Search This Blog

Sunday, March 9, 2014

Kiai dituduh noda pelajar


Tulungagung: Polis terpaksa campur tangan dan menyelamatkan seorang kiai dan keluarganya serta beberapa murid lain selepas mereka diserang penduduk kampung yang menuduh lelaki terbabit menyebabkan seorang pelajar hamil.

Kiai Jaz, 50, berasal dari Desa Sidem di daerah Gondang, masih ditempatkan di balai polis Tulungagung bagi mengelakkan dia menjadi mangsa rusuhan.


Ketua Polis Tulungagung, Lahuri berkata, pihak berkuasa cuba berunding dengan penduduk untuk membenarkan kiai itu pulang namun mereka tetap bercadang untuk mengancam keselamatannya.

“Sebelum diselamatkan, Jaz sempat dipukul penduduk kampung,” katanya. Lahuri berkata, Jaz bernasib baik kerana polis tiba tepat pada masanya untuk menyelamatkan lelaki terbabit.


Katanya, Jaz menjadi sasaran kemarahan penduduk kerana disyaki mengadakan hubungan seks dengan seorang pelajar berusia 15 tahun.


Bagaimanapun, Lahuri berkata, polis percaya pelajar perempuan itu hamil hasil hubungannya dengan seorang pelajar lelaki di situ.

Malah, kata Lahuri, mereka sudah bernikah secara rahsia pada 14 Ogos tahun lalu. Petang kelmarin, sekumpulan penduduk yang simpati kepada Jaz datang ke balai polis dan meminta dia dilepaskan kerana polis tidak cukup bukti untuk menahannya.


Polis kemudiannya mengumpulkan penduduk kampung yang berbeza pendapat itu untuk menerangkan keputusan siasatan bagi menjernihkan kembali keadaan dan pertelagahan masih berlaku. - Agensi

Pesara miang terlanggan kekasih anak


Rome: Seorang lelaki berusia 70 tahun bernasib baik kerana tidak mengalami serangan jantung selepas mendapat tahu seorang wanita yang dilanggannya sebagai pelacur adalah teman wanita anaknya.

Pesara terbabit begitu teruja menunggu kedatangan pelacur yang ditempah ke rumahnya. Namun, warga emas berkenaan terkejut apabila mendapati pelacur yang masuk melalui pintu rumah mewahnya itu ialah wanita yang memang dikenalinya. Sumber berkata, lelaki terbabit menempah pelacur berkenaan dari bandar berhampiran Treviso. Sebelum itu, pelacur terbabit mendakwa kepada anak pesara terbabit bahawa dia bekerja sebagai pelayan kedai makan. Pertemuan “luar biasa” itu mencetuskan pertengkaran antara mereka dan akan didedahkan dalam perbicaraan di mahkamah minggu ini. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/09

Budak jadi makanan anjing


Nairobi: Dua pembantu rumah di kawasan perumahan mewah di Nairobi didakwa memotong zakar, menyiat kulit kemaluan dan mengelar badan, peha, kaki dan punggung anak lelaki majikan mereka.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga menyiat kulit kepala budak terbabit sebelum dicampak ke luar untuk dijadikan makanan anjing. Dalam kejadian jenayah dianggap paling kejam di Kenya itu, pembantu rumah, Concepta Achitsa Mwanje, 27, dan tukang kebun, Vincent Odhiambo Owino, dituduh melakukan rompakan dan penculikan serta mendatangkan kecederaan parah pada budak berkenaan.


Dokumen mahkamah menyatakan, mereka menyangka budak terbabit sudah mati ketika mangsa diberikan kepada anjing.

Mereka melakukan perbuatan itu dengan harapan jenayah mereka dapat disembunyikan.


Dr Joseph Kathuri yang memeriksa budak berusia tiga setengah tahun itu berkata, 75 peratus kulit kepala mangsa hilang dalam kejadian pada 31 Disember 2008 itu.


Bulan lalu Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 30 tahun ke atas Mwanje dan Owino selepas menolak rayuan mereka.

Menyingkap kembali kes itu, bapa mangsa mendapat panggilan daripada pembantu rumahnya mendakwa kononnya budak terbabit dibaham anjing.


Ketika bapanya pulang ke rumah, Owino sudah melarikan diri.



Bagaimanapun, keesokannya dia menghubungi majikannya itu untuk memberitahu apa yang terjadi.


Sementara itu ketika dikejarkan ke hospital, mangsa berada dalam keadaan tidak sedar dan hampir mati.


Selepas menjalani beberapa pembedahan kanak-kanak itu berjaya diselamatkan.


Ibu mangsa berkata, walaupun suaminya seorang panas baran, tetapi dia tidak pernah dilihat memukul pembantu rumah terbabit.


Seperti kebanyakan ibu bapa lain, bapa mangsa mendapatkan khidmat Mwanje daripada agensi pembekal pekerja tempatan yang kini popular di kebanyakan pusat bandar.


Ia dikatakan mengambil pekerja tanpa mengenali mereka dan hanya mempunyai salinan kad pengenalan mereka.


Keajaiban berlaku apabila kanak-kanak itu sembuh dan dapat mengenal pasti pembantu rumah dan tukang kebun yang mencederakannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/09

Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang rumah hangus terbakar


2014/03/09



Kuantan:Tiga sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila tiga rumah yang mereka duduki lebih 20 tahun musnah terbakar di Kampung Tanjung Lumpur, di sini.


Kejadian kira-kira jam 10 malam tadi menyebabkan kerugian hampir RM100,000 apabila barang seperti perabut,dokumen penting dan perkakas elektrik gagal diselamatkan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Ubi, Borhan Husin berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.30 malam tadi dan mengambil masa lima minit untuk tiba ditempat kejadian.

Katanya, semua 15 mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki terselamat berikutan tiada di rumah masing-masing apabila kebakaran berlaku.

"Seramai 20 anggota dan dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan. 

Warganegara India turut dalam pesawat


SEPANG 8 Mac - Malaysia Airlines mengesahkan terdapat lima warganegara India turut berada dalam pesawat MH370 yang dilaporkan hilang di perairan Laut China Selatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, kenyataan yang di keluarkan sebelum ini bahawa terdapat 12 warganegara Indonesia tidak tepat, sebaliknya hanya tujuh rakyat negara itu dalam pesawat Boeing 777-200ER dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA ) ke Beijing iti.
Beliau berkata, pihaknya juga telah 80 peratus menghubungi ahli keluarga mangsa terlibat dan pihak MAS akan memberi segala bantuan yang diperlukan.
Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang akhbar yang sama berkata, kerajaan akan mengemaskini setiap dua jam sekali berhubung insiden itu. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140308/je_04/Warganegara-India-turut-dalam-pesawat#ixzz2vPbaTLfc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis tembak dua suspek samun kenderaan


KUALA LUMPUR 8 Mac - Dua lelaki yang dipercayai anggota sindiket curi kenderaan cedera ditembak selepas mereka cuba melanggar dan menyerang anggota polis dalam satu operasi di Subang Jaya, Selangor malam tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, dalam kejadian 8.40 malam itu, kedua-dua suspek bukan sahaja melanggar kenderaan polis tetapi juga cuba menyerang anggota menggunakan parang ketika diminta menyerah diri.
Mengulas kejadian kepada media di sini hari ini, beliau berkata, polis mengesan sebuah kereta jenis Honda Civic yang diletak di tepi jalan di PJS 7/13 yang sebelum ini dilapor hilang di USJ 8.
Susulan itu polis membuat intipan bermula 2.30 petang dan kira-kira 8.30 malam dua lelaki yang menaiki kereta jenis Toyota Vios menghampiri kenderaan tersebut lalu polis memperkenalkan diri serta meminta suspek menyerah diri, katanya.
Bagaimanapun menurut Yahaya, suspek bertindak melanggar bahagian hadapan kereta polis dan cuba melarikan diri namun kenderaan yang dinaiki suspek dihalang oleh sebuah lagi kereta polis.
Kedua-duanya cuba melarikan diri dengan seorang daripada mereka yang memegang parang cuba menyerang polis menyebabkan anggota pasukan keselamatan terpaksa melepaskan tembakan, katanya.
Menurut Yahaya, tembakan itu mengenai bahagian kaki suspek yang memandu kereta Toyota Vios tersebut manakala penumpangnya cedera di bahagian leher.
"Siasatan mendapati, kereta Toyota Vios itu juga disamun di Sea Park, Petaling Jaya semalam," katanya sambil menambah, seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah bersabit kes samun.
Kata beliau, pihaknya masih mengesan saki-baki kumpulan ini yang dipercayai dianggotai sekurang-kurangnya empat orang.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," katanya. —BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140309/je_04/Polis-tembak-dua-suspek-samun-kenderaan#ixzz2vPb02UQk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami isteri rugi, penarik kereta bertindak seperti samseng


MELAKA 8 Mac - Sepasang suami isteri bukan sahaja mengalami kerugian setelah keretanya ditarik pihak bank kerana mempunyai bayaran tertunggak selama empat bulan, malah mereka tidak dibenarkan mengambil barangan berharga di dalam kereta tersebut.
Lebih mengejutkan, pasangan yang menetap di Taman Paya Rumput itu turut dikasari dua penarik kereta berusia 20-an yang bertindak seperti samseng apabila melanggar kereta tersebut sebelum merampasnya.
Kejadian malang itu berlaku kira-kira pukul 4 petang Rabu lalu semasa mangsa, Abdullah Saffar, 44, sedang memandu kereta Proton Persona dan membawa tiga anaknya untuk pulang ke rumah.
Menurut Abdullah, penarik kereta itu telah menghimpit dan melanggar kenderaannya di sebuah simpang berdekatan Kampung Paya Rumput.
"Semasa memberhentikan kereta, dua lelaki yang tidak dikenali keluar lalu mengetuk cermin sisi kereta saya hingga menakutkan anak-anak yang ada bersama ketika itu," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa membuat aduan di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri di Kota Cemerlang, Ayer Keroh, di sini semalam.
Yang turut hadir Pengarah Pembela BN negeri, Amir Hamzah Aziz dan peguam Pembela BN, Maz Ridzuan Mohamad.
Abdullah berkata, semasa dia menurunkan cermin sisi bahagian pemandu, salah seorang lelaki berkenaan merampas kunci keretanya tanpa menunjukkan pengenalan diri mahupun surat tarik kereta daripada pihak bank.
"Mereka kemudian menyuruh saya bersama tiga lagi anak keluar dari kereta itu lalu mengambil gambar kereta sebelum beredar meninggalkan kami di tempat tersebut.
"Apa yang merisaukan, kedua-dua mereka menghalang saya mengambil barangan berharga dalam kereta tersebut termasuklah kunci rumah, kunci sebuah lagi kereta, kelengkapan sekolah anak-anak serta dokumen kerja termasuk tender projek bernilai RM3 juta," katanya.
Jelas Abdullah, kereta tersebut didaftarkan atas nama isterinya dan dia mengakui memang kereta tersebut tertunggak bayarannya selama empat bulan.
"Kami tidak ada masalah jika kereta itu ditarik semula, cuma terkilan tindakan ala samseng dua lelaki berkenaan yang tidak mengikut prosedur sebenar malah turut bertindak melanggar kereta saya.
"Tindakan mereka menghalang saya mengambil barangan berharga dalam kereta itu turut menyebabkan kami sekeluarga menanggung kerumitan termasuk sukar untuk masuk ke rumah, anak-anak tidak dapat ke sekolah serta urusan kerja," ujarnya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, pihaknya akan berhubung dengan bank berkenaan, polis serta Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) untuk membantu menyelesaikan perkara tersebut.
"Tindakan menarik kereta mangsa walaupun ia tidak berbayar selama manapun perlulah mengikut prosedur sebenar dan tindakan penarik kereta itu menyebabkan mangsa mengalami kesukaran hidup," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140309/je_03/Suami-isteri-rugi-penarik-kereta-bertindak-seperti-samseng#ixzz2vPYcYN7K
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis cari suspek kes bunuh


IPOH 8 Mac - Polis sedang mencari seorang suspek bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki India di Kanthan dekat sini pada 28 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mayat berkenaan dijumpai di hadapan pencawang Digi bersebelahan sebuah kilang di Jalan Perindustrian Kanthan 2 di sini.
"Suspek yang berumur 31 tahun itu bernama K. Sri Kanapathy (gambar) dan alamat terakhirnya di No. 34, Hala Chepor Raya 15, Taman Chepor Raya.
"Mereka yang mempunyai maklumat, boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes iaitu Asisten Supritendan Mohd. Fakir Fauzi di talian 05-2451 606 atau tampil ke balai polis berhampiran," katanya di sini, semalam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140309/je_02/Polis-cari-suspek-kes-bunuh#ixzz2vPY56wdU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lapan pelajar USM gagal turun dari Gunung Jerai


JERAI 9 Mac - Lapan penuntut lelaki dari Universiti Sains Malaysia (USM) dipercayai gagal turun dari Gunung Jerai di sini selepas salah seorang rakan mereka cedera petang semalam.
Difahamkan mereka mula mendaki kira-kira pukul 10 pagi hari ini dan gagal turun apabila seorang daripada mereka mengalami kecederaan.
Kesemua mereka berusia antara 23 hingga 26 tahun tersebut dikatakan naik ke Gunung Jerai untuk berkhemah dan difahamkan tidak mendapat kan kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.
Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri menerima laporan tentang kejadian pada pukul 8.13 malam tadi dan setakat berita ini ditulis, operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140309/je_01/Lapan-pelajar-USM-gagal-turun-dari-Gunung-Jerai#ixzz2vPXtcQtI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Media di Beijing tumpu insiden pesawat MAS hilang


BEIJING 8 Mac - Media di sini bertungkus-lumus untuk mendapatkan maklumat terkini selepas sebuah pesawat Malaysia Airline (MAS) hilang hari ini ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 orang di dalam
pesawat itu.
Berpuluh-puluh wartawan membanjiri Lido hotel, tempat pegawai MAS mengadakan persidangan media hari ini.
Anggota keluarga penumpang sukar dihubungi kerana mereka ditempatkan di beberapa tempat lain di hotel yang sama.
Sesetengah daripada mereka kelihatan menangis dan tidak mahu menjawab soalan para wartawan yang menghampiri mereka.
Ada juga anggota keluarga seorang daripada penumpang yang menjerit kepada
wartawan sambil berkata: "Kamu ada keluarga tak?. Jangan ganggu kami!"
Penerbangan MH370 MAS, yang membawa 227 penumpang meliputi 14 warganegara dan 12 anak kapal terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang pukul 2.40 pagi (waktu Malaysia), dua jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
Pesawat itu dijadualkan mendarat di Beijing pukul 6:30 pagi (waktu Beijing). -
BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140308/lu_15/Media-di-Beijing-tumpu-insiden-pesawat-MAS-hilang#ixzz2vPWzVygT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga negara Arab haramkan tayangan filem Noah


Aktor, Russell Crowe (kanan) dan aktres, Jennifer Connelly dalam satu daripada babak filem Noah. - AGENSI
KAHERAH 8 Mac - Qatar, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hari ini mengharamkan tayangan filem Noah atas alasan agama meskipun sebelum tayangan perdananya di seluruh dunia dengan beberapa negara lain dijangka mengikuti langkah itu.
Seorang wakil dari Paramount Pictures yang menghasilkan filem dengan kos AS$125 juta (RM400 juta) itu, bahagian penapisan filem dari ketiga-tiga negara Arab tersebut secara rasmi mengesahkan pada minggu ini bahawa Noah tidak akan ditayangkan di negara tersebut.
"Kenyataan rasmi dikeluarkan bagi mengesahkan berita itu kerana filem tersebut bercanggah dengan ajaran Islam,'' kata wakil itu menambah, Mesir, Jordan dan Kuwait dijangka mengambil langkah serupa.
Tayangan perdana Noah yang menceritakan kisah Nabi Nuh dan bahteranya di Amerika Syarikat (AS) akan dilancarkan pada 28 Mac ini.
Filem itu membariskan bintang terkemuka Hollywood termasuk pemenang Oscar, Russell Crowe dan Anthony Hopkins.
Institusi terkenal Islam di Mesir, Al-Azhar kelmarin turut mengeluarkan fatwa yang mengharamkan filem itu.
"Al-Azhar memperbaharui bantahannya terhadap apa-apa perbuatan yang menggambarkan rasul-rasul dan nabi-nabi Allah dan para sahabat Nabi Muhammad SAW,'' kata institusi itu dalam satu kenyataan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140309/lu_03/Tiga-negara-Arab-haramkan-tayangan-filem-Noah#ixzz2vPVfgxe0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pasport curi dua individu diguna penumpang pesawat MH370


VIENNA/ROM 9 Mac - Dua individu masing-masing dari Itali dan Austria yang tersenarai sebagai mangsa yang menaiki pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang didapati hilang di Laut China Selatan awal hari ini, dipercayai masih hidup dan tidak menaiki pesawat berkenaan.
Menurut jurucakap Kementerian Luar Itali, tiada rakyatnya menaiki pesawat itu, sebaliknya Luigi Maraldi, 37, disahkan tidak berada di dalam jet penumpang tersebut seperti disenaraikan oleh syarikat penerbangan berkenaan.
Sebuah akhbar Itali, Corriere Della melaporkan bahawa pasport milik Maraldi dipercayai hilang di Thailand pada bulan Ogos lalu.
Agensi berita ANSA pula melaporkan, ibu bapa Maraldi telah pun menghubunginya yang kini berada di Thailand dan mengesahkan anak mereka selamat.
Sementara itu, seorang warga Austria, Christian Kozel, 30, yang turut dilaporkan menaiki pesawat tersebut, dilaporkan selamat. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140309/lu_01/Pasport-curi-dua-individu-diguna-penumpang-pesawat-MH370#ixzz2vPUqs0Pg
© Utusan Melayu (M) Bhd