasatan mendapati kes berkenaan dikategorikan sebagai mati mengejut. Tiada unsur jenayah dalam kejadian itu,” katanya.

'Tan Sri' hadapi 75 tuduhan


Anggota polis membawa Ibrahim Saidon yang berkerusi roda ke Mahkamah Sesyen, Seremban 2, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
SEREMBAN 7 April - Seorang warga emas yang mendakwa dirinya Tan Sri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini selepas menghadapi 75 pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan kerugian berjumlah RM208,900, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Ibrahim Saidun, 60, yang berkerusi roda mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.
Mengikut pertuduhan, Ibrahim yang merupakan pengarah urusan sebuah syarikat swasta didakwa menipu Rusman Sulaiman, 51, de-ngan memperdaya lelaki itu bahawa tertuduh adalah Ketua Pengarah Unit Strategik di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan berpangkat Tan Sri.
Tertuduh mendakwa dapat membantu mangsa menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Kuala Pilah bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei tahun lalu.
Perbuatan tersebut mendorong mangsa menyerahkan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh untuk membeli tiket penerbangan dan bil penginapan hotel yang kesemuanya berjumlah RM208,900 antara tahun 2011 dan 2012.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Abu Hasan Tamli mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Muhamad Abu Hasan memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan tersebut dengan alasan ia melibatkan nilai kerugian yang besar.
Ibrahim yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan selain meminta dia dikembalikan ke wad hospital dengan alasan sakit dan tidak boleh berjalan.
Jagjit membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan 7 Mei depan bagi tarikh sebutan semula untuk pihak pendakwaan mengemukakan dokumen-dokumen selain memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam bela.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140408/ma_01/Tan-Sri-hadapi-75-tuduhan#ixzz2yMKU7ZDO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Diplomat Itali seludup kanak-kanak


MANILA 7 April - Polis Filipina hari ini menahan dan memfailkan aduan berhubung penyeludupan kanak-kanak terhadap seorang diplomat Itali yang sedang bercuti di sebuah pusat peranginan di selatan bandar ini.
Ketua Polis wilayah Laguna, Supritendan kanan Romulo Sapitula berkata, diplomat yang bertugas di Kedutaan Itali di Turkmenistan itu ditemui di pusat peranginan tersebut dan didakwa berada bersama-sama tiga-tiga kanak-kanak jalanan.
Seorang anggota Bahay Tuluyan, kumpulan hak asasi kanak-kanak yang kebetulan berada di pusat peranginan itu curiga terhadap kelakuan diplomat berkenaan dan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Sapitula berkata, hasil siasatan polis mendapati, sebelum membawa kanak-kanak itu ke Laguna, diplomat tersebut membawa kanak-kanak itu ke tempat penginapannya di Manila dan perkara itu telah dimaklumkan kepada kedutaan Itali di Manila. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140408/lu_08/Diplomat-Itali-seludup-kanak-kanak#ixzz2yF1zQvir
© Utusan Melayu (M) Bhd