Search This Blog

Saturday, March 22, 2014

Tanam janin dekat rumah

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2014
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam
Che Suza


KEMAMAN – Kehadiran sepasang kekasih di hospital untuk mendapatkan rawatan kerana keguguran membongkar rahsia pasangan itu yang menanam janin berusia 22 minggu berhampiran kawasan semak di Kampung Mak Chili, di sini.

Janin berkenaan yang ditanam pada Selasa lalu, dijumpai pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bersama pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, suspek yang berusia 24 tahun dengan ditemani teman lelakinya berusia 23 tahun, pergi mendapatkan rawatan di Hospital Kuantan, Pahang, kelmarin.

“Setelah diperiksa, doktor mendapati suspek mengalami keguguran dua hari sebelumnya iaitu 18 Mac dan masih terdapat uri dalam rahim suspek yang tidak bekerja berkenaan.

“Susulan itu, suspek ditahan di wad untuk rawatan lanjut dan hasil siasatan awal mendapati suspek mengandung 22 minggu serta masih belum berkahwin,” katanya, semalam.

Suspek yang beralamat di Kampung Gong Pauh dan teman lelakinya yang tinggal di Kampung Mak Chili juga didapati menyembunyikan kandungan serta kejadian keguguran itu daripada keluarga masing-masing.

Sehubungan itu, menurut beliau, teman lelaki suspek yang bekerja sendiri, kini ditahan untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal, lelaki berkenaan mengaku menanam janin itu berhampiran rumahnya di Kampung Mak Chili. Polis juga berjaya menemui janin itu yang dikambus dalam tanah, pagi tadi (semalam),” katanya.

Che Suza berkata, bedah siasat ke atas janin itu akan dilakukan esok untuk mengesahkan usia janin itu, seterusnya menyelesaikan siasatan kes berkenaan.

Menurut beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Adik gadai nyawa selamatkan abang

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
Adik gadai nyawa selamatkan abang
Suhaini menunjukkan tangannya yang cedera dirodok babi hutan ketika mengambil upah mengait kelapa. 
21 Mac 2014
KUALA KURAU - Keberanian seorang lelaki berjaya menyelamatkan abangnya yang nyaris maut selepas diserang seekor babi hutan seberat lebih 60 kilogram ketika mengambil upah mengait kelapa di sebuah kebun di Parit Abu Samah, di sini, Selasa lalu.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Suhaini Kassim, 49, berkata, ketika kejadian jam 9 pagi itu, dia dan adiknya adiknya, Mat Isa, 47, sedang mengikat buluh untuk mengait kelapa.

Dia yang cedera parah akibat serangan haiwan liar itu berkata, mereka kemudiannya menyedari kehadiran seekor babi hutan di atas sawah padi berhampiran kebun tempat mereka bekerja.
Katanya, tidak menjangkakan sesuatu yang buruk bakal berlaku, mereka berdua tidak menghiraukan haiwan tersebut yang hanya berada kira-kira 20 meter dari lokasi mereka.

“Sedang leka bekerja, tiba-tiba saya berasakan ada sesuatu melanggar belakang saya dengan kuat hingga saya berasa teramat sakit.

“Apabila saya toleh belakang, saya terkejut lihat babi hutan bertaring sepanjang lebih dua inci yang kami nampak cuba serang muka saya dan hanya mampu tahan dengan tangan,” katanya ketika ditemui di sini.

Suhaini berkata, serangan babi hutan itu menyebabkan sikunya tercedera dan tangannya dirobek hinggan menampakkan isi.

Menurutnya, dia cuba bangun untuk menyelamatkan diri, namun taring haiwan liar terbabit mengenai pula paha kanannya.

“Melihat kecederaan parah dialami, saya pasrah dan sangka akan temui ajal, namun adik saya bertindak berani menghalang babi hutan itu, menyebabkan haiwan itu cuba serang dia pula,” katanya.

Suhaini berkata, adiknya turut cedera di bahagian lutut kanan akibat diserang babi hutan terbabit namun lelaki itu nekad mengambil tombak kelapa dan merodok badan haiwan tersebut beberapa kali bagi menyelamatkan mereka berdua.

Menurutnya, haiwan terbabit lari dan adiknya segera mencapai dua helai baju untuk menghentikan pendarahan serius pada tubuhnya.

Katanya, mereka berdua kemudiannya segera dibawa ke Hospital Parit Buntar oleh seorang kenalan yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Menurutnya, akibat serangan tersebut, dia menerima kira-kira 50 jahitan di belakang badan, lengan dan paha kirinya.

Dia dan adiknya yang turut dikunjungi beberapa pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diminta membuat satu laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Saya difahamkan satu operasi khas akan dianjurkan Perhilitan bagi memburu haiwan buas itu.

“Saya harap babi hutan itu segera ditembak bagi mengelakkan ia menyerang lagi," katanya.

Rumah penduduk rosak dilanda ribut

WARTAWAN SINAR HARIAN
Rumah penduduk rosak dilanda ribut
Mohd Yusoff Razali (kanan) menunjukkan dapur rumahnya yang terdedah selepas bumbungnya diterbangkan ribut kepada Rasimah (lima, kiri) dan pegawai Pejabat Daerah Hilir Perak.
21 Mac 2014


SUNGAI MANIK - Seorang warga emas yang lumpuh terpaksa diangkat dan didukung oleh tiga anak perempuannya apabila zink rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang Selasa lalu.

Piah Umpal, 80, terpaksa berlindung di ruang hadapan rumahnya selepas zink di bahagian tengah kediamannya diterbangkan angin.

“Anak saya sedar zink diterbangkan angin, dia dan adik beradik lain dukung saya dan bawa ke tempat selamat,” katanya ketika ditemui Parit 2B, Sungai Manik, di sini.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Salimah  Mohd Shah, 61, dia sempat melaungkan azan sebaik sahaja melihat bumbung  zink rumahnya diterbangkan angin ke ruang dapur rumahnya, di Parit 4D, Sungai Kerawai, di sini.

“Ketika kejadian, makcik di dapur dan terdengar bunyi kuat dari bahagian tengah dan apabila diperiksa, zink di bahagian tengah rumah diterbangkan angin. Makcik terus lari ke ruang tengah rumah dan laung azan” katanya.

Sementara itu, Pembantu Khas Adun Sungai Manik, Rashimah Mohd Sayed yang turut melawat tempat kejadian berkata, pihaknya sudah menghubungi pejabat daerah supaya bantuan dapat disalurkan kepada penduduk yang terjejas.

“Selain itu, pihak pejabat Dun Sungai Manik akan memberikan bantuan berbentuk peralatan seperti zink dan sebagainya untuk membaiki bumbung rumah yang rosak teruk akibat kejadian ini,” katanya.

Adun Pasir Pendamar, Terence Naidu pula berkata, ribut Selasa lalu, mengakibatkan beberapa rumah di tepi Sungai Selabak rosak.

Katanya, terdapat rumah penduduk ditimpa pokok dan terkena bumbung kediaman mereka, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Ketuk kepala isteri dengan batu lesung


RUBIAH OMAR
22 Mac 2014


KUALA TERENGGANU - Dipercayai tekanan mental, seorang suami bertindak agresif mengetuk kepala isterinya menggunakan hulu batu lesung sehingga mengalami kecederaan, dalam satu keja-dian di kediaman mereka di Kampung Beladau Selat, di sini, Rabu lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi itu hanya disedari anak saudara mangsa, 32, yang secara kebetulan berada berhampiran rumah pasangan suami isteri itu.

Menurut sumber, anak saudara mangsa hanya menyedari insiden itu selepas ternampak mangsa, 30-an, keluar dari rumah menahan kesaki-tan dengan keadaan kepala dipenuhi darah.

“Terkejut dengan situasi itu, anak saudaranya terus bertanyakan punca kecederaan itu dan dalam kesakitan, mangsa memaklumkan kepalanya cedera akibat diketuk menggunakan hulu lesung batu oleh suaminya.

“Melihatkan keadaan mangsa yang semakin lemah mungkin disebabkan kehilangan banyak darah, kakak mangsa yang secara kebetulan turut berada di tempat keja-dian menghantar mangsa ke klinik untuk menerima rawa-tan susulan,” katanya.

Jelas sumber, bimbang akan keselamatan mangsa pada masa akan datang, anak saudaranya mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, beberapa jam kemudian.

“Menurutnya, dia sendiri tidak pasti kenapa bapa saudaranya itu tergamak bertindak sedemikian kepada mangsa, bagaimanapun, dia mengesyaki mungkin kerana tekanan mental memandangkan sebelum ini, bapa saudaranya itu ada memiliki rekod penyakit berkenaan.

“Tetapi, bapa saudaranya sebelum ini tidak pernah bertindak agresif, walaupun pernah mengamuk tetapi tidak pula sehingga mencederakan sesiapa,” katanya.

Difahamkan suspek yang berusia 32 tahun itu telah ditangkap pada hari sama laporan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Bagi kesalahan itu, suspek boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan sekiranya disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Bahana makan wang haram

WARTAWAN SINAR HARIAN
Bahana makan wang haram
Pembantu mekanik yang menjual dadah sebagai aktiviti sampingan ini ditahan di rumah neneknya dekat Sungai Buaya, malam kelmarin. 
22 Mac 2014
DUNGUN – Walaupun hanya bekerja sebagai pembantu mekanik di sebuah bengkel kereta, namun seorang pemuda mampu hidup selesa seperti seorang eksekutif apabila meraih pendapatan sampingan mencecah RM5,000 sebulan.

Bagaimanapun, pendapatan diperoleh lelaki bujang berusia 24 tahun itu tidak boleh dibanggakan kerana ia hasil kerja haram menjual dadah.

Segala tembelang suspek terbongkar selepas polis narkotik Dungun menggeledah rumahnya dekat Sungai Buaya, di sini, dalam satu serbuan kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan terjun di kawasan selut lalu berlaku pergelutan sebelum dia diberkas.

Penemuan lebih 100 pil kemerahan disyaki pil kuda dalam poket seluar dipakainya dan sejumlah wang tunai dalam plastik di rumahnya, menjawab dakwaan mengaitkan suspek dengan aktiviti pengedaran dadah.

Suspek sebelum ini juga dikatakan menjadi tumpuan penagih bagi mendapatkan bekalan dengan menjadikan rumah neneknya sebagai transit untuk membekalkan dadah, yang dipercayai dilakukannya sejak dua tahun lalu.

“Jual pil kuda dapat keuntungan lebih lumayan. Tak perlu buat kerja berat, wang dapat banyak, tunggu orang datang ambil sahaja,” katanya yang sempat ditemui Sinar Harian ketika dibawa ke lokap untuk siasatan lanjut.

Suspek yang popular dengan nama Lingam dalam kalangan mat gian dan pernah ditahan polis kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah, kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara serta denda.

Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan tersebut.

Mati dalam rumah kosong

WARTAWAN SINAR HARIAN
Mati dalam rumah kosong
Rumah tidak berpenghuni di mana mayat lelaki ditemui terlentang dengan kesan darah keluar dari kepala kelmarin.
22 Mac 2014
 PASIR PUTEH - Misteri kehilangan seorang lelaki berusia 30 tahun sejak Selasa lalu terjawab apabila dia ditemui mati dalam rumah tidak berpenghuni di Taman Seri Derasa, Kampung Cherang Tuli di sini, kelmarin.

Mayatnya ditemui rakan mangsa dalam keadaan terlentang dengan kesan darah keluar dari kepala di ruang tamu rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mayat ditemui rakannya yang berusaha mencarinya selepas diminta berbuat demikian oleh ibu mangsa.

Mohd Kamal berkata, pihak polis bergegas ke lokasi selepas menerima laporan serta membawa mayat ke Hospital Tengku Anis untuk dibedah siasat.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut selepas hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada open skull fracture secondary to fall from height dan tidak terdapat kesan kecederaan lain pada badan mangsa,’ katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati semua pintu rumah itu berkunci dan terdapat kesan cungkil pada satu tingkap dipercayai dilakukan mangsa untuk memasuki rumah berkenaan.

Katanya, terdapat juga kesan pemotongan pada pendawaian suis di tepi dinding berhampiran tempat mangsa ditemui terbaring dan wayar seperti ditarik ke atas siling.

“Kita mengesyaki mangsa naik ke atas siling melalui lubang siling yang tersedia dan menghampiri suis utama untuk menarik dawai ke atas.

“Mangsa sempat menarik dawai elektrik ke atas sebelum terpijak siling yang menyebabkan siling pecah sehingga mangsa jatuh ke lantai setinggi kira-kira 13 kaki.

Mohd Kamal berkata, menerusi maklumat diperoleh daripada jiran berhampiran, rumah itu tidak didiami sejak beberapa tahun lalu dan anak tuan rumah dikatakan bercadang untuk tinggal di situ.

“Pemilik asal rumah itu sudah lama meninggal dunia, kesan pendawaian elektrik baharu terdapat dalam rumah itu kerana anaknya bercadang untuk tinggal di situ,’ katanya.

Sanggup menyorok dalam tangki air elak dicekup

WARTAWAN SINAR HARIAN
Sanggup menyorok dalam tangki air elak dicekup
Seorang warga Indonesia terpaksa keluar daripada tangki air rumahnya setelah diarahkan anggota imigresen. - Gambar ihsan Jabatan Imigresen Selangor 
22 Mac 2014
SHAH ALAM - Seorang warga Indonesia sanggup berendam di dalam tangki simpanan air di rumah sewanya bagi mengelak dicekup oleh penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor, semalam.

Dalam operasi itu, penguatkuasa terpaksa memecah pintu rumah terbabit selepas penghuninya enggan membuka pintu.

Apabila pemeriksaan dilakukan, anggota imigresen mendapati seorang wanita Indonesia sedang menyorok di dalam tangki air.   

Difahamkan, mereka berkeras tidak mahu keluar dari tangki air tersebut, namun setelah dipujuk kira-kira 10 minit, akhirnya, dia akur dan pemeriksaan mendapati dokumen wanita itu sudah tamat tempoh.

Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata, pihaknya membuat operasi terbabit di sekitar Shah Alam dan Klang.

Menurutnya, pihaknya berjaya menahan 33 warga asing daripada 48 orang yang diperiksa.

“Mereka yang ditahan ialah 28 warga Indonesia dan lima warga Bangladesh yang berumur lingkungan empat hingga 49 tahun,” katanya.

Othman berkata, mereka semua ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini, tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas.

“Semua ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/ 1963 (Pindaan 2002),” katanya.

Lelaki maut kereta bertembung bas ekspres


22 Mac 2014


SANDAKAN - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 43 Jalan Labuk di sini hari ini.
 
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, Aziril Ghani, 29, mati di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira pukul 11.25 pagi itu.
 
Katanya bas ekspres berkenaan dari arah Sandakan menuju ke Kota Kinabalu dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dan membawa 45 penumpang dengan kesemua mereka tidak mengalami kecederaan.
 
"Siasatan awal mendapati kereta dipandu Aziril telah masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan bas ekspres," katanya ketika dihubungi Bernama.
 
Beliau berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Sandakan dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini untuk bedah siasat. - Bernama

Warga Indonesia mati lemas


WARTAWAN SINAR HARIAN
Warga Indonesia mati lemas
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.
22 Mac 2014
PEKAN – Mayat warga Indonesia yang disyaki lemas ketika mandi di Sungai Pahang berhampiran Ladang Sawit Sijau kira-kira jam 5 petang 16 Mac lalu berjaya ditemui pagi kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, mangsa yang hanya dikenali Zaenudin, 28, berasal dari Lombok Tengah dan merupakan pekerja ladang Felda Plantation Felda Chini 3 ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada jam 10.30 pagi di kawasan Kuala Mentiga, dekat sini.

Menurutnya, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela serta penduduk kampung yang melakukan usaha mencari berjaya menemui mangsa di kawasan longgokan kayu.

“Mayat ditemui tersangkut di kawasan longgokan kayu kira-kira 14 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan mandi bersama seorang lagi rakan senegara.

“Mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat,” katanya.

Yahaya berkata, bapa saudara mangsa bersama seorang lagi rakan mangsa hadir ke tempat penemuan mangsa bagi tujuan pengecaman dan pengesahan.

Yahaya mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas ketika ke sungai untuk mandi selepas selesai melakukan kerja harian pada hari kejadian.

Mungkin objek sudah tenggelam


Kuala Lumpur: Kumpulan pesawat yang melakukan pencarian dua objek yang dikesan pada kedudukan 2,500 kilometer barat daya Perth, Australia semalam pulang dengan 'tangan kosong' apabila masih tidak menemui sebarang jejak objek terbabit.




Pemangku Perdana Menteri Australia Warren Truss berkata, objek yang dikesan satelit awal minggu ini berkemungkinan sudah tenggelam ke dalam laut menyebabkan ia tidak dapat dikesan radar mahupun menerusi pencarian mata kasar.

Dalam laporan agensi berita AP, Warren tidak menolak kemungkinan objek berkenaan hanyut beratus kilometer jauhnya dari tempat ia dirakam sebelum tenggelam ke dalam laut.


“Sesuatu yang terapung itu mungkin kini sudah lagi tidak terapung. Mungkin sudah tenggelam ke dasar laut menyebabkan ia tidak lagi kelihatan,” katanya.


Sementara itu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, dua pesawat dari China dijangka tiba hari ini manakala dua pesawat dari Jepun dijangka tiba esok bagi memperkuatkan lagi kumpulan pencarian bagi mengesan objek berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Nafi tipu pengarah


Oleh Murni Wan Omar
Kuala Lumpur: Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan menipu pengarah syarikat pemaju hartanah membabitkan wang berjumlah RM601,740, enam tahun lalu.

Soo Chee Sern, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Soo didakwa menipu Lim Yin Chow, 51, pengarah syarikat HSB Development Sdn Bhd supaya menyerahkan wang milik syarikat itu berjumlah $250,000 (RM601,750) dan dimasukkan ke dalam akaunnya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di HSB Development Sdn Bhd, Level 3, PNB Darby Park, 10 Jalan Binjai, di sini pada antara jam 12.01 tengah malam (1 November 2008 hingga jam 11.59 malam) 20 Januari 2009.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dan menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang bekas pengurus kanan syarikat Tanjung Management Service Sdn Bhd mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM223,148.67.

M Uma Maniam, 50, didakwa melakukan perbuatan itu di Tanjung Management Service Sdn Bhd, Tingkat 32, Menara Maxis, KLCC, Dang Wangi, di sini pada 15 Julai 2011.

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Mati 2 hari tak makan, minum


Oleh Norasikin Daineh
Tawau: Seorang lelaki yang ditemui terperangkap dalam kenderaan akibat kemalangan Selasa lalu, meninggal dunia selepas dipercayai mengalami penyahidratan kerana tidak makan dan minum selama dua hari di Batu 35, Jalan Kalabakan, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa Andrew Garcia De Chavez, 57, dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Tawau melalui Jalan Keningau-Kalabakan bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai terbabas.


Difahamkan, mangsa hanya ditemui selepas dua hari oleh orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, hasil keterangan daripada adik mangsa Charles Garcia yang ditemui di hospital terbabit berkata, mangsa bekerja di Yayasan Sabah dan memandu kenderaannya bersendirian dari Kota Kinabalu ke Tawau untuk menghadiri mesyuarat.


“Mangsa bertolak pada Selasa lalu jam 12 tengah hari dan sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa terbabas sendiri dan masuk ke kawasan semak di tepi jalan.


“Mangsa terperangkap di dalam jip yang dipandunya dan hanya ditemui orang ramai selepas dua hari, jam 11.30 pagi,” katanya.

Menurut Awang Besar, ketika ditemui, mangsa masih hidup sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Amuk bunuh isteri


Oleh Adi Safarman
Betong: Akibat mabuk, seorang lelaki hilang pertimbangan lalu menetak isterinya sehingga mati menggunakan senjata tajam dalam kejadian amuk di sebuah kebun lada berdekatan Rumah Panjang Ringkai Kerapa, Spak, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Wan Zaizodin Wan Jaafar berkata, mangsa Lenjai Uli, 40, maut akibat parah di kepala akibat dibunuh suaminya, Tuan Jilom, 42.


“Polis menerima laporan kejadian itu jam 10.05 pagi kelmarin di Balai Polis Betong. Sepasukan anggota polis dan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bergegas ke lokasi kejadian.

“Difahamkan, kejadian berlaku jam 9.50 pagi sebelum itu dan dikatakan bermula akibat pertengkaran pasangan suami isteri berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Wan Zaizodin berkata, siasatan awal mendapati lima kesan tetakan di kepala dan badan mangsa.


“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pasangan suami isteri yang mempunyai dua orang anak itu dipercayai bertengkar akibat salah faham.

Bagaimanapun, suspek yang dalam keadaan mabuk tiba-tiba mengamuk dan membunuh isterinya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Lesen 10 pemandu digantung


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung lesen 10 pemandu teksi selama tiga bulan berkuat kuasa 1 April ini kerana tidak menggunakan meter.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, ini usaha berterusan suruhanjaya itu dalam membanteras pemandu teksi tidak bertanggungjawab.


“SPAD serius dalam mengambil langkah menghukum pemandu teksi tidak bertanggungjawab dan kami tidak teragak-agak menggantung lesen mereka jika didapati bersalah,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Aduan boleh dibuat menerusi Twitter, Facebook dan e-mel rasmi di aduan@spad.gov.my atau talian 1-800-88-7723. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

‘Tak bagi, aku bunuh’


Shah Alam: “Tak bagi kunci, aku bunuh anak lu (kau).” Itu ugutan diterima mangsa cubaan rompakan kereta, seorang wanita berusia 34 tahun, apabila enggan menyerahkan kunci kenderaan pacuan empat roda model Toyota Hilux kepada seorang penjenayah.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi kelmarin, mangsa dikatakan baru selesai membeli barang keperluan di sebuah kedai serbaneka berhampiran Taman Anggerik, Kota Kemuning di sini.
Mangsa bagaimanapun mendakwa terkejut apabila disergah seorang lelaki yang tiba-tiba muncul sebelum mengacukan parang.

“Saya yang baru menghantar anak sulung ke Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Rimau, di sini, menyedari diekori sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam sebelum itu.
Foto
MANGSA melakonkan detik cemas ketika adegan tarik-menarik anaknya dengan suspek.

“Selepas selesai membeli barang, saya meletakkan anak perempuan berusia tiga tahun di tempat duduk belakang, Namun seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tiba-tiba menengking dan mengarahkan saya menyerahkan kunci kepadanya,” katanya.

Dia tambah panik apabila suspek merentap anaknya sebelum mengacukan parang.

“Saya cuba sedaya upaya untuk menarik tubuh anak saya, yang ketika itu menangis ketakutan. Namun penjenayah enggan melepaskan cengkaman dan mengugut mahu membunuhnya.

“Saya turut menjerit sekuat hati dengan harapan ada individu yang melihat insiden itu dan menolong. Malah, saya menyebut Allah SWT berulang kali,” katanya.

Menurutnya penjenayah akhirnya melepaskan tubuh anaknya selepas mereka tarik-menarik lebih 10 minit sebelum melarikan diri.

“Mujur anak perempuan saya hanya mengalami luka kecil di kakinya kerana terkena parang,” katanya.

Dia kemudian bergegas mendukung anaknya itu sebelum lari ke sebuah kedai serbaneka berhampiran untuk mencari perlindungan.

“Suami yang datang membantu kemudian membawa saya membuat laporan di Balai Polis Shah Alam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Komisioner Azisman Alias mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397, Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Kereta mewah hilang di parkir

NORAFIDAH ASSAN
Kereta mewah hilang di parkir
Nissan GTR bernombor pendaftaran WWU 35 yang hilang. 
22 Mac 2014
BAHAU - Seorang peniaga kerugian RM400,000 apabila kereta jenis Nissan GTR miliknya hilang ketika di parkir di sebuah restoran dekat Taman ACBE di sini, malam kelmarin.

Peniaga berkenaan yang dikenali sebagai Koh, 38, berkata, sebelum kejadian sekitar jam 9.30 malam, dia datang ke restoran berkenaan untuk bertemu rakan-rakannya seperti kebiasaan dan parkir di bahagian tepi restoran.

Menurutnya, tiada yang pelik ketika dia sampai di restoran berkenaan susulan kereta tersebut dikunci dengan rapi dan kunci kenderaan berkenaan masih berada dalam poketnya sehingga kini.

"Sekitar jam 10 malam, saya keluar seketika di luar restoran untuk merokok bersama rakan, namun ketika itu kereta berkenaan masih ada dekat parkir lot restoran.

"Kemudian, semasa saya hendak pulang ke rumah, kira-kira jam 1.30 pagi, kereta saya sudah hilang. Memang pelik, puas saya cari di sekitar restoran,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Susulan kejadian itu, dia bersama rakannya yang juga seorang ahli majlis, Desmond Lee membuat laporan di Balai Polis Bahau.

Bagaimanapun, Koh berkata, selepas kejadian itu, dia singgah di rumah ibunya dekat sini dan menceritakan insiden tersebut kepada salah seorang pekerjanya yang kebetulan berada turut ada di situ.

"Pekerja saya maklumkan pada jam 3 pagi dia ternampak kereta saya memotongnya di jalan Kuala Pilah dengan begitu laju.

"Dia hanya beranggapan saya yang memandu berikutan saya kerap juga ke Seremban untuk berjumpa rakan-rakan,” katanya.

Koh berkata, dia baru menggunakan kereta itu sejak dua tahun lalu dengan nombor pendaftaran kenderaan, WWU 35.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias mengesahkan menerima laporan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kereta terbabit diminta menghubungi balai polis terdekat,” katanya.

Kebas kereta tinggalkan motor


Oleh Siti Fatimah Hassan
Kota Bharu: Dua lelaki yang dipercayai bersenjatakan senjata api nekad menyamun satu keluarga sebelum melarikan sebuah Honda Accord milik mangsa di Jalan Kubang Pasu, di sini, jam 3 pagi tadi.


Mangsa berusia 61 tahun turut diikat bersama ibu serta dua kakaknya sebelum ditinggalkan penjenayah.




Dua lelaki terbabit turut melarikan wang RM500 bersama sebuah telefon bimbit namun suspek meninggalkan motosikal milik mereka di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Premis mewah sedia ‘model’ diserbu


Kuala Lumpur: Sebuah pusat hiburan elit di Jalan Imbi, di sini, dikesan menjadi tumpuan golongan kenamaan dan ahli perniagaan berikutan menawarkan deretan pelayan pelanggan (GRO) tempatan dan warga asing persis model.
Berdasarkan siasatan polis, kumpulan GRO terbabit mengenakan bayaran RM500 kepada pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks di dalam premis itu manakala bayaran ribuan ringgit ditetapkan kepada pelanggan yang berhasrat membawa mereka pulang. 
Kegiatan maksiat itu dibongkar sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman diketuai Asisten Komisioner Lim Kim Fook yang melakukan serbuan mengejut jam 1 pagi semalam. 

Dalam operasi ‘Ops Noda’ itu, 33 GRO termasuk lapan wanita asing berpakaian seksi didapati melayan pelanggan sebaik premis itu diserbu.
Foto
ANTARA wanita warga asing ditahan ketika serbuan di pusat hiburan elit, semalam.

Lim berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak beberapa minggu lalu.

“Ketika serbuan dilakukan, lebih 30 pelanggan lelaki berada di dalam premis dengan ditemani wanita GRO berusia lingkungan 20-an di ruangan tempat duduk masing-masing. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati 25 wanita GRO diberkas adalah warga tempatan manakala lapan lagi wanita warga China, Kemboja, Indonesia dan Vietnam,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi itu. 

Menurutnya, semua wanita warga asing itu menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk melakukan kerja maksiat. 

“Semua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan operasi secara berterusan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral selain meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kepada polis untuk tindakan susulan. 

Harian Metro difahamkan, pusat hiburan mewah itu beroperasi sejak 10 tahun lalu dan pernah diserbu polis sebelum ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Mayat wanita ditemui di tebing Sungai Benut

Mayat wanita ditemui  di tebing Sungai Benut
Mayat mangsa ditemui di Sungai Benut. 
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2014
PONTIAN - Mayat seorang wanita berusia 34 tahun yang dilaporkan hilang sejak tengah malam kelmarin ditemui terdampar di Sungai Benut.

Mayat Noraini@Noni Mohammad ditemui penduduk kampung yang turut sama menyertai gerakan mencari mangsa kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zaliman Jamin berkata, ibu saudara mangsa telah membuat laporan kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin sebaik menyedari kehilangan anak saudaranya itu.

"Sejurus itu, gerakan mencari mangsa dilakukan anggota Balai Polis Benut bersama penduduk kampung. Penduduk mencari mangsa di sekitar Sungai Benut dan menemui mayatnya yang sedang terapung.

"Sebaik menemui mayat mangsa, abangnya terus membuat laporan polis mengenai penemuan tersebut,” katanya.

Jelasnya, lokasi mayat ditemui kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa di Benut.

“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai yang terletak di belakang rumahnya. Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya.

Tiga beradik nyaris rentung

MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Tiga beradik nyaris rentung
Ruang tamu hampir 50 peratus terbakar.
22 Mac 2014


KAJANG - Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan tiga beradik daripada rentung dalam satu kebakaran di sebuah rumah satu tingkat di Taman Sri Kantan, di sini, petang semalam.

Ketua balai bomba dan penyelamat Kajang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Safiq Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu daripada orang awam kira-kira jam 12.46 tengah hari dan pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 1.01 petang.

Menurutnya, semasa kejadian, terdapat tiga kanak-kanak yang berumur lingkungan empat hingga 12 tahun berada di dalam rumah berkenaan.

“Orang awam menyedari ada tiga kanak-kanak di dalam rumah tersebut dan tanpa membuang masa, mereka bertindak memecahkan pintu rumah bagi menyelamatkan ketiga-tiga mangsa terbabit,” katanya.

Ketika kejadian, bapa mangsa tidak berada rumah kerana urusan kerja manakala ibu mangsa sedang mengambil salah seorang anak mereka di sekolah.

Menurut Safiq, dua mangsa sedang dirawat di KPJ Kajang manakala seorang lagi dirawat di Hospital Kajang dan semuanya stabil.

“Mereka tidak mengalami kecederaan serius. Salah seorang mangsa dirawat kerana mengalami kesesakan nafas namun dia sudah stabil,” katanya.

Seramai 15 anggota termasuk seorang pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian dan bomba berjaya memadamkan kebakaran jam 1.11 petang.

Katanya, pihaknya masih lagi menyiasat kerugian dan punca kebakaran berkenaan.

“Rumah itu hangus sebanyak 50 peratus di bahagian ruang tamu,” katanya.

Pura-pura solat curi tabung masjid

WARTAWAN SINAR HARIAN
Pura-pura solat curi tabung masjid
Matias dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, kelmarin. >  Pura-pura tunai solat untuk 'kail' wang tabung masjid
22 Mac 2014


KUALA TERENGGANU- Demi dapatkan wang mudah, seorang mat gian sanggup berpura-pura hendak dirikan solat semata-mata ingin mengaburi mata orang ramai sebelum mencuri wang tabung Masjid Kubang Ikan, Chendering, di sini, Rabu lalu.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, lakonan suspek, 31, dari Kampung Ladang Sekolah, di sini, yang tergamak mencemari kesucian masjid itu tidak menjadi apabila dicekup beberapa penduduk kampung ketika sedang asyik mengail wang dalam tabung masjid itu.

Menurut sumber, kehadi-ran suspek di kawasan masjid itu disedari tukang cuci  wanita yang kemudiannya bertanyakan tujuan suspek berada dalam masjid waktu berkenaan.

Jelasnya lagi, melihatkan keadaan suspek yang agak mencurigakan itu, wanita terbabit memberanikan diri bertanyakan sama ada suspek bertanggungjawab di sebalik kehilangan duit di dalam tabung masjid yang kerap berlaku sebelum ini.

“Bagaimanapun, suspek menafikan dia melakukan jenayah terbabit dengan memberi alasan mahu menunaikan solat saja sebelum tukang cuci itu meninggalkan suspek bersendirian.

“Difahamkan, kejadian curi duit tabung masjid kerap berlaku dan penduduk kampung sememangnya mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan suspek tetapi tidak mahu menuduh kerana tidak mempunyai bukti.

“Curiga dengan kehadiran suspek, wanita itu memaklumkan kejadian itu kepada suaminya yang juga Imam masjid berkenaan sebelum suaminya bersama beberapa penduduk kampung bertindak mengepung masjid bagi mendedahkan perbuatan tidak bermoral suspek,” katanya.

Sumber berkata, sebaik sampai di masjid, suspek sedang mengorek duit tabung masjid dengan cara mengail menggunakan dawai yang dilekatkan gula-gula getah di bahagian hujungnya.

Katanya, ketika itu, suspek yang asyik menarik duit di dalam tabung itu tidak menyedari segala perbuatannya diperhatikan penduduk kampung yang hanya menunggu masa untuk menahannya.

“Sebaik menyedari kehadiran penduduk kampung, suspek cuba melarikan diri tetapi gagal memandangkan kawasan masjid itu sudah dikepung dan hasil pemeriksaan menemui wang sebanyak RM61 di dalam poket seluarnya dipercayai duit daripada tabung masjid.

“Suspek yang turut mengalami luka di badan akibat dibelasah penduduk kampung yang berang dengan tindakan suspek itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Perangkap pusaran


Itu kata Pensyarah Jabatan Geografi Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah mengenai keadaan di selatan Lautan Hindi, kira-kira 2,500 kilometer ke arah barat daya Perth, Australia yang menjadi tumpuan dunia sekarang.
Kawasan dianggap antara lokasi terpencil dunia itu menjadi perhatian selepas Perdana Menteri Australia Tony Abbott kelmarin mengumumkan satelit mengesan dua objek besar yang berkemungkinan ada kaitan dengan MH370 yang hilang sejak dua minggu lalu.

Dr Azizan berkata, saiz pusaran besar dinamakan gyre di Lautan Hindi itu amat luas dan merangkumi Sumatera, Indonesia hingga ke perairan Madagascar.
Foto
JURUTERBANG pesawat P-3C Orion Tentera Udara Diraja Australia melihat kapal kargo Norway ketika membuat tinjauan.

“Gyre adalah pusaran besar di permukaan laut. Semua serpihan yang terperangkap dalam gyre ini akan berpusing dan diapung oleh arus.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Pura-pura disamun


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Kuala Lumpur: Niat murni seorang remaja lelaki berusia 17 tahun membantu seorang ‘mangsa’ samun menyebabkan dia kerugian lebih RM3,000 apabila motosikal miliknya dilarikan penjenayah yang berpura-pura meminta bantuan.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari kelmarin, mangsa dikatakan terserempak seorang lelaki berusia 30-an ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya berhampiran Jalan Jinjang, di sini, kelmarin.

Sumber polis berkata, suspek dikatakan bertindak menahan motosikal ditunggang mangsa dengan mendakwa dia baru disamun.

“Suspek kemudian meminta pertolongan mangsa supaya menghantarnya pulang ke rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang percaya dengan dakwaan suspek kemudian mempelawa lelaki terbabit menaiki motosikalnya.

“Ketika dalam perjalanan, suspek tiba-tiba meminta mangsa menghentikan motosikal di bahu jalan.



Suspek kemudian bertindak menolak mangsa secara mendadak dan melarikan motosikal berkenaan.

“Mangsa cuba mengejar suspek, namun usahanya gagal.

Mangsa yang dibantu orang awam kemudian dibawa ke Balai Polis Jinjang di sini, untuk membuat laporan,” katanya.

Harian Metro difahamkan, remaja terbabit mengalami kecederaan di tangan dan lutut akibat ditolak penjenayah.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi, mengesahkan menerima laporan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Kandungan tercampak keluar


Wang Zhau, 40, yang sarat mengandung dalam perjalanan ke hospital bersama suaminya Mao, 42, apabila motosikal mereka dirempuh lori.
Saksi berkata lori itu kemudian menggilis wanita berkenaan menyebabkan bayi yang berada dalam kandungannya terkeluar dan tercampak sejauh tiga meter.
Foto
XIAO hanya mengalami cedera ringan selepas tercampak keluar dari kandungan dalam kemalangan yang meragut nyawa ibu bapanya.
Pasangan berkenaan mati di tempat kejadian namun bayi mereka selamat dan dibawa ke hospital di wilayah Fujian China.
Bayi yang diberi nama Xiao Zhao oleh kakitangan hopital itu hanya calar-balar.

Jurucakap polis, Chan Chien berkata: “Ada saksi yang berkata wanita itu sempat melahirkan anaknya sebelum mati selepas dilanggar lori berkenaan manakala yang lain berkata, impak daripada perlanggaran itu menyebabkan bayi seberat 4.2 kilogram itu terkeluar dari rahim ibunya dan tercampak sejauh tiga meter.

Wanita itu sepatutnya dimasukkan ke bilik bersalin pada jam 8.30 pagi waktu tempatan dan suaminya membuat keputusan untuk tidak menunggu ambulans.

Dia menghantar isterinya ke hospital menaiki motosikal. 

Kemalangan berlaku ketika mereka tiba di simpang antara Maqing Lu dan Jiaosong Lu” kata Chan.

Polis mengesahkan mereka menahan pemandu lori berusia 45 tahun itu untuk membantu siasatan.

Kejadian yang menggemparkan yang menimpa bayi malang itu menjadi tajuk utama akhbar di China dan Badan Kebajikan Xiamen menyumbangkan 5,000 yuan (RM 2,658) untuk penjagaan bayi terbabit.

Orang ramai yang mengetahui berita itu turut melawatnya di hospital dengan membawa pelbagai hadiah untuk bayi berkenaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

Rumah hanya tinggal rangka

WARTAWAN SINAR HARIAN
Rumah hanya tinggal rangka
Keadaan kediaman Jamil akibat ribut. 
21 Mac 2014
KUALA KETIL - “Saya hampir rebah tengok keadaan rumah macam ini, saya tak sangka hampir keseluruhan kediaman saya musnah,” kata Jamil Hashim, 55, mangsa  kejadian ribut kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Kejadian di Kampung Cahaya Teloi Kanan, Kuala Ketil itu mengakibatkan kediaman mangsa rosak teruk.

Jamil berkata, ketika kejadian, dia dan keluarganya  tidak berada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri keluarganya di Pendang.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada jirannya mengenai kediamannya yang musnah akibat kejadian ribut itu.

“Selepas menerima panggilan, saya bergegas pulang ke rumah.

“Luluh hati saya melihat keadaan kediaman yang hanya tinggal rangka sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, tiada apa yang dapat dilakukan lagi melainkan berdoa agar dipermudahkan urusannya.

“Saya jadi bingung, tak tahu nak nak buat apa, saya hanya mampu berdoa kepada Tuhan untuk memudahkan urusan saya selepas ini,” kata bapa kepada lima anak ini.

Kini, Jamil dan keluarganya terpaksa menumpang di rumah keluarganya di Pendang.

Jamil yang sekadar bekerja kampung runsing memikirkan mengenai rumah terutama anak yang masih bersekolah di Kuala Ketil.

Sementara itu, Pengerusi Bencana Umno Bahagian Baling, Zamri Yaakub berkata, pihaknya amat bersimpati dengan keadaan yang menimpa Jamil dan keluarganya.

Menurutnya, sepanjang kes ribut tahun ini, kejadian yang menimpa keluara Jamil antara yang paling teruk setakat ini.

“Insya-ALLAH, kita akan cuba membantu sebaik mungkin untuk kebaikan Jamil dan keluarganya,” katanya selepas melawat keadaan keluarga itu, semalam.

Mereka yang ingin membantu mengurangkan beban Jamil boleh menghubunginya menerusi talian 0194138892.

APMM selamatkan mangsa

WARTAWAN SINAR HARIAN
APMM selamatkan mangsa
Mangsa yang tidak berpakaian dibawa ke Jeti PGM, Batu Uban sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan selanjutnya. APMM selamatkan mangsa
22 Mac 2014


GEORGETOWN - Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada cubaan bunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Menurut jurucakap agensi itu, mangsa berusia 27 tahun itu berasal dari Bukit Mertajam dan nekad terjun di kilometer 2.2 arah Prai menuju ke pulau dalam kejadian 10 malam kelmarin.

“APMM berjaya menyelamatkan seorang mangsa dari cubaan bunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang. Bot Kilat APMM telah diarahkan keluar untuk tugasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) setelah menerima maklumat dari bilik gerakan Pasukan Gerakan Marin (PGM), Batu Uban kira-kira jam 10 malam semalam (kelmarin).

“Mangsa yang diselamatkan berada dalam keadaan stabil dan dibawa ke Jeti PGM, Batu Uban. Dia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Difahamkan, mangsa dihantar ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Lima anggota keselamatan diugut


WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Mac 2014


PASIR MAS -  Lima anggota pasukan keselamatan diugut oleh dua lelaki yang dipercayai penyeludup ketika cuba menahan mereka di Sungai Lancang, bersebelahan Pos Kawalan Pak Teh Kanan, Jeram Perdah di sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 10.30 pagi ketika anggota pasukan keselamatan sedang menjalan tugas rutin mereka di kawasan tersebut.

“Ketika kejadian anggota pasukan keselamatan berkenaan ternampak sebuah bot yang dinaiki oleh dua suspek dengan muatan disyaki beras seludup.

"Anggota berkenaan mengarahkan bot tersebut berhenti bagi melakukan pemeriksaan tetapi suspek bertindak cuba melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, anggota pasukan keselamatan itu kemudian mengejar dan menahan bot tersebut.

Beliau berkata, salah seorang suspek bertindak ganas dengan melibaskan kipas bot enjin galah ke arah anggota berkenaan.

Haliludin berkata, manakala rakan suspek pula bertindak dengan mengeluarkan pisau dan mengacukan ke arah anggota.

“Suspek yang masih tidak berpuas hati bertindak mengugut dan mengeluarkan kata-kata berbau ancaman dengan meminta seseorang dari Thailand untuk menembak anggota itu.

"Suspek kemudian bertindak melarikan diri ke negara jiran,” katanya.

Menurutnya, hasil maklumat yang diberikan oleh anggota berkenaan memberitahu mereka tidak mengenali suspek tersebut.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan anggotanya dalam usaha mengesan suspek dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 186/506 Kanun Keseksaan.

Remaja ketuk pintu serah anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
Remaja ketuk pintu serah anak
Haslinda dan Hidayat bersama Mohd Hasyim Shakir yang diterimanya lima tahun lalu. 
22 Mac 2014
SUNGAI PETANI - “Kak, nak anak ni tak?” demikian pertanyaan yang masih jelas kedengaran di telinga Haslinda Hashim, 40, apabila pintu rumahnya diketuk seorang lelaki  kira-kira jam 1.35 pagi.

Menurutnya, kejadian yang berlaku pada 26 Julai 2009 itu masih segar di ingatan walaupun ia berlaku lima tahun lalu.

Haslinda berkata, dalam keadaan samar dan gelap malam, dia melihat seorang lelaki memegang bayi yang baru lahir, keadaannya sudah hampir kebiruan walaupun lendir di kulit dan kesan darah masih melekat pada badan bayi lelaki itu.

“Dalam keadaan terpinga-pinga, saya terus bersetuju dengan tujuan mahu menyelamatkan bayi tersebut dari nasib yang masih belum diketahui sekiranya mengabaikannya,” katanya.

Menurut, dia teringat peristiwa dua hari sebelumnya apabila didatangi sepasang kekasih yang mendakwa suami isteri dengan keadaan wanita berusia 30-an itu sarat mengandung.

“Ketika itu waktu senja mereka datang dan ketuk pintu rumah bertanyakan sama ada mahu memelihara anak dalam kandungan (ketika itu masih belum bersalin) kerana tidak punya wang dan bimbang nasib anak yang tidak pasti sekiranya bersama mereka.

“Selepas memberi persetujuan, kedua-duanya terus pergi. Saya ingat mereka tidak muncul kerana tidak mengenali langsung pasangan itu. Sehinggalah dua hari kemudian, si lelaki datang ke rumah dan ketuk pintu dengan bayi yang baru dilahirkan,” katanya.

Haslinda berkata, dengan perasaan terkejut dan  bercampur-baur, dia menerima bayi tersebut kerana lelaki yang mendakwa bapa kepada bayi itu tidak mahu membesarkannya kerana dakwanya, isterinya telah hilang selepas bersalin.

Katanya, sehingga kini, pasangan itu tidak muncul dan tidak mengetahui perkembangan kedua-duanya.

“Sejak hari itu, saya dan suami, Hidayat Naedin, 44, memelihara Mohd Hasyim Shakir, 5, dengan baik dan menganggap seperti anak kandung, malah kasih sayang kami terhadapnya melebihi segala-galanya.

“Saya akui dia adalah rahmat terbesar dan amanah dari Allah SWT terhadap kami sekeluarga. Dengan penuh kasih sayang kami membesarkannya bagai menatang minyak yang penuh, “ katanya.

Bagaimanapun, Mohd Hasyim yang kini berusia lima tahun berdepan pelbagai masalah termasuk mendaftarkan persekolahan berikutan tiada dokumen pengenalan.

“Maklumat mengenainya juga tidak diketahui, malah kedua-dua ibu dan bapanya sudah menghilangkan diri,” katanya.

Haslinda bagaimanapun bingung kerana mahu mempercepatkan proses mendapatkan sijil kelahiran bagi memudahkan Mohd Hasyim tidak ketinggalan mengikuti persekolahan seperti kanak-kanak lain.

Dia turut meminta mana-mana pihak dapat membantu melancarkan proses berkenaan kerana telah berurusan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tujuan sama.

Gempa bumi kuat landa kepulauan Nicobar di India


21 Mac 2014


KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter melanda Kepulauan Nicobar di India pada 9.41 malam ini.
   
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini pusat gempa itu terletak 111km di timur laut Great Nicobar di India dan 627km di barat laut Langkawi, Kedah.
   
Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, kata jabatan itu dalam kenyataan di sini. - Bernama

Sembilan maut dalam serangan di hotel mewah


22 Mac 2014

KABUL - AFGHANISTAN. Sekurang-kurangnya sembilan orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan warga asing terbunuh dalam serangan tembakan di sebuah hotel mewah di ibu negara, kelmarin, beberapa minggu sebelum pilihan raya presiden diadakan.

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, Sediq Sediqqi, empat remaja lelaki bersenjata dipercayai menyembunyikan pistol di dalam stoking dan berjaya melepasi beberapa bahagian keselamatan di hotel Serena dengan mudah.

"Mereka memasuki hotel kirakira pukul 8.30 malam (waktu tempatan) dengan berpura-pura menjadi tetamu dan bersembunyi di dalam bilik air. Tiga jam kemudian, mereka mula melepaskan tembakan di restoran hotel terbabit,"katanya.

Kumpulan Taliban didakwa bertanggung jawab terhadap serangan kerana mereka telah berikrar untuk melakukan serangan keganasan bagi mengganggu pilihan raya 5 April ini.

Sementara itu, laporan dipetik dari AFP, Menteri Luar Paraguay, Eladio Loizaga berkata, salah seorang mangsa maut adalah bekas diplomat Paraguay yang berada di Afghanistan sebagai pemerhati pilihan raya.

Wartawan Sinar Harian cedera disamun

IZWAN ROZLIN
Wartawan Sinar Harian cedera disamun
Liza (kiri) menceritakan pengalamannya disamun empat lelaki malam kelmarin.
21 Mac 2014
 SHAH ALAM - Ketua Meja Global Sinar Harian, Liza Hasan, 35, cedera akibat disamun oleh sekumpulan lelaki di Kilometer 15, berhampiran Tol Plaza Sungai Rasau arah Klang,dekat sini, hari ini.

Kejadian berlaku jam 2.15 pagi, ketika mangsa menunggu bantuan trak tunda selepas keretanya rosak ketika melalui laluan tersebut.

Menurut Liza, selepas menghubungi pihak Plus, dia menunggu di dalam kereta sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang menaiki dua motosikal.

“Saya sangka pihak Plus atau trak tunda tiba. Curiga melihat mereka meluru ke arah kereta, saya cepat-cepat mengunci pintu, seorang daripada mereka bertindak membuka tingkap kereta di bahagian pemandu,” katanya.

Menurutnya,  dalam keadaan kelam kabut seorang daripada lelaki itu cuba mengambil beg sandangnya yang diletakkan di tempat duduk sebelah kiri pemandu.

“Lelaki itu menindih badan saya, terjadi pergelutan namun dia berjaya merampas beg berkenaan dan terus beredar," katanya.

Menurut Liza, seorang pengguna jalan raya yang menyedari tentang kejadian itu  cuba mengejar suspek namun gagal.

Laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam. Mangsa kerugian sebuah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai yang diletakkan di dalam beg.

Sementara itu sumber siasatan polis memaklumkan telah menemui beberapa kesan cap jari pada cermin kereta mangsa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 kanun keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

Lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat


21 Mac 2014


KUANTAN - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh daripada sampan ketika memukat ikan di Lubuk Law, di Sungai Jelai, dekat Lipis lewat petang semalam.  

Mohamad Mahmud, 52, dari Kampung Jeram Bungo, Kuala Lipis dikatakan keluar dari rumah pada pukul 6 petang bersama seorang rakannya untuk memukat ikan di sungai itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mengikut keterangan rakannya mereka telah berpecah sebaik tiba di lubuk berkenaan.

"Selepas sejam memukat, rakan mangsa menyedari mangsa tiada di dalam sampan dan dia cuba mencari di sekitar kawasan itu namun gagal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis kira-kira jam 8.50 malam tadi.

Abdul Razak berkata sepasukan anggota polis yang dibantu Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung menjalankan gerakan mencari mangsa sejak jam 8 pagi hari ini.  

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini polis hanya menemui sampan serta pukat milik mangsa tersangkut di tebing sungai itu dan operasi mencari mangsa akan disambung semula awal pagi esok. - Bernama

Peniaga didenda RM80,000 urup wang tanpa lesen


2014/03/22 - 05:33:57
Ipoh: Seorang ahli perniagaan dihukum penjara dua hari dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan menjalankan perniagaan mengurup wang secara haram.

Hakim Noor Hayati Mat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh iaitu pemilik syarikat DJ Express, Dulkibali P Jamaludin, 38, didapati tidak pernah diberikan lesen untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan wang dan juga bukan ejen kepada mana-mana pemegang lesen yang sah.


Guna simbol wang ringgit

Dulkibali dituduh melakukan kesalahan berkenaan di premis perniagaan di No 61, Jalan Bercham, Bandar Baru Tasek, Bercham di sini, pada 24 April tahun lalu.

Dia didenda RM50,000 dan penjara sehari bagi kesalahan itu yang dilakukan mengikut Seksyen 4(4) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

Tertuduh turut didenda RM30,000 dan penjara sehari untuk kesalahan mengikut Seksyen 23(3) akta yang sama kerana menggunakan simbol wang ringgit pada kaunter perniagaannya tanpa terlebih dahulu mendapatkan kelulusan bertulis daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Terbongkar selepas dakwa keguguran


2014/03/22 - 05:33:10
Chukai: Tindakan sepasang kekasih menyembunyikan kelahiran dengan menanam janin berusia lebih lima bulan yang baru dilahirkan terbongkar, selepas dikesan pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang, kelmarin.

Perbuatan pasangan wanita berusia 25 tahun dan teman lelakinya berumur 24 tahun, terbongkar selepas mereka datang ke (HTAA) untuk mendapatkan rawatan dengan mendakwa mengalami keguguran.


Pegawai perubatan HTAA yang membuat pemeriksaan ke atas wanita terbabit yang berasal dari Chukai, Kemaman, kemudian mendapati gadis itu mengalami keguguran sejak dua hari lalu.

Pemeriksaan lanjut ke atas wanita terbabit yang ditemani teman lelakinya yang turut berasal dari Chukai, mendapati urinya masih belum keluar.

Sebaik uri dikeluarkan, gadis berkenaan ditahan di wad hospital itu untuk rawatan lanjut.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati wanita itu mengandung 22 minggu dan pasangan terbabit mengaku masih bujang dan belum berkahwin.

Pihak hospital memaklumkan perkara itu kepada polis dan siasatan dijalankan ke atas pasangan terbabit.
Sumber berkata, hasil siasatan yang dilakukan ke atas pasangan terbabit mendapati suspek mengaku menanam janin itu sebelum dibawa anggota polis ke tempat kejadian janin itu ditanam kira-kira jam 10 pagi semalam.

Suspek membawa polis ke sebuah kawasan semak di Kampung Mak Chili di sini, semalam, dan menunjukkan lokasi dia menanam janin terbabit.

Kena 18 bulan rasuah RM5,000

 Kena 18 bulan rasuah RM5,000
Lilyhanah (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, semalam. - Foto Muhaammad Hatim Ab Manan
 Bekas penolong pengarah turut didenda RM25,000

Ayer Keroh: Seorang bekas penolong pengarah dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen dekat sini, semalam selepas didapati bersalah menerima rasuah RM5,000, tiga tahun lalu.

Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Sazali Omar ke atas Lilyhanah Abdul Salam, 31, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.


Tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM5,000 daripada Tee Seng Hoo menerusi orang tengahnya, Toh Meng Leng, sebagai dorongan membantu mengelak tanah milik Seng Hoo di Mukim Sungai Udang daripada diambil semula.

Dua objek sudah tenggelam


SEORANG juruterbang Tentera Udara Diraja Australia memantau keadaan laut sebelum melepaskan dua Boya Penanda Pengesan Data Sendiri di Lautan Hindi bagi mencari pesawat MH370 semalam.


SYDNEY – Dua objek terapung yang dikesan melalui satelit di selatan Lautan Hindi, kira-kira 2,500 kilometer ke barat daya Perth, dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) mungkin telah tenggelam.
Pemangku Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata, imej tersebut dirakamkan melalui satelit pada 16 Mac lalu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat MH370.
"Objek ini kemungkinan sudah terapung di kawasan laut itu sejak pesawat ini dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.
"Ia mungkin telah tenggelam ke dasar laut kerana sudah terapung terlalu lama," katanya.
Kerajaan Australia kelmarin mengumumkan penemuan dua objek besar yang terapung di laut, dipercayai serpihan pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China.
Selain Australia, pesawat dari New Zealand dan Amerika Syarikat (AS) telah menyertai misi pencarian itu manakala China dan Jepun pula akan menyertai pada hujung minggu ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2wdbh6jkR 
Hakcipta terpelihara 

Pendakwa berjaya bukti prima facie


ASNI (kiri) didakwa membunuh wanita warga Perancis, Stephanie diperintah bela diri ketika dihadapkan di Mahkamah Tinggi, Kuantan Pahang semalam.


KUANTAN – Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan peniaga, Asni Omar membela diri atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga Perancis, Stephanie Foray yang melancong ke Pulau Tioman pada Mei 2011.
Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie kes terhadap tertuduh, Asni Omar, 38.
Katanya mahkamah telah menilai sepenuhnya keterangan 44 saksi yang memberi keterangan antara 17 Mei hingga 20 Disember tahun lepas dan mendapati kredibiliti mereka tidak tergugat dan nyata apabila disoal balas oleh pihak pendakwaan.
"Mahkamah telah menilai semua keterangan saksi pendakwaan mempunyai kredibiliti yang tidak boleh tergugat.
"Tertuduh juga telah membawa pihak polis ke lubang di dalam gua di mana mayat mangsa dijumpai dan turut menunjukkan tempat tertuduh menyimpan barangan kepunyaan mangsa di rumahnya di Kampung Tekek," kata Marina di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2wdbT1trp 
Hakcipta terpelihara 

3 anggota polis diarah bela diri



SALAH seorang daripada tiga anggota polis yang dituduh merogol wanita Indonesia cuba mengelak gambar dirakam jurugambar di Mahkamah Sesyen, Butterworth, Pulau Pinang semalam.


BUTTERWORTH – Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan tiga anggota polis membela diri atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita warga Indonesia pada November 2012.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 9 Mei depan untuk membela diri.
Tertuduh, Koperal Nik Sin Mat Lazim, 34; Konstabel Remy Anak Dana, 26; dan Konstabel Syahiran Romli, 22, dituduh merogol seorang wanita Indonesia di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di sini antara pukul 6.40 pagi hingga 7.30 pagi pada 9 November 2012.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2wdbCBIIw 
Hakcipta terpelihara 

Gempa bumi kuat landa kepulauan Nicobar


KUALA LUMPUR 21 Mac - Gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter melanda Kepulauan Nicobar di India pada 9.41 malam ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, pusat gempa itu terletak 111 kilometer di timur laut Great Nicobar di India dan 627 kilometer di barat laut Langkawi, Kedah.
Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, kata jabatan itu dalam kenyataan di sini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140321/dn_47/Gempa-bumi-kuat-landa-kepulauan-Nicobar#ixzz2wdaNeUZK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sembilan kes kematian demam denggi dilaporkan minggu lepas


KUALA LUMPUR 21 Mac - Sembilan kes kematian akibat demam denggi dilaporkan di empat buah negara dalam tempoh 9 hingga 15 Mac lepas, menjadikan 53 jumlah keseluruhan kematian sejak Januari lepas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kematian terbaru itu melibatkan enam wanita berumur antara 25 dan 54 tahun serta tiga lelaki berusia 36 dan 62 tahun serta pelajar berumur 15 tahun.
"Lima kes kematian berlaku di Selangor, diikuti dua di Johor dan masing-masing satu di Perak dan Kelantan", katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Subramaniam berkata kes demam denggi di seluruh negara dilaporkan meningkat kepada 1,902 bagi tempoh 9-15 Mac iaitu minggu ke-11 kes demam denggi dipantau, berbanding 1,630 minggu sebelumnya.
"Dari Januari hingga 15 Mac 2014 pula, keseluruhan kes demam denggi yang dilaporkan adalah 21,967, peningkatan 321 peratus atau 16,746 kes berbanding 5,221 kes bagi tempoh sama tahun lepas", kata Dr Subramaniam.
Beliau berkata, jenis virus serotaip DEN 2 menjadi antara faktor peningkatan kes kematian denggi.
"Jangkitan virus serotaip DEN 2 akan memberi manifestasi klinikal lebih teruk dan mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi berbanding jangkitan serotaip lain", jelasnya.
Selain itu, beliau berkata 458 lokaliti wabak dilaporkan di 12 negeri dan daripada jumlah itu, 84 lokaliti melibatkan wabak melebihi sebulan iaitu dikategorikan sebagai ’tompok panas’.
Sejumlah 70 lokaliti tompok panas adalah di Selangor, iaitu masing-masing 32 di daerah Hulu Langat dan Petaling, Gombak (5) dan Klang (1).
Sembilan lokaliti tompok panas lain dikesan di Seremban, Negeri Sembilan; tiga di Kota Baharu, Kelantan; dan masing-masing satu di Kepong, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Melaka Tengah (Melaka). - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140321/dn_46/Sembilan-kes-kematian-demam-denggi-dilaporkan-minggu-lepas#ixzz2wda45Gsr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua dibebas selepas 29 bulan di penjara


ZUL Hafizul Mohd. Zaini (depan, kanan) dan Muhammad Neshril Rustam (kiri belakang) keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 21 Mac — Tiada lebih menggembirakan dua sahabat selain mendengar keputusan mereka dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan merompak oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, meskipun terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua tahun lima bulan.
Zal Hafizul Mohd. Zaini, 25, dan Muhammad Neshril Rustam, 26, yang didapati tidak bersalah atas tiga pertuduhan, tidak dapat menahan perasaan gembira lantas memeluk ahli keluarga masing-masing yang hadir di galeri awam mahkamah.
Hakim K.M. Nithiyanantham membuat keputusan itu terhadap Zal Hafizul dan Muhammad Neshril selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Ketika membaca keputusannya, beliau berkata, keterangan saksi pendakwaan bercanggah sehingga menganggu asas kes pendakwaan.
"Dua lelaki yang dikatakan merompak dalam mangsa adalah memakai topi keledar dan ekoran itu mangsa tidak dapat mengecam wajah mereka.
"Maka dengan ini kehadiran kedua-dua tertuduh ini di tempat kejadian tidak dapat dibuktikan," jelas beliau.
Nithiyanantham juga berkata, pegawai penyiasat dalam keterangannya bersetuju bahawa beg plastik yang dirampas daripada tertuduh-tertuduh bersama sepucuk pistol dan beg hitam tidak boleh dijadikan bukti pendakwaan.
Kata beliau, ini disebabkan oleh keterangan saksi polis itu di mahkamah bahawa pihaknya tidak menghantar pistol yang dijumpai bersama-sama tertuduh ke makmal untuk menjalani ujian cap jari atas alasan saksi tersebut telah memegang pistol tersebut ketika merampasnya.
Zal Hafizul dan Muhammad Neshril didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas merompak Mohd. Firdhaus Abdullah, 24, dengan bersenjatakan revolver .38 dan melarikan beg silang yang mengandungi buku log syarikat Armour Security (M) Sdn. Bhd., kunci mesin pengeluar wang automatik (ATM) dan lesen senjata api.
Mereka juga didakwa melakukan perbuatan sama bersama-sama dua lagi yang masih bebas merompak wang tunai di dalam mesin deposit RM61,480 yang berada dalam kawalan mangsa.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa merompak beg mangsa yang sama, mengandungi sepucuk revolver .38, lima butir peluru, motosikal Honda EX5 dan buku Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Maybank Jalan Segambut Dalam, Sentul di sini kira-kira pukul 2.40 petang, 10 September 2011.
Pertuduhan-pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara seumur hidup dan sebatan enam kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan.
Zal Hafizul dan Muhammad Neshril terpaksa ditempatkan di penjara sehingga kes selesai kerana pertuduhan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api, tidak membenarkan tertuduh dijamin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140322/ma_02/Dua-dibebas-selepas-29-bulan-di-penjara#ixzz2wdSmeUE7
© Utusan Melayu (M) Bhd