Search This Blog

Monday, March 24, 2014

Cari anak tiri bantu bahagi wasiat

NORSHIKIN MOHD SALLEH
Cari anak tiri bantu bahagi wasiat
Noriah menunjukkan foto arwah suaminya yang meninggal dunia empat tahun lalu.
24 Mac 2014
 KOTA TINGGI - Seorang wanita dari Taman Sri Lalang, di sini, mencari dua anak tiri hasil perkongsian hidup arwah suaminya bersama bekas isteri pertama untuk membantu proses pembahagian wasiat keluarga.

Siti Noriah Sulaiman @ Selaiman, 70, tidak pernah bersua muka dengan anak tirinya dan hanya mengetahui mereka berasal dari Kelantan selepas suaminya bernikah 50 tahun lalu.

Ibu tunggal empat cahaya mata itu berkata, arwah suaminya, Abu Bakar @ Othman Ali yang meninggal dunia empat tahun lalu tidak pernah menceritakan lebih lanjut berkenaan perkara berkenaan kepadanya.

“Saya hanya tahu dia sudah berkahwin di Kelantan dan mempunyai dua anak pada majlis akad nikah kami pada 1962.

Menurut suami, isteri pertamanya ketika itu sudah mempunyai anak seorang lelaki dan perempuan di mana umurnya sekitar dua dan tiga tahun.

“Arwah juga tidak mahu bercerita banyak berkenaan isterinya itu meskipun saya sering bertanya sehinggalah beliau meninggal akibat sakit tua pada 2010,” katanya.

Noriah yang dikenali dengan panggilan Mak Enon berkata, dia difahamkan arwah suaminya merajuk dan tidak mahu kembali ke Kelantan.

Katanya, ketika suaminya berusia belasan tahun, arwah pergi ke Kelantan untuk bekerja, tetapi kembali semula ke Johor dan menyambung kerja di pejabat hutan.

“Ketika itu mereka terpisah dan berikutan peninggalan itu, difahamkan isteri pertamanya telah meminta fasakh dan berkahwin lain.

“Tidak lama selepas itu, kami pula mendirikan rumah tangga dan dikurniakan anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan. Kami cuma mahu pastikan sama ada mereka masih hidup atau tidak.

“Jika mereka masih hidup, saya kira umurnya sekitar 50-an. Malah saya turut berharap minta agar mereka tampil bagi melancarkan urusan wasiat.

“Tambahan pula kami tidak pernah berjumpa dengannya malah saudara-mara serta anak-anak juga ada yang bertanya tentang mereka,” katanya.

Remaja hilang ditemui selamat


WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mac 2014

Remaja hilang ditemui selamat
Remaja hilang ditemui selamat Laporan Sinar Harian semalam.

Remaja hilang ditemui selamat
Athirah (tengah) berjaya ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh anggota rukun tetangga berhampiran Pejabat Fama Merlimau, awal pagi semalam.

JASIN - Seorang remaja, Athirah Roshelmy, 16, yang hilang sejak empat hari lalu ditemui dalam keadaan selamat berhampiran Pejabat Fama Merlimau di sini, awal pagi semalam.

Bapanya, Roshelmy Md Sharif, 42, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu ditemui sekumpulan anggota rukun tetangga di kawasan berkenaan dalam keadaan tidak bermaya bersama basikalnya sebelum dibawa ke Balai Polis Merlimau, di sini kira-kira jam 3 pagi.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai penemuan anaknya itu selepas anggota polis ke rumahnya pagi semalam, sebelum dia dan isteri bergegas ke balai polis untuk menjemput anaknya.

“Alhamdulillah saya bersyukur Athirah ditemui dengan selamat walaupun ketika ditemui keadaannya lemah kerana demam dan tidak makan sejak keluar dari rumah Khamis lalu.

“Pemeriksaan kesihatan turut dilakukan dan syukur tiada kejadian tidak diingini menimpanya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Roshelmy berkata, selepas keluar dari rumah Khamis lalu, anaknya bersembunyi di bawah jambatan di Sungai Rambai dan sejak itu dia tidak menjamah sebarang makanan kerana tidak mempunyai wang.

"Sebelum ditemui Athirah dalam perjalanan pulang ke rumah dengan mengayuh basikal, namun disebabkan tidak makan dan demam dia berhenti di lokasi berkenaan sebelum ditemui ahli rukun tetangga.

“Saya percaya Athirah melarikan diri dari rumah selepas tertekan dengan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diperoleh," katanya.

Sinar Harian semalam, melaporkan seorang remaja hilang selepas keluar rumah dengan menunggang basikal dan kali terakhir dilihat di kawasan Masjid Merlimau Pasir kira-kira 7.20 pagi Khamis lalu.

Tanah runtuh di Washington ragut tiga nyawa

Tanah runtuh di Washington ragut tiga nyawa
 Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus masih dijalankan oleh pihak berkuasa. 
24 Mac 2014
LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya tiga terbunuh manakala lapan lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di bandar timur laut di Seattle.

Kelmarin, jurucakap syerif memaklumkan sebanyak enam buah rumah turut musnah akibat bencana alam di bandar Oso, Washington tersebut.

"Bayi berumur enam bulan adalah antara mangsa cedera parah yang kini sedang dirawat di hospital berhampiran.

"Kami juga telah mengeluarkan amaran kepada penduduk sekitar kawasan itu yang terdedah dengan risiko banjir jika paras sungai Stillaguamish melimpah," kata Shari Ireton.

Difahamkan, keadaan hujan lebat yang berterusan di sekitar pergunungan Cascade telah menyebabkan tanah runtuh di kawasan terbabit, laporan dipetik dari AFP.

Pemimpin pemberontak, isteri ditahan


24 Mac 2014


MANILA - FILIPINA. Ketua pemberontak komunis dan isterinya ditahan ketika operasi bersepadu, semalam.

Ketua tentera Emmanuel Bautista berkata, Pengerusi Parti Komunis Filipina (CPP), Benito Tiamzon dan isterinya Wilma yang juga setiausaha agung parti itu ditangkap di wilayah tengah Cebu.

“Tangkapan ini adalah kejayaan gabungan tentera dan polis dalam usaha mencapai keamanan negara,” katanya.

Menurutnya, mereka ditahan seminggu sebelum ulang tahun ke-45 penubuhan sayap bersenjata Tentera Rakyat Baru, CPP pada 29 Mac.

Beliau berkata, tangkapan itu dibuat berasaskan waran mahkamah.

Pada 2012, kerajaan menawarkan 5.6 juta peso (RM400 ribu) kepada mana-mana individu yang dapat menangkap Benito, laporan dipetik dari dpa.

Diplomat Tunisia diculik di Libya


24 Mac 2014

TUNIS - TUNISIA. Seorang diplomat Tunisia diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Tripoli, menurut Kementerian Luar, kelmarin.

Susulan daripada insiden itu, kerajaan telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Libya bagi menggesa mereka mengambil langkah segera untuk membebaskan Mohamed bin Sheikh.

Sumber di kedutaan memberitahu, Setiausaha kepada Duta Tunisia ke Libya itu diculik di Ain Zara pada 21 Mac lalu.

Januari lalu, empat diplomat dan kakitangan Kedutaan Mesir juga diculik dalam satu kejadian menggemparkan di Tripoli, namun mereka dibebaskan beberapa hari selepas itu, laporan dipetik dari Press TV.

Kokain dalam kondom


Berlin: Pihak berkuasa kastam Jerman memintas bungkusan yang dialamatkan ke Vatican mengandungi 14 kondom berisi kokain, baru-baru ini.

Akhbar Bild am Sonntag melaporkan, kotak berisi 340 gram dadah bernilai 40,000 euro (RM182,000) itu dirampas di lapangan terbang antarabangsa di Leipzig, bandar di timur Jerman.

Dadah itu yang diposkan dari sebuah negara Amerika Selatan ialah dalam bentuk cecair dan dituangkan ke dalam kondom serta diposkan ke ibu pejabat pos Vatican.

Memetik laporan kastam Jerman, akhbar itu berkata, pihak berkuasa menyerahkan bungkusan dadah berkenaan kepada polis di Vatican dengan tujuan memerangkap orang yang akan menuntutnya.

Bagaimanapun, menurut akhbar itu, sehingga ini tiada pihak yang datang menuntut.

Penyiasat percaya penerima yang dimaksudkan itu sudah dimaklumkan bahawa bungkusan itu sudah dipintas.



- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23

200 rumah musnah dalam kebakaran

200 rumah musnah dalam kebakaran
Penduduk membersihkan kawasan kediaman yang musnah dalam kebakaran. 
24 Mac 2014
ZAMBOANGA - FILIPINA. Sekurang-kurangnya 200 rumah hangus dalam kebakaran di Barangay Canelar, malam kelmarin.

Pegawai bomba berkata, kebakaran didakwa berpunca dari kebakaran di  sebuah rumah di kawasan terbabit sebelum merebak ke rumah bersebelahan.

“Kebakaran menyebabkan kira-kira 300 keluarga hilang tempat perlindungan. Kini mereka ditempatkan di pusat perlindungan sementara di Canelar Elementary School,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada lilin memandangkan kawasan berkenaan tidak dibekalkan dengan sumber elektrik.

“Kami mengambil masa lebih sejam untuk mengawal kebakaran, sehingga kini, tiada penduduk dilaporkan cedera,” katanya. - AP

Bayi sakit gara-gara kebakaran hutan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Bayi sakit gara-gara kebakaran hutan
Fatin Nursyirah terpaksa diberi bantuan penafasan akibat sesak nafas.
24 Mac 2014
 JERTIH - Seorang bayi berusia lapan bulan terpaksa menerima rawatan selama beberapa hari di hospital akibat kesukaran bernafas dipercayai akibat pencemaran udara ekoran kebakaran hutan berhampiran rumahnya di Kampung Gong Kepas dekat Kampung Raja.

Bapa bayi berkenaan, Mohd Azli Mustafa, 39, berkata, anak perempuannya Fatin Nursyirah dimasukkan ke wad Hospital Besut sejak Rabu lalu selepas mengalami batuk kronik dan lelah.

Menurutnya, sebelum itu Fatin Nursyirah demam beberapa hari dan masalah kesihatannya mula dialami sejak berlakunya kebakaran hutan di kawasan Gong Kepas menyebabkan asap menyelubungi rumahnya yang terletak kira-kira 300 meter dari tempat kebakaran.

“Masalah ini turut berlaku terhadap ramai bayi dan kanak-kanak lain yang tinggal di kawasan berkenaan dan saya percaya ia ada kaitan dengan asap dari kawasan kebakaran,” katanya.

Mohd Azli berkata, pihak hospital memberitahu masalah kesihatan dihadapi anaknya disebabkan jangkitan kuman dan pencemaran udara menyebabkan gangguan di bahagian paru-paru.

Menurutnya, berikutan itu dia merayu kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran di kawasan tersebut kerana boleh dikatakan sepanjang musim kemarau baru-baru ini masalah kebakaran hutan di situ berlaku sepanjang masa.

“Mereka kena fikir kesihatan orang ramai terutama kanak-kanak.. kini anak saya terpaksa bernafas dengan bantuan oksigen dan saya juga simpati dengan anggota bomba yang sentiasa bertungkus lumus memadam kebakaran di situ,” katanya.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana keadaan anaknya semakin pulih dan dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat.

Sementara itu menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Hasmadi Jusoh, sikap tidak bertanggungjawab orang ramai yang membakar atau membuang putung rokok di kawasan tersebut amat dikesali.

Menurutnya, hampir setiap hari pihaknya terpaksa memadam kebakaran di kawasan tersebut.

“Kebakaran hutan itu bukan sahaja boleh menyebabkan jerebu tetapi pencemaran udara memberi kesan buruk kepada kesihatan khususnya kanak-kanak dan warga emas.

“Justeru kami nasihatkan orang ramai agar jangan sesekali melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan membuang putung rokok di kawasan belukar,” katanya.

Kata Hasmadi, sebanyak tiga lokasi kebakaran hutan berjaya dipadamkan dalam kejadian kelmarin iaitu di kawasan Paya Rawa dekat Gong Kepas, Bukit Jeruk (Jabi) dan Benting Lintang.

Mayat bayi dalam tong sampah di TBS


2014/03/24 - 05:31:26
Kuala Lumpur: Mayat bayi perempuan yang cukup sifat, dipercayai baru beberapa jam dilahirkan, dijumpai dalam tandas wanita di tingkat 3 Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS), di sini, malam kelmarin.

Mayat bayi yang dibungkus dengan kertas tisu dan dibungkus plastik itu ditemui oleh seorang pencuci tandas dalam tong sampah pada jam 11.30 malam.


Pekerja wanita warga Indonesia itu hanya menyedari ada mayat bayi ketika menggantikan plastik sampah yang baru. Difahamkan, ketika dia mengangkat plastik sampah berkenaan, kaki bayi itu terjulur keluar dan menyebabkan wanita itu terkejut sebelum memaklumkan kepada penyelianya.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kok Meng, berkata siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai dilahirkan dari tempat lain sebelum dibuang di tandas terbabit.

“Tiada kesan darah pada badan mayat bayi mahupun di dalam tandas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Polis juga menemui kesan luka pada tengkuk bayi terbabit dipercayai tercedera ketika dilahirkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi.

Palet kayu kargo dikesan


Perth: Pihak berkuasa Australia mengeluarkan kenyataan sebuah daripada kapal terbang yang digunakan untuk mencari pesawat penerbangan MH370 mengesan palet kayu kargo bersama tali pinggang atau tali di kawasan pedalaman Lautan Hindi.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengesahkan ia sebagai visual pertama dilihat setakat ini.


Objek itu dilihat pesawat awam yang membantu mencari Boeing 777-200ER pada Sabtu lalu.



“Sebahagian daripadanya adalah palet kayu dan beberapa barangan lain yang tidak dapat dikenal pasti selain beberapa tali pinggang pelbagai warna dengan panjang berbeza,” kata penyelaras operasi pesawat AMSA Mike Barton.


Menurutnya, pihaknya cuba mencari semula semalam menggunakan sebuah pesawat New Zealand, tetapi gagal menemuinya. “Ia adalah perkara biasa kerana anda terbang beberapa ratus meter dengan pesawat laju,” katanya.


Barton berkata, pencarian yang dilakukan semalam membabitkan empat pesawat tentera dan empat pesawat awam.

Sementara itu, pakar penerbangan berkata, palet kayu biasanya digunakan untuk membungkus barangan dalam pesawat menyebabkan Barton menggambarkan ia sebagai ‘petunjuk yang munasabah’.


Beliau berkata, palet seumpama itu biasanya dimasukkan ke kargo kapal terbang, tetapi ia juga digunakan dalam industri perkapalan.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata, penemuan palet kayu itu menunjukkan masih wujud harapan dalam usaha mencari MH370.


Objek berkenaan dapat dikesan dengan mata kasar selepas imej satelit China mengesan sebuah objek besar terapung di kawasan pencarian yang sama dalam jarak 2,500 kilometer dari Perth.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Dua kali dirempuh


Oleh Helmy Abd Rahman dan Yusmaizi Karim
Permaisuri: Dua terbunuh manakala tiga lagi parah selepas kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 52.9, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Lerek, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 11 malam itu membabitkan tiga kenderaan apabila van dipandu Rosmawadi Ghazali, 51, dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah kenderaan lain.


Difahamkan, pemandu van yang juga pengajar di Pusat Latihan Perhutanan itu dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu sebelum melanggar PROTON Iswara dipandu Che Hassan Deraman, 60.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Abd Rahman Raja Mohamad berkata, selepas itu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh PROTON Iswara dinaiki pasangan suami isteri dan seorang penumpang warga Thailand.


“Akibat rempuhan kuat itu, Che Hassan dari Tumpat, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpangnya Waehamah Nurisaem, 47, dari Narathiwat, Thailand meninggal dalam perjalanan ke Hospital Setiu,” katanya ketika dihubungi, semalam.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

10 kereta buruk terbakar


Klang: Tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat mengawal kebakaran yang memusnahkan lebih 10 kereta bakal dilupuskan di Jalan Raja Nong, Taman Sentosa, di sini, semalam berjaya mengelak api daripada merebak ke beberapa kilang bersebelahan.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, kereta pelbagai model yang menunggu masa dilupuskan di kawasan lapang bersebelahan sebuah kilang besi dan beberapa kilang lain terbakar dan api mula merebak.

Saksi yang hanya dikenali sebagai Jolly, 37, berkata, dia baru sampai ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dekat sini untuk mengambil ubat ketika dihubungi anaknya yang berusia 16 tahun.
“Saya sangka hanya kebakaran kecil dan meminta anak saya memadamkan api menggunakan alat pemadam api di rumah, namun dia tetap menyuruh saya pulang.

“Apabila tiba di pekarangan rumah, saya lihat api menjulang serta berlaku letupan kecil sehingga saya mengambil keputusan menghubungi bomba,” katanya, semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.31 petang sebelum tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas, Pelabuhan Klang dan Kota Raja dihantar ke lokasi kejadian. “Jentera pertama tiba di tempat kejadian enam minit selepas menerima panggilan dan ketika itu api sudah marak memusnahkan beberapa kenderaan lama di kawasan lapang berkenaan.
Foto
PEGAWAI Bahagian Forensik Kebakaran bomba menjalankan siasatan di lokasi kebakaran.
“Walaupun kenderaan akan dilupuskan, bomba perlu bertindak pantas bagi memastikan api tidak merebak hingga ke kilang besi bersebelahan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Jumpa tunai RM90,000


Oleh Adnan Mohamad
Pasir Mas: Polis merampas 14,800 pil kuda dalam serbuan Ops Cantas Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah rumah di Taman Sri Rantau dekat Rantau Panjang, Rabu lalu.

Dalam serbuan pada jam 4 petang itu, polis menemui wang tunai RM90,000 disimpan di rumah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, serbuan dilakukan pasukan anggota Batalion 7 PGA diketuai Inspektor Mohd Kamil Othman.



Katanya, susulan serbuan itu, dua lelaki termasuk rakyat Thailand berusia 38 dan 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan.


“Hasil pemeriksaan di rumah itu mendapati sejumlah pil bertulisan WY dipercayai pil kuda itu disembunyikan dalam beberapa bungkusan plastik.


“Pemeriksaan lanjut polis menemui wang tunai RM90,000 yang kebanyakannya dalam bentuk wang kertas RM1, RM2 dan RM5.

Foto
HALILUDDIN (dua dari kiri) menunjukkan wang dan pil kuda yang dirampas.

“Dua motosikal yang mempunyai nombor pendaftaran negara jiran bernilai RM10,000 turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, semalam.


Hadir sama Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Norizan Murad.

Haliluddin berkata, suspek yang berusia 38 tahun berasal dari Jalan Pasir Pekan, Pengkalan Pasir di sini manakala warga Thailand itu berasal dari Sungai Padi.


“Hasil ujian air kencing terhadap suspek warga tempatan itu mendapati dia positif dadah.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 akta sama (Perlucuthakkan Harta 1988),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Pilu lihat mentua terbujur kaku


Pekan: “Baru beberapa jam kami makan tengah hari bersama, namun saya menerima berita mengejutkan ibu mentua terbabit kemalangan hingga meragut nyawanya,” kata Mohd Azman Ibrahim, 42, menantu wanita warga emas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Pekan-Kuantan di sini, semalam.

Kejadian jam 3 petang itu menyebabkan mangsa Zaliha Abdul Aziz, 78, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan selepas kereta dinaiki bersama dua anak saudaranya terbabas sebelum melanggar motosikal lalu terjunam dalam parit.


Azman berkata, sebelum kejadian, arwah gembira dan bersemangat apabila dapat makan tengah hari bersama anak serta saudaranya yang pulang ke kampung di Taman Perdana, di sini, sempena cuti sekolah.



Katanya, namun sebaik selesai menjamu bersama keluarga, Zaliha mahu ke Taman Sungai Isap Kuantan untuk melawat saudaranya, jam 2.30 petang.


“Bagaimanapun, sejam kemudian saya menerima panggilan memaklumkan ibu mentua terbabit kemalangan.


“Sebaik tiba di tempat kejadian, luluh hati melihat ibu mentua yang sebelum ini makan bersama dan sempat bergurau bersama cucunya kini terbujur kaku.

“Kejadian ini memeranjatkan kami sekeluarga kerana arwah tidak menunjukkan sikap aneh, sebaliknya ceria apabila melihat anak serta saudara mengunjunginya,” katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, arwah penyayang dan baik hati, malah sering melawat saudara-mara yang sakit selain suka melayani kerenah cucu terutama ketika mereka pulang sempena cuti sekolah.

“Jenazah arwah akan dikebumikan di kampung halamannya di Taman Perdana selepas urusan bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selesai,” katanya.


Penguat kuasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas Kuantan Rosli Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu jam 3.15 petang dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.


Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga BLM dipandu Hasmadi Abd Halim, 38, bersama dua penumpang Ishah Hamin, 60, dan Zaliha dari Pekan menghala Kuantan terbabas ke kanan lalu melanggar pembahagi jalan.


“Akibat perlanggaran itu, kereta berkenaan tersasar ke kiri jalan hingga melanggar seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z800 sebelum kedua-dua kenderaan berkenaan terhumban dalam parit.


“Kami mengambil masa 15 minit mengeluarkan semua mangsa dalam kereta yang tersempit sebelum dikejarkan ke HTAA oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Misi cari imej dicerap satelit China turut gagal


Kuala Lumpur: Misi pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi gagal menemui objek yang imejnya dicerap satelit China, meskipun operasi semalam meliputi lokasi objek itu dikesan.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya di sini semalam berkata, AMSA menggunakan maklumat yang disalur China itu untuk memeta plot pencarian.


“Semalam pencarian dibahagikan kepada dua, dalam kawasan yang sama meliputi keluasan 59,000 kilometer (km) persegi, kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth,” kata kenyataan itu.



Sebanyak lapan pesawat dikerah melaksanakan operasi hari ini termasuk empat pesawat awam iaitu dua Bombardier Global Express serta sebuah Gulfstream 5 dan Airbus 319.


Satu daripada pesawat awam terbabit berlepas dari Perth kira-kira jam 9 pagi, manakala tiga lagi antara jam 11 pagi hingga tengah hari. Menurut kenyataan itu pesawat P-8 Poseidon milik tentera udara Amerika Syarikat (AS) berlepas pada jam 11 pagi, manakala sebuah P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berlepas pada jam 11.45 pagi.


“Sebuah lagi P-3C Orion RAAF akan menyusul pada 2 petang,” kata kenyataan itu yang menambah P-3C Orion milik tentera udara New Zealand akan berlepas pada jam 4 petang.

Kenyataan itu juga menyebut kapal tentera laut Australia HMAS Success turut menjalankan aktiviti pencarian semalam. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/24

Khalwat: Janda anak lima, pasangan didenda RM5,300


2014/03/24 - 05:12:36
Kuala Terengganu: Seorang janda anak lima dan pasangannya berstatus suami orang, masing-masing dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM5,300 dan tiga minggu penjara, semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan khalwat dan cubaan melakukan persetubuhan.

Mat Daling Abu Bakar, 49, yang mempunyai seorang isteri dan pasangannya, Sisunormala Kadri @ Deraman, 34, dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini.


Kedua-dua mereka mengaku bersalah di hadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail, selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan Seksyen 31(a) enakmen sama.

Mat Daling dari Kuala Ibai yang bekerja sebagai tukang rumah dan Sisunormala, pembantu kedai makan yang tinggal di Kampung Tanjung, di sini, turut berdepan hukuman penjara keseluruhan 10 bulan lagi jika gagal menjelaskan denda.

Mengikut fakta kes, Mat Daling dan Sisunormala ditahan kali pertama di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail, di sini, jam 2.20 pagi pada 1 Januari lalu, sebelum sekali lagi ditahan di rumah Mat Daling di Kuala Ibai, jam 1 pagi pada 2 Januari lalu.

Ketika serbuan di bilik hotel berkenaan susulan aduan orang awam kepada penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Daling hanya berkain pelekat tanpa pakaian, manakala Sisunormala hanya berkain batik sambil berbaring di atas katil dalam bilik itu.

Hasil siasatan mendapati pasangan itu tidak mempunyai hubungan suami isteri. Dengan itu mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 29 iaitu perbuatan persediaan untuk persetubuhan luar nikah dan dikenakan hukuman denda masing-masing RM2,800 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Dalam serbuan kedua pada 2 Januari di rumah tertuduh lelaki di Kuala Ibai, Sisunormala didapati bersama Mat Daling duduk di ruang tamu, manakala dua kanak-kanak iaitu anak seorang rakan wanita mereka yang turut berada di dalam rumah itu, sedang tidur di dalam bilik rumah berkenaan.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) kerana melakukan khalwat dan dikenakan hukuman denda RM2,500 serta tiga minggu penjara setiap seorang, dengan tambahan empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Kamalruazmi ketika membacakan penghakimannya berkata, mahkamah kesal dengan sikap kedua-dua tertuduh yang tidak insaf dan mengulangi perbuatan sama hanya dalam tempoh 24 jam.

"Kamu tahu perbuatan kamu berdosa besar, malah kamu sudah ditangkap pada 1 Januari, tetapi tidak insaf dan tidak serik apabila mengulangi perbuatan sama keesokan harinya.

"Mahkamah menganggap kes kamu ini yang paling serius kerana membabitkan dua kejadian dan dua kesalahan dalam tempoh singkat. Malah, kamu turut membabitkan kanak-kanak yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa.

"Mula-mula ditangkap di hotel, selepas itu di rumah pula. Dalam kedua-dua tangkapan ini, kamu tidak langsung ada muhasabah dan mengambil pengajaran. Oleh itu mahkamah memutuskan hukuman berat untuk kamu," katanya.

Cubaan seludup 900kg daging import gagal


2014/03/24 - 05:27:30
Pelabuhan Klang: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan lima lelaki menyeludup keluar 900 kilogram daging lembu import bernilai RM12,500 menggunakan sebuah bot tukaran barang di Pelabuhan Klang Selatan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, PPM Pelabuhan Klang menahan bot berkenaan yang dinaiki lima lelaki warga Indonesia berusia 30 hingga 45 tahun, dipercayai menuju Tanjong Balai, Indonesia.


Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Ismail, berkata pemeriksaan mendapati bot itu membawa daging lembu import, tetapi awak-awak gagal mengemukakan dokumen pengisytiharan termasuk surat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Berikutan itu, katanya, bot tukaran barang dan daging berkenaan dibawa ke Jeti PPM Pelabuhan Klang untuk siasatan.

“Semua suspek direman hingga esok (hari ini) bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11 (2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Tiga sekeluarga maut, tiga lagi cedera nahas di Bandar Baharu


BANDAR BAHARU 24 Mac - Tiga sekeluarga maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 170 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran sempadan Bandar Baharu-Nibong Tebal di sini hari ini.
Dalam kejadian 7 pagi itu, mangsa yang maut ialah Teoh Yee Wei, 36, dari Simpang Empat, Alor Setar dan anak sulungnya, Heng Dy Hong, 5, (lelaki) dan anak bongsu, Heng Yin Rue, 1 (perempuan).
Dua mangsa yang cedera parah ialah suami Teoh, Heng Cheng Hang, 36, serta seorang pembantu rumah warga Filipina dikenali sebagai Pachuya, 25. Seorang lagi anak mereka, Heng Xin Ler, 2, (perempuan) cedera ringan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, ASP Azmi Abu Bakar berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipandu Cheng Hang cuba memotong sebuah lori membawa makanan ternakan yang bergerak perlahan.
Beliau berkata bagaimanapun, MPV hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh bahagian belakang lori berkenaan.
"Semasa kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Simpang Empat, Alor Setar menghala ke Kuala Lumpur. Berikutan itu, kereta Toyota Vellfire berkenaan remuk teruk.
"Yee Wei yang duduk di kerusi penumpang depan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sementara anak sulung dan anak bongsunya, yang duduk di kerusi penumpang belakang, turut parah. Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Azmi berkata Cheng Hang dan Pachuya pula dipercayai tersepit di tempat duduk masing-masing manakala pemandu lori, Tan Kim Leng, 56, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Parit Buntar, Perak manakala mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga lewat petang ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140324/dn_54/Tiga-sekeluarga-maut-tiga-lagi-cedera-nahas-di-Bandar-Baharu#ixzz2wvV73URx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PM Australia yakin lokasi misi pencarian di Lautan Hindi



Seorang juruterbang, Dave Smith (kanan) memberikan taklimat misi pencarian pesawat MH370 sebelum kapal terbang P-3K2 Orion berlepas dari sebuah pangkalan tentera dekat Perth kelmarin.


PERTH - Penemuan satu palet kayu kargo dan beberapa serpihan lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang pada 8 Mac lalu meningkatkan harapan untuk mencari kapal terbang itu.
Pencarian pesawat Boeing 777-200ER itu kini pada akhirnya berada pada landasan yang betul selepas lebih dua minggu misi pencarian melibatkan beberapa buah negara menemui petunjuk yang tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan kapal terbang berkenaan.
Misi pencarian itu juga diperkukuhkan dengan penemuan imej baharu yang dikesan satelit Perancis yang menunjukkan terdapat objek terapung di lokasi pencarian kapal terbang MH370.
Beberapa pegawai Australia menyatakan kayu palet bersama tali pinggang atau tali pelbagai warna dikesan kelmarin di lokasi terpencil di selatan Lautan Hindi.
Kawasan pencarian itu terletak sejauh 2,500 kilometer dari barat daya Perth, Australia.
"Terlalu awal untuk mengenal pasti (objek itu)," kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott (gambar) kepada pemberita semasa melawat Papua New Guinea.
"Namun, pastinya, kami mempunyai beberapa petunjuk yang berwibawa dan terdapat peningkatan harapan yang memungkinkan kita berada pada landasan untuk menemui apa yang berlaku ke atas kapal terbang berkenaan," tambahnya.
Satelit Australia dan China telah mengesan objek besar yang terapung di kawasan lokasi pencarian tersebut.
Penemuan kayu palet dan tali pinggang itu dikesan dari sebuah pesawat pencarian milik New Zealand.
Misi mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi itu meliputi kawasan seluas 59,000 kilometer persegi.
Ekoran jarak penerbangan sejauh empat jam dari daratan, kebanyakan pesawat hanya mampu melakukan misi mencari selama dua jam di kawasan tersebut sebelum ia terpaksa berpatah balik ke daratan.
Namun, sebuah pesawat mencari iaitu P3 Orion yang dilengkapi peralatan pemerhatian elektro-optik kemudian dikerah ke kawasan penemuan palet kayu dan objek seperti tali pinggang atau tali itu.
Namun, pesawat tersebut hanya membuat laporan bahawa anggota-anggota mencari cuma menemui rumpai air dari paras beberapa ratus meter dari lautan tersebut.
Misi mencari semalam melibatkan empat pesawat tentera dan empat kapal terbang awam.
Pesawat MH370 hilang semasa ia sepatutnya melaporkan kemasukannya ke ruang udara Vietnam ketika dalam penerbangan ke Beijing, China.
Sebanyak 227 penumpang dan 12 kru dilaporkan menaiki pesawat itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2wpAMFF6I 
Hakcipta terpelihara 

Sekumpulan itik rempuh cermin pesawat MAS ketika mendarat


NEW DELHI – Sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa 180 penumpang dan anak kapal terselamat selepas sekumpulan itik merempuh cermin hadapannya ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA) pada Jumaat malam lepas.
Portal berita Nepal kantipuronline.com. pada Sabtu lepas memetik pihak berkuasa lapangan terbang sebagai berkata, k


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2wpASi4eG 
Hakcipta terpelihara 

Kehilangan MH370 paling aneh


PENGAMAL media dari serata dunia berpusat di negara ini bagi mengetahui perkembangan kehilangan pesawat MH370 yang sehingga kini terus menjadi misteri.


KUALA LUMPUR – Misteri pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu tanpa meninggalkan jejak mencetuskan kejutan bukan sahaja dalam kalangan orang awam malah lebih hebat lagi melibatkan mereka yang terlibat secara langsung dalam industri penerbangan.
Beberapa pakar penerbangan berpendapat, kehilangan pesawat Boeing 777-200ER yang dilengkapi teknologi pengesanan untuk tempoh yang lama sudah mencukupi untuk dijadikan alasan kukuh bagi merombak kaedah pemantauan kapal terbang secara elektronik.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2wpABJaJw 
Hakcipta terpelihara 

Tali pinggang, palet kayu ditemui



OPERASI mencari MH370 di Lautan Hindi kini turut dilakukan secara visual untuk mengesan apa-apa objek yang boleh dikaitkan dengan kehilangan pesawat tersebut.


PERTH – Pegawai Australia melaporkan sebuah pesawat yang terbabit dalam misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 mengesan palet kayu bersama tali pinggang atau pengikat di kawasan terpencil di Lautan Hindi kelmarin.
Objek-objek tersebut dikesan oleh pesawat awam yang turut membantu dalam misi pencarian kehilangan pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2wp9sp9Ts 
Hakcipta terpelihara 

Mayat bayi dalam tong sampah


ROSMIATI menunjukkan mayat bayi perempuan yang ditemui di dalam tong sampah Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR – Seorang tukang cuci wanita warga Indonesia terkejut apabila menemui mayat seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan di dalam tong sampah tandas awam di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, Rosmiati Slamet, 35, menjumpai bayi terbabit ketika sedang bertugas mencuci tandas itu pada hari kejadian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2wp9C28uf 
Hakcipta terpelihara 

Mahkamah lulus permohonan perubatan tertuduh


WILFRIDA (kiri) yang dituduh membunuh majikannya dihadapkan di Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, Kelantan semalam.


KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi di sini semalam meluluskan permohonan laporan perubatan pihak pembelaan amah Indonesia, Wilfrida Soik, 24, yang dituduh membunuh majikannya pada tahun 2010.
Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan tersebut selepas Peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mewakili tertuduh mengemukakan permohonan itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2wp8rqvGB 
Hakcipta terpelihara 

Pil kuda dirampas polis



HALILUDIN (tengah) menunjukkan pil kuda dan wang tunai RM90,000 di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, Pasir Mas, Kelantan semalam.


PASIR MAS – Polis merampas sebanyak 14,800 biji dadah jenis pil kuda dianggarkan bernilai RM296,000 dan menahan dua lelaki termasuk seorang warga Thailand dalam serbuan Op Cantas Khas di sebuah rumah di Taman Sri Rantau, Rantau Panjang, dekat sini Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, dalam serbuan pada pukul 4 petang itu polis turut merampas wang tunai berjumlah RM90,000.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2wp8SUSrY 
Hakcipta terpelihara 

Imej satelit China mungkin sayap pesawat


GAMBAR yang dirakamkan satelit Gaofen-1 milik China menunjukkan satu objek terapung di selatan Lautan Hindi pada 18 Mac lalu.


PERTH - Sebuah objek besar yang dikesan sebuah satelit China pada 18 Mac lalu di selatan Lautan Hindi mungkin sebuah sayap pesawat penerbangan, kata seorang felow dari Universiti Kebangsaan Australia, John Blaxland.
Blaxland yang bertugas di Pusat Kajian Pertahanan dan Strategik di universiti berkenaan menyatakan objek tersebut berukuran 22.5 meter panjang dan 12 meter adalah menyamai panjang satu sayap Boeing 777.
Pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang itu merupakan model Boeing 777-200ER.
Ketika ditanya sama ada objek yang dikesan sebuah satelit milik China itu mungkin sama dengan objek yang dikesan sebuah lagi satelit, Blaxland berkata, ia kelihatan objek yang berbeza.
"Ia kelihatan sama. Namun, jika ukuran itu adalah betul, objek (dikesan satelit China) mungkin lebih lebar," katanya ketika diwawancara agensi berita Xinhua kelmarin.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) sebelum ini mengeluarkan gambar satelit yang menunjukkan objek sepanjang 24 meter panjang pada 16 Mac lalu yang dianggap sebagai petunjuk terbaik untuk mencari pesawat MAS yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Kerajaan China mengeluarkan satu gambar yang dikesan menerusi satelit pada 18 Mac lalu.
Objek itu terletak 120 kilometer ke barat objek yang dikesan oleh sebuah satelit yang terlibat dalam misi mencari yang diselaraskan Australia.
Menurut Blaxland, dua objek itu kemungkinan tidak sama kerana arus Lautan Hindi bergerak dari barat ke timur.
Namun, dia kemudian menghantar e-mel kepada agensi berita Xinhua dengan menyatakan, gambar imej terbaharu tersebut bukan berada di barat tetapi di kawasan selatan pencarian kapal terbang MH370 yang kini dilakukan beberapa buah pesawat.
Pesawat MAS itu hilang sejak 8 Mac lalu ketika ia dalam penerbangan ke Beijing, China.
Sebanyak 227 dan 12 anak kapal menaiki pesawat itu yang hilang ketika ia perlu melaporkan kedudukannya kepada menara kawalan di Vietnam. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2wp7qVrO0 
Hakcipta terpelihara