Search This Blog

Sunday, March 30, 2014

Cedera terjun dari rumah terbakar


Putatan: Seorang lelaki warga emas yang panik selepas dapur rumah sewanya terbakar bertindak nekad terjun setinggi tiga meter dari atas rumahnya dalam kejadian di Kampung Petagas, di sini, pada jam 3.40 petang tadi.
Tindakan itu menyebabkan mangsa Kapring Majid, 56, mengalami kecederaan di buku lali kirinya. 
Mangsa kemudian dibawa sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Kinabalu ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.
Foto
RUMAH sewa mangsa musnah terbakar.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Pelancong cedera jatuh dalam gaung


Oleh Kalsom Rahmatullah

Balik Pulau: Seorang pelancong berasal dari United Kingdom cedera selepas terjatuh ke dalam gaung dalam kejadian berhampiran Jeti Universiti Sains Malaysia (USM), Taman Negara Pulau Pinang di sini, jam 12 tengah hari tadi.

Mangsa Valeria Trinton, 64, dikatakan bersama suaminya Thomas David, 68, melalui lorong pejalan kaki sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 7.5 meter.
Ia menyebabkan wanita terbabit patah kaki kiri dan cedera di kepala.

Mangsa berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang mengambil masa 20 minit untuk melakukan operasi menyelamat.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Bungkusan dua peluru dibalut tisu


Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Kakitangan penjara bertugas di Penjara Seberang Perai, Sungai Jawi di sini, cemas selepas menerima bungkusan mengandungi dua butir peluru dalam kejadian jam 11.30 pagi kelmarin.

Perkara itu disedari selepas seorang pegawai penjara iaitu wanita berusia 31 tahun melakukan pemeriksaan selepas curiga dengan kandungan bungkusan berkenaan sebelum menemui peluru dibalut menggunakan tisu.
Pemeriksaan lanjut mendapati ia adalah peluru bersaiz 9mm jenis 'Luger' S&W.

Difahamkan bungkusan berkenaan sebelum ini dihantar ke penjara itu pada Februari lalu dengan dialamatkan kepada penerima bernama ASP Nordin dan pengirim dikenali sebagai 'Siti Rubiah'.


Bagaimanapun nama penerima itu dikatakan tidak wujud menyebabkan pengurusan penjara enggan menerimanya sebelum dipulangkan semula kepada pejabat pos.




Bagaimanapun bungkusan itu sekali lagi dikirim ke penjara berkenaan menggunakan nama pengirim dan penerima sama.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan lanjut kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Penumpang cemas dapur feri berasap


LANGKAWI: Kira-kira 400 penumpang diarahkan keluar selepas bahagian dapur sebuah feri untuk perjalanan ke Kuala Perlis tiba-tiba berasap ketika baru berlepas dari Jeti Kuah, dekat sini, petang tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang turut menyebabkan feri berkenaan berpatah balik apabila loceng penggera berbunyi selepas ruang hadapan tiba-tiba berasap dan terbakar. 
Ketua Biro Berita Harian Kedah/Perlis Adha Ghazali bersama Koordinator Foto Kedah/Perlis Shahrizal Md Noor dan jurugambar Amran Hamid turut berada di atas feri berkenaan dan merasai suasana panik apabila penumpang berasak-asak keluar melalui tiga pintu disediakan. 

Berdasarkan pemerhatian, rata-rata penumpang cemas kerana tidak menyedari kejadian itu, namun masing-masing bergegas keluar sebaik loceng penggera berbunyi buat kali kedua.
Foto
FERI berpatah balik apabila loceng penggera berbunyi.

Sementara itu, salah seorang kru feri berkenaan yang enggan dikenali mengesahkan kebakaran berlaku di bahagian dapur, namun berjaya dikawal daripada merebak.

Semua penumpang kemudian meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis menggunakan feri gantian kira-kira sejam kemudian.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

176 warga Indonesia terlepas hukuman mati

Susilo Bambang Yudhoyono
Susilo
30 Mac 2014  JAKARTA - INDONESIA. - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) mendedahkan sebanyak 176 rakyat republik itu termasuk tenaga kerja Indonesia, (TKI) telah dibebaskan daripada hukuman mati di negara lain.
"Selama ini, sudah berhasil kita bebaskan daripada hukuman mati sebanyak 176 orang. Itu bukan angka yang kecil. Ingat, bukan mudah memberi keampunan kepada seorang saja," kata Susilo di Semarang, seperti dipetik agensi berita Antara, Ahad.
Perkara itu didedahkan Presiden Indonesia itu ketika mengadakan pertemuan dengan keluarga empat TKI yang dijatuhi hukuman mati di Arab Saudi.
Empat warganegara Indonesia itu ialah Satinah yang berasal dari Semarang, Tuti Tursilawati (Majalengka, Jawa Barat), Siti Zaenab (Bangkalan, Madura) dan Karni dari Brebes, Jawa Tengah.
"Sebanyak 176 warga negara Indonesia yang berhasil dibebaskan daripada hukuman mati itu rata-rata terlibat dengan kes pembunuhan dan dadah," kata Presiden Indonesia itu.
Bagaimanapun, Susilo berkata sehingga kini terdapat 246 rakyat negara itu bakal dijatuhi hukuman mati di negara lain dan kerajaan Indonesia masih dalam proses memohon pengampunan daripada negara-negara terbabit terhadap hukuman itu.
"Inilah tugas berat yang kami pikul, tetapi ikhlas semua demi rakyat Indonesia.
"Sebab kewajipan saya, sebagai pemimpin warganegara ini, berkaitan warganegara kita. Apa pun kesalahannya, saya memohon dibebaskan daripada hukuman mati," kata Susilo. - Bernama

Banjir kilat terus berulang

SYAMILAH ZULKIFLI
Banjir kilat terus berulang
Subramaniam (kanan baju biru) bersama Cha Kee Chin (kiri) menunjukkan paras banjir kilat yang berlaku di rumahnya baru-baru ini
29 Mac 2014
 SEREMBAN – Seorang penduduk di Taman Green Street Homes, di sini melahirkan rasa kesal berikutan masalah banjir kilat yang sering dihadapinya tetap berulang walaupun tindakan telah diambil pihak berwajib.

Subramaniam, 45, berkata, walaupun sistem pengaliran air menerusi longkang bawah tanah telah dinaik taraf pihak berwajib, namun ia gagal menyelesaikan masalah banjir kilat yang berlaku setiap kali hujan lebat.

“Sejak saya tinggal di sini pada 2007, masalah banjir kilat sering kali berlaku menyebabkan saya sendiri pernah mengambil inisiatif mengambil upah kontraktor untuk menyelesaikan masalah ini.

“Tapi nampaknya masalah tetap berlaku dan saya sekeluarga tidak sanggup lagi tinggal dalam keadaan tertekan setiap kali hujan lebat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini, semalam.

Tambah Subramaniam, dalam kejadian terbaharu pada 20 Mac lalu, air hujan melimpah setinggi 0.6 meter menyebabkan garaj rumahnya dipenuhi air serta tong sampah dihanyutkan air deras.

Kata Subramaniam, dia juga kini bimbang untuk meninggalkan rumah setiap kali hujan kerana khuatir kejadian lebih buruk berlaku.

“Masalah ini sudah lama dan apabila pihak berwajib mengambil tindakan baru-baru ini saya amat berterima kasih dengan harapan masalah ini tidak lagi menghantui kami sekeluarga.

“Ada enam lubang dibuat di sini bagi memudahkan pengaliran air ke dalam longkang bawah tanah, tapi malangnya masalah banjir kilat tetap berlaku,” katanya.

Sementara itu Adun Kepayang, Cha Kee Chin ketika melawat kawasan itu berkata, pihaknya bersama penduduk telah beberapa kali mengajukan masalah itu kepada pihak berwajib.

“Kali terakhir pada tahun lalu dan kita gembira apabila tindakan membuat lubang bagi tujuan pengaliran air siap dibina pada bulan lalu.

“Tapi ia langsung tidak memberi sebarang kesan apabila hujan turun baru-baru ini telah menyebabkan banjir kilat berulang,” katanya.

Kee Chin berkata, sebagai tindakan, pegawai khasnya telah  membuat aduan kepada pihak berkenaan semalam.

“Kakitangan mereka telah datang untuk mengenal pasti masalah yang berlaku dan saya berharap jalan penyelesaian dapat diambil,” katanya.

Tiga didakwa merusuh

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
Tiga didakwa merusuh
Ahli keluarga dan sahabat handai tertuduh memenuhi pekarangan Mahkamah Majistret Parit Buntar awal pagi, semalam. 
29 Mac 2014
PARIT BUNTAR -  Seorang bekas pesara tentera bersama dua rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan merusuh dan merosakkan harta benda dengan menggunakan senjata berbahaya di rumah bekas Adun Selinsing, Datuk Zaili Cha, 20 Mac lalu.

Mohamad Nazaimi Ngatijoh, 41, yang merupakan pesara tentera berpangkat sarjan bersama Kamarudin Kassim,46, dan Mohd Nor Azrie Mohd Azmi, 30, didakwa melakukan perbuatan itu bersama beberapa individu yang masih bebas pada jam 11.30 malam bertempat di rumah Zaili di Taman Seri Semanggol, Simpang Empat Semanggol mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa penjara lapan tahun atau denda.

Ketiga-tiga tertuduh turut didakwa menggunakan senjata berbahaya seperti pedang, parang dan kayu sewaktu rusuhan berlaku pada hari dan tempat sama.

Majistret, Rosnee Mohd Radzuan membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 April untuk sebutan kes.

Terdahulu, peguam, Abdul Hakim Amir Ahmad Nordin memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan ketiga-tiga tertuduh berpendapatan rendah, mempunyai banyak tanggungan dan melakukan kerja kampung.

Abdul Hakim turut mengemukakan tiga alasan tambahan iaitu ketiga-tiga tertuduh memberi jaminan untuk memastikan kehadiran ke mahkamah, memberi kerjasama penuh dengan hadir ke balai polis untuk membantu siasatan dan mereka tidak dianggap bersalah selagi tidak disabitkan dengan kesalahan didakwa.

Kesemua mereka memohon wang jaminan dikurangkan memandangkan Kamarudin Kassim melakukan kerja kampung dan berpendapatan bulanan RM2,200 serta masih menanggung empat anak di mana dua daripadanya masih bersekolah. Mohd Azrie Mohd Azmi yang bekerja sendiri, berpendapatan RM900 sebulan dan perlu menanggung dua anak.

Manakala Mohamad Nazaimi merupakan seorang pencen askar berpangkat Sarjan, menerima pencen RM1,800 sebulan dan menanggung tiga anak,” katanya.

Ketiga-tiga suspek yang memakai baju kemeja dilihat tenang sewaktu menghadiri perbicaraan, manakala ahli keluarga dan sahabat handai suspek difahamkan memenuhi pekarangan mahkamah sebelum sidang mahkamah berlangsung.

Lelaki ditemui mati selepas terjun sungai

NOOR FAIZAL GHAZALI
Lelaki ditemui mati selepas terjun sungai
Polis mengangkat mayat mangsa sejurus ditemui pasukan penyelamat.
29 Mac 2014
 ALOR SETAR - Seorang lelaki memberhentikan motosikalnya secara tiba-tiba di tepi jambatan sebelum bertindak terjun ke dalam Sungai Kedah,dekat Tanjung Chali, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang apabila P Mariappan, 51, meletakkan motosikal di laluan tepi sungai sebelum bertindak demikian.

Saksi yang enggan dikenali berkata, tindakan mangsa yang nekad untuk terjun berlaku dengan pantas.

"Sebaik saja berhenti, dia terus panjat penghadang jambatan dan terjun.

"Orang ramai yang melalui jambatan ini juga tak menyangka dengan tindakan mangsa dan tidak sempat untuk menghalangnya," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Kedah berkata, mangsa adalah orang tempatan yang beralamat di  Taman Sri Impian, Mergong.

"Kami menerima panggilan pada jam 2.56 petang dan sampai di lokasi lapan minit kemudian dengan lima anggota.

"Mangsa ditemui sudah meninggal dunia kira-kira setengah jam kemudian tidak jauh dari kawasan dia terjun," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

6 warga asing, pemandu teksi ditahan Imigresen

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 warga asing, pemandu teksi ditahan Imigresen
Antara lelaki yang ditahan Imigresen Johor. 
30 Mac 2014
JOHOR BAHRU - Tujuh lelaki ditahan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor dalam operasi di Plaza Tol Penawar, Kota Tinggi, 27 Mac lalu.

Ops Pemantauan Penyeludupan Imigran Zon Pantai Timur sekitar jam 5.20 petang itu disertai enam anggota diketuai Penyelarasnya, Masri Adul yang juga Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Johor.

Masri berkata, tujuh tangkapan terbabit melibatkan enam lelaki warga Indonesia berusia 24 hingga 44 tahun dan seorang pemandu teksi warga tempatan berumur 31 tahun.
Menurutnya, semasa membuat pemantauan dan pemerhatian terhadap kenderaan yang melalui Plaza Tol Penawar, terdapat sebuah teksi sarat dengan penumpang melebihi syarat dibenarkan.

“Terdapat lima orang duduk di tempat duduk belakang dan seorang duduk di hadapan bersebelahan dengan pemandu.
“Hasil pemeriksaan, lima orang gagal mengemukakan dokumen perjalanan, manakala seorang telah tinggal lebih masa,” katanya, semalam.

Masri berkata, kesemua ditahan disiasat di bawah Akta imigresen 1959/63, manakala pemandu teksi disiasat di bawah Akta Atipsom 2007.

Katanya, dari pengakuan mereka yang ditahan, warga asing terbabit mengaku hendak pulang ke Indonesia melalui jalan tikus di sekitar Pantai Pengerang.

“Mereka juga mengaku telah membayar kepada tekong sebanyak RM650 hingga RM1200.

“Ada di antara mereka yang datang dari Pahang dan Kuala Lumpur dengan menaiki bas ke stesen bas dan teksi yang dipercayai sudah dirancang sedia menunggu untuk membawa mereka ke destinasi ditetapkan,” katanya.

Masri percaya pemandu teksi terbabit bersekongkol dengan tekong kerana sanggup menyalahi peraturan dan undang-undang yang mewajibkan hanya empat penumpang sahaja yang dibenarkan dibawa pada satu masa.

Beliau menasihatkan kepada orang awam supaya tidak sesekali membenarkan pendatang asing tanpa izin (Pati) berada di dalam kenderaan dan premis kediaman kerana tindakan tegas akan diambil.

Terkejut ribut terbangkan bumbung rumah


30 Mac 2014


ALOR SETAR - Penduduk di Kampung Alor Ibus di Kuala Kedah dekat sini terkejut apabila angin ribut menerbangkan bumbung rumah mereka malam tadi.
 
Ia melibatkan 10 keluarga yang dilapor mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.
 
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mereka lari bertempiaran mencari tempat perlindungan yang lebih selamat.
 
Kechik Darus, 62, berkata kejadian berlaku secara tiba-tiba menyebabkan dia dan suami serta tiga anaknya hanya mampu melihat bumbung rumah mereka diterbangkan angin.
 
"Mak cik baru nak mengambil air sembahyang manakala suami dan tiga orang anak mak cik sedang berada di ruang tamu sebelum kami terdengar bunyi bumbung terangkat dan angin kencang.

"Mak cik tak perasan masa bila bumbung rumh mak cik habis diterbangkan ribut. Kami sekeluarga lari menumpang ke rumah jiran yang masih tidak berpenghuni," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Kechik berkata kejadian ribut itu pertama kali berlaku sejak dia tinggal di kampung itu lebih kurang 18 tahun.
 
Siti Norhanizawati Che Omar, 38, berkata ketika kejadian dia bersama tujuh anggota keluarganya berada di dalam rumah apabila seluruh bumbung rumah mereka diterbangkan angin kuat.
 
"Kami dengar bunyi angin yang kuat dan sekelip mata sahaja bumbung rumah kami diangkat angin. Kami lari ke rumah jiran kerana bimbang kejadian yang lebih buruk akan berlaku.
 
"Nasib baik kami ada di rumah kalau tidak kami tidak tahu apa yang akan jadi pada mak saya. Kami pulang ke kampung sempena cuti sekolah dan sepatutnya pulang ke Perak hari ini," katanya yang menganggarkan kerugian kira-kira RM16,000. - Bernama

Pemilik kilang rugi hampir RM3 juta

NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
Pemilik kilang rugi hampir RM3 juta
Anggota bomba memadamkan sepenuhnya kebakaran kilang terbabit semalam.
30 Mac 2014
 IPOH – Pemilik sebuah kilang memproses bahan kitar semula dan menghasilkan plastik kerugian hampir RM3 juta apabila bangunan operasinya musnah dalam kebakaran di Persiaran Kilang Silibin, Taman Pertama, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua lima pekerja yang sedang bekerja syif malam sempat melarikan diri selepas gagal memadamkan kebakaran awal di kilang terbabit.

Ketua Balai Bomba dan penyelamat Meru, Norazlina Robak’aee berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.02 pagi dan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, bomba yang tiba di tempat kejadian kira-kira sembilan minit kemudian mendapati api sedang marak namun, berjaya dikawal pada kira-kira jam 4.45 pagi dan dipadamkan sepenuhnya dua jam selepas itu.

“Kami menggunakan semburan campuran air dan buih bagi mengawal api kerana bahan tersebut sesuai untuk memadam kebakaran yang berpunca daripada plastik. Kebakaran melibatkan keluasan lebih 4800 meter persegi.

“Api mudah merebak apabila bahan-bahan buangan mudah terbakar antaranya plastik, kertas-kertas dan botol serta menyebabkan keseluruhan bangunan ini musnah 100 peratus.

“Namun, kami tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk memadamkan kebakaran ini berikutan punca air mudah didapati dan masih berfungsi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Norazlina berkata, operasi pemadaman turut mendapat bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang menghantar tiga jentera bersama 14 anggota bagi memastikan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

“Kebakaran ini tidak menjejaskan operasi kilang-kilang berhampiran namun, punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan bomba,” katanya.

Kereta baharu dilarikan penyamun


SYAMILAH ZULKIFLI
30 Mac 2014

Kereta baharu dilarikan penyamun
 Tangan Yap yang cedera

Kereta baharu dilarikan penyamun
Yap menunjukkan lokasi keretanya dilanggar dari arah belakang

SEREMBAN –  Malang bagi seorang lelaki apabila kereta yang baru sehari dibelinya dilanggar, sebelum dilarikan oleh penjenayah di Mantin, dekat sini.

Lebih malang apabila mangsa yang hanya mahu dikenal sebagai Yap, 31, turut dibelasah, disamun dan ditinggalkan di tepi semak dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kejadian kira-kira 7.45 malam, Rabu lalu.

Menurut Yap, sehari sebelum kejadian, dia baru saja mengambil kereta jenis Perodua Myvi berkenaan dari salah sebuah pusat jualan di daerah ini.

“Siapa yang tidak gembira bila mendapat kereta baharu,  bahkan saya bercadang mengubah suai kereta tersebut.

“Jadi selepas mengambil kereta, saya terus menghantarnya kepada seorang kawan untuk membuat ubah suai dan kereta itu masih belum sempat dibawa pulang ke rumah,” katanya.

Penyelia kilang itu berkata, keesokan hari, rakannya menghubunginya kira-kira 7.20 malam memberitahu keretanya sudah siap dan dia berjanji berjumpa dengan rakannya itu di tepi jalan kira-kira 100 meter daripada lokasi rumahnya di Mantin.

“Memandangkan ia dekat, saya hanya berjalan kaki sahaja dan beberapa minit selepas itu kawan saya pun sampai. Bagaimanapun, kira-kira lima minit saya memandu kereta itu, tiba-tiba sebuah kereta lain dinaiki tiga lelaki merempuh kereta saya dari arah belakang," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu meluru kepadanya sebelum memukulnya sehingga pengsan.

"Sebaik sahaja sedar, saya berada di tepi belukar serta tangan kiri berdarah, selain dompet dan kereta saya juga hilang. Saya kemudian berjalan kaki pulang ke rumah dan memberitahu kejadian itu kepada emak, sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Abdullah Roning mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan polis

Kaki budak 7 tahun tersepit dalam lubang tandas


30 Mac 2014

MELAKA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam setelah kaki kanannya tersepit di dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Tasik Utama di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi tadi, Muhammad Daniel Amir sedang mandi apabila dengan tiba-tiba kaki kanannya termasuk ke dalam lubang tandas itu.

Bapanya Amir Ali, 47, berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang bersiap untuk keluar membeli barangan dapur di bandar Melaka.

"Saya terdengar jeritan Daniel lalu terus meluru ke bilik air untuk lihat keadaan dia dan saya nampak kakinya sudah termasuk ke dalam lubang tandas sehingga paras lutut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya beliau cuba mengeluarkan kaki anak sulung daripada tiga beradik itu selama setengah jam, namun gagal sebelum menghubungi bomba.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Ayer Keroh Mohd Shahril Zauni berkata pihaknya memecahkan mangkuk tandas itu bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak itu pada 11.40 pagi.

  Amir berkata Muhammad Daniel tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kakinya dikeluarkan anggota bomba.  

Bagaimanapun, katanya, beliau akan membawa anaknya itu ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. - Bernama

Wanita cedera langgar lubang

WARTAWAN SINAR HARIAN
Wanita cedera langgar lubang
Nor Faizah menahan kesakitan akibat kecederaan yang dialami di bahagian muka, badan dan kaki. 
29 Mac 2014
PEKAN - Hasrat seorang wanita yang ingin ke pasar malam bersama dua sepupunya tidak kesampaian selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan ketika menunggang motosikal di Jalan Pulau Serai, di sini.

Nor Faizah Abdul Mutalib, 28, berkata, ketika kejadian, dia sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Bentan ke pasar malam di perumahan Peramu Jaya 3, dekat sini.

Menurutnya, dia menunggang motosikal bersendirian manakala dua lagi sepupunya menaiki sebuah lagi motosikal dan berada di bahagian hadapannya.

“Ketika melalui jalan Pulau Serai, keadaan sekitar sememangnya gelap kerana tiada lampu jalan dan saya hanya mengekori motosikal yang ditunggang sepupu sebelum ketinggalan agak jauh di belakang.

“Ketika sedang menunggang, tiba-tiba tayar depan motosikal saya seperti terlekat kerana termasuk dalam lubang menyebabkan saya terpelanting dan jatuh ke tengah jalan,” katanya.

Nor Faizah berkata, beberapa pengguna jalan yang kebetulan lalu membantu mengangkatnya dan motosikal ke tepi jalan.

“Dua sepupu hanya tahu mengenai kemalangan menimpa saya selepas berpatah balik kerana tidak nampak kelibat saya di belakang mereka,” katanya.

Dia dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan akibat kecederaan di bahagian muka, badan dan kaki.

Disamun tiga lelaki berparang

WARTAWAN SINAR HARIAN
Disamun tiga lelaki berparang
Hwa Len menunjukkan aksi penyamun mengacukan parang ke arahnya ketika menerima kunjungan Ketua Puteri Umno Tanah Merah, Hanisathirah Ab Ghari (dua kiri).
29 Mac 2014
 TANAH MERAH - “Saya rasa seperti mati hidup semula bila terselamat kerana waktu itu, saya hanya ingat mati,” kata Lee Hwa Len, 65, selepas rumahnya disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di Taman Guru, dekat sini, malam kelmarin.

Hwa Len berkata, selama kira-kira setengah jam dia dan anaknya ‘ditawan’ penyamun terbabit, dia hanya berfikir akan mati setiap kali lehernya diacukan parang oleh penjenayah berkenaan.

“Dalam hati saya hanya ingat mati dan berdoa supaya Tuhan tolong bila mereka (penyamun) letak parang di leher,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Guru, dekat sini, semalam.

Menurut Hwa Len, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika dia dan anaknya, Wong Chai Wun, 34, baharu pulang dari sebuah tokong di Jelatuk, dekat sini.

“Bila anak saya buka pintu pagar, seorang lelaki diikuti dua lagi lelaki datang dari arah dapur dan terus menerkam ke arah kami sambil mengayunkan parang serta menyuruh kami diam.

“Mereka kemudian minta anak kunci rumah dan dua daripadanya cuba buka pintu, manakala seorang lagi ‘jaga’ saya sambil acukan parang tetapi gagal, lalu menyuruh anak saya bukakan pintu,” katanya.

Hwa Len berkata, apabila berjaya masuk, seorang daripada penyamun terbabit membawanya naik ke tingkat atas rumah untuk mencari barangan berharga, manakala anaknya diikat di bahagian dapur.

“Mereka hanya sebut nak duit, nak emas dan minta kami beri kerjasama berulang-ulang kali. Bila tidak jumpa barang berharga di tingkat atas, mereka ambil duit kira-kira RM4,000 dalam beg saya di tingkat bawah.

“Rantai emas saya dan anak saya bernilai kira-kira RM4,000 juga diragut. Seorang penyamun juga sempat masuk ke dalam kereta anak saya dan ambil duit kira-kira RM150 dalam dompet,” katanya yang luka di jari telunjuk kanan akibat terkena parang.

Hwa Len berkata, dia percaya tiga penjenayah terbabit sebelum itu bersembunyi di bahagian dapur rumahnya yang sedang dalam proses ubah suai berdasarkan kesan umpil pada tingkap.

“Kami keluar rumah untuk ke tokong kira-kira jam 7.30 malam dan balik rumah setengah jam kemudian. Saya rasa mereka sedang umpil tingkap dapur bila kami pulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian samun itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal, tiga penyamun terbabit dipercayai lelaki Cina dianggarkan berumur 30-an dan suspek dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kereta Honda Accord berwarna ‘silver’.

Pasangan kekasih nyaris maut

ROSALWANI CHE SOH
Pasangan kekasih nyaris maut
Keadaan kereta yang hangus terbakar. 
30 Mac 2014
KOTA BHARU - Pasangan kekasih nyaris maut selepas kereta jenis Proton Satria Neo yang dipandu lelaki terbabit terbakar selepas hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan dalam kejadian di Jalan Wakaf Siku, di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa sempat diselamatkan seorang peniaga burger yang kebetulan berniaga di kawasan terbabit.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu dipercayai berlaku apabila salah satu tayar kereta meletup ketika melalui jalan terbabit, menyebabkan kereta dipandu dari arah Lundang ke Kota Bharu itu kemudiannya melanggar pembahagi jalan sebelum melanggar sebuah lagi kereta dari arah bertentangan.

Perlanggaran itu mengakibatkan kereta terbabit meletup dan terbakar serta-merta.

Peniaga burger terbabit, Ahmad Fikeri Mohd, 34, berkata, dia nekad menyelamatkan pemandu lelaki tersebut yang masih berada dalam kereta walaupun ketika itu api marak.

“Api bermula dari enjin kereta semakin merebak tetapi saya beranikan diri menyelamatkan mangsa yang tersepit di bahagian dadanya, betul-betul berhampiran stereng di tempat duduk pemandu.

“Mujurlah saya turut dibantu oleh rakan, Mohd Ridwan Mohd Zin, 27, yang ketika itu ada bersama dan dapat mengeluarkan mangsa dari dalam kereta,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu katanya, teman wanita lelaki terbabit yang mengalami kecederaan di kepala turut berjaya dikeluarkan dari kereta tersebut.

"Mereka dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan susulan," katanya.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian mendapatkan mangsa tidak berjaya berikutan kedua-duanya enggan ditemu bual.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10 malam.

“Sebuah jentera dihantar ke tempat kejadian dan kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak 15 minit kemudian.

“Kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan tidak mengalami kecederaan serius. Mereka  dilaporkan stabil,” katanya.

Restoran kena pecah masuk


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2014
Restoran kena pecah masuk
Restoran kena pecah masuk Azrul Izwan melihat rakaman CCTV yang menunjukkan suspek sedang menggeledah premisnya dan melarikan barangan berharga.

Restoran kena pecah masuk
Imej menunjukkan seorang suspek sedang menyelongkar mesin wang.

IPOH – Seorang pemilik restoran kerugian lebih RM5,000 apabila premis makanannya di Jalan Pasir Puteh di sini, dipecah masuk empat pencuri, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, penjenayah terbabit melarikan wang tunai berjumlah RM300 dan beberapa barangan berharga termasuk rokok pelbagai jenis yang diletakkan berhampiran kaunter juruwang restoran tersebut.

Pemilik kedai, Azrul Izwan Ahmad Ali, 27, berkata, dia terkejut apabila mendapati jeriji pintu premisnya dipecahkan dan pelbagai barangan dan rokok berselerak selepas menerima panggilan daripada pekerjanya.

Katanya, ia merupakan kejadian ketiga dialaminya sejak dia memulakan perniagaan di situ 15 tahun lalu.

“Sebaik tiba di kedai untuk memulakan perniagaan, saya mendapati jeriji pintu pecah dan terus memeriksa dalam kedai.

“Saya terkejut lihat rokok berselerak atas lantai dan peralatan kedai serta mesin wang dirosakkan pencuri,” katanya yang membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Pasir Puteh.

Menurutnya, hasil pengamatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kesemua suspek memasuki kedainya dengan memakai topi keledar dan terus menggeledah kedainya.

“Suspek juga bertindak licik dengan mematikan alat penggera keselamatan dan melarikan televisyen dan beberapa barangan lain,” katanya.

Azrul Izwan berkata, kejadian itu membuatkan golongan peniaga bimbang dengan tahap keselamatan walaupun premis dilengkapi penggera keselamatan dan CCTV.

“Saya berharap pihak polis dapat meningkatkan rondaan dan kawalan keselamatan di kawasan ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan masih diteruskan.

Kedai alat ganti kereta terbakar


KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
29 Mac 2014

Kedai alat ganti kereta terbakar
Kedai alat ganti kereta terbakar Kedai menjual alat ganti kereta yang terlibat dalam kebakaran, awal pagi semalam.



SEREMBAN - Seorang pengusaha kedai alat ganti kereta kerugian kira-kira RM500,000 apabila kedai milik keluarga yang diusahakan sejak 30 tahun lalu di Jalan Seng Meng Lee, Temiang, dekat sini, hangus dalam kejadian awal pagi semalam.

Isteri kepada pemilik kedai berkenaan yang ingin dikenali sebagai Puan Oh berkata, dia yang menetap di Kepayang Height, di sini tidak menyangka panggilan telefon daripada ibunya lebih kurang jam 4 pagi itu membawa perkhabaran duka.

“Memang sukar hendak percaya. Saya sangka, ibu cuba membuat jenaka ‘April Fool’ pagi-pagi. Kalau tidak pun, mungkin ini hanya mimpi dan semuanya akan kembali normal apabila terjaga.

“Malangnya, berita disampaikan ibu memang benar-benar berlaku. Hancur luluh hati saya dan suami apabila melihat tingkat atas kedai hangus depan mata,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Oh berkata, ibunya mengetahui kejadian berkenaan daripada salah seorang rakannya yang menjalankan perniagaan kedai kek, tidak jauh dari lokasi kebakaran.

“Kerugian dianggarkan sekitar RM400,000 hingga RM500,000 memandangkan kesemua alat ganti kereta yang disimpan di bahagian atas kedai musnah. Punca kebakaran sedang disiasat oleh pihak bomba.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana pihak bomba dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian bawah kedai.

"Saya tidak dapat bayangkan, apa akan terjadi sekiranya dua tong gas digunakan untuk kerja-kerja mengimpal meletup akibat terkena api,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Azlee Mohd Arus berkata, dua jentera bomba membabitkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.20 pagi.

“Sejurus tiba, kita dapati api sedang marak di tingkat atas kedai dan perlu mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk dikawal, sebelum dipadamkan sepenuhnya kira-kira 18 minit kemudian.

“Pada masa sama, kita turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Senawang yang menghantar satu jentera dan tiga anggota,” katanya yang menjelaskan tiada kehilangan nyawa dilaporkan berikutan premis tidak berpenghuni semasa kebakaran berlaku.

Maut langgar belakang jentolak


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2014
Maut langgar belakang jentolak
Maut langgar belakang jentolak Polis sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian



BANDARAYA MELAKA - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah jentolak, di persimpangan bertingkat, Lebuhraya AMJ-Malim, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.35 pagi itu, mangsa, Mohamad Yusri Kamarudin, 24, maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala di persimpangan bertingkat Lebuh AMJ-Malim.

Bagaimanapun, pemandu jentolak berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua kenderaan terbabit menuju ke Lorong Pandan dari persimpangan lampu isyarat Cheng - Pulau Gadong ketika kemalangan itu berlaku.

Menurutnya, motosikal mangsa dipercayai bergerak laju sebelum melanggar bahagian belakang jentolak berkenaan ketika melalui kawasan berbukit.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ambil iktibar kata-kata anak

Ambil iktibar kata-kata anak
Keadaan rumah Haznah ketika api sedang marak, semalam.
M. JEFFRI RAZALI
30 Mac 2014
 GEMENCHEH – “Mak cik sedih, tapi bila ingatkan kata-kata anak, mak cik ambil iktibar," kata mangsa kebakaran, Haznah Maarof, 75, di Felda Bukit Jalor, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi itu, kediaman yang diduduki Haznah sejak 1968 musnah terbakar kira-kira 80 peratus.

"Mak cik terkenang kata-kata anak mak cik ketika pesawat MH370 hilang. Anak mak cik cakap, benda dah nak jadi. Sebab itu, bila rumah mak cik terbakar, mak cik tenang bila teringatkan kata anak itu," katanya ketika menceritkan kejadian kepada wartawan di rumahnya, semalam.

Haznah berkata, ketika kejadian, dia tidak berada di rumah kerana pergi menziarahi adiknya, Hasidah Maarof, 68, di Kampung Paradong, Jelebu bersama anak keenamnya, Norlaili Johari, 45.

“Sekitar 8.30 pagi, makcik sudah keluar dari rumah dan terkejut apabila menerima panggilan jiran pada 10 pagi memberitahu rumah mak cik terbakar," katanya yang memaklumkan seorang lagi anak, Adnan Johari, 50, juga tiada di rumah kerana pergi menoreh.

Menurutnya, susulan kebakaran itu, dokumen penting seperti geran tanah, rumah dan musnah dan dianggarkan kerugian mencecah RM80,000.

Sementara itu, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Penolong Penguasa Bomba, Sahidalah Osman berkata, ketika tiba, api masih lagi marak.

“Bagaimanapun, punca serta kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya.

RM19,000 barangan tiruan F1 dirampas


MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
30 Mac 2014

RM19,000 barangan tiruan F1 dirampas
RM19,000 barangan tiruan F1 dirampas Anggota PPDNKK memeriksa beberapa botol minyak wangi di sebuah kedai sekitar Kuala Lumpur dalam 'Ops Pit Stop 2.0'.



KUALA LUMPUR - Kehangatan perlumbaan Formula Satu (F1) yang bermula semalam diambil kesempatan oleh segelintir pihak dengan menjual barangan tiruan F1 untuk mengaut keuntungan lebih.

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Sepang membuat serbuan ke atas beberapa gerai dan kedai menjual barangan tiruan F1 di sekitar Kuala Lumpur dalam ‘Ops Pit Stop 2.0’ selama dua hari bermula kelmarin.

Ketua Pasukan Petugas Khas Penguat kuasa PPDNK Putrajaya, Fahmi Kassim berkata, pihaknya membuat operasi berkenaan setelah mendapat aduan daripada pihak pengeluar barangan F1 Redbull dan Ferrari.

Menurutnya, pihaknya merampas 425 jam tangan, 300 baju, 145 botol minyak wangi, 122 buah top, 120 unit aksesori telefon bimbit dan 27 pasang kasut kedua-dua jenama terbabit dan semua barangan rampasan dianggarkan bernilai RM19,000.

“Mulai semalam, kami membuat pemantauan dan pemeriksaan di Litar F1 Sepang untuk memastikan tiada peniaga menjual barangan tiruan F1,” katanya.

Bas ekspres terbalik, semua penumpang selamat


30 Mac 2014


NIBONG TEBAL - 16 penumpang bas ekspres nyaris maut selepas bas yang mereka naiki terbalik di Kilometer 164 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara berhampiran Jawi malam ini.

Dalam kejadian pukul 9.44 malam itu, enam penumpang parah manakala lapan orang, termasuk dua pemandu bas, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintenden Shafien Mamat berkata kemalangan berlaku ketika bas itu, yang dalam perjalanan dari Genting Hingland, Pahang ke Alor Star, Kedah, terbabas selepas sebuah kereta memotongnya dari sebelah kanan.

"Selepas kereta itu memotong bas berkenaan, kenderaan itu masuk semula ke lorong kiri secara tiba-tiba dan pemandu bas gagal mengawalnya lalu melanggar kereta yang dipandu seorang lelaki sebelum terbabas.

"Berikutan kejadian itu, bas berkenaan terbabas hingga masuk ke dalam longkang sebelum terbalik ke kiri jalan, dan nasib baik ia tidak mengenai kereta yang memotong bas berkenaan. Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi.  

Shafien juga berkata enam penumpang yang parah dihantar ke Hospital Seberang Jaya manakala mereka yang cedera ringan dibawa ke Hospital Sungai Bakap.

Beliau berkata polis akan mengambil keterangan pemandu bas berusia 30-an itu dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata sebanyak dua jentera dengan kekuatan 16 anggota dikejar ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam bas berkenaan.

"Semua mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat dalam tempoh 15 minit," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa Mohd Fikri Azman, 23, berkata ketika kejadian, beliau sedang tidur dan tiba-tiba terdengar dentuman kuat sebelum jatuh tergolek hingga ke bahagian depan bas.  

Mohd Fikri, yang bekerja di Genting Hinglands, berkata keadaan menjadi kelam-kabut dan penumpang yang kebanyakan sedang tidur bertindak menjerit serta cuba memecahkan tingkap bas untuk keluar daripada kenderaan itu.

"Kami merangkak keluar melalui cermin yang pecah dan ada beberapa penumpang yang saya nampak dalam keadaan parah," katanya.

Beliau berkata ini merupakan kemalangan pertama yang dialaminya sejak menggunakan perkhidmatan bas ekspres.

Katanya, sebaik berjaya keluar daripada bas itu, beliau turut membantu beberapa penumpang lain.

Mohd Fikri berkata beliau bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama

Kedai hiasan rumah terbakar


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2014

Kedai hiasan rumah terbakar
Kedai hiasan rumah terbakar Barang hiasan yang terbakar dalam kejadian pagi, semalam.



KUALA LUMPUR – Sebuah kedai dua tingkat yang menjual barang hiasan rumah terbakar dalam satu kejadian jam 10.51 pagi, di Jalan Putra berhampiran stesen LRT PWTC, semalam.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Sentul, Zahari Mohamad berkata, setibanya di lokasi, keadaan sudah agak tegang namun dengan ketangkasan pihaknya, api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira 20 minit kemudian.

“Sejurus itu, kita sahkan kedai tersebut mengalami kebakaran kira-kira 30 hingga 40 peratus dan kerugian antara RM 15,000 dan RM 20,000.

“Kita masih siasat punca kejadian. Kita perlu dapatkan maklumat dari pemilik kedai tersebut,” katanya.

Beliau berkata, waktu kejadian kedai itu masih belum dibuka.

Katanya, kebakaran turut menjejaskan tingkat dua kedai tersebut,  berikutan asap yang cepat merebak melalui laluan tangga kedai tersebut.

Operasi melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba Sentul, lapan dari Balai Bomba Hang Tuah dan enam dari Balai Bomba Titiwangsa.

Mayat suami isteri dengan kesan kelar ditemui


30 Mac 2014


KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri ditemui mati dengan kesan kelar di leher di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Cheras di sini awal pagi tadi.
 
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata    kedua-dua mangsa warga tempatan berumur 32 tahun itu ditemui mati dalam bilik tidur.
 
"Polis turut menemui dua ekor anjing milik mangsa yang turut mati akibat dikelar di leher," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
 
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian itu mungkin ada kaitan dengan cubaan membunuh diri lelaki itu yang dikatakan berlaku pada 10 malam tadi.
 
Polis turut menemui sebilah 'pen knife' berhampiran mayat lelaki itu, kata Mohan sambil menambah pemeriksaan pada kedua-dua mayat mendapati terdapat kesan kelar antara 10 hingga 15 sentimeter di bahagian leher.
 
Beliau berkata polis mendapati tiada unsur jenayah berlaku di tempat kejadian, namun punca sebenar insiden masih disiasat.
 
"Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat hari ini," katanya sambil memberitahu kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.  - Bernama

Kereta terbalik akibat dirempuh


WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2014

Kereta terbalik akibat dirempuh
 Keadaan kereta Toyota Vios yang terbalik akibat dirempuh sebuah Perodua MyVi dalam kejadian semalam.



KEPONG - Dua wanita melalui detik cemas apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah Perodua MyVi di persimpangan lampu isyarat berhampiran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 4 petang itu, rempuhan kuat menyebabkan kereta jenis Toyota Vios dinaiki wanita berkenaan terbalik dan mangsa terperangkap selama beberapa minit sebelum dibantu keluar oleh orang awam.

Sumber memaklumkan, kejadian berlaku apabila pemandu Toyota Vios tidak sempat memberhentikan kenderaan meskipun lampu isyarat telah bertukar merah.

“Pemandu tersebut dari arah Kuala Lumpur mahu masuk ke arah Selayang sementara pemandu Perodua MyVi pula dari arah Kepong menuju ke Kuala Lumpur.

“Pemandu Perodua MyVi memulakan pemanduan selepas lampu isyarat bertukar hijau dan gagal mengelak Toyota Vios yang ketika itu mahu masuk ke simpang Selayang menyebabkan berlakunya pelanggaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemandu Toyota Vios dan penumpang hanya mengalami cedera ringan sementara pemandu Perodua Myvi berusia lewat 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keadaan tersebut menjadi perhatian orang awam yang memberhentikan kenderaan untuk melihat kejadian dan berlaku kesesakan lalu lintas.

Dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal patah kaki kiri selepas terjatuh sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga di jejambat MRR2 berhampiran kuil Batu Caves di sini.

Difahamkan, penunggang motosikal berusia dalam lingkungan 30-an itu gagal mengawal pemanduan disebabkan jalan licin akibat tumpahan air sampah di laluan itu sebelum dilanggar pemandu Proton Saga.

Mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Anak temui ibu mati terduduk


ASWANY OMAR
30 Mac 2014


Anak temui ibu mati terduduk
 Mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditutup dengan kain sebelum dihantar ke HTAA


KUANTAN - Seorang wanita warga emas ditemui mati terduduk di atas sebuah kerusi di sebuah rumah ibadat di Kampung Tiram dekat sini, semalam.

Mayat Wong Jooi Moi, 64, ditemui sendiri oleh anak lelakinya yang bergegas pulang selepas panggilan telefon tidak dijawab oleh wanita tersebut.

Lelaki terbabit  yang tinggal di Subang Jaya, Selangor dikatakan sudah tiga hari menghubungi Jooi Moi untuk mengajaknya membersihkan kubur bapanya.

Bagaimanapun panggilan telefonnya itu tidak berjawab menyebabkan dia mengambil keputusan untuk segera pulang ke kampung.

Sebaik tiba di rumah ibadat itu lelaki terbabit beberapa kali memanggil nama mangsa namun tiada jawapan.

Dia kemudiannya mengintai di celah pagar dan melihat mayat ibunya terduduk atas kerusi plastik.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff tidak mengaitkan kematian itu dengan unsur jenayah sebaliknya mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

Menurutnya, polis menerima panggilan dari anaknya dan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bergegas ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan.

“Polis menemui mayat wanita itu dalam keadaan terduduk di atas kerusi dan berpakaian lengkap dan dihantar Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, hasil siasatan dan keterangan daripada jiran wanita itu juga mendapati, dia tinggal seorang diri kerana anaknya bekerja di Selangor.

Cari pemilik Toyota Vios biadab buang Yasin


RAIHAM MOHD SANUSI
29 Mac 2014


KEMAMAN – Seorang pemandu kereta yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu bertindak biadab kerana dipercayai membuang beberapa naskhah surah Yasin, kelmarin.

Perbuatan pemandu yang menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna merah jambu itu dilihat seorang jurutera dari sebuah syarikat di Kerteh yang juga dalam perjalanan ke arah Kuala Terengganu bersama keluarganya.

Ketika dalam perjalanan, jurutera berusia 29 tahun itu terkejut apabila ternampak senaskhah surah Yassin di tepi jalan di Kilometer 114 Jalan Kuala Terengganu-Kerteh pada jam 6.15 petang sebelum bertindak memberhentikan kenderaan dan mengambil surah Yasin itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, pengadu tersebut kemudian meneruskan perjalanan dan setibanya di stesen minyak Petronas Paka di Dungun, dia ternampak sebuah Toyota Vios membuang sesuatu di tepi jalan dalam jarak tiga kenderaan dari keretanya.

Menurutnya, pengadu memperlahankan keretanya dan mendapati barang yang dibuang itu adalah surah Yasin, namun pengadu tidak dapat memberhentikan keretanya berikutan jalan sesak.

“Ketika tiba di Kampung Nyior, Paka, sekali lagi pengadu lihat pemandu kereta Vios itu membuang sesuatu dari keretanya, jadi pengadu memberhentikan keretanya di tepi jalan dan mendapati barang itu adalah tiga surah Yasin.

“Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Dungun,” katanya.

Selain pengadu, polis juga menerima aduan pada jam 7.30 petang daripada orang awam di Kuala Dungun yang turut melihat kereta sama membuang surah Yasin di tepi jalan.

Beliau berkata, hasil semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kereta tersebut didaftarkan atas nama seorang bekas tentera yang beralamat di Jasin, Melaka.

“Selepas dihubungi, penama berkenaan mengaku kereta itu miliknya, namun ditarik bank Kuala Lumpur dua tahun lalu dan rakannya telah membayar tunggakan bank.

“Jadi kereta itu dijual atau diserah kepada rakannya secara sambung bayar ansuran sehingga sekarang tanpa tukar hak milik,” katanya.

Sehubungan itu, Che Suza berkata, pihaknya kini sedang mengesan pemilik semasa kereta terbabit untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Wartawan wanita terbunuh

Wartawan wanita terbunuh
Mayada maut ditembak dikepala ketika membuat liputan di Ein Shams, kelmarin. 
30 Mac 2014 KAHERAH - MESIR. Lima terbunuh, termasuk seorang wartawan wanita ketika perhimpunan antikerajaan di Kaherah dan Iskandariah, kelmarin.

Media tempatan melaporkan, kesemua mereka terbunuh selepas tercetus pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan ketika demonstrasi menentang pencalonan bekas Ketua Tentera Abdel Fattah Al-Sisi untuk bertanding dalam pilihan raya presiden yang dijadualkan bulan hadapan.

Keganasan tercetus selepas solat Jumaat itu juga berlaku selepas ribuan rakyat tidak berpuasa hati dengan keputusan mahkamah yang menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap 529 penyokong Mursi dan 700 yang lain bakal didakwa minggu depan.

Pegawai Kementerian Kesihatan Khaled al-Khatib berkata, wartawan akhbar milik persendirian Al-Dustour, Mayada Ashraf, 23,  maut ditembak di kepala ketika membuat liputan termasuk tiga individu lain dalam kejadian di Ein Shams.

“Empat orang cedera dalam pertempuran di wilayah utara Damietta,” katanya menurut laporan Agensi.

Di Madinat Nasr, timur Kaherah, polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan pelajar Universiti Al-Azhar menyebabkan puluhan cedera.

Pada kejadian semalam, secara keseluruhannya, lebih 50 penyokong Mursi ditahan di wilayah Damietta dan wilayah Minya selatan atas kesalahan bertempur dengan anggota keselamatan dan mengedarkan risilah berbentuk provokasi.

Pemerhati politik berpendapat, pihak keselamatan sengaja bertindak balas bagi membolehkan lebih ramai lagi penyokong Mursi ditahan.

Sehingga kini lebih, 1,200 penyokong pemimpin itu ditahan dengan prosiding dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Nasib minorit Islam Afrika Tengah


2014/03/30 - 06:36:37

Bangui: Ribuan penduduk di penempatan terakhir masyarakat Islam di ibu negara Republik Afrika Tengah kerap berdepan serangan. Kehidupan mereka tidak terjamin kekal selamat dan aman di Bangui ibu negara republik itu, mahupun sekiranya hendak berpindah ke tempat lain.

Sejak sejak 22 Mac 2014, pejuang anti-balaka dan yang lain-lain yang berpakaian tentera negara itu sudah membunuh sekurang-kurangnya lapan penduduk Islam dan mencederakan ramai lagi.


Kerajaan dengan sokongan tambahan daripada masyarakat antarabangsa perlu bertindak ke atas pihak yang bertanggungjawab dalam serangan itu dan meningkatkan usaha untuk mewujudkan suasana kehidupan selamat bagi penduduk Islam golongan minoriti negara itu. Kesatuan Eropah perlu bertindak segera melaksanakan ikrar untuk meningkatkan usaha mewujudkan keamanan.

“Ramai penduduk berasakan bagai terperangkap – tidak boleh untuk terus tinggal di situ dan juga tidak boleh berpindah ke tempat lain,” kata pengarah Pemantauan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philippe Bolopion. “Mereka terdedah kepada risiko terperangkap atau diserang di jalanan jika mereka cuba pergi ke kawasan penempatan lain atau mahu berpindah keluar dari Bangui.”

Penduduk Islam sudah bertaburan sejak pejuang anti-balaka menyerang kubu kuat pejuang Seleka yang sebahagian besarnya adalah orang Islam di Bangui pada 5 Disember 2013. Tentera antarabangsa di ibu negara itu perlu meningkatkan kawalan keselamatan khususnya di sekitar kawasan penempatan Kilometer 5 dan PK 12 serta menyediakan kawalan kepada penduduk yang mahu meninggalkan bandar itu bersama harta benda mereka.

Pejuang anti-balaka mahu membalas dendam terhadap serangan ganas ke atas gabungan Seleka yang mengambil alih kepemimpinan negara melalui rampasan kuasa pada Mac 2013 sebelum digulingkan kemudiannya pada 20 Januari 2014. Pejuang anti-balaka menyerang beberapa kali penempatan Kilometer 5 pada 22 Mac dan dalam satu daripada serangan itu mereka membunuh empat lelaki termasuk anak dan abang kepada datuk bandar penempatan itu, Atahirou Balla Dodo. Saudara mara datuk bandar kemudian menyertai penduduk lain membalas serangan berkenaan.

11 motosikal terbakar awal pagi disyaki perbuatan khianat


2014/03/29 - 07:53:11

Kuala Lumpur: Sebanyak 11 motosikal yang diletakkan di kawasan parkir motosikal di Blok D, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Jinjang di sini, terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, empat daripada motosikal milik penghuni perumahan itu rentung manakala empat lagi terbakar 50 peratus dan selebihnya rosak akibat terkena bahang api terbabit.


Seorang mangsa, Thanaletchumi, 39, berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 7.30 pagi apabila mahu pergi ke tempat kerja. Katanya, dia terkejut apabila mendapati motosikal Honda Wave miliknya adalah antara yang musnah dalam kebakaran itu.


“Saya tidak sedar bila kejadian berlaku sehinggalah dimaklumkan segelintir penduduk di sini.

“Ini adalah kejadian yang pertama membabitkan kebakaran walaupun sebelum ini kes seperti kecurian motosikal sudah banyak dilaporkan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau berkata, dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang bagi menjalankan siasatan lanjut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.19 pagi sebelum sebuah jentera dengan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Dendam lampau punca dua lelaki disimbah asid


2014/03/29 - 07:51:31

Kota Bharu: Polis tidak menolak kemungkinan kes simbah asid terhadap dua lelaki, termasuk seorang remaja di sebuah gerai di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, Rabu lalu, bermotifkan dendam lampau.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, menegaskan pihaknya akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat dan memaklumkan, kedua-dua mangsa dilaporkan stabil.


"Kedua-dua mangsa stabil dan kita akan merakam percakapan mangsa bagi membantu siasatan polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis perbarisan sempena Pemakaian Pangkat Komanden dan Ajutan Sukarelawan Simpanan PDRM.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata pihaknya sudah mengenal pasti suspek lelaki itu yang berusia 22 tahun dan gerakan memburunya giat dilakukan.

"Kita sudah pergi ke rumah suspek tidak jauh dari rumah mangsa, namun suspek sudah menghilangkan diri. Bagaimanapun, polis percaya suspek masih berada di kawasan sekitar dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Berdasarkan rakaman percakapan dengan seorang mangsa, kes berkenaan ada kaitan dengan dendam lama, namun kita menunggu keadaan mangsa kedua berusia 22 tahun stabil, sebelum merakam percakapan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian Rabu lalu, Emi Azman, 22, melecur teruk di muka, manakala rakannya, Tuan Zulashraf Yaacob, 14, melecur di muka dan bahu selepas disimbah cecair, dipercayai asid oleh seorang lelaki bermotosikal.
Ketika kejadian jam 10.15 malam, dua sahabat itu dikatakan berada di atas motosikal untuk membeli burger sebelum didatangi sebuah motosikal dipandu suspek.

Sebaik disimbah asid, kedua-dua mangsa masih sempat memecut motosikal melarikan diri sambil menjerit meminta tolong memandangkan pada masa sama, suspek turut mengejar mereka.

Tipu guna nama OKU berhutang RM40,000


2014/03/29 - 07:50:29

Ayer Keroh: Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) terkejut apabila namanya digunakan individu tertentu bagi membeli sebuah kereta dan mempunyai hutang tertunggak hampir RM40,000.

Vianish Kassim, 51, yang tangan kirinya sudah tidak lagi berfungsi, berkata, beliau hanya mengetahui menanggung hutang pinjaman pembelian sebuah PROTON Perdana V6 selepas dihubungi seorang wanita dari sebuah bank yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, bulan November tahun lalu.


"Saya menafikannya kerana selepas kemalangan 27 tahun lalu, saya tidak lagi mempunyai lesen memandu. Malah, lesen L motosikal saya juga sudah lama tidak diperbaharui kerana keadaan tangan kiri yang tidak lagi berfungsi.

"Apabila pihak bank menghubungi saya dan menyatakan mengenai hutang kereta berkenaan, saya begitu terkejut. Jangankan PROTON Perdana V6, basikal pun saya tidak ada. Puas saya jelaskan kepada mereka tetapi mereka tidak percaya," katanya

Pemilik kedai runcit miliki rokok seludup kena penjara


2014/03/29 - 07:47:19

Ampang: Seorang pemilik kedai runcit dipenjara tiga hari dan didenda RM2,200 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan memiliki 2,936 batang rokok seludup di kedainya.

Majistret, Ayuni Izzaty Sulaiman memerintahkan tertuduh, M Yunus M Dan, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu dua hari lalu dan tambahan sebulan penjara jika gagal membayar denda.


M Yunus, 52, mengaku salah menyimpan rokok terbabit keseluruhannya bernilai RM161.92 dalam 154 paket di beberapa tempat dalam kedai runcit Pasar Mini Lima Bintang, yang dilarang import mengikut Jadual Ketiga, Bahagian II, Butiran 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import).

Amah bunuh anak dipenjara lapan tahun


2014/03/29 - 07:43:54
Kajang: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dipenjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan membunuh bayinya yang baru lahir menggunakan gunting, minggu lalu.

Hakim, Nor Hazani Hamzah memutuskan demikian terhadap Juliana, 26, selepas dia mengaku salah atas pertuduhan terbabit dan memerintahkan hukuman dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mac.


Nor Hazani dalam penghakimannya, berkata perbuatan tertuduh yang membunuh anak sendiri adalah satu perbuatan kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

Juliana didakwa membunuh bayi lelakinya itu di sebuah rumah di Taman Bukit Kajang Baru, di sini, kira-kira jam 9 malam, 22 Mac lalu.

Dia yang kelihatan lemah kerana masih berpantang didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Polis serbu chalet tempat proses dadah


2014/03/29 - 07:40:43
Kuantan: Polis menahan empat lelaki dan merampas sepucuk pistol tiruan serta pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah chalet di Kampung Cherating, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri hasil intipan dan maklumat oleh orang awam.


“Serbuan dilakukan pada jam 6 petang dan semua suspek berjaya ditahan hasil kecekapan pegawai serta anggota kami, walaupun pada awalnya mereka cuba meloloskan diri.

Lelaki maut jatuh tingkat 6


2014/03/29 - 07:53:57

Petaling Jaya: Seorang lelaki warga asing maut tergelincir dari tingkat enam di Blok H, Pangsapuri Flora Damansara, di sini selepas cuba melarikan diri dari anggota polis yang melakukan pemeriksaan ke rumahnya.

Dalam kejadian pada jam 1 tengahari itu, mangsa bersama dua lagi rakannya dikatakan membuat bising di rumahnya dan jiran berdekatan menghubungi polis bagi melakukan pemeriksaan.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad, berkata terlihat anggota polis yang tiba di rumahnya menyebabkan mereka melarikan diri dengan melompat dari tingkat enam pangsapuri terbabit.

Dua rakan lompat beranda

Katanya, dua lagi rakannya melompat dari beranda rumahnya sebelum melarikan diri manakala mangsa tidak sempat melompat dan menyebabkan dia tergelincir dan terjatuh di atas jalan.

“Hasil siasatan di rumahnya, polis menemui dua kad pelajar dan sekeping pasport.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui butiran mangsa,” katanya ketika di temui pemberita, di sini, semalam.
Beliau berkata, kes disiasat atas kematian mengejut dan mangsa di hantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. 

Pesawat pengangkut terhempas


2014/03/29 - 07:17:45
NEW DELHI: Sebuah pesawat pengangkut yang baru dimiliki, C-130J Tentera Udara India (IAF) terhempas 72 batu di barat lapangan udara pangkalan Gwailor pagi semalam, mengorbankan lima anggota dalam penerbangan itu.

IAF belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai berapa ramai anggota dalam pesawat itu.


Insiden terhadap pesawat empat enjin buatan Amerika Syarikat itu menimbulkan tanda tanya di kalangan juruterbang berpengalaman ekoran rekod keselamatan baik dan pesawat itu yang mudah dikendalikan.

Seorang juruterbang kanan Tentera Udara berkata, kemalangan itu “pelik” dan beliau menjangkakan kru pesawat tidak boleh melakukan apa-apa atau berlaku kebakaran ketika penerbangan.

Operasi menyelamat masih dilakukan di lokasi pesawat berkenaan terhempas, menurut sumber tentera udara. “Pesawat itu berlepas dari Agra pada jam 10 pagi untuk misi penerbangan latihan rutin. 

Selisih ajal


Alor Gajah: Seorang juruteknik berdepan detik mencemaskan apabila sebuah kereta terbabas sebelum melambung dan ‘mendarat’ dalam keadaan terbalik di bahagian but keretanya di Kilometer 217.9 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.50 petang, Azri Nizam, 24, yang memandu di lorong tengah, dikejutkan dengan kemunculan sebuah kereta jenis Honda City yang terbabas dari laluan sebelah kiri dan melambung ke arah keretanya sebelum menukar gear dan memecut bagi mengelak kereta terbabit menghempap keretanya.
Kereta itu ‘mendarat’ dalam keadaan terbalik di but keretanya sebelum terseret dan dirempuh kereta Honda Jazz dipandu Norsuraya Ab Hamid, 34.

Pemandu Honda City, Esmond Lee Chong Cherng, 18, dan penumpangnya Alvin Chackor Thomas, 21, parah apabila masing-masing patah kaki dan tangan selain cedera di bahu dan kepala, manakala Azri dan Nosuraya tidak cedera.
Foto
KEADAAN kereta yang dipandu Esmond remuk teruk. Gambar kecil, mangsa menerima rawatan.

Dua sahabat itu dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dirawat dan keadaan mereka dilaporkan stabil.



Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Pusat urut 3 kali diserbu tak serik


Kuala Lumpur: Biarpun diserbu tiga kali sejak awal tahun lalu, sebuah pusat urut tetap berdegil dan meneruskan operasinya yang turut menawarkan pelacur warga asing.

Berikutan itu, premis yang berselindung di sebalik pusat urut berlesen di Kepong Baru, di sini, sekali lagi diserbu Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Pelacuran (D7) Bukit Aman diketuai Inspektor Mohammad Mohd Jais jam 11 malam, kelmarin.


Menurut Mohammad, dalam serbuan itu, enam wanita warga Vietnam berusia 20-an ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti persundalan, selain tidak memiliki dokumen perjalanan sah. “Selain wanita terbabit, seorang lelaki yang juga penjaga premis berusia lewat 20-an turut ditahan,” katanya.

Ditanya mengenai khidmat seks ditawarkan, Mohammad berkata, siasatan awal mendapati premis terbabit menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran sekitar RM130.


Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Anak acu parang ugut bunuh


Dungun: Seorang bapa tidak menyangka niat baiknya cuba meleraikan pertengkaran antara anak dan menantunya bukan saja tidak dapat diterima si anak, malah diugut bunuh dengan parang di sebuah kedai di kawasan masjid di Rantau Abang, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, kejadian dipercayai jam 2 petang ketika bapa berusia 70 tahun itu berniaga menjual air di kawasan masjid bersama menantunya berusia 20-an.


Katanya, ketika itu anak lelaki berusia 28 tahun datang sebelum memarahi menantu mangsa yang berniaga bersama mangsa, dipercayai kerana perselisihan faham.

“Melihat anak lelakinya mengamuk bagaikan orang gila selain bimbang pertengkaran itu mengganggu jemaah masjid, mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu dengan menasihatkan suspek supaya berbincang di rumah.


“Nasihat mangsa bukan saja tidak diendahkan, malah mengundang kemarahan suspek apabila cuba menyerang mangsa dan isterinya dengan sebilah parang.


“Suspek bukan saja memaki hamun warga emas itu malah mengugut membunuh mangsa dan isterinya sebelum meninggalkan tempat kejadian,” katanya.

Sumber berkata, mangsa mengesyaki anaknya bertindak sedemikian selepas dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.


Katanya, walaupun tidak cedera, mangsa yang bimbang keselamatan diri serta menantu dan ahli keluarga lain nekad membuat laporan polis.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Jeritan dalam api


Muar: “Saya mendengar suara orang meminta tolong, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak,” kata saksi kebakaran membabitkan dua rumah berhampiran persimpangan Jalan Sakeh-Jalan Bakri, di sini, yang mengorbankan seorang warga emas, semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi, Gw Ah Hang, berusia 60-an, ditemui rentung di dalam bilik tidur oleh anggota bomba.

Menurut saksi Mohammad Hafiz Hassan, 20, kejadian disedarinya apabila melihat kepulan asap dari rumah berkenaan ketika mengisi petrol di stesen minyak berhampiran.
“Saya bersama seorang rakan segera ke tempat kejadian dan terkejut mendapati dua rumah terbakar. Ketika itu juga saya mendengar suara meminta tolong dari sebuah rumah yang terbakar dan yakin ada orang terperangkap.

“Bagaimanapun, api marak dengan pantas kerana rumah diperbuat daripada papan, menyebabkan saya gagal pergi lebih dekat sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Jiran Ah Hang yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 40, berkata, dua hari lalu jirannya memaklumkan, dia terjatuh di dalam rumah dan tidak boleh berjalan.
Foto
ANGGOTA Bomba berusaha memadamkan kebakaran melibatkan dua buah rumah.
“Dia (Ah Hang) tinggal berdua dengan adiknya di rumah dan ketika kejadian, adiknya tiada di rumah. Mungkin kerana tidak boleh berjalan, dia tidak dapat menyelamatkan diri,” katanya. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian bersama dua jentera dan 15 orang anggota.

“Kami mengambil masa setengah jam untuk mengawal api daripada terus marak ke rumah berdekatan dan apabila api berjaya dipadam, kami menemui mayat mangsa di dalam bilik tidur rumahnya.
“Daripada maklumat diperoleh jiran, mangsa tinggal berdua dengan adiknya tetapi ketika kejadian adiknya tiada di rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, sebuah rumah lagi yang musnah dalam kebakaran itu tidak berpenghuni dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Muhammad Hanif Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30

Pemandu lori simen tahap azab 20 minit tersepit



MUHAMMAD menahan kesakitan akibat tersepit setelah lori simen dipandunya mengalami kemalangan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori simen nyaris maut apabila lori yang dipandunya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan dekat Jalan Chan Sow Lin di sini semalam.
Mangsa, Muhammad Sulaiman, 38, terpaksa menahan kesakitan selama hampir 20 minit akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu setelah bantuan tiba.
Menurut jurucakap bomba, kemalangan berpunca selepas tayar kenderaan itu pancit sebelum dia gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.
“Kami menerima laporan kejadian itu tepat pukul 1.07 petang dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
“Semasa anggota bomba tiba, mangsa dilihat tersepit dekat tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada badan dan kaki kerana tersepit.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (untuk rawatan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2xOcddVOR 
Hakcipta terpelihara 

Sukan rakyat bertukar tragedi



ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat Mohd. Lotfi yang hilang ketika mandi di Pantai Gali Kandis dekat Bachok, Kelantan semalam.


BACHOK – Kegembiraan penduduk Kampung Belukar, Pasir Mas mengadakan sukan rakyat dan Hari Keluarga di Pantai Gali Kandis dekat sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas manakala seorang lagi hilang ketika mandi di situ semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi membabitkan enam remaja yang dihempas ombak besar ketika sedang mandi.
Menurutnya, empat daripada mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung manakala seorang mangsa, Mohamad Arifin, 18, ditemui mati oleh anggota Bomba dan Penyelamat pada pukul 12.15 tengah hari.
“Mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian. Jenazah Mohamad dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui dilokasi kejadian dekat sini hari ini.
Abdul Hamid berkata, usaha mencari seorang lagi mangsa, Mohd. Lotfi Ibrahim, 14, masih diteruskan membabitkan polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Maritim Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2xOcNyo9v 
Hakcipta terpelihara