Search This Blog

Tuesday, March 11, 2014

Kebakaran: Lapan kambing mati

WARTAWAN SINAR HARIAN
Kebakaran: Lapan kambing mati
Mat Hashim menunjukkan kambing peliharaannya yang mati dalam kebakaran, kelmarin.
11 Mac 2014
 KOTA BHARU - Seorang warga emas kerugian hampir RM10,000 selepas lapan kambing peliharaannya mati dalam kebakaran yang melibatkan tiga kediaman di Kampung Salor, di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu hanya diketahui oleh mangsa, Mat Hashim Mat, 66, selepas diberitahu oleh imam Masjid Salor kepada mangsa, sejurus selesai menunaikan solat Maghrib di masjid terbabit.

Menceritakan detik cemas itu, Mat Hashim, berkata ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menunaikan solat Maghrib di masjid berkenaan dan bercadang untuk pulang ke rumah selepas menunaikan solat Isyak.

“Namun selepas diberitahu mengenai kejadian itu, saya terus bergegas pulang walaupun belum sempat menunaikan solat Isyak .

"Alangkah terkejutnya saya, melihat hampir kesemua kediaman musnah termasuk lapan ekor kambing yang mati akibat hangus dalam kebakaran terbabit.

“Memang agak sedih dengan kejadian ini memandangkan kesemua barangan termasuk haiwan peliharaan kesemuanya tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui media semalam.

Mat Hashim yang tinggal berseorangan di rumah berkenaan berkata, walau sedih dengan  kejadian itu, namun masih bersyukur dia masih selamat.

“Buat masa ini, saya menumpang di rumah kakak yang terletak hanya 50 meter dari kediaman saya dan mengharapkan agar bantuan dapat dihulurkan bagi mengurangkan beban yang ditanggung.

Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran, Wan Arina Wan Yusoff, 45 berkata, dia hanya menyedari api bermula dari kediamannya ketika menunggu untuk solat Maghrib.

“Api bermula dari tingkat atas rumah, dan kami lima beranak dalam rumah termasuk ibu dan nenek serta anak-anak cuba memadamkan kebakaran, namun gagal selepas api marak.

“Melihatkan keadaan itu, saya dan keluarga terus menyelamatkan diri dan kesemua barangan dalam rumah gagal diselamatkan, namun bersyukur kesemua keluarga kami masih selamat,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Rahmat Kamarulzaman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.08 malam.

“Dengan kekuatan tiga jentera dari Balai Kota Bharu, Tunjung dan Darul Naim kita sampai ke tempat kejadian enam minit selepas menerima panggilan dan berjaya kawal api dari merebak ke dua rumah berdekatan.

“Semasa anggota kami tiba di tempat kejadian, sudah hampir 70 peratus bangunan separa kekal itu terbakar.

"Setakat ini punca kejadian masih disiasat dan kerugian yang melibatkan tiga rumah dianggarkan bernilai RM 250,000,” katanya.

114 sebar fahaman Syiah berbahaya


Oleh Muhammad Apendy Issahak
Ipoh: Pembabitan seramai 114 individu yang ditahan kerana dipercayai pengikut ajaran Syiah ketika meraikan satu majlis di sebuah rumah di dalam kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau berhampiran sempadan Gerik, dekat sini, Sabtu lalu, dianggap serius dan boleh membahayakan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusof Husin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung pembabitan kumpulan berkenaan yang dipercayai melanggar fatwa berkaitan pengharaman Syiah.

Menurutnya, keterangan daripada kesemua individu yang ditahan sedang dilakukan bagi mendapatkan maklumat lanjut dan tepat berhubung kegiatan yang mereka lakukan di premis kediaman yang terletak dalam kawasan hutan berkenaan.

“Sekiranya benar kumpulan terbabit menjalankan kegiatan yang mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah yang sudah difatwakan haram, perkara ini memang dipandang serius kerana membabitkan jumlah ahli kumpulan yang agak ramai termasuk beberapa warga asing.

“Jika tidak dibendung ia boleh membahayakan ketenteraman awam dan keselamatan negara kerana fahaman ajaran yang difatwakan haram itu boleh memesongkan umat Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro semalam, melaporkan seramai 114 orang termasuk lapan warga asing yang dipercayai pengikut ajaran Syiah, ditahan dalam satu serbuan di Hutan Simpan Bintang Hijau, berhampiran sempadan Gerik pada jam 10 malam Sabtu lalu.

Kesemua yang ditahan berusia lingkungan tujuh hingga 70 tahun dan hasil pemeriksaan pihak berkuasa turut merampas beberapa buku yang mengandungi maklumat serta ajaran Syiah, batu turbah, bendera dan beberapa gambar yang digunakan kumpulan terbabit.

Mohd Yusof berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak 1992 dan pendakwaan akan dilakukan secepat mungkin sekiranya terdapat bukti kukuh pembabitan kumpulan terbabit dalam ajaran Syiah.

Katanya, semua yang ditahan akan dipanggil secara berperingkat untuk dirakam keterangan dan proses siasatan terbabit mungkin mengambil masa dua hingga tiga minggu berikutan jumlah mereka yang terlalu ramai.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/11

Ecstasy: Dua rakyat Malaysia dihukum mati


11 Mac 2014


JAKARTA - INDONESIA. Mahkamah Daerah Batam pada Isnin menjatuhi hukuman mati terhadap dua rakyat Malaysia dan seorang rakyat Singapura kerana mengedar 168,987 pil ecstasy.

Rakyat Malaysia itu, Mohammad Sollehudin Anuar dan Azmee Johari, serta rakyat Singapura Ong Beng Song didakwa menyeludup masuk dadah itu dari Malaysia ke Indonesia melalui Batam.

"Defendan didapati bersalah menyeludup dadah. Mereka memberi penjelasan rumit dan bercanggah serta menafikan memiliki dadah itu," kata Hakim Jack Octavianus seperti dipetik akhbar harian berbahasa Inggeris 'Jakarta Post' pada Selasa.

Jack berkata, ketika-tiga mereka dijatuhi hukuman mati memandangkan jumlah dadah yang diseludup sangat besar dan jika diedarkan, banyak kehidupan yang akan musnah.

Katanya defendan didapati bersalah mengikut Artikel 114 Undang-undang No 35/2009 berkaitan narkotik, yang memperuntukkan hukuman mati.

Polis mendapat maklumat berhubung dadah itu, yang disembunyikan di dalam alat pemampat kepunyaan sebuah syarikat ekspedisi di Tiban, Batam, pada awal Mei tahun lepas.

Syarikat itu kemudian membawa alat pemampat itu ke Tanjung Pinang, ibu kota wilayah Kepulauan Riau. Ketika sedang diperhatikan polis, dadah itu kemudian dihantar ke Pekanbaru, Riau, Lampung dan kemudian Merak. Konsainan itu tiba di Jakarta pada 5 Jun.

Polis Batam menahan rakyat Malaysia itu di sebuah rumah di Jl. Ubud Raya di kompleks perumahan Daan Mogot Baru di Kalideres, Jakarta Barat pada hari berikutnya.

Mereka ditahan ketika sedang menerima dadah itu manakala rakyat Singapura itu pula ditahan di sebuah restoran berhampiran ketika sedang makan bersama isteri dan anaknya.

Peguam Edi Hartono, yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, berkata mereka masih menimbang sama ada akan merayu terhadap keputusan mahkamah itu.

Menurut data daripada Agensi Narkotik Nasional, 42 warga asing ditahan berkaitan kesalahan dadah pada 2013 iaitu lapan rakyat Malaysia; tujuh Taiwan; lima China; empat Filipina; empat Nigeria; empat India; tiga Afrika Selatan; dua Vietnam; dua Jerman; seorang Amerika; seorang Sweden dan seorang Austria. - Bernama

PATI Filipina menyamar ASP dicekup


TAWAU – Tembelang seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Superitendan yang kononnya mampu membebaskan individu yang sedang ditahan di lokap polis di sini sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila dia ditahan di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah, Superitendan Saiman Kasran berkata, warga Filipina berusia 51 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri itu diberkas kira-kira pukul 8.40 pagi hasil maklumat awam.
Katanya, suspek amat dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya sepuluh kes jenayah penipuan di negeri ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0311&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2vd9l6Xw7 
Hakcipta terpelihara 

'Anak saya hilang tanpa pesan'


SITI HAJAR


TELUK INTAN - Malam sebelum kehilangannya, Siti Hajar Sulaiman, 15, tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah tidak pernah merungut apa lagi mengugut keluarganya untuk lari daripada rumah.
Namun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdullah Chenderong Balai di sini mengejutkan ahli keluarganya pada pagi Jumaat lalu apabila dia didapati hilang sebaik ibunya, Salimah Ahmad, 62, mahu mengejutkannya untuk ke sekolah.
"Sejurus melihat bilik Siti Hajar kosong, saya terus memeriksa semua pintu dan tingkap rumah, tapi semuanya berkunci rapi.
"Kemudian, saya memanggil tiga anak saya yang lain mencarinya, malangnya selepas beberapa jam mencari, kelibat dia tidak kelihatan langsung," kata ibu tunggal tersebut ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0311&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2vd04Fhwj 
Hakcipta terpelihara 

Ibu didakwa bunuh anak kandung



Fiera Syafieqa Shamsuddin (dua dari kanan) dan Amir Hassan Bakri dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Teluk Intan atas tuduhan menyebabkan kematian Nur Ain Ariana Abdullah, semalam. - UTUSAN/Ain Safree Bidin
TELUK INTAN 10 Mac - Ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan yang meninggal dunia Jumaat lalu dipercayai akibat didera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bersama teman lelakinya atas tuduhan membunuh kanak-kanak tersebut, awal bulan ini.
Nur Ain Ariana Abdullah yang mengalami pendarahan otak disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh, Selangor pada pukul 8 malam, 7 Mac lalu selepas hampir lima hari bertarung nyawa.
Fiera Syafieqa Shamsudin, 20, dan Amir Hassan Bakri, 26, didakwa secara bersama membunuh Nur Ain Ariana kira-kira pukul 4.30 petang, 3 Mac lalu, di rumah tidak bernombor di Kampung Sri Perkasa, Hutan Melintang dekat sini.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayah Ismail mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Fiera Syafieqa dari Kampung Sungai Pulau dan Amir Hassan dari Kampung Sri Perkasa dekat sini dilihat bersahaja sambil mengangguk kepala tanda memahami pertuduhan yang dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh Majistret Fairuz Adiba Ismail daripada kedua-dua tertuduh yang masing-masing memakai baju lokap warna ungu.
Fairuz Adiba menetapkan sebutan kes pada 9 April ini bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat dan perubatan mangsa.
Memetik laporan akhbar, sebelum disahkan meninggal dunia, Nur Ain Ariana dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam dekat sini pada 5 Mac lalu selepas dipercayai pengsan.
Doktor yang merawat mangsa telah membuat laporan polis setelah melihat keadaan mangsa yang tidak bergerak dan menemui pelbagai kesan lebam serta calar di bahagian tangan, badan dan muka kanak-kanak itu serta benjol pada kiri kepala.
Mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut kerana kecederaannya yang kritikal dan dipercayai mengalami pendarahan otak.
Selepas hampir lima hari bertarung nyawa, kanak-kanak perempuan itu akhirnya meninggal dunia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140311/ma_03/Ibu-didakwa-bunuh-anak-kandung#ixzz2vcyYvmWz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ikan paus sepanjang 10 meter tersangkut pada pukat



BEBERAPA orang menyaksikan seekor ikan paus yang mati kerana tersangkut pada pukat nelayan di Pelabuhan Sidi Bou Said, utara Tunisia kelmarin.- REUTERS


TUNIS - Seekor ikan paus sepanjang 10 meter dijumpai mati kelmarin selepas tersangkut pada pukat milik seorang nelayan di Tunisia di persisiran pantai Sidi Bou Said yang terletak di utara bandar ini. kelmarin.
Nelayan itu, Bilel Jerbi, 24, berkata, pada mulanya dia menyangka pukat miliknya tersangkut pada sebuah bampar kereta.
"Selepas saya menarik jaring berkenaan, saya melihat ekor ikan paus berkenaan,'' katanya.
Ujarnya. spesies ikan paus itu masih belum dikenal pasti dan haiwan itu hampir mati ketika ia tersangkut pada pukat tersebut.
Jerbi kemudiannya membawa ikan paus itu ke sebuah pelabuhan di Sidi Bou Said.
Beberapa nelayan dan anggota pengawal pantai berusaha untuk membawa naik ikan paus tersebut ke darat.
Pelabuhan itu juga dipenuhi orang ramai yang mahu melihat haiwan gergasi berkenaan dengan lebih dekat.
Tambah Jerbi, dia mengalami kerugian yang besar selepas pukat yang digunakan untuk menangkap ikan rosak selepas ikan paus itu tersangkut pada pukat tersebut.
"Saya berharap dapat menjual daging ikan paus ini dan wang berkenaan digunakan untuk membeli pukat yang baharu,'' katanya.
Seorang pengawal pantai berkata, ikan paus sepanjang 10 meter itu dianggarkan seberat tujuh hingga lapan tan.
"Kami sebelum ini pernah melihat ikan paus sepanjang empat meter tetapi haiwan ini yang terbesar pernah dijumpai di sini,'' katanya.
Menurutnya, punca kematian ikan paus berkenaan masih belum dapat dipastikan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0311&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2vcy8y96V 
Hakcipta terpelihara 

Thai jadi lokasi pemalsuan dokumen


MARALDI menunjukkan pasportnya di sebuah balai polis di Phuket, Thailand kelmarin.- AP



BANGKOK - Peranan Thailand sebagai hab jaringan jenayah menggunakan dokumen palsu mula menjadi perhatian selepas dua penumpang misteri yang menaiki pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) menggunakan pasport yang dicuri di negara ini.
Identiti penumpang tersebut yang masih misteri mencetuskan kebimbangan bahawa kehilangan pesawat itu sejak pagi Sabtu lalu itu berpunca daripada serangan pengganas, lapor agensi berita AFP semalam.
Terdapat dua nama individu yang berasal dari Eropah dalam senarai penumpang pesawat tersebut yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China.
Bagaimanapun, nama dalam senarai itu, Christian Kozel yang berasal dari Austria dan warga Itali, Luigi Maraldi sebenarnya tidak menaiki pesawat tersebut.
Sebaliknya dua penumpang misteri menggunakan pasport mereka yang dicuri dalam dua kejadian di Thailand.
Pendedahan itu menyebabkan pihak berkuasa Malaysia menyiasat kemungkinan ada unsur keganasan dalam kehilangan pesawat itu.
Pihak berkuasa di Malaysia kemudian bekerjasama dengan agensi perisikan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berhubung kes tersebut.
"Thailand sebelum ini pernah digunakan oleh kumpulan pengganas antarabangsa sebagai zon operasi mereka, untuk mengumpul dana atau merancang sesuatu serangan,'' kata penganalisis antikeganasan Asia Tenggara, Rommel Banlaoi.
Pada tahun 2010, dua lelaki Pakistan dan seorang wanita Thailand ditahan di negara itu kerana disyaki membuat pasport palsu untuk sebuah kumpulan pengganas yang mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda.
Pasport palsu itu digunakan dalam satu operasi antarabangsa yang dikaitkan dengan siri serangan pengganas di Mumbai, India pada tahun 2008 dan serangan bom kereta api di Madrid, Sepanyol pada 2004.
Bagaimanapun, Banlaoi menegaskan bahawa pasport palsu yang digunakan oleh penumpang misteri dalam penerbangan MH307 itu mungkin mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah yang lain seperti pendatang haram.
"Thailand adalah destinasi bagi organisasi jenayah antarabangsa untuk mendapatkan dokumen perjalanan dan dokumen kewangan,'' kata satu sumber perisikan Thailand.
"Ia bukan sahaja berkait dengan keganasan tetapi mempunyai hubungan dengan jenayah yang lain.
"Ia merupakan jaringan yang kompleks yang mempunyai kaitan dengan jaringan-jaringan yang lain,'' katanya.
Menurutnya, jaringan itu melibatkan warga Thailand dan warga asing selain turut disertai pencuri pasport, pakar penipuan dokumen, orang tengah dan para pelanggan.
Pihak polis Thailand mengumumkan satu siasatan berhubung kemungkinan kewujudan satu sindiket mencuri pasport di Pulau Phuket iaitu lokasi pasport dua lelaki tersebut dilaporkan hilang.
Pasport Maraldi dilaporkan dicuri di Pulau Phuket pada 2013 manakala dokumen perjalanan Kozel hilang ketika dalam penerbangan dari Phuket ke Bangkok.
Maklumat penerbangan yang diperoleh agensi berita AFP menunjukkan tiket dua penumpang misteri yang menggunakan pasport lelaki itu dibeli di Pattaya pada 6 Mac lalu dan dibayar dengan menggunakan mata wang baht.
Sehingga kini, tidak banyak maklumat berhubung penumpang misteri itu.
Pihak berkuasa Malaysia semalam memberitahu bahawa pihaknya telah mengenal pasti identiti salah seorang penumpang berkenaan tetapi hanya mendedahkan dia bukannya warganegara Malaysia.
Kedudukan geografi yang strategik dan mempunyai sebuah lapangan terbang yang utama, Thailand dikenali sebagai hab pengedaran dadah serta penyeludupan haiwan liar termasuk gading gajah dari Afrika.
Negara itu juga dikenali sebagai penyumbang dokumen untuk imigran yang berhijrah atau melalui negara-negara di wilayah berkenaan.
Satu sumber diplomatik berkata, perjalanan penumpang misteri itu dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing sebelum ke Eropah merupakan laluan biasa bagi imigran haram.
Tambahnya, sebahagian besar pasport yang dicuri dari pelancong di Thailand kemudiannya digunakan oleh golongan imigran untuk berhijrah ke negara lain.
Menurutnya, industri itu semakin berkembang kerana ramai pegawai polis di negara itu terlibat dalam rasuah.
"Pihak polis hanya menutup mata mereka sekiranya ada yang menawarkan wang,'' katanya.
Mengikut undang-undang di Thailand, sesiapa yang didapati menjual atau memiliki dengan niat untuk menjual pasport palsu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
Profesor Madya Ahmed Salah Hashim dari Sekolah Kajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang di Singapura berkata, memasuki negara Barat dengan mengguna pasport dari negara-negara Barat yang dicuri bukannya merupakan kaedah yang mudah.
Justeru, beliau menyokong teori kemungkinan pengganas menyasarkan penerbangan MH370 itu ekoran dua pasport yang dicuri tersebut di bawah pengawasan Interpol.
Seorang pegawai Imigresen Thailand memberitahu bahawa pihaknya tidak mengimbas pasport pelancong dengan pangkalan data dokumen perjalanan yang hilang dan dicuri milik Interpol.
Polis antarabangsa itu juga menggesa semua negara anggota untuk mengimbas semua pasport dengan pangkalan data itu demi kepentingan penumpang yang tidak berdosa.
"Saya berharap semua kerajaan dan syarikat penerbangan mengambil iktibar daripada kehilangan pesawat malang ini dan mengimbas semua pasport penumpang sebelum membenarkan mereka menaiki pesawat,'' kata Setiausaha Agung Interpol, Ronald Noble.
"Dengan berbuat demikian secara tidak langsung kita mengambil satu langkah bagi memastikan keselamatan penerbangan,'' tambahnya.
Dalam pada itu, akhbar Daily Mail semalam mendedahkan gambar tiket penerbangan yang ditempah oleh dua penumpang misteri tersebut.
Rekod tempahan elektronik menunjukkan tiket sehala yang dibeli mereka dikeluarkan pada 6 Mac lalu oleh sebuah agensi perlancongan di Pattaya.
Seorang pegawai polis Thailand, Supachai Phuykaeokam berkata, syarikat agensi pelancongan itu pula membuat tempahan melalui pejabat syarikat penerbangan China Southern Airlines di Bangkok.
Pemilik agensi pelancongan di Pattaya itu sering berurusan dengan pelancong dari Iran.
Pihak polis Thailand dan pegawai Interpol telah menyoal siasat pemilik agensi tersebut.
Seorang operator syarikat Penerbangan KLM yang berpangkalan di China kelmarin mengesahkan bahawa penumpang bernama Maraldi dan Kozel menempah tiket penerbangan sehala dari Beijing menuju ke Amsterdam, Belanda pada Sabtu lalu.
Maraldi kemudian menempah penerbangan menuju ke Copenhagen, Denmark dan Kozel pula menuju ke Frankfurt, Jerman.
Sebagai pemegang pasport Kesatuan Eropah yang dalam perjalanan menuju ke negara Eropah, kedua-dua penumpang misteri itu tidak memerlukan visa untuk datang ke China.
Misi mencari pesawat MH370 itu memasuki hari ketiga semalam dan diteruskan pada hari ini melibatkan kawasan di perairan Vietnam dan Malaysia sejak Sabtu lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0311&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2vcxBZZDW 
Hakcipta terpelihara 

Tercekik mata kail


Taipei: Seorang wanita warga emas terpaksa dikejarkan ke hospital selepas tercekik mata kail yang terdapat dalam ikan yang ditangkap cucunya.

Wanita itu dilaporkan menjadikan ikan yang ditangkap cucunya itu juadah makan malam mereka.


Ketika makan, dia mula merasakan kesakitan yang amat sangat pada tekaknya lalu dikejarkan ke hospital.

Selepas pemeriksaan, doktor menemui mata kail dan tangsi sepanjang 13 sentimeter yang masih terikat pada mata kail berkenaan tersekat pada kerongkong wanita itu.


Doktor berkata prosedur mengeluarkan “juadah” berkenaan mengambil masa selama 10 minit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/11

Proses heroin dalam ladang, pekerja ditahan


OSMAN Salleh (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan peralatan serta bahan yang dipercayai digunakan bagi tujuan memproses dadah dalam sidang akhbar di IPK Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid
SEREMBAN 10 Mac - Helah seorang pekerja ladang memproses dadah jenis heroin di sebuah ladang ternakan kambing dan ayam di Labu, dekat sini, terbongkar setelah suspek ditahan dan sejumlah dadah bernilai lebih RM700,000 dirampas, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 pagi, hasil maklumat dan risikan, suspek berusia 38 tahun ditahan di sebuah rumah papan.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, operasi dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
"Pemeriksaan awal, polis menjumpai 0.473 kilogram (kg) dadah yang dipercayai ganja dalam rumah terbabit.
"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan sekampit kanvas mengandungi 9.287 kg. dadah jenis heroin dalam kandang kambing, manakala 12 peket dadah jenis sama seberat 7.474 kg dalam kandang ayam," katanya dalam sidang akhbar di IPK negeri, di sini hari ini.
Osman memberitahu, polis turut merampas peralatan serta bahan yang dipercayai digunakan bagi tujuan memproses dadah tersebut dalam kedua-dua kandang ternakan itu.
"Berat keseluruhan dadah yang dirampas adalah seberat 16.761 kg yang dianggarkan bernilai RM700,761.25 mengikut harga pasaran.
"Siasatan awal mendapati ladang berkenaan dijadikan makmal haram memproses dadah jenis heroin selain menjadi tempat simpanan dadah berkenaan yang turut dipercayai untuk dipasarkan di sekitar negeri ini dan Selangor," katanya.
Tambahnya lagi, polis percaya suspek merupakan ahli sindiket dadah dan sehubungan itu, polis memburu ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas.
"Suspek akan ditahan reman untuk siasatan dan hasil ujian saringan awal mendapati lelaki terbabit positif dadah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140311/je_03/Proses-heroin-dalam-ladang-pekerja-ditahan#ixzz2vcmkP3AL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga suspek ditahan palsukan pelbagai dokumen


JAMES Musa Singa (tengah) menunjukkan beberapa dokumen serta barang yang dirampas daripada sindiket pemalsuan pasport di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta, semalam.
KUALA LUMPUR 10 Mac - Jabatan Imigresen Kuala Lumpur percaya dapat melumpuhkan satu sindiket pemalsuan pelbagai dokumen negara ini dan negara jiran, dengan penahanan tiga suspek warga Indonesia yang dipercayai ahli kumpulan itu, semalam.
Ketiga-tiga suspek berusia 30-an itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi iaitu pangsapuri di Hiliran Ampang dan Pandan Jaya, Cheras.
Serbuan kira-kira pukul 10 pagi tersebut dilakukan sepasukan pegawai serta anggota Imigresen Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), hasil maklumat dan risikan selama tiga bulan.
Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui tiga botol dakwat cecair, tin isian semula gas pemetik api (2), gam berwarna kuning dan biru (2), peluntur warna (1), peralatan alat tulis (1) dan bekas pelbagai benang yang digunakan sebagai peralatan memproses dokumen.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, dokumen yang dipalsukan antaranya ialah pas lawatan kerja sementara (PLKS), pelekat keselamatan Imigresen pintu masuk, kad kartu penduduk Indonesia (KTP), Mykad dan lesen memandu negara ini.
"Kita juga menjumpai 95 keping pasport asal Indonesia, Bangladesh (5) dan Myanmar (1) serta cop masuk dan keluar keselamatan imigresen (2), cop berangkat Imigresen Indonesia (1), cop kedatangan Imigresen Indonesia (1) dan cop kedutaan besar republik Indonesia di sini (1).
"Turut ditemui 56 keping kertas bercetak KTP, kertas bercetak Malaysia Pass (28), mesin salut plastik (1), pengimbas (1) dan komputer peribadi (1)," katanya dalam sidang akhbar Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta, di sini hari ini.
Sementara itu, James memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain terlibat dalam sindiket tersebut yang aktif sejak setahun lalu.
"Kita masih menyiasat dan kesemua suspek ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 55D atau Seksyen 56(1)(L), Akta Imigresen 1959/63, '' jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140311/je_04/Tiga-suspek-ditahan-palsukan-pelbagai-dokumen#ixzz2vcmeYgmw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Banduan lari Penjara Pulau Pinang ditangkap


GEORGE TOWN 10 Mac - Seorang banduan yang melarikan diri dari Penjara Pulau Pinang Rabu lepas, ditahan semula di Machang Bubuk, Bukit Mertajam dekat sini awal hari ini.
Lelaki yang dikenali sebagai Phang Ruey Shang, 42, itu ditahan pukul 2.15 pagi di rumah anggota keluarganya, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah.
"Banduan yang lari ketika melakukan tugas pembersihan di luar kawasan penjara itu, difahamkan bersembunyi di beberapa lokasi sebelum pulang ke rumah anggota keluarganya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140310/je_06/Banduan-lari-Penjara-Pulau-Pinang-ditangkap#ixzz2vcn1oQgG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Banduan lari berjaya ditahan semula


PULAU PINANG 10 Mac - Seorang banduan yang melarikan diri dari Penjara Pulau Pinang, Jalan Goal di sini ketika melakukan tugas pembersihan di luar kawasan penjara terbabit Rabu lalu, ditahan semula di sebuah rumah di Machang Bubuk, Bukit Mertajam di sini awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, suspek, Phang Ruey Shang, 42, ditahan kira-kira pukul 2.15 pagi di rumah salah seorang ahli keluarganya.
"Kita percaya lelaki itu sebelum ini bersembunyi di beberapa lokasi lain sebelum pulang ke rumah ahli keluarganya setelah lima hari diburu polis," katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, banduan dikenali Ah Beng dilaporkan hilang selepas diarah membersihkan kawasan longkang di luar penjara bersama lima banduan lain dengan diawasi warden.
Kehilangan lelaki itu disedari ketika warden mahu mengumpulkan banduan terlibat kerja-kerja pembersihan berkenaan untuk dibawa ke penjara.
Mazlan berkata, lelaki itu yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi, kini direman selama lima hari.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140311/je_01/Banduan-lari-berjaya-ditahan-semula#ixzz2vcm2tNIn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Keluarga penumpang gesa dedah cerita sebenar


BEIJING 10 Mac - Kira-kira 100 ahli keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) dari China menggesa cerita sebenar berhubung misteri kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 orang tersebut didedahkan.
Ahli-ahli keluarga tersebut dalam sepucuk surat kepada Kementerian Luar China menggesa kementerian itu membantu mendapatkan cerita sebenar daripada kerajaan Malaysia dan meminta Beijing menghantar pegawai untuk bertemu mereka.
Laman web akhbar South China Morning Post melaporkan seorang wanita berkata, setakat ini hanya syarikat penerbangan itu yang menghubungi mereka.
"Saya berharap kerajaan China akan datang bertemu kami. Lebih awal kerajaan ambil tindakan, lebih tinggi kemungkinan mereka akan selamat,’’ katanya.
Malaysia Airlines semalam memaklumkan kepada ahli keluarga penumpang pesawat terbabit supaya bersedia `menghadapi kemungkinan paling buruk’ selepas 30 jam kehilangan pesawat tersebut.
Kebanyakan ahli keluarga menangis apabila pengumuman tersebut dibuat oleh Pengarah Komersial syarikat tersebut, Dr. Hugh Dunleavy di Metropark Lido Hotel, di sini yang menjadi tempat tingga sementara mereka.
Seorang pakar berkata, sistem radar moden sangat sensitif dan mempunyai kemampuan tinggi untuk mengesan pesawat itu.
"Ia boleh memberi data mengenai pesawat seperti kelajuan dan altitudnya, yang boleh digunakan untuk menganggarkan zon impak terakhir.
"Saya mengesyaki pihak berkuasa Malaysia menyembunyikan beberapa maklumat. Kita juga tidak mendengar apa-apa yang berguna daripada pihak berkuasa Vietnam,’’ katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140311/lu_03/Keluarga-penumpang-gesa-dedah-cerita-sebenar#ixzz2vcltYs9N
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pekerja ladang wanita dibunuh?




KOTA SAMARAHAN 10 Mac - Seorang pekerja ladang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat dipukul dan dibelasah dengan objek keras di kawasan tali air di sebuah ladang kelapa sawit di Ensengei di sini semalam.
Mayat mangsa, Eli Udin, 34, ditemui pada pukul 4.20 petang oleh seorang pengawal keselamatan yang meronda di kawasan ladang berkenaan lalu menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Lee Chong Chern berkata, mangsa dipercayai mati akibat mengalami kecederaan parah di kepala setelah dipukul dengan objek keras.
Beliau berkata, Eli bersama suaminya telah bekerja di ladang kelapa sawit terbabit sejak empat tahun lalu.
"Bagaimanapun, ketika kejadian suami mangsa sedang bercuti dan berada di Kalimantan Barat, Indonesia kerana mempunyai urusan keluarga," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai dipukul dan dihentak dengan objek keras.
Tambahnya, polis turut menjumpai sebatang kayu yang mempunyai kesan titisan darah tidak jauh dari lokasi mayat mangsa ditemui.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat dan polis sedang giat mengesan suspek yang dipercayai rakan senegara mangsa.
"Sehingga kini, polis belum dapat mengenal pasti motif mangsa dibunuh dan punca sebenar kematian wanita itu hanya akan diketahui selepas bedah siasat selesai dijalankan," katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140311/je_02/Pekerja-ladang-wanita-dibunuh#ixzz2vcqCMjwg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki berjaya buat 3 panggilan


Seorang penjual menghulurkan senaskah akhbar harian kepada pembeli di Beijing, semalam. Beberapa akhbar utama di China menyiarkan laporan tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines di muka depan. - AFP
BEIJING 10 Mac - Seorang lelaki yang mendakwa dia adalah salah seorang ahli keluarga penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kini masih gagal dikesan walaupun usaha mencarinya sudah diperluaskan memberitahu, dia berjaya menghubungi telefon bimbit milik abangnya yang merupakan salah seorang daripada 227 penumpang yang menaiki pesawat tersebut.
Portal The Real Singapore melaporkan, klip video yang merakamkan lelaki berkenaan sedang mendail nombor telefon milik abangnya itu turut disiarkan di Beijing Television.
Video tersebut menunjukkan lelaki itu berjaya menghubungi telefon bimbit abangnya, namun panggilannya itu tidak dijawab.
Lelaki itu yang enggan mendedahkan namanya itu turut mendakwa berjaya menghubungi telefon bimbit abangnya itu sebanyak tiga kali, dan kesemua panggilan itu tidak dijawab.
Lelaki itu memberitahu pemberita di sini demikian selepas berlangsungnya satu taklimat yang disampaikan oleh kakitangan MAS berhubung kejadian pesawat MAS jenis Boeing 777-200ER itu hilang sejak tiga hari lalu selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing.
Ekoran penedahan lelaki itu, ahli-ahli keluarga penumpang pesawat terbabit yang kini berada dalam kesedihan, menggesa MAS menggunakan teknologi satelit untuk menggesan isyarat telefon bimbit berkenaan, sebelum ia kehabisan bateri.
Seramai 150 orang penumpang warga China berada dalam pesawat MH370 itu sebelum terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang, Kuala Lumpur pada pukul 2.40 pagi kelmarin, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Malaysia pada 12.41 tengah malam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140311/lu_02/Lelaki-berjaya-buat-3-panggilan#ixzz2vclEXnsZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rakyat Iran guna pasport palsu naiki MH370?


LONDON 11 Mac - Dua lelaki yang menggunakan pasport palsu untuk menaiki penerbangan MH370 dipercayai merupakan rakyat Iran, lapor rangkaian televisyen BBC Persian hari ini.
BBC Persian melaporkan, dua lelaki Iran terbabit menggunakan pasport palsu dengan tujuan berhijrah ke Jerman dan Denmark.
Jelas laporan itu, seorang rakan daripada kedua-dua lelaki berkenaan mengaku menjemput mereka di Kuala Lumpur sebaik tiba dari Teheran beberapa hari sebelum berlepas ke Beijing menaiki pesawat MH370.
Mereka juga dipercayai membeli pasport berkenaan di Kuala Lumpur selain tiket ke Amsterdam melalui Beijing. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140311/lu_07/Rakyat-Iran-guna-pasport-palsu-naiki-MH370#ixzz2vck69eH1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengawal keselamatan maut dilanggar kereta


KOTA TINGGI 11 Mac - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta berhampiran simpang masuk Taman Kota dekat sini, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman, dalam nahas pukul 7.30 malam di Km 3, Jalan Kota Tinggi-Kluang itu Irwan Abdullah, 55, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan.
Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan balik dari tempat kerja di sebuah ladang, apabila motosikalnya masuk ke laluan bertentangan semasa melalui selekoh dan bertembung dengan sebuah kereta, katanya kepada pemberita, di sini.-BERNAMA.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140311/je_06/Pengawal-keselamatan-maut-dilanggar-kereta#ixzz2vhAEYBaM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tekong, 30 pendatang asing ditahan cuba keluar Malaysia


JOHOR BAHARU, 11 Mac (Bernama) - Seorang tekong dan 30 pendatang tanpa izin termasuk tiga kanak-kanak, kesemuanya dipercayai warga Indonesia, ditahan di perairan Tanjung Piai, Pontian ketika cuba keluar dari negara ini.
Kumpulan pendatang yang berusia antara 1 hingga 50 tahun itu ditahan pasukan Kastam Diraja Malaysia pada 1 pagi 3 Mac lepas ketika menaiki sebuah bot pancung kayu di perairan tersebut, kata Pengarah Kastam Johor Datuk Ramli Johari.
Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini tekong berusia 19 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) kerana menjalankan penyeludupan migran.- BERNAMA.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140311/je_05/Tekong-30-pendatang-asing-ditahan-cuba-keluar-Malaysia#ixzz2vh9nExsX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Makmal dadah ditemui dalam kandang, reban


2014/03/11
Seremban: Makmal dadah dalam kandang kambing dan reban ayam. Itu penemuan sepasukan polis yang menyerbu sebuah rumah papan dalam kebun pisang di Labu dekat sini, jam 6.30 pagi kelmarin, sebelum menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dan merampas dadah bernilai RM700,000.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh, berkata pemeriksaan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di rumah itu menemui sebungkus ketulan mampat dipercayai ganja seberat 473 gram.


Hasil soal siasat, sepasukan anggota polis ke sebuah kandang kambing berhampiran rumah itu dan menemui serbuk serta ketulan dadah dipercayai heroin seberat 9.29 kilogram (kg) serta peralatan memproses heroin yang disorok di bawah kanvas.

“Dengan bantuan anjing pengesan, kita menemui dadah jenis sama seberat 7.47kg dan beberapa botol bahan kimia untuk memproses dadah dalam tangki air ditanam di bawah reban ayam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.

Osman berkata, semua dadah yang dirampas di makmal yang dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan lalu, dianggarkan bernilai RM700,761 dan untuk pasaran sekitar negeri ini dan Selangor.

Suspek yang positif dadah dan mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Makmal dadah ditemui dalam kandang, reban


2014/03/11
Seremban: Makmal dadah dalam kandang kambing dan reban ayam. Itu penemuan sepasukan polis yang menyerbu sebuah rumah papan dalam kebun pisang di Labu dekat sini, jam 6.30 pagi kelmarin, sebelum menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dan merampas dadah bernilai RM700,000.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh, berkata pemeriksaan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di rumah itu menemui sebungkus ketulan mampat dipercayai ganja seberat 473 gram.


Hasil soal siasat, sepasukan anggota polis ke sebuah kandang kambing berhampiran rumah itu dan menemui serbuk serta ketulan dadah dipercayai heroin seberat 9.29 kilogram (kg) serta peralatan memproses heroin yang disorok di bawah kanvas.

“Dengan bantuan anjing pengesan, kita menemui dadah jenis sama seberat 7.47kg dan beberapa botol bahan kimia untuk memproses dadah dalam tangki air ditanam di bawah reban ayam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.

Osman berkata, semua dadah yang dirampas di makmal yang dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan lalu, dianggarkan bernilai RM700,761 dan untuk pasaran sekitar negeri ini dan Selangor.

Suspek yang positif dadah dan mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, direman tujuh hari bagi membantu siasatan.