Search This Blog

Tuesday, March 25, 2014

Anak hilang ketika rawatan

KAMARUL HALIM M KAMAL
Anak hilang ketika rawatan
Ramlah menunjukkan gambar Rodiah dan laporan polis yang dibuat.
25 Mac 2014
 YONG PENG – “Masuk bulan ini dah enam bulan anak saya hilang. Ibu mana tidak sayangkan anak. Saya rindukan dia,” kata Ramlah Hashim, 62.

Menurutnya, anaknya, Rodiah Kiran, 35, hilang sejak September tahun lalu bersama cucu yang berusia lima tahun.

Ramlah mendakwa, anaknya itu dipercayai hilang ketika mendapatkan rawatan dengan di kediaman dukun berkenaan.

“Saya dan suami pergi mendapatkan khidmat dukun terbabit bagi merawat penyakit Rodiah yang sering bercakap sendirian dan termenung.

“Dukun terbabit menyatakan rawatan Rodiah mengambil masa. Dia menyuruh kami pulang dan meninggalkan Rodiah untuk rawatan. Ketika mahu menjemputnya, dukun, Rodiah dan cucu saya telah tiada.

“Semenjak hari kejadian, saya sekeluarga terus berusaha mencarinya tetapi hingga hari ini tiada khabar berita mengenainya,” katanya, semalam.

Ramlah berkata, bekas suami Rodiah turut berusaha mencari termasuk cuba menghubungi melalui telefon bimbit, tetapi tidak berjaya.

Katanya, mereka sekeluarga percayakan dukun berkenaan kerana sebelum ini telah beberapa kali menghantar Rodiah untuk rawatan.

“Namun, tiada apa yang berlaku ketika itu. Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Parit Sulong berkaitan kehilangan Rodiah.

“Selain Rodiah, saya juga bimbangkan keadaan cucu yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir,” katanya.

Katanya, beberapa kenalannya ada menyatakan pernah terlihat Rodiah dan cucunya masih berada di daerah ini.

Helah penjual rokok tidak sah terbongkar


2014/03/25 - 07:53:38 AM

Kuala Lumpur: Taktik licik peniaga menggunakan pelbagai helah menyorokkan rokok tidak sah tidak membantutkan usaha Kastam Diraja Malaysia (KDRM) memerangi gejala itu.

Ops Outlet yang dilancarkan KDRM pada 5 Mac lalu memberi amaran tindakan keras kepada semua pihak yang terbabit dengan kegiatan itu sama ada pengedar, peniaga atau pembeli.


Sumber berkata taktik menyorokkan rokok tidak sah di bawah meja, menyimpannya dalam tin biskut, menyorokkan dalam tong sampah dan pelbagai taktik lain tidak akan berkesan lagi.

Bawa ke muka pengadilan

Sebaliknya, KDRM melalui Ops Outlet terus komited untuk menangkap mereka yang bersalah dan membawa ke muka pengadilan.

Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Khazali Ahmad, pada majlis pelancaran operasi itu menegaskan pihaknya akan memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman penjara terhadap pihak yang dituduh dalam kegiatan itu di mahkamah.

Minggu lalu, Kastam menyerbu 22 premis dan menahan 12 orang kerana menjual rokok tidak sah di seluruh negara.
Pada 7 Mac, 18 Mac dan 20 Mac lalu, seramai 11 individu terdiri daripada pengurus kedai dan pekedai runcit, dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan memiliki rokok tidak sah di Seremban, Kota Bharu, Bahau dan Klang.

Hingga ini, Ops Outlet, operasi bersepadu diterajui KDRM, sudah dilancarkan di Kelantan, Perak, Johor, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Perluas operasi

Kastam akan memperluaskan lagi operasi membanteras penjualan rokok tidak sah di kawasan lain yang kini mendominasi 35 peratus pasaran rokok tempatan ke negeri-negeri lain.

“Ketika serbuan, pelbagai taktik licik digunakan penjual untuk mengelak tindakan seperti menyorokkan rokok tidak sah dalam tin biskut, malah ada yang menyimpannya dalam kereta menunjukkan betapa mereka terdesak.

“Tindakan itu tidak membantutkan usaha KDRM, malah kami lebih komited untuk membawa pesalah ke muka pengadilan,” kata sumber.

Sebelum ini, Khazali menyifatkan 2014 sebagai tahun tindakan yang mana KDRM akan melancarkan operasi besar-besaran untuk menumpaskan rangkaian pengedaran, penjualan dan penyeludupan rokok tidak sah.

Ini kerana rokok tidak sah sering dikaitkan dengan aktiviti jenayah dan kongsi gelap melalui kegiatan penyeludupan.

Khazali berkata, harga rokok tidak sah yang lebih murah menyebabkan ia boleh dibeli golongan muda dan keadaan itu membimbangkan pihak berkuasa.

Rokok tidak sah didapati dijual pada harga RM3 hingga RM4 sekotak selain membawa risiko kesihatan berkali-kali ganda.

Orang ramai boleh membantu memerangi rokok seludup dengan memaklumkan kepada Kastam di talian 1800-88-8855 jika mengesan sebarang aktiviti menjual rokok seludup di kawasan mereka.

Misteri kehilangan MH370 terungkai


2014/03/25 - 06:02:19 AM

   5
Kuala Lumpur: Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 sejak 17 hari lalu terungkai apabila disahkan terhempas di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat daya Perth.

Berita menyayat hati itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi dan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.


Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 kru itu, dilaporkan hilang ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu.

MH370 meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam sebelum gagal dikesan menara kawalan mulai jam 1.23 pagi.


Berikut adalah kenyataan penuh Perdana Menteri:

“Malam ini, saya diberi taklimat oleh wakil Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom. Mereka memaklumkan bahawa Inmarsat, syarikat penyedia data satelit di UK yang memberi petunjuk berhubung koridor utara dan selatan, telah melakukan penilaian terperinci terhadap data yang diperoleh.

Petunjuk lebih kukuh

Mereka menggunakan kaedah analisis yang tidak pernah digunakan dalam mana-mana siasatan seperti ini. Hasilnya, mereka mendapat petunjuk lebih kukuh berhubung laluan penerbangan MH370.

Berdasarkan analisis baru ini, Inmarsat dan AAIB merumuskan pesawat MH370 terbang melintasi koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah Lautan Hindi, di barat daya Perth.

Ini adalah lokasi terpencil, jauh daripada sebarang kawasan pendaratan. Justeru, dengan penuh rasa sedih dan kesal, saya ingin memaklumkan bahawa susulan maklumat terbaru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.


Butiran terperinci hari ini

Kami akan mengadakan sidang media esok (hari ini) dengan butiran lebih terperinci. Sementara itu, kami ingin memaklumkan perkembangan terbaru ini seawal mungkin. Maklumat ini dikongsi atas dasar keterbukaan dan menghormati keluarga terbabit, dua prinsip yang menjadi panduan siasatan selama ini.

Penerbangan Malaysia sudah menemui semua keluarga penumpang dan kru terbabit bagi memaklumkan perkembangan ini. Bagi mereka, apa yang dilalui sejak beberapa minggu lalu amat memilukan. Saya tahu berita ini pasti lebih sukar diterima. Saya meminta pihak media menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang yang diperlukan dalam detik menyukarkan seperti ini.”

Mayat reput, manusia dirantai di ‘rumah puaka’


2014/03/25 - 06:25:42
Lagos: Polis Nigeria menjumpai jasad reput, tengkorak dan manusia dirantai di sebuah rumah di Ibadan yang dianggap sebagai ‘rumah puaka’. Mereka berkata manusia kurus dan kekurangan zat makanan juga dilihat berkeliaran di kawasan hartanah itu, menurut AFP.

Polis menyerbu rumah itu selepas sekumpulan orang awam mencari saudara mereka seorang pemandu teksi yang hilang di kawasan terpencil komuniti Soka dan menemui beberapa orang yang dikurung.
“Apabila kami tiba di bangunan terbiar itu semalam, kami nampak mayat reput, tulang dan tengkorak di dalam bangunan di sekitar semak,” kata jurucakap negeri Oyo, Olabisi Ilobanafor.

“Ada yang kekurangan zat dan kelihatan seperti tengkorak hidup turut diselamatkan dari semak di sekitar bangunan. Salah satu daripada mereka mati di tempat kejadian sebaik ketibaan kami,” katanya.

Ilobanafor berkata, siasatan pembunuhan dilancarkan dan enam suspek ditahan di tempat kejadian. Ibadan adalah bandar ketiga terbesar Nigeria dan pusat negeri Oyo.

Ritual ilmu hitam

Di Nigeria, mangsa culik sering dibunuh dalam ritual ilmu hitam, mendapatkan organ atau bahagian badan mereka yang dijual di wilayah selatan negara itu.
Mayat kerap dijumpai ditinggalkan di tepi jalan berdekatan bandar dengan bahagian badan mereka hilang, termasuk mata dan kemaluan.

Akhbar Vanguard Nigeria tahun lalu melaporkan bahawa tiga penjual organ dan mangsa culik sudah mendedahkan ‘senarai harga’ individu hidup boleh dibeli pada harga 150 euro (RM681.55), kepala 30 euro (RM136.31) dan kemaluan 36 euro (RM163.57).

Akhbar Tribune Nigeria melaporkan bahawa 15 orang ditemui dirantai dalam sebuah bangunan di Ibadan dan enam pistol dan pisau pemotong ditemui di rumah bersebelahan.

Bekas mengandungi pakaian, kasut, telefon bimbit dan kad bank ditemui di dalamnya.
Tribute mendakwa seorang wanita ditahan dan dipaksa melahirkan anak pada Jumaat sebelum itu. Anaknya itu dilarikan.

Akhbar Nation melaporkan bahawa tubuh badan dibuang dalam kubur cetek dan perigi buta.-AFP

Keluarga tidak dapat tahan kesedihan


BEIJING: Hanya kedengaran raungan kedukaan daripada keluarga penumpang MH370 yang ditempatkan di Hotel Lido di sini sejurus berakhirnya pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai perkembangan terkini berhubung pesawat itu malam ini.

Beberapa anggota keluarga pengsan dan terpaksa diusung keluar oleh anggota paramedik selain berlaku pergelutan apabila sesetengah waris yang kesedihan cuba
menghalang jurufoto daripada merakam gambar mereka.




"Berhenti ambil gambar. Hentikan sekarang," jerit seorang lelaki kepada
kumpulan petugas media terbabit dan cuba menolak mereka sebelum dihalang oleh

pengawal keselamatan.
Hampir 100 pengamal media berkumpul di hotel itu bagi menunggu pengumuman
Najib.

Difahamkan anggota keluarga terbabit diberi taklimat oleh pegawai Malaysia
Airlines (MAS) sebelum mendengar pengumuman Perdana Menteri.

Dalam pengumumannya, Najib berkata penerbangan MH370 berakhir di selatan
Lautan Hindi.

Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing yang hilang sejak 8 Mac lalu, membawa 227 penumpang dengan 154 daripadanya merupakan warga China.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Datuk diwaran tangkap muncul


Kuala Lumpur: Selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini, mengeluarkan waran tangkap terhadapnya, akhirnya ahli perniagaan Datuk Rosman Ridzwan muncul di mahkamah buat kali pertama bagi kes permohonan tunjuk sebab pelanggaran perintah bayaran RM4.404 juta difailkan bekas isterinya.

Rosman, 57, selaku responden yang diwakili peguam syarie Yusmawati Ab Ilah hadir pada sebutan kes itu di hadapan pendaftar mahkamah.


Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, peguam syarie Siti Nor Aira Mat Johar yang mewakili Hayati Mohammad, 55, selaku pemohon memaklumkan pada sebutan kes itu semalam, Rosman memfailkan pembelaannya.

Menurut Siti Nor Aira, antara kandungan pembelaannya, responden menafikan dakwaan dibuat bekas isterinya berhubung pelanggaran perintah itu.


Selain itu, dalam pembelaan itu juga Rosman menafikan menerima sebarang saman daripada bekas isterinya selain mendakwa tidak menerima perintah mahkamah. Responden mendakwa hanya mengetahui mengenai tuntutan dibuat Hayati melalui laporan akhbar.


Mahkamah menetapkan 29 April depan untuk perbicaraan kes permohonan tunjuk sebab pelanggaran perintah bayaran RM4.404 juta difailkan Hayati.

Terdahulu, pada 22 Mac 2013, mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden membayar RM4.404 juta kepada Hayati merangkumi bayaran mutaah (RM2.826 juta), nafkah tertunggak (RM1.52 juta), edah (RM30,000) dan hutang membaiki rumah berjumlah RM28,393.

Bagaimanapun, Rosman gagal membayar jumlah itu menyebabkan Hayati memfailkan permohonan pada 9 Disember tahun lalu untuk mendapatkan kebenaran mengeluarkan notis tunjuk sebab secara ex-parte terhadap Rosman.

Pasangan itu berkahwin pada 27 Disember 1980 dan berpisah secara taklik pada 1 Mac 2007. Mereka dikurniakan lima cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Pelajar Nigeria diarah bela diri


Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini semalam, memerintahkan seorang pelajar warga Nigeria membela diri terhadap tuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 1585.1 gram yang disorokkan dalam dua pasang kain dalam bagasi miliknya, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Ndukwe Victor Michael, 32, pada akhir kes pendakwaan.


Mengikut tuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berkenaan di laluan keluar Kaunter Pemeriksaan Kastam Aras 3, Bangunan Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, dekat sini, pada jam 11 malam, 7 Ogos 2011.



Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mirza Mohamad manakala Ndukwe Victor diwakili Saranjit Kaur Sidhu.


Lima saksi pendakwaan tampil memberi keterangan sepanjang perbicaraan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Polis tumpas geng curi kereta


Tawau: Polis berjaya menumpaskan sekumpulan lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes curi kenderaan di sekitar daerah ini dalam kejadian kejar mengejar di Sin Onn Tiku, dekat sini awal pagi tadi.




Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Superintendan Awang Besar Dullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi tadi apabila beberapa anggota polis peronda terserempak dengan sebuah Nissan Navara yang hilang sejak Ahad lalu di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Dipanah di leher


Penampang: Seorang lelaki cedera apabila satu anak panah melekat di lehernya manakala seorang lagi rakannya cedera ditetak dalam pergaduhan berhampiran kelab malam di sini, awal pagi tadi.




Difahamkan dua lelaki berusia 20-an itu diserang sekumpulan antara lima hingga lapan lelaki manakala anak panah terbabit dilepaskan menggunakan lastik atau dikenali sebagai 'flying feather' atau pitik.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Bahana tumbuk penjual kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
Bahana tumbuk penjual kereta
Chee Soon (kanan) dilihat terpinga-pinga walaupun hukuman telah dijatuhkan.
25 Mac 2014


GEOREGTOWN - Gara-gara tidak berpuas hati dengan kereta yang dibelinya, seorang lelaki berusia 56 tahun bertindak menumbuk seorang penjual kereta.

Tertuduh, Lee Chee Soon dari Jalan P. Ramlee itu bertindak sedemikian di sebuah kedai kereta mewah berhampiran Jelutong.

Akibatnya, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan berkenaan.

Pengadu yang berusia 42 tahun mendakwa tertuduh pada 28 September 2013 masuk ke kedai kira-kira jam 11.15 pagi dan kemudiannya menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kereta yang dibeli.

Namun kemudiannya tidak semena-mena tertuduh menumbuk pengadu yang juga penjual kereta di situ.

Atas kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chee Soon yang kelihatan menggelabah sejak awal lagi kemudiannya kelihatan terpinga-pinga seketika apabila dipanggil Majistret, Umma Devi Loganathan.

Dia dilihat beberapa kali ditegur anggota polis kerana duduk ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Namun setelah kesemua pendakwaan dibaca dalam Bahasa Hokkien, tertuduh mengangguk tanda bersalah dan merayu supaya hukuman diringankan.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,200 terhadap tertuduh, sekiranya gagal bayar, lima bulan penjara akan dikenakan.

Nekad rampas jentera bomba

SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
Nekad rampas jentera bomba
Keadaan lampu isyarat yang rosak akibat rempuhan jentera bomba yang dilarikan suspek ketika terdesak mencari jalan meloloskan diri daripada sekatan polis.
25 Mac 2014

TELUK INTAN - Seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah bertindak nekad melarikan sebuah jentera bomba Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang dan memandunya sehingga sejauh 14 kilometer (km) sebelum berjaya ditahan polis 45 minit selepas itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek berusia 30 tahun dari Batu 4 Kampung Selabak, Teluk Intan, dipercayai masuk ke bilik jentera ketika anggota dalam pertukaran syif tugas harian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, suspek masuk ke bilik jentera dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 sebelum menghidupkan enjin jentera bomba dan bertindak merempuh pagar bilik balai bomba terbabit dan melarikan diri ke arah Teluk Intan.

Beliau berkata, anggota bomba telah memaklumkan kejadian kepada pihak dan sepasukan MPV dari Balai Polis Hutan telah mengejar jentera bomba yang dilarikan oleh suspek yang menghala ke Teluk Intan.

“Dalam masa yang sama, anggota MPV Balai Polis Hutan Melintang turut membuat hebahan kepada petugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis  Daerah (IPD) Hilir Perak selain mengarahkan kenderaan yang dilarikan suspek ditahan kerana membahayakan nyawa pemandu lain pada ketika itu.

“Ketika jentera bomba dilarikan, suspek telah melanggar beberapa pembahagi jalan, tiang lampu dan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diletakkan di Batu 6, turut dilanggar,” katanya kepada Sinar Harian, di IPD Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, kira-kira jam 11.30 pagi, tiga MPV dan dibantu anggota Unit Rondaan Bermotosikal serta trafik cuba menahan jentera bomba yang dipandu suspek di KM 3.5 Jalan Maharajalela dengan membuat sekatan jalan.

Namun katanya, suspek tidak mengendahkan arahan yang diberikan oleh polis dan cuba melarikan diri dengan melanggar beberapa buah kereta awam, lampu isyarat serta tiang lampu.

Beliau berkata, jentera bomba yang dipandu oleh suspek  kemudiannya terhenti di tengah-tengah  pembahagi jalan di KM 3.5 berhampiran Kilang Caely Girl berhampiran dengan persimpangan lampu isyarat Kampung Banjar.

“Kami menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bagi membantu siasatan dan ujian saringan awal air kencing suspek mendapati  positif dadah jenis Methamphetamine.

“Polis juga percaya suspek memandu jentera bomba dengan pengaruh dadah sehingga melakukan pelbagai kerosakan termasuk kenderaan  milik orang awam dan setakat ini tiga  pemilik kereta telah membuat laporan polis berkenaan kerosakan yang dialami,” katanya.

Ketika soal siasat dijalankan, suspek memberi tahu tujuan berbuat demikian kerana mendakwa anggota bomba menipu berdasarkan bunyi siren jentera berkenaan.

Buat maksiat dalam banglo dua tingkat

Buat maksiat dalam banglo dua tingkat

WARTAWAN SINAR HARIAN

BUKIT BERUNTUNG - Lokasi tersorok dan jauh daripada pandangan awam menjadikan sebuah banglo dua tingkat  berdekatan sebuah kelab golf di sini sasaran golongan remaja melakukan maksiat.

Kegiatan remaja lelaki dan perempuan berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun seringkali dihidu penduduk di kawasan sekitarnya.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai nenek, 69, berkata, kumpulan remaja terbabit sering memasuki kawasan  hujung minggu di antara jam 5 hingga 7 petang.
“Selalunya nenek tengok budak naik motor beramai-ramai ke belakang nak hidu gam.

“Nenek dengar budak itu buat perkara tak senonoh lelaki dan perempuan. Lebih sedih perempuan dijadikan habuan bila ada perlumbaan motosikal,” katanya.

Manakala seorang lagi penduduk yang bekerja di kelab golf berkenaan dikenali sebagai Selvadewi, 40, berkata, dia dan suaminya pernah terserempak sekumpulan remaja bermotosikal kemalangan berdekatan banglo tersebut.

“Pakcik (suami) bersama pemain golf pernah tolong seorang budak perempuan yang cedera sebab jatuh bersama motosikal dalam longkang.

“Pakcik tanya budak tu, kamu perempuan buat apa dalam hutan ni dengan ramai budak lelaki, tapi lepas diselamatkan budak tu terus lari,” katanya.

Menurutnya, ini bukan pertama kali dia terserempak remaja bermotor masuk ke kawasan banglo itu kerana hampir setiap hujung minggu dan cuti sekolah pasti ada kumpulan bermotor masuk ke kawasan tersebut.

Pejalan kaki tak sayang nyawa

HIDAYAH HAIROM
Pejalan kaki tak sayang nyawa
Lensa Sinar Harian dari atas jejantas berjaya merakamkan gelagat seorang wanita yang mahu melintasi jalan raya yang sibuk.
24 Mac 2014
 KUALA LUMPUR - Kemudahan jejantas di Jalan Genting Klang yang disediakan tidak dimanfaatkan, sebaliknya, orang awam lebih rela membahayakan diri melintasi jalan raya yang sentiasa sibuk itu.

Tinjauan dilakukan Sinar Harian mendapati, terdapat segelintir pejalan kaki yang tidak menghiraukan keselamatan diri malah sanggup berpanas di tengah-tengah jalan raya semata-mata mengelak daripada menggunakan jejantas.

Palang di antara dua hala yang dipasang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) nyata tidak cukup ‘kebal’ untuk menghalang mereka yang tidak mematuhi syarat lalu lintas ini.

Bukan hanya orang muda, malah warga emas turut dilihat selamba melintas jalan walaupun kemudahan jejantas hanya terletak kurang 50 meter dari tempat lintas.

Pekerja swasta, Ahmad Iqram Salleh, 29, berkata, situasi itu bukan perkara janggal, lebih-lebih lagi terdapat hentian bas di kedua-dua belah jalan.

Katanya, ada dalam kalangan penumpang bas yang turun di hentian terus melintas ke seberang jalan tanpa menggunakan jejantas.

“Mungkin mereka malas nak jalan ke depan sikit untuk guna jejantas.

“Ada juga yang bawa anak sanggup ambil risiko melintas jalan sibuk daripada ambil sedikit masa guna jejantas," katanya kepada Sinar Harian.

Peniaga, Rahimah Abdullah, 50, berkata, pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas untuk melintas dilihat tidak mengambil iktibar daripada kejadian kemalangan yang sering berlaku di laluan itu.

Katanya, sebelum ini dia beberapa kali melihat kejadian kemalangan melibatkan pejalan kaki.

“Walaupun ada pagar di tengah-tengah jalan, mereka masih boleh menyelit antara tiang lampu, sebab itu masih ada yang melintas," katanya.

Sementara itu, kakitangan bank, Siti Mastura Ibrahim, 26, berkata, tindakan penguatkuasaan perlu lebih kerap dilakukan untuk memberi pengajaran kepada golongan berkenaan.

“Kawasan ini selalu ada penguatkuasa DBKL yang datang saman kereta, tapi tak beri perhatian kepada pejalan kaki yang lintas tak guna jejantas,” katanya.

Maut langgar tayar lori tercabut

SYAMILAH ZULKIFLI
Maut langgar tayar lori tercabut
Mayat mangsa dibawa ke HTJS untuk tindakan lanjut. 
25 Mac 2014
NILAI – Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Alza dipandunya melanggar sebiji tayar lori yang tercabut sebelum kenderaan dipandunya itu merempuh pembahagi tengah jalan di Kilometer 283.7 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Eddy Khoo, 25, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu secara bersendirian dipercayai dari Kuala Lumpur menghala ke Seremban.

“Namun sejurus sampai di lokasi, mangsa yang memandu di lorong paling kanan dikejutkan dengan kehadiran sebiji tayar lori dari arah bertentangan yang tercabut secara tiba-tiba lalu memasuki lorong dipandu mangsa.

“Kejadian itu mengakibatkan kereta dipandu mangsa melanggar tayar berkenaan sekali gus menyebabkan kenderaannya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan,” katanya.

Menurutnya, rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tersepit dan cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Kata jurucakap, pasukan bomba dan penyelamat dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.

“Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut sebelum dituntut ahli keluarganya,” katanya.

Sementara itu, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, lori 10 tan terbabit yang membawa muatan batu dipercayai dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Kuala Lumpur.

“Difahamkan lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun. Selepas menyedari sebuah tayar sebelah kanan bahagian hadapan tercabut, pemandunya berhenti di lorong kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian itu.

Pembantu katering dipenjara empat tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN
Pembantu katering dipenjara empat tahun
Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah.
25 Mac 2014


AYER KEROH - Seorang bekas pembantu katering yang melakukan pecah rumah dan curi 13 tahun lalu akhirnya menerima balasan apabila dia dipenjara empat tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman itu diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap tertuduh, Mohd Irwan Abdul Jabar, 32, yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara selama tiga tahun atas kesalahan sama bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara dua tahun enam bulan selepas mahkamah memerintahkan ia berjalan serentak bermula semalam.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri masing-masing seutas rantai leher emas dan rantai tangan emas serta wang tunai kira-kira RM700 yang semuanya bernilai RM2,000 kepunyaan Muhammad Nabil Vethivell, 47.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah Muhammad Nabil di Taman Setia Jaya, Lorong Pandan antara jam 9 pagi dan 7 malam pada 8 Julai 2001.

Mohd Irwan turut didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri dua buah tabung mengandungi wang kira-kira RM300, wang tunai dianggarkan RM350, wang simpanan kira-kira RM600 yang semuanya dianggarkan bernilai RM1,250 kepunyaan Md Yusof Endot, 58.

Kesalahan itu dilakukannya di rumah Md Yusof di Batu 5 1/2 Bukit Rambai antara jam 1 petang hingga 2 petang pada 3 Februari 2002.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda atau 14 tahun penjara dan denda atau sebatan bagi kesalahan kedua.

Selepas meneliti fakta kes, Mohd Firdaus kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM3,000, jika gagal bayar dipenjara tiga bulan bagi kesalahan pertama, manakala penjara dua tahun enam bulan dan denda RM5,000, jika gagal bayar dipenjara lima bulan bagi pertuduhan kedua.

Nenek maut langgar pokok


SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
25 Mac 2014


BANDARAYA MELAKA - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggang terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Lebuh AMJ dekat Kandang, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Yew Kwan Yoke, 64, yang meninggal dunia di tempat kejadian turut terjatuh ke dalam parit dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu.

Menurut sumber, mangsa yang menunggang sendirian motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Jasin menghala Bandar Melaka mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

“Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai terbabas sendiri ke kiri jalan lalu melanggar pokok sebelum masuk ke dalam parit di kawasan berhampiran sebuah sekolah memandu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian dan berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi yang melihat kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau berhubung Pegawai Penyiasat, Inspektor Saad Bidin atau datang ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Kilang roti terbakar

NORAFIDAH ASSAN
Kilang roti terbakar
Abd Wahid (tiga, kanan) bersama beberapa pemimpin setempat melihat keadaan kilangnya selepas terbakar, pagi semalam
25 Mac 2014
 JEMPOL - Seorang pemilik kilang kerugian hampir RM3 juta selepas bahagian pemprosesan roti di dalam premisnya terbakar, pagi semalam.

Kilang roti berkenaan yang mula beroperasi sejak 1962 itu terbakar kira-kira 60 peratus dan ia disedari oleh orang awam sekitar jam 6 pagi.

Pemiliknya, Abd Wahid Sardar Ahmad, 50, berkata, kejadian tersebut dimaklumkan orang ramai kepada abangnya yang tinggal bersebelahan kilang tersebut.

Menurutnya, kilang itu ditutup sepenuhnya sekitar jam 2.30 pagi, ketika itu tiada pekerja. Api dipercayai bermula di bahagian pemprosesan yang menempatkan dua mesin pembakar bersaiz besar.

"Bagaimanapun, kerja pembuatan roti akan diteruskan dalam masa terdekat. Kerosakan kecil akan dibaik pulih petang ini juga, yang mungkin siap dalam tempoh beberapa minggu.

"Kerosakan besar iaitu di bahagian pemprosesan mengambil masa yang agak lama untuk dibaik pulih susulan ianya turut melibatkan kerosakan di bahagian bumbung dan atap kilang,” katanya.

Kilang yang diuruskan oleh Abdul Wahid adik beradik sejak 30 tahun lalu itu terkenal dengan jenama Roti Abdul.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Bandar Seri Jempol, Ab Halim Kamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.40 pagi.

“Namun, pasukan Bomba Sukarela Ladang Geddes terlebih dahulu tiba di tempat kejadian bagi mengelakkan api merebak ke bahagian lain.

“Api padam sepenuhnya pada jam 7.30 pagi dan ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika mengulas lanjut insiden itu.

Lima tukang urut kena cekup

NUR FARHANA ABDUL MANAN
Lima tukang urut kena cekup
Tukang urut yang diserahkan kepada pihak polis selepas dicekup di premis pusat urut haram di Bandar Puteri. 
25 Mac 2014
PUCHONG - Dua premis urut yang dipercayai menawarkan aktiviti pelacuran antara yang dikenakan tindakan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam Ops Khas yang dilakukan, semalam.

Rampasan set peralatan urut dan tindakan penutupan premis diambil di bawah UUK 3 Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan Dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007.

Lima tukang urut yang didapati menyalahgunakan permit perjalanan dicekup dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi Khas itu melibatkan Unit trafik Jabatan Penguatkuasaan MPSJ yang memberi penekanan terhadap pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dengan mengeluarkan 598 Notis Tawaran Kompaun (NTK).

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar Mohd Rasip Rasul berkata, meskipun sudah melaksanakan beberapa kali operasi trafik khas sebelum ini, pemandu dilihat masih berdegil dan membelakangkan undang-undang.

Katanya, antara kesalahan dilakukan termasuk meletakkan kenderaan di tempat tidak sepatutnya dan menyebabkan halangan.

Tindakan diambil bawah Peruntukan tempat letak kereta MPSJ 2007, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, dalam Ops Khas dilaksanakan bersama 90 anggota, pihaknya turut membuat pemeriksaan lesen di premis perniagaan di kawasan Bandar Puteri.

Sebanyak 21 NTK dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen dan melanggar syarat-syarat lesen yang dikeluarkan.

Selain menyita dua rumah urut, anggota MPSJ juga berjaya menurunkan 347 unit iklan haram yang dipamer tanpa kebenaran pihak majlis.

Pengusaha berdepan tindakan di bawah UUK 7 Undang-undang Kecil Iklan MPSJ 2007.

'Aku koyak muka mu..'


RUBIAH OMAR
25 Mac 2014


KUALA TERENGGANU - “Aku akan koyak muka mu dan anak.. aku akan selam anak dalam air kalau bising." Itu antara kata-kata ugutan daripada seorang suami kepada isterinya, dalam satu kejadian di kediaman pasangan itu di Kampung Pulau Sekati, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, suspek yang berusia 42 tahun dipercayai meluahkan kata-kata berbaur ugutan kepada isterinya selepas tidak berpuas hati terhadap bapanya yang enggan menyerahkan wang RM200 seperti yang diminta sebelum itu.

Menurut sumber, sebelum kejadian, suspek yang bekerja sebagai buruh ada meminta wang RM200 daripada bapanya, 60-an, bagaimanapun permintaan itu tidak diendahkan menyebabkan suspek naik angin sebelum melepaskan perasaan amarahnya kepada mangsa, 34.

“Mangsa yang ketika itu berada di rumah terpinga-pinga apabila suspek secara tiba-tiba mengamuk dengan mengeluarkan kata-kata ugutan yang ditujukan kepada dirinya dan anak mereka.

“Bimbang perkara tidak diingini berlaku memandangkan keadaan suspek ketika itu seperti orang kurang siuman menyebabkan mangsa nekad keluar dari rumah bersama anak untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Kata sumber lagi, mangsa yang masih tertanya-tanya punca suaminya tergamak bertindak sedemikian telah dimaklumkan bapa mertuanya bahawa suspek mungkin ingin melepaskan geram kerana permintaannya untuk mendapatkan wang RM200 sebelum itu tidak dilayan.

Mangsa yang bimbang keselamatan keluarganya serta harta benda di kediamannya pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, beberapa jam selepas kejadian.

Suspek dipercayai ditahan polis hari sama laporan dibuat untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Polis cari teman lelaki bantu siasatan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Polis cari teman lelaki bantu siasatan
Laporan Sinar Harian 23 Mac lalu 
25 Mac 2014
BALING - Polis sedang menjejaki teman lelaki seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang dilaporkan hilang di sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil tiga hari sebelum majlis akad nikahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, keterangan lelaki berusia lingkungan 30-an itu diperlukan untuk membantu siasatan.

“Kita sudah menghubungi nombor telefon teman lelaki wanita itu tetapi tiada jawapan. Bagaimanapun, kita akan giatkan operasi untuk mencari dan mengesannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling semalam.

Beliau berkata, sehingga kini, polis sudah merakam keterangan daripada enam orang individu termasuk ahli keluarga dan kenalan rapat wanita tersebut.

“Kes ini masih dalam siasatan. Ia akan dibuat dari pelbagai sudut untuk mengetahui punca wanita keluar rumah, penganjuran majlis perkahwinan dan masalah keluarganya.

“Kita membuka kertas siasatan kes ini bawah orang hilang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu atau teman lelakinya boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Balai Polis Tawar, Sarjan Mejar Nasir Omar di talian 04-4766221 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, ahli keluarga wanita itu ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Tiban, Tawar, Kuala Ketil enggan mengulas lanjut kes berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita dalam lingkungan usia 20-an didakwa diculik di depan sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil beberapa hari lalu.

Menurut laporan itu, wanita berkenaan dikatakan diculik oleh beberapa lelaki dengan menggunakan dua kereta pada Selasa minggu lalu.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati wanita itu dipercayai mempunyai teman lelaki lain sebelum bertunang. Majlis perkahwinan sepatutnya berlangsung pada 21 Mac lalu.

Buat maksiat dalam banglo dua tingkat

WARTAWAN SINAR HARIAN
Buat maksiat dalam banglo dua tingkat
Keadaan dalam banglo yang dipercayai menjadi tempat remaja melakukan perbuatan sumbang dan menghidu gam. 
25 Mac 2014
BUKIT BERUNTUNG - Lokasi tersorok dan jauh daripada pandangan awam menjadikan sebuah banglo dua tingkat  berdekatan sebuah kelab golf di sini sasaran golongan remaja melakukan maksiat.

Kegiatan remaja lelaki dan perempuan berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun seringkali dihidu penduduk di kawasan sekitarnya.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai nenek, 69, berkata, kumpulan remaja terbabit sering memasuki kawasan  hujung minggu di antara jam 5 hingga 7 petang.
“Selalunya nenek tengok budak naik motor beramai-ramai ke belakang nak hidu gam.

“Nenek dengar budak itu buat perkara tak senonoh lelaki dan perempuan. Lebih sedih perempuan dijadikan habuan bila ada perlumbaan motosikal,” katanya.

Manakala seorang lagi penduduk yang bekerja di kelab golf berkenaan dikenali sebagai Selvadewi, 40, berkata, dia dan suaminya pernah terserempak sekumpulan remaja bermotosikal kemalangan berdekatan banglo tersebut.

“Pakcik (suami) bersama pemain golf pernah tolong seorang budak perempuan yang cedera sebab jatuh bersama motosikal dalam longkang.

“Pakcik tanya budak tu, kamu perempuan buat apa dalam hutan ni dengan ramai budak lelaki, tapi lepas diselamatkan budak tu terus lari,” katanya.

Menurutnya, ini bukan pertama kali dia terserempak remaja bermotor masuk ke kawasan banglo itu kerana hampir setiap hujung minggu dan cuti sekolah pasti ada kumpulan bermotor masuk ke kawasan tersebut.

Kanak-kanak nyaris disambar api


WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mac 2014
Kanak-kanak nyaris disambar api
 Kediaman yang disewa tiga keluarga musnah dalam kebakaran semalam.
Kanak-kanak nyaris disambar api
Fahmee ditenangkan ahli keluarganya selepas trauma dalam kejadian itu semalam.



KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun nyaris disambar api dalam kejadian di Kampung Lorong Air Batu, Telipot di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.00 pagi itu, mangsa, Nik Mohd Fahmee Aiman Nik Mohd Fathilah yang sedang tidur dalam biliknya, terjaga apabila merasa bahang panas di bahagian atas kepalanya.

“Saya terus bangun dan apabila mendongak ke bahagian suis lampu, saya lihat api mula menyambar ke keseluruhan bilik, mujurlah saya bertindak cepat menyelamatkan diri kerana api betul-betul menyambar di bahagian katil di tempat tidur saya.

“Semasa turun dari tangga tingkat atas rumah, saya sempat berteriak meminta tolong kepada abang yang sedang menonton televisyen di ruang tamu yang bilik tidur kami terbakar,” katanya kepada media ketika di temui di lokasi kejadian semalam.

Nik Mohd Fahmee berkata, abangnya turut bergegas keluar dari rumah mereka dan berjaya menyelamatkan diri.

Fahmi yang masih trauma dan terkejut dengan kejadian itu, kemudiannya cuba ditenangkan ahli keluarganya.

Menurut ibunya, Mashitah Baharudin, 53, dia yang keluar bekerja hanya dimaklumkan oleh jiran terdekat kediaman tingkat atas yang disewanya sejak tiga tahun lalu, terbakar melalui panggilan telefon.

“Saya terus pulang dari tempat kerja dan dengan rasa sedih mendapatkan anak saya, Nik Mohd Fahmee, mujurlah dia selamat memandangkan semasa kejadian saya dan suami tiada di rumah hanya tinggal dia dan abangnya berdua. Syukurlah semuanya selamat walaupun kesemua barangan dalam rumah gagal diselamatkan,” katanya.

Seorang penyewa lagi, Maimun Muda, 47, berkata, ketika kejadian dia yang menyewa di tingkat bawah berkata, dia hanya dimaklumkan jiran apabila ternampak api dari tingkat atas rumah salah seorang penyewa terbakar.

“Saya yang ketika itu sedang berehat sambil menonton televisyen terus keluar dari rumah dan hanya dapat mencapai beg tangan dan pengenalan serta kain baju yang berada berdekatan.

“Barang-barang lain saya tak dapat selamatkan kerana api marak begitu cepat dan memusnahkan keseluruhan kediaman yang disewa tiga keluarga,”katanya.

Sementara itu Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat, Penguasa Bomba Kanan II, Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.26 dan sampai di tempat kejadian pada jam 10.33.

“Dalam operasi memadam kebakaran kali ini, melibatkan tiga  jentera dari balai bomba Tunjung, Kota Bharu dan Darul Naim dengan 15 anggota.

“Walaupun bekalan air agak kurang namun kita berjaya memadamkan kebakaran dari terus merebak ke tingkat bawah dan ketika sampai hampir 70 peratus bangunan terbabit terbakar, namun setakat ini kita masih menjalankan siasatan terhadap punca dan kerugian akibat kebakaran,” katanya.

Kes buang bayi: Penuntut IPT disiasat polis

AHMAD ISMADI ISMAIL
Penuntut IPT disiasat polis
Laporan Sinar Harian, semalam.
25 Mac 2014
 KUALA LUMPUR – Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi perempuan dalam tong sampah di tandas wanita di Terminal Bas Bersepadu Selatan, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu berasal dari Johor Bahru, ditahan di Kajang kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Bayi malang itu ditemui seorang tukang cuci, wanita warga Indonesia, ketika menukarkan plastik sampah di tandas berkenaan, kira-kira jam 11.30 malam.

Dia mendapati bungkusan sampah itu agak berat daripada kebiasaan, sebelum menjumpai mayat bayi berkenaan. Dia kemudian segera memaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di Balai Polis Terminal Bas Bersepadu Selatan.

Ia dibungkus dalam lapisan tisu putih dan dibalut dengan plastik sampah warna biru.

Siasatan juga mendapati ada kesan luka dileher bayi berkenaan, dipercayai terkoyak semasa dilahirkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada seorang pensyarah sebuah IPT berhubung kejadian tersebut.

"Pensyarah itu mendakwa penuntutnya memaklumkan terdengar tangisan bayi di dalam tandas di IPT tersebut kira-kira jam 7.30 malam pada hari kejadian, sebelum ternampak wanita berkenaan keluar dari IPT itu dengan membawa dua beg plastik,"
katanya.

Menurutnya, wanita tersebut dipercayai tinggal di sebuah hotel di Melaka sejurus selepas kejadian itu, sebelum pulang semula ke IPT berkenaan.

"Pensyarah tersebut telah membawa penuntut berkenaan ke balai polis berhampiran, sebelum dibawa berjumpa dengan doktor di sebuah hospital dan disahkan baru bersalin.

"Siasatan awal mendapati wanita itu mengaku melahirkan bayi itu, sebelum membawanya ke Terminal Bersepadu Selatan," katanya.

Gelagat wanita kacau lalu lintas

k
Butterworth: Gelagat seorang wanita berjalan di garisan tengah Jalan Sungai Lokan dekat sini, tengah hari semalam, mencemaskan pemandu selain menarik perhatian beberapa penduduk yang melalui jalan berkenaan.

Wanita dipercayai warga Indonesia berusia 30-an dilihat berjalan tanpa memakai kasut dari Sungai Puyu menghala Sungai Dua, di sini, pada jam 12 tgh hari.


Beberapa pemandu yang terkejut dengan gelagat wanita berkenaan membunyikan hon beberapa kali, tetapi tidak diendahkan.



Seorang penduduk yang menyedari tindakan wanita terbabit boleh mengundang kemalangan mengarahkannya ke tepi jalan, tetapi dia tetap meneruskan perjalanan tanpa mempedulikan kenderaan yang lalu-lalang.


Seorang pemandu yang enggan dikenali berkata, tindakan wanita terbabit boleh mengundang bahaya bukan saja kepada dirinya, malah pengguna jalan raya lain.


“Dia berjalan di tengah jalan dengan selamba menghala pekan Sungai Dua walaupun ada kenderaan membunyikan hon beberapa kali. Tambahan pula Jalan Sungai Lokan sentiasa sibuk dengan kenderaan menuju pekan ini dan Lebuhraya Utara-Selatan.

“Mungkin dia warga asing dan sedang mengalami tekanan kerana berjalan tanpa memakai kasut,” katanya.


Kebetulan seorang penduduk yang menunggang motosikal mengekori wanita terbabit sebelum mengarahkannya ke tepi jalan. Pertuturan wanita terbabit juga tidak jelas sebelum dibantu penduduk yang menghantarnya ke pekan Sungai Dua.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

‘Kalau kamu dekat, saya potong kepala’


Penampang: “Kalau kamu (pasukan keselamatan) dekat, saya potong kepala sampai putus.” Demikian ugutan seorang lelaki yang lalok apabila cuba membunuh dirinya dalam kejadian di Jalan Penampang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, lelaki berusia 20 tahun itu bertindak demikian dipercayai akibat mengambil dadah jenis syabu sebelum disedari anggota polis lalu cuba menahannya menyebabkan lelaki terbabit mengugut mahu mengelar lehernya. 
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu gagal apabila anggota polis dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Kinabalu, berjaya menahannya daripada mencederakan dirinya dengan sebilah pisau pemotong sayur. 

Menurut sumber, ketika kejadian, lelaki terbabit menyedari kehadiran anggota polis di lokasi kejadian lalu terjun ke dalam parit besar di tepi jalan di Jalan Penampang.
Foto
LELAKI yang dipercayai lalok akibat mengambil dadah mengelar lehernya sendiri.

“Anggota polis cuba memujuk lelaki terbabit supaya tidak bertindak sedemikian namun gagal, malah lelaki terbabit menikam badannya beberapa kali.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

4 suspek kes bunuh masih di JB


Johor Bahru: Empat suspek yang disyaki menyebabkan kematian seorang pemandu lori dalam kejadian pergaduhan pada 17 Mac lalu dipercayai masih berada di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya mengumpul maklumat dalam usaha memberkas suspek yang masih bebas itu.


Menurutnya, penahanan seorang suspek pada Jumaat lalu membolehkan pihaknya menambah maklumat yang dapat membantu siasatan ke atas kes terbabit.



“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kami percaya dapat menahan suspek dalam tempoh terdekat.


“Pada masa sama, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan meletakkan lorinya di kawasan yang menyebabkan kesesakan sebelum berlaku pertengkaran antara lima suspek dan mangsa.


“Mangsa dibelasah dan ditumbuk dengan teruk di kepalanya sehingga menyebabkannya parah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Sulaiman, siasatan dilakukan juga tidak menemui sebarang senjata yang digunakan dalam kejadian itu.


“Saksi kejadian yang mempunyai maklumat tambahan berkaitan kes ini ataupun suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan selepas lima hari bertarung nyawa, seorang pemandu lori yang parah dibelasah sekumpulan lelaki akhirnya menghembuskan nafas terakhir, awal pagi Jumaat lalu.


Mai Wee Heng, 53, disahkan meninggal dunia pada jam 5.15 pagi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat parah di kepala selepas diserang penjenayah terbabit ketika membantu menukar tayar kereta seorang rakannya yang pancit di Stulang Laut, di sini, pada jam 12.30 malam, 17 Mac lalu.


Difahamkan, mangsa yang juga bapa kepada tiga anak itu dikatakan meletakkan lorinya di bahu jalan kerana mahu membantu rakannya menukar tayar.


Namun, perbuatan mangsa tidak disenangi kumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta kerana mendakwa menimbulkan gangguan kepada pengguna jalan raya selain mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Spiderman pokok mangga


Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: Akibat meniru aksi adiwira pujaannya Spiderman, seorang pelajar tahun dua terlantar 18 hari di wad selepas terjatuh dari pokok mangga tiga meter tinggi di Kampung Baru, Pulau Redang, di sini.

Dalam kejadian jam 4 petang 6 Mac lalu, Muhammad Ilham Naufal Mohd Hanafi, 8, dikatakan keluar rumah dan memanjat pokok mangga selepas menonton kartun kegemarannya itu.


Ketika memanjat pokok di tepi rumahnya itu dia melompat mencapai satu dahan, tetapi gagal memaut dahan itu menyebabkan dia terjatuh ke dalam lumpur di bawah pokok itu.



Ibunya, Aziha Mat Yasin, 41, berkata, anaknya gemar menonton kartun Spiderman sebaik pulang dari sekolah dan sering memanjat pokok mangga bersama rakan sebayanya selepas itu.


“Ketika anak terjatuh, saya berada dalam rumah dan terkejut melihat dia dipapah jiran sambil meraung kesakitan.


“Tangan kirinya terkulai dan tanpa berlengah segera mendapatkan bantuan pengamal perubatan tradisional sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya ketika ditemui di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak HSNZ, di sini, semalam.

Foto
AZIHA menenangkan anaknya yang patah tangan kiri.

Menurut suri rumah itu, dia panik apabila anaknya tidak dapat menceritakan kejadian sebenar apabila ditanya sebaliknya berterusan mengerang kesakitan.


“Mengikut cerita rakannya, dia terjatuh apabila tangannya gagal memaut dahan lain ketika memanjat pokok mangga.

“Tangan kirinya dalam berlipat ke belakang badan ketika terjatuh dan terus patah sebaik terjatuh di dalam lumpur,” katanya yang memberitahu doktor terpaksa memasukkan besi halus untuk menyambung semula tulang lengan kiri anaknya yang patah itu.


Ibu kepada empat anak itu berkata, anak ketiganya itu kerap menonton kartun terutamanya Spiderman selepas pulang dari sekolah.


Katanya, kejadian itu menyebabkan dia serik membenarkan anaknya menonton kartun kerana bimbang aksi lasak animasi itu ditiru anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Jurutera maut kereta rempuh belakang lori


Tapah: Seorang jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) Machang, Kelantan, maut apabila kereta dipandu merempuh bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 332 arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, mangsa Nik Mohd Hafirullah Nik Mad, 27, beralamat Felda Kemahang, Tanah Merah, Kelantan yang memandu kereta model Honda Stream seorang diri dari arah selatan menghala ke utara sebelum secara tiba-tiba merempuh bahagian belakang sebuah lori dari arah sama.


Ketua Polis Daerah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.



“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan akibat pendarahan dan kecederaan teruk di beberapa anggota badan.


“Anggota Bomba dan Penyelamat yang dikerah ke tempat kejadian berjaya mengeluarkan mangsa dari tempat duduk pemandu sebelum dibawa ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut,” katanya. Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa merempuh bahagian belakang lori yang bergerak perlahan kerana mendaki bukit di lorong kiri. “Akibat kemalangan itu kenderaan dipandu mangsa remuk di bahagian depan sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Difahamkan jenazah mangsa dituntut oleh ahli keluarga pagi semalam dan dibawa pulang ke Tanah Merah, Kelantan untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Mati elak tayar lori


Nilai: Seorang pelajar kolej swasta maut selepas kereta dipandunya merempuh pembahagi jalan ketika cuba mengelak sebuah tayar lori kontena yang terpelanting di Kilometer 283.7, Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa dikenali Eddy Khoo, 25, mati tersepit dalam kereta selepas terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya.

Sumber polis berkata, mangsa memandu PERODUA Alza dari Kuala Lumpur menuju ke Seremban sebelum dikejutkan dengan kehadiran ‘tayar terbang’ itu dari arah bertentangan. Katanya, siasatan awal mendapati tayar sebuah lori kontena yang menghala ke ibu kota tiba-tiba tercabut dan terpelanting memasuki laluan mangsa.
“Mangsa dipercayai cuba mengelak daripada melanggar tayar itu, namun keretanya hilang kawalan dan terbabas merempuh pembahagi lebuh raya.

“Mangsa mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala, badan, kaki dan tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdullah Roning berkata, mayat dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.
Foto
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin dikerahkan ke lokasi dan tiba 10 minit kemudian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Katanya, ketika dikeluarkan, mangsa sudah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Lipas masuk seluar pencuri


Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Kerja jahat sekumpulan lima lelaki yang disyaki mencuri 25 kampit baja milik Felcra Berhad di ladang sawit di Tebing Tinggi, di sini, kelmarin, terbongkar gara-gara seekor lipas.

Seorang daripada lelaki berkenaan dikatakan tiba-tiba melatah selepas lipas masuk ke dalam seluar pendeknya ketika berhenti untuk pemeriksaan oleh pengawal keselamatan ladang terbabit.


Pengawal keselamatan, Aziz Budin, 42, berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi, dia menahan lori yang dipandu lelaki berusia 30-an ketika keluar dari ladang sawit terbabit untuk pemeriksaan.



Katanya, ketika memeriksa bahagian muatan di belakang lori berwarna merah berkenaan, dia mendapati ada empat lelaki lain yang dipercayai berusia 20 hingga 30-an.


“Pemandu memberitahu lori berkenaan tidak membawa apa-apa muatan, tetapi apabila memeriksa bahagian belakang, saya nampak ada empat lelaki duduk di atas lantai kayu kenderaan itu.


“Apabila ditanya kenapa mereka duduk di atas lantai, seorang daripada mereka menjawab bagi mengelak serpihan kayu lantai lori yang reput itu berterbangan dan boleh membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Foto
BAJA disorok bawah lantai kayu lori.

Aziz berkata, ketika ditanya tujuan mereka memasuki kawasan ladang sawit berkenaan, seorang daripada lelaki terbabit memberikan jawapan yang mencurigakan iaitu sekadar untuk makan angin.


Katanya, mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, Aziz meninjau bahagian belakang lori berkenaan sebelum seorang daripada lelaki terbabit tiba-tiba melatah apabila lipas masuk ke dalam seluarnya.

Aziz berkata, selepas membuang lipas dari dalam seluarnya, lelaki berkenaan secara spontan mengambil sekeping papan lantai lori berkenaan untuk membunuh serangga itu.


“Ketika itu saya nampak ada sesuatu di bawah lantai lori dan mengarahkan semua lelaki terbabit turun sebelum mendapatkan bantuan daripada rakan setugas untuk membuat pemeriksaan lanjut,” katanya.


Menurutnya, hasil pemeriksaan dijalankan, pihaknya mendapati ada 25 kampit baja 50 kilogram setiap satu di bahagian bawah lantai lori berkenaan yang bernilai RM2,500.


Katanya, semua lima lelaki tempatan itu ditahan sebelum dia memaklumkan perkara itu kepada pengurusan FELCRA Berhad dan seterusnya menyerahkan suspek kepada polis untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi ketika dihubungi mengesahkan semua lima lelaki terbabit kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Petaka bas berguling


Kajang: “Saya hanya mampu menjerit ketakutan sebaik terdengar bunyi dentuman di bahagian depan sebelum bas berguling dan terhempap ke atas jalan raya,” kata salah seorang mangsa bas sekolah yang terselamat dalam kemalangan di Batu 9, Jalan Hulu Langat-Ampang, semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, seorang pelajar yang juga penumpang bas sekolah berkenaan maut manakala empat lagi mangsa tersepit sejurus bas dinaiki terbabas dan terbalik dari ketinggian 200 meter. 
Mangsa berusia 17 tahun yang enggan namanya didedahkan itu memberitahu seramai 34 pelajar yang menaiki bas itu dalam perjalanan ke sebuah restoran makanan laut selepas tamat menjalani program kepimpinan pengawas di Kem Lembah Azwen di Hulu Langat, di sini. 

“Sebaik bas terbabas dan mula tergolek...kami hanya mampu menjerit panik sekuat hati. Dalam sekelip mata bas sekolah itu terhempas ke atas ke atas jalan.
Foto
SEKUMPULAN penumpang yang terselamat berjaya keluar dari bas yang terbalik.

“Kebanyakan pelajar hanya mampu menangis dan merangkak keluar dari tingkap dan cermin hadapan bas yang pecah,” katanya.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Polis tak ‘siasat’ kakitangan DCA


Johor Bahru: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melakukan siasatan terhadap 40 kakitangan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), sebaliknya ia adalah prosedur biasa bagi mendapatkan maklumat tambahan supaya misteri kehilangan pesawat MH370 dapat dirungkai.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, istilah siasatan adalah tidak tepat digunakan untuk merujuk tindakan berkenaan, sekali gus memberi tanggapan serong terhadap kredibiliti kakitangan DCA secara keseluruhan.


“Saya kena betulkan persepsi, siasatan tidak dilakukan terhadap pegawai DCA, tetapi untuk memperoleh maklumat, polis perlu menemubual semua pihak yang dijangka boleh memberikan maklumat tambahan kepada siasatan yang sedang dilakukan.



“Saya harap media tempatan dan luar negara harus mengetahui prosedur perolehan maklumat oleh PDRM kerana kita tidak mahu ada pandangan yang serong terhadap pegawai DCA kerana tujuan polis adalah baik,” katanya ketika sidang media selepas melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, semalam.


Hadir sama Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.


Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan sebuah akhbar yang menyatakan polis menyiasat 40 kakitangan DCA berhubung insiden menimpa pesawat MH370.

Menurutnya, keperluan untuk memanggil sesiapa saja termasuk kakitangan agensi kerajaan adalah bergantung kepada PDRM dengan tujuan mengukuhkan siasatan.


“Bergantung kepada maklumat yang diperoleh, apa yang dilakukan oleh PDRM sudah tentu untuk membantu siasatan.

“Maklumat tambahan akan mengukuhkan hasil siasatan sekali gus membantu mencari punca terhadap kehilangan pesawat MH370,” katanya.


Sementara itu di Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis masih mengekalkan fokus terhadap empat kemungkinan yang dinyatakan sejak awal siasatan.


Menurutnya, empat fokus siasatan iaitu membabitkan kemungkinan berlaku rampasan pesawat, sabotaj, keadaan psikologi penumpang dan kru selain masalah peribadi penumpang atau kru yang menaiki pesawat itu.


“Siasatan kini diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah. Polis masih berusaha dan menjalankan tugas siasatan ini sebaik mungkin.


“Bagaimanapun siasatan terhadap aspek teknikal diserahkan sepenuhnya kepada pihak DCA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Tiada bukti Zaharie terbabit


Hong Kong: Tiada bukti mengaitkan kapten pesawat MH370, Zaharie Ahmad Shah terbabit dalam kehilangan pesawat itu bersama 227 penumpang dan 11 anak kapal selepas siasatan dijalankan pihak berkuasa Malaysia.

Walaupun ada simulator penerbangan di rumahnya, namun ia adalah minat peribadi mendalam juruterbang itu dalam bidang penerbangan.


Reuters melaporkan, pasukan penyiasat Malaysia dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat masih menjalankan siasatan berhubung simulator dan perisiannya sejak dua minggu lalu.

Zaharie juga didapati ada mengirim e-mel kepada rakan di Internet tetapi semua mereka itu adalah peminat permainan simulator. Malah, kapten berusia 53 tahun itu sering bertukar pandangan serta komponen kerana minat yang mendalam terhadap bidang penerbangan.

Foto
SEORANG ahli keluarga penerbangan MH370 kelihatan sugul selepas menghadiri pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke China dan wakil MAS di Beijing, China.


“Ramai juruterbang yang menghubungi saya adalah peminat yang memiliki simulator sendiri di rumah. Zaharie adalah antara kumpulan juruterbang yang menggunakan pengawal gerakan saya untuk menaik taraf simulator dengan membina platform gerakan,” kata seorang peminat penerbangan yang berpangkalan di California, Thanos Kontogiannis yang pernah menolong Zaharie membina simulator dalam laman blognya.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Mula cari di perairan Pulau Christmas


Kuala Lumpur: Enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah berada di kawasan utara koridor selatan Lautan Hindi bagi membantu gerakan mencari pesawat MH370.

Semua kapal itu ialah KD Lekiu, KD Kasturi, KD Selangor, KD Kelantan, KD Terengganu dan KD Pahang.


Seramai 560 anggota terbabit dalam usaha mencari pesawat berkenaan yang kini tertumpu di selatan Lautan Hindi dan usaha pencarian sudah dimulakan di kawasan Pulau Christmas dengan keluasan operasi membabitkan 1,800 batu nautika.



Tumpuan pencarian adalah di kawasan permukaan lautan.


Aset berkenaan dibantu tiga pesawat iaitu dua Super Lynx serta sebuah Fennec. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, semua aset TLDM berkenaan sudah pun berada di kawasan utara koridor selatan.


Sebelum ini, semua kapal berkenaan berlepas dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kuantan sebaik tumpuan pencarian difokuskan ke kawasan Selat Melaka dan Laut Andaman.

Foto
ANGGOTA TLDM dalam kapal KD Lekiu membuat pemantauan.

Kapal sama juga terbabit menjalankan gerakan di Laut China Selatan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Australia, China kesan objek sama


Lebih 20 negara menghantar aset mereka untuk membantu Malaysia dalam misi pencarian di lingkungan kawasan mencari. 
Berikut adalah kenyataan media Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, petang semalam. 

Sehingga semalam (kelmarin), operasi membabitkan di kawasan keluasan 18,500 batu nautika di kawasan pencarian Australia.
Foto
HISHAMMUDDIN pada sidang media di PWTC, semalam.

Dua objek berwarna oren berukuran satu meter panjang dan tong drum berwarna putih dikesan oleh pesawat, namun ia masih belum dikenalpasti dan belum ada kesimpulan untuk mengaitkannya dengan pesawat MH370.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Isu pasport tiada unsur rasuah


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah berhubung pelepasan dua warga Iran yang menggunakan pasport curi negara Itali dan Austria menaiki pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati tiada elemen rasuah berlaku semasa pemeriksaan dua penumpang warga Iran itu dengan agensi kerajaan Malaysia, iaitu Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.


“Bagaimanapun, kita mendapati kedua-dua mereka (dapat menaiki pesawat) disebabkan dasar negara yang lebih menumpukan kepada perkhidmatan yang cepat dalam pemeriksaan pelawat luar negara.



“Justeru, kita menyarankan agar pihak kerajaan turut menitikberatkan aspek keselamatan juga untuk mengelak kejadian itu berulang dan tidak mengutamakan aspek perkhidmatan berorientasikan pelanggan,” katanya dalam sesi taklimat ‘Berwibawakah SPRM’ di Wisma BERNAMA, di sini, semalam.


Beliau juga berkata, agak mustahil bagi pihak imigresen memeriksa pasport di dalam rangkaian Interpol yang mempunyai data 40 juta pasport hilang dalam tempoh yang singkat.


Pihak polis dan Interpol mengenal pasti rakyat Iran itu sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Syed Mohammad Reza, 29, masing-masing menggunakan pasport warga Austria dan Itali, yang dilaporkan hilang di Thailand, beberapa tahun lepas. Pouria Nour dan Delavar Syed dipercayai dalam perjalanan ke Jerman untuk mendapatkan perlindungan dan tidak ada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas. Ditanya sama ada SPRM boleh mengambil tindakan atau memulakan siasatan dalam kes kebocoran maklumat mengenai perbualan juruterbang dengan pengawal trafik udara (ATC) seperti yang dilaporkan akhbar luar negara, Daily Telegraf, United Kingdom, beliau berkata siasatan hanya boleh dilakukan SPRM selepas siasatan dalaman dijalankan oleh pihak atasan ATC.

“Jadi biar mereka buat siasatan dalaman terlebih dahulu, jika ada elemen rasuah mereka boleh rujuk dengan kami (SPRM), jika tidak mereka hanya ambil tindakan dalam lingkungan pertubuhan itu sahaja,” katanya.


Menurutnya, kesalahan membocor maklumat kerajaan adalah di bawah kesalahan Akta Rahsia Rasmi dan tertakluk dalam bidang kuasa polis.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Operasi cari kotak hitam


Perth: Tentera Laut Amerika Syarikat menggerakkan peralatan mengesan kotak hitam lebih dekat ke kawasan mencari pesawat MH370 di selatan perairan Australia di Lautan Hindi, mengukuhkan harapan pesawat itu boleh dijumpai tidak lama lagi, lapor Reuters.

Dilaporkan, peralatan yang digelar ‘Towed Pinger Locator’ adalah penting dalam usaha mencari kotak hitam pesawat yang hilang jika pasukan carian antarabangsa yang diketuai Australia menemui serpihan di kawasan selatan Lautan Hindi yang terletak kira-kira 2,500 kilometer dari barat daya Perth.


“Jika serpihan ditemui, kami mampu memberi respons cepat kerana jangka hayat bateri kotak hitam adalah terhad,” kata Pegawai Operasi AS 17th fleet Komander Chris Budde, dalam kenyataan yang di e-mel kepada Reuters.

Perhatian dan aset mencari pesawat Boeing 777 kini sudah beralih ke kawasan berdekatan kawasan berais di selatan Lautan Hindi.


Pesawat tentera China dan Jepun menyertai 10 pesawat tentera negara lain buat pertama kali untuk mengesan lokasi pesawat MH370.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Najib terima panggilan daripada Abbott


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatannya di Australia Tony Abbott memaklumkan mengenai penemuan dua objek oleh Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Najib berkata, Abbott memberitahu beliau objek itu akan diambil dalam beberapa jam lagi.


“Dua objek yang dikesan akan diambil dalam beberapa jam lagi,” kata Najib menerusi mesej twitter semalam.



Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam laporan terkini berhubung operasi mencari yang dimuat naik dalam laman webnya berkata, objek itu dikesan pesawat P-3C Orion RAAF dan kapal HMAS Success. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

MAS nafi tak ikut prosedur kes MH114


Kuala Lumpur: Penerbangan Malaysia (MAS) menafikan pihaknya tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) berkenaan pesawat MH114 dari Malaysia ke Kathmandu, Nepal yang dilanggar sekumpulan burung ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, 21 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata, juruterbang bertindak mengikut SOP ditetapkan apabila terus menghubungi Pusat Kawalan Trafik dan kemudiannya menghantar laporan penuh berhubung kejadian selepas mendarat.


Sementara itu, Ahmad Jauhari turut mengesahkan bahawa pesawat MH066 dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea semalam turut dilencongkan ke Hong Kong kerana kegagalan generator pesawat.



“Namun demikian, bekalan elektrik disambung semula dengan bantuan Unit Bekalan Bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

MAS mohon maaf


Kuala Lumpur: Malaysia Airlines (MAS) melahirkan kekesalan dan memohon maaf kepada ahli keluarga dan waris penumpang serta kru penerbangan MH370 yang disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Menurut MAS dalam kenyataannya malam ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan penerbangan MH370 yang berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan data analisis terbaru satelit mencadangkan pesawat itu jatuh di selatan Lautan Hindi.


“Bagi pihak kami, Malaysia Airlines dan seluruh rakyat Malaysian, doa kami bersama semua orang yang tersayang buat semua 226 penumpang dan 13 sahabat serta rakan sekerja pada saat yang amat memilukan ini.

“Kami tahu, tiada kata-kata yang kami atau sesiapa saja dapat diungkapkan berupaya meredakan kesakitan anda. Kami akan terus membantu dan menyokong anda, sebagaimana kami telah laksanakan sejak hari pertama MH370 hilang pada awal pagi 8 Mac ketika terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing.


“Operasi mencari pelbagai negara akan diteruskan bagi mencari jawapan bagi pelbagai persoalan yang masih menjadi tanda tanya. Di samping pencarian MH370, siasatan yang intensif akan dijalankan bagi mencari jawapannya.


“Kami memberi jaminan bahawa Malaysia Airlines akan terus memberi sokongan buat anda dalam menghadapi kesukaran pada minggu dan bulan mendatang.

“Sekali lagi, kami mengucapkan ingatan yang tulus, doa dan takziah kepada setiap yang terkesan akibat tragedi ini,” menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Hotel Beijing bertukar kelam-kabut


Kuala Lumpur: Suasana di dalam Hotel Lido di Beijing, China yang menempatkan sebahagian besar anggota keluarga penumpang pesawat penerbangan MH370 kelam-kabut apabila mereka tidak dapat menerima kenyataan kehilangan orang tersayang selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi.

Berdasarkan tweet wartawan asing yang berada di hotel terbabit, ada anggota keluarga mangsa yang pengsan sehingga terpaksa diusung keluarga, marah dengan menendang dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap jurukamera selain meraung serta menangis.


MAS turut memaklumkan perkembangan terkini mengenai tragedi itu melalui SMS kepada semua ahli keluarga terbabit di Beijing. Kandungan mesej itu melahirkan simpati dan menganggap semua penumpang hilang dan tidak seorang pun dapat diselamatkan. Kandungan SMS itu juga meminta ahli keluarga menerima apa jua bukti yang menunjukkan pesawat itu hilang.



Syarikat penerbangan itu turut berjanji akan menerbangkan semua waris dan keluarga mangsa ke Perth, Australia secepat mungkin sebaik serpihan ditemui.


Polis turut dipanggil ke Hotel Lido bagi mengawal keadaan yang disifatkan kelam-kabut, penuh kemarahan dan kekeliruan itu. “Seorang waris gagal mengawal emosi di depan media dan mengatakan terdesak dan harapannya musnah,” tweet seorang wartawan di sana lapor The Guardian, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Tiga maut tiga cedera


Kulim: Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak dan bayi maut, manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh bahagian belakang sebuah lori di Kilometer (KM) 170, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Bandar Baharu, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, semua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) model Toyota Vellfire dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori membawa muatan dedak haiwan yang dipandu perlahan. Akibat rempuhan itu mangsa, Tech Yer Wei, 36, bersama anak lelakinya, Hong Dy Hong, lima tahun dan bayi lelaki, Hong Sin Yee, setahun, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.


Suami mangsa yang juga pemandu kenderaan berkenaan, Hong Cheng Hwang, 36, bersama anak perempuan mereka Hong Sin le, dua tahun serta pembantu rumah warga Filipina, Bacuya Syanda, 30-an hanya mengalami cedera ringan. Pemangku Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Asisten Superintendan Azmi Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian membabitkan lima sekeluarga dan seorang pembantu rumah yang dipercayai merempuh sebuah lori membawa dedak haiwan dari arah sama yang bergerak perlahan ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.



“Berdasarkan maklumat awal kita mendapati lima sekeluarga bersama seorang pembantu rumah itu dalam perjalanan dari Alor Setar untuk pulang ke rumah mereka di Kuala Lumpur. “Mangsa bersama dua anak mereka yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan mati di tempat kejadian manakala suaminya bersama seorang anak perempuan mereka dan pembantu rumah mengalami cedera ringan,” katanya, semalam.


Azmi berkata, mayat tiga beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa dan anaknya hadir di HK untuk mengenalpasti mayat isteri dan dua anaknya yang maut dalam kemalangan itu namun enggan memberi sebarang komen ketika ditemubual.


Dalam pada itu seorang pemandu lori yang enggan dikenali berkata, dia terasa gegaran dan terdengar bunyi hentaman kuat dari belakang lorinya sebelum mendapati sebuah MPV dinaiki mangsa remuk teruk.

“Saya terkejut mendengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang lori lalu memberhentikan kenderaan ini dan melihat MPV Toyota Velfire merempuh belakang lori ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Dua bayi dibunuh ibu sendiri


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Iskandar Shah Mohamed

Kajang: Dua bayi luar nikah maut di tangan ibu masing-masing dengan secara kejam apabila dirodok dan dikelar di leher dengan menggunakan gunting dalam dua kejadian berasingan di sini.

Sumber polis berkata, dalam kejadian pertama, suspek seorang wanita warga Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah di Taman Baru, Bukit Kajang, di sini.


Menurutnya, suspek berusia 26 tahun itu dipercayai melahirkan bayi luar nikah di dalam tandas di rumah majikannya sebelum menikam leher bayi itu menggunakan gunting menyebabkan mangsa mati serta-merta.

“Suspek kemudian memasukkan mayat bayi lelaki itu ke dalam bungkusan plastik sebelum menyembunyikannya di dalam bilik tidur,” katanya.


Difahamkan gunting yang digunakan suspek milik majikannya yang dipinjam sebelum pembunuhan dilakukan.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Enam dibelasah angkara menjeling


Klang: Hanya kerana ‘menjeling’ sekumpulan remaja lelaki yang sedang minum di sebuah kafe, enam remaja cedera dibelasah lebih 10 lelaki dalam kejadian pergaduhan di sebuah pusat beli belah, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, mangsa yang baru selesai menonton wayang itu cedera di kepala dan tubuh akibat dipukul menggunakan topi keledar, kerusi serta meja.


Salah seorang daripada mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 20, berkata, dia dan tujuh lagi rakannya berusia 16 hingga 20 tahun baru selesai menonton wayang dan singgah di kafe itu untuk minum selain berbual kosong.



Menurutnya, tindakan mereka yang rancak bersembang mengundang rasa tidak puas hati sekumpulan lelaki yang turut berada di dalam premis berkenaan.


“Mereka mungkin salah faham dan menyangka kami berkata sesuatu yang tidak baik mengenai mereka.


“Salah seorang daripada lelaki terbabit kemudian menghampiri kami dan mempersoalkan tindakan kami berbual yang didakwa mengutuk mereka. Saya dan rakan menafikan tuduhan lelaki itu kerana ia tidak benar,” katanya.

Menurutnya, mereka terus keluar dari kafe berkenaan untuk pulang ke rumah selain bimbang kejadian lebih buruk berlaku.


“Namun ketika sedang menunggu giliran membayar tiket letak kereta, tiba-tiba muncul sekumpulan lebih 10 lelaki meluru ke arah kami sebelum memukul kami menggunakan topi keledar, kerusi dan meja.

“Saya cuba meminta penjelasan dari mereka namun kumpulan lelaki itu terus memukul kami bertubi-tubi selama beberapa minit sebelum melarikan diri,” katanya.


Kejadian itu menyebabkan mangsa dan lima rakan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan beberapa bahagian tubuh.


“Kami kemudian pergi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Klang, di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25