
Empat tertuduh dalam kes pembunuhan Zara Eleena dan bapanya, diiringi anggota polis ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, semalam.
SHAH ALAM 31 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu kekurangan oksigen berkemungkinan membawa kepada kematian pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena dan bapanya, Omar Peter Abdullah, dua tahun lalu.
Pakar Perunding Perubatan Forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurliza Abdullah berkata, kekurangan oksigen merupakan salah satu kecederaan kurang ketara yang tidak boleh dikecualikan sebagai punca kematian dalam kes itu, setelah beliau melakukan bedah siasat terhadap mayat kedua-dua beranak itu.
Katanya, dalam kes itu beliau telah mengecualikan kesan-kesan nyata seperti luka tikaman, tetakan, tembakan dan hirisan sebagai punca kematian.
"Saya tidak boleh mengecualikan kesan kecederaan yang kurang ketara atau kurang jelas seperti kesan lebam, kesan lecet atau abrasi superfisial, tanda asfiksia seperti kekurangan oksigen dan seumpamanya yang disebabkan perubahan warna dan corak yang berlaku akibat daripada proses pembusukan serta pereputan.
"Oleh sebab itu kematian tidak boleh ditentukan secara konklusif," ujar beliau.
Nurliza, 49, berkata demikian sebagai saksi pendakwaan ke-13 ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin dalam perbicaraan kes bunuh Zara Eleena, 23, dan Omar Peter, 56.
Dalam kes itu, empat bekas pelajar KTAC, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, didakwa membunuh dua beranak tersebut di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Nurliza berkata, hasil pemeriksaan bedah siasat terhadap jasad Zara Eleena pada keseluruhannya dalam keadaan membusuk dan mereput serta tidak menunjukkan kesan-kesan kecederaan yang ketara atau kesan tulang patah pada rangka jasad yang boleh menyebabkan kematian.
Beliau turut memberitahu, terdapat kesan aktiviti haiwan atau kesan kelompong tisu pada bahagian ketiak jasad mangsa iaitu tisu lembut bahagian kulit telah dicubit oleh pemangsa haiwan jenis kecil misalnya tikus yang berlaku selepas mangsa meninggal dunia.
Katanya lagi, kedua-dua belah kaki mangsa kelihatan agak pusing ke arah dalam atau 'internally rotated' namun beliau berpendapat keadaan mangsa mempunyai fizikal sedemikian semasa hayatnya.
Sementara itu, saksi ke pendakwaan ke-14, Norazamah Razali, 42, yang merupakan kerani bank CIMB memberitahu, dia mengenali Zara Eleena kerana mangsa selalu datang ke bank tempat dia bekerja.
"Mangsa datang untuk membaharui kadnya yang hilang selain untuk memeriksa akaunnya kerana katanya duit hilang," ujarnya.
Menurut Norazamah lagi, dia telah meminta Zara Eleena memastikan sama ada benar dia tidak mengeluarkan wang dan seterusnya membuat laporan polis jika perkara itu tidak berlaku.
Ditanya bagaimana boleh mengingati Zara Eleena, dia berkata, wanita itu istimewa kerana mempunyai wajah cantik tetapi fizikalnya tidak sempurna kerana kakinya kelihatan tempang.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman bersambung esok.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140401/ma_02/Kekurangan-oksigen-mungkin-punca-kematian-Zara-Eleena-bapa#ixzz2xjTvDKy7
© Utusan Melayu (M) Bhd