SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan dua beradik yang didakwa membunuh ibu tirinya, dua tahun lalu membela diri atas pertuduhan yang dihadapi mereka.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati terhadap pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan prima facie di akhir kes.

Tertuduh, Maznah Abdussomad,18, dan pekerja kelab malam, Zahidah Ahmad,31, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibu tiri mereka, Tanziah Zainuddin yang juga guru agama, 72, dengan menekup muka mangsa dengan menggunakan bantal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di ruang tamu rumah di Lorong Kiyai Sujak, 20B, Taman Sri Wangi, Kapar, jam 5.30 petang, 14 Julai 2012.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iswa Tonie mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Sabit kesalahan, mereka berdepan dengan hukuman gantung mandatori.

Kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili oleh peguam bela, Liow Boon Teck dan Tan Teck Yaw.

Mahkamah menetapkan 7 April depan untuk kedua-dua beradik itu membela diri.

Media sebelum ini menyebut kematian mangsa pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan dikebumikan.

Namun, tiga hari selepas pengebumian guru agama itu, salah seorang ahli keluarga mendapati beberapa barang kemas milik mangsa hilang lalu membuat laporan polis.

Kubur mangsa kemudian digali semula dan hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat lemas.