Search This Blog

Saturday, March 29, 2014

Warga emas rentung dalam bilik


NOOR AZLIDA ALIMIN
28 Mac 2014

Warga emas rentung dalam bilik
Warga emas rentung dalam bilik Kebakaran di Kampung Tasek Bakong mengorbankan seorang warga emas yang lumpuh
Warga emas rentung dalam bilik
Tiga sekeluarga, mangsa kebakaran di Banggol Kulim tidak sempat menyelamatkan dokumen penting selepas rumah mereka terbakar.

Warga emas rentung dalam bilik
May Kalsom

RANTAU PANJANG – “Bawalah anak ke klinik, dia demam. Mak dah sihat, sudah boleh tinggalkan mak.”

Itu kata-kata terakhir May Kalsom Daud, 71, kepada anak bongsunya, Mohamad Abdul Halim Mat Yaacob, 31, sebelum ditemui rentung dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kebakaran yang melibatkan dua kejadian berasingan itu menyebabkan empat keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian pertama berlaku pada jam 9.15 malam di Kampung Tasek Bakong dan mengorbankan seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) lumpuh.

Selang empat jam kemudian, kebakaran kedua berlaku di Kampung Banggol Kulim melibatkan tiga rumah namun tiada kecederaan jiwa dilaporkan.

Mohamad Abdul Halim ketika menceritakan kejadian memilukan itu berkata, disebabkan nasihat ibunya itu, dia membawa anak tunggalnya, Muhammad Syakir, 6, ke Klinik 1Malaysia yang terletak beberapa kilometer dari rumah bersama isteri.

Lihat api marak di tingkat atas

Kurang 30 minit selepas berada di klinik katanya, dia terima panggilan daripada anak saudaranya meminta mereka pulang dengan segera.

“Hancur hati saya melihat api marak di tingkat atas yang turut menempatkan bilik ibu saya. Saya cuba menyelamatkan ibu tetapi orang ramai menghalang saya kerana keadaan api yang begitu marak," katanya, semalam.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Mohammad Mat Yaacob, 56, yang tinggal bersebelahan tempat kejadian, cuba merempuh masuk menerusi pintu hadapan.

Namun katanya, api mula marak di bahagian tangga menuju tingkat atas dan ruang tamu menyebabkan usaha menyelamatkan ibunya gagal.

Mengikut perancangan katanya, dia sepatutnya membawa ibunya ke bank untuk menunaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Arwah juga pernah beritahu mahu meluangkan masa bersiar-siar bersama anak, cucu dan cicit selepas mendapat wang tersebut.

Sempat penuhi semua permintaan terakhir ibu

“Semua permintaan terakhirnya termasuklah membawanya ke pantai dipenuhi, namun saya tidak sangka itulah kali terakhir kami dapat bersiar bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Abd Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.21 malam dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan tujuh anggota.

“Tiba di lokasi kejadian, kami dapati rumah terbakar hampir 90 peratus terutama di bahagian berkayu di tingkat atas.

“Api berjaya dikawal 20 minit kemudian dan mangsa yang rentung dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk tindakan lanjut. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Selang beberapa jam kemudian, kebakaran kedua dilaporkan membabitkan tiga rumah di Kampung Banggol Kulim, jam 1.15 pagi, semalam.

Kejadian itu menyebabkan dua rumah hangus 100 peratus, manakala satu lagi berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Ketukan pintu oleh orang kampung selamatkan nyawa

Mangsa, Mohd Sahabuddin Md Nor, 32, berkata, ketukan pintu yang kuat oleh penduduk kampung berjaya menyelamatkan nyawanya bersama isteri dan empat anak.

Ketika kejadian katanya, mereka tidur di tingkat bawah manakala dua lagi anaknya yang berusia 9 dan 8 tahun tidur di tingkat atas.

“Saya segera menuju ke tingkat atas untuk menyelamatkan mereka sambil menjerit memanggil isteri agar selamatkan dua lagi anak yang lain.

“Namun saya terkejut kerana isteri hanya memangku anak bongsu yang berusia 5 bulan,” katanya.

Mohd Sahabuddin cuba merempuh masuk semula ke dalam rumah, namun dihalang kerana orang ramai sempat menyelamatkan anak ketiganya sebelum api marak di bahagian ruang tamu.

Seorang lagi mangsa, Mohd Zakia Hamat, 31, berkata, mereka baru sahaja masuk tidur namun tersedar kepada bunyi bising dari luar rumah.

“Kami tidak sempat menyelamatkan barang berharga, namun bersyukur ibu bapa dan dua lagi adik saya terselamat.

“Mereka masih lagi dalam keadaan terkejut dan tidak menyangka rumah yang diduduki sejak 1970-an hangus 100 peratus,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Nashuha Fahd Ahmad Mijar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.28 pagi.

“Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor dikerah ke tempat kejadian menggunakan empat jentera.

“Setibanya di tempat kejadian, kita dapati dua rumah terbakar hampir keseluruhan namun api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah ketiga. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Balasan ceroboh rumah bapa saudara

MOHD ZAILANI ABDUL RAHM AN
Balasan ceroboh rumah bapa saudara
Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari mahkamah selepas selesai perbicaraan, semalam. 
28 Mac 2014
KOTA BHARU - Padah ceroboh rumah bapa saudara, seorang tukang rumah didenda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal jelaskan denda, oleh mahkamah majistret di sini, semalam.

Wan Azman Wan Mohd Nor, 32, membuat pengakuan bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di depan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Tertuduh melakukan perbuatan tersebut pada 22 Mac 2014, kira-kira jam 9 malam di sebuah rumah di Kampung Kubang Tuman Jalan Pengkalan Chepa dengan niat melakukan pencerobohan, memasuki rumah kepunyaan Wan Abdul Majid Wan Ibrahim yang juga bapa
saudaranya.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 488 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya mendengar bunyi lantai bilik tidurnya diumpil.

Mangsa segera menghubungi anak saudaranya dan menunggu di pintu hadapan rumahnya. Tertuduh kemudian keluar daripada bilik tersebut dan dengan bantuan anak saudaranya, tertuduh berjaya ditangkap.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Zukri.

Pasangan gagal tunjuk surat nikah

WARTAWAN SINAR HARIAN
Pasangan gagal tunjuk surat nikah
Suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kulim oleh penguatkuasa 
29 Mac 2014
PADK. KULIM - Bapa empat anak berusia 30-an ditahan Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) bersama pasangannya yang bekerja sebagai pembantu pasar raya di rumah sewa mereka di kawasan perumahan di sini, kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.

Ketua Penguatkuasa PADK, Azmi Rejab berkata, daripada maklumat diperoleh, rumah pasangan itu sering dikunjungi beberapa pasangan kekasih lain terutama pada lewat malam.
Bertindak atas laporan, PADK membuat serbuan ke atas rumah berkenaan dan mendapati hanya pasangan itu sahaja berada dalam rumah tersebut.

Azmi berkata, PADK meminta surat pengesahan nikah, bagaimanapun pasangan itu gagal memberikannya dengan alasan ia berada di Bukit Kayu Hitam.

Siasatan awal dijalankan mendapati kenyataan dibuat pasangan itu bercanggah apabila si lelaki memaklumkan mereka bernikah di Bukit Kayu Hitam pada Februari lalu manakala si perempuan membuat pengakuan kepada jiran mereka bernikah tahun lalu.

“Pasangan itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan. Mereka juga dikehendaki membawa surat nikah ke PADK ketika keterangan mereka diambil nanti.

"Sekiranya gagal berbuat demikian, pasangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 9, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988. Jika sabit kesalahan mereka boleh di kenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali setiap seorang,” katanya.

Maut angkara peluru sesat


29 Mac 2014


YANGON - BURMA. Seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun maut selepas ditembak secara tidak sengaja oleh anggota keselamatan ketika cuba untuk menyuraikan perusuh yang menyerbu pasukan bantuan kemanusiaan antarabangsa, menurut polis, semalam.

Jurucakap polis, Min Aung memaklumkan insiden itu berlaku di gudang Program Makanan Sedunia (WFP) di Sittwe.


"Situasi di kawasan itu semakin terkawal selepas perintah berkurung dikuatkuasakan," katanya lagi.

Difahamkan, laporan dipetik dari AFP tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden kekecohan terbabit.

Penembak hendap VAT69 halang penceroboh masuki Kampung Tanduo


KOTA KINABALU 28 Mac - Sepasukan penembak hendap VAT69 menghalang kumpulan militan Sulu memasuki sektor B, C dan D dalam satu operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu ketika berlaku kejadian tembak-menembak di kawasan itu pada 1 Mac tahun lalu.
Koperal Shahril Afiza Zahari berkata, ini bermakna beliau dan pasukannya berperanan memberi perlindungan kepada rakan mereka yang terbabit dalam kejadian itu.
Semasa insiden, Shahril Afiza berkata, pasukannya berada 400 hingga 500 meter dari telaga dan longkang yang membekalkan air kepada kumpulan militan yang menceroboh kampung itu dan beliau pernah melihat 20 hingga 30 penceroboh mandi serta mengambil air dengan sesetengah mereka berpakaian celoreng dan bersenjata.
Bagaimanapun, beliau berkata, dari kedudukan mereka, pasukannya tidak boleh melepaskan tembakan ke tiga sektor berkenaan dan satu-satunya perlindungan yang boleh diberi ialah menghalang penceroboh berkenaan dari kedua-dua lokasi bekalan air bergerak ke sektor B, C dan D.
''Kami boleh melepaskan tembakan apabila penceroboh dari dua punca air itu lari ke arah pertempuran atau melepaskan tembakan ke arah sektor B, C dan D," katanya ketika disoal peguam Datuk N. Sivananthan pada perbicaraan 30 individu yang berdepan pelbagai pertuduhan berkaitan insiden pencerobohan Lahad Datu tahun lalu.
Shahril Afiza juga memberitahu, bagi memantau penceroboh di Kampung Tanduo, beliau dibekalkan dengan teropong jarak jauh, alat pengimejan haba dan senjata tempur yang dilengkapi skop Schmidt & Bender.
Terdahulu, beliau berkata, pada kira-kira pukul 7 pagi 7 Mac tahun lalu, ketika menjalankan operasi keselamatan di Kampung Tanjung Batu, pasukannya menembak mati seorang lelaki berpakaian preman manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri.
Beliau berkata, sebelum itu, kedua-dua lelaki berkenaan menghampiri mereka secara tergesa-gesa.
''Seorang memegang parang dan seorang lagi bawa senjata yang saya tidak tahu apa jenis," katanya.
Ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Wahab Mohamed siapa yang ditembak, Shahril Afiza berkata, lelaki yang memegang parang.
ABDUL WAHAB: Apakah tindakan koperal setelah tembakan dilepaskan ke arah penceroboh?
SHAHRIL AFIZA: Saya dan pasukan saya pergi memeriksa penceroboh yang tumbang tadi dan mendapati di sebelahnya ada sebilah parang dan sebuah beg.
ABDUL WAHAB: Adakah koperal berkesempatan memeriksa beg itu?
SHAHRIL AFIZA: Saya berkesempatan memeriksa beg itu dan mendapati di dalamnya ada sepasang baju celoreng dan sedikit makanan ringan.
Beliau berkata, selepas memeriksa mayat penceroboh yang ditembak mati itu, pasukannya meninggalkan kawasan berkenaan tanpa mengambil apa-apa dan kembali ke lokasi mereka ditempatkan selama empat hari mulai 6 Mac.
Sebanyak 30 tertuduh terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan dalam kes ini.
Mereka berdepan pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April 2013.
Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung 1 April ini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140329/ma_03/Penembak-hendap-VAT69-halang-penceroboh-masuki-Kampung-Tanduo#ixzz2xLg6IQEK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Amah bunuh bayi dijel 8 tahun



Juliana (kiri) bersama Noraliza Johari dibawa masuk ke mahkamah atas dakwaan membunuh bayi masing-masing di Mahkamah Sesyen Kajang, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
KUALA LUMPUR 28 Mac - Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang bertindak kejam menikam leher anak lelaki yang baru dilahirkannya dengan gunting, dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang dekat sini hari ini.
Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman itu selepas wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Juliana, 26, mengaku bersalah atas tuduhan membunuh bayi tersebut.
Hukuman tersebut diperintah berkuat kuasa mulai dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mac lalu.
Nor Hazani sebelum menjatuhkan hukuman turut menegur tindakan kejam tertuduh kerana sebagai seorang ibu, dia tidak seharusnya berkelakuan sedemikian.
"Tindakan kamu membunuh anak kandung kamu adalah sangat kejam dan langsung tidak berperikemanusiaan. Tindakan membunuh anak kamu itu bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah.
"Saya berharap hukuman ini akan menjadi pengajaran kepada kamu dan masyarakat di luar sana," kata beliau.
Juliana didakwa membunuh bayi yang baru dilahirkan itu di No. 5, Jalan Baru 28, Taman Bukit Kajang Baru, Kajang dekat sini kira-kira pukul 9 malam 22 Mac lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siaw Chooi Chin mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, peguam Nor Elissa Baharudin yang mewakili Juliana memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya itu terdesak melakukan perbuatan tersebut kerana akan diberhentikan kerja sekiranya perbuatannya itu diketahui majikannya.
Mengikut fakta kes, pada 23 Mac lalu tertuduh dibawa ke Hospital Serdang dekat sini oleh majikan selepas wanita itu mengadu sakit perut dan pemeriksaan doktor mendapati tertuduh baru bersalin kerana terdapat kesan potongan pada bahagian kemaluannya dan kesan uri.
Hasil siasatan, polis mendapati wanita itu telah melahirkan seorang bayi lelaki dan telah menikam leher anaknya dengan gunting sehingga mati serta membalut bayi tersebut dengan plastik sampah sebelum disembunyikan di bawah katil.
Sebelum ini akhbar melaporkan, wanita itu meminjam gunting tersebut daripada majikan untuk mengelar leher bayi yang baru dilahirkannya.
Dia telah berkhidmat dengan majikannya lebih dua tahun dan difahamkan bapa kepada bayi itu adalah seorang lelaki warga Nepal.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140329/ma_04/Amah-bunuh-bayi-dijel-8-tahun#ixzz2xLfiv8db
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rakyat Malaysia antara yang terperangkap kepungan Taliban


KABUL 29 Mac - Seorang rakyat Malaysia bersama tiga rakyat asing terperangkap di dalam sebuah rumah tumpangan di Kabul semalam selepas sekumpulan lelaki daripada kumpulan militan Taliban bersenjata mengepung bangunan tersebut, kata polis.
Seorang saksi daripada agensi berita Reuters yang menyaksikan kejadian mendapati terdapat kira-kira 20 orang individu yang didapati bukan rakyat Afghanistan telah dipindahkan dari rumah tumpangan di dalam sebuah kawasan kediaman mewah di ibu negara, kebanyakan mereka kelihatan takut dan terkejut.
Satu pertembungan bersenjata tercetus selepas seorang pengebom berani mati Taliban telah meletupkan dirinya di luar bangunan dan kumpulan militan itu meluru masuk ke dalam dan pertempuran bersenjata tercetus di dalam kawasan tersebut lebih daripada sejam selepas letupan awal berlaku. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140329/lu_01/Rakyat-Malaysia-antara-yang-terperangkap-kepungan-Taliban#ixzz2xLYKvNbH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Azizul, isteri didapati bersalah


DARI KIRI: AZIZUL RAHIM, SHALWATI


KUALA LUMPUR - Hasrat pasangan Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya, Shalwati Norshal untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dengan empat anak mereka tidak kesampaian apabila Mahkamah Daerah Solna, Stockholm, Sweden mendapati mereka bersalah atas pertuduhan memukul keempat-empat anaknya antara 2010 hingga 2013.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, berdasarkan keputusan bertulis yang diberikan kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia) semalam, Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara 10 bulan manakala Shalwati pula dipenjara 14 bulan.
"Berdasarkan penghakiman bertulis yang diserahkan Hakim Mattias Moller kepada wakil misi khas SukaGuam di Sweden, Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara 10 bulan, manakala Shalwati pula dipenjara 14 bulan. Kedua-dua mereka didakwa di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak Sweden," katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2xLY3XEe8 
Hakcipta terpelihara 

Tong sarat berisi bahan kimia Lynas terjatuh daripada treler



SEBAHAGIAN daripada tong berisi bahan cecair kimia yang terjatuh daripada sebuah treler di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Lanchang, Temerloh semalam.


TEMERLOH - Pengguna jalan raya yang melalui jalan di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Lanchang dekat sini gempar selepas 13 tong yang mengandungi bahan cecair kimia yang dibawa dari Kilang Lynas terjatuh daripada sebuah treler pada pukul 9.30 pagi semalam.
Kejadian itu berlaku ketika treler terbabit dalam perjalanan dari Gebeng, Kuantan ke Pelabuhan Klang, Selangor.
Dalam kejadian itu, sebanyak empat tong berisi cecair kimia jenis NDPR Chloride pecah dan cecair berkenaan tumpah di bahu jalan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2xLXpFRI2 
Hakcipta terpelihara 

Ayam, lembu kerap kena kebas


BUKIT MERTAJAM - Peniaga Pasar Awam Sama Gagah di sini meminta agar Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memasang rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar pasar itu bagi mengatasi masalah kecurian bekalan daging ayam dan lembu segar yang disimpan dalam peti simpanan di premis mereka.
Seorang peniaga daging lembu segar, Ahmad Asyraf Sanusi, 26, berkata, selain dirinya, kejadian malang itu turut menimpa lapan peniaga lain sejak awal tahun ini secara berselang-seli.
“Dalam kejadian pertama, saya kerugian RM500 apabila bekalan daging lesap selepas peti simpanan saya diumpil. Hari semalam (kelmarin) pula, kira-kira lima kilogram (kg) daging dilarikan pencuri.
“Beberapa peniaga lain turut merungut kerana peti simpanan daging mereka turut dipecahkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2xLXdjl6a 
Hakcipta terpelihara 

Warga Nigeria maut jatuh balkoni



BULATAN menunjukkan balkoni di mana seorang warga Nigeria terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada polis di Pangsapuri Flora Damansara, Petaling Jaya, Selangor semalam.


PETALING JAYA – Gara-gara cemas dengan kehadiran sepasukan anggota polis, tiga lelaki warga Nigeria bertindak nekad melarikan diri melalui balkoni tingkat 6, rumah mereka di Pangsapuri Flora Damansara, dekat sini semalam.
Bagaimanapun, tindakan berkenaan mengundang padah apabila salah seorang daripada mereka yang berusia 20-an maut setelah terjatuh daripada balkoni berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, dalam kejadian pukul 1 petang itu, pihaknya ke rumah berkenaan setelah menerima aduan daripada jiran mereka mengenai bunyi bising dari rumah tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2xLXT1Dg0 
Hakcipta terpelihara 

Amah Indonesia dijel 8 tahun



JULIANA (kiri) dan Noraliza dibawa masuk ke mahkamah atas pertuduhan membunuh anak mereka yang baru lahir di Mahkamah Sesyen, Kajang, Selangor semalam.


KAJANG - Perbuatan kejam seorang pembantu rumah warga Indonesia yang menikam bayinya yang baru lahir dengan gunting berbalas apabila dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap Juliana, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
Beliau kemudian memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 23 Mac lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2xLWkQArZ 
Hakcipta terpelihara 

Pesawat temui 11 objek di Lautan Hindi



GAMBAR menunjukkan salah satu objek yang dilihat dari atas sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja New Zealand di lokasi kawasan pencarian baharu dari di Lautan Hindi semalam.


SYDNEY - Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) menyatakan, lima pesawat carian menemui beberapa buah objek pelbagai warna di kawasan pencarian baharu.di Lautan Hindi.
"Imej fotografi objek yang dirakamkan itu akan dinilai malam ini (semalam).
"Bagaimanapun, objek itu tidak boleh disahkan atau diambil kira sebagai serpihan pesawat MH370 sehingga ia tidak dipindahkan di atas kapal," kata AMSA dalam satu kenyataan.
Menurut AMSA, jumlah keseluruhan 10 pesawat yang mengendalikan pencarian di kawasan baharu merangkumi keluasan 250,000 kilometer persegi .
Agensi tersebut berkata, misi mendapatkan objek itu merupakan tugasan kapal peronda Pentadbiran Maritim China, Haixun 01 yang melakukan pencarian di kawasan itu.
Ia akan memproleh objek-objek itu pada hari ini.
"Keadaan cuaca dijangka munasabah untuk melakukan pencarian pada hari ini," kata AMSA.
Antara pesawat yang mengesan objek adalah sebuah pesawat Tentera Udara Diraja New Zealand dan pesawat peninjau Australia, P3 Orion.
Berdasarkan laporan berita BBC, 11 objek dikesan berada di dalam kawasan pencarian baharu itu.
Terdahulu, AMSA dalam satu kenyataan berkata, misi pencarian pesawat Malaysia Airlines itu dipindahkan ke lokasi baharu kira-kira 1,100 kilometer ke timur laut Perth berdasarkan maklumat terkini yang disalur oleh pasukan penyiasat antarabangsa di Malaysia.
Pihak AMSA berkata, agensi penyiasatan Australia, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) telah menyemak data itu dan memutuskan maklumat tersebut merupakan petunjuk paling kukuh bagi mengesan kemungkinan serpihan.
Operasi pencarian penerbangan MH370 dipindahkan ke utara di Lautan Hindi selepas petunjuk baharu mendapati pesawat mungkin bergerak lebih laju daripada anggaran asal. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2xLUSnhJL 
Hakcipta terpelihara