Search This Blog

Wednesday, March 12, 2014

Lelaki nyaris maut, kereta dipandu hilang kawalan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Lelaki nyaris maut, kereta dipandu hilang kawalan
Kenderaan terpakai yang remuk akibat rempuhan semalam. 
12 Mac 2014
KOTA BHARU - Seorang lelaki nyaris maut selepas pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandunya dari arah Ketereh ke Kota Bharu merempuh dua kereta terpakai di seberang jalan ketika memotong kenderaan di hadapannya di sini semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, kenderaan yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai berusia 20-an hilang kawalan dan terus merempuh dua kereta terpakai yang diparkir di hadapan kediaman pemilik kenderaan itu.

Kasliza Mohd Yusof, 38 berkata, dia terkejut dengan bunyi dentuman kuat dan bergegas keluar dari rumah untuk melihat punca bunyi berkenaan.

“Ketika itu saya sedang menguruskan anak-anak dan apa yang berlaku ini sangat mengejutkan.

“Pemandunya mengalami kecederaan di kepala dan dihantar ke klinik berhampiran oleh orang awam untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Menurut Kasliza, kereta Hilux tersebut mengheret kereta terpakai yang dijual di hadapan rumahnya sepanjang 20 meter sehingga melanggar pintu pagar kedainya yang terletak berhampiran.

Dalam kejadian tersebut, kereta milik Kasliza  rosak teruk di bahagian belakang dan sisi akibat rempuhan yang kuat oleh pacuan empat roda berkenaan.

“Kami anak beranak bernasib baik pada hari ini (semalam) kerana kami tidak menjalankan perniagaan memandangkan suami saya tidak sihat,” katanya.

Kasliza juga bersyukur kerana indisen berkenaan tidak mendatangkan sebarang kejadian tidak diingini kepada orang ramai.

TUDM nafi lokasi terakhir MH370 di Selat Melaka

MH370
SEPANG - Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Rodzali Daud menafikan laporan yang memetik beliau berkata radar tentera mengesan pesawat MH370 di Selat Melaka.

Sehubungan itu, beliau meminta agar laporan tersebut dipinda dan diperbetulkan.

"Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah membuat kenyataan sedemikian

"Saya minta laporan tersebut dipinda dan diperbetulkan untuk mengelak berlaku salah tafsir terhadap laporan yang tidak betul itu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rodzali, beliau diminta mengesahkan kejadian itu oleh wartawan terbabit namun beliau tidak menjawab.

"Sebaliknya apa yang saya katakan kepada wartawan itu ialah 'sila rujuk kenyataan saya pada 9 Mac pada sidang media bersama Ketua Angkatan Tentera di Hotel Sama Sama," katanya.

Sebelum ini beliau dilaporkan berkata pada malam kejadian, pangkalan udara di Butterwoth mengesan isyarat kedudukan MH370 yang berpatah balik menghala ke laluan asalnya ke Kota Bharu, Kelantan sebelum dipercayai melalui ruang udara Pantai Timur dan Utara.

Polis sah terima laporan dentuman kuat

MH370
KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengesahkan menerima hanya satu laporan polis berhubung dakwaan penduduk kampung yang mendengar bunyi dentuman kuat pada pagi Sabtu lalu kemungkinan ada kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, pihaknya telah menyalurkan laporan berkenaan kepada ibu pejabat Polis Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

"Kita telah serahkan laporan yang diterima kepada Bukit Aman semalam dan sehingga kini...hanya menunggu arahan yang selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Pemimpin pelajar di sini hari ini.

Semalam lapan penduduk di Kampung Pantai Seberang Marang membuat satu laporan berhubung bunyi misteri yang didengari mereka dari timur laut Pulau Kapas pada kira-kira jam 1.20 pagi.

Ketika kejadian lapan sahabat berkenaan sedang bersantai duduk di bangku kira-kira 400 meter dari pantai Marang dan secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seperti kipas kapal terbang.

Laporan polis dibuat di ibu pejabat polis Daerah Marang kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Jamshah berkata orang ramai perlu lebih peka dan mendapatkan bukti yang sahih kerana mereka hanya mendengar bunyi letupan namun tidak menemui sebarang objek.

"Saya harap orang ramai tidak mengambil peluang ini untuk menarik perhatian ramai atau mengelirukan pihak berkuasa dengan sesuatu yang tidak tahu kesahihannya," katanya.

Pesawat MAS Penerbangan MH370 itu membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu. - Bernama

Pengusaha kilang didakwa terima suapan RM100,000


12 Mac 2014


BUTTERWORTH - Seorang pengusaha kilang papan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menerima suapan dalam bentuk cek bernilai RM100,000 daripada pemilik sebuah syarikat perkayuan pada 2010.

Mohamad Fadzil Mohamad Rathi, 50, dituduh menerima cek itu daripada Beh Hock Seng, di syarikat Welly Timber Industries Sdn Bhd, Plot A26, Lorong Bakau, Kawasan Perusahaan Perabot Sungai Baong, dalam daerah Seberang Perai Selatan pada 4 November 2010.

Mohamad Fadzil dituduh menerima suapan itu bagi pihak Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Nik Muhammad Shah Nik Mustafa sebagai upah membantu Syarikat Intisinar Sdn Bhd kepunyaan Abd Rahman Ahmad mendapat kelulusan permit untuk menjalankan kegiatan membalak di satu kawasan hutan mukim Daerah Slim River, Perak.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Julie Lack membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Ghazali Mohammad Nadzri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Diperdaya RM18,000: Pakej niaga kerusi urut

AMRAN ALI
Diperdaya RM18,000: Pakej niaga kerusi urut
Mustakim (tengah) bersama Amir Hamzah (kanan) dan Balakrishnan pada sidang media, semalam. 
12 Mac 2014
AYER KEROH - Seorang juruteknik sebuah kilang rugi RM18,000 akibat terpedaya dengan janji manis sebuah syarikat yang berjanji menyediakan pakej perniagaan kerusi urut, namun akhirnya gagal dihubungi.

Mustakim Moolish, 32, dari Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal berkata, pada 30 November lalu, dia dihubungi individu yang mendakwa mewakili sebuah syarikat untuk menjemputnya datang ke satu acara di sebuah hotel terkemuka di negeri ini pada 1 Disember lalu.

Menurutnya, alasan syarikat terbabit adalah untuk melakukan kaji selidik, di samping menawarkan hadiah menarik termasuk tiket penerbangan, pakej pelancongan serta baucar makan malam.

“Bagaimanapun, setelah berada di sana, mereka sebaliknya menawarkan pakej perniagaan kerusi urut dan bersungguh-sungguh meyakinkan saya biarpun pada mulanya berasa sangsi.

“Mereka meminta saya membayar deposit sebanyak RM7,000 untuk menyertai perniagaan itu yang kesemuanya berjumlah RM18,000.

 “Namun ketika itu saya hanya membawa wang tunai RM3,000. Itupun saya bayar menerusi mesin ATM sebuah bank di Ayer Keroh,” katanya.

Dia yang masih bujang berkata, pada pertengahan Disember lalu, dia dihubungi semula salah seorang kakitangan syarikat terbabit yang memintanya membayar baki RM15,000 dan berjanji untuk menghantar mesin urut sebelum tarikh 10 Januari lalu.

“Selepas tarikh itu, saya cuba menghubungi syarikat terbabit yang berpejabat di Ipoh menerusi panggilan telefon namun tidak berjawab, malah segala mesej dihantar juga tidak dibalas.

“Jumlah keseluruhan yang telah dibayar adalah RM18,000. Semua wang tersebut adalah daripada hasil simpanan saya sepanjang bekerja," katanya pada sidang media bersama Pengarah Pembela BN Negeri Melaka, Amir Hamzah Aziz, dekat sini, semalam.

 Turut hadir, Penasihat Perundangan Pembela BN, M Balakhishnan.

Mustakim berkata, selepas beberapa nombor telefon bimbit wakil syarikat terbabit dan nombor pejabat gagal dihubungi, dia membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh.

 Sementara itu, Amir Hamzah berkata, Pembela BN menyediakan peguam bagi membela mangsa serta satu tindakan sivil boleh dijalankan.

 "Nasihat saya, masyarakat perlu lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis syarikat seperti ini,” katanya.

Tiga lelaki ugut letup tong gas

NURUL MAZWANA HAMDAN
Tiga lelaki ugut letup tong gas
Tong gas yang didakwa cuba diletupkan tiga lelaki berkenaan. 
12 Mac 2014
SIMPANG - Akibat tidak berpuas hati dengan pekerja kedai makan dekat dekat Jalan Simpang Halt, di sini, tiga lelaki cuba meletupkan tong gas di kedai tersebut, kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 8.45 malam kelmarin, tiga lelaki berkenaan pada awalnya memesan tiga botol minuman keras, apabila seorang pekerja kedai itu meminta mereka menjelaskan bayaran minuman tersebut, salah seorang daripadanya memaki hamun pekerja berkenaan.

Selepas itu, ketiga-tiga mereka memaklumkan akan membayar bil tersebut kemudian kerana mahu memesan lagi minuman.

Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, sewaktu kumpulan tersebut memesan minuman untuk kali kedua dia meminta mereka menjelaskan bil terlebih dahulu namun tindakannya menimbulkan kemarahan ketiga-tiga lelaki berkenaan.

“Ketiga-tiga lelaki tersebut menterbalikkan meja dan bangku sebelum dua daripadanya membaling botol ke dinding.

"Serpihan kaca daripada botol itu mencederakan tangan saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa berkata, kumpulan itu mengamuk dan berlari ke bahagian dapur untuk mengeluarkan tong gas sebelum mengugut mahu meletupkannya menggunakan pemetik api.

Jelasnya, ugutan mereka menyebabkan semua pelanggan lari menyelamatkan diri.

“Tindakan mereka tidak berjaya apabila beberapa anggota polis tiba di kedai selepas menerima panggilan daripada seorang pelanggan kedai berkenaan.

"Ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal namun berjaya diberkas  di Taman Kota Jaya Simpang, di sini,” katanya.

Mangsa berkata, akibat kejadian itu, majikannya mengalami kerugian hampir RM1,000 berikutan banyak peralatan rosak dan terdapat beberapa pelanggan tidak membayar makanan serta minuman yang dipesan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

“Bagaimanapun, hari ini (semalam), ketiga-tiga lelaki berkenaan memohon maaf kepada pemilik kedai terbabit dan mahu membayar ganti rugi atas kerosakan yang berlaku ketika  kejadian.

“Malah pemilik kedai berkenaan juga tidak mahu membuat aduan lanjut kerana menganggap kes telah selesai,” katanya.

Saman penyelamat lembab


Colorado: Seorang lelaki yang diselamatkan daripada terperangkap dalam kenderaannya yang hampir tenggelam akibat banjir besar di kawasan kediamannya September lalu merancang memfailkan saman terhadap pasukan penyelamat.

Roy Ortiz yang berasal Broomfield melalui peguamnya berkata pasukan penyelamat itu tidak sepatutnya mengambil masa sehingga dua jam untuk menyelamatkannya.

“Ya, dia berterima kasih kepada penyelamat yang menyelamatkannya, tetapi itu tidak bermakna tiada kesilapan berlaku.

“Saya faham ramai yang mengatakan tindakannya ini dianggap seperti melepaskan anjing tersepit.



Namun, itu tidak bermakna pihak bomba bebas daripada melakukan kesilapan dan tidak boleh ditegur,” kata peguamnya Ed Ferszt.

Menurut laporan Time-Call, Roy bercadang memfailkan saman sebanyak AS$500,000 (RM 1.6 juta) ke atas timbalan sherif Boulder, Jeannette Cunning dan beberapa orang lagi.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/12

20 maut pemberontak serang kem


New Delhi: Pemberontak komunis menyerbu kem pasukan separa tentera di tengah India semalam, membunuh 20 anggota keselamatan kerajaan dalam serangan terbesar mereka sejak hampir setahun lalu.

Pasukan separa tentera itu ditempatkan di kawasan berkenaan selama beberapa bulan bagi melindungi pekerja pembinaan yang menyiapkan jalan ke kawasan hutan di lokasi terpencil di negeri Chattisgarh.

Pemberontak menghalang usaha kerajaan memajukan kawasan berkenaan kerana bimbang menjejaskan kawasan hutan.



Seramai 44 anggota berada di kem berkenaan apabila 200 pemberontak mengepung dan melepaskan tembakan, membunuh 18 daripada mereka serta-merta, dan mencederakan yanglain.

Ketua Polis, Mukesh Gupta berkata, anggota separa tentera membalas tembakan dan pertempuran sengit tercetus selama kira-kira tiga jam.


“Dua anggota keselamatan terbunuh akibat kecederaan sejurus selepas serangan,” katanya.


Pemberontak itu yang mendakwa mereka mengambil semangat pemimpin revolusi China, Mao Zedong, berjuang lebih tiga dekad di beberapa negeri di India.

Mereka berperang bagi menuntut tanah serta pekerjaan diberi kepada golongan buruh serta miskin.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/12

Lelaki maut kekasih potong kemaluan


2014/03/12
Hong Kong: Seorang wanita China memotong kemaluan bekas teman lelakinya dengan gunting sebelum membunuh mangsa dengan penukul selepas mendakwa dirogol lelaki terbabit, sebuah mahkamah di Hong Kong diberitahu.

Yeung Ki, 41, ketika perbicaraan itu mengakui membunuh guru piano berusia 32 tahun itu, Zhou Hui ketika Boxing Day 2012 tetapi menafikan dia berniat membunuh, lapor South China Morning Post.
Yeung, seorang warga China dari Tanah Besar dan penduduk Hong Kong membunuh Zhou selepas mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang sudah berkahwin itu yang berpanjangan tetapi diabaikan ketika beliau hamil.

Mangsa turut meminjam wang dalam beberapa kes tetapi tidak membayarnya semula.

Pada malam pembunuhan, Zhou memukul mangsa dan menolaknya ke lantai selain turut menampar anak perempuan mangsa sebelum memaksa melakukan hubungan seks, lapor akhbar terbabit.

Selepas kejadian itu, mangsa meletakkan pil tidur dalam sup sebelum memotong zakar mangsa dan mengepam alat kelamin itu ke dalam tandas. Mangsa merasa kesakitan selepas sedar menyebabkan wanita terbabit memukul bekas teman lelakinya itu dengan penukul sehingga mati.

“Yeung Ki didakwa membunuh. Perbicaraan akan berakhir selama 11 hari,” kata seorang jurucakap kehakiman Hong Kong kepada AFP.
Zhou memaklumkan Yeung bahawa beliau memiliki gambar bogel tertuduh yang akan disiarkan di internet kecuali wanita terbabit membayarnya sejumlah HK$200,000 (RM84,547) untuk membeli sebuah kereta. AFP

Dua beradik maut dalam kebakaran


ALOR SETAR 11 Mac - Dua beradik berlainan bapa maut dalam kebakaran selepas rumah dua tingkat di Taman Seri Putra, Kuala Kedah dekat sini yang mereka diami musnah terbakar malam tadi.
Dalam kejadian membabitkan tiga buah rumah pada 9.40 malam itu, mayat Zamzuri Asraf Dun, 13, ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat di dalam bilik air manakala abangnya, Zamzuri Aswad Zainol Abidin, 34, ditemui rentung di tingkat atas rumah.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Awang Hidzel Awang Bujang berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.45 malam dan tiba di tempat kejadian pukul 10.08 malam.-BERNAMA.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140311/je_07/Dua-beradik-maut-dalam-kebakaran#ixzz2vhAMlv5W
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nota ‘wasiat’ remaja lemas


2014/03/12
Alor Setar: “Saya sayang abang, mak, ayah dan yang lain, saya akan dengar kata dan tak akan buat masalah lagi.”

Demikian antara kandungan surat terakhir ditulis Zamzuri Asyraf Don, 13, dua hari sebelum remaja itu lemas selepas terperangkap dalam bilik air ketika rumahnya di Taman Seri Putra, Kuala Kedah dekat sini, terbakar, malam kelmarin.


Selain Zamzuri Asyraf, abang tirinya, Zamzuri Aswad Zainol Abidin, 34, turut maut dipercayai ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian jam 9.30 malam itu.

Mayat Zamzuri Aswad ditemui berdekatan tangga di tingkat atas rumah terbabit.

Ibu simpan surat

Surat ditulis Zamzuri Asyraf satu-satunya ‘wasiat’ peninggalan remaja berkenaan yang masih disimpan ibunya, Zubaidah Daud, 58, selepas tragedi menyayat hati itu.

Zubaidah yang berniaga di kedai makan Laksa Teluk Kecai, dekat Kuala Kedah, berkata surat itu diserahkan Zamzuri Asyraf kepadanya dua hari lalu dan beliau menyimpannya kerana terharu dengan isinya.
“Surat ini sahaja satu-satunya kenangan tinggalan anak bongsu saya (Zamzuri Asyraf), yang lain semua hangus terbakar.

“Tragedi ini membuat saya sedih. Namun saya perlu kuat kerana bertanggungjawab jaga cucu (Mohamad Zamil Haikal, 7) selepas bapanya yang juga anak sulung saya, Zamzuri Aswad turut terbunuh dalam kejadian terbabit,” katanya.

Dalam kejadian malam kelmarin, tiga kediaman di Taman Seri Putra terbakar, termasuk satu daripadanya milik milik Zubaidah.

Sembunyi dalam baldi

Zamzuri Asyraf ketika kejadian dikatakan sempat memaklumkan kebakaran di rumah mereka kepada dua abang tirinya, Zamzuri Amri Zainol Abidin, 31 dan Zamzuri Alif Zainol Abidin, 27, namun mangsa yang panik kerana ketakutan dipercayai terus memasuki bilik air dan bersembunyi di dalam baldi besar berisi air.

Zubaidah berkata, dia hanya mampu meraung sekuat hatinya memanggil nama semua anaknya kerana percaya mereka masih berada di dalam rumah.

Rakan sekolah suruh Ammar buat aduan


2014/03/12 -
Hari ke-10 perbicaraan Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya, Shalwati Norshal menyaksikan Mahkamah Daerah Solna mendengar keterangan rakan sekolah anak kedua pasangan itu, Ammar, 12, yang disuruh melaporkan kejadian dipukul di rumah kepada guru mereka.

Beritahu guru kena pukul


Menerusi rakaman temu bual, Felix Bengtsson mengakui menyuruh Ammar memberitahu guru mereka bahawa dia dipukul di rumah.

“Ammar memberitahu sering dipukul di rumah, malah ada kalanya dia berasa memang wajar dipukul.

“Saya memberitahu perkara itu kepada ibu bapa saya dan mereka berpendapat ia mesti dimaklumkan kepada kaunselor sekolah kami, Malin Nygren,” katanya kepada pegawai polis yang menemubualnya.

Bengtsson turut teringat Ammar kelihatan sedih di pekarangan sekolah dan apabila ditanya, rakannya itu memberitahu dipukul kerana mendengar muzik ketika membuat kerja sekolah.

Mereka membuat keputusan untuk berjumpa Malin dan Ammar menemui kaunselor sekolah mereka itu antara 10 hingga 15 minit.
Bengtsson berkata, Ammar memberitahu ibu bapanya ditangkap selepas cuti Krismas.

“Dia kelihatan menyesal dan khuatir jika terpaksa tinggal dengan keluarga beragama Kristian,” katanya.

Mahkamah turut mendengar keterangan ibu dan bapa angkat Ammar dan kakak serta dua adiknya iaitu Annelie dan Dejan Smiljanic.

Menerusi penterjemah, Annelie memberitahu empat beradik itu berubah sikap daripada mesra kepada dingin selepas cuti Krismas 2013.

Selain Ammar, Aisyah, 15; Adam, 11; dan Arif, 7; dijaga ibu bapa angkat rakyat Sweden bukan beragama Islam selepas ibu bapa mereka ditangkap pada 18 Disember tahun lalu atas tuduhan memukul anak mereka.

Annelie berkata, empat beradik itu terus memasuki bilik selepas pulang dan berbincang sesama sendiri serta meluangkan masa dengan Facebook.

Masalah makanan halal

Katanya, Aisyah memberitahu mereka tidak boleh menggunakan pinggan sama dengan makanan tidak halal, selain mandi lima kali sehari kerana keperluan agama.

“Mereka turut berbincang mengenai kemungkinan dibawa pulang ke Malaysia dan Aisyah berhasrat tinggal dengan ibu saudaranya manakala Ammar agak bimbang dihantar ke sekolah berasrama,” katanya.

Katanya, mereka berpendapat kanakkanak di Malaysia kerap dirotan manakala Ammar dilihat kerap berasa cemas.

“Setiap kali saya mengangkat tangan (untuk menyimpan gelas atau mencuci tingkap), Ammar berasa seolaholah akan dipukul,” katanya.

Mahkamah turut mendengar keterangan Nygren, guru Ammar, John Webb dan ibu Felix, Ulva Bengtsson.

Perbicaraan disambung esok dan dijangka berakhir Jumaat ini manakala mahkamah dijangka membuat keputusan dua minggu akan datang dalam bentuk bertulis.

Geng Wei Chai, Sinulihan tumpas



Hamza Taib (dua, kanan) bersama Jauteh Dikun (kiri) serta Nor Azizulkifli Mansor menunjukkan motosikal curi yang dirampas selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU 11 Mac - Polis menumpaskan dua geng curi kereta dan motosikal dikenali dengan kumpulan Wei Chai dan Sinulihan yang aktif melakukan kegiatan jenayah itu di sekitar bandar raya ini dengan tertangkapnya 23 individu termasuk seorang wanita di sini, baru-baru ini.
Dalam tangkapan bermula 8 Januari lalu itu, nilai rampasan keseluruhannya mencecah RM353,000 termasuklah lebih 10 buah kereta seperti kereta jenis Proton Saga, Wira, komputer riba dan motosikal jenis Honda EX5.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, tangkapan geng Wei Chai itu membabitkan penahanan 12 lelaki berusia antara 22 dan 53 tahun di sekitar Kota Kinabalu, Penampang serta Beaufort.
"Sembilan daripada suspek ditahan dikenal pasti positif dadah dan turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kesemua rampasan geng ini dianggarkan bernilai RM318,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun; timbalannya, Supritendan M. Chandra dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kota Kinabalu, Deputi Supritendan Nor Azizulkifli Mansor.
Tambah Hamza, bagi kes curi motosikal yang dipercayai dilakukan oleh geng Sinulihan, seramai 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 dan 48 tahun ditahan di sekitar Inanam, Menggatal, Penampang dan Kota Kinabalu.
"Sembilan buah motosikal yang dianggarkan bernilai RM45,000 kebanyakannya jenis Honda EX5 ditemukan semula. Dengan tangkapan kedua-dua geng ini, polis percaya berjaya menyelesaikan kes-kes kecurian kenderaan yang aktif sejak Disember tahun lalu hingga bulan lalu.
"Kesemua suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan," katanya.
Dalam kes berasingan, Hamza berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah, 12 kes kecurian kenderaan dan satu kes samun dengan tertangkapnya empat rakan baik daripada enam suspek di sini, baru-baru ini.
Katanya, suspek berkenaan berusia antara 16 dan 26 tahun yang dipercayai menganggotai Geng Ah Kit dan Ading itu ditahan dalam Ops Pintu yang dilaksanakan pada bulan lalu.
"Hasil daripada tangkapan itu, polis menemukan barangan seperti telefon bimbit, jam tangan, barangan kemas, televisyen, komputer riba yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140312/je_03/Geng-Wei-Chai-Sinulihan-tumpas#ixzz2vhA1RvMz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua anak VIP pengikut Syiah ditahan


2014/03/12
Ipoh: Dua daripada 82 individu dewasa yang ditahan kerana dipercayai pengikut fahaman Syiah dalam serbuan di sebuah rumah dalam kawasan hutan di Selama, Sabtu lalu, adalah anak orang kenamaan (VIP) asing. Sumber berkata, dua anak kenamaan asing itu antara lapan warga asing ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Selain dua anak VIP asing itu, beberapa individu rakyat tempatan yang sebelum ini dikaitkan dengan fahaman berkenaan juga turut ditahan.


“Sebahagian besar mereka yang ditahan juga bukan penduduk daerah Selama dan Perak, sebaliknya orang luar yang datang ke situ.

“Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan rapi ke atas mereka dan mendapatkan bukti yang cukup sebelum mendakwa mereka di Mahkamah Syariah kerana melanggar fatwa mengenai pengharaman Syiah di Perak yang sudah diwartakan,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas penahanan 82 individu berusia sehingga 70 tahun bersama 32 kanak-kanak seawal usia tujuh tahun yang dibawa bersama pada satu majlis di sebuah rumah di kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau, berhampiran sempadan daerah Selama dan Gerik.

Serbuan jam 10 malam

Serbuan pada jam 10 malam itu dilakukan 150 pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan polis.
Sumber itu bagaimanapun enggan menyatakan negara asal dua anak orang kenamaan berkenaan, namun berdasarkan kenyataan polis sebelum ini warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, Thailand, Pakistan dan Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa JAIPk, Ahmad Nizam Amiruddin yang dihubungi berkata, pihaknya masih dalam proses merakamkan percakapan individu berkenaan tetapi terpaksa mengambil masa lama kerana bilangan mereka yang ditahan sebelum dibebaskan dengan bon jaminan JAIPk terlalu ramai.

“Kami percaya masih ramai anggota Syiah di luar sana dan orang ramai yang ada maklumat boleh segera memaklumkannya kepada pejabat agama berhampiran atau polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik pula berkata pemantauan pihaknya mendapati kawasan rumah yang diserbu malam Sabtu lalu sepi dan tiada sebarang aktiviti berlaku di situ.

11 pelacur Vietnam ditahan, lelaki dikehendaki polis antara pelanggan


Berselindung di sebalik premis tanpa papan tanda, kegiatan maksiat di sebuah rumah kedai terbongkar setelah polis menahan sekumpulan wanita warga Vietnam kerana dipercayai melacur dalam serbuan Op Noda di Kuchai Entepreneur Park, Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR 11 Mac - Polis menahan 11 pelacur warga Vietnam dalam serbuan Op Noda di aras dua sebuah rumah kedai, tanpa papan tanda di Taman Usahawan Kuchai, di sini semalam.
Kesemua wanita yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun.
Turut ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam oleh anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Kuala Lumpur itu, adalah enam pelanggan termasuk seorang individu dalam senarai dikehendaki.
Ketua Operasinya, Asisten Supritendan Eu Kee Leong berkata, lelaki tersebut dikehendaki polis atas kesalahan mengikut Seksyen 18(4)(a) Akta Penapisan Filem berdasarkan laporan polis di Cheras.
Kee Leong berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 70 keping kondom, beberapa tiub gel pelincir serta wang tunai berjumlah RM1,678.
"Premis yang terletak di tingkat dua ini tidak meletakkan sebarang papan tanda di pintu masuk bagi mengaburi pihak berkuasa. Hanya individu tertentu mengunjunginya berdasarkan hebahan pelanggan terdahulu," katanya di sini semalam.
Kee Leong berkata, kesemua wanita yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana menganjurkan pelacuran dan Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial.
Sementara itu, dalam serbuan kedua oleh pasukan sama pada pukul 12.10 tengah malam di sebuah pub di Jalan Ambong Kanan 1, Kepong Baru, pasukan tersebut menahan 21 wanita warga asing bekerja tanpa permit yang sah.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 18 warga Thailand, dua Vietnam dan seorang Laos serta seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis terbabit.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140312/je_05/11-pelacur-Vietnam-ditahan-lelaki-dikehendaki-polis-antara-pelanggan#ixzz2vh99g0gC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

JKDM rampas 22.74kg dadah bernilai RM4.32 juta



CHIK OMAR (kanan) menunjukkan bungkusan bijirin yang berisi dadah jenis methamphetamine yang cuba diseludup masuk ke negara ini pada sidang akhbar di Kompleks Kastam, KLIA, Sepang, Selangor semalam.


SEPANG - Satu lagi helah sindiket dadah antarabangsa menyeludup bungkusan berisi dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA baru-baru ini.
Dalam kejadian 13 Mac lalu, pihak berkuasa JKDM menemui 20.6 kilogram (kg) serbuk kristal putih dipercayai dadah jenis methamphetamine bernilai RM3,914,000 yang disembunyikan dalam bungkusan makanan bijirin, mi segera Indomie dan rambut palsu.
Menurut Pengarah JKDM KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim, bungkusan itu tiba dari Nigeria di gudang MAS kargo KLIA pada pukul 5.30 petang.
"Hasil siasatan menerusi resit kargo mendapati bungkusan itu diimport oleh sebuah syarikat yang tidak berdaftar di Kuala Lumpur.
"Kami percaya dagangan ini akan dibawa keluar dengan menjadikan bahan tersebut sebagai barangan makanan yang akan dihantar kepada pihak tertentu. Siasatan lanjut mengenai pemilik sedang dijalankan," katanya pada pemberita dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam KLIA semalam.
Dalam perkembangan berasingan, JKDM turut menahan seorang wanita warga China berusia 27 tahun pada 1 Mac lalu selepas pemeriksaan pada bagasi wanita itu menemui 2.14kg serbuk putih dipercayai dadah jenis methamphetamine yang disembunyi pada batang penarik bagasi tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2wM2x4QAq 
Hakcipta terpelihara 

Bunyi dentuman dari laut


2014/03/12 -
Chukai: Beberapa lagi saksi, termasuk Ketua Polis Daerah Kemaman mendakwa terdengar bunyi letupan kuat dari arah Laut China Selatan pada pagi Sabtu lalu, hari sama pesawat MH370 dilaporkan hilang.

Bagaimanapun, masa letupan yang didakwa oleh Superintendan Che Suza Che Hitam kira-kira jam 8 pagi berbeza dengan masa diceritakan saksi lain dan waktu terakhir pesawat itu hilang dari radar kawalan pada jam 1.30 pagi.


Che Suza berkata, beliau sendiri mendengar letupan kuat seperti dentuman bom dari arah laut ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

“Selepas dikejutkan dengan dentuman kuat itu, saya memeriksa arah bunyi kerana curiga perkara buruk berlaku. Bagaimanapun, selepas memeriksa berdekatan pantai, saya tidak temui sesuatu yang mencurigakan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mendapatkan kepastian tetapi gagal mengesan punca letupan.

Periksa syarikat kuari

“Saya turut lakukan pemeriksaan dengan syarikat perlombongan kuari sekiranya mereka ada melakukan letupan pada pagi itu, namun dimaklumkan tidak melakukan sebarang aktiviti letupan.
“Sehingga sekarang, saya masih tertanya-tanya mengenai bunyi yang saya dengar,” katanya.

Terdahulu, pemandu lori di Kampung Pantai Seberang, Marang, mendakwa terdengar bunyi letupan yang kuat dari arah Timur Laut Pulau Kapas, Marang, pada pagi Sabtu.

Alias Salleh, 36, berkata dia bersama tujuh rakan mendengar bunyi letupan agak luar biasa dan menakutkan ketika berehat di sebuah wakaf di Kampung Pantai Seberang Marang pada jam 1.20 pagi Sabtu lalu.

“Kami bergegas ke tepi laut untuk mencari punca letupan tetapi tidak dapat melihat apa-apa,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengesyaki bunyi letupan itu ada kaitan dengan MH370 sejurus mendapat tahu mengenai kehilangannya pada keesokan hari.
Alias membuat laporan polis di Balai Polis Marang, kelmarin.

Dalam pada itu, dua kaki pancing di Pantai Tok Jembal dekat Kuala Terengganu, mendakwa turut melihat cahaya lampu putih yang berkelip dipercayai daripada pesawat yang terbang rendah pada awal pagi, Sabtu lalu.

Lampu putih

Zaidi Mohamad, 49, berkata dia melihat lampu putih yang berkelip itu ketika memancing bersama Mohd Jasmin Mokhtar, 46, sekitar jam 2.30 pagi sebelum ia hilang dari pandangan.

Katanya, 10 minit selepas itu dia melihat cahaya terang berwarna kuning bentuk bulat kira-kira setengah jam pada jarak 10 batu nautika dari kedudukan tempat dia memancing.

“Pesawat itu seperti hendak mendarat kerana terbang pada paras rendah,” katanya ketika ditemui di tempat dia memancing di Pantai ToK Jembal di sini, semalam.
Zaidi berkata, dia tidak pasti sama ada pesawat dilihatnya MH370, tetapi berasakan ia ada kaitan.

Mengenai cahaya kuning, beliau berkata, ia berbentuk bulat dan semakin lama semakin besar serta menyala kira-kira setengah jam sebelum hilang dilindungi awan.

Mohd Jasmin berkata, dia turut melihat cahaya kuning terang berbentuk bulat selepas dimaklumkan Zaidi. 

Waspada penipuan guna nama Menteri Besar Perak


IPOH 11 Mac - Orang ramai sekali lagi diingatkan supaya jangan terperangkap dengan kegiatan pihak tertentu yang melakukan penipuan menggunakan nama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir serta nama pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri
Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Datuk Azhar Ahmad berkata, meskipun perkara tersebut telah banyak kali diperingatkan kepada umum, namun sehingga kini kegiatan berkenaan masih terus berlaku dan masih ramai yang terus terpedaya.
Malah, katanya, dalam melaksanakan rancangan mereka, pihak tersebut juga sanggup menggunakan pelbagai cara termasuk mendakwa mempunyai hubungan baik dengan pihak-pihak berkenaan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.
''Modus operandi mereka ini mudah. Broker-broker ini datang jumpa kita, bawa seseorang tetapi mereka ini duduk di luar dan lepas habis jumpa kita, mereka pergi jumpa orang itu dan memberitahu mangsa untuk membuat bayaran tertentu.
''Mereka buat kerja busuk tapi yang buruknya bukan mereka, tapi nama-nama kami ini termasuk Menteri Besar. Oleh itu, saya nasihatkan orang ramai, kalau ada masalah, datang terus kepada kami.
''Tidak payah gunakan broker-broker tersebut dan kami juga tidak minta bayaran apa-apa kerana itu memang sudah tugas kami," katanya pada sidang akhbar selepas sesi Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Serbaguna SUK di sini hari ini.
Azhar memberitahu, selain mengakui mempunyai hubungan rapat dengan Menteri Besar serta pegawai kanan, ada sesetengah daripadanya bertindak lebih berani apabila turut memalsukan tandatangan Zambry untuk memperdayakan orang ramai.
Namun, tegasnya, meskipun sudah ada beberapa tangkapan dibuat pihak berkuasa dalam kes-kes sebelum ini termasuk didakwa di mahkamah, tetapi kegiatan ini dikesan masih berterusan berlaku.
''Setakat ini, yang paling banyak ditipu adalah daripada kaum Tionghua,'' katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140312/je_04/Waspada-penipuan-guna-nama-Menteri-Besar-Perak#ixzz2vh9Mwo2I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas Menteri Belia dan Sukan Indonesia dituduh rasuah

Bekas Menteri Belia dan Sukan Indonesia dituduh rasuahAndi Mallarangeng ketika tiba di mahkamah di Jakarta, semalam. - Foto AFP

Jakarta: Mahkamah Indonesia semalam mendakwa bekas Menteri Belia dan Sukan dalam kes rasuah bernilai jutaan dolar, antara yang menggegarkan parti presiden menjelang pilihan raya bulan depan.

Andi Mallarangeng, 50, didakwa menyalah guna kuasa untuk mendapatkan kekayaan kepada diri dan beberapa yang lain dalam pembinaan pusat sukan di Jawa Barat, bernilai kira-kira 2.5 trilion rupiah (RM722 juta), kata pendakwa, Supardi, kepada mahkamah antirasuah di Jakarta.

Sogokan sebelahi pembida



Defendan didakwa menerima lebih AS$852,000 (RM2.7 juta) melalui saudara lelakinya, Andi Zulkarnaen, sebagai sogokan untuk menyebelahi seorang pembida dan mengkayakan yang lain dan beberapa syarikat dalam projek itu yang menyebabkan negara kerugian lebih AS$40 juta (RM131 juta), kata Supardi.

Pasangan dituduh bunuh anak

Pasangan dituduh bunuh anakFiera Syafieqa dan teman lelakinya dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Teluk Intan selepas didakwa secara bersama menyebabkan kematian Nur Ain Ariana di Kampung Perkasa, 3 Mac lalu.

Teluk Intan: Seorang wanita dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh anaknya berusia dua setengah tahun, kira-kira seminggu lalu.

Fiera Syafieqa Shamsudin, 20, dari Kampung Sungai Pulau, Hutan Melintang dan Amir Hassan Bakri, 26, dari Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang, didakwa secara bersama menyebabkan kematian Nur Ain Ariana Abdullah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Perkasa, kira-kira jam 4.30 petang pada 3 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.


Kedua-dua tertuduh mengangguk tanda faham ketika kertas pertuduhan dibacakan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Majistret Fairuz Abidah Ismail menetapkan 9 April depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hidayah Ismail, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Koma disyaki kena dera Pada 6 Mac lalu, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 30 bulan koma selepas disyaki didera oleh ibu dan teman lelaki ibunya.

Mangsa yang mengalami pendarahan otak, benjol di kepala serta lebam dan calar di muka, tangan dan belakang badan, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor, jam 8 malam Jumaat lalu.

Menteri mohon maaf isu pesawat patah balik


2014/03/11
Baghdad: Menteri Pengangkutan Iraq memohon maaf Ahad lalu berhubung kes sebuah pesawat Lubnan yang sedang menuju ke Baghdad diarah berpatah balik untuk mengambil anaknya.

Hadi al-Ameri berjanji untuk menyerahkan anaknya sekiranya penyiasat Iraq mendapati dia ada melakukan kesalahan dan menegaskan bahawa dia sendiri akan menanggung kos penerbangan pesawat Asia Barat itu berpatah balik ketika dalam penerbangan dari Beirut menuju ke Baghdad.


“Saya harap anda maafkan saya atas apa yang berlaku,” kata Ameri ketika sidang media di lapangan terbang Baghdad tetapi dia enggan menjawab sebarang soalan.

Sedia serah anak

“Masa untuk anak pegawai tinggi kerajaan yang melakukan kesalahan dan cuba lari dari hukuman sudah berakhir, dan jika siasatan membuktikan anak saya bersalah, saya sendiri akan membawanya ke mahkamah,” tambahnya merujuk kepada arahan siasatan Iraq oleh Perdana Menteri, Nuri al-Maliki.

“Sebagai menteri, saya akan menanggung kos pengangkutan dan segala kerugian, kerana isu ini membabitkan anak lelaki saya.”

Penerbangan Asia Barat Lubnan berkata Khamis lalu pihak berkuasa Iraq memaksa pesawat itu berpatah balik 20 minit selepas meninggalkan Beirut kerana anak lelaki Ameri, Mahdi terlepas penerbangan.
MEA berkata, penerbangan itu berlepas selepas berkali-kali memanggil dua penumpang yang gagal untuk menaiki pesawat. Penumpang yang tidak menaiki pesawat dikenali sebagai Mahdi al-Ameri, dan pesawat itu berpatah balik ke Beirut.

Susulan insiden itu, Maliki mengarahkan semua yang bertanggungjawab menghalang pesawat yang datang dari Beirut untuk mendarat di Baghdad bertanggungjawab dan dilucutkan jawatan, kata jurucakapnya Ali Mussawi. AFP

Dua anggota polis cuba rasuah kes dadah ditahan


2014/03/11
Besut: Dua anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Besut yang ditahan kerana dipercayai suspek kes dadah, didakwa menawarkan sogokan RM500 kepada anggota polis yang menahan mereka, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata keduadua suspek ditahan dalam Op Tapis Bersepadu bersama 15 suspek lain berumur 20 hingga 40 tahun di tiga kampung sekitar kawasan Hulu Besut dan Jerteh.


“Dalam perjalanan pulang ke BSJND, kedua-dua suspek merayu supaya mereka dibebaskan sambil mengeluarkan RM500 sebagai wang pendahuluan untuk anggota yang menahan mereka,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Kamaruddin berkata, wang itu kemudian dirampas oleh anggota BSJND berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan urin, mereka didapati positif dadah dan akan disiasat bagi kesalahan dadah serta tuduhan menawarkan rasuah.

Dalam operasi antara jam 5 pagi hingga 2 petang kelmarin, Kamaruddin berkata pasukan BSJND membuat pemeriksaan terhadap semua suspek termasuk seorang pelajar berumur 15 tahun dipercayai terbabit kes dadah dan memiliki pil kuda serta syabu. BERNAMA

Kumpulan China dakwa rampas MH370


2014/03/11
Sepang: Kenyataan kumpulan menggelar diri mereka daripada Chinese Martyrs’ Brigade yang mengaku bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat MH370 sedang disiasat walaupun ia diragui.

Pihak China dan media negara itu yang menerima kenyataan berkenaan juga menolaknya kerana menganggap ia sebagai palsu untuk membangkitkan ketegangan etnik di negara berkenaan.


Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata China menghantar pasukan khas ke Malaysia bagi membantu negara merungkai misteri kehilangan pesawat, khususnya dalam tiga aspek.

Ia merangkumi usaha mencari dan menyelamat, pasport palsu dan memastikan kebajikan keluarga warga China yang dibawa ke Malaysia.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, pasukan khas terbabit akan berada di Malaysia untuk tempoh tertentu bagi membantu siasatan kehilangan pesawat MH370.

“Pasukan ini adalah wakil kementerian yang berkepentingan dan mewakili Parti Komunis China. Ini adalah hasil perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya dari Republik China dua hari lalu.

Elak buat andaian
“Menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat bukan mudah dan ia perlu digerakkan secepat mungkin. Tiada gunanya kita bincang perkara lain jika belum menemui pesawat.

Saya menggesa media tidak membuat andaian kerana ia boleh menjejaskan operasi, selain kita tidak mahu tersebarnya berita palsu yang boleh mengguris perasaan ahli keluarga penumpang pesawat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Hishammuddin juga menafikan dakwaan bahawa Kerajaan China kurang berpuasa hati kerana Malaysia lambat bertindak menangani isu kehilangan pesawat.

Mengenai dua penumpang misteri MH370, Hishammuddin berkata, kerajaan hanya akan mendedahkan gambar mereka menggunakan pasport curi selepas siasatan selesai.

“Kita mendapat bantuan Polis Antarabangsa (INTERPOL), di mana mereka sudah diberikan akses untuk mendapatkan maklumat seperti biometrik, latar belakang, jantina, tarikh lahir dan cap jari. Justeru, kita minta mereka diberi masa untuk melakukan siasatan terperinci,” katanya.

Sementara itu, Azharuddin berkata siasatan lebih terperinci berhubung dua penumpang misteri terbabit dijalankan oleh pasukan penyiasat khas merangkumi pakar bidang berkenaan.

“Ini termasuk meneliti rakaman video penumpang yang dikenal pasti dan sebarang maklumat hanya boleh didedahkan selepas itu.

“Mengenai lima bagasi yang dibawa keluar daripada MH370 selepas pemiliknya tidak menaiki penerbangan, saya tegaskan DCA mengesahkan tiada bahan terlarang yang ditemui padanya,” katanya.

Peniaga lihat pesawat terbang rendah

Peniaga lihat pesawat terbang rendahPasir Puteh: Seorang peniaga mendakwa turut melihat sebuah pesawat terbang rendah di Kampung Kadok, Ketereh, dekat sini, seperti dua nelayan yang dipercayai menyaksikannya berhampiran Kuala Besar, Kota Bharu.

Alif Fathi Abdul Hadi, 29, mendakwa melihat cahaya putih lampu dipercayai milik pesawat yang kelihatan menjunam ke Laut China Selatan berdekatan Bachok, jam 1.45 pagi Sabtu lalu.

Berikutan itu, beliau tampil membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, di sini, jam 11.30 pagi semalam.


“Ketika berada di pekarangan rumah di Kampung Kadok, saya nampak cahaya putih dipercayai lampu pesawat dalam kira-kira lima minit. Sinaran lampu itu kelihatan pelik kerana biasanya saya nampak pesawat di rumah dari arah lain tetapi kali ini dari arah bertentangan.

“Walaupun pelik, saya tidak berfikir apa-apa dan terus masuk tidur,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di pejabat APMM Tok Bali, di sini.

Kelmarin, dua nelayan membuat laporan polis selepas mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah, kira-kira lapan batu nautika dari Pantai Kuala Besar, Kota Bharu, jam 1.30 pagi Sabtu lalu.

Jarak antara Kuala Besar dan Ketereh ialah kira-kira 30 kilometer.
Terkejut dengar berita

Alif Fathi mengakui terkejut mendengar berita kehilangan pesawat MH370 selepas bangun tidur sebelum mengandaikan apa yang dilihat sebelumnya ada kaitan.

“Awalnya saya bimbang untuk membuat laporan polis kerana...

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Tiga penjenayah ditembak


2014/03/12
 Tiga penjenayah ditembak
Sungai Petani: Keadaan nombor plat mencurigakan pada sebuah kereta dinaiki tiga lelaki yang dikesan di simpang tiga di Kuala Ketil, di sini, awal pagi semalam, membongkar status mereka sebagai penjenayah.

Hasilnya, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan lewat 20-an termasuk dua disahkan warga Indonesia, maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan sepasukan anggota skuad Ops Cantas Khas Polis Kedah.


2.3 kilometer dari lokasi mula dikesan

Kejadian tembak-menembak itu berlaku jam 4.30 pagi di laluan kelapa sawit menghala Ladang Kuala Muda, dekat sini, iaitu 2.3 kilometer dari lokasi mereka dikesan di kawasan simpang tiga menghala Bukit Selambau, sebelum itu.

Gara-gara percayakan amah warga Indonesia, ahli perniagaan kerugian RM10,000


Lim Bak Soew menunjukkan laporan polis dan gambar Rani yang dipercayai melarikan wang tunai serta jam tangan miliknya di Alor Setar, Kedah, semalam.
ALOR SETAR 11 Mac - Gara-gara percayakan amahnya seorang warga Indonesia, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerugian hampir RM10,000 apabila wanita itu melarikan diri bersama wang tunai serta barangan berharga yang lain.
Perbuatan itu dilakukan suspek dikenali sebagai Rani, 23, semasa majikan dan ahli keluarganya yang lain tiada di rumah mereka di Taman Bersatu di sini, kerana keluar bekerja, pada 28 Februari lalu.
Datuk Lim Bak Soew, 65, berkata, semasa kejadian, beliau berada di pejabatnya di Jalan Dato Wan Muhamad Saman, atas urusan perniagaan manakala isteri dan seorang anak perempuannya yang bertugas sebagai doktor, keluar bekerja.
"Kira-kira pukul 5 petang, anak saya pulang ke rumah dan terkejut mendapati pintu terbuka. Hasil pemeriksaan dia mendapati wang tunai RM1,800 dan seutas jam tangan yang disimpan di dalam bilik lesap.
"Rani yang berasal dari Jawa Barat juga tiada di rumah dan paspotnya yang saya letak di atas meja di dalam rumah kami, juga telah hilang," katanya ketika ditemui di Jalan Kanchut, di sini hari ini.
Menurutnya, beliau yang bergegas pulang selepas dimaklumkan anaknya, mendapati wang tunai RM8,000 yang disimpan di dalam almari turut hilang.
"Saya mengambilnya bekerja melalui seorang ejen, tiga bulan lalu. Dia seorang yang sopan dan rajin bekerja sehingga saya percayanya," jelasnya.
Tambah Bak Soew, beliau percaya Rani masih berada di bandar ini, malah membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepadanya.
"Saya tanya dia kenapa curi wang saya, tetapi dia balas (SMS) kata dia tidak curi wang tersebut. Saya kemudian dapat tahu seorang rakan saya di Taman Lamsun juga telah menjadi mangsa Rani.
"Kawan saya hilang RM800 selepas dua hari Rani diambil bekerja di situ sebelum Rani melarikan diri. Saya harap polis segera mengambil tindakan dan orang ramai perlu berhati-hati terhadap amah itu," katanya.
Ketua Polis Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140312/je_02/Gara-gara-percayakan-amah-warga-Indonesia-ahli-perniagaan-kerugian-RM10000#ixzz2vh1dEtNJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cucu dikhuatiri alami nasib seperti datuk


Muktesh Mukherjee (kiri) dan isterinya, Xiaomao Bai.
NEW DELHI 11 Mac - Seorang cucu lelaki ahli politik India yang terlibat dalam nahas pesawat pada 1973, merupakan antara 227 penumpang yang menaiki pesawat MH370 yang hilang sejak empat hari lalu.
Portal berita The Telegraph India melaporkan, warganegara Kanada kelahiran India, Muktesh Mukherjee, 42, dikhuatiri berkongsi nasib seperti datuk­nya, Mohan Kumaramangalam yang terbunuh semasa menaiki penerbangan Indian Airline 440 hampir empat dekad lalu.
Dalam kejadian tersebut, Kumaramangalam yang merupakan Menteri Besi dan Perlombongan ketika itu, antara 48 penumpang yang maut selepas pesawat terbabit terhempas berhampiran New Delhi.
Kini nasib cucunya, Muktesh masih belum diketahui dan beliau merupakan Timbalan Presiden Operasi Syarikat Sumber dan Tenaga XCoal di China.
Muktesh menaiki penerbangan itu bersama isterinya, Xiaomao Bai, 37, yang merupakan rakyat China.
Ibunya, Uma yang merupakan anak perempuan kepada Kuma­ramangalam, berlepas ke Beijing semalam selepas mendapat berita tentang kejadian yang menimpa pesawat MH370.
Sepupu mangsa, Mangaljit Mukherjee berkata, ahli keluarganya bimbang dengan nasib Muktesh yang mungkin akan mengikut jejak Kumaramangalam.
"Buat masa ini, kami cuba mengumpul maklumat bersama ahli keluarga yang lain.
"Kejadian ini sangat menyedihkan kerana kami khuatir akan berakhir sama seperti yang berlaku pada datuk kami," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140312/lu_05/Cucu-dikhuatiri-alami-nasib-seperti-datuk#ixzz2vh0AkVGb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Radar tentera kesan MH370 terbang di Selat Melaka sebelum hilang

SEORANG pegawai tentera Indonesia melihat peta di Selat Melaka semasa taklimat mencari pesawat MH370 yang hilang berlangsung di Pangkalan Udara Suwondo, Medan, Sumatera Utara semalam.- AP


KUALA LUMPUR - Tentera Malaysia percaya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu berpatah balik dan terbang beratus-ratus kilometer ke arah barat selepas terputus hubungan dengan menara kawalan, kata seorang pegawai kanan tentera semalam.
Kehilangan pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang tersebut dianggap paling misteri dalam sejarah penerbangan dan operasi mencari pesawat itu secara besar-besaran masih menemui jalan buntu.
Pihak berkuasa Malaysia berkata, pesawat tersebut hilang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China.
"Pesawat berkenaan mengubah haluan selepas memasuki ruang udara Kota Bharu dan terbang rendah sebelum menuju ke Selat Melaka," kata seorang pegawai kanan tentera yang turut terlibat dalam siasatan kehilangan pesawat tersebut.
Menurutnya, situasi itu sekali gus menolak kemungkinan berlakunya kerosakan mekanikal kerana pesawat tersebut terbang sekurang-kurangnya sejauh 500 kilometer selepas kali terakhir dikesan menara kawalan.
Pesawat itu gagal dikesan selepas alat pengesan pada pesawat tersebut dipadamkan.
Satu sumber bukan tentera yang mengetahui mengenai siasatan berkata, laporan terbaharu itu merupakan antara beberapa teori yang dikemukakan dan sedang disiasat pihak berkuasa.
Ketika terputus hubungan dengan menara kawalan, pesawat itu berada di antara Kota Bharu dan bahagian selatan Vietnam serta terbang pada ketinggian 10,670 meter.
Selat Melaka antara laluan kapal paling sibuk di dunia yang terletak di sepanjang pantai barat Malaysia.
Sebuah akhbar tempatan yang memetik Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud berkata, pesawat itu kali terakhir dikesan oleh radar tentera kira-kira pukul 2.40 pagi berhampiran Pulau Perak, utara Selat Melaka.
Katanya, pesawat itu terbang pada paras 1,000 meter lebih rendah daripada ketinggian sebelumnya.
Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat berhubung pesawat itu selepas ia dikesan buat kali terakhir menerusi radar tersebut.
Mematikan alat pengesan atau transponder di dalam pesawat itu menyebabkan ia tidak dapat dikesan menerusi radar.
Radar sekunder berinteraksi dengan transponder bagi mendapat maklumat mengenai identiti pesawat, kelajuan dan ketinggian.
Namun, ia tetap masih boleh dikesan radar utama yang digunakan pihak tentera. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2vgxcSNxD 
Hakcipta terpelihara