Search This Blog

Monday, March 31, 2014

Kaki tersangkut dalam lubang tandas

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
Kaki tersangkut dalam lubang tandas
Anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan kaki mangsa. 
31 Mac 2014
AYER KEROH - Hasrat anak beranak hendak membeli belah di bandar hampir tergendala gara-gara kaki salah seorang daripada mereka termasuk ke dalam lubang tandas rumahnya di TU22 Taman Tasik Utama, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, Muhammad Daniel Amir, 7, terpaksa melalui detik cemas selama dua jam sehingga pihak bomba mengeluarkan kakinya.

Sebelum itu, keluarga berkenaan termasuk dua lagi adik beradik Muhammad Daniel berusia 5 dan 6 tahun sedang menunggu mangsa mandi untuk ke bandar Melaka  bagi membeli barang keperluan.

Bagaimanapun, mangsa tergelincir lalu kaki kanannya terperosok ke dalam lubang tandas itu.

 Bapa kanak-kanak tersebut, Amir Ali, 47, berkata,  anak sulung daripada tiga beradik itu kemudian menjerit minta bantuan.

“Saya bergegas masuk dalam tandas dan terkejut lihat kaki anak saya di dalam lubang tandas. Saya cuba keluarkan kakinya tapi selepas lebih setengah jam masih gagal. Lalu saya hubungi bomba.

“Akhirnya bomba terpaksa memecahkan seramik tandas," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Amir yang juga kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkata, dia bersyukur anaknya tidak cedera, meskipun mengalami kerugian kira-kira RM500 untuk membaiki tandas yang rosak.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Shahril Zauni berkata, sebuah jentera membabitkan empat anggota tiba sebaik saja menerima panggilan jam 10.20 pagi.

"Biasanya kami cuba menarik kaki mangsa, namun tidak berhasil. Kami terpaksa gunakan peralatan khas untuk memecahkan seramik sebelum kaki mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 11.40 pagi,” katanya.

Dua ditahan miliki senapang buatan sendiri


31 Mac 2014


KOTA BHARU -  Polis menahan dua lelaki kerana disyaki memiliki selaras senapang buatan sendiri dalam Ops Cantas Khas di sebuah rumah di Kampung Aur Duri, Salor di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata kedua-dua suspek berumur 26 dan 30 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 pagi.

"Hasil risikan, polis melakukan serbuan ke atas rumah terbabit dan menahan dua suspek berkenaan.

"Pemeriksaan yang dilakukan menjumpai satu laras senapang buatan sendiri berada dalam almari dalam bilik tidur rumah tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata polis turut menemui beberapa komponen motosikal yang telah dileraikan dalam rumah berkenaan, disyaki dicuri.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka kini direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Azham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1995 kerana memiliki barang curi yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM1,000 jika sabit kesalahan. - Bernama

Cederakan isteri: Suami dijel 6 bulan

Cederakan isteri: Suami dijel 6 bulan
Mohd Yunus didapati bersalah cederakan isteri. 
ROSMIZA KASIM
31 Mac 2014
KOTA BHARU - Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara enam bulan dan denda RM1,000 oleh mahkamah majistret di sini, semalam, setelah mengaku bersalah memukul isterinya, minggu lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad memutuskan hukuman terhadap Mohd Yunus Sayed Ali, 35, berkuat kuasa tarikh tangkapan iaitu pada 24 Mac lalu dan jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjarakan enam bulan.

Mohd Yunus mengaku mendatangkan kecederaan terhadap Hafizah Safiin, 24, di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Pauh, Badang, iaitu dengan sengaja memukul guna tangan sehingga menyebabkan mangsa cedera, kira-kira jam 8.30 malam,  24 Mac 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Mohd Yunus dalam rayuannya memberitahu mahkamah dia insaf atas perbuatannya dan tidak mahu mengulangi kesalahannya itu.

Nik Habri ketika penghakimannya menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan sama selepas ini.

“Saya telah menerima keterangan impak mangsa iaitu isteri kamu secara bertulis kepada saya yang meminta kamu diberikan hukuman setimpal.

"Dia beritahu ini bukan kali pertama dan kamu sering mengamuk serta menghempas barangan rumah setiap kali kamu mengambil dadah,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh ke rumah isterinya di Kampung Pauh kerana mahu  berjumpa anak bongsunya berusia setahun dua bulan, namun berlaku pertengkaran antara mereka. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri.

Rambo Bentong diperintah bela diri

Rambo Bentong diperintah bela diri
Mahkamah Tinggi di Temrloh hari ini memerintahkan penganggur Rabidin Satir, 43, yang juga dikenali "Rambo Bentong" (dua, kiri) membela diri atas tuduhan membunuh dan merogol seorang remaja, lima tahun lalu. - Foto Bernama 
31 Mac 2014 Mahkamah Tinggi di Temrloh hari ini memerintahkan penganggur Rabidin Satir, 43, yang juga dikenali "Rambo Bentong" (dua, kiri) membela diri atas tuduhan membunuh dan merogol seorang remaja, lima tahun lalu. - Foto Bernama TEMERLOH - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki yang sebelum ini dihukum penjara 115 tahun bagi lima sabitan merogol dan seks luar tabii, membela diri terhadap pertuduhan membunuh dan merogol seorang remaja perempuan lima tahun lalu.
  
Hakim Datuk Abdul Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Rabidin Satir yang juga dikenali sebagai Rambo Bentong.
  
Rabidin, 43, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara 11.30 malam 7 Mac 2009 dan 1.50 tengah hari 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong, dekat sini.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
  
Tertuduh juga didakwa merogol Kok sehingga menyebabkan kematiannya di tempat dan pada masa sama, mengikut Seksyen 376(4) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
 
Rabidin memberitahu mahkamah dia akan memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang tertuduh sebagai kaedah bagi membela diri, selepas berbincang dengan peguam belanya, Richard Bong Chong Fook.
  
Abdul Karim kemudiannya menetapkan 2 April ini sebagai tarikh mendengar keterangan bersumbah Rabidin.
  
Terdahulu, semasa penyampaikan penghakimannya, Abdul Karim berkata hasil pemeriksaan doktor mendapati punca kematian mangsa adalah kelaran di lehernya.
  
Menurut beliau, kesan air mani terdapat pada kemaluan mangsa dan kesan yang sama turut didapati pada pakaian mangsa yang diserahkan oleh keluarga mangsa kepada pegawai penyiasat.
  
"Kesan air mani pada mangsa jelas bahawa pada hari kejadian, tertuduh adalah orang yang terakhir dengan mangsa.

"Tiada keterangan menunjukkan bahawa ada orang lain pada masa kejadian. Saya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu prima facie bagi dua tuduhan itu," katanya.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustaffa.
  
Pada 5 Feb tahun lepas, Rabidin dijatuhi hukuman penjara berjumlah 115 tahun dan 50 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap empat mangsa berumur antara lapan hingga 17 tahun.
  
Sebulan kemudian iaitu pada 21 Mac 2013, dia dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen Raub selepas mengaku bersalah menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd Suhaimi Md Razali, 24, dengan sebilah parang di sebuah rumah di Taman Shahbandar Husin, Bentong pada kira-kira 6 petang, 14 November 2012. - BERNAMA

Lelaki ditemui mati dalam longkang USM


31 Mac 2014


GEORGETOWN - Seorang lelaki ditemui mati dalam longkang berhampiran asrama lelaki Desasiswa Restu, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini tengah malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata lelaki berusia lingkungan 20-an yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu ditemui dengan kesan kecederaan pada betis kiri, hidung berdarah dan calar di dagu pada 12.45 tengah malam oleh pengawal keselamatan universiti.

Katanya lelaki terbabit memakai baju kuning bertulis 'Pertandingan Pertolongan Cemas Cawangan Perak' dan berseluar sukan pendek.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kamera litar tertutup di lokasi kejadian tidak berfungsi dan beberapa penuntut yang tinggal di asrama itu tidak mengenali lelaki berkenaan.

Katanya mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantU siasatan. - Bernama

Pemandu lori terlepas tali gantung

NURUL FATIHAH SULAINI
31 Mac 2014Pemandu lori terlepas tali gantung
ALOR SETAR - Seorang pemandu lori terselamat daripada hukuman gantung sampai mati setelah mahkamah tinggi di sini, hari ini memutuskan untuk melepas dan membebaskannya dari tuduhan memiliki dadah jenis heroin (20.7 gram) dan monoacertylmorphines (5.2 gram), dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah yang boleh mensabitkan tertuduh terhadap kes berkenaan.

James Santhanasamy, 29, sebelum ini dituduh mengedar dadah berkenaan di sebuah rumah kedai Jalan Sekerat, Sungai Petani, Kuala Muda, lebih kurang jam 12.15 tengah hari, 29 Februari 2012.

Lelaki yang berasal dari Sungai Petani itu dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata, berdasarkan keterangan pembelaan bersumpah tertuduh tidak tinggal di kedai itu sebaliknya mendakwa rakannya 'Apoi' yang tinggal di situ. Namun semasa serbuan polis 'Apoi' keluar membeli makanan.

"Tertuduh juga menafikan keterangan saksi pendakwaan melihat dia sedang senduk dadah menggunakan straw merah ketika SP3 menendang pintu dan SP2 masuk ke dalam premis. Sebaliknya semasa kejadian dia tidur.

"Keterangan seorang perempuan bernama 'Lalita'  didakwa pemilik kedai itu penting untuk menunjukkan siapa yang berada dalam kedai pada hari kejadian namun tidak dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan," katanya.

Mohd Zaki berkata, pihak pendakwaan juga gagal mengemukakan straw merah seperti yang didakwa.

Sepanjang prosiding mahkamah djalankan bermula lima Januari hingga lima Mac lalu, seramai lima saksi pendakwaan dipanggil.

Tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud.

Jailani: 6 kes curi talian wifi, 3 dikena tindakan


31 Mac 2014


KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima enam aduan berhubung pembekalan dan penjualan kelengkapan peranti yang berfungsi mencuri talian wifi.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata daripada jumlah itu, tiga kertas siasatan dibuka dan tindakan sewajarnya telah diambil.

"Sehingga kini, tiga kes melibatkan kesalahan membekal atau menjual kelengkapan yang berfungsi mencuri talian wifi telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah," katanya menjawab soalan Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) pada sesi soal jawab hari ini.

Jumat ingin tahu berhubung aktiviti mencuri talian wifi dan apakah yang dilakukan kementerian bagi mengatasi kerugian di kalangan pelanggan.

Jailani berkata kebanyakan aktiviti mencuri talian wifi dikesan menggunakan peranti seperti wifi booster, sejenis gajet yang boleh menguatkan isyarat bagi menarik isyarat wifi dalam jarak antara satu hingga tiga kilometer.

Beliau berkata bagi mengelak aktiviti itu berleluasa, SKMM menjalin kerjasama dengan Sirim Berhad bagi pemantauan pemasaran secara berkala di seluruh negara bagi memastikan penjualan kelengkapan atau peranti itu dapat dibendung.

Selain itu, SKMM bersama SIRIM turut menganjurkan taklimat kesedaran mengenai kewujudan kelengkapan atau peranti komunikasi kepada pihak awam, para pemegang lesen dan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang yang lain, katanya.

Jailani berkata kementerian memandang serius penggunaan peranti yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sambil menasihatkan pengguna agar sentiasa memastikan kata laluan disimpan dengan baik supaya tidak mudah diceroboh. - Bernama

Gara-gara dadah, anak tergamak curi di kedai bapa


31 Mac 2014


BESUT - Gara-gara dadah, seorang lelaki berumur 37 tahun sanggup mencuri barangan alatan rumah di kedai bapanya yang mengusahakan kedai perkakasan pembinaan di Kampung Gong Bayor, Kampung Raja di sini pada Rabu lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Noor berkata kejadian pukul 1 pagi itu disedari mangsa yang berumur 66 tahun ketika pergi memeriksa
kedainya.

"Semasa tiba di pekarangan kedainya, mangsa ternampak sebuah van di hadapan kedai dan melihat dua suspek yang dikenalinya sedang memunggah beberapa barangan ke dalam van itu.

"Sebaik sahaja kedua-dua suspek beredar, mangsa terus memeriksa ke dalam kedai dan mendapati lima mangkuk tandas duduk dan lima gulung dawai pagar dilarikan suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.  

Noor Zainy berkata bertindak atas laporan yang dibuat oleh mangsa sepasukan polis berjaya menahan anak mangsa dan seorang lagi suspek pada Sabtu lepas.

Katanya, hasil pemeriksaan suspek didapati positif methamphetamine dan barang yang dicuri dijumpai semula setelah suspek mengaku menjual kepada rakannya. - Bernama

Bekas Ahli Parlimen ditembak

Bekas Ahli Parlimen ditembak
Warga emas menunaikan membuang undi di Bangkok, semalam. Foto: EPA
31 Mac 2014  BANGKOK - THAILAND. Bekas Ahli Parlimen Chanthaburi, Yukol Chanawatpanya cedera ditembak di daerah Khao Khitchakut, semalam.

Insiden itu dipercayai berlaku ketika bekas anggota Parti Demokrat tersebut mahu meninggalkan rumah adiknya yang terletak di kawasan terbabit.

"Beliau cedera parah akibat tembakan. Yukol kini dirawat di Hospital Phra Pokklao," kata jurucakap polis.

Dalam perkembangan lain, Pilihan Raya Wakil Dewan Negara di 77 wilayah di seluruh negara termasuk Bangkok dilaporkan berlangsung aman tanpa sebarang provokasi.

Timbalan Ketua Polis, Aree Onchit memaklumkan kira-kira 100,000 anggota polis turut ditempatkan di kesemua pusat pengundian di seluruh negara sebagai langkah berjaga-jaga, dipetik dari Bangkok Post.

Bagaimanapun, proses pengundian di wilayah Narathiwat didakwa telah dicemari insiden pengeboman hingga mengakibatkan dua anggota keselamatan maut manakala tiga lagi cedera.

Bom tersebut dipercayai meletup ketika pasukan polis terbabit sedang mengiringi pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya memasuki pusat membuang undi di kawasan berkenaan.

Wanita parah jatuh gaung


Balik Pulau: Seorang pelancong berdepan detik cemas apabila melihat isterinya terjatuh ke dalam gaung sedalam 7.5 meter berhampiran Jeti Universiti Sains Malaysia (USM) di Taman Negara Pulau Pinang, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pelancong berasal dari United Kingdom (UK) Thomas David, 68, bersama isterinya Valeria Trinton, 64, melalui lorong pejalan kaki berhampiran tebing sebelum wanita terbabit tergelincir dan jatuh ke dalam gaung.



Akibat kejadian itu, wanita berkenaan patah kaki dan cedera di kepala.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa dari gaung.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang Mohd Yusof Mat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 12.31 tengah hari.

“Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di celah batu.


“Kerjasama daripada polis dan penduduk berhampiran memudahkan operasi.


Mangsa dipercayai mengalami pendarahan dalaman berada dalam keadaan separuh sedar ketika diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan susulan berikutan kecederaan parah.

Difahamkan pasangan berkenaan pergi ke Taman Negara Pulau Pinang untuk bersiar-siar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Lima mati jambatan runtuh


Tokyo: Lima pekerja mati manakala dua lagi hilang selepas sebuah jambatan dalam pembinaan runtuh di kawasan kepulauan terumbu karang, semalam.

Kepulauan terumbu karang Okinotori atau dikenali sebagai Douglas Reef terletak 1,700 kilometer di selatan Tokyo dan menjadi kawasan paling selatan bagi Jepun.

Ketika kejadian berlaku pada awal pagi Sabtu, pekerja pembinaan sedang meningkatkan perlindungan di pantai pulau berkenaan, lapor stesen televisyen tempatan, NHK.

Seorang pengawal pantai tempatan berkata, 16 orang pekerja berada di tapak pembinaan dan sembilan daripadanya terselamat.

Dia turut memberitahu punca sebenar kejadian masih belum dapat dikenal pasti.

“Pasukan pengawal pantai mengerah dua bot dan pesawat untuk misi menyelamat,” katanya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi (waktu tempatan) di kawasan terumbu karang yang meliputi kawasan seluas kira-kira 11 kilometer dan sudah banyak dihakis ombak.


-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Tanggung rugi beli kereta lusuh


2014/03/31 - 05:37:16 AM

Kuala Lumpur: “Pada peringkat awal, memang seronok tetapi kini saya buntu,” kata pembeli kereta lusuh Singapura dikenali sebagai Hery, 36, ketika ditemui BH.

Hery membeli kereta lusuh Mitsubishi Lancer pada harga RM4,500 tahun lalu, tetapi tidak cukup wang bagi ‘membeli’ cukai jalan dan geran menyebabkan kenderaan itu tersadai di rumahnya di Kota Bharu.


Katanya, kereta itu dibeli melalui orang tengah dikenali sebagai ‘Man Botak’ yang mendapatkan kenderaan itu secara langsung dari seorang ejen dari Singapura sebelum menghantarnya ke sebuah bengkel di Wangsa Maju.

“Pada mulanya saya berminat membeli BMW 3 Siri yang ditawarkan pada harga RM13,000. Bagaimanapun, pada saat akhir ejen hanya dapat menghantar Lancer keluaran 2004 dan dikenakan caj tambahan RM4,500 bagi proses membuat cukai jalan serta geran.

Minta wang tambahan

“Urusan memperoleh cukai jalan dikatakan boleh siap dalam tiga hari tetapi selepas proses itu gagal dan ejen meminta wang tambahan, saya mula curiga,” katanya.

Berikutan itu, Hery nekad membawa kereta yang masih menggunakan nombor pendaftaran negara jiran itu menempuh perjalanan lapan jam untuk pulang ke kampungnya.

20 kucing mati disyaki diberi racun


Segamat: Sebahagian penduduk Kampung Taman Seri Waja di Kampung Jawa, di sini, mahu pihak berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang memberi racun kepada 20 kucing menyebabkan haiwan itu mati dalam kejadian minggu lalu.

Tindakan itu dianggap zalim dan menganiaya binatang serta tidak berperikemanusiaan.

Dalam kejadian itu, 20 kucing berusia antara satu dan empat tahun ditemui mati dipercayai diracun.

Seorang penduduk, Halipah Maarof, 63, pihaknya mahu pihak berkaitan dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.

Dia mendakwa ada pengusaha inap desa memaklumkan akan memberi makanan mengandungi racun jika penduduk di kampung itu tidak menjaga kucing mereka yang didakwa sering mengotorkan kawasan inap desa terbabit.

“Saya ingatkan kata-kata itu sebagai gurauan saja, bagaimanapun Ahad minggu lalu, kira-kira jam 4.30 petang, beberapa kucing didapati berdarah di mulut dipercayai selepas makan nasi bersama ikan yang diletakkan dalam satu bekas berhampiran halaman inap desa berkenaan.

“Akibat kejadian itu, tujuh kucing saya mati, malah ada jiran yang turut mendapati kucing masing-masing yang dijumpai mati dalam parit dan longkang di sekitar Taman Seri Waja,” dakwanya.

Halipah berkata, penduduk kampung kemudian membuat keputusan untuk menghantar sampel makanan terbabit di Pejabat Veterinar Daerah, petang semalam dan menunggu hasil keputusan sebelum bercadang membuat laporan polis dalam tempoh terdekat.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Dua jam tahan sakit


“Ibu tolong abang. Kaki abang sakit sangat,” rintih Mohd Danial Amir yang menahan sakit lebih dua jam selepas kaki kanannya terjerlus ke dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, kaki Mohd Danial, 7, terjerlus ke dalam lubang tandas sehingga paras betis selepas dipercayai tergelincir ketika mahu mengambil tuala mandi sebaik selesai membuang air.

Ibunya, Ita Permatasari Hamzah, 40, berkata, anaknya masuk ke bilik air untuk mandi sebelum Mohd Danial meminta dia mengambil tuala yang tertinggal di bilik.

“Saya mengambil tuala dan meletakkannya di luar pintu bilik air, namun tidak lama selepas itu saya terdengar jeritan Mohd Danial.

“Saya merentap pintu bilik air dan terkejut melihat kaki kanannya terjerlus ke dalam lubang tandas,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia dan suami, Amir Ali, 47, cuba menarik keluar kaki Mohd Danial, namun gagal sebelum meminta bantuan saudaranya, Mohd Sham Saibon, 48, dan menghubungi bomba.

Dia berkata, tidak sanggup melihat Mohd Danial menangis menahan kesakitan dan risau tidak dapat ke sekolah, dia memujuk bagi menenangkan anaknya itu sehingga anggota bomba tiba.

“Saya cuba pujuk dia dengan menyatakan bomba akan datang bantu dan dia tidak perlu bimbang kerana boleh ke sekolah esok (hari ini).

“Saya bersyukur kerana dia cuma luka ringan, kami menganggap kejadian itu sebagai pengajaran supaya lebih berwaspada ketika di bilik air,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Air Keroh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahril Zawani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi kami dapati kaki mangsa masih di dalam lubang tandas dan usaha mengeluarkannya agak sukar kerana lubang berkenaan terlalu curam serta boleh menyakiti mangsa.

“Selepas hampir dua jam, kami terpaksa memecahkan tandas berkenaan dengan berhati-hati supaya kaki mangsa tidak mengalami kecederaan sebelum menarik secara perlahan,” katanya.

Menurutnya, kaki mangsa dapat dikeluarkan jam 11.30 pagi dan Mohd Danial hanya mengalami luka ringan di pergelangan kaki dan tumit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

‘Bumbung dah terbang’


Melaka: “Saya cukup bimbang rumah roboh sebaik menyedari bumbung diterbangkan angin,” kata Maznah Mohamad, 67, menceritakan detik rumah sewa berkembar didiaminya di Jalan Bukit Minyak 2, Kampung Krubong Tengah, Krubong, di sini, dipukul ribut petang kelmarin.

Selain rumah didiami enam beranak berkenaan, kejadian jam 2 petang itu turut memusnahkan bumbung rumah jirannya, Aziz Md Nor, 51.

Kejadian bukan hanya mengakibatkan semua barangan elektrik dan perabot rosak, malah anjung kedua rumah dan meter elektrik turut tercabut diterbangkan angin kencang.

Maznah berkata, sebelum kejadian, dia berehat bersama tiga cucu berusia antara setahun dan 13 tahun di ruang tamu.

“Tidak lama selepas itu hujan lebat disusuli angin kuat sebelum kami dikejutkan dengan bumbung rumah dan kerangkanya tercabut.

“Saya hanya mampu menjerit meminta anak, Kamarulzaman Othman, 37, dan isterinya, Kamariah Ahmad, 38, yang berada di dalam bilik keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bapa pulang kereta curi


Jeddah: Seorang bapa bertindak jujur memulangkan kembali kereta mewah yang dilarikan anaknya dari sebuah syarikat sewa kereta di sini.

Lelaki itu juga meminta kakitangan syarikat berkenaan mendakwa anaknya.

Dia memberitahu anak lelakinya membawa pulang kereta mewah itu dan mendakwa membeli kereta berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki itu tidak percaya anaknya mampu memiliki kereta semewah itu.

Curiga dengan dakwaan anaknya, lelaki berkenaan mencatatkan nombor pendaftaran kereta itu dan memeriksanya di Jabatan Trafik.

Dia mendapat tahu kereta itu dilaporkan dicuri dan pihak syarikat sudah membuat laporan polis mengenai kecurian itu.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/31

Dua anggota polis maut dalam letupan di Narathiwat


NARATHIWAT 31 Mac - Dua anggota polis maut, manakala tiga yang lain cedera dalam satu letupan bom ketika pasukan keselamatan itu dalam perjalanan ke sebuah pusat mengundi di daerah Rueso di sini, semalam.
Akhbar Bangkok Post melaporkan hari ini, kejadian itu berlaku apabila lima anggota polis berkenaan dalam perjalanan menaiki sebuah kenderaan untuk ke pusat mengundi sempena pilihan raya Senat di Ban Sue Lo.
Bom berkenaan dipercayai dipasang di jalan raya yang menghala ke arah kawasan pusat mengundi dan diaktifkan oleh ahli pemisah ketika kenderaan polis itu melepasi jalan berkenaan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140331/lu_06/Dua-anggota-polis-maut-dalam-letupan-di-Narathiwat#ixzz2xUPwblJQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua jam kaki dalam lubang tandas


MELAKA - Seorang budak lelaki terpaksa menahan kesakitan selama dua jam apabila kaki kanannya tersangkut di dalam lubang tandas cangkung rumah di Taman Tasik Utama, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu mangsa, Muhammad Daniel Amir, 7, masuk ke bilik air yang terletak di tingkat bawah rumah dua tingkat tersebut untuk mandi.
Menurut bapa Daniel, Amir Ali, 47, sewaktu berehat bersama keluarga pagi itu tiba-tiba dia terdengar Muhammad Daniel menjerit kuat menyebabkan mereka sekeluarga bergegas ke bilik air.
"Apabila saya masuk ke bilik air saya terperanjat melihat kaki Daniel sudah termasuk ke dalam lubang tandas sambil dia mengerang kesakitan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2xUPPLJQp 
Hakcipta terpelihara 

Bagaikan 'medan pesta' pecah rumah



SALAH sebuah rumah yang dipecah masuk di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kawasan perumahan di Taman Tun Dr. Ismail dekat sini bertukar menjadi 'medan pesta' pecah rumah apabila empat kediaman di kawasan tersebut dipecah masuk dalam tempoh satu jam oleh tiga kumpulan penjenayah berbeza malam kelmarin.
Dalam kejadian antara pukul 8 hingga 9 malam itu, keempat-empat rumah yang jaraknya sekitar 1.5 kilometer antara satu sama lain dipercayai kosong berikutan kesemua penghuninya tiada di rumah.
Dua daripada rumah berkenaan terletak bersebelahan di Jalan Burhanuddin Helmi 1, manakala masing-masing sebuah kediaman di Jalan Athinapan 4 dan Lorong Abang Haji Openg


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2xUP8tGlo 
Hakcipta terpelihara 

Hukuman jel mungkin dikurang





Oleh MAHFUZ MOHAMAD
mahfuz.mohamad@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR - Hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap pasangan Malaysia, Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya, Shalwati Norshal mungkin dikurangkan daripada 10 dan 14 bulan kepada tiga dan enam bulan.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, hukuman tersebut dikurangkan berikutan kelakuan baik yang tunjukkan kedua-dua pasangan tersebut sewaktu dalam tempoh penahanan reman.

Beliau berkata, perkara itu ditentukan berdasarkan pengiraan yang dibuat pihak peguambela pasangan tersebut.

"Kita yakin hukuman itu dapat dikurangkan kerana sudah menjadi tradisi sistem kehakiman di Sweden, hukuman penjara akan dikurangkan sekiranya seseorang itu didapati berkelakuan baik sepanjang tempoh penahanan reman ketika proses perbicaraan.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2xUOnQzfn
Hakcipta terpelihara 

Bunuh isteri, anjing, diri sendiri


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang tertekan akibat masalah kewangan sejak tiga bulan lalu bertindak nekad mengelar leher isterinya hingga mati sebelum membunuh diri dengan cara sama di sebuah rumah di Blok C, Projek Perumahan Rakyat Muhibbah, Kampung Muhibbah, Cheras di sini malam kelmarin.
Lelaki itu, G. Rajamani, 32, menjalankan perniagaan penghantaran dan pengangkutan, manakala isterinya bekerja sebagai jurusolek sambilan.
Mayat isteri mangsa, Anita Kupon, 32, ditemui dalam keadaan tertiarap di bilik tidur utama, sementara suaminya mati terbaring di tepi katil bersama dua ekor anjing peliharaan jenis shih tzu yang turut dikelar pada leher.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2xUODZcXC 
Hakcipta terpelihara 

Isyarat kecemasan disiasat



TEMBAKAN suar dilepaskan dari sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Australia semasa mencari kapal terbang MH370 di selatan Lautan Hindi kelmarin.


SYDNEY - Sebuah kapal penyelamat milik Australia terpaksa dilencongkan dari misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) semalam untuk memberi bantuan kepada sebuah kapal yang mengeluarkan satu isyarat kecemasan berhampiran Antartika.
Isyarat kecemasan dikeluarkan pada kedudukan di hujung selatan Lautan Hindi.
Ia dikesan semalam oleh Pusat Koordinasi Penyelamat Australia.
Isyarat itu datang dari sebuah kapal yang terletak kira-kira 3,241 kilometer barat daya Perth dan kira-kira 648 kilometer utara tanah besar Antartika.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, pihaknya bagaimanapun gagal untuk berkomunikasi dengan kru kapal tersebut.
Pihak AMSA juga tidak mengetahui bentuk kecemasan yang menyebabkan kapal tersebut meminta bantuan.
Sebuah jet awam berlepas dari Melbourne untuk menyiasat isyarat itu dan dijangka sampai dalam tempoh lima jam.
Sebuah pesawat P3 Orion milik tentera Australia juga dilencongkan dari misi mencari pesawat MH370 dan menuju ke lokasi kapal berkenaan sekiranya perlu untuk menjatuhkan peralatan kecemasan.
Isyarat itu didaftarkan pada sebuah kapal menangkap ikan tetapi AMSA tidak mendedahkan maklumat tentang negara asal kru atau saiz kapal tersebut. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2xUNOM5Iy 
Hakcipta terpelihara 

Kapal kesan kotak hitam sertai misi cari MH370


KAPAL milik Australia, Ocean Shield berlabuh di sebuah pelabuhan di Perth semalam.


PERTH - Sebuah kapal perang Australia yang dilengkapi dengan alat pengesan kotak hitam menyertai misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas di Lautan Hindi.
Penghantaran kapal tersebut dibuat semalam iaitu sehari selepas beberapa kapal lagi mengambil beberapa objek di Lautan Hindi bagi mengenal pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu.
Bagaimanapun, tiada satu pun objek mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 tersebut menyebabkan pasukan mencari masih belum mengetahui lokasi sebenar kapal terbang itu terhempas selepas lebih tiga minggu hilang.
Seramai 29 ahli keluarga penumpang pesawat berkenaan tiba di Kuala Lumpur, Malaysia semalam bagi mencari jawapan berhubung kehilangan saudara-mara mereka.
Pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing dan membawa seramai 239 penumpang itu hilang pada 8 Mac lalu.
Seramai 153 penumpang pesawat jenis Boeing 777-200 tersebut adalah warga China.
Kotak hitam yang perlu dicari itu mengandungi maklumat penerbangan dan rakaman perbualan di kokpit. Kapal Ocean Shield milik Australia itu dijadualkan sampai dilokasi carian yang seluas hampir menyamai keluasan Poland dalam tempoh empat hari.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) yang menyelaras misi mencari itu berkata, kapal Ocean Shield dilengkapi dengan sebuah alat pengesap kotak hitam yang dikenali sebagai towed pinger locator.
Selain alat pengesan yang dipinjam dari tentera Amerika Syarikat itu, kapal berkenaan turut membawa sebuah kapal selam kawalan jauh.
Seorang jurucakap AMSA berkata, kapal dari China dan Australia telah mengambil beberapa objek di kawasan carian tetapi mendapati ia hanya sampah.
Ketika ini tiada objek yang diambil itu disahkan mempunyai kaitan dengan MH370. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2xUMwOdQ2 
Hakcipta terpelihara