Search This Blog

Friday, March 28, 2014

Polis Thailand rampas heroin RM10 juta


2014/03/28 - 05:59:53

Kuala Lumpur: Polis Thailand mematahkan kegiatan penyeludupan dadah jenis heroin bernilai lebih RM10 juta yang dipercayai akan diseludup ke negara ini selepas menyerbu dua unit rumah kedai di Ranong, daerah Muang, Selasa lalu.

Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Narkotik Surat Thani, Muang, menyerbu rumah kedai yang didaftarkan atas nama sebuah Syarikat Servis Antarabangsa Pitsamai, di Muang, pada jam 9 malam.


Hasil pemeriksaan, polis menahan dua lelaki termasuk seorang rakyat Malaysia dan seorang warga tempatan sebelum menemui 420 paket heroin seberat 147 kilogram dalam beberapa kotak pembungkusan ikan segar.

Siasatan mendapati dadah berkenaan yang diletakkan bersama beberapa kotak ikan segar lain, disimpan dalam kontena sejuk beku untuk dibawa ke Malaysia melalui jalan darat bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa Malaysia dan Thailand ketika pemeriksaan di pintu sempadan.

Sehingga kini polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki-baki kumpulan ini yang dipercayai sering menjalankan aktiviti penyeludupan dadah ke negara lain melalui cara sama dengan menyembunyikan bekalan dadah dalam kontena sejuk beku berisi ikan segar.

Tunggu laporan penuh

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata pihaknya mengesahkan kejayaan itu namun sedang menunggu laporan penuh daripada Narkotik Thailand.
“Taktik menyeludup dadah dalam kotak ikan segar menggunakan kontena sejuk beku ini adalah yang kali pertama dikenal pasti dilakukan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan sedikit sebanyak dapat membantu kita mengenalpasti modus operandi mereka.

“Berdasarkan kegiatan baru ini, polis yang bertugas di pintu sempadan dapat mempertingkatkan kawalan bagi memastikan cubaan seperti ini tidak akan dibolosi sewenang-wenangnya,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Pasangan mati ditetak di rumah


2014/03/28 - 06:04:54

Sitiawan: Sepasang suami isteri ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila tubuh mereka penuh kesan tetakan dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Cina, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, M Muniandy, 30, dan A Kaliamah, 37, (gambar) dipercayai dibunuh kira-kira jam 1.30 pagi dan polis yang tiba kira-kira sejam kemudian menemui kedua-duanya terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah sewa mereka.


Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba, berkata pemilik rumah dimaklumkan oleh jiran pasangan itu mengenai pergaduhan yang berlaku di rumah berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis.

Polis menemui anak angkat lelaki pasangan itu berusia dua tahun yang menghadapi masalah penglihatan sedang tidur dalam bilik rumah itu.

Kanak-kanak itu tidak diapa-apakan dan polis menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di Seri Manjung, dekat sini, semalam.

Dikehendaki polis

Jaafar berkata, siasatan polis mendapati Muniandy adalah seorang penagih dadah dan juga orang dikehendaki polis sejak tahun lalu kerana disyaki terbabit dalam sembilan kes jenayah, termasuk pecah rumah dan samun berkumpulan.
Katanya, polis tidak menemui senjata digunakan bagi membunuh pasangan itu, manakala tiada kesan barangan milik mangsa yang hilang atau dicuri dari rumah berkenaan.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan mengenai motif kejadian dan setakat petang semalam, belum ada tangkapan dilakukan berkaitan kes itu.

Jaafar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Manjung di talian 05-689 9222.

2 beranak rugi RM8,000 disamun


Oleh Muhamaad Razis Ismail

Tanah: Dua beranak kerugian RM8,000 apabila disamun tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Guru, Jalan Kubor, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu mangsa berusia 30 tahun dan ibunya berusia 65 tahun turut diacukan parang di leher dan diikat dengan tali sebelum semua suspek melarikan wang tunai RM4,000 dan seutas rantai emas bernilai RM4,000.
Tudung Borong ONLINE 2014
zanriasboutique.com
Rekaan Unik Pilihan Wanita Penampilan Menarik Jadi Keutamaan

Ibu mangsa mengalami kecederaan ringan di jari manis dan menerima rawatan di Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

Lelaki amuk ugut bunuh ibu


Oleh Hadzlihady Hassan

Balik Pulau: Hanya kerana tidak dibenarkan menggunakan motosikal oleh adiknya, seorang lelaki bertindak luar kawalan apabila dia mengamuk dan mengugut akan membunuh seluruh ahli keluarganya dalam satu kejadian di Kampung Perlis, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, suspek yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan membawa pisau dan turut mengugut membunuh ibu dan ahli keluarganya yang lain.


Berikutan itu, ibunya yang berusia 50-an membuat laporan polis dan susulan daripada itu suspek ditahan dirumahnya kira-kira jam 7 petang hari yang sama.

Menurut sumber, sebelum itu suspek mahu meminjam motosikal adiknya bagaimanapun dia dihalang daripada mengambil motosikal berkenaan oleh adiknya itu.


"Suspek berang dengan rindakan adiknya itu dan dia kemudian masuk ke rumah sebelum mengambil pisau dan mengamuk mahu membunuh ibu serta ahli keluarga lain.


"Bagaimanapun, dia akhirnya berjaya ditenteramkan ahli keluarga namun ibunya yang bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Menurutnya, polis kemudian berjaya menahan suspek dan hasil pemeriksaan air kencing mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

Curi lembu: Tembak guna ubat pelali

MOHD TAHA YAACOB
Curi lembu: Tembak guna ubat pelali
Rosman (kanan) menunjuk jarum pelali digunakan untuk menembak lembu. 
28 Mac 2014
BESUT - Kegiatan mencuri lembu dengan cara menembak menggunakan ubat pelali sebelum melarikan lembu berkenaan untuk dijual, kini dikatakan semakin berleluasa di kawasan Hulu Besut, di sini.

Dalam kejadian pagi kelmarin, dua lembu milik penduduk hilang dipercayai dicuri pihak berkenaan, bagaimanapun dua lagi tidak sempat dilarikan selepas mereka terserempak dengan penduduk kampung.

Mangsa, Rosman Awang, 52, berkata, dia menyedari kejadian itu setelah jiran sekampung memaklumkan lembunya terbaring di tepi jalan dengan keadaan kedua-dua kaki belakang terikat berhampiran kebun kelapa sawit di jalan Padang Tapong-Lata Tembakah dekat Kampung Padang Buluh, kira-kira jam 7 pagi kelmarin.

Menurut Rosman, setibanya di tempat kejadian kira-kira 500 meter dari rumahnya, dia mendapati lembunya dalam keadaan separuh sedar dengan dua jarum dipercayai ubat pelali ada pada lembu itu dan satu lagi berhampiran lembu itu.

“Lembu itu dipercayai ditembak dengan pelali sekurang-kurangnya empat kali, berdasarkan kesan pada leher dan kaki. Pencuri bertindak sedemikian kerana saiz lembu itu agak besar dan harga di pasaran sekarang sekitar RM3,500,” katanya.

Bagaimanapun, kata Rosman, pencuri itu tidak sempat melarikan seekor lagi lembunya yang sudah pengsan dan seekor lagi milik rakannya yang sempat ditembak sekali, selepas terserempak dengan penduduk kampung yang keluar menoreh getah kira-kira jam 5.30 pagi.
Malah katanya, penduduk terbabit juga ada memberitahu ternampak sebuah lori kecil dan kereta di tepi jalan berhampiran lembunya itu, namun ketika itu mereka tidak mengesyaki sebarang perbuatan mencurigakan.
"Akibat terlalu banyak pelali, lembu itu tidak mampu berdiri dan bergerak hingga saya terpaksa memberi lembu itu minum air kelapa sebagai penawar, selain memandikan beberapa kali. Namun selepas sehari diberi rawatan, akhirnya lembu itu semakin pulih dan dibawa pulang ke rumah untuk diberi rawatan.
“Kejadian kelmarin pertama kali berlaku membabitkan kecurian lembu menggunakan ubat pelali, semenjak saya dan rakan-rakan menternak secara lepas bebas di ladang kawasan ini hampir 20 tahun lalu,” katanya.
Rosman berkata, dia percaya aktiviti mencuri lembu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini kerana permintaan tinggi sempena cuti persekolahan sekarang.
Susulan itu, menurut Rosman, dia bersama dua rakannya membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Pasir Akar, Hulu Besut, petang kelmarin.

“Seorang jiran sekampung turut kehilangan dua lembu jantan pada hari sama, setelah usaha mencari lembu dilepas bebas di dalam ladang kelapa sawit di situ menemui kegagalan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor mengesahkan menerima laporan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Suami isteri ditemui mati dengan kesan tetakan

SITI SAFA MOHD NOR
Suami isteri ditemui mati dengan kesan tetakan
Pasangan terbabit ditemui tidak bernyawa dan berlumuran darah di rumah sewa mereka. 
28 Mac 2014
MANJUNG - Satu pasangan yang dipercayai suami isteri ditemui tidak bernyawa dan badan berlumuran darah di rumah sewa mereka di Kampung Cina, di sini awal pagi semalam.

Ketika kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, mangsa dikenali M Muniandy, 30, dan A Kaliamah, 37, ditemui dalam keadaan terbaring berhampiran ruang tamu rumah dengan beberapa kesan tetakan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, siasatan awal di lokasi kejadian tidak  menemui sebarang senjata, malah tiada kehilangan barang milik mangsa dilaporkan.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, polis dimaklumkan terdapat pergaduhan di rumah terbabit sebelum insiden tersebut.

“Kejadian disedari pemilik rumah berkenaan dan dia kemudiannya membuat laporan mengatakan ada pergaduhan di rumah disewa pasangan terbabit.

“Polis yang bergegas ke rumah mangsa kira-kira jam 2.30 pagi mendapati, ada seorang lelaki dan wanita terbaring berlumuran darah dengan banyak bahagian tubuh cedera, dipercayai akibat ditetak,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan, kejadian itu melibatkan lebih daripada seorang suspek, bagaimanapun motif kejadian masih disiasat.

Katanya, mengikut rekod, Muniandy merupakan individu dikehendaki polis sejak 2013 kerana mempunyai sembilan kes berkaitan samun, pecah rumah selain penagihan dadah.

“Mereka mempunyai seorang anak angkat berusia dua tahun yang mengalami masalah penglihatan, buat masa ini, anak berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat. 

Bogel selepas kantoi

Bogel selepas kantoi
Suspek menanggalkan pakaiannya sendiri selepas dikepung orang awam. 
NORAFIZA JAAFAR
28 Mac 2014
SELAYANG - Seorang lelaki bertindak di luar jangkaan apabila tiba-tiba menanggalkan pakaiannya dan berbogel selepas kantoi cuba pecah kenderaan di Selayang Baru, kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian jam 8 malam itu, suspek pada mulanya cuba masuk ke dalam sebuah kereta yang tidak berkunci untuk mencuri radio.

Menurut sumber, tindakan suspek berusia lewat 20-an itu bagaimanapun disedari orang awam dan juga pemilik kenderaan yang berada berhampiran kawasan tersebut.
“Pemilik meninggalkan keretanya sekejap untuk ke kedai, dan apabila kembali, dia terlihat kelibat seseorang dalam kenderaannya.

“Selepas dikepung orang awam, suspek secara tiba-tiba menanggalkan pakaian dan hanya memakai semula selepas seorang kenalannya menyuruhnya berbuat demikian,” beritahu sumber kepada Sinar Harian, semalam.

Kata sumber itu lagi, suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 511 kanun keseksaan kerana cuba melakukan jenayah.

Warga emas rentung dalam bilik

NOOR AZLIDA ALIMIN
Warga emas rentung dalam bilik
Kebakaran di Kampung Tasek Bakong mengorbankan seorang warga emas yang lumpuh 
28 Mac 2014
RANTAU PANJANG – “Bawalah anak ke klinik, dia demam. Mak dah sihat, sudah boleh tinggalkan mak.”

Itu kata-kata terakhir May Kalsom Daud, 71, kepada anak bongsunya, Mohamad Abdul Halim Mat Yaacob, 31, sebelum ditemui rentung dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kebakaran yang melibatkan dua kejadian berasingan itu menyebabkan empat keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian pertama berlaku pada jam 9.15 malam di Kampung Tasek Bakong dan mengorbankan seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) lumpuh.

Selang empat jam kemudian, kebakaran kedua berlaku di Kampung Banggol Kulim melibatkan tiga rumah namun tiada kecederaan jiwa dilaporkan.

Mohamad Abdul Halim ketika menceritakan kejadian memilukan itu berkata, disebabkan nasihat ibunya itu, dia membawa anak tunggalnya, Muhammad Syakir, 6, ke Klinik 1Malaysia yang terletak beberapa kilometer dari rumah bersama isteri.

Lihat api marak di tingkat atas

Kurang 30 minit selepas berada di klinik katanya, dia terima panggilan daripada anak saudaranya meminta mereka pulang dengan segera.

“Hancur hati saya melihat api marak di tingkat atas yang turut menempatkan bilik ibu saya. Saya cuba menyelamatkan ibu tetapi orang ramai menghalang saya kerana keadaan api yang begitu marak," katanya, semalam.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Mohammad Mat Yaacob, 56, yang tinggal bersebelahan tempat kejadian, cuba merempuh masuk menerusi pintu hadapan.

Namun katanya, api mula marak di bahagian tangga menuju tingkat atas dan ruang tamu menyebabkan usaha menyelamatkan ibunya gagal.

Mengikut perancangan katanya, dia sepatutnya membawa ibunya ke bank untuk menunaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Arwah juga pernah beritahu mahu meluangkan masa bersiar-siar bersama anak, cucu dan cicit selepas mendapat wang tersebut.

Sempat penuhi semua permintaan terakhir ibu

“Semua permintaan terakhirnya termasuklah membawanya ke pantai dipenuhi, namun saya tidak sangka itulah kali terakhir kami dapat bersiar bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Abd Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.21 malam dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan tujuh anggota.

“Tiba di lokasi kejadian, kami dapati rumah terbakar hampir 90 peratus terutama di bahagian berkayu di tingkat atas.

“Api berjaya dikawal 20 minit kemudian dan mangsa yang rentung dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk tindakan lanjut. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Selang beberapa jam kemudian, kebakaran kedua dilaporkan membabitkan tiga rumah di Kampung Banggol Kulim, jam 1.15 pagi, semalam.

Kejadian itu menyebabkan dua rumah hangus 100 peratus, manakala satu lagi berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Ketukan pintu oleh orang kampung selamatkan nyawa

Mangsa, Mohd Sahabuddin Md Nor, 32, berkata, ketukan pintu yang kuat oleh penduduk kampung berjaya menyelamatkan nyawanya bersama isteri dan empat anak.

Ketika kejadian katanya, mereka tidur di tingkat bawah manakala dua lagi anaknya yang berusia 9 dan 8 tahun tidur di tingkat atas.

“Saya segera menuju ke tingkat atas untuk menyelamatkan mereka sambil menjerit memanggil isteri agar selamatkan dua lagi anak yang lain.

“Namun saya terkejut kerana isteri hanya memangku anak bongsu yang berusia 5 bulan,” katanya.

Mohd Sahabuddin cuba merempuh masuk semula ke dalam rumah, namun dihalang kerana orang ramai sempat menyelamatkan anak ketiganya sebelum api marak di bahagian ruang tamu.

Seorang lagi mangsa, Mohd Zakia Hamat, 31, berkata, mereka baru sahaja masuk tidur namun tersedar kepada bunyi bising dari luar rumah.

“Kami tidak sempat menyelamatkan barang berharga, namun bersyukur ibu bapa dan dua lagi adik saya terselamat.

“Mereka masih lagi dalam keadaan terkejut dan tidak menyangka rumah yang diduduki sejak 1970-an hangus 100 peratus,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Nashuha Fahd Ahmad Mijar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.28 pagi.

“Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor dikerah ke tempat kejadian menggunakan empat jentera.

“Setibanya di tempat kejadian, kita dapati dua rumah terbakar hampir keseluruhan namun api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah ketiga. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Pesawat ke Hong Kong ditukar


Kuala Lumpur: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) terpaksa menukar pesawat untuk penerbangan ke Hong Kong sejurus sebelum berlepas pagi semalam akibat isu teknikal.

Disebabkan isu itu, penumpang dipindahkan dari Boeing 777-200ER ke Boeing 737-800 yang berlepas pada jam 9.34 pagi.


MAS dalam kenyataan semalam berkata, pesawat Boeing 777-200ER itu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 9.15 pagi dan tiba di Hong Kong pada 1 tengah hari sebelum penumpang terpaksa dipindahkan ke pesawat lain.



“Keselesaan penumpang menjadi keutamaan kami, jadi penukaran pesawat dilakukan untuk kerja baikpulih serta mengelakkan kelewatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

Umpil lantai bilik tidur


Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang tukang rumah yang menceroboh rumah bapa saudaranya didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Majistret Nik Habri Muhamad mengarahkan tertuduh, Wan Azman Wan Mohd Nor, 32, dipenjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menceroboh rumah Wan Abdul Majid Wan Ibrahim, 46, di Kampung Kubang Tumam, Jalan Pengkalan Chepa di sini, pada jam 9 malam, 22 Mac 2014.



Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, mangsa yang sedang menonton televisyen di ruang tamu, terdengar lantai bilik tidurnya diumpil lalu menghubungi seorang anak saudaranya untuk membantunya. Tertuduh berjaya ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Md Zukri memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

Maut kereta hilang kawalan


Raub: Seorang lelaki Indonesia terbunuh selepas kereta Proton Wira dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, di Kilometer 359, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bahru, dekat sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam jam 11 pagi itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Andik, 41, dari Taman Anggerik, dekat Bentong, meninggal dunia di tempat kejadian akibat dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala.


Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah Bentong dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.



Menurutnya, akibat pertembungan itu, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.


Beliau berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Raub mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.


Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raub (HR) untuk bedah siasat dan dituntut oleh keluarganya, petang kelmarin. “Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu yang berasal dari Dong, dekat sini, tidak mengalami kecederaan dan sudah membuat laporan di Balai Polis Trafik Raub, kelmarin.

“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

‘Tunggu sampai habis usia...’


Hulu Selangor: “Usia rumah yang kami semua tunggu kini sudah memasuki 14 tahun, tapi tak ada pihak yang nak tolong selesaikan, malah ada di antara pembeli yang sudah meninggal dunia dan tidak merasa langsung tinggal di rumah baru,” demikian luahan kecewa Jayaseelan Anthony, 49, salah seorang pembeli rumah Projek Pembesaran Kampung Koskan (PPKK) Sungai Choh, di sini.
Katanya, pelbagai pihak sudah ditemui bagi membantu menyelesaikan projek itu sejak pemaju bertanggungjawab disahkan muflis pada 2012, namun sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Menurutnya, projek berkenaan diluluskan Kerajaan Negeri Selangor pada 2000 dan rata-rata pembeli masih menanggung ansuran bank, malah ada pembeli yang sudah membayar penuh harga rumah itu.
“Sampai bila masalah ini perlu berlarutan, kami sudah berjumpa Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Pejabat Tanah, Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, tetapi tiada maklumat tepat kepada kami, semua masih berdolak-dalih, sampai bila,” katanya ketika ditemui di tapak projek berkenaan, semalam.

Difahamkan projek yang membabitkan pembinaan 41 unit banglo setingkat bernilai RM97,500 itu sepatutnya siap pada 2003, namun kerja asas yang dilakukan pada tahun sama sehingga 2008 hanya 39 unit dapat dibina pada kadar 85 peratus.

Jayaseelan berkata, masalah rumah itu juga pernah dirujuk kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) pada 2012, tetapi tiada tindakan diambil sehingga kini.
Foto
PEMBELI melawat kawasan perumahan mereka yang tidak siap.
Seorang lagi pembeli, K Pathmanathan, 63, berkata Kerajaan Selangor diharap dapat mengambil alih semula projek terbabit supaya semua pembeli tidak terus teraniaya.

“Penyelesaian terbaik adalah gantikan dengan pemaju lain, pembeli sedia berbincang berkenaan beberapa penambahan kos jika diperlukan tetapi kami mohon tolong siapkan rumah kami,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

Pencuri tertinggal anak


Riyadh: Seorang wanita mencuri pakaian di kedai di sebuah pusat beli-belah dan melarikan diri sebelum menyedari dia tertinggal anaknya berusia tiga tahun di kedai berkenaan.

Apabila dia kembali untuk mengambil anaknya, pekerja wanita di kedai itu menahannya dan menutup pintu kedai berkenaan.

“Wanita itu masuk ke kedai berkenaan semula.



Pekerja kedai itu menahannya dan menutup pintu kedai sebelum memukulnya.

“Orang ramai di luar cuba membantu wanita itu tetapi pekerja terbabit enggan membuka pintu hingga polis tiba.

Dia menyerahkan wanita berkenaan bersama-sama anaknya kepada polis,” kata seorang saksi kejadian.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

Pengantin baru bunuh suami ketika bulan madu


Kaherah: Seorang pengantin perempuan menggantung suaminya hingga mati dengan bantuan adiknya ketika mereka berbulan madu.

Wanita berkenaan bertindak demikian atas alasan dia tidak mencintai lelaki itu.

Dia memberitahu polis, dia dipaksa berkahwin dengan mangsa dan merancang untuk membunuhnya kerana tidak sanggup hidup bersama dengannya.

Media tempatan berkata, polis menahan Bashayer, 23 dan adiknya berumur 22 tahun atas tuduhan membunuh di rumah mereka di sebuah kampung di Al-Sharqiya, wilayah timur Mesir.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

90 mangsa masih hilang


Darrington: Jumlah mereka yang dilaporkan hilang selepas banjir lumpur melanda puluhan rumah berhampiran Washington turun kepada 90 orang berikutan lebih banyak mayat ditemui.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat mengakui ada mangsa yang mungkin tidak akan ditemui.


Jumlah kematian dilaporkan masih kekal 24 orang termasuk lapan yang mayatnya belum ditemui selepas bencana yang melanda bandar kecil Oso, Sabtu lalu menyebabkan sebuah bukit runtuh sebelum memenuhi jalan dan menghempap kawasan perumahan berhampiran.

Menurut pegawai, lebih banyak mayat ditemui namun enggan mengulas jumlahnya sehingga disahkan pemeriksa perubatan.


Pengarah Pengurusan Kecemasan Daerah Snohomish John Pennington berkata, jumlah mangsa hilang kini hanya 90 berbanding 176 yang dijangka sebelum ini, namun nasib kira-kira 35 orang masih tidak diketahui kerana tidak dapat disenaraikan hilang secara rasmi.


Lapan termasuk seorang bayi berusia 22 minggu dan ibunya antara yang terselamat namun cedera dan masih mendapat rawatan di hospital. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

Gunung Merapi muntah abu, kerikil


Yogyakarta: Gunung Merapi kembali mengeluarkan asap berserta abu, pasir dan kerikil pada jam 1.12 hingga 1.16 petang (waktu tempatan).

“Ketinggian letusan itu tidak dapat dipastikan kerana diselubungi kabus dan asap,” kata ketua Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Teknologi dan Bencana Geologi Yogyakarta, Subandriyo.

Akibat kejadian itu, kawasan dalam jarak tujuh kilometer dari gunung berkenaan dihujani bahan volkanik.

Sebelum letusan berlaku, gegaran dapat didengari di kawasan sekitar.

“Tiada tanda awal jelas dapat dikesan sehinggalah letusan berlaku selama empat minit sebelum keadaan kembali normal,” kata Subandriyo.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

DPR paling banyak rasuah


Jakarta: Pengundi muda melihat institusi Parlimen seperti Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perundangan Rakyat Daerah (DPRD) sebagai badan paling banyak rasuah di Indonesia kerana majoriti anggotanya terbabit dalam kegiatan itu.

Dalam kaji selidik terbaru yang dijalankan oleh Transparency International negara itu (TII), pengundi muda memberikan markah 4.33 daripada lima kepada kedua-dua institusi itu.


Instituti lain yang dianggap sering terbabit dalam amalan itu, termasuk parti politik yang diberi 3.88, polis, 3.84, kehakiman (3.6) dan kakitangan awam (3.05).

“Pada pendapat responden, polis masih dianggap institusi ketiga paling rasuah.


“Yang pertama dan kedua ialah DPR/DPRD dan parti politik. Ini amat membimbangkan,” kata ketua jabatan remaja TII Lia Toriana seperti yang dipetik oleh kompas.com.


Menurut Lia, kadar tinggi itu tidak boleh diasingkan dengan ketidakkeberkesanan usaha memerangi rasuah oleh pihak kerajaan.

Hampir 45 peratus pengundi muda berkata, usaha memerangi rasuah oleh kerajaan tidak berjaya seperti yang diharapkan.

Mereka juga berkata, rasuah masih tidak dapat diasingkan daripada kehidupan harian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

Bunuh harimau untuk hibur si kaya


Beijing: Lebih dari 10 ekor harimau dibunuh dalam satu persembahan bagi menghiburkan pegawai rasmi dan peniaga kaya di China.

Polis Zhanjiang merampas bangkai harimau yang baru dibunuh itu serta beberapa produk lain yang berasaskan harimau dalam serbuan baru-baru ini, lapor akhbar Nanfang Daily.

Pegawai tempatan dan ahli perniagaan berjaya berkumpul bagi menyaksikan haiwan itu dibunuh sebagai simbolik status sosial mereka.

Rakaman video perbuatan tidak berperikemanusiaan itu yang dimuat naik dua tahun lalu menunjukkan, mulut harimau yang dikurung dalam kandang besi itu dirodok dengan rod elektrik selama lebih 10 saat sehingga mati.


Seorang penyembelih berpengalaman dibayar untuk melapah daging haiwan berkenaan bagi mendapatkan bahagian penting.


Tulang harimau biasanya dijual pada harga 14,000 yuan (RM7,421) sekilo manakala daging pula mencecah RM530 sekilo.

Menurut polis, penyembelih berkenaan yang mati selepas terjun kerana mahu melarikan diri ketika serbuan itu sudah membunuh lebih dari 10 ekor binatang.

“Harimau itu mungkin disuntik pelali sewaktu di bawa ke sini, tetapi pembeli akan memeriksa dan memastikan harimau itu hidup sebelum dibunuh,” kata sumber yang tidak didedahkan identitinya, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

Pemburu haram ditembak mati


Assam: Dua pemburu haram di India dibunuh selepas menyebabkan kematian seekor badak sumbu dari spesis terancam secara kejam di pusat lindungan hidupan liar di sini.

Badak itu ditemui mati dengan sumbunya dirobek dan bangkainya dibuang dari pusat lindungan hidupan liar Pobitora.



Pegawai perhutanan kemudiannya menembak mati kedua-dua pemburu haram itu selepas kejadian tembak menembak di lokasi pembunuhan haiwan berkenaan.

Lapan pemburu haram dikatakan memasuki pusat itu untuk memburu badak kelmarin.

Pengawal keselamatan terdengar bunyi tembakan kira-kira jam 1 pagi dan tiba di tempat kejadian untuk menahan pemburu itu.

Haiwan itu tidak berjaya diselamatkan.

Pusat lindungan itu menempatkan 93 daripada 3,000 ekor badak sumbu liar India yang menjadikan kawasan itu habitatnya.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/28

Tragedi MH370: Objek 1 hingga 23 meter

Tragedi MH370: Objek 1 hingga 23 meter
Lokasi penemuan objek kira-kira 2,557 kilometer barat daya Perth, Australia yang dianalisis MRSA. 
Kuala Lumpur: Penemuan 122 objek yang dirakam oleh satelit di selatan Lautan Hindi yang diumumkan semalam, mencerahkan peluang untuk menemui pesawat MH370 yang hilang sejak 19 hari lalu.

Objek berukuran satu hingga 23 meter itu dirakam pada Ahad lalu oleh Airbus Defence and Space, yang berpangkalan di Perancis dan imejnya dihantar kepada Agensi Remote Sensing Malaysia (MRSA), kelmarin.

Analisis imej objek


Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata MRSA menganalisis imej objek berwarna cerah yang menandakan ia bahan pejal dan berkemungkinan ada kaitan dengan pesawat MAS yang hilang.

Beliau berkata, ia dikesan di kawasan lautan berkeluasan 400 kilometer persegi, kira-kira 2,557 kilometer barat daya Perth, Australia.

Keputusan analisis MRSA diserahkan kepada Pusat Koordinasi Menyelamat Australia semalam (kelmarin), tetapi perlu saya tekankan bahawa belum dapat dipastikan semua objek itu berkaitan dengan pesawat MH370.

Bagaimanapun, tidak dapat disangkal lagi ia memberi petunjuk baru untuk kita, katanya dalam sidang media.
Beliau juga berkata, misi mencari dan menyelamat kini mempunyai petunjuk utama daripada empat satelit berbeza yang boleh ditakrifkan sebagai serpihan MH370. Satelit berkenaan ialah Australia, China dan Perancis.

Ini akan membantu kita mengecilkan saiz kawasan pencarian dan seterusnya menjumpai lebih banyak serpihan, katanya.

Hishammuddin juga mengakui semua petunjuk baru itu memberi harapan kepada misi berkenaan, termasuk keadaan cuaca yang semakin baik.

Operasi diteruskan, apatah lagi banyak petunjuk baru diterima kebelakangan ini dan jika semua objek dikesan sahih berasal dari MH370, operasi akan diteruskan ke fasa seterusnya iaitu pencarian di laut dalam, katanya.

Pegawai polis didakwa rasuah RM10,000


SHAH ALAM 27 Mac - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperoleh rasuah RM10,000 sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki warga Bangladesh yang ditahan Jabatan Imigresen, dua minggu lalu.
Raja Mohamad Izuddin Raja Kamarulzaman, 30, yang bertugas sebagai pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, didakwa menerima suapan wang itu daripada Md. Harun Ur Rashid, 42, warga Bangladesh yang mempunyai taraf penduduk tetap di negara ini, bertujuan melepaskan rakannya, Nazrul Islam, 38, daripada tindakan pengusiran oleh jabatan terbabit.
Tertuduh yang telah lapan tahun berkhidmat sebagai anggota polis didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat 2, Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang, dekat sini, kira-kira pukul 8.45 malam, 14 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lokman Kassim yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Peguam, Ridha Abdah Subri yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan RM5,000 dengan alasan anak guamnya menghadapi kekangan kewangan selain menanggung ibu bapa yang uzur dan tiga adik yang masih bersekolah.
Hakim Slamat Yahya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April ini untuk sebutan semula kes.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140328/ma_03/Pegawai-polis-didakwa-rasuah-RM10000#ixzz2xCcwg2j9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bunuh: Lelaki Myanmar diperintah bela diri


KUANTAN 27 Mac - Seorang warga Myanmar diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Kasing, Pianggu, Rompin dekat sini, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian hari ini setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ba Than, 32, di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 6 Mei ini untuk tertuduh memberi keterangan bela diri.
Dalam penghakimannya, Hakim Ab. Karim berkata, kecederaan yang dialami mangsa, Soe Myint, 28, telah menyebabkan kematiannya.
''Saksi juga dengan jelas sekali melihat tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas mengejar mangsa sebelum memukul serta menetaknya beberapa kali.
''Dengan jumlah kecederaan pada badan mangsa menunjukkan tertuduh memang ada niat bersama untuk membunuh mangsa,'' kata beliau.
Than bersama-sama dua orang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat bersama membunuh Myint di jalan ladang kelapa sawit Kampung Kasing, Pianggu, Rompin antara pukul 2 dan 2.10 petang, 20 November 2011.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Peguam Muhammad Irfan Abdullah hadir bagi pihak peguam tertuduh, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang tidak hadir pada prosiding hari ini manakala pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad.
Akhbar sebelum ini melaporkan, lelaki warganegara asing itu dipercayai dibunuh di sebuah jalan tanah merah berdekatan Kampung Kasing, Pianggu, Rompin selepas mangsa dan suspek bergelut di atas jalan tersebut.
Sekumpulan suspek dari sebuah rumah yang dihuni mereka dipercayai mengejar mangsa sehingga ke jalan tanah merah sebelum bertindak menetak tubuh badan mangsa dengan menggunakan senjata tajam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140328/ma_02/Bunuh-Lelaki-Myanmar-diperintah-bela-diri#ixzz2xCcpAGNQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Didakwa hina agama Islam



KASSIM Ahmad (tengah) yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RIDUAN RIZAL AHMAD
PUTRAJAYA 27 Mac - Bekas aktivis politik dan sosial, Dr. Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas dua tuduhan iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dalam sebuah seminar pada Februari lalu.
Kassim, 81, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang didakwa dilakukan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian 'Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang'.
Seminar tersebut diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, No. 1, Jalan PBH, Presint 8 di sini antara pukul 9 pagi dan 5 petang, 16 Februari lalu.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghina agama Islam ketika membentangkan satu skrip ucapan yang bertajuk 'Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Hala Tuju Malaysia Untuk 30 tahun Akan Datang' dengan mengatakan Nabi Muhammad tidak perlu dimuliakan dan rambut wanita bukan aurat.
Pada masa yang sama, Kassim turut didakwa mengingkari pihak berkuasa agama dengan memetik dua buku tulisannya yang telah diharamkan oleh Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu 'Hadis Suatu Penilaian Semula' dan 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik'.
Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 7(B) dan pertuduhan kedua, Seksyen 9, masing-masing di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ibrahim Deris yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan sekiranya dibenarkan, beliau meminta mahkamah mengenakan wang jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan.
Kassim yang tidak diwakili peguam syarie pula memohon agar dibenarkan diikat jamin dengan jumlah yang rendah memandangkan dia menghadapi masalah kesihatan, tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada bantuan kewangan tiga orang anak.
Hakim Syarie, Umamuddin Yunus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu sebutan kes pada 7 April ini.
Tertuduh dibebaskan setelah menjelaskan wang jaminan tersebut.
Kassim yang mencetuskan kontroversi berhubung kenyataannya berunsur anti hadis baru-baru ini, ditahan penguat kuasa Jawi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di rumahnya, di Taman Kulim Perdana, Kelab Golf Kulim, Kedah semalam.
Polemik mengenainya tercetus selepas beliau dalam seminar itu mengeluarkan kenyataan mendakwa Islam di negara ini diseleweng selain mengkritik sistem ulama Islam yang disamakan dengan 'kasta paderi.'
Ekoran kenyataan berkenaan, pelbagai pihak mengecam Kassim sehingga menyebabkan Jakim dan Jawi menahannya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140328/ma_01/Didakwa-hina-agama-Islam#ixzz2xCcU1Gpu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita warga emas lumpuh maut dalam kebakaran di rumah


MOHAMMAD Mat Yaakob menunjukkan rumah arwah ibunya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.
PASIR MAS 27 Mac - Seorang wanita warga emas yang lumpuh, meninggal dunia dalam keadaan rentung selepas rumahnya di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang dekat sini musnah terbakar malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, mangsa Maykalsom Daud, 71, dikatakan sedang tidur seorang diri di dalam rumah tersebut.
Sebelum kebakaran, anak mangsa yang tinggal bersamanya, Mohammad Abdul Halim Mat Yaakob, 35, keluar bersama isterinya membawa anak mereka yang demam ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Menurut seorang lagi anak mangsa, Mohammad Mat Yaakob, 56, kejadian tersebut disedari selepas dia terdengar jeritan anaknya ketika sedang makan di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan kediaman ibunya.
"Saya mendengar anak lelaki saya, Mohammad Irman Hakimi menjerit memanggil isteri saya dan memaklumkan rumah neneknya terbakar.
"Saya terus berlari keluar dan mendapati api sudah marak membakar rumah emak, saya cuba memberanikan diri meredah api untuk menyelamatkan emak namun gagal kerana api marak dengan cepat," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mohammad memberitahu, ketika Abdul Halim keluar membawa anak mereka ke klinik, dua anak saudaranya masing-masing berusia antara 16 hingga 17 tahun telah ditugaskan untuk menjaga arwah ibunya itu.
"Mereka berdua keluar ke rumah jiran yang terletak kira-kira 500 meter selepas emak tidur," katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Sangkut, Repek dekat sini kira-kira pukul 3.30 pagi.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 9.21 malam.
Katanya, seramai empat anggota bersama sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.
"Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," tambahnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140328/je_05/Wanita-warga-emas-lumpuh-maut-dalam-kebakaran-di-rumah#ixzz2xCbwulj2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat tanpa kepala dipercayai remaja hilang ketika memancing


KUANTAN 27 Mac - Mayat tanpa kepala yang dijumpai oleh dua nelayan di Pantai Batu 6, Janglau, Rompin dekat sini semalam dipercayai seorang remaja lelaki yang hilang pada 16 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Supritendan Johari Yahaya berkata, mangsa, Muhd. Ikhmal Danial Mohamad, 17, beralamat di Taman Inderapura di sini dilaporkan hilang semasa memancing bersama bapanya, Mohamad Isa pada 16 Mac lalu.
Menurut beliau, berdasarkan laporan polis yang dibuat bapanya, kejadian berlaku ketika mereka keluar menangkap ikan bersama tiga lagi rakan di perairan Chukai, Kemaman.
"Ketika sedang memukat ikan di kawasan perairan itu, mangsa yang berada di dalam bot tiba-tiba terjatuh ke dalam laut.
"Bapanya cuba menyelamatkan mangsa namun gagal lalu bergegas membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Johari, bapa mangsa telah membuat pengecaman iaitu berdasarkan baju yang dipakai oleh mangsa selain tulisan namanya pada belakang baju yang ditulis dengan pen.
"Polis juga sudah memaklumkan kepada keluarganya dan mayat akan dituntut pada hari ini bagi urusan pengkebumian," katanya.
Semalam, dua nelayan yang sedang asyik mengutip botol di pantai tersebut kira-kira pukul 8 pagi terkejut dengan penemuan satu mayat tanpa kepala yang terdampar di pantai.
Mayat tanpa kepala berkenaan masih berpakaian baju T dan seluar pendek serta terdapat satu lubang di bahagian dada.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140328/je_04/Mayat-tanpa-kepala-dipercayai-remaja-hilang-ketika-memancing#ixzz2xCboVw5D
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat reput ditemui di ladang sawit


BALING 27 Mac - Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui dalam keadaan reput di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Kejai di sini petang kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Baling, Deputi Supritendan Wari Kiew berkata, mayat yang masih berpakaian lengkap dan sudah berulat itu ditemui seorang pekerja ladang kira-kira pukul 7.30 petang semalam.
"Siasatan awal polis tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 40-an.
"Kami tidak menolak kemungkinan mangsa mati akibat unsur-unsur jenayah namun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menanti hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar," katanya.
Wari menambah, pihaknya percaya mangsa telah mati sejak lebih seminggu lalu.
"Namun segalanya masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140328/je_03/Mayat-reput-ditemui-di-ladang-sawit#ixzz2xCbdCIAE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 lelaki cedera disimbah asid


KESAN melecur pada dahi dan bahu Tuan Zulashraf Tuan Yaakob selepas terkena percikan asid yang disimbah seorang lelaki di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, Kelantan, malam semalam.
PASIR PUTEH 27 Mac - Seorang lelaki melecur pada bahagian muka serta badan akibat disimbah asid oleh rakannya ketika membeli burger di sebuah gerai di Kampung Banggol Pak Esah, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam, mangsa, Emi Azman, 22, dikatakan pergi ke gerai yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya itu bersama jirannya, Tuan Zulashraf Tuan Yaakob, 14, untuk membeli burger.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, ketika berada di atas motosikal di depan gerai itu, seorang lelaki yang dikenali mereka datang dengan sebuah motosikal dan menyimbah asid kepada mangsa.
Beliau berkata, rakan mangsa, Tuan Zulashraf, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa yang membonceng motosikal itu turut mengalami kecederaan ringan akibat terkena percikan asid itu.
"Emi mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) di sini sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala Tuan Zulashraf hanya dirawat sebagai pesakit luar.
"Suspek datang seorang diri dengan membawa satu botol kaca warna gelap dan menyimbah cecair disyaki cuka getah ke arah mangsa. Percikan itu turut terkena pelajar yang berada di belakangnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Kamal berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu bermotifkan dendam yang berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.
Katanya, polis sudah mengenal pasti identiti suspek dan gerakan memburunya sedang dijalankan bagi menyelesaikan kes yang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Tuan Zulashraf yang ditemui di sini berkata, pada mulanya, dia menyangka suspek ingin meminum air yang terdapat dalam botol tersebut ketika menghampiri mereka.
"Dia (suspek) seperti sedang membuka tudung botol minuman dengan gigi dan terus menyimbah cecair dari botol berkenaan ke arah muka dan badan Emi.
"Saya hanya menyedari apabila kulit dahi dan baju pada bahagian bahu berasap dan betis saya melecur dengan tiba-tiba. Kami terus melarikan diri tetapi dia mengejar kami," katanya.
Kata Tuan Zulashraf, dia melihat Emi menggelupur di atas jalan dengan mukanya yang melecur serta urat tangannya timbul selain baju pada badannya berasap.
"Kami terpaksa menggunakan air buangan di dapur penduduk setempat sebelum diberi bantuan membersihkan kesan asid menggunakan air bersih," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140328/je_02/2-lelaki-cedera-disimbah-asid#ixzz2xCbNXsx8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami isteri maut ditetak



KEADAAN ruang tamu rumah Muniandy dan Kaliammal yang ditemui mati dibunuh di Kampung Cina, Sitiawan, Perak semalam.


SITIAWAN – Sepasang suami isteri ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah selepas menjadi mangsa tetakan senjata tajam di beberapa bahagian badan di rumah sewanya di Kampung Cina di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.50 pagi itu, mangsa, M. Muniandy, 30, dan isteri, A. Kaliammal, 37, ditemui terbaring di ruang tamu rumah tersebut selepas salah seorang jiran mereka mendengar berlaku pergaduhan di rumah tersebut.
Anak angkat lelaki mangsa berusia dua tahun dua bulan yang sedang tidur di dalam rumah berkenaan bagaimanapun tidak diapa-apakan oleh suspek.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2xCZLR0uk 
Hakcipta terpelihara 

Serpihan MH370 belum diperoleh



SEORANG anggota tentera udara Australia, Ron Day melihat keluar tingkap pesawat peninjau AP-3C Orion ketika menyertai operasi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi.


PERTH - Lebih 100 objek yang berpotensi serpihan pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) dikesan oleh beberapa satelit di selatan Lautan Hindi tetapi sehingga kini masih belum ada sebuah objek yang dapat diambil oleh pasukan pencari dan penyelamat.
Perkembangan tersebut membuatkan waris 239 penumpang dan kru pesawat hilang itu terpaksa menunggu sehari lagi dalam keadaan sedih.
"Sehingga satu objek serpihan diambil dan dianalisis bagi mengenal pasti sama ada ia berasal dari MH370, sukar untuk kami mempercayai pesawat itu terhempas," kata seorang lelaki, Steve Wang di Beijing.
Ibunya yang berusia 57 tahun berada dalam penerbangan tersebut.
"Setakat ini, apa yang dikemukakan hanya petunjuk, tanpa objek serpihan, ia tidak berguna," tambahnya.
Keluhan waris penumpang warga China itu diluahkan selepas sebuah satelit Thailand menemui sekitar 300 objek sepanjang antara dua meter (m) hingga 16m kira-kira 2,700 kilometer ke barat daya Perth.
"Imej yang dirakam oleh satelit Thaichote itu mengambil masa dua hari untuk diproses dan diberikan kepada pihak berkuasa Malaysia kelmarin," kata pengarah teknologi angkasa lepas Thailand, Anond Snidvongs.
Semua objek yang ditemui itu berada sekitar 200 kilometer ke barat daya kawasan sebuah satelit Perancis mengesan sebanyak 122 objek pada Ahad lalu.
Setakat ini, masih tidak jelas sama ada kedua-dua satelit tersebut mengesan objek yang sama.
Pengumuman mengenai penemuan tersebut dibuat selepas Pihak Berkuasa Maritim Australia (AMSA) menyatakan, pihaknya terpaksa memanggil pulang semua 11 pesawat yang dijadual menyertai operasi mencari MH370 semalam.
Keputusan tersebut dibuat berikutan hujan lebat, angin kencang dan awan rendah yang melanda semalam.
Namun, terdapat lima buah kapal yang meneruskan operasi untuk mengesan pesawat tersebut.
Sebelum operasi mencari ditanguhkan, sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat dan dua kapal terbang Jepun tiba di lokasi pencarian sekitar 2,500km ke barat daya Perth.
"Mereka mencari selama dua jam tetapi gagal menemui sebarang objek," kata jurucakap AMSA, Sam Cardwell.
Ketika ini sebuah kapal milik tentera laut Australia, HMAS Success berada di kawasan carian bersama empat lagi kapal tentera China iaitu, Xue Long, Kuulunshan, Haikon dan Qiandaohu.
Sehingga kini enam buah negara iaitu Australia, New Zealand, AS, Jepun, China dan Korea Selatan menyertai misi mencari tersebut. - Agens


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2xCY8GHgD 
Hakcipta terpelihara