Search This Blog

Tuesday, April 1, 2014

Lelaki dipenjara 10 tahun dan enam sebatan kerana miliki senjata api


01/04/2014 7:11pm

GEORGE TOWN - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memiliki senjata api serta tiga kesalahan yang lain, tiga tahun lepas.
Hakim Khairul Anuar Abdul Halim membuat keputusan itu selepas mengambil kira kepentingan awam yang perlu dilindungi dan hukuman yang dikenakan perlu dijadikan sebagai pengajaran.
Mahkamah memerintahkan tertuduh Lee Choon Peng, 32, yang bekerja sebagai tukang membaiki rumah menjalani hukuman penjara secara serentak dari tarikh tangkap bagi semua kesalahan yang dilakukan.
Untuk kesalahan pertama Choon Peng dituduh memiliki senjata api jenis Whalter pada pada pukul 12.45 tengah hari, 10 November 2011 di hadapan Pangsapuri Stallion, Bukit Dumbar dekat sini.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 itu, mahkamah menetapkan hukuman penjara selama 10 tahun dan enam sebatan.
Choon Peng juga dituduh di tempat dan masa yang sama, memiliki enam butir peluru 280 Auto dan sembilan butir peluru 9mm dan bagi kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 itu, mahkamah menetapkan hukuman penjara selama empat tahun.
Bagi kesalahan ketiga iaitu kegagalan mengemukakan kad pengenalan, Choon Peng dikenakan hukuman penjara tiga tahun, dan bagi kesalahan memiliki dadah jenis Eramin 5 seberat 0.06 gram, dia dihukum penjara empat tahun.
Choon Peng diwakili peguam bela Leonard Raj manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Pang Chuin Keat. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_24.htm#ixzz2xdtoAG9m 
Hakcipta terpelihara 

Warga Myanmar maut dibelasah rakan senegara


01/04/2014 9:40pm

KUANTAN - Seorang lelaki warga Myanmar maut setelah diserang rakan senegara di sebuah rumah kongsi di Jalan Pinggiran Pelangi dekat Rompin malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Yahaya berkata, Lai Rin Tluang, 24, mati pada 9.45 malam akibat kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai dipukul.
Polis telah menahan dua lelaki Myanmar berumur 20-an bagi membantu siasatan.
Johari berkata, siasatan awal mendapati Lai dipukul oleh beberapa rakan senegara yang menuduh mangsa menyebabkan mereka dibuang kerja. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_27.htm#ixzz2xdtb0FhD 
Hakcipta terpelihara 

Temui mayat adik di dapur

WARTAWAN SINAR HARIAN
Temui mayat adik di dapur
Salah seorang keluarga mangsa menunjukkan kawasan mayat wanita itu ditemui tertiarap, semalam. 
1 April 2014
KOTA BHARU - Niat seorang abang untuk menziarahi adiknya bertukar hiba selepas menemui jasad yang sudah berbau dan berulat dalam kejadian di Kampung Chengal, Ketereh, di sini kelmarin.

Mayat Rogaya Hassan, 40 ditemui abangnya dalam keadaan terlentang di bahagian dapur sebelum membuat laporan di  balai polis Ketereh.

Abang mangsa yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia melawat adiknya enam hari lalu yang masih sihat selain mengakui mangsa mengalami masalah mental sejak 12 tahun lalu namun tidak menyangka adiknya meninggal dunia dalam keadaan sedemikian.

Beliau berkata, ketika tiba di rumah mangsa, dia terhidu bau busuk sebelum masuk ke rumah dan terkejut melihat jasad adiknya dalam keadaan terlentang dan berulat di bahagian dapur.

“Kali terakhir saya melawat dia enam hari lalu dan pada waktu itu dia masih sihat walaupun sentiasa kemurungan kerana mengalami masalah mental.

“Sebak melihat jasadnya dalam keadaan demikian dan tidak menyangka dia akan meninggal dunia seorang diri,” katanya.

Difahamkan mangsa anak bongsu daripada lima beradik itu tinggal seorang diri di rumah berkenaan sejak tujuh tahun lalu selepas berpisah dengan dengan suami dan dua anaknya yang kini berada di Johor Bharu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, punca kematian belum dikenal pasti, namun setakat ini tiada unsur jenayah jenayah disyaki berikutan tiada kesan kecederaan pada mangsa.

Pocong di tengah jambatan kedua?

WARTAWAN SINAR HARIAN
Pocong di tengah jambatan kedua?
Gambar pocong yang tersebar di laman sosial kononnya dijumpai di tengah jambatan Pulau Pinang. 
1 April 2014
BAYAN LEPAS - Segelintir penduduk di sini gempar apabila tersebarnya dua keping gambar mengenai kejadian penemuan pocong di tengah-tengah Jambatan kedua Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Shah.

Pengguna laman sosial, Rahimi Ishak berkata, gambar berkenaan tersebar sejak beberapa hari lalu dan menjadi buah mulut penduduk setempat.

Menurutnya, melalui gambar berkenaan dengan jelas menampakkan seolah-olah terdapat imej yang berbungkus putih dan terbang tinggi.

“Kemudian ia berada di atas jambatan pada gambar kedua, kejadian dikatakan berlaku di tengah-tengah jambatan pada waktu malam.

“Saya sendiri yang mendapat gambar berkenaan memang terkejut,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi pengguna jambatan, Mohd Ali Mohd Noor berkata, dia pada mulanya terkejut melihat gambar berkenaan dan cuba bertanya kepada rakannya yang juga kerap menggunakan jambatan.

“Mereka kata ini perkara biasa, kalau dia nak muncul kita mana boleh halang, yang penting kita kena buat biasa saja.

“Lagipun ini bukan pertama kali berlaku cerita jumpa macam-macam makhluk halus atas jambatan, ia adalah biasa,” katanya.

Sementara itu bagi Zulkifli Zainal berkata, pengalamannya diganggu pada waktu malam ketika menunggang motosikal di atas jambatan pertama Pulau Pinang membuatkannya berwaspada.

“Bukan apa, kadang-kadang ada yang terlalu terkejut sehingga boleh sebabkan kemalangan, kalau yang tak kuat semangat, lebih baik elakkan.

“Saya pernah tunggang motosikal pada tengah malam di atas jambatan, setibanya di tengah-tengah, motor saya berat dan saya terpaksa menunggang lebih kuat dan laju, tetapi tiba-tiba ia menjadi ringan dan saya seolah-olah dalam keadaan tercampak ke depan, nasib baik saya boleh kawal motor.

“Kalau saya silap, bimbang kemalangan saja, apa pun kita kena tawakal kepada ALLAH SWT,” katanya.

Bagi pengamal perubatan Islam, Izzwandy Mamat, kejadian penemuan pocong di tengah jambatan adalah perkara biasa.

“Laut memang tempat tinggalnya dan mereka akan buat pelbagai rupa di kawasan mereka tinggal.

“Tidak dinafikan laut juga menjadi tempat kepada tukang perubatan membuang benda yang tidak baik, jadi ia bukan mustahil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sama seperti manusia, makhluk halus berkenaan juga memenuhi setiap pelosok tempat.

“Malah jin boleh menyerupai pelbagai bentuk tidak kiralah pocong, atau hantu raya ataupun toyol,” katanya.

Beliau menegaskan, bagaimanapun rupa bentuknya, perkara tersebut hanya berlaku dengan izin ALLAH SWT.

“ALLAH mahu menguji sejauh mana keimanan kita, sama ada takut pada makhluk atau pada-NYA.

“Ia juga sebagai tanda supaya kejadian sebegini akan mendekatkan kita lebih kepada ALLAH,” katanya.

31 rumah setinggan musnah terbakar

31 rumah setinggan musnah terbakar
Tiga puluh buah rumah setinggan di Taman Dingin Kilometer 2 ½ Jalan Apas dekat Tawau musnah dalam satu kebakaran awal pagi tadi. - Foto Bernama 
1 April 2014 TAWAU - Sebanyak 31 buah rumah di kawasan setinggan di Taman Dingin, Km 2 1/2, Jalan Apas di sini musnah dalam kebakaran awal hari ini.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau Rudy Fredzex berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 3.42 pagi dan tiga jentera serta dua kenderaan utiliti bersama 23 anggota tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

Api berjaya dikawal pada pukul 5 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya empat jam kemudian, katanya dalam kenyataan di sini.

Operasi turut disertai lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilapor manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.       

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau Asnah Kassim berkata pihaknya mendaftarkan 31 ketua keluarga yang dipercayai terbabit dalam kebakaran tersebut.

Mereka melibatkan 29 rakyat tempatan dan dua warga asing, katanya. - Bernama

Biadab dengan keluarga

Biadab dengan keluarga
Mohamad Nor dijatuhi hukuman penjara 13 bulan oleh mahkamah majistret, semalam.
RUBIAH OMAR
1 April 2014
 KUALA TERENGGANU - Padah bersikap biadab dengan ahli keluarga, seorang lelaki terpaksa meringkuk dalam penjara 13 bulan selepas mengaku salah merosakkan tayar kereta milik bapa saudaranya dan mengugut adiknya menggunakan parang, kira-kira setahun lalu.

Mohamad Nor Yanto, 34, dari Kampung Sungai Rengas, di sini, dijatuhi hukuman tersebut oleh mahkamah majistret semalam, selepas mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Mohamad Nor mengaku salah melakukan ugutan jenayah terhadap adiknya, Mohd Syawal Yanto, 30, menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Jalan Kampung Sungai Rengas Utama, di sini, jam 6.30 petang, 16 Mac 2013.

Bagi kesalahan itu, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di rumahnya didatangi Mohamad Nor dalam keadaan meracau.

Semasa kejadian itu, Mohamad Nor turut membawa sebilah parang sambil mengugut dan mangsa yang bimbang akan keselamatannya terus membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Selain itu, Mohamad Nor yang turut mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat itu dijatuhi hukuman penjara empat bulan.

Dia mengaku salah melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan dua biji tayar kereta jenis Perodua Viva membabitkan kerugian sebanyak RM360 di sebuah rumah di Kampung Sungai Rengas, di sini, jam 1.15 pagi, 6 Februari 2013.

Rozianti memerintahkan agar kesemua hukuman penjara tersebut berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala Mohamad Nor tidak diwakili peguam.

Kilang papan musnah, dua pekerja melecur

Kilang papan musnah, dua pekerja melecur
Keadaan kilang papan yang musnah dalam kebakaran. 
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 April 2014
KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga Bangladesh melecur di badan dalam kejadian kebakaran di sebuah kilang papan di Jalan Theater, Jinjang Utara berhampiran Pasar Besar di sini, kelmarin.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 11.53 malam.

Menurutnya, seramai 37 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Hang Tuah dan Sentul bergegas ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

“Api sedang marak ketika jentera pertama tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian dan mengambil masa 25 minit bagi mengawal api daripada terus merebak.

“Kilang papan berkeluasan 150 x 90 kaki persegi itu musnah terbakar hampir 90 peratus. Turut musnah dalam kebakaran itu termasuk bengkel besi dan bengkel perabot yang berada berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, dua lelaki yang cedera itu dihantar ke hospital berhampiran oleh majikan mereka untuk rawatan lanjut.

“Kita masih menyiasat punca dan jumlah kerugian,” katanya.

Terkedu jumpa mayat dalam longkang

WARTAWAN SINAR HARIAN
Terkedu jumpa mayat dalam longkang
Mayat yang dijumpai pelajar dalam longkang. 
1 April 2014
BUKIT GAMBIR - Seorang pelajar universiti di sini terkejut apabila menemui seorang lelaki di dalam longkang.

Pelajar yang tidak ingin mendedahkan namanya itu berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi dentuman dari arah tempat letak kereta di asrama penginapan universiti berkenaan pada kira-kira jam 11 malam.

“Kemudian saya turun dan terkejut kerana melihat seorang remaja lelaki terduduk dalam longkang, saya rasa dia bukan jatuh kerana keadaannya seperti elok saja iaitu dalam keadaan terduduk.

“Pada ketika itu saya dapati dia masih hidup tapi seolah-olah sesak nafas, dan kemudiannya saya bergegas untuk melaporkannya kepada pengurus tempat penginapan kami,” katanya.

Namun setibanya semula ke tempat kejadian, didapati lelaki berkenaan sudah tidak bergerak lagi.

“Sepanjang berada di universiti ini, ia adalah kejadian pertama kali dan bertambah aneh apabila kebanyakan pelajar di sini langsung tidak mengenali mangsa, kami sendiri hairan.

“Kami harap misteri ini dapat diselesaikan kerana ini adalah tempat pengajian,” katanya.

Pihak keselamatan universiti tersebut kemudiannya menghubungi anggota polis kira-kira jam 12 tengah malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan Ismail Idris berkata, beberapa titisan darah ditemui berhampiran dengan longkang di lokasi kejadian.

“Sehingga kini pihak kami masih belum mengenal pasti identiti mangsa kerana tiada sebarang pengenalan diri dijumpai,” katanya.

Pemeriksaan awal menunjukkan lelaki berkenaan mengalami patah tulang betis serta luka di bahagian hidung dan dagu.

Selain itu, telinganya juga mengalami pendarahan apabila mayat berkenaan ditemui.

“Kami masih mencari sebarang kemungkinan dalam penyiasatan ini dan saksi yang juga pelajar memang ada mendengar dentuman kira-kira jam 11.30 malam berdekatan lokasi kejadian.

“Sehingga kini kita masih mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut, dan kita akan melihat laporan bedah siasat,” katanya.

Maut pada hari lesen tamat tempoh

WARTAWAN SINAR HARIAN
Maut pada hari lesen tamat tempoh
Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada.
1 April 2014
 KULIM - Kegembiraan empat remaja lelaki berusia antara 17 dan 18 tahun yang tinggal di Sungai Petani untuk berkelah di Taman Rekreasi Arus Deras Sedim berubah tragedi apabila seorang dari mereka terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 11.15 pagi kelmarin.

Mangsa berusia 18 tahun bersama dua motosikal rakannya datang dari arah Kulim menuju ke Sedim dan apabila tiba di satu selekoh berhampiran Balai Polis Sungai Kob, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Dari siasatan awal polis mendapati mangsa baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan motosikal ditunggangnya baru dibeli.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa bersama tiga rakannya dipercayai menunggang motosikal dengan laju.

Menurutnya, motosikal rakan mangsa yang berada di hadapan hampir terbabas bagaimanapun berjaya dikawal namun sebaliknya berlaku kepada mangsa yang gagal mengawal motosikal ditunggang dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta.

“Mangsa berada di belakang sekali. Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa terbabas dan motosikalnya terseret sebelum merempuh bahagian hadapan sebelah kanan kereta dari arah bertentangan. Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dada maut di tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai lesen memandu bagaimanapun ia tamat tempoh pada hari kejadian berlaku," katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengakibatkan kemalangan maut.

"Ini merupakan kes kemalangan maut ketujuh yang berlaku sepanjang Mac. Saya ingin menasihatkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.

73 kes samun kereta Geng Kutty selesai

73 kes samun kereta Geng Kutty selesai

MUHAMMAD AFHAM RAMLI
PETALING JAYA - Polis berjaya menyelesaikan 73 kes samun kereta mewah melibatkan Geng Kutty susulan tertangkapnya lima suspek, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita ditangkap dalam serbuan pertama di sebuah hotel kira-kira jam 6.30 petang di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Menurutnya, manakala dua lagi suspek terdiri seorang lelaki serta wanita ditahan di tepi jalan di Kelana Jaya, pada keesokan paginya.

“Dengan tertangkapnya kelima-lima suspek ini, sebanyak tujuh kereta mewah hasil samun di sekitar Petaling Jaya dirampas seperti dua buah Honda Accord, Toyota Camry, Toyota Estima, Mercedez, Nissan Sentra dan Proton Exora serta beberapa kunci kereta, telefon bimbit dan komputer riba.

“Modus operandi mereka licik. Suspek akan menunggu mangsa yang hendak masuk atau keluar dari rumah sebelum melakukan samun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, semalam.

Menurutnya, polis percaya geng berkenaan hanya melakukan samun sahaja dan kemudian akan memberikan kenderaan yang disamun kepada geng lain untuk dijual.

Arjunaidi berkata, dalam pada itu, pihaknya kini memburu dua lagi rakan mereka dikenali sebagai Sam Chia Ming, 21, dan Ratchagapalan, 24, yang masing-masing alamat terakhir di Lembah Subang dan Taman Sri Manja.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Guru mati lemas ketika jala ikan

SITI SAFA MOHD NOR
Guru mati lemas ketika jala ikan
Pasukan Bomba dan Penyelamat memulakan operasi mencari dan menyelamat mangsa di sepanjang Sungai Perak kelmarin.
1 April 2014
 KAMPUNG GAJAH – Mayat seorang guru yang hilang dan dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Perak berhampiran Kampung Pasir Kubu di sini ditemui semalam.

Mangsa, Azdizul Abidin Azeman, 35, keluar bersama tujuh rakan dan saudara-maranya ke kawasan sungai itu sejak kelmarin untuk menjala ikan.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan dibawa arus deras ketika cuba mengambil jala ikan yang terlucut dari tangannya.

Biras mangsa, Zulkifli Zakaria, 42, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7 petang kelmarin itu, mereka sudah berkemas untuk pulang.

Menurutnya, bagaimanapun Azdizul dilihat kembali menebar jala ke dalam sungai.

“Saya pelik kenapa dia buat begitu sebab sebelum itu, kami hanya memancing bukan menjala. Selepas tebar jala dia terus turun ke sungai.

“Anak saya juga turun untuk cuba membantu dan ketika itulah mereka berdua berada dilihat lemas, mungkin kerana air sungai dalam,” katanya.

Zulkifli berkata, mereka cuba menyelamatkan anaknya Muhammad Hafiz Fitri, 15, tanpa menyedari Azdizul juga sedang lemas ketika itu.

Katanya, dia dan rakan-rakannya berjaya menyelamatkan anaknya namun Azdizul terus terkapai-kapai dan hilang dibawa arus tanpa sempat diselamatkan.

Difahamkan, mangsa sememangnya suka menangkap ikan atau udang di tali air, parit ataupun lombong, namun ketika kejadian, dia pertama kali berkunjung ke sungai itu.

Sementara itu, Ketua Pasukan Bomba dan Penyelamat, Zon Perak 3, Kamarudin Shikh Hussin berkata, operasi menyelamat dilakukan pada jam 7.30 petang kelmarin sebelum dihentikan pada jam 12.50 malam.

Katanya, operasi yang masuk hari kedua dimulakan pada jam 7.30 pagi dengan dibantu pasukan Unit Skuba bomba dari Pulau Pangkor.

“Mayat mangsa ditemui pada jam 2.45 petang tadi (semalam) berhampiran dengan lokasi kejadian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat di sepanjang tebing sungai itu turut dibantu Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan penduduk kampung.

Polis Thai maut payung terjun tidak berfungsi


1 April 2014

BANGKOK - THAILAND. Dua polis kadet Thailand maut selepas payung terjun mereka gagal dibuka ketika latihan di ibu pejabat Perintah Sokongan Udara Sempadan Polis di wilayah Prachuap Khiri Khan, 200 kilometer di selatan ibu negara, semalam.

Media melaporkan, tiga daripada mereka nyaris maut selepas berdepan situasi sama namun selamat mendarat dengan menggunakan payung terjun simpanan.

“Mereka antara 69 anggota melakukan terjunan bebas dari pesawat ketika latihan,” menurut laporan itu, laporan dipetik dari Bangkok Post.

Puluhan tentera Assad maut


1 April 2014


ALEPPO - SYRIA. Puluhan tentera Presiden Syria Bashar al-Assad terbunuh dalam dua serangan dilakukan oleh Tentera Pembebasan Syria (FSA) di Aleppo.

Komenader FSA Ziad Haji Obeid berkata, kumpulannya melakukan dua operasi khas di Syeikh Najjarm dan di kejiranan Al-Azizieh dalam bandar Aleppo.

“Kami menyasarkan sebuah kilang gula-gula di Al-Azizieh menyebabkan 20 tentera rejim maut,” katanya.

Menurutnya, laporan dipetik dari Al-Jazeera, operasi khas ini dilakukan untuk melumpuhkan usaha tentera rejim menawan dua bandar terbabit.

Pekerja bank curi RM10.8j habiskan langgan pelacur


2014/04/01 - 06:25:07
London: Seorang pekerja bank yang sudah berkahwin dan mencuri lebih 2 juta pound (RM10.8 juta) dari Barclays serta membelanjakannya untuk pelacur dipenjara selama tujuh tahun.

John Skermer, 45, membuka akaun bank palsu dengan overdraf 1 juta pound (RM5.4 juta), sebelum menyalurkan wang terbabit ke dalam akaun peribadinya.
Beliau membelanjakan hampir kesemua wang terbabit untuk melanggan pelacur, malah berhabis sebanyak 1 juta pound untuk seorang pelacur saja.

Lelaki terbabit didakwa menghabiskan masa beberapa bulan bersama wanita Thailand yang dikenali sebagai Kookai, dengan makan angin ke London dari Cheshire dan menginap di hotel mewah serta makan di restoran terkemuka.

Sepanjang tempoh itu, isteri Skermer, Tracym 33, yang dikahwininya selama 10 tahun serta mempunyai dua anak tidak mengetahui identiti suaminya itu.


Bank kesan akaun palsu
Malah lelaki terbabit membohongi isteri dan keluarganya dengan mengatakan beliau terpaksa bekerja luar untuk membantu polis menyiasat kes penipuan.

Jawatannya sebagai ketua keselamatan teknologi maklumat (IT) membolehkan beliau mencuri sejumlah 2.1 juta pound dari bank tanpa dapat dikesan sepanjang lima tahun. Tetapi penipuan terbabit akhirnya terbongkar apabila kemas kini keselamatan di bank terbabit mengesan akaun palsu.

Ketika beliau diminta menyiasat perkara itu, beliau akhirnya membuat pengakuan.

Malah Skermer turut membelanjakan sejumlah wang untuk percutian golf mewah, tiket menyaksikan perlawanan Manchester United dan sebuah kereta pacuan empat roda berharga 35,000 pound (RM190,000). - AGENSI

Wanita hamil maut kereta dirempuh lori

 Wanita  hamil maut kereta dirempuh loriKeadaan kereta yang dinaiki Noor Hayati remuk teruk. Johor Bahru: Seorang wanita sarat hamil maut selepas kereta dinaikinya dirempuh sebuah lori pasir di persimpangan lampu isyarat di Jalan Masai Baru, di sini yang turut meragut nyawa bayi dalam kandungannya.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, Noor Hayati Che Aziz, 30, yang duduk di kerusi penumpang hadapan dan sarat mengandung tujuh bulan, disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Sultan Ibrahim (HSI). Adik lelakinya, Nasarudin, 20, pula parah dan dirawat di hospital sama.

Kejadian berlaku ketika PROTON Persona dipandu suami Noor Hayati, Mohd Faizal Rosli, 31, yang turut membawa dua anak mereka, Muhamas Farhan, 6, dan Noor Fazliyana, 5, dalam perjalanan dari arah susur keluar Pasaraya Big Aeon Tebrau City menghala Taman Johor Jaya.


Diseret sejauh 20 meter

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata sebaik kenderaan itu tiba di persimpangan berkenaan, ia dirempuh sebuah lori pasir dari arah tepi sebelah kiri sebelum diseret sejauh 20 meter.

“Akibat rempuhan itu, seorang wanita yang hamil, cedera parah dan dikejarkan ke HSI, namun dia bersama kandungannya disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital. Adik mangsa pula parah dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, Mohd Faizal bersama dua anak pasangan berkenaan bagaimanapun hanya cedera ringan dalam kejadian terbabit, manakala pemandu lori menghilangkan diri sejurus kemalangan.

“Polis kini sedang memburu pemandu lori berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Peniaga ayam dipenjara 13 tahun, 10 sebatan kerana miliki dadah


2014/04/01 - 12:46:33

GEORGETOWN: Seorang peniaga ayam dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi, selepas didapati bersalah dalam pertuduhan pilihan memiliki 204.26 gram (g) dadah jenis Kanabis pada Mac tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menjatuhkan hukuman berkenan terhadap Mohd Shaiful Saad, 32, selepas menimbangkan pelbagai aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 9.40 pagi pada 13 Mac 2013 di No 69, Jalan Maju, Taman Abdullah Fahim di Kepala Batas.

Bagi kesalahan itu,Mohd Shaiful didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) akta sama.

Tertuduh yang memakai kemeja t biru berkolar kelihatan tenang ketika hukuman keatasnya dibacakan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Muna Mohd Jaafar dan tertuduh diwakili Md Yusuf Md Idris. 

31 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Tawau


2014/04/01 - 12:48:36

TAWAU: Sebanyak 31 buah rumah di kawasan setinggan di Taman Dingin, Km 2 1/2, Jalan Apas di sini musnah dalam kebakaran awal hari ini.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzex berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 3.42 pagi dan tiga jentera serta dua kenderaan utiliti bersama 23 anggota tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.


Api berjaya dikawal pada jam 5 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya empat jam kemudian, katanya dalam kenyataan di sini.

Operasi turut disertai lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilapor manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Tawau Asnah Kassim berkata pihaknya mendaftarkan 31 ketua keluarga yang dipercayai terbabit dalam kebakaran terbabit.

Mereka membabitkan 29 rakyat tempatan dan dua warga asing, katanya. - BERNAMA 

Lebih sayang kereta


Oleh Arifin Salleh
Alor Gajah: Seorang ahli perniagaan berlumuran darah di kepala akibat kemalangan di sini, semalam menimbulkan keanehan apabila enggan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam kelmarin di Kilometer 209.9, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk Restoran Jejantas Ayer Keroh, di sini.


Dalam kejadian itu, mangsa Gan Cheng Huat, 64, yang memandu Honda Accord terpaksa dipujuk pasukan paramedik selama hampir satu jam sebelum bersetuju dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.

Sumber berkata, Gan yang tinggal di Batu Berendam, dekat sini, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Ayer Keroh sebelum masuk ke susur kiri menuju restoran jejantas di situ.


“Bagaimanapun, ketika hendak memasuki restoran jejantas berkenaan, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri lebuh raya sebelum masuk ke dalam longkang. “Kenderaan itu kemudian merempuh pokok dan berpusing beberapa kali menyebabkan mangsa terperangkap di dalam kenderaannya.


“Beberapa pengguna jalan raya yang berhenti untuk memberi pertolongan mulanya menyangka lelaki itu sudah mati kerana mukanya dipenuhi darah. Bagaimanapun mangsa tersedar selepas badannya digerakkan pengguna sebelum dia dikeluarkan dari kereta,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pasukan paramedik yang tiba selepas dihubungi beberapa minit kemudian ingin membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun lelaki itu enggan dengan memberikan pelbagai alasan.


Kata sumber itu, mangsa dipercayai enggan ke hospital kerana bimbangkan keselamatan keretanya yang berada di lokasi kemalangan.

Sementara itu Gan berkata, ketika kejdaian dia bercadang singgah ke restoran jejantas berkenaan untuk berehat akibat keletihan selepas seharian menguruskan perniagaan di Kuala Lumpur.


“Namun saya tersilap jangkaan ketika hendak masuk ke susur. Stereng kereta berasa berat secara mengejut lalu melencong ke kiri dan terbabas sebelum terbalik beberapa kali menyebabkan saya tidak sedar apa yang berlaku. “Biarpun kepala cedera, namun saya bersyukur kerana masih terselamat dan kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain,” katanya.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah Sueprintendan Mohamad Laham mengesahkan mengenai kejadian dan berkata, mangsa hanya cedera ringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/10

Laporan fitnah media asing


Kuala Lumpur: “Penipu besar! Saya tak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kepada mana-mana wartawan dari Daily Mail.” Demikian tegas Presiden Persekutuan Juruterbang Malaysia (MPA) Kapten Abdul Manan Mansor.
Beliau berang apabila portal berita berpangkalan di United Kingdom itu menyiarkan laporan berita memetik dia mendakwa juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah mungkin membunuh diri. 
Daily Mail itu juga memetik Abdul Manan sebagai berkata, Zaharie berada dalam keadaan psikologi tidak stabil akibat masalah rumah tangga. 

Abdul Manan berkata, semua berita 10 perenggan itu rekaan Daily Mail semata-mata dan dia langsung tidak tahu bagaimana mereka boleh berbuat begitu.
Foto
KERATAN laporan berita Daily Mail mendakwa Kapten Zaharie mungkin membunuh diri.

“Saya berpendapat wartawan terbabit tiada cerita lagi. Semua orang mencari jawapan kehilangan MH370, semua tanya kenapa kerana operasi dan menyelamat sudah memasuki hari ke-24.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Duit kahwin RM150,000 lebur

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Akibat terlalu percayakan dua rakan bergelar ustaz, seorang lelaki kini tenggelam punca apabila wang untuk majlis perkahwinannya sebanyak RM150,000 lebur di tangan ‘Sheikh Sudan’ dua beranak.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Amin, 28, berkata, dia setuju meminjamkan wang kepada dua rakannya itu atas dasar percaya dan bagi membalas jasa mereka yang pernah menolongnya sebelum ini.
“Saya sama sekali tidak menyangka mereka menyerahkan pula wang itu kepada dua beranak dari Sudan yang mereka panggil Sheikh untuk upacara tarik duit,” katanya.

Amin berkata, ketika mahu meminjam wang, dua rakannya yang bergelar ustaz itu memberi alasan mereka memerlukan wang untuk perniagaan dan berjanji membayar semula dalam tempoh lima jam.
Foto
WANG RM150,000 sebelum diserahkan kepada dua rakan mangsa.
Foto
HELAIAN kertas kosong bersaiz wang kertas AS$100 yang didakwa akan ditukarkan dengan duit.

Menurutnya, kejadian itu berlaku awal Mac lalu dan kini dia pening memikirkan bagaimana mahu meneruskan majlis perkahwinannya yang dijadual Jun depan kerana masih gagal mendapatkan wangnya semula.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Tinggal tengkorak


Alor Setar: “Setiap hari saya melalui kawasan itu, tetapi tidak pula nampak apa-apa. Saya terkejut apabila penduduk beritahu jumpa mayat dalam hutan menyebabkan saya bergegas ke lokasi, tetapi tidak berani masuk ke kawasan itu,” kata Asri Jaafar, 41.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam, mayat seorang lelaki berusia 50-an ditemui dari paras pinggang ke atas di sebalik dahan pokok dan semak dalam kawasan hutan di Jalan Lencong Barat, di sini, berhampiran Sungai Kedah, di sini. 
Difahamkan, mayat lelaki terbabit dipercayai sudah meninggal dunia sejak lebih seminggu lalu berdasarkan keadaan fizikalnya hanya tinggal tengkorak, manakala bahagian isi badannya sudah reput. 

Asri berkata, dia di kedai makan miliknya terletak di pesisir Juragan sebelum diberitahu ada penduduk ternampak mayat sudah reput, manakala sebahagian perutnya sudah tiada dipercayai dimakan haiwan dalam hutan berkenaan.
Foto
ANGGOTA polis mengusung keluar mayat.

Menurutnya, ia kejadian pertama penemuan mayat di kawasan itu dan setakat ini, dia tidak menerima maklumat kehilangan ahli keluarga penduduk di kawasan kampung berhampiran.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya. 


Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Wanita mengandung maut kemalangan


Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Seorang wanita bersama bayi dalam kandungan yang mencecah tujuh bulan maut dalam kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat di Jalan Masai Baru, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku jam 4 petang.



Menurutnya, mangsa dikenal pasti sebagai Noor Hayati Che Aziz, 30 yang berasal dari Taman Air Biru, Pasir Gudang.

Katanya, adik mangsa, Nasarudin, 20, parah dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail.


"Suami mangsa yang juga pemandu kereta, Mohd Faizal Rosli, 31, serta anak pasangan itu, Muhamas Farhan, 6, dan Noor Fazliyana, 5, selamat.


Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki mangsa jenis Proton Pesona bersama empat ahli keluarganya iaitu Proton Pesona dirempuh sebuah lori pasir di persimpangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Wanita selamat selepas 14 hari terapung di laut


JAKARTA: Pantang maut sebelum ajal. Itulah yang dialami seorang wanita selepas hanya bergantung kepada air hujan untuk hidup selepas terapung di laut selama dua minggu.

Susanti, 32, yang berasal dari Desa Lebo dalam daerah Parigi Moutong, Sulawesi Tengah, ditemui oleh dua nelayan di laut pagi tadi.



Ketua Polis Wilayah Poso Kota, Urbanus Songgo berkata kejadian berlaku apabila bot yang dinaiki Susanti dan suaminya, Toni, 33, terbalik dilambung ombak ketika memancing ikan di laut.

"Dari keterangan mangsa, dia sudah 14 hari terumbang-ambing di laut. Dia boleh bertahan hidup kerana minum air hujan. Wanita ini diselamatkan dua nelayan yang berasal dari Tegalredjo, Poso, kira-kira 11 pagi tadi," kata Urbanus yang dipetik akhbar Kompas.com pada Isnin.


Urbanus berkata daripada keterangan dua nelayan berkenaan, Sudirman, 30, dan

Aco, 36, mereka melihat sebuah bot terbalik dan seorang wanita yang berada dalam
keadaan lemah.

"Kedua-dua nelayan itu membawa mangsa ke klinik berdekatan. Sehingga kini,
suami Susanti belum ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Warga Myanmar maut dikelar dan ditetak


Oleh Asmah Rusman

Kajang: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan kelar di leher dan tetakan di kepala di belakang restoran di Jalan Temenggung 19/9, Bandar Mahkota Cheras, malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Gin Sian Hku, 20, ditemui seorang lelaki kira-kira 8.15 malam.



Dia kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Abdul Ghani Mohd Ji berkata, maklumat pertama yang diterima berhubung seorang lelaki dibunuh sekumpulan lelaki Nigeria.


Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati mangsa kemungkinan diserang dua atau tiga lelaki warga Myanmar selepas bergaduh sesama sendiri.


"Pemeriksaan di tempat kejadian menemui sebilah pisau pemotong daging berhampiran mayat mangsa namun pisau itu bukan digunakan untuk membunuh sebaliknya pisau mangsa sendiri yang bekerja sebagai pemotong ikan.

"Mangsa mungkin pekerja di sebuah restoran di sini tetapi siasatan belum mengenalpasti majikannya kerana semua restoran sudah tutup sebaik polis tiba di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abdul Ghani berkata, pemeriksaan ke atas mayat mendapati tangan mangsa masih dipenuhi sisik ikan dan tidak menolak kemungkinan mangsa diserang ketika sedang bekerja.

"Mungkin berlaku pergelutan dan mangsa juga lari beberapa meter dipercayai untuk menyelamatkan diri.

"Terdapat kesan kelar pada bahagian kiri leher mangsa dan kesab tetakan di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul," katanya.

Menurutnya, polis masih mengesan suspek dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Mayat mula busuk, reput


Shah Alam: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam kekurangan oksigen berkemungkinan membawa kematian pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC) Zara Eleena dan bapanya Omar Peter Abdullah, dua tahun lalu.
Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah, 49, berkata, kekurangan oksigen adalah kecederaan kurang ketara yang tidak boleh dikecualikan sebagai punca kematian dalam kes itu selepas dia melakukan bedah siasat ke atas mayat dua beranak itu. 
“Saya tidak boleh mengecualikan kesan kecederaan yang kurang ketara atau kurang jelas seperti kesan lebam, kesan lecet atau abrasi superfisial, tanda asfiksia seperti kekurangan oksigen dan seumpamanya yang disebabkan perubahan warna dan corak yang berlaku akibat dari proses pembusukan serta pereputan...oleh sebab itu kematian tidak boleh ditentukan secara konklusif,” katanya. 

Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin dalam perbicaraan kes bunuh Zara Eleena, 23, dan Omar Peter, 56.
Foto
EMPAT tertuduh kes kematian dua beranak.

Beliau berkata, hasil bedah siasat terhadap mayat Zara Eleena pada keseluruhannya dalam keadaan membusuk dan mereput serta tidak menunjukkan kesan kecederaan ketara atau kesan tulang patah pada rangka mayat yang boleh menyebabkan kematian.

“Di bahagian muka terdapat kesan kehitaman di sebelah kiri manakala lidah dalam keadaan terjelir serta bola mata kemek. 

“Tisu lembut pada bahagian ketiak mayat Zara Eleena yang dicubit haiwan jenis kecil seperti tikus dan seumpamanya selepas wanita itu meninggal dunia,” katanya. 

Terdahulu, Dr Nurliza berkata, selepas seseorang itu meninggal dunia tidak kira punca kematian sama ada digantung, dicekik dan seumpamanya, lidah terjelir kerana berlakunya proses pembusukan atau pereputan. 

Saksi Norazamah Zainal, 42, berkata, Zara Eleena pernah menjadi pelanggannya untuk menggantikan kad bank miliknya yang hilang. 

“Saya mengingati Zara Eleena kerana namanya yang unik dan berasa dia adalah anak kacukan. 

“Selain itu, Zara Eleena juga istimewa kerana berwajah cantik namun tempang membuatkan saya ingat padanya walaupun mempunyai beribu pelanggan lain,” katanya 

Kerani di CIMB Bank Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur itu berkata, Zara Eleena selalu datang ke bank menggantikan kad bank hilang. 

Mengikut pertuduhan, Mohamad Zul Shahril, 22; Mohamad Sharafe Matt Noh, 21; Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, dituduh membunuh Zara Eleena di rumah nombor 28 Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, di antara jam 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012. 

Mereka juga dituduhmembunuh pesara syarikat kewangan Omar Peter di tempat dan hari yang sama.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Tanam pil kuda RM1 juta


Oleh Siti Fatimah Hassan

Kota Bharu: Taktik sepasang suami isteri dipercayai pengedar, cuba menyembunyikan dadah dengan menanam bahan terlarang itu berhampiran rumah mereka, tidak berhasil apabila polis membongkar kegiatan itu.

Sejumlah 39,399 pil kuda dianggarkan bernilai RM1 juta dirampas, kelmarin.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Gual Sitok, Rantau Panjang jam 2.45 petang, dua suspek dipercayai pasangan suami isteri berusia 21 dan 25 tahun terbabit turut ditahan, sekali gus melumpuhkan sebahagian rangkaian pengedaran dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ketika serbuan, polis hanya menemui beberapa biji pil terbabit di rumah itu, namun suspek kemudian menunjukkan tempat dia menyembunyikan sejumlah besar lagi dadah jenis berkenaan.

Katanya, dadah terbabit disembunyikan dalam tin minuman dan ditanam berhampiran rumah, selain turut disorok dalam bekas tong plastik dan disembunyikan dalam hutan.

“Serbuan ini dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

“Ketika diserbu, ada lelaki berusia 21 tahun dan wanita berusia 25 tahun yang disyaki pasangan suami isteri.



Lelaki itu cuba melarikan diri, tetapi ditangkap sebelum polis menemui beberapa biji pil di rumah itu.

“Selepas didesak, suspek menunjukkan pil kuda yang ditanam berhampiran rumahnya, selain disorok dalam bekas tong di hutan.

Apabila diperiksa ada sejumlah 39,399 pil kuda yang disembunyikan.

“Kami juga percaya semua dadah ini adalah untuk pasaran di seluruh Kelantan,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan, semalam.


Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Amran Ramli.

Jalaluddin berkata, pihaknya turut menyita wang tunai RM39,599 termasuk 9,000 Baht dan dua kenderaan bernilai RM19,000 dimiliki suspek.

Katanya, dua suspek itu ditahan reman tujuh hari sehingga Khamis dan ujian air kencing mereka didapati negatif dadah.

“Kami sebenarnya sudah melakukan intipan kegiatan pasangan ini sejak tahun lalu dan kedua-dua mereka adalah antara pengedar dadah yang diburu selama ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga semalam, polis membuat tangkapan ke atas 1,582 individu berkaitan kes dadah di sempadan membabitkan rampasan 60,215 pil kuda bernilai RM1.6 juta.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Mayat longkang desasiswa


Sebelum kejadian pengawal keselamatan terbabit melakukan rondaan rutin dan terlihat objek pelik dalam longkang berkenaan.
Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki dipercayai sudah meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, berdasarkan siasatan dilakukan mangsa tidak memiliki sebarang identiti pengenalan diri.

“Ketika ditemui mayat lelaki berkenaan memakai baju warna kuning dengan tertera tulisan ‘Pertandingan Pertolongan Cemas Cawangan Perak’ dan berseluar sukan pendek.
“Kami cuba mendapatkan petunjuk kejadian itu dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran, tetapi gagal kerana alat keselamatan tidak berfungsi,” katanya.
Foto
ANGGOTA polis forensik memeriksa mayat yang ditemui di longkang.

Ismail berkata, pihaknya juga mendapatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mencari petunjuk bagaimanapun, usaha itu tidak berhasil.

Pelajar yang tinggal di asrama berkenaan juga mendakwa mereka tidak mengenali mangsa menyebabkan usaha mengesan identiti lelaki terbabit menjadi semakin sukar.

“Bagaimanapun seorang daripada pelajar yang ditemui mendakwa terdengar bunyi seperti objek jatuh ke dalam longkang berkenaan kira-kira jam 11.30 malam.

“Siasatan akan dijalankan secara terperinci termasuk sekiranya ia mempunyai unsur jenayah, memandangkan kawasan asrama berkenaan berpagar,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Buat laporan palsu tutup salah rakan


Nibong Tebal: Penipuan seorang lelaki memakan diri selepas dia ditahan kerana membuat laporan palsu berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 164, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara berhampiran Jawi di sini, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu yang juga seorang kontraktor dikatakan datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) jam 8.30 malam kelmarin membuat laporan berhubung kemalangan itu dan mengaku sebagai pemandu kenderaan Toyota Hilux terbabit ketika kejadian berlaku.

Dia dikatakan bertindak demikian untuk melindungi rakannya iaitu individu sebenar memandu Toyota Hilux terbabit tanpa memiliki lesen memandu sah.



Bagaimanapun, gelagatnya itu menimbulkan rasa curiga pegawai penyiasat terbabit selain keterangan dan fakta yang diberikan lelaki itu kerap bercanggah.

Ketua Polis Daerah SPS Superintendan Shafien Mamat berkata, lelaki berkenaan datang dengan ditemani tiga rakannya termasuk pemuda berusia 29 tahun iaitu pemandu sebenar Toyota Hilux ketika kemalangan berlaku.

“Ditanya mengapa lewat membuat laporan lelaki terbabit memberikan alasan bergegas menghadiri kenduri kahwin di Perlis.

“Selain gelagat mencurigakan lelaki sama juga gagal mengemukakan bukti bahawa sudah menghadiri majlis perkahwinan itu manakala siasatan lanjut dilakukan mendapati dia memberikan keterangan tidak benar.

“Semuanya dilakukan untuk mengelakkan rakannya iaitu pemandu sebenar Toyota Hilux berkenaan ketika kejadian tidak mempunyai lesen memandu daripada dikenakan tindakan,” katanya.

Kontraktor berkenaan bagaimanapun dibebaskan jam 5 pagi semalam dengan jaminan selama dua minggu selain pihak polis berpuas hati dengan kerjasama dan keterangan diberikan.

Siasatan mendapati ketika kejadian Toyota Hilux terbabit dinaiki lelaki berkenaan bersama tiga lagi rakannya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Lembah Klang.

“Tindakan lelaki itu hanya menambahkan lagi masalah kerana bukan saja terbabit dengan kemalangan sebaliknya cuba mengelirukan penjawat awam dengan memberikan keterangan palsu.

“Perkara ini amat serius dan mereka yang terbabit dengan kemalangan diberi amaran supaya tidak melakukan perkara sama kerana ia hanya merugikan diri sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Laporan palsu dakwa dikurung bekas suami


Kuala Lumpur: Seorang wanita membuat laporan polis palsu mendakwa dikurung dan tidak dibenarkan menjamah makanan oleh bekas suaminya sepanjang dia menumpang di rumah lelaki itu di Pantai Dalam, di sini, sejak beberapa bulan lalu.

Polis yang melakukan siasatan mendapati wanita berusia 28 tahun itu berbuat demikian selepas tidak berpuas hati dengan bekas suaminya enggan memberikannya wang.

Sumber polis berkata, pasangan terbabit sudah bercerai, namun si lelaki simpati kerana bekas isterinya tidak bekerja membenarkan wanita itu tinggal sementara di kediamannya.

“Walaupun sudah bercerai, namun keperluan wanita terbabit tetap ditunaikan menyebabkan bekas isterinya terus menetap selama beberapa bulan dan enggan bekerja.

“Namun, dalam kejadian terbaru Rabu lalu, wanita terbabit datang ke tempat kerja suaminya dan meminta sejumlah wang, namun apabila lelaki itu enggan berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum wanita itu membuat laporan polis Rabu lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, siasatan pihaknya mendapati wanita terbabit tidak pernah dikurung atau dipukul sebaliknya dia dibenarkan tinggal di rumah bekas suaminya.

Lelaki maut ditikam dalam masjid


Oleh Siti Nadirah Hafidzin

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditemui maut selepas ditikam seorang bekas pesakit Hospital Permai di dalam Masjid Al-Muslihum hospital terbabit, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti sepenuhnya itu juga adalah bekas pesakit hospital berkenaan.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU, Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.53 malam daripada seorang lelaki yang melaporkan kejadian.

"Ketika anggota dan pegawai tiba di lokasi kejadian suspek tidak melarikan diri dan mengaku menikam mangsa.


"Tiada saksi yang menyaksikan kejadian kerana kesemua individu yang berada di dalam masjid itu sedang menunaikan solat Maghrib," katanya di sini.


Mohd Khamsani berkata, siasatan lanjut masih dijalankan terutama meneliti sebab kejadian dan butir peribadi mangsa selain suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Askar Russia berundur


Kiev: Ukraine semalam melaporkan Russia mula mengundurkan askarnya dari sempadan negara itu.

Perkembangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan usaha Washington mencari penyelesaian lebih berdiplomasi dalam perbalahan Timur-Barat paling teruk sejak Perang Dingin berakhir.


Pengunduran itu dikatakan berlaku selepas pertemuan selama hampir empat jam di Paris antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry dengan Menteri Luar Russia Sergei Lavrov.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Ukraine Oleksiy Dmytrashkivskiy berkata, pengunduran tentera Russia itu dipercayai berlaku selepas perbualan telefon antara Presiden Vladimir Putin dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, Jumaat lalu.


“Russia dilihat beransur-ansur mengundurkan tenteranya.


“Bagaimanapun, saya tidak dapat mengesahkan berapa ramai anggota tentera Russia masih berada di sempadan kami,” katanya.

Penganalisis Pusat Pengajian Ketenteraan dan Politik Kiev Dmytro Tymchuk berkata, sumbernya memaklumkan hanya 10,000 tentera Russia masih berada di sempadan sehingga semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Rahib protes bakar diri


Beijing: Seorang rahib Tibet semalam bertindak membakar dirinya sendiri sebagai protes terhadap pentadbiran China.

Menurut organisasi Free Tibet dan Radio Free Asia, rahib yang nama dan usianya tidak didedahkan itu melakukan perbuatan berkenaan Sabtu lalu di Wilayah Autonomi Kardze Tibet di Sichuan.

Penggubal undang-undang bagi kerajaan Tibet dalam buangan di India, Kalsang Gyaltsen berkata, kejadian berlaku ketika wanita berkenaan sedang berjalan mengelilingi sebuah biara yang juga antara tatacara dalam amalan keagamaan Tibet.

“Mereka yang berada di tempat kejadian memadamkan api sebelum menghantar wanita itu ke hospital,” katanya.


Sumber mendakwa wanita itu memprotes pentadbiran Beijing di kawasan didiami orang Tibet.


Menurut Free Tibet dalam laporannya berkata, kawalan keselamatan ditingkatkan di kawasan berkenaan.

Katanya, sekurang-kurangnya 125 orang Tibet di China membakar diri sendiri sejak 2009.

Kejadian terbaru ini adalah yang ketiga bulan ini selepas dua orang Tibet meninggal dunia di Sichuan pada 16 Mac lalu.

Mac adalah bulan sensitif bagi orang Tibet berikutan 10 Mac menandakan ulang tahun pemberontakan Tibet pada 1959 sehingga mengakibatkan Dalai Lama ke-14 melarikan diri ke India.

Beijing menuduh Dalai Lama menggalakkan perbuatan membakar diri dalam kalangan orang Tibet sebagai sebahagian daripada perjuangannya untuk berpisah daripada China.

Ini berikutan kawalan dikenakan China terhadap hak orang Tibet termasuk kebebasan beragama.

Bagaimanapun, tuduhan berkenaan disangkal Dalai Lama yang menegaskan tidak terbabit, malah tidak dapat menghalang perbuatan seumpama itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Selamba tunggang motosikal terbalik


Beijing: Polis China memburu seorang penunggang motosikal yang dirakamkan melakukan aksi berbahaya duduk ‘terbalik’ ketika menunggang kenderaannya di jalan raya sibuk.

Lelaki itu yang dirakamkan pengguna jalan raya lain dilihat menunggang motosikalnya dengan duduk menghadap bahagian belakang malah seolah-olah termenung tanpa mempedulikan kenderaan itu yang bergerak laju.

Video itu dirakamkan penumpang kereta, Yul Feng, di Renshou, Sichuan.

“Jika dilihat sekilas, seolah-olah dia pembonceng yang tidak perasan penunggang motosikal itu sudah terjatuh.


“Memang pelik. Saya terus mengambil gambar dan memuatnaikkannya ke Internet.


“Rupanya ramai lagi yang sudah berbuat demikian, bererti ini bukan kali pertama dia melakukan aksi sebegitu,” katanya.

Polis China berkata, mereka sedang menyiasat perkara itu dan memberi amaran supaya orang lain tidak melakukan perbuatan sama.

Jurucakap polis Hu Yen berkata, polis sudah mengenal pasti lelaki itu dan bakal mengambil tindakan.

“Mungkin motosikalnya akan dirampas dan dia pula berdepan hukuman penjara bagi tuduhan memandu secara berbahaya.

“Paling kurang pun dia akan kehilangan lesennya. Perbuatannya itu amat berbahaya dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Yang menjadi tanda tanya adalah bagaimana lelaki terbabit melakukan aksi berkenaan.

Kemungkinan besar dia memandu pada kadar laju sebelum menukar posisi dan membiarkan kenderaan itu meluncur. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Jantung anak tersembul


New Delhi: Sepasang suami isteri miskin merayu bantuan kewangan untuk menyelamatkan nyawa bayi lelaki mereka yang lahir dengan jantungnya di luar badan.

Priyanka Pal, 24, melahirkan anaknya itu di Hospital Sultanpur, Uttar Pradesh Rabu lalu, namun terkejut dan sedih apabila mendapati bayi berkenaan lahir dengan keadaan dikenali sebagai ectopia cordis yang melihat jantungnya terkeluar daripada dada.


Bayi itu kini memerlukan pembedahan kecemasan untuk mengelak maut dalam tempoh beberapa hari ini.

Keadaan itu amat jarang berlaku malah hanya dilihat dalam lapan daripada sejuta kelahiran dengan 90 peratus bayi terbabit mati ketika dilahirkan atau dalam tempoh tiga hari pertama.

Foto
BAYI yang masih belum mempunyai nama dilahirkan dengan jantungnya di luar badan.
Foto
PRIYANKA bersama anaknya.


Namun, bayi berkenaan - yang belum diberi nama - agak ‘ajaib’ apabila setakat ini berjaya bertahan sehingga hari keenam.


Malangnya, dia masih memerlukan pembedahan di sebuah hospital swasta kerana hospital kerajaan tidak mempunyai kemudahan untuk prosedur rumit itu.

Keluarga itu terlalu miskin dan hanya bergantung kepada pendapatan suami Priyanka, Nirbhay Pal iaitu hanya sekitar 300 rupee (RM16) sehari.

Nirbhay, 30, yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, kakitangan hospital memberitahunya anaknya tidak mungkin dapat hidup lama jika tidak menjalani pembedahan itu dan memerlukan rawatan di hospital dengan kemudahan lebih moden.

“Doktor berkata kami perlu mendapatkan rawatan di hospital swasta.

“Namun, kami terlalu miskin. Nak makan dua kali sehari pun belum tentu kami mampu, apatah lagi untuk ke hospital swasta,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Korea Utara-Korea Selatan berbalas bedilan meriam



REUTERS
SEJUMLAH ornag berlindung di sebuah pusat perlindungan di Pulau Baengnyeongdo, Korea Selatan dekat sempadan Korea Utara semalam.


SEOUL - Tentera Korea Utara dan Korea Selatan semalam saling berbalas tembakan bedilan meriam dari kawasan perairan sempadan maritim kedua-dua negara.
Menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan, kejadian itu berlaku selepas 100 bedilan meriam tentera Korea Utara jatuh ke kawasan perairan barat Korea Selatan.
Jurucakap kementerian itu, Kim Min-seok berkata, tentera Korea Selatan kemudian melakukan serangan balas dengan melancarkan lebih 300 bedilan meriam ke arah Garisan Batasan Utara dekat perairan negara Korea Utara.
Garisan Batasan Utara itu dituntut kedua-dua buah negara.
Min-seok berkata, tindakan Korea Utara itu dibuat bagi menguji usaha Korea Selatan untuk mempertahankan sempadan laut kedua-dua negara.
Korea Utara melancarkan bedilan itu semasa ia mengadakan satu latihan ketenteraan.
Beberapa buah jet tempur F-15 milik Korea Selatan turut dikerah dekat sempadan itu.

AFP
BEBERAPA bot nelayan berlabuh di Pulau Baengnyeong, Korea Selatan yang berada berdekatan dengan Garisan Batasan Utara yang tidak diiktiraf Korea Utara semalam.


Tentera Korea Utara itu melepaskan bedilan tersebut dari beberapa buah pulau miliknya.
Susulan perkembangan tersebut, Seoul bertindak melarang kapal-kapal daripada memasuki zon latihan yang diisytihar oleh Korea Utara itu dan memindahkan orang awam daripada Pulau Yeonpyeong, dekat zon berkenaan ke pusat perlindungan.
Penduduk di Pulau Baengnyeongdo dekat Garisan Batasan Utara turut berlindung di pusat perlindungan ekoran serangan bedilan itu.
Jurucakap White Housem Jonathan Lalley berkata, tindakan Korea Utara itu akan hanya menyebabkan ia akan semakin dipinggirkan negara-negara di dunia.
Bedilan itu berlaku ketika satu latihan ketenteraan melibatkan hampir 15,000 askar Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) berlangsung di Pohang, Korea Selatan.
Pada November 2010, Tentera Korea Utara membedil Pulau Yeonpyeong milik Korea Selatan menyebabkan empat orang terbunuh.
Pada tahun lalu, AS dan Korea Selatan mengkritik tindakan Korea Utara yang melancarkan ujian nuklear pada bulan Februari. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2xaHYs8BU 
Hakcipta terpelihara 

Lima suspek curi kenderaan diberkas


Arjunaidi Mohamed menunjukan gambar dua suspek, Sam Chia Meng (kiri) dan C. Rajagapalan yang dapat membantu siasatan polis dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor, semalam.
PETALING JAYA 31 Mac - Polis percaya dapat menyelesaikan 37 kes samun kenderaan di daerah ini dan Subang Jaya, hasil penahanan lima suspek termasuk dua wanita dalam dua serbuan di ibu negara, pada Khamis dan Jumaat lalu.
Tangkapan pertama dilakukan setelah sepasukan polis menyerbu sebuah hotel di Jalan Alor pada pukul 6.30 petang, Khamis lalu dan memberkas dua lelaki dan seorang wanita termasuk ketua sindiket tersebut yang dikenali sebagai Kutty.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, susulan itu, polis menangkap dua lagi ahli sindiket terbabit termasuk seorang wanita di Kelana Jaya, pada awal pagi keesokannya.
"Hasilnya, polis merampas tujuh buah kenderaan curi yang bernilai lebih RM1 juta iaitu dua buah kereta jenis Honda Accord dan masing-masing sebuah Toyota Camry, Toyota Estima, Mercedes-Benz, Nissan Sentra dan Proton Exora," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut menemukan senjata seperti parang dan pedang selain sejumlah kunci kereta, plat pendaftaran palsu serta cukai jalan di dalam beberapa kenderaan curi berkenaan.
Tambah Arjunaidi, siasatan ke atas kesemua suspek berusia 20-an terbabit, mendapati lima daripada lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes curi kenderaan dan dadah.
"Kami masih memburu dua lagi suspek iaitu Sam Chia Meng, 21, dan C. Rajagapalan, 24. Kami memohon mana-mana pihak yang mengetahui maklumat mengenai mereka berdua agar menyalurkannya kepada polis," ujar beliau.
Arjunadi memberitahu, sindiket tersebut dipercayai sudah terlibat melakukan jenayah tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, kesemua suspek direman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140401/je_04/Lima-suspek-curi-kenderaan-diberkas#ixzz2xaH6eAT4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar dari Nepal buat tuntutan



KURSUS bidang pengurusan kapal di sebuah kolej swasta yang ditawarkan kepada penuntut termasuk dari luar negara dikatakan tidak menepati modul tawaran ketika kemasukan pelajar. - GAMBAR HIASAN
MENDAPATKAN segulung ijazah merupakan impian setiap pelajar yang inginkan kemajuan dalam hidup sekali gus merealitikan cita-cita masing-masing.
Pada zaman serba pantas dan cekap, tempat menuntut ilmu bukan perkara sukar untuk dicari, namun adakah semua institusi keilmuan ini benar-benar ikhlas dalam menawarkan pengajian kepada pelajar-pelajarnya?
Jika dilihat sejak kebelakangan ini, banyak institusi pengajian tinggi swasta yang wujud dan menawarkan pengajian dalam pelbagai bidang baik kepada pelajar tempatan mahupun dari luar negara.
Namun seperti yang sering disiarkan di media, terdapat segelintir institusi pengajian swasta yang hanya beroperasi bagi mengaut keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan masa depan pelajarnya.
Sama seperti kisah pelajar yang datang dari Nepal, Siddartha Mandal, 30, yang dijanjikan tawaran pengajian dalam bidang pengurusan kapal oleh sebuah kolej swasta yang terletak di Jalan Gereja, Kuala Lumpur.
Berdasarkan iklan dan tawaran, kolej tersebut menjanjikan penginapan dan makanan percuma serta jaminan mendapat pekerjaan selepas menamatkan kursus.
Siddartha membayar sebanyak RM16,230 kepada pihak kolej tersebut dan menerima surat tawaran untuk belajar dalam bidang pengurusan kapal, namun apabila tiba di sini dia dimasukkan ke kursus bahasa Inggeris.
"Mereka menjanjikan latihan praktikal di dalam kapal dan penginapan di hotel lima bintang, namun hanya menempatkan saya di hotel tiga bintang dan belajar di kelas dalam bangunan biasa,’’ katanya.
Menurutnya, dia berada di negara ini selama 15 bulan, tiga bulan pertama belajar bahasa Inggeris, enam bulan menjalani latihan praktikal dan selepas itu masih tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan sedangkan visa pelajarnya telah tamat tempoh dan kini terpaksa bekerja di sebuah restoran untuk menyara kehidupan.
Buntu dengan nasibnya, dia memfailkan aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang terletak di Tingkat 16, Putra Place, Jalan Putra di ibu kota.
Kes berkenaan didengar di hadapan Presiden TTPM, Bernard John Kanny baru-baru ini.
Siddartha dalam keterangannya menyatakan dia terpaksa menghabiskan RM1,000 untuk menyambung visa sementara dan menuntut bayaran ganti rugi untuk keseluruhan kos pengajiannya.
Wakil pihak kolej yang hadir menjelaskan masalah timbul di pihak imigresen yang mengalami masalah sistem buat masa ini berhubung visa pelajar dan akan segera menyelesaikan masalah itu.
Kanny kemudian memutuskan pihak kolej perlu membayar RM4,500 kepada Siddartha dalam tempoh 14 hari iaitu RM1,000 untuk melanjutkan tempoh visa dan RM3,500 lagi merupakan 11 peratus daripada keseluruhan jumlah yuran pengajian itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140329/ma_06/Pelajar-dari-Nepal-buat-tuntutan#ixzz2xaGrcbaP
© Utusan Melayu (M) Bhd