Search This Blog

Wednesday, March 26, 2014

Peniaga pasar tangkap pencuri

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
26 Mac 2014Peniaga pasar tangkap pencuri
Hafiz menunjukkan tempat suspek diberkas sekumpulan peniaga Pasar Awam Maharani. MUAR - Misteri kecurian barang dalam kenderaan yang diletakkan di pasar awam, di sini, terjawab apabila seorang lelaki berjaya ditangkap sekumpulan peniaga, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, seorang lelaki berusia 30an diberkas  ketika dalam kereta milik seorang pengunjung pasar berkenaan.

Peniaga buah-buahan, Hafiz Daud, 21, memberitahu, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar kekecohan di ruang parkir berdekatan tempat menunggu bas.

“Ketika itu, saya sibuk melayan pelanggan sebelum terlihat kira-kira 10 peniaga sedang mengerumuni sebuah kereta dan memarahi seseorang.

“Selepas pelanggan beredar, saya ke tempat itu untuk mengetahui perkara sebenar dan mendapati seorang lelaki duduk di bahagian pemandu kereta Proton Gen 2,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, ada pergelutan berlaku apabila suspek bertindak agresif cuba melarikan diri sebaik disergah peniaga ketika sedang leka menyelongkar papan pemuka kereta berkenaan.

Hafiz berkata, peniaga pasar awam sudah lama merancang menangkap suspek sejak tiga bulan lalu, memandangkan sudah beberapa kali berlaku kecurian barang dalam kenderaan dan barang basah yang ditinggalkan  dalam raga motosikal.

“Tak sangka hari ini (semalam) dapat tangkap suspek selepas mangsa melihat kelibat seorang lelaki meninjau dan menghampiri keretanya dalam keadaan mencurigakan.

“Mangsa mengekori lelaki itu, tetapi suspek berpura-pura membuat panggilan telefon untuk mengalihkan perhatian apabila menyedari gerak-gerinya diperhatikan, sehingga dia diberkas berada dalam kereta,” katanya.

Dia berkata, seorang peniaga segera menghubungi polis yang tiba tidak lama kemudian.

Jelasnya, polis  turut menjumpai banyak kunci kereta pelbagai jenis dan dompet dalam poket seluar suspek sebelum dibawa ke balai.

“Sebelum ini, banyak pelanggan merungut apabila radio, cermin mata gelap, syiling dan alat sistem geografi global (GPS) dalam kereta mereka hilang setiap kali berkunjung ke pasar ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob mengesahkan menerima laporan kejadian dan suspek direman untuk siasatan.

Satelit kesan lebih 120 objek berpotensi

MH370MH370MH370
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Satelit Airbus dari Perancis telah mengesan sebanyak 122 buah objek yang mungkin mempunyai hubung kait dengan MH370 di lokasi carian kira-kira 2,557 kilometer dari Perth, Austalia.

Dalam sidang media yang diadakan hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakaman imej itu turut didedahkan oleh kerajaan Perancis, China dan Australia.

"Rakaman imej tersebut dirakamkan oleh syarikat satelit Airbus Defence and Space di Perancis pada 23 Mac lalu,

"Ada sesetengah objek berukuran 23 meter panjang dan ada di antaranya berwarna cerah," katanya.

Menurutnya, objek yang dikesan berada kira-kira 2,557 kilometer dari Perth.

"Data mengenai imej tersebut telah dihantar ke Malaysian Remote Sensing Agency (MRSA) untuk dianalisis dan keputusannya akan dikeluarkan secepat mungkin," katanya.

Jelasnya, objek tersebut mungkin ada  kaitan dengan MH370 namun ianya tidak dapat disahkan setakat ini.

"Pihak kami menerima empat petunjuk dari satelit yang berbeza dari Australia, China dan Perancis, ianya mungkin membolehkan pasukan penyiasat mengecilkan perimeter carian di lokasi terbabit," katanya lagi.

Hishammuddin menambah, Australia yang mengetuai usaha mencari itu di koridor selatan Lautan Hindi, telah membahagikan kawasan carian kepada dua sektor iaitu Timur dan Barat.

"Hari ini cuaca bertambah baik dan 12 pesawat akan terbang ke kawasan pencarian- enam di sektor Timur dan enam di Barat," kata Hishammuddin.
 
Beliau berkata di sektor Timur, pencarian akan dilakukan oleh sebuah pesawat P3
Orion Australia, tiga pesawat awam Australia, sebuah Ilyushin IL-76 China, dan sebuah P3 Orion New Zealand.
 
Di sektor Barat, pencarian akan dilakukan oleh sebuah P8 Poseidon AS, sebuah P3 Orion Korea Selatan, sebuah P3 Orion Jepun, dua P3 Orion Australia dan sebuah pesawat awam.
 
"Semalam 'HMAS Success' (Australia) telah diatur semula ke selatan kawasan pencarian kerana cuaca buruk.  Hari ini, kapal itu kembali dan akan membantu pencarian di sektor Barat.
   
"Sementara itu, kapal China 'Xue Long' telah dihantar ke sektor Timur," katanya.

Hishammuddin berkata, sebuah pesawat Gulfstream Pengawal Pantai Jepun berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang ke Perth pagi ini untuk menyertai operasi mencari itu.
  
Mengenai pencarian di koridor utara dan di bahagain utara koridor selatan, yang telah dihentikan, beliau berkata Kementerian Luar telah menghantar nota diplomatik kepada semua negara berkaitan untuk memberitahu mereka secara rasmi mengenai perubahan itu.
  
"Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada pihak berkuasa Australia dan terutamanya kepada Perdana Menteri (Australia) Tony Abbott, kerana memberikan sumbangan yang luar biasa dalam operasi mencari ini," katanya.
    
"Saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada rakan-rakan antarabangsa kami kerana bantuan dan sokongan berterusan mereka.  Pencarian MH370, dan penyiasatan ke atas apa yang berlaku semasa penerbangan, kini adalah satu usaha benar-benar antarabangsa," kata beliau.
   
Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada dikesan radar selepas kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Penggoreng keropok tersembam dalam kuali

ROSDALILAH ZAHARI
 Penggoreng keropok tersembam dalam kuali
Mangsa dibawa keluar daripada rumah selepas maut melecur di Jalan Ampang Baru 6, di Ipoh, petang tadi. 
26 Mac 2014
IPOH - Nasib seorang penggoreng keropok ikan berakhir tragedi apabila maut selepas melecur seluruh badan dalam kejadian yang berlaku di Jalan Ampang Baru 6, di sini, petang tadi.

Mangsa, Lee Oi Lin, 66, dipercayai sedang menggoreng keropok ikan di dapur rumahnya sebelum tertiarap dengan muka tersembam di dalam kuali.

Difahamkan wanita warga emas terbabit ada mengambil ubat darah tinggi dan sejak dua, tiga hari kebelakangan ini mangsa kurang sihat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 6.34 petang dan jentera pertama tiba sembilan minit kemudian.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian mereka menemui mangsa sudah melecur 100 peratus di bahagian badan dan tiada kesan api ditemui
berhampiran mangsa.

"Ketika tiba di tempat kejadian mangsa didapati sudah meninggal dunia berhampiran dapur memasak dengan keadaan tertiarap.

"Difahamkan, jiran mangsa cuba menyelamatkan mangsa dengan menjirus air takungan hujan yang berada berhampiran rumah.

"Siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat melecur di seluruh badan namun punca sebenar kebakaran masih disiasat.

"Sewaktu kejadian, mangsa hanya tinggal berseorangan di rumah," jelasnya.
Katanya, sebanyak empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dengan kekuatan anggota serta pegawai seramai 15 orang dikejarkan di tempat kejadian.

"Mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan punca kejadian masih disiasat," katanya.

Cari botol jumpa mayat tanpa kepala

 Cari botol jumpa mayat tanpa kepala
ROMPIN – Dua sahabat yang keduanya bekerja sebagai nelayan yang sedang asyik mengutip botol di Pantai Batu 6, Janglau, di sini sekitar jam 8 pagi tadi terkejut dengan penemuan satu mayat tanpa kepala terdampar di pantai.

Penduduk Sungai Meranti, Mohd Sharif Kupa, 47, berkata, beliau terkejut kerana tidak pernah lagi menemui mayat dalam keadaan sedemikian.

“Kami berdua memang hampir setiap pagi akan ke pantai untuk mencari botol yang dihanyutkan ombak. Tidak sangka pula pagi ini kami boleh terjumpa mayat yang tiada kepala.

“Ketika itu kami dalam perjalanan dengan menaiki motosikal untuk mengambil satu tong yang terdampar tidak jauh dengan lokasi mayat. Dari jauh sudah nampak dan memang syak itu adalah mayat, bila kami hampiri memang sah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau bersama dengan rakannya itu, Dolah Mat, 48, tidak membuang masa dan terus menghubungi pihak polis untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya yang dihubungi mengesahkan kejadian.

“Mayat tanpa kepala berkenaan masih berpakaian baju t-shirt dan seluar pendek serta umurnya kemungkinan dalam lingkungan 30-an. Terdapat satu lubang di bahagian dada.

“Mayat tersebut sudah mula reput dan bangsanya masih belum dapat disahkan. Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat,” katanya.

Johari turut meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga lelaki agar menghubungi Balai Polis Kuala Rompin di talian 09-4145222.

4 suspek bunuh rakan sekampung ditahan


2014/03/25 - 13:38:50 PM

JERANTUT: Empat lelaki diberkas polis malam tadi dipercayai terbabit dalam pergaduhan menyebabkan seorang rakan sekampung mereka terbunuh.

Mangsa, Mohd Sabri Yazid, 33, bekerja sendiri dan menetap di FELDA Padang Piol di sini disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh pada 7 malam tadi.


Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail, berkata selepas menerima laporan daripada adik mangsa polis bergegas ke rumah suspek dan manahan mereka kira-kira 9 malam tadi.

"Siasatan awal mendapati hanya seorang sahaja suspek, yang berusia 20 tahun, terlibat dalam pergaduhan itu sementara tiga lagi lelaki hanya ditahan bagi membantu siasatan.

"Polis juga percaya suspek yang positif dadah itu turut berada di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian," katanya kepada Bernama hari ini.

Azid berkata, sebelum kejadian itu kira-kira jam 3 pagi, mangsa bersama empat rakannya termasuk suspek ke Taman ICT di bandar ini dari rumah mereka dengan menaiki sebuah kereta.

Beliau berkata, tiba-tiba mangsa dan suspek bertekak dan bergaduh apabila mangsa meminta suspek membaiki keretanya yang mengalami kerosakan semasa dipinjam suspek.
"Suspek yang tidak berpuas hati dengan permintaan mangsa itu tiba-tiba menjadi agresif lalu menumbuk dan menendang mangsa di kepala dan badan.

"Mangsa dibelasah teruk sebelum terjatuh ke dalam longkang di situ menyebabkannya tidak sedarkan diri," katanya.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jerantut sebelum dibawa ke Hoshas dan disahkan meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan dalaman di kepalanya.

Bagaimanapun, katanya, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat yang dijangka siap petang ini.

"Semua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya.

- BERNAMA

Juruteknik mesin ATM mengaku tidak bersalah curi RM80,850


2014/03/25 - 17:21:21

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencuri RM80,850 daripada mesin ATM Maybank pada 7 Mac lalu.

Hamdan Abu Hussin, 27, yang bekerja dengan G4S Safeguard, didakwa melakukan perbuatan itu di ruang legar Bangunan JPN, Presint 2, Putrajaya pada 3.20 petang mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Hakim Norsharidah Awang membenarkan Hamdan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 April untuk sebutan kes.

Beliau turut mengenakan syarat tambahan iaitu Hamdan perlu melapor diri di Balai Polis Travers sebulan sekali, dan jika tertuduh mengganggu proses siasatan, jaminan akan ditarik balik.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin membantah sebarang jaminan kerana Hamdan, yang bekerja sebagai juruteknik sejak Mac 2010, memiliki pengetahuan dan kemahiran mengendali mesin ATM di seluruh Putrajaya.

Bagaimanapun, peguam Farhan Read memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3,000 atas alasan tertuduh tinggal bersama ibu bapanya, yang masing-masing bekerja sebagai tukang cuci dan pemandu teksi dengan pendapatan sekitar RM1,800 sebulan.

- BERNAMA

MH370: Tiga lagi objek dikesan - AMSA


2014/03/26 - 18:44:07

SYDNEY: Tiga lagi objek dikesan hari ini oleh pesawat misi mencari dan menyelamat (SAR) di selatan Lautan Hindi, kata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).

Satu objek berwarna biru dikesan pesawat P-3 Orion New Zealand manakala dua lagi menyerupai tali oleh pesawat awam yang menyertai misi SAR di kawasan seluas kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth.


Bagaimanapun, ketika objek berkenaan tidak ditemui semula ketika tinjauan ulangan dan tiada yang berkaitan MH370. - Reuters 

Pengurus syarikat maut kenderaan rempuh treler


2014/03/26 - 18:57:00 PM

KUANTAN: Seorang pengurus sebuah syarikat swasta maut selepas kereta Mitsubishi Lancer yang dipandunya melanggar belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 42.91 dekat Bentong, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata dalam nahas jam 2 pagi itu mangsa, Wong Chin Ming, 36, dari Batu Caves mati di tempat kejadian.


"Kemalangan berlaku semasa mangsa yang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur dipercayai mengantuk lalu hilang kawalan sebelum melanggar belakang treler muatan bijih besi itu.

"Siasatan awal mendapati treler itu diletakkan di lorong kecemasan berkenaan kerana kerosakan kotak gear dan brek," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, pemandu treler terbabit, Ahmad Ahad, 32, berasal dari Taman Seri Wang Sungai Petani, Kedah itu tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

- BERNAMA

Wanita warga emas ditemui rentung dalam rumah


2014/03/26 - 21:32:31 PM

IPOH: Seorang warga tua ditemui rentung di bahagian dapur rumahnya di Jalan Ampang Baru 6, Kampung Baru Cina Ampang, di sini, petang tadi.

Mayat mangsa ditemui oleh anak saudaranya, Lee Yau Pang, 25, kira-kira jam 5 petang.


Yau Pang berkata, ibu saudaranya, Lee Oi Lin, 66, tinggal seorang diri di rumah berkenaan dijumpai dalam keadaan rentung dibahagian dapur rumahnya.

"Ketika saya sampai dirumah api masih ada dan saya lihat mayatnya rentung.

"Saya cuba memadamkan api dan mendapatkan bantua,"katanya.

Dia yang tinggal kira-kira 500 meter daripada tempat kejadian kerap berkunjung ke rumah mangsa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, S Samasuvam berkata pihaknya menerima panggilan jam 6.34 petang sebelum tiba ditempat kejadian sembilan minit kemudian.
"Sebaik tiba dilokasi kebakaran sudah tiada dan kami dapati Mayat seorang wanita dalam melecur 100 peratus di seluruh bahagian badan.

"Tiada aspek pemadaman dijalankan. Kita memanggil pasukan forensik bomba serta polis ke tempat kejadian,"katanya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Punca kejadian masih dalam siasatan,"katanya.

MH370: Pesawat berpatah balik, TUDM sangka arahan menara kawalan


26/03/2014 10:02pm

KUALA LUMPUR - Pesawat yang tidak dikenali dan berpatah balik sebenarnya dikesan pada radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) beranggapan ia mungkin berbuat demikian kerana menerima arahan menara kawalan trafik udara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pesawat tersebut boleh menerima arahan tertentu dari menara kawalan dan melencong ke laluan lain jika dikehendaki tetapi keadaan tersebut bukan sesuatu yang memerlukan tindakan daripada TUDM walaupun ia dikesan di radar utama.
"Kita mengesan (keadaan) berpatah balik itu tetapi tidak menganggap sebagai musuh dan ia adalah mesra pesawat dan mungkin menerima arahan dari menara kawalan, tetapi apa yang kita lihat akhirnya ia (pesawat) hilang (dari radar) di Laut Andaman atau Utara Selat Melaka.
"Untuk makluman bahawa radar kita hanya boleh mencerap sekitar 250 batu nautika sahaja, sebenarnya mana-mana radar di dunia pun hanya boleh mencerap sejauh 250 batu nautika sahaja,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Pada 8 Mac lalu, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_24.htm#ixzz2x5Dwp03C 
Hakcipta terpelihara 

Enam sekeluarga ditahan bersama lima paket dadah


26/03/2014 11:09pm

KOTA BHARU - Polis menahan enam orang dari sebuah keluarga termasuk dua wanita dan merampas lima paket plastik yang dipercayai mengandungi dadah sintetik bernilai RM24,000 di sebuah rumah di Kampung Sireh di sini semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Deputi Superintendan Mit Emong berkata, bertindak atas intipan dan maklumat awam, sepasukan polis menyerbu rumah yang dipercayai menjadi pusat pengedaran dadah itu.
Katanya, dalam serbuan pukul 2 petang itu, polis menemui tiga paket plastik yang mengandungi ketulan kristal yang disyaki dadah dianggarkan seberat 90.3 gram dan dua paket plastik biru yang mengandungi 450 biji pil berwarna kemerahan yang disyaki dadah jenis Methaphetamine.
"Hasil pemeriksaan mendapati dua suspek yang berumur 31 dan 21 tahun positif dadah jenis Methaphetamine dan kesemua anggota keluarga itu ditahan reman bagi membantu siasatan," katanya.
Mit berkata, polis turut menyita sebuah kereta serta dua buah motosikal. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_25.htm#ixzz2x5DlJJ4I 
Hakcipta terpelihara 

Tukang masak dijel dua tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN
Tukang masak dijel dua tahun
Tertuduh ketika dihadapkan ke mahkamah, semalam. 
25 Mac 2014
KOTA BHARU - Seorang tukang masak dijel dua tahun atas tuduhan memecah masuk kediaman dan melarikan kenderaan milik seorang pemandu, di mahkamah majistret di sini semalam.

Mengikut pertuduhan, Mohd Farizan Hamzah, 30, mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit bersama dua rakannya di sebuah rumah di Jalan Sabak Pengkalan Chepa di sini bulan lalu, dengan melarikan dompet, kunci motokar, kunci van serta kenderaan jenis Perodua Viva warna putih.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah memecah masuk rumah berkenaan bersama dua rakannya yang masih bebas tanpa kebenaran mangsa polis menemui kereta Perodua Viva yang dilarikan, diletakkan di rumah dua rakannya itu.

Dalam pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwa raya Noor Dayana Mohamad, tertuduh meminta hukumannya diringankan memandangkan dia kini menghidap penyakit buah pinggang serta tidak mempunyai keluarga di negeri ini memandangkan adiknya berada di luar negara.

“Saya minta supaya hukuman saya diringankan memandangkan adik saya berada di Indonesia dan tiada keluarga yang boleh jamin saya,” katanya.

Walau bagaimanapun Majistret Nik Habri Muhammad tidak menerima alasan tertuduh memandangkan kesalahan terbabit bukan kesalahan pertamanya.

“Mengambil kira faktor keselamatan awam dan kerugian harta benda, dalam kes ini saya pilih kepentingan pengadu memandangkan dia mengalami kerugian harta benda. Semoga hukuman ini dapat dijadikan pengajaran,” kata Nik Habri

Remaja ditahan curi motosikal

WARTAWAN SINAR HARIAN
Remaja ditahan curi motosikal

26 Mac 2014
KULIM - Waktu santai sebuah keluarga yang sedang menonton televisyen, di sini terkejut selepas polis dari Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) meminta kebenaran untuk membuat pemeriksaan rumah suspek curi motosikal.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis mendapat maklumat, suspek berusia 17 tahun yang juga tinggal di rumah berkenaan terlibat dalam kes kecurian motosikal.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui satu rangka motosikal jenis Comel di atas lantai ruang tamu rumahnya.

"Dari pemeriksaan dijalankan, polis mendapati motosikal itu masih dilaporkan hilang.

"Suspek kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Darah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut dan menjalani ujian saringan air kencing di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik sebelum siasatan dijalankan," katanya.

Katanya, suspek akan disiasat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

"Sehingga kini lebih 10 suspek curi motosikal berjaya ditahan dan semua terlibat terdiri dari golongan remaja yang menganggur," katanya.

Tiga sekawan kena tipu

WARTAWAN SINAR HARIAN
Tiga sekawan kena tipu
Abu Bakar (kiri), Mohd Nizam Wahab (tengah) dan Marzuki menunjukkan laporan mengenai suspek yang dibuat di Balai Polis Sungkai. 
24 Mac 2014
SUNGKAI - Tiga pekerja kolam ikan di Kampung Menderang, di sini, rugi setelah ditipu seorang lelaki yang memperkenalkan diri  sebagai pegawai daripada institusi perbankan, pagi Isnin lalu.

Mangsa, Marzuki Johari, 39, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Rosli dari sebuah bank di Tapah datang ke warung berhampiran kolam ikan dijaganya mahu berbincang mengenai urusan kerja.

"Pada mulanya, suspek beritahu mahu buat aktiviti di kolam tempat saya bekerja dan setelah berbincang mengenainya, dia mula bercerita mengenai tender penjualan motosikal yang akan dikeluarkan di Tapah tidak lama lagi.

"Dia bercakap secara terperinci mengenai proses mendapatkan motosikal lelong itu dan membuatkannya kami percaya," katanya.

Menurutnya, suspek juga turun berjanji akan mendapatkan motosikal yang mereka mahukan dengan segera namun perlu membayar sejumlah wang sebagai cagaran.

"Saya membayar sebanyak RM250 sebagai deposit mendapatkan motosikal Yamaha LC, manakala dua rakan masing-masing memberi cagaran RM180 bagi motosikal Honda Ex5 pada hari sama," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Abu Bakar Tan, 53, berkata, selepas menyerahkan keseluruhan wang cagaran sebanyak RM610, suspek memberitahu mereka boleh mendapatkan motosikal itu pada petang hari yang sama.

"Kami membuat keputusan menghubunginya setelah menunggu pada petang dijanjikan bagi mendapatkan perkembangan, namun panggilan yang dibuat tidak berjawab sebelum talian dimatikan.

“Ketika itu, kami sudah tidak sedap hati dan pada keesokan harinya kami nekad ke bank tempat suspek itu bekerja. Kami dimaklumkan suspek tidak bekerja di bank terbabit, namun ada seorang pekerja dipecat tidak lama dahulu," katanya.

Menyedari ditipu, tiga sekawan itu membuat laporan di Balai Polis Sungkai bagi mengelakkan lebih ramai lagi yang menjadi mangsa penipuan suspek.

Dua rumah teres terbakar

Dua rumah teres terbakar
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran dalam kejadian di Taman Arkid, Menglembu, semalam.
26 Mac 2014  IPOH - Dua rumah teres dua tingkat di Taman Arkid, Menglembu, terbakar dalam kejadian pada jam 11 pagi, semalam.

Bagaimanapun, ketika kejadian kedua-dua rumah tidak berpenghuni dan pemiliknya hanya pulang selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran berhampiran.

Penghuni rumah yang mahu dikenali sebagai Lee, 30-an berkata, dia mengetahui kejadian tersebut selepas menerima panggilan isterinya ketika sedang bekerja.

Menurutnya, kebakaran itu pertama kali berlaku sejak tinggal di rumah tersebut tujuh tahun lalu dan dia bersyukur kerana isteri, dua anak serta ibunya.

“Nasib baik rumah saya hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian bumbung namun saya belum melihat keadaan rumah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Menglembu berhubung insiden tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Pasir Puteh, Zainasrie Zainal pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 11.03 pagi.

Jelasnya, seramai sembilan anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dikerah ke tempat kejadian, jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Ketika tiba di lokasi, tingkat atas rumah teres dua tingkat kelas A itu terbakar dan kami segera memadam api bagi mengelakkan ia merebak ke rumah sebelah.

“Kebakaran itu berjaya dikawal 30 minit kemudian dan hanya 60 peratus sahaja yang terbakar manakala, bumbung rumah bersebelahan mengalami kerosakan kecil melibatkan lima peratus terbakar,” katanya.

Zainasrie berkata, siasatan mendapati api bermula dari bilik tidur utama di tingkat atas rumah.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian bagi kedua-dua rumah masih disiasat,” katanya.

Geng penyamun berlagak sopan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Geng penyamun berlagak sopan
Imej suspek yang sempat dirakamkan CCTV sewaktu mengambil wang di dalam laci meja hadapan kedai terbabit.
26 Mac 2014
 SABAK BERNAM - Seorang daripada lima penyamun berlagak sopan apabila memberi salam dan mengucapkan terima kasih selepas merompak wang tunai RM1,400 di sebuah kedai perkakasan di Batu 37 Jalan Sekendi di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Farah Ayu Jumri, 27, yang tinggal keseorangan di kedai itu melihat sebuah kereta dipercayai Proton Saga BLM berwarna ungu diletakkan di hadapan kedai terbabit.

Farah Ayu berkata, dia yang tidak mengesyaki sesuatu kemudiannya didatangi seorang lelaki lingkungan 20-an bertopi sempat memberi salam dari luar kedai dan kemudiannya menuju semula ke kereta dengan mengajak dua lagi rakannya yang lain.

“Tiga daripada suspek yang keluar daripada kenderaan terus masuk ke dalam kedai. Salah seorang daripada mereka pura-pura tanya nak nak beli gergaji dan saya pun tunjukkanlah] barang tu ada di luar kedai.

“Selepas saya ambil gergaji dan masuk semula dalam kedai, seorang daripada mereka yang bawa beg sandang pura-pura nak bayar. Tapi, saya terkejut apabila seorang daripada mereka yang ikut saya dari belakang terus acukan parang,” katanya.

Menurut Farah Ayu, ketiga-tiga suspek lelaki itu kemudiannya mengugutnya supaya mendiamkan diri sebelum ikat kedua-dua tangannya dengan tali sambil seorang lagi terus mengacukan parang ke arah mangsa.

“Mereka ugut saya supaya beritahu di mana wang diletakkan dan kemudian buka laci. Mereka juga rampas telefon bimbit jenis Samsung milik saya di laci atas. Ketiga-tiga mereka buka laci dan ambil duit tu.

Salah seorang dari mereka juga sempat ucapkan terima kasih sebelum tergesa-gesa tinggalkan kedai,” katanya sambil memberitahu dalam keadaan panik dia sempat memerhatikan gelagat dua lagi suspek yang menunggu di luar kedai untuk meninjau keadaan persekitaran sementara seorang lagi berada di dalam kereta sebagai pemandu.

“Kejadian berlaku dalam tempoh lima minit. Lepas mereka pergi, terus jerit minta tolong pekerja stor belakang untuk buka ikatan dan telefon majikan,” katanya.

Majikannya, Kenny Tee, 47, berkata, ketika kejadian, dia tiada di kedai kerana ada urusan di bank dan hanya dihubungi keraninya itu ketika dalam perjalanan ke Sekinchan.

“Saya terus patah balik ke kedai. Hasil Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV), saya nampak lima suspek melakukan jenayah itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, polis menerima aduan daripada kerani terbabit berhubung kejadian itu pada jam 9 malam hari yang sama.

“Semua suspek dianggarkan berumur lingkungan awal 20-an dan tidak memakai topeng semasa kejadian. Lakaran fotofit suspek sudah dibuat,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Rempuh rumah elak anjing

WARTAWAN SINAR HARIAN
Rempuh rumah elak anjing
Kereta dinaiki mangsa gagal dikawal sebelum merempuh tembok pagar sebuah rumah teres tidak berpenghuni.
26 Mac 2014
 BANDAR SRI SENDAYAN - Sepasang suami isteri nyaris maut apabila kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar tembok pagar sebuah rumah teres lot penjuru tidak berpenghuni di Taman Nusari Aman 2, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Muhammad Harris Ridzwan Abdullah, 35, bersama isterinya, Norsalasiah Zulkefly, 37, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Nusari Bayu 1, di sini, menaiki kereta jenis Proton Wira.

Menceritakan semula detik-detik cemas dialami, Muhammad Harris berkata, semasa insiden terbabit, mereka berdua baru balik dari menjamu selera di salah sebuah kedai makan di Garden Homes, Seremban 2.

“Sebelum sampai ke rumah, kami bercadang singgah sebentar di kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam di Medan Nusari. Kami memilih mengikut jalan pintas menerusi Taman Nusari Aman 2 memandangkan jaraknya lebih dekat, selain berada dalam laluan pulang.

“Malangnya, sekumpulan anjing liar melintas secara tiba-tiba semasa kami sedang membelok masuk ke simpang taman berkenaan. Akibatnya, kereta kami hilang kawalan sehingga terbabas kerana cuba mengelak daripada melanggar haiwan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku sekelip mata. Sedar-sedar sahaja, kereta dipandu sudah menaiki bahu jalan dan merempuh tembok pagar salah sebuah rumah teres di taman perumahan tersebut.

“Walaupun terkejut dan sedih dengan insiden itu, kami tetap bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan, selain berjaya mengelak daripada meragut nyawa haiwan berkenaan.

“Rumah yang kami langgar pula memang tidak berpenghuni sejak sekian lama berikutan dijadikan sebagai kediaman contoh kepada pembeli,” katanya yang menjelaskan, lebih kurang empat hingga lima ekor anjing terlibat semasa kemalangan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nusari Aman 2, Terence Beh, 40, berkata, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh salah seorang penduduk, kira-kira jam 4 pagi.

“Saya bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan mangsa dan memberikan bantuan kepada mereka. Saya harap, pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan bagi menangani masalah anjing liar di kawasan ini, supaya kejadian sama tidak menimpa orang lain,” katanya.

Enjin terbakar, Malindo Air berpatah balik

WARTAWAN SINAR HARIAN
Malindo Air
Malindo Air 
26 Mac 2014
SHAH ALAM - Sebuah pesawat Malindo Air dalam perjalanan dari Subang ke Kuala Terengganu terpaksa berpatah balik sejurus selepas berlepas kerana kebakaran enjin.

Dalam insiden jam 7.30 pagi itu, kesemua penumpang penerbangan, termasuk pasukan bola sepak Liga Super Terengganu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Malindo Air dalam satu kenyataan menyebut kejadian itu berlaku ketika pesawat itu mendaki pada ketinggian 7,000 kaki.

"Sistem pengesan kebakaran diaktifkan dan krew operasi serta-merta melaksanakan semakan kecemasan seperti prosedur operasi standard dalam situasi ini," kenyataan itu dipetik.

Anak guru maut kemalangan

RAIHAM MOHD SANUSI
Anak guru maut kemalangan
Grand Livina yang dinaiki tiga beranak remuk teruk selepas melanggar treler di Kilometer 139.4 Jalan Jerangau-Jabor, Air Putih, malam kelmarin. 
26 Mac 2014
KEMAMAN - “Lepas dengar bunyi letupan kuat seperti tayar lori pecah, saya segera keluar dari kedai dan lihat mangsa tiga beranak tersepit di dalam kenderaan yang remuk teruk,” kata pemilik restoran, Ishak Abdul Rahman, 51, yang menjadi saksi nahas mengorbankan seorang kanak-kanak, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam di Kilometer 139.4 Jalan Jerangau-Jabor, Air Putih di hadapan restoran milik Ishak itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang dipandu Hasmizi Che Lah, 30, seorang guru di sebuah sekolah di Temerloh, Pahang merempuh sebuah treler balak tanpa muatan.

Perlanggaran kuat itu mengakibatkan mangsa tiga beranak tersepit dan anaknya, Nur Aina Marissa, 3, yang diriba isterinya meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Air Putih.

Hasmizi dan isterinya, Norafzalumi Ghazali, 30, yang bekerja sebagai jururawat di Temerloh pula mengalami kecederaan parah dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Cheneh tiba.

Ishak berkata, ketika keluar menjenguk, orang ramai sudah mengerumuni MPV dan lori berkenaan serta cuba mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan yang hancur.

“Jadi saya tolong kawal lalu lintas dan masa itu saya dengar suara isteri pemandu mengerang kesakitan. Walaupun cedera parah, pemandu dan isterinya masih sedarkan diri ketika orang ramai cuba keluarkan mereka dari kereta.

“Lepas kira-kira 20 minit bertungkus-lumus barulah kedua-duanya dapat dikeluarkan. Semasa dikeluarkan, saya lihat tulang kaki mangsa wanita terkeluar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, ketika kejadian, Hasmizi sekeluarga dalam perjalanan pulang dari bercuti di kampungnya di Bachok, Kelantan menuju ke Kuantan.

Menurutnya, sebuah treler dipandu lelaki berusia 67 tahun yang datang dari arah sama secara tiba-tiba membuat pusingan U di lokasi kejadian menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar treler berkenaan.

“Pegawai perubatan mengesahkan anak pemandu meninggal dunia sebaik tiba di klinik.

"Guru terbabit dan isterinya pula dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Kata Che Suza, mayat anak pasangan itu kemudian dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum dituntut waris kira-kira jam 11 pagi semalam untuk dikebumikan di kampung halaman ibunya di Kampung Kubang Pak Amin, Pasir Mas, Kelantan.

Sementara itu, Hasmizi yang patah paha dan isterinya yang patah kaki dihantar mendapatkan rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang, pada jam 7 pagi semalam.

Pemandu maut kereta rempuh belakang lori

WARTAWAN SINAR HARIAN
Pemandu maut kereta rempuh belakang lori
Keadaan kereta yang dipandu oleh mangsa remuk akibat kemalangan, pagi semalam. 
25 Mac 2014
TAPAH - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya merempuh belakang lori dalam satu kejadian pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Keliaw berkata, kejadian berlaku di Kilometer 332 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), kira-kira jam 5.45 pagi.

"Mangsa maut dikenali sebagai Nik Mohd Hafirullah Nik Mad, 27 tahun, berasal daripada Felda Kemahang, Tanah Merah, Kelantan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kejadian berlaku apabila, mangsa memandu kereta jenis Honda Stream dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh dan setiba di tempat kejadian mangsa melanggar belakang sebuah lori yang bergerak perlahan disebabkan keadaan sedikit mendaki.

Menurutnya, lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 62 tahun, berasal dari Ampang, Selangor.

“Perlanggaran itu mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat.

“Bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian dan jenazah dituntut oleh keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Som Sak berkata, pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan  tiada tangkapan dilakukan.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Guna meriam air usir penunjuk perasaan

Guna meriam air usir penunjuk perasaan
Polis terpaksa mengawal perusuh dari memasuki pejabat pentadbira
25 Mac 2014 >n. TAIPEI - TAIWAN. Polis rusuhan Taiwan terpaksa menggunakan meriam air untuk meleraikan ratusan penunjuk perasaan yang menyerbu ibu pejabat kerajaan bagi membantah Perjanjian Perdagangan China setelah seminggu dibincangkan di Parlimen.

Jurucakap polis berkata, seramai 1,000 pegawai dikerah bertugas semalaman untuk mengusir penunjuk perasaan dari Pejabat Eksekutif Yuan.

"Setakat ini, seramai 32 orang ditahan. Mereka bertindak liar apabila menarik kawat berduri di sekitar bangunan kerajaan dan menggunakan tangga untuk memecah masuk ke dalam pejabat di tingkat dua," katanya dipetik AFP.

Menurutnya lagi, pertempuran tercetus apabila polis cuba menyingkirkan penunjuk perasaan dari bangunan kerajaan dan bagi menyukarkan usaha pihak polis mereka bertindak baring di tanah dengan memegang tangan antara satu sama lain.

Menurut laporan media tempatan, kira-kira 120 orang cedera dalam pertempuran namun pihak polis masih belum mengesahkan angka sebenar.

Suspek 'cair' dengan rayuan

 Suspek 'cair' dengan rayuan
SEORANG lelaki berusia 33 tahun mencetuskan kekecohan selepas melarikan diri dari kawalan polis di Lapangan Terbang John F Kennedy, Amerika Syarikat.

Suspek berada di bawah perintah perlindungan itu diburu selepas melarikan diri dengan van hitam menyebabkan polis terpaksa memburunya sejauh 6 kilometer.

Pegawai polis tempatan berkata, suspek dapat ditahan selepas dipujuk oleh ibunya.

“Suspek menyerah selepas namanya dipanggil oleh ibunya yang ketika itu merayu dan menangis,” katanya menurut NYdaily.

Menurutnya, suspek sebelum ini ditahan selepas terlibat dalam jenayah domestik.

“Ketika melarikan diri, suspek melanggar halangan polis menyebabkan beberapa das tembakan dilepaskan oleh anggota kami. Namun, suspek terus memecut hingga ke Taman Ozone Selatan di Queens sebelum menyerah diri,” katanya.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai senjata itu akhirnya ditahan dan dibawa ke Hospital Jamaica untuk penilaian psikiatri.

2 bersalah rusuhan Batu Burok 2007


Kuala Terengganu: Dua lelaki yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan merusuh di Batu Burok di sini, pada September 2007, hanya lega seketika apabila mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM5,000 terhadap Muhammad Azman Aziz, 28, dan Suwandi Ab Ghani, 45, selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan kerana menunjukkan kekerasan jenayah ketika menyertai perhimpunan dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis.

Dua rakan mereka, Hisham Aziz @ Abdul, 45, dan A Rahman Abdullah, 69, yang juga dilepaskan dan dibebaskan daripada dakwaan merusuh sebelum ini, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000.

Mohd Yazid membuat keputusan itu selepas Hisham dan A Rahman didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 kerana berada dalam satu perhimpunan.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen di sini, pada 4 Jun 2012 melepas dan membebaskan semua tertuduh selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.



Pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.

Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan mereka bersama-sama 18 orang lagi bersalah kerana menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas di tempat letak kereta Hotel Permai, Jalan Sultan Mahmud, di sini, jam 11.40 malam pada 8 September 2007.

Mereka juga didapati bersalah dengan sengaja cuba menyebabkan cedera parah terhadap penjawat awam, Wan Abdul Aziz Wan Omar.

Bagi pertuduhan kedua, mereka bersama 18 orang lagi, didapati bersalah dengan sengaja menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas di tempat letak kereta Hotel Permai, Jalan Sultan Mahmud, di sini, jam 11.40 malam hari sama.

Mohd Yazid membenarkan mereka dibebaskan dengan bon jaminan terdahulu RM3,000 setiap seorang bagi memberi peluang mereka mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, Hisham dan A Rahman juga didapati berada dalam satu perhimpunan haram di tempat awam di mana lesen di bawah Seksyen 27(2) Akta Polis 1967 tidak dikeluarkan di kawasan Stesen Minyak Esso, Jalan Sultan Mahmud, di sini, antara jam 10 malam hingga 10.30 malam pada 8 September 2007.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Nahas ayam beku


Alor Gajah: Seorang pemandu lori parah manakala dua kelindan cedera ringan selepas kenderaan mereka yang membawa muatan ayam beku merempuh belakang sebuah treler di Kilomter 215.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Salleh, berusia lingkungan 40-an bersama dua kelindan warga Nepal berusia 30-an dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor.
Menurut sumber, sebaik tiba di lokasi, lori 10 tan itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah treler.
“Rempuhan mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduknya manakala dua kelindan hanya cedera ringan manakala pemandu treler itu meneruskan perjalanan kerana dipercayai tidak menyedari mengenai kejadian.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan selepas bomba mendapatkan bantuan sebuah lori untuk menarik kenderaan dipandu mangsa dalam usaha mengeluarkannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Pegawai Bomba Kanan II Jamaludin Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.12 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Seramai tujuh pegawai dan anggota dengan sebuah jentera ke lokasi sebelum dibantu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Negeri Sembilan dalam usaha mengeluarkan mangsa.
“Setibanya di tempat kejadian kami dapati orang awam sedang menenangkan mangsa sebelum operasi mengeluarkan lelaki berkenaan yang tersepit dalam keadaan sedar dijalankan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya hanya mengambil masa tiga minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum lelaki itu dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu.
Foto
KEADAAN lori yang remuk selepas merempuh bahagian belakang sebuah treler.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Api menjerit di tengah jalan


Kulim: “Ketika membuka pintu rumah saya terkejut melihat tompokan api bergerak di atas jalan sambil mendengar jeritan manusia.
“Selepas itu saya melihat api itu secara tiba-tiba berhenti dan terpadam sendiri, saya bersama jiran pergi ke arah api itu dan terkejut apabila melihat seorang lelaki terbaring dengan kesan kebakaran di seluruh bahagian atas badannya,” kata seorang lelaki enggan dikenali mengenai kejadian seorang lelaki yang terbakar dalam kejadian di Taman Selasih, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 3.15 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun yang melecur dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut lelaki terbabit, dia mendengar suara orang menjerit di hadapan kawasan perumahan mereka lalu membuka pintu rumah untuk melihat apa yang berlaku.
Katanya, keadaan di luar gelap dan dia hanya nampak seperti tompokan api di hadapan rumahnya namun pelik kerana api itu bergerak.
“Selepas itu saya terus memanggil jiran untuk melihat kejadian itu.
Saya terkejut melihat seorang lelaki yang mengalami kesan melecur dari bahagian perut sehingga ke kepala akibat kesan kebakaran.
“Saya enghubungi ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk meminta bantuan serta menghubungi anggota polis,” katanya yang ditemui, di sini, semalam.
Katanya, penduduk di kawasan itu hairan bagaimana lelaki terbabit boleh terbakar dan berada di kawasan perumahan mereka kerana difahamkan dia tinggal di kawasan taman bersebelahan dengan taman berkenaan.
Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.25 pagi daripada orang awam mengenai mangsa kebakaran di Taman Selasih.
Katanya, selepas menerima panggilan itu sebuah ambulans JPAM bersama lima anggota bergegas ke tempat kejadian dan menemui seorang lelaki dalam keadaan terlentang dengan kesan melecur di bahu jalan di taman perumahan terbabit.
“Anggota JPAM segera memberi bantuan kecemasan dan ketika itu mangsa masih sedar serta dalam keadaan kesakitan sebelum membawa mangsa ke Hospital Kulim (HK).
“Ketika sampai di hospital mangsa yang dalam keadaan sedar masih mampu memberi maklumat mengenai dirinya kepada petugas hospital dan JPAM.
“Hasil maklumat awal mangsa dipercayai berasal daripada Taman Angsana, di sini.

Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kesan melecur hampir 40 peratus dari bahagian perut sehingga kepala.
“Kami tidak tahu punca sebenar mangsa terbakar dan tidak menolak kemungkinan ia adalah cubaan bunuh diri,” katanya.
Foto
ANGGOTA JPAM memberi bantuan kecemasan kepada mangsa dalam ambulans untuk dibawa ke hospital.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Bongkah besi baham tayar


Jasin: Lebih 20 kereta tersadai di lorong kecemasan selepas tayar semua kenderaan itu pecah akibat terlanggar bongkah besi padu di tengah laluan lebuh raya di Kilometer 182.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, malam kelmarin.
Difahamkan kejadian jam 11.15 malam itu dipercayai berlaku selepas besi padu jatuh melintang di tengah lebuh raya akibat tercicir daripada kenderaan berat yang melalui kawasan terbabit sebelum kejadian.
Keadaan itu mengakibatkan perjalanan lebih 20 keluarga tergendala hampir lima jam kerana terpaksa menunggu bantuan rakan membawa tayar ganti.
Mangsa Rosli Kamidi, 42, berkata, ketika kejadian dia memandu Honda Odyssey bersama isterinya, Azura Hamidon, 40, serta empat anak berusia antara tujuh hingga 15 tahun dalam perjalanan pulang dari Ulu Choh, Pontian, Johor, menuju ke Kuala Lumpur.
“Saya tidak menyedari terdapat objek melintang di tengah lebuh raya, namun terasa tayar melanggar sesuatu dan kenderaan bergegar serta hilang kawalan.
Ia mengakibatkan isteri serta anak yang tidur menjerit ketakutan.
“Saya terpaksa memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan dan mendapati tayar hadapan dan belakang di sebelah kanan pecah, tidak lama selepas itu beberapa kenderaan lain turut menerima nasib sama,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Pemandu Naza Ria, Edi Azrul Baharum, 38, berkata, dia terkejut selepas MPV yang dipandunya secara tiba-tiba melencong ke kanan sehingga hampir melanggar pembahagi jalan.

“Syukur saya dapat mengawal stereng dan berhenti di lorong kecemasan, sebaik turun saya lihat tayar hadapan dan belakang sebelah kiri pecah manakala rim bengkok.
“Saya dan isteri, Moly Izahar, 37, bersama tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun serta seorang pembantu rumah berumur 23 tahun hanya boleh meneruskan perjalanan selepas mendapatkan bantuan rakan yang membawa tayar ganti,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Abdul Aziz Mahdi, 59, berkata, kejadian itu turut mengakibatkan tayar hadapan dan belakang sebelah kiri PERODUA Myvi pecah sehingga dia terpaksa membatalkan temu janji jam 9 pagi semalam kerana tersadai lebih lima jam sebelum dibaik pulih.
Abdul Aziz yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta berkata, dia kecewa kerana keadaan itu mengakibatkan lebih 20 kenderaan mengalami nasib sama dan ia dapat dielakkan sekiranya rondaan kerap dilakukan di kawasan terbabit.
Jurucakap Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mengalihkan bongkah besi padu sepanjang hampir satu meter yang melintang di tengah lebuh raya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mohd Nor Hishamudin Hashim ketika dihubungi mengesahkan lebih 20 kenderaan mengalami kerosakan tayar selepas terlanggar besi berkenaan, namun semua mangsa tidak mengalami kecederaan.
Foto
SEBAHAGIAN mangsa yang terkandas selepas tayar kenderaan dinaiki pecah.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Memboyot kejar pencuri


Kuantan: Seorang wanita mengandung empat bulan, nekad mengerah kudrat berlari sejauh 100 meter mengejar pencuri yang melarikan sehelai kemeja-T berharga RM130 dari gerainya di Teluk Chempedak, tengah malam semalam.
Bagaimanapun, usaha wanita berkenaan, Kodeeyah Leeae, 26, berjaya apabila suspek berusia 17 tahun berjaya diberkas dengan bantuan orang awam yang turut mengejar remaja itu selepas mendengar jeritan mangsa.
Menceritakan kejadian, Kodeeyah yang mengandung anak sulungnya berkata, sebelum kejadian jam 12 tengah malam, dia berada di gerainya sambil menunggu pelanggan sebelum seorang lelaki masuk sambil mencuba sehelai baju.
Menurutnya, bagaimanapun lelaki terbabit meletakkan baju itu sebelum keluar dari gerainya namun kembali beberapa minit kemudian untuk bertanyakan harga baju berkenaan.
Katanya, dia yang tidak mengesyaki apa-apa apabila lelaki terbabit beredar selepas diberitahu harga baju berkenaan, tetapi dia kembali bersama tiga rakan dan mencuri baju itu.
“Melihat lelaki itu melarikan diri, saya nekad mengejarnya dibantu seorang peniaga lain, Ahmad Jalaluddin Abdul Jamil, 24, yang turut mengejar suspek.
“Bagaimanapun, saya bersyukur dan berterima kasih kepada rakan kerana berjaya memberkas suspek dan menemui semula pakaian yang dicuri,” katanya ketika ditemui, semalam.
Ahmad Jalaluddin berkata, dia bertindak mengejar suspek terbabit selepas mendengar mangsa menjerit sekuat hati untuk meminta pertolongan.
“Dia (suspek) memang ada membeli baju dari kedai sebelah, tetapi sehelai lagi curi manakala tiga lagi rakan suspek sempat melarikan diri dengan masuk ke dalam hutan berhampiran,” katanya memaklumkan suspek terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.
Foto
SUSPEK kes curi berjaya di tangkap orang ramai di Teluk Chempedak.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Mangsa balas balik


Gombak: Akibat mengacu pisau Rambo dan menyamun pelanggan kafe siber, seorang lelaki berusia 23 tahun menerima pembalasan segera apabila dia dikejar dan dilanggar menggunakan sebuah kereta dalam kejadian di Taman Sri Gombak, Jumaat lalu.
Sumber berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, suspek masuk ke dalam kafe siber itu sebelum mengacukan pisau kepada seorang lelaki berusia 41 tahun dan mengarahkannya menyerahkan wang tunai dan tefon bimbit miliknya.
“Suspek merampas wang tunai milik mangsa kira-kira RM1,000 sebelum terus keluar daripada kafe siber itu dan terus membonceng motosikal rakannya.

“Berang apabila wang tunainya dirampas, mangsa mengekori suspek menggunakan keretanya dan melanggar motosikal dibonceng suspek di persimpangan lampu isyarat. Suspek dan rakannya terjatuh dari motosikal, tetapi rakan suspek melarikan diri manakala suspek ditahan oleh orang ramai,” katanya.
Foto
SUSPEK cedera di paha tertusuk pisau Rambo.

Katanya, suspek turut cedera di bahagian paha akibat tertusuk pisau Rambo miliknya sendiri sebelum ditahan polis dan dibawa ke hospital bagi menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Bayi lahir, mati dalam pesawat



Tokyo: Seorang bayi mati selepas dilahirkan pramatang dalam pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong ke New York.

Menurut sumber, ibu bayi berkenaan yang sarat mengandung dibenarkan menaiki pesawat terbabit oleh doktor, namun mula sakit bersalin selepas kapal terbang itu berlepas.


Penerbangan itu terus dialihkan ke Tokyo manakala wanita itu dan anaknya dikejarkan ke hospital, namun bayi itu disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Tak mungkin ada terselamat


Washington: Semakin ramai mangsa dikhuatiri hilang dalam banjir lumpur di Oso.

Setakat ini 14 orang disahkan mati manakala 176 masih belum ditemui.


Lebih 100 anggota penyelamat menggunakan anjing, pesawat udara dan peralatan sonar berusaha mengesan mangsa di bandar terpencil itu yang terletak 80 kilometer dari Seattle itu.

Ramai menggunakan gergaji rantai malah ada juga mengorek tanah menggunakan tangan apabila semakin ramai penduduk mula melaporkan gagal mengesan anggota keluarga mereka dalam kejadian itu.


Pasukan penyelamat juga tidak lagi berharap menemui mangsa yang terselamat dalam runtuhan berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Pemilik hotel rugi RM50,000 rumah dipecah masuk


IPOH 25 Mac - Seorang pemilik sebuah hotel di sini kerugian kira-kira RM50,000 selepas rumahnya di Jalan Kelab Golf dekat sini dipecah masuk malam semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 malam ketika mangsa yang berusia 70 tahun dan keluarganya tiada di rumah.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika kejadian hanya tiga pembantu rumah warga asing berada di dalam rumah tersebut.
Beliau berkata, kejadian itu disedari selepas salah seorang daripada pembantu rumah terbabit terdengar bunyi bising dari luar bilik tidur mereka.
"Semasa pembantu rumah cuba memeriksa punca bunyi bising itu mereka dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
"Penjenayah terbabit kemudiannya mengurung dua daripada pembantu dalam sebuah bilik manakala seorang lagi pembantu diacukan parang di leher dan diugut agar memberikan kerjasama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Polis Ke-207 peringkat negeri di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis di sini hari ini.
Chang Keong berkata, penjenayah terbabit kemudiannya bertindak menggeledah rumah berkenaan dan mengambil barangan berharga termasuk barang kemas bernilai RM50,000.
Katanya, pembantu rumah berkenaan yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah menghubungi majikan mereka bagi memaklumkan kejadian sebaik penjenayah terbabit meninggalkan rumah.
"Siasatan mendapati, rumah tersebut dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) namun alat perakamnya sudah dilarikan penjenayah.
"Kita kini sedang mengesan penjenayah itu dan siasatan kes ini dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140326/je_02/Pemilik-hotel-rugi-RM50000-rumah-dipecah-masuk#ixzz2x1I0nmZT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua didakwa ceroboh, ambil hasil hutan simpan


IPOH 25 Mac - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh dan mengambil hasil hutan simpan tanpa kebenaran di Seri Manjung dekat sini sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM30,000 dua tahun lalu.
Jean Pierre Kristopher Lambert, 48, dan Lau Hock Joo, 41, masing-masing dari Lunas dan Sungai Petani di Kedah mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa secara bersama mengambil hasil hutan tanpa lesen, lesen kecil, permit penggunaan atau mengikut mana-mana undang-undang bertulis lain di Hutan Simpan Segari Melintang, Lumut dekat sini antara pukul 8 pagi, 10 Ogos dan 6 petang, 15 Ogos 2012.
Mereka didakwa di bawah Subseksyen 15(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 15(2) dan 15(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
Kedua-duanya juga boleh diperintahkan membayar sejumlah wang tidak melebihi 10 kali ganda royalti, premium dan ses; sejumlah wang tidak melebihi 10 kali ganda nilai hasil hutan berkenaan dan sebarang caj lain yang perlu dibayar.
Bagi pertuduhan kedua pula, Lambert dan Hock Joo didakwa secara bersama memasuki hutan simpan tersebut tanpa kebenaran pada masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Subseksyen 47(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 47(4) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab yang mengendalikan pendakwaan memaklumkan, nilai kerugian yang dialami akibat tindakan kedua-dua tertuduh adalah sekitar RM30,000.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan kes pada 19 Mei ini bagi memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh melantik peguam bela.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140326/ma_03/Dua-didakwa-ceroboh-ambil-hasil-hutan-simpan#ixzz2x1HYTlDg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sebutan kes polis didakwa tembak kanak-kanak 22 April


PARIT 25 Mac - Seorang anggota polis hari ini menghantar surat representasi agar Ketua Unit Pendakwaan Perak mengkaji semula pertuduhan yang dihadapinya iaitu dengan sengaja melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang kanak-kanak, Oktober tahun lalu.
Peguam Luqman Hakim Azhar yang mewakili Sarjan Abdul Rahim Md. Atan, 52, memaklumkan kepada Mahkamah Majistret di sini, pihaknya akan menyerahkan surat tersebut melalui Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi yang mengendalikan kes itu.
Sehubungan itu, Majistret Solehah Noratikah Ismail menetapkan sebutan semula kes itu pada 22 April ini untuk mendapatkan keputusan berhubung representasi itu daripada Ketua Unit Pendakwaan Perak.
Abdul Rahim yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping didakwa dengan sengaja melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Ammar Muhamad Azizi, 11.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira pukul 4 petang, 14 Oktober tahun lalu di tangga rumah mentuanya di No.66, Kampung Belanja Kiri di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Abdul Rahim juga didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja melepaskan tembakan tanpa mendapat sebarang kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Negeri pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Dalam kejadian pada 14 Oktober tahun lalu iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, Muhammad Ammar cedera parah pada leher akibat terkena peluru sesat yang dilepaskan oleh seorang anggota polis ketika mengosongkan senjata di tangga rumah mentuanya di Kampung Belanja Kiri, Parit.
Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Iskandar Shah, Parit itu selamat menjalani pembedahan berisiko tinggi mengeluarkan sebutir peluru dari kerongkong di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini enam hari kemudian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140326/ma_02/Sebutan-kes-polis-didakwa-tembak-kanak-kanak-22-April#ixzz2x1HCUwLL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anak perempuan tampar bapa kerana RM2.50


MOHAMAD Idris mengesat air mata selepas anaknya, Nor Diana Mohamed di bebaskan daripada pertuduhan menamparnya selepas warga emas itu menyatakan kesediaan untuk memaafkan Nor Diana di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, semalam. - utusan/Irwan Majid
KOTA BHARU 25 Mac - "Hanya kerana tidak memberi RM2.50 untuk membeli air batu, kamu tergamak memukul bapa yang mengalami strok.
"Sedih bapa kamu apabila kamu buat begitu kepadanya. Selalunya kita mendengar ayah memukul anak tetapi hari ini berlaku sebaliknya. Lebih-lebih lagi kamu adalah anak perempuan dia.''
Demikian teguran seorang majistret di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap seorang wanita yang menghadapi tuduhan memukul bapanya dengan cara menampar mangsa, tahun lalu.
Nor Diana Mohamed, 30, yang tidak bekerja bagaimanapun dilepas dan dibebaskan oleh Majistret Nik Habri Muhamad daripada tuduhan itu setelah Mohamad Idris, 66, bersetuju kes tersebut diselesaikan menerusi permohonan maaf oleh anaknya.
Wanita tersebut didakwa menampar bapanya sehingga mendatangkan kecederaan kepada warga emas itu kira-kira pukul 4.15 petang, 2 Ogos 2013 di rumah mereka di Kampung Pintu Geng, di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.
Nor Diana mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Terdahulu, selepas Nik Habri meminta warga emas itu tampil ke hadapan, bapa tertuduh yang mengalami kesukaran berjalan akibat serangan strok menyatakan hasratnya untuk menarik balik pendakwaan terhadap anaknya itu.
"Saya mahu menarik balik laporan polis dan pendakwaan yang dibuat pada hari ini. Saya telah bersedia untuk memaafkan dia," katanya sambil mengesat air mata.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan tersebut tetapi membenarkan kes itu diselesaikan mengikut Seksyen 260 Kanun Tatacara Jenayah menerusi kompaun kesalahan dengan permohonan maaf oleh anaknya.
Nor Diana kemudian tanpa menunjukkan sebarang emosi hanya menyatakan permohonan maaf daripada bapanya.
Nik Habri sebelum membuat keputusan membebaskan tertuduh turut menyifatkan tindakan wanita itu menampar bapanya hanya kerana lelaki tidak memberi wang yang diminta sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan.
"Kali ini saya melepaskan kamu di atas permintaan bapa kamu, namun jika perkara ini berulang lagi saya tidak akan bertolak-ansur," tegas beliau.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140326/ma_01/Anak-perempuan-tampar-bapa-kerana-RM250#ixzz2x1GcmTXq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Remaja 16 tahun dicabul depan sekolah


IPOH 25 Mac - Seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah dekat Kampar, dicabul seorang lelaki ketika sedang menunggu bapanya selepas tamat aktiviti persekolahan, Sabtu lalu.
Dalam kejadian pukul 4.20 petang di pintu utama sekolah itu, mangsa didatangi oleh suspek berusia 30-an lalu duduk di sebelahnya lalu tiba-tiba memeluknya.
Mangsa melawan sehingga berlaku pergelutan dan terjatuh di atas lantai sebelum suspek bertindak mengoyakkan baju remaja tersebut.
Bagaimanapun jeritan mangsa berjaya menakutkan suspek menyebabkan lelaki itu melarikan diri dengan sebuah motosikal.
Akibat pergelutan itu, mangsa mengalami rasa sakit di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Ng Kong Soon berkata, ketika kejadian, mangsa seorang diri dan tiada saksi berada di lokasi berkenaan.
"Imej dipercayai suspek berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat letak kenderaan. Siasatan percaya imej itu adalah suspek berdasarkan warna baju serta bentuk badan.
"Pihak polis telah melakukan soal siasat terhadap beberapa staf serta guru sekolah tetapi tiada yang mengenali atau pernah melihat suspek sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Kong Soon, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140326/je_01/Remaja-16-tahun-dicabul-depan-sekolah#ixzz2x1FhsTLN
© Utusan Melayu (M) Bhd