
Khairul Anwar Rahmat (kanan) berbincang dengan peguam yang mewakili anak-anak Azizul Raheem Awaludin dan Shalwati Norshal, Johan Kallus dan Clara Hjort.
STOCKHOLM 5 Mac - Ibu warga Malaysia yang sedang dibicarakan atas tuduhan memukul anak-anaknya di Sweden mengakui bahawa dia pernah memukul anak lelakinya selepas remaja terbabit 'buat perangai.'
Shalwati Norshal menjelaskan, pada hari beliau memukul Ammar, remaja terbabit dalam keadaan 'angin tidak baik' selepas wanita itu menyebelahi anak sulungnya, Aishah dalam pergaduhan dua beradik itu.
Beliau menimbulkan insiden terbabit selepas pegawai pendakwa, Anna Arnell bertanya kepadanya mengenai salah satu pertuduhan yang dihadapinya iaitu memukul Ammar kerana menonton YouTube dan bukannya menyiapkan kerja sekolah bagi matapelajaran Perancis.
"Ah.., inilah kejadian yang membawa kita di sini," kata Shalwati sinis sebelum menambah, "kejadian yang meletakkan kita dalam penjara."
"Ammar telah bergaduh dengan kakaknya jadi saya telah menyuruhnya untuk mengambil wuduk kerana sebagai Muslim, kami percaya air wuduk dapat menenangkan seseorang," katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Daerah Solna di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ammar selepas memasuki bilik air telah tiba-tiba 'buat perangai' dan menjatuhkan dan membalingkan barang-barang yang terletak di atas rak.
"Dia kelihatan tidak terkawal, lalu saya pukul bahunya dan menyuruhnya supaya berhenti," kata Shalwati.
Memandangkan Sweden telah mengharamkan hukuman membabitkan fizikal sejak 1979, ini bermakna Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem Awaludin berhadapan dengan hukuman penjara maksimum enam tahun sekiranya didapati bersalah atas tuduhan memukul anak-anak mereka.
Sementara itu, Shalwati dilihat tenang ketika disoal oleh Arnell dalam bahasa Sweden sebelum diterjemah kepada bahasa Inggeris dan turut merujuk semula kepada nota yang telah dibuat pada peringkat awal perbicaraan.
Guru yang kini bercuti tanpa gaji itu turut memohon agar pegawai pendakwa terbabit mengulangi atau menjelaskan soalan yang ditanya beberapa kali.
Ditanya adakah pukulan ke bahu menyakitkan Ammar, Shalwati menyatakan, remaja terbabit kelihatan lebih terkejut berbanding sakit.
"Selepas melihat rakaman video rakan-rakannya yang menceritakan mengenai apa yang mereka dengar daripada Ammar, saya rasa Ammar hanya mencari peluang untuk memberitahu kawan-kawannya bahawa ibunya telah memukulnya," kata Shalwati yang jelas kelihatan kecewa.
Shalwati turut menafikan semua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya membabitkan Ammar dengan menjelaskan setiap insiden dengan terperinci dan turut menggambarkan Ammar sebagai seorang yang suka membesar-besarkan cerita.
Ketika ditanya sama ada beliau pernah 'menarik telinga Ammar sehingga tangan remaja itu menggigil' berhubung kerja sekolah Matematiknya, Shalwati berkata: "Lagi membesar-besarkan cerita!" sebelum menjelaskan bahawa beliau sangat gembira sekiranya dapat mengajar mata pelajaran itu kepada Ammar kerana remaja terbabit jarang meminta bantuannya.
Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat yang mengikuti perbicaraan kes itu di mahkamah tersebut menyatakan, Shalwati turut mengaku bahawa dia pernah memukul Aishah yang merupakan anak perempuan tunggalnya.
Menurut beliau, Shalwati bagaimanapun berhenti berbuat demikian sejak Aishah berusia 11 tahun tiga bulan kerana berpendapat hukuman fizikal tidak akan memberi kesan kepada anaknya itu.
Katanya, wanita itu juga menyifatkan Aishah, 15, sebagai seorang anak yang baik, menghormati orang tua dan suka membantu orang lain serta aktif di sekolah termasuk dalam kegiatan sukan sebelum mempunyai masalah berat badan.
Ketika menceritakan mengenai Adam, Khairul Anwar memberitahu, Azizul Raheem sekali lagi dilihat mengesat pipinya ketika Shalwati menceritakan peristiwa ketika Adam mula didaftarkan masuk ke sekolah di Sweden.
Adam yang mengalami masalah disleksia telah diminta oleh Shalwati untuk didaftarkan ke peringkat kelas yang lebih rendah, namun tidak diendahkan sebaliknya didaftarkan masuk ke kelas yang setara dengan umurnya.
Shalwati yang juga kelihatan beremosi ketika ini menjelaskan Adam sebagai seorang kanak-kanak yang bijak tetapi mempunyai masalah untuk mengeja, membaca dan mengira dengan baik.
Pada 10 Februari lalu, Azizul Raheem dan Shalwati didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.
Perbicaraan bersambung 10 Mac ini. - THE STAR
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140306/ma_03/Shalwati-mengaku-pernah-pukul-Ammar-selepas-buat-perangai#ixzz2v8LLCPyT
© Utusan Melayu (M) Bhd