AFP
GAMBAR menunjukkan Pulau Perak di Selat Melaka yang merupakan kawasan pencarian pesawat MH370 yang hilang dirakamkan dari sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia semalam.
WASHINGTON - Sebuah satelit menerima isyarat dalam tempoh empat jam dari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang pada 8 Mac lalu, lapor agensi berita AP semalam.
Menurut seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan namanya didedahkan, pesawat itu menghantar isyarat tersebut selepas pesawat MH370 itu didapati hilang pada awal pagi.
Bagaimanapun, isyarat tersebut tidak memberikan sebarang maklumat berhubung arah penerbangan dan nasib pesawat Boeing 777-200 itu.
Isyarat itu menunjukkan sistem penyelenggaraan pesawat tersebut masih hidup dan bersedia berkomunikasi dengan satelit sekali gus memberitahu bahawa ia juga mampu sekurang-kurangnya berkomunikasi selepas terputus hubungan dengan menara kawalan.
Sistem itu menghantar isyarat yang dikenali sebagai denyutan elektronik sekali setiap jam dan sumber memberitahu bahawa sebanyak lima atau enam denyutan telah dihantar.
Tambah sumber itu, denyutan itu tidak dapat membuktikan sama ada pesawat tersebut berada di udara atau di darat.
Katanya, walaupun sistem itu berfungsi tetapi tiada hubungan data dibuka kerana syarikat MAS tidak melanggan perkhidmatan tersebut dengan pengendali satelit berkenaan.
Syarikat Boeing yang membuat pesawat jenis 777-200 itu dan syarikat Rolls-Royce yang membekalkan enjin jenis Trent pada pesawat berkenaan enggan memberi sebarang komen.
Seorang pegawai AS memberitahu, pesawat berkenaan bukannya menghantar data kepada satelit tetapi sebenarnya menghantar isyarat untuk membuat hubungan.
Boeing ada menawarkan perkhidmatan satelit yang menerima aliran data ketika penerbangan berhubung bagaimana pesawat berfungsi dan maklumat itu disambung kepada pangkalan data syarikat penerbangan.
Fungsi perkhidmatan itu adalah bagi menyediakan maklumat sebelum sesebuah pesawat membuat pendaratan sama ada kerja-kerja penyelenggaraan atau baik pulih perlu dilakukan.
MAS tidak melanggan perkhidmatan itu tetapi pesawat berkenaan masih mempunyai kemampuan untuk berhubung dengan satelit dan menghantar isyarat denyutan elektronik secara automatik.
"Ia seperti telefon bimbit. Walaupun alat ini dimatikan tetapi ia tetap menghantar mesej (lokasinya) kepada pengendali rangkaian," kata pegawai itu.
"Menerusi cara itu, pengendali rangkaian boleh mengesan kedudukan anda walaupun anda tidak membuat sebarang panggilan kerana telefon masih menghantar isyarat.
"Perkara yang sama juga berlaku pada sistem pesawat ini," tambahnya.
DUA anggota tentera memerhati ke arah tingkap sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia semasa mencari pesawat MH370 di Selat Melaka yang hilang pada 8 Mac lalu.
Jelasnya, pesawat itu mempunyai bekalan minyak yang membolehkan ia terbang selama empat jam lagi.
Katanya, isyarat melibatkan perkhidmatan data yang lebih ringkas juga diterima daripada pesawat itu dalam tempoh yang singkat selepas alat transponder pada pesawat berkenaan ditutup.
Transponder merupakan sejenis alat yang membolehkan sesebuah pesawat boleh dikesan menerusi radar di menara kawalan dan seterusnya memberikan maklumat kepada pengawal trafik udara tentang data-data seperti identiti pesawat, lokasi berlepas, destinasi, arah terbang serta ketinggian.
Sekiranya pesawat itu meletup ketika penerbangan semua isyarat termasuk yang dihantar kepada satelit, mesej data dan transponder akan terhenti pada waktu yang sama.
Menurut laporan berita ABC di Amerika Syarikat, para penyiasat AS percaya sistem laporan data dan transponder pesawat tersebut dimatikan secara berasingan iaitu selang 14 minit.
Jelasnya, perkembangan terbaharu itu menunjukkan alat berkenaan sengaja dimatikan atau tidak mengalami kerosakan akibat kemusnahan pada badan pesawat tersebut.
Akhbar Washington Post melaporkan, transponder dimatikan 30 minit selepas komunikasi suara terakhir dari kokpit dilaporkan.
Akhbar itu yang memetik seorang pakar dalam kes pesawat terhempas menjelaskan bahawa terdapat seseorang yang bukan juruterbang atau salah seorang juruterbang pesawat berkenaan telah mengambil alih pesawat berkenaan untuk menentukan haluan baharu.
Pihak berkuasa Malaysia berkata, pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari radar kira-kira pukul 1.30 pagi waktu Malaysia iaitu kurang sejam selepas ia berlepas.
Mereka juga mengesahkan bahawa ayat terakhir daripada kokpit pesawat itu ialah: "Baik, selamat malam."
Komunikasi itu berlangsung ketika pesawat berkenaan dijangka berhubung dengan menara kawalan trafik Vietnam selepas melepasi sempadan Malaysia.
Ketika kejadian, cuaca dilaporkan baik. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0315&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2vyUDHSnF
Hakcipta terpelihara