AFP
GAMBAR yang diperoleh semalam menunjukkan seorang askar Tentera Laut Republik Singapura menggunakan binokular untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang di Laut China Selatan.
WASHINGTON - Para penyiasat memerangi pengganas di Amerika Syarikat (AS) mengesyaki sebuah pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Laut China Selatan didapati masih terbang selama empat jam selepas terputus hubungan dengan menara kawalan di Malaysia, lapor akhbar Wall Street Journal yang memetik dua pegawai yang menyiasat kehilangan pesawat MH370 tersebut.
Pendedahan itu dibuat ketika pihak berkuasa Malaysia masih belum dapat memastikan lokasi tepat pesawat tersebut hilang pada awal pagi Sabtu lalu selepas ia berlepas dari KLIA, Sepang menuju ke Beijing, China.
Para penyiasat di AS itu turut menganggap kemungkinan terdapat seseorang yang sengaja mematikan alat pengesan atau transponder dan melencongkan pesawat berkenaan ke lokasi lain.
Transponder merupakan sejenis alat yang membolehkan sesebuah pesawat boleh dikesan dengan radar menara kawalan dan seterusnya memberikan maklumat kepada pengawal trafik udara data-data seperti identiti pesawat, lokasi berlepas, destinasi, arah terbang serta ketinggian.
Tempoh empat jam itu mencetuskan kemungkinan pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 kru itu terbang sejauh 3,500 kilometer yang berpotensi sampai ke sempadan Pakistan atau ke Lautan Hindi dan Laut Arab.
Pesawat itu dipandu juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantunya, Fariq Ab. Hamid, 27.
Kali terakhir pesawat itu dikesan radar adalah kira-kira pukul 1.30 pagi waktu Malaysia ketika ia terbang pada ketinggian 10.668 meter melintasi Teluk Siam di sempadan Vietnam menuju ke Beijing.
Pesawat itu juga dipercayai masih dipandu secara manual dan juruterbang tidak mengaktifkan sistem panduan automatik.
Para penyiasat penerbangan dan pegawai keselamatan kebangsaan AS membuat kesimpulan itu berdasarkan data enjin pesawat yang dimuat turun secara automatik sebelum ia dihantar ke pangkalan data pembuat enjin pesawat itu sebagai sebahagian program pemantauan standard.
Pesawat itu menggunakan enjin Rolls-Royce Trent keluaran firma Rolls-Royce.
Satu sumber memberitahu, dalam perjanjian penyelenggaraan, pesawat tersebut akan menghantar data-data berkaitan dengan enjin secara langsung kepada Rolls-Royce untuk dianalisis.
Sistem berkenaan menghantar data-data dari dua enjin Rolls-Royce Trent 800 seperti altitud dan kelajuan pesawat.
Para pegawai antikeganasan AS kini sedang melihat kemungkinan juruterbang atau ada individu lain di dalam kapal terbang itu sengaja melencong pesawat tersebut ke lokasi yang tidak diketahui selepas sengaja mematikan alat transponder bagi mengelak ia dikesan radar.
Dalam satu taklimat, para pegawai AS dimaklumkan bahawa para penyiasat kini sedang menyiasat dengan teliti kemungkinan pesawat itu dilencongkan dengan tujuan digunakan untuk satu tujuan yang lain.
Pada Selasa lalu, Interpol memberitahu bahawa, pihaknya tidak percaya pesawat itu hilang akibat satu serangan pengganas. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0314&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2vuQDZc5h
Hakcipta terpelihara