Search This Blog

Thursday, March 13, 2014

Bekas kekasih ugut sebar gambar bogel


2014/03/13
Raub: Seorang wanita berusia awal 20-an dibelenggu trauma dan ketakutan berikutan ugutan bekas kekasihnya mahu menyebar gambar bogel mangsa selepas memutuskan hubungan mereka, awal bulan lalu.

Malu, bimbang keluarga tahu Malah, bekas teman lelakinya yang juga berusia 20-an dikatakan turut menampal gambar bogel pembantu jualan berkenaan di pintu pagar rumah sewa mangsa yang menyebabkannya malu serta bimbang diketahui ahli keluarga.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman, berkata wanita berkenaan memberi gambarnya kepada lelaki itu ketika mereka masih menjalinkan hubungan sejak setahun lalu.

“Suspek turut mengunjungi premis mangsa bekerja semata-mata untuk memberi gambar bogel yang dicetak daripada telefon bimbitnya kerana tidak puas hati dengan tindakan wanita berkenaan memutuskan hubungan.

“Bimbang gambar terbabit dimuat turun ke laman sosial, mangsa tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membuat laporan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pantau tindakan anak Katanya, pihaknya akan menyiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Wan Mohd Samsudin mengingatkan ibu bapa memantau dan mengawasi tindakan anak mereka bagi mengelak perkara tidak bermoral.
Pada masa sama, katanya, orang ramai perlu berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya merakamkan gambar lucah walaupun untuk koleksi peribadi kerana dibimbangi disalah guna pihak tertentu.

Bandar seluruh Turki huru-hara

Bandar seluruh Turki huru-haraPolis pencegah rusuhan menggunakan meriam air dan gas pemedih mata menyuraikan penunjuk perasaan di Istanbul, kelmarin.

Istanbul: Penunjuk perasaan bertembung dengan polis di bandar seluruh Turki kelmarin ekoran kematian seorang remaja lelaki selepas terkena balingan gas pemedih mata di kepala ketika tunjuk perasaan antikerajaan pada musim panas lalu.

Polis melepaskan meriam air dan gas pemedih mata terhadap beribu-ribu penunjuk perasaan, keadaan yang menimbulkan kesukaran buat Perdana Menteri Erdogan menjelang pilihan raya ketika beliau berdepan skandal rasuah dalam pemerintahannya.

Istanbul dan Ankara dilanda tunjuk perasaan sejak beberapa minggu lalu kerana penduduk berang dengan tindak balas beliau terhadap tuduhan rasuah, termasuk pengenalan dua peraturan baru mengawal internet dan meningkatkan kuasa kerajaan dalam pelantikan hakim dan pendakwa.


Berkin Evan, 14, terperangkap dalam pertembungan di jalanan di Istanbul dengan polis pada 16 Julai ketika pergi membeli roti untuk keluarganya. Beliau koma dan menjadi pencetus pembangkang kerajaan yang berkumpul di luar hospital tempat beliau dirawat.

4 polis cedera

Petang kelmarin, polis menembak meriam air dan gas pemedih mata di Dataran Kizilay, Ankara bagi menyuraikan beribu-ribu penunjuk perasaan yang melaungkan...

Tekong PATI rumah transit

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Gombak: Taktik seorang tekong warga Bangladesh menggunakan sebuah rumah untuk dijadikan transit kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum dihantar kepada majikan terbongkar apabila aktiviti itu dikesan Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurut sumber hasil maklumat daripada beberapa PATI warga Bangladesh dan Myanmar Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menyerbu sebuah rumah di Selayang, kelmarin di antara jam 4 hingga 6 petang.
Sumber berkata, dalam serbuan itu seorang tekong berusia 30-an ditahan ketika leka menguruskan PATI untuk dihantar kepada majikan masing-masing.

“Serbuan yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut menahan 13 PATI iaitu lapan lelaki Myanmar dan lima Bangladesh,” kata sumber.
Foto
ANTARA PATI yang ditahan di sebuah rumah di Selayang yang dijadikan transit oleh tekong warga Bangladesh.

Menurut sumber, kesemua mereka berusia 16 hingga 43 tahun ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Sementara itu, Penolong Pengarah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur James Musa Singa mengesahkan mengenai tangkapan itu dan berkata pihaknya menyiasat sama ada tekong itu mempunyai rangkaian dengan mana-mana sindiket yang memperdayakan PATI untuk dihantar berkerja dengan majikan di negara ini tanpa dokumen sah.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tiada dokumen.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Dua bangunan runtuh


Menjelang tengah malam, sekurang-kurangnya 11 orang dilaporkan cedera ringan. 
Visual agensi berita menunjukkan asap tebal berkepul-kepul naik dari kawasan petempatan itu.

Jurucakap bomba berkata, perkhidmatan komuter yang melalui kawasan berkenaan digantung sementara. 
Foto
PASUKAN bomba memadam kebakaran bangunan itu.
“Dua bangunan runtuh sama sekali dan kami berharap tiada sesiapa berada di dalamnya,” katanya. 
Sumber perubatan pula berkata, seorang mangsa mengalami trauma serius sedang dirawat dan dijangka ada sekurang-kurangnya seorang lagi pesakit seumpama akan dibawa ke situ. 

Saksi berkata, mereka terdengar satu letupan kuat di bangunan apartmen enam tingkat kira-kira jam 9.30 malam (waktu tempatan). 

Katanya, asap keluar dari atas bangunan dan runtuhan bangunan bertaburan di sekitar kawasan berkenaan. 

“Tingkap bangunan di sekitar lokasi pecah bertaburan akibat daya letupan yang kuat,” katanya. 

Sehingga malam tadi, tidak dapat dipastikan sama ada bangunan itu didiami tetapi ia terletak di antara dua bangunan kediaman. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

10 terbunuh dalam runtuhan salji


Srinagar, India: Sekurang-kurangnya 10 maut dalam runtuhan salji di Kashmir yang turut menyebabkan beberapa bangunan runtuh.

Jurucakap polis Superintendan Imtiyaz Hussain berkata, mereka yang maut termasuk dua askar yang ditimbus salji di Kargil manakala empat lain disahkan mati di selatan negeri itu.


Selain itu, katanya, tiga buruh warga Nepal juga dikhuatiri maut di Kaksar namun polis masih belum dapat memeriksa kawasan itu disebabkan bentuk muka bumi yang sukar selain bimbang kejadian berulang.

Menurutnya, lima lagi maut apabila puluhan rumah roboh selepas dihempat salji. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Siasat lelaki Uighur


Menurut sumber, disebabkan kemahiran dimilikinya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan INTERPOL kini memberi lebih tumpuan kepada lelaki etnik Uighur berusia 35 tahun itu, berbanding penumpang lain. 
“Kita tidak kata dia terbabit dengan pengganas, disyaki mensabotaj atau merampas pesawat itu, cuma lebih perhatian diberikan kepadanya disebabkan latar belakangnya yang dirasakan ada unsur penting yang perlu dilihat,” katanya.

Sumber itu berkata, semakan mendapati lelaki yang berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan dari United Kingdom itu kini berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah universiti di Turki.
Foto
SEORANG lelaki yang berpayung melihat paparan MH370 di sebuah bangunan di Shanghai, China, semalam.

Menurutnya, profil peribadi lelaki itu juga mencatatkan dia pernah membuat kajian di pusat latihan dan simulasi penerbangan milik sebuah syarikat pengeluar enjin kenderaan terkemuka di Sweden pada 2004 hingga 2005.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Hakim didakwa zalimi bekas isteri


Riyadh: Seorang wanita memfailkan saman terhadap bekas suaminya yang juga hakim kerana didakwa menzaliminya sebelum mereka bercerai.

Wanita itu turut mendakwa ibu dan adik lelaki hakim berkenaan cuba memukul anak perempuannya ketika mahu melarikan kanak-kanak itu.


Menurut akhbar Al Watan, ibu hakim terbabit dihukum penjara 14 hari manakala adik lelakinya dipenjara 20 hari.

Bagaimanapun, ia tidak menyebut hukuman terhadap hakim terbabit atas dasar kekebalannya sebagai hakim.


“Wanita itu kemudian memfailkan permohonan supaya mahkamah membatalkan kekebalan berkenaan, namun ditolak,” lapor akhbar itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/12

Sorok dadah dalam seluar dalam


Dubai: Dua rakyat Filipina termasuk seorang jururawat mengaku tidak bersalah memiliki sejumlah kecil methamphetamine untuk tujuan pengedaran.

Jururawat berusia 34 tahun itu dikenali sebagai JT didakwa memiliki 0.53 gram dadah yang disorok dalam seluar dalamnya ketika dia ditahan.


Rakan senegaranya, lelaki berusia 33 tahun dikenali sebagai RJ didakwa memiliki 0.46 gram dadah.

Kedua-duanya didakwa memiliki dadah itu bagi tujuan pengedaran.


Sementara itu, JT juga menghadapi tuduhan berasingan menggunakan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/12

14 maut dua geng bertempur


Karachi: Pertempuran jalanan antara dua kumpulan bermusuhan dengan membabitkan mesingan dan pelancar roket RPG mengakibatkan lebih 14 orang, termasuk empat wanita maut.

Pegawai polis kanan Faisal Bashir berkata, 39 orang turut cedera, kebanyakannya kanak-kanak dalam keganasan paling teruk di bandar itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.


Kejadian meletus pada waktu pagi apabila salah satu kumpulan berkenaan menculik dua anggota geng lawannya.

Akibatnya, kedua-dua pihak berbalas tembakan manakala kanak-kanak terbabit cedera akibat tembakan rambang.


“Mereka kemudian menggunakan roket RPG dan bom tangan,” katanya.


Dia menjangka jumlah kematian akan meningkat.

Jurucakap tentera para militari Major Siptain Rizvi berkata, dua anggota geng maut dan seorang ditahan.

Sementara itu, Dr Seemi Jamali dari Pusat Perubatan Jinnah berkata, tiga anggota tentera para militari dan dua anggota polis antara yang tercedera. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Pengawal keselamatan ugut bapa dijel 2 tahun


NIK Mohd. Ibrahim Nik Zainal Abidin (tengah) dituduh mengancam untuk mencederakan bapanya dengan parang di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/JAZALY AMRY
KOTA BHARU 13 Mac - Perbuatan seorang pengawal keselamatan yang mengancam untuk mencederakan bapanya dengan parang selain mencabar untuk berlawan dengannya membawa padah apabila dia dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Nik Mohd. Ibrahim Nik Zainal Abidin, 27, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Nik Mohd. Ibrahim didakwa mengancam untuk mencederakan bapanya, Nik Zainal Abidin Che Harun, 54, di rumah mereka di Kampung Pantai Dasar, Kemumin di sini, pada pukul 10.30 malam, 5 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, semasa kejadian, pertengkaran mulut antara mangsa dengan Nik Mohd. Ibrahim menyebabkan tertuduh naik angin sebelum menghamburkan kata-kata kesat di samping menyuruh mangsa mengambil parang untuk berlawan dengannya.
Tertuduh mengatakan ''mu akan kenal siapa aku'' dan ''pergilah ambil parang, kita tetak berdua''.
Biras mangsa yang berada di situ cuba menenangkan tertuduh sebelum lelaki terbabit akur dan keluar dari rumah.
Difahamkan, dalam kejadian berasingan sebelum ini, tertuduh pernah cuba menetak ibunya kerana salah faham namun tidak mengena sasaran.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md. Zukri manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roshalizawati Muhammad.
Terdahulu, Nurliyana memohon mahkamah mengambil kira kesalahan tertuduh yang melibatkan keluarga sendiri sebagai mangsa.
''Dalam kes ini, mangsanya ialah bapa, sebelum ini juga dia dikatakan pernah cuba menetak ibunya.
''Pengasingan daripada keluarga mungkin memberi keinsafan kepada tertuduh. Lagipun di penjara, elok untuk pembangunan sahsiah dirinya. Jadi saya mohon dia diberikan hukuman yang setimpal,'' katanya.
Hukuman penjara ke atas tertuduh bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 11 Mac lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140314/ma_06/Pengawal-keselamatan-ugut-bapa-dijel-2-tahun#ixzz2w0HxHBvh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas pengarah dituduh terima rasuah


Kota Bharu: Seorang bekas pengarah Perbadanan Muzium Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat tuduhan tuduhan menyalahgunakan kuasa untuk menerima suapan membabit RM9,039, daripada adiknya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Rahman Abdullah, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dihadapan Hakim Adli Abd Ghalib.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Bunuh kerana bosan diherdik


Bangkok: Seorang remaja yang mendakwa adiknya membunuh ibu bapa mereka sebelum membunuh diri, semalam mengaku membunuh ketiga-tiga mereka kerana bosan diherdik setiap hari.

Suspek yang hanya dikenali sebagai Somchai, 19, kini ditahan untuk siasatan di Balai Polis Pratunam Chulalongkorn.

Polis menemui mayat tiga beranak terbabit di Pathum Thani awal pagi Ahad lalu dengan setiap seorang mempunyai kesan tembakan di kepala.

Suspek berkata, dia yakin adiknya - yang berusia 16 tahun - bertanggungjawab membunuh ibu bapa mereka sebelum membunuh diri kerana bosan diperkecilkan.

Ketika kejadian, kata suspek, dia tidak sedar dan hanya mengesyakinya ketika berada di universiti beberapa jam kemudian.

Penyiasat kemudian mendapati beberapa keraguan daripada kenyataan suspek serta bukti di tempat kejadian.



Sumber berkata, antara kecelaruan ditemui, pistol 9mm digunakan dalam kejadian itu terjatuh berhampiran tangan kanan adik suspek tetapi semua tembakan dilepaskan dari sisi kiri kepala mangsa.

“Dalam keadaan adik suspek bukan kidal, sangat sukar untuknya membunuh diri dengan melepaskan tembakan dari kiri,” katanya.

Kata sumber, Somchai hanya mengaku melakukan pembunuhan itu kelmarin selepas disoal siasat.


Sementara itu Somchai berkata, dia biasanya menghabiskan masa di sebuah kondominium berhampiran tempatnya belajar di Universiti Srinakharinwirot.

Pada malam Sabtu, katanya, dia menyertai keluarganya makan malam serta minum arak dengan bapanya di rumah.

Kata Somchai, dia bercadang memperkenalkan teman wanita kepada orang tuanya namun dia diarah tidak keluar kerana berbahaya untuknya memandu selepas meminum arak.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

Aksi haram laga kuda

Manila: Walaupun diharamkan sejak 1998, kegiatan laga kuda di Filipina masih dilakukan.
Dengan dua ekor kuda jantan yang bertempur dalam gelanggang yang disediakan, ratusan penduduk tempatan akan bersorak seolah-olah sedang menyaksikan perlawanan gusti.
Gambar yang dirakamkan di T’boli, selatan Filipina itu menunjukkan penduduk kampung menyaksikan ‘pertumpahan darah’ itu dalam acara Seslong yang diraikan penduduk tempatan setiap tahun.

Bukan sahaja diadakan di hadapan ratusan penonton, aktiviti laga kuda yang diharamkan ini turut dipromosikan melalui laman web pelancongan tempatan.
Foto
SEORANG pengadil berada dalam gelanggang bagi mengawal pertarungan berkenaan.

Aktiviti laga kuda ini membabitkan dua kuda jantan yang bertarung sehingga satu daripadanya mengalah atau mati untuk merebut seekor kuda betina yang diikat di tengah gelanggang.

Penduduk kampung yang menyaksikan perlawanan itu bertaruh bagi menentukan kuda mana yang menang.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/13

MH370 hilang akibat poket udara

MOHD. OMAR melakarkan teori bagi merungkai misteri kehilangan pesawat MH370 ketika ditemui di USM, Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Seorang pensyarah semalam mengemukakan satu teori baharu mengenai misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan menyatakan ia mungkin berpunca daripada fenomena super air pocket atau poket udara berskala luar biasa.
Pensyarah dari Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohd. Omar Ab. Kadir memberitahu, terdapat kemungkinan pesawat tersebut telah menempuh fenomena poket udara luar biasa dan mungkin saiznya 10 kali ganda daripada poket udara biasa sehingga menyebabkan pesawat berkenaan gagal berfungsi.
Menurut beliau yang pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik di US Naval Academy ketika melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat memberitahu, kejadian pesawat berkenaan yang gagal dikesan oleh radar adalah disebabkan oleh vakum yang wujud di dalam poket udara tersebut.
"Dalam keadaan vakum, sebarang bentuk isyarat serta gelombang tidak dapat berfungsi dan keadaan itu menyamai situasi yang dihadapi oleh pesawat MH370 kerana menara kawalan tidak menerima sebarang isyarat kecemasan semasa pesawat itu dilaporkan terputus hubungan pada pagi Sabtu lalu," katanya.
Mohd. Omar yang merupakan pemegang Sijil Pemprosesan Signal dan Getaran dari University of Southamton, England berkata, ketika pesawat itu melalui kawasan poket udara itu juga, ia telah jatuh dengan kelajuan 10 meter setiap saat atau kira-kira 900 kilometer sejam (km/j).
Jelas beliau, keadaan itu mungkin menyebabkan juruterbang dan penumpang di dalamnya mungkin tercampak atau melambung.
Ekoran kejadian itu, katanya, juruterbang dan pembantunya mungkin mengalami simptom tidak sedarkan diri sama ada disebabkan oleh pengsan ataupun telah meninggal dunia akibat komplikasi pada organ dalaman badan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2voPpYZdr 
Hakcipta terpelihara 

600,000 orang lihat imej satelit cari MH370



REUTERS
PEMANDANGAN laut dari tingkap sebuah pesawat Tentera Laut Vietnam dalam misi mencari pesawat MH370 yang hilang di luar pantai Pulau Con Dao, Vietnam semalam.


LONGMONT, Colorado - Sekitar 600,000 orang telah mengimbas imej-imej satelit DigitalGlobe Inc. untuk mencari petunjuk tentang sebuah pesawat syarikat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang.
Pendedahan itu dibuat firma DigitalGlobe Inc dari Amerika Syarikat (S) itu kepada agensi berita AP kelmarin.
Pengguna laman web firma DigitalGlobe itu boleh menandakan imej yang mereka temui seperti bangkai kapal atau pesawat, bot keselamatan, tumpahan minyak dan bukti-bukti lain.
Laman web satelit itu melancarkan kempen bagi meminta bantuan orang ramai untuk sama-sama membantu dalam operasi mencari pesawat MH370 itu.
Firma berkenaan merancang untuk mengemas kini imej-imej di laman web pencarian berkenaan, www.tomnod.com, pada setiap hari.
Pengarah Kanan Data DigitalGlobe, Shay Har-Noy berkata, sambutan yang kami terima agak menakjubkan.
"Sistem pelayan kami bekerja keras untuk memproses semua maklumat yang diterima," ujar Har-Noy.
"Selain orang awam, agensi-agensi kerajaan AS turut memiliki akses untuk melihat imej-imej di laman web DigitalGlobe," tambahnya.
Pesawat tersebut meninggalkan Kuala Lumpur pada Sabtu lepas bersama 227 penumpang dan 12 kru.
Har-Noy memberitahu, DigitalGlobe mula menerima e-mel daripada ramai individu yang berminat menyertai pencarian itu tidak lama selepas pesawat tersebut hilang pada Sabtu lalu.
Beliau berkata, firma tersebut membekalkan imej satelit untuk lima hingga 10 operasi mencari dan menyelamat di seluruh dunia sejak 18 bulan lalu.
DigitalGlobe yang berpangkalan di negeri Colorado, AS memiliki lima satelit pengimejan di orbit. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2voJ5e6FE 
Hakcipta terpelihara 

Pembantu penguat kuasa JPJ cedera ditumbuk



ASRUL ADI (kanan) menunjukkan bibirnya yang ditumbuk seorang lelaki kepada Fatimah (kiri) pada sekatan jalan di Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah semalam.


ALOR SETAR – Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah pecah bibir akibat ditumbuk seorang lelaki berusia 31 tahun dalam satu operasi sekatan jalan raya di Jalan Stadium di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, suspek menaiki kereta jenis Proton Wira menunggu giliran untuk diperiksa di sekatan sebelum bertindak memecut kenderaan dengan menghimpit ke kiri jalan.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ negeri, Fatimah Saad memberitahu, suspek memberhentikan kenderaan kira-kira 100 meter dari lokasi sekatan dan berjalan kaki menuju ke arah pegawai penguat kuasa.
Katanya, suspek kemudian menumbuk seorang pembantu penguat kuasa JPJ negeri, Asrul Adi Zainol, 34, pada bahagian atas bibir tanpa diketahui puncanya.
“Suspek bertindak secara tiba-tiba dan kita tidak tahu mengapa dia bertindak sedemikian,” katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2voIgtyW2 
Hakcipta terpelihara 

Operasi cari pesawat terus buntu


HISHAMMUDDIN (tengah) menjawab soalan wartawan pada sidang media di Sepang semalam. Turut kelihatan ialah Zulkifeli (kiri) dan Azharuddin.


SEPANG - Hari ini genap enam hari pasukan menyelamat yang melibatkan 12 buah negara menyertai operasi mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang pada Sabtu lalu namun belum ada tanda-tanda pesawat itu akan ditemui.
Operasi pencarian yang turut melibatkan Jepun, Brunei, India dan Amerika Syarikat serta membabitkan 42 buah kapal dan 39 pesawat kini meliputi 27,000 batu nautika iaitu 12,425 di Selat Melaka manakala 14,440 di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun pencarian itu belum ada perkembangan namun pihak berkuasa memberi jaminan tidak akan menghentikan operasi selagi pesawat tersebut tidak ditemui.
"Pihak berkuasa berjanji kepada setiap ahli keluarga penumpang yang kita tidak akan mengurangkan momentum dan usaha untuk mencari pesawat tersebut," kata beliau pada sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini semalam.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md. Zin, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Tan Sri Rodzali Daud, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.
Pihak berkuasa, katanya, masih tetap pada fokus utama iaitu berusaha mencari pesawat dan kotak hitam bagi merungkai segala persoalan serta isu yang timbul sejak kehilangan kapal terbang tersebut


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2voIKMyyX 
Hakcipta terpelihara 

India guna pesawat Dornier cari pesawat MH370


NEW DELH - Pasukan pengawal pantai India menyertai pencarian dari udara di sekitar perairan kepulauan Andaman dan Nicobar bagi mengesan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak Sabtu lalu, kata seorang pegawai.
Ketua Pengawal Pantai India, V.S.R. Murthy berkata, sebuah pesawat Dornier milik jabatan itu berlepas pada tengah hari semalam bagi mengesan pesawat MH370 di Kepulauan Andaman selepas mendapat arahan daripada kerajaan India.
"Kami diarahkan untuk menyertai operasi mencari sehingga ke pinggir Zon Eksklusif Ekonomi di Kepulauan Andaman," katanya.
Dalam pada itu, Tentera Udara India turut berada dalam keadaan siap sedia bagi membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat yang hilang itu.
Jurucakap Tentera Udara India, Gerard Galway berkata, beberapa pesawat bersedia untuk dihantar ke perairan barat Malaysia untuk mencari pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang termasuk lima warga India dan 12 kru.
"Kami belum menerima sebarang arahan tetapi sekiranya ada keperluan, pesawat kami akan dihantar untuk membantu operasi mencari tersebut," katanya.
Presiden India, Pranab Mukherjee memberitahu, negara itu bersedia untuk menghulurkan bantuan dan para pegawai sering berhubung dengan Malaysia berhubung kehilangan misteri pesawat berkenaan.
"Kami menghargai usaha-usaha kerajaan Malaysia bagi mencari pesawat tersebut dan kami bersedia menghulurkan segala bantuan yang diperlukan," kata pejabat Mukherjee dalam satu kenyataan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2voI8e7n0 
Hakcipta terpelihara 

RM300,000 duit BNM dicuri



BANGUNAN BNM yang terletak di Lebuh Light.
KIRI: Suspek direman polis semalam selepas disyaki terlibat kes curi di BNM di Lebuh Light, George Town, Pulau Pinang kelmarin.


GEORGE TOWN – Lapan kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) Wilayah Pulau Pinang ditahan polis selepas disyaki terlibat mencuri wang RM300,000 di sebuah bilik pemprosesan mata wang di bank berkenaan di Lebuh Light, di sini kelmarin.
Jurucakap polis berkata, tujuh lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan selepas laporan dibuat kira-kira pukul 8 malam kelmarin oleh penyelia BNM.
Difahamkan, kesemua suspek yang ditahan dipercayai melakukan kegiatan tersebut sejak September 2013 hingga Mac tahun ini.
“Penyelia BNM itu membuat laporan selepas menyedari kehilangan wang itu pada hari kejadian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2voHLm0Tz 
Hakcipta terpelihara 

Kemungkinan Ammar dipukul adik-beradik lain - Saksi


KUALA LUMPUR - Perbicaraan hari kesepuluh pasangan Malaysia yang didakwa di Sweden, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Nurshal menyaksikan saksi-saksi yang dipanggil memberikan kenyataan yang lebih positif berbanding sebelum ini.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, seorang pegawai polis yang menahan Azizul di kediamannya pada 18 Disember lalu menceritakan bagaimana Azizul memberitahunya bahawa dia tidak memukul anak-anaknya, sebaliknya hanya mengetuk lantai sebagai tanda amaran.
"Salah seorang saksi lain yang memberikan keterangan dalam bentuk rakaman menyatakan dia pernah menasihati Ammar supaya berjumpa kaunselor kerana sering melihat rakan karibnya itu selalu menggosok tangan dan mendakwa dipukul oleh ibu bapanya.
"John Webb yang berumur 12 tahun itu banyak memulakan ayat dengan mengatakan 'saya tak ingat' ketika menceritakan mengenai Ammar pernah memberitahu dipukul dan dicubit oleh ahli keluarganya sambil tidak menolak kemungkinan rakannya itu dipukul oleh adik-beradiknya yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Khairul Anwar berkata, Webb pernah berhubung dengan Ammar menerusi aplikasi Skype ketika dia berada di Amerika Syarikat dan memberitahu Ammar tidak suka tinggal di rumah keluarga angkatnya.
"Ammar menceritakan kepada Webb bahawa dia tidak suka tinggal di rumah keluarga angkat serta amat merindui ibu bapanya dan menambah turut membenci Webb kerana memintanya bertemu kaunselor.
"Ammar turut memaklumkan kepada rakannya itu bahawa dia ingin keluarganya kembali hidup seperti dahulu atau memilih untuk kembali ke Malaysia jika tidak dapat bersama ibu bapanya," ujarnya.
Sementara itu, Khairul Anwar memberitahu, seorang lagi rakan Ammar yang turut dipanggil memberikan keterangan, Maxwell Shenk pula memaklumkan Ammar pernah mengadu dipukul kerana memainkan muzik terlalu kuat.
"Ketika ditanya sama ada ibu atau bapa yang memberikan pukulan kepada Ammar, Shenk menjawab 'tidak tahu kerana ia berlaku di rumah Ammar'," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2voGjjlLB 
Hakcipta terpelihara 

Puteri Jerman dihadap ke mahkamah

Puteri Theodora


BERLIN 12 Mac - Seorang pu­teri diraja Jerman dihadapkan ke mahkamah atas sembilan pertuduhan termasuk mengancam untuk membunuh orang Islam dan menghina polis dengan panggilan ‘fidofilia’ iaitu golongan yang berahi terhadap kanak-kanak.
DailyMail Online melaporkan, Pu­teri Theodora Sayn-Wittgenstein, turut didakwa menyerang tiga individu pada satu majlis amal untuk pusat kebajikan kanak-kanak Tayside yang menderita akibat sakit kanser dan leukimia di Universiti St Andrews, Fife, Scotland pada 9 Mac lalu.
Puteri berusia 27 tahun itu dituduh menyerang seorang lelaki bernama Damon Creevy dan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap seorang wanita Islam bernama Farah Hussain dengan mengeluarkan ugutan untuk membunuh orang Islam.
Beliau juga menendang seorang wanita bernama Cara Anderson dan cuba menghentak kepala mangsa menggunakan kepalanya.
Selain itu, puteri itu didakwa menghina pihak keselamatan dengan menggelar anggota polis sebagai fidofilia ketika ditahan di Balai Polis Glenrothes pada hari yang sama.
Sayn-Wittgenstein, bagaimanapun menafikan kesemua tuduhan berkenaan dan dibebaskan de­ngan ikat jamin dengan syarat perlu hadir setiap kali perbi­caraannya diadakan.
Beliau juga diminta tidak melakukan sebarang kesalahan sepanjang tempoh ikat jami atau menganggu saksi dalam kes-kes terbabit.
Mahkamah Dundee Sheriff menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh permulaan perbicaraan kes tersebut


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140313/lu_06/Puteri-Jerman-dihadap-ke-mahkamah#ixzz2vsrtze2l
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 warga Iran dikenal pasti


2014/03/12

2 warga Iran dikenal pasti
Pouria (kiri) dan seorang lelaki dikenali sebagai Delavar Seyed yang menaiki pesawat yang dilaporkan hilang.


Sepang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat INTERPOL mendedahkan dua penumpang MH370 yang menggunakan pasport curi adalah warga Iran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mendedahkan seorang daripada mereka ialah Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, menggunakan pasport Austria milik Cristian Kozel untuk berhijrah ke Frankfurt, Jerman.


Di Lyon, Perancis, Ketua Setiausaha INTERPOL, Ronald K Noble mendedahkan seorang lagi ialah Delavar Seyed Mohammad Erza, 29, menggunakan pasport Itali milik Luigi Mareldi.

Ibu bertanyakan anak

Abdul Khalid berkata, maklumat diperoleh apabila ibu remaja berkenaan yang berada di Frankfurt menghubungi pihak berkuasa di sini selepas anaknya tidak muncul di balai ketibaan lapangan terbang di sana.

“Hasil maklumat ibunya, kita bekerjasama dengan beberapa negara bagi memeriksa profil dan latar belakang Pouria, namun tiada maklumat yang boleh mengaitkannya dengan mana-mana kumpulan pengganas.

“Dia menaiki pesawat MH370 kerana cuba untuk berhijrah ke Jerman,” katanya semalam
Ditanya sama ada pasport yang dimiliki Pouria dibeli daripada sindiket pemalsuan dokumen, Khalid berkata siasatan akan dilakukan merangkumi semua aspek.

Noble pula berkata maklumat terkini mengenai dua lelaki terbabit menolak kemungkinan kehilangan pesawat mempunyai kaitan dengan keganasan.

2 ditahan miliki bahan letupan


2014/03/12

Pegawai PPM Tawau, Asisten Superintendan Krishnan Ramasamy (kanan) meneliti pelbagai barangan membuat bahan letupan di Tawau. - Foto ABDUL RAHEMANG TAIMING
Seorang warga tua dan isterinya ditahan kerana memiliki barangan membuat bahan letupan di kawasan Batu-Batu Sabindo dekat sini, semalam.

Lelaki berusia 63 tahun dari Semporna dan wanita warga Indonesia berusia 50 tahun itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berhampiran tempat menaiki bot ke Pulau Sebatik, kira-kira jam 8.40 pagi.


Pemeriksaan dua bagasi dibawa pasangan terbabit menemui 200 butir bahan peledak, dua gulung wayar fius keselamatan merah dengan setiap satu sepanjang 1,000 meter, selain empat telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun, berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek cuba menyeludup bahan letupan itu ke negara jiran bagi pengeboman ikan.

Siasatan lanjut

“Kita akan lakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti jika ia turut digunakan untuk kegiatan jenayah.

“Berdasarkan kuantiti bahan rampasan, PPM tidak menolak kemung-kinan kedua-dua suspek menjadi pembekal bahan letupan yang dipercayai diperoleh dari Filipina untuk dipasarkan.
“Keseluruhan rampasan dianggar RM15,735 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya di sini, semalam.

Dalam kes berasingan, lima lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pengeboman ikan di perairan Pulau Guhuan, Kudat, Jumaat lalu.

Semua suspek ditahan PPM Kudat yang menjalankan Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) kira-kira jam 9.30 pagi dan merampas 30 kilogram ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan, selain beberapa peralatan menyelam dalam bot terbabit.

Mohamad berkata, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan mengikut Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985.

PROTON Satria Neo dilarikan perompak di R&R Gopeng


2014/03/12
Kampar: Seorang juruteknik kerugian hampir RM50,000 selepas kereta PROTON Satria Neo miliknya dilarikan perompak bersenjatakan parang di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pusat Transformasi Desa (RTC), Lebuh Raya Utara Selatan di Gopeng, semalam.

Dalam kejadian berlaku jam 7 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang dalam perjalanan dari Puchong, Selangor menghala utara memb erhentikan keretanya untuk tidur.


Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, ketika sedang tidur mangsa terjaga selepas dikejutkan dengan bunyi cermin keretanya dipecahkan menggunakan sebilah parang oleh seorang suspek.

Cuba menghidupkan enjin

“Melihatkan keadaan itu, mangsa cuba menghidupkan enjin keretanya tetapi suspek bertindak membuka pintu lalu menarik mangsa keluar.

“Suspek berkenaan kemudian melarikan kenderaan itu sambil diekori dua kereta lain dipercayai dinaiki rakan suspek,” katanya di sini, semalam.

Kong Soon berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis sejam kemudian.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian membabitkan lima suspek dengan seorang daripadanya bersenjatakan parang dan berusia lingkungan 30-an.

Katanya, mangsa dapat mengecam wajah suspek yang memecahkan cermin kereta dan menariknya keluar kerana tidak menutup muka ketika melakukan jenayah itu.

Dua lelaki samun lebih 20 kali ditahan

Dua lelaki samun lebih 20 kali ditahanAntara barang yang dirampas polis daripada suspek samun yang ditahan di Kampung Melayu, Rawang.

Gombak: Kelicikan dua lelaki menyamar sebagai polis untuk menyamun lebih 20 kali, berakhir selepas ditahan di Bandar Sunway, Batu Caves, di sini, semalam.

Suspek berusia 23 dan 37 tahun itu ditahan kirakira setengah jam selepas menyamun sebuah rumah di Kampung Melayu, Rawang.

Perkenal diri sebagai polis 


Sumber berkata, suspek ke rumah berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari menaiki kereta Proton Saga biru dan memperkenalkan diri sebagai polis.

“Mereka mendakwa ada penjenayah berada di rumah didiami empat sekeluarga itu.

“Sebaik mendapati penghuni rumah itu termakan helah mereka, suspek pantas mengikat keempatempat mangsa sebelum melarikan beberapa komputer riba, permainan video dan wang tunai,” katanya kepada BH, semalam. 

Duta Malaysia dedah isyarat radio terakhir MH370



REUTERS
SEBUAH kapal penyelamat mencari pesawat MH370 yang hilang dekat Pulau Con Dao, Vietnam semalam.


BEIJING - Isyarat radio terakhir yang diterima daripada kokpit sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Laut China Selatan adalah ungkapan yang menyatakan: "Baik, selamat malam."
Ungkapan itu didedahkan Duta Besar Malaysia ke Beijing, Datuk Iskandar Sarudin semalam dalam satu pertemuan dengan saudara-mara para penumpang warga China di sebuah hotel di sini.
Sejumlah 153 daripada 227 penumpang dan 12 kru pesawat tersebut merupakan rakyat China.
Penerbangan MAS MH370 dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China hilang daripada skrin radar pada awal pagi Sabtu lepas tanpa panggilan kecemasan manakala tiada bangkai pesawat ditemui sehingga kini walaupun selepas operasi mencari besar-besaran dilancarkan.
Akhbar Singapura, Straits Times semalam melaporkan bahawa ungkapan tersebut diucapkan oleh salah seorang juruterbang pesawat berkenaan ketika penerbangan MH370 mula memasuki ruang udara Vietnam.
Ketika kekeliruan timbul berhubung isu lokasi operasi mencari dan sama ada radar tentera Malaysia mengesan kapal terbang Boeing itu, Iskandar berkata: 
KOKPIT pesawat Boeing 777-200.


"Sekarang bukan masa untuk mendedahkan tentang maklumat yang diberikan oleh tentera kepada pihak berkuasa awam."
Pesawat itu dipandu juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantunya, Fariq Ab Hamid, 27.
Dalam pada itu, sebahagian saudara-mara penumpang di sini memberitahu agensi berita AFPbahawa pertemuan itu berlangsung dengan teratur sekali gus berbeza dengan pertemuan serupa melibatkan beberapa pegawai China pada Isnin lalu.
Pada pertemuan tersebut, beberapa saudara-mara penumpang MH370 menyelar para pegawai berkenaan.
"Saya berpendapat, pemerintah China perlu lebih aktif dalam menangani isu itu," kata seorang lelaki yang menggunakan nama keluarga Zhang. Anak perempuannya menaiki pesawat tersebut.
"Tambahan pula, insiden itu berlaku melibatkan rakyat China," tambahnya. - AFP

Bekas PM Belanda terjatuh di Chile



REUTERS
KOMBINASI gambar menunjukkan Lubbers jatuh di atas karpet merah di Istana Cerro Castillo, Vina del Mar, Chile kelmarin.


SANTIAGOA, Chile - Bekas Perdana Menteri Belanda, Ruud Lubbers malu selepas terjatuh semasa berjalan di atas karpet merah ketika beliau menghadiri majlis makan tengah hari bersama Presiden Chile, Michelle Bachelet kelmarin.
Kejadian itu berlaku ketika Lubbers yang mengetuai delegasi Belanda tiba di Istana Presiden di Cerro Castillo bersama beberapa delegasi asing.
Ketika sampai Lubbers melambaikan tangan ke arah sekumpulan wartawan sambil mengundur ke belakang tetapi terjatuh selepas terlanggar karpet merah.
Beberapa pembantu yang menyedari kejadian itu segera membantu Lubbers untuk bangun semula dan beliau hanya tersenyum sebelum memasuki istana.
Lubbers, 74, menjadi Perdana Menteri Belanda dari tahun 2001 hingga 2005. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2vmrZetFg 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki bunuh isteri dihukum penjara 22 tahun


ACUNA


NEW YORK - Seorang lelaki di sini dihukum penjara 22 tahun selepas didapati bersalah mencekik isterinya sehingga mati sebelum menyumbat mayat wanita itu ke dalam satu tong drum berisi simen, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.
Pendakwa raya berkata, lelaki itu, Steven Acuna, 40, mencekik isterinya, Randy Lehrer, 32, sehingga mati dalam satu pertengkaran di rumah mereka di Jersey City Heights pada Ogos 2011.
Mayat Lehrer yang mempunyai seorang anak perempuan berusia satu tahun dijumpai dalam satu tong drum berisi simen di ruangan bawah tanah kediaman itu sebulan kemudian.

LEHRER


Susulan penemuan mengejutkan itu pihak polis menahan Acuna kerana disyaki membunuh isterinya itu.
Acuna mengaku bersalah membunuh isterinya itu pada Oktober tahun lalu.
Sebelum hakim menjatuhkan hukuman Acuna sempat meminta maaf kepada keluarga wanita itu dalam satu kenyataan ringkas di mahkamah.
Dia perlu menjalani hukuman penjara selama 17 tahun lagi sebelum layak untuk dibebaskan dengan perintah parol. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2vmoM0TAI 
Hakcipta terpelihara 

Pakar keliru kehilangan MH370


REUTERS
SEORANG pegawai tentera Vietnam, Ngo Ngoc Dong melihat sebuah peta di atas skrin iPad di dalam sebuah pesawat semasa misi mencari pesawat MH370 di luar pantai Pulau Con Dao semalam.


LONDON - Banyak pihak keliru berhubung kehilangan sebuah pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) pada Sabtu lalu ketika kebanyakan negara memiliki teknologi pengesanan yang serba canggih, lapor akhbar Mail Online semalam.
Walaupun dilengkapi perakam data penerbangan, kotak hitam dan sistem komunikasi radio, Boeing 777-200 milik MAS itu hilang pada awal pagi dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China pada Sabtu lalu.
Pakar-pakar masih keliru tentang punca pesawat MH370 terputus hubungan komunikasi dengan sebahagian mereka menyatakan pesawat itu sama ada dibom dan meletup di udara atau hilang dalam lohong hitam aeronautik atau menjadi mangsa perang elektronik.
Dalam pada itu, kehilangan kapal terbang tersebut mungkin juga berpunca daripada perbuatan mematikan sistem komunikasi dalam pesawat.
Seorang pakar kejuruteraan, Dr. Martyn Thomas dari Institusi Kejuruteraan dan Teknologi, London memberitahu, beliau berpendapat kehilangan pesawat MH370 itu berpunca daripada penyahmampatan pesawat yang menyebabkan para penumpang dan kru pengsan manakala peralatan komunikasi turut rosak.
Dalam senario tersebut, Boeing 777-200 masih boleh terbang dengan menggunakan sistem kemudi automatik tanpa penglibatan manusia sejauh 3,200 kilometer.
Satu lagi kebarangkalian adalah kapal terbang itu mungkin terjatuh ke dalam lohong hitam aeronautik di rantau berkenaan, kata seorang lagi pakar penerbangan Akademi Kejuruteraan Diraja, London, Stewart John.
"Radar digunakan untuk menjejaki pesawat di kawasan penempatan penduduk tetapi apabila pesawat tersebut memasuki pedalaman seperti bahagian dalam Rusia atau hutan rimba Malaysia, satu-satunya kaedah pengesanan adalah supaya pesawat berkenaan menghantar maklumat pada kadar masa yang tetap," jelasnya.
Kata John, kotak hitam yang sebenarnya berwarna oren digunakan untuk merakamkan sebarang arahan yang dihantar ke pesawat, komunikasi radio atau komunikasi sesama kru.

REUTERS
DUA anggota penyelamat tentera Indonesia menggunakan binokular untuk mencari pesawat MH370 di Selat Melaka semalam.


Apabila sesebuah pesawat hilang, kotak hitam akan aktif pada frekuensi tertentu iaitu dalam tempoh 30 hingga 70 hari.
Peralatan tersebut boleh dikesan dalam lingkungan lapan kilometer.
Kotak itu direka untuk kebal daripada impak pesawat terhempas, tekanan laut dalam dan kalis suhu ais atau api.
"Namun, pasukan-pasukan penyelamat boleh terlepas pandang jika mereka tidak berada pada jarak sesuai atau menggunakan frekuensi yang betul," kata Stewart.
Menurutnya, terdapat juga kemungkinan kotak hitam penerbangan MAS itu musnah akibat letupan kuat seperti bom.
Terdapat teori lebih radikal yang mengaitkan kehilangan pesawat MH370 dengan peperangan elektronik susulan pengesahan sekurang-kurangnya 20 penumpang pesawat tersebut merupakan kakitangan firma semikonduktor Amerika Syarikat, Freescale.
Setiap penumpang itu memiliki pengetahuan tentang teknologi elektronik untuk aplikasi pertahanan.
Ia termasuk teknologi untuk menjadikan pesawat itu "halimunan" sekali gus gagal dikesan oleh radar.
Laman web Beforeitnews melaporkan teknologi tersebut melibatkan susunan panel kaca yang digunakan untuk memesong cahaya di sekitar objek.
Beberapa teknik lain melibatkan teknologi menghentikan isyarat untuk mengelak pesawat itu dikesan oleh radar. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2vmplbMcO 
Hakcipta terpelihara 

Kemungkinan Ammar dipukul adik-beradik lain - Saksi


KUALA LUMPUR - Perbicaraan hari kesepuluh pasangan Malaysia yang didakwa di Sweden, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Nurshal menyaksikan saksi-saksi yang dipanggil memberikan kenyataan yang lebih positif berbanding sebelum ini.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, seorang pegawai polis yang menahan Azizul di kediamannya pada 18 Disember lalu menceritakan bagaimana Azizul memberitahunya bahawa dia tidak memukul anak-anaknya, sebaliknya hanya mengetuk lantai sebagai tanda amaran.
"Salah seorang saksi lain yang memberikan keterangan dalam bentuk rakaman menyatakan dia pernah menasihati Ammar supaya berjumpa kaunselor kerana sering melihat rakan karibnya itu selalu menggosok tangan dan mendakwa dipukul oleh ibu bapanya.
"John Webb yang berumur 12 tahun itu banyak memulakan ayat dengan mengatakan 'saya tak ingat' ketika menceritakan mengenai Ammar pernah memberitahu dipukul dan dicubit oleh ahli keluarganya sambil tidak menolak kemungkinan rakannya itu dipukul oleh adik-beradiknya yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Khairul Anwar berkata, Webb pernah berhubung dengan Ammar menerusi aplikasi Skype ketika dia berada di Amerika Syarikat dan memberitahu Ammar tidak suka tinggal di rumah keluarga angkatnya.
"Ammar menceritakan kepada Webb bahawa dia tidak suka tinggal di rumah keluarga angkat serta amat merindui ibu bapanya dan menambah turut membenci Webb kerana memintanya bertemu kaunselor.
"Ammar turut memaklumkan kepada rakannya itu bahawa dia ingin keluarganya kembali hidup seperti dahulu atau memilih untuk kembali ke Malaysia jika tidak dapat bersama ibu bapanya," ujarnya.
Sementara itu, Khairul Anwar memberitahu, seorang lagi rakan Ammar yang turut dipanggil memberikan keterangan, Maxwell Shenk pula memaklumkan Ammar pernah mengadu dipukul kerana memainkan muzik terlalu kuat.
"Ketika ditanya sama ada ibu atau bapa yang memberikan pukulan kepada Ammar, Shenk menjawab 'tidak tahu kerana ia berlaku di rumah Ammar'," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2vmor0Zq1 
Hakcipta terpelihara